“Tetapi jangan beritahu yang
Mak Cik suruh berbuat begitu,”
pesannya lagi.
Malam itu baginda hendak
beradu. Oleh kerana terasa
hangat, baginda membuka baju
lalu merebahkan diri di atas
katil.
“Aduh gatalnya! Miang
rasanya. Apakah benda ini?”
“Kenapa kanda?” tanya
Bawang Merah terperanjat.
“Apa yang adinda tabur di
tempat tidur kanda ini?”
“Dinda tabur miang buluh
untuk mengeratkan lagi ikatan
kasih sayang kita berdua.”
“Dinda, dinda! Kenapalah dinda
bodoh sangat!” keluh baginda
sultan.
Di hari lain pula, Mak Bawang
Putih masuk lagi ke bilik Bawang
Merah untuk menghasut.
“Bagaimanakah miang buluh
yang makcik suruh engkau
tabur itu?”
“Saya telah lakukan dan
nampaknya baginda murka juga
tetapi tidak berpanjagan.”
“Ini menandakan yang petua
ini mulai berjaya kerana kalau
baginda betul-betul murka,
tentu dihalaunya engkau,” kata
Mak Bawang Putih. “Ada sejenis
lagi ubat kasih sayang yang
engkau mesti lakukan terhadap
baginda.”
“Saya tidak mahu lagi makcik.
Saya takut baginda murka!”
“Jangan jadi bodoh Bawang
Merah. Selagi engkau tidak
lakukan yang ini, kasih sayang
engkau tidak akan
berpanjangan.”
Mak Bawang Putih berbisik
kepada Bawang Merah. Bawang
Merah terperanjat
mendengarnya.
“Tidak makcik! Saya tidak
mahu melakukannya!”
Mak Bawang Putih terus juga
memujuk. Akhirnya Bawang
Merah termakan pujuk. Dia pun
mula melakukan apa yang diajar
oleh Mak Bawang Putih itu.
Dia mengambil sebilah kapak
yang tajam. Digantung hulunya
di atas palang pintu. Sebaik
sahaja baginda membuka pintu,
dia akan menghayun mata kapak
itu. Sudah tentu akan mengena
dahi baginda.
Tidak lama lagi baginda akan
masuk bilik. Bawang Merah
bersedia dengan kapak yang
tergantung itu. Baginda pun
masuk. Kapak dihayun.
“Aduh kenapa ini dinda?”
baginda berteriak kesakitan.
“Kanda!” Bawang Merah
menerkam. Darah keluar dari
dahi baginda akibat terkena
mata kapak.
“Apakah yang dinda lakukan
ini?” tanya baginda kehairanan.
“Untuk mengekalkan
hubungan kasih sayang kita
berdua!”
“Siapa yang mengajar semua
ini?”
“Mm..Mm..Mak Bawang Putih.”
Mak Bawang Putih disuruh
menghadap baginda. Oleh kerana
niat jahatnya itu masih tidak
dihentikan, baginda menghalau
Mak Bawang Putih dan anaknya
Bawang Putih keluar dari istana.
Maka dari itu terpaksalah
mereka berdua bekerja semula
untuk menyara hidup mereka.