eksotiknya hilang,’ aku bercakap sorang diri dalam
hati.
Mulai esoknya Kak Ani sediakan makanan setiap hari.
Cukup bulan aku bayar bila dapat gaji.
50
Cerita Dalat Siri 18: Anum Macin
Petang itu tak nampak pulak kelibat Bobby di
jambatan.
‘Mala dah bagi makan agaknya,' fikirku.
Angin bertiup lembut menyapa pipi. Bau harum buah
kuini menerpa ke rongga hidung.
Mataku segera beralih ke arah buah kuini yang
berjuntai di pokok belakang bilik air.
‘Ada buah yang masak ni,' kata hatiku.
Aku letak beg sekolah dan bungkusan rojak adun atas
tangga.
Selepas itu aku cari di bawah pokok kalau ada buah
yang gugur. Alhamdulillah. Dapat 3 biji.
Kemarin Pak Cik Seruji dah pesan. Kalau ada buah
luruh makan saja. Tak payah simpan.
Aku masuk rumah. Berehat sekejap atas katil sambil
dengar radio. Lagu Petani dendangan Ramli Sarip
sedang berkumandang.
Tiba-tiba ilham menjelma. Aku bangun dari katil, capai
buku nota dan pen. Daripada lirik lagu Petani aku
gubah jadi sajak tentang diriku seorang cikgu;
Aku lebih rela jadi cikgu
menabur bakti di pedalaman
daripada menjadi guru di kota raya
mengajar anak orang berada.
Aku lebih rela berlumur kapur
ketika menulis di papan hitam
daripada marker pen dan papan putih
di bilik darjah berhawa dingin.
Biarkan aku menjadi cikgu
berteduh di pondok kayu
51
daripada hidup di rumah pangsa
dicemari jerebu dan asap kereta.
Biarkan aku menjadi cikgu
hingga ke akhir hayatku ini
dan mahu aku bersemadi di desa
jauh dari kesesakan jalan raya.
Lebih rela aku jadi cikgu
berkhidmat di desa hingga bersara …
Dah siap menulis aku letak buku nota atas meja.
Kemudian pergi mandi. Badan rasa segar bila dijirus
air. Aku capai sabun Camay dan gosok ke badan.
Aku rasa pelik sebab sabun tak berbuih. Aku gosok lagi
dua tiga kali.
‘Pasal apa tak berbuih pulak sabun ni? Sabun tiruan
ke?’ aku fikir sambil ceduk air dari tempayan dan jirus
ke badan.
Selesai mandi lap badan. Kemudian aku tadah air paip
untuk berkumur dan mengambil air sembahyang.
Bila kuhirup air ke dalam mulut terasa masin. Aku
luahkan semula.
‘Eh, masin pulak air paip ni,’ aku betul-betul rasa
hairan.
Aku terus saja ambil air sembahyang. Selepas itu aku
bersiap-siap ke surau untuk solat Asar.
Selesai solat aku berjalan pulang beriringan dengan
Pak Cik Mahli, ayah Fauziah yang tolong basuh
pakaian aku.
“Masa mandi tadi saya rasa air paip tu masin la. Di
rumah Pak Cik macam mana, masin jugak ke?” aku
tanya Pak Cik Mahli.
“Sama jugak cikgu,” jawabnya.
“Kenapa jadi macam tu?” aku bertanya lagi ingin tahu.
52
“Sekarang musim kemarau. Air Batang Oya surut. Jadi
air laut masuk ke sungai hingga ke loji penapisan air.
Walaupun ditapis dan dirawat rasa masinnya masih
tak hilang,” jelas Pak Cik Mahli.
“Batang Oya tu apa?” aku tanya agak hairan.
“Di sini orang panggil sungai tu batang. Kalau Batang
Oya maksudnya Sungai Oya,” cerita Pak Cik Mahli
sambil ketawa.
“Oh, begitu. Baru saya faham,” balasku sambil ketawa
sama.
“Biasanya berapa lama baru air jadi tawar semula?”
aku bertanya lagi.
“Bergantung pada cuaca jugak cikgu. Paling cepat
sebulan. Kadang-kadang dua tiga bulan baru pulih
macam biasa,” jawabnya.
Kami berpisah di muka jambatan. Berjalan sekejap
saja dah sampai. Rumah kami dekat sangat dengan
surau.
Aku buka songkok dan raba kepala rasa rambut agak
keras. Aku buka baju nampak tangan berdebu. Aku
cuba gosok. Lagi ketara nampaknya.
‘Mungkin ini kesan mandi dengan air masin agaknya,’
aku cuba mengagak bila dah tahu keadaan sebenar.
Sejak hari itu terpaksa la aku sediakan stok air mineral
banyak-banyak di rumah untuk minum. Tetapi seperti
dijangka, harganya waktu itu melambung tinggi. Dan
stok air mineral di kedai pun cepat habis.
Pilihan lain yang ada dan percuma ialah ambil air paya
di kawasan pedalaman. Nak pergi ke sana kena naik
perahu melalui anak sungai yang sempit. Pelepah
pokok sagu yang melengkung ke arah anak sungai itu
53
berselang-seli di kiri dan kanan tebing membentuk
terowong.
Memang airnya tak masin, tetapi warnanya macam air
sarsi tanpa gula. Tak lalu juga nak minum. Kalau
masak dan bancuh kopi ok la, nampak hitam semacam
saja
Khabarnya sampai sekarang belum ada teknologi yang
boleh hilangkan rasa masin air paip di Dalat.
54
Cerita Dalat Siri 19: Pela Salui
Petang itu cuaca agak panas. Aku pergi ke tepi sungai
untuk berehat.
Di tebing sungai itu ada pokok kelapa. Di bawah pokok
kelapa itu ada pangkin. Aku duduk di situ. Melihat
perahu lalu-lalang. Sungai Oya itu jalan perhubungan
utama penduduk tempatan, terutamanya penduduk
yang tinggal di seberang sungai. Tiada jambatan yang
menghubungkan kedua-dua tebing.
Kalau mereka nak ke pasar, pejabat kerajaan atau
sekolah mesti guna perahu untuk menyeberang
sungai.
Daun kelapa meliuk-liuk ditiup angin. Adunan desiran
daun kelapa ditiup angin bersama bunyi kocakan air
sungai menghasilkan suara alam yang mendamaikan
hati. Aku rasa tenang.
“Hai cikgu, termenung jauh nampak,” lamunanku
terhenti bila disapa suara Mala.
“Eh, Mala. Duduk la,” aku pelawa dia duduk di pangkin
depan aku.
“Teringat orang di semenanjung ke,” usik Mala.
“Tak ada la. Saja hayati keindahan suasana sungai dan
suara alam yang mendamaikan hati di sungai ni,”
jawabku bersastera.
“Cikgu stress ke kena mengajar di tempat kami yang
macam ni?” tanya Mala lagi.
“Biasa la tu. Baru nak sesuaikan diri dengan cara hidup
di tempat orang,” aku jawab secara tak langsung
soalan yang ditanya.
55
“Cikgu bergaul la dengan orang sini dan sertai aktiviti
dengan mereka. Nanti hilang la rasa bosan,” Mala bagi
cadangan.
“Bagus juga cadangan tu,” aku setuju dengan
cadangannya.
“Cikgu pandai dayung sampan tak,” Mala mula tukar
tajuk perbualan.
“Tak pandai la. Tahu naik saja,” jawabku dengan jujur.
“Jom cuba. Saya ajar cikgu dayung sampan,” ajak Mala.
Aku ikut saja. Pesan orang tua-tua, masuk kandang
kambing mengembek, masuk kandang kerbau
menguak. Kita kena pandai menyesuaikan diri dengan
persekitaran di tempat yang baru kita diami.
Mala ambil dua pendayung di rumahnya. Dia bagi aku
satu pendayung.
“Tangan cikgu kuat sebelah mana, kiri atau kanan,”
tanya Mala.
“Kanan,” jawabku ringkas.
“Ok, nanti cikgu dayung sebelah kanan di belakang.
Saya dayung sebelah kiri di depan,” Mala bagi arahan.
Mala pun tunjukkan cara memegang pendayung yang
betul dan membuat simulasi cara mendayung.
Kemudian dia buka tali pengikat dan tarik perahu ke
tepi jeti kecil depan rumahnya. Dia suruh aku naik
dulu dan duduk di belakang. Selepas itu dia masuk dan
duduk di bahagian hadapan.
Kami guna sampan kecil. Bahagian depan dan
belakang sampan itu berbentuk tirus. Bila air sungai
berkocak sampan terolang-aling.
Mula-mula kami mendayung di tepi tebing sungai tu
saja untuk aku biasakan diri. Aku kayuh lintang-
56
pukang. Tak pandai nak ikut rentak kayuhan Mala.
Selepas mencuba beberapa kali baru dapat.
“Nampak cikgu dah pandai mendayung tu. Jom kita
cuba rentas sungai pulak. Kita mendayung hingga ke
seberang sana,” Mala bagi cadangan bila nampak aku
dah pandai sikit.
“Tak bahaya ke. Kita tak pakai jaket keselamatan ni,”
aku tanya.
“Di sini mana ada orang pakai life jacket,” kata Mala
sambil ketawa.
Bila tengok di kiri dan kanan tak ada speed boat lalu
kami pun mula mendayung merentas sungai. Arus
agak deras. Sampan berolang-aling makin kuat. Aku
mula rasa gementar.
