Baca
BACA (Edisi E-Buku)
Persatuan Pustakawan Malaysia
eISBN: 978-967-25842-1-6
Editor: Zaiton Abu Samah
Diterbitkan oleh:
Persatuan Pustakawan Malaysia,
Perpustakaan Negara, 232, Jln Tun Razak, Titiwangsa,
50572 Kuala Lumpur, Malaysia.
e-mel: [email protected]
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Baca / Editor : Zaiton Abu Samah.
ISBN 978-967-25842-1-6
1. Reading interests.
2. Books and reading.
3. Bibliotherapy.
I. Zaiton Abu Samah.
028.9
Gambar muka depan serta kebanyakan gambar aktiviti pembacaan yang terkandung di dalam
buku ini adalah antara yang terpilih daripada ratusan penyertaan dalam Pertandingan Fotografi
Malaysia Membaca, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 dan Kuala
Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020.
© Hak Cipta Terpelihara 2022
Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi, gambar dan isi
kandungan buku ini dalam apa-apa jua bentuk dan dengan apa cara sekalipun, sama ada
secara elektronik, mekanik, fotokopi, rakaman, atau cara lain, sebelum mendapat izin bertulis
daripada penerbit.
Edisi E-Buku
Baca
Persatuan Pustakawan Malaysia
Kandungan
Sekapur Sirih: Datuk Bandar Kuala Lumpur ii
Seulas Pinang: Presiden PPM iv
Pengenalan vi
Penghargaan x
Bab 1 Perpustakaan di Malaysia 2
Bab 2 Mengapa Membaca? 16
Bab 3 Panduan Membaca 30
Bab 4 Keluarga Membaca 42
Bab 5 Biblioterapi Buat Saya Bahagia 56
Bab 6 Mencintai Buku Secara Positif: 76
Transformasi Bibliomania ke Bibliofil
Bab 7 Gahnya KLWBC 2020 88
Anekdot Personaliti Bidang Kepustakawanan 109
Biodata Penulis 127
Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia i
Sekapur Sirih
Datuk Bandar Kuala Lumpur
Salam Sejahtera Pembaca Budiman,
Kita bertuah kerana kota Kuala Lumpur yang kita sayangi telah
diangkat menjadi Ibu Kota Buku Dunia tahun 2020. Pengiktirafan
dari badan dunia, UNESCO ini patut kita banggakan dan
menyambutnya dengan membuktikan bahawa membaca telah
menjadi budaya masyarakat kita. Pihak Dewan Bandaraya telah
menyediakan pelbagai prasarana untuk pembangunan literasi
warganya. Selain perpustakaan, kami menyediakan kios-kios,
sudut bacaan, pustaka kecil percuma dan bahan-bahan bacaan
percuma di merata tempat terutamanya tempat tumpuan awam.
Pun begitu, segala kemudahan itu tidak akan memberi makna
apa-apa jika kita tidak menyuburkan dan meneguhkan budaya
membaca di kalangan masyarakat.
Menyedari kepentingan membaca maka Jawatankuasa
Kuala Lumpur World Book Capital 2020 atau KLWBC 2020 dengan
tema KL Baca: Caring Through Reading bekerjasama dengan
Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) mengambil inisiatif untuk
menerbitkan buku berjudul ‘Baca’. Ini merupakan antara langkah
promosi menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat
Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur. Kandungan buku ini
biarpun ringkas namun ia mencakupi pelbagai aspek berkaitan
dengan aktiviti membaca, pembacaan dan dunia perbukuan. Buku
ini adalah buku umum sesuai untuk bacaan masyarakat pelbagai
peringkat umur dari pelajar sekolah, siswa dan ibu bapa.
ii Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Sekapur Sirih
Sebagai tanda sokongan kami untuk kelestarian alam, buku
ini dicetak dalam bilangan yang terhad. Namun begitu, naskhah
versi PDF juga disediakan untuk orang awam. Kami percaya versi
PDF mudah disebarkan dan menjadi kesukaan generasi muda.
Kami berharap agar buku ‘Baca’ ini memberi banyak
manfaat dalam usaha menggalakkan tabiat membaca di kalangan
masyarakat bagi semua peringkat umur.
Semoga seluruh rakyat Malaysia, amnya dan warga
kota Kuala Lumpur, khususnya merupakan warga bestari yang
menjadikan membaca satu budaya seumur hidup.
Selamat Membaca!
Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah
Datuk Bandar Kuala Lumpur
iii
Seulas Pinang
Presiden PPM
Syukur Alhamdulillah dengan izin-Nya, buku berjudul ‘Baca’ ini
telah berjaya diterbitkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia
(PPM).
Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) adalah satu-
satunya badan bukan kerajaan dalam bidang kepustakawanan
dan pengurusan ilmu. PPM mendapat sokongan padu dari
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan semua jenis
perpustakaan di Malaysia, dengan berkolaborasi dengan industri
perbukuan dan organisasi-organisasi lain dalam menjayakan
pelbagai program galakan membaca.
PPM telah ditubuhkan dengan misi mewujudkan
masyarakat madani berasaskan pengetahuan melalui promosi
ekuiti maklumat; pembelajaran sepanjang hayat dan kendiri; dan
penambahbaikan profesional dalam bidang kepustakawanan
dan pengurusan maklumat. Keprofesionalan dalam bidang ini
menjadikan PPM sebagai penggerak utama bagi perkongsian ilmu
dengan penganjuran persidangan, bengkel dan pelbagai aktiviti
berkaitan di peringkat negara dan antarabangsa.
Selepas 60 tahun, kredibiliti PPM sebagai peneraju dan
pengurus acara berkualiti dan berimpak tinggi diakui ramai demi
pembangunan perpustakaan, masyarakat dan negara. Antaranya,
setiap tahun PPM menganjurkan Persidangan Tahunan
Perpustakaan Malaysia (PTPM) yang mengumpulkan ahli think
tank dari warga kerja pengurusan maklumat dan industri yang
berkaitan, untuk membentang kertas kerja, dan bertukar idea dan
pemikiran demi transformasi bidang kepustakawanan. Kejayaan
yang paling besar di peringkat antarabangsa ialah menjadi tuan
rumah kepada penganjuran International Federation of Library
iv Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Seulas Pinang
Associations and Institutions, World Library and Information Congress
atau IFLA WLIC 2018 di Kuala Lumpur Convention Centre
yang menjadi antara penganjuran terbaik dunia dengan kehadiran
seramai 3,500 peserta dari 112 negara.
