The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

BUKU KOLEKSI PUISI PATRIOTIK SMK BANDARAYA KOTA KINABALU

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hanita75harun, 2021-07-30 01:14:44

KOLEKSI PUISI PATRIOTIK

BUKU KOLEKSI PUISI PATRIOTIK SMK BANDARAYA KOTA KINABALU

Keywords: PUISI PATRIOTIK

KOLEKSI PUISI PATRIOTIK
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU

TERBITAN 2021

SMK BANDARAYA KOTA KINABALU
JALAN TUARAN BY PASS
88450 KOTA KINABALU
SABAH

KOLEKSI PUISI PATRIOTIK
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU

TERBITAN 2021

© SMK Bandaraya Kota Kinabalu, 2021: Semua hak cipta terpelihara. Tiada mana-
mana bahagian daripada penerbitan ini boleh diterbitkan semula atau disimpan
dalam bentuk yang boleh diperoleh semula atau disiarkan dalam sebarang bentuk
dengan apa cara jua baik secara elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman atau
sebagainya tanpa mendapat keizinan bertulis daripada penerbit buku ini.

ISBN 978-967-75542-2
Diterbitkan oleh:
SMK Bandaraya Kota Kinabalu
88450 Kota Kinabalu
Tel: +6088 492882
Faks: +6088 491855
e-mail: [email protected]
Laman Web:http://smkbandaraya.tk

PRAKATA
PENGETUA
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU (SeMerBaK)

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.

Syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya saya dapat menitipkan kata-kata dalam
Penerbitan Buku Koleksi Puisi Patriotik (Jilid 1) SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Buku Koleksi Puisi
Patriotik ini diterbitkan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan guru-guru dan murid-
murid. Penerbitan julung kali Koleksi Puisi Patriotik ini yang menghimpunkan lebih 70 buah puisi guru
dan murid-murid. Ini jelas membuktikan, komitmen warga sekolah dalam menjadikannya satu wadah
kecemerlangan pendidikan.

Saya selaku Pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu ingin merakamkan rasa bangga dan
mengucapkan sekalung tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Program Penerbitan, para guru dan murid -
murid serta semua pihak yang terlibat untuk menerbitkan Buku Koleksi Puisi Patriotik seumpama ini.

Di samping itu, usaha penerbitan buku ini dapat menyemai semangat ke arah cintakan negara,
sayangkan negara dan penghayatan terhadap kemerdekaan negara. Di harap Penerbitan Buku Koleksi
Puisi ini menjadi perintis kepada penerbitan - penerbitan buku yang kreatif. Kebanyakan puisi patriotik
dihasilkan oleh murid-murid dapat menjana kreativiti murid dan memupuk semangat berterusan
cintakan negara.

Usaha berterusan ini sudah tentu disokong sepenuhnya oleh pihak Pentadbiran yang turut sama
berperanan untuk menggerakkan setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan di sekolah.
Sesungguhnya pihak sekolah dan PIBG sentiasa berkongsi wawasan dan harapan untuk membangunkan
kecemerlangan sekolah. Demi anak-anak tercinta pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak sekolah
akan sentiasa mendapat dorongan dan sokongan warga SMK Bandaraya Kota Kinabalu.

Ucapan ribuan terima kasih dititipkan khas buat para pendidik dan murid-murid yang terlibat
dalam Koleksi Puisi ini. Mudah-mudahan warga sekolah ini akan terus menyahut pelbagai cabaran demi
pembangunan pendidikan murid dan akan membantu murid-murid mendepani setiap cabaran dalam
hidup kerana mereka bakal menjadi pemangkin negara.

Akhir kata, semoga usaha murni menerbitkan Buku Koleksi Puisi Patriotik ini serta
permuafakatan para ibu bapa dan guru-guru dapat menjadi pemangkin kecemerlangan guru bagi
mendidik dan melahirkan murid-murid yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sekian, terima kasih.

(PN. ROHANI BINTI HJ RAMLEE)
Pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu

PRAKATA
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU (SeMerBaK)

Assalammu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.

Terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya mencoretkan sepatah dua kata dalam
Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru dan Murid ini.

Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada warga sekolah khususnya Jawatankuasa
Penerbitan atas usaha dan kejayaan menerbitkan Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru dan Murid yang
sangat bermakna ini. Sesungguhnya, penerbitan buku ini merupakan gabungan kerjasama dan
pengalaman yang hebat dari guru dan murid yang berusaha menghasilkan puisi patriotik yang hebat dan
puitis. Semoga buku ini dapat dijadikan sebagai panduan bagi meningkatkan semangat cinta terhadap
puisi patriotik sekaligus menyuntik semangat cintakan negara. Saya percaya komitmen yang tinggi dan
kerjasama yang padu daripada warga SeMerBaK mampu merealisasikan penerbitan buku koleksi puisi
patriotik yang dapat kita tatapi dan hayati.

Karya sastera kurang mendapat sambutan dalam kalangan murid pada masa kini. Hal ini kerana
murid sekarang berdepan dengan arus modenisasi yang penuh dengan cabaran. Perkongsian idea dari
guru dan murid dalam menghasilkan puisi patriotik merupakan inisiatif yang baik dalam memekarkan
bahasa dan sastera. Pihak sekolah sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap
keperluan murid ke arah pemupukan dan membina bakat murid. Harapan saya agar Koleksi Puisi
Patriotik Guru dan Murid ini dapat membantu warga SeMerBaK menjadikan panduan atau bahan
bacaan supaya dapat mengubah cara berfikir dan mematangkan tindakan yang sememangnya amat
penting untuk memajukan negara.

Akhir kata, tahniah sekali lagi kepada jawatankuasa serta warga SeMerBaK yang terlibat secara
lansung mahupun tidak langsung kerana telah berjaya menghasilkan Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru
dan Murid ini. Semoga selepas ini, lebih ramai guru dan murid bersemangat untuk melibatkan diri
secara aktif dalam menghasilkan puisi patriotik yang lebih bermakna.

Sekian, terima kasih.

ZUBAIDAH BINTI SIPIL
Penolong Kanan Pentadbiran,
SMK Bandaraya Kota Kinabalu.

PRAKATA
PENOLONG KANAN KO-KURIKULUM
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU (SeMerBaK)

Salam Sejahtahtera.

Syukur kepada Tuhan kerana buku Koleksi Puisi Patriotik SMK Bandaraya Kota
Kinabalu Vol. 1 telah berjaya diterbitkan. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas
atas penerbitan buku koleksi ini. Saya percaya penerbitan buku koleksi ini adalah hasil
Kerjasama dan komitmen yang tinggi semua warga sekolah terhadap kejayaan sekolah.

