The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

21Teks Kemiskinan dan Kekayaan Zaman Rasulullah SAW

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by syukri54, 2021-08-04 01:23:41

21Kemiskinan Zaman Rasulullah SAW

21Teks Kemiskinan dan Kekayaan Zaman Rasulullah SAW

Keywords: Kemiskinan

Pendeknya ahlus-suffah ini bolehlah dikategorikan
sebagai golongan fakir14, atau mengikut istilah
pembangunan masakini, golongan miskin mutlak.

Walaupun ahlus-suffah ini miskin dan dha`if,
Rasulullah s.a.w sangat menyayangi dan mengambil
berat tentang mereka. Baginda sendiri menjaga
kebajikan mereka lebih dari anak menantunya Siti
Fatimah dan Sayyidina Ali. Misalnya ketika Siti Fatimah
memohon seorang tawanan perang untuk menjadi
pembantunya kerana terlalu letih terpaksa melakukan
banyak kerja seorang diri, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Patutkah aku memberikan kamu seorang pelayan dan
meninggalkan ahlus-suffah kelaparan?". Baginda
menjual tawanan-tawanan itu dan menggunakan
wangnya untuk ahlus-suffah. Dalam peristiwa lain,

14 Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa fakir adalah lebih melarat dari
miskin. Hanya mazhab Hanafi yang berpendapat fakir berkedudukan lebih baik dari miskin,
atau miskin lebih melarat dari fakir (Surtahman Kastin Hassan 1996:70). Bagi mazhab Hanafi,
seorang fakir itu ialah seorang yang tidak mampu memenuhi keperluan asasnya dan
terpaksa bergantung kepada orang lain untuk maksud tersebut. Mereka yang lebih teruk
keadaannya dari ini dikatakan orang miskin (lihat K.S.S. Uduman Mohideen 1996:8 -9 untuk
perbincangan ringkas tentang pandangan mazhab Hanafi ini). Dalam kertas ini, kita memakai
pandangan mazhab Maliki, Syafie dan Hambali.

Rasulullah s.a.w melawat Sayyidina Ali dan Siti
Fatimah dan mendapati selimut mereka terlalu pendek
untuk menutupi mereka. Rasulullah s.a.w mengajarkan
beberapa kalimah zikir kepada mereka dan memilih
untuk memberikan selimut kepada ahlus-suffah
daripada memberikannya kepada Sayyidina Ali dan Siti
Fatimah15.

Rasulullah s.a.w juga selalu menziarahi ahlus-suffah,
melihat bagaimana diri mereka, dan melawat jika ada
antara mereka yang sakit16. Baginda selalu duduk
bersama-sama mereka, menasihatkan mereka,
menenangkan mereka, mengingati tentang hak-hak
agama, memberitahu mereka kisah-kisah teladan,
menunjuk ajar mereka membaca dan belajar al-
Qur`an, untuk berzikir kepada Allah SWT, untuk
merenungkan hari akhirat dan menggalakkan mereka

15 Ahmad, al-Musnad, Jil.1, hal.79-106.
16 Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.375.

menjauhi dunia dan kesenangannya17. Jika ada orang
memberi sedekah, Baginda akan hantar kesemuanya
kepada ahlus-suffah. Jika ada orang memberi hadiah,
Rasulullah s.a.w akan berkongsi dengan mereka18.
Apabila Sayyidina Hassan lahir, Baginda menyuruh Siti
Fatimah memberikan perak sama berat dengan rambut
bayi itu kepada ahlus-suffah sebagai sedekah19.
Baginda selalu menjemput mereka makan di rumah
salah seorang isteri Baginda20. Pada permulaan Hijrah,
selepas solat Isya`, Rasulullah s.a.w sering
membahagikan ahlus-suffah ini di kalangan para
sahabat supaya mereka boleh makan malam bersama-
sama21. Pendeknya Rasulullah s.a.w tidak pernah

17 Ahmad, al-Musnad, Jil.4, hal.8; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal. 340-341; Al-Samhudi,
Wafa', Jil.1, hal. 322.
18 Sahih Bukhari, Kitab Al-Riqaq, bab 14; Ahmad, al-Musnad, Jil.2, hal. 515; Abu Nu`aym, al-
Hilyah, Jil.1, hal.377, 339; Al-Samhudi, Wafa', Jil.1, hal.322.
19 Al-Bayhaqi, Sunan, Jil.9, hal.304.
20 Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, bab 14; Kitab al-Isti`dham, Bab 14; Ahmad, al-Musnad,
Jil.2, hal.515; Jil.3, hal.429, 490; Ibn Majah, Sunan, Kitab al-Masajid wa al-Jama`at, Bab al-
Nawm fi al-Masjid; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.338-339; Al-Samhudi, Wafa', Jil.1,
hal.322-323.
21 Al-Bukhari, al-Sahih, Kitab al-Mawaqit, Bab al-Samar ma`a al-Dayf wa al-Ahl; Ibn Sa`d, al-
Tabaqat, Jil.1, hal.255; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.338, 341, 373.

mengenepikan ahlus-suffah, malah mereka sentiasa
berada di dalam fikiran Baginda (Akram Diya` Al-Umari
2000:110).

Di samping ahlus-suffah dan para sahabat yang miskin
ini, terdapat pula ramai sahabat yang kaya. Antaranya
ialah Abu Talhah yang paling banyak memiliki kebun
kurma di kalangan semua orang-orang Ansar yang
tinggal di Madinah, Sayyidina Uthman bin Affan yang
lahir dari keluarga yang mewah dan kaya raya yang
kemudiannya mewarisi dan menyambung kekayaan itu
melalui perniagaan, dan Sayyidina Abdul Rahman bin
`Auf yang pakar dalam perniagaan dan mendapat
kekayaan dengan daya usahanya sendiri.

Kalau dilihat secara sepintas lalu, dengan wujudnya
dua golongan yang berbeza ini, terasa semacam
masyarakat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w ini
mempunyai perbezaan status kebendaan yang amat
ketara. Di satu pihak terdapat para sahabat yang amat

miskin manakala di satu pihak yang lain terdapat para
sahabat yang kaya.

Dari pandangan teori pembangunan lazim,
terutamanya teori radikal yang bertunjang kepada
falsafah marxisme dan lebih-lebih lagi falsafah neo-
marxisme, perbezaan status kebendaan begini boleh
menjadi benih konflik kelas dan kemelut masyarakat
yang cukup subur. Tetapi dalam kes masyarakat
Madinah zaman Rasulullah s.a.w, masalah ini ternyata
tidak berlaku. Mereka tidak terpisah dan tidak
berkonflik hanya atas dasar status harta. Sebaliknya
mereka bersatu sebagai sebuah masyarakat yang
masing-masing anggotanya berfungsi secara saling
membantu dan memerlukan. Berbeza dengan
masyarakat masakini, perbezaan mereka menjadi
penyebab mereka hidup dalam keadaan harmoni,
bukan dalam keadaan berkonflik. Hal sedemikian
berlaku disebabkan wujudnya sifat-sifat unik yang ada
pada kedua-dua golongan miskin dan kaya ini.

