The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nasimah bt Abdul Jal UP(S), 2021-03-09 22:02:04

JURNAL PRAKTIKUM Jilid 1/2021

JURNAL PRAKTIKUM (1)

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Adalah menjadi tanggungjawab utama semua siswa pendidik menguasai
kemahiran merungkai standard merujuk DSKP mata pelajaran pengkhususan masing-
masing. Bimbingan padu daripada guru dan pensyarah pembimbing menjadi keutamaan
ke arah pemantapan kemahiran ini secara menyeluruh. Penguasaan isi kandungan
merujuk DSKP menjadi keutamaan. Siswa pendidik berkebolehan menterjemahkan isi
kandungan daripada DSKP dengan menyusun kaedah, strategi dan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap pencapaian murid.

Melalui program Professional Learning Communities (PLC) yang dijalankan di
bawah transformasi pendidikan abad ke-21 dapat dilaksanakan di peringkat panitia
dengan menyusun kaedah, strategi dan aktiviti yang bersesuaian mengikut tahap murid.
Pengetahuan yang dikongsikan ini dapat membantu siswa pendidik yang menjalani
latihan praktikum (amalan profesional) memantapkan kemahiran mengajar. Kejayaan
mengajar dengan cemerlang mampu melahirkan keseronokan belajar dalam kalangan
murid. Pemantapan kemahiran mengajar serta berjaya meningkatkan tahap pemahaman
murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran menjadi fokus utama setiap warga
bergelar pendidik.

RUJUKAN

Abdul Halim Masnan & Nor Mahitah Mohd Razi. (2015). Pengetahuan persedian
pengajaran guru prasekolah baru. Tanjung Malim: Universiti Sultan Idris. Dicapai
daripada https://ejournal.upsi.edu.my

Boon Pong Ying, Lee Leh Hong & Lawrence Aloysius Aeria. (2017). Merungkai standard.
Pentaksiran dalam Pendidikan (m.s. 62-66). Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Wilkin. (1993). Mentoring: Perspectives on School-Based Teacher Education.
London: Kogan Page Limited.

Husairi Bin Jikan. (2004). Pengurusan Masa Guru dalam Proses Pengajaran dan
Pembelajaran Pendidikan. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia. Dicapai
daripada http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/pdffail/ptkghdfwP2/ p_2004_5850_
f926484ccaf448b2b704f7264f5439e2.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik
Darjah. Putrajaya:Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Lam Yat Chaw, Yau Yee Shin, Yeo Chui Eng, Chew Chui Kian & Lee Sung Ping. (2006).
Kecekapan Guru Pelatih dalam Pengajaran dan Pembelajaran Membaca Bahasa
Cina. Jurnal Penyelidikan IPBL, Jilid 7. Dicapai daripada
http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/jurnalpapers/jurnal2006/lam06.pdf

101

Mohammed Amin Embi. (2008). Panduan Amalan Pengajaran dan Pembelajaran
Berkesan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Dicapai daripada
pkukmweb.ukm.my

Syed Ismail Syed Mustapa. (2012). Amalan bimbingan pengajaran pensyarah dan guru
pembimbing dalam program mentoring praktikum serta impaknya terhadap kualiti
guru pelatih. Jurnal Pendidikan Malaysia 38(1): 71-78.

Sylvia M. Roberts & Eunice Z. Pruitt. (2009). Schools as Professional Learning
Communities:

Collaborative Activities and Strategies For Professional Development. America: Corwin
Press, A SAGE Company.

Samsudin Mohamad & Kamarul Azmi Jasmi. (2011). Penyeliaan Guru Dalam Pengajaran
& Pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

102

MURID TIDAK MEMBERIKAN TUMPUAN DI DALAM KELAS

Nurul Adlina Sharkawi
[email protected]

Rozita Omar
[email protected]

ABSTRAK

Jurnal ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor, kesan dan cara menangani murid
cenderung hilang tumpuan dalam kelas terutama dalam kalangan pelajar sekolah.
Didapati bahawa faktor sikap pelajar, bahan bantu mengajar, kurikulum, gaya pengajaran
guru, rakan sebaya dan persekitaran mempengaruhi pelajar untuk hilang tumpuan dalam
kelas sewaktu PdP dijalankan. Diharapkan dengan maklumat yang diperoleh daripada
jurnal ini, kesan dan strategi menangani yang sesuai dapat dikenal pasti untuk
mengurangkan pelajar hilang tumpuan di dalam kelas di samping dapat meningkatkan
keberkesanan proses PdP.

Kata Kunci : Faktor,kesan dan cara menangani.

PENGENALAN

Isu / masalah

Pengkaji menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran di kelas Tahun 5. Kelas
tersebut mempunyai seramai 39 orang murid. Pengkaji memulakan set induksi pengkaji
dengan nyanyian. Pengkaji meminta semua murid untuk menyanyikan lagu sambil berdiri.
Pada awal sesi pengajaran, murid-murid memberi tumpuan yang baik. Namun demikian,
semasa pengkaji mengajar menggunakan slaid powerpoint untuk memberi penerangan,
murid-murid mula tidak menumpukan perhatian dan bermain di belakang kelas. Murid-murid
di barisan hadapan sahaja yang masih memberikan tumpuan. Kemudian, kelas bertambah
bising dan murid-murid semakin bosan kerana perlu mendengar penerangan daripada guru.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca murid tidak dapat memberikan
tumpuan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji mendapati murid-murid di
dalam kelas tersebut kurang meminati subjek Bahasa Melayu. Murid-murid ini juga kurang
minat untuk mendengar dan membaca dalam bahasa Melayu. Setiap murid mempunyai
kecerdasan yang pelbagai dan kecerdasan murid lelaki berbeza dengan murid perempuan.
Kesan daripada isu ini ialah murid-murid tidak menumpukan perhatian semasa guru
memberikan penerangan di hadapan. Hal ini demikian kerana, mereka akan mudah bosan
dan tidak fokus untuk belajar. Bahkan, mereka akan lebih cenderung untuk menganggu
rakan-rakan yang lain apabila mereka bosan. Oleh itu, suasana kelas akan menjadi tidak

103

kondusif. Kajian ini diharapkan dapat membantu murid-murid untuk lebih fokus di dalam
kelas.

Kepentingan kajian

Kajian ini penting agar guru sentiasa peka dengan muridnya dan berusaha menarik
perhatian murid untuk mengikuti PdP dari awal sehingga tamat PdP. Memberi tumpuan di
dalam kelas boleh dijelaskan sebagai aktiviti mental yang memerlukan pelajar memberi
perhatian semasa guru menyampaikan sesi pengajaran. Definisi yang telah dikemukakan
oleh James ini menyatakan bahawa kurang tumpuan semasa guru mengajar ini termasuklah
melakukan aktiviti lain seperti membuat kerja sekolah yang tidak disiapkan, berbual bersama
rakan dan sebagainya. Menurut Reinhartz dan Beach, 1998; Wiles dan Bondi, (1998)
menyatakan bahawa penumpuan di dalam kelas amat penting kerana sekiranya pelajar
memberi tumpuan semasa aktiviti P&P, maka seseorang pelajar itu dapat meningkatkan
kecerdasan minda pelajar agar pelajar dapat menyesuaikan diri, mencapai kejayaan dalam
kehidupan serta bersedia untuk berada dalam masyarakat masa hadapan yang kian
mencabar pada masa kini.

