DR. KAMARUL ARIFFIN
SERAM HOSPITAL K O L E K S I C E R I T A S E R A M H O S P I T A L K I R I M A N F O L L O W E R S D R C H A K U
DISCLAIMER / PENAFIAN Setiap kisah yang dipaparkan di dalam buku ini adalah hak milik penulis sepenuhnya. Nama penulis disiarkan bersama kisah yang dikongsinya. Terdapat penyuntingan dan olahan terhadap penulisan asal untuk memastikan kisah dapat disampaikan mudah difahami oleh pembaca. Kebenaran dan kesahihan peristiwa yang berlaku dalam kisah-kisah di dalam koleksi ini hanya diketahui oleh penulisnya sendiri.
PRAKATA (Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan) Kalau sebut sahaja hospital, kebanyakan orang terbit rasa takut atau seram. Ada yang takut kepada penyakit, ngeri dengan darah, seriau melihat jarum suntikan, atau seram melihat kematian. Selain itu, hospital juga selalu dikaitkan dengan perkara-perkara yang aneh dan pelik, ini termasuk keskes misteri dan paranormal. Setiap orang pasti pernah dengar kisah seram tentang hospital. Buku ini mengumpulkan lebih 100 kisah seram berlatarkan hospital yang dikongsikan oleh para petugas klinikal, petugas sokongan klinik, para pesakit serta orang awam melalui akaun Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan.
1 JABATAN KECEMASAN & TRAUMA (Faiz Najmi) Ada satu syif malam di yellow zone tu bertubi-tubi kes psikiatri masuk. Kalau kes psikiatri ni biasanya hingarlah yellow zone dengan jeritan, hilaian, tangisan pesakit yang mengalami psikosis. Mujurlah selepas tengah malam hanya tinggal seorang pesakit perempuan yang sudah pun lena dan ditenangkan, menunggu proses kemasukan wad saja. Kemudian masuk seorang pesakit psikiatri lagi, lebih tenang orangnya, seorang wanita India muslim, tiada jeritan atau tangisan. Katanya ada lembaga dari kubur, menyuruhnya bunuh diri. Apabila saya tanya, mana lembaganya? Dia jawab sebelah Doktor Faiz. Saya dah periksa tak ada siapa di depan, belakang, atas, bawah, kiri dan kanan saya. Hanya jururawat, pesakit dan doktor lain yang bertugas. Saya tak takut pun masa tu, hanya tertanya dari mana dia dapat tahu nama saya, padahal malam tu lupa pakai tag nama. "Barangkali nurse beritahu nama saya," saya cuba bersangka baik.
2 "Dia bagi salam dekat doktor." Kata pesakit, tapi saya tak layan dan pura-pura meneliti ubat-ubat lamanya. "Doktor Faiz jawablah salam dia, kalau tak dia suruh saya bunuh diri." Saya masih tak layan, tapi dah mula seram sikit. "Nanti dia kacau Maria." "Siapa Maria? Siapa nak kacau Maria?" tanya saya. "Jawab ja salam dia, Doktor Faiz. Dia dah bising suruh kerat leher saya sekarang!" Saya masih enggan, dan sambil itu memastikan tiada alatan tajam dekat atau di sekelilingnya. Tak sampai seminit, pesakit wanita yang lena ditenangkan tadi meracau menjerit kuat sampai satu jabatan kecemasan dengar. Ini adalah jeritan dan racauan yang lebih teruk daripada apabila dia masuk tadi. Tambah lagi dia semakin resah dan mengganas, cuba membuka restrainer(pengikat) dan melompat dari
3 katil. Tiada perkataan yang keluar dari mulutnya. Hanya jeritan yang kuat dan racau-racau. Kami pelik, baru lebih kurang sejam saja bagi ubat penenang. Biasanya ia bertahan agak lama. Dan lebih seram lagi, nama pesakit itu memang Maria! Kami tambah lagi dos ubat penenang sehingga dia lena semula. Sepanjang syif malam sehingga proses kemasukan pesakit India muslim itu ke dalam wad, saya tenung saja kepadanya. Patutkah aku menjawab salam tadi?
