The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by azminias, 2022-08-15 01:39:23

DIARI COVID-19

DIARI COVID-19

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

1|Page

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

DIARI COVID-19
56 HARI DI KAMPUS

Sidang Pengarang

Dr. Fauzi Azmi
Mohd Rozaimy Ridzuan

Norhaslinda Arun
Mohd Faizal Azrul Azwan Muhamed @ Che Harun

Ahmad Nazri Jelani

Reka Bentuk

Noor Azliza Aziz

Diterbitkan oleh:
Zauraa Vision Enterperise
No 4, Jalan Asahan Dua 26/27B
Taman Bukit Saga 40400 Shah Alam ,
Selangor Tel : +019-2364466
Website : https://www.zauraa.com/pola.htm
ISBN : 978-629-96870-1-6

Copyright©2022

Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian dalam buku ini, termasuk reka bentuk dalaman, reka bentuk
kulit muka dan ikon boleh diterbitkan semula atau dihantar dalam apa jua bentuk, dengan sebarang

cara (elektronik, fotokopi, rakaman atau cara lain) tanpa kebenaran bertulis daripada penerbit
terlebih dahulu.

Printed in MALAYSIA

2|Page

TAJUK Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

BAB 1 MUKA SURAT
PENDAHULUAN
Dr. Fauzi Azmi 1
9
BAB 2 35
MENDEPANI IMPLIKASI SERANGAN COVID-19 90
DI KAMPUS
Dr. Fauzi Azmi 111

BAB 3 121
TANGGUNGJAWAB PERGURUSAN DALAM PKP 130
Mohd Rozaimy Ridzuan
140
BAB 4
TINDAKAN DALAM FASA-FASA PKP
Norhaslinda Arun

BAB 5
PEMBELAJARAN TERBUKA & JARAK JAUH
DALAM PKP.
Mohd Faizal Azrul Azwan Muhamed @ Che Harun

BAB 6
AKTIVITI PELAJAR SEPANJANG TEMPOH PKP
Mohd Faizal Azrul Azwan Muhamed @ Che Harun

BAB 7
PENGAJARAN DARIPADA ANCAMAN COVID-19.
Ahmad Nazri Jelani

BAB 8
PENUTUP & CADANGAN UNTUK MEMPERBAIKI
PENGURUSAN BENCANA
Mohd Faizal Azrul Azwan Muhamed @ Che Harun

3|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

SEKAPUR SIRIH

Segala puja dan puji bagi Allah SWT atas segala kurniaan-Nya kepada kita. Dalam pelbagai
kurniaan itu, ada yang berbentuk nikmat dan ujian kepada kita. Nikmat dan ujian ini merupakan
suatu penilaian Allah kepada kita agar terus bijak menghadapinya supaya kekal sebagai hamba-
Nya yang beriman dan bertaqwa. Selawat dan salam rindu buat junjungan mulia Nabi Muhammad
SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Saya rasa bersyukur di atas penulisan dan penerbitan buku; “DIARI 56 HARI DALAM
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN’ yang terhasil daripada komitmen tinggi para
penulis yang sentiasa menyemarakkan budaya akademik dan mencerminkan usaha memartabatkan
universiti di persada dunia.

Terima kasih kepada barisan penulis buku ini kerana telah berusaha merekodkan suatu peristiwa
penting dan bersejarah yang ditempuhi oleh warga UiTM Cawangan Pahang khasnya dan
penduduk dunia ketika menghadapi ancaman COVID-19. Kemunculan pandemik COVID-19
sangat memberi impak besar dalam perubahan sistem hidup manusia yang membentuk norma
baharu dan kebiasaan baharu. Buku ini secara limitasinya memaparkan detik-detik penting selama
56 hari para mahasiswa UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Kampus Raub berada dalam
kampus menempuh PKP. Turut direkodkan juga tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan
tertinggi UiTM dalam menguruskan kebajikan, keselamatan, kesihatan, menjalankan aktiviti dan
pengajaran & pembelajaran para mahasiswa dan staf UiTM.

Catatan dalam buku ini bukan sekadar merekodkan peristiwa sepanjang 56 hari para mahasiswa
dan staf UiTM Cawangan Pahang menjalani kehidupan sepanjang PKP bermula dari 18 Mac – 12
Mei 2020), sebaliknya turut juga menyungkil hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa ini.
Banyak nasihat yang berguna dititipkan dalam buku ini sebagai panduan hidup untuk mendepani
krisis yang kritikal sepertimana yang dihadapi sekarang.

Akhir sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat
menghasilkan buku ini. Saya percaya buku ini sangat bermanfaat buat generasi sekarang dan akan
datang.

Sekian, terima kasih.

Prof. Ts. Dr Mohd Ilham bin Adenan
REKTOR
Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang
15 Ogos 2020

4|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

PENDAHULUAN
DR. FAUZI AZMI

Dunia dikejut dan digegarkan dengan serangan virus baharu yang bermula di Wuhan, China pada
pertengahan Disember 2019. Sejenis virus yang tidak dikenali, ditemui oleh para doktor dan
saintis. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan nama COVID-19 bagi virus tersebut.

CO membawa maksud corona, VI bagi virus dan D bagi ‘disease‘ atau penyakit. Kemudian
diletakkan tanda sempang (-) dan 19, yang merujuk kepada 2019. Sehingga 11 Feb, apabila WHO
merumuskan terma itu, COVID-19 dirujuk sebagai novel coronavirus, novel bermaksud baharu.
Virus itu sebenarnya digelar sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2 (SARS-CoV-2). WHO
sentiasa memastikan amalan terbaik dalam menamakan penyakit baharu yang menjangkiti
manusia, bertujuan untuk meminimumkan kesan negatif nama penyakit itu terhadap perdagangan,
pelancongan atau kebajikan haiwan, dan mengelakkan ia menimbulkan penghinaan terhadap
mana-mana budaya, sosial, negara, profesional atau kumpulan etnik. Dengan itu virus ini diberi
nama COVID-19, bukannya virus Wuhan atau virus penduduk China. Coronavirus adalah hanya
sejenis virus yang menyebabkan penyakit pernafasan kepada haiwan dan manusia. Corona
bermaksud mahkota kerana bentuk “spike” atau pepaku seperti mahkota pada permukaan virus itu.
WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020.
(https://www.kuseman.com)

Serangan dan rantaian virus ini terlalu cepat menular dan merebak ke seluruh dunia. Ironinya,
tahun 2020; tahun panik, dunia akhirnya dilanda pandemik. Kemunculannya melanda dunia, tiada
siapa pun menduga. Serangan di Wuhan, China awalnya mengundang sensasi dan pelbagai
persepsi asal kewujudan dan puncanya. Pelbagai teori dan hipotesis muncul bagi menjustifikasikan
kewujudan dan bahayanya. Sama ada, ia satu mitos, konspirasi atau satu realiti terus menjadi
diskusi pelbagai pihak tanpa ada hentinya. Dunia sangat terkesan akan bahana wabak ini. Segala
aktiviti dan kegiatan terhenti, dunia bagaikan mati. Manusia dalam ketakutan dan kebimbangan
dalam mendepani musuh yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Serangan pandemik COVID-19

1|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

meninggalkan implikasi yang sangat buruk dan dahsyat terutama dalam sektor ekonomi,
perniagaan, perbankan, perhotelan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain.
Dalam sejarah dunia, pandemik yang melanda dunia dan meragut jutaan nyawa manusia
sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Ini bermakna Covid-19 bukanlah virus pertama
menyerang dunia dengan skala yang besar. Sejarah mencatatkan setiap kurun ada saja serangan
pandemik. Disenaraikan beberapa peristiwa pandemik yang pernah melanda dunia, antaranya:

a) Pada tahun 639M/18 Hijri di Amwas, Palestin diserangi taun(kolera) yang mengorbankan
25,000 – 30,000 nyawa kaum muslimin, termasuk sahabat-sahabat besar Nabi SAW seperti
Abu ‘Ubaidah RA, Mu‘az RA, Yazid bin Abi Sufyan RA, Syurahbil bin Hasanah RA, Abu
Jandal RA, al-Fadhl bin al-‘Abbas RA dan lain-lain (Al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn
Kathir, (6/202), (7/93) & (8/124).

b) Pada tahun 818M/218 Hijri, Mesir dilanda taun (kolera). Ramai gabenor dan rakyat yang
mati. Seramai 1,000 orang mati setiap hari dan wabak ini terus merebak ke seluruh dunia.
(al-Muntazam oleh Ibn al-Jawzi).

c) Tahun 1048M/448 Hijri, bermula dari Andalusia (Sepanyol) taun bermula dan merebak ke
negara-negara lain. Sekolah, universiti, masjid dan premis-premis lain ditutup.

d) Sekitar tahun 1347-1351M/749-753 Hijri negara Eropah diresapi penyakit hawar.
Kematian Hitam (Black Death) ialah pandemik yang paling teruk dalam sejarah manusia.
Ia bermula di Asia Barat Daya dan merebak ke Eropah pada awal dekad 1340-an. Jumlah
kematian di seluruh dunia akibat pandemik ini dianggarkan sebanyak 75 hingga 200 juta
orang iaitu sekitar 20-40% dari jumlah populasi manusia pada masa itu.

e) Tahun 1424M/827 Hijri, Mekah diserang taun(kolera). Dicatatkan hampir 40 kematian
setiap hari. Masjidil Haram ditutup. Hanya seorang dan dua makmum sahaja dibenarkan
solat berjemaah sepanjang wabak ini (Imam Ibn Hajar al-Asqalani: Inba’ al-Ghumri)

2|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

f) Tahun 1433M/833 Hijri dan 1444M/ 848 Hijri, Mesir dilanda taun(kolera) sekali lagi. Ia
bermula sekembali jemaah haji dari Mekah. Lebih 1000 orang mati setiap hari. (Inba’ al-
Ghumr oleh Ibn Hajar)

g) Pada tahun 1918-1920, wabak Demam Sepanyol (Spanish Flu) mengorbankan 50-100 juta
nyawa di seluruh dunia.

h) Wabak mutakhir sebelum COVID-19 yang dirasai di seluruh dunia ialah pada tahun 2009,
apabila pandemik H1N1 menyebabkan kematian 300,000 – 500,000 orang.

Nabi SAW juga pernah mengisyaratkan peristiwa pandemik akan melanda dunia: "..Peristiwa
kematian dalam jumlah besar yang menimpamu seperti layaknya kambing yang mati mendadak
kerana satu penyakit" (Al-Bukhari)

Krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan dirasai oleh seluruh manusia perlu disedari dan
direnungi dengan teliti dengan mata hati. Adakah ia merupakan bala ataupun sebagai ujian.
Fenomena pandemik mengandungi pelbagai objektif dan hikmah yang tersurat. Bagi orang engkar
dan durhaka dengan Allah; pandemik ini sebagai bala kepadanya. Allah SWT turunkan kepadanya
disebabkan kekufuran, maksiat dan dosa, agar ia sedar dan kembali kepada Allah dan meninggalkan
segala larangan serta terus tunduk dan patuh kepada-Nya. Bagi orang yang beriman, pandemik
adalah ujian; sama ada untuk memberi pahala atas kesabaran hamba-Nya, menghapuskan dosanya
atau meningkat darjat hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah menimpa seorang mukmin
rasa sakit yang terus-menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai
kesukaran yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengannya dosa-dosanya”
(Muslim).

Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan,
kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan
Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." ( Al-Bukhari).

