The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by FAZILLAHMUSA, 2023-08-23 05:13:40

2017 UPM TESIS MASTER FAZILLAH

TESIS MASTER FAZILLAH

KESAN PENDEKATAN PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN KOMPETENSI TERHADAP KESEDIAAN MEMBUAT PILIHAN KERJAYA PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL Oleh FAZILLAH BINTI MUSA Thesis Submitted to the School of Graduate Studies, Universiti Putra Malaysia, in Fulfillments of the Requirements for the Degree of Master of Science Jun 2017


HAK CIPTA Semua bahan yang terkandung dalam tesis ini, termasuk teks tanpa had, logo, iklan, gambar dan semua karya seni lain, adalah bahan hak cipta Universiti Putra Malaysia kecuali dinyatakan sebaliknya, Penggunaan mana-mana bahan yang terkandung dalam tesis ini dibenarkan untuk tujuan bukan komersil daripada pemegang hak cipta. Penggunaan komersil bahan hanya boleh dibuat dengan kebenaran bertulis terdahulu yang nyata daripada Universiti Putra Malaysia, Hak cipta © Universiti Putra Malaysia .


i Abstrak tesis yang dikemukakan kepada Senat Universiti Putra Malaysia sebagai memenuhi keperluan untuk Ijazah Master Sains KESAN PENDEKATAN PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN KOMPETENSI TERHADAP KESEDIAAN MEMBUAT PILIHAN KERJAYA PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL Oleh FAZILLAH BINTI MUSA Jun 2017 Pengerusi : Profesor Madya Abdullah Mat Rashid, PhD Fakulti : Pengajian Pendidikan Kesediaan membuat pilihan kerjaya dapat menentukan sama ada seseorang individu telah bersedia atau tidak untuk menceburi bidang kerjaya pilihannya. Para graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) sering dikaitkan dengan masalah pemilihan kerjaya seperti tidak dapat membuat keputusan kerjaya, kurang pendedahan dan maklumat kerjaya serta tidak mampu menyelesaikan masalah kerjaya. Masalah yang berlaku berkait rapat dengan kurang kesediaan membuat pilihan kerjaya di kalangan pelajar PLTV. Kerajaan turut memperkasakan kualiti penyampaian program PLTV untuk menambah baik kualiti graduan. Justeru itu, pendekatan pembelajaran berasaskan projek (PBP) dan pembelajaran berasaskan kompetensi (PBK) diterapkan dalam kurikulum Kolej Vokasional. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional, pelaksanaan pendekatan PBP dan PBK serta kesan utama dan kesan interaksi di antara pendekatan PBP dan PBK terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Kajian ex post facto ini melibatkan 292 orang pelajar lepasan Kolej Vokasional Rintis di seluruh Malaysia. Teknik persampelan rawak mudah digunakan bagi memilih pelajar yang telah melalui PBP dan PBK. Data dikumpul dengan menggunakan soal selidik dimana tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya diukur dengan menggunakan Career Maturity Inventory Form C. Manakala item-item bagi pendekatan PBP dan PBK dibangunkan oleh pengkaji. Berdasarkan kajian rintis, nilai Alpha Cronbach untuk kebolehpercayaan soal selidik adalah lebih besar dari .80 (r >0.8). Analisis deskriptif menunjukkan tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar adalah rendah (M = 9.55, SP = 3.17). Min dan sisihan piawai pelaksanaan pendekatan PBP adalah M = 3.07 dan S.P = .47 manakala pendekatan PBK adalah M = 3.09 dan S.P


ii = .50. Ujian Faktorial ANOVA digunakan untuk melihat kesan utama dan kesan interaksi di antara pemboleh ubah yang dikaji. Dapatan menunjukkan tidak terdapat kesan utama yang signifikan bagi pendekatan PBP terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar F (2,284) = .073, p =.930. Selain itu, didapati kesan utama bagi pendekatan PBK terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar adalah tidak signifikan F (3,284) = .172, p =.915. Keputusan analisis juga mendapati kesan interaksi antara pendekatan PBP dan pendekatan PBK terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar adalah tidak signifikan F (2,284) = .689, p = .503. Secara keseluruhannya didapati pendekatan PBP dan PBK tidak memberi kesan yang signifikan terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional.


iii Abstract of thesis presented to the Senate of Universiti Putra Malaysia in fulfilment of the requirement for the Degree of Master of Science THE IMPACT OF PROJECT BASED LEARNING APPROACH AND COMPETENCE BASED LEARNING APPROACH ON READINESS TO MAKE CAREER CHOICES OF VOCATIONAL COLLEGE STUDENTS By FAZILLAH BINTI MUSA June 2017 Chairman : Profesor Madya Abdullah Mat Rashid, PhD Faculty : Pengajian Pendidikan Career readiness can reveal whether an individual is ready to start his/her career of choice. Technical and Vocational Education and Training (TVET) graduates were often associated with problems related to career choices such as the inability to decide the career, lack of exposure and information on the related careers, and the inability to solve problems involving careers. The problems were closely related to the low level of career readiness among the TVET graduates. The government also played its part in enhancing the quality of the TVET program delivery to increase the quality of the graduates by introducing Project-based Learning (PBL) and Competency-based learning (CBL) in the Vocational College curriculum. The study aims to identify the level of students’ readiness to make career choices in Vocational Colleges, the implementation of PBL and CBL, and, as well as the main effect and interaction effect between PBL and CBL with regards to students’ readiness to make career choices. The ex post facto study involved 292 students of the first cohort of the vocational colleges around Malaysia. Simple random sampling was used to select students who had undergone PBL and CBL. Data was collected using a set of questionnaire, in which readiness to make career choices was measured using Career Maturity Inventory Form C. The items to measure PBL and CBL were developed by the researcher. Based on the pilot study, the value of Alpha Cronbach for the reliability of the questionnaire was greater than .80 (r>0.8). The descriptive analysis showed that students’ readiness to make career choices level was low (M = 9.55, S.D = 3.17). Mean and Standard Deviation for the implementation of PBL were 3.07 and .47 respectively, while the mean and Standard Deviation for the implementation of CBL approach were 3.09 and .50 respectively. The Factorial ANOVA test was used to identify the main effect and interactional effect between the variables. The findings showed that there was no significant relation between the PBL approach


iv and students’ readiness to make career choices F (2,284) = .073, p = .930. Besides that, the main effect for CBL towards students’ readiness to make career choices was also not significant F (3,284) = .172, p = .915. The result of the analysis also showed that the interaction effect between the PBL and CBL approaches toward students’ readiness to make career choices was not significant F (2,284) = .689, p = .503. In conclusion, the PBL and CBL approaches were not showing significant effect towards the readiness to make career choices of Vocational College students.


v PENGHARGAAN Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat saya menyiapkan tesis ini. Ucapan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana menaja pengajian master saya di Universiti Putra Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan Tesis iaitu Profesor Madya Dr Abdullah Mat Rashid yang telah banyak memberi tunjuk ajar, bimbingan, sokongan dan motivasi dalam usaha menyempurnakan penulisan tesis ini. Ucapan terima kasih juga buat Dr Arnida Abdullah selaku ahli jawatankuasa penyeliaan tesis di atas segala pandangan, nasihat dan kritikan yang diberi sepanjang tempoh penyeliaan tesis ini. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian. Jutaan terima kasih diucapkan kepada suami tercinta, Marzaidi Muhammad Misman di atas kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang yang diberi. Kepada Mueez, Ameera, Reezqi dan Zahraa tersayang, tesis ini mama dedikasikan buat kalian. Terima kasih juga buat ibu bapa dan mertua saya iaitu Musa Samad, Ramlah Muhammad, Haji Muhammad Misman dan Hjh Ruhayah Shariff di atas restu untuk saya melanjutkan pengajian. Juga ucapan terima kasih buat semua ahli keluarga yang tercinta. Seterusnya buat rakan-rakan seperjuangan, Lailatul Hazzlina, Ayub, Martini, Suhaila dan Kartini, motivasi daripada kalian menjadikan saya semangat untuk menyiapkan tesis ini. Moga kita semua dirahmati Allah SWT.


vii Tesis ini telah dikemukakan kepada Senat Universiti Putra Malaysia dan telah diterima sebagai memenuhi syarat keperluan untuk Ijazah Master Sains. Ahli-ahli Jawatankuasa Penyeliaan adalah seperti berikut: Abdullah Mat Rashid, PhD Profesor Madya Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (Pengerusi) Arnida Abdullah,PhD Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (Ahli) ROBIAH BINTI YUNUS, PhD Profesor dan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah Universiti Putra Malaysia Tarikh:


viii Perakuan pelajar siswazah Saya memperakui bahawa: tesis ini adalah hasil kerja saya yang asli; setiap petikan, kutipan dan ilustrasi yang telah dinyatakan sumbernya dengan jelas; tesis ini tidak pernah dimajukan sebelum ini, dan tidak dimajukan serentak dengan ini, untuk ijazah lain sama ada di Universiti Putra Malaysia atau di institusi lain; hak milik intelek dan hakcipta tesis ini adalah hak mutlak Universiti Putra Malaysia, mengikut Kaedah-kaedah Universiti Putra Malaysia (Penyelidikan) 2012; kebenaran bertulis daripada penyelia dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) hendaklah diperolehi sebelum tesis ini diterbitkan (dalam bentuk bertulis, cetakan atau elektronik) termasuk buku, jurnal, modul, prosiding, tulisan popular, kertas seminar, manuskrip, poster, laporan, nota kuliah, modul pembelajaran atau material lain seperti yang dinyatakan dalam Kaedahkaedah Universiti Putra Malaysia (Penyelidikan) 2012; tiada plagiat atau pemalsuan/fabrikasi data dalam tesis ini, dan integriti ilmiah telah dipatuhi mengikut Kaedah-kaedah Universiti Putra Malaysia (Pengajian Siswazah) 2003 Semakan 2012-2013) dan Kaedah-kaedah Universiti Putra Malaysia (Penyelidikan) 2012. Tesis telah diimbaskan dengan perisian pengesanan plagiat. Tandatangan: ________________________ Tarikh: __________________ Nama dan No. Matrik: Fazillah Binti Musa Gs42070


ix Perakuan Ahli Jawatankuasa Penyeliaan Dengan ini, diperakukan bahawa, Penyelidikan dan penulisan tesis ini adalah dibawah seliaan kami; Tanggungjawab penyeliaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Kaedah-kaedah Universiti Putra Malaysia (pengajian Siswazah) 2003 Semakan 2012-2013) telah dipatuhi. Tandatangan: Nama Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan: Profesor Madya Abdullah Mat Rashid Tandatangan: Nama Ahli Jawatankuasa Penyeliaan: Dr.Arnida Abdullah


x JADUAL KANDUNGAN Muka surat ABSTRAK i ABSTRACT iii PENGHARGAAN v PENGESAHAN vi PERAKUAN viii SENARAI JADUAL xii SENARAI RAJAH xiii SENARAI LAMPIRAN xiv SENARAI SINGKATAN xv BAB 1 PENDAHULUAN 1 1.1 Pengenalan 1 1.2 Latar Belakang 1 1.3 Penyataan Masalah 5 1.4 Objektif Kajian 6 1.5 Persoalan Kajian 6 1.6 Kepentingan Kajian 6 1.7 Limitasi Kajian 7 1.8 Definisi Operasional 7 1.8.1 Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 7 1.8.2 Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) 8 1.8.3 Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) 8 1.8.4 Pelajar Kolej Vokasional 8 2 SOROTAN LITERATUR 9 2.1 Pengenalan 9 2.2 Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 9 2.2.1 Program Pembangunan Kerjaya 10 2.2.2 Peranan PLTV Dalam Menyediakan Pelajar Ke Arah Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 13 2.2.3 Teori Pembinaan Kerjaya Savickas (2005) 14 2.2.3.1 Personaliti Vokasional 15 2.2.3.2 Tugas Perkembangan Kerjaya 15 2.2.3.3 Dimensi Kebolehsuaian Kerjaya 16 2.2.3.4 Tema Kehidupan (Life Themes) 17 2.2.4 Kajian Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 18 2.3 Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) dan Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) 20 2.3.1 Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) 20 2.3.2 Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) 24 2.3.3 Teori Pembelajaran Konstruktivisme 27 2.4 Kerangka Konseptual Kajian 30


xi 3 METODOLOGI KAJIAN 32 3.1 Pengenalan 32 3.2 Reka Bentuk Kajian 32 3.3 Populasi Dan Persampelan Kajian 33 3.3.1 Populasi Kajian 33 3.3.2 Saiz Sampel 33 3.3.3 Persampelan 35 3.4 Instrumen Kajian 35 3.5 Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen 38 3.6 Kajian Rintis 38 3.7 Prosedur Pengumpulan Data 39 3.8 Analisis Data 39 4 DAPATAN KAJIAN 41 4.1 Pengenalan 41 4.2 Dapatan Persoalan Kajian 1 41 4.3 Dapatan Persoalan Kajian 2 45 4.4 Dapatan Persoalan Kajian 3 48 4.5 Dapatan Persoalan Kajian 4 50 4.6 Dapatan Persoalan Kajian 5 51 4.7 Dapatan Persoalan Kajian 6 51 5 RUMUSAN, PERBINCANGAN, KESIMPULAN DAN CADANGAN 53 5.1 Pengenalan 53 5.2 Perbincangan Dapatan Kajian 54 5.2.1 Tahap Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Pelajar Kolej Vokasional 54 5.2.2 Pendekatan PBP yang dilaksanakan di Kolej Vokasional 55 5.2.3 Pendekatan PBP yang dilaksanakan di Kolej Vokasional 57 5.2.4 Kesan Utama dalam Pendekatan PBP Terhadap Tahap Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Pelajar 59 5.2.5 Kesan Utama dalam Pendekatan PBK Terhadap Tahap Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Pelajar 60 5.2.6 Kesan Interaksi Pendekatan PBP dan PBK Terhadap Tahap Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Pelajar 61 5.3 Kesimpulan 63 5.4 Cadangan 63 5.5 Cadangan Kajian Lanjutan 64 RUJUKAN 65 LAMPIRAN 76 BIODATA PELAJAR 85