4 WAD BERSALIN (Mumun Najib) Entah siapa yang jonah1 malam ni. Ibu-ibu semua nak terberanak, jururawat pula cuma tiga orang sahaja. Kebetulan ada dua ibu yang nak dihantar ke wad bersalin. Aku dan M berganding bahu tolak dua pengusung dalam masa yang sama. Sampai di wad bersalin, jururawat di sana mengarahkan agar salah seorang ibu dihantar ke bilik A, dan seorang lagi ibu ke bilik B. Ibu yang pertama kami dah hantar, tapi bilik untuk ibu kedua tu gelap dan kelihatan di dalamnya ada seorang ibu yang baru lepas bersalin sedang menyusukan anak dia. Wanita yang sedang menyusukan anak di bilik B itu rambutnya panjang mengurai. Aku beritahulah jururawat wad bersalin, lalu muka jururawat itu dan rakan-rakannya serta merta berubah. Mereka semua kata dalam bilik tu sepatutnya tiada pesakit, dan selepas kami semua pergi periksa, ternyata tiada sesiapa. 1 Seseorang yang menyebabkan ramai pesakit datang ke hospital.
5 TANDAS (Norizah Othman) Ketika itu saya berada di hospital. Saya pergi ke tandas pada pukul 4 pagi. Nak ke tandas itu, saya kena lalu lorong di tepi bilik mayat. Ketika saya melewati kawasan di sebelah tempat bedah siasat, ada bau yang kurang enak mengiringi saya. Pada ketika itu, saya hanya seorang diri. Tiada sesiapa yang kelihatan di situ. Kawasan itu sungguh hening dan lengang. Cuma bau itu sahaja yang agak mengganggu saya. Tapi, saya tak rasa seram sebab saya bukan jenis penakut.
6 WAD REHABILITASI (Soo Ai Da) Saya ada dua cerita. Pertama: masa kena ditahan di ICU selama seminggu, mak cerita, ada satu pintu di ICU tengah malam terbuka dan tutup dengan sendirinya beberapa kali. Terus saya patah balik tak lalu kawasan tu. Kedua: Ketika saya dimasukkan ke wad rehabilitasi, ada satu malam saya tak boleh tidur. Jadi saya baca novel. Sambil baca novel, tiba-tiba saya terdengar bunyi air seperti di pam di dalam tandas di tingkat atas. Masalahnya di atas wad rehabilitasi ni, wad yang tidak digunakan dan dikunci. Esoknya, gempar cerita Hospital Sultanah Aminah terbakar. Tak tahulah itu adalah satu petanda atau tidak. Itu sahaja.
7 WAD ORTOPEDIK (Nur Farisya Sharuddin) Cerita ni berlaku semasa zaman saya housemanship. Waktu tu, posting ortopedik. Dalam pukul 2.00 pagi macam tu, saya nak rehat sekejap sementara tunggu pesakit dari dewan bedah di hantar pulang ke wad. Wad pun tenang-tenang sahaja. Alhamdulillah. Saya pesan pada jururawat, “Akak, saya baring dekat bilik nombor 1, ya! Kalau ada apa-apa, akak panggil saya, tau!” Selepas itu aku pun masuk ke bilik nombor 1 tu, tutup langsir dan baring di atas katil. Letak sahaja kepala, tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki orang berlari dalam bilik tu. Aku terus bangkit duduk dan tarik langsir untuk membukanya. Skraaappp!!! Takut-takut ada kecemasan ke apa, sehingga jururawat berlari-lari mencari aku. “Eh, tak ada sesiapa pun. Gelap dan senyap sahaja, sama macam masa aku masuk bilik tu tadi. Hmmm…” getus hati aku.
8 Aku pun tutup langsir dan baring semula. Aku letak sahaja kepala, terus dengar suara budak-budak menjerit-jerit, galak macam seronok sangat mengetawakan aku yang terpinga-pinga. Apa lagi, aku terus laju-laju capai white coat, dan berlari keluar dari bilik berkenaan untuk cari akak jururawat semula. Takut aku nak tidur situ seorang diri.
9 BLOK BARU (Asri bin Sapiee) Seusai solat Isyak di masjid, saya bercadang pergi ziarah abang di Hospital Umum Sarawak. Saya bertolak terus dari masjid. Sampai di sana, saya masuk lif, tekan punat ke tingkat wad abang saya. Wad yang menempatkan abang saya terletak di blok baru hospital itu. Bau cat di blok itu pun masih segar. Masuk sahaja ke dalam wad, tengok abang tengah baring seorang diri. Saya mendekati dan duduk di sebelahnya. Waktu itu abang baru selesai pembedahan ketumbuhan dalam hidungnya. Kemudian abang tibatiba buka cerita. "Eh, malam tadi, abang jumpa Ju-on." Dahi saya berkerut, "Macam mana abang tau tu Ju-on? Abang mimpi kot?" "Betul, abang masih sedar. Belum tidur. Malam tadi pukul 1.00 pagi, abang tengok ada budak umur 4 tahun tak pakai baju, kulit putih semacam, rambut sebiji macam hantu budak dalam cerita Ju-on tu lalu dekat
10 koridor depan tu sampai hujung. Dekat hujung mana ada bilik. Yang ada, bilik stor, tempat cleaner simpan barang cucian." Saya jengah keluar bilik abang saya. Betul juga. Kat hujung tu cuma stor. Semasa meninggalkan wad untuk pulang, bulu roma saya meremang semacam. Masuk sahaja lif, saya baca ayatul Kursi berkali-kali. Menyesal saya seorang diri pergi ziarah abang saya malam-malam buta begini.