Penerbitan buku PLC ini adalah sejajar dengan inisiatif kementerian pelajaran dalam
meningkatkan semangat patriotism di kalangan warga sekolah. Selain itu, ia merupakan satu
perkongsian yang amat bermakna di kalangan guru-guru dan murid-murid SMK Bandaraya
Kota Kinabalu kerana ia dapat memupuk semangat muhibah. Ia juga merupakan satu medan
untuk guru-guru dan murid-murid memaparkan idea yang kreatif dalam penulisan sajak.

Pembudayaan PLC ini juga merupakan satu usaha untuk meningkatkan semangat
partiotik dan cintakan negara di kalangan guru-guru dan murid-murid khususnya bagi
memenuhi keperluan dan kehendak negara ke arah melahirkan generasi modal insan yang
seimbang dan serta cintakan negara.

Akhir kata, syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam program
penerbitan buku koleksi puisi patriotik ini. Saya berharap pembudayaan PLC seperti ini
diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja boleh meningkatkan semangat
patriotism, malah ia memberi ruang kepada guru dan murid-murid untuk menonjolkan bakat
dan menimba ilmu pengetahuan.

Sekian, terima kasih.

RAMLAL KANSA BIN RAMDAS
PENOLONG KANAN KO-KURIKULUM

PRAKATA
PENYELARAS UNIT
KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU (SeMerBaK)

Assalammu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera

Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah-Nya, SMK Bandaraya
Kota Kinabalu dapat menerbitkan Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru dan Murid buat julng kalinya
pada tahun 2021. Kejayaan dalam menghasilkan buku koleksi ini merupakan satu peluang yang dapat
diperoleh dari guru dan murid dalam memupuk semangat cintakan negara lebih-lebih lagi kepada
anak muda yang berperanan besar menggantikan pucuk pimpinan suatu hari nanti.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
Puan Rohani binti Ramlee selaku pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Puan Zubaidah binti Sipil
selaku Penolong Kanan Pentadbiran dan En Ramlal Kamsa Ramdas selaku Penolong Kanan
Kokurikulum yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan dalam menghasilkan buku ini.
Tahniah dan Syabas diucapkan juga kepada guru dan murid yang telah menyumbang karya untuk
dimuatkan dalam Buku koleksi Puisi Patriotik ini. Semoga Buku koleksi ini dijadikan sebagai panduan
bagi meningkatkan semangat cintakan negara menerusi puisi patriotik. Ucapan terima kasih yang tidak
terhingga juga kepada semua Ahli Jawatankuasa Unit Komuniti Pembelajaran Profesional yang
berusaha dalam menyiapkan penghasilan buku koleksi puisi patriotik ini. Kerjasama dan usaha gigih
semua AJK yang terlibat dapat dilihat dengan terhasilnya sebuah buku koleksi puisi patriotik yang
sangat bermakna bagi Warga Smk Bandaraya. Semoga jasa dan sumbangan anda diberkati Allah SWT.

Unit Komuniti Pembelajaran Profesional dengan Kerjasama Panitia Sejarah yang diketua oleh
Puan Suzanah Binti Ahmad serta Persatuan Sejarah telah melaksanakan pelbagai usaha untuk
menyuntik minat guru-guru dan murid dalam menghasilkan sebuah puisi yang berkarya. Banyak
medium yang boleh digunakan dalam menyuntik semangat nasionalisme salah satunya adalah melalui
puisi. Usaha penghasilan Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru dan Murid SMK Bandaraya merupakan
ruang yang bermanfaat untuk merenung dan menghayati perjuangan kemerdekaan. Oleh itu, diharapkan
buku ini akan menjadi koleksi puisi yang sangat bermakna untuk guru dan murid. Seterusnya, saya
mengharapkan agar penghasilan buku ini mampu memberi ruang dan peluang kepada guru dan murid
untuk terus menyumbang idea bagi menghasilkan puisi yang kreatif dan inovatif. Semoga usaha yang
murni ini akan berterusan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

HANITA LADJAHARUN
Penyelaras Unit Komuniti Pembelajaran Profesional,
Selaku Ketua Penerbit dan Penyelaras
Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru dan Murid SMK Bandaraya Kota Kinabalu 2021.

PRAKATA
PENOLONG PENYELARAS PENERBITAN
SMK BANDARAYA KOTA KINABALU (SeMerBaK)

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya,
buku Koleksi Puisi Patriotik SMK Bandaraya (Jilid 1) telah berjaya diterbitkan pada tahun 2020.
Sesungguhnya penerbitan buku ini amat bermakna bagi warga SMK Bandaraya. Saya juga ingin
merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ahli Jawatankuasa Program Penerbitan,
guru-guru dan murid-murid yang terlibat dalam menjayakan penerbitan koleksi ini.

Buku koleksi ini yang julung kali diterbitkan bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat
patriotik dalam kalangan guru dan murid-murid. Usaha murni ini juga dapat mengetengahkan bakat dan
kreativiti guru serta murid dalam menghasilkan puisi. Di samping itu, melalui penghasilan puisi
patriotik ini juga dapat memupuk penghayatan terhadap unsur patriotisme dalam kalangan warga SMK
Bandaraya.

Akhir kata, syabas dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak yang
terlibat dalam penerbitan buku koleksi Puisi Patriotik Vol 1 ini. Saya berharap usaha penghasilan
koleksi ini akan diteruskan pada tahun hadapan. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang kita
curahkan dalam memacu murid menjadi modal insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara
akan membuahkan hasilnya.

Sekian, terima kasih.

PN. SUZANAH BINTI AHMAD
Penolong Penyelaras Penerbitan Buku
Buku Koleksi Puisi Patriotik Guru dan Murid SMK Bandaraya Kota Kinabalu 2021.

