memerlukan pengorbanan yang lebih besar memandangkan aku terpaksa membahagikan masa
antara kerja di pejabat dan pengajianku yang akan bermula pada bulan September 2018.
Aku sentiasa menitipkan doa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan perjalanan
pengajianku agar aku dapat menempuhi perjuangan ini dengan mudah serta berjaya dengan
cemerlang. Satu lagi doaku ialah, semoga Allah pelihara diriku dari penyakit-penyakit yang
berkaitan dengan tekanan sepanjang aku menyusuri liku-liku pengajianku ini.
Sekarang, tibalah masanya untuk aku memikirkan tentang tempat pengajianku. Daripada
lima universiti yang tersenarai menawarkan bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional, hanya
tiga pilihan universiti yang bermain di fikiranku iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Dua lagi universiti yang aku
tolak jauh-jauh ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM).
Ini adalah disebabkan jaraknya yang agak jauh untuk aku berulang alik sebagai pelajar
separuh masa. Setelah dibuat ‘survey’, UPM terpaksa dikeluarkan daripada senarai kerana kuliah
untuk pelajar ‘postgrad’ biasanya pada petang hari bekerja. Bermakna, adalah sukar untuk aku
hadir ke kuliah wajib walaupun syaratnya hanya dua subjek wajib yang diambil. Oleh itu,
tinggallah lagi dua pilihan yang ada iaitu UPSI dan UUM. Yang paling dekat dengan rumah aku
tentunya UUM kan?
Namun keputusan tinjauan menyatakan bahawa hanya ada seorang sahaja pensyarah
bidang TVET di universiti yang terletak di utara tanah air itu. Aku tinjau pula UPSI. Jarak dengan
kediamanku sudah pasti sangat jauh berbanding UUM. Kuliah wajib biasanya perlu dihadiri pada
hujung minggu iaitu pada hari Jumaat atau Sabtu. Subjek wajib yang diambil hanyalah satu
subjek sahaja iaitu ‘Research Method’. Oleh itu, aku bertekad untuk ‘apply’ kedua-dua universiti
ini. Pilihan utama akan aku lakukan kemudian yakni setelah diterima. Tentulah tidak menjadi
masalah apabila kita ‘apply’ universiti kerana kita adalah pelajar tajaan. Pasal yuran, dah tentu
penaja akan tolong uruskan.
Seperti yang dijangka, kedua-dua universiti tersebut menerima permohonanku itu. Hati
berat untuk memilih UPSI. Namun begitu, perkara pertama yang perlu aku buat ialah aku perlu
mengadakan perbincangan dengan suami bagi menyelesaikan masalah di mana aku perlu hadir
kuliah selama satu semester iaitu lebih kurang 14 minggu dengan jarak perjalanan yang jauh
berbanding jarak yang aku perlu redah sekiranya aku memilih UUM dan aku juga pejam mata
untuk menolak UPM meskipun universiti itu adalah universiti pertama yang menjadikan aku
seorang mahasiswi.
50
4 September 2018, bermulalah hari pertama pendaftaranku sebagai mahasiswa PhD di
UPSI. Aku hadir mendaftar diri seorang diri disebabkan suami terpaksa menguruskan anak-anak
yang akan menghadapi peperiksaan penting tahun itu. Selain mendaftar sebagai mahasiswi, aku
juga perlu hadir dalam sebuah mesyuarat di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Putrajaya
pada keesokan harinya. Hari pendaftaran berjalan lancar. Aku berpeluang untuk bertemu dengan
ramai lagi rakan lain yang turut sama hadir mendaftar.
Pelbagai perasaan hadir sementelah aku pertama kali mengenali UPSI yang terkenal
dengan slogan “Anak Kandung Suluh Budiman”. Apa tu? Pada mulanya aku pun tak berapa
faham tapi aku abaikan saja. Dalam hati mengatakan bahawa lama kelamaan aku akan tahu dan
aku akan mempelajari sesuatu di sini. Mudah-mudahan rezekiku akan ada di sini sehingga ke
peringkat terakhir pengajianku. Amin. Pada keesokan harinya, aku meneruskan perjalananku ke
KPM Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang sekarang
ini lebih dikenali sebagai Bahagian Profesionalisme Guru.
Minggu berikutnya bermula lah kelas bagi mata pelajaran wajib iaitu Research Method.
Mengikut jadual yang dikeluarkan, kelasku akan berlangsung pada setiap hari Jumaat, jam 8.00
malam setiap minggu selama 14 minggu. Aku perlu memikirkan bagaimana cara untuk aku hadir
ke kuliah pada setiap minggu.
Perbincangan demi perbincangan diadakan bersama suami tercinta. Untungnya aku
mempunyai seorang suami yang sangat memahami keperluan dan cita-cita isterinya ini. Tidak
menjadi masalah baginya untuk sama-sama menemaniku untuk hadir ke kuliah dalam tempoh 14
minggu tersebut. Setiap minggu, kami akan sama-sama bergilir memandu dari Jitra ke UPSI
Tanjung Malim. Kira-kira jam 3.00 petang kami akan bertolak dari Jitra dan biasanya akan tiba di
UPSI pada jam 7.00 malam.
Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang empat jam masa untuk laluan sehala.
Sebaik tiba, kami akan berehat sebentar di surau untuk solat maghrib dan masuk ke kuliah pada
jam 8:00 malam. Kami akan bertolak balik ke Jitra selepas selesai kuliah pada jam 10:30 malam.
Begitulah rutin kami setiap minggu sehingga selesai semester pertama pengajian PhDku di UPSI.
Aku panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah memudahkan urusanku
dengan menghadirkan kepadaku seorang suami yang sangat memahami.
Dalam tempoh tersebut juga, aku perlu hadir untuk perjumpaan bersama penyelia dan
rakan-rakan ‘postgrad’ di bawah penyelia yang sama. Biasanya, perjumpaan bersama-sama
rakan-rakan dan penyelia diadakan pada hari Jumaat pagi. Jadi, sekiranya ada perjumpaan
bersama penyelia, aku perlu bertolak dari Jitra ke UPSI lebih awal daripada biasa. Pada semester
51
pertama pengajianku, penyeliaku tiada di Malaysia kerana berada di luar negara untuk bekerja
sambil berkursus.
Namun begitu, perjumpaan tetap dijalankan secara dalam talian menggunakan aplikasi
‘skype’. Ketika itulah kami membuat pembentangan kertas cadangan kajian. Hari berlalu dengan
satu perjalanan baharu yang sukar digambarkan. Walau bagaimanapun, perjalanan tetap
diteruskan dengan sebaik yang mungkin. Doa sentiasa dipohon agar perjalanan kami diredai oleh
Allah dan dipermudahkan dalam setiap urusan. Di situlah aku mengenali seorang rakan baharu
yang turut sama berada di bawah penyelia yang sama denganku.
Kiranya, aku tidaklah keseorangan. Adalah juga rakan untuk aku berbincang dan bertukar-
tukar fikiran sementelah aku adalah pelajar baharu di bumi UPSI yang sangat asing bagiku pada
permulaan pengajianku ini. Tetapi aku tetap berasa sangat beruntung dikelilingi oleh kumpulan
belajar yang sangat positif di bawah penyeliaku. Setiap dari mereka berkomunikasi dengan baik
dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Malahan, setiap kali perjumpaan bersama
penyelia, kami akan duduk bersama-sama untuk berbincang tentang kajian dan penulisan
masing-masing.
Hari demi hari berlalu dengan sangat baik dan positif. Penyeliaku yang sangat dikenali
dengan sikapnya sebagai pusher tidak henti-henti mengingatkan tentang pengajianku melalui
aplikasi Whatsapp. Pada mulanya aku agak janggal dengan mesej yang masuk pada jam 3:00
pagi setiap minggu. Kata kawan-kawanku yang lain, “Penyelia tengah menguji kita tu Pah. Nak
tengok sama ada kita tengah ‘study’ atau kita lena.”
Aku ketawa mendengar penjelasan rakan-rakanku. Meskipun begitu, aku mengambil
keputusan untuk menjelaskan kepada penyeliaku bahawa aku tidak mampu untuk ‘stay up’ pada
malam hari berikutan aku adalah pelajar separuh masa di mana setiap hari aku bekerja dan aku
perlukan tidur yang cukup. Namun aku berjanji dengan penyeliaku, aku tetap akan buat yang
terbaik dan aku akan tunjukkan prestasi yang cemerlang kepadanya.
Mendengarkan penjelasanku, penyeliaku kelihatan sedikit lega dan ekspresi wajahnya
turut menggambarkan antara percaya atau tidak dengan kemampuan pelajarnya ini. Aku juga
bertekad di dalam diri bahawa aku akan sentiasa mengikuti jejak rakan pengajianku yang belajar
secara sepenuh masa. Aku akan ‘follow’ rapat-rapat kerana aku tidak mahu jauh ketinggalan
daripada mereka meskipun aku berstatus pelajar separuh masa.
Pengalaman demi pengalaman dikumpul dan aku tempuhi hari demi hari. Pada bulan April
2019, satu pengalaman manis yang sukar diungkapkan dengan kata-kata telah hadir tanpa
diundang. Aku bersama penyelia dan rakan-rakan sepengajian telah menghadiri seminar dan
membentangkan kertas kajian di University of Nagoya, Jepun. Walaupun sibuk dalam
52
menyiapkan kertas cadangan kajian, tugas dan tanggungjawab lain tetap dilaksanakan dengan
sebaik yang mungkin. Setelah kembali ke Malaysia, usaha menyiapkan kertas cadangan kajian
diteruskan. Dek usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal erti lelah, aku berjaya
menyiapkan kertas cadangan kajianku. Ini juga adalah hasil bebelan penyeliaku yang tidak jemu-
jemu mengejarku dari belakang dan membimbingku.
Pada tanggal 24 Jun 2019, aku membentangkan kertas cadangan kajianku ini bersama
perasaan yang sangat takut dan gusar pada mulanya. Seketika kemudian, keyakinanku mulai
tumbuh sedikit-demi sedikit hingga aku berjaya menamatkan sesi pembentangan. Dengan izin
Allah, aku lulus dan kertas cadangan kajianku diterima walaupun aku perlu membuat pembetulan
kecil dalam tempoh dua minggu dengan tanda tangan penyelia sendiri.
Syukur alhamdulillah. Aku merasakan perjalanan pengajianku sekali lagi telah
dipermudahkan oleh Allah SWT. Dalam tempoh dua minggu, aku siapkan semua pembetulan
yang aku perlu selesaikan untuk terus mengatur langkah yang seterusnya. Aku tak perlu menoleh
ke belakang lagi. Kesibukan kerja dan komitmen sebagai pelajar separuh masa tetap tidak
menjadi penghalang dalam perjalananku untuk terus berjaya kerana aku telah menyerahkan
seluruh perjalanan pengajianku kepada Allah SWT.
Perjalanan pengajian yang manis ini disulami juga dengan agenda-agenda lain yang
memberikan pengalaman yang sangat manis dan indah. Aku juga dihadirkan dengan sahabat-
sahabat sejati yang sangat ikhlas dan luhur hatinya. Setiap kali aku keluar untuk kutipan data
kajian di ibu negara, aku akan bertemu dengan sahabat-sahabatku ini. Walaupun kami menuntut
ilmu di universiti yang berbeza, namun perkenalan dan persahabatan kami yang bermula semasa
menuntut ilmu di peringkat Master di UPM tetap utuh dan kami seringkali bantu-membantu
dengan memberi kata-kata semangat dalam menempuh pelbagai cabaran dalam pengajian kami.
Kutipan data kajian diteruskan langkah demi langkah. Pelbagai rintangan yang datang
tetap dihadapi dengan tenang dan penuh keyakinan. Namun, pada bulan Mac 2020 apabila
negara dikejutkan dengan wabak korona virus yang menyerang. Aku juga tidak ketinggalan dari
terkesan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020.
Apa tidaknya. Kutipan data kajian bagi langkah yang terakhir belum selesai. Setelah
mengadakan perbincangan, langkah penyelesaian diambil dengan cara mengumpul data melalui
kaedah dalam talian. Ketika itu, Allah hadirkan dengan insan-insan yang berhati mulia yang
banyak membantu dalam perjalanan dan urusan kutipan data kajianku. Pada 2 Disember 2020
aku membentangkan kutipan data dan penulisan tesisku bagi bab 1 hingga bab 4. Alhamdulilah,
ianya selesai dengan sangat baik.
53
Aku meneruskan perjalanan penulisan tesisku sehingga tamat. Aku telah menghantar draf
tesis lebih awal iaitu pada 27 Mei 2021 untuk dinilai oleh pemeriksa semasa ‘viva voce’. Dalam
tempoh menunggu ‘viva’, banyak penulisan yang berjaya disiapkan. Aku telah menghasilkan
empat penulisan artikel jurnal dan tiga daripadanya telah berjaya diterbitkan di dalam jurnal
walaupun syarat untuk bergraduasi hanyalah menerbitkan dua artikel jurnal sahaja.
Pada 9 Ogos 2021, tibalah masanya aku menghadapi ‘viva voce’. Peringkat ini merupakan
penentu kejayaan bagi seorang pelajar PhD. Pelbagai perasaan bermain di benakku. Luluskah
aku? Kalau aku gagal macam mana? Akan tetapi doa dan penyerahan diri kepada Allah SWT
setelah aku berusaha sehabis baik di setiap peringkat perjalanan pengajianku itu akhirnya telah
memihak kepadaku. Setelah dua jam ‘viva voce’ berjalan, keputusan bahawa aku lulus dengan
pembetulan sederhana besar telah diumumkan.
Allahuakbar!
Aku betul-betul dipalit rasa syukur yang tidak terucap. Aku juga dimaklumkan bahawa
tempoh bagi menyiapkan pembetulan adalah selama enam bulan dan perlu disahkan oleh
penyelia dan seorang pemeriksa dalaman. Pembetulan tersebut dapat aku diselesaikan dalam
masa dua bulan sahaja dan akhirnya aku menerima kelulusan senat pada 9 Disember 2021.
Sama sekali aku tidak menyangka dapat mengakhiri perjalanan pengajian ini dalam tempoh masa
yang singkat. Walaupun aku adalah pelajar separuh masa dan tempoh Graduate On Time (GOT)
yang ditetapkan oleh pihak universiti adalah selama empat tahun, namun aku telah membuktikan
aku dapat menghabiskan dalam tempoh masa kurang daripada yang ditetapkan.
Maksudnya aku telah berjaya Graduate Before Time (GBT). Eh, ada ke istilah GBT tu ya?
Tak apalah. Apa-apa pun, aku bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT anugerahkan kepadaku
di sepanjang perjalanan pengajianku ini. Tentunya kejayaan ini adalah hadiah teristimewa buat
suamiku, dua orang puteraku dan kedua arwah ibu bapaku. Terima kasih yang tidak terhingga
kepada penyeliaku yang banyak membimbingku di sepanjang perjalanan ini. Eh, tak sabar
rasanya nak lambung topi bulat!
Semoga jurnal perjalanan ini menjadi perangsang kepada para pelajar PhD separuh masa
sepertiku yang sedang bertarung mengharungi pahit manisnya sebuah perjalanan dalam bidang
pengajian masing-masing.
Sandarkan segalanya kepada Allah SWT dan jalan terus!
54
Dr. Sharifah binti Shafie dilahirkan pada 15 September 1977 di Hospital
Besar Alor Setar merupakan puteri bongsu pasangan suami isteri Shafie
bin Arshad dan Melor binti Lebai Teh. Mempunyai empat orang adik
beradik. Beliau merupakan pelajar HLPS tajaan KPM ambilan 2018.
Bertugas sebagai Pegawai SISC+ di Pejabat Pendidikan Daerah
Kubang Pasu, Kedah.
55
Kisahku
Masyithoh Md Zuber
“That one man can make you or break you”
Ucapan Profesor Datuk Dr. Asma binti Ismail, mantan Naib Canselor USM itu dalam ucapannya
ketika Forum MyHef 2017 sangat dekat dihatiku.
Ya. Kejayaan menggenggam sebuah ijazah sarjana bukanlah hasil usaha aku seorang
sahaja. Ianya merupakan pengorbanan dari insan-insan tersayang di sekeliling aku juga. Anak-
anak, keluarga dan rakan-rakan di sekolah tidak lokek membantu memudahkan urusan. Namun,
insan yang paling terkesan semestinya suami yang perlu memikul separuh tugasan harianku di
rumah.