11 MAKMAL INTEGRASI (Azni Md Ismai) Suatu malam Kak Alisa bertugas lebih masa di unit mikrobiologi. Jabatan Patologi kami agak unik. Unit hematologi dan unit biokimia digabung sekali, dan kami panggil sebagai makmal integrasi, manakala tabung darah berada belah depan dan bertentang dengan pejabat. Unit mikrobiologi pula berada sebelah belakang dan bertentang dengan unit sitologi yang berada bersebelahan pejabat. Di makmal mikrobiologi terletaknya dua inkubator Bactec, satu model lama dan satu model baru. sebahagian besar staf mikrobiologi akan buat kerja masa oncall dekat kawasan integrasi. Walaupun pada dini hari, staf mikrobiologi masih bertanggungjawab untuk menerima sampel dari unit forensik mahupun medikolegal. Al-kisah malam itu kakak Alisa menerima sampel tisu dari mayat yang telah 'berair' dan dia salah seorang yang buat kerja di integrasi. Setelah selesai proses sampel-sampel, termasuklah sampel forensik tu, Kakak Alisa nak ke belakang untuk masukkan botol-botol blood C&S.
12 Masa dia proses sampel dekat depan tadi, hati beliau dah rasa tak berapa sedap. Tambahan pula dengan kondisi sampel forensik tadi yang amat mengerikan. Masa Kak Alisa hendak ke belakang dengan botol-botol Bactec tu, dia terasa ada sesuatu mengikutinya. Berdebar tak usah ceritalah. Oleh kerana perasaan tak syok tu kuat sangat, dia ajak seorang rakan pergi sekali ke makmal mikrobiologi. Berdualah mereka ke sana. Kawan Kakak Alisa ni tunggu depan pintu makmal mikrobiologi, Kakak Alisa pula pergi masuk dalam ke inkubator. Dahlah Bactec tu duduk paling hujung sekali. Masa kawan Kakak Alisa tunggu tu, rupanya “benda” tu ikut tunggu dengan dia. Lepas Kakak Alisa habis kerja dia, kawan Kakak Alisa tu pergi ke pejabat. Memang rutin dia semasa oncall, suka buat kerja pejabat dia. Malang betul malam tu, “benda” tu perhati sahaja dia buat kerja sampai akhirnya dia terpaksa cabut lari, duduk di makmal integrasi dengan lampu terbuka sampai pagi. Nasib baik “benda” tu tak tunjuk rupa dia malam tu. Kalau tak, mahu berbuih mulut staf oncall malam tu.
13 DEWAN BERSALIN (Madir Cicindak) Malam tu ramai ibu-ibu bersalin, tapi syukur keadaan mula tenang sekitar pukul 3 pagi. Seorang pelatih jururawat masyarakat (JM) ni sedang melakukan tugas seperti biasa, iaitu mencuci peralatan yang telah digunakan semasa menyambut kelahiran. Semasa sedang leka mencuci di bilik basuhan, dia terdengar pintu bilik basuhan itu dibuka, namun dia tidak berpaling kerana menyangka bahawa itu kakak tukang bersih (cleaner) Kakak tukang bersih menyapa "Banyak kes malam ni, dik?" "Hurmm, boleh tahan juga banyak dia, kak," balas pelatih jururawat masyarakat tersebut. Matanya masih tertumpu pada peralatan yang sedang dibasuhnya. Kemudian kakak tu bertanya lagi "Dik, kalau kakak minta uri ibu sikit, boleh?" Pantas dia menoleh, namun tak ada kelibat manusia di situ melainkan dirinya. Meremang bulu roma
14 di tangan dan tengkuknya! Cepat-cepat dia selesaikan basuhan, dan beredar dari situ. Seram!