Sifat Orang-Orang Miskin Zaman Rasulullah s.a.w

Sifat utama orang-orang miskin pada zaman

Rasulullah s.a.w, selain dari mempunyai iman dan
taqwa yang tinggi sebagai tunjang, ialah penyabar,

tidak meminta-minta dan tidak menyusahkan
masyarakat. Penghubung ahlus-suffah Abu Hurairah

r.a. misalnya, walaupun kelaparan hingga pengsan dan
orang menyangka beliau mengidap penyakit sawan22,
tidak pernah meminta-minta secara langsung23.
Habis-habis beliau hanya membuat kiasan.

Umpamanya, setelah beliau tersangat lapar kerana
tidak makan berhari-hari, Abu Hurairah menanti para

sahabat, bercakap-cakap dengan Sayyidina Abu Bakar

22 Mengikut Akram Diya` Al-Umari (2000:109), oleh kerana seringnya ahlus-suffah ini
pengsan, orang-orang Arab nomad berfikir mereka adalah orang gila. Menurut Abu
Nu`aym (Al-Hilyah, Jil.1, hal.339-378) pula, Abu Hurairah r.a. sendiri selalu jatuh antara
mimbar dan bilik Sayyiditina Aisyah r.a.
23 Rasulallah s.a.w sendiri juga pernah kelaparan. Begitu juga dengan para sahabat lain
seperti Sa'ad bin Abu Waqqash r.a., Al-Miqdad bin Al-Aswad r.a., Asma binti Abu Bakar
r.a., dan lain-lain. Untuk riwayat
terperinci tentang kelaparan Rasulallah s.a.w dan keluarganya serta para sahabat
berkenaan, lihat Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi 1997:440-458; dan Akram Diya` Al-
Umari 2000:109.

As-Siddiq dan kemudiannya dengan Sayyidina Umar
Al-Khattab, dengan harapan mereka akan mengajak
beliau ke rumah seperti biasa dan akan dijamu dengan
makanan. Dalam peristiwa ini, hal ini tidak berlaku.
Yang mengajak Abu Hurairah r.a. ke rumah dan
menjamunya dengan semangkuk susu bersama
dengan ahlus-suffah yang lain ialah Rasulullah s.a.w
sendiri (Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi
1998:68; 77-78; Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi
1997:447-451).

Rasulullah s.a.w, walaupun juga miskin, sentiasa peka
dan memahami tentang keperluan ahlus-suffah ini dan
memenuhinya sekadar yang terdaya, walaupun
mereka tidak meminta-minta. Paling tidak, Rasulullah
s.a.w memberikan sejumlah kurma untuk dua orang
setiap hari kerana kurma adalah merupakan makanan
utama mereka. Kadang-kadang Rasulullah s.a.w
memberikan mereka susu, atau jashishah (tepung
dimasak dengan daging atau kurma), hisah (diperbuat
daripada kurma, tepung dan mentega), barli panggang,

atau tharid (hidangan roti yang dicecahkan dengan
kuah, daging dan bubur)24. Oleh kerana makanan-
makanan ini adalah makanan-makanan sederhana,
Rasulullah s.a.w sentiasa memohon maaf kepada
ahlus-suffah.

Sifat Rasulullah s.a.w ini bukan sahaja mempamirkan
tanggungjawab pemimpin memahami dan memenuhi
keperluan pengikutnya, tetapi juga merupakan
manifestasi bagaimana Rasulullah s.a.w, sebagai
orang miskin, membantu sesama mereka yang miskin.
Walau pun Baginda dan keluarganya sendiri sering
keputusan makanan, namun tugasnya bersedekah
kepada orang-orang miskin yang lain seperti ahlus-
suffah ini tidak pernah diabaikannya.

24 Sahih al-Bukhari, Jil.8, hal.68, 119; Ahmad, al-Musnad, Jil.2, hal.515, Jil.3, hal.490;
Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.1, hal.256; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.373-374; Al-
Samhudi, Wafa', Jil.1, hal.323. Rasulallah s.a.w tidak dapat memberikan makanan yang
lebih baik dari itu kerana Baginda sendiri tidak memperuntukkan belanja yang banyak
untuk makanan Baginda sekeluarga. Ahlus-suffah ini hanya akan mendapat makanan
yang baik apabila sahabat-sahabat yang kaya menjemput mereka makan di rumah
mereka.

Hal sedemikian juga sering dilakukan oleh Sayyidina
Ali Abu Thalib dan Siti Fatimah suami isteri, walaupun
mereka sendiri hidup dalam kemiskinan. Sayyidina Ali
pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan
mencampakkannya kepada seorang peminta sedekah
yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu
sedang sibuk mendirikan sembahyang. Beliau berbuat
demikian kerana takut peminta sedekah itu berlalu
tanpa mendapat apa-apa, sebelum beliau selesai
sembahyang. Dalam satu peristiwa yang lain pula,
setiap hari, selama tiga hari berturut-turut, Sayyidina Ali
dan Siti Fatimah menyedekahkan kepada orang-orang
miskin yang datang meminta di rumahnya makanan
yang sepatutnya mereka makan untuk berbuka puasa
nazar25. Hari pertama mereka menyedekahkan
makanan yang disediakan untuk berbuka itu kepada
seorang miskin yang sudah beberapa hari tidak makan,
hari kedua kepada seorang anak yatim yang sudah

25 Sayyidina Ali dan Siti Fatimah berpuasa nazar selama tiga hari kerana anak -anak
mereka Sayyidina Hasan dan Husin sembuh dari sakit.

berpusing-pusing meminta makanan tetapi tidak
mendapatkannya, dan hari ketiga kepada seorang
tawanan. Oleh kerana makanan untuk mereka berbuka
itu disedekahkannya, Sayyidina Ali dan Siti Fatimah
sendiri tinggal kelaparan tiga hari berturut-turut itu.
Allah SWT memuji sikap Sayyidina Ali dan Siti Fatimah
ini melalui firman-Nya:

"Mereka menunaikan nazar dan takut hari yang
siksanya merata di mana-mana. Dan mereka
memberikan makanan yang disukainya kepada orang
miskin, anak yatim dan orang tawanan. Sesungguhnya
Kami memberi makan kepada kamu hanyalah untuk
mengharapkan keredhaan Allah, tidak mengharapkan
balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima
kasih. Sesungguhnya kami amat takut (azab) Tuhan
kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang
bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan
memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan
memberikan kepada mereka kejernihan wajah dan
kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada

mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga
dan (pakaian) sutera" (Al-Insan 76:7-12).

Kerana tidak pentingkan diri dan pemurahnya
Sayyidina Ali ini juga beliau disanjung oleh ramai
sahabat. Hasan bin Tsabit r.a. pernah menyanjung
Sayyidina Ali bin Abu Thalib dengan rangkai bait
berikut:

Oh bapak si Hasan!
Ku tebus diriku untuk jiwa dan ragamu
Tanganmu sentiasa terbuka dan suka menghormati
tamu
Engkau suka memberi sedekah meskipun dalam
shalatmu
Tidak berhenti dari berbakti dan tidak pernah kenal
jemu!26

26 Syed Ahmad Semait 1995:245-247.

Orang-orang miskin dan ahlus-suffah yang lain pula,
walau dalam keadaan kekurangan makanan, tidak
gelojoh dan selalu memastikan bahawa mereka tidak
makan makanan lebih dari sahabat miskin yang lain.
Misalnya Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, apabila
mereka berkumpul untuk makan kurma, jika seorang
telah makan dua biji kurma, dia akan berkata kepada
sahabatnya: "Saya telah makan dua kurma, jadi
makanlah dua biji juga". Hal ini dilakukan supaya dia
tidak makan lebih daripada sahabat-sahabat ahlus-
suffah yang lain27.