Sepuluh tahun yang lalu…
Usai kelas yang terakhir di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perlis, aku segera
mengatur langkah ke Jabatan Sains dan Matematik. Daripada pensyarah-pensyarah, aku mohon
restu dan sedikit laporan ringkas mengenai biodata akademikku untuk permohonan melanjutkan
pengajian ke peringkat sarjana pula. Alhamdulillah semua berjalan lancar.
Kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Takdir tuhan
mengatasi segala perancanganku.
Sarawak.
Terpampang jelas. Penempatan pertamaku sebagai seorang Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan adalah di bumi Kenyalang. Borang permohonan menyambung pengajian ke peringkat
ijazah sarjana di Universiti Sains Malaysia, aku simpan kemas dalam fail peribadi.
‘Belum masanya,’ getus hatiku sendirian.
Aku terbang menunaikan tugasan sebagai seorang penjawat awam. Namun, cita-cita itu
tak pernah terpadam. Ketika sarat mengandung anak sulung, aku mengajak rakan serumah untuk
menghadiri satu seminar pengajian pasca siswazah di bandar Sibu. Sekali lagi, harapanku dalam
kesamaran bila melihat yurannya sahaja mencecah ringgit Malaysia dua puluh ribu.
Pada tahun 2014, akhirnya aku berjaya ditukarkan ke Sabak Bernam. Tempat di mana
suamiku bertugas. Alhamdulillah keluarga kecil kami disatukan di sini. Di sini segala langkah
bermula.
56
“Dik, bila nak sambung?” tanya rakan sekerjaku yang lebihku anggap sebagai kakakku
sendiri.
Figura istimewa ini bukan sahaja mempunyai ijazah sarjana, dia mempunyai 6 cahaya
mata ketika itu. Di sekolah, dia adalah individu yang penting mencorak anak bangsa dalam
pelbagai bidang walaupun tugas hakikinya seorang ustazah. Ada kalanya dia di padang melatih
murid bola jaring, ada masanya dia giat melatih murid syarahan dan bercerita. Berilah apa jua
tugasan pasti terlaksana sempurna. Satu yang jelas, beliau seorang yang sangat membantu
dalam memudahkan sebarang urusan.
“Anak kecil lagi kak. Nantilah,” balasku pendek.
“Dik, insya-Allah… Allah akan sentiasa bantu orang yang sambung belajar. Percaya kata
kak. Kak dah laluinya. PertolonganNya sentiasa hadir. Kakak akan sentiasa ada di belakang
adik.”
Terpempan. Sungguh katanya itu menyelinap masuk menyuburkan kembali cinta yang
lamaku simpan. Ya. Beliau bukan sahaja seorang guru yang baik, namun dialah penasihat dan
teman paling setia sepanjang aku di bumi Sabak Bernam. Dia yang punya tugasan lebih berat
dariku mampu menghabiskan pengajian, inikan pula aku cuma seorang guru biasa.
Petang itu aku pulang ke rumah. Penyataan tadi bermain-main di fikiran.
“Abang, Kak Tim tanya bila nak sambung?” ku cuba memancing respon suami pula.
“Sekarang pun boleh,” selamba jawapan sang suami.
“Serius?” tanyaku untuk kepastian.
“Tak payah fikir panjang. Redah je,” dia membalas dengan senyuman.
1 September 2016, suami menghantarku mendaftar sebagai pelajar pasca siswazah
USM. Bermakna, bermulanya kembara ilmu kami sekeluarga setiap minggu sejauh 267.45 km.
Perjalanan hidup kami kali ini tak mudah. Namun sebagai khalifah di muka bumi tuhan ini, kami
terima segalanya sebagai cabaran kehidupan. Barisan pentadbir sekolahku dan sekolah suamiku
banyak membantu kami. Jadual aku dan suami diatur semula agar kami dapat sampai ke Pulau
Pinang sebelum jam 3 petang setiap Jumaat.
Adakala kami sekeluarga pulang bersama menaiki kereta. Ada masanya apabila sang
suami mempunyai urusan, aku dan anak-anak menaiki kereta api laju dari stesen Tapah ke
stesen Bukit Mertajam. Di sana nanti, bapa mertuaku pula akan menyambut kami tiga beranak.
Berkejaran mengejar kereta api adalah panorama biasa kami. Tercungap-cungap juga apabila
memasuki perut kereta api. Perlu mendukung anak kedua yang ketika itu berusia 2 tahun sambil
memegang tangan si sulung yang berusia empat tahun.
57
Atas kepercayaan pihak sekolah yang banyak menyokong dan memberi ruang untuk aku
menyambung pengajian, aku dan suami tak pernah sekalipun menjadikan alasan belajar sebagai
modal untuk kami culas bekerja. Sebelum Jumaat, aku pastikan segala urusan di sekolah telah
aku siapkan.
Perjalanan ilmu bila mana kerana Allah segalanya terasa sangat indah. Bila rebah, tiada
gundah. Walaupun lelah, tetap jua melangkah gagah. Dari hari pertama perjalanan sarjanaku,
Allah kirimkan seorang sahabat syurga buatku. Susah senang dia setia di sisi.
“Syithoh, camna kita nak dapat dekan ni? Pointer kita jauh lagi ni,” tanyanya risau.
“Lulus pun dah syukur. Mana kerja, mana anak, mana assignment setiap minggu. Kita
survive pun dah syukur,” jawabku.
Benar. Sarjana membuka persepsi baru aku dalam menilai ilmu. Ilmu bukan untuk diukur
dengan kejayaan lulus atau gagal. Lulus bermakna usahaku berhasil dengan izin tuhan yang
memudahkan aku untuk menerima ilmu itu. Gagal bermakna ilmuku masih belum sempurna dan
tuhan menunda ilmu itu untukku cerna.
“Weh, Syithoh! Hang dah ambil sijil dekan hang di pejabat?” tanya rakan sekuliah.
Sijil dekan? Aku tak pernah bermimpi untuk berada dalam senarai. Aku sedar kekangan
diri. Aku berdiri di sini hanya atas sebuah cinta yang mendalam pada ilmu Matematik. Lantas,
kejayaan ini kusambut dengan sujud syukur.
Namun sekali lagi Tuhan menguji perancanganku. Di saat aku nekad untuk
mempercepatkan kesarjanaan dengan mendaftar kursus tesis satu semester lebih awal, aku
perlu reda bila aku disahkan hamil bayi ketiga. Hamil bermakna perjalananku agak sedikit
terganggu, bila aku akan melalui trimester pertama dengan ‘morning sickness’. Langkah yang
mulanya kuatur laju, mulai perlahan.
Seperti yang kujangka. Satu kursus teras gagal dan satu kursus elektif lulus sahaja.
Keputusan ini sedikit menurunkan PNGKku. Tapi aku reda.
Kucapai telefon memaklumkan keputusan itu pada kedua abah dan mak. Niatku hanya
satu, aku tahu motivasi aku ada di situ.
“Adik, tak pa cuba lagi. Mak tahu adik dah usaha. Mengandung lagi, kerja lagi, anak-anak
lagi, rumah tangga lagi, mengaji lagi. Adik sampai tahap ini pun mak dah bangga. Adik tak boleh
banding diri dengan masa belajar dulu tak ada tanggungjawab,” nasihat mak.
“Abang, dua paper tak perform,” aduku pula pada suami.
“Jom, kita pi makan. Kita celebrate usaha sayang,” jawapan daripada sang suami yang
tak pernah luntur memberikan sokongan.
58
Lega. Tangki emosiku kembali penuh.
“Syithoh ok ka?” rakan-rakan pula mula melontar persoalan pada sahabat baikku.
Tatkala mereka mendapat tahu keputusan peperiksaanku. Lalu persoalan itu disampaikan
kepadaku. Aku hanya mampu ketawa dan tersenyum.
“Gilalah kami kalau kami harap dapat A bila kami tau kami tak study sangat untuk paper
Statistical Inference tu,” balasku.
Lega rakan-rakanku bila mendengar jawapanku.
‘No Pressure, No Diamond’
Potensi terbesar dalam diri hanya akan nampak saat menghadapi tekanan. Viva voce
berjalan lancar dengan keputusan lulus bersyarat walaupun dalam keadaaan sarat 38 minggu.
Tesis lengkap pembetulan perlu dihantar dalam masa sebulan. Dalam kesibukan menyiapkan
pembetulan tesis, kerja-kerja sekolah juga perlu dilunaskan sebelum cuti bersalin. Seminggu
selepas viva-voce aku selamat melahirkan anak ketiga.
Khaira Yusra. Sebaik-baik kesenangan maksudnya. Nama bayi ketigaku. Yang aku
dedikasikan khas dari Surah Al-Insyirah. Di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan.
Yusra lahir bersama demam kuning yang panjang. Lapam hari kami berkampung di dalam
wad. Dalam keadaan berpantang, anak masuk wad dan anak-anak lain ditinggalkan dirumah, hati
semakin rawan. Tekanan semakin meningkat apabila memikirkan tarikh akhir serahan tesis
lengkap. Aku nekad menyiapkan tesis di dalam wad. Sambil menemani Yusra di bawah lampu
biru, aku teruskan penulisan.
Usai kami keluar wad, beberapa hari berikutnya kami bergegas pula ke USM bagi proses
penghantaran tesis. Yusra yang baru berusia 3 minggu ketika itu membuat perjalanan
pertamanya membelah Lebuhraya Utara-Selatan dari Alor Setar ke Pulau Pinang bersamaku.
Tepat jam 4:00 petang, kami tiba di USM dan aku berjaya menyerahkan tesisku pada petang
Jumaat nan syahdu itu.
Setelah melalui saat getir itu, barulah aku dapat berpantang dengan sempurna layaknya.
Masih berbaki dua kursus bagi melayakkan aku menggenggam ijazah sarjana. Kali ini, aku sedar
tanggungjawabku semakin bertambah. Bayiku masih kecil dan memerlukan kehadiran ibunya.
Aku mula mengambil satu subjek untuk satu semester.
Alhamdulillah tanggal September 2019, aku berjaya melangkah tangga Dewan Tunku
Syed Sirrajudin untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Sains (Matematik Pengajaran).
59
Masyithoh Md Zuber merupakan seorang pendidik yang berasal dari
negeri jelapang padi. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah
Kebangsaan Sultanah Asma dan pendidikan menengah di Maktab
Mahmud Alor Setar. Lulusan Sarjana Sains (Matematik Pengajaran) dari
USM dan kini sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran
dalam bidang Pendidikan Matematik juga di USM.
60
Kerana Kau Ku Teruskan
Izzat Fadhli Hamdan
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
PROLOG
Hanya tinggal tiga penerima sahaja lagi sebelum nama aku dipanggil untuk naik ke pentas
keramat itu. Ya, hari ini merupakan detik bersejarah dalam hidup aku. Perjuangan yang aku
mulakan kembali kini tiba ke penamatnya. Namun, bagi aku, ini hanyalah penamat untuk
membuka kepada permulaan baharu dalam hidup aku.
Terima kasih buat semua insan yang menyokong aku. Ya, sokongan yang aku amat
perlukan dalam meneruskan semula perjuangan ini. Sokongan mental, emosi, wang ringgit dan
juga tenaga. Segalanya aku ucapkan terima kasih. Buat yang menjadi tembok penghalang, aku
titipkan kata “terima kasih” jua kerana jika tidak kerana kalian, aku tidak akan mungkin lebih kuat
dari sebelumnya. Jatuh tak beerti kalah. Rebah tak semestinya punah.
“Dipersilakan penerima seterusnya...Saudara Izzat Fadhli bin Hamdan...”
Dengan kalimah alhamdulillah kaki ini melangkah dan dengan lafaz bismillah aku meleretkan
pena menukilkan madah.
*****
Sesekali aku teringat-ingat kenangan sewaktu menjadi pelajar di sebuah institut
pendidikan guru dahulu. Barangkali rindu. Tetapi sekalipun rindu entah mengapa aku tidak
memilih untuk mengulangi semula detik itu. Jerih perjuangan untuk menamatkan pengajian masih
lagi membekas di fikiran. Putus asa? Ditahankan sahaja. Rasa seperti mahu menamatkan
pengajian sebelum masanya, kerap kali datang tanpa diminta. Hanya daripada Allah aku
memohon supaya dipinjamkan kekuatan untuk menamatkan pengajian.
Waktu berlalu.
Alhamdulillah, akhirnya aku bergraduasi. Lima tahun enam bulan aku bergelar mahasiswa
pendidik di sebuah institusi pengajian tinggi. Selama tempoh itulah, ada sahaja pelbagai kisah
suka dan duka. Pastinya apa berlaku tidak semestinya buatkan aku gembira. Lebih-lebih lagi
apabila institusi pengajian tersebut bukanlah pilihan universiti idaman yang pernah diinginkan.
Kerana aku anak sulung, aku turutkan jua. Kurelakan meski dengan pencapaian SPM ini, boleh
sahaja aku dapatkan tempat yang jauh lebih baik.
*****
“Izzat, saya yakin awak boleh berjaya.
61
Daftarlah program ini. Ingat, jangan takut untuk gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah
orang yang tidak pernah melangkah...”
Kata-kata itu bermain di minda. Aku dahulu bukanlah seorang pelajar yang disukai oleh
pensyarah. Aku hanyalah “pembawa” masalah kepada mereka. Sudahku katakan yang aku
sebenarnya tidak minat untuk meneruskan pengajian sebagai mahasiswa pendidik ini sedangkan
aku lebih selesa bermain fakta dan kata membela nasib mereka yang membayarku untuk kuwakili
di kamar bicara.
Namun, mengapa? Kenapa Dr. hubungi aku semula dan mohon aku untuk sertai program
persisir ini? Ah.! Ini hanya untuk imbalan dia sahaja, getus hatiku. Masa berlalu untuk 3 minggu
hinggalah sekali lagi kuterima panggilan.
“Awak boleh cuba dapatkan tajaan Izzat. Saya akan usahan awak boleh dipanggil untuk
temuduga. Janji awak mahu teruskan kajian awak untuk membela nasib murid khas ini...”
Kali ini aku mesti nekad untuk buat keputusan. Keputusan yang akan memberikan
lembaran baru dalam hidupku. Bergelar pelajar semula setelah lebih sepuluh tahun aku
tinggalkan dunia belajar. Aku kini perlu belajar semula. Apakah berbaloi pengorbanan aku ini?
Semua ini kerana mereka. Anak syurga yang sentiasa mencuit hatiku. Kerana mereka, aku
teruskan.
Ya, paradigma aku berubah apabila aku mula sertai praktikum di sebuah sekolah yang
mempunyai program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI). Di saat ini, hatiku sangat tersentuh
bilamana melihat senyuman iklas anak-anak syurga ini.
*****
“Terima kasih cikgu ajar saya. Esok saya nak belajar dengan cikgu lagi..”
Kata-kata itu keluar dari mulut anak muridku yang menghidap masalah autisme. Agak
sukar untuk mengawal tingkah laku mereka sehinggalah aku temui cara untuk mereka cipta
sebuah alat bantu mengajar yang dilengkapi bunyi dan warna yang menarik. Aku bersyukur
diberikan ilham yang dipinjamkan dari Allah untuk mereka cipta alat ini. Aku namakannya Stesen
Pintar, (SteP). Ya, stesen yang cukup ‘pintar’ untuk menarik minat murid berkeperluan khas ini.
Cukup ‘pintar’ untuk digunakan dalam subjek yang lain.
Hasil tinjauan awal, alatku ini membuahkan hasil. Anak-anak syurga ini, seronok
menggunakannya. Selangkah demi selangkah, akhirnya mereka gembira dan cekap
menggunakan alat ini. Maka aku nukilkan kata untuk alat inovasiku ini...
62
“We learn Step by Step”
Aku dikehendaki mengajar Pendidikan Jasmani Suaian di sekolah itu. Di sini aku hadapi
sekali lagi cabaran bilamana sekolah ini tidak dilengkapi dengan alatan sukan yang lengkap. Aku
cabar diriku. Cukup berikan seribu alasan tanpa fikirkan jalan penyelesaian. Aku buatkan alatan
sukan dari batang paip PVC yang aku dapati di kedai alatan logam dan berbekalkan modal inilah
anak muridku kini kembali fokus dan minat untuk belajar. Bukan sahaja subjekku, tetapi juga
subjek yang lain.