KANDUNGAN HALAMAN
BIL 1-2
1. DI MANA HAMBA? 3
2. ANAK-ANAK MERDEKA 4
3. CINTAKU TERHADAP MALAYSIA KEKAL HAKIKI 5-6
4. KAU TAK MAMPU BELI MERDEKA 7
5. ERTI PERJUANGAN 8-9
6. PANTUN MERDEKA 2020 10
7. ERTI MERDEKA 11
8. DOUBLE SIX 12
9. PUISI MERDEKA KU 13
10. MERDEKA TANAH AIRKU 14
11. MENCARI MAKNA KEMERDEKAAN 15-6
12. NILAI ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN 17
13. ISIKANLAH KEMERDEKAAN INI... 18
14. SYAIR MALAYSIA MERDEKA 19
15. MALAYSIA KU 20
16. DULU DAN KINI 21-22
17. BANGKIT ANAK MUDA 23
18. PERJALANAN MERDEKA 24
19. JIWA ANAK MALAYSIA 25
20. OH TANAH AIRKU 26
21. MENILITI ARUS KEMERDEKAAN 27
22. MALAYSIA MILIK KITA 28
23. PANTUN SEMARAK CINTA MERDEKA 29
24. DARAH PEJUANG 30
25. LAUNGAN BANGSA 31
26. MERDEKA 32
27. TANAHKU MERDEKA 33
28. MALAYSIAKU TANAH TERCINTA 34
29. SALAM KEMERDEKAAN 35-36
30. MERDEKA NAN INDAH 37
31. PERJUANGAN ANAK MERDEKA 38
32. BAHTERA MERDEKA 39
33. MALAYSIA MERDEKA 40
34. LAHIRLAH MERDEKA 41
35. SANG PEJUANG 42
36. MALAYSIA PRIHATIN

37. BUKAN SEKADAR PERJUANGAN 43
38. ANAK-ANAK MERDEKA 44
39. PUISI MALAYSIA PRIHATIN 45
40. BERSATU PADU WALAUPUN DALAM DUGAAN 46
41. HILANG YANG TAKKAN KEMBALI 47
42. PANTUN SEJARAH 48
43. MALAYSIA TANAH AIRKU 49
44. MALAYSIA PRIHATIN 50
45. PANTUN KEMERDEKAAN 51
46. BAHASA MARTABAT BANGSA 52
47. DARAHKU NEGARAKU 53
48. MERDEKA SELAMANYA 54
49. MALAYSIAKU 55
50. TANAH PUSAKA 56
51. MALAYSIAKU MAJU JAYA 57
52. MALAYSIAKU BEBAS 58
53. HARAPANKU UNTUKMU 59
54. NEGARAKU BERDAULAT 60
55. NEGARAKU 61
56. MALAYSIA MERDEKA 62
57. NEGARAKU MERDEKA 63
58. KEKALLAH MERDEKA 64
59. TITIK PELUH 65
60. MALAYSIA KU 66
61. NEGARA KU 66
62. NEGARA YANG KUCINTAI 67
63. TERIMA KASIH PAHLAWAN 68
64. MERDEKA SELAMANYA 69
65. HARI INI 69
66. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU 70
67. BANGGA MENJADI WARGA MALAYSIA 71
68. NEGARAKU 72
69. MALAYSIAKU 72
70. TERIMA KASIH MALAYSIA 73

DI MANA HAMBA?
Ketika mampir di sini
Dia tahu pasti
Hidupnya bahagia
Bisa ngumpul rupiah
Bisa beli sepeda
Dia bisa apapun yang warga bisa
Bakal kaya, mewah, bahagia
Lalu wahai anak bangsa
Kalau benar ramai manusia
Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Filipina
Maka dimana hamba…?
Katanya Negara ini penuh daulatnya
Katanya rakyat ini padu suaranya
Ketikan jari netizen usai ‘Smartphone” yang langka
Para menterinya gagah bersidang
Tikam menikam lidah penuh semangatnya
Maka dimana hamba?
Jika juangnya Datuk Hang Tuah
Jika adilnya Datuk Hang Jebat
Jika beraninya Tok Janggut
Anak cucu kita bagaimana?
Kalau duduk di Kastam culaskah?
Kalau di Imigresen lalaikah?
Maka dimana hamba…?
Mestikah sebuah perjuangan itu
Dimula dengan darah, ditinta dengan darah
Mestikah mempertahankan Negara, ada perang bermula
Baru angkat senjata, baru sayang Negara
Lalu tika aman, tenang, makmur dan maju jaya
Kita leka, seleka kita pada Corona
Patriotik itu jadinya pada bendera
Biar bukan warga, kibaran bendera tetap nyata
MAKA DIMANA HAMBA…??

Bila kudongak ke langit luas
Kutatap Jalur Gemilang, berkibar lemah di angkasa
Sayat hati bagai dibelati
Panas dada dibakar sakit hati
Ini nyatanya Malaysia!
Hamba sebenarnya di bumi berdaulat Malaysia…!

Lalu mengapa?!
Bumi bertuah ini
Terasa di Jakarta, di Calcutta, di Manila hatta China!
Maka hamba ini sebenarnya di mana?

Kalau dulu,
Hamanya Belanda, Portugis, British dan Jepun
Kini virusnya adalah ‘KITA’!
KITALAH PENJUAL NEGARA, PENGKHIANAT NEGARA,
Dengan rupa WARGANEGARA!!
Maka dimana hamba…?

Hasil Nukilan
Cikgu Suria Binti Jumatin

ANAK-ANAK MERDEKA

Senyumlah wahai anak-anak merdeka
Engkau lahir pada era merdeka
Tanpa susah tanpa jera
Hidup aman sejahtera
Menikmati alam merdeka.
Namun wahai anak-anak merdeka
Merdekakah anda
bebaskah anda
daripada jiwa yang alpa
daripada minda dijajah titik-titik noda?
Bangunlah wahai anak-anak merdeka
Tiada guna bermegah-megah
Pada tanah air yang merdeka
Namun masih digenggam alpa
Digenggam durja nestapa.
Bangunlah!
Sedarlah!
Bangkitlah!
Jiwailah maksud sebenar merdeka
Merdeka jiwa
Merdeka minda
Merdeka tanahair tercinta
Itulah makna merdeka sepenuhnya.
Maka
Banggalah jiwa, negara, bangsa
Dengan laungan
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Nukilan
TINTA DIA

CINTAKU TERHADAP MALAYSIA
KEKAL HAKIKI

Mendongak langit berhatikan baiduri
Mengikat kemas jati diri
Lantaran kecintaan terhadap bumiku sendiri
Lontaran kata biar nyawa jadi ganti
Sentiasa ku kumandangkan
Agar tidak ku lupa
Alpa dan lalai
Agar sentiasa ku ingat
Laungan kebebasan
Setelah berkerat daging bertumpah darah
Jangan sesekali maruah dicabuli
Jangan rasam basi dicampuri
Jangan termakan kesenangan duniawi
Sehingga hilang tanah airku
Dari pandanganku sendiri
Moga dengan rahmat Illahi
Bersama hayatku ini
Cintaku terhadap Malaysia kekal hakiki

Nukilan,
Adibah Nisah Abdul Salam (5 Sains)
Nurul Khadijah Liksun (5 Tekkem)