“Eh, cikgu pandai berenang ke tak?” tanya Mala bila
tiba di tengah sungai.
“Tak pandai. Kenapa?” aku tanya semula.
“Tak ada apa, saja tanya,” jawab Mala. Mungkin dia
terfikir macam mana nak selamatkan aku kalau
sampan terbalik.
Tak lama kemudian nampak speed boat meluncur laju
ke arah kami.
“Dayung cepat sikit cikgu,” kata Mala bila nampak
speed boat makin dekat.
Aku mula panik. Sampan baru bergerak dua pertiga
jaraknya dari jeti tadi. Lagi satu pertiga nak sampai ke
seberang sana. Speed boat makin dekat. Rasa sampan
kami meluncur sangat perlahan ketika itu.
Speed boat melintas laju. Berderau darah aku. Air
tersimbah ke dalam sampan. Basah. Air sungai
berombak kuat. Sampan kami terumbang-ambing.
57
Aku terdiam. Mala juga terdiam. Nampak dia berusaha
mengawal sampan.
Mala pandang ke belakang. Tengok aku.
“Cikgu ok ke,” tanya Mala. Mukanya nampak tenang
saja.
“Ok je,” jawabku. Kalau tengok muka mungkin nampak
pucat dah masa tu.
Apabila speed boat sudah pergi jauh, air sungai
kembali tenang. Kami sampai ke jeti Pak Cik Jalak
dengan selamat. Kami rehat sekejap. Tenangkan diri
dan hilangkan penat. Kemudian baru patah balik.
Naik saja ke darat nampak pintu rumah Mala dibuka.
Tercegat ibunya di muka pintu. Mukanya serius.
“Iduk! Baway kubow legah!!!” jeritnya.
Mala capai pendayung dari tanganku. Cepat-cepat dia
simpan dan masuk ke rumah.
Aku terpinga-pinga. Mahu tak mahu aku kena lalu juga
depan rumahnya untuk balik ke rumah sewaku.
Dari pintu yang terbuka aku nampak terpampang
simbol sembahan keluarganya di dinding dalam
rumahnya.
Ibunya masih tercegat di situ. Dia pandang aku.
Tangannya mencekak pinggang. Debar di dada makin
kuat. Aku berjalan perlahan-lahan ke arah tepi
rumahnya.
“Cikgu! Lilo juk!!!” sergahnya bila aku kian hampir.
Aku terkejut. Terpaku di situ. Lidahku kelu. Dia terus
membebel. Tak tahu dia cakap apa. Aku rasa dia marah
aku berkawan dengan anaknya…
58
Cerita Dalat Siri 20: Sukan Tahunan
MAYAU! MAYAU! MAYAU!
Masih terngiang-ngiang sorakan gemuruh di tepi
padang ketika aku memecut laju ke garisan penamat.
Akhirnya pingat JUARA acara lumba lari 200 meter
dalam genggaman.
Itulah kenangan terindah ketika aku di tingkatan 4B...
waktu sukan...nama MAYAU akan jadi
sebutan...haaaaa....ada juga terlekat nama itu di sebalik
nama sebenar...
Dua minggu sebelum itu, nama guru dan ahli rumah
sukan sudah heboh diperkatakan. Ketika aku melintas
di hadapan bilik guru aku menatap senarai nama ahli
dalam rumah sukan. Anak mata tertahan seketika
pada senarai guru rumah sukan.
Yaaaaaahhhhhh...Cikgu Zabidi guru Rumah Garuda!!
Tanpa tersedar yeh!!!!! terucap...
Ada peluang menang...
Benak ku terlintas mengenang....Menang lumba guru
sukan ada juga markah tambahan buat rumah Garuda
pasal cikgu baru...muda dan kuat lari...konon angan-
angan nak seronok tengok cikgu-cikgu berlari nanti...
Hari yang ditunggu pun tiba dan persediaan sukan
juga latihan pun siap dan yang paling seronok masa itu
ialah....jeng...jeng!!!!!... buat pondok-pondok rumah
sukan....
Woooowwww!!!!!
hebat
tiada yang seumpamanya di sekolah-sekolah lain.
Cikgu Zabidi turut pantau persiapan pondok rumah
Garuda....
59
Kata Cikgu Zabidi...tiap tahun ke macam ni
Mayau...saya jawab ya..cikgu
Tak penat ke sampai petang buat pondok ni...Cikgu
Zabidi macam tak percaya kami boleh siapkan...
Dah terbiasa cikgu dari tingkatan 1 dah jadi orang
suruhan..cari kayu..cari duun balau....
Ehhhh...duun balau tu apa ..celah cikgu Zabidi. .
Daun rumbia lah cikgu!!!
Orang Melanau kata duun balau..tambahku
Oooo...balau tu rumbia...
Duun tu daun....ooooo..faham...faham...balas Cikgu
Zabidi.
Perbualan dengan Cikgu Zabidi terhenti kerana dia
tertumpu pada tangan ku yang sedang menganyam
daun rumbia untuk dibuat bumbung pondok rumah
Garuda...
Pandai Mayau menganyam daun rumbia ni..kata Cikgu
Zabidi...
Saya ni anak kampung cikgu.. balasku
Bolehlah!!!! Siap sudah...kita gantung dan ikat sama
cikgu dengan dibantu rakan-rakan untuk siapkan
pondok rumah Garuda.
Sambil kerja-kerja dibuat saya tanya cikgu
Zabidi...cikgu dah sediakah nak lumba acara guru
nanti....?
Jawab Cikgu Zabidi....dah siap...Mayau
Cuma nak lawan Cikgu Barnabas tu je yang bingung.
Dia tu kan memang cikgu sukan dah tentu kuat
tu...Mayau ...balas cikgu Zabidi...
Lawan je cikgu...cikgu masih kuat badan sedang-
sedang boleh makanlah cikgu-cikgu lain tu
nanti..tambah ku memuji cikgu Zabidi
60
Lepas lari nanti rehat di lepau...ni..tambah ku
bergurau..
Cikgu Zabidi tersentak dengar perkataan LEPAU..lalu
bertanya...Mayau...lepau tu apa?
Haaaaaaa...!! Aku ketawa kecil....sambil menjawab
...lepau tu cikgu....pondok lah...melanau lah
cikgu..sambung ku lagi.
Cikgu Zabidi nampak tak menentu je maklum sajalah
dah diketahui pencabar terdekat yang tegap-tegap lagi
tu...
Terus aku menguatkan semangat dan bagi tahu...Cikgu
tak perlu risau lepas ni kita berlatih dan lari sama-
sama.
Berapa tahun saja beza umur kita ni cikgu...cikgu
masih kuat tu..aku bergurau.
Cikgu Zabidi kata....bolehlah Mayau sama dengan
cikgu berlari lepas ni...nampak macam menyetujui
cadanganku.
Hari ditunggu dan dinanti tiba... Hari Sabtu, 30 Jun
1990. Cuaca cerah. Semua guru, murid-murid dan staf
sokongan berkumpul di padang. Suasana nampak
meriah. Pakaian dan hiasan berwarna-warni.
Semua pihak bekerjasama menjayakan Kejohanan
Sukan Tahunan.
Pagi-pagi dah pelajar berkumpul di pondok rumah
masing-masing...sambil mengatur apa yang perlu
diatur di pondok rumah Garuda. Guru dan para
peserta serta penyokong rumah-rumah sukan sibok
dengan urusan masing-masing.
Cikgu Zabidi kelihatan dalam keadaan bergegas nak
mempersiapkan pasukan lari berganti rumah
Garuda..aku perhatikan sahaja...dah siap urusanku di
61
pondok rumah Garuda aku turut sama ke tepi padang
dan bersorak kuat menyokong pelari rumah Garuda...
hebat
pelari rumah Garuda johan lagi...yehhh..tanpa sedar
aku bersuara dengan gembira.
Cikgu Zabidi demikian juga...melompat sambil juga
bersorak gembira pelari yang beliau latih selama ini
berjaya sebagai johan. Sorakan penyokong sukan
antara rumah.
SMK Dalat masih segar hiruk pikuknya dalam ingatan
hinggalah hari penyudah sukan itu
dilangsungkan...tentunya acara yang dinanti-nanti
oleh pelajar adalah acara guru-guru sukan...apa lagi
...sokongan tak berbelah bahagi buat cikgu
Zabidi..Cikgu Zainol ...Cikgu Halim dan Cikgu Azman.
62
Cerita Dalat Siri 21: Tanpa Tajuk
Selepas selesai sukan aku pantau murid menyimpan
peralatan dan kutip sampah padang. Aku pun kutip
sama.
Selepas berpuas hati tiada barang yang tertinggal dan
melihat keadaan padang yang bersih aku pun
tinggalkan padang.
Badan rasa letih. Penat juga berlari walaupun hanya
50 meter. Nasib baik la dapat nombor satu acara guru.
Lari berganti-ganti.
Hadiah tak penting. Kepuasan diri lebih utama. Puas
hati sebab rumah Garuda Juara. Semua guru dan ahli
rumah yang aku ketuai bergembira kerana rumah
kami muncul juara keseluruhan.
Rahsianya semangat sepasukan bagi melonjakkan
kedudukan rumah ke tempat teratas dan latihan
intensif secara sistematik.
