The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sjktarumugampillaisp, 2020-02-13 09:30:13

JNJK BUKU PANDUAN SAINS

JNJK BUKU PANDUAN SAINS

3.5.5 Penerapan Sikap Saintifik dan Nilai Murni

Mata pelajaran Sains menegaskan penerapan nilai-nilai murni
berdasarkan manusia harus memainkan peranan sebagai insan
yang bertanggungjawab dan bijaksana dalam menguruskan
alam. Sikap saintifik dan nilai murni yang boleh diterap menerusi
pengajaran dan pembelajaran sains adalah seperti berikut:
a. Minat dan bersifat ingin tahu tentang alam sekeliling.
b. Jujur dan tepat dalam merekod dan mengesahkan data.
c. Rajin dan tabah dalam menjalankan atau menceburi

sesuatu perkara.
d. Bertanggungjawab ke atas keselamatan diri dan rakan serta

terhadap alam sekitar.
e. Menyedari bahawa sains merupakan satu daripada cara

untuk memahami alam.
f. Menghargai dan mengamalkan kehidupan yang bersih dan

sihat.
g. Menghargai keseimbangan alam semula jadi.
h. Berhemah tinggi dan hormat menghormati.
i. Menghargai sumbangan sains dan teknologi.
j. Mensyukuri nikmat yang dikurniakan Tuhan.
k. Berfikiran kritikal dan analitis.
l. Luwes dan berfikiran terbuka.
m. Baik hati dan penyayang.
n. Bersifat objektif.
o. Sistematik.
p. Bekerjasama.
q. Adil dan saksama.
r. Berani mencuba.
s. Berfikir secara rasional.
t. Yakin dan berdikari.

39

Penerapan sikap saintifik dan nilai murni secara umum berlaku
mengikut peringkat berikut:
a. Menyedari dan memahami kepentingan dan keperluan

sikap saintifik dan nilai murni.
b. Memberi perhatian serta respons.
c. Menghayati dan mengamalkan.
d. Membudayakan sikap saintifik dan nilai murni dalam

kehidupan.

3.6 PENYEDIAAN RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN

Rancangan Pelajaran Tahunan merupakan panduan perancangan
pengajaran untuk satu mata pelajaran dalam tempoh setahun
berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran. Rancangan Pelajaran Tahunan disediakan oleh panitia
dan diedarkan kepada semua guru yang terlibat.

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan
Rekod Pengajaran dan Pembelajaran, penyediaan Rancangan
Pelajaran Tahunan mengandungi secara ringkas isi kandungan
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran
kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rancangan Pelajaran Tahunan mengandungi perkara-perkara seperti
ruang minggu, tajuk atau tema, kemahiran dan catatan. Beberapa
aspek yang diberi pertimbangan dalam menyediakan Rancangan
Pelajaran Tahunan ialah:

a. Mengenal pasti murid yang menjadi kumpulan sasaran dan
keupayaan yang berbeza.

b. Mengubah suai Rancangan Pelajaran Tahunan berdasarkan
takwim persekolahan dan atau atau kumpulan murid tahun
semasa.

40

c. Membuat pemetaan isi pelajaran dengan memilih, menentukan dan
menyusun kemahiran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah atau Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah atau
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran atau Dokumen
Standard Kurikulum.

d. Menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan pada awal tahun
persekolahan dalam bentuk yang telah ditentukan oleh pihak
sekolah.

e. Menyatakan unsur-unsur ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai
murni dalam Rancangan Pelajaran Tahunan.

3.7 PENYEDIAAN RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan
Rekod Pengajaran dan Pembelajaran, Rancangan Pelajaran Harian
merupakan terjemahan daripada Rancangan Pelajaran Tahunan yang
mengandungi sekurang-kurangnya maklumat seperti objektif, cara
bagaimana hendak mencapai objektif dan kenyataan sejauh mana objektif
itu tercapai. Rancangan Pelajaran Harian disediakan dengan:

a. Merujuk dan diselaraskan dengan Rancangan Pelajaran
Tahunan.

b. Berdasarkan tahap kebolehan murid dalam kelas yang
berkenaan.

c. Mempunyai kesinambungan dengan pengajaran dan
pembelajaran yang terdahulu.

d. Mengambil kira refleksi yang dibuat.
e. Sebaik-baiknya sehari sebelum sesuatu pelajaran itu

disampaikan.

41

3.7.1 Penulisan Objektif

Rasional dalam penulisan objektif ialah:
a. Menentukan arah tuju pengajaran dan pembelajaran

guru.
b. Membantu guru membuat penilaian, pentaksiran dan

pengukuran sama ada murid menguasai konsep dan
kemahiran.
c. Membantu pihak pentadbir untuk menyelia, mencerap
dan menilai keberkesanan pengajaran guru.

Penulisan objektif perlulah jelas dan spesifik untuk membantu
guru memilih kaedah, prosedur, bahan, sumber, aktiviti serta
arahan yang betul dan sesuai untuk menghasilkan tingkah laku
atau hasil yang diingini. Objektif yang baik perlu mempunyai ciri-
ciri berikut:
a. Dalam bentuk perlakuan yang boleh diukur.
b. Menetapkan syarat pembelajaran dan tahap pencapaian

dengan menentukan bilangan tingkah laku yang hendak
dicapai.
c. Sesuai dengan isi pelajaran yang diberi fokus dalam
pengajaran dan pembelajaran.
d. Mempunyai pelbagai aras supaya sesuai dengan tahap
kebolehan murid yang pelbagai.

