The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sjktarumugampillaisp, 2020-02-21 00:25:00

MODUL BACAAN

MODUL BACAAN

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

SJK ( T ) LADANG JABI

[hgp Njhll; j; jkpog; g; s;sp

06400 POKOK SENA

KEDAH DARUL AMAN

i

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

BIL. TAJUK M/S

1. BERKELAH DI TEPI PANTAI 1

2. KEPENTINGAN AIR 2

3. AKU SEBUAH BUKU CERITA 3

4. CITA-CITA SAYA 4

5. BUAH-BUAHAN TEMPATAN 5

6. JIRAN BARU SAYA 6

7. KAMPUNG SAYA 7

8. HARI JADI SAYA 8

9. PERISTIWA YANG TIDAK 9
DAPAT DILUPAKAN

10. CUTI SEKOLAH 10

11. KEGUNAAN POKOK KELAPA 11

12. PERPUSTAKAAN SEKOLAH 12

13. SUKAN TAHUNAN 13

14. GOTONG ROYONG 14

15. SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 15

16. FAEDAH BERSENAM 16

17. PENCEMARAN ALAM SEKITAR 17

18. SUASANA DI PASAR MALAM 18

19. KUCING SAYA 19

20. LAWATAN KE CAMERON 20

21. PERGI KE ZOO 21

22. HOBI SAYA 22

23. JIKA SAYA SEORANG KAYA 23

24. NEGARA SAYA 24

25. MATAPELAJARAN YANG 25

SAYA MINATI

26. KEBAKARAN 26

ii

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

27. KEPENTINGAN MENJAGA 27
KESIHATAN DIRI

28. PERMAINAN KESUKAAN SAYA 28

29. SAYA SEHELAI BAJU 29

30. MAKANAN BERKHASIAT 30

31. PERMAINAN TRADISIONAL 31

32. SEKOLAH SAYA 32

33. KEGUNAAN HAIWAN 33

34. PERAYAAN DI MALAYSIA 34

35. KEPENTINGAN TELEFON 35

36. PERKHEMAHAN PENGAKAP 36

37. KEGUNAAN TUMBUH-TUMBUHAN 37

38. MAKANAN KEGEMARAN SAYA 38

39. ORANG YANG DISAYANGI 39

40. HARI GURU 40

41. HARI IBU 41

42. SAHABAT PENA GOVALEN 42

43. SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI 43

44. LAPORAN SUKAN TAHUNAN 44

45. UCAPAN 45

iii

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

1 BERKELAH DI TEPI PANTAI

Pada hari minggu yang lepas, keluarga
saya telah pergi berkelah. Kami berkelah di tepi
pantai.

Suasana di situ sangat meriah. Saya dan
abang saya bermandi-manda di laut. Kami
menggunakan pelampung semasa berenang.

Pada waktu tengah hari, kami sekeluarga
menjamu selera di bawah sebatang pokok. Kami
makan mi, ayam goreng dan buah tembikai.

Sebelum pulang kami membersihkan
tempat itu. Kami membuang sampah dan tin-tin
kosong ke dalam tong sampah.

1

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

2 KEPENTINGAN AIR

Air sangat penting kepada semua benda hidup.
Benda hidup akan mati tanpa air.

Manusia menggunakan air untuk minum,
mandi, mencuci dan menyiram pokok-pokok.

Tumbuh-tumbuhan memerlukan air untuk
membesar. Tumbuh-tumbuhan menggunakan
air untuk memproses makanan.

Air juga penting sebagai satu cara
pengangkutan. Air sangat penting apabila
berlaku kebakaran. Ahli-ahli bomba memerlukan
air untuk memadamkan api. Air bukan sahaja
dapat menyelamatkan harta benda malah
nyawa manusia.

2

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

3 AKU SEBUAH BUKU CERITA

Aku ialah sebuah buku cerita.
Aku diperbuat daripada kertas.
Badanku berwarna merah dan
putih. Tuanku membeli aku dari
sebuah kedai buku di bandar.
Tuan aku membaca aku untuk beberapa
hari. Kemudian, tuan aku meminjamkan aku
kepada kawan-kawannya di sekolah. Dia
memberitahu mereka bahawa cerita aku sangat
menarik.
Nasib aku sangat malang kerana badan
dan helaian muka aku menjadi berlipat-lipat dan
kotor.
Selepas itu, tuan aku tidak meminjamkan
aku kepada kawan-kawannya lagi. Kini, aku
ditempatkan di atas sebuah rak buku dalam bilik
tuan aku.

