The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by KOLEKSI BAHAN PENERBITAN DIGITAL BITK, 2021-11-29 02:53:13

Biblioterapi 01/21

Edisi Oktober 2021

SYAM DAPAT
ADIK

SITI MAHANI MAHMUD

Pada pagi itu, kepala aku terasa berat. Kelopak mata seakan-akan
sukar dibuka dan kepala aku juga terasa pening. Riuh rendah dan
gelak tawa anak-anakku di ruang tamu membingitkan telinga. Sejak
beberapa hari dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, terasa
badanku tidak berapa sihat. Aku lebih selesa tidur daripada sama-
sama menyanyi dengan anak-anakku yang dua orang itu.

Menjenguk ke luar jendela, matahari masih belum
menampakkan sinarnya. Mungkin kerana hujan lebat pada malam
tadi membuatkan aku bangun sedikit lewat pada pagi itu. Seusai
subuh aku ingin melelapkan mata sebentar sebelum bersiap untuk
menyediakan sarapan untuk keluarga kecilku. Rupa-rupanya lama
juga aku tertidur.

Sedang leka menyemak mesej di telefonku, aku berasa loya.
Aku membiarkan sahaja cuma terfikir kenapa ia terjadi kerana aku
bukanlah sering berkeadaan sebegitu. Seingatku, ia akan terjadi
apabila ada tanda-tanda mengandung. Mengandung? “Alamak,
janganlah! Aku belum bersedia untuk anak yang ketiga,” detik hati
kecilku. Aku baru perasan, aku juga mengalami sakit di ari-ariku
semasa aku mengalihkan sofa untuk mengeluarkan semua ‘harta
karun’ yang berada di bawahnya beberapa hari lalu.

Aku melihat jadual period di aplikasi telefonku. Memang
sentiasa aku update di situ kerana mudah dan cepat. Jika diikutkan,
aku sudah lewat dua minggu pada bulan tersebut. Aku berkira-kira

HIKMAH Saat Aku Diuji 101

sama ada aku patut melakukan ujian kehamilan atau tidak. Aku
mengambil keputusan untuk melakukannya esok pagi sahaja kerana
menurut pembacaanku, air kencing pada waktu pagi mengandungi
hormone human chorionic gonadotropin (HCG) yang tinggi dan jika
kehamilan terjadi ia akan terus detect pada kit ujian kehamilan. Jika
kehamilan dapat dikesan lebih awal, aku boleh mengambil langkah
berjaga-jaga bagi melindungi sebarang kemungkinan yang tidak
baik berlaku.

Keesokan harinya, aku telah bersedia untuk melakukan ujian
kehamilan. Perasaanku berdebar-debar sama ada positif atau negatif.
Apabila ia menunjukkan tanda positif, perasaan aku bercampur baur.
Shocked and unplanned. Walaupun anak ini unplanned tetapi tidak
sesekali unwanted. Aku mengambil keputusan untuk tidak terus
memberitahu suamiku. Tidak seperti dua kehamilan sebelum ni, aku
teruja memberitahu suamiku.

Pada hari itu, aku tiada mood hanya terbaring lesu di sofa
menonton cerita di televisyen dengan pandangan yang kosong.
Suamiku menyedari tingkah laku yang sedikit berbeza. Dia
bertanyakan kesihatanku dan aku sekadar mengangguk lemah
mengatakan yang aku okey sahaja. Selesai solat maghrib berjemaah,
aku mengambil keputusan untuk memberitahu suamiku tentang
ujian kehamilan pagi tadi. Perlahan-lahan aku membuka cerita.

“Awak, tidak lama lagi Syam nak jadi abang.” Suamiku
terdiam dan dalam masa yang sama dia terus ucapkan kalimat
alhamdulillah. Terus dia memberitahu anak-anak yang mereka akan
dapat adik tidak lama lagi. Reaksi kakak begitu teruja tetapi Syam
mencebik seolah-olah dia tidak dapatlah lagi hendak bermanja
berlebih-lebihan. Aku juga kasihankan Syam kerana pada usianya
setahun enam bulan, dia masih lagi menyusu badan. Targetku untuk
menyusukannya sehingga dua tahun mungkin tidak tercapai.

Berada dalam trimester pertama kehamilan, aku tidak diuji
dengan alahan teruk. Hanya pening dan kurang selera makan.

102 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

Aku juga masih gagah ke dapur menyediakan juadah untuk
ahli keluargaku. Alhamdulillah, aku bersyukur tidak mengalami
alahan. Aku juga dapat melakukan aktiviti fizikal seperti biasa dalam
keadaan berhati-hati. Suamiku mula mengambil alih kerja-kerja di
rumah, menguruskan anak-anak dan menolongku di mana perlu.

Memasuki trimester kedua, aku diuji dengan batuk yang
teruk. Ia sangat mengganggu tidurku dan paling teruk pada waktu
malam ditambah dengan keadaan bilik yang dipasang penyaman
udara. Segala minyak aku sapu bagi mengurangkan batuk. Apabila
mengandung, memakan sebarang ubat memang tidak digalakkan.
Jadi aku hanya minum ubat batuk herba dan juga madu. Sebutlah
kaedah tradisional untuk pulihkan batuk, semua telah aku cuba
tetapi batuk ini tidak juga hilang malah semakin teruk.

Sehinggalah aku nekad berjumpa doktor, menceritakan
masalahku. Doktor memberitahu untuk melakukan ujian
Tuberculosis atau TB yang disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria
Mycobacterium tuberculosis. Ia juga dikenali sebagai batuk kering.
Antara tanda penyakit TB adalah batuk melebihi dua minggu, sakit
dada apabila batuk, kahak berdarah, cepat letih, hilang selera makan
dan berat badan susut.

Selalunya ujian sinar x akan dilakukan untuk menentukan
pesakit mempunyai simptom TB. Namun doktor tidak menggalakkan
aku melakukannya kerana ujian ini tidak sesuai untuk wanita
mengandung. Aku dikehendaki melakukan ujian kahak maka aku
perlu menghantar sampel kahak di dalam botol yang disediakan ke
klinik tersebut.

Pengambilan sampel kahak hendaklah diambil pada awal
pagi selepas bangun tidur (sebelum menggosok gigi) untuk tempoh
tiga hari berturut-turut. Selepas beberapa hari, aku dipanggil oleh
doktor untuk melihat keputusan. Doktor mengesahkan aku tiada
penyakit TB. Alhamdulillah, lega aku mendengarnya. Jauhkanlah aku
daripada penyakit tersebut.

HIKMAH Saat Aku Diuji 103

Doktor seperti tidak berpuas hati lalu aku dikehendaki pula
membuat ujian Mantoux. Aku ikutkan sahaja apa yang terbaik untuk
kandunganku. Ujian ini dilakukan dengan meletakkan sedikit protein
TB (antigen) di lapisan atas kulit pada bahagian bawah lengan. Jika
pernah terdedah kepada bakteria TB, kulit akan bertindak balas
terhadap antigen dengan menghasilkan benjolan merah yang padat
di kawasan tersebut dalam masa tiga hari.

Apabila mengandung pada musim pandemik, suami tidak
boleh menemani isteri ke dalam klinik. Bagiku itu tidak menjadi
masalah kerana setiap kali kehamilan sememangnya suamiku
tidak menemaniku ketika melakukan check up. Bukan kerana dia
tidak mahu sebaliknya aku yang tidak membenarkannya. Cukuplah
menemani semasa melakukan imbasan ultrasound sahaja di klinik
swasta.

Selang tiga hari aku mendapat panggilan daripada klinik
untuk review hasil keputusan ujian Mantoux. Aku berdebar
memikirkan keputusannya. Aku berharap tiada yang buruk akan
terjadi. Aku berharap ini adalah alahan mengandung sahaja. Ada
kawan-kawanku yang bercerita, mereka mendapat batuk semasa
mengandung dan apabila bersalin, batuk tersebut turut hilang.

Doktor memberitahu yang ujian bacaanku tidak
menunjukkan aku mengalami penyakit TB. “Syukur alhamdulillah,”
detik hati kecilku. Jika dijangkiti, satu benjolan padat yang berukuran
5mm (0.2 inci) akan terhasil. Aku juga bersyukur sepanjang aku
mengandung semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan
Perintih Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapatlah aku berehat
dan mengelakkan aku berjumpa ramai orang. Virus Covid-19 sangat
ditakuti terutama bagi wanita mengandung yang boleh terdedah
kepada risiko kematian.

Memasuki trimester ketiga, perutku yang sudah ke hadapan
menyebabkan pergerakan menjadi sedikit terbatas. Batukku masih
tidak hilang dan setiap kali ia datang menyerang akan terasa sakit

104 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

menyucuk-nyucuk di bahagian perut. Ia sangat tidak selesa dan aku
sudah tidak tahan dengan keadaan itu. Aku perlu mencari kaedah
lain pula bagi merawat batukku.

Sehinggalah pada suatu hari aku terbaca di media sosial
tentang penggunaan minyak pati dalam merawat batuk. Ia selamat
untuk wanita mengandung. Tanpa berlengah aku terus menghubungi
distributor berkenaan untuk bertanyakan lebih lanjut bagaimana ia
merawat dan berfungsi. Setelah mendapat informasi dan aku juga
mencari info di laman sesawang aku bertekad menggunakan minyak
pati tersebut untuk merawat batukku.

Setelah sebulan menggunanya secara berterusan dan juga
mengikut kaedah yang disarankan, aku dapati batukku semakin
berkurangan dan hampir tiada. Aku sangat bersyukur kerana satu
masalah telah selesai. Tidak perlulah aku mengusung bekas kecil ke
mana sahaja untuk membuang kahakku apabila aku batuk.

Sampai masanya usia kandunganku mencecah sembilan
bulan aku telah menyediakan segala kelengkapan bayi yang akan
dilahirkan. Mujurlah tidak banyak yang perlu disediakan kerana
barang-barang kakak dan abangnya dahulu masih boleh digunakan
dan masih elok. Dua kelahiran sebelum ini, aku bersalin di kampung
halamanku. Untuk yang ketiga ini, aku bercadang untuk berbuat
demikian juga kerana aku sangat selesa bersalin di sana. Cuma
memikirkan bersalin semasa PKP tidaklah mudah. Suami tidak boleh
menemani isteri di labour room.

