“Ye, saya nak tengok di mana letaknya pejabat ni. Esok
ada temuduga. Sekarang sudah tahu. Kita balik ke
hotel semula la,” aku jelaskan kepadanya.
Tanpa bercakap banyak dia pun terus memandu balik
ke hotel.
“Encik baru datang sini ke?” dia tanya.
“Ye,” jawabku ringkas.
“Apa pasal mau balik hotel cepat-cepat. Encik jalan-
jalan dulu la tengok bandar Sibu,” dia bagi cadangan.
“Ada tempat menarik ke?” aku tanya semula.
“Apa kata saya turunkan encik di Sibu Esplanade. Di
sana ada ramai orang lepak. Di kawasan sekitar taman
tu ada banyak kedai. Encik boleh duduk sana rehat-
rehat atau shopping,” bagus juga cadangannya.
Baru aku terfikir sesuatu. Mana tahu tengah lepak-
lepak di situ Mala lalu. Boleh lepaskan rindu.
“Ok, turunkan saya di situ,” aku terus setuju.
“Nanti macam mana nak balik ke hotel,” aku tanya
selepas bayar tambang.
“Encik jalan kaki saja. Tak jauh dari sini. Encik tengok
atas sana ada tulis Hotel Tanahmas. Encik ikut saja
arah hotel tu,” dia bagi panduan sambil tunjuk arah
hotel tempat aku menginap. Baru aku perasan.
Aku pun berjalan-jalan di taman tu seperti rusa masuk
kampung. Tercangak-cangak. Tak tahu arah tujuan.
Akhirnya aku duduk di kerusi batu tengok orang lalu-
lalang.
Dalam hati berharap salah seorang yang lalu-lalang itu
Mala …
~ Makau-makau Gak Sibau = Jalan-jalan di Sibu
100
Kik Ninyang Kik Tenemu
Menjelang senja aku balik ke hotel. Bila nampak
Premier Supermarket berhampiran hotel tu baru
teringat nak beli clear holder. Sijil-sijil dan dokumen
belum disusun lagi.
Aku terus ke supermarket. Aku jumpa jurujual dan
tanya di mana rak clear holder. Kalau nak cari sendiri
lambat jumpa. Aku perlu cepat.
Aku pun pilih yang sesuai dan terus ke kaunter untuk
bayar. Ketika sedang beratur ternampak seseorang.
‘Nampak macam kenal. Tapi macam mana dia ada di
sini?’ aku tertanya-tanya.
Aku perhatikan saja dari jauh. Aku perlu pastikan
betul atau tidak orang itu. Atau pelanduk dua serupa.
Tiba giliran aku di kaunter. Aku pun bayar dan segera
beredar kerana nak jumpa orang yang baru aku
nampak tadi.
Bila aku paling dia dah tak ada di tempat tadi. Aku
cari di kawasan sekitar. Tak ada.
‘Mungkin dia naik ke tingkat atas,’ aku mengagak bila
tak jumpa di tingkat itu.
Lagi dua tiga anak tangga nak sampai di tingkat atas
dia muncul di depan tangga.
Dia dah nak turun. Aku tengok dia. Dia tengok aku.
Kedua-dua tergamam.
“Ni, Zul kan,” aku tegur dulu nak pastikan betul atau
salah orang.
“Eh! Kadir, mu buat apa di sini,” bila dia sebut Kadir
aku yakin betullah jangkaan aku. Hanya orang
kampung aku panggil nama itu.
101
“Aku ada temuduga esok di Pejabat Pendidikan. Mu
buat apa pulak di sini?” aku pun ingin tahu macam
mana kawan lama di kampung boleh ada di Sibu.
“Aku kerja di Kem Sri Rejang, jadi askar. Mu jadi cikgu
di mana?” makin rancak kami berbual.
“Aku mengajar di Dalat,” jawabku.
“Jom la kita gi Open Air Bulatan. Boleh makan sambil
sembang,” dia ajak aku pergi makan.
Aku ikut saja. Baru pertama kali dengar nama tu. Tak
tau di mana.
Sampai saja di bawah dia menuju ke gerai-gerai
makanan di tepi Hotel Premier dan duduk di meja
yang kosong. Baru aku tahu tempat tu dipanggil Open
Air Bulatan.
Kami pun bersembang panjang lebar sebab sudah
lama tak jumpa. Sejak habis sekolah menengah itulah
kali pertama jumpa.
Seronok juga dengar dia cerita pengalaman bertugas
sebagai askar di kawasan pedalaman. Macam-macam
cabaran dihadapi ketika menjalankan operasi di
hutan. Lebih mencabar daripada kerja cikgu macam
aku.
Malam itu solat jamak takhir. Selepas solat aku susun
sijil-sijil dan dokumen dalam clear holder baru. Aku
susun mengikut urutan yang disenaraikan dalam
surat panggilan temuduga.
Selepas itu gantung baju, seluar dan tali leher yang
siap digosok di satu tempat dalam almari. Lepas
mandi pagi esok senang, capai terus pakai. Tak payah
nak fikir lagi.
Aku ulang kaji sekejap nota-nota yang aku tulis.
Kemudian tidur.
102
Ketika sampai di bilik temuduga baru ada dua orang
menunggu. Aku antara yang terawal.
Memang begitu amalanku sejak dulu. Bersiap awal.
Datang awal. Dapatkan giliran awal. Kalau hadiri apa-
apa majlis di dewan, aku akan pilih kerusi di barisan
hadapan.
Tiba giliranku ditemuduga. Namaku dipanggil masuk
ke bilik temuduga. Ada tiga orang pegawai. Ketiga-
tiganya segak dengan sut hitam.
Pegawai pertama banyak tanya tentang geografi
fizikal kawasan aku ditempatkan dan bagaimana aku
menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta
hubungan dengan masyarakat tempatan.