KAU TAK MAMPU BELI MERDEKA

Sebuah kisah mendongak masa
Satu persatu meniti Di benak minda
Perjalanan Sejarah....
Kau tak mampu beli MERDEKA
Hingga detik ini jalan cerita duka lara
Sesaat lagi melimpah jiwa-jiwa BANGSA MALAYSIA
Demi anak Bangsa memacu tenaga
Melahirkan insan gagah perkasa
Tabah mempertahankan agama
Mendukung rumpun bangsa
Merdeka....
Kini bernafas lega tiada kesengsaraan
Meraih pingat tanpa penindasan...
Ayuh kuak kan dada mu maju ke depan...
Tiada pampanan sekatan bekapan
Meski diri mu sering dihina dicaci maki...
Meski bangsa mu dirobek musuh…
Musuh itu sorang yang jahil bertopeng hitam…
Namun darah pahlawan telah menapak menembus zaman…
Kau gagah... Kau perkasa...
Kau genggam bumi kita laut kita
Hutan kita angkasa kita tanah kita
Minda kita harta kita rumah kita…
Kedai
Gerai
Tanaman
Ternakan
Hingga satu cangkir Kopi...
Kau pegang tak bergetar…
Tak tumpah walau sepentas arena
Ulek Mayang yang kau tonton…

Merdeka...
Itulah kemuncak jiwa yang membawa kita…
Kini
Kau mampu membeli sesuatu
Kau...
Bernyanyi... Ketawa... Dan
Kau memiliki sesuka hati mu…
Bangsa ku
Bayarlah walau sesen hati mu menyalakan api...
Kerana api Di hati mu mampu menjana
Sejuta cahaya anak bangsa
Bersatu dalam semangat membela...
Hidup Di bumi Malaysia ku…
Kau tak mampu membeli MERDEKA

Nukilan:
ImanZaim
Sinurambi

ERTI PERJUANGAN
Menyusuri langkah leluhurku
Perkasa gah di persada
Generasi terpimpin
Berpasak kemuliaan akhlak
Berakar ketauhidan
Menyusuri langkah leluhurku
Jelajahmu ternukil dalam lakaran khazanah
Bergema namamu di puncak jagat
Ke timur dan ke barat
Lewat catatan itu

Leluhurku
Demi menongkah kebiadaban
Demi menunduk keegoaan
Keberaniaanmu memundak senjata
Penuh teliti langkah pencakmu
Walau terpaksa menggenggam bara
Takkan pernah terpadam

Kini
Jejak-jejakmu kami selusuri
Titisan keringatmu menginspirasikan jiwa
Percikan darahmu membangkitkan nurani
Kami penyambung legasi itu
Dalam kepayahan memaknakan erti perjuangan
Demi kemerdekaan hakiki
Demi tanah bertuah ini

Nukilan,
Jauhariah Parmin

PANTUN MERDEKA 2020
Burung tempua di atas dahan,
Disambar oleh si burung helang;
Semenanjung emas jadi pilihan,
Meratah rakus sang petualang.
Terbang burung di atas laman,
Tiba malam mata bersuluh;
Darah menitis angkara kezaliman’
Deru tangisan hati nan luluh.
Sungguh menawan tanjak dan destar,
Hiasan kepala disusun atur;
Sungguh pahlawan tiada gentar,
Berpantang alah sebelum undur.
Biarlah sekali rumpai dihadang,
Jangan sekali biar melata;
Biarlah sekali putihnya tulang,
Jangan sekali berputih mata.
Ayunan nama si anak panah,
Senjata ulung pemimpin Mahawangsa;
Beratus tahun dibatasi penjajah,
Laungan merdeka bergema jua.
Janganlah padi ditampi tumpah,
Kelak beras atuh berderu;
Janganlah sekali buta sejarah,
Kelak tumpas di tangan seteru.
Cincin besi cincin suasa,
Emas di jari tepak dihulur;
Cakna budi cakna bahasa,
Biar terpelihara warisan leluhur.

Mendam Berahi jong jelajah,
Membelah lautan gah persada;
Bebaskan diri dari penjajah,
Baik fizikal dan juga minda.
Dedaun kering dibuang jangan,
Buat perencah pepohon jati;
Bahasa dan agama ditinggal jangan,
Buat pasak pendinding diri.
Sampan kolek mudik ke hulu,
Singgah sebentar di Pekan Sena;
Negara berdaulat rakyat bersekutu,
Hidup makmur aman sejahtera.
Kain cindai diukur lebar,
Buat persalinan laksamana Hang Tuah;
Jalur Gemilang megah berkibar,
Lambang kedaulatan negaraku bertuah.

Nukilan,
Jauhariah Parmin

ERTI MERDEKA

Mari kita hayati erti Merdeka
Perjuangan wira bangsa kita selusuri
terus gagah berjuang penuh cabaran
tiada mengenal erti penat tanpa putus asa
hingga Merdeka berada di bumi bertuah ini
Mari kita hayati erti Merdeka
Perjuangan tiada akhirnya
Merdeka itu warisan yang perlu dikekalkan
Bersama jiwa penuh semangat
Membina negara bangsa menuju kejayaan
Seiring kemajuan dunia sejagat
Mari kita hayati erti Merdeka
Bumi Malaysia tercinta
Indah damai harmoni sejahtera
Syukur padamu Tuhan moga sejahtera ini berkekalan
Nukilan,
Cikgu Norisah Binti Muda

DOUBLE SIX
6 jun 1976
Keheningan petang
Dicemari suara dentuman
Terlakar suatu sejarah hitam
Hiba menyelubungi
Kala cerita tersebar
Jatuhnya sang belon
Terkedu tak bisa berbicara
Rebah terkorban sang peneraju
Tanpa sempat melayari bahtera
Tanpa sempat menabur jasa
Tanpa sempat melakar kejayaan
Hilangmu meruntun rasa jiwa
Pedih tak terucap
Linangan air mata
tidak mampu mengubati
Kehilangan yang sukar dicari ganti
Hari ini…
Perjuanganmu tak akan padam
Double six masih subur terpahat di ingatan
Tetap menjadi bahan bualan
Meniti dari bibir ke bibir
Tragedi tak bertepi
melakar seribu persoalan, tak pernah tersingkap
Pergimu suatu misteri
Pewaris bangsa,
Atur langkahmu, laungkan suara
Mencari kebenaran
Tanah ini milik kita
Tidak rela dinodai
Tidak rela digadai
Pejuang bangsa
Semarakkan semangat jati diri
Perjuangan harus diteruskan