KAJIAN LITERATUR

Menurut Gardner, setiap insan mempunyai bukan satu tetapi lapan kecerdasan yang
berbeza. Gardner (200) menambahkan “Existential Intelligence” yang berkaitan dengan
keadaan kerohanian manusia. Beliau belum bersedia menerima “Spiritual Intelligence”
sebagai kecerdasan kesembilan dalm teorinya. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan
oleh Abd. Karim (1994) menyatakan bahawa setiap guru memainkan peranan yang penting
dalam menarik minat pelajar untuk belajar dengan cara mempelbagaikan kaedah
pengajaran. Apabila murid-murid tidak berminat dalam sesuatu mata pelajaran tertentu, guru
tidak pula berusaha untuk menarik minat mereka. Menurut Salleh (2003) dan Haittie (2003)
dalam Rohani Arbaa. et al (2010) telah menyatakan bahawa faktor guru adalah signifikan
dalam mempengaruhi minat dan komitmen pelajar terhadap pelajaran serta berpotensi
mengubah sikap dan status pelajar terhadap sesuatu kurikulum.

PENYELESAIAN MASALAH

Berdasarkan analisis yang telah pengkaji lakukan terhadap isu yang telah pengkaji
kenal pasti, pengkaji mencadangkan beberapa alternatif penyelesaian masalah tersebut,
antaranya ialah :-

Idea penyelesaian

i) Menghasilkan bahan bantu mengajar yang lebih efektif seperti persembahan video.
ii) Menggunakan pendekatan pengajaran yang memerlukan murid-murid untuk bergerak

supaya mereka tidak cepat bosan.
iii) Melaksanakan lebih banyak kerja kumpulan untuk murid-murid mencari maklumat

dan murid perlu mempersembahkan di hadapan kelas secara lakonan ataupun
persembahan kreatif yang lain.

104

Idea penyelesaian tersebut dilaksanakan di dalam kelas dan dapat menarik tumpuan
murid-murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran kerana banyak melibatkan
pergerakan. Murid-murid tidak mudah bosan dan mudah fokus kerana setiap fasa yang
dijalankan oleh pengkaji tidak mengambil tempoh masa yang lama.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Pengkaji akan mengambil tindakan iaitu dalam fasa persediaan, pengkaji akan
menayangkan video dan menggunakan teknik lakonan untuk menarik murid-murid
meneruskan pengajaran pada hari tersebut. Kemudian, pengkaji akan melaksanakan kerja
kumpulan yang memerlukan murid-murid untuk mencari maklumat sendiri dan
mempersembahkan di hadapan kelas mengikut kreativiti masing-masing. Hal ini demikian
kerana, akiviti ini akan memupuk sikap tanggungjawab dalam diri murid-murid untuk belajar.
Tambahan lagi, pengkaji akan menggunakan aktiviti yang memerlukan banyak pergerakan
kerana murid-murid lelaki lebih cenderung kepada kecerdasan kinestetik. Sebagai contoh,
pengkaji akan melaksanakan aktiviti ‘Mencari harta karun’ di sekitar kawasan kelas.
Tindakan yang telah dilaksanakan dengan menggunakan cadangan penyelesaian yang telah
pengkaji kenal pasti telah memberi impak yang positif, dapat dilihat melalui peningkatan
bilangan murid yang boleh fokus dan berminat untuk belajar subjek Bahasa Melayu. Murid-
murid juga dapat belajar dengan seronok kerana banyak aktiviti yang mereka laksanakan
bersama-sama rakan sekelas. Bahkan, murid-murid tidak berasa bosan kerana banyak
aktiviti yang dilaksanakan oleh guru memerlukan pergerakan kinestetik.

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Pengajaran dan pembelajaran yang telah disampaikan menggunakan aktiviti
berkumpulan untuk mengajar murid yang mempunyai kecerdasan pelbagai di dalam
sesebuah kelas mampu menarik serta mengekalkan minat murid-murid dan kefahaman
mereka dalam subjek Bahasa Melayu. Murid-murid semakin seronok untuk mempelajari
subjek Bahasa Melayu kerana mereka tidak berasa bosan. Tambahan lagi, melalui aktiviti
berkumpulan, murid-murid dapat merapatkan silaturahim mereka bersama-sama rakan
sekelas. Subjek Bahasa Melayu memerlukan guru yang kreatif untuk mengubah mentaliti
murid-murid yang menganggap subjek tersebut subjek bosan kerana hanya perlu membaca.
Sekiranya guru bertindak sebagai fasilitator dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang kreatif
seperti ‘mencari harta karun’, murid-murid akan berasa seronok dan sentiasa memberi fokus
dalam PdP mereka.

105

RUJUKAN
Amir Hassan Dawi (2009), Sekolah dan masyarakat. Quantum Books, Tanjong Malim
Abd Karim Desa (1994), “Keberkesanan guru-guru kemahiran hidup bersepadu terhadap

pengajaran dan p embelajaran mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu.” Tesis
(B.Ed.). Universiti Teknologi Malaysia. Abd Karim Desa
Dr. Amir Bin Salleh@ Mohd Salleh (2008), Buku manual kajian tindakan edisi ketiga,
bahagian perancangan dan penyelidikan dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran
Malaysia, Putrajaya
Gardner, H. 2006. Multiple intelligences: New Horizons. London: Basic Books.
Jamal @ Nordin Yunus, Khuan Wai Bing, Marinah Awang, Suzyanty Mohd Shokory &
Zuraidah Zainol. 2011. Pemikiran kritis dan kreatif. Petaling Jaya, Selangor: Pearson
Malaysia Sdn. Bhd.
Rohani Arbaa, Hazri Jamil & Nordin Abd Razak (2010). Hubungan guru-pelajar dan
kaitannya dengan komitmen belajar pelajar: adakah guru berkualiti menghasilkan
perbezaan pembelajaran antara jantina pelajar? Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2): 61-
69.
Wiles, J and Bondi, J. (1998), Curriculum development: A guide to practice(5th edition) New
Jersey:Merrill.

106

PERSEKITARAN BILIK DARJAH MEMPENGARUHI KEBERKESANAN
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Azandia Abdul Aahman
[email protected]

Rozita Omar
[email protected]

ABSTRAK

Persekitaran bilik darjah merupakan elemen penting dalam mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang kondusif dan memberangsangkan. Persekitaran yang kondusif dapat
menghasilkan keselesaan pengajaran dan pembelajaran selain mengekalkan fokus dan
minat murid di dalam bilik darjah. Suatu pemerhatian telah dijalankan untuk mengenal
pasti hubungan antara aspek fizikal bilik darjah dengan keselesaan pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, persekitaran bilik darjah perlu diberikan perhatian yang
sewajarnya dan dirancang dengan teliti kerana persekitaran fizikal bilik darjah yang
bersesuaian dapat mempengaruhi suasana pembelajaran, penjanaan idea, nilai, sikap
dan tingkah laku murid.