Pegawai kedua lebih fokus kepada pengetahuan
ikhtisas. Apa subjek yang aku ajar. Bagaimana aku
mengajar. Sejauh mana impak yang dapat dilihat
daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
aku jalankan.
Kemudian kaitkan pula dengan objektif mata
pelajaran dan Falsafah Pendidikan Negara. Fuhhhh!!!
Berpeluh juga la nak huraikan satu per satu.
Pegawai ketiga pula tanya tentang pengetahuan am.
Dalam banyak-banyak soalan yang dia tanya ada satu
soalan yang paling aku suka.
“Pada minggu ini ada satu laporan berita yang agak
menggemparkan di ibu negara. Boleh Cikgu ceritakan
tentang peristiwa tersebut,” begitu bunyinya soalan
yang dia bagi.
“Dalam akhbar yang saya baca ada banyak peristiwa
yang dilaporkan. Tetapi yang paling menarik
perhatian saya ialah berita sebuah pesawat ringan
103
yang membuat pendaratan cemas di lebuh raya,”
jawabku dengan lancar.
“Bilakah kejadian itu berlaku dan bagaimanakah
keadaan pilot serta penumpang pesawat tersebut,”
dia menguji pengetahuan am aku lagi.
Akupun ceritakan sebagaimana yang tertulis dalam
surat khabar yang aku baca.
“Bagaimana Cikgu dapat gunakan bahan berita
seperti ini ketika mengajar dalam kelas,” soalan
kemahiran berfikir aras tinggi dilontarkan.
“Saya pernah gunakan surat khabar lama untuk
jalankan aktiviti ADD, iaitu Akhbar Dalam Darjah
untuk mengajar Bahasa Melayu. Saya minta murid
cari sebuah berita yang menarik dalam surat khabar.
Kemudian tampal keratan akhbar tersebut dalam
buku untuk dijadikan contoh karangan berformat
berita. Selepas itu murid diminta menulis sebuah
karangan berformat berita berdasarkan peristiwa
yang berlaku di sekolah atau di kawasan tempat
tinggal mereka,” aku terangkan dengan teratur dan
menampakkan keyakinan.
Ketiga-tiga panel penemuduga mengangguk dan
senyum. Nampak mereka puas hati dengan jawapan
yang aku berikan.
Temuduga berakhir. Aku keluar dengan perasaan
lega. Senyuman tak lekang dari raut wajah ketika
melihat guru-guru lain yang stress menunggu giliran.
‘Alhamdulillah! Aku bersyukur kerana
dipermudahkan urusan temuduga hari ini,’ bisik
hatiku.
104
Aku belikan tali leher merah untuk aku hadiahkan
kepada Pengetua sebagai tanda penghargaan dan
terima kasih.
Atas bimbingan dan tunjuk ajar beliau aku dapat buat
persediaan
terbaik
hingga dapat hadapi temuduga tanpa banyak
masalah.
Mudah-mudahan aku berjaya dalam temuduga ini.
Aamiin!!!
~ Kik Ninyang Kik Tenemu = Lain Dicari Lain Yang
Jumpa
105
Bak Pulik? Bak Test?
“Ini ada satu surat siaran berkaitan Peperiksaan Am
Kerajaan. Guru-guru yang layak boleh dapatkan
borang di pejabat untuk mendaftar bagi menduduki
peperiksaan tersebut. Peperiksaan ini penting kerana
ia merupakan salah satu syarat untuk disahkan dalam
jawatan,” umum Pengetua dalam agenda hal-hal lain
mesyuarat guru hari itu.
“Bila peperiksaan itu akan dijalankan?” aku tanya.
“Peperiksaan Am Kerajaan diadakan dua kali setahun.
Kali pertama pada pertengahan tahun. Kali kedua
pada hujung tahun. Kebiasaannya diadakan pada
waktu cuti kerana sekolah jadi pusat peperiksaan
tersebut,” jelas Pengetua.
Aku dalam dilema. Cuti akhir tahun lepas aku dah tak
balik semenanjung. Kalau ambil periksa tak boleh
balik juga la cuti pertengahan tahun ini.
Kawan-kawan dari semenanjung dah mula booking
tiket kapal terbang untuk balik bercuti di kampung.
Cuti akhir tahun lepas dah balik. Cuti pertengahan
tahun pun nak balik lagi.
“Dok pikir apa Bidi. Balik kampung la. Hang surat
lantikan pun tak dapat lagi. Nak ambik periksa buat
apa. Banyak masa lagi,” kata sorang kawan.
‘Ya tak ya jugak. Baru temuduga bulan 12 lepas. Tak
tau lagi lulus ke tidak,’ aku termakan juga hujahnya.
Ketika keluar dari bilik mesyuarat aku berjalan
beriringan dengan Pengetua. Aku tanya pendapat
beliau secara peribadi pula.
“Cikgu, saya layak ke tak layak daftar untuk ambil
Peperiksaan Am Kerajaan?” aku tanya sambil berjalan.
106
“Cikgu cuba la daftar sebab cikgu dah pergi temuduga.
Kalau dapat cikgu ambil periksa. Kalau tak dapat,
daftar untuk periksa hujung tahun pulak. Tak salah
mencuba,” kata Pengetua.
“Salah tu memang tak salah. Tapi kawan-kawan dah
booking tiket. Kalau tak dapat periksa kali ni dua-dua
terlepas. Periksa tak dapat, balik kampung pun tak
dapat. Hujung tahun kena duduk sini jugak untuk
ambil periksa,” aku bagi alasan.
“Rasanya tak lama lagi keluar la Surat Tawaran
Jawatan. Sekarang dah bulan 3. Biasanya tarikh
lantikan dibuat back-dated. Kalau betul jangkaan saya
cikgu dah layak ambil periksa,” jawabnya sambil
jemput aku masuk ke pejabat.
“Apa kelebihan kalau ambil periksa awal,” banyak
pulak soalan aku padanya.