Cabaran pandemik Covid-19 yang kita lalui sekarang
ini tidak menghalang Persatuan Pustakawan Malaysia untuk
menerbitkan buku yang judulnya sangat dekat di hati PPM iaitu
berkaitan galakan membaca.
Penerbitan buku ‘Baca’ ini adalah kolaborasi PPM dan
Sekretariat KLWBC 2020, sempena Kuala Lumpur World Book
Capital (KLWBC) 2020. Buku yang bersifat umum dan santai
namun tetap berinformasi ini diharap dapat dimanfaatkan serta
diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira usia,
lokasi geografi dan latar belakang pelajaran. Pengisian buku ini
ditambah nilai dengan personaliti yang banyak menyumbang dan
berjaya dalam bidang kepustakawanan dan pengurusan maklumat
dengan berkongsi inspirasi mereka melalui ruangan Anekdot.
Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada
Jawatankuasa Penerbitan dan penulis buku ‘Baca’ yang amat
komited untuk menjayakan penerbitan buku ini. Saya yakin
pengisiannya dapat mencetus dan melestarikan budaya membaca
rakyat Malaysia sebagai amalan yang menyumbang kepada
kecemerlangan diri serta minda dan seterusnya kejayaan pemikiran
rakyat dan negara.
Selamat memBACA!
YBhg. Datu Dr. Hajah Rashidah Bolhassan
Presiden
Persatuan Pustakawan Malaysia 2020/2022
v
Pengenalan
Apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai Ibu Kota Buku
Dunia 2020 atau Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) 2020,
Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) merupakan antara Badan
Bukan Kerajaan (NGO) yang tampil menawarkan aktiviti dan
program menarik bagi meraikan sambutan KLWBC ini. Namun,
tiada siapa dapat menjangka pandemik Covid-19 akan berlaku
dan melanda seluruh dunia. Ini membawa kepada perubahan
perancangan asal PPM untuk mengadakan acara secara bersemuka
di lokasi sekitar Kuala Lumpur dengan mengambil inisiatif yang
inovatif untuk menjadikan program secara dalam talian.
Ternyata langkah ini tepat apabila sebanyak 13 Siri Program
Galakan Membaca Heritage Trail 2 secara dalam talian telah
dilaksanakan dengan pelbagai tajuk yang menarik minat ramai
dalam bidang kepustakawan dan maklumat serta masyarakat luar.
Pada Disember 2020, berlokasi di FB PPM, KLWBC dan FB
hos atau penganjur, siaran yang diadakan secara langsung telah
berjaya meraih lebih 20,000 tontonan maya. Program lain yang
dianjurkan oleh PPM sempena KLWBC pada tahun 2020 ialah
Bookwalk & Bookhunt @ Bunus River dan Read in the Park (RITP).
vi Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Pengenalan
Pada awal tahun 2021 pula Webinar KLWBC 2.0: The Finale telah
berjaya diadakan sepenuhnya secara dalam talian melibatkan
kolaborasi pelbagai perpustakaan dari dalam dan luar negara.
PPM memang aktif menerbitkan buletin, jurnal serta
buku dan mengorak langkah lebih dinamik pada tahun 2021
dengan mencadangkan penerbitan buku BACA kepada Sekretariat
KLWBC 2020. Saranan asal penerbitan buku berkaitan membaca
oleh PPM untuk dihadiahkan kepada masyarakat secara percuma
adalah cetusan ilham daripada Tuan Syed Salim Agha iaitu
mantan Presiden PPM dan mantan Ketua Pustakawan UPM dan
UIA. Perbincangan awal bagi penerbitan buku ini telah diadakan
pada 1 Januari 2021 dan diikuti dengan perbincangan hala tuju
editorial, penerbitan serta pasca terbitan yang dilakukan secara
fizikal dan dalam talian. Setelah mendapat sokongan dan inspirasi
daripada Dr. Hajah Rashidah Bolhassan selaku Presiden PPM dan
kelulusan daripada Ahli Majlis PPM, kertas cadangan berkaitan
penerbitan buku telah dihantar kepada Sekretariat KLWBC 2020
dan mendapat kelulusan dana pada Mac 2021.
Penulisan buku ini menyentuh semua aspek perbukuan
yang mana objektif penerbitan buku ‘Baca’ ini adalah untuk
memantapkan lagi peranan PPM dalam menggalakkan aktiviti
pembacaan dan celik ilmu dengan menghayati manfaat
membaca untuk mendapat tambahan ilmu pengetahuan, meneliti
komponen yang terlibat dengan pembacaan dan penghasilan
pemikiran minda yang positif dan terbuka. Di samping itu juga
ia dapat menunjukkan perkaitan kukuh aktiviti membaca yang
seiring dengan bidang kepustakawanan dan maklumat. Pada
masa yang sama, PPM berperanan dalam library and community
engagement yang beriltizam untuk melihat pengaruh perpustakaan
dan keseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Justeru, matlamat penerbitan ini turut mengambil kira simbiosis
aspek budaya membaca sebagai amalan, aktiviti berkaitan
vii
membaca, isu berkaitan dan pastinya kesedaran terhadap peranan
perpustakaan.
Bagi mencapai misi serta objektif penerbitan ini, setiap bab
di dalam buku ‘Baca’ disusun secara inklusif yang merangkumi
latar belakang perpustakaan di Malaysia, manfaat membaca,
tips membaca, pengurusan perpustakaan keluarga, berkaitan
biblioterapi, isu kompulsif berkaitan buku dan impak positif
pembacaan. Julung-julung kali, buku ‘Baca’ turut memuatkan
kata-kata hikmah daripada personaliti yang masih dan pernah
berkhidmat di perpustakaan negara, akademik, awam, khusus
serta pusat sumber sekolah dan fakulti berkaitan pengurusan
maklumat. Mereka berkongsi pengalaman peribadi serta impak
membaca yang membentuk jati diri mereka sebagai pemimpin
organisasi, anggota dalam masyarakat dan ahli dalam institusi
keluarga.
Ahli Jawatankuasa Penerbitan dan penulis buku ‘Baca’
terdiri daripada pengamal industri termasuk pustakawan, penulis
buku dan penerbit yang masih berkhidmat dan telah bersara.