Selain dari itu, orang-orang miskin pada zaman
Rasulullah s.a.w juga hidup tanpa mahu bergantung
dengan orang lain. Contoh paling terkemuka ialah kes
Abdul Rahman bin `Auf. Ketika mula-mula berhijrah ke
Madinah, beliau boleh dianggap seorang miskin kerana
tidak mempunyai apa-apa harta. Atas dasar kasih
sayang dan persaudaraan yang mendalam, beliau

27 Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.339-378.

ditawarkan oleh saudara Ansarnya Sa`d ibn al-Rabi'

(yang dibentuk melalui sistem mu`akhah28) bukan

sahaja dengan kekayaan, tetapi juga dengan mana-

mana isterinya yang dipilih Sayyidina Abdul Rahman.

Tawaran Sa`d kepada Sayyidina Abdul Rahman bin

`Auf yang masyhur itu berbunyi begini: "Saya

mempunyai kekayaan yang saya akan bahagikan dua

antara kamu dan saya. Saya mempunyai dua isteri.

Pilihlah mana-mana yang kamu berkenan, dan saya

akan menceraikannya supaya kamu boleh

mengahwininya". Tetapi Sayyidina Abdul Rahman bin

`Auf, dengan mempamirkan sifat ketidak-

bergantungannya, menjawab begini: "Mudah-mudahan

28 Sistem mu'akhah, atau sistem persaudaraan, dilaksanakan di Madinah antara Muhajirin
dan Ansar. Pengumuman penguatkuasaan sistem ini dibuat dalam tahun pertama selepas
Hijrah di rumah Anas ibn Malik. Mereka yang terlibat ialah 90 orang, yakni 45 Muhajirin dan
45 Ansar. Dalam sistem ini, orang-orang Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan secara
berpasangan dan dengan itu terbentuklah hak-hak khusus antara keduanya, seperti tolong
menolong dalam menghadapi masalah hidup, sama ada pertolongan material atau perhatian,
nasihat, ziarah-menziarahi dan kasih sayang. Mereka juga saling mewarisi, tanpa terpaksa
merujuk kepada saudara mara mereka. Ini menjadikan perhubungan mereka mendalam dan
lebih tinggi dari persaudaraan berdasarkan kekeluargaan. Apabila orang -orang Muhajirin
telah menjadi biasa dengan kehidupan di Madinah, sudah belajar bagaimana untuk menyara
kehidupan dan telah menerima harta rampasan daripada Perang Badr yang mencukupi bagi
mereka, sistem pewarisan ini pun dibatalkan. Ada setengah ulamak seperti Al -Baladhuri
menyatakan sistem mu`akhah ini telah pun dilaksanakan oleh Rasulallah s.a.w di Mekah
antara orang-orang Islam Mekah sebelum Hijrah, tetapi Ibn al-Qayyim dan Ibn Kathir
cenderung berfikir bahawa sistem ini tidak berlaku di Mekah. Lihat Akram Diya` Al -Umari
2000:77-88.

Allah memberkati isteri-isteri dan kekayaanmu untuk
dirimu. Tunjukkanlah aku pasar". Apabila Sayyidina
Abdul Rahman kembali dari pasar, beliau membawa
mentega dan keju, yang merupakan keuntungannya
untuk hari itu. Abdul Rahman bin `Auf juga
kemudiannya berkahwin sendiri dengan seorang
wanita Ansar (Akram Diya` Al-Umari 2000:82-83).

Sikap Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf ini
mempamirkan yang beliau mempunyai harga diri dan
tidak mengambil peluang mengeksploitasi saudaranya
serta dapat membina kehidupannya sendiri. Dengan
kemahirannya dalam perniagaan, beliau ternyata
kemudiannya menjadi seorang Islam yang kaya, yang
enggan menerima apa-apa kecuali menjadi orang yang
tangannya sentiasa memberi. Manakala Sa'd ibn `Rabi'
pula mempamirkan tahap pengorbanannya yang tinggi
serta sikapnya yang penyayang dan pemurah, dan
tidak pentingkan diri. Begitulah antara lain bagaimana
wujudnya hubungan harmonis antara anggota

masyarakat pada zaman Rasulullah s.a.w, walaupun
mereka berbeza darjat kebendaan.

Sifat Orang-Orang Kaya Zaman Rasulullah s.a.w

Di samping orang-orang miskin yang mempunyai sifat
penyabar, tidak meminta, tidak menyusahkan
masyarakat dan tidak bergantung hidup kepada orang
lain, orang-orang kaya pada zaman Rasulullah s.a.w
pula, selain dari iman dan taqwa yang tinggi sebagai
tunjang, mempunyai sifat pemurah, suka memberi dan
gemar membantu. Abu Talhah misalnya telah
mewakafkan taman Bayruha yang paling disayanginya,
yang terletak berhadapan Masjid Nabi dan pernah pula
didatangi Rasulullah s.a.w dan meminum air
sungainya. Pengorbanan ini dilakukan atas dasar
aqidah yang kuat, yang ingin patuh kepada perintah
Allah SWT secepat dan sepenuh mungkin. Hal ini
dilakukan sebaik saja turunnya wahyu berkenaan
dengan maksud kebaktian yang sempurna

sebagaimana tercatat dalam surah Ali Imran ayat 92.
Apabila turunnya wahyu ini, Abu Talhah berkata
kepada Rasulullah s.a.w:

"Wahai Rasulullah, Allah berfirman: "Kamu sekali-kali
tidak sampai kepada kebaktian (yang sempurna),
sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang
kamu cintai…"29 dan harta yang paling aku sayangi
ialah taman Bayruha, jadi aku sedekahkannya pada
jalan Allah dan berharap akan mendapat kebaikan
daripadanya dan diterima oleh Allah. Oleh itu, ya
Rasulullah, buatlah mengikut apa yang Allah
perintahkan kepadamu". Nabi bersabda: "Itu adalah
harta yang mengeluarkan hasil! Saya telah mendengar
apa yang kamu katakan dan saya fikir kamu patut
membahagikannya di kalangan kaum kerabatmu".
"Saya akan berbuat begitu, ya Rasulullah s.a.w", kata
Abu Talhah"30.

29 Ali Imran 3:92.
30 Sahih Al-Bukhari, Jil.6, hal.31. Penyerahan taman Bayruha ini kepada Allah SWT
merupakan salah satu wakaf yang pertama yang dilakukan umat Islam. Wakaf ini
berbentuk wakaf zurri, atau wakaf keluarga, atau wakaf khas.