15 LIF TINGKAT 10 (Fauzieya Harishah) Pada malam kejadian, saya dari keluar wad untuk ke farmasi yang berada di Jabatan Kecemasan. Waktu itu, sudah lepas jam 12 tengah malam, maka saya redah sahajalah dari blok A, pergi ke blok B, masuk blok C-D. Saya perlu gunakan lif yang berada di lif blok C-D tu untuk turun ke tingkat 2 di mana Jabatan Kecemasan itu berada. Masa nak ke sana tu, semuanya OK. Entah macam mana, masa nak naik semula ke wad, sewaktu berada di perkarangan lif, saya terpandang lif bomba terbuka. Lif lain semuanya tertutup. Dalam lif bomba tu kelihatan ada pengusung tapi tak ada atendan atau staf yang bertugas mengiringinya. Saya mula rasa semacam. Atas pengusung tu ada mayat, dan ia terbiar sahaja begitu di dalam lif bomba berkenaan. Seramnya! Lif tu pula statik sahaja, tak bergerak-gerak padahal lif tu tak fungsi untuk "hold" pun. Lif-lif lain pun kelihatan macam tak berfungsi sahaja.
16 Tak apa lah! Saya buat tak tahu, buat hati kering sahaja dan pergi gunakan lif tengah untuk naik semula ke wad. Semasa dalam lif, jantung saya berdebar-debar, namun saya selamat sampai di wad tanpa ada gangguan lain. Bila saya cerita pada rakan-rakan di wad, ruparupanya memang ramai terkena gangguan macam yang saya alami. Ada yang jumpa dalam lif lagi. Hati-hati bila naik lif bomba lepas 12 malam blok C-D OK! Hospital mana? Carilah sendiri.
17 WAD FULL PAYING PATIENT (FPP) (Fauzieya Harishah) Lebih kurang jam 2.00 pagi, saya terdengar bunyi pelik. Kedengaran seperti ada orang meracau-racau dan menjerit-jerit. Apa kes pula ni? “Ada orang bergaduh ke? Tak pun mesti ada orang tengok TV lepas tu tak reti tak matikan kot! Hish, menyusahkan betul!” getus hati. Jadi, pergilah saya dan kawan saya periksa setiap bilik. Tak ada pun TV yang terpasang. Tak ada pun orang bergaduh. Semua pesakit tidur lena. Alahai, kami salah dengar ke? Tak sampai setengah jam kemudian, kedengaran lagi bunyi yang sama. Kali ni kami buat tak dengar saja, dan hanya pandang sesama sendiri. Namun, masuk kali ketiga bunyi itu kedengaran, saya tekad nak pergi sergah semasa bunyi itu kedengaran. Suspens dah ni! Bila periksa, rupanya pesakit di katil 17 yang meracau. Risau juga dia terkena gangguan. Jadi saya
18 pergilah kejutkan dia dan penjaganya yang tidur mati sampai tak sedar pesakit sedang meracau-racau. Sekali, selepas pesakit terjaga, dia kata dia mengigau rumahnya dimasuki pencuri. Aduhai...
19 WAD FULL PAYING PATIENT (FPP) (Fauzieya Harishah) Nak dijadikan cerita, saya dan kawan saya kerja berdua sahaja. Kebetulan kawan tu tak sihat. Awal-awal lagi dia dah makan ubat dan terus lentok di kaunter jururawat. Maka tinggallah saya seorang diri jaga wad. Kasihan juga tengok kawan tak sihat. Saya teruskan kerja, buat laporan, dan buatlah apa yang patut. Kawan saya tu tidur memang langsung tak sedar. Lebih kurang jam 4 pagi, saya tengah leka menaip laporan pesakit di komputer, tiba-tiba perasan macam ada benda bulat hitam melantun di koridor di kaunter. Meremang bulu roma saya. Saya tengok skrin komputer yang paparkan visual CCTV sebelah, tak ada apa-apa, tak ada pula benda hitam tu. OK! Tutup komputer. Pergi terus dekat sebelah kawan yang tidur tu. Lena sungguh dia tidur. Oleh kerana tak boleh nak ajak dia berborak, saya pun main telefon. Tengah leka main
20 telefon, tiba-tiba terasa ada benda tarik poket uniform ni. Tengok poket, tak ada apa-apa. “Ya Allah, lindungilah aku daripada diganggu. Aku hanya mencari rezeki,” doa aku. Selepas itu, tak ada gangguan dah. Tak tahu kenapa tak tergerak hati nak kejutkan kawan saya pada masa tu. Malam tu, walaupun saya dah ada rasa nak terkucil, sanggup tunggu sampai azan Subuh baru berani pergi tandas.