Dah penat bersukan kena balik berjalan kaki tengah
panas lagi. Aduh, peritnya. Rasa macam nak demam.
Sampai di rumah terus terbaring atas katil. Tak fikir
pasal makan dah. Hanya minum saja. Sekejap saja dah
lena.
Sedang asyik dibuai mimpi di siang hari tiba-tiba
terdengar suara orang memberi salam. Suara
perempuan. Aku terjaga.
Aku capai baju yang kusangkut di kerusi. Cepat-cepat
aku sarung ke badan. Aku buka pintu.
Yah tercegat di situ dengan satu beg.
“Baju cikgu dah siap,” kata Yah.
“Berapa ringgit,” tanyaku.
“Dua puluh ringgit saja cikgu,” jawab Yah.
63
Aku keluarkan dompet dari poket dan ambik duit bagi
pada Yah. Selepas ucapkan terima kasih dia pun
beredar.
Aku susun pakaian yang sudah digosok dan dilipat ke
dalam almari. Kemudian kembali berehat atas katil.
Badan rasa sakit dan lenguh. Dah lama tak berlari
begitu la rasanya.
‘Kena cari kawan untuk main bola semula supaya
badan lebih cergas,’ fikirku.
“Assalamualaikum!” terdengar suara perempuan bagi
salam lagi.
“Waalaikumussalam. Sekejap ye,” aku jawab sambil
bangun dari katil.
‘Siapa pulak yang datang ni. Baru saja nak berehat ada-
ada saja orang datang,’ aku merungut sambil berjalan
ke arah pintu.
“Oh, Selina. Ingatkan siapa,” kataku bila tengok cucu
tuan rumah berdiri depan tangga.
Nak ajak masuk rumah tak manis pula dipandang
orang.
“Atuk cakap buah kuini dah masak. Saya datang nak
tengok la ni kot ada rezeki. Dah lama tak makan. Buah
kuini atuk ni sedap,” kata Selina menerangkan tujuan
dia datang.
“Ye, betul. Semalam saya dah rasa. Memang sedap,
manis. Jom kita tengok,” aku mengiayakan kata Selina
dan ajak dia pergi cari buah kuini bawah pokok.
“Cikgu, esok saya dan kawan-kawan nak pergi
berkelah di pantai Oya. Cikgu nak ikut tak?” tanya
Selina sambil mengutip buah kuini yang luruh.
“Pantai Oya? Di mana tu,” aku tanya.
64
“Jalan nak pergi Mukah sana. Cikgu ikut saja la, nanti
tahu la tempat tu,” ajak Selina lagi.
“Nak pergi macam mana. Saya tak ada motor,” aku bagi
alasan.
“Kami dah sewa van. Ada tempat kosong lagi. Esok
pagi cikgu tunggu depan rumah yang cantik depan
padang bola tu. Kita naik van di situ,” jelas Selina.
“Ok la kalau macam tu. Pukul berapa nak berkumpul?”
aku tanya lagi.
“Kita berkumpul pukul 8 pagi,” katanya sambil
masukkan buah kuini dalam plastik.
“Makanan kami akan sediakan. Cikgu tak payah bawak
apa-apa dah,” katanya lagi.
Aku setuju saja. Selina pun minta diri untuk balik.
Rumahnya di Kampung Brunei.
‘Bagus juga berehat di pantai. Dah lama tak mandi air
laut,” fikirku sambil perhatikan Selina berjalan pulang.
Sebelum naik ke rumah sempat lagi pandang ke arah
rumah Mala.
Sejak kena marah dengan ibunya kami tak pernah
jumpa dah. Kelibatnya pun tak nampak dah. Nak pergi
lepak di tepi sungai dekat rumahnya takut kena marah
lagi.
Dia tak sihat ke? Atau dia dah tak ada di sini? Ke mana
Mala pergi? Bermacam-macam persoalan bermain di
fikiran …
65
Cerita Dalat Siri 22: Brabih Lisi Daat
Pagi itu aku pakai seluar jeans biru dan baju pagoda
putih saja. Kasut pun tak pakai. Hanya pakai selipar.
Nak ke pantai saja.
Aku berjalan laju sambil menggalas backpack. Aku
bawa seluar untuk mandi, tuala dan air mineral.
Sampai di rumah yang dijanjikan sebuah van sudah
sedia menunggu. Ada lima orang sedang berbual.
“Assalamualaikum. Minta maaf lambat sikit,” aku
menyapa mereka.
“Waalaikumussalam. Tak apa cikgu. Kami pun baru
saja sampai,” jawab Selina.
Selina perkenalkan aku kepada Zul pemandu van,
Zakiah tuan rumah dan Chiqa kawan Zakiah. Jamatiah
dah kenal.
“Kita saja ke atau ada lagi yang belum sampai,” aku
tanya.
“Ada lagi dua orang. Sekejap lagi sampai la tu,” jawab
Selina.
“Semua perempuan ke,” aku tanya bila nampak hanya
aku dan Zul saja lelaki.
“Yang lelaki dah pergi dulu. Mereka naik motor,” jawab
Selina.
Bila dah cukup orang kami pun naik van. Aku duduk di
depan sebelah Zul yang memandu van.
Kami pun bergerak ke pantai Oya. Di mana tempatnya
aku pun belum tahu. Ikut saja ke mana Zul bawa.
“Cikgu, tolong pasang kaset ni,” Selina hulurkan kaset
kepadaku.
“Lagu apa ni,” aku tanya sambil masukkan ke dalam
pemain kaset van tersebut.
66
“Campur-campur cikgu,” jawab Selina.
Zul hidupkan pemain kaset dan kuatkan volume. Kami
pun melayan lagu-lagu dendangan penyanyi-penyanyi
rock bersuara lunak. Lagu yang paling aku suka
C.I.N.T.A. oleh kumpulan XPDC dan Di Antara Gadis
oleh kumpulan Dinamik.
Belum habis Side A kami dah sampai di pantai. Laut
Cina Selatan terbentang luas di hadapan.
Keluar dari van aku terus saja ke gigi air. Rasa teruja
dapat main air laut. Ombak kecil melanda pantai
membasahi kaki dan seluarku.
Teringat coretan Sasterawan Negara A. Samad Said
dalam novelnya Hujan Pagi yang aku beli di Universiti
Malaya semasa majlis pelancaran novel tersebut.
“Ombak yang melanda kakiku sekali, takkan dapat
kukenali lagi,” begitulah dia tulis di muka surat
pertama buku tersebut dan tandatangannya.
‘Sekarang aku faham maksud yang tersirat di sebalik
kata-katanya yang puitis,’ bisik hatiku sambil
tersenyum seorang diri.
Bila dah puas melayan perasaan teruja baru aku
menuju ke pokok rhu, tempat kawan-kawan yang lain
berkumpul.
Ada yang makan, ada yang bersiap-siap nak mandi laut
dan ada yang berbual. Aku letak beg di bawah pokok.
“Jom cikgu kita tangkap gambar. Nanti ada la tanda
kenangan cikgu di sini,” ajak Zul.
Aku pun ikut mereka tangkap gambar di tepi pantai.
‘Alhamdulillah. Beruntung aku dapat kerja di sini.
Mereka sangat baik, peramah dan layan aku dengan
mesra,’ kata-kata itu tersemat jauh di sudut hati.
67
Selepas itu aku lepak atas batang kayu yang terdampar
di tepi pantai. Aku lemparkan pandangan jauh ke kaki
langit. Melihat lukisan alam yang indah.
Bayu laut yang menyapa pipi terasa dingin. Sayup-
sayup di kejauhan kelihatan perahu nelayan hanyut
perlahan-lahan.
Sedang asyik melayan perasaan tiba-tiba datang
seseorang dari belakang.
“Hai cikgu, menyendiri nampak,” sapanya.
“Ye, seronok tengok pemandangan di pantai ni,”
balasku sambil persilakan dia duduk atas kayu tu.
“Cikgu masih sedih lagi ke,” katanya selepas duduk di
sebelah.
“Sedih? Sedih pasal apa?” aku tak faham apa yang dia
maksudkan.
“Ye la, hari tu kan cikgu kena marah,” katanya lagi.
“Mana kamu tahu saya kena marah? Kamu siapa?” aku
masih keliru.
“Saya kakak Mala,” jawabnya.
“Oh, kakak Mala. Baru tahu,” senyum terukir di bibirku
bila dengar nama Mala.
“Siapa nama kamu,” sambungku lagi.
“Mudah saja cikgu,” katanya.
“Baguslah kalau mudah, senang nak ingat. Bagitahu la
nama,” kataku ingin tahu.
“Kan saya dah bagitahu tadi, mudah,” katanya lagi.
Aku masih keliru. Dia main teka-teki apa pulak ni.
“Bagitahu la nama sebenar. Lain kali senang saya nak
panggil,” aku masih memujuk dia supaya bagitahu
nama sebenar.
68
“Nama saya Semudah binti Damian Ajei. Orang panggil
Mudah. Ok, dah puas hati,” jawabnya macam geram je
bunyinya.
Akupun ketawa terbahak-bahak… Dia pun ketawa bila
tengok aku ketawa …
Memang mudah sungguh la nak ingat nama dia. Bila
aku tengok dia saja rasa nak ketawa mengenangkan
salah faham pasal nama dia.
“Cikgu dah tahu ke pasal Mala,” dia tanya tiba-tiba.
