The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hizamsamin4, 2023-08-10 20:42:50

Hancur Hati

Hancur Hati

HANCUR HATI Gubahan Ahmad Bakhtiar Diterbitkan oleh Jambangan Pujangga 3 Dicetak: ANNIES PRINT. WORKS, JOHORE


2 Jawapan Kata Suci. Kehadapan majlis tuan-tuan pemuda pemudi Serta sekalian sidang pembaca budiman. Mengertilah pihak jambangan pujangga akan buku cerita “Cincin Tanda” buah kalam Tuan Ahmad Bakhtiar yang diterbitkan oleh Jambangan Pujangga bilangan satu itu telah dapat sambutan bagus daripada pihak tuan-tuan pembaca: kerana segera habis di dalam simpanan. Tidak pula disangka-sangka di antara tuan-tuan pembaca ramai mengatakan cerita yang kecil itu bersetuju dengan pemuda pemudi kampung, tegal pengalaman di dalamnya sesuai mengikut keadaan yang biasa berlaku di sana. Alhamdulillah! Sambutan dan kenang-kenangan yang tulus ikhlas itu disambut dengan berbanyak-benyak syukur oleh Jambangan Pujangga. Berangsang-rangsang yang disampaikan kepada Jambangan Pujangga supaya menambahbaikkan lagi buku-buku cerita yang seumpama itu memang menjadi penokok seruan yang berhikmah. Perkenan sangat melayannya. Dilukiskan tagan kata bagi ayat: Sambutlah Janjinya


3 “In syaa Allah raf daya ditunaikan.” Dengan tidak putus asa menghendakkan ilham Tuhan. Sedia diperhati dan dihormati: tidak lain sebab-sebabnya maka boleh Jambangan Pujangga berjaya hidup kemuka, ialah tertentu kerana mendapat semangat dan jiwa pertolongan tetap daripada tuan-tuan pembaca. Terlanjur boleh berterus terang izinkanlah Jambangan Pujangga menumpang hidup di halaman perpustakaan alam bacaan Melayu seluruhnya. Dipercayai pihak tuan-tuan pembaca seni akan menyirami dengan sepenuh-penuh sudi iaitu membagi air utama jiwa untuk mensuburkan hidupnya dia lah langganan. Terima kasih. Silalah sambut cerita “Hancur Hati” ini. Pengurus: J.P.


4 Pendahuluan. Kemiskinan kemelaratan kepapaan kelemahan dan kekurangan serta kesengsaraan kerap kali menjadikan penderitaan. Iyakah kerana nasib atau pun oleh keadaan memaksa apatah lagi kalau kerana kena seksa? Ikhtiar memulihkan itu hanyalah mahu ada keinsafan dan tenaganya: iaitu pekerjaan hati otak dan anggota: mesti bersungguh-sungguh berfikir memerhati seterusnya berikhtiar bekerja dengan sepenuh-penuh daya upaya buat mengelakkan itu. Kemudian baharulah ada harapan terlepas daripadanya. Mengikut kata budiman di sanalah dikehendaki kepercayaan mempercayai diri sendiri, kesopanan kehormatan pengetahuan dan tolong-menolong di dalam masyarakat. Di atas tujuan mengingatkan dan menghormati peringatan budiman itu maka inilah dikemukakan cerita “Hancur Hati” ini bagi tuan-tuan pemuda pemudi khasnya seolah-olah mengenang jiwa dan seruan yang menderita itu. Terpandang-pandang nun dia bagai di dalam gaung guntung… ..Terjerumus…..akan-akan terbenam*? kepada disalut oleh


5 lumpur kesedihan meresap ke hidungnya. Sepertikan lemas tertindas tercengkam di lubuk dalam, lunyah tetapi kekeringan. Oh! – Lagi dia mengeluh – Ya, Allah! Rasa dia putus harap hendak dapat selamat. Berulang-ulang lagi jiwanya melaung: kalau-kalaukan ada belas kasihan dari hati yang ihsan…..! Tetapi belumkan mungkin ada pertolongan: kerana memang penderitaan hak dirasa oleh keseorangan. Walaupun ditangisi dengan air mata darah kerana menangiskan untung, namun bedandan*? Hati dia tetap juga menderita melayankan jika ada…..nya! Ahmad Bakhtiar.


6 HANCUR HATI AHMAD BAKHTIAR Aku bercerita. Waktu aku masih budak aku sahajalah seorang anak perempuan bagi ibu bapaku. Malangnya ketika aku berumur empat tahun ibuku pun meninggal dunia. Tidak dapatku katakan bagaimana hancurnya rasa hatiku dimasa itu, kerana kehilangan ibu sendiri tempat manja tempat bergantung semangat yang sangat-sangat dikasihi. Aduh – Menangislah aku siang malam oleh kerisauan, sehingga bapaku pun turut hiba hati dan menangis bersama aku : langsung dipeluk diciumnya aku, terasa olehku air matanya jatuh membasahi keningku bila dia merapatkan hidungnya ke dahiku. Aku meraung-raung kerana sakit sangat rasanya menahan hiba yang mencerut jantung hatiku, dadaku sempit sebu, rasa-rasa ingat tetapi bagaikan lupa : akan-akan aku tidak percaya ibu sudah hilang di mata. Ku sangka dia ada hidup lagi. Ku cari dia keluar masuk di rumah itu, sambil memerhatikan ke sekeliling kawasan dia tidak ada : ku cari dia ke telaga dia tidak ku jumpa. Lemah dan letih lesu.


7 badanku, kerana hampa harapan hendak bertemu. Maka ibuku sebetulnya sudah tiada. Nun dia jauh sudah dikuburkan orang kerana terlampau tebal sedih merangkum dadaku – Aku menggolek-golekkan diri : aku panggil dia „ “ mak ! Mak ! Oi mak ! “ sekuat-kuat hati‟ dia tidak menyahut. Bapaku datang memujuk aku, dipeluk diribanya aku, sambil ditepuk -tepuk badanku dan diurut-urutnya dadaku. Selaku orang yang memanjakan aku. Diberinya cakap yang lemah lembut, “ Jangan kau menangis Halimah, sudah-sudahlah, jangan disebut-sebut lagi orang yang sudah pergi jauh itu. Hati bapa juga memang terkenang-kenang kepadanya : Tetapi bapa bawa diam-diam”. Ku pandang muka bapaku, dia tunduk menangis pula, dan menyapu -nyapu air matanya sedang aku teresak-esak menahan tangis. Sebab letih benar rasa badanku …. aku tertidur. Esok begitu juga, aku terkenang lagi kepada ibuku, terutama pada masa hendak tidur malam hari. Dahulu ada ibuku menemankan aku baring : menepuk-nepuk serta menggosok-gosok badanku ketika dia hendak menidurkan aku, kadang-kadang dinyanyi-nyanyikannya aku biar aku lekas terlena: teringu-ringu lagi ditelingaku suaranya yang lembut merdu itu. Kemudian dijaganya


8 aku supaya jangan digigit nyamuk dikibas-kibasnya dengan kain sebab tidak ada berkelambu. Sekarang apalah hal ku, ibuku tidak ada lagi. Alangkah hancurnya rasa hatiku tidak boleh dapat bertemu dia : kerana dia telah dikuburkan : dia tinggal disitu seorang diri. Terpandang-pandang jualah oleh ku akan rupanya : sebab itu ku tangisi dia. Sebenarnya bukan aku sahaja yang terkenang : bapaku juga rajin membilang-bilang, rupa-rupanya hati bapa tidak pula senang, kadang-kadang bapaku mengeluh dan keluh kesah terutama masa hendak makan dan waktu akan tidur malam. Bila bapaku memasak nasi menggantikan ibuku, ketika itu ada juga ku dengar bapa menyebut-nyebut ibuku : “ hoi – kalau-kalau adalah ibu kau Halimah tidak selapang ini kita di dapur ini ”. Manakala terdengar olehku bapa berkata demikian itu, serta merta hatiku hiba semula, tidak tersedar air mataku meleleh keluar : aku menangis hiba sekali lagi : hiba yang tak dapat ku tahan-tahan. Walaupun dipujuk-pujuk oleh bapa, namun sedihnya tidak mudah hilangnya. Melihatkan bapa memasak nasi itu aku kasihan dan hiba memerhatikannya teringat aku dahulu-dahulu ibuku yang memasak