Aku berdoa semoga urusan bersalin aku dipermudahkan.
Aku juga meminta kawan-kawanku berdoa untukku. Alhamdulillah,
sampai masanya dapat juga aku bersalin di hospital kampungku. Aku
masuk ke wad bersalin tanpa ditemani suami dan sedikit janggal
bagiku kerana dua kelahiran sebelum ini suamiku sentiasa berada di
sampingku memberi kata-kata semangat.

Aku menahan sakit apabila kontraksi datang menyerang. Aku

HIKMAH Saat Aku Diuji 105

berdoa semoga kesakitan ini cepat-cepat berlalu dan aku segera
bersalin. Mengenangkan besarnya pengorbanan seorang ibu untuk
melahirkan anak, membuatkan aku insaf dan akan terus mengingati
jasa dan pengorbanan ibuku dalam melahirkanku. Sebab itu, doa
seorang ibu mustajab sehinggakan dalam sebuah hadis, Nabi
Muhammad SAW menegaskan kepada umatnya bahawa orang yang
paling berhak diperlakukan dengan baik dan dimuliakan adalah ibu.
Bahkan baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.

Jam 8.03 minit pagi, aku telah selamat melahirkan seorang
bayi lelaki. Pada kali ini, kelahirannya amat mudah berbanding dua
anakku sebelum ni. Aku mengucap syukur kerana memudahkan
urusan bersalinku. Seorang doktor lelaki masuk untuk mengazankan
anakku. Suamiku hanya diberitahu aku telah selamat bersalin dan
menunggu uri untuk dibawa pulang. Dia tidak dibenarkan berjumpa
denganku dan anak yang baru dilahirkan.

Selepas bersalin aku ditempatkan di wad biasa. Aku berharap
yang aku akan pulang keesokan harinya kerana aku tidak sanggup
berlama di hospital. Segala-galanya aku perlu lakukan sendiri
daripada menjaga bayi dan menguruskan diri yang sedang lemah.
Walaupun lemah fizikal tetapi hatiku perlu kuat dan kental demi
bayi.

Selepas doktor mendapati aku dan bayi berada dalam
keadaan baik, kami dibenarkan pulang. Hanya dua minggu aku dapat
berpantang di rumah. Suami sudah mengajakku pulang ke rumah
sendiri kerana kerajaan telah mengumumkan untuk melaksanakan
PKP sekali lagi. Bimbang dengan kesukaran untuk pulang melawatku
selepas PKP dilaksanakan, aku menurut sahaja. Suamiku masih boleh
menjagaku semasa dalam pantang.

Emosiku agak teruk kerana menguruskan bayi yang baru lahir
ditambah apabila datang ragamnya. Aku juga perlu memantau PdPR
anak sulungku di samping menjaga anakku yang kedua. Mujurlah
aku cepat pulih selepas bersalin, dapatlah aku melakukan kerja-kerja

106 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

rumah yang tidak akan pernah habis. Suamiku juga membantuku
kerana sepanjang PKP dia hanya bekerja dari rumah (BDR) dan boleh
sama-sama menjaga anak.

Selepas habis cuti bersalin, cabarannya pula adalah
menguruskan anak yang PdPR, anak yang tengah lasak, anak yang
baru kenal dunia, kerja hakiki dan juga kerja-kerja rumah. Semasa
inilah, kewarasan emosi perlu berada pada tahap yang paling tinggi.
Peranan sang suami sangat diperlukan dalam menangani emosi
para isteri yang sentiasa kacau-bilau. Keadaan pada waktu kritikal ini
boleh mengundang stres, jiwa kacau dan mental breakdown.

Pengurusan masa juga sangat penting bagi memastikan apa
yang dirancang dapat dilaksanakan. Rutin harianku ialah bangun
awal pagi untuk menyiapkan kerja-kerja rumah. Jika aku mampu
masak, aku akan masak tetapi jika tidak larat, beli sahaja makanan
di luar. Apabila baby telah bangun, aku selesaikan urusan dia terlebih
dahulu, mandi dan bermain seketika. Apabila dia tidur, cepat-cepat
aku tumpukan pada si kakak untuk melihat kerja sekolahnya atau
aktiviti yang hendak dibuat sambil melihat e-mel atau kerja-kerjaku
yang perlu diuruskan. Si abang juga boleh turut serta bermain sambil
belajar. Kemudian, aku bersiap untuk masak tengah hari pula.

Pada waktu petang, aku mencari masa sekejap untuk berehat
bagi mengecas tenaga yang banyak digunakan pada sebelah pagi.
Pada waktu petang adalah aktiviti bebas untuk anak-anak, selalunya
mereka akan bermain telefon dan mandi kolam. Pada sebelah
malam pula, kami akan solat berjemaah dan mengaji, makan, anak-
anak bermain dan kemudian tidur awal.

Insya-Allah, PKP sudah menghampiri penghujungnya.
Rasanya ramai yang terkesan dengan PKP tambahan bagi yang
bekerja sendiri. Semoga semuanya akan kembali pulih. Kita juga
sedang belajar untuk menerima norma baharu dalam kehidupan.
Walaupun cara hidup tidak akan kembali seratus peratus seperti
dahulu, sekurang-kurangnya kita berharap dapat bertemu dengan

HIKMAH Saat Aku Diuji 107

ahli keluarga, saudara-mara, dan sahabat handai yang sebelum ini
hanya dapat ditatapi menerusi skrin telefon sahaja. Tanyakan juga
khabar jiran tetangga dan rakan-rakan sekeliling, adakah juadah
untuk dihidangkan di atas meja makan pada hari ini? Jaga diri baik-
baik.

108 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

SEPARUH 109
HIDUPKU PERGI
… EMAK

DAYANG NORAZURAH BINTI
IBRAHIM

Tiada kata-kata yang dapat digambarkan apabila kehilangan emak
tersayang.

Ya Allah, tempatkan allahyarham Hajah Siti Asiah binti Haji
Mohd Idris dalam kalangan para solihin. Syurga buatnya, amin ya
Allah.

Emak sakit apa?

Paru-paru berair. Tidak pernah dalam keluarga kami ada
yang menghidapi penyakit seperti ini. Hanya tiga bulan setelah
didiagnos emak pergi meninggalkan kami. Tanpa sedar, ia bermula
apabila emak batuk, demam, sakit kepala…klinik dan hospital sudah
kami rujuk. Keputusannya cuma demam biasa. Muka emak semakin
membengkak. Berat ujian emak.

Pada 7 Mac 2015, kami ke Hospital swasta. Di situlah
bermula pelbagai kejutan demi kejutan. Hendak menerima atau
hendak menolak kenyataan? Keputusan sinar x paru-paru emak
menunjukkan sebelah paru-paru kanannya telah hilang. Kuman
telah menyelubungi paru-paru emak. Hospital swasta melepaskan
emak dengan bayaran perubatan sebanyak RM10,000.00. Kami

HIKMAH Saat Aku Diuji

kemudiannya merujuk emak ke Hospital Serdang. Doktor menjalani
rawatan dengan segera, menyedut air di paru-paru emak.

Dengan menggunakan tiub yang besar, cecair hijau penuh
di dalam balang. Aduhai emak, berat ujian emak. Sesekali emak
mengerang kesakitan, “Menyesal emak buat rawatan ini... sakit.”
Allahu, berderai air mata ini. Bukan kami hendak menyakiti emak,
kami hendak sembuhkan emak. Abah, kami adik-beradik, tidak
terurus. Makan ke mana, tidur ke mana. Kami membawa hati dan
perasaan. Hospital Melaka sudah menjadi rumah kedua emak.
Keluar masuk hospital menjadi rutin. Kami bergilir-gilir mengambil
tanggungjawab menjaga emak. Hidup ini bagaikan kosong, tiada
senyuman kerana susah hati dengan keadaan emak yang semakin
hari semakin merundum kesihatannya.

Emak sakit tidak lama. Akhirnya pergi jua menghadap Ilahi.

Jenazah Bercahaya

7 Mei 2015 jam 1.15 pagi

Ward C, Hospital Melaka

“Adik-adik… mari sini. saya nak tanya sesuatu,” kata misi yang menjaga
emak.

Aku akur.

“Emak adik kerja apa ya?”

Emak suri rumah, dulu emak berniaga makan-makan
(katering),” kataku.

“Saya ingatkan emak kamu ustazah,“ katanya.

Aku masih bingung sambil mengesat air mata, langsung

110 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

bertanya kenapa dia berkata begitu.

“Ya Allah, sepanjang saya bekerja di sini menghadapi
kematian, tidak pernah saya tengok jenazah bercahaya, bersih
sebersih-bersihnya dan mudah diuruskan. Apa amalan emak, kongsi
dengan saya.”

“Emak… emak suka mengaji.” Itulah ayat pertama yang aku sebut

“Carilah apa amalan emak, apa yang dilakukan semasa
hidupnya. Teruskan, ikutlah,” kata misi itu lagi.

Aku terdiam. Aku hentikan tangisan dan esakan, terus aku
berasa satu keredaan untuk melepaskan emak pergi mengadap
Ilahi. Aku reda melepaskan. Emak milik Allah SWT.

Memang betullah suasana semasa emak menghembuskan
nafas terakhir. Aku terasa ada satu cahaya menerangi jenazah emak,
seolah-olah berada di alam lain. Rupa-rupanya misi di situ pun
nampak kejadian tadi. Aku sangka aku di alam mimpi tetapi rupa-
rupanya benar. Aku selalu mendengar cerita jenazah bercahaya.
Sesungguhnya ya Allah, emak insan terpilih.

Emak.. pergimu dikenang orang

Aku selalu mendengar orang kampung, kawan-kawan emak
menyebut nama emak, “Semasa emak kau ada…kenduri acik ni pagi-
pagi mak kau dah datang tolong…jam 4.00 pagi emak kau dah ketuk
rumah acik ajak masak.” Allahu. Itu baru satu amalan emak, tidak
lokek berkongsi resipi masakan.

Patutlah aku selalu dengar di majlis-majlis keramaian. “Ini
Dak Siah masak memang sedap,” nama panggilan emak, Asiah. Jika
di majlis gotong-royong Maulidur Rasul, di surau waima di sekolah
anak-anak, emak selalu ke hadapan mengetuai menyediakan
masakan tanpa mengira penat lela

HIKMAH Saat Aku Diuji 111

Aku mencari kebaikan dan amalan Emak semasa hidupnya.
Ini rupa-rupanya kebaikan dan amalan emak:

• Sedekah dari segi duit, ilmu, kasih sayang.
• Ringan tulang.
• Tidak banyak mulut.
• Elakkan diri daripada mengumpat.
• Ahli surau (berlari-lari ke surau).
• Mengaji tanpa jemu bersama orang kampung (ada ustaz

yang mengajar).
• Sentiasa menghadiri jemputan majlis orang (wajib bagi

emak).
• Tidak pernah mengambil/membungkus makanan.
• Tidak berkira tentang duit, rupa-rupanya ramai yang

datang membayar hutang. Subhanallah, Abah pun tidak
tahu Emak memberi pinjam duit.
• Suka masak dan menjamu tanpa kenal penat, janji orang
bahagia.
• Tidak pernah berhutang.
• Belajar menjadi bilal perempuan dan selalu berkongsi
kebaikan orang lain.

