The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Pembentukan kata (Morfologi) -Tatabahasa (Buku Teks OUM)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by norshahilarazak, 2021-03-26 04:57:38

Pembentukan kata (Morfologi) -Tatabahasa (Buku Teks OUM)

Pembentukan kata (Morfologi) -Tatabahasa (Buku Teks OUM)

X Tatabahasa: Pembentukan
Kata

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menghuraikan definisi morfologi;
2. Menyatakan konsep pembentukan kata;
3. Mengenal pasti proses pembentukan kata; dan
4. Membezakan jenis-jenis bentuk kata.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 109

X PENGENALAN

Tahukah anda bahawa semua bahasa di dunia ini mempunyai sistem yang
tersendiri? Sebahagian bahasa mempunyai sistem yang hampir sama, manakala
sebahagian bahasa lagi mempunyai sistem yang berbeza sama sekali. Dengan
kata lain, ada sistem yang umum bagi semua bahasa dan ada pula sistem yang
khusus bagi sesuatu bahasa. Sistem yang umum bagi semua bahasa misalnya
melibatkan binaan ayat.

Semua bahasa di dunia mempunyai binaan ayat yang sekurang-kurangnya
terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Manakala daripada segi binaan
frasa, ada bahasa yang binaan frasanya menggunakan hukum D-M (unsur yang
diterangkan mendahului yang menerangkan), seperti dalam binaan frasa bahasa
Melayu baju biru atau Rumah Putih. Sebaliknya, bahasa Inggeris menggunakan
hukum M-D (unsur yang menerangkan mendahului yang diterangkan), seperti
dalam binaan frasa blue shirt atau White House.

Sistem bahasa Melayu dihuraikan daripada unsur-unsur yang terdapat dalam
bahasa itu. Unsur yang terbesar dalam bahasa adalah ayat. Ayat pula terbina
daripada gabungan klausa dan frasa. Unsur frasa pula boleh dianalisis kepada
morfem-morfem. Kesemua unit tersebut dinamakan sebagai unit tatabahasa.
Secara umumnya, tatabahasa bahasa Melayu terbahagi kepada dua bidang, iaitu
morfologi dan sintaksis di mana binaan perkataan adalah bidang morfologi,
manakala binaan ayat adalah bidang sintaksis. Hubungan antara kesemua unsur
ini dapat dilihat melalui Rajah 7.2 di bawah.

UNIT TATABAHASA

AYAT Dia pergi ke sekolah.

SINTAKSIS KLAUSA dia pergi ke sekolah
MORFOLOGI
FRASA dia pergi ke sekolah

KATA dia pergi ke sekolah

Rajah 7.2: Unit tatabahasa

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

110 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

7.1 KONSEP MORFOLOGI

Pernahkah anda mendengar istilah morfologi? Tahukah anda apakah yang
dimaksudkan dengan ilmu morfologi? Mungkin ramai antara kita yang belum
memahami konsep ilmu ini. Walaupun begitu, sedarkah kita bahawa kita
sentiasa menggunakan morfologi untuk bertutur, menulis, membaca atau untuk
menyatakan perasaan kita? Jika anda masih kabur tentang ilmu morfologi,
marilah kita meneliti beberapa definisi yang telah diberikan oleh beberapa tokoh
bahasa seperti berikut:

(a) Asmah Hj Omar (1993), menyatakan morfologi sebagai peninjauan
linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfem-morfem dan
varian morfem

(b) John T. Jensen (1995), mendefinisikan morfologi sebagai kajian tentang
struktur dalaman perkataan

(c) Kamus Linguistik (1997), menjelaskan morfologi ialah cabang tatabahasa
yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata

(d) Abdullah Hassan (2005), mentakrifkan morfologi sebagai bidang linguistik
yang mengkaji bagaimana perkataan dibina. Kajian ini dilakukan terhadap
unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk
perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan

(e) Nik Safiah Karim et. al (2008), menjelaskan morfologi sebagai bidang ilmu
bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata

Berdasarkan pendapat tokoh-tokoh di atas, ilmu morfologi ialah ilmu yang
mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Pengkajian struktur, bentuk dan
golongan kata adalah seperti berikut:

MORFOLOGI 1. Struktur kata Membesar (struktur betul)
2. Bentuk kata Besarmem (struktur salah)
3. Golongan kata
Jalan (bentuk tunggal)
Berjalan (bentuk terbitan)

Sedih (golongan kata adjektif)
Menyedihkan (golongan kata kerja)

Rajah 7.3: Konsep morfologi

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 111

Sebelum kita mempelajari ilmu morfologi dengan lebih mendalam, marilah kita
meneliti terlebih dahulu beberapa konsep penting yang terdapat dalam ilmu
morfologi ini. Dengan memahami beberapa konsep penting ini, ia akan
memudahkan kita memahami ilmu morfologi dengan lebih mudah lagi. Berikut
adalah beberapa konsep utama dalam ilmu morfologi iaitu:

(a) Struktur kata
Struktur kata ialah susunan bunyi ujaran atau tulisan yang menjadi unit
bahasa yang bermakna. Perhatikan contoh di bawah:

Contoh:

Pelaksanaan (struktur betul)
Anlaksanape (struktur salah)
Berasaskan (struktur betul)
Kanasasber (struktur salah)

Berdasarkan contoh di atas, kata pelaksanaan adalah bunyi ujaran atau
ejaan yang berada dalam susunan atau struktur yang betul. Manakala,
ejaan anlaksanape merupakan struktur yang salah dan tidak bermakna.

(b) Bentuk Kata
Bentuk kata ialah rupa unit tatabahasa sama ada berbentuk tunggal atau
mengalami proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan.

Contoh:

Jalan (bentuk tunggal)
Berjalan (bentuk terbitan)
Jalan-jalan (bentuk gandaan)
Jalan mati (bentuk majmuk)

Berdasarkan contoh di atas, kata jalan tidak mengalami apa-apa perubahan
dan bentuk yang tidak mengalami apa-apa perubahan ini dinamakan
sebagai bentuk tunggal. Kata berjalan merupakan bentuk kata yang telah
menerima imbuhan iaitu imbuhan ber-. Oleh itu, kata yang menerima apa-
apa imbuhan dinamakan sebagai bentuk terbitan. Seterusnya, bentuk jalan-
jalan adalah bentuk gandaan iaitu kata dasar digandakan bagi
menunjukkan perubahan makna. Akhir sekali, kata jalan mati adalah

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

112 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

gabungan dua kata iaitu jalan dan mati yang membawa satu makna yang
baharu. Bentuk dua kata yang hadir serentak seperti jalan mati dinamakan
sebagai bentuk majmuk.

(c) Penggolongan kata
Penggolongan kata merupakan penjenisan kata berasaskan fungsi
tatabahasa. Tahukah anda bahawa dalam sesuatu bahasa itu terdapat
beribu malahan jutaan kata? Semua kata tersebut perlulah dikelompokkan
atau digolongkan dalam kategori tertentu. Dalam bahasa Melayu, terdapat
empat golongan kata iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata
tugas.

Contoh:

Kata nama bumi, Ahmad, sekolah
Kata kerja tulis, menyanyi, bersalam
Kata adjektif cinta, marah, benci
Kata tugas di, akan, sangat

Berdasarkan contoh di atas, perkataan bumi, Ahmad, sekolah adalah
merujuk kepada nama-nama benda dan kesemua kata tersebut
digolongkan sebagai kata nama. Perkataan tulis, menyanyi, bersalam
merupakan kata yang merujuk kepada perbuatan dan kesemua perkataan
tersebut digolongkan sebagai kata kerja. Seterusnya, kata cinta, marah,
benci adalah kata yang merujuk kepada sifat. Oleh itu, kata tersebut
digolongkan sebagai kata adjektif. Akhirnya ialah kata tugas iaitu kata
yang berfungsi dalam ayat seperti di sekolah, akan hadir dan sangat
pandai.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 113

7.2 PROSES PEMBENTUKAN KATA

Pada amnya, perkataan bahasa Melayu terhasil melalui empat proses iaitu proses
tunggal (kata tunggal), proses pengimbuhan (kata terbitan), proses pemajmukan
(kata majmuk) dan proses penggandaan (kata ganda).