3|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Dalam hadis lainnya disebutkan, Nabi SAW berpesan, “Janganlah engkau mencaci-maki penyakit
demam karena sungguh (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam,
sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi.”

Penyakit yang menyerang secara individu, keluarga atau dalam bentuk endemik, epidemik dan
pandemik sebagai satu peringatan dan amaran Allah kepada hamba-Nya. Ingatlah firman-Nya
dalam surah al-Syuura ayat 30. Terjemahannya, “Dan musibah apa pun yang menimpa kamu
adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari
kesalahan-kesalahanmu).”

Segala tragedi dan fenomena di alam ini adalah dalam pengetahuan dan perancangan Allah, tiada
siapapun dapat melangkaui ilmu dan pentadbiran Allah. Firman Allah yang bermaksud: Tiadalah
menimpa sesuatu musibah melainkan dengan izin Allah, siapa yang beriman kepada Allah akan
diberi petunjuk kepadanya dan Allah mengetahui atas segala sesuatu. (Al-Taghaabun: 11)

Bagi manusia yang beriman percaya musibah besar ini sebagai ujian dan sudah pasti akan
bersangka baik bahawa wabak COVID-19 ini adalah ruang untuk Allah melipatgandakan lagi
ganjaran kepada hambanya yang sabar dan reda. Tapi jika kita tidak beriman dan masih
mengkufuri nikmat yang Allah bagi selama ini, maka tidak mustahil apa yang terjadi ini adalah
bencana yang diturunkan kepada seluruh umat tanpa mengira sama ada mereka beriman ataupun
sebaliknya.

Sabda Rasulullah SAW: Dari Aisyah r.a. berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW
tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan
yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu
sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di
tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena
musibah melainkan kerana Allah SWT telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala
seperti pahala orang yang mati syahid”. (Al-Bukhari)

4|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Buku ini dirancang oleh para penulis bagi merekodkan detik sejarah pandemik COVID-19 di kurun
ini dalam suasana yang terbatas. Fokus kepada pengurusan para pelajar yang berada dalam
kampus di UiTM Cawangan Pahang iaitu di Kampus Jengka dan Kampus Raub, sepanjang tempoh
56 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB serta implikasi kepada warga kampus. Ini
terkandung dalam tujuh bab yang seterusnya.

5|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

BAHANA COVID-19
Dunia Diserang Pandemik

Semua Menjadi Panik
Buntu Mencari Tonik
Sudah Kelesuan Paramedik
Tiada Penawar Hasilan Penyelidik
Walaupun Ramai Saintis Yang Cerdik
Wabak Menyentap Kemajuan Materialistik
Lebih Sadis, Munculnya Para Pengherdik
Hari-Hari Menimbulkan Polemik
Kebanyakan Kerja Orang Politik
Tak Habis-Habis Nak Buat Konflik
Bicara Penuh Retorik
Pemimpin Kita Bukan Autokratik
Tiada Simpati Dan Individualistik
Dia Sangat Karismatik
Di Kala Ini Kembalilah Kepada Allah Al-Khalik
Sedarlah… Akal Manusia itu Pendek
Ikuti Saranan Nabi Al-Sidek

Fauzi Azmi
24/03/2020 (Selasa) 7.00am

UiTM Kampus Jengka

6|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

FENOMENA COVID-19

Apa yang berlaku dengan perintah,
kehendak dan kemahuan Allah

Baik atau buruk; tenang atau gundah
Sihat atau sakit; lapang atau penat lelah
Kuasa-Nya tiada lain boleh menyanggah

Manusia perlu akur
Insaf, istighfar dan tafakur
Ada kala bencana dek kerna kita takabbur
Lupakan Allah, syariat dibiar berkubur
Bala', bencana dan musibah
Pastinya tersirat 1001 hikmah
Manusia naif lagi lemah
menyungkil segala khazanah

Manusia tak perlu pilu
Atau sekadar menungkat daku
Perlu bangkit, bersatu padu
Hati dan lidah berzikir bertalu-talu
Kajian berterusan berdasarkan ilmu
Kita yakin setiap penyakit ada penawar
Itu jaminan Nabi yang telah tular
Masa belum tiba untuk diisytihar
Sedikit masa ubat COVID-19 akan diuar-uar
Walaupun dunia telah lelah

Yakinlah kita dengan Allah
Kalau tidak jiwa kita lagi parah
Dunia sengsara, dan akhirat punah

Kepada-Nya kita pasrah.

Fauzi Azmi
26/03/2020 (Khamis) / 10.00am

UiTM Kampus Jengka

7|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

PANDEMIK..PANIK

Setiap 100 tahun
atau setiap satu kurun
Pada setiap tahun ke-20an

Dunia dikejutkan
Pandemik melanda bagai taufan
Membadai tanpa belas kasihan

Manusia jadi tak keruan
Lebih dahsyat dari kerasukan

Mati bergelimpangan
Angka cecah jutaan
Bermula tahun 1720an
Sejarah mencatatkan
Di Marseille, wabak bertebaran
Dibina tembok sekatan
Untuk menahan kemaraan
Tembok kekal jadi kenangan

Tahun 1820an
Wabak kolera bertebaran
Bermula dari negara Asean
Semua dalam ketakutan

Tahun 1920an
Spanish Flu dinamakan
Dari Andalusia bermula serangan
Mematikan jutaan orang, lebih dari jangkaan

Tahun 2020an
Corana virus melanda
Bermula dari Wuhan
ke pelusuk dunia tanpa sempadan
Semua peristiwa bukan kebetulan
biarlah rahsia dan buat kenangan
Ia adalah ketentuan dan percaturan
Pemilik alam dan segala ciptaan
Dialah Allah al-Rahman

Fauzi Azmi
28/03/2020 (Sabtu) / 9.00am

UiTM Kampus Jengka

8|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

BAB 2
MENDEPANI IMPLIKASI SERANGAN COVID-19 DI KAMPUS

FAUZI AZMI

Dalam menjalani kehidupan dan mendepani sebarang ujian, musibah atau tribulasi perlu kita
berinteraksi secara holistik yang meliputi sudut pandang secara rohaniah dan lahiriah. Lebih-lebih
lagi bila berhadapan dengan fenomena seperti wabak COVID-19. Ini bermakna, kita menghadapi
dan membuat pelan tindakan secara rohaniah dan lahiriah. Kekuatan rohani dan fizikal disusun
rapi, berstrategi dan mengoptimumkan segala ilmu, kepakaran dan segala-gala yang ada bagi
menghadapi serangan wabak ini.

Kelemahan manusia dalam menghadapi ujian ini secara rohaniah, bermaksud tidak bergantung
sepenuhnya dengan Allah. Manusia seringkali membelakangi Allah dalam tindakan dan
perancangan. Seolah-olahnya, Allah tidak diperlukan atau tidak wujud dalam kamus hidup.
Manusia merasai dengan ilmu, kepakaran, pengalaman dan kekuatan ekonomi sudah cukup dan
mampu untuk menang dalam melawan amukan COVID19. Bila perasaan dan keyakinan ini wujud,
dibimbangi akan merosak dan mencacatkan keimanan serta hubungan manusia dengan Allah
SWT. Implikasinya manusia akan menyalahkan Allah, tidak sabar dan reda menghadapi ujian,
keluh kesah, bimbang yang melampau dan menatijahkan tindakan negatif pada dirinya sendiri dan
orang lain.

Kelemahan manusia dalam membuat persiapan lahiriah untuk melawan wabak ini ialah manusia
tidak berusaha menjauhi faktor-faktor yang boleh mengundang jangkitan ini. Begitu juga tiada
usaha untuk mencegah, mengawal dan mengubatinya. Hanya menyerah kepada takdir tanpa usaha.
Senario ini jika berlaku, bukan saja meningkatkan jumlah kematian setiap hari tetapi menyalahi
prinsip Islam dan sebagai satu kesalahan serta dosa, kerana membiarkan diri ke lembah kehancuran
dan kebinasaan.

9|Muka surat

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

MENERIMA ANCAMAN COVID-19 SEBAGAI TAKDIR ALLAH

Sebagai hamba Allah kita menerima apa saja yang Allah datangkan dalam hidup sebagai ujian,
musibah atau bala'. Tidak boleh kita mempersoal apatah lagi mengkritik dan menyalahkan Allah
SWT.
Tiada apa yang berlaku, daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara semuanya
dalam pengetahuan, perancangan dan ketentuan Allah SWT sejak azali lagi. Begitu jugalah dengan
fenomena alam dan segala peristiwa yang berlaku sepanjang masa di merata tempat. Sama ada
dalam bentuk nikmat atau ujian. Perlu kita sedari bahawa semuanya datang daripada Allah. Pasti
ada hikmah dan tujuan Allah di sebalik kejadian itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (bala bencana) yang
ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam
kitab (pengetahuan kami) sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih
hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan
bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang
sombong takabbur dan membanggakan diri". Surah al-Hadid, 22-23.

Dengan lain perkataan; sikap atau tindakan pertama kita dalam menghadapi sebarang musibah atau
ujian ialah hati kita mesti menerima dengan penuh keimanan bahawa virus atau wabak ini datang
daripada Allah dan perlu kita bertindak secara orang beriman dalam menghadapinya.

Suatu ketika Sayyidina Umar bin Al-Khattab bersama beberapa orang sahabat beliau dalam satu
rombongan menuju ke Syam (Syria). Dalam perjalanan, mereka melalui pinggir sebuah kampung
yang diserang taun (kolera). Lalu mereka berbincang, apakah mereka perlu masuk ke kampung
itu, atau sebaliknya. Maka majoriti sahabat berpendapat agar: lebih baik tidak masuk ke kampung
tersebut kecuali seorang sahabat, iaitu; Abu `Ubaidah bin Al-Jarrah. Beliau berkata: "Apakah
engkau (wahai Umar) hendak lari daripada takdir Allah? Sayyidina Umar bin Al-khattab berkata:
"Aku lari daripada takdir Allah dengan takdir Allah kepada takdir Allah". Sayyidina Umar terus
berkata: Sepatutnya engkau wahai Abu `Ubaidah tidak berkata begitu. Ketika itu juga Sayyidina

10 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Abdul Rahman bin `Auf berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: "Apabila kamu sudah berada
dalam suatu kampung yang diserang oleh penyakit taun (kolera), maka janganlah kamu keluar
dari kampung itu. Dan apabila kamu belum masuk ke kampung itu, maka janganlah kamu masuk
ke kampung itu". (Sa`id, 1998: 313-314).

“Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka
(dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang-orang yang sebenar
benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang-orang yang
berdusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

MENERIMA ANCAMAN COVID-19 DENGAN SABAR DAN REDA

Sebagai manusia yang beriman dengan Allah SWT, segala apa yang kita tempuhi dan alami dalam
hidup perlu diterima dengan sabar dan reda khasnya dalam menghadapi musibah seperti wabak
COVID-19 ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang
diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, "Cukuplah Allah bagi kami, Allah
akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) Rasul-Nya,
sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih
baik bagi mereka)." (Surah at-Taubah ayat 59)

Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang
Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun
kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang
mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia
bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Muslim).