Jawatankuasa juga menyediakan kandungan buku dan proses
awalan editorial selain daripada menulis bab buku. Usaha
mempromosikan buku ‘Baca’ juga telah diatur yang melibatkan
aktiviti pembacaan secara jerayawara sambil mengedarkan buku
serta poster mengenai manfaat membaca kepada masyarakat,
perpustakaan dan pusat sumber terpilih. Malah, promosi dalam
talian juga akan diadakan bagi memperluaskan objektif penerbitan
buku untuk dibaca oleh khalayak.
Menurut Zaini Ujang dalam bukunya Membaca: Motivasi
dan Kaedah (2019), “Sesungguhnya, membaca boleh memberi
ketenangan kepada jiwa dan fikiran. Membaca memantapkan
aspirasi dan cita-cita. Membaca menanamkan semangat dan
pada masa yang sama, mengentalkan azam. Membaca juga
viii Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Pengenalan
membimbing anda untuk melangkah menjejak kehidupan
lebih sempurna. Membaca menemankan anda kala sunyi, dan
menghiburkan ketika sepi. Membaca meluaskan ufuk pemikiran.
Sesungguhnya membaca menyuluh kehidupan!”.
Maka tepatlah inisiatif PPM untuk menerbitkan buku
mengenai membaca ini untuk disebar luas kepada masyarakat
dalam usaha memupuk lagi minat membaca terutama di musim
pandemik Covid-19, agar masyarakat lebih tenang, memahami
dan menjiwai bahan bacaan yang dibaca tanpa mengira bacaan
berbentuk cetak atau buku dan sumber elektronik lain. Membaca
memenuhi ruang jiwa yang sesak dengan situasi pandemik yang
diharapkan akan berakhir sepenuhnya.
Walaupun KLWBC 2020 telah sampai ke penghujungnya
pada 22 April 2021 yang lalu, PPM mengharapkan kesan positif
daripada aktiviti perbukuan dan pembacaan sepanjang program
tersebut akan berakar umbi dan sebati dalam jiwa para pencinta
buku. Semoga melalui penerbitan buku ‘Baca’ ini rasa cinta
terhadap buku terus mekar mewangi dan sumbangan kecil PPM
ini dapat memberi impak positif kepada aktiviti pembacaan dan
kemajuan perkembangan pemikiran masyarakat.
Puan Hajah Siti Sumaizan Ramli
Pengerusi Penerbitan Buku ‘Baca’
merangkap Naib Presiden 1
Persatuan Pustakawan Malaysia 2020/2022
ix
Penghargaan
Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) ingin merakamkan setinggi-
tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa
Penerbitan buku ‘Baca’ dan mereka yang menyumbang secara
tidak langsung terhadap penerbitan buku ini:
• Sekretariat KLWBC 2020 atas pembiayaan penerbitan buku
• Semua penulis bab
• Semua penyumbang Anekdot Personaliti Bidang
Kepustakawanan
• Jawatankuasa Kecil Anekdot – Puan Shamsiah Abu Bakar
dan Puan Zurina Abd Aziz
• Jawatankuasa Kecil Semakan – Puan Siti Sumaizan Ramli,
Puan Hasnita Ibrahim dan Cik Mimi Salleh
• Jawatankuasa Kecil Penyelidikan - Datin Che Normadiah
Che Abbas, Dr. Zuridah Hanim Md Akhir, Cik Rohaya
Umar, Puan Samsul Khamariah Hamzah dan Puan Chin Loy
Jyoon
• Jawatankuasa Kecil Infografik dan Buku Digital – Cik Mimi
Salleh
• Jawatankuasa Kecil Promosi Buku – Tuan Ts Amirul Firdaus
Zilah, Puan Nurfarawahidah Badruesham, Encik Mohd
Tazman Utuh Tang dan Cik Farah Syazwani Baharuddin.
x Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia 1
Bab 1
PERPUSTAKAAN DI MALAYSIA
Siti Sumaizan Ramli dan Ali Rashid
Pengenalan
Pernahkah anda mendengar istilah kutubkhanah atau pustaka?
Nama kutubkhanah asalnya dikenali dalam bahasa
Urdu yang bermaksud perpustakaan atau sebuah ruang yang
menempatkan koleksi buku untuk membaca, membuat rujukan
dan pinjaman kepada masyarakat. Pustaka pula ditafsirkan sebagai
satu lambang puncak keilmuan untuk masyarakat dan negara
bagi mengkaji dan meneroka sumber maklumat dan ilmu dalam
pelbagai bidang perkara.
GEDUNG ILMU: Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM)
2 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
Salah satu kutubkhanah terawal di Tanah Melayu adalah
di Melaka dan dikenali sebagai Kutubkhanah Melaka. Tempat
ini dibangunkan di Stadthuys sekitar tahun 1881. Selepas
kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan pembentukan
Malaysia pada tahun 1963, Kutubkhanah Melaka dipindahkan
ke Dewan Hang Tuah pada tahun 1966. Pada tahun 1975, nama
Kutubkhanah ini dikenali sebagai Perpustakaan Awam Melaka.
Sesebuah perpustakaan perlu mempunyai martabat dan
konsepnya tersendiri. Nama pustaka itu cukup gah dari segi
terminologi dengan kedudukannya sebagai sumber ilmu. Pelbagai
faktor yang boleh menarik masyarakat untuk berkunjung ke
perpustakaan, antaranya ialah lokasi perpustakaan, keunikan
seni bina bangunan dan landskap taman yang menarik, serta
kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada
pengunjungnya. Selain faktor-faktor ini, keperluan mendapatkan
bahan bacaan dan maklumat adalah faktor utama yang menarik
masyarakat untuk mengunjungi perpustakaan.
Perpustakaan dan Program Galakan Membaca
Peranan perpustakaan dalam program membaca dan meningkatkan
ilmu pengetahuan menjadi penting bermula daripada peringkat
prasekolah, sekolah, universiti dan sepanjang hayat manusia.
Perpustakaan berperanan menerapkan budaya membaca sebagai
gaya hidup untuk melahirkan masyarakat berilmu, mempunyai
hikmah serta minda kelas pertama.
Dasar Galakan Membaca Perpustakaan Negara Malaysia
(PNM) digubal bagi memastikan program galakan membaca
yang terancang dan berterusan dilaksanakan di seluruh negara.
Program ini juga bertujuan memupuk minat membaca serta
menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah mewujudkan
3
masyarakat berbudaya membaca dan mencintai ilmu. Selain itu,
Dasar Galakan Membaca ini juga memenuhi tujuan penubuhan
Perpustakaan Negara iaitu ‘menggalakkan dan memudahkan
penanaman sifat gemar membaca’ serta selaras dengan strategi
Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Pusat Maklumat perkara
4.7.5 iaitu ‘untuk menanam dan menggalakkan minat membaca’.
