The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by tracymajit, 2022-06-09 03:00:59

eBUKU ANTOLOGI CERPEN HITAM PUTIH

eBUKU ANTOLOGI CERPEN HITAM PUTIH

Keywords: Cerpen,Short Stories

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

rumahnya” Kata Pian sambil memicit-micit mukaku untuk dipaksa tersenyum.
“Kenapa tak tumbuk terus” Perliku kepada Pian kerana membuatkan aku tidak
berminat dengan caranya pada pagi itu.
“Minta maaflah. Kamu ni kan Indra, nak bergurau pun tak boleh. Nanti saya sudah
sambung belajar, mesti kamu rindu saya ni, biasalahkan jiran yang sangat baik” Kata
Pian dengan jujur.
“Baiklah Ustaz, pilihan dunia” Sambungku selamba pada pagi itu.

Setelah selesai mengemas rumah, aku bergegas ke rumah Pak Haji. Kelihatannya,
sudah ramai tetamu yang bertandang di rumah Pak Haji. Setelah menghulurkan
salam kepada Pak Haji, aku duduk ke beranda untuk membantu kerja-kerja yang
sepatutnya dilakukan oleh seorang anak lelaki. Mak Cik Leslia sibuk mengatur garam
dan gula dalam masakannya. Sudah menjadi tradisi apabila ada kenduri, mak cik
Leslia akan dijemput memasak disebabkan air tangannya yang dapat membuka
selera orang ramai untuk makan. Sementara duduk, membersihkan bulu ayam
kampung yang sudah keras membeku kehilangan nyawa, aku terkejut apabila
seseorang yang aku kenali bergegas berlari ke hadapan aku.
“Indra, Indra,..Pengetua SMK Tandek, Kota Marudu ingin berjumpa dengan kamu
sekarang juga” kata Rahim yang tercungap-cungap disebabkan bebanan tubuh
badannya yang semakin sihat disebabkan makanan ringan.
“Kenapa pula, aku ada buat salah ke?“ Balasku.
“Cepatlah usah banyak tanya, jom jalan” Kata Rahim sambil menarik tangan aku.
“Kejap, ayam ini macam mana?” Kataku terkedu dengan perbuatan Rahim yang
merupakan rakan sekelas di sekolahku.
“Letak sajalah, jom jalan” Pintas Rahim.

101

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Aku membonceng di belakang basikal tua milik Rahim, terlompat-lompat kami
seketika apabila terlanggar dengan batu-batu besar di jalan yang masih segar dan
jauh daripada pembangunan. Kalau diikutkan hati, nak saja jalan ini bertar dan
taklah terlompat-lompat pergi ke sana-sini. Kadang-kala tergelak Rahim apabila aku
terpegang pinggangnya,
“Geli-geli, janganlah pegang. Aisshh... Budak ni” Aku terkesima seketika,
“Mana ada aku nak pegang ni, dah jalannya begini nak buat macam mana?” Ketika
perjalanan itu, aku dan Rahim banyak bergurau dan hal ini dapat melupakan aku
mengenai perkara pengetua hendak berjumpa dengan aku. Tiba di pintu sekolah
tersebut, kelihatan pelajar-pelajar yang seusia denganku berduyun-duyun keluar
masuk daripada pejabat am.
“Apa pelajar-pelajar tu buat?” Soalku kepada Rahim. Dengan selamba Rahim
berkata
“Aii..kau tak tahu ke? Hari ni kan keputusan SPM keluar, tula asyik berkurung dalam
bilik ja..manalah taw hal-hal macam ni” Berdebar rasa hatiku mendengar bait-bait
perkataan yang diucapkan oleh Rahim.
Sempat juga aku berdoa
“Ya..Tuhan semuanya daripada keputusanmu.. Amin“ Aku gagahi melangkah masuk
ke pejabat am untuk berjumpa dengan pengetua. Kelihatan wajah-wajah yang ceria
dan kecewa serta tak kurang juga bimbang pada wajah rakan-rakanku, dan
apakah yang akan menimpah nasibku. Belum sempat aku melangkah masuk ke
pejabat am, seseorang telah menepuk bahuku dan aku rasakan tepukan tersebut
adalah insan yang aku kenali. Dengan perlahan aku menoleh, pengetua tersenyum
megah sambil memegang bahuku,
“Tahniah Indra, kamu berjaya dengan keputusan SPM 14 A, tahniah kamu memang
terbaik. Cikgu sangat bangga dengan kamu” Ketika mendengar sendiri daripada