21 WAD 7 (Suzi Azianti Hj Ismail) Pada hari kedua aku ditahan di wad 7, pukul 3.00 pagi, aku memang dah tak tertahan nak membuang. Jadi, terpaksalah juga aku ke bilik air untuk melepaskan hajat. Ketika aku nak masuk bilik air ada seorang kakak sedang menolak kerusi roda mak dia keluar daripada bilik air. Lega, bila tahu aku bukan seorang diri. Kemudian, ada seorang lagi dekat dalam bilik air tengah sikat rambut menghadap cermin. Aku cepat-cepat melabur. Keluar kubikel tandas, kakak tu masih sikat rambut lagi. Aku pergi ke sebelah singki dia. Basuh tangan. Tiba-tiba… bedebukkkk! 'Oppsss sorry. Tercabut pula kata kakak tu sambil tunduk mencapai kepala dia di lantai bilik air.
22 WAD 7 (Suzi Azianti Hj Ismail) Dalam gelap aku tinggalkan sebentar bonda yang sakit di Wad 7 untuk bersolat subuh di masjid berdekatan dengan hospital. Aku melulu masuk ke tempat menunggu pesakit luar untuk menanti suami menjemput. Dalam samar lampu aku lihat ada yang sedang duduk di bangku. “Ada teman, taklah takut sangat,” getus hati. Aku pun duduk di sebelahnya. Sunyi sepi suasana awal pagi sebelum dia bertanya jam pukul berapa pada waktu itu. "5.27 pagi," jawab aku sambil menoleh pada dia. Dia tersenyum. Giginya susun teratur walaupun berserpih. Aku tatap wajah dia. Dia senyum makin lebar. Baju putihnya koyak rabak. Baru aku sedar dia duduk di atas pengusung mayat. Ada tali mengikat mukanya. "Saya kemalangan. Dah sampai ajal."
23 MALAM PERTAMA DI WAD (Muhammad Wafi) Di penghujung tahun 2013, aku telah didiagnos dengan bladder stone (batu karang), dan dirujuk kepada seorang urologist di sebuah hospital swasta yang terletak di Penang. Sebelum ke dewan bedah, aku sempat berbual dan beramah mesra dengan jiran sebelah, yang juga sedang menunggu pembedahan. 10.00 malam selesai pembedahan, aku ditolak masuk ke bilik wad semula. Separuh badan aku ketika itu numb (kebas), yang boleh bergerak hanya tangan dan kepala. Dalam kegelapan, jiran sebelah sudah tidur. Dengkurannya nyaring. "Mungkin tranquillizer (bius)," bisikku lagak doktor Google. Aku melihat warisnya dari celahan tirai.
24 Jururawat datang. Rutin pemeriksaan selesai. Tirai pembahagi ditolak. Kosong! Katil kosong. Kerusi waris juga kosong. "Ah, sudah!" Jururawat senyum, merangkak dan mengilai... dan aku, masih tidak boleh bergerak. NOTA: tak pasti apa berlaku kepada penulis selepas itu.
25 ISOLASI 1 (Noraayu Musytari) Seorang bayi sedang nyenyak tidur setelah tubuhnya dibersihkan dan wangi dengan bau losyen semerbak. Keringat di dahi, aku lap dengan lenganku yang juga basah dengan titisan peluh nipis. Tiub suction(penyedut) yang lembut itu aku lekapkan dengan pelekat hypafix(plaster) dipipinya. Aku tidak mahu tidurnya yang nyenyak itu diganggu secretion(lendiran) yang melambak di oralnya nanti. Tiub itu ku pastikan berfungsi. Berkali-kali ku periksa sambungan, dan tekanannya agar berfungsi dengan baik sebelum aku tempatkan antara sumbing di mulut dan hidungnya itu. Continuous suction (sedutan berterusan) itu perlu berjalan baik. Jika tidak, kasihan nanti dia lemas dalam limpahan air liurnya yang luar biasa banyak dan likat itu. Aku keluar dari bilik itu dengan nafas lega. Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi setelah pesakit terakhir dari 3 orang bayi yang ku rawat di bilik isolasi itu.
26 Tergerak hati aku nak buat rondaan selepas jam 2.00 pagi, memandangkan sudah tiba waktu feeding (beri makan) juga. Terkejut bila aku lihat bayi terakhir yang tadi tidur nyenyak, meronta-ronta kelemasan dalam banjir air liurnya sendiri. Kalut setelah mendapati suction itu tidak berfungsi. Aku lihat pada meter vakum. Tak mungkin! Off? Aku hidupkan kembali dan melegakan bayi tersebut dengan menyedut kahak dan liurnya dengan bersungguh-sungguh. Aneh! Tak pernah berlaku dan tak mungkin berlaku. Seolah-olah mesin itu ditutup oleh seseorang. Kepala vakum itu sukar digapai, tak mungkin bayi itu terlanggarnya. Bagaimana? Aku meninggalkan bayi tersebut setelah selesai menyelesakannya. Sekali lagi hatiku tidak merasa sedap, lalu aku mengintai bayi tadi pada pukul lebih kurang 4 pagi.