Dasar ini juga menyokong Dasar Buku Negara perkara 3
iaitu ‘memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca
yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti’.
BACA:
Program galakan membaca
untuk pelajar sekolah di PNM.
Jenis-jenis Perpustakaan di Malaysia
Perpustakaan di Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis mengikut
fungsi dan objektif penubuhan perpustakaan. Kategori
perpustakaan adalah seperti berikut:
1. Perpustakaan Negara
2. Perpustakaan Awam
3. Perpustakaan Akademik
4. Perpustakaan Khusus
5. Pusat Sumber Sekolah
4 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
1. Perpustakaan Negara
Sejarah penubuhan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)
bermula pada tahun 1966 dengan pewujudan Unit
Bibliografi Kebangsaan di Arkib Negara Malaysia yang
bertanggungjawab dalam melaksanakanAkta Pemeliharaan
Buku 1966. Unit ini dinaiktarafkan kepada Bahagian
Perpustakaan Negara yang menjadi sekretariat kepada
sebuah Jawatankuasa untuk merancang penubuhan
Perpustakaan Negara.
PNM melalui Akta Perpustakaan Negara 1972 (Akta 80)
ditubuhkan dengan maksud dan tujuan seperti yang
berikut:
i. Menyediakan bagi penggunaan generasi masa kini
dan masa depan suatu koleksi sumber perpustakaan
di peringkat kebangsaan;
ii. Memudahkan capaian seluruh negara sumber
perpustakaan yang terdapat di dalam dan di luar
negeri; dan
iii. Mengadakan kepemimpinan dalam perkara yang
berkaitan dengan perpustakaan.
2. Perpustakaan Awam
Institusi yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan
awam kepada masyarakat di setiap negeri melalui
perpustakaan seperti perpustakaan awam negeri, wilayah,
cawangan, pekan, desa dan bergerak. Perpustakaan ini
ditubuhkan dan dibiayai secara keseluruhan atau
sebahagiannya oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Tempatan.
5
Di Malaysia, salah satu contoh perpustakaan negeri ini
ialah Pustaka Negeri Sarawak yang mula beroperasi pada
tahun 2000. Penempatan lokasinya yang strategik di
dalam kawasan yang luas dan dikelilingi taman hijau serta
tasik yang mendamaikan, Pustaka Negeri Sarawak menjadi
antara destinasi riadah paling popular dalam kalangan
penduduk sekitar Bandaraya Kuching.
Keunikan seni bina dan kemudahan moden dan kondusif,
Pustaka Negeri Sarawak bukan sekadar menawarkan
perkhidmatan rujukan maklumat semata-mata, tetapi
turut menjadi destinasi pilihan untuk penganjuran
persidangan, seminar, bengkel serta aktiviti sosial yang
lain.
DAMAI:
Suasana damai sekitar
Pustaka Negeri Sarawak
dengan pemandangan
tasik yang tenang.
6 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
i. Perpustakaan Awam Wilayah
Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan
perpustakaan di kawasan yang mempunyai jumlah
penduduk di antara 100,000 – 200,000 orang.
Perpustakaan awam wilayah yang terdapat di negeri
Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
ii. Perpustakaan Awam Metropolitan
Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan
perpustakaan di kawasan yang mempunyai jumlah
penduduk di antara 200,000 – 400,000 orang.
Perpustakaan ini kini dikategorikan sebagai
perpustakaan awam cawangan.
iii. Perpustakaan Awam Cawangan/Daerah
Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan
perpustakaan kepada penduduk setempat seperti
di bandar, daerah dan mukim.
iv. Perpustakaan Awam Pekan/Komuniti
Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan
perpustakaan kepada penduduk setempat seperti
di pekan dan kawasan sekitar serta dalam pusat
membeli belah.
v. Perpustakaan Desa
Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan
perpustakaan di kawasan kampung atau luar
bandar yang terletak jauh daripada perkhidmatan
perpustakaan pekan dan cawangan.
vi. Perpustakaan Bergerak
Perpustakaan yang bergerak dari satu tempat
ke satu tempat untuk memberikan perkhidmatan
7
ke kawasan-kawasan yang terpencil secara berjadual
dengan menggunakan kenderaan yang dikhaskan
seperti bas atau van.
3. Perpustakaan Akademik
Perpustakaan Akademik merupakan perpustakaan di
mana struktur organisasinya di bawah pentadbiran
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia.
i. Perpustakaan Universiti Awam (UA)
Perpustakaan yang ditubuhkan di 20 universiti
awam di seluruh negara yang sumber kewangannya
disalurkan oleh KPT. Perkhidmatannya khusus
kepada kakitangan terutama pensyarah dan pelajar
yang menuntut di universiti tersebut dan UA lain.
Namun keahlian perpustakaan UA dibuka kepada
masyarakat dengan mengadakan pelbagai program
di dalam dan di luar perpustakaan.
ii. Perpustakaan Institut Pengajian Tinggi
Swasta (IPTS)
Perpustakaan yang ditubuhkan IPTS iaitu di
universiti, kolej dan institut. Perkhidmatannya
khusus kepada kakitangan dan pelajar yang
menuntut di IPTS tersebut. Perpustakaan akademik
memainkan peranan aktif untuk menyokong
dan memperkasa pengajaran, pembelajaran,
penyelidikan dan penerbitan universiti. Fokus
utama perpustakaan akademik adalah untuk
menyediakan koleksi bahan rujukan serta memberi
perkhidmatan dan kemudahan kepada pengguna
perpustakaan.
8 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
Dari segi akses kepada sumber maklumat dan
ilmu, kebanyakan perpustakaan akademik hanya
terbuka kepada pengguna institusi berkenaan
dan ditutup kepada masyarakat luar secara
menyeluruh. Bagaimanapun kini terdapat arah
aliran untuk perpustakaan dibuka kepada
masyarakat selain daripada pengguna perpustakaan
tersebut.
Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia atau
USIM telah membuka dan memberi peluang kepada
semua lapisan masyarakat di samping pelajar dan
pensyarah untuk masuk ke perpustakaan dan
menggunakan ruang bacaan secara percuma.
Inisiatif ini dapat menggalakkan masyarakat
membaca dan membuat rujukan dalam keadaan
yang kondusif dan selesa. Selain pembacaan, ruang
perpustakaan menjadi tempat pertemuan dan
perbincangan di antara masyarakat dan warga
universiti.