Selain dari Abu Talhah, Sayyidina `Uthman bin Affan
juga banyak mengorbankan hartanya untuk
masyarakat Islam amnya dan untuk orang-orang
miskin khususnya. Antara lain, beliau telah memberi
sedekah gandum, minyak dan kismis yang dibawa oleh
1,000 ekor unta kepada orang Islam yang miskin ketika
krisis ekonomi melanda Madinah semasa
pemerintahan Khalifah Sayyidina Abu Bakar As Siddiq.
Walaupun pedagang-pedagang Madinah ingin
membelinya dengan harga lima kali ganda daripada
harga asal sebagai keuntungan, Sayyidina `Uthman
menolaknya. Sebaliknya beliau tetap berkongsi
dengan orang-orang miskin kerana beliau yakin
bahawa Allah akan memberi sepuluh kali ganda
daripada nilainya (Syed Ahmad Semait 1995:162-165;
Akram Diya` Al-Umari 2000:97-98). Beliau juga telah
mewakafkan umat Islam sebuah perigi bernama Bir
Ruumah yang sangat jernih dan bagus airnya yang

dibelinya dari seorang Yahudi ketika umat Islam sukar
mendapatkan air dan derita dengan musim kemarau
yang amat sangat31. Selain itu, Sayyidina Uthman bin
Affan juga pernah membiayai keseluruhan bala tentera
Islam yang akan berangkat menentang tentera Rom
dengan hartanya berjumlah 700 uqiyah emas (Syed
Ahmad Semait 1995:152-153; 160-162).

Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf pula, megikut Sa`ad
bin Ibrahim dari cerita keluarganya, pernah
membahagikan kesemua hasil penjualan bahagian
hartanya dari ghanimah (harta rampasan) perang Bani
An-Nadhir berjumlah 40,000 dinar kepada para isteri
Rasulullah s.a.w. Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf
juga, menurut Az-Zuhri, dalam masa hayat Rasulullah
s.a.w bersedekah dari hasil perniagaannya dengan

31 Perigi ini dibelinya dari seorang Yahudi, mulanya hanya separuh dengan harga 12,000 dirham
dengan syarat kedua-duanya bergilir berkuasa terhadap perigi itu selang sehari. Pada hari giliran
Sayyidina Uthman bin Affan berkuasa, beliau menyuruh orang -orang Islam mengambil air itu untuk
keperluan mereka selama dua hari, dengan percuma, sedangkan pada hari Yahudi itu berkuasa,
Yahudi itu mengenakan bayaran. Akhirnya si Yahudi menjualkan separuh lagi perigi itu dengan
harga 8,000 dirham kerana pada hari beliau berkuasa, tidak ada lagi orang datang membeli air
darinya. Semua orang datang mengambil air dengan percuma pada hari Sayyidina Uthman
berkuasa (Syed Ahmad Semait 1995:152-153).

separuh hartanya, yakni berjumlah 40,000 dinar dan
selepas itu menyedekahkan sebanyak 500 kenderaan
untuk digunakan di dalam perang fisabilillah. Menurut
Anas bin Malik, Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf juga
menyedekahkan pada jalan Allah SWT sejumlah tujuh
ratus unta dengan muatannya sekali yang baru sampai
dari Syam apabila mendapat tahu daripada Sayyiditina
Siti Aisyah tentang sabda Rasulullah s.a.w bahawa
Baginda melihat Sayyidina Abdul Rahman masuk
syurga dengan merangkak. Ibnu Abbas r.a. juga
pernah menceritakan tentang Sayyidina Abdul
Rahman bin `Auf menyerahkan seluruh kafilahnya
yang baru sampai dari Syam kepada Rasulullah s.a.w
untuk disedekahkan32. Sayyidina Abdul Rahman bin
`Auf juga, menurut Sayyidina Umar bin Al-Khatab r.a.
pula, memenuhi permintaan Rasulullah s.a.w
memberikan sesuatu kepada cucu-cucu Baginda,
Sayyidina Hasan dan Husain, dengan membawa piring

32 Diriwayatkan atas sebab ini Rasulallah s.a.w mendoakan bagi Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf
supaya dibalas dengan syurga. Kemudian datang Jibril a.s. membawa berita dari langit:
"Sampaikanlah salam kepada Abdul Rahman bin `Auf dan gembirakanlah dia dengan syurga"
(Syed Ahmad Semait 1995:367).

berisi bubur dan roti, sehingga Rasulullah s.a.w
bersabda: "Semoga Allah mencukupimu segala urusan
duniamu. Adapun urusan akhiratmu, sayalah yang
akan menanggungnya!" (Syed Ahmad Semait
1995:366-368).

Pengorbanan harta yang sebegini terhadap Islam,
masyarakatnya dan orang-orang miskin bukan sahaja
dilakukan orang-orang kaya, malah mereka yang
hanya sekadar mampu juga turut melakukannya.
Misalnya kesemua 70 orang Ansar yang digelar al-
Qurra' (penghafal Qur'an, yang kemudiannya syahid di
Bi`r Ma`unah) juga turut membantu ahlus-suffah dan
orang-orang miskin dengan membelikan makanan
untuk ahlus-suffah dengan hasil mereka mengangkat
air ke masjid, memotong kayu dan menjualnya33.
Selain dari al-Qurra' ini, anggota masyarakat zaman
Rasulullah s.a.w yang mempunyai kebun kurma pula

33 Kerja-kerja ini dilakukan pada waktu siang, manakala pada malamnya mereka belajar
dan membaca Al-Qur`an. Lihat Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, Hadith No.147; Ahmad,
al-Musnad, Jil.3, hal.270; Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.3, hal.514.

menggantung gugus-gugus kurma di tali yang diikat di
antara dua tiang di masjid sebagai sedekah kepada
ahlus-suffah dan orang-orang miskin34.

34 Perbuatan menggantungkan gugusan kurma ini dicadangkan kepada Rasulallah s.a.w
oleh Muhammad ibn Salamah dan orang Ansar yang lain. Mu`adh ibn Jabal ditugaskan
menjaga gugus-gugus kurma ini. Menurut Al-Samhudi (Wafa', Jil.1, hal.324-325),
amalan ini berterusan sekurang-kurangnya sehingga akhir abad ke-2 Hijrah. Al-Samhudi
juga menyatakan bahawa sebenarnya Rasulallah s.a.w mencadangkan orang ramai
memberikan buah-buahan daripada dusun mereka sebagai sedekah supaya Allah SWT
menghilangkan penyakit yang menyerang buah-buahan mereka.

03

ANALISIS KEWUJUDAN
KEMISKINAN DAN
KEKAYAAN

Dari huraian dan cerita-cerita di atas, jelas bahawa
para sahabat dan ahli masyarakat pada zaman
Rasulullah s.a.w telah hidup bersatu secara harmonis
walaupun status kebendaan mereka berbeza. Punca
utamanya ialah kerana mereka bersatu dengan
intimnya dalam aqidah serta iman dan taqwa. Atas

sebab itu, mereka boleh hidup tolong menolong,
bekerjasama dan bantu membantu. Orang kaya
memberi manakala orang miskin tidak meminta. Orang
kaya mendapat peluang berkhidmat kepada orang
miskin dan oleh itu mendapat ganjaran dari Allah SWT,
manakala orang miskin mendapat peluang bersyukur
di samping mendapat anugerah istimewa dari Allah
SWT. Antara satu sama lain, ada manfaat yang
didapatinya.

Orang-orang kaya dan mereka yang mampu pada
zaman Rasulullah s.a.w berlumba-lumba membuat
kebajikan kerana yakin bahawa semua itu akan dinilai
Allah SWT. Antara lain, Rasulullah s.a.w
menerangkan:

"Sesiapa yang melepaskan dari seorang Mu'min suatu
kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, pasti
Allah akan melepaskan darinya suatu kesusahan-
kesusahan Hari Kiamat" (Riwayat Abu Hurairah).