9 nasi di dapur itu : melainkan sekali sekala bapa memasak kalau ibuku sakit. Kini ku pandang hanya bapa dengan aku berdua sahaja yang duduk mengadap makanan yang dimasak tadi. Aku tidak terdaya makan minum, bapa juga demikian lakunya fahamilah aku bapa amat sayang kepada ibuku dan amat kasih kepada aku. Masa hidup ibuku dahulu selalu bapaku membuat jekala, bercerita-cerita lawak yang menggelikan hati ibu dan hatiku, semenjak itu sudah tiada lawaknya ku lihat. Bapa termenung diam dan segan lakunya tidak riang hingga pergi kerja pun tidak berapa lalunya. Kerja bapa biasa kutip ke atap sahaja, ada kalanya dia menjala ikan, menambut dan memasang lukah, ada-ada masanya bapa bekerja mengambil rotan, berkebun pisang, mencucuk atap, mengambil upah menebas, menebang dan lain-lain kerja kampung. Tidak tentulah hal pencariannya : Apa-apa sahaja yang mendatangkan duit dibuatnyalah dengan rajin. Hanya semenjak ibuku meninggal dunia itu ku lihat bapa kurang benar rajinnya bekerja agaknya sebab terlampau rindu dan bercinta risau. Lama kemudian itu bapa baharu boleh terdaya berusaha :


10 Asalkan siang hari pagi-pagi lagi digagahnya bangun, dibawanya aku pergi mengikut dia ke tempat pekerjaannya. Kalau dia menjala ikan dibawanya aku menjala, disuruhnya aku memegang kerontong ikan : setelah dapat ikan dimuatkannya kedalam kerontong itu supaya aku menolong bawakan. Kasihan aku melihat bapa kerja berteruk-teruk itu. Waktu bapa ke ladang atau ke hutan mengambil rotan dibawanya juga aku bersama – Tidak dibenarkannya aku tinggal dirumah seorang diri, sungguhpun ada beberapa rumah lagi berhampiran dengan rumahku yang di situ ada kawan sebaya dengan aku tidak disuruh oleh bapa pergi menumpang tinggal : katanya kepadaku “ tak usah kau berjalan-jalan sangat ke rumah orang kerana ibu kau tidak ada lagi. Ikut sahaja bapa ke mana-mana. Esok entah lusa hilang siang entah hilang malam barang orang dituduhnya engkau mengambil membuat busuk nama sahaja. Bapa dahulu masa budak-budak sudah terkena macam itu, lain orang makan nangka lain orang pula kena getahnya ”. Oleh sebab itu aku pun rajin mengikut bapaku pergi ke tempat pekerjaannya.


11 II Waktu aku berumur lima tahun, aku diserahkan oleh bapa mengaji ke sekolah. Mula-mula aku bersekolah itu tiap-tiap hari bapa menghantar dan menjemput aku : kerana pada masa itu aku takut berjalan seorang tambahan pula kawan-kawan belum ada yang hendak aku ikut daripada rumah ke sekolah. Aku diajar oleh Cikgu Adham, pandai cikgu itu memujuk hatiku sampai aku tidak takut belajar kepadanya. Pada satu hari cikgu menanya aku, “ Halimah suka mengaji atau tidak ? ” katanya. Rasa-rasa malu takut aku hendak menjawabnya, kemudian dipujuk-pujuk oleh cikgu itu disuruhnya juga aku menjawab. Aku katakanlah kepadanya “ Saya suka mengaji cikgu ”. “ Bagus ” katanya. Aku perhati-perhatikan cikgu itu baik kepada aku suka hatiku melihatnya. Cikgu Adham berkata lagi , “ Kau suka mengaji Halimah, bagus-bagus, rajin-rajin datang ke sekolah, boleh cikgu ajar menulis dan membaca. Ikut kawan-kawan yang baik : tak payah bapa Halimah menghantar menjemput lagi. Biar bapa pergi kerja dan kau datang belajar


12 kesekolah. Bila selalu-selalu Cikgu Adham menasihat dan memujuk aku seperti itu bertambah senang hatiku dan mengaku datang sendiri ke sekolah : tidak payah dihantar dijemput bapa seperti mula-mula itu. Tetapi cikgu ada berpesan kalau berjalan dijalan raya ikut sebelah tepi jangan melintas-lintas ke seberang jalan supaya jangan dilanggar oleh kereta-kereta atau motokar. Cikgu Adham gemar mengingat-ingatkan aku katanya “ Kau Halimah rajin-rajin belajar sampai kau cepat pandai menulis dan membaca, nanti lagi suka hati kau. Di dalam buku ada macam-macam gambar, ada cerita-cerita dan macam-macam hal yang boleh menyukakan hati dan boleh menjadikan kau orang pandai ”. Setelah itu beransur hari aku pun beransur suka belajar sama Cikgu Adham hatiku pun sayang kepadanya. Di mata aku selalu ditunjukkannya oleh cikgu gambar yang elok-elok. Ada gambar orang ada gambar binatang dan ada gambar bunga dan lain-lain. Tiap-tiap hari aku mendengar cakap yang baik-baik daripada mulut cikgu itu. Tanganku di suruhnya memegang benda-benda dan


13 perkakas-perkakas menghitung dan berkira. Kadang-kadang cikgu bercerita ada yang menggelikan hatiku dan ada yang menyenangkan pelajaranku terasa senangnya aku dapat apa yang diajarkannya kepada aku. Diajarnya aku berfikir memilih cerita-cerita itu mana yang baik ada cerita budak nakal, ada cerita binatang buas dan ada cerita orang jahat serta ada cerita burung sayangkan anak sayangkan emak diceritakannya kepada aku. Berfikir-fikirlah aku memikirkan cerita-ceritanya itu. Adapun yang serik ku rasa pada zaman bersekolah itu : pertama tentang belanja, sebab duit bekal aku pergi mengaji itu hanya kadang-kadang ada satu sen dua sen terkadang-kadang tidak ada langsung merasa duit kerana bapaku orang miskin duitnya tidak cukup. Bila tidak ada berduit, kalau ada nasi sejuk ku tengok bapa membungkus nasi itu dengan daun pisang yang sudah dilayurnya kadang-kadang nasi itu digoreng oleh bapa sama kelapa kukur dan garam, dibubuhnya sedikit anak ikan bilis serta lada api bulat-bulat yang diambilnya di ladang kami. Maka nasi goreng itulah jadi bekalanku : dimakan ketika separuh waktu sesudah belajar disekolah pada hari itu.