3.7.2 Aktiviti

Aktiviti perlu dirancang dengan baik untuk:
a. Memudahkan guru menyediakan bahan atau sumber

yang diperlukan, pengurusan masa dan pengurusan
kelas.

42

b. Memudahkan guru memilih dan merancang strategi,
kaedah dan teknik yang digunakan untuk mencapai
objektif.

c. Membantu guru ganti mengajar berdasarkan aktiviti yang
telah dirancang.

Penulisan aktiviti yang baik ialah:
a. Ringkas dengan menyatakan apa yang akan dilakukan

oleh murid.
b. Berfokus kepada apa yang murid harus laksanakan.
c. Mengikut urutan langkah pengajaran.

3.7.3 Refleksi Atau Impak

Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999:
Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran maksud
“Kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai” ialah refleksi atau
impak. Refleksi atau impak perlu dicatat setelah guru selesai
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Penulisan refleksi
atau impak yang berkesan mesti mengandungi bilangan atau
peratus murid yang mencapai objektif dan tindakan yang akan
diambil terhadap murid yang belum mencapai objektif. Matlamat
penulisan refleksi ialah untuk:

a. Membantu guru mengukur pencapaian murid pada akhir
proses pengajaran dan pembelajaran.

b. Membantu guru menilai keberkesanan pengajaran yang
dilaksanakan.

c. Digunakan bagi merancang dan menetapkan pengajaran
seterusnya.

43

3.8 TEKNIK PENYOALAN

Teknik penyoalan yang baik mampu menilai kefahaman murid
terhadap sesuatu isi pelajaran yang disampaikan. Ciri-ciri teknik
penyoalan yang baik ialah guru dapat :

a. Mengemukakan soalan yang merangkumi pelbagai aras kognitif
dengan susunan aras soalan yang mudah ke sukar.

b. Mengemukakan soalan bertumpu dan bercapah.
c. Menggunakan laras bahasa yang mudah difahami dan

disebarkan ke seluruh kelas.
d. Memberi masa yang cukup untuk murid berfikir.
e. Membuka peluang kepada murid lain untuk menjawab.

3.9 HASIL KERJA MURID

Hasil kerja murid adalah berdasarkan latihan dan tugasan yang
diberikan oleh guru sama ada bertulis atau laporan amali yang
disediakan dengan lengkap, kemas dan bersih. Latihan atau tugasan
murid adalah berdasarkan keupayaan murid, pelbagai dan bersesuaian
dengan tajuk yang diajar. Guru perlu menyemak hasil kerja murid
secara konstruktif, antaranya menunjukkan kesilapan murid, memberi
ulasan dan penghargaan serta memberi arahan pembetulan jika
ada. Kekerapan penyemakan hasil kerja murid perlu dilakukan dalam
tempoh waktu yang sesuai dan konsisten.

44

BAB 4
PENTAKSIRAN

4.1 PENDAHULUAN

Pentaksiran dalam pendidikan ialah integrasi proses mengumpul
maklumat tentang pembelajaran murid, memberi nilai kepada
maklumat, menginterpretasikan maklumat, membuat inferens, dan
membuat keputusan tentang perkara yang perlu dilakukan terhadap
murid untuk memperbaik pembelajarannya. Proses pengajaran,
pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balik dan
bersepadu. Hal ini bermakna seseorang guru membuat pentaksiran
untuk mengetahui tahap penguasaan murid ketika mengajar.
Di samping itu, guru akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia
yang holistik sifatnya semasa proses tersebut berjalan. Proses
pengumpulan maklumat pembelajaran murid dilakukan dengan
pelbagai cara sama ada secara tidak formal atau formal dengan
menggunakan instrumen pentaksiran seperti ujian, soal selidik, amali,
kerja kursus dan pemerhatian. Maklumat yang dikumpulkan akan
dinilai dan diinterpretasikan supaya keputusan dapat dibuat tentang
kebolehan seseorang murid dalam pembelajarannya.

4.2 PEPERIKSAAN AWAM

Peperiksaan awam yang ditadbirkan oleh Lembaga Peperiksaan ialah
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah
(sehingga tahun 2013), Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia
(Ulangan) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Peperiksaan Awam atau
Peperiksaan Pusat ialah peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga
Peperiksaan sepenuhnya, bermula daripada pendaftaran calon
peperiksaan, penyediaan item dan pembinaan instrumen pentaksiran,

45

pengendalian peperiksaan di pusat-pusat peperiksaan yang ditetapkan
oleh Lembaga Peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan calon dan
penskoran, pengeluaran keputusan dan pensijilan.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah diperkenalkan mulai tahun 1987
dan merupakan peperiksaan awam atau pusat peringkat kebangsaan
yang diduduki oleh murid Tahun 6 sekolah rendah. Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah dilaksanakan dengan tujuan untuk mengukur tahap
penguasaan calon dalam kemahiran 3M iaitu, membaca, menulis dan
mengira. Di samping itu, murid diberi peluang untuk membangunkan
potensi diri masing-masing agar menjadi insan yang seimbang seperti
yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Keputusan
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bukan merujuk kepada lulus atau
gagal tetapi merujuk kepada tahap pencapaian murid pada akhir
persekolahan rendah.