Kata kunci : Persekitaran bilik darjah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK),
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

PENGENALAN

Isu / Masalah

Pemerhatian pengkaji terhadap persekitaran di dalam kelas bermula apabila
pengkaji diberikan tugas untuk mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun 3. Jumlah murid
di dalam kelas tersebut adalah seramai 41 orang. Sebelum mengajar, pengkaji telah
melihat keadaan di dalam bilik darjah Tahun 3 tersebut. Keadaan di dalam kelas begitu
sempit kerana terlalu ramai murid yang berada di dalam kelas tersebut. Selain itu,
kemudahan seperti projektor, LCD juga tidak berfungsi. Perkara ini mendatangkan
masalah kepada pengkaji kerana pengkaji menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM)
yang berbentuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Susunan kerusi dan meja di
dalam kelas tersebut sukar diubah kerana begitu sempit. Situasi ini akan membuatkan
murid-murid berasa tidak selesa dan kurang fokus terhadap pengajaran dan
pembelajaran.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara aspek fizikal bilik darjah
dengan keselesaan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini penting
bagi memastikan PdP di dalam kelas dapat berjalan lancar seperti yang dirancang oleh
oleh guru dan murid memperoleh input PdP yang diajar oleh guru dengan selesa.

107

KAJIAN LITERATUR

Dalam suatu persekitaran pembelajaran, wujud hubungan yang kompleks antara
struktur fizikal seperti penyusunan bilik, keluasan ruang, cahaya dan susunan meja
dengan aspek psikologikal seperti guru dengan pelajar. Penyusunan aspek fizikal dalam
ruang pembelajaran boleh mengehadkan atau menggalakkan interaksi dan
mempamerkan perlakuan yang diharapkan oleh guru. Kualiti persekitaran pembelajaran
bilik darjah bergantung kepada pelbagai aspek. Aspek pengurusan terhadap persekitaran
pembelajaran menjadi keperluan dan perlu diberi perhatian oleh guru kerana berupaya
mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan aktiviti pembelajaran kanak-kanak di bilik
darjah (Noor Azman, Mazlina & Hamidah, 2020). Pengaruh persekitaran fizikal bilik darjah
seperti perabot, ruang pembelajaran, pencahayaan dan pengaliran udara dalam bilik
darjah amat mempengaruhi suasana pembelajaran, nilai, penjanaan idea, sikap dan
tingkah laku murid (Che Nidzam et.al, 2016). Suasana fizikal bilik darjah yang boleh
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah penyusunan kerusi-
meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi antara murid
dengan murid dan guru dengan murid (Noriati, Boon, Sharifah & Zuraidah, 2017).

PENYELESAIAN MASALAH

Idea Penyelesaian

Berdasarkan analisis yang telah dilakukan oleh pengkaji terhadap isu yang telah
dikenal pasti, pengkaji mendapati keadaan di bilik darjah sempit dan tidak kondusif
adalah kerana bilangan murid yang terlalu ramai di dalam kelas. Jarak antara meja begitu
dekat sehingga menyukarkan sedikit pergerakan murid. Keadaan bilik darjah yang sempit
dan tidak kondusif akan menyebabkan fokus dan keselasaan murid terganggu. Selain itu,
kekurangan dari segi projektor LCD yang rosak juga mengganggu pengajaran dan
pembelajaran pengkaji kerana pengkaji menggunakan TMK untuk mengajar. Kesannya,
sesi pengajaran dan pembelajaran akan terganggu dan murid sukar mendapat input yang
diajar oleh guru.

Justeru, pengkaji mencadangkan beberapa alternatif penyelesaian masalah
tersebut, antaranya adalah dengan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di
Bilik Multimedia yang terletak bersebelahan dengan Bilik Komputer. Bilik Multimedia
tersebut lengkap dengan kemudahan seperti projektor LCD, papan tulis, bilik yang luas
dan dilengkapi dengan pendingin hawa. Selain itu, murid diarahkan untuk duduk di dalam
kumpulan supaya mudah melakukan perbincangan. Di samping itu, pengkaji
menguatkuasakan peraturan yang telah dipersetujui bersama-sama pada awal
pengajaran. Antaranya ialah memotong markah kumpulan pada sudut ganjaran dan
menyekat individu tersebut daripada mendapat sebarang ganjaran jika murid gagal
mengikut peraturan yang ditetapkan serta ingkar arahan dan melanggar peraturan
semasa PdP berlangsung.

108

DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Pengkaji akan mengambil tindakan susulan iaitu menggunakan Bilik Multimedia
untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid juga diberitahu untuk pergi
ke BIlik Multimedia pada waktu Bahasa Melayu pada hari sebelumnya supaya mereka
bersedia untuk bergerak dari kelas ke Bilik Multimedia dengan kadar segera.

Tindakan yang telah dilaksanakan dengan menggunakan cadangan penyelesaian
yang telah dikenal pasti oleh pengkaji telah memberikan impak yang positif. Perkara ini
dapat dilihat daripada fokus dan minat murid untuk belajar Bahasa Melayu. Murid-murid
juga memberikan kerjasama yang baik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran serta
semasa melakukan aktiviti berkumpulan. Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran,
pengkaji juga bertanyakan pendapat murid mengenai alternatif yang diambil iaitu
menggunakan Bilik Multimedia dan mereka memberikan respon yang positif kerana
selesa mengikuti PdP di bilik tersebut.

KESIMPULAN DAN CADANGAN
Murid didapati gembira terhadap pengajaran dan pembelajaran yang telah
disampaikan oleh pengkaji dengan menggunakan BBM berbentuk TMK. Mereka sangat
suka belajar menggunakan TMK kerana sangat menarik dan mudah faham. Selain itu,
suasana pengajaran dan pembelajaran menggunakan Bilik Multimedia sangat selesa dan
kondusif menyebabkan murid semakin minat untuk belajar dan tidak mudah bosan.
Aktiviti yang dilaksanakan secara berkumpulan juga dapat memupuk semangat
kerjasama antara mereka.

RUJUKAN
Che Nidzam Che Ahmad, Noraini Mohamed Noh, Mazlini Adnan, et. al. (2016). Pengaruh

persekitaran fizikal bilik darjah terhadap keselesaan pengajaran dan pembelajaran.
Dicapai daripada https://www.researchgate.net/publication/294886469
Noor Azman Hanif, Mazlina Che Mustafa & Hamidah Yusof. (2020). Kebolehgunaan
model pengurusan bilik darjah prasekolah berasaskan empat dimensi pengurusan
bilik darjah. MJSSH Online: Volume 4, Issue 3 (July 2020), 90-98
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid.
(2017). Budaya dan Pembelajaran (Edisi kedua). Selangor Darul Ehsan: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.