*****
“Baik Dr. Saya terima cabaran Dr untuk teruskan pengajian dan membela nasib anak
syurga ini...”
Namun, seperti yang kuduga. Bukan mudah untuk aku kembali menjadi mahasiswa
pendidik lebih-lebih lagi perjalanan hidup sebagai pelajar pascasiswazah jauh berbeza.
Walaupun tempoh hanya dua tahun, namun, cabaran jauh berbeza. Ya, aku mahu segera
tamatkan pengajian dan Graduate On Time (GOT). Dua tahun sahaja. Cukup. Tidak boleh lebih.
Aku terpukul dengan jumlah yuran yang aku terpaksa jelaskan di semester satu dan
seterusnya bagi meneruskan pengajian ini. Pinjaman pendidikan aku tidak diluluskan. Aku
terpaksa menggunakan duit gajiku bagi menjelaskan yuran pendaftaran.
“Ah, aku rasa aku akan gagal..!”
*****
Aku tidak mampu untuk teruskan. Aku dah tidak ada wang yang cukup. Yuran program
persisir ini sangat mahal dan aku kena tanggung sendiri. Mana tidaknya, untuk permulaan
sebelum mendaftar, aku perlu jelaskan RM2000.00. Baru aku dibenarkan untuk mendaftar.
Selepas itu, dalam masa sebulan, aku perlu jelaskan RM5600.00 untuk yuran semester pertama.
Aku tidak mampu.
Mujur suri hatiku banyak bersabar dan memberikan sokongan kepadaku. Kami membuat
perbincangan dan menyusun kembali perbelanjaan keluarga. Sehinggalah satu hari, aku nekad
untuk memohon tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
Maka bermulalah tekadku dengan segenggam tabah. Kumulakan penulisan kertas
proposal kajianku. Aku tidak boleh gagal kali ini. Aku mesti dapatkan tajaan ini dan tamatkan apa
yang telah aku mulakan.
Aku hilang punca. Penulisan proposal aku tergantung. Aku tatapi semula setiap keping
gambar kenangan bersama Arif, Nasuha dan Daniel. Semua mereka ini anak syurga autisme dan
mereka inilah obor pembakar semangatku. Ya, kajian ini harus aku teruskan ke peringkat yang
63
lebih tinggi. Aku bukan sahaja membawa harapan, malah amanah untuk mereka ini. Bantu diri
untuk bantu mereka yang lain.
*****
Saat aku dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga HLP, aku bawa semua kelengkapan
yang ada. Sehari sebelum itu, aku telah bermalam di sebuah hotel bajet untuk memastikan
persediaan temuduga aku tidak terganggu dengan masalah lalu lintas. Semua dokumen telah
aku susun dalam sebuah fail mengikut senarai semak yang dikehendaki oleh Bahagian Tajaan.
Aku juga membawa sebuah beg yang berisi semua sijil penghargaan dan penglibatan aku
dalam bidang sukan terutamanya inovasi pendidikan untuk anak-anak syurga ini. Sudah
semestinya Stesen Pintar. Aku bawa juga ke dalam bilik temu duga ini untuk ditunjukkan kepada
panel penilai. Jika ada rezeki aku, mereka pasti akan tertarik dengan alat tersebut.
Kali ini, langkahku ke bilik temu duga semakin yakin. Lebih-lebih lagi dengan segala tips
yang telah diberikan oleh kumpulan We4U yang telah banyak membantu aku menyusun semula
proposalku daripada terumbang ambing kepada penulisan yang lebih tersusun dan mempunyai
novelty yang benar-benar dapat menyumbang kepada nasib anak istimewa ini.
“Ah, sukan! Semua orang boleh buat...”
Acapkali aku mendengarkan perkara ini. Seakan bidang yang aku ambil ini dipandang
enteng dan mudah. Namun, mereka semua tidak mengerti. Biarlah. Bagi aku, bidang inilah yang
amat penting untuk perkembangan kognitif murid terutamanya anak-anak syurga ini. Jika tidak,
masakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tunjang Jasmani didahulukan. Begitu juga
halnya dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012-2025, yang menitik
beratkan pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK) dalam salah
satu laporan yang perlu dilaporkan oleh semua guru.
Teringat kembali sewaktu aku menjalankan kajian tindakan buat murid berkeperluan khas
di sebuah sekolah. Aku dapati, mereka lemah dalam balingan bola. Daripada pemerhatian itu,
aku terpanggil untuk kembali menggunakan alat reka ganti yang telah aku cipta sewaktu
praktikum dahulu.Ya, Stesen Pintar aku gunakan kembali untuk menyumbang kepada anak
syurga ini.
Sumbangan aku ini walau tidak seberapa namun telah memberikan impak kepada guru
di sekolah itu. Murid berkeperluan khas di sana telah berjaya melakukan aktiviti dengan jayanya.
Aku impikan satu hari nanti, semua murid khas di seluruh Malaysia akan menggunakan alat yang
aku reka cipta ini. Aku berangan?. Ya, tidak salah untuk berangan kan?
Aku sedar bahawa angan-anganku itu akan kekal menjadi angan-angan apabila aku
membiarkan ia terus berada di benak fikiran tanpa ada usaha untuk aku merealisasikan. Dan kini,
64
aku telah mulakan langkah. Alat telah aku cipta. Kajian tindakan telahku mulakan. Aku kini perlu
teruskan ke peringkat yang lebih tinggi. Setinggi awan di langit.
*****
17 Jun 2021. Tarikh itu tidak akan aku lupakan. Apabila peti masuk e-melku tertera e-mel
daripada Bahagian Tajaan.
“...Sukacita dimaklumkan bahawa tuan/puan telah berjaya dipilih dan ditawarkan program
HLP/CBBPDB ambilan tahun 2021 untuk mengikuti pengajian seperti ketetapan berikut...”
Maka dengan ini, masalah kewanganku telah berakhir. Namun, amanah baru terpikul di
bahu. Duit tajaan ini akan aku gunakan untuk meneruskan kajian dan dapat menyumbang semula
kepada pembangunan murid bekeperluan khas ini.
Bukan mudah sebenarnya untuk aku memegang amanah ini. Semua amanah ini amat
berat rasanya untuk aku pikul seorang diri. Dan tatkala aku seakan hilang arah dan punca,
panggilan itu kembali. Deringan telefon pintarku kedengaran dan lantas aku sambutnya dengan
senyuman.
“Izzat, tahniah. Teruskan untuk tamatkan apa yang dimulakan. You are doing the great
thing. All the best and Allah will always be with you.”
Terima kasih Dr. atas nasihat dan dorongan. Insan inilah yang membuatkan aku kembali
bergelar mahasiswa. Insan ini jugalah yang membantu aku untuk meneruskan permohonan
biasiswa, dan insan ini jugalah yang memberikan aku keyakinan bahawa aku mampu untuk
teruskan ke penamatnya.
*****
EPILOG
Aku titipkan doa buat dia yang telah pergi meninggalkan diriku. Buat mentorku yang telah
banyak memberikan inspirasi dalam hidupku. Tanpa dia, tidak mungkin kini aku bergelar seorang
pensyarah dan memegang gelaran doktor di pangkal namaku.
“Terima kasih Dr. Pengorbananmu akan kukenang selalu...”
Kisah ini akan kuceritakan kepada semua. Biar dibukukan untuk dijadikan tauladan di
masa hadapan. Buat pelajar di bawah seliaanku, aku harap kalian benar-benar ikhlas dalam
menuntut ilmu. Ingat. Betulkan niat kenapa kalian memilih untuk terus menyambung pengajian di
peringkat tertinggi ini. Mengapa kalian memilih jalan ini? Adakah untuk diri sendiri atau untuk
berbakti kepada pertiwi?
65
Jatuh tidak beerti kalah. Rebah tidak beerti punah. Ayuh, kita sama melangkah dengan
megah. Membela nasib anak syurga dengan sabar dan hikmah.
“Jatuh tak beerti kalah. Rebah, tak beerti punah.
Kini, izinkan aku melangkah dengan penuh megah”
Izzat Fadhli Hamdan. HLP 2021/2022
66
Menuju ‘Graduate On Time’
Suhaida Shahar Zaman
Tarikh keramat 28 Ogos 2020 yang jatuh pada hari Jumaat penghulu segala hari merupakan
tarikh yang tidak akan dilupakan dalam hidup aku. Titisan air mata yang jatuh ke bumi menjadi
saksi jiwa aku yang melonjak kegembiraan. Kalau ikut rasa hati, hendak aku melompat sampai
ke bumbung. Ya, inilah tarikh aku berjaya mendapat tawaran Program Hadiah Latihan
Persekutuan (HLP) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan ambilan 2020 untuk menyambung
pengajian di peringkat sarjana bagi pengkhususan Matematik.
Inilah impian aku sejak tahun 2019 di mana aku berangan-angan untuk menyambung
pelajaranku ke peringkat yang lebih tinggi. Aku pernah mencuba untuk memohon HLP pada tahun
2019, namun aku kecewa kerana pada tahun itu, aku tidak melepasi tapisan pertama untuk
panggilan temuduga. Mungkin salah aku juga. Aku memohon bidang pengajian yang bukan
opsyen sebenar aku. Aku opsyen Matematik tetapi memohon bidang Pendidikan Khas. Tapi itu
tidak mematahkan semangat aku untuk memohon semula pada tahun 2020.
Kali ini aku memohon bidang Matematik iaitu opsyen aku yang sebenar dan aku berjaya
melepasi peringkat pertama untuk dipanggil temu duga. Mungkin lagi sekali rezeki berpihak
kepada aku. Pada tahun 2020, tiada temu duga dijalankan bagi permohonan peringkat sarjana
disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Aku hanya perlu menghantar video pembentangan kertas kerja. Aku berazam
bersungguh-sungguh untuk menghasilkan video pembentangan yang terbaik kerana aku
mempunyai asas kemahiran dan sangat suka menghasilkan video. Aku merasakan ini jalan yang
Allah SWT permudahkan untuk aku dan aku berasa sangat yakin yang aku akan berjaya.
Alhamdulillah, rezeki memang tidak salah alamat dan aku berjaya mendapat tawaran HLP. Ini
bermakna aku mendapat cuti belajar selama 2 tahun, bergaji penuh beserta elaun tetap dan
biasiswa dari pihak tajaan. Aku sujud syukur pada-Nya.
Aku menyelesaikan segala urusan dengan pihak tajaan biasiswa dan permohonan
universiti. Pada 12 Oktober 2020, bermulalah diri aku sebagai pelajar sarjana Matematik. Aku
memilih Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tempat untuk aku menuntut ilmu. Aku
memang sayang betul dengan UPSI. Ini kerana aku telah menyambung pelajaran di peringkat
Ijazah Sarjana Muda di UPSI pada tahun 1999-2002.
Terlalu banyak kenangan manis di UPSI apatah lagi jodoh aku juga berjumpa di UPSI.
Oleh itu, aku mahu menyambung dan mencipta kenangan sarjana pula di UPSI. Aku telah
mendapat 2 orang penyelia sebagai penyelia utama dan penyelia bersama yang akan
67
membimbing aku sepanjang pengajianku. Aku sangat bertuah menerima 2 orang penyelia yang
banyak membantu dan tidak putus-putus memberi sokongan di atas setiap apa yang aku lakukan
dalam pengajian. Alhamdulillah, semuanya adalah anugerah dari yang Maha Esa.
Semester satu berlalu dengan sangat cepat. Kenapa aku rasa sangat cepat? Ini kerana
pada semester inilah aku perlu belajar segala-galanya yang baharu. Segala pendekatan kajian,
teori dan model, kaedah untuk analisis data yang aku tidak pernah tahu kewujudannya sebelum
ini perlu difahami setiap satu. Al-maklumlah aku antara pelajar yang boleh dikategorikan pelajar
tua dan yang telah lama meninggalkan alam kampus.
Di peringkat sarjana ini, bagi aku segala-galanya ilmu baharu dan aku perlu kuasai untuk
aku siapkan kertas cadangan penyelidikan yang meliputi bab 1 hingga 3 termasuk instrumen
yang digunakan dalam kajian aku. Pada semester ini juga aku perlu membangunkan produk yang
merupakan tunjang utama dalam kajian aku. Selain itu, berpuluh-puluh artikel, jurnal dan tesis
yang aku baca untuk meningkatkan lagi kefahaman dan sebagai panduan buatku.
Oleh kerana aku mengambil mod pengajian secara penyelidikan maka aku hanya ada
satu kelas audit yang perlu aku ikuti. Kelas yang menerangkan tentang metodologi kajian. Segala
ilmu yang aku dapat aku simpan untuk rujukan kerana masih merangkak untuk memahami
semuanya. Aku perlu belajar sendiri. Oleh itu, aku mengikuti semua kursus yang dianjurkan oleh
pihak UPSI dan menyertai pelbagai kursus-kursus luar yang berbayar.
Semua kursus ini dilaksanakan secara atas talian disebabkan masih dalam situasi
pandemik. Kelebihan secara dalam talian, semua rakaman kursus diberi dan boleh aku jadikan
sebagai bahan ulangkaji. Selain itu, aku mengikuti sesi pembentangan kertas cadangan
penyelidikan oleh pelajar senior. Aku membuat nota-nota ringkas berdasarkan ulasan penilai
untuk digunakan sebagai panduan apabila tiba giliran aku untuk membentang nanti.
Cuti semester bermula tetapi bagi pelajar mod penyelidikan macam aku memang tiada
istilah cuti. Aku perlu menguruskan masa aku sendiri untuk aku siapkan kertas cadangan
penyelidikan dan membangunkan produk. Memang ada masa yang menyebabkan aku lesu dan
tidak bersemangat disebabkan belajar secara bersendirian.
Namun, bila berasa lesu, aku akan berehat sebentar dengan melakukan aktiviti yang aku
suka. Aku bagi masa pada diri agar kembali segar. Bila berasa kurang semangat, aku akan
hubungi kawan-kawan sarjanaku untuk mendapatkan kata-kata dan aura yang positif. Selain itu,
aku akan sentiasa mengingatkan diri kembali kepada niat asal untuk belajar dan menghargai
rezeki yang telah Allah SWT berikan.
68
Apabila semester dua bermula, aku telah menyiapkan kertas cadangan penyelidikan dan
produk kajian. Aku menghantar kedua-duanya untuk semakan penyelia. Seterusnya aku
membuat penambahbaikan berdasarkan cadangan dari penyelia. Aku telah bersedia untuk
melaksanakan pembentangan kertas cadangan penyelidikan.
Lebih cepat aku selesaikan pembentangan lebih cepat aku boleh mula buat kajian.
Walaupun hati aku berdebar-debar namun aku akui pembentangan kertas cadangan
penyelidikan ini perlu dilalui oleh setiap pelajar pascasiswazah seperti aku. Aku membuat
persediaan yang rapi dan seterusnya aku bertawakal kepada yang Maha Esa.
Pada akhir bulan Mei 2021, aku telah menerima tarikh bagi sesi untuk aku melaksanakan
pembentangan kertas cadangan penyelidikan. Apabila tiba giliran aku, aku terus membuat
pembentangan dengan penuh yakin. Terdapat dua penilai yang terdiri dari pensyarah Jabatan
Matematik yang menilai aku. Pelbagai komen yang aku terima. Aku telah bersedia dari awal untuk
menerima segala komen yang diberikan. Semuanya untuk kebaikan kajian aku juga.
Akhirnya, kertas cadangan penyelidikan aku telah diterima dan tertakluk kepada pindaan
kecil. Alhamdulillah, buat kesekian kalinya aku bersyukur di atas rezeki dari-Mu. Tidak dapat aku
gambarkan betapa leganya perasaan setelah selesai pembentangan. Kurasakan tidurku
dihamparkan dengan mimpi-mimpi yang indah. Aku telah melaksanakan pembetulan kertas
cadangan penyelidikan dan pembetulan aku telah disahkan. Maka, selesailah satu peringkat yang
paling penting sebelum kajian boleh dilaksanakan.
Seterusnya aku beranikan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu bagiku. Aku cuba
mendaftarkan diri sebagai pembentang kertas penyelidikan dan memasuki pertandingan inovasi.