"Dan barangsiapa yang mengusahakan keperluan
saudaranya, pasti Allah akan mengusahakan
keperluannya" (Riwayat Imam Ahmad).

Bantu membantu ini pula adalah merupakan salah satu
syarat berimannya seseorang itu. Sabda Rasulullah
s.a.w:

"Perumpamaan orang beriman sesamanya, cinta-
mecintai, sayang-menyayangi dan bantu-membantu
antara sesamanya, seumpama satu tubuh. Apabila
salah satu anggota sakit, anggota yang lain akan turut
merasainya sama" (Riwayat Muslim).

Bagi orang-orang kaya yang membantu dan pemurah,
Rasulullah s.a.w bersabda:

"Yang menolong saudaranya, Tuhan akan
menolongnya" (Riwayat Al-Tirmidhi dan Imam Ahmad).

"Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya
menolong saudara-saudaranya" (Riwayat Al-Tirmidhi
dan Abu Dawud).

Bagi orang-orang miskin pula, berdasarkan kepada
Hadith dan pandangan ulamak muktabar, sekurang-
kurangnya ada empat keistimewaan yang
dianugerahkan kepada orang-orang miskin: pertama,
mereka akan berada bersama Rasulullah s.a.w kerana
kemiskinan merupakan perkara yang sentiasa didoakan
oleh Rasulullah s.a.w.; kedua, kemiskinan merupakan
syi'ar atau lambang orang-orang soleh dan solehah;
ketiga, kemiskinan merupakan sebab untuk mendapat
kasih sayang Allah SWT; dan keempat, kemiskinan
merupakan sebab Allah anugerahkan ganjaran
istimewa di akhirat.

Bagi keistimewaan pertama, doa-doa Rasulullah s.a.w
berikut membuktikannya:

"Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin dan
matikanlah aku dalam keadaan miskin”35.

"Wahai Allah Tuhanku, hidupkanlah aku miskin,
matikanlah aku miskin, dan kumpulkanlah aku (di
padang mashsyar) dalam golongan orang-orang
miskin”36.

Abullaits Assamarqandi (1978:316) juga pernah
berkata: Abu Ja'far meriwayatkan dengan sanadnya dari
Abu Said Alkhudri r.a. berkata: "Hai manusia, jangan
sampai kesukaran itu mendorong kamu untuk mencari
rizqi dari yang haram sebab saya telah mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, matikan aku
sebagai orang fakir miskin, dan jangan dimatikan aku
kaya, dan kumpulkan aku dimashsyar dalam
rombongan orang-orang miskin pada hari qiamat, maka

35 Hadith riwayat At-Tarmizi dari Anas, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abi Sa'id, dipetik dari
Ihya Ulumiddin karangan Imam Ghazali, Jilid 7, 1980:143.
36 Hadith dirawikan oleh At-Tirmizi dari Anas dan dirawikan Ibnu Majah dan Al-Hakim dari
Abi Sa'id, isnadnya sahih.

sesungguhnya yang amat celaka ialah orang yang
miskin di dunia dan tersiksa di akhirat".

Malah sebelum Rasulullah s.a.w. pun, ada Nabi-Nabi
yang gemar kepada kemiskinan. Imam Ghazali
(1980, Jil.7:152) menceritakan bahawa Nabi Isa a.s.
bersabda: "Bahawa aku lebih mencintai kemiskinan
dan memarahi kenikmatan". Nabi Isa a.s. paling suka
apabila Baginda dipanggil "Hai orang miskin!".

Bagi keistimewaan kedua pula, yakni kemiskinan
merupakan syi'ar orang-orang soleh dan solehah,
Imam Ghazali (1980 Jilid 7:149) berkata:

"Ka'bul-ahbar berkata: "Allah SWT berfirman kepada
Musa a.s.: "Hai Musa! Apabila engkau melihat
kefakiran itu menghadap kepada engkau, maka
katakanlah: "Selamat datang kepada syi`ar orang-
orang yang soleh".

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda: "Apabila
engkau melihat kefakiran datang menghadap kepada
engkau, maka katakanlah: "Selamat datang kepada
lambang orang-orang soleh. Dan apabila engkau
melihat kekayaan datang menghadap kepada
engkau, maka katakanlah: "Dosa yang disegerakan
siksaannya”37. Bagi keistimewaan ketiga pula, yakni
kemiskinan merupakan sebab mendapat kasih
sayang Allah SWT, Abdullah bin Umar r.a. misalnya
berkata: "Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh
Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang
amat dikasihi Allah ialah para Nabi, maka Allah menguji
mereka dengan kefakiran kemiskinan".

Nabi Musa a.s. bertanya kepada Tuhan: "Hai Tuhanku,
siapakah kekasihMu dari makhlukMu, sehingga aku

37 Hadith dirawikan oleh Abu Mansur Ad-Dailami dari Abid-Daarda'.

cintai mereka keranaMu?". Maka Allah SWT berfirman:
"Setiap orang fakir" (Imam Ghazali, 1980, Jil.7:152).

Dan akhir sekali, bagi keistimewaan keempat, yakni
kemiskinan merupakan sebab mendapat anugerah
istimewa Allah di akhirat, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Akan masuk syurga umatku yang fakir sebelum yang
kaya dengan lima ratus tahun”38.

Abul-Laits Assamarqandi (1978) meriwayatkan dengan
sanadnya dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Orang-orang
faqir mengutus utusan mereka kepada Rasulullah s.a.w.
maka berkata: "Ya Rasulullah, saya utusan orang-orang
faqir kepadamu. Jawab Nabi s.a.w.: Selamat datang
kepadamu dan kepada orang-orang yang mengutusmu,

38 Hadith dirawikan At-Tirmizi dari Abi Hurairah, hadith hasan shahih, dipetik dari
Imam Ghazali (1980 Jilid 7:145). Hadith berbunyi sama riwayat Muslimdari Abdullah
bin `Amr berkata bahawa jangkawaktu itu ialah "dengan empat puluh tahun". Kata
Imam Ghazali (1980 Jil.7:145), kiraan lima ratus tahun itu ialah kiraan bagi orang
f akir yang zuhud terhadap orang kaya yang gemar kepada harta. Dan orang fakir
yang rakus itu pada dua darjat daripada dua puluh lima darjat bagi orang fakir yang
zuhud (perbandingan empatpuluh pada lima ratus).

engkau datang dari orang-orang yang dicinta oleh Allah.
Utusan itu berkata: Ya Rasulullah, orang-orang miskin
berkata: Bahawa orang-orang kaya telah memborong
semua kebaikan, mereka berhaji dan kami tidak dapat,
dan mereka sedekah sedang kami tidak dapat, dan jika
sakit mereka mengirim wang untuk tabungan mereka.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Sampaikan kepada orang
faqir daripadaku: Bahawa siapa yang sabar dari kamu
akan mengharap pahala dari Allah. Maka ia akan
mendapat tiga macam yang tidak bisa didapat oleh
orang-orang yang kaya-kaya. Pertama, di dalam syurga
ada kamar dari yaqut yang merah, orang-orang syurga
melihat tempat itu sama dengan orang dunia jika melihat
bintang di langit, tidak dapat masuk ke situ kecuali Nabi
yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau
seorang mu'min yang faqir. Kedua, orang faqir akan
masuk syurga sebelum orang kaya sekadar setengah
hari iaitu sekira lima ratus tahun, mereka bersuka-suka
dengan bebas leluasa, dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s.
akan masuk sesudah Nabi-Nabi yang lainnya sekira
empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang

diberikan Allah kepadanya. Ketiga, jika seseorang faqir
membaca: Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha
illallah wallahu akhbar dengan tulus ikhlas, dan orang
kaya membaca itu, maka orang kaya itu tidak dapat
mengejar orang faqir meskipun ditambah dengan
sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian amal-amal
kebaikan yang lain-lainnya. Maka kembalilah utusan itu
memberitahu kepada orang-orang faqir apa yang
disabdakan Nabi s.a.w. itu kepada mereka. Maka
mereka berkata: Kami redha ya Tuhan, kami puas ya
Tuhan".