xii SENARAI JADUAL Jadual Muka surat 3.1 Min dan Sisihan Piawai Norma Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 36 3.2 Ringkasan Instrumen 37 3.3 Penganalisisan Data Statistik 40 4.1 Perbezaan Min dan Sisihan Piawai Skor Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 42 4.2 Frekuensi dan Peratusan Item Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 43 4.3 Frekuensi, Peratusan, Min dan Sisihan Piawai Berdasarkan Item Pembelajaran Berasaskan Projek 46 4.4 Frekuensi, Peratusan, Min dan Sisihan Piawai Berdasarkan Item Pembelajaran Berasaskan Kompetensi 49 4.5 Kesan Utama Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek Terhadap Tahap Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Pelajar. 50 4.6 Kesan Utama Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kompetensi Terhadap Tahap Kesediaan Kerjaya Pelajar 51 4.7 Kesan Interaksi Antara Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek dan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kompetensi Terhadap Tahap Kesediaan Kerjaya Pelajar. 52


xiii SENARAI RAJAH Rajah Muka surat 2.1 Kerangka Konsep Kajian 31 B 1 Plot Normal Q-Q Bagi Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya 83 B 2 Plot Normal Q-Q Bagi Pembelajaran Berasaskan Projek 83 B 3 Plot Normal Q-Q Bagi Pembelajaran Berasaskan Kompetensi 84


xiv SENARAI LAMPIRAN Lampiran Muka surat A Borang Soal Selidik 76 B Ujian Normaliti 83


xv SENARAI SINGKATAN ADTEC Pusat Latihan Teknologi Tinggi BIE Buck Institute for Education BPTV Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional CDMSE-SF Career Decision Making Self Efficacy Scale Short Form CMI Form C Career Maturity Inventory Form C CM-R Career Maturity Inventory Revised DPSK Dokumen Pentaksiran Standard Kompetensi BPPDP Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan EPU Economic Planning Unit ICT Information and Communications Technology IKBN Institut Kemahiran Belia Negara ILJTM Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia ILO International Labour Organization IPPTN Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara KPM Kementerian Pendidikan Malaysia KSKV Kurikulum Standard Kolej Vokasional KV Kolej Vokasional LPM Lembaga Peperiksaan Malaysia M Min, Mean MQA Agensi Kelayakan Malaysia MTEN Majlis Tindakan Ekonomi Negara NOICC National Occupational Information Coordinating Committee NOSS Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan OJT On-Job Training PBE Project Based Education


xvi PBK Pembelajaran Berasaskan Kompetensi PBP Pembelajaran Berasaskan Projek PLTV Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional PTA Projek Tahun Akhir RMKe-11 Rancangan Malaysia Kesebelas SP Sisihan Piawai SPSS Statistical Package for Social Science TMK Teknologi, Maklumat dan Komunikasi UNESCO United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization


1 BAB 1 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Bab ini membincangkan tentang latar belakang kajian dan penyataan masalah berkaitan pendekatan pembelajaran dan pengajaran di Kolej Vokasional ke arah menyediakan pelajar yang bersedia untuk melangkah ke dunia pekerjaan. Bab ini juga membincangkan objektif kajian, persoalan kajian, kepentingan kajian, skop dan batasan kajian serta definisi operasional kajian. 1.2 Latar Belakang Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) bagi tempoh 2016-2020 menyasarkan sebanyak 1.5 juta pekerjaan baharu diwujudkan di mana 60% daripada pekerjaan tersebut memerlukan kelayakan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) (Unit Perancang Ekonomi, 2015). Situasi ini secara langsung menuntut kepada penghasilan tenaga kerja mahir dalam memenuhi pasaran kerja tempatan. Abdullah (2011) menegaskan bahawa melalui sistem pendidikan yang sentiasa ditambahbaik, PLTV dapat menjadi penyumbang utama untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif seterusnya dapat menjadi penggerak kepada perkembangan ekonomi dan kesejahteraan negara. PLTV berperanan penting dalam membekalkan graduan yang kompeten dan dapat memenuhi keperluan pasaran kerja. Graduan yang dihasilkan bukan sahaja diukur pada pencapaian akademik yang cemerlang, tetapi juga meliputi kemahiran dan kualiti yang di perlukan oleh industri pekerjaan (Stewart & Knowles, 2000; Rayner & Papakonstantinou, 2015). Kenyataan ini selari dengan Lee (2004) yang menyatakan bahawa majikan masa kini mencari graduan yang memiliki kemahiran kebolehkerjaan yang tinggi, berpengetahuan luas dan mempunyai kemahiran interpersonal yang baik untuk di terima bekerja. Persepsi tinggi majikan untuk mengambil pekerja menunjukkan pelajar menghadapi cabaran yang besar di mana mereka perlu benar-benar bersedia semasa di institusi pengajian untuk beralih ke alam pekerjaan. Isu berkaitan graduan sukar mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian perlu dipandang serius oleh semua pihak. Menurut Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), terdapat lima faktor yang menyebabkan graduan sukar untuk mendapatkan pekerjaan iaitu 1) kekurangan kemahiran dan pengalaman kerja; 2) ketidaksepadanan antara keperluan industri dengan bidang pengajian graduan; 3) kurang keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam Bahasa Inggeris; 4) sikap negatif sesetengah graduan terhadap pekerjaan; dan 5) kurangnya kesedaran tentang kewujudan berbagai-bagai pilihan pekerjaan (MTEN, 2010; Muhammad Hazrul, 2012; Norhayati et al., 2012, Norsyuhaili et al., 2016). Selain itu, World Bank (2007) juga telah


2 mengenalpasti tiga faktor utama yang menyumbang kepada graduan tidak bekerja iaitu 1) permintaan dan penawaran graduan (lebihan penawaran graduan berbanding permintaan pekerja); 2) proses pencarian kerja (graduan terlalu memilih, desakan keluarga dan sebagainya); dan 3) ketidaksepadanan kemahiran (skill mismatch). Isu yang timbul ini berkait rapat dengan kurangnya kesediaan membuat pilihan kerjaya dalam kalangan pelajar semasa di institusi pengajian menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan setelah bergraduat. Kesediaan membuat pilihan kerjaya merujuk kepada kematangan seseorang individu untuk membuat pilihan kerjaya masa hadapan serta sejauh mana individu terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan (Sharf, 2013). Manakala Savickas dan Porfeli (2011) menegaskan bahawa sesorang individu di anggap bersedia untuk membuat pilihan kerjaya apabila telah prihatin (concern) tentang kerjaya masa depannya, merasai kawalan (control) diri terhadap kerjaya, keinginan (curiosity) untuk meneroka peluang serta merasa yakin (confidence) untuk merancang dan melaksanakan pelan pekerjaan masa hadapan. Berdasarkan definisi tersebut, boleh di anggap seseorang individu yang bersedia untuk menempuh alam pekerjaan telah melengkapkan proses penerokaan dan perancangan kerjaya, memperolehi maklumat yang lengkap berkaitan kerjaya pilihannya serta mampu membuat keputusan berkenaan kerjaya pilihan mereka. Racho Ibrahim et al. (2014) dan Delilah (2000) mendapati pelajar tidak bersedia dalam membuat pilihan kerjaya dengan baik kerana mereka tidak mendapat bimbingan yang sempurna serta tidak mendapat maklumat kerjaya yang mencukupi semasa di sekolah. Manakala Mansor dan Tan (2009) pula mendapati pelajar mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian atau memasuki bidang pekerjaan setelah tamat pengajian. Walaubagaimanapun, terdapat sebilangan pelajar yang gagal untuk mencapai impian mereka di sebabkan oleh kurang pendedahan berkaitan perancangan masa hadapan dan memiliki tahap kesediaan kerjaya yang rendah. Oleh yang demikian, institusi pendidikan perlu membantu pelajar membina strategi dan hala tuju kerjaya mereka melalui aktivitiaktiviti pembangunan kerjaya di sekolah. Pendidikan kerjaya merupakan keperluan yang perlu diberi kepada pelajar sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. Kemahiran pengurusan dan pembangunan kerjaya seharusnya didedahkan kepada semua pelajar bermula di peringkat sekolah rendah (Feller, 2003; Jarvis & Keely, 2003). Di Kolej Vokasional, kaunselor bertanggungjawab membantu para pelajar ke arah kesediaan membuat pilihan kerjaya dengan memberi bimbingan dan kaunseling kerjaya serta menjalankan aktiviti bimbingan kerjaya. Menurut Abdullah (2010), kaunselor kerjaya bertanggungjawab menjadi agen perubahan yang di perlukan bagi menghubungkan perkembangan akademik, personal dan kerjaya pelajar. Namun, kajian Abdullah, Ab.Rahim, Soaib dan Loh (2009) mendapati kaunselor kerjaya di sekolah lebih cenderung untuk menjalankan intervensi kerjaya berbentuk kumpulan berbanding individu. Amalan ini disebabkan kaunselor kerjaya (yang juga merupakan kauselor psikologi di sekolah) di bebani tugasan yang banyak. Dapatan kajian tersebut


3 juga mendedahkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (58.12%) dan Sekolah Sains (58.33%) didedahkan dengan intervensi kerjaya yang lebih banyak berbanding pelajar sekolah harian biasa (40.23%) dan pelajar di institusi PLTV (35.33%). Ini menunjukkan aktiviti pembangunan kerjaya di institut PLTV khususnya di Kolej Vokasional perlu dipertingkatkan memandangkan para pelajar Kolej Vokasional berada dalam fasa mempersiapkan diri untuk memasuki dunia pekerjaan. Antara cabaran ke arah persediaan membuat pilihan kerjaya dalam PLTV adalah melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang di perlukan di tempat kerja. Menurut Putz dan Dybowski (2004), terdapat beberapa tindakan yang perlu dilakukan PLTV untuk menyesuaikan pelajar dengan tuntutan pekerjaan antaranya adalah 1) menyediakan program pendidikan dan latihan yang berkelayakan; merancang sistem PLTV yang bersesuaian dengan bidang kerjaya semasa; 3) membangunkan PLTV yang rapat dan sejajar dengan sistem pekerjaan dan keperluan pasaran pekerjaan; dan 4) menyediakan belia sebagai jurutera dan juruteknik untuk mengisi prospek pekerjaan pada masa depan. Menyedari kepentingan PLTV dalam merealisasikan status negara berpendapatan tinggi, kurikulum Kolej Vokasional telah ditambah baik melalui Transformasi Pendidikan Vokasional pada tahun 2012. Di samping itu, Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) dirangka untuk mematuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya kemahiran yang dimiliki pelajar adalah bertepatan dengan keperluan industri pekerjaan. Oleh itu, pengajian di Kolej Vokasional meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik di mana ianya memberi fokus terhadap elemen Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP), Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) dan On-Job Training (OJT) (KPM, 2011). PBP di Kolej Vokasional dilaksanakan melalui Project Based Education (PBE) di mana pelajar perlu menghasilkan satu produk atau perkhidmatan yang boleh di pasarkan. Pada tahun 2016, program tersebut telah ditambah baik dari aspek penilaian pelajar dan dikenali sebagai Projek Tahun Akhir (PTA). PBP yang diterap dalam KSKV bertujuan untuk membolehkan pelajar Kolej Vokasional mempunyai pendedahan kepada realiti alam pekerjaan seterusnya berpeluang memenuhi permintaan majikan dalam pasaran kerja. Menurut Zimmerman (2010), pendekatan PBP yang dilaksanakan di sekolah dapat membina kehidupan dalam diri pelajar dan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, dalam pekerjaan mahupun dalam kehidupan. Buck Institute of Education (2010) menjelaskan PBP adalah pendekatan pembelajaran di mana pelajar akan 1) terlibat dalam proses inkuiri secara berterusan yang memfokuskan soalan dan masalah yang kompleks dan sebenar; 2) bekerja tanpa mengharapkan guru, mempunyai pilihan dan kebebasan bersuara; 3) mempamerkan pemahaman yang mendalam dalam pengetahuan akademik dan kemahiran; 4) membina kemahiran abad ke-21 seperti bekerjasama, berfikir secara kritikal dan berkomunikasi; dan 5) mencipta artifak dan prestasi yang berkualiti tinggi yang boleh dipamerkan


4 kepada masyarakat. Oleh itu, hasil pembelajaran yang diperolehi melalui pendekatan PBP membolehkan pelajar melengkapkan aktiviti dengan kemahiran yang di perlukan dalam pasaran buruh seperti pembelajaran kendiri, kerjasama dan mengintegrasikan kemahiran dan amalan dalam pekerjaan sebenar. Selain pendekatan PBP, pendekatan PBK turut difokuskan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di Kolej Vokasional untuk mendedahkan pelajar dengan kompetensi pekerjaan yang diperlukan dalam memasuki alam pekerjaan. Menurut Kerka (1998), PBK adalah satu pendekatan berstruktur kepada pembelajaran dan penilaian yang disasarkan ke arah mencapai hasil tertentu. Manakala McGaghie et al. (1978) dan Thomas (2014) menegaskan tiga asas dalam pembelajaran berasaskan kompetensi yang perlu diberi keutamaan. Pertama, ianya dijalankan untuk mencapai kompetensi; kedua, pelajar dilatih untuk menguasai objektif prestasi yang di tetapkan dan ketiga, pelajar boleh diuji/dinilai untuk melihat sama ada telah mencapai tahap tertentu dalam penguasaan kompetensi. PBK dilaksanakan di peringkat Kolej Vokasional adalah berdasarkan modul Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) yang mengikut bidang kursus masing-masing. KSKV digubal mengikut standard kompetensi bekerja dan dijadikan panduan untuk guru membimbing dan mendapatkan maklumat tahap penguasaan kompetensi pelajar (LPM, 2011). Pelajar perlu mengikuti kelas teori sebelum melakukan kerja amali dan perlu kompeten setiap unit yang di tetapkan sebelum berpindah ke unit yang seterusnya. Ini bertepatan dengan salah satu ciri-ciri PBK berdasarkan pendapat Foyster (1990) di mana kaedah pembelajaran PBK adalah melibatkan pembelajaran masteri (pengetahuan) dan kontekstual (kemahiran). Isu dan cabaran yang dihadapi oleh para guru dan pihak pentadbiran Kolej Vokasional dalam melaksanakan pendekatan PBP dan pendekatan PBK adalah 1) guru kurang menghayati konsep pentaksiran berterusan; 2) guru kurang integriti dalam melaksanakan pentaksiran berterusan; 3) peralatan sedia ada tidak mencukupi dan belum ada; 4) peralatan yang ada tidak selari dengan KSKV; dan 5) isu kemahiran pensyarah iaitu kurang pengalaman industri (Md Salim Bahari, 2012). Ini menunjukkan pendekatan PBP dan PBK yang dijalankan masih perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar hasil pembelajaran di Kolej Vokasional dapat melahirkan pelajar yang berkualiti dan membekalkan pelajar yang bersedia untuk bekerja. Pendekatan PBK dan PBP yang menjadi elemen utama pendidikan di Kolej Vokasional seharusnya menjadi tunjang ke arah menyediakan pelajar yang berpotensi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa. Pelajar di Kolej Vokasional masih di peringkat penerokaan maklumat kerjaya dan membangunkan kerjaya pilihan dan minat kerjaya, di mana keputusan tentang kerjaya pilihan sentiasa berubah-ubah. Oleh yang demikian, adalah satu keperluan bagi setiap pelajar untuk dibimbing sepanjang tempoh pengajian agar mereka benar-benar berpengetahuan dalam pelbagai aspek berkaitan kerjaya dan seterusnya dapat membuat pilihan kerjaya yang akan di ceburi kelak.