Setakat ini aku telah berjaya menjadi pembentang dalam kolokium peringkat kebangsaan dan
persidangan antarabangsa. Suatu pengalaman yang sangat indah. Aku perlu membuat
pembentangan dalam Bahasa Inggeris dan aku berjaya melakukannya. Aku merasakan itu
kejayaan besar bagi diri aku yang Bahasa Inggerisku ‘suam-suam kuku’ sahaja.
Aku tahu untuk mencari pengalaman dan berjaya, aku perlu mempunyai keyakinan yang
tinggi. Aku fikir aku perlu mengambil semua peluang yang terbuka luas untuk pelajar
pascasiswazah seperti aku mengumpul pengalaman ketika belajar. Jika sudah mula bekerja nanti
mungkin ada kekangan dari segi masa.
Pada akhir bulan Oktober 2021 yang lalu, sekali lagi aku menerima berita yang sangat
menggembirakan. Produk kajian aku telah mendapat anugerah emas di pertandingan inovasi
peringkat antarabangsa. Terima kasih Allah SWT di atas rezeki yang Engkau berikan kepadaku.
Aku berkongsi berita gembira bersama dengan kedua-dua penyeliaku yang terlalu banyak
memberi tunjuk ajar kepadaku. Semoga anugerah ini menjadi kekuatan untuk membantu aku
69
ketika viva nanti. Anugerah ini memberikan aku semangat, motivasi dan kekuatan untuk
melakukan yang lebih baik sepanjang pengajianku ini.
Alhamdulillah, kini aku telah berada di semester tiga dan telah selesai melaksanakan
kajian sebenar. Aku selalu berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan pengajianku dan
aku dapat lakukan segalanya yang terbaik. Aku bertuah mendapat sokongan dan doa dari kedua
ibu bapaku, ibu bapa mertua, suami dan anak-anak. Sokongan dan tunjuk ajar dari kedua-dua
penyeliaku sangat-sangat membantu aku dan aku berjanji aku akan buat yang terbaik. Aku akan
berusaha bersungguh-sungguh untuk ‘Graduate On Time (GOT)’. Insya-Allah.
Suhaida Shahar Zaman
Seorang guru dan ibu kepada empat orang cahaya mata yang sentiasa
berfikiran positif dan bersemangat untuk mencari ilmu kerana Allah
SWT.
70
Rezekiku HLP 2020
Zurina Mustaffa
Permohonan
Tahun 2019 merupakan tahun yang amat mengecewakan aku, kerana tahun ini merupakan tahun
ketiga aku gagal dalam temu duga Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Dalam usia yang agak
senja, aku masih berminat untuk menyambung pelajaran. Ijazah Kedoktoran merupakan cita-cita
aku dari dulu tapi tersangkut dek kewangan dan komitmen pada keluarga.
Namun apabila iklan HLP keluar sekali lagi untuk pengambilan bagi tahun 2020, perasaan
aku berbelah bahagi sama ada aku ingin memohon atau tidak. Ditambah lagi perasaan kecewa
aku tidak dapat berpindah sekolah.
“Allahu, apa la yang Engkau ingin berikan pada hamba Mu ini?” itulah yang selalu bermain
di benak fikiran ku.
“Bang, iklan HLP keluar lagi, nak apply lagi tak?” tanyaku kepada suami dengan harapan
suami memberi jawapan yang dapat membakar semangatku.
“Applyla, tak rugi pun. Semua onlinekan. Kalau dapat, itu rezeki, kalau tak dapat tak
apalah,” jawab suamiku ringkas.
Setelah mengisi borang permohonan dan menyiapkan apa yang perlu, aku terus
memohon HLP untuk tahun 2020 dan menukar kursus yang biasa aku apply iaitu kepakaran
Pendidikan Islam kepada kepakaran Pengajian Al Quran dan Al Sunnah. Kali ini aku tidak
berharap sangat untuk mendapatkan HLP keranaku tahu saingannya sangat sengit.
‘Tak apalah… aku cuba untuk tahun ini, ada rezeki alhamdulillah,’ bisik hati kecilku
walaupun ada sedikit pengharapan dalam hati kecilku.
Proposal
Untuk mendapatkan HLP sudah tentulah perlunya kepada proposal yang mantap. Tiga
tahun berturut-turut aku menghadiri temu duga tetapi semua gagal. Banyak persoalan di benak
fikiranku. Proposal yang bagaimana Bahagian Tajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia
perlukan?
Berdasarkan pengalaman aku, tiga proposal yang aku bentangkan rasanya okey dan
bukan biasa-biasa sahaja. Aku banyak merujuk kepada tesis yang lepas tetapi semuanya tidak
melepasi temu duga. Jadi aku tercari-cari bagaimana bentuk proposal yang betul-betul mantap
dan diterima oleh Bahagian Tajaan.
71
Dalam permohonan HLP 2020, aku banyak berdiskusi dengan rakan KPLI aku yang dulu.
Zatun Najahah. Jadi banyak perkara yang boleh dibincangkan dalam menyediakan proposal.
Kami berbincang bagi memantapkan penulisan proposal kami.
Selepas mengetahui aku layak ditemu duga, aku berusaha untuk menyediakan proposal
yang terbaik. Aku cuba yang terbaik kali ni.
IPDA
Setelah mengetahui aku layak ditemu duga, aku cuba menyiapkan proposal aku dengan
memurnikan proposal tahun 2019. Aku rasa macam dah terbaik proposal aku ni.
‘Okeyla kut proposal ni, dah murnikan banyak kali, harap kali ni lepas la,’ bisik hati kecilku.
Dalam aku menyiapkan dan memurnikan proposal aku, tiba-tiba sahabatku Zatun
Najahah bertanya.
“Ina, nak join tak group Dr. Nidzam dari IPDA, dia nak bantu untuk mantapkan proposal,
tapi dia tak nak ahli yang ramai tau, saya dah join,” kata Zatun kepada aku.
Tersentak aku bila dengar sahabat ku dah join group untuk belajar menyiapkan proposal.
Jadi aku terus meminta nombor telefon Dr. Nidzam daripada Zatun Najahah.
Aku terus Whatsapp Dr. Nidzam dan meminta beliau add aku dalam group. Seharian aku
menunggu jawapan daripada Dr. Nidzam tapi tak terbalas. Mungkin masa tu Dr. Nidzam sangat
sibuk.
Pada waktu subuh keesokan hari, aku sekali lagi Whatsapp Dr Nidzam dan meminta
beliau add aku dalam group beliau. Aku tak putus-putus berdoa moga Allah mudahkan urusanku
dengan Dr. Nidzam.
Alhamdulillah, akhirnya aku telah diamsukkan dalam group HLP 2020. Ramai calon yang
join ketika itu, seingat aku dalam 90 orang.
Kelas Malam
Setelah aku dimasukkan dalam group Dr. Nidzam, maka bermula sesi pengajaran dan
pembelajaran aku bersama Dr. Nidzam. Aku mula berguru dengan Dr. Nidzam. Pada awalnya
aku kabur dengan apa yang diberitahu oleh Dr. Nidzam berkaitan metodologi kajian. DDR la,
manalah aku faham semua tu. Aku rasa aku la paling bodoh dan bangang dalam kelas Dr.
Nidzam.
Dalam kelas yang pertama seingat aku….
“Hampa buat tajuk apa, cuba share dengan saya,” tanya Dr. Nidzam
72
Setiap calon mengemukakan tajuk kepada Dr. Nidzam, seingat aku kebanyakan Dr. Nidzam puji
tajuk-tajuk yang dikemukakan oleh calon. Tiba time aku…
“Dr, tajuk saya bla..bla..bla..bla..bla,” ujarku dengan nada yakin yang amat.
“Hang, Zurina kalau tajuk cam tu, campak awal-awal lagi,” balas Dr. Nidzam.
Terkedu aku dengar kata-kata Dr. Nidzam… Hancur hatiku masa tu… Malu comfirm dah,
nasiblah orang tak kenal kita dan tak nampak kita sebab kelas melalui google meet.
Pada ketika aku bersedih dan kecewa dengan tajuk aku yang tidak menepati. Tetiba Dr.
Nuzul berkata “Zurina, tajuk nombor dua, janji buat dulu proposal.”
Barulah hati aku sedikit lega. Malam itu aku stress dengan tajuk aku.
“Apa lagi yang aku boleh buat,” bisik hatiku.
Aku tak nampak jalan. Ya Allah tika itu, rasa macam dah tak mampu nak teruskan untuk
siapkan proposal.
Setelah aku mengikuti banyak kelas Dr. Nidzam barulah aku nampak apa yang perlu
dibuat dan aku cuba untuk meluaskan pembacaan aku. Aku pernah berbisik, ‘Patutlah org PhD
ni bijak pandai (bukan aku ler) sebab depa ni kena banyak membaca.’
Walaupun Dr. Nidzam garang (bagi aku la..hahahaha..jangan marah) tapi aku suka kelas
beliau. Cara penerangan beliau sangat jelas. Sampaikan aku dapat menguasai metodologi DDR
ni. Bukan senang rupanya nak menyediakan proposal. Barulah aku sedar yang proposal aku
sebelum ni tidak memberi sumbangan kepada KPM. Patutlah asyik gagal sahaja temu duga.
Barulah aku tahu kelemahan aku berada di mana.
Setelah aku mengikuti kelas Dr Nidzam, aku dapat menguasai cara menulis proposal
dengan betul. Aku terharu dengan keikhlasan Dr Nidzam dan Dr Nuzul serta beberapa pensyarah
IPDA yang lain mengadakan kelas bimbingan tanpa mengira masa, kadang-kadang sampai jam
12 malam pun pernah. Yang paling hebat mereka tidak kenakan sebarang bayaran untuk kelas
bimbingan yang diadakan. Alhamdulillah, moga Allah memberikan ganjaran pahala untuk Dr.
Nidzam, Dr. Nuzul dan pensyarah-pensyarah IPDA yang terlibat dalam kelas bimbingan ini.
Seingat aku, sepanjang aku mengikuti kelas Dr. Nidzam, aku pernah mengikuti kelas
dalam kereta, mengikuti kelas sampai jauh malam. Mata mengantuk tapiku tahan jua sebab ingin
menimba ilmu daripada Dr. Nidzam. Kali ini aku betul-betul belajar dan bersedia untuk
menghadapi temu duga HLP.
Benarlah kata orang, nak dapat sesuatu kena berusaha. Dan aku yakin calon yang
berjaya dalam temu duga adalah calon yang hebat, yang penuh ilmu penyelidikan di dada. Cuma
aku yang syok sorang-sorang, sediakan proposal hanya merujuk tesis!
73
Temu Duga
Setelah bertungkus lumus mengikuti kelas Dr. Nidzam dan aku mula memahami cara
untuk menyediakan proposal, maka aku mula menyiapkan proposal dengan bersungguh-
sungguh. Ikhlas aku katanya 100% ilmu yang aku dapat dari kelas bimbingan Dr. Nidzam aku
gunakan. Nasihat dan tip-tip temu duga yang diberikan semuanya aku ikut. Memang aku betul-
betul pegang apa yang dikatakan oleh Dr. Nidzam. Betul-betul aku berguru dengan beliau.
Sungguh aku terharu, apabila masih ada insan yang sanggup membantu insan lain tanpa mengira
penat, lelah masa dan tenaga. Moga Allah memberkati Dr!
Semakin dekat dengan waktu temu duga, semakin rancak kelas Dr Nidzam. Kami
berkongsi pelbagai tip. Aku pun bersemangat.
Pada waktu itu, Allah uji hambanya dengan virus Covid-19. Sesi persekolahan
ditangguhkan cuma kami guru-guru sahaja yang hadir ke sekolah. Alhamdulillah ada hikmah di
sebalik ujian Covid-19, aku dapat menumpukan sepenuhnya masa membaca dan menghafal
proposal aku. Terima kasih Cikgu Shima kerana sudi pinjamkan bilik kaunseling sebagai tempat
aku bertapa untuk membaca dan menghafal proposal. Terima kasih juga Ustazah Nurul Hakimi
banyak membantu aku dalam memurnikan slaid power point aku. Terima kasih sahabat. Terima
kasih jua pada Tuan Guru Besar En Md Aris bin Yusof, banyak menyokong aku.
Tiba masa hari dan ketika yang aku geruni iaitu waktu temu duga. Aku mula berbicara
dengan Allah.
“Ya Allah, jika HLP ini baik untuk aku, Kau permudahkanlah, aku serahkan segalanya
kepadaMu,” itula doa aku setiap kali aku solat.
Tak lupa juga aku meminta suami aku berdoa untuk aku.
“Bang, jangan lupa doakan untuk ummi yer, moga kali ni ada cahaya untuk ummi,” itu la
kata-kata aku pada suamiku. Aku yakin suamiku akan mendoakanku kerana kami berkahwin tika
aku bergelar mahasiswi. Beliau amat faham tentang kehidupan mahasiswi.
Tak lupa juga aku meminta bonda tercinta mendoakan aku kerana aku yakin doa ibu tiada
hijab.
“Terima kasih mak, kerana sentiasa mendoakan anakmu.”
Hari yang ditunggu telah tiba, aku dipanggil temu duga di Cyberjaya. Rasanya ini kali
kedua aku temu duga di Cyberjaya. Harap aku tak jumpa la dengan panel yang lama. Rasa sedikit
cuak di hati aku…rasa malu dengan panel. Asyik tak lepas je.
Seusai solat Zuhur, aku terus mendaftar di bahagian kaunter pendaftaran calon. Nah aku
orang yang pertama yang akan ditemu duga di dalam bilik temu duga tiga. Aku bertawakal
sepenuhnya kepada Allah. Aku telah berusaha.
74
Di dalam bilik temu duga, terdapat tiga orang panel yang terlibat, dua orang panel lelaki
dan seorang panel perempuan. Rasa gemuruh, gementar semua ada. Aku diminta untuk
menceritakan biodata diri dalam Bahasa Inggeris. Aku terus memperkenalkan diri dan aku dapat
bercakap dengan yakin.
Tiba masa aku diminta membentangkan proposal aku. Aku bentang dengan yakin dan
pada masa itu aku cuba yang terbaik. Ada sedikit gugup jua dalam pembentangan aku.
“Zurina, boleh duduk, mengah dah saya tengok awak ni,” kata panel sambil tersenyum
Aku terus duduk dan memberitahu aku sedikit gugup. Setelah bersoal jawab berkaitan
dengan proposal, aku juga telah menyerahkan fail pencapaian aku di sekolah.
“Wah, banyaknya sijil!” Kata panel sambil membelek-belek fail aku satu persatu
“Okey Zurina, itu sahaja untuk kali ini, kalau ada rezeki, insya-Allah,” terpacul kata-kata
dari mulut panel.
Aku terus mengucapkan terima kasih dan meminta izin untuk keluar dari bilik selepas satu
jam lebih bersama panel temu duga. Rasa lencun badanku basah walaupun bilik tersebut sejuk
dengan penyaman udara.
Aku keluar dengan dada yang lapang walaupun dalam hati masih berharap supaya ada
sinar rezeki untukku bagi tahun 2020.
HLP 2020
Setelah selesai temu duga, aku meneruskan kehidupan seperti biasa. Aku solat hajat
memohon Allah mudahkan aku. Dalam bulan Ogos 2020, keputusan temu duga keluar, seingat
aku hari Jumaat keputusan keluar.
“Sayang, kali ni biar abang yang tengok result temu duga,” ujar suamiku.
“Baik la bang, harap ada rezeki kali ni,” balasku bersahaja
Sahabatku Zatun Najahah telah berjaya dalam temu duga sedangkan aku masih belum
tahu lagi keputusan. Seusai solat Jumaat, suamiku menelefon memberitahu bahawa aku berjaya
dalam temu duga.
‘Allahuakbar Alhamdulillah, terima kasih Allah.’
“Zatun, saya juga berjaya dalam temu duga,” aku memberitahu Zatun.
Kami sama-sama menangis. Seingat aku, kami menangis disebabkan banyak liku yang
kami tempuh sebelum temu duga. Barulah kami tahu bukan senang untuk menyiapkan proposal,
bukan senang kami nak memenangi hati panel yang semestinya detail dalam memastikan
sumbangan calon kepada KPM.