Hasil pena,
ORLEN SITANG

PUISI MERDEKA KU
Tanggal 31 Ogos 1957…
Kini sudah 63 tahun…
Laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Kedengaran di setiap sudut Negara Malaysia…
Tercinta ini…
63 tahun kita merdeka…
Rakyat hidup aman damai
Jalur gemilang berkibar megah
Sejarah negara jangan dilupa
Berpuluh tahun kita dijajah…
Dengan penuh kesedaran…
Kita padamkan api sesal dalam sekam…
Kita patahkan gunting hasutan dalam lipatan…
Ayuh kita tanggalkan topeng kepuraan
Marilah kembali nyalakan obor hakiki
Ke arah haluan yang murni!
Dengan tekad jalin perpaduan suci
Gilapkan perpaduan jati yang sejati…
31 Ogos tarikh keramat
Bersama kita menyambut merdeka
Bersatu berazam penuh semangat
Mari pertahankan kemerdekaan…
Negara Malaysia Tercinta Kita…
MERDEKA!…MERDEKA!…MERDEKA!…

Ragina/RSK
KBK, SMKBKK

MERDEKA TANAH AIRKU

Merdeka tanah airku tanah tumpah darahku
Meski dalam genggam bara
Meski dalam sendu lara
Meski dalam cemas sengketa
Merdeka tanah airku tanah tumpah darahku
Persetan petualang derhaka
Persetan petualang pengkhianat negara
Persetan seteru durjana
Merdeka tanah airku tanah tumpah darahku
Meskipun bila abadnya
Meskipun siapa tampuk teraju
Meskipun di mana rakyat jelata
Merdeka tanah airku tanah tumpah daraku
Kami watan setiamu
Bangga gahnya Malaysia
Sehingga di hujung nyawa
Digahayu Merdeka,
RantaiMas

(Rantianah Mastar)

MENCARI MAKNA KEMERDEKAAN

Dahulu Atuk pernah berkata…
Kemerdekaan ini kita rebut dengan darah dan air mata
tanpa rasa sesal
jika tidak punya wang diderma
keringat dicurah bersama nyawa galang gantinya
Dan kata Atuk lagi…
Setiap yang menggalas makna perjuangan
tidak pernah meminta balasan
cukup hanya laungan MERDEKA!
menjadi bangsa bernegara
jadi bangsa bermaruah

Kelmarin Ayah bicara…
Betapa manisnya nikmat kemerdekaan itu
menunggang kebebasan
menjelajah setiap ceruk pertiwi dengan rasa bangga
mengutip kesempatan di sepanjang perjalanan

Hari ini aku tidak mampu bicara megah
Terkapai sendirian memilih makna merdeka
Kerana merdeka itu BUKANLAH kebebasan menimbun kekayaan
Kerana merdeka itu BUKANLAH kebebasan menjual agama
Kerana merdeka itu BUKANLAH kebebasan menindas bangsa sendiri
Kerana merdeka itu BUKANLAH kebebasan membebalkan seteru
Kerana merdeka itu BUKANLAH kebebasan menjumudkan pemikiran
Dan pada ku kemerdekaan itu BUKANLAH…
Hanya kibaran Jalur Gemilang di tepi jalan berdebu
Menunggu masa untuk tumbang.

SALIMAN SAMIN
SMK Bandaraya, Kota Kinabalu

NILAI ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

Inikah nilai erti sebuah kemerdekaan….
Anak-anak kecil meminta simpati
Dalam rangkulan ibunya yang penyayang
Ketenangan dan kedamaian dapat dirasai
Remaja muda belia mencari identiti
Kenal erti dan beza antara yang hak dan bathil
Untuk menelusuri kehidupan ini
Menuju redha Ilahi
Para pejuang kesatria
Engkau syahid di medan perang
Demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara
Keamanan dan kemakmuran dapat dirasai
Pengorbanan ibu ayah
Sejak kecil menjaga dan mendidik
Membentuk insan kamil
Di mata sang Pencipta dan makhlukNya.
Guru, melahirkan modal insan cemerlang dan gemilang
Dari kesesatan kepada Nur cahaya kebenaran
Perjuangan tidak akan terhenti
Selagi nyawa dikandung badan.
Malaysia Prihatin tema diberi,
Membawa erti cukup mendalam,
Tentang semangat perpaduan negara,
Kerjasama rakyat Malaysia,
Dapat memerangi pandemik COVID-19.
Seorang hamba yang sentiasa sujud dan taat,
Mentaqorrub diri dengan Penciptanya.
Bekalan amalan taqwa menjadi benteng,
Menangkis neraka JahanamMu.

Merdekakah Kita?
Apapun nilai erti kemerdekaan di mata kita,
Semuanya menuju kepada yang Satu,
Hargailah keamanan, keselamatan,
kemakmuran dan kesejahteraan negara kita

Marilah semua rakyat Malaysia,
Semarakkan Hari Kebangsaan,
Dengan mengambil iktibar kisah lampau,
Menjadi pedoman generasi muda.

Hasil Nukilan,
Nor Azlinda Binti Abdul Aziz

ISIKANLAH KEMERDEKAAN INI...

Bunga Cempaka di dalam saku,
Bunga Melati di dalam raga,
Ingatlah anak-anak didikku,
Taburlah bakti pada negara.
Rimbunnya daun pohon Cemara,
Dipetik nyonya di tepi perigi,
Jangan tanya sumbangan negara,
Tapi tanyalah sumbangan sendiri.
Bunga digubah di ruang tamu,
Disirami air dari bejana,
Anak didikku tuntutlah ilmu,
Barulah menjadi warga berguna.
Puteri jelita bergelang suasa,
Putera raja bermain gasing,
Cintalah dengan budaya bangsa,
Jangan bangga budaya asing.
Mak Milah pergi ke kota,
Menjual tapai dari ragi
Usah berbalah sesama kita,
Jangan sampai dijajah lagi.
Sungguh tinggi si Gunung Daik,
Didaki si Badang berbadan sasa,
Malaysia ini negara terbaik,
Isilah kemerdekaan dengan berjasa

Hasil ciptaan,
Suzanah binti Ahmad,

SYAIR MALAYSIA MERDEKA

Kata sepakat dicapai bersama,
Lahir negara nama Malaysia,
Rakyatnya sentiasa bekerjasama,
Sehati sejiwa demi negara.
Berbilang bangsa bersatu hati,
Berpaksi pada pakatan murni,
Hidup rukun aman harmoni,
Segala musuh sukar hampiri.
Berbilang bangsa hidup bersatu,
Tiada sengketa tiada seteru,
Jadi amalan bantu-membantu,
Malaysia menuju negara maju.
Pemuda pemudi harapan bangsa,
Jagalah negara janganlah leka,
Tuntutlah ilmu penuh di dada,
Jadi permata negara tercinta.
Ingatlah jasa para perwira,
Berkorban harta, jiwa dan raga,
Membela maruah negara bangsa,
Membawa negara ke mercu jaya.
16 September Hari Malaysia,
Setiap bangsa rai bersama,
Diiring doa negara sejahtera,
Kekal merdeka sepanjang masa.