14 Kawan-kawanku mana yang ada duitnya, dapatlah dia membeli makanan-makanan yang dijual penjaja-penjaja dekat sekolah itu. Ada nasi lemak, ada kuih dan ada air serbat. Mana-mana kawanku yang tidak berduit atau tidak ada membawa bekal nampak olehku mereka itu terkulat-kulat. Memandang kawan -kawan lain itu makan minum : ke atas tangan kawannya itu menyuap, keatas matanya memandang mulutnya sama ternganga, ke bawah tangan kawannya itu memegang makanan itu, ke bawah pula matanya memerhati, hingganya ada ku tengok yang menjelijeh air liurnya melihat kawan-kawannya makan itu sebab memerhati sahaja dan menahan tekaknya. Ya – aku kasihan melihat kawan-kawan yang semacam itu : taulah aku dia itu anak orang miskin seperti aku juga. Jika ada lebih agak-agaknya makananku, mahulah aku memberi sedikit kepada kawan-kawanku itu. Kadang-kadang ada pula ku tengok ada di antara kawan-kawan itu membawa buah-buahan dijualnya kepada kawan-kawannya pula, dia dapat duit sebab buah-buahannya dibeli kawan-kawan : seperti jambu, pisang – manggis – rambai – langsat dan ciku , nangka ada juga. Ada pula di antara kawan-kawan membeli itu berhutang. Suka hatinya jika diberi dia berhutang itu : kalau tidak diberi


15 dikecek dipujuk-pujuknya kawan yang berjual buah-buahan itu : ada dua tiga kali ku tengok kawan yang cendikil membayar hutangnya sampai jadi pertengkaran langsung berkelahi sampai bertumbuk, itu kerja budak jantan yang garang dan jahat. Pernah dihukum oleh cikgu : hingga budak itu tidak berani membuat begitu lagi. Aku tidak mahu jual macam itu, sebab aku terasa malu dan susah kerana kawan suka berhutang, bila sudah lama baharu aku tahu kerja berjual buah-buahan atau kuih macam dibuat oleh kawan-kawanku itu cukup bagus boleh dapat duit dan untung. Aku tidak berapa riang bercampur dengan kawan-kawan itu sebab kain baju aku buruk lagi pun tidak bersalin-salin hari-hari pakaianku sepasang itulah bapa tidak berduit hendak membelikan kain baju selalu-selalu. Tambahan belanjaku tidak mewah sebagai kawan yang setengah-setengah itu. Tetapi aku cari kawan yang serupa semiskinnya macam aku. Kalau tekak kami haus hendak minum kami minum sahaja itu sejuk yang disediakan oleh cikgu disekolah itu. Manakala aku sudah tetap bersekolah, aku dapati bapaku sangat mengambil berat tentang pelajaranku, selalu aku ditanya


16 bapa, “ Apa yang kau sudah belajar disekolah tadi Halimah? ” katanya. Aku terkenanglah ini – ini – itu – itu dan apa-apa yang dikerjakan oleh cikgu semuanya ku khabarkannya. Suka hati bapa melihat aku sudah beransur pandai menulis dan membaca. Bila-bila ada cuti aku tidak bersekolah, biasa dibawa oleh bapa aku pergi ke kebunnya, di sana ada satu macam pelajaran yang diajarkan oleh bapa kepadaku, seumpama mengenal hulat, cendawan, burung, rama-rama, belalang, katak, kumbang, berjenis-jenis rumput daun akar kayu disebutkannya kelakuan hulat dan lain-lain itu seta menyatakan gunanya ada yang boleh dijadikan hubat-hubatan. Mana-mana yang aku hendak tahu sendiri aku tanyakan kepada bapa, sekaliannya itu diterangkannya cukup-cukup. Suka benar hatiku mendengarnya, terutama kalau bapa menerangkan dari hal beruk dan kera. Macam-macam cerita pula yang diceritakan oleh bapa kepadaku. Membuat aku terkadang-kadang tergelak besar. Ketika hati bapaku senang-senang memang rajin juga dia membuat onggok-onggok, biar aku tertawa, kadang-kadang dia turut sama tertawa demikianlah hal kami dua beranak, yang tidak ku lupakan bagaimana bapa


17 dan aku telah merasa lipur tidak terlampau susah hati lagi mengenangkan ibuku sudah meninggal dunia itu. Kira-kira sebulan sekali : pada hari Jumaat bapaku mengajak aku pergi ziarah ke kubur ibuku, disana bapa menerangkan kubur ibuku dan menebas-nebas pada mana tempat yang tersangat semak di tanah perkuburan itu. Waktu hendak balik bapa datang semula ke kubur ibuku, bapa duduk sebentar disitu membaca doa. Aku sama menampung tangan dan berkata amin ! Amin ! . Kemudian bapa bercakap kepadaku, “ lihat olehmu Halimah, memang selalu ku ingatkan kau, semua orang yang hidup di dalam dunia ini mesti mati, sekarang ibumu sudah dahulu, dia bolehlah di katakan bernasib baik : Sebab matinya sudah tentu dapat kita tengok, dan sekarang telah siap berkubur seperti yang kau lihat ini. Tetapi Halimah, nasib kita belum tahu lagi, entah mati di mulut harimau, entahkan mati di rahang buaya, entahkan mati karam di laut …. oh – adalah macam-macam gaya mati lagi, yang kita tidak boleh mengetahuinya. Kerana ajal dan maut tidak boleh di tentukan. Ingatlah Halimah, kalau sudah mati kita cuma tinggal


18 di dalam kubur seorang diri : kalau ada orang kasihan datanglah orang sekali sekala melawat kubur kita, seperti kita melawat kubur ibu kau ini. Halimah, ingatlah kau waktu hidup sahaja kiranya kita dapat berkawan dan boleh belajar ilmu pengetahuan serta beramal mengikut suruh Tuhan, mudah - mudahan kalau sudah mati tidak berdosa. Lihatlah lagi bagaimana kubur ini kita hanya dapat melihat tanah dan dua batang nisannya : tetapi Halimah, apakah keadaan ibumu didalam kubur ini ? Entahkan senang entahkan payah, kita tidak dapat menolong-nolongnya lagi : melainkan dengan doa bermohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala. Supaya menempatkan rohnya ke dalam syurga. Bapa beri tahu kepadamu, jika kau sayang kepada ibumu yang sudah mati ini hendaklah kau doa-doakan dia selalu-selalu dan jangan kau berbuat jahat di dalam dunia ini : kerana kau adalah anak ibu kau yang ada di dalam kuburnya ini : jika sekiranya kau hidup membanyakkan dosa kepada tuhan nescaya kau menerima balasannya dan ibu kau juga serta aku bapa kau nanti sama menumpang payahnya. Hendaklah kau mengerti bagaimanakah nanti azabnya di dalam kubur ini ”.


19 Begitulah sejenis nasihat bapaku kepadaku, terasa-rasa dihatiku semuanya itu amat baik dan berguna ku dengar dan mengambil insaf. III Aku mengaji quran di sekolah juga. Mula-mula belajar aku dibelikan oleh bapa sebuah muqaddam : tiap-tiap petang aku belajar membaca muqqadam itu diajar oleh Tuan Haji Jamil : tetapi aku belajar itu hanya belajar membaca sahaja dengan mengeja tidak belajar mengetahui makna perkataan-perkataan di dalam bacaan itu. Beberapa bulan kemudian setelah habis muqaddam itu aku baca dibelikan pula oleh bapa sebuah quran aku pun mulailah belajar membacanya. Mula-mula aku tidak berapa mahir membaca dengan sekaligus : ku baca-baca juga merangkak-rangkak, sambil mengeja dan melangsungkan bunyinya iaitu membatang kata guruku. Lama-lama aku pun dapatlah membaca quran itu dengan senang makin sehari makin hari berpandukan baris-baris tanda yang akan dibunyikan seperti baris di atas – di bawah – di hadapan – mati –