Aku terdiam. Aku pandang Mudah. Kemudian geleng
kepala.
Baru saja dia nak buka mulut Selina dah laung ajak
makan.
“Jom kita makan dulu cikgu. Selina dah panggil tu.
Lepas makan nanti saya cerita,” katanya.
Kamipun pergi ke pokok rhu untuk berkelah bersama
kawan-kawan yang lain.
69
Cerita Dalat Siri 23: “Manok Ngak Tileng”
Dah hampir sejam bergolek atas katil. Sekejap ke kiri.
Sekejap ke kanan. Mata tak mahu pejam.
Sekejap letak tangan bawah kepala. Kemudian letak di
dahi. Fikiran berserabut.
Radio pula putarkan lagu Antara Gadis. Nai, penyanyi
kumpulan Dinamik berasal dari Sarawak. Lagu-lagu
dari kumpulan rock tersebut sering diputarkan di
radio.
Mengapakah kau melangkah pergi
Ketika 'ku masih perlu
Menatap wajahmu kali akhir
Dan lantas menyelam rindu …
Bait-bait lagu ini amat menyentuh hati. Alunan suara
penyanyinya penuh penghayatan. Begitu cepat
melekat di fikiran.
Aku juga tertanya-tanya. Mengapa dia begitu nekad
melangkah pergi. Berilah aku peluang menatap
wajahnya dulu sebelum tinggalkan aku.
Tapi … ye la, seperti kata orang tua-tua. Berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul. Tentu tekanan
yang dihadapinya terlalu berat untuk dihadapi.
Menyebabkan dia bertindak sedemikian.
Sambil melayan lagu tersebut, aku mengimbas
kembali perbualan dengan Mudah petang tadi.
“Lepas cikgu balik hari tu, mak marah Mala sampai ke
malam. Mak tak suka Mala kawan dengan cikgu,” kata
Mudah ketika lepak di pantai lepas makan.
“Kenapa?” aku tanya.
“Cikgu orang Semenanjung. Mak tak suka Mala
berkawan dengan orang Semenanjung,” katanya lagi.
70
“Sebab apa pulak tu?” tanyaku lagi.
Daripada cerita Mudah baru aku tahu kisah sebenar
menyebabkan ibu dan bapanya sangat risau dan
marah.
Ketika masih bersekolah, Mala rapat dengan pasangan
suami isteri dari Semenanjung. Mala mula
menunjukkan minat terhadap Islam. Dia belajar
daripada pasangan ustaz dan ustazah tersebut secara
diam-diam.
Mala pernah suarakan hasrat untuk masuk Islam. Ibu
dan ayahnya menentang keras. Mala memberontak.
“Mak takut kalau Mala kawan dengan cikgu nanti dia
masuk Islam. Yang paling mak risau kalau Mala ikut
cikgu kahwin lari. Kalau jadi macam tu nanti mak
kehilangan anak yang paling dia sayang,” Mudah
menjawab persoalan yang bermain di fikiran selama
ini.
“Apa Mala jawab?” aku ingin tahu reaksi Mala bila dia
kena leter.
“Mala cakap dia bukan bercinta pun dengan cikgu.
Baru saja kenal cikgu. Dia cuma nak tolong cikgu
biasakan diri tinggal di sini. Takkan itu pun tak boleh,”
Mudah terus ceritakan situasi tegang yang berlaku di
rumahnya selepas kami balik dari mendayung
sampan.
Sukar aku nak lelapkan mata malam itu. Aku dihantui
rasa bersalah. Kerana aku Mala dan ibu bapanya
bertengkar. Kalau aku tolak pelawaan Mala lepak di
pangkin depan rumahnya hari tu tak ada la jadi macam
ni. Tapi benda dah berlaku nak buat macam mana lagi.
“Masa bila sedar Mala lari dari rumah?” teringat
kembali perbualan aku dengan Mudah.
71
“Lepas kena marah dengan mak malam tu Mala masuk
bilik dia. Bila bangun pagi tengok dia dah tak ada. Tak
tau dia pergi mana,” jelasnya.
“Dah cuba cari di mana-mana ke?” aku tanya lebih
lanjut.
“Kami dah cari di rumah kawan-kawan dia. Cari di
rumah saudara-mara. Tapi tak ada. Cuma satu tempat
saja belum cari,” kata Mudah.
“Di mana?” aku tanya.
“Di rumah cikgu,” kata Mudah sambil pandang aku
semacam je.
“Eh, mana ada. Tak berani la saya nak bawak lari anak
dara orang simpan di rumah,” cepat saja aku nafikan
usikan Mudah.
Bukan jauh pun. Depan rumah saja. Kalau ayah Mala
bawak orang kampung gi serang aku di rumah
mampus aku kena humban dalam sungai.
“Alah cikgu ni. Saya bergurau saja la. Jangan la serius
sangat,” kata Mudah sambil ketawa kecil.
Ada ke patut dia syak aku sembunyikan adik dia di
rumah. Kalau viral cerita tu memang nahas la aku. Eh,
mana ada istilah viral lagi masa tu. Aku tersenyum
sendiri.
Sedang asyik memikir pasal Mala lari dari rumah tiba-
tiba aku terdengar sesuatu. Aku bangun dari katil. Aku
selak cadar. Kemudian jenguk bawah katil. Tak
nampak apa pun. Si Bobby main bawah rumah
agaknya.
Aku baring semula. Tak sedar bila masa terlelap.
~ Manok Ngak Tileng = "Burung dah terbang"
72
Cerita Dalat Siri 24: Cerita Nyipen
Aku berehat di bilik guru. Baru habis mengajar sastera
di kelas 4B. Mata rasa berat. Tak cukup tidur semalam.
Aku tidur berbantal lengan di meja kerja sambil
duduk. Dapat lelap sekejap pun jadi la.
“Cikgu Zabidi, Pengetua panggil. Sekarang juga,” kata
Saani di sebelah meja.
Masa bila kerani tu datang tak tahu la. Tak sedar
langsung.
“Ok, terima kasih,” aku jawab dan terus bangun.
‘Apa hal pulak Pengetua panggil ni. Mak ayah Mala
report kat Pengetua ke,' aku cuba mengagak sambil
berjalan ke pejabat.
Sampai di pejabat nampak dalam bilik Pengetua ada
dua orang tetamu. Seorang pakai uniform jururawat
dan seorang lagi tak beruniform. Doktor agaknya.
‘Apa hal pulak doktor dan jururawat jumpa Pengetua
ni,' bisik hatiku.
Aku tunggu di ruang tamu saja. Biar Pengetua selesai
berurusan dengan mereka dulu.
Pengetua nampak aku. Dia panggil masuk ke biliknya.
Aku duduk di kerusi kosong.
“Ini Cikgu Zabidi, guru Sastera. Mungkin dia boleh
bantu,” Pengetua perkenalkan aku kepada tetamunya.
“Cikgu, ni Dr Siti dan jururawat dari Klinik Pergigian
Mukah,” dia perkenalkan tetamu kepada aku pulak.
“Lagi dua minggu kami nak buat Minggu Kesihatan
Gigi,” Dr Siti mulakan perbincangan.
“Majlis pelancaran program tersebut akan dirasmikan
oleh Datuk Effendi Norwawi, ADUN Dalat,” sambung
Dr Siti lagi.
73
Aku dengar dengan teliti. Tak tahu dia nak aku bantu
macam mana.
“Tujuan kami datang ni nak minta bantuan cikgu
uruskan persembahan sketsa semasa majlis
pelancaran tersebut,” Dr Siti sampaikan tujuan dia
datang ke sekolah.
“Skripnya dah ada ke?” aku tanya.
“Belum ada skrip lagi. Kami cuma ada bahan-bahan
kempen kesihatan gigi. Cikgu cuba tengok dulu,
mungkin boleh jadi rujukan untuk cikgu tulis skrip,”
katanya lagi sambil jururawat serahkan bahan-bahan
tu kepada aku.
Aku belek risalah berkaitan penjagaan dan rawatan
gigi. Tugas berat menanti. Aku cuba bagi alasan tak ada
pengalaman nak uruskan persembahan macam tu.
Aku cadangkan supaya cuba cari orang lain. Tapi tak
berdaya. Aku sajalah harapan mereka untuk
menjayakan persembahan sketsa tu.
“Kalau cikgu perlukan apa-apa prop atau apa-apa
keperluan bagitahu saja, nanti kami sediakan,” janji Dr
Siti memujuk aku menerima tugasan tu.
“Kalau macam tu saya minta dua tiga hari untuk
sediakan skripnya dulu. Dah siap nanti saya
bentangkan kepada doktor termasuk senarai
keperluan untuk persembahan sketsa tu nanti,” aku
terpaksa setuju jugak walaupun belum ada bayangan
macam mana nak uruskan tugasan yang berat tu.
Petang itu juga aku buat perjumpaan dengan ahli
Kelab Sastera. Jenuh juga kami memerah otak untuk
menjana idea.
74
Akhirnya dapat idea untuk ubahsuai lagu Basikal Tua
dendangan Sudirman Haji Arshad menjadi sketsa
selepas terdengar lagu itu melalui radio.
Di sebelah kanan pentas letak replika gigi yang besar.
Pentas dibuka dengan iringan muzik latar lagu Basikal
Tua.