Hasil karya,
Suzanah binti Ahmad

MALAYSIA KU

Malaysia tanah airku…
Tanah air yang ku cintai…
Setiaku tak berbelah bahagi
Ku perjuangkan segalanya
Demi ibu pertiwi
Aku akan menjaga
Tanah airku
Dengan sepenuh jiwaku
Aku akan memberi
Tenagaku kudratku
Untuk negaraku
Moga anak dan cucu-cucuku
Terus merdeka dan cemerlang
Gemilang, terbilang pada masa hadapan
Dan tanah airku terus mencapai kemerdekaan
untuk selama-lamanya
Malaysia tanah airku…
Malaysia kekal merdeka selamanya…
Malaysia…Malaysia…Malaysia…

Mohd Hafizie
(5 Teras 3)

DULU DAN KINI

Sang saka bulan dan bintang
Kini berkibar di negara aman
Hidup sejahtera bak kilauan rembulan
Kerna tiada peperangan
14 jalur wakil negeri
Rakyat hidup saling mengerti
Bersatu padu di negara ini
Supaya hidup aman dan harmoni
Payung diraja kuning menyerlah
Mentadbir negara dengan sesungguhnya
Semangat tokoh merah membara
Rela berkorban demi negara
Laungan ini semakin bergema
Laungan dari perdana menteri pertama
Menjadi bukti kemenangan negara
Yang telah bebas dari penjajah
Merdeka!!!
Dunia moden semakin mengaburi
Malaysia pertiwi sangat dirindui
Pakaian moden pakaian tradisi
Jauh berbeza ibarat langit dan bumi
Adat resam semakin dilupai
Kini hanya tinggal memori
Kerna pengaruh tingkat ekonomi
Berubahnya budaya dan tradisi
Agama negara kepentingan maruah
Kurang amal ibadah tidak bahagia
Hidup sekarang makin susah
Kerna pengaruh media massa
5 kelopak berwarna merah
Melambangkan 5 rukun negara
Institut negara tidak diamali
Kemahuan diri telah menguasai

Nukilan,
Marnisa dan Adzwina
(5 Tekkem)

BANGKIT ANAK MUDA

JAJAH
Datang mereka bertebu di bibir
Bersama peluru bersama senapang
Penduduk buntu hilang berfikir
Menjadi tidak tahu fikiran hilang
MERAH
Sungai mengalir merah
Sosok kelihatan tepian sungai
Bukan rakyat mudik ke hulu
Bukan rakyat pulang ke kota
Tapi merahnya arus membawa mayat
Mayat rakyat dada tersayat
DETIK demi Detik
WAKTU demi Waktu
Pahlawan rakyat pejuang rakyat
Bersatu menuntut kebebasan
Akhirnya tersemai
31 Ogos 57 mahalnya nostalgia
ANAK MUDA
Nikmat apa yang engkau dustakan
Bergadai nyawa mereka pertahankan
Demi membina tiang kemerdekaan
Namun kau angkuh mematahkan
KIBAR!
Bendera berkibar penuh makna
Berkibarnya sedap di mata
Namun kau conteng dengan niat hitam

BINGUNG!
Bingung hauskan kemerdekaan
Bingung di pentas kebebasan
Sedangkan bumi dipijak sudah disemai
Pahlawan pejuang berbisik sedih
Aku membina kamu meruntuhkan

BANGKIT!
Mengimbas momen penuh berdarah
Mematangkan akal fikiran
Selagi kudrat masih ada
Selagi daya masih utuh
Akanku semai ragaku demi mu
MALAYSIA

Nukilan,
Ide Fatihah Ahmad
(5 Tekkem)

PERJALANAN MERDEKA

Sejarah Tercipta
Dalam ketamadunan manusia
Bahari menjadi hamba kepada orang putih
Emansipasi kini milik diri
Pemimpin bijaksana,
Melantun kata berbeka penuh adat sopan Melayu
Berjuang demi kebebasan
Tiada lelah, tiada keluhan yang diungkap
Kolaboratif kaum berkolektif membina tiang kejayaan
Lalu,
Jumantara tersenyum
Melihat terangnya kemilau merdeka terpancar
Marhean sebak mengucap syukur
Syukur akan kemenangan pada yang Esa
Anugerah yang Esa tiada tandingan
Bukan fatamorgana semata-mata
Kerana kini merdeka milik kita
Maka tetap patriotisme
Walau penuh onak duri
Terus genggam erat tangan
Bersama kita berjuang
Prihatin sesama masyarakat
Pasak kaki di tanah teguh berdiri
Berjuang menangkis anasir kejahatan
Rembang petang maka kekal terus selamanya Merdeka

Iman Nurain Binti Abdullah
(5 Sains)

JIWA ANAK MALAYSIA

Bumi Malaysia negara kita,
Tadahlah dengan janji yang setia,
Pagarilah dengan dinding kebijaksanaan,
Untuk menjulangnya tinggi ke langit,
Biarlah peta bercahaya berkilau,
Kerana negara kita yang merdeka ini,
Sungguh indah, mesra dan cemerlang.
Wahai tunas yang hidup merdeka,
Usah melayani mimpi-mimpi boneka,
Jauhilah keji peribadi,
Tetapi layarilah lautan ilmu,
Selamilah laut pengalaman,
Agar tunas-tunas yang bertumbuh,
Mencurahkan bakti untuk bumi ini.
Anak-anak Malaysia,
Landasan alam semakin saujana,
Bertaburan magis dan penuh muslihat,
Petiklah putih yang suci,
Jauhilah hitam yang durjana,
Selusurilah lorang-lorong kejayaan,
Bangunkanlah desa dan kota Malaysia,
Yang selalu rindu akan titip kasihmu.