5 1.3 Penyataan Masalah Kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar institusi PLTV di Malaysia masih berada ditahap yang rendah (Maznizam & Abdullah, 2013). Berdasarkan kaji selidik pengesanan graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), daripada 6,332 orang graduan yang berjaya menamatkan latihan pada sesi 2/2014, dilaporkan seramai 3,685 (58.20%) orang graduan yang berjaya mendapatkan pekerjaan selepas 6 bulan menamatkan latihan, 1,675 (26.45%) orang graduan menyambung pelajaran dan 972 (15.35%) orang graduan tidak bekerja atau masih mencari pekerjaan (Kementerian Sumber Manusia, 2015). Peratusan ini masih ditahap yang rendah jika dibandingkan dengan matlamat Kolej Vokasional yang mensasarkan 70% daripada graduan memasuki alam pekerjaan, 20% melanjutkan pelajaran dan 10% menjadi usahawan selepas tamat empat tahun pengajian (KPM, 2011). Wan Seman Wan Ahmad (2007) menyatakan bahawa pihak industri mendapati para pelajar yang dilatih oleh institusi PLTV berlaku ketidaksepadanan kemahiran dengan kehendak industri (skills mismatch) serta kekurangan tenaga kerja dalam bidang tertentu. Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa graduan yang dihasilkan masih belum mampu membuat pilihan kerjaya yang tepat semasa di institusi pengajian. Kesan dari tidak bersedia dalam membuat pilihan kerjaya menyebabkan para graduan berkualiti dan menghadapi masalah dalam pekerjaan. Kenyataan ni disokong dengan dapatan kajian World Bank (2007) yang mendapati graduan sistem PLTV di Malaysia belum dapat memenuhi syarat yang dikehendaki oleh industri sama ada dari aspek kualiti kerja ataupun persediaan untuk bekerja. Berdasarkan teori perkembangan kerjaya Super (1971), para pelajar yang berumur 15 tahun hingga 24 tahun masih dalam peringkat penerokaan kerjaya yang perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan pekerjaan (Sidek Noah, 2002; Abdul Hanid, 2007). Oleh yang demikian kemahiran pembangunan kerjaya bagi pelajar Kolej Vokasional yang berumur 16 hingga 19 tahun dan akan melangkah ke dunia pekerjaan setelah tamat belajar perlu diberi perhatian sewajarnya. Pelajar seharusnya didedahkan dan dibimbing untuk melengkapkan proses penerokaan kerjaya, merancang pilihan kerjaya serta dapat membuat keputusan kerjaya mereka dengan baik seterusnya benar-benar bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan. PLTV berperanan penting dalam merapatkan jurang antara kurikulum dengan alam pekerjaan. Sehubungan itu, sistem pendidikan Kolej Vokasional yang ditambah baik melalui Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional telah memberi fokus kepada pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP). Oleh itu, kajian untuk mengenal pasti kesan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan di Kolej Vokasional terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar perlu dijalankan. Sehubungan dengan itu, adakah pelajar-pelajar Kolej Vokasional bersedia untuk membuat pilihan kerjaya setelah tamat belajar?


6 Oleh itu, kajian perlu dijalankan untuk mengenal pasti keadaan sebenar yang berlaku. Dapatan kajian dapat memberitahu tentang tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar, pelaksanaan pendekatan PBP dan PBK di Kolej Vokasional serta kesan utama dan kesan interaksi antara kedua-dua pendekatan pembelajaran terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya juga dapat dikenal pasti. Dengan ini objektif Kolej Vokasional dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi seterusnya menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara dapat dicapai dengan lebih berkesan. 1.4 Objektif Kajian Secara umumnya, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti kesan pendekatan pembelajaran berasaskan projek (PBK) dan pendekatan pembelajaran berasaskan kompetensi (PBK) terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar berdasarkan persepsi pelajar Kolej Vokasional. Objektif khusus pula dibentuk bagi mendalami objektif umum iaitu: 1) Mengenal pasti tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar, pelaksanaan pendekatan PBP dan pelaksanaan pendekatan PBK di Kolej Vokasional. 2) Mengenal pasti kesan utama (main effect) pendekatan PBP dan kesan utama pendekatan PBK terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional. 3) Mengenal pasti kesan interaksi (interaction effect) di antara pendekatan PBP dan pendekatan PBK terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. 1.5 Persoalan Kajian 1) Apakah tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional? 2) Apakah pelaksanaan pendekatan PBP di Kolej Vokasional? 3) Apakah pelaksanaan pendekatan PBK di Kolej Vokasional? 4) Adakah terdapat kesan utama (main effect) dalam pendekatan PBP terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar? 5) Adakah terdapat kesan utama (main effect) dalam pendekatan PBK terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar? 6) Adakah terdapat kesan interaksi (interaction effect) di antara pendekatan PBP dan pendekatan PBK terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar? 1.6 Kepentingan Kajian Kajian ini bertujuan untuk menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang PLTV secara amnya dan dalam bidang perkembangan kerjaya secara khususnya. Kajian ini dijangka dapat membekalkan input kepada para pensyarah, pihak pentadbiran di peringkat intitusi Kolej Vokasional, BPTV dan juga pihak KPM berkaitan


7 pelaksanaan pendekatan PBP dan PBK dalam proses pembelajaran dan pengajaran bagi melahirkan modal insan yang dapat memacu ekonomi negara. Kajian ini mengaplikasikan pengetahuan dalam teori dan soal selidik berdasarkan pemboleh ubah yang terdiri daripada PBK dan PBP dan kesediaan kerjaya pelajar. Teori yang dibincangkan dalam kajian ini adalah Teori Pembinaan Kerjaya Savickas (2005) serta Teori Pembelajaran Konstruktivisme. Hasil dapatan daripada kajian ini dijangka dapat menjadi rujukan serta panduan kepada penyelidik dan pengamal dalam bidang PLTV serta kepada pembuat dasar dan polisi program PLTV demi memantapkan kurikulum, program-program dan aktiviti pembangunan kerjaya para pelajar. 1.7 Limitasi Kajian Kajian ini dilaksanakan dengan dua limitasi. Pertama, kajian ini melibatkan pelajar lepasan Kolej Vokasional rintis di seluruh Malaysia. Selepas mempertimbangkan faktor logistik dan sumber kewangan yang terhad, pengumpulan data dilakukan secara pos kepada 15 buah Kolej Vokasional yang terlibat. Justeru itu, dapatan kajian ini boleh digeneralisasikan kepada pelajar lepasan Kolej Vokasional di seluruh Malaysia berdasarkan respon para pelajar berkenaan menjawab soal selidik yang diberikan. Limitasi kajian yang kedua adalah berkaitan pemboleh ubah yang digunakan penyelidik dalam kajian ini. Hanya tiga pemboleh ubah yang difokuskan oleh pengkaji iaitu kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar, pendekatan PBP dan pendekatan PBK yang dilaksanakan di Kolej Vokasional. Pengukuran terhadap pemboleh ubah-pemboleh ubah ini dilakukan melalui edaran soal selidik kepada responden. Bagi pemboleh ubah kesediaan membuat pilihan kerjaya, ianya terhad kepada soal selidik yang dikemukakan oleh Savikas dan Porfeli (2011) iaitu Career Maturity Inventory (CMI) Form C, manakala item-item bagi pemboleh ubah PBP dan PBK telah dibina oleh pengkaji. 1.8 Definisi Operasional 1.8.1 Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Kesediaan membuat pilihan kerjaya merujuk kepada kematangan seseorang individu untuk membuat pilihan kerjaya masa hadapan serta sejauh mana individu terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan (Sharf, 2013). Dalam konteks kajian ini, kesediaan membuat pilihan kerjaya merujuk kepada pelajar yang dapat menentukan pilihan kerjaya dengan rasa prihatan terhadap masa depan, merasai kawalan terhadap pilihan kerjaya mereka, keinginan untuk meneroka peluang


8 yang ada serta merasa yakin untuk merancang dan melaksanakan pelan pekerjaan masa depan. 1.8.2 Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) Buck Institute of Education (2010) menjelaskan PBP merupakan satu pendekatan pengajaran di mana pelajar memperolehi pengetahuan dan kemahiran melalui tugasan yang dilaksanakan bagi tempoh masa yang tertentu untuk menyiasat dan bertindak balas terhadap masalah, soalan yang kompleks atau isu-isu yang mencabar. PBP dalam kajian ini merujuk kepada persepsi pelajar Kolej Vokasional terhadap pendekatan pembelajaran yang mengikut prinsip PBP iaitu kandungan pembelajaran bermakna, keperluan pelajar untuk tahu, soalan pendorong diajukan, pendapat pelajar diambil kira, kompetensi abad ke-21 diterapkan, melibatkan pelajar dengan penyiasatan mendalam, penilaian projek dan produk dipersembahkan pada khalayak. 1.8.3 Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) Pembelajaran Berasaskan Kompetensi adalah pendekatan pembelajaran yang berfungsi untuk pendidikan yang menekankan kemahiran hidup dan menilai penguasaan kemahiran mengikut prestasi sebenar pelajar (U.S Office of Education, 1978). PBK dalam kajian ini merujuk kepada persepsi pelajar Kolej Vokasional terhadap pendekatan pembelajaran yang menepati ciri-ciri PBK iaitu kompetensi mengikut keperluan industri, teori diintegrasikan dengan kemahiran, bahan pembelajaran disediakan, pentaksiran di jalankan sehingga pelajar kompeten, mengikut kadar kebolehan pelajar serta pembelajaran fleksibel. 1.8.4 Pelajar Kolej Vokasional Pelajar Kolej Vokasional dalam kajian ini merujuk kepada para pelajar yang telah melalui proses pengajaran dan pembelajaran di Kolej Vokasional serta telah melengkapkan pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal di peringkat diploma.


9 BAB 2 SOROTAN LITERATUR 2.1 Pengenalan Bab ini membincangkan tentang kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar yang merangkumi program pembangunan kerjaya yang dijalankan di institusi PLTV, peranan PLTV dalam menyediakan pelajar yang bersedia untuk bekerja, teori yang berkaitan dengan kesediaan membuat pilihan kerjaya iaitu Teori Pembinaan Kerjaya Savickas (2005) serta kajian-kajian lepas mengenai kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar PLTV. Seterusnya, perbincangan menjurus kepada pendekatan PBP dan PBK serta Teori Konstruktivisme yang diterapkan dalam pelaksanaan kurikulum Kolej Vokasional. Bab ini diakhiri dengan kerangka konseptual bagi kajian kesan pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan kompetensi terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional. 2.2 Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Pelajar institusi PLTV sering menghadapi masalah dalam pemilihan kerjaya. Antara masalah-masalah yang berkaitan adalah tidak dapat membuat keputusan, kurang pendedahan dan maklumat berkaitan kerjaya, tiada kepastian tentang pilihan kerjaya, kurang keupayaan untuk merancang kerjaya serta tidak mampu menyelesaikan masalah kerjaya (Ab. Rahim Bakar, 2011; Maznizam & Abdullah, 2013; Mohd Faizal & Mohd Azrul 2015). Masalah-masalah yang berlaku adalah berkait rapat dengan kurang kesediaan membuat pilihan kerjaya dalam kalangan pelajar PLTV. Kesediaan membuat pilihan kerjaya dapat menjelaskan tahap kematangan kerjaya seseorang individu dalam membuat plihan kerjaya masa hadapannya (Sharf, 2013; Savickas & Porfeli, 2011; Maznizam & Abdullah, 2013). Osipow (1999) mendefinisikan kesediaan atau kematangan kerjaya sebagai satu keselarian antara tingkah laku kerjaya individu dengan tingkah laku kerjaya yang dijangkakan bagi sesuatu peringkat perkembangan kerjaya mengikut umur. Manakala Savickas (1984) lebih suka melihat kesediaan kerjaya sebagai kematangan seseorang individu untuk membuat keputusan pilihan kerjaya bersesuaian dengan peringkat umur dan pengetahuan yang ada. Berdasarkan definisi tersebut, kesediaan kerjaya dapat menjelaskan berkenaan persiapan seseorang individu untuk menempuh dunia pekerjaan dengan melengkapkan proses penerokaan maklumat kerjaya, membuat perancangan kerjaya, menyediakan pilihanpilihan kerjaya serta dapat membuat keputusan berkaitan pilihan kerjaya mereka. Tahap kesediaan kerjaya dapat menentukan pencapaian seseorang individu dalam menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kerjayanya pada tahap umur seperti yang disarankan dalam Teori Perkembangan Kerjaya Super (1971). Secara umumnya, boleh dikatakan semakin tinggi tahap kesediaan kerjaya atau kematangan kerjaya