20 berdengung – bunyi panjang dan pendek menurut bagaimana yang diajarkan oleh guru ku. Sambil memahirkan membaca itu aku cubalah pula mengenakan lagunya : gaya Mesir muda – Mesir tua : Aku suka memilih lagu yang menghiba-hibakan hatiku. Sungguhpun aku mengaji quran itu makin sehari makin dekat akan khatam tiga puluh juz : Tetapi sepatah pun ku tidak mengerti apakah ceritanya yang ku baca itu. Cuma aku pandai melagukan sahaja ! Sebab aku tidak belajar mengertikannya. Di antara budak laki-laki yang ada mengaji quran di sekolah kampungku itu ada seorang sahaja yang dapat belajar ilmu nahu dan bahasa Arab iaitu Karim Zamri adik Cikgu Adham yang dihantarkannya pergi mengaji ke negeri Mesir. Aku tidak ada harapan pergi belajar ke Mesir, hendak belajar di kampungku tidak ada gurunya. Lain daripada belajar membaca quran dapat juga aku sedikit-sedikit mendengar syarahan-syarahan Tuan Guru Haji Jamil pasal ilmu usul, fekah dan tasawwuf dengan bahasa Melayu. Berkenaan dengan perkara bersuci serta syarat-syarat sembahyang dan sifat-sifat dua puluh dapat kami dengar daripada syarahan-syarahan juga daripada tuan guru kami, tidak pernah kami memakai


21 kitab-kitab ilmu itu kerana pada masa itu kami belajar mengaji ugama tidak seperti belajar di sekolah-sekolah Melayu yang ada belajar menulis dan membaca buku-buku atau hikayat-hikayat semuanya pakai lancar. Aku dapati pada masa belajar di sekolah petang kerana mengaji pelajaran ugama ketika itu cuma yang di lebihkan membaca quran sahaja dengan tidak mengambil tahu apakah isinya cuma belajar mengenakan makhrij idgham dan gaya melakukan bacaan yang dibaca. Kalau tidak pandai melagukan bacaan itu tidak di kata pandai dan kalau tidak kuat mengingat-ingat pelajaran yang di lancar itu dikata bodoh mesti rajin melancar jika terlupa hendaklah gemar bertanya sebab tidak ada kitabnya yang hendak dibaca-baca. Pada fikiranku kalau bersungguh-sungguh belajar mengetahui makna perkataan-perkataan firman Allah dan hadis-hadis nabi di dalam quran itu tentulah akan mengerti apakah cerita dan isinya, dari hal apa, bagaimana dan perkara siapa serta untuk siapa. Boleh di katakan rugi besar membuang masa empat lima tahun kerana belajar berlagu-lagu dengan tidak mengerti apakah yang dilakukan itu. Aku sedar tidak kurang daripada tujuh kali aku telah


22 khatam membaca quran itu tetapi itulah dia aku tidak faham apa yang ku baca berlagu-lagu itu. Ku harap anak cucuku di masa akan datang akan ingat dan gemar mengetahui makna bahasa quran al-Karim itu. Aku dahulu ada juga teringat hendak belajar ilmu tafsir walaupun ke mana-mana. Akan halnya aku terkecewa kerana terganggu : Pertama aku tidak terdaya berbelanja pergi merantau itu. Gurunya tidak ada di kampungku. Kedua setelah empat tahun lamanya bapaku bujang selepas ibuku meninggal dunia dan di waktu aku di dalam darjah lima di sekolah Melayu bapaku pun berkata. “ Halimah, menurut sepanjang pendapatan bapa kau sudah besar sekarang ini. Umur kau telah masuk sepuluh tahun : jadi tak lama lagi kau akan lebih besar : menjadi seorang anak yang mesti berpingit. Bapa terangkan dengan niat hendak menjaga keselamatan kau dan keselamatan bapa. Sesudah kau tamat di dalam darjah lima di sekolah Melayu itu : Bapa cadangkan dua perkara : satu Halimah akan bapa berhentikan bersekolah. Kedua supaya Halimah dapat seorang kawan duduk di rumah izinkanlah bapa berkahwin. Bakal menjadi ganti ibumu yang


23 sudah meninggal itu. Hari ini bapa memberitahu, bapa hendak meminta izin kepada kau supaya kau benarkan bapa berkahwin. Haraplah bapa Halimah beri jawapan yang baik. Kalau sudah tentu kau setujukan bapa akan mencari seorang yang patut dan setuju hati bapa buat ibu kau ”. Mendengar perkataan itu hatiku hiba. Terkenang kembali kepada ibuku yang sudah berpulang ke rahmatullah itu. Serba tak kena rasaku apa-apa yang hendak ku cakapkan ……. Di dalam aku termenung masa itu juga ku jawab “ kahwinlah bapa ” . Aku semakin tertunduk air mataku berderai-derai. IV “ Sekali air pasang sekali pantai berubah “. Inilah lagi yang ku perhatikan semuanya jadi peringatan dan pengajaran kepadaku. Bapaku telah selamat kahwin, laksana patah tumbuh hilang berganti. Dahulu ibuku Khadijah, ialah ibu kandungku. Sekarang Marinah ibu tiriku.


24 Oleh sebab aku telah diberhentikan bersekolah tidaklah mengaji quran lagi alhamdulillah aku pun telah tamat di dalam darjah lima dan mendapat surat sijil. Dengan kehendak bapaku beradalah aku di rumah tiap-tiap hari menolong ibu tiriku Marinah bekerja. Riang sedikit hati bapaku sebab telah ada kawanku menunggu rumah manakala bapa keluar mencari rezki. Menurut fahamku makcik Marinah ialah seorang suka bersolek dan pesolek. Gemar dia bercakap-cakap serta memakai pakaian-pakaian yang elok dan disanggul lintangnya selalu terselit bunga-bunga merah atau bunga kuning seperti ros cempaka atau lingkaran bunga tunjang. Bekerja membersihkan rumah rajin juga dia hari-hari. Di kawasan halaman ditanamnya bunga-bungaan. Di dalam pasu atau tin-tin kosong ditanamnya juga bunga yang lembut-lembut diaturnya di atas para-para. Membuat hati bapaku senang melihat dia dan pekerjaannya. Aku selalu disuruhnya menyiram pokok bunga-bungaan itu dengan air basuhan beras. Daripada yang dalam rumah disangkutkannya beberapa botol yang berisi air dan bunga seperti bunga cempaka yang sudah dicucuknya lidi. Ada juga bunga melur dan bunga kenanga dibuatnya begitu. Setelah diberinya berair ke dalam botol itu disumbatnya baik-baik kemudian digantungkannya beratur di dinding


25 itu jadi perhiasan. Molek pula ku tengok. Hanya sayang ada satu resmi makcik ku itu. Dia cengil dan garang selalu sahaja kasar lakunya kepadaku. Ada-ada kalanya disekel diseranahnya aku bila aku kurang cekap menolong akan dia bekerja mulutnya bising tangannya pantas sahaja hinggap ke kepalaku. Manakala selalu-selalu aku dibuatnya begitu hatiku pun mulalah tak senang. Tambahan kepada bapaku selalu sahaja makcik ku itu melawan apa-apa hukumya sahaja yang elok diturut oleh bapaku. Berlainan benar gayanya dengan gaya ibu kandungku dahulu. Makin lama makin berjadi-jadi, hingga orang di sebelah rumahku menggelar bapaku “ jantan berkemudi dahuluan ”. Mengertikan suami mendengar perintah isteri. Iaitu menjadi salah pada adat orang di kampungku itu. Kalau ku sebut-sebut juga perkara yang menyedihkan hatiku ditentang ini sesabar telah aku, tepuk air di dulang perciknya ke muka sendiri juga, membukakan keaiban makcik ku sebaliknya memberi aib kepadaku. Kalau pun aku seorang sahaja yang bermalang : biarlah seterusnya aku seorang sahaja yang bermalang. Oleh itu bagaimanapun tinggi rendahnya nasibku beribu tiri ku tanggunglah.