TERSERGAM MEGAH:
Perpustakaan USIM menawarkan perkhidmatan maklumat terkini kepada warganya.
9
4. Perpustakaan Khusus
Perpustakaan yang ditubuhkan dalam sesebuah organisasi
kerajaan seperti di kementerian, jabatan, badan berkanun
dan agensi; firma swasta; dan pertubuhan yang mempunyai
koleksi rujukan yang berfokus dan spesifik pada bidang
tertentu bagi memenuhi keperluan pengguna perpustakaan
dalam organisasi/institusi tersebut atau penyelidik luar
yang datang ke perpustakaan secara fizikal atau maya
untuk mengakses sumber rujukan.
i. Perpustakaan Khusus Gunasama (Organisasi
Kerajaan)
Perpustakaan di bawah Perkhidmatan Gunasama
Perpustakaan menjadikan Perpustakaan Negara
Malaysia sebagai Ketua Perkhidmatan yang
bertempat di Kementerian dan Jabatan Kerajaan
Persekutuan di seluruh Malaysia.
ii. Perpustakaan Khusus Badan Berkanun,
Agensi dan Swasta
Perpustakaan di luar perkhidmatan Gunasama
Perpustakaan bertempat di badan berkanun,
agensi, pertubuhan dan syarikat swasta.
5. Pusat Sumber Sekolah
Pusat Sumber Sekolah ialah sebuah tempat yang
menyediakan kemudahan satu koleksi bahan pengajaran
dan pembelajaran yang diurus secara sistematik. Pusat
ini menyediakan maklumat, perkhidmatan dan peluang
bagi pengajaran dan pembelajaran untuk penguasaan
kemahiran serta kemahiran pendidikan ke arah
10
Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar
membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pelajar digalakkan meminjam buku dan membaca buku-
buku berkaitan subjek yang dipelajari di sekolah sebagai
rujukan. Pusat sumber juga menyediakan buku cerita dan
buku-buku lain sebagai aktiviti menarik untuk belajar
tentang kehidupan di peringkat permulaan pelajar.
Perpustakaan Digital @ Virtual Library
Seiring dengan perubahan teknologi dan komunikasi (ICT) serta
penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia,
semua perpustakaan menyediakan perkhidmatan dalam talian
untuk kemudahan pengguna yang boleh diakses di mana jua dan
pada bila-bila masa. Perpustakaan Digital Universiti Pendidikan
Sultan Idris atau UPSI Digital Library merupakan perpustakaan
akademik yang menyediakan sumber digital sepenuhnya seperti
buku dan jurnal elektronik, pangkalan data dalam talian serta
sumber akses terbuka untuk kelangsungan rujukan dan pembacaan
pengguna perpustakaan terutama pelajar dan pensyarah universiti.
EKSKLUSIF DAN SANTAI:
Perpustakaan Digital UPSI menampilkan suasana
santai dengan kemudahan digital kepada warganya
11
Senario penyampaian perkhidmatan perpustakaan secara fizikal
kini berkembang kepada perpustakaan maya atau virtual library
yang membolehkan masyarakat mengakses kepada sumber
maklumat dan ilmu melalui interactive touch panel di pelbagai lokasi.
Kemudahan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapat sumber
ilmu hanya di hujung jari melalui akses yang lebih luas dan efisien.
EKSPLORASI DIGITAL:
Ketua Pustakawan UPSI memberi penerangan khas kepada pengurusan tertinggi UPSI
semasa majlis pelancaran Perpustakaan Digital UPSI.
Penutup
Semua jenis perpustakaan di Malaysia menjadi tunjang kepada
aktiviti dan program membaca untuk pengguna perpustakaan
dan masyarakat. Perpustakaan menyediakan kemudahan dan
perkhidmatan untuk mengakses maklumat dan ilmu dalam
pelbagai format. Perpustakaan juga menjadi tempat tumpuan
untuk berhubung dan berbincang dengan peranan terkini
perpustakaan sebagai library as a place. Pandemik Covid-19 yang
melanda negara dan dunia menyebabkan pengguna lebih memberi
fokus kepada perkhidmatan digital sebagai norma baharu dalam
pencarian maklumat dan ilmu.
12 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
Pusat Repositori terutama di perpustakaan akademik
berupaya menyediakan maklumat digital yang pelbagai
kepada pengguna. Perpustakaan menjadi lebih kreatif untuk
menganjurkan wacana ilmu, pameran dan kuiz secara dalam talian
bagi memastikan pengguna terus dekat dengan perpustakaan
melalui aktiviti dalam talian. Peranan ‘reference chat’ dan media
sosial menjadi lebih penting untuk berhubung dengan pengguna
dan mempromosi perkhidmatan dan koleksi terkini kepada
pengguna perpustakaan.
Rujukan
(2006). Akta Perpustakaan Negara Malaysia 1972: Akta 80. Kuala
Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
(2013). Dasar galakan membaca Perpustakaan Negara Malaysia.
Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia
(2020). Perangkaan perpustakaan di Malaysia 2019. Kuala Lumpur:
Perpustakaan Negara Malaysia.
Dali, Vannier & Diuglass (2020). Reading experience librarianship:
Working with readers in the 21st century. Retrieved from
https://www.emerald.com/insight/0022-0418.htm.
Thebridge, Stella & Train, Briony (2002). Promoting reading
through partnerships: A ten-year literature overview. New
Library World. 103 (1175/1176), pp. 131-140.
Zawiyah, Baba (Ed.). (2017). Libraries in Malaysia: Towards
transformation and community outreach. Kuala Lumpur:
Librarians Association of Malaysia.
13
14 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 1: Perpustakaan di Malaysia
15
Bab 2
MENGAPA MEMBACA?
Siti Salbiah Raduan
Pengenalan
Membaca sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup sejak
manusia bertamadun mencipta tulisan sebagai cara menyampaikan
maklumat dan pengetahuan. Kemajuan teknologi dengan
terciptanya kertas, dakwat, mesin cetak, Internet dan kandungan
digital, membuatkan maklumat dan pengetahuan tersebar dengan
meluas. Sejak itulah manusia celik huruf, membaca dan terus
membaca.