Justeru itu, kita melihat pemberian Allah SWT kepada kita pasti ada hubungan antara keimanan
dan ujian. Bermakna, setiap kali manusia teruji, keimanannya akan menjadi penentu sama ada dia
mampu menghadapi ujian tersebut dengan reda atau tidak. Maka lebih berat ujian yang dihadapi,

11 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

semakin tinggi keimanan perlu diraih untuk kita berjaya mengharunginya. Jika kita ditimpa
bencana seperti banjir, tsunami, taufan, kebakaran, kemalangan, kemusnahan harta benda dan
malapetaka alam, tentu kita akan mengeluh, sedih serta berkata-kata dalam hati mengapa musibah
menimpa ke atas diri dan kenapa tidak berlaku kepada orang lain. Sikap ini termasuk dalam
kategori tidak reda menerima takdir Allah SWT.

Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, "Wahai Tuhanku
adakah Engkau reda kepadaku?" Kebetulannya di belakangnya, Imam Shafie yang bertanya balik
kepada lelaki itu, "Adakah kamu reda segala diberikan Allah sehingga Allah juga boleh reda
kepada engkau?" Lelaki itu menjawab, "Subhanallah, aku reda apa yang datang dari-Nya dan aku
mengharapkan reda-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?" tanya lelaki itu kepada Imam Shafie.
Imam Shafie menjawab, "Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira
mendapat nikmat itulah maksud kamu reda sesuatu yang didatangkan oleh Allah kepada kamu."

ANCAMAN COVID-19 SEBAGAI PENGHAPUS DOSA

Penghapusan dan pengampunan dosa boleh berlaku dengan pelbagai kaedah dan cara, seperti
bertaubat, menyatakan penyesalan dan tidak kembali melakukan dosa, membuat kebaikan,
bersedekah dan lain-lain. Salah satu lagi ialah, Allah datangkan bala' supaya manusia sedar dan
mengambil iktibar dan ibrah di sebalik kejadian tersebut. Ini merupakan metodologi pendidikan
Allah kepada hamba-Nya secara tidak langsung agar manusia kembali kepada-Nya sebelum
dihukum dengan hukuman yang lebih dahsyat di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apa jua menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan
(atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan yang salah dan
berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa kamu." (Al-Syu'ara: 30).

Antara tujuan seseorang itu diuji Allah SWT adalah bagi menghapuskan dosanya. Rasulullah SAW
bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah
akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya." (Bukhari
dan Muslim)

12 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah
seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan
dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-
kesalahannya." (Al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ahmad).

COVID-19 MENDEKATKAN MANUSIA DENGAN AL-KHALID

Saranan pihak kerajaan dalam mendepani wabak ini seawal serangannya amat dipuji kerana
bertepatan dengan prinsip dan ajaran Islam, rakyat semua diminta kembali dan bergantung harap
dengan Allah dalam menghadapi wabak ini. Bermula pada 28 Januari 2020 titah Yang di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua masjid di seluruh
negara mengadakan solat hajat. Qunut Nazilah turut dibaca pada solat Jumaat di semua masjid
seluruh negara. Selain itu digalakkan memperbanyakkan doa. Pelbagai versi doa tolak bala' diuar-
uarkan oleh media massa, media elektonik dan internet sebagai panduan dan galakan masyarakat
untuk mengamalkannya. Turut diamalkan bacaan surah-surah pilihan dan zikir-zikir tertentu
dengan tujuan munajat kepada Allah SWT.

Hikmah di sebalik ujian ini antaranya manusia semakin ramai yang mendekatkan diri dengan Allah
SWT, memperbanyakkan bilangan rakaat solat, panjang bacaan Quran, lama berdoa dan
berzikirnya, kebetulan masing-masing berada di rumah, PKP…stay at home!

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan minta tolonglah dengan sabar dan solat.
Sesungguhnya itu sangat berat dilakukan kecuali bagi orang-orang yang khusyu`”. (Al-Baqarah:
45).

PENDEKATAN KERAJAAN; PENCEGAHAN, PEMBENDUNGAN DAN KAWALAN

Tindakan lahiriah bagi mendepani ancaman wabak ini, kerajaan telah mengambil pendekatan dan
keputusan yang sangat efektif dan efesien dalam usaha mengekang wabak ini daripada terus
menular dalam negara.

13 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Perkara ini diakui Pusat Penyelidikan Covid (PPC), pusat yang bernaung di bawah Kumpulan
Muzium Warisan Asia dan dianggotai tujuh tokoh daripada golongan profesional, akademik,
politik serta keselamatan. Bagaimanapun, PPC menegaskan kerjasama dan sokongan daripada
rakyat amat diperlukan untuk memastikan tindakan dilaksanakan kerajaan menangani COVID-19
dapat menjamin kelangsungan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat. “Tiga komponen utama
dilaksanakan kerajaan untuk mengendali dan mengurus ancaman COVID-19 berjalan dengan baik
dan lancar setakat ini iaitu pencegahan, pembendungan dan kawalan. “Ia satu keputusan, tindakan,
langkah yang tepat dan betul serta harus dipuji,” kata PPC dalam satu kenyataannya. PPC diketuai
Pengarahnya, Dr K K Tan.

Langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menggembleng tenaga polis, tentera dan
pasukan keselamatan lain harus dipuji kerana ia mampu mengawal pergerakan orang awam dan
menghindar COVID-19 dari terus merebak. Kata kenyataan itu, walaupun PKP menelan kos yang
tinggi dan memberi kesan kepada ekonomi, ia adalah langkah paling sesuai dan perlu untuk
dilakukan bagi membendung penularan COVID-19. Tambah kenyataan itu lagi, langkah
menggalakkan rakyat memakai penutup hidung dan mulut, melakukan ujian saringan bagi
mengesan jangkitan, membasuh tangan dengan betul dan mengamalkan gaya hidup sihat turut
berkesan untuk berdepan dengan wabak berkenaan. Dalam pada itu, rakyat digesa mengubah gaya
hidup seperti mengelak pembaziran dan pencemaran. Ia tidak sepatutnya menjadi satu amalan lagi.
Pendekatan dan cara hidup kita mesti berubah atau kita semua akan membinasakan bumi satu hari
nanti. “COVID-19 adalah amaran yang menggegarkan dunia supaya manusia mula berfikir dan
melakukan sesuatu perkara dengan betul. “Jika kita mengabaikan amaran ini, ia akan
membahayakan diri kita sendiri pada masa depan,” katanya kenyataan itu. (Mohd Anwar Patho
Rohman; BH Online; 9 April 2020)

LANGKAH PENCEGAHAN

Allah SWT berfirman, yang bermaksud: Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke
dalam bahaya kebinasaan…” ( Al-Baqarah: 195). Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang: maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit

14 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

seperti mana kamu lari daripada singa.” Sahih Al-Bukhari (5707). Pepatah Melayu berbunyi:
"Mencegah lebih baik daripada mengubati"

Pada 23 Januari 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan
Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) terima laporan tiga kes (dua di Sabah dan 1 di Selangor).
Ia merupakan laporan pertama kes COVID-19 di Malaysia, Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga
kes ini adalah negatif. Pada 25 Januari 2020, KKM mengesahkan tiga pesakit positif COVID-19
ialah warganegara China.

Antara langkah awal bagi pencegahan penularan wabak ini, ialah menggerakkan kempen berikut:

Kebersihan diri dan rumah. Digalakkan kerap basuh tangan dengan betul dengan menggunakan
sabun atau pencuci tangan. Selalu mandi terutama apabila balik daripada melakukan urusan di luar
rumah. Pakaian yang dipakai di luar rumah perlu segera dibasuh sejurus sampai di rumah. Dalam
rumah digalakkan buat sanitasi atau penyahan kuman sendiri dengan menggunakan cecair
pembasmi kuman.

Ketahanan Diri. Meningkatkan ketahanan diri dengan mengamalkan pengambilan makanan
tambahan atau suplemen seperti vitamin C.

Memakai Pelitup Muka, terutama ketika keluar dari rumah ketika berinteraksi dengan orang lain.

Penjarakan Sosial. Mengamalkan penjarakan sosial 1 meter. Amat penting terutama ketika
berada di tempat awam bagi mengelakkan sentuhan dengan orang lain.

Jauhi Perkara Berikut: Perkara yang boleh rendahkan ketahanan diri seperti merokok, tidak
cukup tidur dan tekanan.

15 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

LANGKAH PEMBENDUNGAN

Apabila berlaku peningkatan kes baharu COVID-19 dan terdapat penambahan kes kematian pada
setiap hari, maka tindakan pembendungan dilakukan dengan lebih agresif dan berstrategi serta
berfokus. Antara tindakan awal kerajaan dalam langkah pembendungan ialah:

Isolasi Pesakit. Dalam usaha membendung penularan wabak ini, langkah paling penting adalah
mengenalpasti pesakit yang dijangkiti dengan cepat agar pesakit diasingkan daripada orang sihat
dan diberi rawatan khusus.

Lakukan Saringan. Saringan perlu dibuat di pusat kesihatan atau hospital bagi orang yang
mempunyai "kontak rapat" dengan kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari. Kontak rapat ini
perlu diuji sama ada dia menunjukkan gejala atau pun tidak. Selain daripada itu, orang yang
menunjukkan gejala demam, batuk, selesema atau jangkitan pernafasan akut atau telah membuat
perjalanan ke negara yang terdapat kes pandemik ini dalam masa 14 hari.

Kuarantin Diri. Bagi mereka yang baru pulang dari negara terkesan, mereka perlu kuarantin diri
selama 14 hari berturut-turut di rumah masing-masing. Kuarantin dilakukan setelah membuat
pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik dan atas nasihat doktor.

LANGKAH KAWALAN

Hampir tiga bulan selepas kes pertama positif COVID-19 di Malaysia, barulah kerajaan membuat
beberapa tindakan bagi mengawal penularan wabak ini, Antara langkah kawalan, ialah:

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerajaan menguatkuasakan PKP bagi mengekang
penularan dan menghentikan wabak ini daripada terus merebak dan membawa kesan buruk kepada
manusia dan negara. Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020
telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ianya akan bermula pada 18 Mac

16 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

2020 selama 14 hari dan akan berakhir pada 31 Mac 2020. Hal ini berikutan kenaikan secara
mendadak jumlah kes COVID-19 di Malaysia.

Pada 17 Mac 2020 jumlah kes telah menjadi 673 kes. Ekoran daripada perintah ini, semua sekolah
dan, universiti diarahkan tutup dan pelajar diminta untuk pulang ke rumah masing-masing. Berlaku
kebanjiran para pelajar di lapangan terbang, terminal bas, stesyen ERT dan LRT kerana para
pelajar bergegas untuk pulang ke rumah masing-masing. Sebelum itu para pelajar berbondong-
bondong ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Balai Polis
bagi mendapatkan surat kebenaran bagi merentas negeri.

Yusramizza (2020; Berita Harian Online) menjelaskan PKP tidak boleh dilabelkan sebagai
undang-undang darurat sinonim dengan regulasi ketenteraan. Sebaliknya, ia strategi pengawalan
substantif berteraskan prinsip dan undang-undang kesihatan awam. Undang-undang itu ialah
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di
Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 ditunjangi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit 1988. Seksyen 5 membenarkan Kementerian Kesihatan selaku pihak berautoriti,
mendapatkan bantuan mana-mana agensi kerajaan bagi mengawal atau menguatkuasakan Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan digubal mengikut akta
berkenaan.

Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order)

Nama Perintah
▪ Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order)

Tempoh Masa
▪ Perintah ini berkuatkuasa dari 18 Mac – 31 Ogos 2020

Liputan Kawasan Perintah
▪ Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia

17 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Kuatkuasa Undang-undang
▪ Perintah ini disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
1988 dan Akta Polis 1967

Arahan-arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan
▪ Terdapat enam (6) arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini
iaitu.
▪ Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti
keagamaan, sukan, sosial dan budaya;
▪ Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;
▪ Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara
▪ Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi
pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
▪ Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta Institut
Latihan Kemahiran di seluruh negara; dan
▪ Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan
perkhidmatan penting negara (essential services) (Laman Web MKN)

Kebiasaan Baharu. Dalam mengharungi perjuangan melawan serangan pandemik COVID-19
banyak tindakan atau tingkah laku yang baharu untuk dijadikan standard atau kebiasaan. Gaya
hidup sebelum ini perlu ditinggalkan atau diperhalusi dalam usaha mengadaptasi dengan cara atau
keadaan baharu. Contoh kebiasaan baharu semasa PKP ialah; kekal berada di rumah, bekerja dari
rumah (BDR), mengamalkan kebersihan diri di luar, di rumah dan pejabat, penjarakan sosial, tidak
bersentuhan dengan orang lain; seperti; bersalaman, dilarang solat berjemaah di masjid atau surau,
dilarang bersiar-siar atau membeli belah, larangan bersukan, pembelajaran dan mesyuarat secara
dalam talian, tiada majlis keramaian atau keraian dan lain-lain lagi.

Norma Baharu. Norma baharu ialah peraturan yang diterima atau yang diguna pakai oleh
masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik. Implikasi penularan
pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP menyaksikan banyak perubahan sistem dan gaya kerja
bagi individu atau syarikat sama ada di sektor awam atau pun swasta. Dalam proses menerima

18 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

norma baharu ini, perlu berfikiran positif, kreatif, bertolak ansur dan bersedia menghadapi pelbagai
cabaran, pengubahsuaian dan pengorbanan. Penyesuaian dalam mengadaptasi norma baharu ini
bukan saja membantu menyekat penularan pandemik ini tetapi mendedahkan kepada sesuatu yang
baharu dengan lebih baik dan gaya hidup sihat lagi sejahtera. Pihak MKN, KKM, KPT, universiti,
sekolah dan pelbagai agensi lain mengeluarkan prosedur operasi standard/ standard operating
procedure (SOP) dan pekeliling tertentu sebagai garis panduan atau tatacara untuk makluman dan
tindakan pihak terbabit. Antara contoh, norma baharu ialah; mengisi borang pengisytiharan
kesihatan sebelum ke tempat kerja, pemeriksaan kesihatan dan mencatat maklumat peribadi atau
mengimbas QR Code sebelum masuk ke premis, masa kerja yang fleksibel dan lain-lain lagi.

Bantuan Prihatin Nasional. Rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terjejas
akibat wabak COVID-19 telah menerima dan boleh memohon pelbagai bantuan serta inisiatif yang
digariskan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan. Selain Pakej
Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada 27 Februari, rakyat juga boleh
menikmati pelbagai bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang
diumum Perdana Menteri pada bulan Mac 2020. Kedua-dua pakej yang keseluruhannya berjumlah
RM250 bilion bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi
dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Berikut antara bantuan dan inisiatif di bawah PRIHATIN:

➢ Elaun khas RM600 untuk petugas kesihatan dan perubatan.
➢ Elaun khas RM200 kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan

Pertahanan Awam dan anggota Rela.
➢ Penangguhan bayaran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama enam

bulan.
➢ Pemberian diskaun 15 peratus ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan dua peratus bagi

sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia.
➢ Diskaun tambahan penggunaan kadar elektrik. Kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad

menambah peruntukan RM530 juta untuk memberi diskaun berperingkat antara 15 peratus

19 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600
kilowatt sebulan.
➢ Pelanggan pascabayar dan prabayar akan diperuntukkan internet berkelajuan tinggi secara
percuma, dengan kuota satu gigabait (GB) sehari, sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) berakhir.
➢ Bayaran ‘one-off’ kepada pemandu teksi sebanyak RM600.
➢ Penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) untuk tempoh tiga bulan.
➢ Penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor
pelancongan selama enam bulan.
➢ Moratorium pembayaran pinjaman TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi
kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS.
➢ Kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion.
➢ Kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak
RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani
COVID-19. Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada
Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak,
terutamanya jururawat.
➢ Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130
juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis
COVID19 (UMNO Online, 23 Mac 2020 & BH Online,30 Mac 2020).

Sinergi kerjasama kerajaan, swasta dan NGO. Dalam mendepani krisis, ia bukan sahaja
melibatkan usaha daripada kerajaan semata-mata. Setiap lapisan masyarakat, syarikat-syarikat
swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turut berperanan besar dalam memutuskan rantaian
wabak ini. Beberapa buah hotel sebagai contoh telah menawarkan kepada kerajaan untuk dijadikan
sebagai pusat kuarantin. Malah, telah ada hotel seperti di Cyberjaya telah pun mula memberi
perkhidmatan sebagai pusat kuarantin kepada mereka yang baru pulang dari luar negara. Dinamika
kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan turut jelas apabila mereka melakukan persiapan bagi
menghadapi kemungkinan yang lebih serius. (UMNO Online, 23 Mac 2020).

20 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Pembangunan Aplikasi MySejahtera. Aplikasi MySejahtera dibangunkan kerajaan sebagai
inisiatif pengawasan penularan wabak Covid-19 yang menjadi pandemik dunia. Aplikasi ini
dibangunkan hasil kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU),
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi (MOSTI),

Dua kategori pengguna aplikasi ini iaitu rakyat Malaysia dan warga asing yang menetap di negara
ini. Ia boleh muat turun menerusi Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA),
Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery secara percuma. Maklumat pengguna
akan digunakan untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang dan
melaksanakan tindakan yang sewajarnya. Oleh itu, sikap jujur pengguna semasa menghantar
maklumat memberi impak dalam membantu KKM memutuskan rantaian jangkitan pandemik ini.
Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan kepada pengguna bahawa mereka tidak perlu risau
kerana semua maklumat terpelihara di bawah kerahsiaan maklumat rekod perubatan. Selain itu,
menerusi MySejahtera pengguna boleh mendapatkan bantuan melalui fungsi 'Bantuan Teknikal'.
Melalui lapan langkah saja pengguna berjaya mendaftarkan dan sekali gus membantu kerajaan
untuk memutuskan rantaian Covid-19. (Nabihah Kamal, MyMetro, 6 Mei 2020).

PENAWAR, UBAT & VAKSIN COVID-19

Statistik semasa pandemik COVID-19 di Malaysia memaparkan jumlah kes sembuh (discaj) ialah
7,873 (92.5%) daripada keseluruhan 8,515 kes. Jumlah kematian ialah; 121 (1,42%). (Laman Web
KKM, 17 Jun 2020). Berdasarkan rekod ini menunjukkan kes sembuh jangkitan virus ini amat
tinggi. Ia juga menunjukkan suatu perkembangan positif ke arah kejayaan dalam melawan
pandemik ini.

21 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Para saintis dan penyelidik seolah-olah berada di trek perlumbaan antarabangsa dalam mendahului
penemuan ubat, vaksin dan rawatan untuk pesakit ini. Dengan kemajuan ilmu, penyelidikan,
kepakaran, dan teknologi makmal, kita yakini krisis COVID-19 akan menemui kesudahannya.

Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bekerjasama dalam Kaji Selidik
Solidariti apabila negara ini bersetuju akan melakukan ujian klinikal terhadap empat protokol
rawatan COVID-19. Malaysia perlu mengorak langkah membangunkan sendiri ubat dan vaksin
sebagai persiapan untuk menghadapi kurangnya ketersediaan bekalan penawar ketika wabak
kembali melanda pada masa hadapan. Malaysia bertuah memiliki sumber semula jadi yang
melimpah. Ada kemungkinan besar kita boleh mendapatkan sebatian penawar penyakit daripada
sumber semula jadi di negara kita. Contohnya vancomycin, iaitu ubat antibiotik digunakan bagi
merawat jangkitan bakteria, diekstrak daripada Mikrob Amycolatopsis Orientalis diperoleh dari
hutan Borneo pada 1953. Cara terbaik mengakhiri COVID-19 adalah dengan segera
membangunkan ubat dan vaksin. Kos diperlukan agak tinggi dan mengambil masa agak lama,
tetapi ia pilihan terbaik dibandingkan membangunkan kekebalan kelompok (herd immunity) atau
menunggu virus bertukar ‘jinak’. Masa diperlukan bagi menghasilkan ubat dan vaksin untuk
sesuatu penyakit biasanya antara 10 hingga 15 tahun. Masa panjang diperlukan untuk memastikan
ubat dan vaksin memiliki keberkesanan tinggi serta selamat digunakan. Bermula pembuatan
sebatian di makmal, disusuli pengujian sebatian pada sel dan haiwan percubaan. Proses ini
mengambil masa antara empat hingga lima tahun. (Bimo Ario Tejo, BH Online,16 April 2020).

Para pengamal perubatan alternatif dan tradisional juga turut berusaha mencari penawar pandemik
ini, Setiap penyakit ada ubat dan penawarnya. Bukankah al-Quran dan madu juga penawar bagi
setiap penyakit! Bukankah Allah itu Tuhan Yang Maha Penyembuh (Asy-Syaafi).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran yang menjadi
penawar dan rahmat bagi orang beriman.” (Al-Isra’: 82)

Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah
Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka
berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.” (Abu Daud)

22 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Allah tidak
menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” (Bukhari)
Usamah ibnu Syarik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Berubatlah kalian wahai hamba
Allah, kerana Allah SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan ubat bersamanya kecuali
satu penyakit, iaitu tua. (Ibn Majah).

Sayyiditina Aisyah r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bijirin hitam
(habbah al-Sauda') ini adalah penawar segala penyakit, kecuali kematian" (Al-Bukhari)

SERANGAN COVID-19 DALAM KETIDAKSTABILAN EKONOMI DAN POLITIK
MALAYSIA

Majoriti rakyat di negara ini dilihat tidak begitu yakin terhadap keadaan ekonomi Malaysia
sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lagi. Menurut kaji selidik suku
tahun pertama 2020 oleh EMIR Research, hanya 19 peratus responden merasakan ekonomi negara
berada pada tahap kukuh, berbanding 36 peratus yang merasakan sebaliknya, manakala 45 peratus
lagi tidak pasti. “Angka ini diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKP, dan sama ada kita dapat
melihat keyakinan rakyat terhadap ekonomi meningkat, adalah bergantung kepada kejayaan
kerajaan dalam mengawal pandemik COVID-19, serta keberkesanan strategi keluar untuk
memulakan semula ekonomi negara,” menurut kajian itu lagi. EMIR Research berkata, sebanyak
2,002 responden menyertai kaji selidik itu bermula antara 15 Januari hingga 24 Februari, dan
mereka terdiri daripada rakyat Malaysia di kesemua 14 negeri dan wilayah. Firma itu menyebut,
analisa kaji selidik itu adalah relevan sewaktu Pakatan Harapan masih memerintah dalam tempoh
yang dinyatakan. Dalam pada itu, EMIR Research berkata, sebelum COVID-19 melanda negara,
84 peratus kaum Melayu dan Bumiputera sudah merasakan negara tidak berada pada landasan
yang betul, atau tidak pasti mengenainya. Angka juga menunjukkan sentimen yang sama dirasakan
oleh kaum Cina (68%) dan kaum India (72%). “Ketidakpuashatian dalam kalangan Melayu dan
kaum Bumiputera lain, telah menyediakan peluang kepada parti politik Melayu yang merasakan
ia merupakan masa yang tepat untuk merancang plot bagi kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan.
“Dan akhirnya ia menjadi kenyataan apabila timbul krisis politik susulan perletakan jawatan Tun

23 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Tanda-tanda itu sudah kelihatan,” kata firma itu
lagi. Selain itu, EMIR Research berkata, Indeks Kepuashatian Kerajaan (GSI), menunjukkan
kejatuhan kepada 0.43 mata untuk suku tahun pertama tahun ini, berbanding 0.53 pada suku tahun
sebelumnya (Firdaus Azil, Astro Awani, 13 Jun 2020).