Allah SWT juga ada berfirman: "Telah dihiaskan kepada
manusia oleh kecintaan kepada yang menarik seperti
wanita, anak, emas dan perak yang berkintal-kintal,
kuda yang bagus, binatang ternak dan sawah ladang.
Semua itu perhiasan hidup dunia, tetapi Allah
mempunyai tempat kembali yang baik. Katakanlah,
mahukah Aku tunjukkan kepadamu keadaan yang lebih
baik daripada itu? Bagi orang-orang yang berbakti, di
sisi Tuhannya akan mendapat syurga-syurga yang

mengalir dari bawahnya sungei-sungei, mereka kekal
padanya, dengan mendapat jodoh-jodoh yang suci dan
keredhaan dari Allah" (Surah Ali-Imran 3:14-15).

Tetapi apakah semua ini bermakna kemiskinan tidak
perlu dibasmi, atau setidak-tidaknya dikurangkan?

Jawapan kepada persoalan ini bergantung kepada sifat
orang-orang miskin itu sendiri. Orang-orang miskin
pada zaman Rasulullah s.a.w. kebanyakannya tidak
mengeluh dan tidak menyesal kerana mereka sedar
mereka akan mendapat keistimewaan-keistimewaan
yang telah disebutkan di atas. Tetapi kesedaran ini
tidak mungkin dihayati kecuali dengan iman dan taqwa.
Dengan iman dan taqwa juga mereka tidak meminta-
minta dan tidak menyusahkan masyarakatnya. Ertinya,
walaupun mereka miskin kebendaan, namun mereka
kaya dengan iman dan taqwa. Dengan kayanya iman
dan taqwa mereka, mereka tidak derita dengan
kemiskinan. Kemiskinan tidak membawa mereka

kepada kekufuran malah sebaliknya memberi peluang
dan masa kepada mereka berjuang dan berjihad di
jalan Allah SWT.

Golongan ahlus-suffah misalnya tidak menggunakan
masa untuk bekerja mencari harta, tetapi mereka
gunakannya untuk bekerja mendaulat, berjihad dan
memperjuangkan agama Allah SWT. Dengan lain
perkataan, pekerjaan tidak hanya bermaksud sesuatu
yang boleh mendatangkan gaji dalam bentuk
matawang. Bekerja menegakkan agama Allah SWT
juga merupakan pekerjaan yang diiktiraf oleh Islam.
Rasulullah s.a.w, ketika berhijrah ke Madinah, tidak
bersetuju dengan cadangan orang-orang Ansar untuk
membahagikan pokok-pokok kurma mereka dengan
orang-orang Muhajirin, tetapi sebaliknya
mencadangkan membahagikan hasilnya39. Dalam
mengulas perisitiwa ini, Akram Diya' Al-Umari
(2000:80) berkata bahawa Rasulullah s.a.w

39 Sahih al-Bukhari, Jil.5, hal.39.

sebenarnya tidak mahu orang Muhajirin bekerja di
bidang pertanian kerana Baginda memerlukan mereka
untuk berdakwah dan berjihad. Tambah lagi mereka
tidak biasa dengan kerja-kerja pertanian40.

Dari perbincangan-perbincangan di atas, ternyata
bahawa ada dua sifat orang-orang miskin pada zaman
Rasulullah s.a.w sebagaimana yang ditunjukkan ahlus-
suffah, dan oleh itu kemiskinan mereka tidak disuruh
basmikan oleh Rasulullah s.a.w. Pertama, mereka
tidak meminta dan tidak menyusahkan masyarakat;
dan kedua, mereka tidak bekerja yang boleh
mendatangkan wang ringgit, tetapi sebaliknya mereka
bekerja sebagai da`i dan mujahid, berdakwah dan
berjihad di jalan Allah SWT. Mereka banyak
bersembahyang, membaca dan mengkaji ayat-ayat Al-
Qur`an secara bersama, berzikir kepada Allah SWT,
dan sebahagiannya belajar menulis Al-Qur'an41.

40 Lihat Sahih al-Bukhari, Jil.2, hal.328.

41 Lihat Abu Dawud, Al-Sunan, Jil.2, hal.237; dan Ibn Majah, Al-Sunan, Jil.2, hal.730.

Mereka sentiasa berada di samping Rasulullah s.a.w
sehingga menjadi perawi Hadith terkenal, umpamanya
seperti Abu Hurairah dan Hudaifah. Selain dari itu,
mereka juga turut berjihad sehingga sebahagian dari
mereka syahid di medan perang. Misalnya Safwan ibn
Bayda', Zayd ibn al-Khattab, Kharim ibn Fatik al-Asadi,
Khubayb ibn Yasaf, Salim ibn `Umayr dan Harithah ibn
al-Nu`man al-Ansari syahid di Badr42. Hanzalah al-
Ghasil pula syahid di Uhud43. Jurhad ibn Khuwaylid dan
Abu Surayhah al-Ghafiri menyaksikan al-
Hudaybiyah44, manakala Thaqif ibn `Amr syahid di
Khaybar45, `Abd Allah Dhu al-Bijadayn syahid di
Tabuk46, dan Salim, dan Mawla Abu Hudaifah syahid di
Yamamah47.

42 Lihat Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.323, 367, 363, 364, 371, 371, 356, mengikut
susunan.
43 Ibid, Jil.1, hal.375.
44 Ibid, Jil.1, hal. 353, 355.
45 Ibid, Jil.1, hal. 352.
46 Ibid, Jil.1, hal.365.
47 Ibid, Jil.1, hal.367, 370.

Oleh kerana orang-orang miskin seperti ahlus-suffah
ini tidak bekerja mencari harta tetapi menumpukan
kepada pekerjaan dakwah dan perjuangan
mendaulatkan Islam, Allah memerintahkan orang-
orang kaya membantu mereka dengan firman-Nya:

"(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat
(oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat
(berusaha) di bumi, orang yang tidak tahu menyangka
mereka orang kaya kerana memelihara diri dari
meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat
sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang
secara mendesak. Dan apa sahaja harta yang baik,
yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka
sesungguhyna Allah Maha Mengetahui" (Surah Al-
Baqarah 2:273).

