Bawang Putih
Bawang Merah
Pada zaman dahulu, ada
sepasang suami isteri yang
tinggal agak terpencil dari
orang ramai. Si suami bernama
Pak Ali dan si isteri bernama Mak
Labu. Sungguhpun sudah lama
mereka berumah tangga tetapi
mereka masih belum mempunyai
cahaya mata.
Pada suatu hari Pak Ali telah
berterus terang dengan
isterinya. “Labu, aku berhajat
hendak beristeri seorang lagi
kerana berkehendakan anak,
walaupun sudah lama engkau
menjadi isteri aku tetapi
engkau tidak dapat melahirkan
anak.”
“Kalau begitu niat abang, saya
relalah abang berkahwin lain
walaupun berat rasa hati ini,”
beritahu Mak Labu terus
terang.
“Terima kasih atas kerelaan
engkau itu, Labu. Aku akan
bersifat sama adil bila aku
beristerikan seorang lagi nanti,”
janji Pak Ali.
Akhirnya Pak Ali pun beristeri
baru. Isteri barunya itu
bernama Mak Kundur. Walaupun
mereka bermadu tapi mereka
tinggal serumah. Tepat seperti
dijanjikan, Pak Ali melayan
isteri-isterinya itu seadil-
adilnya.
Setelah setahun berkahwin,
dengan tidak disangka-sangka
isteri tuanya yang disangka
mandul itu mengandung empat
bulan dan isteri mudanya
mengandung tiga bulan.
“Syukur kepada Allah kerana
tidak lama lagi aku akan
mendapat dua orang anak
sekaligus,” fikirnya dalam hati.
Apabila sampai masanya,
kedua-dua orang isterinya itu
pun melahirkan anak. Kedua-
duanya anak perempuan belaka.
Anak Mak Labu diberi nama
Bawang Merah dan anak Mak
Kundur bernama Bawang Putih.
Nama-nama itu diambil
sempena dengan tanaman Pak
Ali yang sangat subur pada
masa itu iaitu bawang merah
dan bawang putih.
Semenjak itu juga nama
kedua-dua isterinya ditukar
menjadi Mak Bawang Merah dan
Mak Bawang Putih.
Masa terus berlalu. Kini, umur
kedua-dua anaknya telah
mencapai dua belas tahun. Rupa
kedua-dua gadis itu sangatlah
cantik. Memang sukar anak-
anak gadis di kampung itu
hendak mengatasi kecantikan
Bawang Merah dan Bawang Putih.
Tetapi kalau ditanya kepada
Mak Bawang Putih siapakah yang
lebih cantik, tentu Mak Bawang
Putih akan menjawab Bawang
Putih yang cantik. Jika ditanya
kepada Mak Bawang Merah, Mak
Bawang Merah akan menjawab
yang kedua-duanya sederhana
tidak ada siapa yang lebih
cantik.
Tentang perangai pula,
didapati Bawang Putih lebih
nakal dan jahat. Disuruhnya
Bawang Merah memasak nasi
dan membuat kerja itu dan ini.
Kalau di hadapan Pak Ali, Bawang
Putih pandai pula bermuka-
muka membuat kerja.
Pada suatu hari Pak Ali pergi
mengail ikan dengan Bawang
Merah. Hari itu nasib Pak Ali
kurang baik kerana entah
bagaimana Pak Ali disengat oleh
seekor ikan sembilang yang baru
sahaja mengena kailnya.
Pak Ali memanggil anaknya
Bawang Merah membantunya
kerana tidak tahan menanggung
kesakitan akibat disengat oleh
ikan itu. Dengan perasaan yang
cemas, Bawang Merah memapah
bapanya pulang ke rumah.
Apabila sampai di rumah,
kedua-dua isterinya
terperanjat melihatkan Pak
Ali pulang dalam kesakitan. Mak
Bawang Merah pergi menjemput
Pawang Jidun iaitu seorang
pawang yang terkenal di
kampung itu. Pawang Jidun pun
mengubat Pak Ali secara
perubatan tradisional. Oleh
kerana ajalnya telah sampai,
perubatan Pawang Jidun tidak
memberi apa-apa kesan. Pak Ali
pun meninggal dunia. Pemergian
Pak Ali yang kekal abadi itu
ditangisi oleh keluarganya.