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) yang dibuat demi keselamatan rakyat keseluruhannya agar matlamat memutuskan rantaian
virus COVID-19 di negara ini tercapai memberi kesan yang besar. Ahli Majlis Kerja Tertinggi
UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang memetik laporan Jabatan Statistik berkata
sekiranya kadar pengangguran 3.5 peratus, bermakna lebih 600 ribu orang tiada pekerjaan di
negara ini. “Harga minyak jatuh. Harga kelapa sawit jatuh. Pelabur asing lari. Pelancongan jatuh
dan ketidaktentuan politik memburukkan lagi keadaan,” katanya hari ini. Menurut kajian, jelasnya,
walaupun kerajaan menawarkan pelbagai insentif termasuk subsidi gaji kepada pekerja, banyak
perusahaan tidak memohon dan memutuskan untuk menutup terus perniagaannya serta tidak
sanggup menanggung kerugian yang berterusan. “Ia mencemaskan. Tak mungkin ada solusi
mudah sekiranya kita terus berbalah antara satu sama lain”. Katanya, hotel, restoran, agen
pelancongan dan syarikat-syarikat minyak dan gas ditutup atau menghentikan operasi dengan bas-
teksi tiada pelanggan. “Semua memberi kesan berganda hingga ke akar umbi. Sewaktu PKP
pertama bulan Mac dulu, ia seperti dapat cuti dua minggu tapi kini ramai sedar itulah hari terakhir
mereka bekerja. “Rata-rata rakyat Malaysia tidak bersedia dari segi kewangan untuk berhadapan
zaman kemelesatan yang berpanjangan”. (UMNO Online, 1 Jun 2020).

Dalam kekalutan melawan COVID-19 dunia, Malaysia digemparkan juga dengan pergolakan
politik dengan terbitnya kenyataan media mengejut daripada Pejabat Perdana Menteri yang
menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan pada Selasa 24 Februari 2020.
Berita itu disusuli kemudiannya oleh siaran media Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan parti itu keluar secara rasmi daripada
gabungan PH manakala Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali pula dipecat daripada partinya dan ironinya beliau turut secara rasmi menyatakan
membawa keluar bersamanya 10 ahli Parlimen PKR menjadi ahli Parlimen Bebas. Kejatuhan
susulan empat kenyataan yang hampir serentak dan mengejutkan negara itu, parti PH tidak lagi

24 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus membawa kepada kejatuhan sebuah kerajaan
yang memerintah tidak sampai satu penggal. Menjelang senja hari sama, Ketua Setiausaha Negara,
Datuk Seri Mohd Zuki Ali memberikan kenyataan media bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan semua tugas
jemaah menteri dan anggota pentadbirannya (Sinar Harian, 26 Februari 2020).

Apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, maka wujud kekosongan dan
ia tidak boleh diganti secara automatik oleh Timbalan Perdana Menteri. Ini kerana dalam keadaan
sekarang Perdana Menteri meletakkan jawatan secara mengejut di bawah pentadbiran kerajaan
minoriti. Ini berbeza dengan situasi peralihan kuasa sebelum ini yang menyaksikan kerajaan
mendapat sokongan majoriti yang kukuh, tiada parti keluar daripada gabungan parti pemerintah
dan tidak timbul pertikaian siapa yang akan menggantikan Perdana Menteri. Dalam situasi
sekarang, Perdana Menteri sudah meletakkan jawatan dan pengganti tidak boleh dilantik
menggantikannya kecuali mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan sokongan
majoriti ahli Dewan Rakyat. Ketika ini, YDPA bertindak seolah-olah penggal Dewan Rakyat
sudah berakhir dan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti dengan kuasa budi bicara baginda
boleh dilantik sebagai Perdana Menteri. (BH Online, 24 Februari 2020). Pada 29 Februari 2020,
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini
berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan.

KEHIDUPAN HARIAN PELAJAR DALAM PKP DI KAMPUS

Dalam pengurusan pelajar dan staf UiTM yang turut sama mendepani serangan pandemik ini,
Pekeliling Naib Canselor UiTM bertarikh 16 Mac 2020 menyatakan Arahan Pelaksanaan Sesi
Penyampaian Dan Pembelajaran Secara Dalam Talian. Pada tarikh yang sama Rektor UiTM
Cawangan Pahang mengeluarkan Pekeliling sebagai panduan kepada semua staf dan pelajar dalam
menangani penularan wabak ini.

YAB Perdana Menteri pada 17 Mac 2020 mengeluarkan arahan agar semua pelajar perlu pulang
ke rumah masing-masing dan mengosongkan kampus, maka situasi menjadi sedikit kelam kabut.
Para pelajar UiTM Cawangan Pahang dalam keadaan panik, bergegas meninggalkan kolej.

25 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Langkah pertama arahan ialah perlu mendapatkan surat kebenaran pihak polis di Balai Polis,
Bandar Tun Abdul Razak Jengka atau IPD Raub mengikut lokasi pelajar. Keadaan ini menjadikan
Balai Polis dan IPD sesak dengan kehadiran para pelajar dan masyarakat sekitar. Fenomena
perhimpunan dan kebanjiran para pelajar secara tidak disedari di Balai Polis & Jengka Central di
Bandar Tun Abdul Razak Jengka dan IPD Raub & Terminal Bas Raub ini memberi impak yang
sangat negatif, khususnya dalam usaha menyekat rantaian penyebaran virus ini. Akhirnya pada
malam itu juga, para pelajar tidak memerlukan lagi surat kebenaran pihak Polis untuk balik ke
rumah masing-masing. Justeru, keesokannya ramai pelajar yang keluar meninggalkan kampus; ada
yang balik berkenderaan sendiri, bersama keluarga, menguruskan bas sewa dan dengan kenderaan
awam.

Pada hari yang sama juga Naib Canselor UiTM mengeluarkan dua pekeliling; (a) Arahan
Penangguhan Seluruh Operasi Perkhidmatan UiTM Sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan dan Mengenai Penyampaian dan Pembelajaran Pelajar; (b) Arahan Pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan Mengenai Hal Ehwal Staf Mulai 18-31 Mac 2020. Berdasarkan
kedua-dua pekeliling, tindakan lanjut ialah penutup sementara semua operasi UiTM, penjadualan
semula kalendar akademik dan pengwujudan Bilik Gerakan Operasi COVID-19.

Pada 18 Mac 2020 sekali lagi Perdana Menteri membuat pengumuman antaranya pelajar yang
masih berada dalam kampus untuk terus kekal berada dalam kampus dan tidak dibenarkan lagi
pulang ke rumah masing-masing. Bahagian Hal Ehwal Pelajar Cawangan Pahang, turut mendapat
arahan daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar untuk mengenalpasti bilangan
para pelajar yang masih tinggal di kolej kediaman dan di rumah rumah sewa, luar kampus. Pada
pukul 9 malam itu juga satu operasi bancian pelajar diadakan. Gerakan bancian ini dijalankan oleh
semua Staf Residen Kolej (SRK), ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan ahli Jawatankuasa
Perwakilan Kolej yang masih tinggal. Dapatan bancian pelajar yang tinggal ialah di kolej siswa,
Kampus Jengka; 160 orang dan di Kolej siswi; 210 orang manakala di UiTM Kampus Raub, ialah;
114 orang (58 siswa dan 56 siswi).

Bermula 18 Mac 2020 inilah para pelajar yang tidak sempat balik, perlu kekal berada di kolej
kediaman. Implikasinya sedikit sebanyak membawa kepada gangguan emosi dan mental para

26 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

pelajar. Ini kerana keinginan mereka untuk pulang terhalang dalam keadaan ramai rakan mereka
sudah dapat pulang ke rumah. Keluarga dan waris pelajar juga turut terkesan dalam situasi begini.
Saban hari, terlalu ramai para pelajar memohon untuk pulang. Pihak BHEP dan SRK juga kerap
dihubungi keluarga pelajar untuk membawa mereka pulang. Ditambah pula kehidupan di kampus
tiada sebarang aktiviti yang boleh dilakukan. Di awal PKP ini, para pelajar perlu menempuh
kebiasaan baharu dan norma baharu dalam kehidupan.

Di fasa pertama PKP, sebagai Timbalan Rektor HEP saya berinteraksi dengan para pelajar secara
bersemuka selain berkomunikasi melalui pelbagai platform media sosial, antara FB, IG dan
whatsapp. Saya sempat mencoretkan sebuah warkah buat mereka sebagai nasihat dan panduan
dalam menyelusuri liku-liku kehidupan dalam PKP yang tidak pasti penghujungnya. Berikut
adalah catatan tersebut:

CORETAN BUAT MAHASISWA UiTM CAWANGAN PAHANG

Assalamualaikum wbt,

Yang saya kasihi anak-anak; para pelajar UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Kampus
Raub yang berada di kolej. Didoakan semoga semua sihat walafiat dan dalam rahmat Allah SWT
di samping menjalani kehidupan dan melakukan aktiviti yang tidak seperti mana dilakukan
sebelum ini.

Anak-anak yang dikasihi semua, hari ini ialah hari ke-6 kita berada dalam arahan Perintah Kawalan
Pergerakan. Segala aktiviti dan pergerakan serta perjalanan hidup rakyat Malaysia tidak seperti
rutinnya. Kita akur dengan arahan Kerajaan bagi menyekat penyebaran dan penularan virus
COVID-19. Inilah salah satu mekanisme ikhtiar yang dapat mengelakkan diri, keluarga, rakan dan
negara kita daripada menjadi mangsa amukan dan keganasan COVID-19.

Di kala kita menempuh asakan pandemik COVID-19 ini, negara kita yang belum pernah
menempuh ujian sehebat ini. Ianya merupakan suatu jentikan peringatan Allah SWT kepada kita.
Inilah nasihat dan pesanan saya kepada semua yang berada di kolej kediaman;

27 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

a) Tingkatkan ibadah kita kepada Allah SWT. Inilah masa yang terbaik untuk kita melakukan
solat fardhu seawal waktu. Banyakkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, baca al-
Quran, zikir dan sebagainya. Amal ibadah inilah sebagai ubat dan vitamin untuk rohani
kita yang akan membawa ketenangan dan kebahagiaan hati, lebih-lebih lagi dalam
menghadapi krisis sebegini;

b) Isi masa dan ruang yang ada dengan menambah ilmu, menggilap kemahiran insaniah dan
mengasah kreativiti. Tambah ilmu melalui pembacaan buku, diskusi bersama rakan dengan
mematuhi 1 meter penjarakan sosial dan penerokaan alam maya. Mengoptimum kekuatan
mental untuk menghasilkan inovasi, karya ilmiah dan seni, seperti puisi, sajak dan lirik
lagu;

c) Perlu sentiasa peka terhadap info dan arahan terkini daripada Pengurusan Tertinggi UiTM.
Arahan dan info akan dikeluarkan dari masa ke semasa;

d) Kekalkan penjagaan kesihatan. Klinik di kampus akan terus beroperasi sepanjang waktu
bekerja;

e) Elakkan pembaziran makanan percuma yang disediakan;
f) Laku dan teruskan senaman dan riadah yang sesuai di kolej;
g) Pengurusan Tertinggi UiTM, SRK, UPK, Polis Bantuan, staf-staf merupakan ibu ayah

kalian ketika ini. Segala keperluan kebajikan, kesihatan, keselamatan akan kami urus dan
sediakan;
h) MPP dan JPK sentiasa bersama kalian.
i) Gunakan keajaiban doa, zikir dan sedekah untuk mengelakkan bala bencana ini lebih parah.