109

PENGURUSAN MASA GURU DI DALAM KELAS
SEMASA PROSES PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Wan Nadiah Sazali
[email protected]

Mohd Taufik Haji Ahmed
[email protected]

ABSTRAK

Pengurusan masa yang efektif merupakan faktor kejayaan sesuatu proses pengajaran
dan pembelajaran. Dalam hal ini, sewaktu menjalani praktikum fasa dua, pengkaji telah
menghadapi masalah dalam pengurusan masa semasa proses pengajaran bahasa
Melayu. Masa yang diperuntukkan tidak mencukupi kerana terlebih selama lima hingga
sepuluh minit. Hal ini menyebabkan beberapa aktiviti yang dirancang terpaksa
digugurkan kerana tidak sempat dilaksanakan. Kajian ini bertujuan untuk mencari
penyelesaian terbaik yang boleh diimplimentasikan bagi mengatasi masalah pengurusan
masa. Pengkaji telah memilih kelas tahun lima bagi mata pelajaran bahasa Melayu
sebagai persampelan. Hasil kajian mendapati bahawa pengurusan masa yang efisien
dan teratur serta terkawal ditambah dengan strategi dan kaedah tertentu telah
menghasilkan pembelajaran yang sempurna. Sebagai rumusannya, beberapa kaedah
dan cara tentang pengurusan masa telah dikemukakan untuk mengatasi kawalan masa
guru di dalam kelas khususnya untuk bahasa Melayu.

Kata Kunci: Pengurusan masa guru, proses pengajaran, bahasa Melayu

PENGENALAN

Masa diibaratkan sebagai emas yang sangat bermakna dan berharga. Pepatah
Melayu ini merujuk masa sebagai emas yang amat bernilai dalam setiap perkara. Hal ini
sama bagi amalan pengurusan masa. Pengurusan masa oleh guru amat ditekankan
dalam pengajaran yang berkaitan dengan amalan pedagogi guru dan kemahiran belajar
yang dikuasai oleh murid selanjutnya.

Guru yang bijak akan cekap dalam pengurusan masa. Aspek pengurusan masa
ialah satu daripada pendekatan guru untuk mengurus, mengatur dan membahagikan
masa dalam pengajaran agar pembelajaran dapat dimanfaatkan dan objektif
pembelajaran tercapai sepenuhnya. Jika seseorang guru tidak mengurus masa dengan
elok dan bijak, pembelajaran akan terganggu. Menurut Raedah (2013) pengendalian
pengajaran yang mengambil masa yang panjang menyebabkan pembelajaran tidak
dijalankan secara berkesan.

Kelemahan pengurusan masa memberikan kesan negatif kepada murid secara
amnya seperti tidak fokus dalam pembelajaran dan menimbulkan masalah tingkah laku
yang melibatkan disiplin. Hal ini diakui menurut Stalling (2007) dalam James (2014)

110

menjelaskan pengajaran berkesan mengandungi pembahagian masa, iaitu 15 peratus
untuk pengelolaan bilik darjah, 50 peratus untuk penyampaian ilmu dan 35 peratus untuk
pengawasan dan penyeliaan kerja murid.

Isu / Masalah

Masalah pengurusan masa dalam kalangan guru mungkin merupakan kes yang
jarang-jarang berlaku. Walau bagaimanapun, masalah ini sering berlaku kerana guru
perlu memastikan objektif pengajaran tercapai sepenuhnya. Dalam pengajaran, tempoh
bagi sesi kelas ialah dua waktu bersamaan 60 minit. Tempoh ini dikira mencukupi bagi
seseorang guru untuk mengajar pengajarannya. Namun begitu, pengkaji menghadapi
kekangan masa semasa melaksanakan pengajaran bahasa Melayu bagi murid tahun
lima kerana masa yang diperuntukkan tidak mencukupi. Hal ini berlaku kerana terdapat
murid yang bermasalah untuk menerima aktiviti yang dilaksanakan oleh pengkaji.

Di samping itu, kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza mengakibatkan
sesuatu aktiviti perlu dilaksanakan secara berlainan berdasarkan tahap murid. Situasi ini
menyumbang kepada pencapaian akademik yang rendah (Nazila dan Faezanadia,
2017). Kesan yang ketara ini memberikan impak negatif kepada pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi melihat masalah pengurusan guru
semasa proses pengajaran berlangsung.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengatasi masalah guru tentang pengurusan masa
semasa proses pengajaran. Selain itu, kajian ini memberikan beberapa kaedah
pengajaran dan penyelesaian tentang pengurusan masa yang sesuai.

Kepentingan Kajian

Dapatan kajian ini dapat memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada guru
tentang pengurusan masa yang sesuai dan terancang semasa proses pengajaran
bahasa Melayu berlaku. Selain itu, kajian ini dapat membantu guru untuk merancang dan
mengurus masa secara fleksibel agar ketetapan masa dapat dipatuhi. Maklum balas
kajian ini juga dapat dijadikan panduan kepada pihak lain seperti guru, sekolah yang
dikaji dalam usaha untuk merancang pematuhan masa. Seterusnya, hasil dapatan kajian
ini dapat mencadangkan beberapa strategi dan teknik pengajaran yang boleh
dimanfaatkan oleh murid secara khususnya

KAJIAN LITERATUR

Kejayaan dan keberkesanan proses pengajaran oleh guru tidak akan berlaku tanpa
pengurusan masa yang sempurna. Kelemahan guru dalam pengurusan masa seperti
tidak menepati masa setiap peralihan perkembangan pembelajaran meninggalkan kesan

111

negatif kepada murid. Menurut Kopper (2002), pengurusan masa ialah penguasaan ilmu
yang berkaitan dengan teknik dan cara individu mengurus, membahagi dan mengatur
masa seharian agar dapat dimanfaatkan. Pengurusan masa ditakrifkan sebagai proses
penyesuaian peruntukan masa dengan pelaksanaan tugasan supaya hasil tugasan
menjadi lebih berkualiti dan dapat meningkatkan produktiviti (M. Fauzi, 2017).

Pengurusan masa dalam proses pengajaran sangat dititikberatkan kerana terdapat
lima langkah yang perlu diikuti dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Langkah
tersebut ialah Induksi Set, Langkah Pertama, Langkah Kedua, Langkah Ketiga dan
Penutup. Lazimnya, Induksi Set dan Penutup memperuntukkan masa sebanyak 5 minit
manakala Langkah Pertama dan Kedua mengambil masa 20 minit atau 15 minit
bergantung pada pengajaran dan aktiviti.

Kemahiran pengurusan masa dalam proses pengajaran ini perlu dipatuhi agar
setiap langkah tidak ketinggalan kerana melibatkan teknik dan kaedah dalam
pengajaran. Kegagalan guru mematuhi masa yang ditetapkan mengakibatkan
pembelajaran terbantut. Kepentingan konsep penggunaan masa dan transisi masa
dalam penggunaan kaedah amali ditekankan seperti dapatan Weinstein (1996) dan
Orlich et al. (2004). Oleh itu, peralihan masa daripada setiap langkah haruslah diurus
dengan tepat agar dapat mencapai objektif pengajaran pada masa tersebut.

Menurut Zul Azhar Zahid (2004), pelajar yang dapat mengurus masa dengan baik
akan dapat memberikan banyak faedah selain meningkatkan prestasi akademik. Dalam
hal ini, guru perlu mengurus masa dengan bijaksana dan efektif supaya pengajaran
dapat menghasilkan murid yang lebih produktif.

Kesimpulannya, pengurusan masa merupakan satu daripada aspek penting yang
perlu dimiliki oleh guru bagi mengelakkan masa yang digunakan lari daripada
landasannya. Pengurusan masa yang sistematik menjadi satu faktor penyumbang
kepada pengajaran yang berkualiti dan menunjukkan kompetensi guru yang hebat dalam
pengurusan bilik darjah.