26 Aku terkenang kepada budi ibuku yang sebenar : memang aku tidakkan dapat membalasnya : meskipun setimbun emas dari bumi ke langit ku bayarkan takkan sama harga budi ibu kandungku kepadaku. Dari sini aku faham rambut sama hitam hati berlain-lain semenjak aku bernaung dibawah pemerintahan makcik ku makin sehari hatiku makin meredap. Samalah taranya jika tak salah makan hati berhulam jantung. Bukan mengenyangkan sahaja tetapi memedihkan. Sampai hatinya melepaskan tutur kata yang kesat-kesat kepadaku dan tidak insaf dia meletakkan hamun dan pukulnya yang berlebihan ke batang tubuhku yang kurus kering masa itu. Sudah beberapa kali aku disugut-sugutkannya ada dua kali pernah ditambatkannya rambut panjangku ke tiang kaki dapur kemudian aku dipelupuhnya dengan kayu api, pada sekali itu salahku kerana lambat membuatkan sambal belacan untuk dia hendak makan hulam jaring. Mak oi bukan kepalang hangat hatinya kepadaku. Aku menangis sungguh-sungguh dibuatnya begitu puas-puas aku melepaskan ikatan rambutku itu baharulah terlepas. Pahit rasa tekakku hendak makan pada hari itu. Bapa tidak ada dirumah. Agaknya pasal itulah makin berani benar-benar dia mendera aku.


27 Bila aku mengadu-adu kepada bapaku. Ku dapati bapaku ku tidak boleh memperbaiki nasibku itu jika makcik itu tahu aku mengadu kepada bapa : lagi lebih aku dikutuk oleh makcik itu ke mana pula aku akan mengadu lagi. Ya tak ianya aku tanggung sahaja dengan sepenuh-penuh dukacita. Aku tidak ada daya upaya melawan : aku tangisi diriku selalu aku meminta ampun bila-bila ditanganinya aku, tetapi makin aku bersuara makin bertambah marahnya lagi. Aku terpaksa diam menahan hati atau terus menangis : Jika aku merajuk-merajuk lagi lebih kepantangannya : nanti aku lagi lebih mendapat penangan. Apa akalku orang-orang di sebelah rumah pernah menasihatkan aku supaya undur ke tempat lain : jangan diam bersama dengan ibu tiriku itu. Ke mana aku akan pergi. Pada hal di hadapan mata bapaku dia amat baik membuatkan aku. Pada satu malam bapaku tidak ada di rumah kerana pergi melawat orang sakit di luar kampung itu, entah apa juga yang menjadikan hati makcikku terlalu marah kepada aku. Mula-mulanya makcik itu meminta aku melipatkan kain baju yang dibasuhnya siang tadi. Sudahku lipat ku susun dan ku letakkan dekat tempat lipat itu juga, ku tinggalkan sekejap sebab pergi


28 minum ke dapur. Tiba-tiba ku dengar mulutnya riuh dia merempus “ budak tidak boleh diharap ! Haih ! Anak tidak senonoh ! Susunkan kain baju ini cepat ke tempatnya. Jangan kau sepah-sepahkan lagi, aku penat membasuh mengincahnya jangan dikotor-kotorkan lagi ! ”. Aku tercengang dan datang mendekat kain itu, sekonyang-konyang makcik ku menyergah aku, “ anak bedebah ! Kau pemalas ! Kau hendak menjadikan aku kuli engkau ! ”. Di dalam pada itu jari tangan kanannya sampai ke keningku menunjal dengan keras cemas terduduk kepada mataku. Mujurku elakkan. Sungguh pedih telinga ku mendengar kata-katanya yang padat dengan dakwa itu aku menjawab dengan lembut, “ bukanlah begitu maksud saya makcik, masakanlah saya layak menjadi tuan besar hendak berkuli-kuli ”. Tidak sempat habis perkataanku itu, kakinya pun terus menyepakkan kain baju yang ku lipat tadi sampai terserak. Aku pun diam. Sebab merasa hiba geram dan kesal. Sambil menarik nafas panjang aku berpusing hendak mengutip kain itu di waktu itu dilesingnya aku dan menghentak kepalaku dengan tumbuk betinanya. Sakit ku rasa aku mengelak dan


29 lari ke pintu dapur lalu ku buka pintu itu, baharu sahaja aku hendak turun dia datang mengejar aku dan disepakkannya belakangku cemas aku tersungkur. Aku terus turun ke tanah, aku duduk di bawah rumah menangiskan diri : sangat hiba hatiku, masa itu terpandang-pandang olehku rupa ibu kandungku. Teringat aku akan manja dan kesenanganku selama bersama dengan ibuku dahulu yang dia tidak pernah mengetuk menggodam aku seperti makcik ibu tiriku itu. Aku menangis beria-ria tidak dapatku tahan-tahan air mataku terhambur. Aku terduduk di bawah rumah itu melindungkan diri. Terfikir-fikir dalam hatiku kalau ku ceritakan pun kepada bapa hal ku yang begitu harus juga tidak menjadikan baik. Tanganku meraba dahiku sebab disebelah kanan dahiku sudah terlekat satu parut bekas luka ditakuk oleh ibu tiriku dengan parang belitung ketika aku tengah sembahyang maghrib asal salahnya sebab aku lambat merebankan ayam dan pintu reban itu tidak tertutup. Makin bertambah-tambah hiba hatiku. Pernah juga aku mendengar cerita-cerita orang beremak tiri, hanya yang terjumpa sebagai permintaan badanku yang malang itu : serupa lebih kurang itulah juga penanggungannya : jika tidak


30 pun entahkan lebih pula. Padahal ada pula orang yang beremak tiri ku dengar sangat beruntung kerana ibu tirinya itu membuat akan anak tirinya seperti anak kandungannya sendiri. Aku ratapkan di dalam hati, “ oh ibu, inilah macamnya penanggungan anakmu semenjak ibu tinggalkan. Di manakah anak hendak menumpangkan diri ? Oh ibu …. ! Terdengar olehku bunyi pintu dapur itu ditutup dan dikuncikan oleh makcik Marinah. Aku terus berdiam dibawah rumah itu semalam-malaman yang tersebut. V Agaknya bapaku nampak akan pembawaan perangai-perangai makcikku itu : tambahan telah selalu didengar orang dekat-dekat rumahku itu berkhabar : dengan sebab itu bapaku mencuba memberi ingat kepadaku, katanya : “ Kau Halimah, bapa sangka harus ada juga merasa kepayahan selama bergaul dengan makcik kau di rumah ini. Sementara dia tidak ada ini, baiklah kau katakana


31 terang-terang kepada bapa, bagaimana halnya yang kau tahu.” Rasa-rasa suka juga hatiku hendak menerangkan apa-apanya kepada bapa, akan hal makcik kau itu habis-habis kerana dia tidak ada di rumah masa itu sebab balik ke rumah ibunya, tetapi sekali lagi ku fikirkan tidak pula berapa baik mengadu-ngadu sebab itu aku berkata pendek sahaja kepada bapa : “ Beginilah pak, kalau bapa kasihan kepada Mah, biarlah Mah berundur daripada rumah ini, Mah hendak mencari kerja sendiri jadi tukang basuh kain pun jadilah, asalkan Mah jangan ada diam-diam dirumah ini ”. Bukan kepalang termenung bapaku mendengar permintaan ku itu lama dia terdiam, agaknya serba salah dirasanya. Dua kali dia menarik nafas panjang terlampau berfikir nampakku. Kemudiankan dia berkata dengan suara sedih, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya “ Sungguh serba tak kena pada perasaan hatiku Halimah. Kau hanyalah seorang anak bapa. Kau perempuan memang payah hendak menimbangkan bagaimana patutnya yang boleh menjadi baik pada kau. Ya memang semakin nampak oleh mataku kepayahan kau beribu tiri : tetapi Halimah, kalau kau pergi menumpang


32 ke rumah orang lain tentulah lebih lagi kau merasa kesusahan. Masakanlah orang lain itu sama pembelaannya dengan pembelaanku ”. Setakat itu bapaku berkata, pantasku sahut : “ Mah bersetuju dengan perkataan bapa itu : Tetapi ada dua pertimbangan Mah sebab suka hendak cuba keluar daripada rumah kita ini, pergi mengambil upah membasuh kain baju itu. Pertama pak : orang di kampung ini biasa berkata kepada Mah berkenaan dengan makcik di rumah ini memang disebut-sebut orang makcik itu ibu tiri Mah, yang selalu tidak sepatutnya membuatkan Mah. Bapa sendiri saya tahu mulut orang masakan boleh ditutup : mulut tempayan entahkan, orang sekeliling memang bercakap kepada Mah mengatakan makcik itu sombong dan keras kelakuan kepada Mah. Telinga dan mata orang ramai selalu terbuka Pak. Keduanya pak : Mah hendak pergi mengambil upah membasuh kain baju itu bukannya ke rumah siapa-siapa : ialah ke rumah Cikgu Adham. Kerana Makcik Sawiyah isteri cikgu itu sendiri ada mempelawa Mah, diajaknya diam dan bekerja di rumahnya : dikatakannya juga dia kasihan pada Mah sebab terlampau serik Mah duduk bersama ibu tiri Mah.