27 Bayi tersebut kelemasan semula, hampir putih wajahnya! Panik, aku kembali menyelamatkan keadaan. Off lagi? Vakum yang susah payah aku gapai untuk buka semula tadi, tertutup kembali. Bulu roma ku tegak berdiri. Aku mencari-cari surah al-baqarah di telefon ku dan meletakkannya berdekatan dengan bayi tersebut semasa menyedut kahaknya. Mesti isolasi 1. Kalau apa-apa nak berlaku mengapa mesti di bilik isolasi 1 ini. Patut pun semua rakan sejawatku menolak dan mengeluh jika terpaksa jaga isolasi 1, lagi-lagi di waktu malam.
28 WAD ANTENATAL (Nor'aini Hassan) Aku berbaring mengiring di atas katil membelakangkan pintu. Tiba-tiba kedengaran ketukan dan pintu dibuka. Aku menoleh. Kelihatan dua orang jururawat. Seorang daripadanya memegang bayi berkata, "Mrs. Lee, bayi awak nak menyusu!" Aku terus menelentangkan badanku. "Eh anak saya belum lahir", sambil menunjuk perutku yang besar! Nasib baik belum melahirkan, kalau tak, tak pasal-pasal bawa balik anak orang lain. Jururawat itu tersipu-sipu kerana tersalah dan segera menutupkan pintu semula. Aku kembali mengiring dan cuba melelapkan mata. Eh, bukankah tadi ada dua orang jururawat? Mataku kembali terbuka luas. Kelihatan sepasang mata merah sedang merenungku.
29 SPECIAL CARE NURSERY (Noraayu Musytari) "Ayuuu!! Sister (Ketua Jururawat) panggil ni awak tak dengar ke?" Jelas terdengar Sister Siti Aishah menjerit nama ku di luar. Hmm, tak senang betul aku nak 'memerut' dalam tandas serba nyaman ni. "Ayu!! Eh Ayuuu!!" jeritan sister kedengaran lagi. "Isyh, sister ni nak apa panggil-panggil aku ni. Tak senang betullah" cepat-cepat aku menghabiskan urusan ku dan pam jamban tersebut. Pintu tandas di bilik special care nursery (SCN) 2 itu ku kuak. Terlihat Sr Siti Aishah yang masih berdiri dengan wajah berkerut di hadapan kaunter jururawat yang berdepan dengan bilik itu. "Ada apa sister?" Muka sister berkerut lebih hebat. Mukanya yang berlipstik merah terlihat sedikit pucat di kulit. Ditenung aku tak berkelip seolah-olah hairan akan sesuatu. Tiada
30 sepatah yang terkeluar dari mulutnya melainkan hanya terbuka luas menganga. “Sister, ooo sister. Sister!" Aku menepuk bahu Sr Aishah dan bertanya kenapa dia berkelakuan begitu. Aku pelik. Kenapa ditenung aku begitu. Bagai mahu marah saja. "Ya Allah, Ayuuuu!!! Awak dari mana ni, saya panggil awak, awak tak sahut!" "Sister, saya tengah memerut kat dalam tu ha. Saya tak senang betul dengar sister terjerit-jerit panggil saya" ujar ku sedikit marah. "Awak kan keluar pintu depan tu tadi, saya panggil tapi nampak belakang awak ja, awak jalan lajulaju lepas tu terus keluar ke pintu tu. Saya dah nak capai bahu awak tadi." "Ayu dari tadi dekat dalam tandas bilik tu sister. Saya tengah beri susu pada baby-baby ni tadi, saya pun pelik dengar sister panggil-panggil siapa dekat luar macam nak marah." ujar Kak Azlina, jururawat masyarakat(JM) yang bertugas sekali denganku pada malam itu.
31 "Habis, kalau awak dekat dalam, yang tadi berjalan keluar tu siapa? Saya siap kejar tau, dah nak capai bahu dia dah." "Sister ni biar betul?" aku mula merasa seram. Muka sister terus pucat. Kali ni semua terdiam. Muka aku juga turut pucat. Siapa 'aku' yang sister kejar tadi? Kalau dapat dicapai bahu 'aku' tadi, agaknya apa jadi?