Sijil Pelajaran Malaysia ialah sistem peperiksaan yang bertujuan untuk
pensijilan. Selaras dengan usaha untuk memastikan peperiksaan
yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mendapat
pengiktirafan antarabangsa, kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan
Cambridge International Examinations , United Kingdom telah memberi
peluang kepada calon yang menduduki Bahasa Inggeris 1119 Sijil
Pelajaran Malaysia untuk mendapat sijil Cambridge International
Examinations O-Level bagi mata pelajaran berkenaan. Lembaga
Peperiksaan juga bekerjasama dengan Education Development
International, United Kingdom untuk memberi peluang kepada calon
yang menduduki Prinsip Perakaunan Sijil Pelajaran Malaysia mendapat
sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account.

46

4.3 PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

Di samping peperiksaan awam, Lembaga Peperiksaan juga telah
memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi sekolah
rendah mulai tahun 2011 dan menengah rendah mulai tahun 2012.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-
2025 berkaitan pembelajaran murid, pengajaran dan pembelajaran
perlu menyepadukan kurikulum dan pentaksiran berdasarkan tanda
aras antarabangsa bagi melahirkan murid yang berkemahiran
serta mampu bersaing di peringkat global. Sistem penilaian yang
berorientasikan peperiksaan (examination orientation) perlu mengalami
penambahbaikan bagi memastikan hala tuju pendidikan yang
berteraskan assessment of learning, assessment for learning dan
assessment as learning serta bertunjangkan kemenjadian murid secara
holistik dapat direalisasikan.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah merupakan kaedah pentaksiran yang
mencorakkan hala tuju sistem pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor
(jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
terarah kepada proses pembentukan personaliti murid secara
menyeluruh, berterusan, fleksibel, autentik dan pelbagai situasi.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah dibangunkan untuk memenuhi
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan menilai potensi
individu secara menyeluruh dari awal hingga tamat persekolahan dan
tidak tertumpu kepada perkembangan intelek sahaja. Pentaksiran
Berasaskan Sekolah bersifat holistik iaitu bukan sahaja mentaksir
kebolehan kognitif individu tetapi menjurus kepada pembinaan sahsiah,
motivasi diri dan sosial individu yang dipupuk bersama dengan aspek
kecemerlangan diri dan akademik individu. Pentaksiran Berasaskan
Sekolah berupaya menyumbang kepada pembentukan modal insan
yang berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan
masalah, berdaya mencipta peluang baharu, mempunyai ketahanan,

47

dan kebolehan berhadapan dengan persekitaran dunia global yang
sering berubah-ubah.

Mekanisme penjaminan kualiti pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah yang merangkumi komponen pementoran, pemantauan,
penyelarasan dan pengesanan diwujudkan di peringkat sekolah,
daerah, negeri dan kementerian bagi memastikan pelaksanaan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah seperti yang dihasratkan.
Pementoran merupakan bimbingan dan panduan yang diberikan
kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran di sekolah. Pemantauan
dijalankan untuk memastikan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Penyelarasan pula
dilaksanakan untuk memastikan keseragaman tugasan dan penskoran
bagi menjamin kebolehpercayaan dalam perekodan dan pelaporan
prestasi murid. Pengesanan pula dilaksanakan untuk melihat
keberkesanan dan ketepatan instrumen yang digunakan dalam
pentaksiran.

Komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah terdiri daripada bidang
akademik dan bukan akademik. Bidang akademik terdiri daripada
Pentaksiran Sekolah dan Pentaksiran Pusat, manakala bidang bukan
akademik terdiri daripada Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum. dan Pentaksiran Psikometrik. Kedua-dua bidang ini
memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan
pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

4.3.1 Pentaksiran Sekolah
Pentaksiran Sekolah ialah suatu pentaksiran yang dirancang,
dibina, ditadbir, diperiksa dan dilaporkan oleh guru di sekolah.
Kaedah ini melibatkan murid, ibu bapa dan organisasi luar dan
dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif yang dijalankan
seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran atau

48

pentaksiran sumatif pada akhir tahun. Pentaksiran Sekolah
berperanan untuk mengukuhkan pembelajaran murid,
meningkatkan pengajaran guru dan memberikan maklumat yang
sah tentang perkara yang telah dilaksanakan atau dicapai
dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran
Sekolah amat penting untuk menentukan keberkesanan guru
dan sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni
dan seimbang. Pentaksiran Sekolah merupakan aktiviti yang
berterusan yang memerlukan komitmen yang tinggi serta hala
tuju yang jelas daripada guru dan sekolah. Pentaksiran Sekolah
juga memberi empowerment kepada guru dan sekolah untuk
menjalankan pentaksiran dan melaporkan hasil pentaksiran
sepenuhnya. Pentaksiran Sekolah berfungsi sebagai pentaksiran
untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran
tentang pembelajaran (assessment of learning).

