The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sjktarumugampillaisp, 2020-02-13 09:30:13

JNJK BUKU PANDUAN SAINS

JNJK BUKU PANDUAN SAINS

PANDUAN PENGURUSAN
MATA PELAJARAN

SAINS

Sekolah Rendah
Sekolah Menengah

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
2015

Diterbitkan oleh
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 3-6, Blok E15, Kompleks Kerajaan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62604 Putrajaya

Cetakan Pertama 2015

© Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
Kementerian Pendidikan Malaysia

Semua hak cipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian jua daripada penerbitan
ini boleh diterbit semula atau disimpan dalam bentuk yang boleh diperoleh semula

atau disiar dalam sebarang bentuk dengan apa cara sekalipun sama ada secara
elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman atau sebaliknya tanpa mendapat izin
daripada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.



Kata Alu-Aluan

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jemaah Nazir dan Jaminan
Kualiti (JNJK) kerana berjaya menerbitkan Buku Panduan Pengurusan Mata
Pelajaran yang bakal digunakan sebagai panduan untuk melaksanakan program-
program kurikulum di sekolah. Usaha dan komitmen JNJK ini menggambarkan
kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan
tranformasi pendidikan yang direncanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (2013-2025) dapat direalisasikan.
Penerbitan buku panduan seperti ini diharap dapat membantu KPM mengupayakan
kepimpinan sekolah dalam merancang, melaksana, mengawal dan menilai program
kurikulum di sekolah. Penerbitan buku ini juga dapat memperkaya koleksi rujukan
warga pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha kita memastikan
kualiti pendidikan negara dapat dipertingkatkan setanding di persada antarabangsa.
Semoga kandungan yang tersedia dalam buku ini dapat dijadikan rujukan dan
dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak dan menjadi sebahagian daripada
sumbangan kita dalam usaha melahirkan modal insan holistik mengikut acuan
sendiri.
Selamat Maju Jaya.

DatO’ SERI MAHDZIr BIN KHALID

i

Kata Alu-Aluan

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Perpaduan
Saya merakamkan tahniah atas daya usaha Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
menerbitkan Buku Panduan Pengurusan Mata Pelajaran. Usaha ini melambangkan
komitmen Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti dan Kementerian Pendidikan Malaysia
dalam memastikan pengurusan program kurikulum di sekolah sentiasa berada pada
landasan yang betul dan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan.
Saya yakin buku ini dapat memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan
kualiti pendidikan di sekolah dan dijadikan rujukan untuk melonjakkan kualiti
pengurusan kurikulum seiring dengan transformasi pendidikan negara. Semoga
ilmu dan panduan, yang terkandung dalam buku ini dapat dimanfaatkan oleh warga
pendidik dalam usaha mencorakkan hala tuju dan kecemerlangan pendidikan
negara.
Saya berharap semoga usaha murni ini akan dapat mempertingkatkan kualiti
pengurusan dan pengajaran mata pelajaran di sekolah. Marilah kita sama-sama
berganding bahu merealisasikan matlamat untuk menyediakan pendidikan berkualiti
bagi melahirkan modal insan cemerlang.
Sekian, terima kasih.

DatO’ SRI Dr. KhAir Bin Mohamad Yusof

ii

Kata Alu-Aluan

KETUA NAZIR SEKOLAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan
limpah kurnia-Nya, Buku Panduan Pengurusan Mata Pelajaran dapat dihasilkan
untuk kegunaan semua sekolah di Malaysia. Saya mengucapkan tahniah dan
syabas kepada semua warga Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, khususnya Sektor
Penaziran Kurikulum yang berusaha gigih menjana idea dan berkongsi pengalaman
untuk merealisasikan penerbitan buku ini.

Penerbitan buku ini merupakan salah satu usaha Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
membantu Kementerian Pendidikan Malaysia mengekalkan tahap kecemerlangan
dan kualiti pendidikan negara agar sentiasa berada pada standard yang telah
ditetapkan. Selain itu, buku panduan ini juga merupakan salah satu usaha
peningkatan kecemerlangan dalam sistem pengurusan serta pentadbiran di sekolah
seperti yang diharapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-
2025).

Buku panduan ini juga merupakan inisiatif Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti untuk
membantu pihak sekolah dalam usaha untuk memberi khidmat bimbingan dan
panduan pengurusan kurikulum di sekolah. Justeru, saya berharap agar buku ini
dijadikan sebahagian daripada bahan rujukan profesional yang dapat dimanfaatkan
oleh warga pendidik.

SELAMAT MAJU JAYA DAN SALAM 1MALAYSIA.
Sekian, terima kasih.

(DatO’ HAJI MAHMUD BIN KARIM)

iii

JAWATANKUASA PENERBITAN
BUKU PANDUAN PENGURUSAN MATA PELAJARAN

SAINS

Penasihat
Dato’ Hj. Mahmud bin Karim

Ketua Nazir Sekolah
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
Kementerian Pendidikan Malaysia

Pengerusi 1
Hjh. Normah binti Ismail KMN
Timbalan Ketua Nazir Sekolah (Operasi)

Pengerusi 2
Encik Hashim bin Mohd Zin
Timbalan Ketua Nazir Sekolah (Dasar)

Timbalan Pengerusi
Dr. Harery bin Abu Saad
Ketua Sektor Penaziran Kurikulum

Setiausaha
Ishak bin Arif
Ketua Penolong Pengarah

Ahli
Rosdi bin Husin (JNJK)
Rosnita binti Abdullah (JNJK)
Mohamad Noor Azman bin Hj. Bakar (JNJK)
Mohd Zulkefli bin Mohd Noor (JNJK)
Hussin bin Abu Bakar (JNJK)
Zainal bin Mohamad (JNJK)
Yuhana binti Yaacob (JNJK)
Zalifah binti Rosli (JNJK)
Hj Zamani bin Ashaari (JNJK)

Wong Li Li (BPK)
Azmi bin Harun (BPK)
Khalid bin Ahmad Dahlan (LP)

iv

ISI KANDUNGAN

Bil Tajuk Muka
Surat
Kata Alu-aluan YB. Menteri Pendidikan Malaysia
Kata Alu-aluan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. i
Kata Alu-aluan Ketua Nazir Sekolah ii
Jawatankuasa Penerbitan iii
Isi Kandungan iv
Pengenalan v
Objektif Buku Panduan Pengurusan vii
ix

BAB 1 PROFIL MATA PELAJARAN 1
1.1 Pendahuluan 2
1.2 Matlamat Mata Pelajaran 3
1.3 Objektif 6
1.4 Organisasi Kandungan 8
1.5 Peruntukan Waktu

BAB 2 PENGURUSAN MATA PELAJARAN 10
2.1 Pendahuluan 10
2.2 Jawatankuasa Kurikulum Sekolah 11
2.3 Peranan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah 12
2.4 Peranan Panitia Mata Pelajaran 14
2.5 Peranan Pengetua atau Guru Besar 14
2.6 Peranan Penolong Kanan Pentadbiran atau Penolong
Kanan Petang 15
2.7 Peranan Guru Kanan Mata Pelajaran 15
2.8 Peranan Ketua Panitia Sains 17
2.9 Peranan Guru Mata Pelajaran Sains 18
2.10 Mesyuarat Panitia Sains 19
2.11 Pengurusan Pemberian Bantuan Geran Perkapita 22
2.12 Latihan Dalam Perkhidmatan 22
2.13 Pengurusan Fail atau Dokumentasi 23
2.14 Bilik atau Makmal Sains dan Sudut Mata Pelajaran 23
2.15 Persatuan Sains

v

BAB 3 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

3.1 Pendahuluan 25

3.2 Standard 4: SKPM 2010 25

3.3 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran 27

3.4 Aktiviti Pembelajaran 29

3.5 Penerapan Elemen Merentas Kurikulum 31

3.6 Penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan 40

3.7 Penyediaan Rancangan Pelajaran Harian 41

3.8 Teknik Penyoalan 44

3.9 Hasil Kerja Murid 44



BAB 4 PENTAKSIRAN

4.1 Pendahuluan 45

4.2 Peperiksaan Awam 45

4.3 Pentaksiran Berasaskan Sekolah 47

4.4 Pentaksiran Bagi Mata Pelajaran Sains 56



BAB 5 PENYELIAAN

5.1 Pendahuluan 61

5.2 Tujuan Penyeliaan 62

5.3 Bidang Penyeliaan 63

5.4 Prinsip Penyeliaan 64

5.5 Peringkat Penyeliaan Pengajaran dan Pembelajaran 65

5.6 Tindakan Penambahbaikan 66



RUJUKAN 68



vi

PENGENALAN

Visi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah “Pendidikan Berkualiti Insan
Terdidik Negara Sejahtera”. Pendidikan di Malaysia bertujuan membangun
potensi individu melalui pendidikan berkualiti dengan cara menyediakan generasi
yang berkeupayaan berfikir dan warga negara beriltizam. KPM secara berterusan
menyemak kurikulum bagi memastikan pelaksanaan kurikulum di sekolah
melengkapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menghadapi
cabaran semasa dan masa depan.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara.