PENYELESAIAN MASALAH

Proses pengajaran sering terganggu kerana masalah pengurusan masa yang tidak
dapat ditepati disebabkan oleh gangguan tingkah laku. Pengkaji telah melakukan rujukan
perpustakaan seperti merujuk jurnal dan tesis bagi menangani masalah ini dari segi
masa, strategi pengajaran serta pengurusan bilik darjah.

Idea Penyelesaian

Bagi menyelesaikan masalah pengurusan masa, tiga aspek ditekankan, iaitu:
a) Pengurusan masa
b) Strategi dan kaedah pengajaran
c) Pengurusan bilik darjah

112

Analisis

a) Pengurusan masa

Dalam pengurusan masa,pengkaji telah memperoleh satu alternatif dengan
menggunakan jam yang dipaparkan melalui slaid komputer. Pengkaji memberitahu murid
bahawa setiap kali jam berbunyi menandakan sesuatu langkah atau aktiviti telah tamat.
Murid perlu patuh akan kawalan masa oleh pengkaji. Pengkaji menetapkan peraturan
masa mengikut kesesuaian peringkat pengajaran.

b) Strategi dan Kaedah pengajaran

Pengkaji telah merencanakan strategi dan kaedah pengajaran yang terbaik untuk
mengatasi masalah pengurusan masa. Pemilihan strategi pengajaran ini berdasarkan
keberkesannya dalam aspek pengajaran melalui jurnal yang dibaca pengkaji. Strategi
pembelajaran koperatif dipilih kerana strategi ini banyak membantu murid dalam proses
pengajaran. Dalam hal ini, kaedah pengajaran yang terbaik pula ialah pengajaran
berkumpulan. Hal ini selaras dengan Zamri (2014) yang menyatakan bahawa pengajaran
secara berkumpulan ini membawa manfaat kepada murid lemah yang mendapat bantuan
daripada murid cerdas. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa strategi koperatif dan kaedah
pengajaran berkumpulan merupakan cara terbaik bagi mengatasi pengurusan masa
guru.

c) Pengurusan Bilik Darjah

Pengkaji telah memilih dua perkara penting, iaitu mengetahui latar belakang murid dan
menyusun atur meja secara berkumpulan. Pengkaji telah memasukkan murid yang
mempunyai aras lemah, sederhana dan pandai dalam satu kumpulan yang susunan
meja telah ditetapkan. Hal ini untuk melihat hubungan dan kerjasama dalam kumpulan
supaya pelibatan aktif berlaku serta disiplin murid terkawal.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Penggunaan masa yang sesuai memberikan implikasi yang berkesan kepada
pengajaran guru. Berdasarkan tiga aspek yang ditekankan, pengkaji memperoleh
dapatan yang berikut:

a) Pengurusan Masa

Dapatan hasil kajian menunjukkan bahawa murid akan lebih peka semasa melakukan
aktiviti kerana mereka telah mengetahui peruntukan masa untuk sesuatu aktiviti. Apabila
peruntukan masa untuk sesuatu aktiviti ini dipatuhi, pengkaji dapat mengurus masa
secara teratur. Hal ini menunjukkan bahawa guru dapat mengurus masa secara betul
setelah murid mematuhi masa yang ditetapkan. Selaras dengan pandangan Lopes dan
Oliveira (2017) yang mengatakan bahawa guru yang berkesan kurang mempunyai
masalah disiplin kerana meraka dapat menetapkan peraturan bilik darjah dengan baik
bertujuan untuk memaksimumkan waktu pengajaran dan pembelajaran.

113

b) Strategi dan Kaedah pengajaran

Dapatan hasil kajian menunjukkan bahawa strategi pembelajaran koperatif dan
pengajaran secara kumpulan dapat menjimatkan masa. Masa yang diambil untuk setiap
langkah dan aktiviti bersesuaian kerana murid dibantu oleh setiap ahli kumpulan. Hal ini
diakui oleh Zamri et al. (2015) bahawa strategi pembelajaran koperatif mewujudkan
pelbagai aktiviti menarik yang membantu murid tertumpu kepada pembelajaran bahkan
mengelakkan murid melakukan pelbagai gangguan di bilik darjah. Dalam pada itu,
Effandi (1998) menegaskan bahawa pengajaran koperatif ialah strategi murid saling
membantu dalam kumpulan kecil yang berkongsi idea, menyelesaikan masalah dan
memastikan semua ahli kumpulan menguasai isi pelajaran dengan bantuan guru sebagai
pembimbing

c) Pengurusan Bilik Darjah

Dapatan hasil kajian menunjukkan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkaitan
dengan pengetahuan guru terhadap latar belakang murid membolehkan guru
menyediakan kumpulan secara terancang untuk memberikan mewujudkan hubungan
yang baik sesame murid serta guru. Melalui interaksi yang positif ini, pembelajaran
menjadi lebih mudah. Hal ini disokong oleh dapatan kajian Kopershoek et al. (2014) yang
mengatakan pengurusan bilik darjah berkesan merangkumi pendekatan yang digunakan
oleh guru untuk mengukuhkan kerjasama dan mengoptimumkan hubungan antara guru
dengan murid.

Perbincangan

Secara keseluruhannya, kajian ini memberikan implikasi bahawa pengurusan
masa yang efisien dan berkesan telah menunjukkan proses pengajaran berlangsung
dengan baik. Penggunaan strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai dapat
memaksimumkan penggunaan masa semasa pengajaran dilakukan. Di samping itu,
pengurusan bilik darjah yang sesuai oleh guru dapat membantu guru melakukan kerja
dengan lebih berkesan. Hal ini selaras dinyatakan oleh Aney Marinda dan Norasmah
(2019) seperti terkandung dalam Standard Tiga dalam Dokumen Standard Guru
Malaysia, iaitu kemahiran mengurus bilik darjah perlu melibatkan hubungan
kemanusiaan, masa, ruang dan sumber bagi mencapai pembelajaran bermakna dan
berkesan. Oleh itu, pengurusan masa guru yang terancang dan bijaksana akan
memberikan manfaat besar kepada murid bagi mengawal situasi tidak diingini akan
berlaku di dalam kelas.

114

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Kesimpulan

Sebagai guru yang efektif, pengurusan masa tidak patut diabaikan semasa proses
pengajaran berlangsung. Kelemahan guru dalam pengurusan masa dapat memberikan
kesan buruk kepada pengajaran malah mempengaruhi langkah lain yang boleh
menjejaskan keseluruhan pengajaran.

Kajian ini mendapati bahawa pengurusan masa yang berkesan dan baik
membantu pengkaji dari segi pengagihan masa, penggunaan strategi dan kaedah
pengajaran yang sesuai dan pengurusan bilik darjah. Pengurusan masa yang baik dapat
memastikan setiap langkah yang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut ketetapan
masa yang dikawal selia oleh pengkaji (Nurzatulshima dan Lilia, 2012). Pendekatan
strategi dan kaedah pengajaran yang terbaik dapat memberikan fokus dan objektif
pembelajaran tercapai sepenuhnya malah menjimatkan masa pengkaji. Pengurusan bilik
darjah yang ideal dapat mengawal disiplin murid secara khususnya.