Dalam usaha penambahbaikan kepada Pentaksiran Sekolah
sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan untuk
melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta
pencapaian prestasi seseorang murid. Pentaksiran Rujukan
Standard merupakan proses bagi mendapatkan maklumat
tentang kemampuan murid sama ada tahu, faham dan boleh
buat atau telah menguasai perkara yang dipelajari berdasarkan
pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap
pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Pendekatan Pentaksiran Rujukan Standard dibangunkan

di sekolah untuk melihat perkembangan pembelajaran

murid dalam pengetahuan, pemahaman dan

kemahiran yang diukur dan berperanan mengukuhkan

pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru serta

memberikan maklumat yang sah tentang aspek yang telah

49

dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran.
Pentaksiran Rujukan Standard juga tidak membandingkan
pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi
melaporkan prestasi murid dalam pembelajaran dengan
menerangkan kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam
pembelajaran merujuk pernyataan standard. Murid dinilai
secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat
berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan
potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak
sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap
dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi
segala aspek tentang diri seseorang murid bagi membolehkan
pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami,
menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai
insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk
menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa
mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

Pentaksiran Sekolah dijalankan secara:

a. Pentaksiran formatif
Pentaksiran formatif dilaksanakan seiring dengan proses
pengajaran dan pembelajaran sebagai sebahagian prosesnya
dan juga untuk mentaksir perkembangan pembelajaran murid
sepanjang tahun untuk mendapatkan maklum balas tentang
kemajuan pengajaran dan pembelajaran sesuatu topik atau
aspek.

b. Pentaksiran Sumatif
Pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir unit
pembelajaran, penggal, bulan atau tahun untuk mentaksir
pencapaian murid tentang pembelajaran (Assessment of
learning).

50

c. Instrumen Pentaksiran Sekolah
Pelbagai instrumen pentaksiran yang sesuai dengan
konstruk yang ditaksir dalam sesuatu mata pelajaran
digunakan. Antara instrumen pentaksiran yang digunakan
ialah :

i. Pemerhatian
Instrumen yang memerlukan murid melakukan tugasan
dengan cara melihat atau mengawasi sesuatu perkara
secara berterusan, berkala atau berjadual tentang apa
yang dihasratkan.

ii. Pensel dan kertas atau ujian bertulis
Instrumen yang menggunakan item objektif atau
subjektif.

iii. Persembahan
Instrumen yang bersifat lebih fleksibal melibatkan
tugasan menyeluruh yang merangkumi aspek
pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam pelbagai
situasi dan konteks. Persembahan meliputi komponen
praktikal sesuatu mata pelajaran dengan menentukan
bagaimana murid menggabungkan teori dan amali.

iv. Projek
Projek ialah satu bentuk tugasan yang dilaksanakan
dalam aktiviti pembelajaran yang dijalankan dalam satu
tempoh masa yang ditentukan melibatkan aktiviti
pengumpulan maklumat dan penyediaan laporan.
Instrumen ini boleh dijalankan secara individu atau
secara kumpulan. Pelaksanaan instrumen ini
membolehkan murid mengintegrasikan pengetahuan

51

serta kemahiran interpersonal dalam melaksanakan
tugasan.

v. Produk
Tugasan yang memerlukan murid melaksanakan atau
membuat atau menghasilkan satu produk berdasarkan
tugasan yang diberikan.

vi. Amali
Tugasan yang memerlukan murid mempraktikkan atau
melakukan apa yang telah dipelajari dalam bentuk teori.

vii. Tugasan bertulis atau karya penulisan
Instrumen yang memerlukan murid menghasilkan
laporan atau dokumen atau karya kreativiti dalam
bentuk penulisan mengikut spesifikasi atau format yang
ditetapkan berpandukan kepada tugasan yang diberi.

viii. Lembaran kerja
ix. Soal jawab
x. Kuiz
xi. Senarai semak
xii. Latihan atau Tugasan Rumah

4.3.2 Pentaksiran Pusat

Pentaksiran Pusat merupakan satu daripada komponen akademik
dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah iaitu murid ditaksir bagi
melihat penguasaan dan keupayaan intelek mereka di akhir satu
program pembelajaran. Lembaga Peperiksaan menyediakan
instrumen pentaksiran dan panduan penskoran manakala
pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan, perekodan skor/ markah

52

dan pelaporan dikendalikan oleh pihak sekolah. Pentaksiran
Pusat merupakan pelengkap kepada Pentaksiran Sekolah dan
pencapaian murid dalam sesuatu mata pelajaran ditaksir secara
sumatif.

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)

Pentaksiran Tingkatan 3 ialah pentaksiran pusat yang
dikendalikan kepada murid pada akhir peringkat menengah
rendah, iaitu di Tingkatan 3. Tugasan dalam instrumen
pentaksiran Pentaksiran Tingkatan 3 dibangunkan dalam
skop sukatan pelajaran tingkatan satu hingga tingkatan tiga
berdasarkan matlamat, objektif dan kandungan mata pelajaran

tersebut. Elemen yang mengukur Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) turut diserapkan dalam tugasan Pentaksiran
Tingkatan 3. Instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menggunakan
instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Mata
pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran
Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil,
Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Punjabi
menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.
Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula ditaksir
menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis
(assignment), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian
kes (case study).

4.3.3 Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
(PAJSK).

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum adalah
sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan

53

serta mengukur penyertaan, penglibatan dan pencapaian
murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan
ekstra kurikulum. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti
bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah
mengikut keupayaan murid.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
merangkumi tiga komponen; Standard Kecergasan Fizikal
Kebangsaan dan BMI, Kokurikulum dan Ekstra kurikulum.