Dalam kondisi semacam gawat sebegini, teruskan bersyukur kepada Allah SWT kerana musibah
yang kita hadapi ini tidak sedahsyat dan seteruk ujian yang dihadapai oleh saudara kita di Palestin,
Syria, Iraq, Uighur dan lain-lain. Kita bukan dalam sebuah negara perang yang konfliknya sudah
berpuluh tahun, tidak tahu bila penghujungnya. Kita masih ada bekalan makanan, minuman, ubat-
ubatan dan akses maklumat dan komunikasi yang baik lagi.

28 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Harapan saya agar semua pelajar pandai mengurus jiwa, emosi, mental dan fizikal agar kekal
tenang dan baik. Usah difikirkan yang bukan-bukan yang boleh menganggu emosi dan kesihatan
kita. Di luar sana; keluarga dan rakan kita juga menempuh situasi yang sama dan mereka sentiasa
mendoakan kita.
Akhirnya pesanan saya.. BAHAGIA itu kita yang usahakan, salah teknik kita yang DERITA.
Yang menjalankan amanah,
DR FAUZI BIN AZMI
Timbalan Rektor HEP
UiTM Cawangan Pahang
23 Mac 2020 (Isnin) / 9.40am

29 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

BANTUAN KHAS PELAJAR DALAM PKP

Bagi para pelajar yang terkandas dalam kampus dan menyewa rumah di luar kampus yang tidak
sempat balik ke rumah masing-masing di awal PKP, maka kerajaan dan UiTM memberikan
bantuan khas kepada mereka, antara bantuan itu ialah;

➢ Bantuan BPN sebanyak RM200 dalam kalangan B40.
➢ Bantuan Pembelian Data Internet sebanyak RM30.
➢ Makanan dan minuman percuma, 3 kali sehari sepanjang 56 hari.
➢ Bantuan makanan kering (beras, tepung, gula dan lain-lain) untuk keperluan memasak bagi

pelajar yang tinggal di luar kampus.
➢ Bantuan Zakat melalui Unit Zakat, Wakaf & Sedekah UiTM Cawangan Pahang sebanyak

RM100 dalam kalangan B40.
➢ Bantuan wang kepada para pelajar yang sedang menjalani latihan industri di luar

daerah/negeri, yang terkandas di rumah sewa mereka. Bantuan wang diberi mengikut kes
dan situasi. Bantuan maksimum sebanyak RM500 seorang,
➢ Staf Residen Kolej dan staf Unit Pengurusan Kolej berkerja 24 jam sehari dan tujuh (7)
hari seminggu.
➢ Klinik Kesihatan dalam kampus beroperasi seperti biasa.
➢ Khidmat Kaunseling secara bersemuka atau maya. Unit Kerjaya dan Kaunseling, BHEP
menjalankan saringan ‘Minda Sihat’ kepada semua pelajar di dalam dan luar kampus bagi
mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah kemurungan, kebimbangan dan stres
serta masalah peribadi lain untuk dirujuk terus kepada kaunselor.
➢ Talian internet laju dalam kampus.
➢ Tambang percuma untuk balik ke rumah semasa Operasi Penghantaran Pelajar Pulang.
Penghantaran menggunakan bas, van dan kapal terbang.

Selain bantuan kerajaan dan UiTM, pelbagai pihak luar juga turut menyumbang kepada para
pelajar, seperti barang keperluan asas harian (ubat gigi, sabun & tuala wanita), makanan ringan
(biskut, roti, air minuman, snek, pek mi segera) dan sebagainya.

30 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Secara umumnya aspek kebajikan para pelajar sangat terjaga dan diuruskan dengan baik lagi
profesional. Majoriti pelajar berpuas hati, bersyukur dan sangat berterima kasih kepada UiTM dan
kerajaan.
PENUTUP

Segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan keselamatan,
kesejahteraan, kesihatan dan dijauhi daripada jangkitan COVID-19 kepada warga UiTM
Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Kampus Raub, khasnya para pelajar selama 56 hari
keberadaan mereka dalam kampus. Sesuatu yang sangat dibimbangi oleh pihak pengurusan UiTM
ialah sekiranya wujud kluster baharu COVID-19 yang muncul dari UiTM.

56 hari dalam kampus bukanlah mudah, lebih-lebih lagi berada dalam krisis dan kegawatan
serangan wabak secara global. Ketidaktentuan berita, naik turun emosi pelajar, ketidak seragaman
dalam memahami dan menginterprestasi sesuatu SOP, pelan tindakan yang berubah-ubah di saat
akhir juga sangat memainkan peranan dalam mengharungi senario ini dan kestabilan emosi semua
yang terlibat. Dengan persiapan dan bekalan rohani, emosi, mental dan fizikal yang diberikan
kepada para pelajar seawal PKP sehinggalah mereka meninggalkan kampus, Alhamdulillah,
mereka dapat mengharunginya dengan baik dan sejahtera. Tiada kes yang membimbangkan dan
tidak diingini berlaku.

Kita mengharapkan tempoh perjuangan 56 hari dalam kampus banyak memberi pelajaran,
pendidikan dan pengajaran kepada para pelajar dalam aspek pengurusan diri dan organisasi,
khususnya dalam mendepani situasi genting sebegini. Banyak elemen dan nilai positif diterapkan
dalam tempoh ini. Pengalaman 56 hari dalam kampus merupakan catatan sejarah dan lakaran
warna kehidupan yang pasti sukar dilupai oleh mereka.

Selain kejayaan lahiriah yang kita perolehi dalam menangani wabak ini. Kita mengharapkan juga
ganjaran daripada Allah dalam tempoh ini dengan amalan baik yang kita lakukan seperti menolong
orang lain, memberi bantuan, mengorbankan masa dan tenaga serta sabar dan reda menghadapi
ujian dariNya. Kejayaan di dunia, kita lepas daripada bahaya COVID-19 dan kejayaan di akhirat,
kita selamat daripada azab api neraka.

31 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Telah berlalu dua minggu
Tempoh PKP yang penuh berliku
Di awal perintah semua terkedu
Siswa dan siswi asyik mengadu
Ada yang menangis tak berlagu

Meraung-raung sambil merayu
Tangisan bagai ombak menderu-deru

Dah hilang raut wajah yang ayu
Yang penting dapat balik kepangkuan ayah ibu

Mak ayah telefon bertalu-talu
Marah-marah kita, tanpa segan silu
Nak juga dibawa balik anak yang satu
Diberi penjelasan, semuanya diam kaku

Mata terkebil-kebil, lidah kelu
Akur juga dengan arahan terdahulu
Akhirnya memohon maaf bagi yang berhati tisu

Ada juga kekal membatu
Terima kasih kepada semua staf yang bekerja sepanjang waktu

Terutama Staf Residen Kolej (SRK) yang bersatu
Menjaga siswa siswi bagai seorang ibu

Segala kebajikan dan keselamatan ditengok satu-satu
Dilayan siswa siswi bagai sang ratu
Walaupun sangat letih dan lesu,

senyum berkuntum bak bunga tak layu
Alhamdulillah, ucapan daripada kalbu
Teruskan munajat kepada Allah Yang Satu
Hanya kepada-Nya tempat mengadu
Segala permintaan kepada-Nya dituju
Hajat kita pasti dimakbul, cuma masanya belum tentu.
Agar diberi kekuatan menempuh PKP ke-2 Fasa Baru

Fauzi Azmi
01/04/2020 (Rabu) / 10.00am

UiTM Kampus Jengka

32 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

ISOLASI & KUARANTIN

Sangat tepat pendirian Nabi
Bila wabak menular dalam satu negeri

Perlu dihentikan migrasi
Sekat mobaliti
Hadkan aktiviti

Pesakit-pesakit diisolasi
Kuarantin bagi yang disyaki
Perintah Berkurung sebagai benteng diri
Jangan dibiarkan diri ke lokasi
Yang tinggi risiko dan potensi
Kawasan bersih perlu dipagari
Sangat hebat formulasi Nabi
Diikuti oleh pakar perubatan masa kini
Pencegahan lebih baik dari diubati
Usaha dan tawakal perlu selari
Qadak dan Qadar sebagai paksi
Usaha pencegahan itu mesti
Jangan dibiar saja, terserah apa nak jadi
Tak kisah hidup atau mati
Tawakal itu bukan berdiam diri
Sekadar berdoa dengan air mata membasahi pipi
Tawakal tanpa usaha itu dikeji

Itu bukan ajaran Nabi
Perintah berkurung wajib dipatuhi
Kalau tidak, penyakit cepat dijangkiti
Duduklah di rumah bersama anak isteri
Syukurilah kita ada rumah untuk didiami
Ada orang tiada tempat berteduh dari panas mentari

Yang degil perlu diajari
Dengan denda atau tangan digari
Atau rotan dengan ekor ikan pari
Terus sumbat ke dalam tembok besi

Musibah ini perlu disedari
Perlu dinsafi
Perlu ditangisi

Nikmat, jangan dikufuri
Ini semua amaran ilahi

Fauzi Azmi
31/03/2020 (Selasa) / 08.00am

UiTM Kampus Jengka

33 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

ELAK ENDEMIK, EPIDEMIK & PANDEMIK

Nabi telah membuat peringatan
Dua nikmat yang sering dilupakan

Lapang dan kesihatan
Kedua-dua ini sebenarnya ujian
Bila ditarik Allah baru perasan
Selama ini kurang kesyukuran

Atau sering dalam kelalaian
Atau dalam kealpaan
Atau dalam kekufuran

Sebelum ini bebas bertebaran
Boleh makin angin di jalan
Hingga boleh terbang bagai angkasawan

Buat kerja rutin harian
Keluar-masuk rumah tanpa sekatan

Berbual-bual tanpa sempadan
Sekarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan

Memang perit untuk ditelan
Bertabahlah untuk keselamatan
Demi penjagaan diri, keluarga dan watan
Penjagaan kesihatan perlu ditingkatkan
Kesihatan diri dan keluarga jadi keutamaan
Pandemik Covid-19 amat menakutkan
Angka kematian meningkat berterusan
Wabak Endemik jangan dilupakan
Epidemik juga perlu terus diberi perhatian
Aspek makanan, kesihatan dan kebersihan

Mesti dalam pantauan
Tiada budi bicara dan perundingan

Biarpun sampai bergaduhan
Pihak bertanggungjawab perlu ketegasan

Biar semua terdidik ikut peraturan
Sekarang kita hanya ada empat penempatan

Di rumah, penjara, hospital atau kuburan
Manakah kita punya pilihan?