10 seseorang, semakin banyak masalah berkaitan kerjaya yang mampu ditangani olehnya. Jika seseorang pelajar tidak dapat menyelesaikan tugasaan perkembangan kerjaya pada satu-satu peringkat perkembangan, maka pengetahuan dan kemahiran kerjayanya akan terbantut. Maka, proses perkembangan kerjaya pada peringkat seterusnya akan menjadi rumit. Kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar dapat ditingkatkan melalui program pembangunan kerjaya yang dilaksanakan di institusi pendidikan. Feller (2003) menegaskan bahawa program pembangunan kerjaya dapat membantu pelajar untuk memahami realiti sebenar tempat kerja. Kenyataan ini disokong oleh Jarvis dan Keeley (2003) yang menyatakan bahawa kemahiran pengurusan kerjaya perlu dimulakan di peringkat pendidikan rendah, menengah, pasca menengah dan diteruskan ke alam dewasa. Pelajar yang mempunyai pengetahuan tentang kemahiran kerjaya lebih cenderung untuk mencapai kejayaan di tempat kerja, keluarga, institusi pembelajaran, majikan, masyarakat dan negara. Selain kemahiran teknikal dan pencapaian akademik, pembangunan peribadi seperti moral, etika, pertumbuhan afektif, sikap ingin belajar juga penting dalam persediaan sebelum bekerja. Oleh itu, setiap sekolah bertanggungjawab membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka sumber maklumat berkaitan kerjaya serta menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk membentuk matlamat diri dengan jelas. Pembangunan kerjaya dalam kalangan pelajar Kolej Vokasional amat penting di mana mereka berada dalam fasa perubahan dari belajar ke dunia pekerjaan. Pelaksanaan aktiviti pembangunan kerjaya perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana keperluan pelajar adalah berbeza-beza mengikut peringkat umur (Abdul Hanid, 2007). Super (1971) menyatakan bahawa remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun dikategorikan sebagai peringkat umur penerokaan kerjaya. Pelajar golongan ini perlu didedahkan dengan pengetahuan kerjaya serta mendapat peluang secukupnya untuk mengikuti program kerjaya. Selain daripada menekankan pencapaian akademik, sistem pendidikan perlu meningkatkan usaha untuk memberi pendedahan dan melatih pelajar untuk membuat pilihan dan perancangan berkaitan masa hadapan mereka dengan memberi peluang kepada pelajar menggunakan potensi diri mereka secara optimum. 2.2.1 Program Pembangunan Kerjaya Program kerjaya di peringkat institusi pendidikan khususnya bagi bidang PLTV merupakan satu tuntutan yang perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan. Keberkesanan program kerjaya tersebut akan membantu pelajar untuk memiliki pengetahuan dan kemahiran meneroka potensi diri, mengkaji maklumat kerjaya, merancang kerjaya serta membuat keputusan dan persediaan mendapatkan pekerjaan. Ramlee Mustapha dan Abu Abdullah (2004) menegaskan bahawa proses untuk mendapatkan pekerjaan pada masa kini adalah berbeza dari masa lalu. Pasaran kerja masa kini lebih kompetitif dan perubahan struktur ekonomi berasaskan sumber asli kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) menjadi desakan terhadap keperluan tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan tinggi.


11 Manakala Abdullah (2010) juga menegaskan bahawa trend tempat kerja masa kini lebih banyak kepada permintaan pekerja mahir yang mempunyai banyak kemahiran dan penurunan kepada kerja yang tidak memerlukan kemahiran. Justeru itu, program kerjaya di sekolah perlu dilaksanakan dengan lebih terancang supaya para pelajar dapat menetapkan hala tuju kerjaya mereka di peringkat awal lagi. Persediaan yang rapi dengan melengkapkan diri pelajar dengan pengetahuan kerjaya dan pelbagai kemahiran yang diperlukan majikan memudahkan usaha untuk mendapatkan pekerjaan apabila tamat belajar. Kaunselor kerjaya bertanggungjawab melaksanakan program pembangunan kerjaya di institusi PLTV. Menurut Abdullah (2010), antara agen perubahan yang diperlukan dalam PLTV adalah kaunselor kerjaya yang perlu merapatkan jurang antara perkembangan akademik, personal dan kerjaya. Seharusnya kaunselor menyedari dan memahami trend dalam pekerjaan semasa bagi memastikan pelajar berjaya merancang alternatif untuk meneruskan pengajian atau terus menceburi dunia pekerjaan. Jarvis dan Keeley (2003) menegaskan bahawa kaunselor sekolah perlu menyediakan intervensi pembangunan kerjaya dalam paradigma baharu dimana program yang dilaksanakan dapat membantu pelajar dalam mendapatkan maklumat untuk membuat pilihan kerjaya, mendapatkan kemahiran kebolehkerjaan dan kemahiran pengurusan diri. Kajian Abdullah et al. (2009) mendapati program pembangunan kerjaya di institusi PLTV dilaksanakan dalam skala yang besar di mana ianya melibatkan ramai pelajar dalam sesuatu program. Kajian tersebut mendapati terdapat 39 jenis program intervensi pembangunan kerjaya yang sesuai dijalankan di institusi pendidikan. Selain itu didapati bahawa kaunselor lebih cenderung melaksanakan intervensi kerjaya dengan melibatkan penyertaan penyertaan pelajar dalam skala yang besar seperti aktiviti kelab/persatuan, bimbingan pembangunan peribadi/sosial, pusat sumber kerjaya, pameran kerjaya/hari kerjaya, aktiviti meneroka maklumat kerjaya, kaunseling kerjaya secara individu, kaunseling kerjaya berkumpulan, forum/bengkel kerjaya, bimbingan pembangunan kerjaya, penilaian minat kerjaya, lawatan kerjaya, bimbingan perancangan akademik, penilaian personaliti dan maklumat temu duga. Kajian tersebut juga mendapati institusi PLTV kurang melibatkan penyertaan pelajar dalam program pembangunan kerjaya. Ini menunjukkan institusi PLTV perlu meningkatkan peluang pelajar untuk melibatkan diri dalam program pembangunan kerjaya sebanyak yang mungkin. Kaunselor kerjaya perlu membantu dan membimbing pelajar dalam meneroka minat mereka sendiri, kemahiran berinteraksi dengan orang lain, kesedaran terhadap perubahan dan pertumbuhan diri, kesedaran pencapaian pendidikan, memahami bagaimana untuk membuat pilihan kerjaya dan sebagainya (Niles & HarrisBowlsbey, 2012). Kebanyakkan negara maju seperti Kanada dan Amerika Syarikat telah mengambil langkah proaktif dalam menyediakan pelajar ke arah kerjaya yang bermakna serta menjadi insan bertanggungjawab dalam masyarakat. Di Kanada, satu program yang dijalankan untuk meningkatkan pembangunan kerjaya pelajar dan kemahiran mengurus


12 kerjaya adalah The Real Game Series (Bary, 2001; Jarvis & Keeley, 2003). Menurut Barry (2001), The Real Game Series adalah menyeluruh, setiap siri disusun dengan perkembangan kerjaya, menarik, menyeronokkan, realistik dengan kehidupan sebenar dan dapat membantu pelajar berfikir dalam menentukan perancangan,pilihan dan cabaran kehidupan. Terdapat enam program iaitu The Play Real Game (umur 6 hingga 8 tahun), The Make It Real Game (umur 8 hingga 10 tahun), The Real Game (umur 11 hingga 13 tahun), The Be Real Game (umur 14 hingga 15 tahun), The Get Real Game ( umur 16 hingga 18 tahun) dan Real Times, Real Life (18 tahun ke atas). Peringkat umur pelajar Kolej Vokasional di Malaysia boleh diterapkan dengan pendekatan program The Get Real Game. Program The Get Real Game mendorong pelajar untuk mensimulasikan peralihan dari dunia persekolahan ke alam pekerjaan. Dengan pencarian meluas tentang maklumat pilihan pekerjaan, pelajar dapat meneroka pelbagai laluan untuk mencapai matlamat mereka dengan realistik melalui aktivitiaktiviti seperti on-job training, pengalaman tempat kerja, latihan perantisan, sukarelawan atau kerja-kerja kemasyarakatan, keusahawanan dan bekerja sendiri. Untuk mengejar matlamat pekerjaan, pelajar belajar bagaimana untuk menggunakan masa dengan berkesan, membuat penyelidikan tentang pilihan pekerjaan, menentukan matlamat, merancang tindakan dan mempromosikan diri mereka dengan baik dalam sesi temu bual (Jarvis & Richardt, 2000). Manakala di Amerika Syarikat pula, National Occupational Information Coordinating Committee (NOICC) telah menyediakan National Career Development Guidance (NOICC, 1999) untuk menjadi panduan para guru dan kaunselor dalam merancang intervensi pembangunan kerjaya bagi pelajar peringkat pendidikan menengah. Menurut Niles dan Harris-Bowlsbey, (2012) panduan tersebut merangkumi aspek: 1) Pengetahuan kendiri (memahami pengaruh konsep diri yang positif, kemahiran berinteraksi secara positif dengan individu lain dan memahami kesan pertumbuhan dan perubahan diri); 2) Pendidikan dan penerokaan pekerjaan (kemahiran dan persediaan untuk mencari, memahami, mentafsir maklumat kerjaya, mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan, bersedia dengan perubahan pekerjaan serta memahami keperluan masyarakat dan peranan dalam struktur kerja; dan 3) Perancangan Kerjaya (kemahiran membuat keputusan, memahami perubahan yang berterusan dalam peranan kehidupan dan kemahiran perancangan kerjaya). Sejauh mana kejayaan seseorang pelajar lepasan institusi PLTV dapat melangkah ke dunia pekerjaan sering menjadi kayu ukur tentang keberkesanan pelaksanaan sesuatu program kerjaya selain keberkesanan program akademik. Menjadi tanggungjawab pihak institusi PLTV untuk menyediakan program kerjaya yang berkesan dalam membantu pelajar merancang masa depan kerjayanya. Oleh yang demikian, pelajar bukan sahaja perlu tahu apa yang mereka mahu tetapi seharusnya mereka didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan pekerjaan dan berupaya membuat pilihan kerjaya yang bermakna untuk kehidupan masa hadapan.


13 2.2.2 Peranan PLTV dalam Menyediakan Pelajar ke arah Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dan International Labour Organization (ILO) (2002) menyatakan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional adalah: 1) termasuk dalam pendidikan umum; 2) untuk bidang pekerjaan dan penyertaan berkesan dalam alam pekerjaan; 3) aspek pembelajaran sepanjang hayat dan menyediakan warga negara yang bertanggung jawab; 4) wadah untuk meningkatkan persekitaran melalui pembangunan lestari; dan 5) kaedah bagi mengurangkan kemiskinan. Dalam pernyataan ini, PLTV perlu menjadi tempat pelaburan sumber manusia dalam bidang latihan dan kemahiran serta dapat menghasilkan pulangan yang tinggi sama ada kepada individu, masyarakat dan negara. Individu yang mengikuti PLTV seharusnya bertanggung jawab kepada masyarakat serta dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Sign (2004) mendapati persepsi majikan terhadap graduan di Malaysia kebanyakannya adalah negatif seperti kemahiran komunikasi yang lemah, kurang keupayaan untuk berinisiatif, kreativiti terhad, kurang keupayaan untuk mengintegrasikan teori dengan amalan, profesionalisma terhad dan lain-lain. Berdasarkan laporan IPPTN (2003), majikan mencadangkan supaya institusi pendidikan; 1) memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih program; 2) pelajar diberi kebebasan bergaul dan berinteraksi untuk mendapat pendedahan tentang kerja; 3) kurangkan penekanan terhadap peperiksaan supaya pemikiran pelajar tidak sempit dengan hanya memikirkan gred peperiksaan serta gaji yang ditawarkan majikan; 4) hasilkan pelajar yang serba boleh; 5) penekanan kepada matematik dan ICT; 6) latihan industri/praktikal tidak perlu memberi markah; 7) eratkan hubungan industri-institusi pendidikan; dan 8) guru elakkan corak pembelajaran yang bersifat menghafal dan menyuap. Jelas menunjukkan bahawa persepsi negatif dikalangan majikan ini akan berpanjangan sekiranya guru, ibu bapa serta graduan tidak memandang serius serta kurang kesedaran terhadap persediaan membuat pilihan kerjaya sebelum menceburi dunia pekerjaan. Pendidikan mempunyai kaitan langsung dengan dunia pekerjaan. Namun begitu, Abd. Rahim Abd. Rashid (2006) mendapati kurikulum pendidikan di Malaysia adalah lemah dan tidak releven dengan dunia pekerjaan selain gagal untuk menyediakan pelajar kepada pekerjaan dan kerjaya. Kegagalan matlamat pendidikan bagi menghasilkan graduan yang berkualiti, berketerampilan dan marketable dalam industri pekerjaan menyebabkan timbulnya masalah dalam kalangan graduan. Peningkatan jumlah pengangguran dalam kalangan graduan seharusnya diberi perhatian dan memerlukan tindakan yang berkesan. Oleh yang demikian, perancangan pendidikan dan reka bentuk kurikulum perlu menjurus kepada dunia pekerjaan serta menggalakkan pembelajaran berterusan (life-long learning) (Abd. Rahim Abd. Rashid, 2006). Sehubungan itu, Lynch (2000) mencadangkan penambahbaikkan dalam sistem PLTV dalam menghadapi abad ke-21 iaitu 1) menyediakan program penerokaan dan perancangan kerjaya; 2) meningkatkan pencapaian akademik dan motivasi untuk belajar; 3) memperolehi kompetensi kemahiran generik dan kemahiran yang diperlukan untuk