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan dalam Pentaksiran
Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum merupakan aktiviti
fizikal yang dilakukan oleh murid sekolah untuk mengukur
kecergasan berdasarkan kepada Standard Kecergasan Fizikal
Kebangsaan yang ditetapkan. Skor mengikut tahap umur ini
ditetapkan dengan menggunakan indeks skor standard yang
telah diperakui di peringkat kebangsaan. Standard Kecergasan
Fizikal Kebangsaan terdiri daripada empat aktiviti iaitu "Naik
turun bangku", "Tekan tubi", "Ringkuk Tubi Separa" dan
"Jangkauan Melunjur". Body Mass Index tertumpu kepada mengukur
berat badan dan ketinggian seseorang murid menggunakan
piawaian ukuran Body Mass Index.

Pentaksiran Sukan dan Kokurikulum adalah untuk mengukur
aktiviti sukan dan kokurikulum yang ditetapkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia. Aktiviti sukan merangkumi
aktiviti permainan dan pertandingan di peringkat sekolah, zon
atau daerah atau bahagian, negeri, kebangsaan dan
antarabangsa. Aktiviti kokurikulum merangkumi aktiviti murid
dalam Sukan dan Permainan, Kelab dan Persatuan, Badan
Beruniform dan Koakademik di peringkat sekolah, zon atau
daerah atau bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

54

Pentaksiran Aktiviti Ekstra Kurikulum merupakan satu usaha
untuk mendapatkan maklumat, membuat penilaian dan
memberi skor untuk aktiviti bermanfaat yang dijalankan sama
ada di sekolah atau di luar waktu persekolahan dan mendapat
kebenaran ibu bapa atau penjaga dan pengesahan pihak
sekolah. Aktiviti ekstra kurikulum merupakan aktiviti yang boleh
membentuk keperibadian yang terpuji, membina sahsiah yang
baik, mendorong melakukan kerja amal untuk kepentingan
masyarakat setempat dan umum.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum ditadbir,
direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan
pencapaian murid dalam Standard Kecergasan Fizikal
Kebangsaan, Body Mass Index, aktiviti sukan, aktiviti
kokurikulum dan aktiviti ekstra kurikulum.

4.3.4 Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

Melalui Pentaksiran Psikometrik, maklumat tentang kebolehan
(innate ability dan acquired ability), kemahiran berfikir,
kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan,
sikap dan personaliti murid dapat membantu guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Instrumen yang digunakan dalam
Pentaksiran Psikometrik ialah Ujian Aptitud Khusus dan Ujian
Personaliti.

Ujian Aptitud Khusus bertujuan mendapatkan maklumat khusus
tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan
murid. Maklumat yang diperoleh membantu murid mengenal
potensi diri serta membantu guru mengenal pasti strategi,
kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat mewujudkan
suasana pembelajaran yang berkesan.

55

Ujian Personaliti pula ialah instrumen yang digunakan untuk
mengumpul maklumat tentang sahsiah untuk setiap murid
melalui maklumat inventori tret personaliti dan inventori minat
kerjaya.

4.4 PENTAKSIRAN BAGI MATA PELAJARAN SAINS

4.4.1 Pentaksiran sekolah semasa atau selepas pengajaran dan
pembelajaran

a. Pengajaran dan pembelajaran berkesan memberikan
impak tinggi terhadap tahap penguasaan murid.
Pengukuran terhadap penguasaan murid semasa
pengajaran dan pembelajaran guru mempunyai hubung
kait dengan kaedah dan strategi pengajaran guru
di samping pelaksanaan pentaksiran. Aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang diikuti oleh pentaksiran yang
dirancang membolehkan guru mendapat maklumat tentang
tahap penguasaan murid berkaitan pembelajaran dari
semasa ke semasa.

b. Pentaksiran sekolah dirancang dalam setiap proses
pengajaran dan pembelajaran dengan melibatkan perkara-
perkara berikut:
i. Penyediaan Dokumen:
a. Penyediaan dokumen berkaitan kurikulum atau
sukatan pelajaran.
b. Penyediaan dokumen berkaitan pentaksiran:
− Panduan Perkembangan Pembelajaran
Murid
− Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran

56

ii. Perancangan Pentaksiran:
a. Perancangan pelaksanaan pentaksiran
diserapkan secara bersepadu dalam
penulisan objektif pembelajaran Rancangan
Pelajaran Harian.
b. Instrumen pentaksiran yang dirancang perlu
menepati hasrat kurikulum dan mencakupi
bidang yang perlu murid kuasai.
c. Instrumen yang diguna mampu mengukur
keupayaan sebenar murid.
d. Aktiviti pembelajaran mengandungi unsur
pentaksiran yang boleh mengukur
penguasaan dan pencapaian murid.

iii. Pentaksiran semasa pengajaran dan pembelajaran

a. Set induksi yang berkesan dan menarik

boleh merangsang pembelajaran murid dan

mencungkil pengetahuan sedia ada murid.

b. Kaedah pentaksiran yang digunakan oleh

guru seperti kaedah pemerhatian, lisan dan

penulisan mampu memperoleh maklumat

yang tepat berkaitan penguasaan murid

dalam pembelajaran.

c. Mempelbagaikan strategi bagi

melaksanakan bimbingan kepada murid

yang belum menguasai sepenuhnya tahap

penguasaan yang tertinggi.

d. Melaksanakan pentaksiran secara

berterusan bagi memastikan murid

mencapai tahap penguasaan yang

dihasratkan.