3

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

4 CITA-CITA SAYA

Saya bercita-cita hendak menjadi seorang
doktor. Saya memilih untuk menjadi doktor
kerana hendak merawat orang yang sakit.

Saya berasa kasihan setiap kali saya pergi
ke hospital. Keadaan ini telah membuatkan saya
memilih untuk menjadi doktor.

Selain itu, saya hendak membuka klinik
saya sendiri. Saya akan mengenakan bayaran
yang sederhana. Bagi mereka yang miskin, saya
akan merawat mereka dengan percuma.

4

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

5 BUAH-BUAHAN TEMPATAN

Negara kita sangat kaya dengan buah-
buahan. Buah-buahan ini ditanam di kebun atau
di ladang.

Antara buah-buahan itu ialah durian,
rambutan, manggis, duku, langsat, ciku, tembikai
dan pisang. Buah-buahan ini boleh dibahagikan
kepada yang bermusim dan buah yang tidak
bermusim.

Pada musim buah-buahan, kita dapat
melihat banyak gerai menjual buah-buahan di
tepi jalan.

Kita digalakkan memakan buah-buahan
tempatan kerana ia membekalkan khasiat dan
vitamin.

5

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

6 JIRAN BARU SAYA

Jiran baru saya ialah Encik Maniam dan
kelaurganya. Mereka baru berpindah ke sini
pada bulan lepas.

Encik Maniam bekerja sebagai peguam.
Isteri Encik Maniam pula bekerja sebagai
jururawat.

Encik Maniam mempunyai dua orang anak
perempuan. Anak-anaknya belajar di sekolah
yang sama dengan saya. Kami sering belajar
dan bermain bersama-sama.

6

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

7 KAMPUNG SAYA

Nama kampung saya ialah Sri Murni.
Kampung saya ialah sebuah kampung nelayan.
Ia terletak di tepi pantai.

Kebanyakan penduduk lelaki di kampung
saya bekerja sebagai nelayan. Penduduk wanita
pula menganyam tikar dan bakul mengkuang
untuk dijual.

Penduduk kampung ini hidup dalam aman
dan damai.

Di kampung ini terdapat sebuah sekolah
dan juga klinik kerajaan.

7

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

8 HARI JADI SAYA

Pada minggu lepas, saya telah menyambut
hari jadi saya yang kedua belas. Ramai kawan
sekelas saya datang ke majlis itu.

Emak menyediakan makanan yang
banyak. Kakak pula membuat sebiji kek coklat
yang cantik.

Saya menerima banyak hadiah pada hari
itu. Hadiah-hadiah itu adalah daripada kawan
saya.

Dalam majlis hari jadi itu, kami main
permainan dan menyanyi beramai-ramai. Kami
semua berasa sungguh gembira.

8

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

9 PERISTIWA YANG TIDAK DAPAT
DILUPAKAN

Pada dua hari yan lepas, emak telah
membawa saya dan adik ke sebuah pasar raya.
Ketika itu, ramai orang berada di situ.

Tiba-tiba didapati adik saya tidak ada di sisi
emak saya. Kami berdua pun berasa cemas dan
mencari adik saya di pasar raya tersebut.

Beberapa minit kemudian, nama adik saya
diumumkan dengan kuat di kaunter
pengumuman.

Setelah mendengar pengumuman itu,
emak pun pergi ke kaunter pengumuman itu
dengan segera. Adik terus memeluk emak
apabila emak tiba. Peristiwa tersebut tidak
dapat saya lupakan.

9

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

10 CUTI SEKOLAH

Pada cuti sekolah yang lepas, saya telah
mengikut bapa saudara saya pulang ke
kampung. Saya suka balik ke kampung kerana
dapat bermain layang-layang di sawah.

Biasanya, saya bermain layang-layang
dengan sepupu saya iaitu Ravi dan Rani.
Merekalah yang membuat layang-layang untuk
saya.