Setelah Emak ke negeri abadi, Abah dan kami adik beradik
sentiasa mengingati Emak dalam apa jua situasi. Kami jaga Abah
seperti menatang minyak yang penuh supaya Abah tetap bahagia
dan tidak terasa kosong tanpa Emak. Kami menghidupkan rumah
peninggalan Emak, bergotong-royong mengemas. Kami masih
menyimpan lagi barang, baju dan mengekalkan situasi di dalam
rumah seperti Emak masih ada.

Semua kenangan Emak kami simpan rapat-rapat dalam hati.
Setiap pesanan Emak, kami ingat, setiap ajaran Emak kami amalkan.
Kami terus menjalani kehidupan walaupun tanpa Emak. Selalu
Emak bercakap ‘apa orang akan buat pada anak-anak Emak kalau
Emak sudah tidak ada nanti’. Allahu. Sejujurnya, manusia sekeliling

112 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

mereka mementingkan diri sendiri. Mengambil kesempatan di kala
kami bergelar yatim. Allah kan ada. Walau besar mana pun ujian yang
diberikan, Allah tahu kami mampu mengharungi walaupun tanpa
Emak. Kami tetap bersama saling menyayangi. Abah hero kami.
Semoga Allah panjangkan umur Abah, murahkan rezeki, memberi
rahmat dan kasih sayang pada Abah. Amin. ‘Sesungguhnya janji
Allah SWT itu Pasti’.

Kehilangan Adalah Satu Keperitan

“Siapa pun yang kehilangan sesuatu yang mereka fikir milik
mereka selamanya, akhirnya menyedari bahawa tidak ada yang
benar-benar milik mereka.” - Paulo Coelho

Kehilangan Emak tersayang membuatkan diri ini terduduk
dan termenung memikirkan betapa hebat takdir yang ditentukan
Tuhan. Malah, perkara yang tidak tersangka-sangka ini ibarat berasa
hidup ini tiada makna. Kehilangan bukan perkara yang dapat diduga
apatah lagi diri sendiri yang akan menghadapinya. 

Bukan mudah menghadapi hakikat suatu kehilangan, malah
betapa perit pun perlu dilalui saat itu. 

Sebenarnya, kehilangan itu bukan sia-sia. Betapa banyak
nikmat Tuhan yang mengajar kita bahawa kehilangan itu bukan
merugikan malah menguntungkan kerana ia mengajar erti nikmat
syukur dan kekuatan. Ada sebab di sebalik ujian Tuhan. Ada nilai di
sebalik air mata yang mengalir. Ada pahala di sebalik musibah yang
berlaku. 

Kesat air matamu dan tepiskan segala keluh kesahmu.
Senyumlah, ada khabar gembira daripada Tuhan yang menunggumu
di hadapan.

Apabila menghadapi situasi kematian, akan selalu teringat
situasi yang sama semasa Emak pergi meninggalkan kami. Aku

HIKMAH Saat Aku Diuji 113

tanam seelok-eloknya di dalam hati. Segala-galanya milik Allah,
tiada satu pun kepunyaan kita akan kekal dan kita juga akan pergi
menghadap Ilahi apabila tiba masanya nanti. Aku dengan sepenuh
hati meyakini perjalanan hidup ini sudah diaturkan oleh Allah Taala.

Ada dua kemungkinan ketika kita dipisahkan dengan orang
yang kita sayangi

Pertama, kehidupan kita akan digantikan dengan yang lebih baik.

Kedua, kehidupan kita akan menjadi yang lebih baik dan
tidak tersangka.

Terima kasih Allah. Aku banyak berubah dan berusaha menjadi
hamba-Mu yang sempurna di mata-Mu. Aku berubah kerana-Mu ya
Allah. Setiap perjalanan hidup seharian kuserah kepada-Mu kerana
aku tahu Kau sebaik-baik Perancang, Kau sebaik-baik Pemberi, Kau
segala-galanya Sang Pencipta.

Bagaimana aku mengawal emosi dan perasaan atas
kehilangan ini?

Perasaan setiap orang adalah unik.

• Mencari sokongan

Ia sangat penting untuk anda tahu bahawa adanya orang
yang sentiasa di sisi sewaktu anda memerlukan sokongan. Ia sangat
membantu apabila anda bercakap dengan kawan, ahli keluarga,
kaunselor, kawan-kawan serta cadangan yang bagus kerana setiap
orang boleh mengaitkan apa yang anda rasa dalam bentuk yang
pelbagai.

• Bersabar

Proses penyembuhan sememangnya mengambil masa.

114 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

Memang susah untuk membuat keputusan sewaktu anda kehilangan
seseorang. Sebaiknya tangguhkan dahulu keputusan penting yang
perlu dibuat sehinggalah anda benar-benar bersedia.

• Sedar diri

Hayati setiap detik yang datang, supaya anda boleh menerima
kebenaran yang pahit dan mampu untuk memberi respons yang
membantu diri anda sendiri. Sentiasa berzikir boleh membantu
anda untuk sedar diri dan melahirkan emosi dengan baik tanpa
berlebih-lebih.

• Lahirkan perasaan anda

Mengakui apa yang anda alami sememangnya banyak
membantu, anda boleh memilih untuk menceritakan pada orang
lain apa yang anda rasa atau menerimanya secara peribadi sahaja.

• Benarkan diri anda untuk bergembira

Gelak tawa adalah penawar duka tetapi tidak salah untuk
anda menangis. Cubalah sertai sebanyak mungkin aktiviti sosial.

• Jaga diri anda

Amalkan rutin hidup yang sihat, makan sebaik mungkin.
Bersenam jika mampu. Elakkan alkohol dan dadah kerana semua
itu hanya menyusahkan lagi anda untuk melepaskan kesedihan di
dalam hati.

Doaku ya Allah…

“Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua orang tuaku
dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak
kecil.” Aku sedekahkan setiap amalan baikku di dunia ini kepada
kedua-dua ibu bapaku. Engkau tempatkan mereka di syurga

HIKMAH Saat Aku Diuji 115

Firdausi. Amin ya Allah.
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua
ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa
berlakunya hitungan amal dan pembalasan.“
(Surah Ibrahim Ayat 41)
Emak…rinduku padamu tiada berpenghujung…..
Mohon sedekahkan al-Fatihah buat bondaku yang tercinta.

116 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

Impian Tercapai 117
GARA-GARA
COVID-19

AZURA BINTI HITAM

Dengan cermat Ila menutup daun pintu bilik tidur mereka dan dia
berjalan perlahan-lahan menuju ke suaminya yang duduk di atas
katil. Hatinya gelisah dan sedih melihatkan keadaan suaminya yang
tidak ceria seperti biasa. Farid mengangkat kepala dan menatap
wajah isterinya. Jelas kelihatan air matanya bertakung. Ila terus
duduk di sisi Farid dan dia memegang tangan suami yang sedang
sugul itu.

“Sayang, maafkan abang,” tersekat-sekat suara Farid. Ila hanya
berdiam diri sambil menunggu apa yang bakal diluahkan oleh
suaminya. Farid menarik nafas panjang “Abang dah tidak ada kerja
sayang,” ratapnya di bahu Ila.

Astaghfirullah. Ila merasakan dunianya gelap sebentar,
jantungnya berdegup kencang. Mana mungkin Farid dibuang kerja
begitu sahaja. Syarikat tempat Farid bekerja itu syarikat gergasi dan
gah di seluruh pelusuk Asia. Gajinya pun hampir mencecah lima
angka. Farid pengurus specialist dalam bidang pengurusan makanan
bagi bekalan kepada industri penerbangan.

Ila membiarkan sahaja suaminya menangis teresak-esak di
bahunya. Pada masa yang sama, Ila perlu mengumpulkan kekuatan
mentalnya untuk berfikir dengan tenang dan meyakinkan dirinya
yang kesulitan ini boleh dihadapi oleh mereka.

HIKMAH Saat Aku Diuji

Allah menguji hamba-Nya mengikut kekuatan yang mampu
diharungi oleh mereka. “Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah kepada kami
kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” Ila berserah kepada-Nya.

Dengan perlahan Ila berkata, “Abang, tidak mengapa Abang,
syukur alhamdulillah, kita diberikan kesempurnaan fizikal dan mental
oleh-Nya, kita akan ikhtiar dengan segala apa yang kita mampu
untuk hadapi semua ini. Ila akan sentiasa ada bersama abang.”

Farid semakin tenang. Ditatap wajah isterinya dengan penuh
kasih sayang. “Terima kasih sayang,” ucapnya ringkas.

Seminggu telah berlalu. Farid masih tidak dapat menerima
hakikat bahawa dia sudah tidak mempunyai pekerjaan setelah
ditamatkan perkhidmatannya. Kesihatannya mula terganggu. Ila
tahu bahawa dia tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan.
Mujurlah mereka bukan jenis pasangan yang hidup bermewah dan
sentiasa beringat untuk menabung bagi kegunaan masa hadapan.

Pada malam itu, Ila mencongak-congak perbelanjaan yang
perlu dikeluarkan setiap bulan dan pendapatan yang perlu diraih
untuk meneruskan kehidupan di kota raya. Menurut suaminya,
peluangnya untuk mendapat pekerjaan semula agak tipis. Dia hanya
akan diambil bekerja semula sekiranya ekonomi pulih dan industri
penerbangan dan pelancongan aktif semula.

Ila meneliti semula satu per satu perbelanjaan bulanan dan
cuba memotong perbelanjaan bagi perkara yang bukan menjadi
keperluan. Perkiraan dibuat semula untuk melihat perbelanjaan asas
yang perlu dikeluarkan setiap bulan.