Pelakon yang memakai pakaian yang dibuat daripada
plastik sampah hitam masuk dari sebelah kiri.
‘Kuman-kuman’ tersebut menyanyi dan menari
gembira melihat ada makanan mereka pada gigi yang
kotor.
Riang hatiku badan bertuah
Punya makanan enak dan mewah
Kami akan selalu bersama
Menemanimu setiap masa …
La la la la la la la la la la ...
Pelakon ‘kuman’ kerumun replika gigi untuk meratah
sisa makanan yang ada pada replika gigi tersebut. Tirai
ditutup.
Bila buka semula masuk seorang kanak-kanak yang
sakit gigi. Ibunya cuba rawat mengikut petua orang
tua-tua dan rawatan traditional tetapi tak baik juga.
Tirai ditutup.
Tirai dibuka semula. Doktor memeriksa dan merawat
gigi pesakit. Kemudian jururawat mengajar cara
menggosok gigi yang betul. Kanak-kanak tersebut
amalkan apa yang dia belajar. Tirai ditutup.
Tirai dibuka. Kuman-kuman masuk dan menyanyi
sambil menari seperti mula-mula. Tetapi kecewa bila
tengok gigi dah bersih. Mereka keluar untuk mencari
mangsa lain. Tirai ditutup.
75
Tirai dibuka. Doktor gigi nasihat penonton supaya jaga
kebersihan gigi.
Persembahan tamat.
Pada hari yang dijanjikan aku bentangkan kertas
cadangan kepada Dr Siti. Dia sangat teruja membaca
skrip yang aku tulis. Dia setuju.
Pengetua bagi kebenaran kepada aku dan ahli Kelab
Sastera yang terpilih sebagai pelakon untuk membuat
latihan di dewan sekolah.
Hari pelancaran Minggu Kesihatan Gigi Daerah Dalat
pun tiba. Aku bersama pelakon dan krew sibuk buat
persiapan akhir di belakang pentas.
Persembahan sketsa berjalan lancar seperti yang
dirancang. Tiba babak akhir. Aku keluar ke tengah
pentas dengan uniform doktor gigi.
“Sayangilah gigi anda. Berus gigi anda setiap hari
selepas makan dan sebelum tidur malam.
Berkumurlah setiap kali selepas makan. Dapatkan
rawatan gigi 6 bulan sekali. Pasti gigi anda bersih dan
sihat!” aku lontarkan dialog penutup.
Semua pelakon dan krew berbaris di pentas tunduk
hormat.
Dewan bergema dengan sorakan penonton. Flash
kamera memancar-mancar. Tapi tak ada satu pun
gambar yang aku dapat.
~ Cerita Nyipen = Sketsa Gigi
76
Cerita Dalat Siri 25: Lau Gaji
Hari itu hari Jumaat, 29 Jun 1990. Pukul 10:00 pagi.
Guru-guru dan kakitangan sekolah beratur panjang di
pejabat.
‘Apa hal mereka beratur ramai-ramai depan pejabat
tu,’ aku tertanya-tanya.
Guru-guru yang keluar dari pejabat nampak senyum
lebar. Yang masih beratur nampak resah gelisah.
Aku terus masuk ke bilik guru. Duduk di sofa
membelek surat khabar Utusan Malaysia. Tarikh surat
khabar Khamis, 28 Jun 1990.
Bukan aku tersalah ambik surat khabar lama. Memang
surat khabar terkini. Surat khabar di Dalat sampai
lewat sehari. Kalau nak baca surat khabar hari ini kena
tunggu esok baru sampai.
Hanya Borneo Post saja sampai pada hari yang sama.
Tapi tak banyak berita dari Semenanjung dalam surat
khabar tempatan.
Cikgu Martina muncul di muka pintu sambil
tersenyum.
“Cikgu Zabidi dah ambil ke?” tanya Cikgu Martina bila
tengok aku releks saja di sofa.
“Ambil apa?” aku tanya.
“Ambil gaji la,” jawab Cikgu Martina.
“Oh, mereka yang beratur panjang tu tunggu giliran
ambil gaji ke,” baru aku tahu tujuan mereka beratur di
pejabat untuk terima gaji.
“Dapat gaji cash ke cikgu,” aku tanya bila nampak
Cikgu Martina sedang mengira wang di meja sebelah.
“Ye cikgu. Senang nak belanja,” jawabnya masih
senyum-senyum saja.
77
“Cikgu pergi la beratur,” sambungnya lagi.
“Eh, saya baru saja kerja, dah dapat gaji ke,” aku tanya
untuk dapatkan kepastian.
“Biasanya sekolah bagi wang pendahuluan untuk
cikgu-cikgu baru. Bila dapat tunggakan gaji nanti tolak
la balik pendahuluan yang cikgu dah ambil,” jelas
Cikgu Martina lagi.
Terus teringat babak penyamun beratur panjang
untuk terima gaji daripada Chief lakonan P.Ramlee
dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
Bila tiba giliran Ibrahim Pendek dia tak puas hati. Dia
hanya dapat 30 dirham berbanding orang lain dapat
150 dirham. Sedangkan dia pangkat Sarjan.
“Kamu berapa banyak ambil I.O.U. daaaa. Tengok, 130
dirham,” kata Chief.
“Aik, potong habis?” tanya Sarjan.
“Potong habis,” jawab Chief.
“Alamakkkk,” Sarjan mengeluh.
Kelakar juga babak tu.
Aku letak surat khabar. Aku pun pergi beratur sama.
Duduk di belakang sekali. Orang dah tak ramai.
“Assalamualaikum cikgu,” aku bagi salam bila masuk
ke bilik Pengetua, Encik Rajaie Jana.
“Waalaikumussalam. Masuklah cikgu,” jawab
Pengetua.
“Yang saya ada ke bos,” aku tanya.
“Bulan ni saya bagi pendahuluan RM500 untuk
belanja. Cukup tak cikgu,” kata Pengetua.
“Alhamdulillah, cukup la tu bos,” jawabku.
“Ok, sain di sini,” kata Pengetua.
Selepas tandatangan dalam borang yang disediakan
aku pun terima wang tunai RM500 daripada Pengetua.
78
Macam babak dari filem Ali Baba Bujang Lapok la
pulak. Tapi aku tak merungut la dapat gaji kurang
daripada orang lain.
Kalau tengok dalam surat tawaran, gaji permulaanku
sebagai guru sandaran terlatih sebanyak RM1110.00.
Pendahuluan yang aku terima hampir 50% daripada
yang sepatutnya aku terima.
Balik dari sekolah aku terus ke pergi ke pasar Dalat.
Aku beli sebuah basikal mini berwarna biru. Harganya
RM230. Boleh bayar tiga kali.
Senang la sikit berulang-alik dari rumah di Kampung
Hilir ke sekolah. Tak penat berjalan kaki lagi.
Alhamdulillah!
Baru-baru ni tengok anak jiran sebelah rumah dah beli
Honda City walaupun baru dua tiga bulan jadi cikgu.
Berbezanya dulu dan sekarang.
Lau Gaji = hari gaji
79
Cerita Dalat Siri 26: Miaw Sikal
Sejak ada basikal, dengan basikal itulah aku berjalan-
jalan. Pergi dan balik sekolah, round pasar, pergi
perpustakaan dan sebagainya.
Pendek kata ada basikal tu ada la Cikgu Zabidi. Ada
Cikgu Zabidi ada la basikalnya. Orang-orang Dalat pun
dah kenal la Cikgu Zabidi dengan basikal mininya.
Suatu petang, selepas solat Asar aku pergi ke sekolah.
Dah janji dengan Cikgu Azman dan Cikgu Halim nak
main sepak takraw. Lawan dengan budak asrama.
Sampai di sekolah aku letak basikal di tepi tangga
dekat pejabat. Aku tak kunci pun. Begitulah
kebiasaannya. Aku fikir takkan ada orang nak ambik.
Orang dah tahu itu basikal cikgu. Takkan ada orang
tergamak nak ambil.
Aku panjat tangga. Masuk ke bilik guru sekejap tengok
kalau-kalau ada surat. Mungkin Chan hantar surat atas
meja selepas aku balik.
Lepas tu terus ke gelanggang sepak takraw. Budak
asrama sedang warm up. Cikgu Halim dan Cikgu
Azman sampai tak lama kemudian.
Itulah antara aktiviti kami pada waktu petang.
Kadang-kadang aku jadi tekong. Kadang-kadang jadi
apit kanan. Jadi jadi apit kiri pun boleh. Tapi aku lebih
kerap jadi apit kanan. Sedap sikit nak lipat. Cikgu
Halim kerap jadi tekong.
Masa main memang seronok. Terutamanya bila dapat
lipat gulung cantik punya. Seronok dengar penonton
bersorak. Lagi bersemangat nak lipat.
Yang tak seronoknya bila bola masuk dalam longkang.
Air longkang di kiri dan kanan gelanggang tu dah la
80
bau masam je. Paip air pulak tak ada dekat situ.
Hentak-hentak bola ke simen lebih kurang je sambung
main semula.
Yang tak sedapnya bila tanduk bola lepas tu, air
longkang bersembur ke muka. Rambut dah sah la
basah kena air longkang. Tapi seronok punya pasal
semua itu tak jadi masalah.
Penonton pun ramai yang tengok. Kononnya pasukan
Sarawak vs Pasukan Semenanjung. Saingan memang
sengit. Kadang-kadang pasukan Sarawak menang.