Kami bermain layang-layang pada waktu
petang. Jika angin kuat, layang-layang itu akan
terbang dengan tinggi. Kami akan menarik
layang-layang itu mengeliling sawah.

10

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

11 KEGUNAAN POKOK KELAPA

Pokok kelapa

mempunyai banyak

kegunaannya. Ia tumbuh

subur di kawasan yang

berpasir.

Batang pokok kelapa

boleh dibuat titi. Titi

memudahkan orang ramai

menyeberangi sungai.

Daunnya boleh dibuat sarung ketupat. Lidinya

pula boleh dijadikan penyapu.

Air buah kelapa boleh diminum dan isinya

boleh dimakan. Airnya boleh juga dijadikan

ubat.

Tempurung kelapa boleh dibuat berbagai-

bagai jenis barang seperti tabung, senduk dan

barang-barang perhiasan. Minyak daripada

santan kelapa digunakan untuk membuat

sabun, marjerin dan lilin.

11

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

12 PERPUSTAKAAN SEKOLAH SAYA

Perpustakaan merupakan
suatu gedung ilmu. Di
sekolah saya ada sebuah
perpustakaan. Perpustakaan
sekolah saya kecil tetapi cantik.

Di dalam perpustakaan ada banyak jenis
buku. Buku-bukunya adalah seperti buku rujukan,
buku cerita dan majalah. Kami juga boleh
membaca buku dan membuat rujukan di
perpustakaan. Buku-buku disusun teratur dan
rapi. Seorang guru ditugaskan untuk menjaga
perpustakaan. Murid-murid tidak dibenarkan
membuat bising di perpustakaan.

Kami boleh meminjam buku dari
perpustakaan. Buku-buku yang dipinjam mesti
dipulangkan dalam masa seminggu.

Saya sangat sukakan perpustakaan sekolah
saya. Perpustakaan mendatangkan banyak
faedah kepada saya.

12

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

13 SUKAN TAHUNAN

Sekolah saya telah mengadakan Sukan
Tahunan pada hari Ahad yang lepas. Berbagai-
bagai acara telah diadakan. Antaranya ialah
lumba lari, lompat tinggi dan lompat jauh.

Acara sukan itu diadakan di padang
sekolah. Padang sekolah dihiasi dengan
bendera-bendera kecil yang berwarna-warni.
Suasana pada hari itu sungguh meriah.

Saya telah mengambil bahagian dalam
acara lumba lari berganti-ganti. Malangnya
pasukan saya hanya berjaya menduduki tempat
yang kedua. Kami berempat menerima pingat
perak.

13

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

14 GOTONG-ROYONG

Pada hari minggu yang lepas, penduduk di
kampung saya telah keluar untuk bergotong-
royong.

Mereka membersihkan kawasan sekeliling
kampung. Ada yang mengutip sampah, ada
yang membersihkan longkang dan ada yang
membakar sampah sarap.

Setelah penat membuat kerja, penduduk
kampung dihidangkan dengan air sirap dan
goreng pisang.

Aktiviti gotong-royong itu tamat pada pukul
5.00 petang. Keadaan di sekeliling kampung
menjadi bersih semula.

14

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

15 SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

Pada 31 Ogos yang lalu, saya telah ke
Dataran Merdeka. Saya ke sana untuk melihat
perarakan Hari Kebangsaan.

Ramai orang telah berada di situ semasa
kami sampai. Kami nampak sebuah pentas yang
besar. Di atasnya ialah Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong dan menteri-menteri
kabinet.

Pada pukul 8.00 pagi, perarakan pun
bermula. Acara yang paling menarik ialah
perarakan kereta berhias. Kereta berhias itu
sungguh cantik dan berwarna-warni.

Pada hari itu, saya berasa sungguh
gembira.

15

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

16 FAEDAH BERSENAM

Kita semua mesti bersenam. Senaman
dapat menyihatkan badan. Kita tidak mudah
dijangkiti penyakit. Otak kita juga akan menjadi
lebih cergas.

Kita boleh melakukan senaman sama ada
di dalam rumah ataupun di luar rumah.