Setelah agak selesa dengan pendapatan yang perlu diraih,
Ila mula memikirkan kemungkinan pekerjaan atau perniagaan yang
boleh dibuat bagi meringankan beban suaminya. Ila seorang yang
mempunyai bakat memasak. Semasa dia bekerja dahulu, sering kali

118 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

juga Ila memasak nasi lemak daun pisang bersama sayur kangkung
celur dan kacang goreng untuk menjamu rakan-rakan sepejabatnya.
Ila juga rajin mencuba resipi kuih-muih tradisional dan moden untuk
menjamu rakan-rakannya. Selain itu, Ila juga pandai memasak
masakan asli Kelantan seperti nasi berlauk, nasi dagang dan nasi
kerabu serta kuih jala mas.

Sememangnya sudah sekian lama Ila menyuarakan hasratnya
untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan semasa dia berhenti
kerja dahulu tetapi tidak diendahkan oleh Farid. Suaminya mahu
Ila menumpukan sepenuh perhatian terhadap anak mereka dan
menguruskan rumah tangga.

Ila merupakan seorang isteri dan ibu yang ceria. Kehadiran
cahaya mata tiga bulan yang lepas dalam rumah tangga yang dibina
selama lebih tiga tahun telah menyerikan lagi kehidupan keluarga
kecilnya. Kesukaran untuk mendapatkan penjaga telah membuatkan
dia meninggalkan pekerjaannya sebagai pembantu akauntan.

Suaminya agak skeptikal apabila Ila menyuarakan hasratnya
untuk berniaga kecil-kecilan memandangkan Ila tidak pernah
langsung terlibat dalam perniagaan sebelum ini. Farid tidak pernah
lupa menghulurkan wang perbelanjaan bulanan yang agak lumayan
untuk isterinya memanjakan diri dengan membeli-belah. Syukur
alhamdulillah, dikurniakan rezeki dengan mempunyai seorang
suami yang penyayang dan bertanggungjawab.

Selepas solat isyak pada malam itu, Ila berdoa memohon
kepada-Nya supaya dipermudahkan semua urusan keluarganya dan
dimurahkan rezeki untuk meneruskan kehidupannya sekeluarga.
Tidak mengapalah sekiranya dia tidak lagi dapat mengecapi
kemewahan selama ini seperti bercuti ke luar negara, namun dia
mengharapkan ilhamnya untuk berniaga itu akan membantu mereka
sekeluarga untuk menjalani kehidupan pada masa masyarakat
seluruh dunia sedang diuji dengan pandemik ini.

HIKMAH Saat Aku Diuji 119

Dia juga berdoa agar Farid bersetuju dengan cadangannya
untuk berniaga dan merestui niatnya itu. Ila percaya, restu seorang
suami amat penting bagi seorang isteri dalam melakukan apa juga
urusan.

Sedang Ila melipat telekungnya, Farid masuk ke bilik. Anak
mereka telah lama dibuai mimpi dalam katil baby di sebelah katil
mereka. Farid bersandar di katil sambil membuka TV di hadapannya.

Ila kemudiannya bersuara, “Abang, Ila rasa kita tidak boleh lagi
murung macam ini. Kita kena cari jalan mencari pendapatan untuk
menampung simpanan kita. Lagipun, kita tidak tahu bila ekonomi
akan pulih dan abang boleh masuk kerja semula.’’

Farid hanya berdiam diri. Ila menyambung, “Abang ingat tak
dulu Ila pernah minta izin Abang untuk cuba berniaga kecil-kecilan
kan? Kawan-kawan Ila di ofis suka makan masakan Ila. Apa kata
kalau kita cuba berniaga nasi lemak? Kita buat kecil-kecilan, guna
whatsapp, guna facebook...kita hebahkan kepada kawan-kawan
kita. Modal bolehlah kita guna duit simpanan, kita test market, kita
ambil preorder sahaja dahulu, kita deliver sendiri pagi-pagi untuk
sarapan. Untuk makan tengah hari kita buat sejenis saja, nasi minyak.
Ila sudah kira kalau kita boleh dapat untung bersih RM150.00 sehari
sudah lepaslah keperluan asas kita.”

Farid masih berdiam diri. Kemudian, dia bersuara, “Sayang
tahu kan Abang memang tidak ada ilmu dan kepakaran untuk buat
bisnes ini. Tapi, dalam keadaan macam ini, nampaknya kita tidak ada
pilihan. Okeylah, jom kita cuba. Ila buatlah apa yang Ila rasa patut,
Abang akan sentiasa sokong dan tolong Ila. Kalau Ila yakin, Insya-
Allah Abang okey.”

“Alhamdulilah, terima kasih Abang. Eloklah hari ini, hari
sabtu, kita cuba iklan dan ambil order dahulu di fb, whatsapp
dan Instagram. Ila pun tidak boleh ambil banyak-banyak. Ikut
kemampuan Ila dan capai target kita. “

120 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

“Kak Ila, Puan Zainon datang nak ambil nasi lemak dia 100
bungkus,” beritahu Junaidah, pembantu Ila yang setia. Ila terhenti
daripada lamunan, mengimbas kenangan lalu semasa dia mula-
mula menceburkan diri dalam perniagaan secara terpaksa ini.

Syukur alhamdulillah, perniagaan Ila yang sudah mencecah
setahun ini telah berkembang dengan cepat. Tempahan yang
dibuka pada awal perniagaan telah mendapat sokongan rakan-
rakan sepejabat Ila dan Farid, rakan-rakan rapat, jiran-jiran dan
komuniti tempat tinggal mereka. Keenakan masakan dengan harga
yang berpatutan, lama-kelamaan menjadi bualan dan semakin lama
tempahan semakin banyak.

Ila juga merasakan Allah sentiasa menolongnya. Pada saat
beliau mendapat tempahan yang cukup banyak dan tidak mampu
melakukannya berseorangan, dia mendapat bantuan seorang
pengusaha dobi, Junaidah yang terpaksa menjual perniagaan dobinya
akibat pandemik. Ila dan Farid adalah pelanggan tetap Junaidah
sebelum ini. Junaidah juga mempunyai kepakaran memasak
dan teliti dalam penyediaan makanan. Farid pula rancak dengan
tugasannya untuk menyediakan packaging yang lebih menarik dan
sentiasa membuat penyelidikan untuk meluaskan pasarannya.

Kini, Ila telah mampu menyewa sebuah kedai kecil untuk
dijadikan tempat penyediaan makanan. Satu ruangan kecil di kedai
itu disediakan sebagai tempat rehat dan tempat anaknya bermain.
Setakat ini, konsep penjualannya adalah pick up atau delivery sahaja.
Semakin hari rezekinya semakin bertambah kerana pelanggannya
telah berkembang daripada rakan taulan yang pada mulanya hanya
menyokong dia dan suaminya. Kini kiosknya itu telah mendapat
tempat di hati masyarakat setempat. Pelanggan tetapnya juga
ramai. Ada juga yang menempah dalam kuantiti yang banyak untuk
bersedekah dan untuk menjamu keluarga, rakan-rakan dan sanak-
saudara.

HIKMAH Saat Aku Diuji 121

Ila dan Farid kini semakin bahagia kerana mereka telah
meraih pendapatan yang amat selesa dan mampu pula memberi
pendapatan kepada kenalan mereka yang telah hilang pekerjaan.
Memang Ila tidak menyangka, hasratnya selama ini untuk berniaga
secara kecil-kecilan atas sebab minat dan mahukan lebih ramai
orang menikmati keenakan masakannya amat berbaloi.

Ila sentiasa yakin, penyediaan makanan yang bersih, tertib,
teliti dan enak amat penting untuk dijadikan santapan. Konsepnya
mudah iaitu dia perlu menyantuni sesiapa yang merasai masakannya
dengan menyediakan masakan yang enak dan dibuat dengan hati
yang ikhlas, bukannya untuk meraih keuntungan semata-mata. Ila
amat berpuas hati kerana hasil masakannya yang selalu dikatakan
sebagai signature dish oleh rakan-rakannya dapat dinikmati oleh
lebih ramai orang.

Ila juga bersyukur kerana dia dan Farid tidak bersendirian
dalam menghadapi ujian ini. Dia sedar, dia mempunyai sistem
sokongan yang cukup baik, membantunya mencapai kejayaan
sehingga ke tahap ini. Ramai yang menyokong jualannya melalui
pelbagai cara pada awal penglibatannya dalam bisnes ini.

Kini, dia dan Farid tidak rungsing lagi. Mereka akan terus
bergerak dan memikirkan cara untuk memajukan lagi perniagaan.
Betullah kata orang, pekerjaan yang paling menyeronokkan adalah
pekerjaan yang dibuat kerana minat dan hobi.

Ila memang suka memasak. Memasak menenangkan
jiwanya, malah dapat menguji kemahiran, kesabaran dan daya
kreativitinya. Pada asalnya, Ila agak kecewa kerana tidak dapat
meneruskan cita-citanya untuk berkecimpung dalam bidang ini
setelah dia mendirikan rumah tangga. Namun Allah sebaik-baik
perancang. Pandemik Covid-19 ini telah membuka ruang kepada
Ila untuk menjana pendapatan yang lumayan melalui bidang yang
diminatinya. Impiannya telah menjadi kenyataan dek pandemik
Covid-19!

122 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

DUGAAN DAN
RAHMAT AFIERA

NUREEN ASHYIKIN BINTI ABAS

Tengah hari itU, Alfiera dan keluarganya sampai di Banting untuk
mengambil stok kerepek yang sudah dipesannya. Suaminya,
Johan pula telah merancang untuk membawa anak-anak mereka
singgah sebentar di Pantai Morib selepas Alfiera selesai urusannya.
Perjalanan hanya mengambil masa setengah jam. Sampai sahaja
di pantai Morib mereka makan tengah hari di medan selera. Alfiera
mengambil telefon bimbitnya dan mengimbas kod Quick Response
(QR) MySejahtera. Mereka menjaga Standard Operating Prosedur
(SOP) sebelum dan selepas keluar dari kedai makan tersebut.

Pada malam itu, ketika Alfiera sedang mengemas dapur
selepas makan malam, suaminya memberitahu status risiko
MySejahteranya sudah bertukar menjadi kontak kasual berwarna
kuning. Johan hairan bagaimana keadaan tersebut boleh terjadi.

Mereka berdua berpandangan dan dalam kepala ligat berfikir
di mana tempat yang mereka singgah di Banting siang tadi yang
telah dijangkiti Covid itu.

Dan sejak malam itu, bermulalah cerita Covid...