VISI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera

MISI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi

Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara

VISI JEMAAH NAZIR DAN JAMINAN KUALITI
JNJK Institusi Pemastian Standard Kualiti Pendidikan Berwibawa

MISI JEMAAH NAZIR DAN JAMINAN KUALITI
Menaziri dan Mempertingkatkan Kualiti Pendidikan di Institusi Pendidikan Secara

Profesional, Berkualiti dan Beretika.

vii

OBJEKTIF JEMAAH NAZIR DAN JAMINAN KUALITI
i. Meningkatkan keupayaan JNJK, mengesan tahap kualiti pengajaran

dan pembelajaran di institusi pendidikan, melakukan pelbagai aktiviti
penaziran;
ii. Meningkatkan keupayaan pengurusan institusi pendidikan supaya
menjadi efektif dan cekap;
iii. Mewujud dan menggalakkan kerjasama dalam kalangan semua
pihak dalam bidang pendidikan;
iv. Menyalurkan maklumat penaziran melalui sistem rangkaian
maklumat yang cekap dan berkesan;
v. Menggiatkan program peningkatan kecekapan Nazir Sekolah secara
berterusan dalam bidang penaziran; dan
vi. Menjalinkan hubungan kerja yang erat dengan jabatan pendidikan
negeri dan pejabat pendidikan bahagian/ daerah bagi memastikan
nasihat dan syor-syor JNJK kepada institusi pendidikan diberi
perhatian.

viii

OBJEKTIF BUKU PANDUAN PENGURUSAN
MATA PELAJARAN SAINS

Objektif penyediaan Buku Panduan Pengurusan Mata Sains adalah seperti
berikut:

i. Membolehkan pengetua/guru besar mengetahui peranannya sebagai
pemimpin kurikulum yang profesional.
ii. Sebagai garis panduan untuk memudahkan pengetua dan guru besar
menjalankan penyeliaan dalam bidang pengurusan dan proses
pengajaran dan pembelajaran Sains dengan berkesan.
iii. Membolehkan Ketua Panitia Sains mengurus dan mentadbir
panitia dengan berkesan.
iv. Membolehkan guru Sains mengurus dan melaksanakan
proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih terancang dan
berkesan.
v. Membantu guru bukan opsyen Sains memahami matlamat,
objektif, pengurusan, pengelolaan dan strategi pengajaran mata
pelajaran Sains.
vi. Memberi garis panduan kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum
dan guru penasihat Persatuan Kokurikulum Akademik (Sains)
dalam melaksanakan pengurusan persatuan.
vii. Mencetuskan idea kepada pihak pengurusan sekolah, ketua panitia
dan guru yang mengajar mata pelajaran Sains tentang cara
meningkatkan penguasaan dan prestasi Sains di sekolah.

ix

BAB 1
PROFIL MATA PELAJARAN

1.1 PENDAHULUAN

Sains merupakan bidang ilmu hasil daripada usaha manusia untuk
mencari penerangan yang rasional tentang alam. Kepentingan sains
dalam sistem pendidikan di Malaysia dijelaskan dalam Jadual
Subseksyen 18(2) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996). Kepentingan
mata pelajaran Sains telah diperakukan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia dengan memberikan peruntukan bantuan geran perkapita,
membina makmal sains sekolah serta memberi latihan perkhidmatan
kepada guru dan pembantu makmal sains. Selaras dengan
perkembangan pembelajaran abad 21, peralatan teknologi maklumat
dan komunikasi seperti komputer, perisian dan projektor LCD telah
dibekalkan ke semua sekolah untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran.

Kurikulum Sains secara keseluruhan merangkumi tiga mata pelajaran
Sains Teras dan empat mata pelajaran Sains Elektif. Mata pelajaran
Sains Teras terdiri daripada Dunia Sains dan Teknologi, Sains Sekolah
Rendah, Sains Menengah Rendah dan Sains Menengah Atas. Mata
pelajaran Sains Elektif yang ditawarkan di peringkat menengah atas
terdiri daripada Biologi, Kimia, Fizik dan Sains Tambahan.

Matlamat pendidikan sains bertujuan mewujudkan masyarakat saintifik
dan progresif serta berilmu bagi membentuk warga negara yang kritis,
kreatif dan berketerampilan yang mengamalkan sains dan teknologi.
Sehubungan dengan itu, pendidikan sains memberi tumpuan kepada
penerapan pengetahuan, kemahiran dan sikap saintifik. Kemahiran
saintifik meliputi kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif
serta pemupukan kemahiran berfikir dan strategi berfikir. Strategi
pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum mata pelajaran Sains

1

mengutamakan pembelajaran berfikrah. Pembelajaran berfikrah
adalah satu proses pemerolehan dan penguasaan kemahiran dan ilmu
pengetahuan yang dapat mengembangkan minda murid ke tahap yang
optimum. Pembelajaran berfikrah berlaku melalui pelbagai pendekatan
seperti inkuiri-penemuan, pembelajaran masteri, pembelajaran
kontekstual, pembelajaran akses kendiri, kajian masa depan,
konstruktivisme dan pembelajaran berasaskan masalah.

Semua sekolah perlu mewujudkan pengajaran mata pelajaran Sains
yang berkualiti. Pengetua, guru besar dan guru bertanggungjawab
memastikan kualiti mata pelajaran Sains berada pada tahap yang
tinggi. Guru memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk
memupuk penguasaan pengetahuan dan kemahiran saintifik dalam
kalangan murid. Murid pula perlu aktif dalam pembelajaran dan boleh
berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif serta mengaplikasi Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Sehubungan dengan itu, buku ini
diterbitkan bertujuan untuk memberi panduan dan maklumat kepada
pengetua, guru besar dan guru agar dapat menjalankan tugas tersebut
secara efisien dan efektif.

1.2 MATLAMAT MATA PELAJARAN

a. Dunia Sains dan Teknologi

Kurikulum Dunia Sains dan Teknologi adalah untuk menanam
minat dan mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman
dan penyiasatan bagi menguasai ilmu sains dan teknologi,
kemahiran serta nilai murni. Kemahiran yang ingin
dikembangkan merangkumi kemahiran proses sains, kemahiran
manipulatif atau psikomotor, kemahiran berfikir dan kemahiran
asas teknologi maklumat dan komunikasi.

2

b. Sains Sekolah Rendah

Kurikulum Sains Sekolah Rendah adalah untuk menanam minat
dan mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman dan
penyiasatan bagi menguasai ilmu sains, kemahiran saintifik dan
kemahiran berfikir serta sikap saintifik dan nilai murni.

c. Sains Sekolah Menengah

Kurikulum Sains Sekolah Menengah adalah bertujuan untuk
membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran
sains dan teknologi serta membolehkan mereka menyelesaikan
masalah dan membuat keputusan dalam kehidupan seharian
berdasarkan sikap saintifik dan nilai murni. Murid yang mengikuti
Kurikulum Sains Sekolah Menengah memperoleh asas sains
yang membolehkan mereka mendapat pendidikan lanjutan
dalam sains dan teknologi secara rasmi dan tidak rasmi.
Kurikulum ini juga bertujuan untuk membangunkan masyarakat
yang bertanggungjawab, dinamik dan berdaya maju dengan
membudayakan sains dan teknologi secara semula jadi dalam
menangani pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

1.3 OBJEKTIF

a. Fokus Tema Dunia Sains dan Teknologi Tahap I adalah :

i. Menyemai minat murid terhadap sains dan teknologi serta
mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman dan
penyiasatan bagi menguasai ilmu sains, kemahiran serta
sikap saintifik dan nilai murni. Justeru, murid mempunyai
landasan untuk mengaplikasikan sains dan teknologi dalam
kehidupan harian.