33 Mah perkenan mendengar pesannya itu, ada orang menyampaikan kepada Mah. Boleh jadi Makcik Sawiyah itu sudah mendengar khabar nasib Mah terlampau azab di rumah ini dicerita-ceritakan orang kepadanya. Sepanjang tahu Mah Makcik Sawiyah itu memang amat baik budinya dan penyayang kepada budak-budak. Selama Mah bersekolah dahululah lagi dapat Mah saksikan. Semua budak-budak sekolah laki-laki dan perempuan disayanginya, dan begitu juga kami budak-budak menyayangi dia.” Bapa terus menjawab, “ Memang serba tidak kena Mah, musykil benar hati bapa mengenangkan hal kau dengan ibu tiri kau ini. Kalau begitu baiklah, sabar-sabarlah kau lagi : jika tidak terasa baik juga oleh kau di rumah ini bapa haruskanlah kau berlepas diri turun ”. Aku pun menambah kata, “ semuanya perkataan bapa ini boleh Mah ikut. Sengaja bapa pun tahu Mah tidak pernah melampaui perkataan bapa. Tetapi pak – Mah mintalah sekali ini biarlah bapa kasihan lagi kepada Mah. Sementara Makcik Sawiyah itu suka kepada Mah berilah izin Mah pergi mendapatkan dia supaya Mah menumpang kasihan belasnya.


34 Mudah mudahan Mah merasa senang hati dan bapa sendiri dapat membela hati makcik di rumah ini. Kerana dia hanya seorang sahaja duduk di rumah ini, tidak lagi dia memandang Mah, bapa memang sudah tahu makcik itu tetap benci kepada Mah. Ku lihat berlinang-linang air mata bapaku seraya menjawab : “ Hai Halimah ! Tidak dua tiga lagi, kau sahajalah seorang anak bapa : hajat hati bapa tidak hendak bercerai-cerai dengan kau, sekali pun bapa bekerja berat kerana menjaga keselamatan dan mencari makan bagi kau, tetapi bapa tidak berasa payah. Hanya mengenangkan kau sudah jadi tergoda oleh ibu tiri kau ini yang bapa boleh merasa sangat-sangat susah, nampaknya keadaan memaksa bapa mesti mengikut kehendak hati kau pula. Ya – Kau bapa benarkan menjaga dan membawa diri kau, pergilah kau bekerja mengambil upah membasuh kain baju dirumah cikgu Adham itu, marilah bapa hantar dan serahkan kepadanya. Ku jawab dengan riangnya, “ Terima kasih pak - biar di situ pula Mah mengadu nasib : untung sabut biarkan timbu,l untung batu lepaskan tenggelam, manusia bukan semuanya jahat, tetapi selalu macam buah-buahan : ada yang manis ada yang masam dan ada yang mabuk sebagai racun boleh membunuh ! Mah tawakallah.”


35 VI Mahulah aku mengatakan : apa guna berumah besar, apa faedah berharta banyak sedepanya, makanan mewah, apa bagusnya beremas perak, kalau hati tidakkan senang. Inilah timbangan yang terukir di dalam peringatan dan perasaanku. Mengakulah aku dapat merasa hibur semenjak berundur daripada makcik Marinah itu : walaupun badanku penat bekerja menjadi tukang pembasuh kain orang dengan memasak nasi dan gulai, lagi pun pembelah kayu api serta mengangkut air, tetapi hatiku lapang tahu merasa riang. Aku menumpang di rumah cikgu Adham itu sungguh sebagai kuli : tetapi dia suami isteri selalu membahagi nasihat dan tegur sapa yang baik kepada aku. Muka manis dan hati ikhlas itu sudah cukup menyedapkan hatiku. Mereka itu sayang dan kasihan kepadaku. Aku pula sayang dan gemar berhampiran dengan mereka itu : oleh sebab itu aku redha menjadi orang yang memperhambakan diri kepadanya. Biarpun terkadang-kadang ada orang datang bercakap kepadaku mengatakan Makcik Marinah tidak gemar mendengarkan aku bertempat di rumah cikgu itu, aku tidak bimbang aku makin insaf,


36 kerana aku rasa tidak ada celanya kalaupun aku menumpang, padahal aku bekerja di situ, kalau seperti kuli sekalipun, aku tetap memandang cikgu suami isteri orang yang telah menyelamatkan aku. Tambahan hatiku cukup puas kerana telah berasing tempat kediaman daripada Makcik Marinah. Aku mengerti di dalam rumah cikgu Adham aku bertambah dapat memandang beberapa pemandangan yang baik-baik dan bertambah kerap mendengar peraturan bahasa yang teratur menurut budi bahasa. Di situ aku beransur faham mengenal hal rumah tangga bukan sahaja untuk didiami berehat-rehat tetapi juga rumah tangga berguna jadi tempat berhibur-hibur dengan menunggu ilham Tuhan serta berbuat ibadat kepada Allah terus dijadikan tempat mendidik budi pekerti kepada anak-anak. Di rumah Cikgu Adham biasa teratur makan minum. Pakai memakainya serta kebersihan dan alat-alat perhiasan serba dijaga sedang pergaulannya suami isteri manis dan damai begitu juga anak -anaknya terkawal dan diasuh dengan cara memegang kehormatan menuju tujuan kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Cikgu Adham ku akuilah seorang daripada guru yang bijaksana, berhati kebangsaan serta tetap perdirian hidupan dan bertimbang rasa sesama manusia. Kepada bapaku orang yang miskin dan hina mahu cikgu


37 itu memandang hormat bila-bila bapaku menentang wajahnya dia tidak mengubah pemandangannya seperti mana dia memandang orang yang mulia atau berpangkat. Tegur sapa cikgu itu secara berbudi bahasa juga kepada bapaku. Bapa rajin datang berjumpa aku pada hari Jumaat : dibawanya lagi aku ziarah ke kubur ibuku, dicakapkannya kepadaku supaya aku lebih kuat menaruh perasaan insaf menaja peringatan sedarkan tiap -tiap yang hidup mesti merasai mati. Memang bapa gemar menanamkan perasaan insaf kepadaku. Tidak dibiarkannya aku lemah-lemah dan lalai di dalam bahagian berugama dan tidak berapa dibenarkannya aku berbebas-bebas kelakuan, marah dia kalau aku tidak memegang undang-undang ugama. “ Menguatkan pegangan pada agama itu lebih berguna daripada segala-galanya ” kata bapa. Ku fikir-fikirkan juga nasihat-nasihatnya itu sungguhpun keras penting larangan kepada aku menegah bergaul-gaul dengan pergaulan yang tidak tentu atau tidak bertujuan makan pula akalku bapaku itu betul tujuan menasihatkan aku. Sebab itu aku percayai nasihatnya. Cikgu Adham galak kali juga menasihat-nasihatkan aku, ada sepatah katanya yang ku kenang-kenang hingga hari ini katanya :