75
Pelajar PhD
Pada 12.10.2020 merupakan sejarah yang paling besar dalam diriku. Akhirnya cita-citaku
untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD berjaya. Syukur pada-Mu Ya Allah.
Sebelum temu duga, aku telah memohon untuk menyambung pengajian di Universiti
Malaya. Asalnya aku hanya teringin apply pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tetapi
atas cadangan sahabatku Suzana, akhirnya hati aku terbuka untuk ke Universiti Malaya.
“Ina, awak mohonlah UM, amik Prof Madya Dr. Zaharah Hussin dan Dr. Muhsien
Sulaiman sebagai penyelia. Dua-dua pensyarah ini sangat bagus.” ujar Suzana bersemangat.
“Ye ke? Tapi susahlah nak mohon UM, asyik loading ja website nya,” ujarku yang hampir
putus asa dengan line hot spotku
“Tak pe, awak send ja dokumen pada saya, biar saya uruskan,” balas Suzana.
Allahuakbar, terima kasih Allah datangkan orang-orang yang ingin mudahkan urusan
orang lain. Akhirnya aku berjaya ditempatkan di Universiti Malaya dan penyelia pengajianku
adalah Prof. Madya Dr. Zaharah dan Dr Muhsien. Alhamdulillah kedua-kedua penyelia ini sangat
baik dan sangat membantu.
Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan pengajian PhDku. Sesungguhnya aku yakin
Allah beri yang terbaik untukku. Rezeki yang diberikan sesuai pada masa dan tempat. Moga Allah
membalas dan memberi ganjaran pahala kepada insan-insan yang banyak membantu aku dalam
meneroka dan menjalani kehidupan sebagai pelajar PhD.
ZURINA MUSTAFFA ialah anak jati Terengganu. Mendapat pendidikan
awal di SK Alor Lintah, Besut dan SMA Ittifakiah Jerteh. Memiliki Diploma
Pengajian Islam Syariah KUSZA, kemudian melanjutkan pelajaran dan
dianugerahkan Ijazah Pengajian Islam (Syariah) di Universiti
Kebangsaan Malaysia. Seterusnya menyambung pengajian di peringkat
Master dalam bidang Sarjana Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di
Universiti Kebangsaan Malaysia\ dan merupakan pelajar Ijazah
Kedoktoran tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bidang
Pendidikan Islam pengkhususan Pengajian al Quran dan Al Sunnah
76
Benih Cita-Cita
Rohana Mohd Nawi
“Cita-cita akan menghidupkan jiwa dan akan bersama-sama dalam setiap detik nafas
kehidupan dan akan berakhir apabila terhentinya nafas ini.”
Impianku akhirnya tiba jua, setelah 25 tahun yang lalu memendam harapan dan cita-cita
untuk menyambung belajar sehingga ke peringkat PhD. Walaupun di usia 41 tahun, namun angka
itu bukanlah suatu halangan untuk meneruskan perjuangan di medan ilmu. Memang semenjak
dari tingkatan 4 lagi, aku telah letakkan satu target bahawa aku akan belajar sehingga ke
peringkat yang paling tinggi suatu masa nanti.
Impian ini sentiasa berlegar-legar dalam fikiran setiap masa dan kerap kali masuk dalam
mimpi. Ya, mimpi ini sebenarnya separuh kehidupan aku yang menyebabkan aku bersemangat
mengejarnya, tak kira susah payah jalannya, sanggup kuharungi. Target sebenar yang aku
sasarkan untuk memperoleh PhD adalah pada umur 40 tahun. Namun di usia 40 tahun, aku baru
mula memohon Tawaran Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBP DB / HLP).
Langkah Pertama “Road To PhD.”
Aku mengambil inisiatif beberapa bulan untuk mencari bahan-bahan berkaitan penyelidikan
yang ingin aku jalankan. Setiap kali ada ruang masa, pasti aku akan google bahan yang
berbentuk jurnal kajian pendidikan. Tak kurang juga, setiap artikel berkaitan cara penyelidikan,
akan aku download dan simpan dalam fail. Yang mana penting, akan kucetak, baca dan highlight
kan. Catat pula idea-idea penting untuk brainstorming idea, nampak apa keperluan kajian.
Begitulah aktiviti masa lapangku, seolah menjadi hobi dan pengganti waktu rehat. Sungguh, aku
tenggelam dalam mimpi untuk menggapai cita-cita.
Tawaran Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBP DB / HLP) keluar di paparan
iklan KPM pada bulan November. Terus sahaja diisi tanpa sedikit keraguan. Aku akan mulakan
pengajian PhD. Tekadku tanpa menoleh ke belakang lagi.
Dalam masa yang sama, dapat peluang menyertai Group We4u21 dalam telegram yang
dipelopori oleh Senior HLP 2020 dan Pensyarah dari IPG Kedah Darul Aman (IPGKDA), Dr
Nidzam. Banyak sangat perkongsian ilmiah yang dikongsikan, merangkumi persedian menulis
proposal, persediaan temuduga dan persedian menulis tesis melalui method Design and
Development Research (DDR).
Alhamdulillah sangat membantu dari segi content knowledge, proposal writing technique,
interview skills and motivation, sebagai langkah persediaan untuk temuduga HLP yang bakal
77
dihadapi nanti. Sebenarnya, aku mengikuti perkongisan dalam group ini sebelum dapat panggilan
temu duga lagi, tapi sentiasa optimis untuk mencari ilmu-ilmu penyelidikan.
Pengalaman Interview ( Jumaat, 9/4/2021 )
Masih teringat seusai tamat interview HLP di IPG Bangi, keluar dari bilik temu duga
dengan rasa penuh hambar, dan cuba pujuk diri agar terima apa-apa keputusan nanti, cuba lagi
nanti. Anggap ini sebagai satu pengalaman berharga. Bermula dengan pendrive yang damage
walaupun baru dibeli, dengan rasa terkejut, mempersembahkan proposal secara lisan tanpa slide
powerpoint. Aku cuba positifkan diri, dengan senyuman dari panel, aku dipelawa duduk. Terkaku
sebentar, bahan yang ingin dibentangkan sudah tidak boleh digunakan.
Duduk setentang dengan 3 penemuduga, aku menjelaskan serba sikit proposal yang
disediakan. Selepas itu, bermula sembang santai dengan penemu duga, bermula dengan isu
persediaan guru di sekolah dan berakhir dengan pertanyaan.
“Boleh saya tahu, kenapa awak patut dapat HLP?”
Berdegup jantungku, namun dengan senyuman dan cuba memberi keyakinan, aku terus
menjawab.
“Saya yakin kajian saya akan dapat membantu guru dan murid untuk lebih cemerlang,
Insya-Allah.”
Berita yang ditunggu tiba jua (Isnin, 31/5/2021)
Selama hampir 2 bulan selepas temu duga, aku menjalani kehidupan biasa sebagai guru,
cuba sibukkan dengan perkara-perkara lain untuk menghilangkan debaran yang terasa
menyesakkan dada. Kadang-kadang menangis juga memikirkan kegagalan yang bakal diterima.
Memang sangat takut untuk menerima sebuah keputusan yang sangat besar dalam hidup ini.
Masa ingin berkahwin di usia 22 tahun dulu pun, tidak begitu mendebarkan seperti keadaan
sekarang.
“Ya Allah, janganlah Dikau menguji diriku dengan perkara yang tak mampu aku
tanggung,” itulah doa yang sentiasa bermain di bibirku.
Hari yang paling mendebarkan dalam hidup tiba jua. 31 Mei 2021, link untuk semak
keputusan HLP keluar jam 2 petang. Kebetulan, aku sedang memandu pulang ke rumah setelah
setelah selesai mengajar sekolah. Debaran terlalu lama dirasakan, sepanjang 1 jam perjalanan
dari SMK Segambut Jaya ke rumahku ke Desa Coalfields Sg. Buloh, lampu isyarat sentiasa hijau,
langsung tak memberi kesempatan kepadaku menekan link semakan.
78
‘Hati tertanya-tanya, adakah isyarat hijau ini petanda baik untukku Ya Allah? Berjayakah
aku, atau sebaliknya?’ tak habis debaran ini berperang dalam hati.
Sesampainya di Desa Coalfields, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya.
‘Ya Allah, adakah hujan ini menangisi kegagalanku?’ hatiku bergolak lagi.
Tiba-tiba aku takut untuk menekan link yang ada depan mata.
‘Ya Allah, kuatkan aku menerima setiap ketentuan-Mu. Aku reda dan pasrah, setiap
ketentuan-Mu adalah yang terbaik untukku,’ hatiku bermonolog lagi.
Akhirnya, kukuatkan hati untuk menekan link semakan keputusan HLP. Air mata mengalir
deras, selebat hujan di luar keretaku setelah membaca paparan skrin telefon android milikku,
“Tahniah, Anda Berjaya!”
Terima kasih Ya Allah, atas lorongan untukku mencari ilmu-Mu. Permudahkanlah
perjalananku ini. Semuanya dengan izin-Mu. Hanya pada-Mu aku bergantung harap.
Terus teringat satu petikan hadis yang bermaksud…
“Sesiapa yang berjalan di atas jalan mencari ilmu, Allah akan permudahkan jalannya ke
syurga.”
-Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.-
Semoga jalan ini mendekatkan aku kepada-Mu ya Rabb.
“Bipp…bipp…bipp,” terkejut dengan deringan telefon tiba-tiba, di tengah kebanjiran air
mata yang masih laju.
Kumelihat nama paparan, Ateh Noraini. Terus kuangkat, ingin sekali berkongsi berita
gembira ini kepada sahabat ini, dan ingin sangat mendengar perkhabaran darinya. Kami sama-
sama mohon HLP 2021 di bulan November 2020, satu-satunya kawan semenjak dari Matrikulasi
Nilam Puri sehingga tamat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya.
“Assalam Ateh, dapat tak tawaran HLP?” Pembuka bicara terus kepada point penting.
“Andak, Ateh dapat, Alhamdulillah. Andak macam mana?”
Andak dan Ateh adalah panggilan untuk kami adik beradik Jihadian, satu kumpulan yang
dilantik untuk menghasilkan majalah tahunan di Nilam Puri (tempat Matrikulasi Pengajian Islam
Universiti Malaya) bagi tahun 1998-1999, iaitu Majalah Jihad.
“Andak pun dapat, Alhamdulillah, syukur ya Allah,” dengan deraian air mata yang semakin
laju.
“Andak, betul ke nak terima ni, takutnya,” tiba-tiba keluar soalan itu daripada Ateh Noraini.
“Ateh, Allah dah buka jalan untuk kita, kuatkan semangat, bulatkan tekad, kita boleh,
Insya- Allah.”
79
Dengan tidak semena-mena, kedengaran suara Ateh Noraini pula sebak, antara mimpi
dan realiti, memang ini bukan keputusan yang biasa. Apa tidaknya, sekiranya kami tidak mampu
tamatkan PhD dengan menghasilkan satu tesis yang diterima oleh senat, penaltinya nanti kami
perlu membayar RM 160 ribu kepada penaja, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Ini kerana,
sepanjang 3 tahun 6 bulan (7 semester), gaji kami dibayar penuh oleh Bahagian Tajaan, KPM
bersama elaun bulanan sepanjang pengajian.
Akhirnya, kami sebulat suara untuk menerima tawaran ini, dan sama-sama memilih
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai Pusat Pengajian yang akan kami terokai
khazanahnya, dengan Scholar Pendidikan yang berpengalaman dalam bidang pendidikan.
Kongsi berita gembira
Berita yang sangat indah ini dikongsikan dengan suami, adik beradik dan kawan-kawan yang
terdekat. Semuanya menyokong dan memberi kata-kata semangat. Ada juga kedengaran dari
kawan-kawan sekolah, yang menyatakan ketidaksanggupan untuk menambahkan ‘masalah’, tapi
aku hanya mampu tersenyum, tak mampu nak meluahkan apa yang terbuku di dalam hati, yang
sesungguhnya aku memang bertekad dengan sepenuh jiwa untuk melalui jalan ini. Walaupun tak
mampu memberi jaminan seratus peratus kepada kemampuan diri, namun akan aku cuba sedaya
mungkin dan melakukan yang terbaik dalam perjalanan ini, The Road to PhD, dengan izin-Mu ya
Rabbi.
Kursus Persediaan HLP, Bahagian Tajaan KPM (28/6/2021-8/7/2021)
Semua calon HLP yang layak telah disyaratkan mengikuti Kursus Persediaan HLP selama
dua minggu, untuk pelbagai taklimat sebelum menurunkan tandatangan persetujuan menerima
tawaran. Menurut data dari KPM, daripada 3538 permohonan, seramai 1505 dipanggil untuk temu
duga dan hanya 155 sahaja yang ditawarkan untuk program PhD dan 245 calon untuk Program
Sarjana (Masters). Apabila dipecahkan kepada bidang pengkhususan masing-masing, hanya 12
orang calon PhD untuk subjek Pendidikan Islam, mewakili satu Malaysia. Alhamdulillah, syukur
Ya Allah, aku adalah salah seorang dari calon itu.
Setelah tamat Kursus Persediaan HLP, aku mula sibuk menghadiri pelbagai bengkel dan
webinar online untuk menambahkan kemahiran dan pengetahuan dalam dunia PhD ini. Antara
yang paling berharga, dapat mengikuti webinar online peringkat antarabangsa anjuran Universiti
Pendidikan Indonesia, di mana penceramahnya ialah pelopor penyelidikan pendidikan dunia,
John W. Cresswell, yang menyampaikan perkongsiannya tentang metodologi penyelidikan.
80
Kuliah pertama (Jumaat, 22/10/2021)
Alangkah terujanya, esok adalah hari yang ditunggu-tunggu, kelas PhD pertama (GRU
10604) Penyelidikan Pendidikan di UPSI yang akan dikemudikan oleh Prof Azmil bin Hashim
(Profesor VK 7, Gred Khas C) dari Fakulti Sains Kemanusian. Sungguh tak sabar dan berdebar-
debar untuk memulakan perjalanan baru ini, seperti pelajar sekolah rendah yang hendak
memasuki sekolah menengah. Sungguh tak dapat digambarkan perasaan dalam menelusuri
pengalaman baru, mengutip butir-butir hikmah di bilik kuliah, bersama tokoh-tokoh ilmuan.
Walau bagaimanapun, kuliah untuk semester ini adalah berbentuk dalam talian sahaja
disebabkan langkah berwaspada dengan penularan Covid-19 yang masih dalam fasa pemulihan.
Walaupun tak bersemuka, ini bukanlah halangan yang besar bagiku, bahkan dikira rezeki juga
kerana tak perlu ulang alik ke Bandar Tanjong Malim.
“Belajar online adalah rezeki, boleh jimat masa, tenaga dan kewangan,” kata Dr.
Norhisham semasa taklimat kepada pelajar baru, kemasukan sesi 2021/2022.
Sekali difikirkan, memang rezeki juga belajar secara online. Tak perlu kalut nak travel
jauh-jauh, anak-anak di depan mata, terutama Ainul Mawaddah yang masih memerlukan
perhatian dariku, baru berusia 2 tahun 10 bulan. Perbelanjaan untuk minyak kereta, tol, makan
minum di sepanjang di permusafiran, bahkan mungkin terpaksa menyewa bilik sekiranya
keadaan mendesak, dapat dijimatkan dengan kaedah belajar secara maya.
Tapi, sekiranya bersemuka, ada kelebihan lain pula. Di samping dapat jumpa kawan-
kawan yang sangat memotivasikan, dapat juga melepaskan tekanan dengan perkongsian kawan-
kawan pascasiswazah, dapat jalan-jalan tambah ilmu di persekitaran kampus. Kembali teringat
pengalaman masa belajar Master di Universiti Islam Antarabangsa, mencari gerai atau restoran
makanan arab adalah kegemaranku. Sehingga kini, masih menjadi daya penarik untuk aku ke
sana, walaupun sudah 6 tahun meninggalkan Kampus UIA Gombak, The Garden of Knowledge
and Virtue.
Memori Bersama Arwah Ayah ( Al Fatihah untuk Almarhum Mohd Nawi bin Hamat)
Malam sudah menginjak ke angka 12 malam, namun memori ketika bersama arwah ayah
suatu masa dulu, kembali menyegarkan minda.