Rajah 7.3: Pembentukan kata bahasa Melayu

Berdasarkan Rajah 7.3 di atas, perkataan bahasa Melayu dapat dihasilkan melalui
empat proses pembentukan kata. Setiap proses akan menghasilkan kata yang
berbeza. Sebahagian besar perkataan bahasa Melayu terhasil melalui proses
terbitan iaitu kata dasar menerima imbuhan untuk membezakan makna kata.

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), bahasa Melayu merupakan salah satu
bahasa di dunia yang tergolong ke dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa
yang bersifat derivatif. Jenis bahasa yang sedemikian membentuk kebanyakan
perkataannya melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata
dasar dengan morfem imbuhan secara rentetan mendatar, iaitu imbuhan
digabungkan serentak dengan kata dasar, sama ada mendahului (awalan),
menyisip (sisipan) atau mengikuti (akhiran) kata dasar tersebut.

Selain menghasilkan perkataan melalui proses pengimbuhan, perkataan bahasa
Melayu juga boleh terhasil melalui proses pemajmukan dan penggandaan.
Melalui proses pemajmukan, makna-makna baharu kata dapat dihasilkan
khususnya bagi menjelaskan sesuatu konsep. Misalnya, dua kata iaitu meja dan
makan dapat menghasilkan satu konsep baharu iaitu meja makan. Melalui
proses penggandaan pula, makna jamak atau banyak dapat dihasilkan bagi
sesuatu perkataan.

AKTIVITI 7.1

Berdasarkan petikan di bawah, sila kenal pasti bentuk-bentuk kata
yang digunakan.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

114 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

SIME Darby Bhd, syarikat perladangan senaraian awam terbesar dunia,
sedang memperhalusi rancangan memajukan ladang sawit seluas 300,000
hektar dengan anggaran pelaburan mencecah RM7.5 bilion di Cameroon
berikutan permintaan dan harga kukuh komoditi itu.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Bakke Salleh, berkata pelaburan itu adalah
prospek terbaik untuk kumpulan menambah simpanan tanahnya seluas
640,000 hektar selepas ia memperoleh konsesi ladang sawit seluas 220,000
hektar di Liberia.

(Sumber: Berita Harian 1 Mac 2011)

7.2.1 Bentuk Kata Tunggal

Pada bahagian ini, anda akan mempelajari proses pembentukan kata tunggal
bahasa Melayu. Diharap anda akan memahami proses bagaimana kata tunggal
bahasa Melayu itu dihasilkan.

Definisi Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa menerima
sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan pemajmukan.

Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata
tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata
tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih. Jika dilihat dari segi
penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi satu suku kata atau beberapa
suku kata.

Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal (V) sahaja, satu vokal
disertai satu konsonan (K), atau satu vokal dengan beberapa konsonan.
Konsonan-konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak
di hadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus
(KK).

Dalam bahasa Melayu, proses pembentukan kata tunggal boleh dilihat melalui
pola vokal dan konsonan dalam sesuatu kata. Pembentukan kata tunggal terhasil
melalui gabungan vokal dan konsonan yang akan dijelaskan seperti berikut:

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 115

(a) Kata Tunggal Satu Suku Kata
Berdasarkan penelitian terhadap Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), jumlah
keseluruhan kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu
sangat terhad, iaitu di antara 500 dan 1,000 kata sahaja. Kebanyakan
perkataan tersebut merupakan kata pinjaman daripada bahasa-bahasa
asing, terutamanya bahasa Arab, bahasa Inggeris dan bahasa Jawa.

Pola pembentukan kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata
adalah seperti berikut:

(i) KV (ya, yu)

(ii) VK (am)

(iii) KVK (tin, sen)

(iv) KKVK (gred, graf)

(v) KVKK (golf, bank)

(vi) KKKV (skru)

(vii) KKKVK (skrip)

AKTIVITI 7.2

Berdasarkan pola di atas, sila hasilkan perkataan yang mempunyai
satu suku kata sahaja.