Kadang kala kami menang. Penonton memang sokong
pasukan Sarawak la sebab semua yang ada di situ
orang Sarawak.
Masa itu slogan Ngap Sayot tengah popular. Main
sepak takraw pun slogan itu digunakan untuk
menaikkan semangat.
Tapi dalam ramai-ramai tu ada juga la sebilangan kecil
yang sokong pasukan Cikgu Semenanjung. Terutama
peminat Cikgu Azman yang berwatak rockers,
peminat Cikgu Halim yang handsome dan peminat
cikgu Zabidi yang digelar Wak Kinto.
Di samping melatih pasukan sepak takraw sekolah
dapat juga mengisi masa lapang dengan aktiviti riadah
yang berfaedah.
Bila dah habis main, biasa la murid yang kena gulung
net dan simpan bola. Cikgu terus gi kantin untuk
hilangkan dahaga dan rehat. Sambil minum bercerita
pasal aksi masing-masing di gelanggang. Semua nak
tunjuk hebat. Tak ada yang mengalah walaupun kalah
dengan budak sekolah.
Dah habis minum aku balik dulu. Ikut laluan biasa,
jambatan kayu belian dari kantin hingga ke pejabat.
81
Aku pun turun tangga dekat pejabat. Tepi tangga tu
kosong. Basikal yang aku letak di situ tadi tak ada lagi
di situ.
Aku cari di tempat letak basikal. Mungkin ada orang
dah alih ke tempat letak basikal dan motor. Tak ada
juga.
Aku cari di kawasan sekitar kalau-kalau ada orang
sorok nak mainkan aku. Tak ada juga. Melilau aku cari.
Tak jumpa.
‘Ada orang pinjam agaknya,’ fikirku.
Aku tunggu la di tangga tu. Harap-harap orang yang
pinjam hantar semula.
Cikgu Azman dan Cikgu Halim sampai di situ. Mereka
hairan tengok aku masih ada di tangga. Mereka sangka
aku dah balik.
“Awat hang dok melengung ni Bidi,” tanya Cikgu
Azman.
“Basikal aku tak dak. Ada orang pinjam kut,” aku
jawab.
“Dah cari ke?” tanya Cikgu Halim pulak.
“Dah merata tempat aku cari, tak jumpa,” kataku.
“Dah tu nak buat lagu mana,” tanya Cikgu Azman lagi.
“Tak pa la, muma balik dulu la. Aku tunggu sat. Kut ada
orang pinjam. Dema hantar basikal tu satgi aku balik
la,” kataku masih berharap.
Mereka pun balik. Tinggal la aku sorang-sorang.
Menanti dalam kesamaran.
Suara azan berkumandang dari surau sekolah. Aku
kenal sangat suara tu. Suara Daud la tu. Merdu
menusuk kalbu.
Aku buat keputusan balik saja. Tak boleh solat di surau
kerana pakaian aku kotor. Kena air longkang masa
82
main tadi. Aku reda basikal aku dah hilang. Salah aku
juga kerana tak kunci.
Aku pun menapak la selangkah demi selangkah.
Walaupun penat main sepak takraw tadi masih terasa,
aku teruskan juga mengatur langkah perlahan-lahan.
Aku tiada pilihan.
Akhirnya sampai juga ke rumah di Kampung Hilir.
Jemaah di surau belakang rumah dah bagi salam.
Mereka dah selesai solat Maghrib.
Aku baru nak mandi. Sedang aku mandi teringat sabda
Nabi kepada seorang pemilik unta, “Ikatlah untamu,
baru kamu bertawakkal.”
Lain kali aku kena kunci dulu basikal. Selepas kunci
baru aku berserah kepada Allah. Kena amalkan konsep
tawakkal yang diajar dalam Islam. Insya-Allah
selamat.
83
Cerita Dalat Siri 27: Sikal Pulik
Cerita basikal aku hilang dah heboh di sekolah. Jumpa
seorang tanya. Aku cerita dari awal hingga akhir.
Datang yang lain tanya lagi. Aku cerita yang sama.
Bila masuk ke kelas cerita basikal hilang juga ditanya.
Aku pun cerita macam tu jugak la.
Maka macam-macam andaian la disuarakan. Ramai
yang berpendapat murid sekolah kami yang ambil
basikal aku. Kemungkinan besar murid sesi petang.
Dua tiga hari berlalu. Kisah basikalku hilang sudah
kurang diperkatakan. Akupun sudah pasrah.
Mula-mula Mala hilang tanpa berita. Lepas tu basikal
pula hilang tak dapat dikesan. Lepas ni tak tahu apa
lagi akan hilang.
Pagi Khamis ketika aku sampai di sekolah nampak dua
orang murid di luar bilik guru. Seolah-olah sedang
menunggu aku.
“Cikgu, kami tahu dah siapa yang ambil basikal cikgu,”
kata Jacob.
“Basikal tu ada lagi ke?” aku tanya tanpa ingin tahu lagi
siapa yang ambil.
“Ada tu ada la, tapi dah terpisah-pisah,” kata Jacob lagi.
“Terpisah macam mana tu?” aku ingin tahu lebih
lanjut.
“Basikal cikgu dah dicerai-ceraikan dan dipasang
semula pada 3 basikal yang berbeza,” jelasnya.
“Alamak, ada harapan dapat balik ke kalau dah jadi
macam tu,” aku tanya lagi.
“Tak apa cikgu. Serahkan pada kami saja. Nanti tahu la
kami nak buat macam mana,” Jacob bagi harapan
padaku.
84
“Nak buat macam mana tu? Jangan belasah dia pulak,
nanti panjang cerita. Susah nak jawab,” risau pulak aku
kalau budak tu kena pukul.
“Jangan risau cikgu. Kami kenal ayah dia. Mesti boleh
setel punya,” Jacob begitu yakin.
“Terima kasih kerana nak tolong dapatkan basikal
saya semula. Tapi saya ingatkan sekali lagi, jangan
belasah budak tu ye,” aku setuju dengan cadangan
Jacob tapi dengan syarat tidak diapa-apakan budak
yang ambil basikal aku kerana dia murid sekolah aku
juga.
Aku berserah saja. Kalau ada rezeki dapat la semula
basikal aku. Kalau dah rezeki budak tu, tak apa la. Aku
dapat gaji nanti boleh beli basikal lain. Tapi kena hati-
hati. Jangan lupa kunci.
Petang itu aku berehat di beranda rumah. Ambil angin
petang sambil membaca novel Senjakala.
Kemudian nampak seseorang datang dengan
motosikal berhenti di depan rumah. Daripada
pakaiannya yang kemas nampak seperti kakitangan
kerajaan.
Dia masuk ke rumah aku. Bobby yang lepak di depan
tangga mula menyalak. Lelaki itu berhenti. Aku turun
dan halau anjing tu.
Selepas bersalam aku ajak dia naik ke rumah. Dia kata
tak apa la. Sembang di luar saja.
“Cikgu ke yang hilang basikal?” dia tanya untuk
dapatkan kepastian.
“Ye, betul,” jawabku.
“Tadi ada murid cikgu datang jumpa saya. Dia bagitahu
anak saya ambil basikal cikgu,” dia mulakan cerita.
“Dia ada buat apa-apa kat anak encik ke?” aku tanya.
85
“Tak ada. Saya yang bagi penampar. Dia mengaku
ambil basikal di sekolah hari tu. Dia tak tahu itu basikal
cikgu,” katanya lagi.
“Saya minta maaf la, anak saya dah susahkan cikgu,”
sambungnya.
“Sekarang saya nak bincang dengan cikgu, nak setel
macam mana. Kalau boleh kita setel baik-baik la,”
katanya lagi.
“Kalau dah betul itu basikal saya, bagi balik saja la. Tak
payah dipanjang-panjangkan lagi,” aku bagi cadangan
balas.
“Bagus la kalau macam tu. Tapi kena ambil masa sikit.
Nanti dia buka semula bahagian-bahagian yang sudah
dipasang pada basikal lain dan pasang semula pada
basikal cikgu. Dah siap nanti saya sendiri hantar
kepada cikgu,” dia bagi jaminan untuk mengembalikan
basikal aku.
Harapan untuk dapatkan kembali basikal aku kian
cerah. Tetapi selagi basikal itu tidak ada di hadapan
mata, aku tidak letakkan harapan terlalu tinggi.
Mana tahu, bila dia bawa esok tidak sama dengan
basikal aku. Mungkin basikal orang lain. Tunggu saja
esok.
Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Sebuah kereta
berhenti di hadapan tangga. Pemandunya keluar.
“Mari tengok cikgu,” dia panggil aku.
Dia buka bonet. Ada sebuah basikal di dalamnya.
“Alhamdulillah. Nampak macam basikal saya,” kataku
sambil senyum.
“Cuba cikgu bawak, ok tak,” dia minta aku mencuba.
Aku pun kayuh di kawasan sekitar.
86
“Ok la, boleh la ni,” kataku walaupun kurang selesa
seperti mula-mula aku beli.
Ada beberapa komponen yang sudah ditukar. Tapi
malas la aku nak berkira sangat. Dah dapat semula tu
pun aku bersyukur sangat. Tak payah beli lain.
Sebelum beredar dia minta maaf sekali lagi atas
kenakalan anaknya. Tapi aku tertanya-tanya juga.