102

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

mulut pengetua itu, aku bersujud menangis kerana terharu kerana gembira dengan
usahaku yang selama ini tidak sia-sia.
“Terima kasih Ibu” Kata hatiku. Inilah hadiah yang terbaik buat ibuku dan aku percaya
bahawa seorang ibu tak akan pernah melihat anak-anaknya kecewa atau gagal
dalam sesebuah perkara, melainkan berkat dan doa yang berterusan. Meskipun ibu
telah berada jauh dari hidupku, namun jelas terasa sangat dekat dalam hatiku. Aku
menangis tanda gembira yang tidak terhingga, hati kecilku berkata
“Ibu, kejayaanku pada hari ini belum mampu membalas kebaikan yang telah ibu
curahkan” Setelah bersalam dengan pengetua, aku melangkah gagah masuk ke
pejabat am untuk melihat sendiri keputusanku. Ketika pintu terbuka, aku percaya
masa depanku menunggu di sana.

103

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Untukmu Ibu

Oleh:
Mohammad Fakhri Faiz (PISMP BA Amb. Jan 2013)

“Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola?
Mekanik macam aku…atau….” Faiz menggeleng-gelengkan kepala.

“Semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu”.


A

104

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

pa nak jadi dengan kau ni Angah? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau
degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan
ibu?” Marah ibu. Faiz hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun.
“Kau tu dah besar Faiz. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik
buat hal di sekolah. Cubalah kau ikut macam Kak Long dengan Alang kau tu.
Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?” Leter ibu lagi. Suaranya
kali ini sedikit sebak bercampur marah. Faiz terus membatukan diri. Tiada sepatah
kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan
kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Faiz mula menderau. Dia
berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu.
“Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak
pengetua tu? Cakap Angah, cakap!” Jerkah ibu. Faiz semakin berdebar-debar
namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah,
dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin
bengang.
“Jadi betullah kau yang mulakan pergaduhan ye? Nanti kau, suka sangat cari
penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Faiz berkali-kali dan berkali-kali
jugaklah Faiz menjerit kesakitan.
“Sakit bu…sakit….maafkan Angah bu, Angah janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul
bu…sakit bu…” Faiz meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi.
“Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin
kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Faiz yang kurus itu.
“Bu…ampunkan Angah bu…bukan Angah yang mulakan…bukan Angah….bu, sakit
bu..!!” Rayu Faiz dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Faiz memaut kaki
si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap
mengenai tubuhnya. Faiz hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan

105

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak
jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti
merotan Faiz. Tangan Faiz yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Faiz
menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Faiz
memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya
menangis lagi kerananya.

Malam itu, Faiz berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang
berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin
kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan
pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan
kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Faiz sempat menjeling ibu di sebelah.
Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di
dilemparkan kepadanya seorang. Si Fakhri anak pengetua itu bebas seolah-olah
sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Faiz mengesat sisa-sisa air mata yang masih
bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu
disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi.

Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun
sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Faiz merebahkan badannya. Dia
cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu
menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan
pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu
semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang
dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Faiz sedar, dia telah mengecewakan hati ibu

106

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Faiz tidak pernah
ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti
hatinya.
“Angah sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Angah ada walaupun kasih
ibu tidak semekar dahulu lagi. Angah mahu meminta maaf. Angah tidak mahu
menjadi anak derhaka” Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula
semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Faiz terlelap
juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika
ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari
sekolah, Faiz terus menuju ke dapur. Dia mencari ibu kalau-kalau orang
kesayangannya itu ada di situ. Faiz tersenyum memandang ibu yang terbongkok-
bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian merasa makanan yang
sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini
berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik
lelakinya yang baru pulang daripada kelas mengaji terus meluru ke arah ibu. Faiz
terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.
“Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye?” Tanya Ayish
kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis
seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya
tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Faiz disebalik pintu terus
memerhatikan mereka sambil memasang telinganya.
“Ibu, Ayish nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu… Ibu tau Ayish lapar,
tapi tunggulah Kak Long dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik
atas mandi dan tukar baju dulu ye” Si ibu bersuara lembut.