Semenjak Pak Ali meninggal
dunia, perselisihan dan
pergaduhan diantara Mak
Bawang Merah dan Mak Bawang
Putih selalu sahaja terjadi.
Sebab utama tentulah hal anak-
anak kerana mereka tinggal
serumah jadi selalu sajalah
mereka bertengkar.
Mak Bawang Putih sangat
benci kepada Mak Bawang
Merah. Dia sentiasa sahaja
mencari peluang untuk
menghapuskan Mak Bawang
Merah.
Pada suatu hari, peluang yang
ditunggu-tunggu selama ini
terbuka. Apalagi hanya mereka
berdua sahaja yang berada di
tempat itu. Kebetulan Mak
Bawang Merah sedang
menceduk air di perigi lama.
Mak Bawang Putih datang dari
arah belakang dan terus
menolak Mak Bawang Merah ke
dalam perigi. Oleh kerana perigi
itu dalam, dia terus tenggelam
dan lemas. Perigi itu jarang
digunakan. Selalunya mereka
menggunakan perigi di hadapan
rumah mereka.
"Mampuslah engkau!” jerit Mak
Bawang Putih dengan geramnya.
Tiga jam berlalu tetapi
Bawang Merah masih belum tahu
ke mana emaknya pergi. Sedang
dia termenung dan bersedih
hati memikirkan ibunya, tiba-
tiba Mak Bawang Putih datang
dari arah belakang dan
memukulnya lalu Bawang Merah
pun jatuh pengsan di situ juga
dengan berlumuran darah keluar
dari hidung dan mulutnya. Mak
Bawang Putih yang tidak
menaruh belas kasihan apabila
melihat Bawang Merah pengsan
itu, terus mengajak anaknya
bersama-sama pergi ke rumah
saudaranya.
Tidak berapa lama selepas
itu, Bawang Merah tersedar dari
pengsan. Dia menangis tersedu-
sedu sambil memangggil-
manggil nama emaknya. Puas
dipanggil dan dicari namun tidak
ada. Dia juga hairan kerana Mak
Bawang Putih dan Bawang Putih
juga tidak ada di rumah. Hari
sudah malam tidak ada sesiapa
yang pulang. Bawang Merah
merasa cemas tinggal
keseorangan diri di rumah yang
dikelilingi hutan tebal itu. Pintu
rumah dikunci rapat-rapat.
Setelah jauh malam akhirnya dia
pun tertidur.
Dalam tidurnya dia bermimpi
ibunya datang kepadanya
dengan memakai telekung putih.
“Anakku bawang Merah! Mak
telah mati ditolak ke dalam
perigi lama oleh Mak Bawang
Putih semasa mak menceduk
air. Mak tidak sangka dia
tergamak melakukan perbuatan
itu terhadap Mak. Ingatlah
anakku, kau jagalah diri mu dari
telatah Mak Bawang Putih yang
ganas itu. Sekarang Mak hendak
pergi dahulu. Kau tinggallah
baik-baik.”
Sebaik sahaja emaknya
meminta diri, Bawang Merah pun
terjaga dari tidurnya. Dia
memandang sekeliling mencari-
cari emaknya. Mulutnya
memanggil-manggil
“Mak…….Mak.”
Namun tidak ada jawapan,
barulah dia sedar rupanya dia
bermimpi, dia menangis sekuat-
kuat hatinya kerana dia pecaya
segala kata-kata dalam
mimipinya tadi dan tambahan
pula dengan sikap Mak Bawang
Putiah yang memukulnya dan
meninggalkannya itu.
Esoknya, pagi-pagi lagi dia
pergi ke perigi tersebut. Tanpa
disedari air matanya
membasahi kedua belah pipinya
sambil mulutnya bersuara.
“Mak……..Mak.”
Sedang Bawang Merah
bersedih memerhati ke dalam
perigi itu, dengan kehendak Allah
tiba-tiba timbullah seekor ikan
kaloi.
Ikan itu boleh berkata-kata:
“Wahai anakku Bawang Merah.