Masing-masing boleh bagi jawapan…

Fauzi Azmi
29/03/2020 (Ahad) / 10.00am

UiTM Kampus Jengka

34 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

BAB 3
TANGGUNGJAWAB PERGURUSAN DALAM PKP

MOHD ROZAIMY BIN RIDZUAN
Seperti tahun-tahun sudah, banyak program akademik mahupun ko-kurikulum telah dirancang
bagi memastikan kehadiran dan ketampakan UiTM Cawangan Pahang ini dirasai oleh masyarakat
setempat dan negara. Antara program-program yang telah dirancang oleh pihak pengurusan
tertinggi UiTM Cawangan Pahang pada bulan Mac 2020 termasuklah Ekspo Selangkah Ke UiTM
di Dataran Raub (yang dijadualkan diadakan pada 14 dan 15 Mac 2020), program RECCE (15
Mac 2020), Program Save Our Rainforest Race (28 Mac 2020), Karnival Blue Ribbon 3.0 (14 dan
15 Mac 2020), Amanat Rektor 2020 (19 Mac 2020) dan banyak lagi. Kesemua program-program
yang dinyatakan terpaksa ditunda pada satu ketetapan tarikh dan masa yang akan dimaklumkan
semula kerana jumlah kes penularan wabak COVID-19 di Malaysia semakin meningkat,
terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan kontak rapat dengan kluster tabligh pada ketika itu.
Oleh itu, pihak pengurusan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) yang diketuai oleh Prof Ts.
Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang telah membuat keputusan secara
pantas dan bertanggungjawab demi memastikan warga kampus terus berada dalam keadaan yang
selamat. Informasi berkenaan dengan penangguhan program telah terus disampaikan kepada
masyarakat dan khalayak yang terlibat.

Antara Program Yang Ditangguhkan oleh Pihak Pengurusan UiTM Cawangan Pahang

35 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Mesej dan informasi berkaitan dengan jumlah kes COVID-19, cara-cara menangani penularan
wabak, nasihat mengenai pencegahan wabak dan sebagainya sudah mula dipanjangkan dari satu
kumpulan WhatsApp ke kumpulan WhatsApp yang lain. Hal ini kerana wabak ini semakin
mengganas tersebar di Malaysia dan lebih banyak lagi kes akan meningkat sekiranya langkah-
langkah pencegahan awal tidak diambil oleh rakyat Malaysia dan warga UiTM Cawangan Pahang
khasnya. Walaubagaimanapun, sesi kuliah di kedua-dua cawangan (Jengka dan Raub) tetap
berjalan dengan mengambil pendekatan berjaga-jaga dan sentiasa mendengar arahan daripada
pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang dan juga kerajaan Malaysia.

Awal Mac 2020, tatkala sesi kuliah rancak berlangsung, satu dunia mendapat satu perkhabaran
baharu daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mengesahkan bahawa wabak COVID-
19 tersebut telahpun bertakhta menjadi pandemik dan bukan lagi endemik mahupun epidemik.
Maka, rancaklah perbualan mengenai maksud pandemik di media sosial, dada akhbar dan
termasuklah perbincangan di dalam dewan kuliah.

Pekeliling Demi Pekeliling Dikeluarkan Buat Warga Kampus

Sebenarnya, begitu banyak peranan dan tanggungjawab yang telah dimainkan oleh pihak
pengurusan UiTM Cawangan Pahang demi memastikan warga kampus (pelajar dan staf) selamat
daripada dijangkiti virus COVID-19. Kebanyakan punca kuasa dan garis panduan yang menjadi
asas kepada pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang untuk membuat langkah-langkah
keselamatan membendung COVID-19 adalah datangnya daripada pekeliling-pekeliling yang
dikeluarkan oleh Naib Canselor dan juga Kerajaan Malaysia. Namun, pihak pengurusan UiTM
Cawangan Pahang perlu sentiasa bersedia membuat keputusan bagi membolehkan pekeliling-
pekeliling yang dikeluarkan oleh Naib Canselor dan Kerajaan Malaysia itu diadaptasi dalam
kontek sebenar Kampus Jengka dan Raub. Keputusan yang wajar juga perlu diambil agar segala
garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang tidak bercanggah
dengan punca kuasa yang telah dinyatakan tadi.

Pada 15 Mac 2020, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM Cawangan Pahang
telahpun menasihatkan kepada semua warga kampus agar menangguhkan semua lawatan

36 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

akademik dan aktiviti pelajar di luar kampus. Rektor UiTM Cawangan Pahang pula telah
mengeluarkan satu pengumuman dengan meminta agar semua sesi pengkuliahan dilakukan secara
pembelajaran fleksibel/maya dan secara atas talian. Untuk kelas makmal dan bengkel yang
melibatkan jumlah pelajar melebihi 10 orang juga perlu ditangguhkan. Arahan ini berkuatkuasa
mulai 16 Mac 2020 sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Selain itu, Pekeliling Rektor
Bilangan 2 Tahun 2020 bertajuk “Tindakan Bagi Menangani Penularan Wabak Coronavirus 2019
(COVID-19) di UiTM Cawangan Pahang” dikeluarkan pada 16 Mac 2020.

Pekeliling tersebut menyatakan bahawa semua sesi kuliah mahupun ujian perlu dijalankan secara
fleksibel / atas talian mengikut jadual sedia ada. Selain itu, para pelajar yang belum pulang ke
kampung halaman dibenarkan untuk mengikuti sesi kuliah secara maya dari asrama pelajar dan di
kampung halaman masing-masing. Infografik juga telah dikeluarkan oleh Pejabat Rektor bagi
memberikan kefahaman kepada warga kampus dengan lebih mudah dan menarik. Selepas itu, satu
persatu makluman penting dikeluarkan oleh pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang
bagi memastikan keadaan di kampus sentiasa berada dalam keadaan selamat dan bebas dari
COVID-19.

Satu lagi pengumuman yang dibuat oleh Rektor berkaitan dengan penutupan perpustakaan UiTM
Cawangan Pahang disepanjang tempoh 17 Mac sehingga 12 April 2020. Walaubagaimanapun,
warga kampus masih lagi boleh melayari perkhidmatan Perpustakaan Digital di pautan yang telah
disediakan oleh pihak Perpustakaan. Pemakluman mengenai Kawalan Penularan COVID-19
UiTM Cawangan Pahang juga dikeluarkan pada 16 Mac 2020 bagi memberi makluman kepada
pelajar dan ibu-bapa tentang langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh pihak
pengurusan dalam mengekang penularan wabak tersebut. Selain itu, tujuan pemakluman ini
dikeluarkan adalah untuk menasihati ibu-bapa untuk kekal tenang sementara anak-anak mereka
berada di kampus.

37 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Kenyataan Umum Penutupan Perpustakaan dan Langkah Pencegahan COVID-19 Melalui Infografik

Selain daripada mengeluarkan pekeliling-pekeliling dan pemakluman kepada warga kampus,
pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang juga bertanggungjawab untuk menangkis segala
kenyataan ataupun berita palsu yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebelum ini,
terdapat berita palsu yang mengatakan terdapat staf telah dijangkiti COVID-19. Hal ini tidak benar
sama sekali kerana staf yang dimaksudkan tersebut hanya melalui prosedur pemeriksaan kesihatan
dan belum lagi didapati positif COVID-19. Demi menangkis kenyataan dan berita palsu tersebut,
pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang melalui Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan
Pahang dengan segera mengeluarkan kenyataan rasmi bertarikh 16 Mac 2020.

38 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Kenyataan Rasmi Demi Menangkis Berita Palsu Yang Tular di Sosial Media

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Tujuannya adalah
jelas sebagai salah satu langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda
negara. Alhamdulillah, pihak pengurusan tertinggi UiTM telahpun mengambil langkah proaktif
sebelum ini dengan mengeluarkan makluman kepada warga kampus untuk berhati-hati dan
menjaga jarak sosial sebagai langkah pencegahan awal wabak ini.
Pekeliling Naib Canselor Bilangan 2 yang telah dikeluarkan pada 13 Mac 2020 menyatakan
dengan jelas arahan kepada warga universiti agar menangguhkan perjalanan ke luar negara
terutamanya ke negara-negara yang sedang rancak dengan penularan wabak COVID-19 seperti
China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea dan banyak lagi. Selain itu, para pensyarah yang baharu
sahaja pulang dari negara-negara yang dinyatakan tadi tidak dibenarkan untuk menjalankan kuliah
secara face to face. Selain itu, aktiviti berkaitan kokurikulum dan penganjuran sukan sama ada di
dalam dan di luar kampus juga perlu ditangguhkan. Pekeliling tersebut juga bukan sahaja bertujuan
menjaga keselamatan para pelajar, namun ianya juga turut terpakai untuk menjaga keselamatan
para pensyarah dan staf pentadbiran. Segala aktiviti mesyuarat, konferensi, dan khidmat

39 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

masyarakat yang dilaksanakan di luar kampus perlu ditangguhkan ke suatu masa yang akan
diberitahu kelak. Suasana sebegini memang jarang-jarang berlaku dan kalau berlaku pun mungkin
disebabkan keadan jerebu yang melanda negara.

Pekeliling Naib Canselor UiTM Bilangan 4 bertarikh 16 Mac 2020 pula menyatakan Arahan
Pelaksanaan Sesi Penyampaian Dan Pembelajaran Secara Dalam Talian. Pada tarikh yang sama
Rektor UiTM Cawangan Pahang mengeluarkan Pekeliling sebagai panduan kepada semua staf dan
pelajar dalam menangani penularan wabak ini.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 17 Mac 2020 mengeluarkan arahan agar semua
pelajar perlu pulang ke rumah masing-masing dan mengosongkan kampus. Sudah pasti keadaan
pada ketika itu menjadi sedikit kelam-kabut kerana masing-masing tidak mahu melepaskan
peluang pulang ke kampung halaman. Pada hari yang sama juga Naib Canselor UiTM
mengeluarkan dua pekeliling; (a) Arahan Penangguhan Seluruh Operasi Perkhidmatan UiTM
Sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Mengenai Penyampaian dan
Pembelajaran Pelajar; (b) Arahan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mengenai Hal Ehwal
Staf Mulai 18-31 Mac 2010. Berdasarkan kedua-dua pekeliling, tindakan lanjut ialah penutupan
sementara semua operasi UiTM, penjadualan semula kalendar akademik dan pengwujudan Bilik
Operasi COVID-19. Arahan penutupan sepenuhnya kampus ini secara jelasnya mengarahkan
supaya semua aktiviti universiti seperti mesyuarat, latihan, bengkel, seminar, konferensi, lawatan
akademik, aktiviti sukan, kokurikulum dan khidmat masyarakat ditangguhkan.

Pekeliling yang sama juga turut memberi arahan kepada semua pelajar untuk mengosongkan kolej
kediaman dan pulang ke rumah masing-masing bermula 17 Mac hingga 12 April 2020. Dinyatakan
juga di dalam pekeliling tersebut bahawa pemakluman terkini berkaitan dengan arahan pekeliling
ini akan dibuat dari masa ke masa. Rektor juga mengeluarkan kenyataannya bahawa pihak
pengurusan UiTM Cawangan Pahang membenarkan pelajar di kolej untuk pulang ke rumah mulai
17 Mac 2020. Bagi pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung atas faktor jarak dan sebagainya,
mereka dibenarkan untuk tinggal di kolej dan mereka perlu memaklumkan kepada SRK masing-
masing mengenai keberadaan mereka di kolej.
Pengurusan Pengosongan Kolej Kediaman Pelajar

40 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Seperti yang dinyatakan dalam pekeliling Naib Canselor sebelum ini, para pensyarah dan pelajar
dibenarkan untuk pulang ke kampus masing-masing dan dinasihatkan untuk tidak keluar dari
rumah bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Dengan segera, Encik Mohammed Izrai bin
Abd. Razak, selaku Pengarah Pejabat Pengurusan Fasiliti dan ICT UiTM Cawangan Pahang
mengeluarkan satu peringatan mesra bagi seluruh warga kampus. Peringatan mesra itu dikeluarkan
bagi memperingatkan kepada seluruh warga kampus agar memastikan semua peralatan universiti
ditinggalkan dalam keadaan selamat, semua suis dan punca air ditutup, segala sampah sarap
dibersihkan dan dikemaskan sebelum berangkat pulang ke kampung.