57

e. Mencatatkan refleksi di akhir pengajaran
sebagai rujukan keberhasilan pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran dan tanda
aras penguasaan murid. Di samping itu,
refleksi juga digunakan untuk menyediakan
perancangan pemulihan kepada murid yang
belum menguasai.

iv. Perekodan dan Pelaporan
a. Perkembangan penguasaan pembelajaran
murid perlu direkodkan oleh guru semasa
pengajaran dan pembelajaran sebagai satu
proses pembelajaran murid. Tahap
penguasaan murid dicatatkan dari semasa
ke semasa sepanjang tempoh pembelajaran
berlangsung.
b. Perekodan tahap penguasaan murid dengan
pernyataan Tahap Penguasaan atau Band
disediakan bagi maksud pelaksanaan
pentaksiran formatif, manakala perekodan
pencapaian murid yang dinyatakan dalam
peratus, gred dan markah bagi maksud
pelaksanaan pentaksiran sumatif.
c. Guru boleh merekodkan secara terus ke
dalam aplikasi excell offline yang disediakan
oleh LP atau BPK, namun guru digalakkan
menyediakan senarai semak atau data
transit bagi tujuan semakan dan rujukan.

58

4.4.2 Kerangka pentaksiran bagi mata pelajaran Sains

Pentaksiran dalam mata pelajaran Dunia Sains dan Teknologi
dan mata pelajaran Sains adalah untuk menaksir pengetahuan,
kefahaman dan kebolehan murid dalam aspek kognitif,
psikomotor dan afektif merujuk kepada Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran serta Panduan Perkembangan
Pembelajaran Murid .

Pentaksiran perlu dirancang dan dilaksanakan secara
berterusan dari segi pembinaan alat pentaksiran dan
pentadbirannya. Penilaian yang fleksibel mengambil kira
keperluan murid dari segi gaya pembelajaran dan kecerdasan
murid.

Penilaian terhadap murid boleh dilakukan secara individu atau
berkumpulan menggunakan kaedah seperti berikut:

i. Kaedah pemerhatian
Pemerhatian yang dilakukan oleh guru semasa murid
menjalankan aktiviti dikenali sebagai pemerhatian proses.
Melalui kaedah ini guru dapat menilai tahap penguasaan,
kemahiran manipulatif dan pemeringkatan potensi murid.
Selain itu, amalan murid, kemahiran sosial, serta kemahiran
saintifik dapat dinilai.

ii. Kaedah lisan dan interaksi
Kaedah lisan dan interaksi menolong guru menilai
penguasaan murid terhadap aspek kemahiran proses sains
dan kemahiran berfikir melalui aktiviti yang dijalankan seperti
amali sains, soal jawab, kuiz, perbincangan, pembentangan,
sumbang saran, puisi, temu bual, lakonan dan nyanyian.

59

iii. Kaedah penulisan
Penilaian bertulis boleh ditadbir secara formal dan tidak
formal dengan instrumen yang berbentuk objektif dan
subjektif.

iv. Pentaksiran Kerja Amali Sains
Pentaksiran Kerja Amali Sains (PEKA) meliputi perancangan
mentaksir, menskor dan mengisikan skor calon
menggunakan aplikasi Kerja Kursus yang disediakan
oleh Lembaga Peperiksaan. Lembaga Peperiksaan telah
menghasilkan Buku Panduan Pelaksanaan PEKA bagi mata
pelajaran sains untuk menengah rendah, sains untuk menengah
atas, Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan. Pentaksiran
dilaksanakan untuk menilai penguasaan kemahiran proses
sains dan kemahiran manipulatif dalam kalangan murid serta
mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

60

BAB 5
PENYELIAAN

5.1 PENDAHULUAN

Penyeliaan merupakan perkhidmatan bantuan (helping service) yang
diberikan untuk membaiki serta meningkatkan mutu perkhidmatan.
Menurut Morsher dan Purple (1972) dalam buku Supervision: The
Reluctant Profession, menghuraikan ”....penyeliaan satu usaha untuk
mengajar guru cara untuk mengajar dan kepimpinan profesional dalam
pembentukan pendidikan masyarakat umum dan lebih khusus lagi
dalam penggubalan kurikulum, pengajaran dan bentuk pendidikan,”

Pentadbir Sekolah perlu melaksanakan penyeliaan mengikut
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1987: Penyeliaan Pengajaran-
Pembelajaran di dalam Kelas oleh Pengetua atau Guru Besar
Sekolah terhadap guru-guru di sekolah masing-masing. Pelaksanaan
kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran oleh guru-guru dan keberkesanan pelaksanaan
kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi dan sistematik
daripada pihak pengetua dan guru besar. Penyeliaan pelaksanaan
kurikulum meliputi aspek pengurusan mata pelajaran, pengajaran dan
pembelajaran serta menjadi perkara utama dalam senarai tugas dan
tanggungjawab pentadbir sekolah.