Aktiviti membaca boleh menjadi hobi yang
menyeronokkan bagi memenuhi masa lapang dan menjadi aktiviti
rekreasi yang murah dan fleksibel. Buku ialah barangan yang
mampu milik dan mudah disimpan. Buku juga boleh diperoleh di
perpustakaan secara fizikal dan digital. Oleh sebab itu, membaca
menjadi riadah terbaik pada waktu sibuk dan boleh menjadi
sebagai suatu pelarian bagi seseorang, selain sebagai memberi
tenaga segar dengan memanfaatkan masa sebaik-baiknya.
Tabiat membaca juga merupakan kelebihan kepada
seseorang, iaitu pertama ialah kelebihan yang boleh dipupuk
semenjak kecil lagi. Kedua ialah kelebihan persekitaran keluarga
yang membaca. Budaya membaca yang dipupuk dalam kalangan
keluarga boleh mempengaruhi seseorang untuk minat membaca.
Sebagai seorang Islam, membaca adalah perkataan
pertama sewaktu Rasulullah s.a.w. menerima wahyu yang pertama
16 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
daripada malaikat Jibril, iaitu Surah Al-Alaq di Gua Hira’ pada
17 Ramadhan atau pada 6 Ogos 610 Masehi. IQRA’ “Bacalah
(Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah,
dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena
dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-Quran 96:1, Surah Al-Alaq: 1-5).
Faedah Membaca
Banyak faedah yang diperoleh hasil daripada kegiatan membaca
yang mempengaruhi kesihatan fizikal, mental dan sosial seperti
berikut:
1. Menambah ilmu pengetahuan
Buku sebagai sumber maklumat yang dapat menambah
ilmu pengetahuan berkaitan ekonomi, sosial, budaya,
politik dan aspek-aspek kehidupan secara amnya di dalam
dan di luar negara, kerana amalannya boleh mengubah masa
hadapan kita.
2. Memperbaiki penguasaan bahasa
Orang yang banyak membaca memperoleh banyak istilah,
kosa kata dan ungkapan-ungkapan. Hal ini akan membantu
untuk kelancaran dalam bertutur dengan lebih baik.
Amalan ini merupakan soft skill yang menjadi nilai
tambah dalam pekerjaan dan pembinaan karier. Bagi
pembelajaran bahasa-bahasa asing, membaca juga
meningkatkan penguasaan bahasa yang dipelajari.
17
Terutamanya jika pelajar tiada lawan untuk bertutur, maka
membaca dapat membantu mereka menguasai bahasa
asing dengan lebih cepat.
3. Meningkatkan kemahiran menulis
Seseorang yang mempunyai banyak kosa kata hasil
pembacaan, maka keupayaan dan kemahiran menulis
dapat dipertingkatkan dan hasil penulisan juga lebih
berkualiti.
4. Membantu proses mematangkan fikiran
Membaca melatih keterampilan berfikir dan menganalisis.
Aktiviti membaca merangsang minda mencerna tentang
sebab dan akibat, melatih fikiran memikir secara rasional
(menganalisis) tentang hal baik-buruk kesan daripada
sesuatu kejadian atau tindakan yang dikemukakan dalam
bahan bacaannya. Membaca melatih otak berfikir kritis
dan kreatif. Orang yang gemar membaca sentiasa mengisi
otak dengan informasi dan pengetahuan baharu untuk
kegunaan masa hadapan. Maklumat positif yang masuk
ke dalam minda membuat pembaca bersedia menghadapi
perubahan dan cabaran hidup. Tabiat membaca
membentuk dan mengembangkan karakter menjadi lebih
baik dan berguna ketika membuat keputusan-keputusan
dalam hidup. Ilmunya semakin bertambah dan hidupnya
berwawasan.
18 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
19
5. Meningkatkan daya tumpuan (konsentrasi / fokus)
Orang yang suka membaca lebih mudah untuk fokus atau
memberikan tumpuan kepada sesuatu aktiviti, tugas
atau kerja. Mengapa? Ketika membaca otak dilatih untuk
fokus kepada apa yang mata lihat, apa ayat-ayat yang
menerangkan sesuatu, apa peristiwa atau perkara yang
terjadi dalam buku yang dibaca. Orang yang suka
membaca cenderung lebih teratur dan teliti dalam
menyusun serta melaksanakan aktiviti harian mereka.
6. Meningkatkan motivasi diri
Pembacaan buku-buku bersifat “usaha kendiri”, buku-
buku motivasi yang ditulis berdasarkan pengalaman,
penyelidikan dan pemerhatian memberikan kesan positif
kepada pembacanya. Secara tidak langsung menjadikan
pembaca belajar daripada pengalaman orang lain. Banyak
pengalaman hidup seseorang yang dituliskan dalam buku
begitu mengaspirasikan orang lain yang membaca.
Pengalaman-pengalaman pencipta (inventors), peneraju
industri, pengamal perubatan, ahli sukan, pengembara,
pendaki dan sebagainya sesuatu yang mahal dan
mendorong orang lain untuk mengambil pengajaran.
7. Meningkatkan hubungan sosial
Bagaimanakah membaca boleh meningkatkan hubungan
sosial? Kegemaranmembacatentangbudayadancarahidup
masyarakat lain atau penduduk negara lain memberikan
pembaca pemahaman. Memahami agama, budaya,
kebiasaan dan tatasusila masyarakat lain memudahkan
20
Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
21
perhubungan, terutamanya jika pembaca pergi ke negara
asing. Sebelum berkunjung ke sesebuah negara lain kita
perlu memahami kehidupan sosial, karakter, adat
resam dan pantang larang masyarakat di situ. Mengapa?
Itu memudahkan kita untuk berinteraksi dan menyesuaikan
diri.
8. Meningkatkan kebolehan empati (memahami orang
lain)
Penyelidikan telah membuktikan bahawa orang yang
membaca karya fiksyen, terutamanya kisah-kisah yang
menerokai jiwa watak-watak dalam kisahnya, menunjukkan
kemampuan yang lebih tinggi untuk memahami perasaan
dan kepercayaan orang lain. Kemampuan ini dipanggil
penyelidik sebagai “the theory of mind” iaitu satu set
kemahiran asas dalam membina, melayari dan memelihara
perhubungan sesama insan.
9. Menguatkan fungsi otak
Mendapat manfaat aktiviti membaca dari segi kesihatan
minda dibuktikan oleh penyelidik dengan menggunakan
imbasan MRI. Penyelidik mengesahkan bahawa aktiviti
membaca melibatkan satu rangkaian litar otak dan
signal-signal yang kompleks. Dalam kajian di tahun
2013 itu, penyelidik menggunakan fungsi imbasan MRI
untuk mengukur kesan pembacaan novel Pompeii kepada
sekumpulan pembaca dalam satu jangka masa. Apabila
pembaca mencapai ke bab yang menimbulkan tekanan /
keterujaan dalam cerita, lebih banyak signal-signal dari
rangkaian sel-sel otak terbit dapat dikesan.