38 “ ….. Ya – sepatut-patutnya kita hidup di dunia ini tumpang menumpang serta tolong menolong. Dan kau Halimah hendaklah bersemangat , jangan engkau lemah hati jika digoda oleh sesuatu kesusahan. Dalam lapangan bergaul hidup dengan manusia terpaksa ada mempunyai kekuasaan hati. Jika hati tersinggung oleh sesuatu kecemasan jangan lekas dibawa berdukacita. Kerana dukacita itu penyakit. Di antara manusia sesama manusia memang ada-ada sahaja yang akan berlaku. Fahamkanlah semuanya itu pengajaran. Tetapi hendaklah kau perhatikan segala-galanya itu dengan cergas dan berdiri di atas dua belah kaki kau tegap-tegap. Bawa akal memikirkan satu petua : jangan engkau buat kepada orang lain apa-apa yang kau tidak gemar kalau orang lain itu membuat kepada kau. Kau perempuan, walau bagaimana sekalipun pada suatu masa kau akan menjadi seorang ibu, dan menjadi kongsi hidup kepada seorang suami. Ketika itu kau berhak menjadi tuan rumah. Janganlah engkau menjadi seorang tuan yang zalim ”. Amat terkenang aku kepada percakapan Cikgu Idham itu. Langsung aku terkenang kembali kepada hal kehidupan bapaku


39 dengan ibu tiriku. Kerana apakah makcik itu amat payah mencari perdamaian dengan aku dan kepada bapaku. Harus kerana makcik itu mengikutkan hawa nafsu ataupun kehendak hatinya sahaja dengan tidak teringat kepada rahsia berkehidupan di dalam rumah tangga ataupun memang dia seorang yang keliru ! . VII Setahun lamanya aku telah duduk di rumah cikgu Adham, selain daripada bekerja di dalam rumah tangganya aku telah beransur dilatih oleh isterinya di dalam kerja jahit menjahit serta pada bahagian masak memasak kuih dan berjenis-jenis kait mengait renda. Tiap-tiap bulan aku menerima duit gaji sepuluh ringgit daripada cikgu itu, separuh daripada duit itulah aku belikan pakaian dan barang-barang bersolek. Selebihnya ku simpan padahal makan minumku ditanggung oleh cikgu itu. Di dalam rumah cikgu Adham itu juga semakin dapat aku memungut beberapa peraturan berumah tangga serta mendapat pandangan pada pergaulan orang suami isteri yang sesuai dan damai. Juga aku tambah mengenal cara-caranya menjaga


40 anak-anak. Begitu juga aku pernah mengetahui sekali-sekali bagaimana aturan menjamu orang, jamuan ketika cikgu itu berkenduri sedekah tahlil kepada arwah kedua ibu bapanya. Semua hal ini menarik hatiku sebab boleh menjadi modal hidupku kemudian hari kata hatiku. Cikgu Idham telah menerangkan kepadaku katanya, “ tiap-tiap orang berkelamin dinamakan suami isteri pada mereka itu tertanggung beberapa kewajipan, kerana kelamin manusia tetap berasingan dengan kelamin binatang. Manusia berwajib menanggung jawab di atas soal menjalankan akal ikhtiar yang berhubung dengan keselamatan rumah tangga dan termesti tahu menyusun dengan sempurnanya perdamaian suami isteri serta menetapkan tujuan hidup berkelamin dengan betul dan teratur. Sehingga undang-undang yang bersangkut paut dengan agama adat resam dan negeri atau kerjaan terpaksa diikut supaya kehidupan di dalam rumah tangga itu jadi aman damai dan dapat dipandang oleh orang di sekeliling sebagai satu syarikat hidup yang ada pendiriannya baik. Sebab itu kehidupan orang suami isteri mustahak menurut kehendak perpaduan bersyarikat bekerjasama dan tolong


41 menolong di atas sebarang hal. Di dalam rumah tangga mesti tetap mengerjakan kelakuan yang disuruh Allah dan meninggalkan segala larangannya. Pihak laki dan pihak isterinya hendaklah menjaga segenap tanggungan masing-masing sekira-kiranya tidak boleh mendatangkan huru hara tidak ada ubahnya seperti pegawai-pegawai menjaga negeri di sana mahu ada keadilan timbang rasa dan kesungguhan menyusun kemahuan penduduk-penduduk di dalam rumah tangga itu. Hingga bersama dikehendaki mencapai kemewahan atau lain-lain yang berfaedah bagi sekelamin. Dari itu berlapis-lapis lagi kewajipan yang mahu dilangsungkan dengan hati-hati benar. Seumpama memikul segala hal ehwal tanggungan berkenaan dengan anak pinak. Hendaklah ibu bapa itu mencari rezeki yang halal bakal diserahkan kepada anak-anak itu serta melengkapi beberapa pertolongan tentang kesihatan badan dan kesenangan hati dan pelajaran-pelajarannya masing-masing. Ketugasan hati ibu bapa mengisi setiap-tiap kewajipan kepada anak-anak itu tersangat dikehendaki dengan sepenuh-penuhnya kerana anak-anak yang masih kecil itu seolah-olah suatu lembaga yang akan seterus-terus mahu menjadi manusia yang sihat badan sihat otak.


42 Manakala anak-anak itu telah besar ketika sempurna akalnya mereka akan berkehidupan pula sebagai ibu dan bapanya. Ialah akan berkelamin pula serta akan mendapat anak menyambung keturunan. Perkara besar hendak diingat : didikan kepada anak-anak itu terpaksa diutamakan. Jika kurang didikan haruslah kehidupannya menjadi kurang kejayaan. Kemudian akan lebih kurang pula keturunannya di belakang. Bapa borek anak tentu rintik. Terukirlah keruh atau jernihnya aliran keturunan itu kelak. Sebab itu didikan sudah mesti dapat dibilangkan sangat utama, kerana bidalan ada disebut, “ sebab buah kenalkan pohonnya ”. Anak-anak itu tempat tumpuan kepercayaan dan kekuatan bangsa. Kepada mereka itu terlukisnya segala ajaran dari masa dia kecil membawa hingga kepada besarnya. Dan dikenal nanti baik lukisan pengajaran dan didikan kepadanya tetaplah nampak kemudiannya : baik atau buruk gambar yang terlekat kepadanya. Kalau didapati pergaulan suami isteri dengki mendengki khianat mengkhianat di anatara satu sama lain nescaya perbuatan


43 itu akan menimbulkan rasa neraka di dalam rumah tangga. Berakhir anak-anak yang ada di dalam rumah tangga itupun turut merasa kecewa sebagai merasa neraka dunia juga. Manakala anak-anak itu berumah tangga sendiri kelak akan mengadakan perasaan neraka itu pula di dalam rumah tangganya sehingga terasa pula kepada anak pinaknya, berketurunan hingga berlapis-lapis seterusnya kepada anak cucunya bersambung-sambung merosakkan keamanan keturunannya. Walaupun ilmu pengetahuan berkenaan dengan kewajipan di rumah tangga itu bukannya senang dimahirkan, tetapi medan tempat menuntutnya terlebih mustahak ditempuh”. Aku ketahuilah betapa keneratan akan berlaku, jika tidak sebetulnya mengetahui hal kewajipan bersuami isteri yang betul, dan bagaimana kepayahan berumah tangga jika tidak bersesuaian suami isteri di dalamnya. Patutlah cikgu Adham sangat mengutamakan perkara didikan semasa aku bersekolah dahulu kerana pandainya menarik hatinya kami lantas kami rasa sekolah itu tempat kami bergembira dengan pelajaran dan permainan yang diberinya. Jika tidak datang ke sekolah barang sehari kami merasa kesal.