Berdasarkan kepada hakikat ini, perlu ada segolongan
ahli masyarakat yang berjuang dan berjihad sepenuh

masa di jalan Allah SWT setiap masa dan zaman,
manakala kebajikan dan keperluan seharian mereka
ditanggung oleh orang-orang kaya. Dan sekiranya
kedua-dua golongan miskin dan kaya ini beriman dan
bertaqwa, Allah SWT menjanjikan bantuan dalam
menyelesaikan masalah dan rezeki dari sumber yang
tidak disangka-sangka. Allah SWT berfirman:

"…Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya
Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan
memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-
sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada
Allah nescaya Allah akan mencukupkan
(keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan
urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah
telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu "
(Ath-Thalaaq 65:2-3).

Istimewanya orang-orang kaya dan miskin yang
bertaqwa ini, antaranya, ialah mendapat rezeki dari

Allah SWT dari sumber yang tidak diduga. Mereka
mendapat keistimewaan dari Allah SWT. Bagi orang-
orang kaya, rezeki itu diagih-agihkan kepada mereka
yang memerlukan. Bagi orang miskin, apabila
mendapat rezeki yang berlebihan dari keperluannya,
mereka korbankan secepat mungkin. Orang-orang
miskin ini pada hakikatnya ialah orang kaya. Mereka
miskin hanya kerana tiada sumber pendapatan yang
tetap, tetapi kaya kerana sentiasa berkecukupan
bahkan kadangkala berlebihan rezekinya kerana
keperluan kebendaan mereka hanyalah sedikit. Bila
mereka mengalami kesempitan rezeki, mereka
mengadu kepada Allah SWT. Kesengsaraan yang
menimpa mereka mereka anggap sebagai
penghapusan dosa dan peningkatan darjat di sisi Allah
SWT. Di akhirat nanti mereka dikurangkan hisab dan
cepat pula masuk syurga.

Tetapi sebaliknya, kalau orang-orang miskin ini tidak
mempunyai iman dan taqwa serta mengeluh, derita,
kesal dan menyusahkan masyarakat, kemiskinan di

kalangan mereka perlu dikurangkan, kalau pun tidak
dapat dibasmi sepenuhnya. Begitu juga dengan orang-
orang kaya. Kalau semakin kaya mereka semakin
sombong dan kedekut, tidak membantu orang-orang
miskin, tidak memberi manfaat kepada masyarakat,
dan tambah-tambah lagi kiranya derhaka kepada Allah
SWT dan Rasul-Nya, kekayaan mereka perlu
dikurangkan, kalau pun tidak boleh ditarik sepenuhnya
dari mereka.

Tidak bolehnya miskin orang yang derita dengan
kemiskinannya, meminta-minta dan oleh itu
menyusahkan masyarakat adalah seperti seorang
miskin pada zaman Rasulullah s.a.w yang diberikan
kapak oleh Rasulullah s.a.w supaya bekerja dan
mencari rezeki sendiri. Orang ini datang berjumpa
Rasulullah s.a.w mengadu tentang penderitaannya
akibat dari kemiskinan, lalu ditanya Rasulullah s.a.w
tentang apa yang dimilikinya dan dijual hak miliknya
yang sedikit seperti cawan untuk dijadikan modal
membeli kapak. Dengan kapak itu orang itu disuruh

bekerja dan seterusnya melepaskan dirinya dari
kemiskinan.

Tidak bolehnya kaya seseorang yang sombong dan
kedekut dan semakin jauh dengan Allah SWT dengan
kekayaannya itu pula adalah seperti Qarun pada
zaman Nabi Musa dan Sha'labah bin Hatib pada
zaman Rasulullah s.a.w. Qarun, walaupun dari
keluarga Nabi Musa ternyata takabbur, kedekut dan
tidak mahu membayar zakat serta derhaka kepada
Nabi Musa dan Allah SWT apabila mendapat
kekayaan. Akhirnya Allah SWT memerintahkan bumi
menelan Qarun bersama dengan semua hartanya.

Sha'labah bin Hatib, seorang Ansar yang asalnya
miskin pula, walaupun pada awalnya kuat beribadah
dan sentiasa berjemaah bersama Rasulullah s.a.w,
ternyata lalai menyempurnakan sembahyang dan
enggan membayar zakat setelah dianugerahkan Allah
kekayaan. Tidak bolehnya Sha`labah ini kaya telah
dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w apabila Baginda

enggan memenuhi permintaan Sha`labah supaya
berdoa kepada Allah SWT agar beliau menjadi kaya.
Ketika kali pertama beliau datang berjumpa Rasulullah
s.a.w untuk ini, Baginda menasihatkan bahawa sedikit
harta yang disyukuri adalah lebih baik dari banyak
harta yang dikufuri. Pada kali kedua Rasulullah s.a.w
menasihatkan agar Sha'labah mengambil contoh hidup
Baginda sendiri yang sederhana walaupun Baginda
mampu berdoa agar Allah SWT tukarkan bukit-bukit di
sekitarnya menjadi emas dan perak. Kedua-dua
nasihat ini tidak didengari Sha`labah hingga beliau
datang buat kali ketiga untuk terus mendesak
Rasulullah s.a.w berdoa untuknya supaya beliau
menjadi kaya. Kali ini Sha`labah bersumpah dengan
nama Allah SWT akan memberikan hak kepada setiap
orang yang berhak sekiranya Rasulullah berdoa dan
Allah SWT menjadikan beliau kaya. Akhirnya
Rasulullah s.a.w mengikut kehendak Sha`labah dan
Allah SWT makbulkan doa Baginda. Tetapi apabila
Sha`labah menjadi kaya dan semakin sibuk dengan
ternakan kambing yang cukup membiak, beliau yang

biasanya sentiasa bersembahyang jemaah setiap
waktu dengan Rasulullah s.a.w, kini hanya mampu
berjemaah Zohor dan Ashar sahaja. Kemudian selepas
itu Sha`labah hanya mampu bersembahyang Jumaat
sahaja dan akhirnya terus tidak bersembahyang
jemaah langsung. Kemudian beliau enggan membayar
zakat walaupun Rasulullah s.a.w utuskan amil
kepadanya. Zakat dianggap oleh Sha`labah sebagai
sama atau hampir sama dengan jizyah. Akhirnya Allah
SWT menurunkan wahyu menempelak keengkaran
Sha'labah ini. Allah SWT berfirman:

"Dan di antara mereka ada orang-orang yang membuat
perjanjian kepada Tuhan: Jika Tuhan memberikan
kurnia-Nya kepada kami, pastilah kami akan memberi
sedekah, dan masuk golongan orang-orang yang
soleh. Apabila Tuhan memberikan kurnia-Nya kepada
mereka, lantas mereka menjadi kikir dengan (kurnia)
itu. Mereka berpaling dan engkar (akan janjinya). Maka
tercetuslah penyakit nifaq di dalam hati mereka sampai
hari mereka bertemu dengan Allah, disebabkan

mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan,
dan kerana mereka berdusta" (At-Taubah 9:75-77).

Dengan wahyu ini Sha`labah tersedar dari
kesilapannya dan sangat menyesal sekali. Tetapi
masanya telah terlambat. Allah SWT telah melarang
Rasulullah s.a.w dari menerima sedekah Sha`labah.
Walaupun Sha`labah merayu-rayu kepada Rasulullah
s.a.w dan kemudiannya kepada Khalifah-khalifah Islam
berikutnya, dari Khalifah Sayyidina Abu Bakar As-
Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab hinggalah kepada
Khalifah Sayyidina `Uthman bin Affan, semuanya tidak
mahu menerimanya dengan alasan bahawa Allah SWT
dan Rasulullah s.a.w serta Khalifah-khalifah terdahulu
tidak mahu menerimanya, bagaimana mereka boleh
menerima. Akhirnya Sha`labah meninggal dunia ketika
pemerintahan Sayyidina `Uthman dengan membawa
dosa yang amat besar, yakni memungkiri janji dengan
Allah SWT dan Rasulullah s.a.w48.