Kisah itu bermula pada 14 Mac 2021. Seawal pagi, Alfiera sudah
membuka aplikasi MySejahtera dan melihat paparan skrin Borang
Pengisytiharan Kesihatan Kendiri. Alfiera mesti mengisytiharkan atau
mengemas kini kesihatan kendiri setiap hari andai terdapat gejala
atau simptom seperti demam, batuk, sakit tekak dan selesema.

HIKMAH Saat Aku Diuji 123

Pada permulaan, kesihatan kendiri Alfiera baik dan sihat. Alfiera
menjalankan kehidupannya seperti biasa.

Namun beberapa hari kemudian keadaan kesihatan Alfiera
tidak berapa baik, badannya terasa sangat lemah, sakit kepala yang
amat sangat, selesema, sakit tekak dan batuk

24 Mac 2021

Hari ini, Alfiera tidak ke pejabat kerana bekerja dari
rumah (BDR). Seperti biasa setiap pagi, dia akan mengemas kini
pengisytiharan kesihatan kendirinya di aplikasi MySejahtera. Apabila
dia membuka profile status risikonya, Alfiera melihat status risikonya
telah bertukar dari kasual kontak menjadi kes suspek dan ia berwarna
oren. Alfiera sangat terkejut dan panik terus dia menelefon suaminya.

Hati Alfiera berdebar-debar menunggu Johan menjawab
panggilan telefonnya dan apabila suaminya menjawab salamnya, dia
terus memberitahu keadaan dirinya.

“MySejahtera status risiko sayang sudah bertukar jadi kes
suspek. Kena telefon dan pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk
buat swab test,” beritahunya kepada suami.

Sejurus selepas mematikan panggilan telefon itu, Alfera
pantas membuat panggilan ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk
bertanya kepada pihak klinik dan memaklumkan kesnya.

Alfiera dirujuk kepada pegawai yang bertanggungjawab.“Puan
Afiera, Puan dikehendaki datang untuk menjalani swab test dalam
masa terdekat ini ya. Saya akan buat temu janji Puan Afiera untuk
datang ke klinik pada 26 Mac 10.00 pagi ya sebab untuk tarikh esok,
25 Mac sudah penuh. Minta maaf ya Puan Afiera. Buat sementara ini
Puan jangan keluar ke mana-mana, duduk di rumah sahaja ya.”

Alfiera berulang kali melihat profile status risiko MySejahtera

124 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

di telefon bimbit itu yang kini telah bertukar menjadi kes suspek.

“Tak kan aku positif Covid-19. Aduhai …,” Alfiera bermonolog.

Alfiera tiba di klinik untuk temu janji swab test yang telah
ditetapkan. Dia bergerak ke khemah yang telah disediakan di tepi
klinik kesihatan tersebut. Kelihatan beberapa orang yang telah tiba
lebih awal. Alfiera mengambil tempat duduk yang telah disediakan
sementara menunggu staf dan pegawai menjalankan tanggungjawab
mereka.

Petugas telah siap memakai uniform Personal Protective
Equipment (PPE) sepenuhnya dan bersiap sedia untuk menjalankan
swab test dengan kadar segera.

Alfiera berjalan ke meja hadapan apabila namanya, Naylie
Afiera binti Arif dipanggil. Terus jantungnya berdegup kencang dan
hatinya berdebar-debar sementara beratur menunggu giliran. Tiba
gilirannya untuk menjalani swab test tersebut, Alfiera duduk dan
mendongakkan kepalanya. Petugas sudah bersedia dengan spatula
dan dimulakan dengan hidungnya dahulu. Kemudian sampel air
liur di tekak pula diambil. Setelah selesai membuat ujian itu, dia
terus meninggalkan khemah dan berjalan pantas menuju ke kereta
suaminya yang sedang menunggu untuk segera pulang ke rumah.

28 Mac 2021

Ada pesanan ringkas dari pejabat kesihatan. Jantungnya
berdegup laju. Dia membaca satu persat.

Naylie Afiera binti Arif,

Keputusan sampel untuk COVID-19 puan adalah POSITIF.

Puan diminta hadir ke COVID-19 Assessment Center (CAC)
pada 31 Mac 2021.

HIKMAH Saat Aku Diuji 125

“Ya Allah Abang…keputusan Covid-19 sayang POSITIF, macam
mana ni?”

Mereka terkejut dengan keputusan itu. Air mata Alfiera
mengalir deras setelah membaca pesanan ringkas tersebut dan terus
mendail nombor telefon ibunya di kampung untuk memaklumkan
hal tersebut.

Pada hari yang dijanjikan, Alfiera sekeluarga tiba di pekarangan
parkir kereta di Covid Assessment Center (CAC). Dia berjalan laju ke
pintu masuk kerana memikirkan dia sudah terlambat. Pada sebelah
paginya tadi, dia terlebih dahulu menguruskan swab test suami dan
anak-anaknya di klinik kesihatan. Letihnya bukan kepalang kerana
perlu bergegas ke sini sebelum tempat ini ditutup pada pukul 12.30
tengah hari.

Alfiera terus pergi ke kaunter hadapan untuk urusan
pendaftaran dan seterusnya ke kaunter saringan kesihatan sebelum
ke kaunter terakhir untuk berjumpa dengan pegawai perubatan.

Akhirnya dia dinasihati oleh pegawai perubatan untuk
menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah
memandangkan dia masih mengalami gejala ringan peringkat 1
pada ketika itu. Dia tidak boleh menjalani kuarantin di rumah kerana
dikhuatiri akan menjangkiti suami dan anak-anaknya kerana mereka
masih belum mengetahui keputusan sama ada positif ataupun
negatif.

Alfiera tertunduk pasrah dan sugul ketika itu kerana harus
berpisah buat sementara, meninggalkan anak istimewanya, Fayad
dan Nadhia, anak kecil bongsunya. Pegawai perubatan memintanya
menunggu di bilik yang telah disediakan untuk dibawa mengikut
giliran ke Pusat Rawatan Berisiko Rendah dengan menaiki bas.

Suaminya akur dengan keputusan itu dan telah menyerahkan

126 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

beg yang berisi baju dan segala keperluan untuk kelengkapannya
di sana nanti. Dia melangkah lemah masuk ke bilik yang telah
disediakan dan terus menanti, mengikut giliran nama yang telah
ditetapkan.

31 Mac 2021

Perjalanan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko
Rendah COVID-19 terasa lama dan masing-masing kelihatan terlalu
penat kerana hampir setengah hari menghabiskan masa di CAC.
Mereka beratur dengan beg pakaian di kaunter pendaftaran untuk
mengambil saringan kesihatan dan nama wad bilik serta nombor
katil yang telah ditetapkan.

Alfiera ditetapkan di Wad Bilik Exora 4, katil 20. Suasana di
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisko Rendah COVID-19 ini agak
tenang. Terdapat tiga buah bilik yang sangat besar, menempatkan
banyak katil double decker untuk pesakit yang berisiko rendah
sepertinya. Terdapat juga kemudahan seperti bilik gimnasium kecil
dan dua buah bilik menempatkan dua buah televisyen, setiap satu
untuk menonton cerita atau filem kegemaran. Alfiera berbaring di
katilnya, terasa penat dan lapar sekali.

Tiba-tiba kedengaran bunyi troli yang menandakan makanan
untuk makan malam sudah sampai. Staf yang bertugas telah
mengagihkan makanan tersebut kepada semua pesakit.

“Nasi ayam, ermm… sedapnya. Lapar betul aku ni,” bisiknya
apabila membuka bekas makanan tersebut. Hampir setengah hari,
Alfiera tidak sempat mengambil makanan berat… hanya menjamah
biskut dan roti sebagai alas perut. Itu pun dimakan ketika dalam
kereta semasa perjalanan ke CAC tengah hari tadi. Dia makan dengan
begitu berselera. Dia mendapat tahu pesakit akan dibekalkan
makanan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan
makan malam.

HIKMAH Saat Aku Diuji 127

Alfiera juga ada membawa makanan ringan dari rumah,
untuk alas perut jika dia terasa lapar pada waktu malam. Makanan
malam tiba pada pukul 6.00 petang. Selepas selesai makan, dia
bergegas ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersiap sedia
untuk menunaikan solat maghrib dan solat isyak selepas itu.

Selesai solat isyak, dia kembali ke katilnya. Lampu dalam
bilik wad tersebut kebanyakannya telah ditutup. Pesakit yang
lain telah berbaring di katil masing-masing. Begitu juga Alfiera,
sebelum melelapkan mata, dia berbual sebentar di WhatsApps
dengan Johan bertanyakan khabar dan situasinya serta anak-anak
di rumah. Akhirnya dia tertidur kerana hampir seharian kepenatan
menguruskan hal keluarga dan dirinya sendiri.

2 April 2021

Alfiera mendapat tahu melalui mesej dari pejabat kesihatan
daerah keputusan swab test suami dan anak-anaknya adalah negatif.
Mereka tidak dijangkiti COVID-19. “Allahu, syukur alhamdulillah.
Terima kasih Allah telah melindungi suami dan anak- anakku, ya
Allah.”

Kemudian Alfiera membaca pesanan di WhatApps Grup
pejabatnya. Dia terkejut apabila ada yang mengucapkan tahniah
kepadanya kerana telah mendapat kenaikan pangkat dalam jawatan
grednya dan perlu bertukar ke bahagian yang telah ditetapkan oleh
bahagian sumber manusia di pejabatnya.

“Allahuakbar… betulkah apa yang aku baca ini?”

“Syukur alhamdulilah, rezeki anak-anak dan keluarga aku.”
Jatuh juga air matanya, rasa terharu dengan rezeki itu.

“Semua yang berlaku kebelakangan ini ada hikmah di
sebaliknya,” bisik hati Alfiera. Dia terus menelefon suaminya
untuk berkongsi berita gembira itu dan Alfiera juga tidak lupa

128 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

memberitahu ibunya di kampung dan adik-beradiknya yang lain
dengan menghantar teks di WhatsApps grup mereka.

Hari ini, 5 April 2021, Alfiera dijadualkan didiscaj daripada
pusat kuarantin tersebut setelah membaca senarai jadual nama
yang dikeluarkan oleh pegawai perubatan malam tadi. Dia telah
diperiksa dan telah sembuh daripada gejala atau simptom yang
telah dialaminya sebelum ini.

Baki mi goreng segera dihabiskan. Rasa tidak sabar untuk
pulang berjumpa dengan suami dan anaknya. Dia telah bersiap awal
dan hanya menunggu namanya dipanggil oleh petugas perubatan
untuk beratur mengambil giliran di kaunter discaj. Gelang di
tangannya akan dipotong sebelum dia didiscaj dari pusat kuarantin
tersebut.