Brandon Ben, Roslinda Charlyne dan Harry
(5 Sains)

OH TANAH AIRKU

Malaysia,
Di sinilah tempat aku dilahirkan
Di sinilah juga aku dibesarkan,
Akan ku sentiasa bersedia,
Demi negara dan bangsa tercinta,
Malaysia,
Demimu ku sanggup berkorban,
Walau nyawa dan harta sekali pun,
Demimu juga akan ku pertahankan,
Dari segala anasir luar.
Malaysia,
Akan ku usaha dengan bersungguh-sungguh,
Untuk menaikkan namamu,
Akan ku harumkan namamu di persada dunia,
Yang akan ku hiasi dengan segala keindahan.
Malaysia,
Akan ku teruskan usaha murniku,
Demi mendidik wajah-wajah baharu,
Supaya lahir penerus generasi yang gemilang,
Untuk menggalas impian dan harapan.
Malaysia…
Malaysia…
Malaysia…

Rifflonie Edda Fanpiran
(5 Sains)

MENILITI ARUS KEMERDEKAAN

Terpegunku seketika
menghayati pengorbanan perwira bangsa
menuntut kebebasan negara
dari cengkaman imperialis Barat
sanggup menggodai nyawa
demi sebuah transformasi
Terpegunku sesaat
mengimbas kebijaksanaan pemimpin lampau
melestarikan daulat Sang Raja
memantapkan posisi di singgahsana
takhta Duli Yang Maha Mulia
Terpegunku sebentar
melihat keharmonian negara tercinta
ukhuwah antara Melayu, Cina dan India
walau harus berkongsi wilayah
tidak dibiar ego bermaharajalela
Terpegunku seketika
mengagumi tafsir merdeka
merdeka kerana integrasi
merdeka kerana inteligensia
merdeka kerana moral dan etika
kibaran panji Jalur Gemilang
simbolik kemerdekaan di pasca kolonial

Nurshafiqah Binti Abdul Razak
(5 Tekkem)

MALAYSIA MILIK KITA

Wahai anak kita,
Kita semua anak Malaysia,
Pelbagai suku dan bangsa,
Hidup beragama kaya dengan budaya.
Kita anak Malaysia,
Melayu Cina dan India,
Bangsa di Sabah Sarawak juga,
Kita milik Malaysia,
Malaysia milik kita.
Dengarlah semua,
Wahai anak-anak Malaysia,
Hiduplah sejahtera,
Malaysia milik kita.
Tegahlah percaya,
Pada fitnah dan bicara dusta,
Kerana ia akan merosakkan segala,
Keamanan bersama.
Wahai anak Malaysia,
Teguhlah kita semua,
Fikirlah generasi kita,
Hiduplah bahagia agar tidak derita.

Marilah semua bangkit tuju ke angkasa,
Laungkan kita anak Malaysia,
Malaysia milik kita,
Kita milik Malaysia
Edjuedo Jued Edmend
(5 Tekkem)

PANTUN SEMARAK CINTA MERDEKA

Malaysia prihatin aman sejahtera,
63 tahun bebas penjajahan.
Moga negara maju sentiasa,
Salam kemerdekaan saya ucapkan.
Cantik berseri Puteri Anika,
Baju kebaya elok dipakai,
Berpuluh tahun kita merdeka,
Kekal makmur, aman, dan damai.
Putihnya awan di langit biru,
Menghiasi dunia setiap hari,
Rakyat Malaysia bersatu padu,
Menyambut kemerdekaan tanda hargai.
Mawar tumbuh subur dan mekar,
Di dalam kebun pelbagai tumbuhan,
Bendera Malaysia terus berkibar,
Seiring dengan semangat perpaduan.
Ombak gelora manampar pantai,
Bersinarnya laut bak mutiara,
Sebagai generasi cerdik dan pandai,
Tanamkan cinta terhadap negara.

Nukilan,
Michelle Chung

DARAH PEJUANG

57 tahun keramat,
Ogos menjadi saksi,
31 tarikh terpahat,
menjadi peristiwa
yang akan dikenang
selamanya…
Di tanah ini,
Darah tertumpah
Darah pejuang negara
Tidak diduga
Kita telah merdeka
Bertahun lama
Kerana pejuang negara
Namun hatiku sebak,
Melihat tunas baharu
Yang memandang daulat jahilnya
Memegahkan adat barat
Yang menolak adat ketimuran

Bagai kacang yang lupa
Lupa akan kulitnya
Sakitnya kulit merasakan
Peritnya peninggalan
Seperti anak yang dibesarkan
Dengan penuh kasih saying
Akhirnya memutuskan sungai
Yang mengalirkan persaudaraan

Hans Lucas
(5 Sains)

LAUNGAN BANGSA
Negaraku yang tercinta
Tanah airku…
Malaysia…Malaysia…
Bangsa berjiwa kemerdekaan
Bersatu dalam mempertahankan
Tiba saatnya…
Mengimbas kembali kobaran hati jiwa bangsa
Berdaulat…
Berdiri di hadapan kemegahan
Semangat pahlawan yang berharga
Kaum Melayu, Cina dan India berkumpul bersama
Mengibarkan Jalur Gemilang
Dengan penuh megahnya
Mengingati jasa perit
Pengorbanan tokoh-tokoh pejuang tanah air
Perjuangan tokoh-tokoh kearah kemerdekaan
Kesanggupan tolak ansur antara kaum
Merdeka dan teruskan merdeka
Pertahanankanlah wahai generasi muda
Isikanlah dengan kebermaknaan
Hiasi dengan kejayaan
Merdeka, Merdeka, Merdeka.

Cassandra Ann Moses,
Siti Nurhasyidah binti Harman,
Ellesha Meschille
(5 Sains)

MERDEKA

Belenggu penjajahan yang berderai,
Meragut emansipasi,
Menimbulkan rasa lara yang tidak tehingga,
Kerana bangsa dibejat tanpa belas kasihan
Demi kepentingan nafsu dan kuasa yang bermaharajalela
Laungan kemerdekaan,
Memberi seribu makna yang mendalam,
Tersimpan kemas dalam memori yang menyaksikan,
Betapa bersyukur dan berbangga,
Merdeka yang dikecapai bukan khayalan
Tetapi nyata.
Buang segala rasa lali,
Meraikan kemerdekaan ini,
Kerana merdeka bukan percuma,
Tetapi dibayar dengan darah pahlawan tanpa rela,
Yang bergulat untuk kebebasan tanah air yang bertuah ini.