Sebagai kesimpulannya, aspek pengurusan masa perlu ditekankan oleh semua
guru bahasa Melayu semasa melaksanakan pengajaran bagi memastikan objektif
pengajaran tercapai sepenuhnya. Beberapa cadangan cara pengurusan masa
dikemukakan untuk memantapkan proses pengajaran bahasa Melayu agar dapat
digunakan lebih berkesan dan pelibatan murid secara menyeluruh adalah seperti berikut;

a) Mengawal dan mengagihkan aktiviti murid mengikut kesesuaian masa
b) Menjelaskan peranan murid dalam setiap kumpulan
c) Mengingatkan murid untuk melaksanakan aktiviti mengikut masa yang dirancang
d) Menggunakan aktiviti yang mudah dan ringkas
e) Menggunakan token masa untuk pemberian hadiah
f) Mempelbagaikan strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai

RUJUKAN

Aney Marinda Muhammad Amin & Norasmah Othman. (2019). Pengurusan Bilik Darjah
Guru Baharu yang Mengikuti Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB).
Jurnal Pendidikan Malaysia 44(1)(2019): 21-27

Efendi Zakaria. (1998). Pembelajaran Koperatif. Bangi: Penerbit Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

James Ang Jit Eng. (2014). Pengurusan Bilik Darjah: Strategi Mewujudkan Komuniti
Pembelajaran Berkesan. Selangor: PTS Akademia.

Kopper. (2002). Ko-kaunselor Pemimpin Pelajar. Yayasan Nurul Yakin: Portal Pendidikan

Utusan. Dimuat turun daripada (http://

www.tutor.com.my/tutor/kopper/index.asp?i=7)

115

Korpershoek, H., Harms, T., de Boer, H., van Kuijk, M. & doolaard, S. (2014). Effective
Classroom Management Strategies and Classroom Management Programs for
Educational Practice: A Meta-analysis of the Effects of Classroom Management
Strategies and Classroom Management Programs on Students’ Academic,
Behavioural, Emotional, and Motivational Outcomes. Groningen: RUG/ GIoN.

Lopes, J. & Olieira, C. (2017). Classroom discipline: Theory and practice. dlm.
Classrooms: Academic Content and Behavior Strategy Instruction for Students
with and without Disabilities, disunting oleh Bakken, J.P. New York: Nova Science
Publishers.

M. Fauzi. (2017). Dicapai daripada
https://uniprof.wordpress.com/2012/03/09/pengurusan-masa-berkesan/

Nazila Masdor dan Faezanadia Mohamad. (2017). Tinjauan Amalan Pengurusan Masa
dalam Kalangan Pelajar Kolej Komuniti Segamat, Johor. Dimuat turun daripada
https://upikpolimas.edu.my/conference/index.php/icompex/icompex17/paper/view
File/147/107

Nurzatulshima Kamarudin dan Lilia Halim. (2012). Tahap Pengurusan Pelajar dan
Pengurusan Masa dalam Pengajaran Amali Fizik. Dimuat turun daripada
https://sainshumanika.utm.my/index.php/sainshumanika/article/view/483

Orlich, Harder, Callahan, Trevisan & Brown. (2004). Teaching Strategies: A guide to
Effective Instruction. 7th. Ed. Boston: Houghton Mifflin Company.

Raedah Md Amin. (2013). Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah Rendah
di Zon Bandar Daerah Kota Tinggi. Ijazah Sarjana tidak diterbitkan.Universiti
Teknologi Malaysia.

Weistein, C. S. (1996). Secondary Classroom Management: Lessons from Research and
Practice. Boston: McGraw Hill.

Zamri Mahamod. 2014. Inovasi P&P dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Cetakan Ketiga.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zamri Mahamod, Ruslin Amir & Mohamed Amin Embi. (2015). Kepelbagaian Pelajar dan
Perbezaan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zul Azhar Zahid Jamal. (2004). Perangkap Masa-Bagaimana Menguruskannya dengan
Berkesan. Diskusi Pagi.

116

PENGGUNAAN VIDEO DALAM MENINGKATKAN KEUPAYAAN MENGINGAT DAN
MEMAHAMI FAKTA SEJARAH SECARA KRONOLOGI BAGI
MURID TAHUN EMPAT

Kalpana a/p R. Mohan
[email protected]

Shuwaibah bt. Rasidi
[email protected]

Abstrak

Kajian ini dijalankan bertujuan meningkatkan keupayaan mengingat dan memahami fakta
sejarah secara kronologi dalam kalangan murid tahun empat melalui penggunaan video.
Responden terdiri daripada murid tahun empat yang memperoleh markah rendah dalam
proses pengumpulan data awal. Pengumpulan data menggunakan kaedah pemerhatian,
temu bual dan analisis dokumen. Hasil tinjauan awal mendapati bahawa tahap
penguasaan kemahiran mengingat dan memahami fakta sejarah secara kronologi adalah
lemah. Dapatan kajian menunjukkan terdapat peningkatan terhadap hasil pencapaian
murid selepas pengaplikasian penggunaan video dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran (PdP). Kaedah ini membantu murid untuk mengingat fakta dan memahami
kronologi sejarah dengan lebih mudah, cepat dan lebih menarik minat murid. Data
kualitatif dikaji secara deskriptif dan dipersembahkan dalam bentuk huraian dan jadual.
Analisis dokumen seperti lembaran kerja responden telah menyokong keputusan kajian
ini. Secara kesimpulannya, penggunaan video sebagai BBM (BBM) dapat membantu
meningkatkan kemahiran mengingat fakta sejarah dalam secara kronologi dalam
kalangan murid tahun empat. Penggunaan video dalam PdP Sejarah adalah digalakkan
kepada semua guru Sejarah di Malaysia bagi memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran dan menjadikan mata pelajaran ini lebih efektif dan bersifat holistik.

Kata Kunci : Video, BBM, mengingat, memahami, kronologi.

PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan dalam
bidang pendidikan yang baik melebihi 141 buah negara di seluruh dunia pada tahun
2018. Berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum), Malaysia
menduduki tangga ke 19 lebih baik daripada negara maju seperti United Kingdom
(tangga ke 20), Perancis (tangga ke 26) dan Jepun (tangga ke 31) (Dr Ismail Sualman,
2019). Justeru sewajarnya para pendidik khasnya dalam kalangan guru Sejarah dapat
menambah baik mutu pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sedia ada dengan
mengaplikasi teknik-teknik PdP yang berkesan.