“Selepas dapat surat lantikan, cikgu diberi tempoh
percubaan antara 1 hingga 3 tahun sebelum disahkan
dalam jawatan. Kalau cikgu lulus periksa cepat,
selepas setahun dari tarikh lantikan cikgu dah boleh
disahkan dalam jawatan. Tak payah tunggu hingga 3
tahun. Bila sudah disahkan dalam jawatan peluang
cikgu untuk naik pangkat cepat sikit,” dia terangkan
rasional ambil periksa awal.
Aku puas hati. Aku buat keputusan untuk korbankan
cadangan nak balik kampung. Biar selesai urusan
pelantikan dulu.
Akupun isi borang untuk mendaftar sebagai calon
Peperiksaan Am Kerajaan.
Bulan April aku terima slip calon dari Lembaga
Peperiksaan Perkhidmatan Awam.
107
Tarikh peperiksaan dijadualkan pada 21 dan 22 Mei
1991. Ada dua kertas yang perlu dijawab.
Kertas 1: Latar Belakang Masyarakat, Ekonomi dan
Sistem Pentadbiran Malaysia pada 21.5.1991, pukul
9:30 hingga 12:50 tengah hari.
Kertas 2: Jentera Pentadbiran Kerajaan pada
22.5.1991, pukul 9:30 hingga 12:50 tengah hari.
Pusat peperiksaan di SMK Dalat, sekolah aku
mengajar. Senang banyak la.
Bila dah dapat slip peperiksaan, sekali lagi aku jumpa
Pengetua. Bimbingan dan tunjuk ajarnya semasa
hadiri temuduga sangat membantu. Kali inipun aku
bergantung harap kepadanya untuk memberikan
bimbingan dan tunjuk ajar.
Hari peperiksaan pun tiba. Dalam masa tiga jam lebih
kena jawab tiga soalan. Setiap soalan kena jawab
dalam bentuk esei. Berpeluh-peluh juga la nak jawab.
Jari-jemari pun lenguh menulis tak henti-henti.
Selesai jawab kertas 1 hari tu. Ketika lalu depan
pejabat Chan panggil.
“Cikgu Zabidi, ada surat,” katanya seolah-olah sedang
menunggu aku.
Aku pun masuk ke pejabat.
“Tahniah Cikgu,” katanya sambil hulurkan surat
kepadaku.
“Terima kasih Chan,” aku balas ucapan tahniahnya.
“SURAT TAWARAN JAWATAN,” tertera pada tajuk
surat.
“Saya diarah menawarkan kepada tuan/puan jawatan
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah A19 di
bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan gaji
$1170.00 (masa tu belum guna simbol RM lagi).
108
‘Alhamdulillah!!!’ Aku menadah tangan dan bersyukur
kepada Allah kerana dipermudahkan urusan
pelantikan aku sebagai guru. Aku ditawarkan jawatan
tetap dan berpencen.
Betul seperti jangkaan Pengetua. Tarikh lantikan
dikebelakangkan mulai 1.9.1990. Kalau aku lulus
Peperiksaan Am Kerajaan aku layak untuk disahkan
dalam jawatan tahun itu juga.
Semangatku untuk lulus makin berkobar-kobar.
‘Esok ada 1 kertas lagi yang perlu dijawab. Aku mesti
buat ulang kaji dan latihan supaya lulus peperiksaan
ini,’ kata aku kepada diri sendiri bagi menyuntik
motivasi.
Tanpa membuang masa petang itu aku terus membaca
buku dan membuat latih tubi menjawab soalan
ramalan seperti yang dicadangkan oleh Pengetua.
Bulan 9 aku terima surat dari Lembaga Peperiksaan
Perkhidmatan Awam. Aku dah boleh jangka apa
kandungannya. Cuma tak boleh agak keputusannya.
Aku buka surat dengan cermat. Aku keluarkan isinya.
Aku terus ke kolum KEPUTUSAN.
Kertas 1 LULUS. Kertas 2 LULUS.
‘Alhamdulillah!!!’ Aku bersyukur kepada Allah kerana
permudahkan urusanku. Sekali ambil peperiksaan
saja dah lulus kedua-dua kertas.
Dipendekkan cerita, aku disahkan dalam jawatan
genap setahun kemudian iaitu pada 1.9.1991.
~ Bak Pulik? Bak test? = Nak balik? Nak periksa?
109
Ako A Jaga Gol
Aku berehat di bilik guru ketika baru sampai di
sekolah. Dari jauh nampak Cikgu Barnabas berjalan
laju ke arahku sambil senyum.
“Cikgu Zabidi boleh main bola?” dia tanya terus sebaik
sampai depan aku.
“Boleh tu boleh la. Tapi satu posisi saja saya boleh
main,” jawabku terus terang.
“Cikgu main posisi mana?” dia ingin tahu.
“Saya boleh jadi goalkeeper saja. Posisi lain tak pernah
main,” kataku tanpa selindung.
“Elok la tu. Pasukan kita pun tak ada goalkeeper lagi,”
jawab Cikgu Barnabas.
Dia pun tulis nama aku dan nombor kad pengenalan
dalam borang pendaftaran pemain.
“Kita nak lawan dengan pasukan mana Cikgu,” aku
tanya sebab tak tahu hujung pangkal.
“Lagi dua minggu ada pertandingan bola sepak
sempena sambutan Hari Guru peringkat daerah,”
jawabnya.
“Bila nak mula berlatih. Dah lama tak main bola ni,”
aku dah tak sabar nak turun padang.
Aku memang bawa kasut bola dari Semenanjung.
Tetapi masih tersimpan rapi dalam beg. Tak pernah
main lagi.
“Saya cari orang dulu. Kalau dah cukup satu team nanti
kita lawan dengan budak sebagai latihan,” dia
nyatakan perancangannya.
Aku setuju dengan cadangannya. Cikgu Barnabas
jumpa cikgu lain pula seorang demi seorang.