107

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Faiz menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan.
“Anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…” Bisik hati kecil Faiz.
“Kak Long dengan Alang nak balik ke ibu?” Soalnya Ayish lagi yang masih belum
berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas
menampakkan kebahagiaan.
“Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Ayish pelik la. Kenapa
bila Angah balik, ibu tak masak macam ni pun?” Faiz terkejut mendengar soalan Ayish.
Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya.
“Angah kan hari-hari balik rumah? Kak Long dengan Alang lain, diorang kan duduk
asrama, balik pun sekali sekala sahaja” Terang si ibu.
“Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Angah pun..” Soal Ayish lagi.
Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Faiz mula terasa sebak. Dia mengakui
kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau
marah walaupun secalit pada ibu yang sangat disayanginya.

“Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Long dengan Alang dekat
stesen bas.” Arah ibu. Dia tidak mahu Ayish mengganggu kerja-kerjanya di dapur
dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Ayish terus
bercakap tentang Faiz. Pada ibu, Faiz anak yang derhaka yang selalu menyakiti
hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di
sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Faiz
dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Ayish keluar, Faiz juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil
jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba

108

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu
yang di lengkapi dengan tudung bermanik.
“Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….” Dia bermonolog sendiri. Faiz melangkah
masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba
disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Harris, sahabatnya.
“La…kau ke, apa kau buat kat sini?” Tanya Faiz ingin tahu sambil bersalaman dengan
Harris.
“Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?” Soalnya pula.
“Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak
aku!” Jelas Faiz jujur.
“Waa…bagus la kau ni Faiz. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macam mana?”
Terlopong mulut Faiz mendengar tawaran Harris itu.
“Betul ke ni Ris? Nanti marah kakak kau!” Faiz meminta kepastian.
“Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya” Balas Harris meyakinkannya.
“Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni” Cerita Faiz
agak keseganan. Harris hanya menepuk bahunya sambil tersenyum.
“Kau ambiklah duhulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit” Kata Harris . Faiz hanya
menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika
ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.
“Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?” Soal Harris yang benar-benar ingin
membantu sahabatnya itu. Faiz menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet
berwarna hitam yang semakin lusuh itu.
“Tak sampai sepuluh ringgit pun Ris, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau
jangan jual dulu baju ni tau!” Pesan Faiz bersungguh-sungguh. Harris hanya
mengangguk senyum.

109

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba,
kelihatan Kak Long dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang
rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Faiz menoleh ke arah mereka seketika
kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari
sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih
ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa
berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah
ayahnya.
“Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?” Soalan ibu yang bernada
sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam
pinggan.
“Kenapa tak makan kat luar jer? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!” Leter ibu lagi.
Faiz hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber
seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Kak Long dan Alang
menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke
arahnya seperti tidak berpuas hati.
“Angah ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Angah, ibu kena marah dengan
pengetua tu” Marah Kak Long, akak perempuannya yang sedang belajar di UTEM.
Faiz mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata akaknya itu
tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu
sahaja.
“Angah! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah
daripada menghabiskan duit ibu” Sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di
sekolah berasrama penuh.

110

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap
mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Faiz mengangkat
mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Faiz tidak tahan
lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya. Perasaannya jadi kacau.
Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka.
Faiz sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Faiz nekad,
esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar.
Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok.

Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Faiz terus bersiap-siap dengan
membawa beg sekolah berisi pakaian, Faiz keluar daripada rumah tanpa ucapan
selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia
mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar
mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong
agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Faiz menunggang motorsikalnya
terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari
itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki
motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan
gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini
hari ke empat Faiz keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang
dilakukan Faiz di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Faiz. Entah mengapa hati
keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Faiz. Tetapi kerinduan dan
kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Faiz bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang
Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang

111

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Joe baik. Dia banyak membantu Faiz antaranya menumpangkan Faiz di rumahnya
dengan percuma.
“Faiz, kalau aku tanya kau jangan marah ok?” Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu
mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu.
“Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Faiz kehairanan.
“Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?” Faiz tersedak mendengar soalan itu. Nasi
yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan
menahan sedakan. Melihat keadaan Faiz itu, Abang Joe segera menghulurkan air.
“Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba
menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Faiz sebak.

Faiz mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah
perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih.
“Faiz, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik
setelah melihat reaksi Faiz yang kurang selesa dengan soalannya tadi.
“Ada” Jawab Faiz pendek
“Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik
macam aku…atau….” Faiz menggeleng-gelengkan kepala.
“Semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu” jawab Faiz disusuli
ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Faiz yang tidak serius
menjawab soalannya itu.
“Ala , gurau ja lah Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah
dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun
masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar
jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang
begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum

112

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah. Setelah tamat waktu rehat,
mereka menyambung kerja masing-masing.

Tidak seperti selalu, petang itu Faiz kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan
dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi.
“Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah …terima kasih banyak kerana jaga saya
beberapa hari ni” Ucap Faiz sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang
sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya
anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Faiz memeluk
lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak.
“Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang
Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe” Kata Faiz lagi.
“Tapi, kan kau boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku?” Soal Abang Joe.
Dia risau kalau-kalau Faiz menyalah anggap tentang soalannya tadi. Faiz hanya
senyum memandangnya.
“Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa
tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni
semakin maju” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai
seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Faiz segera menuju ke butik kakak Harris untuk membeli jubah
yang diidamkannya itu. Setibanya di sana, tanpa berlengah dia terus ke tempat di
mana baju itu disangkut.
“Hey Faiz, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari
rumah ke?” Soal Harris setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Faiz hanya
tersengeh menampakkan giginya.

113

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

“Faiz, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau
tumbuk si Fakhri tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku
terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni” Terang Faiz dengan tenang.
“Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah”
Kata Harris lagi.
“Tak apa lah Ris, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Faiz..kau ni...”.
“Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah
lama tu” Jelas Faiz memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.
“Aku nak beli jubah ni Ris. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”
Pinta Faiz sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu.
“No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” Soal Harris ingin tahu.
“Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia” Terang Faiz.
“Abang Joe mana ni?” “Allaaa.Abang Joe yang buka bengkel motor kat Jalan
Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu” Jelas Faiz dengan panjang lebar.
Harris mengangguk . “Faiz, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?”. “Hari ni la…”
balas Faiz. “Ooo...hari lahir ibu kau hari ni ek?” soal Harris. “Bukan, minggu depan…”
Balas Faiz.
“Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?” Soal Fariz lagi.
“Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap
lepas ni ibu aku tak marah aku lagi” Jawab Faiz sambil mengukir senyum.
Faiz keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Faiz tidak sabar
menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Faiz
membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu.
Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong
masuk ke rumahnya, sebuah kereta Mercedes yang cuba mengelak daripada
melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Faiz dari depan yang

114

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Faiz terpelanting ke
tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi
keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya.

Faiz membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan
dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai
dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga
terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-
sekat.

Dalam keparahan itu, Faiz melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya
sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia
tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat
itu. Faiz berasa amat gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat
mendengar suara Kak Long, Alang, Ayish dan adik-adiknya yang lain memanggil-
manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Faiz
semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan
kad yang masih digenggamannya itu.
“Ha..ha..hadiah….untuk… …ibu………” Ucapnya sambil berusaha mengukir
senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak
dan sedih. Dipeluknya Faiz sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar
bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Faiz semakin kelam. Sebelum matanya
tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Faiz terkulai
dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

115

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Faiz bersama adik-
beradiknya yang lain. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang
hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok
darah yang kering dibukanya lalu dibaca :
“Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap Angah selama ini. Andai
Angah melukakan hati ibu, Angah pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf Angah
bu..Angah janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Angah sayang ibu selama-
lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU”.

Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi.
Begitu juga perasaan yang dirasai adik- beradiknya yang lain. Masing-masing berasa
pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang
melayani perasaan masing-masing, Harris tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati
wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.
“Makcik, ampunkan segala kesalahan Faiz. Dia tak bersalah langsung dalam kes
pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Faiz dan saya sibuk menyiapkan lukisan,
Fakhri datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Faiz dengan
menumpahkan warna air dekat lukisan Faiz. Lepas tu, dia ejek-ejek Faiz. Dia cakap
Faiz anak pembunuh. Bapa Faiz seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya
seorang perempuan gila…” cerita Harris dengan nada sebak. Si ibu terkejut
mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Faiz kerana
kesalahan menumbuk Fakhri.
“Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik… Harris?” Soal ibu Faiz dengan
sedu sedan.
“Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap,
dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang

116

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup
tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula….” terang Harris lagi.

Harris merasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.
Si ibu terdiam mendengar penjelasan Harris. Terasa seluruh anggota badannya
menjadi lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa
sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap
derhaka.

GLOSARI

Anekdot – Merupakan asal-usul cerita pendek. Ia ialah tradisi cerita lisan yang
memperihalkan sebuah situasi yang digambarkan secara ringkas dan terus
kepada tujuan penceritaannya. Ia amat popular pada zaman Kaisar Romawi.

117

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Bahasa - Satu sistem lambang bunyi suara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh
sesuatu kelompok sosial dan digunakan sebagai alat berinteraksi.

Kesan Tunggal – Iaitu kebolehan penceritaan tubuh cerpen yang menjurus kepada
tema dan mesej yang hendak disampaikan melalui manipulasi bahasa, teknik
penceritaan, dan perkembangan plot yang dipilih. Ia juga dipanggil Unsur
Kekaguman yang membolehkan pembaca dapat mengapresiasi cerita yang
disampaikan.

Lagenda - Ialah prosa rakyat yang mirip mitos iaitu dianggap benar-benar terjadi,
tetapi tidak dianggap suci. Berbeza dengan mitos, tokoh legenda ialah manusia
yang ada kalanya mempunyai sifat luar biasa, dan seringkali dibantu makhluk-
makhluk ajaib. Tempat terjadi peristiwa lagenda adalah di dunia nyata. Ia juga
dikenali sebagai ‘Sejarah Rakyat’ yang kolektif (folk history) yang mengalami
tokok tambah (distortion) sehingga melampaui keaslian ceritanya.

Latar – Ialah persekitaran yang membayangi cerita. Ia terbahagi kepada tiga iaitu (1)
Latar tempat (tempat sesuatu cerita itu berlaku), (2) Latar masa (waktu atau
masa sesuatu peristiwa itu berlaku), dan (3) Latar budaya/ masyarakat (keadaan
masyarakat atau budaya di mana peristiwa itu berlaku)

Medan Kata (Gaya bahasa) - Merujuk kepada pemilihan dan penggunaan diksi dan
unsur bunyi yang dipilih penyajak untuk menjadikan sajaknya lebih puitis,
ekonomik, dan mempunyai mesej yang jelas

Mesej - Biasanya merujuk kepada gagasan nilai atau norma yang ingin ditekankan
penyajak dalam puisinya.