3

ii. Memperoleh pengetahuan dan menguasai asas kemahiran
praktis, mereka bentuk serta berkebolehan mengaplikasikan
asas teknologi ke arah melahirkan murid yang kreatif dan
inovatif.

iii. Memperkukuh pengetahuan dan kemahiran asas
teknologi maklumat dan komunikasi dalam Dunia Sains
Teknologi serta mengaplikasikan secara merentas
kurikulum dengan kreatif mengikut tahap kebolehan murid.

iv. Memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam sains,
reka bentuk dan teknologi serta teknologi maklumat dan
komunikasi bagi menyediakan murid dalam mata pelajaran
Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Reka
Bentuk Teknologi di Tahap II.

b. Objektif Pendidikan Sains Sekolah Rendah Tahap II adalah :

i. Merangsang sifat ingin tahu murid dan mengembangkan
minat tentang dunia di sekeliling mereka.

ii. Menyediakan peluang untuk murid menguasai kemahiran
saintifik dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

iii. Meningkatkan daya kreativiti murid.
iv. Memberi kefahaman tentang fakta dan konsep sains.
v. Membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan dan

kemahiran secara kritis, kreatif dan analisis bagi membuat
keputusan dan menyelesaikan masalah.
vi. Menyemai sikap saintifik dan nilai murni dan seterusnya
membolehkan murid mengamalkannya.
vii. Menyedari keperluan menjaga alam sekitar.

4

c. Objektif Pendidikan Sains Sekolah Menengah adalah :

i. Memperoleh pengetahuan tentang konsep dan prinsip
sains serta menghubungkaitkan pengetahuan ini dengan
fenomena alam semula jadi dan pengalaman harian.

ii. Memperoleh kefahaman tentang aplikasi konsep dan prinsip
sains dalam bidang teknologi dan kehidupan seharian.

iii. Menguasai kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir.
iv. Mengaplikasikan pengetahuan sains dan kemahiran saintifik

secara kritis dan kreatif berasaskan sikap saintifik dan nilai
murni dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan.
v. Menangani cabaran dalam dunia sains dan teknologi serta
bersedia memberi sumbangan kepada perkembangan sains
dan teknologi.
vi. Menilai maklumat mengenai sains dan teknologi dengan
bijak dan berkesan.
vii. Mengamalkan sikap saintifik dan nilai murni.
viii. Menyedari kepentingan saling hubungan antara kehidupan
dan pengurusan alam semula jadi serta sumbernya dengan
bijaksana demi kesinambungan hidup manusia sejagat.
ix. Menghargai sumbangan sains dan teknologi terhadap
pembangunan negara dan kesejahteraan manusia sejagat.
x. Menyedari bahawa pengetahuan yang diperoleh melalui
kajian sains merupakan hasil usaha manusia untuk
memperoleh penerangan yang rasional tentang fenomena
alam berasaskan kemampuan akal.
xi. Mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kasih sayang
kepada alam sekitar dan memainkan peranan dalam
pemuliharaan dan pemeliharaannya.

5

1.4 ORGANISASI KANDUNGAN

Kandungan mata pelajaran Sains adalah seperti berikut:

1.4.1 Sains Sekolah Rendah

a. Organisasi kandungan mata pelajaran Sains Tahun 1 hingga
Tahun 6 mengandungi tema berikut:
i. Pengenalan kepada Sains
ii. Sains Hayat
iii. Sains Fizikal
iv. Sains Bahan
v. Bumi dan Sains Angkasa
vi. Teknologi dan Kehidupan Lestari

1.4.2 Sains Sekolah Menengah


Di peringkat sekolah menengah, bidang pembelajaran sains
terbahagi kepada dua iaitu teras (Sains) dan elektif (Sains
Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi). Organisasi kandungan
mata pelajaran tersebut adalah seperti berikut :

a. Sains
Tema yang terdapat dalam mata pelajaran Sains adalah
seperti berikut:
i. Memperkenalkan Sains
ii. Manusia dan Kepelbagaian Hidupan
iii. Jirim dan Alam
iv. Penyenggaraan dan Kesinambungan Hidup
v. Daya dan Gerakan
vi. Tenaga dalam Kehidupan
vii. Keseimbangan dan Pengurusan Alam Sekitar

6

viii. Perkembangan Teknologi Industri dalam Masyarakat
ix. Astronomi dan Penerokaan Angkasa Lepas.

b. Biologi
Tema yang terdapat dalam mata pelajaran Biologi adalah:
i. Pengenalan kepada Biologi
ii. Menyiasat Sel Sebagai Unit Asas Kehidupan
iii. Menyiasat Fisiologi Hidupan
iv. Menyiasat Perhubungan Hidupan dengan
Persekitaran
v. Fisiologi Kehidupan
vi. Variasi dan Pewarisan

c. Kimia
Tema yang terdapat dalam mata pelajaran Kimia adalah:
i. Memperkenalkan Kimia
ii. Jirim di Sekeliling Kita
iii. Interaksi antara Bahan Kimia
iv. Penghasilan dan Pengurusan Bahan Kimia

d. Fizik
Bidang pembelajaran yang terdapat dalam mata pelajaran
Fizik adalah:
i. Pengenalan kepada Fizik
ii. Daya dan Gerakan
iii. Daya dan Tekanan
iv. Haba
v. Cahaya
vi. Gelombang
vii. Elektrik
viii. Keelektromagnetan
ix. Elektronik
x. Keradioaktifan

7

e. Sains Tambahan
Tema yang terdapat dalam mata pelajaran Sains Tambahan
adalah seperti berikut:
i. Pengukuran dan Daya
ii. Tenaga dan Kehidupan
iii. Jirim dalam Alam Semula jadi
iv. Penyelenggaraan dan Kesinambungan Hidup
v. Keseimbangan dan Pengurusan Alam Sekitar
vi. Gelombang
vii. Perkembangan Sains dan Teknologi

1.5 PERUNTUKAN WAKTU

Peruntukan waktu bagi semua mata pelajaran Sains bagi sekolah
rendah dan menengah berdasarkan surat pekeliling berikut :
a. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/2010: Pelaksanaan

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap I Mulai
Tahun 2011,
b. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2013: Pelaksanaan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap II Secara
Berperingkat-peringkat Mulai Tahun 2014,
c. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1990: Sukatan Pelajaran
dan Peruntukan Masa untuk Mata-mata Pelajaran Program
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) bagi
Sekolah Menengah Atas Mulai Tahun 1992, dan
d. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2000: Peruntukan Waktu
untuk Mata Pelajaran Sains dalam Kumpulan Teras
Peringkat Menengah Atas.

8

Berikut adalah cadangan sebaran waktu pengajaran dan pembelajaran
serta waktu amali mata pelajaran Sains:

a. Sekolah Rendah

Mata Tahun Peruntukan Sebaran Waktu dalam Waktu Amali Minimum
Pelajaran Masa Seminggu Waktu berkembar = 1 kali

Dunia Sains 1–3 Seminggu Waktu berkembar = 2 kali
dan Teknologi
60 minit
Sains 4-6 (2 waktu)

120 minit
(4 waktu)

b. Sekolah Menengah

Mata Tingkatan Peruntukan Sebaran Waktu dalam Waktu Amali Minimum
Pelajaran Masa Seminggu Waktu berkembar = 1 kali
Waktu berkembar = 1 kali
Seminggu Waktu berkembar = 2 kali Waktu berkembar = 1 kali
dan
Sains 1–5 200 minit
(5 waktu) 1 waktu = 1 kali

Sains 4-5 160 minit Waktu berkembar = 2 kali
Tambahan 4–5 (4 waktu)
Waktu berkembar = 2 kali
Fizik 160 minit
Kimia (4 waktu)
Biologi

9

BAB 2
PENGURUSAN MATA PELAJARAN

2.1 PENDAHULUAN

Pengurusan mata pelajaran amat penting bagi memastikan
pelaksanaan kurikulum lebih terancang dan sistematik. Pengurusan
mata pelajaran yang cemerlang akan memantapkan prestasi akademik
dan sahsiah murid. Pengurusan mata pelajaran juga penting agar
guru bersedia untuk menjadi pendidik yang prihatin, bertanggungjawab,
berwawasan, berinovasi dan berupaya melaksanakan tugas dengan
berkesan. Kerjasama antara guru dalam pengurusan mata pelajaran
akan dapat meningkatkan prestasi mata pelajaran dan seterusnya
mampu melahirkan insan yang seimbang sejajar dengan visi KPM iaitu
“Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”.