Akulah mak engkau. Mak telah
mati ditolak ke dalam perigi ini
oleh Mak Bawang Putih. Engkau
datanglah bermain dengan mak
pada tiap-tiap hari. Bawalah
makanan untuk mak sekepal
nasi melukut dan sayur keladi.”
Kemudian ikan itu tidak dapat
berkata lagi untuk selama-
lamanya.
Setelah itu Bawang Merah pun
pulang ke rumah. Bila sampai di
rumah didapati Mak Bawang
Putih dan Bawang Putih sudah
menunggu dengan muka bengis.
“Ke mana engkau pergi?”
Mak cik, saya sedang mencari
mak saya,” jawab Bawang Merah.
“Mak engkau sebenarnya
telah mati kerana jatuh ke
dalam perigi. Aku telah berusaha
hendak menolongnya tetapi
tidak terdaya,” jawab Mak
Bawang Putih berbohong.
Bawang Merah tidak berkata
apa-apa. Dia tidak percaya
dengan kata-kata Mak Bawang
Putih. Dia yakin dengan
mimpinya malam tadi dan
percakapan ikan kaloi di perigi
sebentar tadi.
“Lekas pergi ke dapur dan
masak untuk kami. Ingat! Mulai
hari ini kami berdua menjadi
raja dalam rumah ini, kami tidak
mahu membuat apa-apa kerja.
Segala kerja seperti memasak,
mencuci kain dan mengemas
rumah adalah tugas engkau!”
beritahu Mak Bawang Putih
dengan sombong.
Bawang Merah terpaksa
menurut sahaja perintah itu.
Tiap-tiap hari tidak ada peluang
langsung dia hendak berehat,
asyik dengan membuat kerja
sahaja.
Bagaimanapun pagi-pagi lagi
sebelum Mak Bawang Putih dan
Bawang Putih bangun dari tidur,
dia sudah pergi ke perigi. Lalu
dia bergurindam memanggil
ibunya:
“Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah, Bawang Merah
datang, Nasi melukut sayur
keladi, Untuk mak makan di pagi
hari.”
Sebaik sahaja Bawang Merah
bergurindam, ikan kaloi itu pun
timbul lalu Bawang Merah pun
memberi makan. Setelah selesai
Bawang Merah pun pulang.
Pada mulanya perkara itu
tidak diketahui oleh sesiapa. Dua
minggu selepas itu, rahsia itu
pecah juga. Pagi itu Bawang
Putih bangun dari tidur terlebih
awal kerana hendak membuang
air kecil. Selepas buang air, dia
terdengar suara orang
bergurindam. Perlahan-lahan
dia mengintai di sebalik semak.
“Oh, di sini rupanya si Bawang
Merah datang hari-hari. Akan
aku perhatikan apa yang
dibuatnya di sini.” bisik Bawang
Putih.
Dia dapat melihat dan
mendengar segala-galanya
yang berlaku. Lantas dia cepat-
cepat pulang dan mengadu
kepada emaknya.
“Oh begitukah? Nanti aku akan
tangkap ikan itu!” kata mak
Bawang Merah. Segala rangkap
gurindam itu dihafal oleh Mak
Bawang Putih. Pada waktu
tengah hari ketika Bawang
Merah sedang bekerja di rumah,
Mak Bawang Putih pergi ke perigi
itu dan membawa sekepal nasi
melukut dan sayur keladi. Mak
Bawang Putih pun bergurindam:
"Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah, Bawang Merah
datang, Nasi melukut sayur
keladi, Untuk mak makan di pagi
hari.”
Ikan itu tidak timbul. Mak
Bawang Putih bergurindam lagi.
Tidak timbul juga. Kemudian
Bawang Putih pula yang
bergurindam. Tidak juga timbul.
Bawang Putih bergurindam lagi.
Barulah ikan itu timbul. Sebaik
sahaja ikan itu timbul, ikan itu
pun disauk dengan penyauk.
Secara diam-diam mereka
membawa balik ikan itu.
“Bawang Merah, tengah hari
ini biarlah Mak Cik masak. engkau
pergi cari kayu api,” katanya
kepada Bawang Merah.
“Baiklah Mak Cik.”