44 VIII Kalau aku kurang bergaul dengan Cikgu Idham suami isteri atau tidak bercampur dengan orang yang sepembawaan faham dengan cikgu itu haruslah aku akan kurang mendapat fikiran-fikiran yang baik. Aku bersyukur oleh sebab bapaku telah membenarkan aku bekerja di rumah cikgu Adham. Kerana sedikit sebanyak didikan batin yang membolehkan hatiku merasa lapang dan akal terhadap kepada cara-cara fikiran suci dapat terlatih. Beberapa kali bapa telah datang melawat aku didapati air mukanya bercahaya bagai orang puas hati dengan penjagaan dan pergaulan cikgu Adham suami isteri terhadap aku. Nampaknya tiada bersalah rasa bapaku, tambahan pula oleh sebab cikgu Adham sendiri berterus terang mengkhabarkan kepada bapaku menyatakan aku adalah diutamakannya dengan memberi berbagai-bagai nasihat dan pengetahuan yang patut. Sedang pelajaran-pelajaran ugama dikuatkan pula oleh cikgu itu kepada aku, dikatakannya hajatnya supaya aku mengambil berat di atas hal ehwal berkehidupan yang akan mempunyai tujuan hidup yang bersih dalam masyarakat dan kaum family serta rumah tangga.


45 Sungguh puas hati bapaku manakala mendengar keterangan-keterangan daripada cikgu Adham begitu. Aku berkediaman di rumah cikgu itu telah genap dua tahun mudah mudahan sentiasa di dalam sihat dan aman. Ada juga sekali sekala aku balik ke rumah bapaku dengan ditemani oleh Makcik Sawiyah isteri cikgu Adham : telah mendapat sambutan baik daripada bapa dan makcik ibu tiriku. Di masa makcik ibu tiriku itu sakit aku dijemput bapa dibawanya kembali ke rumahku. Kerana membantu menolong makcik yang sakit itu. Makcik itu berkata kepadaku. “ Kau rupanya berkecil hati Halimah kepada makcik : Patutlah kau undur daripada rumah ini. Tidak suka kau diam bersama-sama aku. Maklumlah aku orang menumpang di rumah kau. Kau tak suka melihat aku di rumah kau sebab itu kau tak senang hati melihat aku di rumah ini ” . Perkataan makcik ibu tiriku itu terus ku jawab. “ Bukan Mah mengada-adakannya perselisihan sangka kepada makcik, sekiranya makcik menyangka Mah benci kepada makcik sepatutnya makcik patut tau menyemak hati makcik sendiri benci atau suka melihat Mah di rumah ini. Saya anak yang tidak ada beribu lagi seharusnya makcik


46 juga yang boleh menjadi ganti Mah tempat beribu. Tetapi agaknya makcik terkhilaf sedikit tentang kurang sanggup mengakui Mah anak makcik : Sebab itu makcik telah meletakkan beberapa kekasaran kepada mah. Mah ini anak yang bodoh makcik : Sepatutnya makcik memang-memang boleh menunjuk ajar menegur memarahi saya sebagai ibu kepada anak-anak : Tetapi makcik cuma mengambil satu langkah sahaja hanya mensifatkan Mah anak tiri dijijikkan. Padahal Mah mesti tunduk kepada makcik kerana makcik tetap sama sekali pangkat ibu kepada Mah, makcik segera putus harap kepada Mah dan Mah telah putus harap kepada makcik, inilah sebab yang terbesar menceraikan saya dengan bapa saya serta makcik juga. “ Panjang cakap aku panjang cakap makcik itu kepada aku, lama-lama aku diam mengenangkan dia di dalam kesakitan. Namun begitu dia belum mau insaf memandang aku. Dia lagi mahu mengunkit-ungkit. Ku sabar-sabarkan hatiku sebab beranggaran tidak sepatut-patutnya aku melawan akan dia pertama kerana dia bagaimanapun ibu ke dua dia adalah jumlah orang yang sakit. Sungguh aku beruntung oleh sebab telah merasa tahu


47 mempunyai timbang rasa daripada selalu-selalu mendengar nasihat-nasihat yang berguna daripada Cikgu Adham suami isteri. Aku perhatikan bapaku di masa makcik itu sakit tidak pula kurang pembelaannya serta tidak pula lemah kemahuannya mengikhtiarkan hubat-hubatan. Tidaklah apa ubahan seperti mana bapa membela ibu kandungku ketika sakitnya dahulu, walhasil serba patut jika dipadankan bagaimana seorang suami membela isterinya. Demikian pun makcik itu belum juga pantas memberhentikan resmi pembengis dan perampusnya, berani terus dia mengutuk dan mendakwa bapa. Memang payah aman bergaul dengan seorang yang bersifat pengasar dan pembengis. Di waktu makcik itu tertidur pada hari itu bapa berkata pula kepadaku, sambil dia menarik nafas panjang, “ Ada seperkara hendak bapa katakana kepada kau Halimah : Tetapi bapa pinta jangan kau terkejut atau susah hati. Berkenaan dengan tanah kebun pisang dan ladang tebu kita itu sudahlah bapa tukarkan nama dalam lesennya. Sekarang telah dibubuhkan nama makcik kau ini jadinya kebun di tanah lesennya itu makcik kaulah yang punya. Bapa terpaksa menukarkan nama bapa kepada namanya oleh sebab


48 hendak memuaskan hatinya dan berharap dia supaya percaya yang bapa ini tidaklah semata-mata hendak senang seorang melainkan dia juga hendak disenangkan. Selalu direngek-rengeknya bapa supaya menukarkan nama bapa kepada namanya pada memiliki kebun itu, hati bapa berlibang libu di buatnya dan otak bapa rasa kusut, serba salah. Mau tak mau bapa sampaikan hajatnya. Diharap kau fahamlah sekarang. “ Aku sambut perkataan bapa itu dengan tenang dan memuji dia kerana aku takut jangan bapaku menyesal dan merasa kecewa. “ Bapa sudah patut berbuat begitu memberi sumbangan pada yang mahu. Sudah tempatnya itu ; Hanya satu sahaja Mah terkenang. Kata orang berpetua “ Sayangkan bini tinggal-tinggalkan sayangkan anak tangan-tangankan”. Itukah petua bapa pakai ? ” Bapaku tersenyum lalu menjawab “ Petah pula kau mendakwa bapa ya – Bukan kau tak tau : Tidak semunya petua-petua itu boleh dipakai. „ Istimewa oleh orang seperti bapa ini. Bapa kau ini orang kepayahan‟ petua tak petuanya yang bapa ikut cuma satu gaya, apa yang bapa boleh bapa buat


49 bapa kerjakan. Di mana kesanggupan bapa di situ bapa bertenaga, kalau bapa berkehendakkan serba serbi mengandung petua dari orang harus pula petua bapa sendiri tidak terikut. Tetapi Halimah bagai kau menanya bapa tadi, sebenarnya petua yang begitu bapa turut. Sekadarnya bapa mengambil faham apa yang bapa hendak lakukan mestilah bapa fikirkan habis-habis tentang buruk baiknya kemudian bapa timbang boleh atau tidak bapa kerjakan jika sudah sanggup bapa menunaikannya bapa usahakan hingga bertemu kepada keputusan yang memuaskan hati. Bapa tidak pandai melapis-lapis tujuan. Kalau sudah satu maka satu itulah bapa tuju. Aku benarkan perkataan bapa itu, “ Sebenarnya bapa, tidak asing lagi daripada betulnya fikiran dan perasaan bapa itu – Terima kasih bapa. ” Seminggu sudah berlalu makcik itu belum juga sembuh daripada sakitnya aku masih bertunggu lagi di rumah bapaku menolong serba yang patut supaya bapaku jangan menjadi keberatnya sangat. Menurut yang terfaham olehku, sudah tentunya makcik ibu titriku itu bercerai dengan suaminya yang pertama di sebabkan oleh


Click to View FlipBook Version