The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Cerpen ini mengisahkan tentang kehidupan Hafiz, iaitu seorang anak nelayan yang serba kekurangan. Namun, kesusahan yang dialaminya tidak menjadi halangan untuk Hafiz berjaya dalam kehidupan dan membanggakan keluarganya.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sitisalina19, 2023-03-30 17:41:55

CERPEN HAFIZ ANAK NELAYAN

Cerpen ini mengisahkan tentang kehidupan Hafiz, iaitu seorang anak nelayan yang serba kekurangan. Namun, kesusahan yang dialaminya tidak menjadi halangan untuk Hafiz berjaya dalam kehidupan dan membanggakan keluarganya.

CERPEN HAFIZ ANAK NELAYAN SITI SALINA AB HAJIS


Di sebuah kampung, tinggal sebuah keluarga yang hidup bahagia. Keluarga ini ialah keluarga Hafiz. Hafiz tinggal bersama orang tuanya, iaitu Pak Hasan dan Mak Senah. Hafiz merupakan seorang murid Tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah. Dia seorang murid yang pintar dan mempunyai akhlak yang baik. Bapanya, Pak Hasan merupakan seorang nelayan, manakala ibunya Mak Senah ialah seorang pembantu di kantin sekolah.


”Hafiz.. bangun nak. Ayah nak pergi tangkap ikan.. Mari tolong ayah di pantai..”, sapa Pak Hasan dengan nada perlahan bagi membangunkan anaknya yang sedang tidur. Hafiz lantas bangun dan mencuci mukanya. Dia mengayuh basikal dan pergi membantu bapanya di pantai.


Setelah selesai membantu bapanya, Hafiz pulang ke rumah dengan segera. Dia perlu mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Kemudian, dia turun ke bawah rumah dan mengambil semula basikal yang disandarkan pada tiang rumah. “Ibu.. dah siap ke? Hafiz tunggu di bawah ya..”, Hafiz memanggil ibunya untuk ditumpangkan ke sekolah kerana ibunya bekerja di kantin. Hafiz membawa ibunya dengan berhati-hati semasa perjalanan dari rumah ke sekolah. Sesampainya di sekolah, Hafiz terus meletakkan basikal dan membantu membawa barang-barang ibunya ke kantin. Setelah itu, dia bergegas ke kelas kerana pelajarannya akan bermula tidak lama lagi.


Di dalam kelas, Hafiz merupakan seorang murid yang sangat aktif. Dia suka bertanya soalan kepada guru sekiranya dia tidak memahami sesuatu pelajaran. Hafiz juga sangat mesra dengan rakan-rakan sekelasnya. Dia sering membantu rakannya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, terutamanya dalam subjek Sains dan Matematik.


Hafiz sememangnya bukanlah seorang kanak-kanak yang hidup senang seperti kanakkanak lain. Kadangkala, dia berasa cemburu dengan kehidupan rakan-rakannya yang mewah dan moden. Rakan-rakannya juga dihantar oleh ibu bapa mereka dengan menaiki kereta. Mereka juga mempunyai telefon pintar yang sangat canggih dan menarik. Malah, ada di antara mereka juga mempunyai tablet dan komputer riba. Pernah juga terlintas pertanyaan di fikiran Hafiz, “Kenapa dia hidup seperti ini dan tidak dapat merasakan kehidupan mewah seperti rakannya yang lain?”. Namun, Hafiz kembali sedar dan meyakinkan dirinya bahawa dia seharusnya bersyukur kerana masih berpeluang untuk hidup bahagia bersama kedua-dua orang tuanya.


Hafiz pulang ke rumah dan menyimpan beg sekolahnya. Dia terus menggantikan pakaiannya dan mengayuh basikal ke pantai bagi membantu ayahnya yang akan pulang dari menangkap ikan. “Banyak ke ikan ayah dapat hari ini?”tanya Hafiz kepada Pak Hasan.“Ada la seekor, Hafiz.. Bolehlah buat makan kita di rumah nanti”, jawab Pak Hasan sambil mengemaskan perahunya. Hafiz dan ayahnya pun pulang ke rumah.