Jinarisa Jamadin
(5 Sains)

TANAHKU MERDEKA

Engkau yang lahir di tanah merdeka,
Tanah yang nian indahnya
Tanah yang pernah dijerat benang hitam
Diselubungi awan sang penjajah
Pertumpahan darah sang pendekar
Namun itu semua telah berlalu
Ku syukuri awan gelap pergi
Cahaya merdeka terang bersinar membawa
Bahagia ke seluruh tanah airku…
Malaysia…
Malaysia…
Malaysia…

Melly Melina
(5 Sains)

MALAYSIAKU TANAH TERCINTA

Kami terbelit oleh duka
Lara menghimpit di segenap rasa
Pedih bertaut merentasi masa
Terkenang cerita seakan dongengan belaka
Saat warga bertarung nyawa
Demi sebuah kehidupan berkeluarga
Saat pejuang menghunus senjata
Untuk pertahankan tanah air tercinta
Duka itu tidak akan pernah terlupa
Mengalir deras walau tidak dipinta
Seandainya masih ada kudrat tersisa
tetap berdiri megah di persada negara
Aku anak pasca merdeka
Tidak kenal pasti erti sengsara
Hanya buku bisa berbicara
Tidak akan sama dengan mereka yang merasa
Namun aku bangga dan berdoa
Semoga Malaysia kekal merdeka

Ain Samira Binti Ahmad Tarmizi
(5 Tekkem B)

SALAM KEMERDEKAAN

Sungguh indah Gunung Tahan,
Khazanah indah kurniaan Tuhan,
Salam kemerdekaan saya ucapkan,
Malaysia maju bergerak ke hadapan.
Bunga Raya bunga kebangsaan,
Lambang prinsip rukun negara,
31 Ogos Hari Kemerdekaan,
Hari kebanggaan untuk Malaysia.
Sungguh indah negeri Melaka,
Tempat lahir ramai pahlawan,
63 tahun kita merdeka,
Hidup aman tiada keperitan.
Nama Malaysia sangat terbilang,
Menjadi sebutan pelusuk dunia,
Ayuh kibarkan jalur gemilang,
Tanda cinta pada negara.
Jalur gemilang berkibar megah,
Simbol penyatuan rakyat Malaysia,
Syukur Malaysia merdeka sudah,
Hidup muafakat aman sejahtera.
Nazifahtun Nabihah Binti Dzainudin
(4 Stem 3)

MERDEKA NAN INDAH

Langit cerah membiru,
Burung berkicauan terbang bebas,
Suara tawa riang terukir pada wajah-wajah cilik
Hidup penuh nikmat di bumi MERDEKA
Suatu ketika,
Tanah ini pernah berdarah,
Jerit tangis, pilu menghiris kalbu,
Setiap saat terpalit kedukaan pada wajah,
Setip saat merenung mencari cahaya
Suatu ketika,
Tanah ini pernah dijajah,
Jejak berdarah di sana sini,
Mewarnai tanah di bumi tercinta
Sejarah tidak pernah berdusta,
Lakaran bingkisan tetap kukuh dalam ingatan,
Biar sejarah ini jadi sempadan,
Melakar suka duka para pejuang,
Membebaskan bumi ini,
Dari cengkaman penjajah

Wahai anak muda
Warnai kemerdekaan dengan semangat waja
Bentangkan minda membina
Berdiri megah mendongak ke angkasa
Merdeka nan indah
Menjulang kebanggaan anak bangsa
Pertahankan wahai anak muda
Jangan biarkan noda melanda

Merdeka ini milik kita
Siramkan semangat waja
Bina jati diri
Kekalkan keharmonian
Sayangi negara kita
Sepahit mana pun
Sehitam mana pun
Semangat keramat tetap
Mendukung kesejahteraan sejagat
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Andrea Ozzey Antony
(4 KSI 1)

PERJUANGAN ANAK MERDEKA

Wahai anak Malaysia
Sudahkah engkau menunaikan tanggungjawab mu?
Ingatkah engkau akan perjuangan moyangmu?
Yang rela berkorban untuk negara
Dahulu kala banyak perjuangan
Kini masih adakah lagi
Sedangkan engkau mengikuti gaya mereka
Yang telah menjajah negara kita
Kegigihan mereka bercampur darah
Yang pada hari ini menjadi sejarah
Di mana lagi keberanianmu?
Untuk mempertahankan negara tercinta
Sementara bumi masih berputar
Bersatulah hingga akhir pengorbananmu
Untuk bangkit dari kisah yang lalu
Demi mengangkat maruah anak Malaysia.

Noraimah Abdullah
(4 Kem B)

BAHTERA MERDEKA

Hempasan ombak membalut mata
Membuka jiwa untuk memerhati sentiasa
Telah bertahun kita merdeka
Setelah banyak menitiskan air mata darah
Setelah banyak menitiskan keringat
Menghunus keris menimpa musuh
Sehingga habis darahku bertitik di tanah airku ini
Engkau melangkah dengan megah
Membawa perkhabaran indah
Menjulang panji kebebasan
Sehingga penuh sukmaku dengan kegirangan
Kesyukuran kini melimpahi insan
Yang bergelar rakyat Malaysia
Kini, kemerdekaan yang dikecapi
Menyatukan umat yang saling prihatin
Walau musibah melanda
Bersatu teguh, bercerai roboh kita bersama
Menghadapi keperitan dunia
Yang penuh pancaroba.

Nuraisyah binti Jaster,
Maxielyna Anastasyia Daniel,
Amanda Melissa Lo
(5 Sains)

MALAYSIA MERDEKA

Malaysia
Sebuah negara yang dahulunya ditindas
Kekejaman dan penganiayaan turut dilakukan
Hanya untuk kekayaan dan perebutan kuasa
Namun
Negaraku tidak tumpas begitu sahaja
Pelbagai strategi dilakukan dengan bijaksana
Meskipun ianya mengundang nyawa
Kini Malaysia telahpun maju
Negaraku bangun tidak lagi rebah
Rakyat Malaysia bersatu padu
Hidup harmoni aman sejahtera
Setelah 63 tahun Malaysia merdeka
Janganlah dilupakan perjuangan tokoh negara
Titik peluh pejuang bangsa kekal di ingatan
Demi memartabatkan negara tercinta

Luciana Binti Yusof
(4 Teras 2)

LAHIRLAH MERDEKA

Ribuan hari berlalu,
Sekian lama menanti
Bulan yang menjadi tahun
31 Ogos 1957 hari yang dinanti
Lahirlah sebuah kebebasan
Yang dinanti rakyat
Untuk bebas dari cengkaman sang penjajah
Demi keamanan negara
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Itulah suara lantang yang dilaungkan oleh pemimpin
Terasa syahdu mendengar
Di radio mahu pun di stadium merdeka
Dan kini perjuangan mereka
Telah menjadi sejarah
Atas pengorbanan pemimpin
Demi negara tercinta

Maysa Imran
(4 KSI 1)


Click to View FlipBook Version