(b) Kata Tunggal Dua Suku Kata
Terdapat banyak perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada dua suku
kata. Antara pola-pola kata tunggal dengan suku kata adalah seperti yang
berikut:

(i) V + KV (ini, apa)

(ii) V + VK (air, aur)

(iii) V + KVK (alas, ulat)

(iv) VK + KV (asli, anda)

(v) VK + KVK (indah, umbut)

(vi) KV + V (dia, doa)

(vii) KV + VK (luas, laut)

(viii) KV + KV (bata, kata)

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

116 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

(ix) KV + KVK (kapak, telus)
(x) KVK + KV (bantu, serta)
(xi) KVK + KVK (jemput, sandar)

(c) Kata Tunggal Tiga Suku Kata
Dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata, jumlah kata tunggal
dengan tiga suku kata agak kecil. Namun demikian pola-pola susunan
konsonan-vokalnya agak banyak. Jika diperhatikan perkataan-perkataan
tiga suku kata ini banyak daripadanya ialah kata-kata pinjaman (Nik Safiah
Karim et al. 2009). Antara pola-polanya:

(i) KV + V + KV (suara, tiada)

(ii) KV + V + KVK (kaedah, ziarah)

(iii) V + KV + V (idea, Asia)

(iv) KV + KV + V (peria, petai)

(v) KVK + KV + V (pantai, santai)

(vi) KV + KV + VK (keluar, seluar)

(vii) KVK + KV + VK (berlian, tempias)

(viii) V + KV + KV (usaha, azali)

(ix) V + KV + KVK (alamat, akibat)

(x) VK + KV + KV (asmara, antara)

(xi) KV + KV + KV (budaya, sutera)

(xii) KVK + KV + KV (kembara, misteri)

(xiii) VK + KV + VK (ilmiah, ikhtiar)

(xiv) V + KV + VK (akaun, amaun)

(xv) KV + KV + KVK (selaput, kelawar)

(xvi) KVK + KV + KVK (mahkamah, sembilan)

(xvii) KV + KVK + KV (terumbu, kelambu)

(xviii) KVK + KVK + KV (sempurna)

(xix) KV + KVK + KVK (kelompok, pelantar)

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 117

(d) Kata Tunggal Empat Suku Kata dan Lebih
Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku
kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara
contoh-contohnya:

(i) KVK + KV + VK + KV (biduanda, keluarga)

(ii) KV + KVK + KV + KV (bijaksana, peristiwa)

(iii) KVK + KV + KV + KV (bendahari, sandiwara)

(iv) KVK + KV + V + KV (sentiasa)

(v) KV + KV + KV + KV (samudera, selesema)

(vi) KV + KV + KV + KVK (muzakarah, kapitalis)

(vii) KVK + KV + KV + KVK (sentimeter)

(viii) KVK + KVK + KV + KV (dispensari, singgahsana)

(ix) KV + KV + V + KVK (mesyuarat, nasional)

(x) V + KV + KVK + KV + KV (universiti)

(xi) KVK + KV + KV + KV + KVK (kosmopolitan)

(xii) KV + KV + KV + KV + KV + KV (maharajalela)

AKTIVITI 7.3

Berdasarkan petikan di bawah, sila kenal pasti pola KV bagi setiap
perkataan tersebut. Adakah semua perkataan tersebut mematuhi pola
KV bahasa Melayu yang telah anda pelajari?

PROTON Holdings Bhd dijangka mencatat keputusan kewangan lebih baik
dalam tempoh setahun hingga dua tahun selepas selesai melaksanakan
penstrukturan semula Lotus Group International Ltd, kata Penasihatnya, Tun
Dr Mahathir Mohamad.

(Sumber: Berita Harian 1 Mac 2011)

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

118 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

(e) Proses Pengakroniman
Selain penghasilan kata tunggal melalui proses pembentukan pola KV, kata
tunggal bahasa Melayu juga dapat dihasilkan melaui proses
pengakroniman. Juga dikenali sebagai kata akronim adalah sejenis kata
tunggal.

Menurut Farid M. Onn (2000), proses pengakroniman berlaku melalui
pencantuman bunyi-bunyi pertama dalam sejumlah perkataan, atau
pencantuman bahagian-bahagian daripada beberapa perkataan untuk
membentuk satu perkataan baharu. Proses pengakroniman banyak berlaku
dalam bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan bahasa-bahasa lain seperti
bahasa Inggeris.