14 bekerja; dan 4) mewujudkan laluan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, Lynch (2000) juga menegaskan enam komponen PLTV dalam menyokong empat keperluan seperti yang dinyatakan di atas iaitu 1) pilihan kursus/bidang pengajian; 2) pembelajaran dan pengajaran kontekstual; 3) pendidikan kerjaya; 4) pembelajaran berasaskan kerja; 5) penilaian autentik; dan 6) persediaan kemahiran. Kesemua komponen ini memfokuskan kepada peningkatan pembelajaran pelajar, pencapaian, motivasi dan prestasi supaya pelajar lebih bersedia untuk menyambung pelajaran atau terus bekerja setelah tamat pengajian. Dalam memastikan para pelajar PLTV dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa kini, penekanan terhadap persediaan pelajar dalam membuat pilihan kerjaya sebelum memasuki alam pekerjaan perlu diberi keutamaan. Kaunselor serta guru merupakan agen penyampai di sekolah perlu membantu dan membimbing pelajar dengan memastikan mereka menerima pendidikan dan latihan yang diperlukan untuk masa hadapan. 2.2.3 Teori Pembinaan Kerjaya Savickas (2005) Savickas (2005) memperkenalkan Teori Pembangunan Kerjaya (Career Construction Theory) di mana ianya mementingkan kebolehsuaian individu terhadap persekitaran yang dilalui dalam kehidupan (Sharf, 2013). Kebolehsesuaian adalah satu bentuk pembangunan manusia yang mana keserasiannya dengan persekitaran sosial adalah menjurus kepada integrasi antara individu dan persekitaran. Oleh kerana aspek keselarasan individu dan persekitaran penting dalam pilihan kerjaya seseorang, maka kebolehsuaian kerjaya dijangka akan memberi kesan kepada pemilihan kerjaya secara tidak langsung (Song & Chon, 2012; Zool Hilmi, Mohamad Sattar & Norzaini, 2014). Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa seseorang yang mempunyai kebolehsesuaian kerjaya yang tinggi akan menunjukkan minat yang tinggi terhadap pemilihan kerjaya (Soresi, Nota, & Ferrari, 2012). Kajian lain juga menunjukkan terdapat hubungan signifikan di antara elemen kebolehsesuaian kerjaya iaitu prihatin kerjaya, keinginan kerjaya, keyakinan kerjaya dan kawalan kerjaya dengan kemahiran kebolehkerjaan (Guzman & Choi, 2013) dan kematangan kerjaya mempunyai hubungan positif dengan empat elemen kebolehsuaian kerjaya (Savickas & Porfeli, 2011; Maznizam & Abdullah, 2013). Menurut Sharf (2013), kerjaya yang dibina oleh seseorang individu adalah adaptasi dari persekitaran dan perjalanan kehidupan yang dilalui oleh mereka. Pembinaan kerjaya seseorang akan berubah sepanjang kehidupan dan sentiasa dipertingkatkan. Apabila seseorang individu menceritakan tentang kerjayanya, maka individu tersebut menghasilkan naratif yang pada dasarnya adalah pandangan mereka terhadap kerjaya sendiri. Dalam teori ini, Savickas mendapati empat perkara penting yang berkait rapat dengan naratif individu dalam kerjaya iaitu personaliti vokasional, tugas perkembangan kerjaya, dimensi kebolehsuaian kerjaya dan tema kehidupan (life themes).


15 2.2.3.1 Personaliti Vokasional Menurut Holland (1973) hubungan antara faktor individu dan persekitaran kerja mewujudkan keselarasan. Semakin sama individu dengan persekitaran maka semakin selaras hubungan tersebut. Holland (1973) membahagikan individu kepada enam jenis persekitaran iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Conventional. Ini bermakna individu sosial cenderung untuk menikmati suasana bekerja dalam persekitaran sosial. Begitu juga individu realistik akan selesa dengan persekitaran realistik. Oleh itu, individu realistik yang bekerja di dalam persekitaran sosial akan mendapati tiada keselarasan yang wujud. Asas teori ini kemudiannya dikembangkan oleh Savickas dalam melahirkan teori pembinaan kerjaya (Sharf, 2013). Savickas (2005) mempercayai bahawa Teori Holland adalah berguna untuk membuat penilaian vokasional dan merumuskan keunikan seseorang individu. Dalam teori pembinaan kerjaya ini, Savickas tidak berminat untuk melihat bagaimana seseorang individu berbeza dengan individu yang lain, tetapi beliau mendapati teori ini boleh diaplikasikan oleh kaunselor dan pelajar untuk memahami kehendak kerjaya yang diingini pelajar. Kaunselor bukan sahaja boleh menggunakan teori Holland untuk membantu pelajar bagi memahami dunia pekerjaan, bahkan ianya juga dapat membantu dalam menghubungkan dunia pekerjaan dengan personaliti vokasional pelajar seperti minat, sikap, keupayaan dan nilai (Sharf, 2013). 2.2.3.2 Tugas Perkembangan Kerjaya Savickas (2005) menyatakan bahawa dalam menghadapi kebolehsuaian kerjaya, seseorang individu perlu menyelesaikan tugasan kerjaya mengikut peringkat umur seperti yang dicadangkan oleh Super (1971). Peringkat perkembangan terbahagi kepada lima peringkat iaitu peringkat pertumbuhan (lahir hingga 14 tahun), peringkat penerokaan (15 hingga 24 tahun), peringkat pengukuhan (25 hingga 44 tahun), peringkat pengekalan (45 hingga 64 tahun), dan peringkat penurunan (65 tahun ke atas). Peringkatperingkat ini dikatakan banyak mempengaruhi perjalanan kerjaya seseorang individu. Sekiranya peringkat-peringkat ini tidak dicapai, maka dijangkakan seseorang individu itu akan mengalami kesukaran pada peringkat seterusnya (Super, 1971; Niles & HarrisBowlsbey, 2012; Sharf, 2013). Pelajar Kolej Vokasional tergolong di dalam peringkat penerokaan di mana pelajar memasuki Kolej Vokasional pada usia 16 tahun dan di jangka bergraduat pada umur 19 tahun. Di peringkat penerokaan, individu melakukan pemeriksaan kendiri, mencuba peranan, penerokaan pekerjaan, aktiviti masa lapang, aktiviti kemasyarakatan dan melakukan kerja-kerja sambilan. Dalam peringkat ini aktiviti penerokaan kerjaya ditekankan dengan menyediakan peluang pengalaman dan pengetahuan kerjaya agar mereka dapat membuat pilihan kerjaya yang sesuai dengan dirinya. Hasilnya mereka mula menyedari kepentingan untuk merancang dan bersedia untuk memainkan peranan mereka (Sidek Noah, 2002; Abdul Hanid, 2007)


16 Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pelajar Kolej Vokasional dalam peringkat penerokaan perlu diberikan peluang untuk mengikuti program-program kerjaya supaya pelajar dapat memainkan peranan yang bersesuaian mengikut peringkat perkembangan kerjaya mereka. 2.2.3.3 Dimensi Kebolehsuaian Kerjaya Savickas (2005) memberi penekanan bukan sahaja dari aspek tugas-tugas pembangunan kerjaya tetapi juga dari proses kebolehsuaian terhadap kerjaya pilihan. Kebolehsuaian kerjaya dapat menunjukkan bagaimana seseorang individu berhadapan dengan peringkat perkembangan kerjaya yang sedang dilalui atau sedang menghadapi krisis dalam pekerjaan. Terdapat empat dimensi yang dicadangkan dalam kebolehsuaian kerjaya seseorang individu iaitu prihatin kerjaya (concern), kawalan kerjaya (control), keinginan kerjaya (curiosity) dan keyakinan kerjaya (confidence). Prihatin kerjaya merujuk kepada kesedaran individu terhadap kepentingan untuk mempersiapkan diri terhadap kerjaya masa depan. Apabila individu mula prihatin terhadap kerjaya seperti kurang tindakan dalam membuat pilihan kerjaya atau perubahan dalam bidang pekerjaan, maka ianya dapat membantu individu tersebut untuk lebih bersedia dengan membuat perancangan yang bersesuaian berkaitan kerjaya mereka. Keprihatinan individu dalam kerjaya boleh dilihat dari aspek perancangan, penglibatan, kesedaran, penyertaan dan kecenderungan terhadap kerjaya. Boleh dikatakan individu yang tidak prihatin terhadap kerjaya adalah individu yang mempunyai sikap tidak peduli dan tiada perancangan mengenai masa depan (Sharf, 2013). Kawalan kerjaya merujuk kepada rasa tanggungjawab dalam diri seseorang individu untuk membina kerjaya masa hadapannya dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mencapai perancangan yang telah dibuat. Pemilihan kerjaya dibuat berasaskan proses perkembangan kerjaya yang teratur dan bukan bergantung kepada peluang serta nasib. Ketiadaan kawalan kerjaya akan menimbulkan rasa teragak-agak dan keliru dalam pemilihan kerjaya (Sharf, 2013). . Keinginan kerjaya membawa maksud seseorang individu berinisiatif untuk mempelajari dan mendapatkan maklumat tentang dunia pekerjaan. Sikap berusaha mencari dan meneroka ini akan memberi pengalaman baharu, penambahan ilmu dan refleksi penyesuaian diri dalam pekerjaan yang dipilih. Seseorang individu akan bermasalah dalam pemilihan pekerjaan sekiranya kekurangan keinginan kerjaya kerana tidak mempunyai maklumat mencukupi tentang dunia pekerjaan (Sharf, 2013). . Keyakinan kerjaya dapat menjelaskan kejayaan individu dalam menyelesaikan masalah kompleks yang timbul semasa membuat keputusan kerjaya dan pemilihan pekerjaan. Ianya melibatkan efikasi kendiri di mana seseorang mampu membentuk sikap yang di perlukan untuk menghadapi cabaran dan menyelesaikan halangan-halangan dalam membuat pilihan. Tahap keyakinan kerjaya yang tinggi dalam diri membolehkan


17 individu bertindak mengikut minat dan aspirasi sendiri dalam membuat keputusan kerjaya (Sharf, 2013). . Menurut Savickas dan Porfeli (2011), pelajar perlu didedahkan tugas-tugas pilihan kerjaya dengan mengambil kira keprihatinan pelajar terhadap masa hadapan mereka, rasa kawalan diri terhadap kerjaya, keinginan untuk tahu dengan meneroka peluangpeluang sosial dan keyakinan untuk melibatkan diri dalam mereka bentuk pekerjaan masa hadapan dan berusaha melaksanakan perancangan yang dibuat supaya menjadi nyata. Namun, Savickas dan Porfeli (2011) juga mendapati hubungan dimensi kawalan kerjaya terhadap kesediaan kerjaya adalah lemah. Oleh itu dimensi kawalan kerjaya ditambah baik kepada perundingan kerjaya. Perundingan kerjaya adalah gaya hubungan atau strategi individu dalam mendapatkan nasihat daripada pihak lain untuk menentukan pilihan kerjaya. Perundingan kerjaya akan memperlihatkan sikap seseorang individu terhadap pilihan kerjaya dan kesediaan untuk membuat pilihan pekerjaan. Terdapat dua gaya hubungan dalam perundingan kerjaya iaitu 1) memerlukan bantuan nasihat daripada pihak ketiga seperti keluarga dan rakanrakan dalam membuat pilihan kerjaya dan 2) mampu membuat keputusan sendiri tanpa bantuan dan nasihat pihak ketiga (Sharf, 2013). Menurut Savickas dan Porfeli (2011), pelajar yang mempunyai tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya yang rendah (kurang keinginan kerjaya, kawalan kerjaya, prihatin kerjaya dan perundingan kerjaya) memerlukan penerokaan kerjaya yang lebih meluas seperti maklumat dan peluang-peluang dalam dunia pekerjaan selain mentadbir inventori seperti Self-Directed Search. Manakala pelajar yang memiliki tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya yang tinggi perlu diberi penekanan yang lebih mendalam iaitu dengan melibatkan mereka dengan dunia pekerjaan sebenar dan mentadbir inventori seperti Strong Interest Inventory. Menurut Sharf (2013), konsep pengesuaian kerjaya dapat membantu kaunselor untuk merancang intervensi pembangunan kerjaya yang sewajarnya jika tahap prihatin kerjaya (concern), kawalan kerjaya (control), keinginan kerjaya (curiosity) dan keyakinan kerjaya (confidence) yang dimiliki pelajar dikenal pasti. Kaunselor kerjaya bertanggungjawab membantu pelajar yang kurang prihatin kerjaya, kurang keyakinan kerjaya, tidak pasti tentang keinginan kerjaya dan memerlukan perundingan kerjaya. Konsep penyesuaian kerjaya dapat diaplikasi oleh kaunselor serta guru bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar berkaitan kerjaya. 2.2.3.4 Tema kehidupan (Life Themes) Komponen tema kehidupan dalam Teori Pembinaan Kerjaya bertujuan untuk menangani hal berkaitan kerjaya dalam kehidupan seseorang individu dengan memberi tumpuan kepada tingkah laku vokasional. Savickas (2005) berpendapat bahawa cerita atau kisah yang disampaikan oleh seseorang individu tentang kerjaya dapat mendedahkan tema


18 untuknya membuat pilihan pekerjaan yang bermakna. Ini bermakna kaunselor di sekolah dapat membantu dan membimbing pelajar dalam membuat pilihan pekerjaan yang sesuai baginya setelah pelajar menceritakan naratif kerjaya yang difikirkannya. Menurut McIlveen et al. (2007), cerita yang disampaikan pelajar kepada kaunselor dapat merungkai keunikan seseorang pelajar, masalah yang dihadapi serta dapat menjelaskan mengapa pelajar membuat pilihan khususnya berkaitan pilihan kerjaya. 2.2.4 Kajian Kesediaan Membuat Pilihan Kerjaya Beberapa kajian di Malaysia telah dijalankan berkaitan dengan kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar PLTV. Antaranya adalah kajian daripada Mohd Jahidi, Jasmi dan Norwaliza (2016), Mohd Faizal dan Mohd Azrul (2015), Maznizam dan Abdullah (2013), Maisarah Kamro (2012) serta Nor Fadila dan Azman Ripin (2010). Maznizam dan Abdullah (2013) yang telah menjalankan kajian terhadap 292 orang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di negeri Selangor mendapati tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar adalah rendah. Dapatan kajian menunjukkan 1) responden masih tidak bersedia untuk menentukan kerjaya pilihan setelah tamat pengajian; 2) responden tidak yakin dengan pengalaman dan kemahiran yang di miliki sepanjang tempoh pengajian untuk bekerja; 3) majoriti responden teragak-agak serta bimbang untuk membuat keputusan kerjaya; dan 4) penyertaan responden dalam program kerjaya yang dijalankan tidak memberi kesan ke atas kesediaan kerjaya. Selain itu, dapatan kajian tersebut menunjukkan prihatin kerjaya tidak mempunyai hubungan terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya manakala perundingan kerjaya, keyakinan kerjaya dan keinginan kerjaya mempunyai hubungan dengan tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar IKBN. Secara keseluruhannya, dapat dinyatakan bahawa tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya di kalangan pelajar dapat ditambah baik dengan meningkatkan usaha dalam memperbaiki faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar untuk membuat keputusan tentang kerjaya yang bakal diceburi. Kajian kesediaan membuat pilihan kerjaya bagi pelajar tahun akhir di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang dijalankan Mohd Faizal dan Mohd Azrul (2015) mendapati tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar berada di tahap sederhana. Dapatan kajian tersebut mendapati tiada perbezaan tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya bagi pelajar yang mempunyai pencapaian akademik tinggi, sederhana dan rendah. Tahap pencapaian akademik pelajar di dapati tidak mempengaruhi tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya. Hal ini menunjukkan pencapaian akademik bukan satu faktor yang menentukan tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar ADTEC. Pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik tinggi tidak bermakna mereka telah bersedia dan yakin untuk membuat pilihan kerjaya yang bakal diceburi. Selain itu, dapatan kajian tersebut juga mendapati terdapat perbezaan faktor penyertaan program kerjaya dengan tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Tahap pelajar yang tidak mengikuti program kerjaya lebih tinggi daripada pelajar yang mengikuti program kerjaya. Ini menunjukkan bahawa program kerjaya yang dijalankan di ADTEC perlu dinilai semula pelaksanaannya.