117

Isu / Masalah

Dalam konteks PdP, mata pelajaran Sejarah memberi penekanan terhadap
kemahiran pemikiran sejarah (KPS) yang merangkumi lapan asas yang perlu dikuasai
oleh murid sekolah rendah. Empat asas KPS terawal iaitu elemen asas sejarah, konsep
masa, susunan dan konversi masa serta penerokaan bukti menuntut murid mengingati
dan memahami fakta-fakta sejarah yang penting melalui kemahiran inkuiri. Persoalan
seperti ‘Apa, Bila, Siapa, Di Mana, Mengapa dan Bagaimana’ perlu diberi penekanan
setiap kali mereka mempelajari ilmu sejarah. Lazimnya sebagai guru pelatih, pengkaji
sering membuat penilaian terhadap keupayaan murid dalam proses mengingat fakta-
fakta penting yang telah diajar pada akhir sesi PdP. Malangnya dalam dua hingga tiga
sesi PdP Sejarah yang dilaksanakan, pengkaji mendapati perkembangan pembelajaran
murid adalah kurang memberangsangkan. Ini dapat dilihat berdasarkan reaksi murid
semasa sesi PdP. Hanya sebahagian murid yang dapat menjawab soalan yang
dikemukakan oleh guru walau pun soalan berkisar kepada topik yang baru sahaja diajar
dalam langkah-langkah pengajaran sebelumnya. Selain itu, pencapaian murid dalam
penghasilan lembaran kerja dan ujian juga menunjukkan kefahaman dan daya mengingat
fakta sejarah adalah lemah.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk:

1. Meningkatkan ingatan murid dalam PdP Sejarah melalui penggunaan video.
2. Meningkatkan kefahaman murid dalam Sejarah melalui kemahiran menyusun

fakta secara kronologi dengan penggunaan video dalam kalangan murid.
3. Menambah baik amalan PdP pengkaji melalui penggunaan kaedah video dalam

pengajaran Sejarah.

Kepentingan Kajian

Kajian ini sangat penting untuk memperbaiki strategi PdP dengan mengubah amalan
pengajaran Sejarah yang sedia ada kepada PdP berbantukan video. Kaedah ini dapat
membantu murid mengingati fakta dan memahami kronologi sejarah dengan lebih mudah
dan cepat serta dapat menarik minat murid.

KAJIAN LITERATUR

Seiring perkembangan teknologi, kaedah PdP juga perlu dipelbagaikan. Kaedah
penyampaian guru semasa PdP secara lisan dan tulisan (chalk and talk) dilihat agak
kurang menarik perhatian murid. Brown (seperti yang dipetik dalam Nur Syazwani Abdul
Talib et. al, 2019) menyatakan kelemahan sebenar dalam menguasai kurikulum Sejarah
adalah disebabkan gaya penyampaian guru yang kurang berkesan. Guru cenderung
menyampaikan isi pelajaran dalam bentuk syarahan yang panjang. Hal ini tidak digemari
oleh kebanyakan murid dan mengakibatkan tumpuan murid terhadap PdP berkurangan.

118

Kesannya proses mengingat dan memahami fakta sejarah menjadi lebih sukar.
Bagaimanapun dengan bantuan teknologi seperti komputer, video, gabungan elemen
visual, audio dan teks, proses pembelajaran menjadi lebih pantas dan potensi murid
dapat ditingkatkan lagi (Tiong & Zaidatun, 2010). Penggunaan video misalnya dapat
menjadikan murid memberi tumpuan sepenuhnya di dalam bilik darjah. Ini dibuktikan
oleh Ngu Hang Ling (2009) dalam kajiannya terhadap penggunaan video dalam PdP
Sains bertajuk Proses Kehidupan Haiwan. Kajian tersebut menunjukkan penggunaan
video berjaya meningkatkan kefahaman dan memudahkan proses PdP. Oleh yang
demikian, kaedah yang sama juga boleh digunakan dalam mata pelajaran lain termasuk
Sejarah.

Umumnya video juga boleh dikelompokkan sebagai alat dalam multimedia. Alatan
multimedia sering digunakan dalam proses PdP kerana ia menyediakan platform
pembelajaran yang membabitkan informasi dalam bentuk teks, gambar, suara, animasi
dan video disatukan dalam komputer untuk disimpan, diproses dan disajikan.
Penggunaan multimedia dalam PdP memberi kelebihan kepada murid berinteraksi untuk
memperolehi pengetahuan yang berguna dalam proses PdP. Kajian Chan Lin (2000)
menekankan tentang interaktiviti dan kawalan pengguna dalam multimedia
membolehkan murid mengawal, memanipulasi dan menjelajah maklumat di dalam
perisian pendidikan. Ini telah memberi kesan yang sangat positif terhadap murid. Kesan
yang sama juga boleh dilihat dalam PdP Sejarah kerana multimedia menyediakan
pembelajaran melalui video, animasi, audio selain dapat berhubung melalui laman sosial
(Nur Syazwani Abdul Talib et. al, 2019)

PENYELESAIAN MASALAH

Idea Penyelesaian

Bagi menyelesaikan masalah murid tidak dapat mengingat dan memahami fakta
sejarah secara kronogi ini, pengkaji bertindak menukar kaedah pengajaran daripada
kaedah bercerita kepada PdP berbantukan video dalam sesi PdP Sejarah seterusnya.
Sebagai permulaan, pengkaji mendapatkan bahan-bahan berbentuk video yang
bersesuaian dengan topik yang ingin diajar daripada pelbagai sumber maklumat
kemudian merangka rancangan pengajaran dengan menjadikan video tersebut sebagai
BBM utama. Ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh
pengetahuan sejarah melalui penggunaan pelbagai deria seperti deria penglihatan dan
deria pendengaran.

Pengkaji memberi penekanan terhadap pengurusan BBM yang digunakan.
Beberapa percubaan telah dilaksanakan bagi memastikan video dapat ditayangkan
dengan lancar. Ini kerana penggunaan BBM dengan betul dan cekap dapat membantu
mengekalkan tumpuan murid. Dalam masa yang sama, murid dapat memahami dan
mengingat fakta sejarah dengan lebih mudah. Ia bertujuan menarik minat murid agar
murid-murid dapat memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi PdP. Pengulangan
bahagian-bahagian tertentu dalam tayangan video juga dilakukan supaya murid dapat
mengingati fakta-fakta penting dengan lebih efektif. Bagaimana pun penggunaan video

119

bukan bertujuan menggantikan guru sepenuhnya tetapi untuk menvariasikan proses
pembelajaran (Rozinah, 2005). Masa yang diperuntukkan untuk melihat keberkesanan
penggunaan video ini adalah tiga minggu. Tiga sesi PdP Sejarah yang dijalankan
merangkumi enam waktu pembelajaran iaitu 60 minit seminggu. Untuk melihat
perubahan murid, pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian.

Analisis

Pengkaji telah mengenal pasti satu masalah yang sering timbul dalam kalangan
murid tahun empat yang diajar iaitu kelemahan mengingati dan memahami fakta sejarah
mengikut kronologi dengan betul. Masalah ini sangat ketara terutamanya fakta yang
melibatkan peristiwa, tempat dan masa. Kelemahan ini berkemungkinan kerana murid
tahun empat baru sahaja diperkenalkan dengan mata pelajaran Sejarah. Selain itu
didapati gaya pengajaran yang diamalkan guru sebelum ini lebih bercorak tradisional dan
berpusatkan guru. Faktor ini juga menyumbang kepada kurangnya minat murid terhadap
Sejarah. Dapatan pemerhatian menunjukkan bahawa murid-murid ini tidak dapat
mengingati apa yang mereka pelajari kerana tidak memberi perhatian sepenuhnya
semasa sesi PdP. Hasilnya, terdapat murid yang tidak dapat melaksanakan lembaran
kerja dengan baik dan pencapaian murid dalam ujian kurang memberangsangkan.