2.2 JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH

Jawatankuasa kurikulum sekolah merupakan jawatankuasa tertinggi
dalam bidang kurikulum di peringkat sekolah. Jawatankuasa ini
bertanggungjawab dalam menetapkan hala tuju dan ketetapan yang
jelas ke arah merealisasikan pendidikan cemerlang. Jawatankuasa
Kurikulum Sekolah memandu dan memberi panduan kepada guru
melalui aktiviti panitia dan persatuan mata pelajaran yang dilaksanakan
supaya mencapai matlamatnya.

10

Carta organisasi Jawatankuasa Kurikulum Sekolah adalah seperti berikut:

Sumber Rujukan: PPK, KPM (2001)

2.3 PERANAN JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH

Antara peranan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah adalah;

a. Membuat ketetapan berkenaan pelaksanaan kurikulum sekolah

dengan jelas.

b. Memastikan semua dasar dan program Kementerian Pendidikan

Malaysia dibincangkan dan dilaksanakan.

c. Merancang pelaksanaan program kurikulum jangka pendek

dan jangka panjang bagi menentukan pencapaian matlamat

kurikulum.

d. Menyelaras, melaksana, memantau, menilai dan menambah

baik pelaksanaan aktiviti kurikulum untuk memperbaik lagi

keadaan, suasana dan amalan pengajaran dan pembelajaran.

11

e. Merancang latihan atau kursus perkembangan staf dengan
tujuan meningkatkan mutu pendidikan.
f. Membincangkan masalah pendidikan semasa yang dihadapi di
sekolah.
g. Memantau dan menilai keberkesanan program, projek dan
aktiviti kurikulum.
h. Melaksanakan penambahbaikan terhadap program, projek dan
aktiviti kurikulum hasil daripada penilaian impak yang dijalankan.
i. Memberi ruang yang luas kepada idea baharu yang berkaitan
dengan pendidikan semasa.
j. Memastikan penubuhan panitia mata pelajaran dan
mempertimbangkan pandangan dan syor yang dikemukakan
oleh panitia.
k. Memaklumkan jumlah peruntukan kewangan kepada panitia.
l. Memastikan Kurikulum Kebangsaan dilaksanakan dengan
berkesan.
m. Menilai dan meneliti pelaksanaan Kurikulum Kebangsaan dan
mengemukakan maklum balas kepada Jawatankuasa Kurikulum
Daerah atau Negeri.

2.4 PERANAN PANITIA MATA PELAJARAN

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1986: Panitia Mata
Pelajaran, semua sekolah perlu menubuhkan panitia mata pelajaran
secara rasmi. Sekolah-sekolah kecil yang bilangan gurunya sedikit,
adalah difikirkan tidak perlu menubuhkan pelbagai panitia mata
pelajaran. Sekolah boleh menggabungkan beberapa mata pelajaran
sebagai satu panitia.

Berikut adalah antara perkara yang perlu dilaksanakan oleh panitia
mata pelajaran sejajar dengan peranannya sebagai sebuah badan
ikhtisas:

12

a. Memperoleh Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran,
Dokumen Standard Kurikulum, Dokumen Standard Kurikulum
dan Pentaksiran dan Panduan Perkembangan Pembelajaran
Murid (Panduan PPM) yang terkini dan kemas kini untuk
kegunaan ahli panitia.

b. Menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan bagi tahun
semasa selaras dengan sukatan pelajaran dan bersesuaian
dengan takwim sekolah.

c. Memilih dan mencadangkan buku rujukan yang sesuai kepada
pentadbir sekolah untuk keperluan guru dan murid.

d. Menyelaraskan soalan ujian atau instrumen pentaksiran dan
menyediakan bank soalan.

e. Menganalisis keputusan peperiksaan murid dalam setiap
peperiksaan atau pentaksiran seterusnya merancang pascanilai
bagi penambahbaikan.

f. Mengadakan mesyuarat panitia secara berkala, sekurang-
kurangnya sekali sepenggal dan mengadakan perjumpaan
secara semerta jika perlu.

g. Mengatur perjumpaan atau mesyuarat dengan ahli-ahli panitia
(secara formal atau tidak formal) untuk membincangkan
masalah atau isu yang berkaitan seperti masalah yang
berhubung dengan kaedah untuk mengajar serta mencari
penyelesaian masalah bagi sesuatu isu.

h. Berkongsi pengalaman dan pengetahuan baharu yang diperoleh
setelah mengikuti kursus atau seminar.

i. Mewujudkan semangat bekerjasama dengan persatuan di
sekolah dan menjalinkan hubungan kerja yang boleh membantu
pencapaian matlamat pengajaran dan pembelajaran.

j. Bekerjasama dan berkongsi pengalaman serta kepakaran
dengan panitia di sekolah berhampiran.

k. Bekerjasama dengan panitia lain di sekolah dalam memacu
usaha ke arah peningkatan kualiti pembelajaran murid.

13

l. Melantik seorang setiausaha dalam kalangan ahli panitia untuk
menyedia dan mengedarkan minit mesyuarat kepada semua ahli
panitia.

m. Menyelenggarakan fail panitia dan semua minit atau laporan
mesyuarat, surat menyurat dan rekod.

2.5 PERANAN PENGETUA ATAU GURU BESAR

Pengetua atau guru besar berperanan sebagai peneraju, perancang,
pelaksana perubahan dan inovasi kurikulum. Selain itu, beliau juga
merupakan penentu mata pelajaran elektif, perancang, dan pengurus
program pengajaran dan pembelajaran, memastikan sumber bahan
pengajaran dan pembelajaran mencukupi dan sebagai contoh dalam
meningkatkan tahap profesionalisme keguruan.

Pengetua atau guru besar perlu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan
sekolah berkaitan sumber tenaga manusia, kewangan dan fizikal. Di
samping itu, pengetua atau guru besar perlu menubuhkan panitia mata
pelajaran. Beliau juga perlu merekodkan segala hasil penyeliaan atau
pencerapan yang dibuat bagi memudahkan rujukan pelbagai pihak.

2.6 PERANAN PENOLONG KANAN PENTADBIRAN ATAU PENOLONG
KANAN PETANG

Penolong kanan pentadbiran atau penolong kanan petang berperanan
dalam urusan penyediaan jadual waktu induk, jadual waktu kelas dan
jadual guru ganti. Selain itu, beliau juga berperanan bagi menentukan
tenaga pengajar mengikut kesesuaian opsyen, pembangunan staf,
merancang, melaksana dan menilai program peningkatan kurikulum
serta membimbing guru. Beliau juga memastikan peperiksaan dan
pentaksiran sama ada dalaman atau awam dilaksanakan dengan
lancar serta memastikan pusat sumber berfungsi dengan baik.

14

penolong kanan pentadbiran atau penolong kanan petang juga
berperanan sebagai penyelaras program pemulihan, kelas tambahan
dan bimbingan dan mengenal pasti dan mencalonkan guru untuk
mengikuti kursus dalam perkhidmatan yang berkaitan mata pelajaran
Bahasa Malaysia.

2.7 PERANAN GURU KANAN MATA PELAJARAN

Guru kanan mata pelajaran sains berperanan membantu pengetua
dalam melaksanakan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran,
mengurus dan menggerakkan panitia mata pelajaran Sains. Guru
kanan mata pelajaran sains membantu penolong kanan pentadbiran
mengurus jadual waktu, mengurus bilik-bilik khas, melaksanakan
penilaian kemajuan staf, penyediaan dan penggunaan bahan bantu
mengajar dan koleksi pusat sumber.