61

5.2. TUJUAN PENYELIAAN

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1987: Penyeliaan Pengajaran-
pembelajaran Di dalam Kelas oleh Pengetua atau Guru Besar
Sekolah menggariskan empat tujuan utama penyeliaan pengajaran
dan pembelajaran dengan jelas. Keempat-empat tujuan ini
digambarkan seperti rajah di bawah.

a. Mempertingkatkan daya profesionalisme pengetua atau guru
besar dan guru-guru dalam melaksanakan kurikulum sekolah
melalui proses pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan
falsafah, matlamat dan objektif sistem pendidikan negara.

b. Berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi meluaskan
sumber maklumat kepada pengetua atau guru besar
untuk memperbaik proses pengajaran dan pembelajaran
di sekolahnya. Sumber maklumat ini juga boleh digunakan
oleh pengetua atau guru besar sebagai asas untuk menilai
seseorang guru bagi tujuan tertentu.

c. Memupuk, memelihara dan memperkukuh hubungan
profesionalisme dan interaksi yang positif antara pengetua atau
guru besar dengan guru, guru dengan guru dan antara guru
dengan murid.

62

d. Membantu guru-guru menjalankan tugas harian dengan lebih
berkesan dan membentuk sikap guru ke arah yang lebih positif.

5.3 BIDANG PENYELIAAN

Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah ditumpukan kepada
dua bidang iaitu bidang organisasi dan bidang PdP.

5.3.1 Bidang Organisasi

Ciri-ciri organisasi yang perlu diberi perhatian adalah:

a. Iklim kelas
i. Organisasi kelas
ii. Kawalan murid
iii. Komunikasi
iv. Motivasi
v. Sikap murid
vi. Kebersihan dan keceriaan
vii. Penyeliaan gerak kerja
viii. Penilaian prestasi
ix. Profil murid
x. Pengurusan panitia mata pelajaran

b. Bidang pengajaran dan pembelajaran
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

i. Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT)
ii. Rancangan Pelajaran Harian (RPH)

• Objektif PdP
• Aktiviti PdP
• Refleksi PdP
iii. Persediaan sumber pendidikan

63

iv. Penyampaian isi pelajaran
v. Teknik penyoalan
vi. Interaksi guru dan murid
vii. Penggunaan masa

Penyeliaan setiap mata pelajaran hendaklah menitikberatkan
aspek pengurusan yang teratur dan sistematik melibatkan aspek
perancangan, pelaksanaan, pemantauan, penilaian dan
penambahbaikan.

5.4 PRINSIP PENYELIAAN

Prinsip pelaksanaan penyeliaan yang ditetapkan adalah seperti berikut:
a. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan

oleh pengetua atau guru besar ke atas semua guru.
b. Rekod Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah

dicatat dengan ringkas dan tepat.
c. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang

dengan seimbang dari segi masa, mata pelajaran, tingkatan atau
tahun dan guru.
d. Tugas penyeliaan ini boleh dijalankan dengan bantuan penolong
kanan dan penolong kanan petang. Walau bagaimanapun,
tanggungjawab sepenuhnya terletak pada tangan pengetua atau
guru besar. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah
dijalankan secara sistematik dan berlandaskan hubungan
profesionalisme dengan guru. Pengetua atau guru besar
membincangkan hasil penyeliaan dan memberi bimbingan untuk
meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran.
e. Pengetua atau guru besar boleh merujuk Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia (SKPM) berkaitan pengajaran dan
pembelajaran bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan dalam kalangan guru.


64

5.5 PERINGKAT PENYELIAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Peringkat Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran merangkumi tiga
peringkat seperti rajah di bawah.

Peringkat Penyeliaan
Prapenyeliaan
Penyeliaan
Pascapenyeliaan

5.5.1 Prapenyeliaan

Tujuan mengadakan prapenyeliaan antara pengetua atau guru
besar dengan guru ialah untuk:
a. Mewujudkan perhubungan yang lebih mesra antara
guru dengan pengetua atau guru besar.
b. Membincangkan secara mendalam mengenai objektif
yang hendak dicapai serta kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang akan dilaksanakan.
c. Memaklumkan guru tentang aspek-aspek tertentu yang
perlu diberi perhatian khusus.
d. Penetapan hari dan waktu untuk menjalankan
penyeliaan.

5.5.2 Penyeliaan

a. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran boleh
dilaksanakan pada tarikh dan waktu yang telah dipersetujui
atau pada bila-bila masa. Guru perlu dimaklumkan sekiranya

65

pihak pengetua atau guru besar tidak dapat melaksanakan
penyeliaan. Guru penolong kanan boleh mengambil alih
tugas penyeliaan tersebut dengan arahan pengetua atau
guru besar.
b. Pengetua atau guru besar hendaklah memberi fokus kepada
pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran serta
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang telah
dibincangkan ketika prapenyeliaan.
c. Ulasan yang lengkap berkaitan kekuatan dan kelemahan
mengenai setiap aspek yang diselia hendaklah dicatatkan
oleh pengetua/guru besar sebagai persediaan
pascapenyeliaan.

5.5.3 Pascapenyeliaan

Sesi perbincangan selepas penyeliaan perlu diadakan selepas
proses penyeliaan. Sesi tersebut merupakan perbincangan dua
hala meliputi kekuatan dan kelemahan pengajaran dan
pembelajaran. Status pengajaran dan pembelajaran perlu
dimaklumkan kepada guru yang diselia oleh pengetua atau guru
besar. Maklum balas adalah bertujuan untuk tindakan
penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran guru berkenaan.