Sepeninggalan Bawang Merah,
Mak Bawang Putih pun menggulai
ikan itu. Bila Bawang Merah
pulang dari mencari kayu api, dia
terus dipelawa makan nasi
berlaukkan ikan gulai tadi.
Berselera sekali nampaknya dia
memakan ikan itu.
Keesokkan paginya seperti
biasa Bawang Merah pergi ke
perigi untuk memberi iakn kaloi
itu makan. Dia bergurindam. Tapi
berkali-kali dia mengalunkan
gurindam ikan kaloi itu tidak
timbul-timbul. Dia pun menangis
teresak-esak kerana ikan kaloi
tidak lagi timbul. Sedang dia
menangis tiba-tiba terdengar
satu suara ghaib …
“Tidak usahlah engkau
menangis Bawang Merah. Ikan
kaloi sudah ditangkap oleh Mak
Bawang Putih dan sudah dibuat
gulai yang engkau makan
semalam. Dan sekarang engkau
carilah tulang-tulangnya dan
tanamlah.” kemudian suara itu
pun hilang.
Sebaik saja suara itu ghaib,
Mak Bawang Putih datang dari
arah belakang dan memukulnya
dengan kayu.
“Anak sial! Apa yang engkau
buat di tepi perigi ini? Oh,
engkau hendak berjumpa mak
engkau ikan kaloi itu ya!
Semalam yang engkau makan
itulah ikan kaloi mak engkau!
Lekas balik ke rumah dan masak
nasi” herdik Mak Bawang Putih.
Setelah selesai memasak
nasi, dengan senyap dia turun
ke bawah rumah untuk mencari
tulang-tulang ikan itu. Puas dia
mencari, barulah berjumpa
tulang-tulang itu dihimpun dan
ditanam di atas bukit jauh
sedikit dari rumahnya. Atas
kehendak Allah Taala, dalam
masa sebulan sahaja tukang-
tulang ikan itu menjadi sepohon
pohon beringin yang rendang.
Dia menggantungkan buaian di
dahan pohon itu. Ketika ada
masa lapang, dengan diam-diam
dia bermain buaian disitu. Sambil
berbuai dia akan menyanyi:
Tinggi-tinggi pohon beringin
Kalau tinggi menyapu awan
Kalau rendah menyapu bumi
Laju-laju buai laju
Bertiuiplah angin bayu-bayu
Tolonglah aku yatim piatu
Dengan berbuat demikian
dapatlah juga meghiburkan
hatinya yang sedang gelisah.
Pada ketika itu ada seorang
raja sedang berburu. Baginda
diiringi oleh beberapa orang
hulubalangnya. Sudah dua hari
dua malam baginda berburu
tetapi tidak mendapat seekor
binatang buruan pun. Namun
begitu baginda tetap sukacita.
Perangainya berbeza dari biasa.
Biasanya kalau dalam keadaan
begitu baginda sangat murka
dan terus mengajak pengiring-
pengiringnya pulang sahaja.
Perubahan perangai baginda itu
sangat luar biasa.
Pada pagi yang ketiga mereka
berburu lagi. Tiba-tiba melintas
di hadapan baginda seekor rusa.
Dengan pantas baginda
memanah tetapi tidak kena.
Biasanya kalau seperti itu, rusa
itu sudah tentu terkena anak
panah baginda.
Baginda memerintah
hulubalang-hulubalangnya
mengejar rusa itu sambil
mencari binatang buruan yang
lain. Namun segala-galanya
hampa. Sedang mereka
berjalan-jalan, salah seorang
hulubalang mendengar suara
seorang perempuan menyanyi.
“Datuk Menteri, cuba dengar
suara perempuan sedang
menyanyi!” kata hulubalang
kepada Datuk Menteri.
“Mengarut engkau ini. Dalam
hutan begini mana ada
perempuan menyanyi!” jawab
Datuk Menteri.
“Cuba Datuk dengar sendiri.”
“Jangan-jangan suara
hantu!” kata Datuk Menteri.
Mereka bersepakat hendak
menghampiri ke tempat suara
itu, akhirnya mereka dapat
melihat penyanyi itu ialah
Bawang Merah. Kerana wajah
Bawang Merah yang sangat
cantik mereka berpakat hendak
mempersembahkan pertemuan
itu kepada tuanku kerana
tuanku raja masih belum
beristeri.