Kita mesti melakukan senaman sekurang-
kurangnya tiga kali dalam seminggu. Senaman
yang paling berkesan ialah berenang. Selain itu,
kita juga boleh berlari di kawasan lapang. Berlari
ialah senaman yang paling mudah dilakukan.

16

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

17 PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Pencemaran alam sekitar terbahagi
kepada tiga jenis. Pencemaran itu ialah
pencemaran udara, pencemaran air dan
pencemaran bunyi. Pencemaran boleh
membawa banyak kesan buruk kepada
manusia.

Pencemaran udara berlaku apabila kilang,
kereta, motosikal dan lori mengeluarkan asap
yang berlebihan.

Pencemaran air berlaku apabila kilang
membuang sisa dan racun ke dalam sungai. Ia
juga berlaku jika ada tumpahan minyak di laut.

Pencemaran bunyi berlaku apabila
kenderaan dan mesin-mesin mengeluarkan
bunyi yang berlebihan.

17

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

18 SUASANA DI PASAR MALAM

Pada hari minggu yang lepas, saya dan
kakak pergi ke pasar malam.

Semasa di pasar malam, saya nampak
ramai orang sedang membeli-belah. Banyak
barang yang dijual di situ. Antara barang-
barang itu ialah perkakas dapur, sayur-sayuran,
pakaian dan pokok bunga.

Saya dan kakak pergi ke sebuah gerai
makan. Kami makan mi rebus dan minum air
tebu.

Selepas makan, kami pergi membeli sedikit
sayur. Sebelum pulang, kami membeli jagung
rebus untuk ayah dan emak.

18

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

19 KUCING SAYA

Baru-baru ini ayah
membelikan saya seekor
kucing. Kucing itu ialah
hadiah hari jadi saya.

Saya namakan kucing
itu Tina. Bulu Tina berwarna
kelabu dan matanya
berwarna biru. Makanan kegemarannya ialah
daging dalam tin dan susu.
Pada waktu lapang, saya suka bermain
dengannya. Tina sangat manja dengan saya.
Semasa pulang dari sekolah, Tina akan
menunggu saya di hadapan pintu sambil
mengeow dengan kuat.

19

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

20 LAWATAN KE CAMERON

Pada cuti sekolah yang lalu, kami
sekeluarga telah pergi ke Tanah Tinggi Cameron.
Tanah Tinggi Cameron ialah suatu tempat
peranginan yang sangat cantik. Udara di situ
pula sejuk dan nyaman.

Semasa di situ, kami pergi melawat taman
bunga dan taman kaktus. Pokok-pokok bunga di
situ hidup dengan subur dan bunga-bunganya
sangat cantik.

Kami juga pergi ke kebun sayur dan
strawberi. Ia merupakan kali pertama saya
melihat pokok strawberi.

Sebelum pulang, emak membeli beberapa
bungkusan strawberi. Kami semua berasa
sungguh gembira.

20

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

21 MELAWAT ZOO

Pada minggu lepas, Cikgu Rani membawa
kami ke Zoo. Ia terletak di Taiping.

Di Zoo itu terdapat banyak binatang.
Antara binatang-binatang itu ialah harimau,
rusa, monyet, gajah, burung, arnab, badak dan
kura-kura.

Kami dapat melihat cara binatang itu
bergerak, makan dan tidur. Cikgu Rani menyuruh
kami menulis tentang binatang itu dalam buku
tulis.

Setelah penat berjalan, kami berehat untuk
minum. Selepas itu, kami pun pulang. Pada hari
itu, saya berasa sungguh gembira.

21

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

22 HOBI SAYA

Pada masa lapang, saya
suka membaca buku cerita.
Saya meminjam buku-buku
cerita itu dari perpustakaan
sekolah.

Buku cerita yang saya
minati ialah cerita misteri.
Cerita-cerita ini sangat seronok
dibaca. Saya membaca
sebuah buku cerita pada setiap minggu.
Saya membaca buku cerita selepas saya
membuat kerja sekolah. Adakalanya saya
membaca sebelum tidur.
Kegemaran ini sangat berfaedah kerana
saya dapat membaiki Bahasa Malaysia saya.

22

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

23 JIKA SAYA SEORANG KAYA

Jika saya seorang kaya, saya hendak
melakukan banyak perkara.