Masalah kesukaran mengingat dan memahami fakta sejarah secara tersusun
mengikut kronologi dikesan semasa pengkaji mengajar tajuk Pengasas Kesultanan
Melayu Melaka; 5.2.2 Rentetan Peristiwa Perjalanan Parameswara dengan
menggunakan kaedah bercerita. Pada akhir sesi PdP, murid tidak dapat mengingat
hampir kesemua peristiwa yang berlaku di tempat-tempat penting dalam tajuk tersebut
secara teratur dan mengikut kronologi dengan tepat. Masalah yang sama juga berlaku
dalam topik lain iaitu 5.2.3 Peristiwa Pembukaan Melaka yang memerlukan murid
mengingat fakta mengikut kronologi dengan betul. Senario ini berkemungkinan
disebabkan kaedah PdP yang digunakan oleh pengkaji. Kaedah penceritaan yang
digunakan tidak melibatkan murid secara aktif dalam PdP. PdP lebih cenderung bergerak
secara satu hala sahaja. Murid hanya mendengar dan segelintir sahaja cuba
berimaginasi. Ini mendorong murid bertindak pasif, tidak fokus, mengantuk dan tidak
berkeyakinan untuk melibatkan diri dalam sesi PdP.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Berdasarkan maklumat yang dikumpul melalui pemerhatian menunjukkan bahawa
penggunaan video sebagai BBM telah berjaya meningkatkan daya ingatan dan
kefahaman murid terhadap fakta Sejarah yang disampaikan semasa PdP. Berdasarkan
pemerhatian sesi PdP yang pertama hanya dua orang murid yang dapat memberikan
tumpuan kepada guru tetapi semasa PdP yang ketiga hampir kesemua murid
memberikan fokus terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Selain itu, pengkaji
mendapati respon murid bertambah daripada hanya dua orang kepada lima orang
semasa PdP pertama dan kedua. Respon murid semakin bertambah pada PdP ketiga

120

memberi gambaran murid semakin tertarik dengan tayangan video yang digunakan.
Peningkatan minat ini secara tidak langsung memberi impak kepada peningkatan daya
ingatan dan kefahaman murid terhadap fakta Sejarah secara kronologi. Ia dapat dilihat
melalui keupayaan murid menjawab soalan yang diberikan oleh guru dengan betul
mengikut kronologi peristiwa.

Dalam ketiga-ketiga sesi PdP yang dilaksanakan, pengkaji mendapati
peningkatan bilangan orang murid yang menunjukkan sikap positif semasa sesi PdP.
Perkara ini dibuktikan semasa sesi ketiga di mana semua orang murid menunjukkan
keselesaan mengikuti sesi pembelajaran dengan mempamerkan postur tubuh yang baik
semasa duduk.Tumpuan murid-murid didapati lebih berfokus mengikuti PdP. Manakala
bagi aspek penglibatan, semua murid melibatkan diri secara aktif dalam semua aktiviti
yang disediakan semasa sesi PdP ketiga. Melalui pemerhatian pengkaji, kesemua orang
murid dapat memberikan kerjasama dalam menyiapkan latihan yang diberikan oleh guru.

Paling mengujakan adalah kemampuan murid menjawab soalan dengan tepat
dan mengikut kronologi. Sesi pertama PdP didapati hanya 33 peratus yang boleh
menjawab soalan yang diberikan oleh pengkaji. Tetapi angka ini meningkat kepada 50
peratus semasa sesi PdP kedua. Pada sesi PdP yang ketiga, kesemua murid boleh
menjawab soalan di akhir sesi pembelajaran. Peningkatan menunjukkan keupayaan
mengingat dan memahami fakta sejarah secara kronologi dapat dipertingkatkan dengan
bantuan BBM yang menarik perhatian mereka.

Pengkaji mendapati kelebihan penggunaan video dalam PdP Sejarah adalah
keupayaan BBM ini menarik minat murid. Peningkatan fokus, penglibatan aktif dan
respon murid yang terhasil daripada minat murid terhadap penggunaan video dalam PdP
memberi kesan besar kepada keupayaan murid menjawab soalan dengan tepat. Ini
kerana elemen-elemen dalam video seperti muzik, animasi, lakonan berupaya
menyampaikan isi pelajaran kepada murid dalam bentuk yang mudah difahami dan lebih
menarik berbanding kaedah bercerita yang digunakan sebelum ini. Bagaimana pun
beberapa perkara perlu diambil perhatian terutamanya pemilihan video yang
bersesuaian, kemahiran mengendalikan peralatan dan penetapan masa tayangan video
sebelum PdP dilaksanakan. Ketidakcekapan dalam tiga elemen ini berupaya
menggagalkan objektif PdP yang ingin dilaksanakan.

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Kesimpulannya, penggunaan video sebagai BBM mampu menarik perhatian murid
untuk mengikuti pembelajaran. Pengulangan bahagian-bahagian yang berkaitan isi
pelajaran menyumbang kepada ingatan dan kefahaman murid terhadap isi pelajaran.
Secara tidak langsung, ia turut mendorong murid memberi respon dan melibatkan diri
secara aktif semasa PdP. Hasilnya, murid berupaya menguasai isi pelajaran dengan
baik. Kaedah ini boleh diperluaskan kepada semua guru Sejarah di Malaysia bagi
membantu murid dan memudahkan proses pengajaran Sejarah di sekolah. Kajian ini
tidak boleh dibuat generalisasi kepada semua murid kerana dilaksanakan hanya ke atas
enam orang murid tahun empat di sekolah ini sahaja. Justeru kajian yang sama boleh

121

dilakukan ke atas murid-murid di sekolah-sekolah yang lain. Untuk tujuan meningkatkan
keupayaan mengingat dan memahami fakta sejarah secara kronologi, kaedah-kaedah
pengajaran lain juga boleh diaplikasi seperti penggunaan aplikasi permainan dan kajian
kes.

RUJUKAN
Chan Lin, L.J. (2000) “Attributes of Animation for Learning Scientific Knowledge.” Journal

of Instructional Psychology, 27 (4), 228-238.
Ismail Sualman.(2019, Januari 27).Kualiti pendidikan Malaysia antara terbaik di

dunia.Sinar Harian.
https://www.sinarharian.com.my/article/9910/KOLUMNIS/Pendidikan-Malaysia
Ngu Hang Ling. (2012). Penggunaan Video untuk Meningkatkan Kefahaman dan Minat
Murid Tahun Empat dalam Tajuk Proses Kehidupan Haiwan. Seminar Penyelidikan
Tindakan IPG KBL tahun 2012 (27&28 September 2012): 46-60.
Nur Syazwani Abdul Talib et. al.(2019, December). Penggunaan Multimedia Dalam Mata
Pelajaran Sejarah, INSANIAH: Online Journal of Language, Communication, and
Humanities Volume 2 (2).76-88.
Rozinah Jamaludin.(2005). Multimedia Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributor Sdn Bhd.
Tiong Leh Ling & Zaidatun Tasir. (2010). Pendekatan Pembelajaran Kemahiran
membaca Menerusi Lagu dan Muzik Berasaskan Komputer Bagi Murid Tahun
Satu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(1), 35-51.

122

123


Click to View FlipBook Version