110
Balik dari sekolah petang itu aku buka beg besar. Aku
keluarkan kasut bola. Aku bersihkan habuk dan
ketatkan stud.
Selepas solat Asar aku pun turun ke padang sekolah.
Pemain kedua-dua pasukan sedang warm up. Akupun
tukar kasut dan pakai jersi.
Ketika aku menuju ke pintu gol, cikgu-cikgu lain dan
murid bersorak.
“Steady cikgu,” laung seorang murid.
Aku angkat ibu jari sambil senyum padanya.
Mereka pun mula shoot ke arah gol. Aku pun cuba
tangkap. Ada yang lekat. Banyak juga yang lucut. Dah
lama tak main rasa kekok.
Perlawanan latihan dimulakan. Nampak berat je
cikgu-cikgu berlari tengah padang. Mudah saja
digelecek pemain pasukan murid yang lincah beraksi.
Habis masa pertama dah bocor 2 gol. Masuk masa
kedua makin ramai yang pancit. Kejar bola sekejap
dah tertunduk. Murid masih bertenaga. Tiap-tiap
petang mereka main.
Tamat permainan pasukan cikgu yang baru dibentuk
kena belasah 5 kosong.
“Tak apa cikgu-cikgu. Baru turun sekali. Lepas ni kita
turun tiap-tiap petang buat latihan. Sampai hari
pertandingan nanti dapat balik la stamina dan skill
masing-masing,” Cikgu Barnabas suntik semangat
kepada pemain-pemain yang keletihan.
Selepas beberapa hari berlatih, sedikit demi sedikit
stamina pemain meningkat. Skill permainan juga
makin terserlah. Pasukan murid makin susah nak
kalahkan pasukan guru.
111
Hari pertandingan tiba ketika prestasi semua pemain
berada di kemuncak. Satu demi satu pasukan lawan
dikalahkan. Akhirnya pasukan SMK Dalat muncul
juara.
Bukan setakat juara bola sepak. Pasukan SMK Dalat
diangkat sebagai juara keseluruhan setelah menjuarai
pertandingan Bola Keranjang, Badminton dan Bola
Jaring.
Selepas itu kami turut menyertai pertandingan bola
sepak PSKPP dan MAKSAK juga. Setiap kali
perlawanan diadakan, para penonton penuh di
keliling padang memberikan sokongan.
Nama aku pun disebut-sebut sebagai penjaga gol
terbaik.
. Berbagai-bagai spekulasi tersebar di daerah Dalat.
Kononnya aku bekas pemain pasukan Perak. Ada yang
kata aku bekas pemain Selangor dan macam-macam
lagi la.
Suatu hari, aku didekati seorang lelaki Cina yang tidak
aku kenali. Sebaik aku keluar dari padang dia jumpa
aku. Dia ajak aku minum teh pada malam itu di tepi
sungai.
Tanpa syak apa-apa, malam itu aku pergi ke tempat
yang dijanjikan. Dia sudah sedia menunggu. Di atas
pangkin terhidang satu teko tembikar kecil dan dua
cawan kecil juga dibuat daripada tembikar.
“Mari duduk di sini cikgu,” dia jemput aku duduk.
Kemudian dia tuangkan teh dalam cawan. Dalam
cahaya suram-suram nampak asap keluar dari cawan.
Masih panas.
“Jemput minum cikgu. Ni tak ada apa-apa, chinese tea
saja,” dia persilakan aku minum.
112
Aku teragak-agak juga nak minum. Entah apa yang
dibubuh dalam air tu aku tak tahu.
“Jangan takut cikgu. Ini hanya air panas dan daun teh
saja. Halal,” dia yakinkan aku supaya minum.
Aku cuba hirup sikit. Memang rasa seperti air dan
daun teh saja. Gula pun tak ada. Rasa teh semula jadi.
Sambil minum dia tanya aku pasal bola sepak. Aku pun
cerita la pengalaman mewakili pasukan Bank
Bumiputera dan Bank Pertanian dalam liga bola sepak
antara bank. (sekarang kedua-dua bank tersebut dah
tukar nama – CIMB dan Agrobank).
Selain itu hanya wakili pasukan kampung dan pasukan
sekolah saja.
“Jadi, cakap-cakap orang kata cikgu pernah main
dengan pasukan Perak dan Selangor dalam Liga
Malaysia tak betul la,” terus dia buat kesimpulan.
Aku mengiyakan saja. Buat apa nak tipu.
Dia belum nyatakan tujuan sebenar dia nak jumpa aku
malam itu. Mesti ada hajat yang besar. Aku ternanti-
nanti …
~ Ako A Jaga Gol = Aku Goalkeeper
113
Aksi dan Mimpi Ngeri
“Orang panggil saya Kayan, Pengurus team Dalat
Shell,” dia perkenalkan diri selepas mengetahui serba
sedikit pasal diriku.
Aku angguk saja. Dia dah tahu nama aku. Mungkin dia
dah tanya orang lain.
“Saya sudah tengok cikgu main banyak kali. Cikgu ada
skill yang bagus,” dia mula buka cerita tujuan sebenar
nak jumpa aku.
Rupa-rupanya dia dah lama perhatikan aku main.
“Tak lama lagi ada Liga Bola Sepak Daerah Dalat untuk
merebut Piala Dr Leo Michael Toyad. Cikgu sudah
sudah ada team ke belum?” dia tanya.
“Setakat ni belum ada lagi,” aku jawab.
“Ok, bagus. Kami nak offer cikgu join team kami, Dalat
Shell. Cikgu punya jersi kami sponsor semua. Macam
mana cikgu,” dia bagi tawaran.
“Main di padang mana?” aku ingin tahu tempat
perlawanan.
“Semua game main di padang Kampung Tanam,”
katanya.
“Kalau macam tu ada masalah sikit. Saya tak ada motor
nak pergi sana,” aku luahkan masalah.
“Itu tak jadi masalah. Cikgu tunggu saja di rumah.