Peringatan Mesra Sebelum Pulang Ke Kampung Halaman
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador, melalui sidang medianya telah
mengeluarkan satu Standard of Procedure (SOP) di mana perjalanan merentasi antara negeri perlu
mendapat kebenaran daripada balai polis yang berdekatan dengan mengisi borang rentas negeri
yang disediakan. Ketua Polis Negara juga menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang gagal

41 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

mengemukakan dokumen sokongan kebenaran perjalanan akan didakwa atau dikenakan Tindakan
di bawah Akta 342 / Akta 344 dengan hukuman penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-
duanya sekali. Dengan kebenaran pulang ke kampung tersebut, ramailah pelajar berpusu-pusu
menyerbu balai polis bagi mendapatkan permit keluar daerah untuk pulang ke kampung.
Di saat genting itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM Cawangan Pahang
mengarahkan supaya Ketua Polis Bantuan UiTM Cawangan Pahang untuk berbincang dengan
Ketua Balai Polis Bandar Tun Abdul Razak Jengka demi memudahkan urusan kelulusan borang
merentasi negeri tanpa memerlukan para pelajar hadir berpusu-pusu ke balai polis untuk
mendapatkan borang dan kelulusan tersebut. Memandangkan ada pelajar yang memilih untuk
pulang ke kampung dan juga ada yang memilih tinggal di kolej, maka, Timbalan Rektor Hal Ehwal
Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Pahang mengambil keputusan untuk melakukan bancian pada
setiap malam sehingga 22 Mac 2020. Hal ini bagi memastikan bahawa pelajar yang tinggal di kolej
dijaga dengan rapi termasuklah keperluan makan-minum dan keperluan lain pelajar-pelajar.

Borang Kebenaran Rentas Negeri.

42 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Pada 18 Mac 2020 sekali lagi Perdana Menteri membuat pengumuman pelajar yang masih berada
di dalam kampus untuk terus kekal berada dalam kampus dan tidak boleh pulang ke rumah masing-
masing. Para pelajar UA dan IPTS termasuk pelajar antarabangsa yang masih berada di kampus
(kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi yang lain) perlu kekal berada di premis
tersebut termasuk pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan ke kampung halaman. Para
pelajar tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman/negara asal masing-masing sepanjang
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. UA dan IPTS perlu bertanggungjawab ke
atas keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang keberadaan mereka di kampus.
Semua operasi di UA dan IPTS adalah ditutup sepenuhnya kecuali perkhidmatan penting (atau
essential services) seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, penyiaran,
kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pembersihan, peruncitan dan bekalan
makanan. Pada masa yang sama, pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang telah mengeluarkan
notis penutupan kampus (Jengka dan Raub) bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020.
Notis penutupan kampus tersebut telah diletakkan di hadapan pos pengawal.

Notis Penutupan Kampus UiTM Cawangan Jengka

43 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

Pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang turut dihujani dengan pelbagai persoalan bukan sahaja
daripada para pelajar dan staf, tetapi juga daripada ibu bapa yang amat risau dengan keadaan
keselamatan anak-anak mereka. Dalam situasi ketidaktentuan, pihak pengurusan UiTM Cawangan
Pahang ketika itu bukan sahaja perlu membuat keputusan dengan kadar segera, tetapi keputusan
yang dibuat perlulah ada asasnya demi memastikan keselamatan warga kampus berada dalam
keadaan yang paling selamat.

Antara soalan yang acapkali ditanya oleh para pelajar, ibu-bapa mahupun staf adalah:
1. Umum telah pun mengetahui tempoh penutupan institusi dan kampus adalah bermula 18-
31 Mac 2020. Untuk itu, adakah para pelajar perlu terus melapor diri ke kampus masing-
masing pada 1 April 2020, atau tidak?
2. Perlukah pensyarah dan staff hadir ke pejabat untuk thumbprint atau ketik kad perakam
waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?
3. Adakah operasi perkhidmatan diteruskan di kampus?
4. Bagaimanakah dengan keadaan pelajar yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke
kampung? Adakah kos tiket tersebut ditanggung oleh pihak pengurusan UiTM?
5. Adakah Pengajaran dan Pembelajaran boleh dilaksanakan secara atas talian sepanjang
tempoh arahan kawalan pergerakan?

Oleh kerana pihak kerajaan tidak membenarkan pelajar untuk pulang ke kampung halaman
masing-masing, sudah tentu tugas untuk menjaga kebajikan pelajar terletak sepenuhnya ke atas
bahu pihak pengurusan kampus masing-masing. Segala keperluan asas pelajar seperti makan
minum, keselamatan, tempat tinggal dan sebagainya kini perlu disediakan oleh pihak pengurusan
agar para pelajar terus kekal tenang dan tenteram tinggal di kampus sepanjang tempoh PKP
dijalankan.

Memastikan Para Pelajar Selamat Ketika Berada di Kampus

Antara perkara terawal yang diputuskan oleh pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang
pada ketika itu (Mesyuarat yang dijalankan pada 19 Mac 2020, pukul 11 Pagi) adalah dengan
mengeluarkan notis pemakluman untuk melarang mana-mana pihak luar termasuklah ibu bapa

44 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

ataupun waris pelajar untuk masuk ke dalam kampus sama ada untuk berjumpa mahupun
menjemput pelajar pulang ke kampung halaman. Segala bentuk-bentuk bantuan seperti makanan
dan kelengkapan pelajar hanya boleh dilakukan di luar pos pengawal sahaja dan mana-mana pihak
luar tidak dibenarkan masuk sama sekali ke dalam kampus. Pihak pengurusan UiTM Cawangan
Pahang membuat keputusan yang drastik ketika itu demi memastikan bahawa tidak terdapat mana-
mana ruang yang membolehkan kebarangkalian wabak COVID-19 itu menembusi masuk ke dalam
kampus dan tersebar kepada para pelajar.

Selain itu, terdapat beberapa perkara penting yang telah diputuskan oleh pihak pengurusan
tertinggi UiTM Cawangan Pahang agar penularan COVID-19 ini dapat disekat dari awal lagi.
Langkah pertama adalah dengan mengumpul data jumlah pelajar yang masih kekal berada di dalam
kampus (Kampus Jengka dan Kampus Raub). Pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), SRK dan
Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) membantu dalam usaha mengumpulkan data dengan segera
agar bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada para pelajar yang masih tinggal di kampus.
Bantuan yang dimaksudkan di sini bukan sahaja melibatkan bantuan makanan dan kewangan para
pelajar, tetapi termasuklah dari segi bantuan spiritual dan motivasi kepada para pelajar
memandangkan terdapat beberapa pelajar yang mula gusar tidak dapat pulang ke kampus dan pada
masa yang sama melihat pelajar lain dapat berada disamping keluarga.

Pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang juga bertanggungjawab demi memastikan makan-
minum para pelajar terjamin, baik dari segi kuantiti mahupun kualitinya. Oleh itu, pihak
pengurusan memutuskan bahawa para pelajar yang tinggal di dalam kampus akan diberikan makan
dan minum sebanyak 3 kali sehari bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, iaitu sarapan pagi,
makan tengahari dan makan malam. Selain itu, makanan sampingan/kering seperti biskut dan roti
juga diberikan kepada pelajar agar mereka tidak berada dalam keadaan kelaparan.

Memo Rektor UiTM Cawangan Pahang bertarikh 19 Mac 2020 juga telah menyatakan beberapa
perkara penting termasuklah hal-hal berkaitan dengan pengurusan pelajar, kebajikan pelajar
termasuk bantuan makanan, perkhidmatan kesihatan, khidmat kaunseling dan keagamaan.
Berkaitan dengan bantuan makanan, dengan jelasnya Memo Rektor tersebut ada memperincikan
tentang waktu bantuan makanan itu disediakan iaitu pukul 7.30 pagi, 12.30 tengahari, dan 6.30

45 | M u k a s u r a t

Diari Covid-19 56 Hari Di Kampus

petang. Lokasi pengambilan makanan dan minuman juga dinyatakan secara spesifik agar para
pelajar mendapat informasi berkaitannya dengan jelas.

Selain itu, pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang juga bertanggungjawab dalam memastikan
kampus bebas daripada penularan wabak COVID-19. Pada 19 Mac 2020, pihak konsesi di UiTM
Kampus Raub telah membuat kerja-kerja pembasmian kuman pada setiap bangunan, bermula
dengan blok pentadbiran, perpustakaan dan blok akademik. Kerja-kerja pembersihan sanitizing ini
juga melibatkan permukaan lantai, dinding bangunan, cermin, tombol pintu, lif, railing tangga dan
sebagainya.

Penubuhan Bilik Gerakan Pengurusan Bencana (COVID-19) UiTM Cawangan Pahang

Sebuah bilik Gerakan Pengurusan Bencana ditubuhkan sebagai hub pengumpulan data berkaitan
dengan COVID-19. Segala maklumat berkaitan dengan SOP, pekeliling, senarai nama staf yang
bertugas, jumlah pelajar yang berada di dalam kampus, laporan harian berkaitan dengan COVID-
19 di kampus, jadual makan dan sebagainya ada dikumpulkan di dalam bilik gerakan tersebut.
Selain itu, bilik gerakan ini ditubuhkan untuk menjadi medium perbincangan dan mesyuarat untuk
mengawal penularan wabak COVID-19 di dalam kampus. Di kampus Jengka, anggota Polis
Bantuan bertanggungjawab untuk menyelaras bilik gerakan yang beroperasi selama 24 jam
mengikut syif tugasan dan mereka akan dibantu oleh pegawai Staf Residen Kolej (SRK) yang akan
bertugas mengikut keperluan. Di kampus Raub pula, bilik gerakan tersebut dikawal selia oleh
ketua-ketua bahagian yang bertugas mengikut jadual yang telah ditetapkan dan bekerja pada pukul
9 pagi sehingga 5 petang.

Bagi menyelaraskan sebarang perancangan dan tindakan, terutama berkaitan kesihatan,
keselamatan dan perhubungan para staf dan pelajar, maka diwujudkan bilik gerakan yang diletak
di bawah Jawatankuasa Operasi Bencana Negeri (JOBN). Bagi SRK tugas mereka sudah di luar
bidang tugas sebenar sebagai SRK. Mereka terpaksa bertugas sepanjang masa dan hari. Tiada cuti,
sepanjang PKP ini. Sebelum ini mereka bertugas bermula pukul 5.01 petang sehingga 7.59 pagi.
Dalam PKP ini, Barisan Hadapan UiTM Cawangan Pahang terdiri daripada SRK, staf Unit
Kesihatan dan Polis Bantuan (PB).

46 | M u k a s u r a t


Click to View FlipBook Version