Alfiera dan pesakit lain beratur di hadapan lif setelah gelang
putih di tangan dipotong. Keluar dari lif, kelihatan bas telah siap
menunggu untuk mengambil Alfiera dan pesakit lain. Mereka
akan diturunkan di tempat yang telah ditetapkan untuk keluarga
mengambil mereka pulang ke rumah.

Setelah sampai di tempat tersebut, suaminya sudah sampai,
dia berlari mendapatkan mereka dan memeluk erat anak-anaknya
untuk menghilangkan rindunya. Dia menangis dengan penuh rasa
syahdu dan menadahkan tangan mengucapkan rasa syukur.

“Terima kasih ya Allah atas segala rahmat-Mu, syukur
alhamdulillah,” ucapnya dengan air mata yang berjurai di pipi.

HIKMAH Saat Aku Diuji 129

AIDILFITRI
KETUJUH

SITI NURAFIZAH BINTI MOHD ZAM
ZAM &
MUHAMMAD AINUR ROBBANI
NASOHAH

Aidilfitri pada kali ini seperti hilang maknanya buat keluarga Rosli.
Sebuah pemergian yang masih kukuh dalam ingatan. Belum
separuh purnama umat Islam menunaikan fardu Ramadan, isterinya,
Natasha pergi meninggalkan semua buat selama-lamanya. Pergi
yang tidak akan kembali lagi.

Anak sulung Rosli yang berusia empat tahun Jasmine, masih
belum mengerti makna kematian. Jasmine masih mentah ketika
kehilangan itu menjengah hidupnya. Ibunya kini tiada lagi di dunia
fana ini. Nyawanya diragut wabak pandemik Covid-19 yang semakin
parah menular.

Pada tahun ini, keluarga Rosli bakal meraikan Hari Raya
Aidilfitri kelima buat mereka empat beranak. Rosli berusia dalam
lingkungan 30-an, bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.
Dia diberhentikan kerja sebagai kerani di sebuah kilang syarikat
perusahaan sarung tangan getah di ibu kota selepas berlakunya
pandemik Covid-19 yang mencengkam ekonomi negara. Anak
perempuan sulungnya Jasmine, baru berumur empat tahun, tetapi
sudah pandai membaca dan petah berkata-kata. Noah pula, anak
lelakinya yang paling kecil, baru berusia dua tahun.

Sementara Natasha pula, berumur hampir 30-an berkhidmat

130 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

sebagai guru subjek Matematik di sebuah Sekolah Menengah
di Kuala Lumpur. Mereka menetap di pinggir kota raya dengan
menyewa sebuah rumah flat kos rendah yang berkeluasan 780 kaki
persegi kerana kos sewa rumah di bandar jauh berbeza berbanding
pendapatan isi rumah mereka yang baru setahun jagung bertapak.
Walaupun tempat tinggal hanya satu bilik kelamin dengan ruang
tamu dan dapur yang sederhana, mereka sekeluarga bersyukur atas
nikmat kurniaan Ilahi.

Tinggal dua hari sahaja lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri,
Natasha tekun menceraikan daun palas dengan melebarkan setiap
helaian daun untuk dijadikan hidangan juadah hari raya sekeluarga
nanti. Daun palas sememangnya payah didapati apatah lagi di
tengah-tengah bandar metropolitan ini. Harganya agak mahal, boleh
menjangkau RM4.00 seikat. Setiap tahun apabila tiba hari lebaran,
Natasha akan mempersiapkan juadah hari raya dengan membeli
daun palas di Pasar Chow Kit yang bersaiz sederhana, panjang lebih
kurang 60 hingga 80 sentimeter. Tidak terlalu panjang, tidak terlalu
pendek.

Natasha terkenang celoteh slanga utara arwah ibu mertuanya
yang meninggal dunia disebabkan penyakit kencing manis baru-
baru ini. “Suami hang tu kalau raya, dia suka makan ketupat palas,
pi la cari daun palas yang comei-comei. Hang pilih la daun yang
gemuk-gemuk, tak usah ambil yang kuruih kedengkiang, sat lagi
sudah bubuh pulut nak ikat payah,“ pesan arwah mak mertuanya.

Ketika sedang sibuk menyiapkan daun palas itu, Natasha
menerima panggilan telefon.

“Nama saya Hartini, MA dari Covid Assessment Centre (CAC)
Titiwangsa Kuala Lumpur. Boleh saya bercakap sebentar puan?”

“Alamak, ujian apa pula yang datang ini?” soal Natasha dalam
hatinya apabila pembantu perubatan itu menghubunginya.

HIKMAH Saat Aku Diuji 131

“Ya boleh puan, silakan puan bercakap,” jawab Natasha
selepas hampir tiga detik mendiamkan diri memikirkan musibah
yang bakal mendatang.

“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa rakan sekerja puan,
Encik Haris telah dijangkiti wabak Covid-19 varian Delta tiga hari yang
lalu. Oleh itu, pihak kami sedang memeriksa semula kontak rapat
pesakit ini bagi mengenal pasti penularan wabak ini. Bolehkah puan
hadir ke CAC Titiwangsa esok untuk pemeriksaan?” jelas pembantu
perubatan itu..

“Allah, betulkah? Baik esok saya akan usahakan hadir ke
sana,” ujar Natasha memberi respon walaupun hatinya berat untuk
bersetuju.
“Terima kasih ya puan, esok jangan lupa bawa kad pengenalan dan
memakai pelitup muka ya,” pesan pembantu perubatan itu lagi..

“Insya-Allah, sama-sama,” balas Natasha sebelum mematikan
panggilan.

Natasha masih terkedu selepas menerima panggilan itu.
Fikirannya kusut berbaur sedih memikirkan nasib keluarga apabila
dia menerima panggilan tadi. Natasha mengelamun jauh sambil
kedua-dua tanganya menyisir perlahan dan memotong daun palas
hampir sebakul di hadapannya. Dia merasakan dirinya seperti burung
jampuk kesiangan, dirahap kain yang basah, jikalau di hulu airnya
keruh, tidak dapat tidak di hilirnya keruh juga.

Rosli baru sahaja pulang setelah separuh hari bekerja
menghantar makanan yang dipesan kepada pelanggannya
menerusi aplikasi Grabfood. Hampir setahun Rosli bergiat secara
sambilan sebagai penghantar makanan. Peluang pekerjaan pada
masa norma baharu ini amat sukar untuk diperolehi. Rosli masuk ke
rumah dengan menolak daun pintu seraya memberi salam namun
dia menyedari sapaannya tidak dijawab oleh isterinya yang kelihatan
sedang mengelamun sambil memotong daun palas .

132 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

Lantas Rosli mendekati dan merangkul lengan Natasha
sambil tersenyum. “Jauh betul ayang termenung, sampai tembus
dinding rumah kita, fikirkan apa tu sayang?” seloroh Rosli sambil
memcuba untuk berjenaka walaupun tidak berapa lucu.

“Ala abang ni, ayang tengah fikir macam-macam ni,” jawab
Natasha dengan nada separa terkejut dan gembira atas kepulangan
suaminya.

“Barang yang saya pesan abang ada belikah?”

“Ada, ada atas meja sana abang letak,” ujar Rosli

“Ayang ada masalah apa? Tengok sedih semacam , macam
ayam berak kapur saja,” kata Rosli cuba melawak dengan isterinya
agar suasana di dapur itu tidak serius sangat.

“Tiada apa-apa bang, cuma baru sekejap tadi, CAC Titiwangsa
hubungi ayang, dia minta ayang pergi ke sana pagi esok untuk swab
test. Sebab ada seorang staf pejabat di sekolah positif Covid-19.
Macam mana ya bang?” Natasha mengeluh sambil bercerita. Tampak
dia agak kebingungan tambahan hari raya tidak lama lagi bakal tiba.
Urusan dapur, rumah dan anak-anak kebanyakan dia yang uruskan.
Kadangkala suaminya turut membantu ringankan urusan di rumah
jika tidak ke mana-mana.

“Tidak mengapa, pergilah cek dulu, kalau positif nak buat
bagaimana kan, kita patuh sahaja dulu arahan yang ditetapkan
oleh Kementerian Kesihatan,” Rosli memberi pendapat, pada kali ini
nadanya agak mendatar tetapi riak wajahnya seperti tiada apa yang
memberatkan fikirannya.

“Baiklah bang, ayang bukan apa, risaukan anak-anak kita yang
masih kecil ini. Kalaulah ayang tidak pergi juga ke pejabat tempoh
hari pasti perkara ini tidak berlaku,” Natasha mengeluh sesal atas

HIKMAH Saat Aku Diuji 133

tindakannya pada minggu lalu, dia pergi ke pejabat walaupun
suaminya menasihatinya agar tidak ke pejabat dalam tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Natasha terimbau saat suaminya memberi peringatan
pada ketika itu. “Covid-19 ini tidak kenal orang muda ke orang tua,
sekarang ini kes positif sudah menjangkau 12,000 kes tau, kerajaan
pun keluarkan arahan kehadiran pejabat hanya 40 peratus, kalau
ada apa-apa urusan boleh ayang buat kerja dari rumah sahaja, anak-
anak kita hantar ke pengasuh jiran sebelah kita, petang-petang kita
ambil mereka semula,” tegas Rosli, memberi nasihat sebagai seorang
suami yang bertanggungjawab.

Selepas beberapa hari Natasha menjalani pemeriksaan ujian
kendiri, laporan perubatan mengesahkan Natasha positif Covid-19.
Maka seluruh keluarganya dikehendaki hadir ke CAC Titiwangsa
untuk pemeriksaan dan dikenakan arahan kuarantin kendiri di
rumah. Manakala Natasha dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur
bagi menjalani rawatan atas faktor implikasi kesihatan disebabkan
jangkitan paru-paru tahap kelima. Selang beberapa hari kemudian,
Noah, anak bongsunya dikejarkan ke hospital yang sama akibat sesak
nafas yang berlarutan dan didapati positif Covid-19, sama seperti
ibunya.

Pagi hening Syawal disambut dengan seribu kesunyian. Rosli
dan Jasmine meraikan pagi raya mereka dengan penuh syahdu.
Ketiadaan ibu dan isteri tercinta ibarat karam di laut boleh ditimba,
karam di hati bila sudahnya. Masa berlalu begitu pantas, memori
indah mereka bersama tidak lama namun kekal membungkam
dalam benak hati.