Nanti ada orang pergi ambil. Habis game dia hantar
cikgu balik,” dia bagi jaminan urusan pengangkutan.
“Yuran penyertaan pun cikgu tak payah bayar. Kami
bayar semua. Duit makan cikgu pun ada. Tapi tak
banyak la,” sambungnya lagi.
114
“Tapi saya dari Semenanjung, boleh ke saya main.
Nanti kalau ada team lain protes macam mana,” baru
ingat aku orang luar.
Pertandingan itu mungkin terbuka kepada orang
tempatan saja aku fikir.
“Saya sudah tanya pihak penganjur hal itu. Dia orang
cakap tak jadi masalah. Cikgu sudah kerja sini, tinggal
sini boleh main. No problem,” katanya seolah-olah
sudah rancang dari awal untuk ambil aku sebagai
pemain ‘import’.
Selepas persetujuan dicapai akupun didaftarkan
sebagai pemain pasukan Dalat Shell. Tiap-tiap petang
kami berlatih di padang awam.
Hari pertandingan pun tiba. Pusingan awal kami tak
pernah kalah. Hanya menang dan seri saja. Dalam
pertandingan akhir kami menentang pasukan tuan
rumah, Kampung Tanam.
Saingan pertandingan akhir umpama buku bertemu
ruas. Sama-sama handal.
Aku yang jaga gawang pun tak menang tangan
menangkis serangan bertali arus.
Striker lawan melepasi halangan pertahanan. Terus
dia membuat percubaan dari penjuru kanan kawasan
penalti. Satu rembatan kencang. Bola paras pinggang
meluru laju ke bahagian kiri gol.
Aku melayangkan badan terbang ke kiri. Hanya dapat
menolak bola dengan hujung jari. Bola terbias sedikit
saja. Terkena bahagian luar tiang gol. Bola keluar. Aku
menarik nafas lega. Penonton bersorak.
Pasukan lawan menyerang lagi. Kali ini dari bahagian
tengah. Aku bergerak ke depan di garisan petak gol
untuk menutup angle.
115
Striker membuat percubaan dengan bola tinggi.
Nampak bola menjunam menuju ke penjuru kanan
pintu gol.
Aku mengundur mengikut pergerakan bola. Bola
makin hampir ke penjuru gol. Aku melonjak tinggi
cuba menguis bola dengan hujung jadi. Bola keluar
sedikit saja melepasi palang gol. Terselamat lagi.
Penonton bersorak riuh rendah.
Tamat separuh masa pertama kedudukan terikat
tanpa jaringan. Kami tidak berjaya membolosi pintu
gol mereka. Aku juga terpaksa bekerja keras
menangkis setiap serangan berbahaya pasukan lawan.
Masuk separuh masa kedua pasukan kami membuat
asakan awal ke arah pintu gol lawan. Semua pemain
pasukan lawan berkubu di kawasan mereka.
Tiba-tiba satu serangan balas pantas dilakukan.
Pemain pertahanan cuba mengejar. Striker lawan
lebih laju.
Bola makin dekat ke arah pintu gol. Aku meluru ke
depan menutup ruang. Kedudukan satu lawan satu.
Dia cuba bawa bola lebih dekat.
Aku sambar bola di hujung kakinya dan rolling ke kiri
untuk elak daripada berlanggar. Keliling padang
bergema dengan sorakan penonton. Pemain
pertahanan hampiri dan tepuk bahu aku.
“Bagus cikgu,” dia bagi semangat.
Masa permainan hampir tamat. Kedua-dua pasukan
berbalas serangan. Kedudukan masih tidak berubah.
Aku pun dah penat. Ketika pasukan aku membuat
serangan, aku ke tepi tiang ambil botol air dan minum
sedikit untuk basahkan tekak.
116
Belum sempat berehat lama jentera serangan pasukan
lawan datang lagi. Kali ini dengan gerakan hantaran
satu dua yang kemas.
Mereka berjaya menembusi barisan pertahanan.
Masuk ke kawasan penalti. Pemain nombor 10 hantar
bola kepada pemain nombor 9. Dia bersedia membuat
rembatan ke arah pintu gol. Aku meluru ke depan. Aku
layangkan badan untuk membuat hadangan.
Dia lebih pantas. Dia rembat sekuat hati. Kaki
kanannya rembat sekali dada kiriku. Bola menerjah
jaring. Aku tertiarap. Tercungap-cungap. Aku cuba
tarik nafas … tersekat. Aku cuba hembus … ketat.
Pemain pasukan lawan berpelukan meraikan jaringan.
Penyokong pasukan lawan bersorak terlompat-
lompat.
Aku masih tertiarap. Tidak dapat bergerak. Kawan-
kawan datang tolong. Pembantu perubatan yang
menonton pertandingan itu dipanggil untuk memberi
bantuan kecemasan.
Aku dapat bernafas semula. Dadaku masih sakit. Dia
selak baju aku dan spray di dada.
Masa permainan tinggal dua tiga minit saja lagi.
Penjaga gol kedua tidak ada untuk ganti tempat aku.
Aku bangun dan teruskan permainan. Penyokong
pasukan aku tepuk tangan memberi semangat.
Selepas mendahului satu gol pemain pasukan lawan
berkampung di kawasan sendiri dan melambat-
lambatkan permainan.
Kami tewas. Hanya mampu jadi Naib Johan.
Malam itu diadakan majlis penutup yang dirasmikan
oleh YB Dr Leo Michael Toyad, Timbalan Menteri
Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Mukah.
117
M. Daud Kilau yang baru dianugerahkan gelaran Dato’
pada hari itu dijemput untuk menghiburkan
penonton.
Walaupun dadaku masih sakit, aku gagahkan diri juga
menyaksikan persembahan istimewa Raja Gelek
Malaysia itu.
Walaupun kami datang dari negeri yang sama tetapi di
bumi Dalat itulah kali pertama kami jumpa. Seronok
juga dapat berjumpa dan berbual dengannya di
belakang pentas.