Pertama, saya hendak membeli sebuah
rumah untuk keluarga saya. Sekarang, kami
sekeluarga tinggal di sebuah rumah sewa.
Rumah itu kecil dan sempit. Saya hendak tinggal
di sebuah rumah dua tingkat. Ini kerana keluarga
saya agak besar. Saya mempunyai tiga orang
abang dan dua orang kakak.

Kedua, saya hendak memberi sebahagian
daripada wang itu kepada ayah dan emak
saya.

Selain itu, saya akan menyimpan wang
yang selebihnya di dalam bank. Wang itu akan
saya gunakan untuk pelajaran saya.

23

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

24 NEGARA SAYA

Negara saya ialah Malaysia. Ia terletak
dekat dengan Indonesia dan Singapura.

Negeri-negeri di Malaysia ialah Perlis,
Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri
Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu,
Kelantan, Sabah, dan Sarawak. Ibu negara
Malaysia ialah Kuala Lumpur.

Negara saya kaya dengan getah, minyak
kelapa sawit dan padi.

Penduduk Negara ini terdiri daripada
berbagai-bagai bangsa dan agama. Bangsa-
bangsa itu ialah Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan dan sebagainya. Penduduk Negara ini
hidup dalam aman dan damai.

24

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

25 MATAPELAJARAN YANG PALING
SAYA MINATI

Di sekolah, saya belajar beberapa jenis
matapelajaran. Antara mata-mata pelajaran itu
ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan
Matematik.

Mata pelajaran yang paling saya minati
ialah Matematik. Saya menyukai mata pelajaran
ini kerana ia sangat menarik. Masalah-masalah
Matematik membuat saya berfikir dengancepat
dan tepat.

Pada setiap hari, saya membuat latihan
Matematik. Dalam ujian itu, saya sentiasa
mendapat markah yang tinggi untuk mata
pelajaran ini.

25

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

26 KEBAKARAN

Saya berjalan pulang dari sekolah. Tiba-tiba
saya ternampak asap keluar dari belakang kedai
Pak Ali.

Saya pun menjerit dengan kuat, “Api!Api!
Kedai Pak Ali terbakar!”.

Jiran-jiran Pak Ali pun keluar dari rumah
mereka. Mereka semua pergi ke kedai Pak Ali.
Mereka menolong memindahkan barang-
barang dari kedai itu.

Beberapa orang pula sibuk memadamkan
api itu. Akhirnya api itu berjaya dipadamkan.

Pak Ali mengucapkan terima kasih kepada
semua yang telah menolongnya.

26

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

27 KEPENTINGAN MENJAGA
KESIHATAN DIRI

Setiap orang mesti menjaga kesihatan diri.
Kalau tidak akan diserang pelbagai jenis
penyakit.

Kita mestilah mandi sekurang-kurangnya
dua kali sehari. Kalau kita tidak mandi, badan
kita akan dipenuhi daki dan berbau busuk.

Kita juga mesti menjaga kebersihan gigi
kita. Gigi mestilah digosok sekurang-kurangnya
tiga kali sehari. Elak daripada memakan terlalu
banyak gula-gula.

Selain itu, kita mesti makan makanan yang
berkhasiat. Makanan hendaklah dicuci dan
dimasak sebelum dimakan.

27

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

28 PERMAINAN KESUKAAN SAYA

Saya pandai bermain

beberapa jenis permainan.

Contohnya, badminton, bola

keranjang dan pingpong.

Bagaimanapun, permainan

kesukaan saya ialah badminton.

Saya suka bermain

badminton kerana saya kagum

dengan pemain-pemain negara kita. Kejayaan

mereka mendapat Piala Thomas telah memberi

semangat kepada saya. Pemain-pemain pujaan

saya ialah Datuk Lee Chong Wei.

Biasanya, saya berlatih bermain badminton

pada waktu petang. Saya bermain dengan

kawan-kawan saya di dewan sekolah. Kami

semua ialah pemain badminton sekolah.

28

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

29 SAYA SEHELAI BAJU

Saya ialah sehelai baju. Warna saya ialah
kuning.

Saya telah dibeli oleh seorang wanita untuk
anak perempuannya. Anak perempuannya
bernama Devi. Devi memakai saya pada hari
jadinya.