32 TRANSFUSI DARAH (Noraayu Mustari) Pokk! “Aih, jatuh lagi...” keluh ku lalu mengangkat beg darah dalam bentuk pedibag itu, dan letak semula atas troli berhampiran seorang bayi. Keadaan bayi yang separa sedar dan pernafasannya disokong oleh mesin ventilator itu buat aku resah. Aku perlu untuk transfusi darah pada dia. Sepatutnya beg darah tersebut dah sampai awal malam tadi lagi, tetapi disebabkan beberapa hal, beg darah lewat sampai dan buat aku resah. Yalah, ni dah pukul 1.00 pagi nak buat tranfusi darah. Mengantuk tahu. Hisyh! Pokk! "Eh, jatuh lagi beg darah ni dah kenapa?" tanpa syak, aku ambil beg darah tersebut di lantai dan letak kembali di atas troli. Aku kembali membelakangkan troli dan menyudahkan proses transfusi darah tersebut.
33 Jari-jemari aku ligat mengurai segala tiub halus untuk mencari ruang bagi aku labelkan picagari 50ml dan tiub halus yang bersambung padanya sebagai darah yang ditransfus. Pokkk! Darah aku berderau tak semena. Aku menoleh ke belakang. Beg darah yang sama, jatuh lagi ke lantai. Monitor ECG yang terpampang mula menunjukkan bacaan merah pada denyutan nadi bayi. "188 bpm(beats per minute). Apa ni, jangan kacau aku lah, aku nak buat kerja ni," ujar ku keras dalam nada menggigil. Beg tersebut tidak ku kutip seperti yang aku buat sebelum itu. Kaki ku laju meluru keluar dari bilik isolasi 1 itu. Gila. Bilik yang tiada angin, berpendingin hawa, dan beg diletak pada permukaan rata, boleh jatuh berkali-kali. Ada 'sesuatu' cuba nak dapatkan isi dalam bag kecil berwarna merah itukah?
34 Kasihan bayi tersebut. Degup jantung laju tibatiba. Aku terpaksa tinggalkan, semangat dah terbang dah. Pukul 4 pagi baru aku masuk semula bilik tersebut. Itu pun berteman. Mungkin 'dia' haus. Nak cucuk straw nak minum dari beg darah itu tapi tak dapat asyik jatuh ja kot.
35 WARIS (Nor Muhammad Hafiz bin Samad) Saya bersama team Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) respon satu kes MVA(motor vehicle accident / kemalangan jalan raya). Pesakit mengalami sedikit kecederaan sahaja. Alhamdulillah. Setelah pesakit dimasukkan ke dalam ambulans, saya menegur, "Bang, isteri abang dalam kereta tu lagi. Kami rawat dia lepas ni." Pesakit tersebut membulatkan mata dan berkata "Saya memandu seorang je, encik".
36 ASRAMA JURURAWAT (Dr. Anip Bazli) Tahun 2012 ketika saya masih houseman di Hospital Sungai Buloh, saya masih bujang dan menetap di asrama jururawat di mana segelintir houseman juga turut menetap di situ. Kebiasaannya, setiap malam saya akan tidur di bilik itu berpasangkan lampu. Biasalah sebab saya takut tidur gelap. Hehe. Tetapi malam tu agak lama saya cuba pejamkan mata untuk tidur tetapi mata tetap juga tidak mahu tertidur… Memikirkan sebab mata tidak mahu terlena itu mungkin disebabkan lampu, saya pun terus mematikan suis lampu. Tidak lama kemudian saya pun terus tertidur sehinggalah... Saya terjaga secara tiba-tiba pada malam tu dan berasakan diri saya kaku tidak boleh bergerak. Pelik dan bingung dengan apa yang terjadi! Dari samar cahaya lampu jalan, mata saya menangkap satu kelibat berbaju putih berambut panjang berada di tepi tingkap bilik saya, dan kelibat itu secara perlahan-lahan mula menghampiri saya.
37 Wajah kelibat itu putih, saya tidak dapat memerhatikan mukanya dengan jelas dalam samar lampu cahaya jalan itu. Saya pun cuba untuk terus melaungkan azan tetapi yang peliknya suara saya tidak dapat keluar seolah-olah terkunci. Saya dapat merasakan dari ekor mata saya, yang lembaga itu sedang memerhatikan saya di samping bunyi hilaiannya yang perlahan seolah-olah memtertawakan saya.. Saya masih tidak dapat bergerak dan hanya bertawakal sambil terus melaungkan azan di dalam hati. Tiba di penghujung kalimah azan, akhirnya badan saya dapat bergerak semula di samping suara saya yang terkunci sebelum itu tiba-tiba dapat melaungkan secara kuat kalimah azan. Allahuakbar! Lembaga itu terus mengilai hilang bersama dalam kepekatan malam.