118
Pindah Bilit, Pindah Kubou
Warga SMK Dalat dikejutkan dengan berita Penolong
Kanan 1 bertukar ke Sibu apabila sekolah dibuka
semula untuk sesi 1991/92. Hanya setahun lebih
sempat bekerja dengan Cikgu Saadiah.
Aku buat kerja di bilik guru seperti biasa. Tulis
rancangan mengajar (RPH), semak buku latihan dan
sediakan alat bantu mengajar (ABM).
“Cikgu Zabidi, Pengetua panggil,” Chan, panggil aku ke
pejabat.
“Apa hal Chan,” aku tanya kenapa Pengetua nak jumpa.
“Tak tau la cikgu,” jawabnya.
“Dada cikgu dah ok ke?” dia tanya kesan kena sepak di
dada semasa final Piala Dr Leo dulu.
“Masih rasa sakit lagi. Kena gantung boot dulu la buat
sementara waktu,” aku bagitau keadaan sebenar.
Kami sampai di pejabat. Pengetua jemput aku masuk
ke biliknya. Aku duduk di kerusi mengadap Pengetua.
Dia mulakan perbualan dengan bertanya khabar pasal
dada aku juga. Nampak dia prihatin dan ambil berat.
Selepas itu baru dia masuk ke topik utama
perbincangan.
“Cikgu pun dah sedia maklum, kita belum ada
Penolong Kanan 1 selepas Cikgu Saadiah bertukar.
Saya sudah teliti semua guru di sekolah kita. Saya
dapati hanya Cikgu Zabidi saja yang layak mengisi
kekosongan jawatan PK1,” kata Pengetua.
“Eh, jangan la Tuan Pengetua. Saya baru setahun lebih
mengajar. Cikgu Deli kan ada. Boleh naikkan pangkat
dia dari PK HEM jadi PK1,” cepat-cepat aku tolak dan
bagi cadangan balas kepada Pengetua.
119
“Kalau ikut amalan biasa itulah yang terbaik. Tetapi
jawatan PK1 perlu diisi oleh guru siswazah. Itu
sebabnya saya tak boleh bagi kepada PK HEM,”
Pengetua jelaskan kedudukan sebenar.
“Guru-guru tempatan yang lain tu kan ramai lagi,” aku
masih cuba mengelak.
“Memang ramai dan lebih senior, tapi tak ada yang
siswazah. Guru siswazah hanya guru dari
Semenanjung saja,” jelas Pengetua lagi.
“Kalau macam tu bagi kepada guru dari Semenanjung
yang lain la. Cikgu Halim ada, Cikgu Azman ada,” aku
cuba cadangkan guru-guru lain.
“Saya sudah ambil kira semua aspek. Daripada semua
guru dari Semenanjung yang ada saya dapati Cikgu
Zabidi ada banyak kelebihan berbanding orang lain.
Cikgu sudah disahkan dalam jawatan. Cikgu juga
sudah buktikan kebolehan mengurus apabila cikgu
diberi tugas membuat persembahan sketsa sempena
Minggu Kesihatan Gigi. Cikgu sudah buktikan
kebolehan berucap depan orang ramai setelah jadi
johan pertandingan pidato. Cikgu juga sudah buktikan
kebolehan menyesuaikan diri dengan persekitaran
apabila cikgu mewakili pasukan Spider Fc dalam liga
bola sepak daerah. Prestasi subjek Sastera juga telah
meningkat selepas cikgu ajar. Banyak lagi la kalau
disebut satu persatu,” Pengetua menguatkan hujahnya
untuk menyerahkan tanggungjawab PK1 kepada aku.
Tiada alasan lagi untuk aku menolak. Semua hujah aku
dipatahkan dengan mudah. Pengetua ada alasan yang
kukuh untuk melantik aku sebagai PK1.
“Kalau cikgu setuju terima jawatan ini, nanti cikgu
boleh masuk kuarters. Rumah PK1 kosong selepas
120
Cikgu Saadiah keluar. Nanti cikgu masuk rumah tu.
Tak payah lagi sewa rumah di luar dan kayuh basikal
dari Kampung Hilir,” dia terus bagi rasional untuk
pujuk aku terima jawatan tu.
Akhirnya aku serahkan pada kebijaksanaan Pengetua
untuk membuat keputusan. Aku juga mohon supaya
Pengetua berikan tunjuk ajar dan bimbingan bagi
membantu aku jalankan tugas dengan cekap dan
berkesan.
Aku dilantik sebagai PK1 mulai 1.12.1991. Dari bilik
guru aku bergerak ke bilik PK1 di pejabat. Kemudian
pindah dari rumah sewa di Kampung Hilir dan
mendiami Rumah PK1 dalam kawasan sekolah.
Pada hari terakhir pindahkan barang agak lama aku
pandang ke rumah Mala.
‘Sebelum ini hilang Mala. Mulai hari ini rumah Mala
pun makin jauh dari pandangan,’ bisik hatiku.
Tukang masak juga bertukar. Isteri Pak Cik Palah pula
sediakan makanan. Pak Cik Palah masak untuk pelajar
asrama. Isterinya masak untuk cikgu-cikgu yang jadi
pelanggan tetap.
Pakaian pun aku basuh sendiri. Tak hantar dah ke
rumah Yah. Bila aku sidai pakaian di luar ada saja
pelajar di asrama yang menyapa.
“Rajin cikgu basuh baju,” sapa Darlie sambil senyum.
“Mari la tolong saya sidai baju,” jawabku.
“Sekejap cikgu saya pergi,” balasnya.
“Eh! tak payah. Saya gurau saja,” cepat-cepat aku
halang dia datang.
~ Pindah Bilit, Pindah Kubou = Pindah Bilik, Pindah
Rumah
121
Segak Bulan Puasak
Aku round kelas. Sebagai PK1 menjadi tanggungjawab
aku memantau dan memastikan cikgu-cikgu ada di
kelas dan mengajar mengikut jadual waktu.