Mengapa tidak anaknya sendiri datang hantar dan
minta maaf padaku.
Sampai kini aku tidak tahu siapa yang ambil basikal
aku.
~ Sikal Pulik = Basikal Kembali
87
Cerita Dalat Siri 28: Belawan Pidato
Aku masuk ke bilik guru selepas jamuan akhir tahun
berakhir. Aku tengok papan kenyataan sekejap kalau
ada apa-apa maklumat penting.
Ada hebahan aktiviti Minggu Bahasa sempena
Gerakan Cintailah Bahasa Kita anjuran Kerajaan
Negeri Sarawak.
‘Haaa … ada pertandingan pidato,’ aku jerit dalam hati,
teruja.
Terus saja terlintas kenangan ketika sertai
pertandingan pidato di kampungku dulu. Akulah wakil
tetap Kampung Anak Kurau dalam pertandingan
pidato antara kampung.
Aku juga pernah wakili mukim Batu Kurau bertanding
di peringkat daerah Larut Matang dan Selama. Itulah
salah satu cara mereka melatih pemimpin pelapis
muda.
Tarikh pertandingan 30 November 1990. Waktu cuti
sekolah. Aku dah buat keputusan tak balik ke
Semenanjung masa cuti hujung tahun.
‘Elok juga sertai pertandingan ni. Boleh lepas gian. Dah
lama tak masuk pertandingan,’ fikirku.
Aku pun isi borang penyertaan dan hantar. Tajuk yang
aku pilih ‘Bahasa Kebangsaan Jambatan Perpaduan’.
Hari itu juga aku cari bahan untuk menulis teks pidato.
Mula-mula cari di perpustakaan sekolah. Petang itu
cari di perpustakaan awam pula.
(Waktu itu tak ada istilah google lagi. Semua maklumat
kena cari secara manual. Cari dalam buku, majalah,
surat khabar dan risalah. Sekarang semua maklumat
di hujung jari. Taip saja kata kunci maklumat yang
88
hendak dicari berderet-deret maklumat keluar depan
mata. Teks pidato yang lengkap pun banyak. Pilih saja
mana yang berkenan. Tak payah nak karang dah.)
Maklumat yang aku dapat aku salin dalam buku nota.
Bila isi dah cukup aku pun mula mengarang.
Pengalaman lalu banyak membantu. Sehelai kertas A4
aku bahagi kepada 4 bahagian. Aku guna 2 helai kertas
A4 untuk dapatkan 8 keping Q-card.
Satu keping untuk tulis pendahuluan. Enam keping
untuk tulis enam isi dan sekeping lagi untuk tulis
penutup.
Daripada enam isi yang aku tulis, aku pilih 4 isi yang
terbaik
untuk disampaikan dalam pidato nanti.
Dua isi yang tak terpilih aku ubahsuai semula dan
selitkan dalam isi-isi lain yang berkaitan.
Untuk bahagian pendahuluan dan penutup aku
hadkan teks supaya dapat disampaikan dalam masa
satu minit. Teks bahagian isi antara 1 minit 30 saat
hingga 2 minit. Keseluruhan teks pidato mesti
memakan masa penyampaian tidak lebih daripada 10
minit.
Apabila teks sudah siap akupun mula berlatih
sampaikan teks pidato itu secara lisan untuk dapatkan
anggaran masa. Seperti dijangka, draf pertama
memakan masa yang lama.
Aku edit semula teks pidato supaya lebih ringkas dan
padat tetapi masih mengekalkan ungkapan-ungkapan
yang boleh menarik perhatian pendengar. Terutama
ungkapan yang merangsang pendengar bertepuk
tangan di akhir kalimat diucapkan.
89
Aku berlatih lagi. Kemudian ubahsuai semula teks
pidato berulang kali sehingga aku betul-betul puas
hati dan menepati masa 10 minit yang diperuntukkan.
Selepas selesai menyediakan teks, aku fokus pula
kepada latihan penyampaian.
Pemidato yang paling aku minati tidak lain dan tidak
bukan, Anwar Ibrahim. Maka gaya penyampaian aku
pun tidak lari daripada gaya penyampaiannya.
Terutama apabila melontarkan perkataan yang
berakhir dengar huruf R. Sengaja digetarkan bunyi R
lebih panjang.
Istilah-istilah baru yang beliau popularkan juga aku
gunakan dalam pidatoku. Pendek kata sebahagian
besar pidato aku ada pengaruh Anwar Ibrahim.
Dari pemilihan kata, lantunan suara, gaya
penyampaian hinggalah penampilan aku cuba ikut
idolaku itu.
Oleh kerana waktu itu musim cuti sekolah, aku ada
banyak masa untuk buat latihan. Mula-mula berlatih
dengan teks penuh di tangan. Bila dah ingat sikit aku
berlatih dengan memegang Q-card yang tertulis isi-isi
utama saja.
Akhirnya aku berlatih tanpa teks di depan cermin. Kali
ini aku tumpukan kepada bahasa badan (body
language) pula. Setiap kali selepas latihan pidato aku
buat refleksi dan buat penambahbaikan hinggalah aku
puas hati.
Pertandingan akan diadakan di dewan SMK Dalat,
sekolah aku. Sebagai persediaan akhir aku buat latihan
pidato di dewan tersebut. Walaupun sebelum itu aku
dah biasa bercakap di atas pentas semasa
90
perhimpunan, tetapi suasana pertandingan adalah
berbeza.
Aku kena buat persediaan dari aspek penguasaan
pentas juga supaya penampilan dan penyampaian aku
nanti tidak kekok, nampak bersahaja dan berkesan.
‘Hari ni rehat sajalah, tenangkan fikiran. Refresh
kembali tenaga dalaman supaya esok dapat berjuang
dengan penuh semangat,’ aku praktikkan semula
strategi yang pernah aku amalkan sebelum ini.
Hari itu aku lepak semula di tepi sungai dekat rumah
Mala. Dengar air berkocak dan kicauan burung sambil
hirup udara nyaman. Hati jadi tenang. Fikiran jadi
lapang.
‘Kalaulah Mala ada … ,’ hatiku berbisik nakal.
‘Ahhh … lupakan dulu pasal dia. Fokus pada
pertandingan pidato dulu,’ sergah mindaku melawan
hasutan perasaan.
‘Aku sudah bertungkus-lumus membuat persediaan
rapi. Aku mesti menang pertandingan ini,’ aku
bermonolog penuh semangat.
Aku ambil seketul batu. Aku genggam erat. Aku lempar
jauh-jauh di tengah sungai.
Seolah-olah melempar jauh rasa gemuruh dan takut
daripada membelenggu diriku.
~ Belawan Pidato = Pertandingan Pidato
91
Cerita Dalat Siri 29: Masuk Radio
“Minum milo panas sebelum tidur,” pesan Prof Di Raja
Ungku Aziz.
Petua itu beliau bagi kepada mahasiswa baru untuk
meningkatkan kesegaran dan kecergasan minda pada
waktu pagi.
Itulah petua yang aku amalkan ketika menuntut di
Univiversiti Malaya dulu.
Aku amalkan petua yang sama bagi menyertai
pertandingan pidato.
Aku bersiap awal-awal lagi supaya tidak tergopoh-
gapah pada saat akhir.
Ketika sampai di sekolah belum ada sesiapa di dewan.
Baru pukul 8:00 pagi. Aku masuk ke bilik guru untuk
membuat persediaan akhir.
Mengikut jadual, peserta kena melaporkan diri pada
pukul 8:30 pagi. Pertandingan akan dimulakan pada
pukul 9:00 pagi.
Tepat pukul 8:30 pagi aku masuk ke dewan. Hanya
beberapa orang yang ada di situ. Aku terus ke meja
pendaftaran untuk melaporkan diri sebagai peserta.
Dalam senarai ada 15 orang peserta. Yang sudah hadir
ada 4 orang.
Selepas itu seorang demi seorang peserta datang. Bila
sudah cukup, undian giliran pun dibuat. Aku buka
kertas undian perlahan-lahan. Nombor 2.
‘Alhamdulillah,’ aku memang berharap dapat giliran
awal.
Penonton makin ramai memenuhi dewan. Hakim
sudah mengambil tempat di depan dewan. Juruacara
92
bersedia untuk mulakan pertandingan. Dadaku mula
berdebar-debar.
Peserta pertama dipanggil untuk menyampaikan
pidatonya. Aku bersedia untuk menyampaikan pidato
selepas itu.
Aku keluarkan Q-card dari poket. Baca dan hafal kali
terakhir sebelum naik ke pentas. Aku tak bagi
tumpuan pada pidato yang disampaikan oleh peserta
pertama.
Namaku dipanggil. Sambil melangkah naik ke pentas
aku baca doa untuk mendapatkan ketenangan dan
kelancaran.
Aku berdiri di tengah pentas. Rapatkan mulut dengan
mikrofon. Tarik nafas dalam-dalam dan hembus
perlahan-lahan. Aku pandang ke arah hakim dan
penonton. Sambil tersenyum aku mulakan pidato.
Sepatah demi sepatah aku lontarkan kata-kata. Naik
turun nada suara mengikut kesesuaian isi. Bila
kulontarkan kata-kata jenaka disambut dengan gelak
ketawa. Bila kulantunkan kata-kata penuh semangat
disambut dengan tepukan gemuruh.