Pada hari itu, kawan-kawannya memuji
kecantikan saya. Devi berasa sungguh gembira.
Dia menyuruh ayahnya mengambil gambar
sebagai kenangan.

Nasib saya sungguh malang pada hari itu.
Badan saya terkena kuah kari. Badan saya
menjadi kotor dan berbau. Akhirnya, Devi
menukar kepada baju lain dan membiarkan
saya.

29

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

30 MAKANAN BERKHASIAT

Makanan berkhasiat adalah penting untuk
tubuh kita. Makanan yang berkhasiat
mengandungi protein, kabohidrat, lemak,
vitamin, garam mineral dan air.

Jika kita makan makanan yang berkhasiat,
badan kita akan menjadi sihat. Kita juga susah
dijangkiti penyakit.

Makanan yang berkhasiat juga memberi
kita tenaga. Tenaga ini digunakan untuk
membuat kerja dan untuk bergerak.

Antara makanan yang berkhasiat ialah
susu, telur, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan
daging.

30

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

31 PERMAINAN TRADISIONAL

Negara kita sangat kaya dengan berbagai-
bagai jenis permainan. Antara permainan itu
ialah wau, gasing, batu seremban dan congkak.

Permainan tempatan ini mudah dibuat.
Bahan-bahan yang diperlukan pula mudah
didapati dan murah.

Permainan tempatan ini mendatangkan
banyak kebaikan. Ia menggalakkan pemain-
pemainnya supaya bekerjasama. Keadaan ini
menanamkan sikap toleransi dalam diri pemain.

Permainan tempatan juga boleh dijadikan
sebagai satu hobi.

31

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

32 SEKOLAH SAYA

Sekolah saya ialah

Sekolah Jenis

Kebangsaan Tamil

Ladang Jabi. Ia terletak

di Pokok Sena, Kedah.

Sekolah saya

sangat cantik. Ia

mempunyai sebuah bangunan, sebuah pejabat,

kantin, perpustakaan, makmal komputer dan pra

sekolah. Di tepi bangunan pula ada sebuah

padang rumput tiruan yang cantik.

Sekolah saya juga mempunyai kebun

bunga. Antara bunga-bunga yang ditanam di

situ ialah bunga mawar, bunga raya, bunga

kekwa dan bunga orkid.

Sekolah ini mempunyai kelas-kelas dari pra

sekolah hingga tahun enam. Kesemua murid

belajar dalam sesi pagi. Saya sangat sukakan

sekolah saya.

32

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

33 KEGUNAAN HAIWAN

Haiwan sangat berguna kepada manusia.
Haiwan-haiwan itu sama ada yang dipelihara
ataupun tidak.

Contohnya, lembu dipelihara untuk
mendapatkan susunya. Lembu juga boleh
digunakan untuk menarik kereta lembu. Kulit
lembu pula boleh dibuat gendang dan
kompang.

Ayam dipelihara untuk mendapatkan
daging dan telurnya. Daging dan telur ayam
ialah makanan berkhasiat.

Anjing pula dipelihara untuk menjaga
rumah. Pihak polis juga menggunakan anjing
untuk mengesan penjahat dan dadah yang
disembunyi.

33

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

34 PERAYAAN DI MALAYSIA

Penduduk Malaysia merayakan berbagai-
bagai jenis perayaan. Ini kerana penduduknya
terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan
keturunan.

Antara perayaan yang disambut ialah Hari
Raya Puasa, Deepavali, Tahun Baru Cina dan
Hari Krismas.

Hari Raya Puasa disambut oleh masyarakat
Melayu yang beragana Islam. Deepavali pula
disambut oleh masyarakat India yang beragama
Hindu. Tahun Baru Cina disambut oleh orang
Cina. Krismas pula disambut oleh mereka yang
beragama Kristian.

Perayaan-perayaan ini disambut dengan
meriah oleh semua penduduk negara ini.
Mereka saling kunjung-mengunjungi.

34

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

35 KEPENTINGAN TELEFON

Kita hidup dalam dunia yang serba moden.
Telefon merupakan alat perhubungan yang
penting.

Telefon membolehkan dua orang yang
berjauhan berkomunikasi antara satu sama lain.
Contohnya seseorang yang berada di luar
negeri boleh bercakap dengan ahli keluarganya
di sini.