19 Kajian lepas yang dilakukan oleh Mohd Jahidi et al., (2016) bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan Modul Penerokaan Kerjaya terhadap kematangan kerjaya atau kesediaan membuat pilihan kerjaya di kalangan pelajar Kolej Komuniti. Kaedah kajian kuasi-eksperimen dengan reka bentuk ujian pra-pasca kumpulan kawalan tidak seimbang dijalankan terhadap 122 orang pelajar semester 4 Kolej Komuniti di Melaka. Kumpulan eksperimen telah menghadiri bengkel kerjaya yang menggunakan Modul Penerokaan Kerjaya selama 9 minggu (18 jam), manakala kumpulan kawalan belajar di dalam kelas mengikut jadual biasa. Data dikumpul dengan menggunakan set selidik iaitu Career Maturity Inventory Revised (CM-R). Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen terhadap kematangan kerjaya atau kesediaan membuat pilihan kerjaya responden selepas eksperimen. Keputusan kajian tersebut membuktikan bahawa kematangan kerjaya dapat ditingkatkan jika pelajar mengikuti program kerjaya yang sistematik. Penggunaan Modul Penerokaan Kerjaya berkesan untuk pelajar Kolej Komuniti dalam meningkatkan kemahiran kerjaya mereka. Kajian lepas yang dijalankan oleh Maisarah Kamro (2012) bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membuat pilihan pelajar jurusan binaan bangunan dalam menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan binaan. Kajian tersebut dilakukan ke atas 66 orang pelajar jurusan binaan bangunan dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Hasil dapatan kajian menunjukkan faktor tertinggi yang mempengaruhi kesediaan pelajar dalam kerjaya kejuruteraan binaan adalah faktor minat (min = 4.12). Diikuti faktor pengetahuan (min = 3.98), faktor media (min = 3.90), faktor situasi pekerjaan dan faktor guru (min = 3.80), ibubapa (min = 3.64) dan rakan (min = 2.79). Dapatan kajian tersebut juga mendapati tidak terdapat sebarang perbezaan yang signifikan secara statistik terhadap pelajar lelaki dan perempuan dari segi minat dalam menceburi kerjaya kejuruteraan binaan. Kajian ini menunjukkan bahawa faktor minat dalam sesuatu bidang pengajian yang diikuti dapat mempengaruhi kesediaan pelajar untuk menceburi dunia pekerjaan dalam bidang yang sama. Nor Fadila dan Azman Ripin (2010) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti keberkesanan kurikulum dalam bidang kejuruteraan Elektrik dalam menerapkan nilainilai yang berkaitan kesediaan kerjaya pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia. Hasil kajian mendapati kurikulum Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang diterapkan berkesan dalam meningkatkan kesediaan kerjaya pelajar. Isi kandungan pengajaran dan pembelajarannya di dapati sesuai untuk diaplikasikan setelah bekerja kelak. Tambahan pula, pensyarah turut memberi penekanan ke atas kemahiran berkaitan kerjaya pelajar. Kerja kursus yang disempurnakan oleh pelajar bersesuaian dengan bidang kerjaya, secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi pengetahuan dalam bidang yang bakal diceburi. Kurikulum yang diamalkan juga tidak berteraskan kepada teori serta kejayaan akademik sahaja, bahkan disusuli dengan kemahiran amali yang dijalankan semasa latihan praktikal. Selain itu program latihan indusri yang dilalui oleh pelajar dapat membantu mengukuhkan lagi pengetahuan kerjaya mereka serta meningkatkan kemahiran yang sedia ada. Hasil kajian juga mendapati bahawa pelajar mempunyai kemahiran komunikasi yang baik serta mampu mengamalkan budaya kerja cemerlang membuktikan mereka bersedia untuk menghadapi alam kerjaya masa


20 hadapan. Kesimpulannya, pengetahuan kerjaya dalam bidang yang akan diceburi pelajar seharusnya disampaikan dengan berkesan kerana kepentingannya yang nyata bagi memberi pengetahuan kepada pelajar seterusnya membantu masalah kesediaan membuat pilihan kerjaya yang di hadapi oleh pelajar. 2.3 Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) dan Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) Kurikulum pendidikan perlukan perubahan serta anjakan paradigma dari semasa ke semasa. Peningkatan kualiti pendidikan tidak dapat dicapai jika kurikulum yang sedia ada tidak ditambahbaik. Pendekatan PBP dan PBK dilihat sebagai perubahan yang boleh meningkatkan kualiti kurikulum dan program pembelajaran dan pengajaran di Kolej Vokasional. 2.3.1 Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) Pembelajaran Berasaskan Projek adalah satu pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar, berbentuk penyiasatan, melibatkan proses membuat keputusan berasaskan analisis data, berkolaborasi, berorientasikan produk dan melibatkan penyediaan dokumen. Selain itu, PBP dikatakan dapat 1) menjadikan tempat belajar lebih menarik untuk pelajar; 2) meningkatkan penguasaan pembelajaran; 3) membina kemahiran pelajar untuk berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan; 4) membantu mencapai standard pembelajaran; 5) memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan teknologi; 6) menjadikan pengajaran lebih seronok; dan 7) menghubungkan pelajar dan sekolah dengan masyarakat dan dunia sebenar (BIE, 2010). Railsback (2002) telah merumuskan kelebihan pendekatan PBP berdasarkan kajiankajian lepas iaitu: i. Menyediakan murid dengan kemahiran penting alam pekerjaan seperti kemahiran berkolaborasi, merancang projek, membuat keputusan dan pengurusan masa. ii. Meningkatkan motivasi pelajar seperti aktif dalam penyertaan dalam pembelajaran, bersemangat tinggi untuk melakukan dan menyiapkan tugasan serta kehadiran ke sekolah bertambah baik. iii. Menghubungkan pembelajaran dalam bilik darjah dengan realiti kehidupan sebenar. iv. Menggalakkan pembelajaran koperatif secara aktif dalam perkongsian idea, perundingan dan perbincangan untuk menyelesaikan masalah. v. Meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi. vi. Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah. vii. Membolehkan pelajar melihat hubungan dan mengintergrasikan pelbagai bidang pengetahuan dalam pembelajaran. viii. Menyediakan peluang kepada murid untuk memberi sumbangan kepada sekolah dan komuniti melalui projek yang dihasilkan. ix. Meningkatkan keyakinan diri.


21 x. Menggalakkan pembelajaran kendiri dan akses kendiri berdasarkan kekuatan pelajar mengikut kepelbagaian kemahiran belajar. xi. Menyediakan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan teknologi dalam pembelajaran yang melibatkan situasi sebenar melalui tugasan-tugasan yang diberi. Di Malaysia, pelaksanaan elemen-elemen PBP melalui kaedah projek dalam proses pembelajaran dan pengajaran telah lama dilaksanakan. Kajian rintis telah dilaksanakan di tujuh buah sekolah di negeri Sabah pada tahun 2007. Dapatan kajian menunjukkan PBP berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan, kreatif, kemahiran ICT dan memberi peluang kepada murid untuk belajar secara lebih mendalam sesuatu topik pembelajaran. Selain itu, PBP mampu menjana pemikiran dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar bagi menempuh cabaran dunia pekerjaan semasa yang memerlukan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkemampuan menjadi k-workers (Bahagian Teknologi Pendidikan, 2007). Di Kolej Vokasional, PBP dilaksanakan melalui program Project Based Education (PBE) yang diterapkan dalam kurikulum Kolej Vokasional pada tahun 2014 bagi membantu membangunkan modal insan negara yang mampu bersaing dengan negara maju di dunia serta melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global (Ahmad Tajudin, 2014). Dalam program PBE, pelajar menghasilkan satu produk atau perkhidmatan yang boleh dipasarkan. Pada tahun 2016, program tersebut telah ditambah baik kepada Projek Tahun Akhir (PTA) di mana pelajar dikehendaki menyiapkan produk secara individu atau berkumpulan tidak melebihi empat orang, membuat pembentangan projek dan menyediakan laporan berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan. Pensyarah pula berperanan sebagai pembimbing dan penyelia bagi membantu perjalanan projek yang dihasilkan. Sehubungan dengan itu, kajian Nitce Isa dan Mai Shihah (2013) mendapati PBP di sekolah menengah dianggap asing disebabkan kurangnya pendedahan tentang pendekatan PBP. Menjadi kerugian kepada guru dan pelajar jika kebaikan dan kelebihan PBP tidak diaplikasikan mengikut pendekatan yang betul. Kajian tersebut juga mendapati empat ciri utama PBP yang penting dan perlu diterapkan kepada pelajar adalah 1) berasaskan soalan yang bermakna; 2) penghasilan produk atau artifak pada akhir pembelajaran; 3) PBP mengintegrasikan teknologi, maklumat dan komunikasi; dan 4) pembelajaran secara kumpulan. Soalan yang bermakna dapat menggalakkan pelajar berfikir dengan lebih mendalam, meningkatkan rasa ingin tahu pelajar dan seterusnya melalui soalan yang bermakna dapat menghuraikan masalah atau isu dalam konteks dunia sebenar (Blumenfeld, Soloway, Marx, Krajcik, Guzdial & Palincsar, 1991). Kenyataan ini diakui oleh Tal, Krajcik dan Blumenfeld (2006) yang menegaskan bahawa pembelajaran dan pengajaran yang menggunakan projek membolehkan pelajar meluaskan pengalaman pembelajaran


22 mereka melalui soalan-soalan bermakna yang berkaitan dengan masalah/isu yang di hadapi komuniti atau keluarga. Chin (2007) pula menyatakan bahawa jenis soalan dan cara sesuatu soalan yang diajukan oleh guru perlu berpotensi untuk mempengaruhi proses kognitif pelajar semasa mereka membina pengetahuan saintifik. Selain itu, Nitce isa dan Mai Shihah (2013) mendapati pendekatan PBP perlu berkaitan dengan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian pelajar supaya projek yang dihasilkan oleh pelajar adalah bernilai dan memberi makna kepada komuniti. Ini menunjukkan bahawa dalam pendekatan PBP, pelajar perlu menyiapkan projek berasaskan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian dengan ditunjangi soalan-soalan bermakna berkaitan projek. Selain penerapan soalan bermakna, pembelajaran PBP perlu menghasilkan satu produk atau artifak pada akhir pembelajan (Blumenfeld et al., 1991; Nitce Isa & Mai Shihah, 2013). Namun begitu, projek atau artifak bukanlah satu-satunya hasil yang harus diperolehi melalui PBP. Pelajar boleh menunjukkan apa yang telah dipelajari dalam bentuk persembahan atau demonstrasi (Yalcin, Turgut & Buyukkasai, 2009). Ini menunjukkan bahawa melalui PBP, pelajar dapat mempamerkan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi sepanjang proses pembelajaran dan penghasilan projek membantu mengukuhkan lagi kefahaman mereka tentang sesuatu topik. Seterusnya ciri penting yang diberi perhatian oleh pengkaji-pengkaji lepas dalam keberkesanan penekanan PBP adalah mengintegrasikan teknologi, maklumat dan komunikasi (TMK) (Blumenfeld et al., 1991; Ng , Tan & Toh, 2007; Zimmerman, 2010; Nitce Isa & Mai Shihah, 2013). Daripada dapatan mereka, PBP yang berteraskan teknologi dapat membantu pelajar mencapai maklumat dengan pantas dan tepat, selain dapat menguasai kemahiran TMK semasa menyiapkan projek. Ng dan Fong (2004) mendapati bahawa teknologi masa kini mampu menjadi penyumbang maklumat kepada pelajar dan secara langsung menjadi pembelajaran yang lebih menarik dan berharga. Jelas menunjukkan bahawa TMK perlu dieksploitasikan sepenuhnya secara bermanafaat ketika menyiapkan projek. Walaubagaimanapun, peranan guru sebagai fasilitator membimbing pelajar masih penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. PBP juga menggalakkan pelajar bekerja dalam kumpulan. Dalam PBP, pelajar akan bekerjasama untuk membina soalan-soalan untuk menyiasat sesuatu, mereka bentuk dan melaksanakan eksperimen, menguji dan menganalisis cadangan-cadangan, berkongsi pemahaman dan membuat refleksi atas apa yang telah dipelajari bersama-sama (Lou & MacGregnor, 2004). Menurut Siti Fatimah et al., (2006), Zimmerman (2010) dan Kaldi et al., (2011) , PBP dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran-kemahiran sosial dan menyediakan mereka untuk berkolaborasi dengan rakan, bekerja dalam kumpulan, menyediakan pembentangan, berkomunikasi, menganalisis dan memberi sebab.