22
Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
10. Merangsang mental
Otak merupakan salah satu organ tubuh yang memerlukan
latihan agar tetap sihat dan segar. Beberapa penelitian
dan kajian menunjukkan bahawa dengan membaca dapat
mencegah nyanyuk (Alzheimers), membantutkan penyakit
mental (skizofrenia) dan mengurangkan risiko menjadi
pelupa (demensia) pada usia tua.
11. Mengurangkan stres
Setelah penat bekerja seharian dengan pelbagai aktiviti
dan komitmen harian, pasti kita akan berasa penat dan
boleh menyebabkan tekanan perasaan (stress). Dengan
membaca beberapa minit dapat membantu menghalang
perkembangan hormon stres seperti hormon kortison.
Membaca juga dapat membuat fikiran lebih santai sehingga
dapat membantu menurunkan kadar stres sehingga 67%.
Dalam tahun 2009 satu kajian dijalankan mengenai
kesan yoga, humor dan membaca terhadap mahasiswa
program Pengajian Sains Kesihatan yang begitu mencabar
di seluruh Amerika Syarikat. Hasil kajian mendapati
bahawa membaca selama 30 minit mampu menurunkan
tekanan darah dan kadar degup jantung serta menurunkan
rasa stres. Cara ini sama keberkesanannya seperti aktiviti
yoga dan humor yang mengurangkan tekanan. Kekangan
masa merupakan sebab paling utama menimbulkan
tekanan kepada responden. Penyelidik menyimpulkan
bahawa 30 minit untuk ketiga-tiga aktiviti tersebut sangat
mudah untuk dimasukkan dalam sela-sela jadual mereka
yang padat tanpa mengalihkan penumpuan dan mengambil
masa yang banyak.
23
Pengurangan stres ini juga dapat membantu mendapat
tidur yang nyenyak dan nyaman. Oleh yang demikian
seseorang akan dapat menjalani kehidupan pada
keesokan harinya dengan lebih berkualiti. Ada yang
beranggapan bahawa membaca buku akan membuat otak
terus bekerja dan menimbulkan stres, sedangkan faedah
membaca buku adalah dapat mengurangkan stres.
12. Mengurangkan simptom depresi
Membaca dapat mengurangkan simptom depresi
dan mengelakkan rasa cemas (anxiety) kerana otak
berhubung dengan emosi. Membaca mengubah fokus
daripada masalah kepada konsep dan idea baharu. Dengan
membaca buku yang betul juga boleh mendapat
ketenangan.
13. Meneroka perkara baharu
Membaca buku secara keseluruhannya mungkin tidak
mampu mengubah kita dapat memberi perubahan kepada
minda untuk meneroka perkara baru. Tentu sekali apabila
kita banyak membaca terutama dalam bidang yang
diminati, kita akan mendapat ilmu baharu untuk menjadi
lebih kreatif dan inovatif.
14. Meningkatkan imaginasi
Membaca boleh meningkatkan imaginasi dan membawa
kita menerokai ke tempat yang belum pernah dilawati.
Misalnya, membaca buku fiksyen membawa imaginasi ke
24 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
mana sahaja. Aktiviti ini membolehkan kita menjelajah ke
dunia lain, melihat budaya dan kepercayaan orang lain.
15. Memberi ketenangan
Membaca boleh membuat seseorang berada dalam
keadaan tenang apabila membaca sesuatu topik yang
diminatinya. Buku tersebut juga mungkin berkaitan
dengan hobi seseorang. Ilmu, kemahiran dan tip yang
diperoleh daripada bacaan tersebut juga boleh memberi
hasil yang lebih baik terhadap minat atau hobi seseorang.
Membaca juga terbukti berjaya membantu orang yang
menderita gangguan mood tertentu dan penyakit mental
yang ringan.
Penutup
Memandangkan banyak faedah didapati daripada aktiviti
membaca, maka adalah wajar jika semua pihak baik pihak
kerajaan, badan-badan sukarela, orang perseorangan termasuk
ibu bapa turut menyokong dan menggalakkan aktiviti pembacaan
serta menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan tabiat
membaca dalam kalangan masyarakat. Faedah yang diperoleh
dengan membaca juga sebagai penggalak kepada seseorang
untuk membaca melalui pelbagai format. Perpustakaan juga
boleh mempromosi faedah ini bagi menggalakkan lebih ramai
pengguna berkunjung ke perpustakaan.
25
Rujukan
(2016). 15 Manfaat membaca buku dalam kehidupan. Retrieved from
https://manfaat.co.id/manfaat-membaca-buku
Benefits of reading books: How it can positively affect your life. Retrieved
from https://www.healthline.com/health/benefits-of-
reading-books#strengthens-the-brain
Bravishi, A. (2017). The survival advantage of reading books.
Retrieved from https://doi.org/10.1093/geroni/
igx004.1696
Berns, G S et al. (2013). Short and long terms effects of a novel on
connectivity in the brain. Retrieved from https://doi.
org/10.1089/brain.2013.0166
Duff, D. et al. (2015). The influence of reading on vocabulary
growth: A case of a Matthew effect. Retrieved from https://
doi.org/10.1044/2015_JSLHR-L-13-0310
Hustle, Rational. (2020). 7 benefits of reading books and how to read
more. Retrieved from https://rationalhustlecom/reading-
benefits/
Rizzolo, D. et al. (2009). Stress management strategies for students:
The immediate effects of yoga, humor and reading on stress.
Journal of College Teaching and Learning, 6 (8), pp. 79 –
88. Retrieved from https://core.ac.uk/reader/268110463
The importance of reading book. Retrieved from https://www.
selfdevelopmentsecrets.com/benefits-importance-
reading-books/
26 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
Why is reading important? 17 benefits of books. Retrieved from
https://www.developgoodhabits.com/benefits-reading/
Zaharah Yunos, Dr. (2018). Projek bibliofil: Melawan mitos
bangsa malas membaca. Ulu Tiram, Johor Bahru: Zaharah
binti Md Yunos.