Telefon adalah penting apabila berlaku
sesuatu kecemasan. Pihak yang terlibat terpaksa
menggunakan telefon untuk menghubungi pihak
polis. ambulans ataupun balai bomba.

Perkhidmatan telefon amat diperlukan
dalam dunia perniagaan.

35

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

36 PERKHEMAHAN PENGAKAP

Pada minggu lepas, saya menyertai
Pasukan Pengakap sekolah pergi berkhemah.
Kami berkhemah di tepi hutan.

Saya telah ditugaskan untuk mencari kayu
api. Semasa mencari kayu api itu saya tersesat
jalan.

Setelah berjalan hampir dua jam, saya
berasa haus dan letih. Saya duduk di bawah
sebatang pokok yang besar. Tanpa disedari saya
tertidur di situ.

Tiba-tiba saya terdengar suara orang
memanggil saya. Saya bangun dengan segera
dan berlari kea rah suara itu. Saya berasa
sungguh gembira apabila bertemu dengan
kawan-kawan saya.

36

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

37 KEGUNAAN TUMBUH-TUMBUHAN

Tumbuh-tumbuhan sangat berguna
kepada kita. Kita menanam tumbuh-tumbuhan
untuk dimakan. Antara tumbuh-tumbuhan itu
ialah padi, pisang, betik, ubi dan sayur-sayuran.

Tumbuh-tumbuhan memberi vitamin dan
zat makanan yang diperlukan oleh tubuh kita. Ia
membolehkan badan kita membesar.

Tumbuh-tumbuhan seperti pokok getah
juga penting kepada manusia. Kayu pokok
getah boleh dijadikan perabot rumah.

Sesetengah bahagian daripada rumah kita
diperbuat daripada kayu. Oleh itu, tumbuh-
tumbuhan sangat penting kepada manusia.

37

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

38 MAKANAN KEGEMARAN SAYA

Negara kita memang kaya dengan
pelbagai jenis makanan yang lazat.
Bagaimanapun, makanan kegemaran saya
ialah lemang dan rendang.

Lemang dan rendang ini mesti dimakan
bersama-sama. Makanan ini biasa dihidangkan
pada hari raya.

Lemang ialah pulut yang dibakar sehingga
masak dalam buluh. Sebelum dibakar, pulut itu
dicampurkan dengan santan. Santan
membuatkan pulut itu berbau harum.

Rendang pula dimasak daripada daging
ayam.

38

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

39 ORANG YANG DISAYANGI

Orang yang paling saya sayangi ialah
nenek saya. Ini kerana nenek sayalah yang telah
membesarkan saya. Sejak kecil saya tinggal
dengan nenek saya. Ibu bapa saya pula bekerja
di tempat lain.

Walaupun sudah tua, nenek saya masih
sihat dan cergas. Dia membela ayam dan itik
untuk dijual. Dia juga menanam jagung.

Nenek sering menasihati saya supaya
belajar dengan rajin. Dia mengatakan bahawa
masa depan kita adalah cerah jika kita
mempunyai pengetahuan yang banyak. Saya
telah berjanji untuk mengikut nasihatnya.

39

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

40 HARI GURU

Pada hari Ahad yang lepas, sekolah saya
telah menyambut Hari Guru. Ia disambut dengan
meriah.

Pada hari itu, banyak gerai didirikan untuk
menjual makanan. Gerai-gerai itu dihiasi dengan
belon-belon yang berwarna-warni.

Pada waktu tengah hari, guru-guru dan
murid-murid telah mengadakan pertunjukan
kebudayaan. Pertunjukan itu diadakan di dewan
sekolah. Pertunjukan itu sangat menarik.

Selepas itu, diadakan sukaneka di antara
guru dengan murid-murid. Acara itu diadakan di
padang sekolah.

40

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

41 HARI IBU

Pada 8 Mei yang lalu, keluarga saya telah
menyambut Hari Ibu. Hari Ibu disambut untuk
menunjukkan rasa terhutang budi kita kepada
pengorbanan ibu.

Pada hari itu, kami membeli sebiji kek untuk
ibu. Kek itu sangat cantik. Emak meniup lilin pada
kek itu.