2.8 PERANAN KETUA PANITIA SAINS

Keperluan penubuhan panitia mata pelajaran dimaklumkan melalui
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1986: Panitia Mata Pelajaran. Ketua
panitia bertanggungjawab merancang, melaksana, menyelaras,
memantau, menilai dan menambah baik semua hal berkaitan mata
pelajaran. Ketua panitia dilantik berdasarkan kekananan oleh pengetua
atau guru besar secara rasmi untuk memimpin guru mata pelajaran
bawah tanggungjawabnya. Panitia mata pelajaran hendaklah
dianggotai oleh semua guru yang mengajarkan mata pelajaran tersebut
di sekolah. Bagi memastikan panitia berfungsi dengan baik dan selari
dengan perkembangan pendidikan semasa, antara tugas yang boleh
dijalankan oleh ketua panitia adalah seperti berikut:

a. Merancang dan mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa
untuk mengkaji dan mengesan pelaksanaan kurikulum.

b. Memperoleh Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran,
Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid, Dokumen

15

Standard Kurikulum dan Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran terkini.
c. Merancang, menyedia dan menyelaras Rancangan Pelajaran
Tahunan dengan mengambil kira takwim semasa persekolahan.
d. Memastikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan
Rekod Pengajaran dan Pembelajaran dipatuhi oleh semua
guru mata pelajaran dalam penyediaan Rancangan Pelajaran
Harian.
e. Menyelaras penyediaan soalan ujian dan peperiksaan
serta menganalisis keputusan penilaian untuk tujuan
penambahbaikan.
f. Mengenal pasti, merancang dan melaksanakan program atau
aktiviti peningkatan prestasi mata pelajaran dan kegiatan
kokurikulum akademik.
g. Menyelaras tugasan, jenis buku latihan dan buku nota yang
akan digunakan.
h. Menyelaras tugasan kepada murid dengan menetapkan
bilangan, bentuk, aras kesukaran dan kekerapan yang
bersesuaian.
i. Mengenal pasti, merancang dan melaksanakan program atau
latihan dalam perkhidmatan yang lebih berfokus kepada
peningkatan kualiti pengajaran guru.
j. Membantu merancang dan menyedia anggaran perbelanjaan
tahunan bagi mata pelajaran.
k. Mengenal pasti dan mengurus perolehan peralatan serta bahan
mengikut Arahan Perbendaharaan dan Surat Pekeliling yang
sedang berkuat kuasa.
l. Memilih dan mencadangkan buku yang sesuai untuk kegunaan
Pusat Sumber Sekolah.
m. Mengurus pembelian alatan dan bahan yang baru dibeli dan
diterima mengikut bilangan dan spesifikasi.

16

n. Merancang program Professional Learning Community seperti
Learning Walks, Peer Coaching atau Instructional Coaches,
Lesson Study dan Teachers’ Sharing Sessions.

o. Memastikan guru mata pelajaran mengutamakan pendekatan
inkuiri dan penyelesaian masalah disamping menerapkan
kemahiran berfikir aras tinggi.

p. Memastikan bilik atau makmal sains digunakan secara optimum
untuk pelaksanaan aktiviti atau amali sains.

q. Memastikan bilik atau makmal sains berada dalam keadaan
bersih, kemas dan selamat untuk digunakan.

2.9 PERANAN GURU MATA PELAJARAN SAINS

a. Menggunakan Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran,
Dokumen Standard Kurikulum, Dokumen Standard Kurikulum
dan Pentaksiran dan Panduan Perkembangan Pembelajaran
Murid yang terkini.

b. Menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan
Pelajaran Harian yang berasaskan Sukatan Pelajaran,
Huraian Sukatan Pelajaran, Dokumen Standard Kurikulum,
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran dan Panduan
Perkembangan Pembelajaran Murid. Persediaan ini hendaklah
mempunyai peringkat perkembangan yang sesuai dan selaras
dengan kebolehan serta keperluan murid.

c. Mengkaji dan menganalisis kaedah penyampaian supaya
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dihasilkan.

d. Membantu ketua panitia membuat pemilihan buku rujukan dan
sumber pendidikan yang sesuai untuk proses pengajaran dan
pembelajaran.

17

e. Menyediakan pelbagai sumber pendidikan dan teknologi
maklumat dan komunikasi yang boleh digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran seperti model, rajah, carta, cakera
padat, video, laman web, smart board dan sebagainya yang
difikirkan sesuai.

f. Menghadiri mesyuarat panitia mata pelajaran bagi merancang
sesuatu aktiviti dan menyelesaikan masalah pengajaran dan
pembelajaran di samping saling berkongsi maklumat.

g. Menghadiri mesyuarat, taklimat, seminar, bengkel, dan kolokium
berkaitan mata pelajaran sama ada dianjurkan oleh panitia mata
pelajaran atau badan profesional tertentu.

h. Memberi latihan atau tugasan kerja rumah yang mencukupi
kepada semua murid serta memeriksa hasil kerja murid
mengikut ketetapan yang diputuskan.

i. Melaksanakan program komuniti pembelajaran profesional bagi
menilai kekuatan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran
serta merancang penambahbaikan.

j. Menerapkan pendekatan inkuiri, penyelesaian masalah dan
kemahiran berfikir aras tinggi semasa pengajaran dan
pembelajaran.

k. Melaksanakan aktiviti pentaksiran mengikut garis panduan yang
ditetapkan.

2.10 MESYUARAT PANITIA SAINS

Panitia mata pelajaran perlu menjalankan mesyuarat secara formal
sebagaimana ditetapkan oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah
mengikut ketetapan berikut:

a. Mengadakan mesyuarat secara berkala, sekurang-kurangnya dua
kali setahun (rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1986: Panitia
Mata Pelajaran). Selain itu, mesyuarat secara semerta juga boleh
diadakan mengikut keperluan.

18

b. Mesyuarat panitia diadakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa
Kurikulum Sekolah.

c. Semua perkara asas seperti perancangan aktiviti tahunan,
perkembangan staf, pengajaran dan pembelajaran mata
pelajaran, analisis peperiksaan awam dan sekolah dan
perancangan kewangan perlu dibincangkan serta diputuskan
dalam mesyuarat panitia.

d. Agenda mesyuarat sekurang-kurangnya mengandungi perkara
berikut:
i. Ucapan pengerusi.
ii. Pengesahan minit mesyuarat yang lalu.
iii. Perkara berbangkit.
iv. Perbincangan isu atau masalah profesional.
v. Hal-hal lain.

e. Minit mesyuarat hendaklah disediakan dan salinannya diedarkan
kepada ahli panitia dan pihak pengurusan sekolah dalam tempoh
yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran
Awam (PKPA) Bil. 2/1991: Panduan Pengurusan Mesyuarat
dan Urusan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerajaan.

2.11 PENGURUSAN PEMBERIAN BANTUAN GERAN PERKAPITA

Bantuan geran perkapita merupakan bantuan kewangan yang
diperuntukkan kepada setiap murid yang bersekolah di Sekolah
Kerajaan atau Sekolah Bantuan Kerajaan.

Pengurus sekolah hendaklah memaklumkan kepada guru kanan
mata pelajaran atau ketua panitia dalam mesyuarat jawatankuasa
pengurusan kewangan dan akaun sekolah mengenai jumlah
peruntukan geran perkapita yang diterima serta agihannya supaya
perancangan perbelanjaan tahunan dapat dilaksanakan dan
peruntukan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan oleh murid
sepenuhnya.

19

Geran perkapita yang layak dituntut terbahagi kepada dua kumpulan
iaitu :
a. Geran Perkapita Mata Pelajaran – Teras, Wajib, Tambahan &

Bahasa Asing dan Elektif.
b. Geran Perkapita Bukan Mata Pelajaran – Pusat Sumber

Sekolah, Bimbingan dan Kaunseling, Lain-lain Perbelanjaan
Berulang Tahun atau Lain-Lain Perbelanjaan Khas Sekolah dan
Asrama.

Panitia mata pelajaran perlu merancang peruntukan geran perkapita
bagi mencapai maksud perbelanjaan seperti yang digariskan dalam
Surat Pekeliling Kewangan Bil. 8/2012: Garis Panduan
Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Ke
Sekolah Berdasarkan Per Kapita dan Enrolmen Murid dan Pindaan
Surat Pekeliling Kewangan Bil. 8/ 2012 bertarikh 17 Jun 2013 serta
pekeliling yang sedang berkuat kuasa. Maksud perbelanjaan seperti
yang terdapat dalam surat pekeliling berkenaan adalah:
a. Pembelian inventori dan bahan habis guna bagi tujuan

pengajaran dan pembelajaran.
b. Pembelian buku rujukan, ensiklopedia, perisian, cakera padat

dan bahan-bahan lain yang bersesuaian untuk tujuan
pengajaran dan pembelajaran.
c. Penyelenggaraan dan pembaikan inventori dan harta modal
yang digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
d. Keceriaan berunsurkan pendidikan seperti taman sains, taman
herba dan sebagainya yang boleh memberi pengukuhan kepada
program pengajaran dan pembelajaran.
e. Program berunsurkan pendidikan yang boleh memberi
pengukuhan kepada proses pengajaran dan pembelajaran sama
ada semasa cuti persekolahan atau hari persekolahan.
f. Perolehan harta modal dibenarkan tetapi hendaklah
dibincangkan dan dipersetujui oleh ketua bidang atau ketua
panitia dan diluluskan oleh pengetua atau guru besar.