Loceng pertama dibunyikan. Tinggal lagi seminit. Aku
terus ke bahagian penutup.
Alhamdulillah. Lega!!! Tak payah fikir dah pasal
pidato. Aku boleh tengok peserta lain sampaikan
pidato pulak.
Seorang demi seorang naik turun pentas
menyampaikan pidato masing-masing. Setiap peserta
ada kekuatan dan kelemahan sendiri. Terserah pada
hakim tentukan siapa pemenang.
93
Daripada penilaian sendiri, aku fikir kalau dapat
nombor 3 pun dah bernasib baik. Ada dua tiga peserta
yang
hebat
. Saingan amat sengit.
Masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Dada berdebar
semula. Keputusan diumumkan.
Pemenang tempat ketiga diumumkan. Bukan nama
aku.
‘Dapat nombor 2 pun bagus juga,’ fikirku masih
mengharap.
Naib johan pula diumumkan. Nama orang lain juga.
Aku tidak menaruh harapan lagi. Aku bersiap-siap nak
balik. Dapat pengalaman berpidato pun ok dah. Dapat
juga sijil penyertaan.
“Johan Pertandingan Pidato Antara Daerah di
Bahagian Sibu, sempena Minggu Bahasa tahun 1990
jatuh kepada … MOHD ZABIDI BIN NORDIN, dari SMK
Dalat,” umum juruacara. Para penonton sambut
dengan tepukan bergemuruh.
‘Alhamdulillah!!! Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah
kerana mengizinkan aku menang,’ bisik hatiku sambil
menahan air mata gembira daripada tumpah ke pipi.
“Johan pertandingan ini diminta bersedia untuk
menyampaikan pidato semasa majlis perasmian
penutup dan penyampaian hadiah di Dewan
Masyarakat petang nanti,” sambung juruacara lagi.
Aku fikir dah habis pidato tadi selesai sudah tugasan
aku. Rupa-rupanya kena berpidato lagi petang nanti.
Aku jumpa urus setia untuk mendapatkan maklumat
lanjut. Pukul berapa kena ada di sana. Nak duduk di
94
mana. Kena tahu juga siapa tetamu kehormat yang
hadir supaya dapat disebut namanya dengan betul.
Selepas makan aku ubahsuai semula teks pidato.
Terutamanya bahagian pendahuluan. Tiada lagi hakim
yang akan mengadili pertandingan.
Kali ini tiada lagi debaran. Tiada lagi gemuruh. Tiada
lagi had masa. Aku sampaikan pidato dengan tenang
dan bersahaja. Aku selitkan juga isu-isu politik semasa
kerana di depan aku ramai pemimpin dan ahli politik.
“Minggu Bahasa yang kerajaan anjurkan hari ini
sangat baik. Daripada program seperti ini,
persefahaman dan perpaduan antara kita yang
berbilang bangsa bertambah kukuh. Oleh itu, sama-
samalah kita bagi sokongan padu kepada kerajaan
kita,” kataku menutup bicara.
Semua yang ada dalam dewan tepuk tangan dengan
bergemuruh.
Ketika majlis penyampaian hadiah, aku naik ke pentas
sekali lagi. Hadiah wang tunai dan sijil disampaikan
oleh YB Awang Tengah bin Ali Hassan, Menteri Muda
Perancangan Sumber, Sarawak. (Sekarang dah jadi
Timbalan Ketua Menteri Sarawak).
Sebaik sahaja aku turun dari pentas selepas menerima
hadiah, wartawan RTM hampiri aku. Dia temuramah
tentang persediaan yang aku lakukan untuk
memenangi pertandingan pidato hari itu. Dia juga
tanya pengalaman aku berkhidmat di Dalat dan
hubungan aku dengan masyarakat tempatan.
Akupun ceritalah serba sedikit pengalaman yang aku
lalui. Cuma pengalaman dengan Mala saja aku tak
cerita …
95
Petang itu aku tak ke mana-mana. Hanya tunggu
depan radio.
Selepas sekian lama menunggu, akhirnya suara aku
ditemuramah pun tersiar juga di radio petang itu.
Petikan pidato yang aku sampaikan dengan penuh
semangat juga kedengaran.
Aku makin dikenali ramai. Ke mana-mana aku pergi
ada saja orang yang menyapa. Alhamdulillah!!!
96
Cerita Dalat Siri 30: Makau Makau Gak Sibau
Sebelum balik, aku hantar buku rekod mengajar ke
pejabat. Begitulah rutin setiap minggu. Hari Jumaat
kena hantar untuk disemak oleh Pengetua atau
Penolong Kanan. Hari Isnin ambil semula untuk
mengajar.
“Cikgu Zabidi, tunggu sekejap, ada surat.,” laung Chan
dari tepi mesin cetak.
Dia siapkan dulu kerjanya mencetak. Selepas itu baru
dia ambil surat dan serahkan kepada aku.
Selepas ucapkan terima kasih kepadanya akupun
beredar dari pejabat. Sambil berjalan aku baca surat.
‘TEMUDUGA JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN
PENDIDIKAN SISWAZAH (A19) TETAP,’ itulah yang
tertera pada tajuk surat.
‘Alhamdulillah,’ aku bersyukur.
Selepas enam bulan berkhidmat sebagai guru
sandaran, aku dijemput untuk menghadiri temuduga.
Kalau lulus temuduga aku akan dilantik ke jawatan
tetap.
Tarikh temuduga 21.12.1990 di Pejabat Pendidikan
Bahagian, Sibu, pukul 8:30 pagi.
Ada masa seminggu untuk aku buat persediaan.
Petang itu aku ke sekolah semula. Aku dapatkan
nasihat dan tunjuk ajar daripada Pengetua.
“Cikgu kena lengkapkan diri dengan pengetahuan asas
dalam dua aspek. Pertama, pengetahuan ikhtisas dan
kedua pengetahuan am,” kata Encik Rajaiee Jana,
Pengetua SMK Dalat ketika itu.
“Pengetahuan ikhtisas tu macam mana cikgu,” aku
minta penjelasan beliau.
97
“Cikgu baca la Falsafah Pendidikan Negara, Etika
Perguruan, kaedah mengajar, kokurikulum, Perintah
Am dan sebagainya yang berkaitan dengan tugas cikgu
sebagai guru dan pegawai kerajaan,” terkedu aku
dengar penjelasan Pengetua.
Banyaknya perkara nak kena baca. Kalau baca pun
belum tentu boleh ingat ketika ditemuduga nanti.
Dalam keadaan darah gemuruh semuanya lupa.
“Bahagian pengetahuan am pula bagaimana cikgu,”
aku tanya lagi.
“Bahagian ni senang sikit la. Ia berkaitan hal ehwal
semasa yang sepatutnya diketahui umum. Contohnya
struktur organisasi kerajaan, dasar-dasar kerajaan,
sejarah dan geografi negara serta berita-berita
penting yang disiarkan dalam media massa,” terang
dan jelas sekali penerangannya.
“Struktur organisasi kerajaan tu macam nama
Perdana Menteri dan Menteri ke,” aku tanya lebih
lanjut.
“Cikgu ingat yang penting dan berkaitan cukup la. Tak
payah nak hafal semua. PM, TPM, Menteri Pendidikan,
KPPM dan beberapa menteri lain yang selalu keluar
dalam media cukup la. Cikgu cari la juga nama
pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Sarawak seperti
Ketua Menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan menteri yang
berasal dari negeri ini,” panjang lebar Pengetua bagi
tunjuk ajar.
“Terima kasih cikgu kerana bagi panduan. Insya-Allah
saya cuba buat persediaan sebaik mungkin,” kataku
kepada Pengetua bagi mengakhiri perbualan.
“Semoga berjaya cikgu,” balasnya.
98
Selepas keluar dari pejabat aku terus ke Perpustakaan
Awam. Aku bawa buku nota. Aku mula cari maklumat
penting yang disebutkan oleh Pengetua.
Aku tulis dulu tajuk besar di tengah-tengah halaman
pertama, PENGETAHUAN AM. Pada halaman
berikutnya aku tulis tajuk kecil di baris pertama. Satu
muka surat satu tajuk kecil.
Apabila jumpa maklumat aku tulis di bawah tajuk kecil
yang berkaitan.
Habis bahagian Pengetahuan Am, aku fokus bahagian
Pengetahuan Ikhtisas pula.
Begitulah kerja aku setiap hari selama seminggu.
Mencari maklumat dan tulis dalam buku nota. Waktu
malam baca semula nota tersebut.
Pagi hari Khamis 20.12.1990 aku dah bertolak ke Sibu
dengan bot ekspress. Perkhidmatan bot hanya ada
ketika air pasang. Aku tak boleh terlepas jadual
perjalanan bot.
Sampai di Sibu aku menginap di Hotel Tanahmas.
Selepas makan dan berehat, petang itu aku naik teksi
ke Pejabat Pendidikan Bahagian.
Lebih kurang 15 minit perjalanan sampailah di pejabat
tersebut. Teksi berhenti di depan pejabat.
Aku tengok-tengok pejabat tu dan kawasan
sekitarnya.
“Dah sampai Encik,” kata pemandu teksi.
“Boleh bawa saya balik ke hotel tadi,” kataku
kepadanya.
Pemandu teksi itu terkejut.
“Tadi encik cakap nak mari sini,” katanya masih keliru.
99