Sampai di kelas 5B aku tengok tak ada cikgu. Banyak
meja murid yang kosong. Murid yang ada bersembang
saja. Ada yang tidur. Hanya dua tiga orang yang baca
buku dan buat kerja sekolah.
“Assalamualaikum,” aku masuk dan bagi salam.
Murid bangun dan jawab salam.
“Sekarang waktu apa?” aku tanya.
“Pendidikan Islam,” jawab Daud, ketua kelas tu.
“Siapa ajar Pendidikan Islam?” aku tanya lagi.
“Ustaz Nasaruddin,” jawab dua tiga orang murid
serentak.
Baru aku teringat Ustaz Nasaruddin minta kebenaran
untuk ke bawa anaknya ke klinik. Anaknya tak sihat.
Aku fikir meja kosong tu tentu murid bukan Islam
yang pergi ke kelas Pendidikan Moral. Tak perlu tanya
lagi.
Aku duduk dan berbual santai dengan mereka.
“Minggu depan dah nak puasa. Ustaz dah bincang ke
aktiviti sepanjang bulan Ramadan dengan budak
asrama?” aku buka cerita.
“Dah bincang cikgu. Ada beberapa aktiviti yang akan
dijalankan dalam bulan ramadan ni,” jawab Daud yang
jadi Pengerusi Persatuan Pelajar Islam (PPI).
Dia pun sebut la satu persatu aktiviti yang telah
dirancang bersama AJK PPI dan Ustaz Nasaruddin
sebagai guru penasihat.
122
“Apa kata tahun ni kita buat Malam Puisi Ramadan,”
aku bagi cadangan.
Aku fikir itu satu cara untuk menarik minat murid
untuk menghayati puisi sekali gus memahami erti
Ramadan.
Bila minat sudah berputik mereka lebih tertarik untuk
belajar sastera dengan bersungguh-sungguh.
“Bagus juga cadangan tu cikgu. Sebelum ni belum ada
aktiviti macam tu lagi,” sambut Azura.
Pelajar lain juga bagi reaksi yang positif.
“Kita nak buat pertandingan atau persembahan cikgu,”
tanya Ramlee.
Aku tanya pendapat pelajar-pelajar lain sama ada nak
buat pertandingan atau persembahan. Ada yang setuju
buat pertandingan dan ada yang berpendapat lebih
sesuai buat persembahan saja.
“Saya rasa elok kita buat persembahan saja sebab dah
banyak pertandingan lain diadakan sepanjang bulan
Ramadan ni. Pelajar yang nak ambil bahagian biasanya
orang sama jugak,” Masita memberi pandangan.
Aku setuju dengan pendapatnya. Kali pertama ini beri
pendedahan dulu kepada mereka. Tahun depan boleh
buat pertandingan selepas murid dapat pengalaman
mendeklamasi puisi tahun ini.
“Puisi tu kena tulis sendiri atau boleh deklamasikan
puisi orang lain,” tanya Daud.
“Saya rasa kalau boleh tulis sendiri paling baik. Tapi
kalau tak mampu boleh deklamasi puisi orang lain.
Mungkin boleh cari dalam buku, akhbar atau majalah,”
aku bagi pandangan.
Kelonggaran ini untuk memberi peluang kepada lebih
ramai murid ambil bahagian. Kalau murid kena tulis
123
sendiri mungkin tak ramai yang ambil bahagian. Kalau
dapat deklamasi puisi orang lain pun dah cukup bagus.
Yang penting mereka berani tampil di pentas dan
murid lain yang menonton dapat menghayati puisi
yang dideklamasikan.
Loceng berbunyi. Murid bukan Islam sudah sampai di
muka pintu.
“Saya akan bincang semula cadangan kita tadi dengan
Ustaz Nasaruddin dan Pengetua,” kataku sebelum
keluar dari kelas.
Murid menunjukkan minat tetapi perlu bincang juga
dengan Ustaz Nasaruddin dan Pengetua supaya tidak
bertembung dengan aktiviti lain. Mungkin guru
penasihat atau Pengetua sudah ada perancangan lain.
Jadi ia perlu diselaraskan supaya dapat dilaksanakan
dengan jayanya.
Berita cadangan mengadakan Malam Puisi Ramadan
begitu cepat tersebar. Mungkin kerana pertama kali
aktiviti itu hendak diadakan.
Aku meneliti surat-surat yang baru diterima kalau ada
yang perlu tindakan segera. Pintu diketuk dari luar.
Aku angkat muka.
“Selamat pagi cikgu. Boleh kami masuk,” Maskawin
dan Jessica Norbert tercegat di luar.
“Selamat pagi. Masuk la,” aku jemput masuk dan
persilakan mereka berdua duduk.
“Kami dengar cerita cikgu nak buat aktiviti Malam
Puisi Ramadan. Boleh ke kami yang bukan Islam ni
datang?” tanya Jessica.
Belum sempat aku jawab Maskawin pula tanya.
124
“Kalau boleh saya pun nak baca sajak Ramadan jugak.
Boleh ke cikgu?” dia menunjukkan minat nak ambil
bahagian.
Aku suka kalau mereka ambil bahagian. Mana tahu,
dengan menyertai aktiviti seperti itu akan terbuka hati
mereka untuk mengenali Islam dengan lebih dekat
lagi. Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah dan
menerima Islam sebagai pegangan hidup.
Walau bagaimanapun aku sedar isu agama adalah isu
yang sensitif dalam masyarakat yang berbilang bangsa
dan berlainan agama. Aku serba salah.
“Terima kasih kerana berminat nak sertai aktiviti ini.
Secara peribadi saya amat alu-alukan sesiapa saja
yang nak datang atau ambil bahagian. Tetapi saya
perlu dapatkan pandangan daripada pihak-pihak
tertentu dahulu kerana ia melibatkan isu agama. Saya
akan maklumkan keputusannya kemudian,” aku
berikan jawapan secara diplomasi.