20

Pembelian hendaklah mematuhi peraturan dan ketetapan
semasa.
g. Bagi perolehan teknologi maklumat komunikasi, sekolah
hendaklah mematuhi tatacara perolehan teknologi maklumat
dan komunikasi yang berkuat kuasa.
h. Perolehan harta modal yang melebihi kadar yang ditetapkan
perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Ketua Pusat
Tanggungjawab.

Berdasarkan Pindaan Surat Pekeliling Kewangan Bil. 8/2012,
maksud perbelanjaan geran perkapita diperluas seperti berikut:
a. Bayaran elaun penceramah dibenarkan menggunakan peruntukan

geran perkapita mata pelajaran.
b. Pembelian inventori dibenarkan menggunakan peruntukan

Lain-Lain Perbelanjaan Berulang Tahun atau Lain-Lain
Perbelanjaan Khas Sekolah dan Asrama.
c. Perbelanjaan bagi penyediaan makan minum ahli mesyuarat
pentadbiran dan pengurusan sekolah atau asrama dibenarkan
menggunakan peruntukan Lain-Lain Perbelanjaan Berulang
Tahun atau Lain-Lain Perbelanjaan Khas Sekolah dan Asrama.
d. Bayaran balik tambang pengangkutan kepada guru atau warden
atau kakitangan sekolah bagi urusan kecemasan berdasarkan
kelayakan tambang teksi dibenarkan menggunakan peruntukan
Lain-Lain Perbelanjaan Berulang Tahun atau Lain-Lain
Perbelanjaan Khas Sekolah dan Asrama.

21

2.12 LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN
Latihan dalam perkhidmatan perlu dirancang dan dilaksanakan untuk
mempertingkat pengetahuan dan kemahiran guru. Antara perkara yang
perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

a. Mengenal pasti bidang yang memerlukan peningkatan melalui
kajian keperluan atau analisis SWOT (Strength, Weaknesses,
Opportunity, Threat) bagi merancang perkembangan staf.

b. Mengenal pasti dan mengesyorkan kepada pihak pengurusan
supaya menghantar guru menghadiri kursus, seminar atau
persidangan berkaitan pengajaran dan pembelajaran.

c. Menggunakan kepakaran guru sedia ada bagi menjalankan
kursus dalaman peringkat panitia.

d. Menjemput pakar berkaitan mata pelajaran dari luar untuk
memberi ceramah kepada guru supaya mereka memperoleh
idea-idea dan pendekatan baharu.

e. Membuat penilaian dan mengambil tindakan susulan terhadap
sesuatu program atau aktiviti yang dijalankan.

2.13 PENGURUSAN FAIL ATAU DOKUMENTASI
Panitia mata pelajaran hendaklah mewujudkan fail rasmi untuk
menyimpan dokumen mata pelajaran. Dokumen hendaklah diurus
dengan sistematik, kemas kini serta mudah diakses. Kemudahan
teknologi maklumat dan komunikasi boleh digunakan untuk menyimpan
data dan maklumat panitia.

22

2.14 BILIK ATAU MAKMAL SAINS DAN SUDUT MATA PELAJARAN

Guru kanan mata pelajaran, ketua panitia dan guru mata pelajaran
yang dipertanggungjawabkan perlu:
a. Memastikan bilik atau makmal sains digunakan secara optimum

untuk menjalankan aktiviti amali.
b. Memastikan bilik atau makmal sains atau sudut mata pelajaran

Sains sentiasa bersih dan kemas untuk digunakan.
c. Menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di bilik

atau makmal sains atau sudut mata pelajaran Sains untuk proses
pengajaran dan pembelajaran dan kegiatan persatuan sains.
d. Menyediakan panduan penggunaan bilik atau makmal sains serta
memastikan peraturan penggunaannya dipatuhi.
e. Merekodkan penggunaan bilik atau makmal sains serta mengemas
kini penggunaannya dan memastikan aspek keselamatan diberi
perhatian sewajarnya.

2.15 PERSATUAN SAINS

a. Penubuhan persatuan Sains adalah bertujuan untuk pengukuhan,
pengayaan, dan meluaskan pengetahuan serta meningkatkan
minat murid dalam mata pelajaran Sains. Oleh itu, program yang
berfaedah dan menarik minat murid perlu dirancang.

b. Persatuan Sains boleh memainkan peranan dengan merancang
aktiviti yang ada hubung kait dengan pencapaian objektif mata
pelajaran tersebut dan menjalankannya pada masa tertentu di
luar bilik darjah. Aktiviti ini boleh mengukuhkan kefahaman serta
penguasaan murid di samping menimbulkan minat dalam bidang
sains.

c. Persatuan Sains yang ditubuhkan perlu mempunyai peraturan
dan perlembagaannya. Keahlian adalah terbuka kepada semua
murid yang berminat di sesebuah sekolah tanpa sebarang sekatan.

23

d. Struktur organisasi persatuan sains terletak bawah Jawatankuasa
Kokurikulum Sekolah dan menjadi pelengkap aktiviti panitia
berkenaan.

e. Semua ahli jawatankuasa terdiri daripada murid yang dipilih oleh
ahli dalam mesyuarat agung tahunan. Jawatan-jawatan yang
diwujudkan dalam persatuan ini adalah seperti berikut:
i. Pengerusi
ii. Naib Pengerusi
iii. Setiausaha
iv. Bendahari
v. Beberapa orang ahli jawatankuasa

f. Persatuan dikehendaki mengadakan mesyuarat jawatankuasa
dari semasa ke semasa bergantung pada kehendak
perlembagaan dan keperluan.

g. Mesyuarat tersebut boleh menubuhkan jawatankuasa kecil
berdasarkan kepentingan persatuan bagi mencapai matlamat
kegiatan yang dirancang.

24

BAB 3
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

3.1 PENDAHULUAN

Pengajaran ialah aktiviti yang direka bentuk dan dilaksanakan oleh
guru secara terancang dan teratur yang berasaskan ilmu pendidikan
dan teori pedagogi yang sesuai. Hal ini demikian bagi menitipkan ilmu
pengetahuan kepada murid berkaitan mata pelajaran yang diajar bagi
membolehkan pertambahan ilmu dan perubahan tingkah laku. Proses
pengajaran dan pembelajaran yang disarankan dalam mata pelajaran
Sains menggunakan pendekatan berpusatkan murid yang memberi
penekanan terhadap pembelajaran melalui pengalamian. Dalam hal
ini, pelbagai teknik dan kaedah seperti kaedah inkuiri penemuan,
eksperimen, kajian kes, projek, tunjuk cara, main peranan dan simulasi
digunakan mengikut keadaan dan potensi murid. Sementara itu,
pembelajaran merupakan satu proses bagi mendapatkan pengetahuan
atau kepercayaan baharu oleh murid yang membawa perubahan
perlakuan hasil daripada pengalaman yang baharu. Guru berperanan
sebagai fasilitator. Guru juga melaksanakan aktiviti dan teknik
penyampaian yang menarik bagi menjalinkan ilmu pengetahuan,
kemahiran dan nilai menggunakan sumber pendidikan yang berkesan.