“Ayah nak anak ayah belajar pandai-pandai, sampai ke peringkat PhD, jadi orang yang
berguna, hidup pun senang, tak macam keluarga kita sekarang, kais pagi makan pagi.”
Itulah kata-kata harapan seorang petani, yang hidup bergantung kepada rezeki tanaman
padi dan hasil torehan getah yang disewa dari pemilik sawah dan kebun getah.
81
Tiba-tiba deraian air mata meluncur laju kerana tak dapat tunaikan hasrat ayah ketika
ayah masih ada. Ayah pergi meninggalkan kami terlalu awal, di usia 55 tahun, dan aku baru 3
tahun memulakan kerjaya sebagai guru, belum ada ruang masa yang sesuai untuk menyahut
harapan seorang ayah. Memang arwah ayah sangat memberi galakan untuk aku belajar,
sanggup kosongkan poket untukku membeli buku. Arwah sangat mahukan anaknya ini belajar
sampai ke peringkat PhD. Kini, tibalah waktunya ayah, Allah lorongkan jalan ini untuk anakmu
bermujahadah dalam dunia yang baru. Moga dipermudahkan-Nya. Amin.
The Sibling of PhD
Akhirnya, aku dapat adik beradik seperjuangan dalam Phd, seramai 10 daripada 12 orang
daripada kami telah membentuk The Sibling of PhD dalam media sosial Telegram yang
dinamakan group “Road to PhD”. Group ini asalnya tempat aku menyimpan semua bahan-bahan
berkaitan PhD, namun telah ditambah ahlinya dari kaum sejenis, iaitu dari geng ustazah sahaja,
selepas kami berkenalan dalam group HLP 2021. Ini kerana, senang antara kami semua
perempuan berkongsi, bukan setakat ilmu PhD, tapi semua masalah dikongsi dan diselesaikan
bersama, saling membantu dan saling memberi semangat. Alhamdulillah.
Perjuangan kami baru bermula. Ini adalah satu amanah yang akan kami pikul sebaik-baiknya
untuk membalas balik semua yang berkorban untuk kami sepanjang perjalanan ini. Juga kepada
Kerajaan Malaysia yang telah memilih kami untuk memikul tanggungjawab menjalankan
penyelidikan pendidikan. Moga ada manfaat untuk semua. Kami bukanlah orang yang hebat, tapi
berbekalkan semangat untuk melihat yang lebih baik pada masa akan datang, kami akan
berjuang. Inilah jihad kami di medan ilmu. Andai kami gugur sebelum tamat pengajian ini, syahid
adalah harapan yang terakhir kami. Doakan kami sehingga ke garisan penamat. Amin…
Terakhirnya, semoga perjuangan aku dalam PhD ini menjadi semangat untuk anak-anak
mencari ilmu sehingga ke liang lahad. Anakku Ainul Najihah, Ainul Dini, Luqmanul Hakim, Ainul
Insyirah dan Ainul Mawaddah, ingatlah pesan Umi ini baik-baik. Kutiplah permata-permata ilmu
sebanyak mungkin untuk bekalan di dunia dan di akhirat. Sepertimana mutiara kata dari wali Allah
Luqmanul Hakim.
“Ilmu itu harta di kala kamu miskin dan menjadi perhiasan di kala kamu kaya.”
Tidak dilupakan, suami tersayang Nor Najman bin Daud yang memberi keizinan untukku
menyambung pengajian ke peringkat ini, semoga kita sama-sama kuat mengharungi semua
bentuk ujian kehidupan.
“Tumbuhlah wahai benih cita-cita dengan siraman usaha yang berterusan, berbajakan
ilmu yang bermanfaat, di bawah sinaran para pendita keilmuan yang mempunyai keberkatan
82
ilmunya. Moga buahnya nanti semanis cita-cita, dapat dirasai oleh semua yang berhajat kepada-
Nya”.
Rohana binti Mohd Nawi, berasal dari Pasir Puteh Kelantan dan menetap
di Sg. Buloh, Selangor. Ibu kepada 5 anak ini bercita-cita tinggi dan
sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam hidupnya. Sebagai guru,
beliau berpengalaman mengajar di 5 buah sekolah di Kuala Lumpur
dalam tempoh 17 tahun. Mula menulis ketika bergelar pelajar PhD di
UPSI. Jom sama-sama dapatkan inspirasi dari tulisan kali pertama beliau.
83
Bingkisan Hati Pengalaman Belajar
Dr. Amani Dahaman@Dahlan
Dulu… terdetik dalam hati… bagaimana langkah-langkah untuk melanjutkan pelajaran? Pada
waktu itu, anak-anak masih kecil. Tahun 2004 kusambung Master secara part-time. Agak berat
kerana sambil bekerja. Belajar hari Sabtu dan Ahad. Tahun 2010 melanjutkan PhD secara full
time. Dua pengalaman yang berbeza. Secara part time dan full time. Keduanya ada kelebihan
dan kesukaran yang berbeza. Di ruang yang terhad ini ingin kukongsi persediaan yang kulakukan
untuk berada dalam medan jihad menuntut ilmu terutama bagi seorang isteri dan ibu. Antara tip
dan langkah yang boleh dikongsikan pada semua:
Pertama, kongsi azam dan cita-cita dengan pasangan hidup kerana sepanjang kita
belajar, kita amat bergantung dengan dorongan dan pemahamannya. Minta izin dan doa suami
atau pasangan agar Allah beri kekuatan dan kelapangan untuk belajar. Malah pasangan perlu
bersedia membantu dalam pelbagai aspek, bukan hanya nasihat dan dorongan. Tambahan pula
jika kita isteri dan ibu. Tanggungjawab kita perlu dibuat bersama pasangan kerana dalam masa-
masa tertentu. Kita perlu fokus sepenuhnya dengan pengajian dan penyelidikan. Pemahaman
pasangan termasuk anak-anak sangat diperlukan semasa fasa kita belajar.
Kedua, mohon restu ibu bapa. Ia amat penting dalam kita tetapkan hati agar tujuan kita
jelas dalam menuntut ilmu utk mencari mardhotillah (keredhaan Allah), kita perlu mohon restu
ibubapa sejak mula...bukan setelah mendapat tawaran. Masih kuingat, sebelum kumohon
tawaran biasiswa, kubertanya pendapat abah. Dorongan dan kata-kata abah tersemat dalam hati.
Semasa mendapat panggilan temuduga, abah masuk wad. Berat hati meninggalkan abah
walaupun adik dan suamiku menemani abah.
Kusuarakan.
”Abah, adik tak perlu ke interview, berat hati nak tinggalkan abah tengah sakit.” Tapi abah
bertegas agar kupergi juga.
Yang paling sebak bila abah kata, arwah ummi nak sangat tengok anak-anak
bersemangat belajar hingga ke tahap yang tinggi. Ia satu jihad. Balik dari interview di Kuala
Lumpur, perkara pertama yg disoal abah.
“Macamana interview? Bila dapat tawaran belajar?” Abah kelihatan sangat gembira.
Terucap di mulut abah, arwah ummi tak sempat tengok. Dalam medan jihad ini, restu ibu bapa
tersemat kukuh di jiwa ini.
Ketiga, survey bidang penyelidikan, supervisor dan universiti. Kita perlu fokus
penyelidikan tesis kita dalam bidang yang kita ceburi. Sebolehnya kalau peringkat Doktor
84
Falsafah, harus ada kaitan dengan bidang dalam Master dan Degree. Pastikan universiti pilihan
bukan sekadar jumlah yuran yang murah tetapi bidang yang kita mohon sesuai dengan universiti.
Sebelum kita sambung belajar, kita perlu approach professor dalam bidang yang dapat
menjadi supervisor kita supaya persediaan dan perbincangan fokus kajian kita lebih berfokus.
Setelah kita tetap hati dengan pilihan universiti, cuba kita berbincang dengan bakal supervisor
kita dari aspek fokus kajian kita agar kita tidak tersasar. Selepas itu baru kita buat pendaftaran
secara rasmi.
Keempat, bermulalah penerokaan yang maksimum di perpustakaan dan web yang
berkaitan dengan contoh tesis, format penulisan tesis, tesis-tesis, jurnal dan bahan-bahan yang
berkaitan dengan bidang kajian kita. Kita sudah dapat menyenaraikan konstruk-konstruk dalam
kajian kita. Pecahkan konstruk-konstruk kepada fail dan folder yg khusus di komputer. Cuba
belajar kemahiran-kemahiran baru khususnya yang berkaitan dengan penyelidikan. Jangan
malas ikuti bengkel-bengkel samada anjuran universiti atau sebaliknya dan dapatkan semaksima
kemahiran yang ada.
Kelima, persediaan bilik study di rumah khusus menjadi tempat yang privasi.
Alhamdulillah, suamiku membeli meja dan almari serta menukar salah satu bilik tidur sebagai bilik
study. Lengkapkan dengan papan putih untuk lakaran study maping, draf dan memo penting.
Buat jadual perancangan bulanan dan carta gantt dan lekatkan di luar pintu bilik tersebut. Setiap
kali melalui bilik, mata kita akan selalu melihat jadual tersebut. Kita perlu fokus dan bersemangat
dalam study. Banyak masa kita dalam bilik study supaya kita belajar dengan sistematik dan
teratur.
Keenam, kalau kita dalam cuti belajar, kita perlu membuat jadual harian. Pastikan kita
disiplin dalam mempraktikkan jadual tersebut. Diriku agak sukar untuk study di rumah pada siang
hari kerana mempunyai anak kecil. Jadi, setelah berfikir, kucuba berbicang dengan Timbalan
Pengarah tempatku bekerja agar mendapatkan satu ruang atau bilik. Alhamdulillah,
permohonanku diterima. Jadi rutinku lebih teratur. Selepas anak-anak ke sekolah, dalam pukul
9:00 pagi, setelah selesai jogging, aku mula masuk 'pejabat' hingga tengah hari. Ambil anak di
tadika seterusnya pulang ke rumah. Semasa petang dan malam baru guna bilik study di rumah
sambil membimbing anak-anak buat kerja sekolah.
Ketujuh, kita perlu membuat budget dan perancangan yang teratur sewaktu di universiti.
Contohnya dalam semester 1 pengajianku, aku perlu mengambil subjek wajib methodologi
penyelidikan setiap minggu. Jadi setelah berbincang dgn suamiku, salah satu kereta kutinggalkan
di universiti. Pada setiap minggu, aku akan travel dgn bas dari perlis ke Kuala Lumpur. Semangat
perlu kuat, tabah dan berdikari. Jangan jadikan alasan kita perempuan, kita tak mampu. Bila
85
sudah berkahwin, kita perlu lebih bersemangat dan jadikan teladan buat anak-anak kita bahawa
menuntut ilmu tiada nokhtahnya. Cari masa yang terluang untuk membaca. Handbag kita pun
kena besar. Beg yang kecil tidak sesuai kerana akan dimasukkan netbook, buku nota dan artikel.
Buku nota kecil, bila ada idea… terus tulis dan jangan tangguh sebab nanti bimbang terlupa pula
apa yang terlintas tadi.
Kelapan, perlu cari kawan yang sama- sama belajar terutama kumpulan yang sama
bidang atau sama jenis penyelidikan. Ia penting kerana dalam proses pengajian, kita akan rasa
sukar, kecewa, sedih dan buntu. Oleh itu, kita perlu berkongsi masalah dan cuba mendapat
nasihat dan tip. Diriku rasa bertuah kerana dua teman karibku juga mendapat tawaran yang sama
denganku walaupun lain universiti dan bidang, kami saling bekerjasama dan membantu antara
satu sama lain. Kita perlu bina team atau kumpulan terutama dalam bidang yang sama untuk
sama-sama berjuang.
Terakhir, perlu kuatkan ikatan hati dengan Allah Taala. Sentiasa Mohon keredaan dan
pertolongan-Nya. Allah janjikan syahid sekiranya kita meninggal dunia semasa menuntut ilmu. Itu
merupakan pentunjuk bahawa proses belajar ini memang susah dan mencabar. Matlamat kita
belajar perlu jelas dan kita selalu ingat agar kita tidak tergelincir. Membaca Al-Quran dan bangun
solat tahajud adalah terapi untuk kekuatan hati dan minda. Kita bergantung sepenuhnya kepada
Allah.
Ini hanya secebis perkongsian yang dapat dikongsikan kepada semua yang membaca.
Mudahan ini menjadi panduan terutama bagi individu yang bergelar isteri dan ibu. Moga
dipermudahkan urusan belajar kepada semua pembaca buku ini.
Dr Amani binti Dahaman@Dahlan, Ketua Jabatan Bahasa Arab, IPG
Kampus Darulaman. PhD dalam bidang Pendidikan Bahasa Arab,
Universiti Malaya. Bergraduasi pada tahun 2014. Pengajian secara
sepenuh masa. Ibu kepada 6 orang anak.
86
Perjalanan PhDku
Normiza Mohd
Merenung kosong ke arah skrin yang sarat dengan aksara, membuat mataku semakin kabur dan
fikiran makin buntu. Sejak dari pagi hinggalah saat ini, aku tak tahu apa nak di tulis. Itulah yang
terjadi bila terlalu lama tidak menulis tesis. Aku teringat kata-kata penceramah bila setiap kali aku
menghadiri bengkel penyelidikan.
“Pastikan setiap hari menulis walaupun satu perkataan atau satu ayat atau satu baris.”
Tapi ni bukan sehari tidak menulis, bukan sebulan tidak menulis, tapi hampir setahun. Memang
buntu dibuatnya.
Kadang-kadang aku terfikir, kenapalah aku mencari masalah? Kenapalah perlu aku
hadap semua ini? Tapi inilah kehendak hati aku, impian aku, sejak dari bangku sekolah adalah
untuk mendapat pendidikan tertinggi dalam bidang seni, bidang yang terlalu aku minat sejak
lahir,..hmmm…tak mungkin dari lahir, mana faham apa-apa pun lagikan. Ye lah dari kecil, yang
pasti dari tadika lagi, terlalu aku minat, hampir setiap hari melukis dan mewarna, dari tak pandai
lukis sampailah kawan-kawan sekelas kata aku pandai melukis. Bagi aku bolehlah…lukis sikit-
sikit cara aku. Walaupun sudah mempunyai ijazah dalam bidang seni, namun cita-citaku tidak
terhenti setakat itu. Cita-cita aku terlalu tinggi, tapi mampukah aku?
Alhamdulillah, aku bersyukur mempunyai pasangan hidup yang tahu impian isterinya
untuk sambung belajar, maka bermulalah episod memohon HLP. Sepatutnya aku sambung
belajar ambil PhD pada tahun 2013, tapi sayang sangat nak tinggalkan sekolah, tinggalkan
pelajar, itu yang berlarutan sehingga tahun 2018, lama sangatkan? Ye lah Master 2007, PhD
2018, jarak yang cukup buat aku lupa semua ilmu yang ada.
Sebenarnya, suami aku yang menyedarkan aku, tentang had umur untuk memohon HLP.
Aku lupa dan terleka dek kesibukan tugas sebagai guru kanan dan juga sebagai guru yang
mengajar tingkatan 5. Memang aku agak kelam kabut membuat persediaan untuk mohon HLP.
Tiga hari membuat proposal sampai nak pecah kepala, alhamdulillah rezeki aku dapat HLP, KPM.
Bukan sebab aku bijak, bukan sebab aku hebat, tapi itulah rezeki dari Allah, doa dari mak dan
ayah yang tak pernah putus-putus sejak dari kecil.
Sehari sebelum temuduga HLP, aku bermalam di hotel berdekatan, ditemani suami. Aku
membawa laptop dan printer untuk buat persediaan terakhir. Malam itu sempat lagi edit slaid
power point, print dan baca serta berlatih untuk ditemu duga. Suamiku selaku panel ‘olok-olok’.
Soalan oleh panel ‘olok-olok’ boleh tahan susahnya. Sambil terfikir, boleh ke nak menjawab
semua soalan pada keesoakan harinya? Soalan oleh panel ‘olok-olok’ pun banyak yang tergagap
87
gagap nak menjawab. Akhirnya pada 4 Mei 2018 bertempat di Institut Kemajuan Desa (INFRA)
2, aku pergi temu duga ditemani suami tercinta.