Pengalaman dimarahi oleh ibu Mala dan peristiwa
Mala lari dari rumah kerana isu agama mengajar aku
supaya lebih berhati-hati membuat keputusan dan
tindakan.
~ Segak Bulan Puasak = Di Ambang Ramadan
125
Labuk Juuk Mata Akou
Guru-guru dan murid-murid berkumpul di dewan
selepas solat Tarawih. Murid bukan Islam pun ramai
yang datang.
Nampak sopan berbaju kurung. Tak tahu pulak aku
sama ada baju kurung mereka sendiri atau mereka
pinjam daripada pelajar Islam. Pandai mereka
berpakaian yang sesuai dengan majlis.
Aku sudah bincang dengan Pengetua dan guru-guru
lama. Kata mereka sudah jadi kebiasaan pelajar bukan
Islam hadiri majlis-majlis yang berkaitan dengan
Islam.
Kehadiran murid bukan Islam ke majlis yang
berkaitan Islam tidak dijadikan isu yang boleh
menimbulkan konflik antara kaum dan agama.
Sesiapa yang nak datang tidak dihalang. Tidak ada
paksaan atau larangan.
Aku terkejut bila diberitahu ada juga pelajar bukan
Islam yang turut bersahur dan berpuasa bersama-
sama pelajar Islam. Mereka ingin merasa sendiri
pengalaman berpuasa.
Suatu hari aku diminta menyampaikan tazkirah di
surau pada waktu rehat. Ada pelajar bukan Islam yang
minta izin nak dengar tazkirah juga. Aku alu-alukan
kehadiran mereka. Mudah-mudahan mereka
mendapat hidayah.
Masitah sudah naik ke pentas. Dia jadi juruacara
malam itu. Bersedia untuk mulakan majlis.
Pentas dihias dengan pelita daripada tin minuman.
Pokok bunga disusun di tangga dan bahagian hadapan
pentas. Backdrop tertulis Malam Puisi Ramadan dan
126
dihias dengan gambar masjid berwarna hijau dan
kuning serta bulan dan bintang.
AJK dan ahli Persatuan Pelajar Islam yang bergotong
royong menyusun kerusi di dewan dan menghias
pentas petang hari itu.
“Kita mulakan majlis dengan alunan ayat-ayat suci Al-
Quran. Dipersilakan Rahmah Kaderi, Johan
Musabaqah Al-Quran peringkat Bahagian Sibu dan
tempat kedua peringkat Negeri Sarawak untuk
perdengarkan bacaan,” kata juruacara.
Sungguh merdu suara Rahmah. Ayat-ayat yang dibaca
dengan tajwid dan lagu menusuk ke kalbu.
‘Memang layak dia jadi Naib Johan peringkat negeri.
Memang bagus bacaan dan suaranya,’ bisik hatiku.
“Sekarang dipersilakan Encik Mohd Zabidi bin Nordin,
Penolong Kanan 1, SMK Dalat untuk menyampaikan
sepatah dua kata,” aku dijemput menyampaikan
ucapan alu-aluan selaku pencetus idea majlis tersebut.
Aku ucapkan terima kasih kepada AJK PPI yang
membuat persediaan dan menguruskan majlis,
mengalu-alukan kehadiran guru-guru dan murid,
menyatakan matlamat dan objektif majlis malam itu
dan harapan pada masa akan datang.
Selepas itu disusuli dengan ucapan perasmian oleh
Pengetua, Encik Rajaiee Jana.
Persembahan dimulakan dengan deklamasi sajak.
Kemudian persembahan nasyid. Seterusnya
deklamasi sajak semula. Begitulah persembahan
berselang seli antara deklamasi sajak dan nasyid.
Pada pertengahan acara diselitkan dengan tazkirah
yang disampaikan oleh Bolhee Rosli.
127
“Sekarang dijemput Maskawin untuk
mendeklamasikan sajak yang bertajuk Memori
Ramadan,” tiba giliran Maskawin mendeklamasikan
sajak.
Pagi itu aku sudah semak sajak yang ditulisnya sendiri.
Aku perlu pastikan sajak yang dia tulis tidak
bercanggah dengan ajaran Islam atau menyentuh
sensitiviti mana-mana pihak.
Dia menyampaikan catatan pengalaman ketika
bersama-sama pelajar Islam bangun awal pagi untuk
bersahur, kemudian menahan diri daripada makan
dan minum pada waktu siang. Seterusnya cabaran
melihat makanan dan minuman enak terhidang ketika
menanti waktu berbuka puasa.
Pengalaman itu menimbulkan keinsafan kepadanya
apabila mengenangkan golongan miskin yang sentiasa
dalam kelaparan.
Acara malam itu diakhiri dengan persembahan nasyid
yang disampaikan oleh Johan Pertandingan Nasyid
sempena program Ihya Ramadan.
Kumpulan yang diketuai oleh Rahmah Kaderi
membawa lagu Di Pondok Kecil. Mereka
menyampaikan nasyid dengan penuh penghayatan.
Penonton senyap sunyi.
Sama-sama hayati bait-bait kata yang menyentuh
perasaan. (klik link ini untuk turut hayati nasyid Di
Pondok Kecil)
https://www.youtube.com/watch?v=r5JcfLriCeY
Persembahan mereka amat berkesan. Bukan hanya
ahli kumpulan nasyid saja yang sebak. Penonton di
dewan juga tak dapat mengawal perasaan.
128
Ramai yang menangis tersedu-sedu. Termasuk aku.
Air mata berjujuran. Mengalir di pipi tanpa henti. Tak
tertahan lagi.
Ketika mereka beredar dari pentas, semua penonton
berdiri. Tepukan gemuruh bergema. Kemudian
mengelap air mata semula.
~ Labuk Juuk Mata Akou = Tumpah Juga Air Mataku
129