Pada hari raya ketujuh, Natasha telah menghembuskan nafas
terakhirnya. Beliau telah pergi bertemu Azza wa jalla Yang Maha Esa
buat selama-lamanya. Syukur Noah telah dikeluarkan dari rawatan
hospital. Tinggallah Rosli bersama anaknya bertiga. Detik dan saat
Rosli bersama isteri tercinta tidak terkubur selama-lamanya. Anak-

134 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

anak mereka yang masih kecil tidak sempat merasai kehangatan
dakapan seorang ibu yang tidak lekang mencurah kasih dan sayang.

Sejak itu, Rosli tetap bersyukur dengan rezeki dan nikmat kurniaan
Allah. Dua orang cahaya matanya menjadi pendorong dia untuk
hidup dengan tekad. Covid-19 tidak kenal siapa kawan siapa lawan.

Covid-19 tidak peduli siapa kuat siapa lemah, Covid-19 tidak
endah siapa miskin siapa kaya. Kita yang masih bernyawa dan sihat
teruskan berusaha, menjaga dan berjuang menentang Covid-19.

Merelakan seseorang yang sangat bererti dan dicintai dalam
hidup pergi adalah sesuatu yang amat sulit dilakukan. Ada perasaan
sedih yang teramat dalam dan disertai kesepian yang memilukan.
Setiap orang pasti pernah mengalami perasaan kehilangan. Rasa
kehilangan itu terjadi ketika adanya kehampaan dalam hidup, sejak
seseorang yang disayangi tidak lagi bersama menemani hari-hari
yang dilalui bersama.

Namun, sebesar apa pun rasa kehilangan itu, harus juga
segera menghadapinya agar kesedihan itu tidak berlarutan.
Kehilangan adalah cara terbaik untuk belajar ikhlas tanpa batas,
merelakan pemergian. Kehilangan mendidik diri mengerti sebuah
kehadiran, kasih sayang dan kesetiaan. Kehilangan membuat kita
belajar untuk menerima dan mensyukuri dengan apa yang masih
kita miliki. Kehilangan mengajar akan hikmah di sebaliknya.

“Terima kasih sebab abang telah banyak mencurahkan saya
kebahagiaan. Terima kasih sebab datang dalam hidup saya, sudah
mencintaiku dan menerima cintaku. Jaga baik-baik anak zuriat
kita dalam reda Allah, semoga mereka membesar dalam tuntunan
agama.” Kata-kata terakhir Natasha kepada suami tercinta akan tetap
tersemat di ingatannya buat selama-lamanya.

HIKMAH Saat Aku Diuji 135

AKU & COVID-19

NIK HASRAWATI NIK HASSAN

Pada 15 Januari 2021, hari Jumaat, aku dihubungi suami semasa
dalam perjalanan balik dari MRSM Arau ke rumah ibu mertuaku
di Sik, Kedah. Pada ketika itu aku baru sampai di Changlun Kedah,
sempadan Negeri Perlis-Kedah. Kedengaran suaranya seperti ada
sesuatu yang sangat penting yang ingin disampaikan. Dia meminta
aku balik ke rumah dengan segera. Dia akan memberitahu apabila
aku sudah sampai di rumah nanti. Aku memujuknya berkali-kali agar
terus memberitahuku pada masa itu juga. Akhirnya dia mengalah.
Dengan nada yang cemas, katanya,

“Sayang, abang positif Covid-19 dan kakak pun positif juga.”

Pada masa ini, aku berhenti di tepi jalan dan bercakap dengan
tenang walaupun dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Allahuakbar,
aku sangat terkejut kerana seingat aku tiada seorang pun kenalan
rapat kami yang disahkan positif sebelum ini. Suami dan kakak ipar
pun dikehendaki menjalani swab test sehari sebelumnya disebabkan
telah mengambil cuti yang lama. Mereka bekerja di satu tempat di
Pulau Pinang.

Perbualan kami pada masa itu banyak berfokus kepada
tindakan apa yang perlu dibuat dengan segera. Aku mengajak suami
melihat apa keperluan andai kami sekeluarga turut disahkan positif.
Suami belum tahu di mana dia dan kakaknya akan dikuarantin
kerana masih menunggu pihak klinik panel mereka menguruskan
dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam keadaan perasaan yang bercampur baur, aku terfikir,

136 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

tentang ubat suami yang hampir habis iaitu ubat darah tinggi,
kolestrol, cair darah dan jantung. Sepatutnya padaminggu hadapan
suami akan berjumpa doktor pakar bagi rawatan susulan di Hospital
Pantai Sungai Petani Kedah. Suami sebelum ini mempunyai rekod
kesihatan yang tidak baik dan pernah menjalani pembedahan
memasukkan dua spring ke dalam saluran jantung yang tersumbat.
Dengan kata lain, suami adalah dalam golongan yang sangat berisiko
apabila dijangkiti Covid-19.

Sebelum aku meneruskan perjalanan balik ke rumah,
aku berpatah balik ke rumah kuarters di MRSM Arau. Aku perlu
mengambil komputer riba, stok makanan kering dan basah yang
sudah ada, baju-baju yang selesa jika aku juga disahkan positif dan
akan dikuarantin di pusat kuarantin di bawah kelolaan KKM.

Tanpa berjumpa sesiapa, aku terus bergerak balik ke Sik dan
sempat menyinggah di farmasi untuk membeli ubat-ubat suami
dan vitamin bagi tempoh sebulan. Alhamdulillah, stok ubat suami
sudah ada dan aku berasa sangat lega. Sebelum balik ke rumah juga
aku sempat menyinggah di kedai untuk membeli sedikit bekalan
makanan dan keperluan kami sekeluarga. Pada masa ini aku teringat
tip dan keperluan untuk orang yang positif covid-19 yang selalu
dikongsikan dalam media sosial. Aku perlu bersedia menerima apa
jua kemungkinan yang akan berlaku dan meyakini pasti ada hikmah
di sebalik setiap peristiwa yang berlaku.

Sejurus aku sampai di rumah, pihak KKM menghubungi
kakak ipar. Mereka meminta kami sekeluarga yang tinggal serumah
untuk ke klinik bagi menjalani swab test di klinik kesihatan yang
telah ditetapkan. Pagi esoknya aku pergi ke klinik dengan membawa
mak mertua dan dua orang anak buah yang berumur tiga tahun dan
10 tahun iaitu anak-anak kakak ipar bagi menjalani swab test.

Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dan kami
semua dipakaikan gelang yang paling ditakuti iaitu gelang merah
jambu. Selepas segala urusan selesai, kami pun balik ke rumah dan

HIKMAH Saat Aku Diuji 137

bermulalah episod kami berkuarantin di rumah. Bermulalah pintu
pagar dan pintu rumah ditutup rapat agar kami tidak menerima
tetamu kerana lokasi rumah mak mertua di tepi jalan.

Aku menghubungi beberapa orang kawan yang aku percaya
untuk berkongsi tentang apa yang kami sekeluarga sedang hadapi.
Aku mengambil jalan untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku
di hati dengan harapan aku dapat menghilangkan kerisauan dan
keresahan kerana aku agak risau dengan sejarah kesihatan suami.
Alhamdulilllah, kawan-kawan banyak memberi sokongan agar aku
terus kuat dan tabah menerima apa sahaja kemungkinan yang bakal
berlaku.

Aku memilih untuk berhati-hati dalam berkongsi kisah ini
kerana aku tidak mahu disalahertikan oleh kawan-kawan yang tidak
memahami dan akan mendatangkan impak yang tidak baik kepada
aku sekeluarga. Aku perlu lebih bijak dalam memilih kawan kerana
kawan yang baik akan menjadi teman di kala aku ditimpa kesedihan.

Dalam tempoh aku menunggu keputusan swab test, setiap
hari pegawai KKM akan menelefon suami dan kakak ipar untuk
menyemak tahap kesihatan mereka tanpa mengira waktu siang
atau malam. Aku sangat teruja dengan komitmen yang mereka
berikan dalam memastikan pesakit Covid dipantau sepenuhnya dan
mendapat maklumat yang betul.

Alhamdulillah, suami dan kakak tidak menunjukkan
sebarang simptom dan hanya perlu meneruskan kuarantin diri di
rumah. Kami mengamalkan meminum air kelapa, air lemon suam
dan mengambil vitamin C. Alhamdulillah, kami semua tiada apa-
apa simptom yang boleh merisaukan. Selera makan kami semakin
bertambah terutamanya suami kerana banyak menghabiskan masa
duduk di rumah sahaja.

Pada hari ketiga, alhamdulillah, pihak KKM menghubungi
kakak dan memaklumkan bahawa keputusan swab test kami

138 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

berempat adalah negatif. Namun aku dipanggil sekali lagi untuk
mengambil swab test. Jadi keesokannya aku pergi ke klinik sekali
lagi seorang diri dengan harapan ujian pada kali ini adalah negatif
juga. Seingat aku hari ini adalah Hari Inovasi dan Kualiti MRSM Arau
2020 yang mana aku adalah penyelarasnya. Aku cuba laksanakan
tugasanku dengan baik dan tidak sangat memikirkan masalah yang
menimpa kami sekeluarga. Dengan bantuan kawan-kawan dan
pihak pengurusan, alhamdulillah program berjalan dengan lancar
seperti yang diharapkan. Aku sangat lega.

Sesudah subuh keesokan harinya, suami menerima panggilan
dari pihak KKM memberitahu yang aku juga telah disahkan positif
Covid-19. Terkedu seketika kami berdua di subuh hari itu. Seterusnya
suamiku berbincang dengan doktor yang memantau kesihatannya
untuk memohon kebenaran agar kami berdua dapat menjalani
kuarantin di rumah sendiri di Sungai Petani kerana risau dengan
ahli rumah yang lain iaitu mak dan anak buah yang negatif tinggal
bersama kerana keadaan rumah kampung yang kurang sesuai untuk
kuarantn bersama-sama.

Alhamdulillah, dengan memberi maklumat lengkap yang
diperlukan, maka kami berdua mula menjalani kuarantin di rumah
sendiri yang sebelum ini rumah ini dijadikan rumah persinggahan
sahaja. Alhamdulillah, walaupun hanya rumah persinggahan,
keperluan memasak dan bahan kering memang sudah ada di rumah
ini. Jadi bolehlah dibuat bekalan untuk kami berdua sehingga habis
tempoh kuarantin.