Bawang Merah terasa dirinya
sedang diintai. Dia pun cepat-
cepat lari pulang. Dua orang
hulubalang tadi mengekori
Bawang Merah secara sulit
untuk mengetahui rumahnya.
Kemudian mereka pun
persembahkan perkara itu
kepada baginda. Baginda sangat
senang hati mendengar cerita
itu. Mereka pun beramai-ramai
pergi ke rumah Bawang Merah.
“Assaalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”jawab
Mak Bawang Putih.
“Tuan hamba, sebentar tadi
kami melihat ada seorang gadis
cantik sedang bermain buaian di
bukit sana.” Kata Datuk Menteri.
“Gadis cantik? Oh..memang ada
dia anak patik,” jawab Mak
Bawang Putih.
Maka mak Bawang Putih pun
memanggil Bawang Putih keluar
untuk mengadap Datuk Menteri.
“Bukan ini. Yang lain. Dia lebih
cantik!” jawab Datuk Menteri.
“ Yang seorang lagi ada tapi
dia orang gaji patik” jawab Mak
Bawang Putih.
Bila mak Bawang Putih
menarik Bawang Merah
mengadap Datuk Menteri tiba-
tiba Datuk Menteri menjerit.
“Haa inilah orangnya! Dialah
yang berbuai dan menyanyi
dengan merdunya!”
“Menyanyi?” fikir Mak Bawang
Putih.
“Tuanku, kalau dalam soal
menyanyi anak patik Bawang
Putih lagi pandai.”
Untuk itu baginda sultan
hendak membuat ujian di
hadapan orang ramai. Mula-
mula Bawang Putih dahulu yang
menyanyi. Bawang Putih belum
pernah menyanyi dan menaiki
buaian lalu merasa kekok sekali.
Hendak naik ke atas buaian pun
teragak-agak. Kemudian dia pun
menyanyi. Suaranya sumbang
dan tidak ada irama langsung.
Senikatanya pun tidak ada erti
langsung.
Tiba pula giliran Bawang
Merah. Secara senang sahaja
dia menaiki buaian. Buaian itu
tidak perlu dihayun. Ia berbuai
sendiri semakin lama semakin
laju. Nyanyiannya pula sangat
merdu. Sama seperti yang di
dengar oleh Datuk Menteri dan
hulubalang-hulubalang. Dengan
itu baginda sultan pun
bersetuju menjadikan Bawang
Merah permaisuri baginda.
“Apakah ini orang gaji Mak
Cik?” tanya baginda.
“Ampun tuanku, sebenarnya
dia ini anak tiri patik. Walaupun
anak tiri, patik menjaga seperti
anak sendiri”.
Akhirnya berkahwinlah Bawang
Merah dengan tuanku. Dia pun
menjadi isteri kesayangan
baginda dan telah berpindah di
istana baginda. Walaupun begitu
Bawang Merah tetap tidak
menyisihkan Mak Bawang Putih
dan Bawang Putih. Mereka tetap
diajak tinggal bersama di istana.
Walaupun dapat tinggal di
istana dengan segala
kemudahan disediakan, namun
iri hati dan jahatnya masih
membara. Mak Bawang Putih
ingin melihat Bawang Merah
bercerai dengan baginda sultan
dan mengambil anaknya Bawang
Putih sebagai ganti.
Suatu hari dia masuk ke bilik
Bawang Merah.
“Sungguh-sungguhkah kau
sayangkan suamimu?” tanya
Mak Bawang Putih kepada
Bawang Merah.
“Kenapa Mak Cik tanya
begitu? Takkan saya tidak
sayang kepada suami!” jawab
Bawang Merah.
“Begini, sebenarnya engkau ini
tidak layak menjadi permaisuri
kerana tidak berketurunan
raja!”
“Benar kata makcik itu. Habis
apa saya harus buat?”
Lalu diberi sebungkus miang
buluh. Miang buluh itu disuruh
tabur di seluruh tempat tidur
baginda.
“Dengan cara ini baginda akan
merasa sangat sayang kepada
engkau dan baginda akan lupa
sama sekali tentang keturunan
engkau,” kata Mak Bawang Putih.