The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ipptarkkmm, 2021-08-25 02:19:45

Ucapan Perdana Menteri Malaysia ke 9

UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

EMBARGO

Sehingga 5.30 petang, 22 Ogos 2021

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI KE-9

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT yang
telah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita bagi memulakan
langkah mencari jalan keluar daripada segala kekalutan pandemik,
kegawatan ekonomi, dan kekusutan politik yang membelenggu negara sejak
beberapa bulan lalu.

1. Izinkan saya menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bersama seluruh perkenan
Raja-Raja Melayu, atas pelantikan saya sebagai Perdana Menteri
Malaysia dalam keadaan negara yang sangat mencabar ketika ini.

2. Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin,
mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah berusaha sepenuh
tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersama-
sama Ahli-ahli Jemaah Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sekali lagi dengan ikhlas, saya berterima kasih.

3. Dengan penuh rasa insaf dan bersyukur, ingin saya menzahirkan rasa
terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat yang setia
menyokong saya daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS di bawah panji
Barisan Nasional (BN).

Page 1 of 6

EMBARGO

Sehingga 5.30 petang, 22 Ogos 2021

4. Penghargaan turut dizahirkan kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat
daripada PPBM, PAS, GPS, STAR, PBS, SAPP, juga Ahli-ahli Dewan
Rakyat Bebas yang memungkinkan terbentuknya kerajaan pada hari
ini.

5. Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam
atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan
semula keadaan negara. Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada
yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali
perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita,
iaitu Keluarga Malaysia.

6. Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini
sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan
kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang
berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai
kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep
Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat
dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

7. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan
kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri –
sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan
saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

8. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang
mencengkam kita semua. Ada yang hilang mata pencarian, ada pula
yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang
kerja.

9. Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan
membesar dalam keluarga anak petani yang susah. Oleh sebab itu,
saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada
masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca
daripada wabak ini.

Page 2 of 6

EMBARGO

Sehingga 5.30 petang, 22 Ogos 2021

SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

10. Pandemik COVID-19 adalah musuh kita semua. Mengambil kira situasi
getir pandemik COVID-19 dunia, umum mengetahui bahawa varian
wabak ini sentiasa berevolusi. Bermula daripada varian alpha kepada
beta, dan yang terkini ialah varian lambda. Oleh itu, strategi yang telah
dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasakan serta
ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar
Kesihatan Awam negara.

11. Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan
untuk menurunkan kes COVID-19 dilakukan secara lebih komprehensif.
Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan
dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak
swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

12. Melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian
vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh
dunia. Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi
melebihi 500 ribu dos sehari.

13. Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan
usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa
pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

14. Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan
memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung
semakin diperhebat.

15. Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang
telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin.
Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan
komitmen daripada semua Keluarga Malaysia. Bagi mereka yang masih
belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat
demikian.

16. Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan
frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh
rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Page 3 of 6

EMBARGO

Sehingga 5.30 petang, 22 Ogos 2021

17. Oleh sebab itu, kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini
kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung
halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara. Anak
muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan
yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.

18. Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita
pernah berjaya menurunkan statistik pesakit COVID-19. Ini kerana fakta
terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan
strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan
yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah
menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-
turut.

19. Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman
COVID-19. Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini
tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang.

20. Sehubungan itu, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka
saya umumkan pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi
yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu
berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini.

SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

21. Krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan
menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik
negara kita. Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan
sederhana, sangat terkesan. Ada yang masih bergelut dan ada yang
gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat
serta negara.

22. Bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan,
kerajaan ini akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif
utama.

23. Objektif pertama, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan
usaha meningkatkan kuasa beli pengguna. Manakala objektif kedua,
mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan
ekonomi negara.

Page 4 of 6

EMBARGO

Sehingga 5.30 petang, 22 Ogos 2021

24. Sehubungan itu, fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan
pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana,
perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian
termasuk industri pelancongan domestik.

25. Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk
mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi
negara secara menyeluruh.

26. Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa
mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

27. Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja
bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi
melaksanakan beberapa perubahan mendasar. Seluruhnya bertujuan
memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing
Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

28. Seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak
muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda
didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.

29. Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua
amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan
ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara.

SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

30. Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara
telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.
Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah
landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

31. Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa
politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar
yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja
sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah
air ini.

Page 5 of 6

EMBARGO

Sehingga 5.30 petang, 22 Ogos 2021

32. Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti
baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala
perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi
mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu
mendakap erat prinsip kebersamaan.

33. Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan
keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu
segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan
kerjasama rentas parti.

34. Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan
pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN)
dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

35. Tegasnya, bersama dengan kerajaan ini saya akan menyediakan
pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar
segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi. Saya berikrar
menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat
kepada pasukan saya tidak dipersiakan.

36. Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh
pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang
belakang pentadbiran negara.

37. Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan
kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika
dulu.

38. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!

Sekian, terima kasih.

WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Page 6 of 6


Click to View FlipBook Version