3.2 STANDARD 4: SKPM 2010

Bagi memastikan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
ditingkat dan dikekalkan serta memenuhi piawaian kualiti pengajaran di
bilik darjah, guru perlu memberikan perhatian kepada aspek PdP mengikut
ketetapan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM).
Terdapat 12 kriteria kritikal dalam Standard 4 iaitu:

25

a. Penglibatan murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
bagi membolehkan berlakunya pembelajaran berkesan.

b. Penguasaan pembelajaran murid selaras dengan objektif yang
ditetapkan.

c. Hasil kerja murid berkualiti bagi mengukuhkan pembelajaran.
d. Perancangan dan persediaan yang rapi bagi meningkatkan

keberkesanan pengajaran.
e. Kaedah penyampaian yang sesuai bagi meningkatkan

pencapaian objektif pelajaran.
f. Komunikasi yang berkesan bagi memudah dan mempercepat

pemahaman dan menggalakkan pembelajaran murid.
g. Penggunaan sumber pendidikan yang berkesan bagi

mengukuhkan pembelajaran murid.
h. Pentaksiran yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan

pengajaran dan pembelajaran.
i. Teknik penyoalan yang berkesan meningkatkan pemahaman

murid.
j. Penguasaan isi kandungan yang mendalam membolehkan

pelajaran disampaikan dengan yakin, jelas, dan tepat.
k. Pengurusan kelas yang cekap mewujudkan suasana yang

kondusif untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
l. Pematuhan etika kerja dan amalan nilai yang positif bagi
mewujudkan keyakinan dan kepercayaan murid terhadap guru.

SKPM 2010 sedang dibuat penambahbaikan meliputi Standard 4
berkaitan PdP. Walau bagaimanapun, elemen asas PdP dalam
Standard 4 masih dikekalkan.

26

3.3 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Strategi ialah satu perancangan pengurusan operasi yang digunakan
untuk mencapai sesuatu matlamat. Dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran, istilah ini merujuk satu set aktiviti pengajaran yang
bertujuan untuk mencapai sesuatu objektif. Strategi pengajaran yang
berkesan akan dapat mengintegrasikan pendekatan, kaedah, dan
teknik secara harmoni. Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam
kurikulum sains mengutamakan pembelajaran berfikrah. Pembelajaran
berfikrah adalah satu proses pemerolehan dan penguasaan kemahiran
serta ilmu pengetahuan yang dapat mengembangkan minda seseorang
murid ke tahap yang optimum.

Keberkesanan pengajaran guru sebahagian besarnya bergantung
kepada pendekatan dan kaedah yang digunakan. Dalam pengajaran
mata pelajaran Sains terdapat pelbagai kaedah, teknik dan pendekatan
yang digunakan untuk menarik minat serta memupuk pemikiran kritis
dan kreatif. Antara kaedah dan teknik yang boleh digunakan adalah
seperti berikut:

a. Inkuiri-Penemuan
Inkuiri-penemuan merupakan satu kaedah pembelajaran
yang melibatkan pertanyaan mengenai sesuatu perkara dan
mencari jawapan kepada persoalan yang diutarakan. Kaedah ini
melibatkan pemerhatian dan pengukuran yang teliti, membuat
hipotesis, menterjemah dan membina teori. Inkuiri-penemuan
memerlukan kemahiran mengeksperimen, membuat refleksi,
dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kaedah yang
digunakan.

27

b. Pembelajaran Masteri
Pembelajaran Masteri merupakan pendekatan pengajaran
dan pembelajaran yang memastikan semua murid menguasai
hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam unit pembelajaran
sebelum berpindah ke tajuk seterusnya. Murid belajar mengikut
kemampuan aras kognitif masing-masing. Aktiviti pengayaan
dan pemulihan menjadi sebahagian daripada proses
Pembelajaran Masteri.

c. Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran Konstektual menggabungkan isi kandungan
dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam
pekerjaan. Murid tidak belajar secara teori sahaja tetapi dapat
menghargai kerelevanan pembelajaran sains dengan kehidupan
mereka. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit
yang melibatkan aktiviti hands–on dan minds–on.

d. Pembelajaran Akses Kendiri
Pembelajaran Akses Kendiri membolehkan murid memperoleh
pengetahuan dan kemahiran secara berdikari melalui bahan
pembelajaran yang disediakan. Bahan pembelajaran direka
dan diuruskan supaya murid belajar mengikut minat, keperluan,
tahap kemampuan dan gaya pembelajaran mereka.

e. Kajian Masa Depan
Merupakan strategi secara saintifik yang dibina untuk
menambahkan keupayaan murid dalam menghadapi pelbagai
cabaran hidup dan membuat keputusan. Kaedah ini mampu
merangsang murid untuk berfikir secara kritis, kreatif dan
inovatif.

28

f. Konstruktivisme
Murid belajar dan membina sendiri pemahaman yang bermakna
kepada diri mereka. Unsur penting dalam konstruktivisme
adalah pembelajaran daripada hasil usaha murid sendiri apabila
mampu menghubungkan idea asal dengan idea baru bagi
menstrukturkan semula idea. Murid berpeluang bekerjasama,
berkongsi idea dan pengalaman dan membuat refleksi.

g. Pembelajaran Berasaskan Masalah
Pembelajaran berasaskan masalah merupakan satu kaedah
pembelajaran berpusatkan murid. Murid diberikan satu
masalah untuk diselesaikan secara berkumpulan dengan
mempelbagaikan pencarian maklumat. Kaedah pembelajaran
berasaskan masalah ini mempertingkatkan kemahiran insaniah
murid kerana melibatkan antaranya elemen kemahiran
berkomunikasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan
kerja berkumpulan. Guru merupakan fasilitator dan memainkan
peranan sebagai pembimbing dan pemantau untuk memastikan
proses pembelajaran berlaku.

3.4 AKTIVITI PEMBELAJARAN

Pelbagai aktiviti pembelajaran yang berpusatkan murid dirancang
dan dilaksanakan selaras dengan strategi pembelajaran sains yang
menegaskan penglibatan murid secara aktif. Dalam melaksanakan
aktiviti tersebut, guru memainkan peranan sebagai pemudah cara,
pembimbing dan penunjuk teladan manakala murid pula mengambil
bahagian secara aktif. Berikut adalah beberapa aktiviti yang boleh
dijalankan:

29

a. Eksperimen
Kaedah eksperimen adalah satu kaedah yang lazim dijalankan
dalam pembelajaran sains. Murid menguji hipotesis melalui
penyiasatan untuk menemui konsep dan prinsip sains tertentu
secara saintifik. Menjalankan eksperimen menggunakan
kemahiran berfikir, kemahiran saintifik dan kemahiran
manipulatif.

b. Perbincangan
Aktiviti di mana murid menyoal dan mengemukakan pendapat

berlandaskan alasan yang sahih. Perbincangan perlu dijalankan
sebelum, semasa dan selepas menjalankan aktiviti. Guru
bertindak sebagai fasilitator dan mengetuai perbincangan
dengan bertanyakan soalan yang merangsang murid untuk
mempamerkan kebolehan diri.

c. Simulasi
Aktiviti yang dijalankan menyerupai situasi yang sebenar.
Contoh simulasi yang utama ialah main peranan, permainan,
dan penggunaan model. Dalam main peranan, murid
melakonkan sesuatu peranan secara spontan berdasarkan
beberapa syarat yang telah ditentukan. Permainan pula
menpunyai peraturan yang harus dipatuhi. Murid bermain untuk
mempelajari sesuatu prinsip ataupun untuk memahami proses
bagi membuat keputusan. Model boleh digunakan untuk
mewakili objek atau keadaan sebenar. Murid dapat
membayangkan situasi tersebut dan seterusnya memahami
konsep dan prinsip yang dipelajari.

d. Lawatan dan Penggunaan Sumber Luar
Pembelajaran sains tidak hanya terhad di sekolah sahaja.
Pembelajaran sains boleh melalui lawatan ke tempat seperti
zoo, muzium, pusat sains, institut penyelidikan paya bakau dan
kilang. Lawatan ke tempat-tempat sedemikian boleh menjadikan

30

pembelajaran lebih berkesan, menyeronokkan dan bermakna.
Setiap lawatan yang dibuat perlu perancangan yang rapi bagi
memastikan murid mengetahui peranan dan aktiviti yang hendak
dibuat semasa dan selepas lawatan.

e. Projek
Aktiviti yang dijalankan oleh murid secara individu atau
berkumpulan untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu. Projek
mengambil masa yang panjang serta menjangkau waktu
pembelajaran yang formal untuk dilengkapkan. Hasil projek
dalam bentuk laporan, artifak, atau lain-lain perlu dibentangkan
kepada guru dan murid lain. Kerja projek menggalakkan
perkembangan kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran
pengurusan masa dan pembelajaran kendiri.