Setibanya di rumah, alangkah terkejutnya Hafiz apabila melihat Mak Senah terbaring kesakitan di atas lantai yang hanya beralaskan kain batik. Hafiz lantas berlari mendapatkan ibunya. “Ibu, kenapa dengan ibu?”, soal Hafiz dengan panik. Mak Senah pun menjawab, “Kaki dan pinggang ibu sakit.. Ibu tergelincir semasa mengemop lantai di kantin sekolah tadi.. Mujur ada Cikgu Ina yang sudi menghantar ibu ke rumah.” Pak Hasan yang mendengar rintihan Mak Senah langsung memasuki rumah dan menasihati isterinya untuk tidak lagi bekerja di kantin sekolah itu. “Kamu duduk di rumah.. Biar aku sahaja yang mencari rezeki..”, kata Pak Hasan dengan nada yang sayu apabila melihat keadaan isterinya itu.


Hafiz yang mendengar percakapan ibu dan ayahnya berasa sangat sedih dan kasihan terhadap orang tuanya. Sambil dia mengurut kaki ibunya, dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarganya. Dia ingin melihat orang tuanya hidup selesa dan tidak perlu bersusah payah bekerja demi meneruskan kehidupan. “Ibu dan ayahku sudah tua.. Tidak seharusnya lagi mereka bekerja kuat seperti ini.. Aku perlu bantu ibu dan ayah.. Aku mahu mereka hidup senang.. Aku perlu berjaya..”, bisik Hafiz di dalam hatinya.


Hafiz meneruskan kehidupan sehariannya seperti biasa. Dia akan membantu ayahnya di pantai sebelum ke sekolah dan pada waktu petang. Dia juga menjaga dan membantu ibunya yang sakit di rumah dengan menyiapkan makanan dan mengemaskan rumah. Pada hujung minggu pula, Hakim akan menemani ayahnya menangkap ikan di laut. Dia ingin membantu meringankan beban ayahnya. Dia kasihan melihat ayahnya berseorangan menangkap ikan di bawah terik matahari. Hafiz juga membantu ayahnya menjual ikan di pasar. Hasil keuntungan yang diperoleh daripada jualan ikan itu akan digunakan bagi membeli ubat-ubatan Mak Senah dan perbelanjaan rumah seperti beras, tepung, gula dan sebagainya.


Tidak lama lagi, peperiksaan UPSR akan tiba. Hafiz gigih belajar dan mengulang kaji pelajaran sehingga larut malam. Dia juga membaca buku-buku yang telah dipinjamnya dari perpustakaan sekolah. Dia membuat banyak latihan dari soalan-soalan peperiksaan lepas. Semasa di sekolah pula, dia sering berjumpa dengan guru-gurunya bagi bertanyakan soalan berkaitan pembelajaran. Dalam kesibukannya itu, Hafiz tidak pernah melupakan tanggungjawabnya untuk membantu ayah dan ibunya, serta impiannya untuk mengubah nasib keluarga.


Berbulan kemudian, peperiksaan UPSR telah berlalu dan kini Hafiz menunggu keputusan peperiksaan. Alangkah bahagianya Hafiz apabila dia berjaya memperoleh keputusan yang sangat cemerlang. Dia pulang ke rumah dengan wajah yang gembira untuk memberitahu ibu dan ayahnya. “Ibu.. Ayah.. Hafiz dapat keputusan 6A dalam UPSR!”, teriak Hafiz dari bawah rumahnya. Pak Hasan dan Mak Senah yang mendengar teriakan gembira Hafiz lantas mendapatkan anaknya itu dan memeluknya dengan erat. Mereka sangat gembira dengan kejayaan yang diperoleh oleh Hafiz. Mereka juga memberikan semangat kepada Hafiz untuk meneruskan usahanya sehingga berjaya di masa hadapan.


Hafiz juga berjaya mendapatkan tawaran biasiswa dan menyambung persekolahan di MRSM. Banyak sumbangan dan penghargaan yang diperolehnya dan ini telah membantu kehidupan keluarganya. Hafiz akhirnya berjaya mencapai impiannya untuk mengubah nasib keluarga. Kini, Hafiz merupakan seorang usahawan muda yang terkenal di Malaysia. Orang tuanya tidak lagi bekerja seperti yang diinginkan oleh Hafiz.


Kita mestilah menyayangi ibu bapa sepenuh hati kerana mereka banyak berjasa kepada kita.


Click to View FlipBook Version