Mitos - Mitos atau myth ialah prosa sastera rakyat yang dibintangi watak para dewa
atau makhluk setengah dewa kayangan pada masa lampau dan dianggap
benar-benar terjadi oleh yang empunya cerita atau penganutnya (Bascom
dalam Danandjaja, 1986). Mitos juga disebut Mitologi iaitu cerita rakyat yang

118

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

dianggap benar dan berkaitan dengan kejadian atau asal-usul tempat, alam
semesta, manusia, para dewa, adat istiadat, dan konsep dongeng suci.
Nilai - Ialah norma positif, pesanan, nasihat, atau suri teladan yang ingin disampaikan
pengarang melalui cerita.
Perulangan – Melibatkan pengulangan kata, ungkapan, baris dan rangkap dengan
tujuan menimbulkan irama untuk mengindahkan pendengaran, menegaskan
maksud tertentu puisi, dan menarik perhatian pendengar
Persoalan - merujuk kepada persoalan atau isu sampingan yang ingin diketengahkan
penyajak. Gabungan persoalan sampingan ini akan membentuk tema atau
persoalan pokok sajak.
Pertautan – Idea-idea utama yang disokong oleh bukti atau contoh dalam huraian isi
sesuatu teks.
Plot - Ialah “jalinan peristiwa atau rentetan cerita atau kronologi peristiwa yang
berasaskan sebab dan akibat. Ia terbahagi kepada dua iaitu (1) Perkembangan
plot yang melibatkan Pengenalan, Perkembangan, Pertentangan / konflik,
Puncak cerita / klimaks serta Peleraian, dan (2) Teknik plot iaitu cara sesuatu
cerita / teknik sesuatu cerita itu disampaikan. Ini termasuklah Pemerian/
penceritaan, dialog, monolog, monolog dalaman, imbas kembali/ flashback,
dan imbas muka/ foreshadow.
Sage - Ialah cerita rakyat atau dongeng yang mengandung unsur-unsur sejarah
kepahlawanan seseorang tokoh setempat.
Simbol atau Perlambangan- Ialah kata-kata tertentu yang digunakan sebagai simbol
atau lambang untuk menggambarkan atau menyatakan sesuatu di luar erti
kata-kata itu sendiri.
Sudut Pandang Orang Pertama (SPO1) - Memperlihatkan keterlibatan pengarang
secara langsung dalam sesebuah cerita iaitu berperanan sebagai salah seorang

119

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

watak dalam cerita. Biasanya, pengarang atau pencerita akan menggunakan
ganti nama diri pertama seperti ‘aku’ atau ‘saya’ dalam cerita dan dialognya.
Pengarang boleh mengambil watak utama ataupun watak sampingan. Dalam
sudut pandangan jenis ini cerita lebih berpusatkan pengarang atau diri pencerita
sendiri. Oleh sebab kata ganti aku atau saya digunakan, seseorang pembaca
akan berasa diri mereka turut terlibat dalam cerita dan seterusnya menimbulkan
kesan apresiasi mendalami kepada pembaca.
Sudut Pandang Orang Kedua (SPO2) - Lebih mirip dengan Sudut Pandang Orang
Ketiga (SPO3) iaitu pencerita yang serba tahu isi cerita dan pemikiran watak.
Bezanya cuma SPO2 menggunakan kata ‘kamu’ dan dapat memasuki fikiran
dan lebih tahu tentang diri watak yang dibawa berdialog. Ghalibnya, ini jarang
berlaku dalam keadaan normal dan jarang penulis menggunakannya kerana
sukar. Contoh karya yang terlibat ialah novel Dadaisme (Dewi Sartika, 2004), Cala
Ibi (Nukila Amal, 2004), dan Kabar Buruk dari Langit (Muhiddin M. Dahlan, 2005).
Sudut Pandang Orang Ketiga (SPO3) - Memaparkankan pengarang berperanan
sebagai pencerita dan menyampaikan segala peristiwa serta tindak-tanduk
watak dalam cerita tanpa melibatkan dirinya. Biasanya, pengarang akan
menggunakan kata ganti diri ‘dia’ atau ‘mereka’ kepada watak-watak yang
terlibat di samping menggunakan nama watak yang diciptakan. SPO3
merupakan sudut pandangan yang paling awal dan paling kerap digunakan
dalam cereka. SPO3 boleh dibahagikan kepada tiga iaitu: (i) Sudut Pandangan
Orang Ketiga Serba Tahu (pengarang serba tahu bermaksud pengarang sebagai
pencerita, mengetahui serba-serbi peristiwa serta watak-watak dalam cerita), (ii)
Sudut Pandangan Orang Ketiga Terbatas (pencerita tidak menceritakan semua
peristiwa atau watak seperti yang dilakukan oleh pencerita dalam sudut
pandangan orang ketiga serba tahu. Pengarang hanya memilih watak tertentu