23 Konsep setiap pelajar belajar dari pelajar yang lain dapat menggalakkan pelajar menyumbang idea serta menghargai idea orang lain. Kajian Mimi Mohaffyza et al. (2008) mendapati melalui pendekatan PBP pelajar berani untuk memberi idea dan pandangan serta melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Manakala Blumenfeld et al. (1991), Brodi (2008) dan Bell (2010) pula menyatakan bahawa pelajar lebih yakin untuk berkomunikasi setelah didedahkan dengan PBP, dan bersetuju bahawa pendekatan ini membenarkan pelajar untuk berlatih kemahiran berkomunikasi, perhubungan interpersonal dan bekerjasama dalam kumpulan. Kajian Nor Fadila dan Muhammad Sukri (2008) terhadap pelajar Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan yang menjalankan projek Reka Cipta mendapati para pelajar gagal mengaitkan konsep reka cipta semasa menyelesaikan masalah, tidak memahami masalah reka cipta yang dikemukakan, gagal mengenal pasti keperluan masalah dan sukar menangani masalah. Manakala dalam konteks pengajaran guru pula, pelajar memberi maklum balas bahawa pengajaran guru adalah membosankan dan persekitaran pembelajaran tidak kondusif. Ini menunjukkan pelajar dan guru perlu memainkan peranan dalam memastikan pendekatan PBP yang dijalankan dapat mencapai objektif pembelajaran. Morley (2002) berpendapat bahawa cabaran yang dihadapi oleh pelajar dalam pelaksanaan pendekatan PBP lebih kepada masalah atau situasi yang perlu ditangani di mana ianya memerlukan proses mengenal pasti, memberi rasional dan perundingan terhadap faktor-faktor penting untuk memperoleh penyelesaian. Manakala dalam konteks pengajar, cabaran besar adalah mewujudkan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang mampu menarik minat pelajar sepanjang menyiapkan projek. Keberkesanan pendekatan PBP dapat dicapai sekiranya langkah-langkah pelaksanaan PBP diterapkan dengan betul kepada pelajar. Stix dan Hrbek (2006) mencadangkan sembilan langkah yang boleh dilaksanakan dalam PBP iaitu 1) guru menetapkan tema projek dengan memberikan contoh projek yang berkaitan dengan kehidupan seharian; 2) pelajar memainkan peranan dalam mencipta soalan-soalan bermakna yang berfokus kepada projek; 3) pelajar mengumpul dan mencari maklumat serta membina pengetahuan berkaitan projek; 4) guru dan pelajar berunding tentang kriteria untuk penilaian projek; 5) pelajar mengumpul bahan-bahan yang diperlukan untuk menjalankan projek; 6) pelajar membuat projek; 7) pelajar membuat persediaan untuk pembentangan projek; 8) pembentangan hasil projek oleh pelajar; dan 9) pelajar membuat refleksi terhadap proses yang telah dilalui dan hasil penilaian projek oleh guru. Manakala Larmer dan Mergendoller (2015) dari Buck Institute of Education pula mencadangkan lapan langkah asas sebagai rujukan guru dalam menjalankan PBP iaitu 1) kandungan yang bermakna dan penting (Significant content); 2) keperluan pelajar untuk tahu pelajaran yang disampaikan (A need to know); 3) soalan pendorong yang dapat membina pengetahuan pelajar berkaitan projek yang akan dihasilkan (A driving question); 4) mengambil kira pendapat dan pilihan pelajar (Student Voice and choice); 5) menerapkan kompetensi abad ke-21 seperti berkolaborasi, bekerja dalam kumpulan,


24 berfikir secara kritis, kemahiran komunikasi dan kreatif/inovatif (21st century competencies); 6) membimbing pelajar membuat penyiasatan secara mendalam (Indepth inquiry); 7) menyemak dan mengkritik hasil kerja pelajar berdasarkan rubrik yang telah disediakan (Critique and Revision); dan 8) mempersembahkan produk di khalayak ramai (Public Audience). Kesimpulannya, pendekatan PBP yang dilaksanakan di Kolej Vokasional seharusnya menepati ciri-ciri PBP yang telah dikemukakan supaya pelajar dapat memindahkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi untuk membuat pilihan kerjaya masa hadapan dengan tepat. Pendekatan PBP yang diterapkan kepada pelajar Kolej Vokasional juga seharusnya menjadi penyumbang utama untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif seterusnya dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan kesejahteraan negara. 2.3.2 Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) Pembelajaran Berasaskan Kompetensi adalah pendekatan pembelajaran yang berfungsi untuk pendidikan yang menekankan kemahiran hidup dan menilai penguasaan kemahiran mengikut prestasi sebenar pelajar (U.S Department of Education, 1978). Menurut Secretary’s Commission on Achieving Necessary Skill (SCAN, 1991), tiga kemahiran penting yang di perlukan oleh majikan adalah kemahiran teknikal, kemahiran akademik dan kemahiran kebolehkerjaan. Pendekatan PBK dilihat mampu menyediakan pelajar yang berpotensi untuk memenuhi ketiga-tiga kemahiran tersebut sebagaimana yang dikehendaki oleh majikan dalam industri pekerjaan. Menurut Hoffmann (1999), kompetensi merujuk kepada perlakuan psikomotor atau tingkah laku yang perlu dipamerkan oleh individu serta boleh dinilai atau diukur. Kompetensi juga boleh dijadikan sebagai penanda aras atau alat ukur bagi menjamin hasil kerja yang berkualiti. Ini bermakna, PBK boleh dijadikan sebagai tanda aras dalam mengenal pasti dan menilai keberkesanan dalam bekerja serta sebagai penambah baikan terhadap pendidikan atau latihan dengan keperluan yang diperlukan di tempat kerja (Kerka, 1998). Manakala Finch dan Crunckilton (1999) menyatakan bahawa PBK adalah satu pendekatan kepada latihan vokasional yang memberi penekanan kepada apa yang individu boleh lakukan di tempat kerja hasil daripada pendidikan dan latihan yang diperolehi. Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM (2010), PBK dilihat sesuai untuk dilaksanakan khususnya bagi PLTV kerana kemahiran dapat diajar dan ditafsir dengan lebih spesifik berbanding mata pelajaran akademik. Di antara kelebihan PBK yang telah dikenal pasti oleh Sullivan (1995) adalah seperti berikut: i. Pelajar dapat menguasai kompetensi yang di perlukan untuk meningkatkan prestasi kerjaya mereka. ii. Pelajar dapat membina keyakinan apabila mereka mencapai masteri dalam kompetensi spesifik.


25 iii. Pelajar menerima transkrip atau senarai kompetensi yang telah dikuasai. iv. Masa latihan digunakan secara berkesan dan efektif kerana guru bertindak sebagai fasilitator bukannya sebagai penyampai maklumat. Berdasarkan kelebihan tersebut, PBK dapat memberi manfaat dan pengalaman kepada pelajar menerusi pembelajaran yang diikuti bagi persediaan menempuh alam pekerjaan. Benson (2006) menyatakan bahawa pengalaman dalam PBK membantu pelajar mengaplikasikan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan dan dalam masa yang sama, pengalaman ini memberi peluang untuk membina tingkah laku atau sikap pelajar terhadap tanggungjawab yang akan dipikul di alam pekerjaan di samping mendidik semangat kerjasama dalam kumpulan dan komuniti. PBK dilaksanakan di peringkat Kolej Vokasional adalah berdasarkan modul pembelajaran yang berteraskan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) mengikut bidang kursus masing-masing. Menurut KPM (2009), modul pembelajaran di Kolej Vokasional terbahagi kepada tiga bahagian iaitu modul akademik yang meliputi pengajian teras, modul vokasional dalam bentuk kluster program kemahiran vokasional dan modul kompetensi kompetitif yang meliputi kompetensi keusahawanan, kompetensi bekerja dan kompetensi insaniah. Pelajar dikehendaki kompeten setiap unit tugasan yang telah ditetapkan dalam modul sebelum beralih ke unit yang baharu. Selain itu, kompetensi yang perlu dicapai oleh pelajar telah digubal mengikut standard kompetensi bekerja dengan berpandukan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), Jabatan Pembangunan Kemahiran. Jamaliah (2015) yang menjalankan kajian terhadap 306 orang pelajar Kolej Vokasional di Negeri Perak mendapati pelaksanaan PBK dapat meningkatkan kemahiran generik pelajar iaitu kemahiran komunikasi, pembelajaran berterusan, bekerja dalam kumpulan, kepimpinan, pengurusan, penyelesaian masalah dan keusahawanan. Selain itu, dapatan kajian tersebut juga mendapati antara kekangan yang perlu dihadapi oleh pelajar adalah melaksanakan tugasan dengan alatan, teknologi serta mesin yang terhad di Kolej Vokasional. Ini menyebabkan keberkesanan pembelajaran dan kemenjadian pelajar tidak dapat dicapai secara optimum. Manakala Nurulhuda (2013) yang menjalankan kajian kuantitatif untuk mengenal pasti tahap kesediaan guru Kolej Vokasional dalam menjalankan PBK mendapati tahap kesediaan guru dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap adalah sederhana tinggi. Hasil kajian beliau juga mendapati guru mengetahui peranan mereka untuk membimbing pembelajaran pelajar dalam sesuatu tugasan dengan jelas tetapi kurang selesa dengan masa pelaksanaan PBK yang agak panjang dan beban tugas yang semakin meningkat. Oleh yang demikian, guru di Kolej Vokasional memainkan peranan penting dalam pelaksanaan PBK kerana guru merupakan agen pelaksana dalam memastikan keberkesanan PBK dalam melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan.


26 Seterusnya, Habib dan Baharudin (2012) menjalankan kajian untuk mengenal pasti tahap amalan pedagogi guru dari 23 buah Sekolah Menengah Vokasional di Semenanjung Malaysia dalam pelaksanaan kurikulum kimpalan berasaskan kompetensi. Kajian kuantitatif yang dijalankan ke atas 156 orang guru yang mengajar mata pelajaran kimpalan ini mendapati tahap amalan pedagogi guru adalah sederhana (min = 2.65). Majoriti guru menjalankan pendekatan pengajaran secara kuliah (min = 3.22). Seterusnya diikuti kaedah demonstrasi (min = 3.05), perbincangan (min = 2.91), projek (min = 2.86) dan lawatan (min = 1.23). Guru-guru masih terikat dengan kaedah kuliah yang berpusatkan guru dalam menjalankan pengajaran berasaskan kompetensi. Seharusnya kaedah pengajaran guru perlu berubah daripada pendekatan konvensional yang berpusatkan guru kepada pendekatan berpusatkan pelajar. Menurut Finch dan Crunkilton (1999), pendekatan PBK perlu mengikut kemampuan pelajar secara individu di mana pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar diterapkan untuk mencapai kompetensi yang ditentukan. Berdasarkan kekangan yang dihadapi, maka pendekatan PBK perlu dilaksanakan secara berkesan agar matlamat pembelajaran dan pengajaran yang dirancang dapat dicapai secara optimum. Menurut Foyster (1990), Delker (1990) dan Norton (1987) beberapa ciri pendidikan berasaskan kompetensi yang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaanya di dalam kurikulum iaitu: i. Kompetensi dikenal pasti dan dipilih dengan teliti mengikut keperluan industri, ii. Teori diintregrasikan dengan kemahiran. Pengetahuan disampaikan bagi menyokong pelaksanaan dan pencapaian kemahiran. iii. Bahan pembelajaran disediakan dengan teliti supaya kompetensi yang ditetapkan dapat dicapai. iv. Kaedah pembelajaran melibatkan pembelajaran masteri (pengetahuan) dan kontekstual (kemahiran) dan dijalankan sehingga seseorang pelajar dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran sewajarnya, v. Pentaksiran terhadap pencapaian pengetahuan dan kemahiran dijalankan pada awal pembelajaran dan penguasaan pembelajaran kemahiran sedia ada diambil kira bagi menyokong pembelajaran yang sedang berjalan, vi. Pembelajaran dan latihan dijalankan dengan fleksibel melalui kerja kumpulan yang besar, kecil atau individu. vii. Bahan dan sumber pembelajaran sokongan untuk mencapai kompetensi disediakan secukupnya. viii. Pembelajaran mengikut kadar kebolehan individu/pelajar ix. Pembelajaran dan latihan yang memuaskan adalah berdasarkan pencapaian semua kompetensi yang telah ditetapkan. Berdasarkan penerangan di atas, pembelajaran dan pengajaran dalam sistem PLTV berasaskan kompetensi dapat dipertingkatkan keberkesanannya sekiranya dilaksanakan mengikut ciri-ciri yang dikemukakan.