Hampir dua minggu aku dan suami menjalani kehidupan
sebagai pesakit Covid-19 yang dihubungi doktor setiap hari. Walaupun
aku dan suami tidak mempunyai sebarang simptom tetapi Covid-19
ini sangat menghantui aku. Aku sangat takut dan berasa sangat
bersalah jika aku membawa virus ini kepada rakan-rakan dan ahli
keluarga yang aku baru temui beberapa hari yang lalu.

Perasaan bersalahku sangat tinggi pada waktu itu.

HIKMAH Saat Aku Diuji 139

Hanya pada Allah sahaja aku memohon pertolongan agar dapat
menyelamatkan mereka terutama mereka yang baru sahaja aku
temui. . Alhamdulillah, dengan sedikit kekuatan yang ada, aku mula
menghubungi rakan-rakan dan ahli keluarga memaklumkan aku
dan suami telah disahkan positif dan meminta bantuan mereka
untuk memaklumkan kepada aku kembali jika mereka mempunyai
sebarang simptom Covid-19 untuk aku panjangkan nama mereka
kepada pihak KKM bagi menjalani swab test di klinik kerajaan.

Telefon bimbit sentiasa ada dekat dengan aku dan kadangkala
aku juga membawa telefon bimbit ke dalam bilik air kerana risau
tidak mendengar jika ada panggilan yang penting. Kadang-kala aku
terperasan telefon bimbit berbunyi padahal hakikatnya tidak ada
pun panggilan masuk.

Bermulalah episod aku dan suami menjalani kuarantin di
rumah baharu di kawasan perumahan baharu yang belum ramai
penghuninya. Kami belum mempunyai jiran pada waktu itu.
Ramai lagi yang belum berpindah masuk ke rumah masing-masing
disebabkan pandemik ini. Alhamdulillah, ini memberi sedikit
kelegaan kepada aku kerana dapat melakukan aktiviti membersihkan
rumput dan lalang di bahagian hadapan dan belakang rumah.

Aku dan suami menggunakan sepenuhnya waktu kuarantin
ini dengan aktiviti menanam pokok sayur-sayuran di bahagian
belakang rumah dan menanam pokok bunga di hadapan rumah
setiap pagi setelah selesai bersarapan. Benih-benihnya memang
sudah lama aku membelinya tetapi tidak berkesempatan untuk
menanamnya sebelum ini. Aku menanam pokok tembikai kuning,
bendi, kangkung, sawi, kalian, bayam, daun sup, daun bawang, daun
kesum, daun kucai, serai, halia, kunyit, cekur, ketumbar jawa dan
ulam raja.

Alhamdulillah, dengan aktiviti ini, aku dapat mengisi masa
kuarantin dengan baik dan sekaligus dapat mengeluarkan sedikit
peluh bagi memastikan badan terus sihat. Aku cuba mencipta hari-

140 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

hari bahagia dalam hidup kami dan menjadikan tempoh kuarantin
ini sebagai hari yang terbaik yang pernah aku lalui bersama suami.
Bermula dari saat itu, kebun sayur aku semakin banyak mengeluarkan
hasil hinggalah ke hari ini dan hasilnya sudah banyak aku kongsikan
dengan jiran-jiran dan rakan-rakan.

Dalam tempoh kuarantin ini juga, aku dan suami banyak
mendekati diri kepada Allah dengan memperbanyakkan solat
sunat dan membaca al-Quran. Kami banyak mengadu kepada-
Nya agar kami terus diberikan kesihatan yang baik. Kami banyak
belajar mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan selama ini
iaitu nikmat kesihatan yang baik dan rezeki yang sentiasa ada.. Kami
yakin bahawa ini adalah ujian Allah kepada kami atas kealpaan kami
selama ini terhadap-Nya.

Aku sangat percaya setiap ujian yang diturunkan tersimpan
seribu rahmat. Dalam tempoh kuarantin ini, aku dapat menghabiskan
masa bersama suami dan dapat tinggal sebumbung.

Kami sebenarnya pasangan jarak jauh (PJJ) yang kadangkala
hanya dapat berjumpa pada hujung minggu jika suami tidak bekerja
pada hari minggu. Jadi tempoh kuarantin ini, aku menggunakan
sebaik-baiknya untuk berbakti kepada suami terutamanya dalam
menjaga makan minumnya dengan baik.

Aku sedar selama ini aku tidak dapat melakukan dengan
baik pada hari-hari biasa kerana tuntutan tugas masing-masing.
Alhamdulillah, kami banyak melakukan aktiviti memasak dan
mencuba menu baru. Setiap hari ada sahaja menu yang istimewa
kami masak walaupun pada masa ini stok bahan makanan agak
terhad. Aku cuba membuatkan kami sentiasa berfikiran positif dan
tidak berfikir sangat tentang Covid-19.

Hampir dua minggu berlalu dengan ujian Covid-19 ini, masa
yang ditunggu telah tiba. Aku dan suami dimaklumkan bahawa kami
perlu ke pusat rawatan Covid-19 untuk proses pemotongan gelang.

HIKMAH Saat Aku Diuji 141

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur atas segala rahmat-Nya kerana
dapat menjalani kuarantin sepenuhnya tanpa sebarang simptom.
Hanya Allah yang mengetahui perasaan ini yang bercampur baur.
Kebimbangan aku kepada tahap kesihatan suami semakin hilang
kerana kami akan disahkan bebas Covid-19 keesokan harinya. Aku
percaya Allah telah membantu aku dan telah memakbulkan doaku.
Allahuakbar.

Keesokan harinya, aku bangun lebih awal dan menyediakan
sarapan. Selepas menikmatinya, kami keluar ke pusat rawatan
Covid-19 untuk proses pemotongan gelang. Orang sangat ramai tetapi
keadaannya agak terkawal. Masing-masing menjaga jarak fizikal dan
mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kami diberikan nombor
giliran dan diminta menunggu sehingga nombor tersebut dipanggil.

Hampir dua jam kami menunggu sebelum dipanggil untuk
pemotongan gelang merah jambu itu. Alhamdulilah, sukar untuk
diterjemahkan perasaan pada ketika ini. Kami bebas daripada
jangkitan Covid-19 yang telah menghantui kami selama hampir dua
minggu. Air mata kegembiraan aku menitis pada waktu ini dan aku
dipeluk dan ditenangkan oleh suami.

“Terima kasih ya Allah, Kauhadirkan aku seorang suami yang
telah melengkapkan hidup aku selama ini. Aku sangat bersyukur
dengan apa yang telah Kauberikan kepada aku selama ini.”

Selepas hampir empat bulan, sekali lagi aku dan suami
dipakaikan gelang berwarna merah jambu. Suami diarahkan
menjalani ujian calitan selepas rakan di tempat kerjanya disahkan
positif dan aku hanya dipakaikan gelang berwarna merah jambu
tanpa menjalani swab test. Jika suami aku disahkan positif, maka
aku baru dikehendaki menjalani swab test selepas ini.

Allahuakbar, sekali lagi kami diuji dan perlu menjalani
kuarantin diri di rumah. Pada masa ini aku lebih berfikiran positif
berbanding sebelumnya. Ini mungkin kerana sudah melalui

142 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

pengalaman menjalani swab test dan kuarantin diri sebelum ini.
Dengan kata lain, kami lebih bersedia menerima segala kemungkinan
dan yang paling penting aku hanya duduk di rumah sebelum ini dan
hanya suami sahaja yang keluar bekerja.

Dengan kata lain, situasi ini dapat memutuskan rantaian
Covid-19 yang semakin mengganas pada waktu itu jika kami disahkan
positif. Setelah tiga hari kami menjalani kuarantin di rumah, kami
dihubungi KKM dan memaklumkan bahawa hasil swab test adalah
negatif. Kami diarahkan menjalani kuarantin tiga hari lagi seperti
tarikh yang tertera di gelang tersebut.

“Alhamdulillah, terima kasih ya Allah atas segala nikmat yang
telah kauberikan.”

Kuarantin pada kali ini kami lebih bersedia daripada segi
fizikal dan mental. Aku telah menguruskan semua dengan baik
dari segi barang keperluan dengan bantuan suami. Seperti biasa,
aktiviti kami, bercucuk tanam pokok sayuran dan bunga di samping
membersihkan kebun di halaman rumah kami pada waktu pagi dan
petang.

Hari yang ditunggu, iaitu hari aku dan suami perlu memotong
gelang adalah hari yang paling gembira. Sangat gembira dan sangat
bersyukur. Allah telah mudahkan segala proses kuarantin kami.
Alhamdulillah, pada 26 Jun, akhirnya kami bebas daripada igauan
gelang merah jambu yang paling ditakuti oleh semua orang pada
waktu ini.

“Ya Allah, kami sangat bersyukur atas segala nikmat yang telah
Engkau berikan sepanjang kami diuji dengan Virus Covid-19 ini. Kami
memohon keampunan, berikanlah keberkatan-Mu, kerahmatan-Mu
dan taufik hidayah-Mu. Ya Allah, kami mahu terus beramal ibadat
kepada-Mu dan berbakti kepada kedua-dua ibu kami yang sangat
memerlukan kami. Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan
kami, jauhilah kami daripada segala perkara yang tidak kami mampu

HIKMAH Saat Aku Diuji 143

kami hadapi. Ya Allah, Ampunilah kami ya Allah”.
Bermula pada saat diuji itu, aku menyedari dan menginsafi bahawa
Allah sedang mengajar aku. Allah sedang ‘menampar’ kesombongan
dan kealpaan aku selama ini.
Bermula dari itu, aku tanamkan dalam diri jika kita diuji,
lihatlah kepada orang di sekeliling kita maka akan dapat melihat
betapa ramainya orang lain yang turut diuji dengan Covid-19 ini dan
bermacam-macam dugaan lagi. Mungkin ada di antara mereka yang
telah diuji dengan lebih hebat terutamanya dengan kehilangan
orang yang tersayang dalam sekelip mata. Allahuakbar. Walau apa
pun yang berlaku, percaya dan yakinlah, Allah tidak akan menguji
hamba-Nya diluar kemampuan kita. Dia tidak akan memberikan
sesuatu yang kita mahu tetapi memberikan apa yang kita perlu.
Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang sentiasa
menerima segala ketentuan dengan berlapang dada dan sentiasa
berprasangka baik dengan-Nya.

144 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

HIKMAH Saat Aku Diuji 145

146 HIKM A H S a a t A k u D i u j i

HIKMAH Saat Aku Diuji 147

148 HIKM A H S a a t A k u D i u j i


Click to View FlipBook Version