120

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

sahaja untuk diceritakan dengan jelas dan terperinci), dan (iii) Sudut Pandangan
Orang Ketiga Objektif (pengarang hanya menceritakan apa-apa yang dilihat
atau didengarnya sahaja tentang sesuatu watak atau peristiwa dalam cerita.
Pengarang juga bertindak sebagai pelapor atau pencatat terhadap keseluruhan
pergerakan cerita dan tidak memerihalkan setiap watak atau peristiwa secara
terperinci, sebaliknya membiarkan pembaca menafsir sendiri watak atau
peristiwa yang dipaparkan)
Tema – Ialah gagasan pokok atau pokok persoalan (subject-matter) yang ingin
dikemukanakn penyair melalui puisinya.
Tema Cinta - Iaitu persoalan cinta terhadap kekasih, ibu bapa, keluarga, masyarakat,
dan bangsa yang ingin diceritakan atau digambarkan penulis.
Tema Diri – Ialah segala persoalan dalaman atau luaran diri penulis yang menyentuh
aspek perasaan, pemikiran, pengalaman, peristiwa, dan fizikal.
Tema Kemasyarakatan dan Kemanusiaan – Iaitu persoalan dan isu yang memagari
atau membayangi kehidupan masyarakat serta unsur kemanusiaan tentangnya
yang melibatkan pahit maung, nasib, kesedihan, permasalahan, kegembiraan,
serta moral masyarakat yang memberi kesan simpati dan empati penulis dan
meminta pembaca menanganinya.
Tema Ketuhanan – Iaitu persoalan falsafah ketuhanan atau keagamaan yang
mengajak manusia kepada ketakwaan, mengakui kekuasaan Tuhan, dan
menghargai alam ciptaan-Nya.
Tema Patriotisme atau Perjuangan – Iaitu gagasan yang mengungkapkan perjuangan
membela bangsa dan tanah air serta kekaguman terhadap keindahan dan
keistemewaan negara sendiri.

121

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Wacana - Unit bahasa yang melebihi batas ayat atau jalinan unit-unit bahasa yang
tersusun rapi dan berkesinambungan bagi melahirkan kesatuan bahasa yang
utuh.

Watak dan Perwatakan - Watak ialah pelaku dalam sesebuah cerita dan berfungsi
untuk menyampaikan idea penulis. Manakala, perwatakan merujuk kepada
Perwatakan Luaran/ Fizikal (umur, rupa bentuk badan, kerjaya, saiz, dan
penampilan fizikal) serta Perwatakan Dalaman yang melibatkan norma dan nilai
dalaman (perbuatan, pemikiran, dan kepercayaan)watak. Watak terbahagi
kepada Watak Utama, Watak Sampingan, Watak Bulat/ Bundar (dinamis dan
boleh berubah sifat/ sikap), Watak Pipih (statik dan tiada perubahan), Watak
Antagonis (negatif dan seteru watak utama), Watak Protagonis (positif dan
sebagai watak utama), dan Watak Kodi (seperti watak nenek kebayan).

Indek Nama

Anekdot, 7
Antoine Galland, 8
Badang, 7
Cerita Kerangka, 8
Cerpen

A Good Man Is Hard to Find, 16
A Rose for Emily, 16
A Sound of Thunder, 15
An Occurrence at Owl Creek Bridge, 15