5.6 TINDAKAN PENAMBAHBAIKAN

Pengetua atau guru besar perlu memastikan guru yang diselia
melaksanakan tindakan penambahbaikan terhadap semua aspek bagi
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran selepas
penyeliaan.

66

Proses pementoran berterusan terhadap guru yang diselia sewajarnya
dijadikan budaya sekolah bagi memastikan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan dapat dikekalkan.
Pengajaran mikro sesama rakan sejawat dan Komuniti Pembelajaran
Profesional boleh dijadikan salah satu medium tindakan
penambahbaikan selepas penyeliaan.

67

RUJUKAN

1. Biggs, J.B and Telfer, R., The Process of Learning, Prentice Hall, Sydney,
1987

2. Brady, L., Model and Methods of Technology, Prentice Hall, Sydney, 1985

3. Butler, K.A., Learning and Teaching Style, The Learner Dimension, Merrill
Publishing, Columbus, 1998

4. Doyle, W., Classroom Organization and Management, Mac Millan, New York,
1986

5. Emmer, E.T, Evertson, C.M. and Clements, B.S, Classroom Management for
Secondary Teachers, Simon & Schuster, Inc. New Jersey, 1994

6. English, T. and English, J., Creative Management in School, Ashgate
Publishing United, Hants, England, 1997

7. Gardner, H., Intelligence Reframed : Multiple Intelligences for the 21st
Century, Basic Books, New York, 2000

8. Marrison, K. And Ridley, K. Curriculum Planning and the Primary School,
Paul Chapman, London 1988

9. Marsh, C., Handbook For Beginning Teacher, Longman, Melbourne, Australia,
1996.

10. Mohd Dom, Alimuddin, Kepimpinan Instructional : Peranan Pengetua dan
Guru Besar Dalam Meningkatkan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran
di Bilik Darjah, JNS, Putrajaya, Malaysia, 2006

11. Mok Soon Sang, Pengurusan Pengajaran-Pembelajaran, Multimedia-ES
Resources Sdn. Bhd., Puchong, Malaysia, 2006

12. JNJK, KPM, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010, JNJK, Putrajaya,
Malaysia, 2012

13. JNSP, KPM, Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Rendah, JNSP,
Kuala Lumpur, Malaysia, 1991

14. JNSP, KPM, Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Menengah,
JNSP, Kuala Lumpur, Malaysia, 1991

15. JPN Kedah, Panduan Pengurusan Panitia Sekolah, One ED Enterprise, Alor
Setar, Malaysia, 2014

16. LP, KPM, Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Lembaga
Peperiksaan, Putrajaya, Malaysia, 2014

68

17. LP, KPM, Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Lembaga Peperiksaan,
Putrajaya, Malaysia, 2013

18. PPK, KPM, Kepemimpinan dan Pengurusan Kurikulum Di Sekolah, Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur, Malaysia, 2001

19. Shamsudin Mohammad dan Kamarul Azmi Jasni, Penyeliaan Guru Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran, UTM Press, 2012

SURAT PEKELILING IKHTISAS

Bil. Rujukan Tajuk

1. SPI BIL. 4/1986 Panitia Mata Pelajaran

2. SPI BIL. 3/1987 Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam

Kelas Oleh Pengetua/Guru Besar Sekolah

3. SPI BIL. 6/1991 Sukatan Pelajaran dan Peruntukan Masa Untuk
Mata-Mata Pelajaran Program Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bagi
Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah
Menengah Atas

4. SPI BIL. 3/1999 Penyediaan Rekod Pengajaran Dan Pembelajaran

5. SPI BIL. 12/1999 Penggunaan Buku Teks dan Buku Latihan dan

Aktiviti Yang Diperakukan Oleh Kementerian

Pendidikan

6. SPI BIL. 2/2000 Pelaksanaan Sukatan Pelajaran Yang Disemak
Semula bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM)

7. SPI BIL. 5/2003 Dasar Penggunaan Media dan Teknologi Dalam

Pengajaran dan Pembelajaran

8. SPI BIL. 12/2004 Garis Panduan Umum Pemberian Kerja Rumah

Kepada Murid Sekolah




69

SURAT SIARAN DAN SURAT MAKLUMAN
Bil. Rujukan Tajuk
1. KPPM/5; 22 JUN 1998 Tanggungjawab Mengajar Bagi Pengetua
dan Guru Besar Di Sekolah
2. Surat Pekeliling Kewangan Garis Panduan Pengurusan Kewangan
Bil. 8/2012: Peruntukan Bantuan Persekolahan Ke
Sekolah Berdasarkan Perkapita dan
Enrolmen Murid dan Pindaan Surat
Pekeliling Kewangan Bil. 8/2012 bertarikh
17 Jun 2013

LAIN-LAIN RUJUKAN
Bil. Rujukan Tajuk
1. Arahan Perkhidmatan Bab 3 Surat Menyurat
2. Arahan Perkhidmatan Bab 4 Fail-Memfail

70

71

Kementerian Pendidikan Malaysia
Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti
Aras 3-6, Blok E15, Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya.
Tel: 03 8884 4161 / 8884 4201 / 8884 4111
Faksimili: 03 8884 6867 / 8888 6869


Click to View FlipBook Version