38 TANGGA (Muhammad Helmi Shah) Azman belum tidur, dia duduk berlunjur atas katil, sekejap tengok kiri, sekejap tengok kanan. Abang katil sebelah tanya, "Kau apa hal resah semacam je ni?" "Nak berasaplah bang." "Kau pergi tangga hujung tu line clear." Dia berjalan, rokok dan pemetik api disorok dalam lipatan baju. "Nak pergi mana?" tanya jururawat. "Ambil angin jap, panas malam ni." Sampai hujung terus dia bakar rokok, sedut dan hembus. Tiba-tiba ada orang lalu di tangga itu. Rokok dicampak ke bawah koridor, Azman berjalan pantas masuk wad. "Laju je.." abang katil sebelah tegur.
39 "Tak clear bang, baru nyala ada orang lalu.." "Kau gila ke? Tangga tu mana ada orang guna. Kan tangga tu dah dipagar dan dikunci sejak aku mati dekat situ dulu."
40 WAD ONKOLOGI KANAK-KANAK (Nur Atiqah Zulkifli) Jam 12 malam di wad onkologi kanak-kanak, ada seorang kanak-kanak cina mengalami demam panas sehingga suhunya 40 darjah selsius sedang menggigil dan lemah. Saya mengarahkan misi untuk menyediakan air suam dan kain untuk buat tepid sponging (jerlum) setelah memberikan paracetamol kepada adik itu. Kami juga dibantu oleh nenek adik itu. Setelah demam sedikit kebah, adik itu bertanya kepada neneknya, "Popo, kenapa budak itu makan kek coklat dengan comotnya?" sambil menunding jari ke arah kerusi sebelah neneknya yang kosong.
41 SYIF MALAM (Nurul Azleen Mohamad) Malam tu kena kerja syif malam. Selepas selesai rondaan malam, dan menyiapkan nota pesakit, aku pun bergegas ke tandas. Lama dah tahan, dari mula syif lagi. Kalau selalu buat macam ni, boleh dapat batu karang! Selesai menunaikan hajat di tandas, aku pun menuju ke singki untuk mencuci tangan. Amalkan 7 langkah cucian ya. Selepas tu, aku belek-belek sekejap muka. Cuci muka yang rasanya dah macam zombi. Tiba-tiba, ada senyuman di cermin. Eh, aku rasa muka aku toye ja. Tak ada senyum pun, tapi kenapa dalam cermin aku senyum? Terdengar suara mengilai! “Hiiiiiiiiii...” Aku pun lari meninggalkan tandas.
42 PLASENTA (Erma Sharmilla) Syif malam. Ada pesakit postnatal(selepas bersalin) di dewan bedah perlu di pindah keluar ke wad postnatal. Aku letak pesakit atas troli dan barang pesakit di bawah troli, termasuk uri pesakit. Aku tolak troli ke lif. Perlahan sahaja aku tolak. Keaadan sunyi sepi. Sesudah hantar pesakit ke wad postnatal. Aku pun berpatah balik ke dewan bersalin, masa nak masuk lif, tiba-tiba pesakit tadi lari ke arah lif dengan muka pucat. “Nurse, mana uri saya?” tanya dia. Aku lihat bawah troli. Ada darah meleleh. “Nurse, mana uri saya?” Tak semena-mena, pintu lif tutup. Aku tekan balik butang tingkat 5. Pintu lif terbuka semula.
43 Di luar lif kosong! Tiada pesakit tadi. Aku lari semula ke wad postnatal dan masuk balik ke katil pesakit tadi. Pesakit tu sedang tidur. Berdengkur. Urinya ada di bawah baby cot. Siapa yang minta uri daripada aku semasa di lif tadi?
44 WAD OBSTERIK & GINEKOLOGI (Nur Farhana Noor Musa) "Puan, boleh saya masuk? Saya nak ambil darah." Jam 3.54 pagi. "Sekejap, saya pakai tudung dulu. Awalnya hari ni?" "Saya suka awal-awal." 6 kali percubaan, gagal. "Ish... aku tebuk pakai gigi karang. Susahnya!" "Haha seramnya doktor ni. Cuba baca bismillah, dapatlah nanti." "OK, done! Saya ambil lebih ni. Kita nak buat ujian lagi" Angguk. Sambung tidur.
45 6.35 pagi. "Puan, bangun puan. Kami nak ambil darah ni." "Eh, pagi tadi dah ada doktor datang ambil darah. Doktor Raz apa entah nama dia." Dua orang jururawat dan seorang doktor perempuan saling berpandangan. "Saya di kaunter tu dari tengah malam. Mana ada doktor lain masuk?" bisik jururawat.