3.5 PENERAPAN ELEMEN MERENTAS KURIKULUM

3.5.1 Elemen yang diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran.

Tiga elemen yang perlu diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran ialah:

a. Elemen kreativiti dan inovasi diintegrasikan
dalam pengajaran dan pembelajaran Kurikulum
Standard Sekolah Rendah bagi membangun dan
mengembangkan tahap potensi kreativiti mengikut
keupayaan murid secara individu. Kreativiti merujuk
kepada tindakan penghasilan idea, pendekatan atau
tindakan yang baharu. Inovasi pula ialah proses
menjana idea dan mengaplikasikan idea secara kreatif
dalam konteks tertentu. Kreativiti dan inovasi

31

digandingkan dalam pengajaran dan pembelajaran
untuk membangunkan modal insan yang dihasratkan.

b. Elemen keusahawanan merupakan satu pendekatan
membudayakan keusahawanan. Proses ini melibatkan
pembentukan sikap keusahawanan serta amalan nilai
moral dan etika dalam keusahawanan. Penerapan
elemen ini bertujuan membentuk ciri-ciri dan amalan
keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam
kalangan murid.

c. Elemen teknologi maklumat dan komunikasi diajar
kepada murid agar dapat menggunakan komputer untuk
tujuan komunikasi seperti menghantar dan menerima
e-mel, menggunakan aplikasi perisian dalam
menyempurnakan tugasan harian dan mengakses
maklumat melalui internet.

3.5.2 Kemahiran saintifik

Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan
kemahiran manipulatif. Kemahiran saintifik penting untuk
menjalankan sebarang aktiviti mengikut kaedah saintifik
seperti eksperimen, penyelidikan dan projek. Kemahiran ini
mengutamakan proses inkuiri dan penyelesaian masalah.

a. Kemahiran Proses Sains
Kemahiran proses sains merupakan kemahiran yang
membolehkan murid mempersoalkan sesuatu dan
mencari jawapan secara bersistem. Kemahiran ini
bermula daripada kemahiran yang mudah kepada
yang kompleks. Penerangan bagi setiap elemen dalam
kemahiran proses sains adalah seperti berikut :

32

i. Memerhatikan
Menggunakan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan,

rasa atau bau untuk mengumpulkan maklumat tentang
objek dan fenomena.

ii. Mengelaskan
Menggunakan pemerhatian untuk mengasing dan

mengumpulkan objek atau fenomena berdasarkan ciri
yang sama.

iii. Mengukur dan menggunakan nombor
Membuat pemerhatian secara kuantitatif dengan

menggunakan nombor, alat berunit piawai atau alat
yang diseragamkan sebagai unit rujukan.

iv. Membuat inferens
Membuat kesimpulan awal yang munasabah sama ada

benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu
peristiwa atau pemerhatian.

v. Meramalkan
Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan
pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau berdasarkan
data.

vi. Berkomunikasi
Menerima, memilih, menyusun dan mempersembahkan
maklumat atau idea dalam bentuk tulisan, lisan, jadual,
graf, rajah atau model.

33

vii. Menggunakan perhubungan ruang dan masa
Memerihalkan perubahan parameter seperti lokasi,

arah, bentuk, saiz, isi padu, berat dan jisim dengan masa.

viii. Mentafsirkan data
Memberi penerangan yang rasional tentang objek,

peristiwa atau pola daripada data yang dikumpulkan.

ix. Mendefinisikan secara operasi
Memberi tafsiran tentang sesuatu konsep dengan

menyatakan perkara yang dilakukan dan diperhatikan.

x. Mengawal pemboleh ubah
Mengenal pasti pemboleh ubah dimanipulasikan,

pemboleh ubah bergerak balas dan pemboleh ubah yang
dimalarkan. Dalam sesuatu penyiasatan, satu pemboleh
ubah dimanipulasikan untuk memerhatikan hubungannya
dengan pemboleh ubah bergerak balas. Pada masa
yang sama pemboleh ubah yang lain dimalarkan.

xi. Membuat hipotesis
Membuat suatu pernyataan umum tentang hubungan

antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi
menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Pernyataan
ini boleh diuji untuk menentukan kesahihannya.

xii. Mengeksperimen
Merancang dan menjalankan penyiasatan untuk menguji

sesuatu hipotesis, mengumpulkan dan mentafsirkan data
untuk mendapatkan kesimpulan.

34

b. Kemahiran Manipulatif

Kemahiran manipulatif merupakan kemahiran psikomotor

dalam penyiasatan sains yang membolehkan murid

melakukan perkara yang berikut:

i. Mengguna dan mengendalikan peralatan dan

bahan sains dengan betul.

ii. Menyimpan peralatan dan bahan sains dengan

betul dan selamat.

iii. Membersihkan peralatan sains dengan cara yang

betul.

iv. Mengendalikan spesimen dengan betul dan

cermat.

v. Melakar spesimen, peralatan dan bahan sains

dengan tepat.

3.5.3 Kemahiran Berfikir


a. Kemahiran Berfikir Kritis
Penerangan ringkas tentang setiap kemahiran berfikir kritis
adalah seperti berikut:

i. Mencirikan
Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan
unsur sesuatu konsep atau objek.

ii. Membanding dan membeza
Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan
kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu
objek atau peristiwa.

35

iii. Mengumpul dan mengelas
Mengasing dan mengumpulkan objek atau fenomena
kepada kumpulan masing-masing berdasarkan kriteria
tertentu seperti ciri atau sifat sepunya.

iv. Membuat urutan
Menyusun objek dan maklumat mengikut tertib
berdasarkan kualiti atau kuantiti, ciri atau sifatnya seperti
saiz, masa, bentuk atau bilangan.

v. Menyusun mengikut keutamaan
Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib
berdasarkan kepentingan atau kesegeraan.

vi. Menganalisis
Mengolah maklumat dengan menguraikannya kepada
bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu
konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat.

vii. Mengesan kecondongan
Mengesan pandangan atau pendapat yang berpihak
kepada atau menentang sesuatu.

viii. Menilai
Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara dari segi
kebaikan dan keburukan berdasarkan bukti atau dalil
yang sah.

ix. Membuat kesimpulan
Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang
berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau
mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan.

36

b. Strategi Berfikir

Penerangan tentang setiap strategi berfikir adalah seperti

berikut:

i. Mengkonsepsikan

Membuat pengitlakan ke arah membina pengertian,

konsep atau model berdasarkan ciri spesifik sepunya

yang saling berhubung.

ii. Membuat keputusan
Memilih satu alternatif penyelesaian yang terbaik
daripada beberapa alternatif berdasarkan kriteria
tertentu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

iii. Menyelesaikan masalah
Mencari penyelesaian yang tepat secara terancang
terhadap situasi yang tidak pasti atau mencabar ataupun
kesulitan yang tidak dijangkakan.

iv. Menaakul
Kemahiran menaakul adalah kemahiran yang digunakan
dalam membuat pertimbangan secara logik, rasional,
adil dan saksama. Penguasaan kemahiran berfikir kritis,
kreatif dan strategi berfikir menjadi lebih mudah jika
seseorang itu berkebolehan membuat penaakulan secara
induktif dan deduktif.

37

3.5.4 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Kemahiran berfikir aras tinggi ialah keupayaan untuk
mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kemahiran
ini bertujuan untuk membuat penaakulan dan refleksi bagi
menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan
berupaya mencipta sesuatu.

Penerangan kemahiran KBAT


Kemahiran Keterangan

Mengaplikasi Menggunakan pengetahuan, kemahiran
dan nilai dalam situasi berlainan untuk
melaksanakan sesuatu perkara.

Menganalisis Mencerakinkan maklumat kepada bahagian
kecil untuk memahami dengan lebih
mendalam serta hubung kait dengan bahagian
berkenaan.

Menilai Membuat pertimbangan dan keputusan
menggunakan pengetahuan, pengalaman,
kemahiran dan nilai serta membuat justifikasi.

Mencipta Menghasilkan idea atau produk atau kaedah
yang kreatif dan inovatif.

Kemahiran berfikir aras tinggi boleh diaplikasikan di dalam bilik
darjah antaranya, melalui aktiviti berbentuk menaakul, pembelajaran
inkuiri, penyelesaian masalah, teknik menyoal serta aras soalan
berdasarkan taksonomi Blooms dan Versi Lorin Anderson. Guru
dan murid boleh menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran
(i-Think), Six Thinking Hats, Ryan’s Thinkers Keys, Q-Matrix, peta
minda dan Habits of Minds untuk menggalak serta memupuk
pemikiran aras tinggi.

38


Click to View FlipBook Version