Detik yang mendebarkan akhirnya tiba jua. Aku masuk dalam bilik temu duga dengan
penuh debar. Aku memberi salam kepada 2 orang panel yang menantiku dengan senyuman.
Selepas aku menyerahkan cadangan kajian dan semua fail yang mengandungi sijil-sijil
perkhidmatan, panel meminta aku memperkenalkan diri dalam Bahasa Inggeris dan selepas
bersoal jawab mengenai diriku, panel meminta aku membentangkan cadangan kajian.
Kedudukanku berada agak jauh dari panel, berbeza semasa aku menghadiri temuduga master
dulu, ada 3 orang panel dan duduk bertentang mata.
Aku dengan penuh yakin dan bersemangat membentangkan cadangan kajian aku
dengan berbantukan slaid power point yang disediakan. Alhamdulillah aku bercakap dengan
penuh yakin, gemuruh aku hilang. Allah beri kekuatan padaku untuk bercakap dengan lancer.
Selepas pembentangan, panel menyoalku tentang kajianku, paling banyak berkaitan dengan teori
dan metodologi kajian, berpeluh jugaklah menjawab satu persatu soalan.
Akhirnya sesi temu duga pun berakhir selama satu jam. Maka hilanglah segala debar di
hati ini. Aku melangkah keluar dengan satu harapan iaitu kejayaan untuk mendapatkan HLP. Aku
tidak pasti mana datangnya keyakinan bahawa, aku pasti akan dapat HLP.
Tiba saatnya, keputusan HLP diumumkan pada lewat petang 08 Jun 2018, tapi 9 Jun
2018 baru aku tahu keputusan. Ingat lagi pukul 4:30 pagi, aku terjaga bila terdengar mesej masuk,
terus melihat peti pesanan. Mesej daripada kawan maklumkan keputusan HLP dah ada, aku pun
terus menyemak keputusan, Alhamdulillah berjaya dapat HLP, terus aku sujud syukur.
Syukur sangat bila dapat cuti belajar bergaji penuh dengan Biasiswa, Hadiah Latihan
Persekutuan, peringkat pengajian kedoktoran. Berita gembira aku maklumkan pada suami di
sebelah. Aku mengejutkan dia dari tidur kerana tidak sabar untuk memberitahu berita gembira.
Selepas solat subuh, aku terus menghubungi mak di kampung untuk memaklumkan berita
gembira ini. Alhamdulillah, terima kasih mak dan ayah. Terima kasih mak dan abah kerana
sentiasa doakan aku.
Pada 9 hingga 14 Julai 2018 aku menghadiri kursus persediaan pengajian bagi penerima
program cuti belajar bergaji penuh (CBBP) KPM di Institut Aminuddin Baki Kementerian
Pendidikan Malaysia di Genting Highland Pahang. Di sana aku berjumpa dan berkenalan dengan
semua penerima biasiswa dari bahagian selatan. Enam hari menghadiri kursus persediaan di IAB
Genting begitu bermakna dan pelbagai ilmu aku belajar dari Bahagian Tajaan. Banyak nasihat
dan tunjuk ajar dari pensyarah-pensyarah dari pelbagai IPTA berkaitan penyelidikan dan
cabaran-cabaran dalam perjalanan PhD nanti. Seronok, teruja, takut, risau dan macam-macam
88
lagi perasaan ada dalam hati ini. Pesanan terakhir sebelum kursus berakhir iaitu mesti GOT. Apa
itu GOT? GOT iaitu graduate on time, mampukah aku? In Sha Allah.
Masa untuk aku cuti belajar hampir tiba, rasa sedih meninggalkan pelajar aku yang akan
menghadapi SPM. Namun apakan daya, terpaksa juga aku tinggalkan mereka untuk mencapai
cita-citaku yang dah lama tertangguh. Aku lewat sambung PhD, sebab berat nak tinggalkan
pelajar dan tanggungjawab yang diberikan. Walaupun aku cuti belajar, setiap kali ada kelas, aku
tetap ke sekolah untuk mengajar kelas yang aku tinggalkan kerana sekolah tidak dapat
menyediakan guru untuk menggantikan tempat aku untuk mengajar mereka, disebabkan
kekurangan guru. Aku ke sekolah untuk mengajar mereka, ketika aku tiada kelas di kampus UPSI.
Akhirnya, pada 4 September 2018 aku melangkah masuk ke Universiti Pendidikan Sultan
Idris sebagai mahasiswa untuk kali ketiga, kali pertama pada tahun 1998 selama 3 tahun
mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni. Kali kedua pada tahun 2007 mengambil
Sarjana Pengajian Komunikasi Visual selama 2 tahun, serta mendapat cuti belajar bergaji penuh
dengan biasiswa KPM, dan kali ketiga mengambil PhD selama 3 tahun.
UPSI tetap menjadi pilihan untuk aku sambung belajar, mungkin sebab aku rasa selesa
belajar di sana. Kali ini perasaan aku lain macam sikit, mungkin sebab faktor umur yang sudah
mengjangkau 40an dan satu lagi sebab dah lama tinggalkan bidang kajian pendidikan, namun
begitu semangat tetap berkobar-kobar.
Bagi memudahkan pengajian aku di UPSI, aku menyewa rumah di Proton City. Pengajian
aku berjalan lancar seperti yang dirancang. Ada ketikanya aku berulang dari Ipoh ke UPSI,
adakalanya tidur di rumah sewa, biasalah bila dah bergelar isteri dan ibu kepada 3 cahaya mata,
keluarga menjadi keutamaan bagiku, tambahan lagi suami aku juga sedang mengambil ijazah
kedoktoran (HLPS) di UKM.
Malah dalam masa yang sama juga aku dan suami menjaga bapa mertua yang aku
panggil abah. Selepas selesai menjalani pembedahan lutut, abah diserang stroke menyebabkan
kaki abah menjadi terkulai lemah sebelah kiri dan pada masa yang sama, tempat pembedahan
terbuka dan perlu dicuci setiap hari.
Abah minta pulang ke rumah, rimas katanya tinggal di hospital lama-lama. Kami suami
isteri akur dengan permintaan abah. Bila dah berada di rumah, suami akulah yang akan mencuci
luka pembedahan. Setelah luka sembuh, aku membawa abah ke pusat terapi hampir setiap hari
sehinggalah abah boleh berjalan seperti biasa. Alhamdulillah abah boleh berjalan dengan baik
setelah hampir setahun menjalani terapi. Walaupun aku dan suami sedang belajar, orang tua
tetap menjadi keutamaan kami.
89
Sebenarnya, aku kasihankan suami aku yang perlu lupakan seketika pengajiannya, demi
menjaga abah, dan aku sentiasa di sisinya untuk membantu. Berbalik pada cerita pengajianku.
Aku mendapat 2 orang penyelia yang sangat baik. Ini adalah satu bonus untuk aku. Aku sentiasa
berjumpa dengan penyelia pertama dan penyelia kedua. Selalunya kami akan berjumpa serentak.
Selepas selesai berbincang tentang kajian aku, kami bertiga akan berbual pelbagai topik. Mereka
melayan aku seperti kawan. Jadi, aku begitu selesa apabila berurusan dengan penyelia-
penyeliaku, dan secara kebetulan tarikh lahir kami jatuh pada bulan yang sama, iaitu bulan
September. Adakah sebab kami lahir pada bulan yang sama, membuatkan kami serasi Bersama?
Wah, dah macam tajuk lagu pulak!
Alhamdulillah perjalanan PhDku, lancar seperti yang dirancang. Aku menyertai kelas
penyelidikan yang wajib diikuti pada semester 1 dan semester 2 serta bengkel-bengkel anjuran
IPS. Kalau ikutkan pada awal semester 2 aku sudah membuat proposal defense, tapi aku tak
yakin, rasanya macam tak lengkap lagi proposal aku, walaupun penyelia aku berkali-kali
meyakinkan aku, mulalah datang angin gemuruh aku.
Alhamdulillah, akhirnya pada 10 Disember 2019, dihujung semester 3 aku berjaya melalui
proposal defense dengan sedikit sahaja pembetulan. In sha Allah, GOT akan tercapai.
Alhamdulillah, selepas proposal defense, aku berangkat ke tanah suci menunaikan umrah
bersama keluarga, pada 14 –24 Disember 2019. Secara kebetulan penyelia-penyelia aku juga
turut ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah secara bergilir-gilir pada bulan Disember. Ketika
berada di Tanah Suci, aku tidak putus-putus berdoa agar Allah permudahkan urusan keluarga
aku, permudahkan perjalanan PhDku, viva PhD lulus cemerlang dan aku berjaya untuk GOT.
Aamiin.
Sekembalinya dari umrah, aku bersemangat untuk meneruskan kajian aku. Aku ke UPSI
berjumpa dengan penyelia untuk meneruskan kajian untuk bab seterusnya iaitu bab 4, bab
metodologi. Alhamdulillah, kajian aku lancar seperti yang dirancang. Namun pada penghujung
bulan Januari 2020, Malaysia di landa wabak Covid-19, maka bermulalah fasa belajar di rumah.
Semua sekolah dan IPT ditutup buat sementara. Semua pelajar perlu belajar dari rumah
termasuklah aku. Bila anak-anak belajar dari rumah, agak mencabar kerana aku perlu
memastikan anak-anak belajar mengikut jadual yang ditetapkan.
Bagi anak sulung dan anak kedua tiada masalah kerana mereka mampu belajar sendiri
secara online bersama guru dan rakan-rakan, namun tidak pulak bagi anak bongsu aku. Dia
seorang pelajar di Sekolah Pendidikan Khas. Aku sentiasa di sisinya hingga malam, untuk
menyiapkan tugasan yang diberi guru.
90
Alhamdulillah pada bulan Jun hingga Ogos wabak covid mula berkurangan, dan semua
pelajar boleh kembali ke sekolah. Begitu juga dengan aku. Aku mula merancang bersama-sama
rakan-rakanku untuk ke UPSI dan berada di sana selama lima hari. Kami hanya pulang ke rumah
masing-masing pada hari minggu pada setiap bulan sehinggalah apa yang kami target dapat
disiapkan. Kita merancang namun Allah yang tentukan. Pada 5 Ogos 2020, dalam perjalanan
pulang dari menghadiri bengkel di UPSI, aku mendapat panggilan dari kampung, menyatakan
mak aku sakit. Jadi aku pulang ke rumah, bersiap dan terus pulang ke kampung bersama-sama
suami.
Sampai sahaja di rumah, aku melihat mak terbaring di atas katil. Mak tidak boleh
menggerakkan badannya. Mak tidak boleh bangun atau berjalan. Mujur ada saudara berdekatan
membantu mak. Ayahku juga tidak sihat kerana mengalami sakit lutut. Badannya juga sudah tidak
kuat. Jadi, aku mengambil keputusan untuk membawa mak dan ayah tinggal bersamaku. Mak
sakit radang sendi, sakit lutut dan tulang punggung mak terkeluar dari kedudukan asal.
Adakalannya tidak boleh bergerak langsung.
Selama emak dan ayah tinggal dengan aku, jarang sekali aku pergi ke UPSI. Walaupun
ada bengkel, aku tidak dapat sertai. Tumpuan aku hanya pada mak dan ayah. Aku lupakan
seketika PhD ku, demi orang tuaku. Bagi aku, inilah peluang yang ada untuk berbakti pada orang
tua aku. Rakan-rakan mula bertanya khabar aku yang mula menyepi, ada yang mencadangkan
agar adik beradikku yang lain menjaga mak dan ayah, supaya aku dapat tumpukan perhatian
pada pelajaranku. Aku tidak akan meminta adik beradik lain untuk menjaga orang tuaku,
melainkan mereka sendiri yang menawarkan diri untuk menjaganya. Itulah jawapanku.
Ketika aku menjaga orang tua aku, dugaan dan ujian datang lagi, suami aku tiba-tiba sakit,
ada tulang tumbuh pada tulang belakang di bahagian leher, menyebabkan dia sakit kepala, sakit
di bahagian tengkuk, belakang dan tangan sebelah kanan. Sebulan lebih suamiku cuti sakit, dan
bila beransur sihat, aku yang menghantar dan mengambilnya di pejabat di samping menjaga mak
dan ayah di rumah. Aku terima dengan reda ujian yang Allah berikan kepadaku. Setiap hari aku
membawa mereka ke pusat terapi atas nasihat doktor. Sebenarnya dalam masa yang sama juga
aku sendiri tidak sihat. Aku mengalami alahan yang teruk satu badan, gatal satu badan sejak
bulan April 2020 hingga April 2021.
Macam-macam ubat aku telan, tapi semuanya tak berkesan. Tapi, tiba-tiba gatal di
badanku hilang, penyakit baru datang menyapa. Aku tiba-tiba sesak nafas, kusangka virus covid,
rupanya aku kena GERD, gastrik yang teruk, menyukarkan aku untuk bernafas. Hampir sebulan
aku terbaring. Doktor kata aku jadi gatal-gatal di bahagian badan dan GERD disebabkan stress.
Aku stress ke? Aku tertekan ke? Mungkin juga, sebab macam-macam yang aku fikirkan.
91
Rakan-rakan lain sudah hampir ke garisan penamat PhD, aku masih di bab 4, terhenti di
situ. Bila berbulan-bulan aku berhenti menulis tesis, nak mulakan balik menulis, sungguh terlalu
susah, aku tidak tahu, dari mana perlu aku mulakan, fikiran aku kosong, sungguh sangat kosong.
Target aku untuk GOT adakah akan tercapai?
Pada ketika dan saat ini, hanya pada Allah tempat aku mengadu dan berserah. Allah
memberikan aku rezeki untuk dapat HLP, dalam masa yang sama aku diuji dan terus diuji. Bapa
mertua, mak, ayah, dan suami sakit bersilih ganti. Dari mula pengajiannku hingga ke hari ini,
malah aku juga turut sakit. Pernah terlintas di hati, untuk berhenti belajar, kerana aku rasa sudah
tak mampu meneruskan perjalanan PhD ku ini. Aku sangat-sangat tertekan.
Tapi bila aku fikirkan semula, cita-citaku, biasiswa yang aku dapat adalah satu amanah,
aku jadi bangkit semula untuk terus berjuang, kerana aku masih punyai sedikit masa lagi untuk
menyiapkan kajianku. Semoga Allah memudahkan perjalanan PhDku yang masih bersisa ini
untuk menggengam segulung Ijazah Sarjana Kedoktoran Pendidikan Seni. Harap aku sempat
GOT.
Normiza Mohd seorang guru Pendidikan Seni Visual. Penggubal huraian
sukatan pelajaran dan pembinaan modul pembelajaran bagi mata
pelajaran Grafik Berkomputer dan Produksi Multimedia (PPK dan KPM).
Menulis berita dan artikel secara sambilan.
92
Jawapan Dalam Kecewa
Nurul Hanani Rusli
Bukan mudah. Ya, bukan mudah untuk membuat keputusan. Meninggalkan comfort zone,
tempat kerja yang selesa, rakan-rakan yang gila-gila dan selalu menghiburkan hati, masa lapang
untuk beristirahat dan bersuka ria, hanya untuk segulung kertas yang belum pasti berjaya atau
tidak dikecapi?
“Kau cari pasallah. Buat apa nak beratkan kepala?”
“Nanti anak-anak macam mana?”
“Suami kata apa?”
Satu persatu persoalan singgah di telinga, bahkan dalam kepala sendiri juga. Dari mulut
orang lain, juga dari kata hati dan fikiran sendiri yang masih keliru dengan impian dan konflik
dalam diri.
‘Mampukah aku? Macam mana kalau aku gagal?’
Qasrina masih ingat suatu ketika dahulu, setelah empat tahun berhempas pulas, segulung
ijazah pertama berjaya digenggam. Rasa puas, bangga dan tentunya bersyukur kerana akhirnya
cita-cita teragungnya saat kali pertama menjejakkan kaki ke menara gading sudah berjaya
dimiliki.
Tidak lama dia menunggu untuk ditempatkan dalam jawatan sebagai seorang pendidik.
Pada tahun yang sama bergraduasi, selang empat bulan, bermulalah rutin Qasrina sebagai
seorang pendidik. Semangat lain macam sungguh pada tahun pertama, maklumlah kali pertama
bergelar pendidik. Rasa dihormati, dihargai dan yang paling puas dirasainya adalah mampu
berkongsi ilmu bersama anak-anak muda di sebuah institusi untuk prauniversiti. Sungguh, jiwa
dan semangat seorang pendidik, hanya yang pernah lalui sahaja betul-betul mengerti apa yang
tersirat di hatinya.