122

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Anang, 17
Angin Pulau, 17
Ayuni, 79
Bartleby the Scrivener, 16
Bayang-bayang Kelabu, 16
Bila Embun Tak Menitis Lagi, 88
Brokeback Mountain, 16
Cathedral, 15
Cinta Tak Berhujung, 67
Dalam Naungan Rahmat Ilahi, 19
Destinasi, 16
Dongeng Merdeka, 17
Hallucination, 17
Hitam Putih, 34
Iliad, 7
In der Strafkolonie, 16
Jika Esok Tiba, 16
Kamar No. 6, 9
Kecelakaan Pemalas, 6
Longkang, 17
Mahligai Buat Ayah, 42
Matinya Seorang Perempuan, 17
Monyet, Monyet, Monyet, 17
Nasinya Tumpah, 17
Odyssey, 7
Pada Satu Dimensi, 17
Paku Payung dan Limau Mandarin, 16
Pengadilan, 17
Penyelamat Cinta, 54
Prejudis, 16
Seorang Tua, Sebuah Masjid Lama, Sebuah Kota, 17
Surat Dari Gunung, 16
The Call of Cthulhu, 16
The Dead, 16
The Gift of the Magi, 16
The Last Question, 16
The Lottery, 16
The Monkey's Paw, 16
The Most Dangerous Game, 15
The Overcoat, 16
The Red Room, 16
The Snows of Kilimanjaro, 16
The Story of an Hour, 16
The Tell-Tale Heart, 16
Untukmu Ibu, 103
Young Goodman Brown, 16

123

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Yours Truly, Jack the Ripper, 15
Charles Perrault, 8
Ernest Hemingway, 9
Fabel Aesop, 7
Geoffrey Chaucer Canterbury Tales, 8
Gesta Romanorum, 8
Giovanni Boccaccio Decameron, 8
Hashim Awang, 6
Hikayat Anggun Cik Tunggal, 7
Hikayat Awang Sulung Merah Muda, 7
Ismail Bin Ag Piut, 6
Joko Dolog, 7
Kisah Si Kancil, 7
Lagenda, 7
Lelaki Tua dan Laut, 9
Madame de Lafayette, 8
Majalah,

Majalah Life, 9
Majalah Pengasuh, 6
Scribner's, 9
The Atlantic Monthly, 9
The New Yorker, 9
The Saturday Evening Post, 9
Matteo Bandello, 8
Memahami Latar Anatomi Cerpen, 6
Mitos, 7
Nyi Roro Kidul, 7
Penulis Cerpen
A. Samad Said, 17
Abdullah Hussain, 16
Afiqah Binti Mahmad, 67
Ali Majod, 16
Ambrose Bierce, 15
Annie Proulx, 16
Anton Chekhov, 9
Anwar Ridhwan, 16
Arena Wati, 16
Asly Majubi, 88
Azizi Hj. Abdullah, 16
Baharuddin C.D, 16
Baharuddin Kahar, 17
Carriee Scholastica Bensing, 34
Edgar Allan Poe, 16
Ernest Hemingway, 16
Fatimah Busu, 17
Flannery O'Connor, 16

124

ANTOLOGI HITAM PUTIH 2013

Franz Kafka, 16
H.G. Wells, 16
H.P. Lovecraft, 16
Herman Melville, 16
Homer, 7
Isaac Asimov, 16
James Joyce, 16
Kate Chopin, 16
Kemala, 17
Keris Mas, 17
Mana Sikana, 17
Mohammad Fakhri Faiz, 103
Nathaniel Hawthorne, 9, 16
Nikolai Gogol, 16
Nor bin Ibrahim Al-Madrasi, 6
Norlina Binti Gapare, 42
O. Henry, 16
Othman Putih, 6, 17
Ray Bradbury, 15
Raymond Carver, 15
Richard Connell, 15
Robert Bloch, 15
Rosnani Sharong, 79
S.Othman Kelantan, 17
Siti Zainon Ismail, 17
Shahnon Ahmad, 17
Shirley Jackson, 16
Syamsir Moktar, 19
Usman Awang, 17
W.W. Jacobs, 16
Wan Nurul Aqilah Binti Wan Abdul Rahman, 54
William Faulkner, 16
Sage, 7
Seribu Satu Malam, 8
Sir Roger de Coverley, 8
Teori Herati, 6

125


Click to View FlipBook Version