48 Untuk cerita terperinci tentang Sha`labah bin Hatib ini, lihat Syed Ahmad Semait 1996:
441-446.

Dari sejarah masyarakat zaman Rasulullah s.a.w dan
dari masyarakat Nabi-Nabi terdahulu darinya ini,
ternyata bahawa kemiskinan dan kekayaan bukanlah
petunjuk pembangunan yang mutlak. Sebaliknya,
petunjuk pembangunan yang mutlak ialah kekayaan
iman dan taqwa, atau kekayaan kerohanian. Ini
bermakna bahawa tidak membangun sesebuah
negara walaupun rakyatnya kaya raya harta benda
sekiranya kerohanian mereka tidak kaya. Begitu juga
tidak mundur sesebuah negara walaupun rakyatnya
fakir harta benda sekiranya kerohanian mereka kaya49.
Atas sebab inilah maka Imam Al-Ghazali (1980 Jilid
7:136) menerangkan tentang satu jenis lagi fakir yang
dipanggil fakir mutlak. Fakir mutlak ini berhubungan
dengan keperluan manusia yang paling pokok dan

49 Imam Ghazali (1980 Jilid 7:136) mendefinisikan konsep fakir harta benda ini seperti
berikut: "Ketahuilah, bahawa kef akiran itu ibarat daripada ketiadaan apa yang
diperlukan. Adapun ketiadaan apa yang tidak diperlukan, maka tidak dinamakan fakir.
Jikalau yang diperlukan itu ada dan disanggupi, nescaya tidaklah orang yang
memerlukan itu orang fakir". Definisi ini jelas merujuk konsep fakir harta benda itu kepada
golongan miskin mutlak, yang tidak mempunyai walaupun keperluan asas.

mutlak, yakni memerlukan kepada Allah SWT. Orang
yang tidak memiliki rasa memerlukan kepada Allah SWT
tergolong ke dalam golongan fakir mutlak kerana
mereka tidak memiliki keperluan asas yang pokok dan
mutlak itu, walaupun mereka adalah orang yang kaya
raya harta-benda. Fakir harta hanya bermaksud
ketiadaan keperluan-keperluan asas berbentuk
material, tetapi fakir mutlak bermaksud tidak
mempunyai kekuatan Tauhid dan rasa kehambaan
kepada Allah SWT.

Dengan definisi fakir sebagai fakir mutlak inilah
Rasulullah s.a.w. berdoa: "Aku berlindung dengan
Engkau dari kefakiran" dan bersabda: "Mendekati
kefakiran itu menjadi kekufuran". Hadith-hadith ini, kata
Imam Al-Ghazali (1980 Jilid 7:143), tidak bertentangan
dengan hadith yang berbunyi: "Hidupkanlah aku dalam
keadaan miskin dan matikanlah aku dalam keadaan
miskin”50.

50 Dirawikan At-Tarmizi dari Anas dan Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abi Sa'id.

Maksud miskin di sini ialah miskin harta, bukan miskin
iman dan taqwa yang membawa manusia kepada fakir
mutlak. Rasulullah s.a.w. sangat takut kepada fakir
mutlak, yakni tidak memiliki rasa memerlukan Allah
SWT, tetapi jelas sangat cenderung kepada miskin
harta. Fakir mutlak membawa kepada kekufuran
sedangkan miskin harta mempunyai nilai-nilai istimewa
sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Selain dari itu, Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda:

"Bukanlah yang dinamakan `kaya' itu, kerana berlimpah
ruahnya harta, tetapi yang dinamakan `kaya' itu ialah
kaya jiwa”51

51 Hadith dipetik dari Syeikh Yusuf Qardhawi 1980:40.

"Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak benda.
Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya
jiwa”52.

52 Hadith dirawikan Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah.

Analisis Kewujudan Kemiskinan dan Kekayaan

JADUAL 1: KATEGORI MISKIN DAN KAYA

KATEGORI JIWA HARTA CATATAN DASAR

1 Kaya Kaya Kategori paling bagus, seumpama
para sahabat seperti Sayyidina

`Uthman bin Affan dan Sayyidina
Abdul Rahman bin `Auf. Patut
digalakkan seramai mungkin.

2 Kaya Miskin Boleh dibenarkan wujud dengan
pilihan mereka sendiri, kerana boleh
hidup tanpa membebankan negara
dan masyarakat, seumpama

Sayyidina Ali dan ahlus-suffah.

3 Miskin Miskin Kategori paling negatif yang sangat-
sangat memerlukan pertolongan.
Peruntukan negara yang besar perlu

ditumpukan kepada kategori ini untuk
mengurangkan, kalau pun tidak
boleh dibasmi sepenuhnya, golongan
ini.

4 Miskin Kaya Kategori kedua paling negatif,
seumpama Qarun dan Sha'labah.
Peruntukan besar juga perlu
ditumpukan kepada kategori ini untuk

meningkatkan kekayaan jiwa
mereka, agar kekayaan harta mereka
dapat dimanfaatkan negara dan
masyarakat keseluruhannya.

63

Berdasarkan kepada definisi-definisi miskin dan kaya
yang dibincangkan di atas, sesebuah masyarakat
sekurang-kurangnya boleh dikategorikan kepada
empat golongan, seperti yang ditunjukkan di dalam
Jadual 1.

Dari empat golongan yang dikemukakan di dalam
Jadual 1 tersebut, jelas bahawa golongan yang miskin
kedua-dua jiwa dan hartalah yang perlu ditolong
secepatnya. Kedua-dua kemiskinan jiwa dan harta
mereka perlu dibasmi habis-habisan. Hal ini tidak
mungkin berjaya kecuali dengan mendahulukan
pembasmian kemiskinan jiwa. Kalau sekiranya orang-
orang miskin harta derita kerana miskinnya jiwa
mereka, maka mereka perlu ditolong dengan bukan
sahaja mengurangkan beban kemiskinan dengan
pelbagai program yang Islam sediakan, seperti zakat
dan sistem Qardul Hassan, tetapi juga dengan segala
cara yang boleh meningkatkan kerohaniannya. Tetapi

dalam melaksanakan hal ini pun Rasullallah s.a.w
menasihatkan supaya dilaksanakan secara beransur-
ansur dan bertoleransi agar tidak menganiaya mana-
mana pihak. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi s.a.w mengirim
Mu`adz ke negeri Yaman. Baginda bersabda
kepadanya: "Ajaklah mereka supaya mengakui
bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan
sesungguhya aku Pesuruh Allah. Jika mereka telah
mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada
mereka bahawa Allah SWT mewajibkan kepada
mereka shalat lima kali sehari semalam. Kalau
mereka telah mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah
SWT memerintahkan kepada mereka supaya
membayar zakat harta mereka, diambil dari orang
kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang-
orang yang miskin. Jika itu telah dipatuhi mereka,
jagalah supaya kamu jangan mengambil harta
mereka yang paling berharga. Takutilah doa orang


Click to View FlipBook Version