Dua tahun kemudian, sudah tertulis sampai jodohnya. Tahun berlalu, pada saat Qasrina
sarat mengandung anak pertama, rezeki pula dapat berpindah ke tempat kerja yang baru,
berdekatan dengan suaminya setelah hampir tiga tahun di institusi tersebut. Berubah tempat kerja
memberi peluang untuknya menambah baik nilai dalam dirinya. Alhamdulillah, seakan nafas baru,
ibarat air yang mengalir kembali dari satu tempat yang bertakung ke lautan luas, Qasrina kembali
bersemangat dan bermotivasi seperti tahun pertama bergelar pendidik.
Tahun berganti tahun, lahir pula cahaya mata keduanya. Rutin Qasrina sangat sibuk
dengan menguruskan keluarga, menyelesaikan tugas dan menunaikan amanah yang diberikan.
Setiap tahun, lalu sahaja di newsfeed facebook tentang detik kejayaan rakan-rakannya
93
menghabiskan master dan PhD mereka. Qasrina hanya mampu tersenyum, bangga bagi pihak
mereka.
‘Mana mungkin aku mampu, masa mengurus anak-anak dan suami lebih utama.’ Omel
Qasrina sendirian di dalam hati.
Itulah detik hatinya ketika itu. Namun, jauh di sudut hati, alangkah bagusnya kalau dia
diberi peluang lagi untuk sambung belajar. Melihat kegembiraan rakan-rakan satu universiti
semasa ijazah pertama dahulu berjaya bergraduasi kali kedua dan ketiga, sedikit sebanyak
menginjak prinsip hatinya untuk tidak berhenti setakat ijazah pertama sahaja.
Tengahari itu, secara tidak sengaja, pada waktu selang melepaskan lelah mengendalikan
kelas Kimia bersama anak-anak muda, tertangkap oleh mata Qasrina berkenaan iklan cuti belajar
sepenuh masa dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk pegawai pendidikan siswazah
sepertinya. Ibarat satu sinar buatnya kerana sebelum ini dia tidak mengetahui tentang peluang
sebegini. Mungkin kerana dia kurang ambil tahu dek kerana sibuk dengan rutin kerja dan
keluarga.
‘Bolehlah aku cuba ni. Lagipun dapat cuti belajar, bolehlah aku fokus sikit,’ membara
semangat Qasrina ingin mengisi permohonan tersebut. Tidak sabar hendak memberitahu hasrat
hati dan impiannya kepada suami tersayang.
Malam itu, usai solat Maghrib, Qasrina bercadang untuk berbincang dengan suaminya
tentang impiannya siang tadi. Tetapi, si suami terlebih dahulu bersuara.
“Yang, jom apply HLP sama-sama sambung belajar,” ujar suami kepada Qasrina.
Terbeliak mata Qasrina setelah mendengar cadangan sang suami, ibarat orang
mengantuk disorongkan bantal. Qasrina sungguh teruja ketika itu. Membayangkan dia dan suami
seperti pasangan bercinta yang mengetahui isi hati, Qasrina tersengih memandang suaminya
yang kebingungan melihat ekspresi mukanya yang ibarat kerang busuk itu.
“Abang tahu tak, sayang baru nak beritahu hal yang sama. Cuma tak sangka abang pun
berhasrat untuk sambung juga. Kalau macam tu, jomlah kita mohon.”
Beria-ia Qasrina memberi respon kepada suaminya dengan hati berbunga riang. Dia
bersyukur kerana tidak perlu memberi alasan panjang lebar untuk sambung belajar kepada
suami, seperti sesetengah rakan-rakannya yang juga mempunyai harapan yang sama.
Mengisi borang permohonan secara manual, walaupun sudah di saat-saat akhir tarikh
permohonan adalah sesuatu yang amat kelam kabut. Namun, tekad suami isteri untuk
meneruskan pengajian, mereka berusaha juga melengkapkan segala keperluan dokumen untuk
permohonan tersebut. Maka, permohonan berjaya dihantar dengan secebis harapan agar
permohonan mereka diterima.
94
Apabila keputusan panggilan temu duga diumumkan, Qasrina dan suami pasrah dan reda
kerana mereka tidak berjaya dipanggil temu duga. Jauh di sudut hati, Qasrina kecewa. Tetapi
Qasrina tetap menerima ketentuan dengan hati terbuka dan menganggap belum ada rezeki
buatnya. Di sebalik kekecewaan itu, masih ada harapan dan kesabaran dalam hatinya untuk
mencuba lagi pada tahun hadapan.
Bermulalah rentetan kisah hidup Qasrina dan permohonan HLPnya. Setahun kemudian,
ketika permohonan HLP sekali lagi dibuka, Qasrina sekali lagi memohon. Kali ini dia seorang
sahaja yang memohon kerana suaminya sudah tidak berminat katanya. Mungkin kecewa dari
keputusan terdahulu. Tambahan pula, suaminya sudah selesa dengan comfort zonenya pada
ketika itu.
‘Tak mengapalah, aku cuba lagi tahun ni.’ Sisa-sisa harapan terdahulu masih belum
terpadam sepenuhnya.
Namun, sekali lagi Qasrina gagal dipanggil temu duga. Dan sekali lagi dia kecewa, namun
tetap bersangka baik atas ketentuan dan move on untuk mencuba lagi pada tahun seterusnya.
Qasrina berhasrat untuk memohon lagi buat kali ketiga. Namun pada tahun tersebut juga Qasrina
direzekikan anak ketiga. Sedikit sebanyak membuatkan cita-citanya mula meminggir dan seolah-
olah makin menjauh.
‘Ah, lupakanlah impian tu!’
Kata hati Qasrina, sambil merenung mata comel di dalam dakapannya.
‘Mungkin bukan takdir ibu untuk segulung ijazah lagi. Tak apalah…’ bisiknya kepada si
kecil itu seolah-olah dia difahami.
Namun, omelan itu sekadar di bibir sahaja. Siapa duga, tahun berikutnya, hasrat Qasrina
kembali membara untuk mencuba lagi memohon cuti belajar dengan HLP buat kali ketiga.
keinginannya kembali bersinar, entah kenapa, degil betul hatinya. Keras kepala, tetap tidak mahu
mengalah.
‘Kali ini mungkin dapat!’ Qasrina cuba meyakinkan hatinya, dan juga tekadnya. Qasrina
memohon dengan harapan dan doa agar dia diterima kali ini.
Allah maha merancang. Sesungguhnya perancangan Allah itu yang terbaik. Keputusan
panggilan temu duga diumumkan, ternyata Qasrina berjaya! Alhamdulillah seronok Qasrina
bukan kepalang. Sujud syukur atas kurniaan ini. Bermulalah detik-detik Qasrina melengkapkan
proposal, mencurah idea yang terpendam kesekian kalinya. Menaip dan memikir dengan penuh
harapan dan tekad. Juga dengan harapan supaya dia betul-betul berjaya kali ini.
95
Pada hari temu duga berlangsung, Qasrina memandu sendirian ke pusat temu duga yang
jaraknya lebih kurang 120 km dengan nekad yang tinggi, berbekalkan semangat dan izin suami
yang tidak jemu-jemu mendoakan.
‘Sudah banyak kali kot aku mohon, kali ini mesti Allah bagi,’ Qasrina cuba menjadi positif
dan optimis atas kegagalan sebelum ini.
Maka berlangsunglah sesi temu duga dijalankan secara individu dan pada firasat Qasrina,
dia sudah cukup bersedia untuk itu. Perjalanan temu duga yang dilalui berjalan sangat lancar. Ini
menambah sedikit keyakinan yang dia akan berjaya. Namun, masih juga ditinggalkan ruang untuk
bersedia sekiranya gagal.
Tiba hari keputusan diumumkan, sehari sebelum Aidilfitri. Sebaik menyemak di laman web
berkaitan, kecewanya Qasrina kerana sekali lagi dia gagal!
‘Ya Allah, susahnya nak dapatkan peluang HLP ni..’
Tanpa disedari air mata kecewa gugur juga. Namun apakan daya, Qasrina masih
memujuk hati bahawa rezeki masih belum berpihak kepadanya. Dia reda.
Selang tahun, Qasrina cuma memandang sepi pada pautan permohonan HLP yang
dikongsi oleh rakan-rakannya. Bunga-bunga putus asa mula berputik. Ya, Qasrina tidak
memohon tahun itu. Seolah-olah tiada hati. Namun, jauh dalam hati, Qasrina tetap berkeinginan
cuma perasaan kecewa dengan kegagalan lalu mula menutup keinginannya itu.
Tahun berikutnya pula, konflik yang sama terbit dalam dirinya lagi tatkala iklan
permohonan cuti belajar dikeluarkan. Berbelah bahagi rasanya untuk Qasrina memohon untuk
kali keempat, kecewa sungguh hatinya. Dia seboleh mungkin melupakan hasrat hatinya. Hasrat
sejak di bangku sekolah rendah, ingin memegang ijazah kedoktoran, seperti yang dicatatkan
dalam diari suatu ketika dahulu. Namun impiannya hampir malap oleh kekecewaan dan
kegagalan. Tahun tersebut berlalu tanpa harapan, tanpa permohonan HLP.
Tahun berikutnya, hadir lagi dilema yang sama apabila pemohonan cuti belajar dibuka
lagi. Di sebalik kegusaran, kebimbangan dan kekecewaan lalu, masih tersimpan cita-cita itu jauh
di sudut hati. Kata hati Qasrina, dia ingin memohon kembali. Namun, permohonan kali ini dengan
harapan yang kosong. Tiada matlamat. Saja-saja ingin mencuba nasib. Seolah-olah menjadi
kewajipan pula padanya untuk memohon setiap kali dibuka peluang itu. Kali ini, ramai juga dalam
kalangan rakan-rakannya yang memohon. Seperti yang dijangka, permohonan Qasrina masih
gagal diterima untuk kali keempat!
‘Allah, memang bukan rezekiku untuk sambung belajar ni.’ Keluh Qasrina di dalam hati
yang berbaur.
96
Teruslah Qasrina melangkah. Menjalani rutin seperti biasa. Menyimpan hasrat yang
belum kesampaian. Jauh di sanubari, Qasrina tetap terfikir, apa silapnya? Kenapa ada yang
begitu mudah untuk dapat, sedangkan dia tidak?
Tahun baharu membuka tirai. Namun, konflik yang sama tetap bermain di hati dan fikiran
di saat tiba waktu permohonan cuti belajar dibuka.
‘Kelakar dan tak masuk akal. Memang bukan rezeki aku untuk sambung belajar. Sudah-
sudahlah..’ pujuk Qasrina sendirian melawan kekecewaan dan hasrat hati.
Lewat petang itu, Qasrina mengemas meja ofisnya, menyusun kembali buku-buku, kertas-
kertas pelajar-pelajarnya agar rapi dan kemas.
‘Aku lama lagi di sini, jadi inilah tempatku mencari rezeki.’ Ujar Qasrina sambil mengeluh
sedalam-dalamnya.
Sedang dia ingin mengangkat buku-buku ke atas rak, satu penanda buku hasil pemberian
pelajarnya dahulu terjatuh ke lantai. Qasrina mengambil penanda buku itu dan terbaca kata-kata
yang tertulis padanya. Kata-kata yang ditulis tangan, dilekatkan atas kad berwarna biru yang
dijadikan hadiah buat guru yang mencurahkan ilmu kepadanya.
“It’s not enough to be in the right place at the right time. You have to be the right person
in the right place, at the right time,” -T, Harv Eker.
Seolah-olah menjentik hati, menyalakan kembali impian yang makin terpadam untuk
Qasrina meneruskan impiannya. Pemberian seorang pelajar yang sangat istimewa kepadanya,
kerana kerajinan dan kesabaran tanpa jemu, pelajar yang asalnya kurang menonjol dalam
pelajaran berjaya mencapai keputusan 4.0 pada kedua-dua peperiksaan akhirnya.
‘Terima kasih Diana,’ bisik hati Qasrina yang ditujukan ikhlas kepada bekas pelajarnya
lima tahun lalu yang bernama Diana itu.
Qasrina melihat kalendar, sudah 13 Januari. 15 Januari pula, tarikh tutup untuk
menghantar permohonan sambung belajar. Namun, Qasrina cuba untuk fokus kembali.
Membongkar semula idea-idea terdahulu, menyelesaikan segala yang diperlukan dalam masa
satu hari! Memberanikan diri untuk kesekian kali. Kedegilan Qasrina menjadikan dia nekad,
sekejap sahaja permohonan berjaya dihantar, mujurlah online sahaja. Sehari sebelum tarikh tutup
permohonan, selesai semuanya!
Berbekalkan kegagalan yang lalu, kali ini Qasrina muhasabah diri sedalam-dalamnya.
Mencari kekuatan, memperbaiki kelemahan diri.
‘Aku tidak mahu gagal lagi,’ tekad Qasrina.
Qasrina cuba mengatur strategi. Dia mengikuti beberapa kursus berbayar tentang
penulisan thesis, menggali ilmu pascasiswazah yang dianjurkan oleh pakar-pakar, tanpa berkira
97
langsung tentang bayaran. Qasrina membaca buku-buku inspirasi tentang post graduate,
membuat carian tentang penulisan proposal dan semua yang berkaitan. Semua ini Qasrina buat
sebelum keputusan panggilan temu duga HLP diumumkan. Qasrina mengubah niatnya, ingin
sambung belajar adalah untuk dirinya mengejar ilmu, bukan untuk segulung kertas itu semata-
mata. Jadi, dia telah bersiap sedia untuk gagal lagi kali ini.
‘Tapi sekurang-kurangnya, ilmu aku bertambah nanti,’ begitulah Qasrina membisikkan
kata-kata positif kepada dirinya sendiri.
‘Aku reda apa jua keputusan-Mu. Ya Allah, banyak nya rintangan untuk segunung ilmu.
Kau izinkanlah aku berjaya. Aku ingin menuntut ilmu, menjadikan diri lebih baik, ingin lebih dekat
dengan Mu.’
Bukan harapan yang tinggi, tetapi reda dan niat ikhlas untuk menuntut ilmu. Rupa-rupanya
baru kali ini Allah makbulkan hasrat Qasrina. Dia berjaya dipanggil temu duga bersama tiga rakan
yang lain. Pada saat itu, Qasrina memang bersedia dengan ilmu, hati yang reda dan ikhlas.
Rupanya itulah jawapan yang dia cari selama ini. Sebelum ini, Qasrina hanya memikirkan
keinginannya sahaja, tanpa persediaan yang lengkap. Ternyata Allah menjawab persoalannya
dan memberi kan jawapan pada masa yang tepat!
Proses temu duga berjalan lancar, Qasrina redah dengan penuh semangat dan reda atas
apa jua perancangan Allah buatnya. Alhamdulillah, kali ini Qasrina lulus temu duga dan berjaya
diterima! Alhamdulillah sujud syukur buat-Nya. Allah makbulkan doanya. Restu ibu, restu suami
amat terkesan ketika ini.
‘Ya Allah, permudahkanlah perjalananku nanti,’ Qasrina berdoa dalam sebak.
Tiba-tiba, bahu Qasrina terasa digoncang-goncang.
“Ibu, boleh tolong buatkan air milo?” rengek seorang anak kecil berusia lima tahun kepada
si ibu.
“Ah.. Jauhnya aku mengelamun! Terima kasih Allah atas pengalaman ini.” Qasrina
tersengih sendirian mengenangkan dirinya jauh mengelamun teringatkan kisah lalu. Sambil
menuju ke dapur menunaikan hasrat si kecil, matanya sempat menjeling meja tempatnya
bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang diberikan.
‘Inshaa Allah, aku boleh mengharungi semua ini.’
Qasrina bersyukur dan berjanji tidak akan mensia-siakan pengalaman dan peluang
keemasan ini. Dia yakin, sedikit masa lagi pasti akan tercapai.
98
Nurul Hanani Binti Rusli
Dalam angannya, tercipta impiannya. Dia, tidak mudah
mengalah. Penggemar coklat, kerana hidup ini perlu ceria.
99