27 Selain daripada mempertimbangkan ciri-ciri pelaksanaan PBK, penilaian terhadap kompetensi pelajar perlu diberi keutamaan agar setiap pelajar yang menamatkan kursus mempunyai kemahiran dan kompetensi yang tinggi dalam bidang yang mereka ikuti. Menurut Mohd Anizam et al. (2014), terdapat tujuh prinsip dalam penilaian PBK iaitu: i. Kaedah pengredan. Ianya dinyatakan secara jelas kepada pelajar sama ada mereka telah mencapai tahap ‘kompeten’ atau ‘belum kompeten’. Prestasi pelajar ditentukan melalui pencapaian kompetensi yang diperolehi dan dibandingkan dengan penyataan kriteria yang ditetapkan. ii. Kesesuaian yang jelas. Melalui modul Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV), objektif pembelajaran dan bentuk kaedah penilaian yang akan dilakukan telah dinyatakan dengan jelas. Pelajar dapat melakukan persediaan awal dalam mempertingkatkan kompetensi diri sebelum penilaian dijalankan. iii. Kepelbagaian bentuk penilaian. Penilaian kompetensi pelajar boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk seperti kuiz, tugasan, amali praktikal, pembentangan dan peperiksaan akhir. Maka, secara langsung pembelajaran boleh dijalankan secara fleksibel melalui aktiviti pembelajaran secara dalam kumpulan yang besar, kecil atau secara individu. iv. Usahasama. Kerjasama antara pelajar, institusi dan industri perlu wujud dalam pelaksanaan PBK. Dalam memastikan pelajar mencapai kompetensi yang di harapkan, pelajar perlu diberi ruang untuk menunjukkan kompetensi dan menimba pengalaman bagi menghadapi dunia pekerjaan sebenar. v. Praktikal. Bagi membangunkan kompetensi pelajar, penyampaian teori perlu diintegrasikan dengan kemahiran. Kaedah pembelajaran seharusnya melibatkan pembelajaran masteri (pengetahuan) dan kontekstual (kemahiran) dan dijalankan sehingga pelajar menguasai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi. vi. Berterusan. Penilaian dilakukan secara berterusan dengan berpandukan kompetensi yang perlu dicapai oleh pelajar dan tidak tertumpu kepada penilaian berbentuk sumatif. vii. Kesan positif. Bagi mewujudkan penilaian yang memberi kesan positif kepada diri pelajar, pentaksiran pencapaian dijalankan pada awal pembelajaran dan penguasaan terdahulu diambil kira bagi menyokong pembelajaran yang sedang berjalan. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa PBK sewajarnya dilaksanakan dengan terancang kerana ianya berupaya melahirkan para pelajar yang dapat memenuhi keperluan industri dan majikan serta bersedia ke arah kerjaya. 2.3.3 Teori Pembelajaran Konstruktivisme Pendekatan PBP dan PBK bertepatan dengan teori konstruktivisme kerana teori ini menggalakkan pembelajaran secara aktif dalam pembinaan ilmu pengetahuan. Menurut Borich dan Tomari (1997), konstruktivisme adalah pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan hubungan antara idea dan fakta yang sedang dipelajari. Manakala Woolfolk (1998) menjelaskan bahawa mengikut teori pembelajaran


28 konstruktivisme, pelajar perlu berperanan aktif dalam memahami dan memberi makna (making sense) kepada maklumat yang diperolehi. Teori konstruktivisme juga biasanya dikaitkan dengan pembelajaran aktif dan Learning by doing yang dipelopori oleh John Dewey. Dewey mendapati tiga asas utama pendekatan learning by doing adalah 1) individu belajar dengan lebih berkesan jika mereka terlibat secara peribadi dalam pengalaman pembelajaran; 2) ilmu perlu diteroka oleh individu jika ianya memberi makna dalam kehidupan atau berlaku perubahan dalam tingkah laku mereka; dan 3) individu akan lebih komited dalam pembelajaran jika mereka bebas untuk menetapkan objektif pembelajaran dan cuba untuk mencapainya secara aktif (Ord, 2012). Kajian terbaharu daripada Moye dan Dugger (2016) mendapati pelajar lebih faham apabila mereka membuat (doing). Pelajar bukan sekadar menerima maklumat daripada guru, tetapi lebih kepada pembelajaran sambil bekerja sehingga boleh memberikan pengetahuan dan kemahiran yang mendalam kepada pelajar dalam konteks dunia sebenar. Hal ini bertepatan dengan prinsip konstruktivisme dimana pelajar perlu dilibatkan secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Salah satu usaha untuk meningkatkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti pembelajaran adalah dengan menyedarkan pelajar tentang objektif pembelajaran. Menurut Dean et al., (2012), pelajar hendaklah diberitahu tentang hasil pembelajaran supaya pelajar lebih fokus dengan apa yang mereka belajar seterusnya untuk mencapai objektif pembelajaran. Teori Pembelajaran Konstruktivisme boleh dibahagikan kepada dua cabang utama iaitu kognitif dan sosial. Prinsip Jean Piaget juga menjadi asas kepada teori konstruktivisme kognitif dimana beliau mendapati individu membina pengetahuan baharu daripada pengalaman mereka melalui proses akomodasi dan asimilasi. Asimilasi adalah pengintegrasian informasi baharu ke struktur kognitif yang sudah ada manakala akomodasi adalah proses penyesuaian sktruktur kognitif ke dalam situasi baharu. Manakala teori konstruktivisme sosial yang dipelopori oleh Vygotsky (1978) mendapati kanak-kanak berkembang secara sistematik, logik serta rasional dengan bantuan dan bimbingan orang lain. Pendekatan dalam pembelajaran sistem PLTV seharusnya memberi penekanan terhadap pembelajaran kendiri dan pengajaran aktif supaya hasil pembelajaran dapat diaplikasi ditempat kerja. Justeru itu KPM (2001) telah menggariskan ciri-ciri teori konstruktivisme yang boleh diterapkan dalam pembelajaran dan pengajaran iaitu: i. Pembelajaran berpusatkan pelajar. ii. Fokus kepada pembelajaran bukan pengajaran. iii. Guru bertindak sebagai fasilitator. iv. Menyokong pembelajaran koperatif atau pembelajaran berkumpulan. v. Menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi pelajar. vi. Memberi peluang kepada pelajar untuk membina ilmu pengetahuan baharu melalui penglibatan pelajar dengan situasi dunia yang sebenar.


29 vii. Menggalakkan pelajar bertanya dan berbincang dengan rakan dan guru. viii. Menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen. ix. Mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh pelajar. x. Menggalakkan soalan atau idea yang dikemukakan oleh pelajar. Jelaslah bahawa pendekatan PBP dan PBK merangkumi ciri-ciri yang dikemukakan oleh teori konstruktivisme. Sesi pembelajaran dan pengajaran di Kolej Vokasional seharusnya dirancang dengan baik supaya pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi pelajar daripada pendidikan dan latihan serta interaksi sosialnya dapat membantu pelajar membuat pilihan kerjaya dengan tepat. Sementara itu, Doolittle dan Camp (1999) mencadangkan faktor-faktor penting yang perlu diambil kira dalam menerapkan pedagogi konstruktivisme adalah seperti berikut: i. pembelajaran seharusnya dijalankan berdasarkan kehidupan dunia sebenar dalam kehidupan seharian; ii. pembelajaran melibatkan perundingan dan pengantaraan sosial; iii. Kandungan pelajaran dan kemahiran seharusnya dibuat sesuai dengan ciri-ciri pelajar; iv. Kandungan dalam pelajaran dan kemahiran seharusnya memahami pengetahuan sedia ada yang dimiliki oleh pelajar; v. Pelajar seharusnya dinilai secara formatif, supaya dapat membentuk pengalaman belajar untuk topik/kandungan pembelajaran yang seterusnya; vi. Pelajar digalakkan mengamalkan sikap penyesuaiaan diri (self-regulatory), pengantaraan diri (self-mediated) dan kesedaran diri (self-aware); vii. Peranan guru sebagai pembimbing atau fasilitator dalam pembelajaran dan bukan sebagai instruktor; viii. Guru seharusnya menyediakan dan menggalakkan pelbagai kaedah dan pandangan dalam memberikan kandungan pelajaran. Berdasarkan cadangan tersebut, fokus dalam proses pembelajaran dan pengajaran perlu menekankan kepada pembinaan aktif pengetahuan pelajar. Lynch (1997) menyatakan bahawa perkara penting yang harus diberi perhatian oleh sistem pembelajaran PLTV adalah bagaimana untuk membantu pelajar dalam pembinaan pengetahuan melalui kaedah pengalaman dengan pendekatan kontekstual dan sosial dalam situasi dunia sebenar. Konstruktivisme merupakan teori yang mendasari pembelajaran pelajar di institusi PLTV (Muhamad Hanafi, Lebar, & Moh@Abdullah, 2009). Manakala, konsep pembelajaran yang bertunjangkan kepada pendekatan konstruktivisme dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah pembelajaran kontekstual (Brown, 1998; Dirkx, Amey & Haston, 1999). Pembelajaran dan pengajaran kontekstual merupakan konsep bagi membantu tenaga pengajar untuk menghubungkan isi kandungan pembelajaran dengan pengalaman harian pelajar, masyarakat dan alam pekerjaan. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan dalam menerapkan pembelajaran dan pengajaran


30 kontektual dalam sistem PLTV antaranya adalah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP), Pembelajaran Berasaskan Masalah, Pembelajaran Berasaskan Kerja dan sebagainya (Berns & Ericson, 2001). Banyak kajian luar negara telah menyatakan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang mengaplikasikan Teori Konstruktivisme dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Kaldi dan Govaris (2011) menyatakan pelajar membina kemahiran dan menambah ilmu pengetahuan melalui projek, pembelajaran koperatif dan teknik ‘hands-on’. Manakala Tanner (2012) mendapati pelajar yang menyertai pembelajaran dan pengajaran dalam menghasilkan projek secara aktif dapat mempersiapkan diri dengan kemahiran dalam pelbagai bidang kerjaya serta dapat mensimulasikan pengalaman pembelajaran dengan dunia pekerjaan sebenar. Daripada kajian yang dijalankan berkaitan penerapan Teori Konstruktivisme, didapati ianya dapat membantu pelajar dalam mempersiapkan pelajar dengan kemahiran serta pengalaman pembelajaran yang akan diaplikasikan di dunia pekerjaan kelak. Kajian Yahya dan Amirudin (2010) yang meninjau pendekatan pembelajaran secara konstruktivisme di Sekolah Menengah Teknik mendapati1) pelajar-pelajar teknikal menunjukkan kefahaman yang tinggi (min = 3.98) dalam topik yang diajar guru; dan 2) pelajar melibatkan diri secara aktif (min = 3.94) dalam aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Dapatan tersebut bertepatan dengan kenyataan Glasersfeld (1995) yang menyatakan bahawa melalui prinsip konstruktivisme, ilmu pengetahuan dibina secara aktif oleh setiap individu berasaskan pengalaman yang dilaluinya. Oleh yang demikian, pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang dijalankan perlu lebih kreatif dan inovatif bagi mengembangkan minda kritis pelajar. 2.4 Kerangka Konseptual Kajian Kerangka konsep kajian ini menerangkan tentang pendekatan pembelajaran berasaskan kompetensi dan pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang diamalkan di Kolej Vokasional dalam memupuk dan membimbing pelajar ke arah kesediaan membuat pilihan kerjaya. Tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar dilihat sebagai hala tuju dan matlamat kajian ini manakala pendekatan pembelajaran PBP dan PBK merupakan pendekatan yang dilaksanakan untuk membentuk dan membangunkan kesediaan kerjaya pelajar. Teori yang digunakan dalam kajian ini adalah Teori Pembinaan Kerjaya Savickas (2005) dan Teori Pembelajaran Konstruktivisme. Kedua-dua teori yang digunakan bertujuan untuk mencapai objektif kajian iaitu kesan pendekatan pembelajaran terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Teori Pembinaan Kerjaya Savickas (2005) digunakan untuk melihat tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar dari aspek prihatin kerjaya (concern), kawalan kerjaya (control), keinginan kerjaya (curiosity) dan keyakinan kerjaya (confidence). Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini bagi mengukur tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya adalah berteraskan teori tersebut.


31 Manakala pelaksanaan pendekatan pembelajaran konstruktivisme memainkan peranan penting dalam menentukan kerberkesanan pembelajaran dan pengajaran dalam bidang PLTV. Pendekatan konstruktivisme dapat menggalakkan pelajar untuk belajar secara kendiri dalam mencari ilmu pengetahuan dan seterusnya dapat melahirkan pelajar berkemahiran tinggi dan bersedia membuat pilihan kerjaya sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. Pendekatan PBP dan PBK yang dilaksanakan di Kolej Vokasional bertepatan dengan teori pembelajaran konstruktivisme kerana teori ini menggalakkan pembelajaran secara aktif dalam pembinaan ilmu pengetahuan. Rajah 2.1 menunjukkan kerangka konsep bagi kajian ini. Rajah 2.1 : Kerangka Konsep Kajian Pembelajaran Berasaskan Kompetensi (PBK) Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) Kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional Pembolehubah Bebas Pembolehubah Bersandar


32 BAB 3 METODOLOGI KAJIAN 3.1 Pengenalan Perbincangan dalam bab ini akan bertumpu kepada pelaksanaan kajian yang merangkumi reka bentuk kajian, populasi dan persampelan kajian, instrumen kajian, kesahan dan kebolehpercayaan, kajian rintis, prosedur pengumpulan data dan analisis data yang digunakan dalam kajian. 3.2 Reka Bentuk Kajian Rekabentuk kajian ini ialah ex post facto. Dalam kajian ini, pengkaji mengenal pasti kesan pendekatan pembelajaran berasaskan projek (PBP) dan pembelajaran berasaskan kompetensi (PBK) yang telah dilalui oleh pelajar Kolej Vokasional terhadap tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya. Menurut Ary, Jacobs, Sorensen dan Walker (2014), ex post facto digunakan apabila keadaan tidak membenarkan ciri pemboleh ubah dimanipulasi dalam penyelidikan. Terdapat dua pemboleh ubah bebas dalam kajian ini iaitu PBP dan PBK. Pendekatan PBP diterapkan dalam pembelajaran dan pengajaran di Kolej Vokasional melalui Projek Tahun Akhir (PTA) manakala PBK dilalui oleh pelajar berdasarkan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) di mana pelajar seharusnya kompeten dalam sesuatu kemahiran yang telah ditetapkan. Kedua-dua pendekatan pembelajaran ini dilaksanakan secara berasingan di Kolej Vokasional dan pelajar perlu melengkapkan kedua-dua program (PTA dan KSKV) tersebut untuk bergraduat. Manakala pemboleh ubah bersandar dalam kajian ini adalah tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Oleh itu, pemboleh ubah bebas iaitu pendekatan PBK dan PBP sama sekali tidak dimanipulasikan oleh pengkaji. Manakala pemboleh ubah bersandar dalam kajian ini adalah tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Selain daripada mengenal pasti tahap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar Kolej Vokasional serta pelaksanaan pendekatan PBP dan PBK, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti sama ada wujud kesan utama (main effect) antara kedua-dua pendekatan pembelajaran tersebut ke atas kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Menurut Morgan, Leech, Gloeckner dan Barrett (2014), kesan utama merupakan kesan pemboleh ubah bebas terhadap pemboleh ubah bersandar. Pengkaji juga berminat untuk mengkaji kesan interaksi di antara pelaksanaan pendekatan PBP dan PBK terhadap kesediaan membuat pilihan kerjaya pelajar. Morgan et al. (2014) menerangkan kesan interaksi adalah bagaimana dua pemboleh ubah bebas berinteraksi terhadap pemboleh ubah bersandar. Dengan melihat kesan interaksi, pengkaji dapat


Click to View FlipBook Version