Winter, Catherine. 10 Benefits of reading: Why you should read
every day. Retrieved from https://www.lifehack.org/
articles/lifestyle/10-benefits-reading-why-you-should-
read-everyday.html
27
28 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
29
Bab 3
PANDUAN MEMBACA
Dr. Zahrah Yunos
Pengenalan
Tahukah anda bahawa aktiviti membaca merupakan aktiviti yang
paling mudah untuk dilakukan? Jika mahu memasak, kita perlukan
dapur dan bahan-bahan masakan. Jika mahu bersukan, walau
sukan paling ringkas seperti berlari sekalipun kita tetap perlukan
trek larian dan pakaian yang sesuai. Sedangkan untuk membaca,
kita cuma perlukan sebuah buku sahaja untuk memulakannya.
Walau bagaimanapun, bukan bermakna hal ini mudah
untuk semua orang. Buktinya, masih ramai lagi dalam kalangan
masyarakat yang tidak suka membaca buku. Boleh jadi golongan
ini bukanlah malas sebaliknya dibelenggu persoalan-persoalan
seperti bagaimana hendak mula membaca? Buku apakah yang
sesuai untuk dibaca? Bilakah waktu yang sesuai untuk membaca?
Atau bagi yang sudah lama meninggalkan aktiviti membaca,
adakah masih belum terlambat untuk memupuk tabiat ini semula?
Teruskan membaca bab ini kerana anda mungkin akan menemui
tip yang praktikal dan sesuai dengan keadaan diri masing-masing.
Panduan Memilih Buku untuk Dibaca
Seperti memilih makanan di restoran atau pakaian di butik,
memilih buku juga boleh menjadi sebuah proses yang agak
mencabar. Bersyukur sekiranya masih dapat membuat pilihan yang
sesuai dan baik. Tetapi, sekiranya tersalah pilih, kerugian bukan
30 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 3: Panduan Membaca
dari segi masa sahaja, malah dikhuatiri juga akan ‘membunuh’
rasa teruja untuk membaca. Sebelum risiko itu berlaku, marilah
mencuba beberapa panduan memilih buku untuk dibaca.
1. Ulasan Buku
Apabila seseorang beria-ia mencadangkan sebuah buku
kepada kita, jangan terus membelinya kecuali diketahui si
pencadang mempunyai cita rasa yang sama seperti kita.
Bertenang dan ingat, kegemaran setiap orang berbeza.
Ada baiknya kita membuat penilaian sendiri dahulu.
Baca dahulu ulasan buku di laman web seperti Goodreads
dan Amazon, tidak mengira sama ada ulasan positif atau
negatif. Dari situ, kita dapat menilik sama ada buku itu
sesuai dengan cita rasa kita ataupun tidak.
2. Pendahuluan & Bab 1
Sebaiknya baca dahulu pendahuluan dan bab pertama
buku bagi menilai ‘keserasian’ antara kita dengan buku
yang ingin dibeli. Perkara ini dibenarkan di kebanyakan
kedai buku besar. Sekiranya buku masih berbalut dengan
plastik, jangan malu-malu untuk meminta bantuan
pembantu kedai membukakan pembalutnya.
Kemudian, bacalah buku itu dengan cermat seperti kita
sedang memegang gelas kristal di kedai pinggan mangkuk
kerana tidak mahu barang ini pecah dan perlu membayar
ganti rugi. Jika membeli melalui dalam talian, baca dahulu
bahagian awalnya melalui aplikasi Google Play Books.
31
3. Tiru Tokoh & Usahawan
Kebanyakan tokoh dan usahawan yang berjaya di dunia
ini adalah pembaca. Oleh sebab masa lapang mereka amat
terhad dan berharga, mereka hanya akan memilih buku
yang betul-betul bagus dan membina untuk dibaca.
Senarai siapa yang boleh dirujuk? Lihat senarai buku
menarik yang dicadangkan oleh nama-nama besar seperti
Oprah Winfrey, Mark Zuckerberg, Bill Gates, dan Elon
Musk.
4. Buku Malar Segar
Cubalah amalkan membaca buku-buku malar segar, tidak
kira dari dalam atau luar negara. Sesetengah buku ditulis
di kulit depannya sebagai calon atau pemenang anugerah
buku. Buku-buku seperti ini menarik untuk dicuba kerana
pasti ada sebab tertentu karya ini diberi penghargaan.
5. Adaptasi Filem
Jika kita seorang peminat filem, drama atau rancangan
televisyen, cubalah membaca buku yang berkaitan dengan
cerita yang ditonton. Boleh jadi buku itu menjadi sumber
adaptasi sesebuah rancangan atau dibaca oleh watak
kegemaran dalam rancangan tersebut.
Membaca buku cerita-cerita yang sudah ditonton di layar
perak atau kaca televisyen juga boleh mendatangkan
keseronokan yang tersendiri. Terutamanya apabila sampai
babak tertentu yang membuat kita tersenyum dan berkata,
“Oh, inilah babak dalam cerita itu!”
32 Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia
Bab 2: Mengapa Membaca?
33
6. Relevan dengan Tujuan
Tanya pada diri sendiri, “Apakah aktiviti yang ingin dibuat
dalam masa terdekat? Tempat mana yang ingin dilawati?”
atau, “Apakah masalah yang ingin diselesaikan pada waktu
ini?”
Daripada soalan-soalan ini, pilihlah buku yang relevan
dengan keadaan itu supaya kita ada tujuan membaca
sesebuah buku. Pilihan yang tepat sekali gus menjadikan
kita lebih bersemangat untuk menghabiskannya.
Waktu Membaca
Kesibukan dengan pelbagai aktiviti harian menyebabkan kita
mengalami keletihan fizikal dan mental. Hal ini boleh menjadi
penghalang untuk membaca buku. Setiap kali membaca, tidak
dapat menghadamkan ayat yang dibaca dan mata menjadi semakin
berat. Perkara ini terjadi kerana kita telah memilih genre buku
yang tidak sesuai untuk dibaca pada waktu tersebut.
Untuk membaca dengan lebih efektif, kita boleh mengatur
untuk membaca buku berlainan genre mengikut kesesuaian waktu
masing-masing.
1. Waktu pagi
Sebuah kajian oleh Institut Neurologikal Montreal pada
tahun 2015 mendapati bahawa saiz otak manusia adalah
lebih besar pada waktu pagi berbanding tengah hari. Hal
ini terjadi disebabkan pengedaran air dalam badan pada
waktu malam dan nyahhidrasi pada waktu siang.
34
Baca | Persatuan Pustakawan Malaysia