Saya dan kak memberi hadiah istimewa
kepada ibu.

Ibu membuka hadiah itu. Ibu berasa
sungguh gembira apabila melihat sebuah beg
tangan. Dia mengucapkan terima kasih. Pada
hari itu, saya berasa sungguh gembira.

41

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

42 SAHABAT PENA SRIVAN

Baru-baru ini Srivan telah mendapat
seorang sahabat Pena. Dia mendapat alamat
penanya daripada sebuah majalah.

Sahabat pena Govalen tinggal di Pulau
Pinang. Nama sahabat penanya ialah Bernard.
Umur Bernard ialah sepuluh tahun.

Ayah Bernard ialah seoarang peniaga dan
ibunya ialah seorang guru. Bernard mempunyai
seorang abang dan seorang kakak.

Pada masa lapang, Bernard suka
berenang dan menonton televisyen. Dia juga
suka mengumpul setem. Dia telah berjanji untuk
bertukar-tukar setem dengan Srivan.

42

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

43 SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

Ganesan a/l Paramasivan,
No. 2 Jalan Mesra,

Taman Mesra Indah,
08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.

02 JANUARI 2017.

Menemui ayahanda yang berada dalam
keadaan sihat sejahtera di Bedong.

Apa khabar, ayahanda ? Di sini anakanda
berada dalam keadaan sihat sejahtera. Tujuan
anakanda menulis surat ini adalah untuk
meminta wang. Anakanda memerlukan wang
untuk menyertai rombongan. Lawatan ini adalah
dijadualkan pada 1 Mei 2017.

Oleh itu, anakanda memerlukan wang
sebanyak RM 100.00. Wang ini adalah untuk
bayaran tambang, penginapan dan wang saku.

Anakanda berharap agar ayahanda
dapat membenarkan anakanda menyertai
rombongan itu. Diharap ayahanda dapat
mengirimkan wang itu dengan segera.

Salam mesra daripada anakanda.

Yang benar,
Ganesan

43

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

44 Laporan Sukan Tahunan Ke-20 Sekolah Jenis

Kebangsaan Tamil, Ladang Jabi, Pokok Sena,
Kedah

Pada 24 Februari 2017, sukan tahunan telah
diadakan. Sukan ini bermula pada pukul 2.00
petang. Sukan tahunan dilangsungkan di
padang sekolah.

Pelbagai acara telah dipertandingkan.
Acara itu adalah seperti lompat tinggi, lompat
jauh, lumba lari dan sebagainya. Acara
permulaan ialah perbarisan murid-murid.
Kemudian, sukan tahunan telah dirasmikan oleh
Tuan Pegawai Pelajaran Daerah. Para peserta
mengambil bahagian dengan semangat
kesukanan.Seterusnya acara ibu bapa seperti
tarik tali dan menggubah bunga telah diadakan.
Rumah Vivegananthar telah berjaya menjadi
johan. Tuan Guru Besar telah menyampaikan
hadiah kepada para pemenang.

Sukan tahunan telah tamat pada pukul 6.00
petang. Sukan tahunan ini berakhir dengan
suatu jamuan ringan.

Disediakan oleh,

Vijaya 28 FEBRUARI 2017.
( VIJAYA A/P MUTHUSAMY )
( Setiausaha Sukan Tahunan )

44

MODUL BACAAN NAGENDRAN A/L SUBRAMANIAM

43 UCAPAN WAKIL MURID
PADA HARI GURU

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru
Besar, Guru-Guru serta rakan-rakan sekalian.

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap
tahun. Tujuannya ialah untuk mengenang jasa
dan perjuangan guru.

Guru sentiasa mendidik kami supaya
menjadi manusia yang berguna. Mendidik
adalah satu tugas yang berat. Namun, ia tetap
dilaksanakan demi kepentingan kami.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih
atas tunjuk ajar dan nasihat anda selama ini.
Kami akan mengamalkan segala ilmu yang
diajar untuk mencapai cita-cita kami pada masa
hadapan.

Akhir sekali, saya mengucapkan Selamat
Hari Guru dan selamat maju jaya.

Sekian, terima kasih.

45


Click to View FlipBook Version