Tahukah anda bahawa dalam bahasa Melayu, kata akronim terhasil melalui
tiga cara? Penghasilan kata akronim bergantung pada cara pembentukan
akronim tersebut. Proses penghasilan kata akronim adalah seperti berikut:

(i) Gabungan Huruf Awal
Akronim yang terhasil daripada gabungan beberapa huruf awal
rangkai kata yang disingkatkan. Kesemua huruf yang disingkatkan
itu ditulis dengan huruf besar, jika merujuk kepada kata nama khas.
Contohnya:

IKIM Institut Kefahaman Islam Malaysia
ADUN Ahli Dewan Undangan Negeri
ABIM Angkatan Belia Islam Malaysia
MAIS Majlis Agama Islam Selangor
PLUS Projek Lebuh Raya Utara Selatan

(ii) Gabungan Suku Kata (Kata Nama Am)
Akronim yang terbentuk daripada gabungan suku kata yang ditulis
dengan huruf kecil, kecuali nama khas. Contohnya:

Purata pukul rata
Tadika taman didikan kanak-kanak
Kugiran kumpulan gitar rancak
Cerpen cerita pendek
Pawagam panggung wayang gambar

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 119

(iii) Gabungan Suku Kata (Kata Nama Khas)
Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal atau suku
kata yang terdiri daripada kata nama khas. Kata itu perlu ditulis
bermula dengan huruf besar. Contohnya:

Bernama Berita Nasional Malaysia
Intan Institut Tadbir Awam Negara
Petronas Petroleum Nasional

Perbezaan antara Kata Akronim dengan Singkatan

Kata akronim merupakan bentuk kata tersendiri dan dapat disebut seperti
perkataan lain dalam bahasa. Singkatan pula hanya bentuk kependekan sesuatu
perkataan dan cara menyebutnya ialah dengan menyebut tiap-tiap huruf yang
ada. Sebagai contoh ialah K.L. (kependekan bagi nama tempat, iaitu Kuala
Lumpur), dan Y.B. (kependekan bagi „Yang Berhormat‰), satu gelaran seperti
juga „Sh.‰ bagi "Sharifah dan „Tg.‰ bagi „Tengku‰. Kesemua ini merupakan kata
nama khas, dieja dengan huruf besar pada huruf pertama.

Terdapat juga singkatan yang bukan kata nama khas, maka ejaannya dengan
huruf biasa, misalnya Âttg.Ê untuk ÂtentangÊ, Âyg.Ê untuk ÂyangÊ dan Âdll.Ê untuk
'dan lain-lainÊ. Kesemua ini bukan kata akronim, sebaliknya merupakan bentuk
singkatan. Perhatikan bahawa singkatan memerlukan titik, untuk menunjukkan
ciri singkatan tersebut. Oleh itu, tidak tepat, misalnya jika ditulis „YB‰ atau „ttg‰
iaitu tanpa titik.

7.2.2 Bentuk Kata Terbitan

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), kata terbitan ialah bentuk perkataan
yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan, iaitu proses yang
menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan
bentuk perkataan yang disebut kata terbitan.

Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar ialah bentuk
morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Hanya segelintir kata dasar
sahaja merupakan morfem terikat yang disebut akar.

Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat,
iaitu harus diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar.
Berdasarkan kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan
kepada empat jenis, iaitu:

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

120 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

Imbuhan Awalan Memasak, terjatuh, diambil
Imbuhan Akhiran Bantuan, besarkan, duduki
Imbuhan Apitan Menyalahkan, meratapi
Imbuhan Sisipan Gerigi, selerak, seruling

(a) Imbuhan Awalan
Imbuhan awalan ialah imbuhan yang hadir pada awal kata dasar. Imbuhan
awalan dapat dihasilkan bersama-sama kata nama terbitan, kata kerja
terbitan dan kata adjektif terbitan seperti yang disenaraikan berikut:
(i) Awalan kata nama
(ii) Awalan kata kerja
(iii) Awalan kata adjektif

Contohnya:

(i) Awalan kata nama

Pe- (penulis, perakus, penyapu)
Pem- (pemberi, pembuat, pembuka)
Pen- (pendamai, pendua, penderma)
Peng- (penggosok, penggubal, pengguna)
Penge- (pengecat, pengetin, pengelap)
Pel- (pelajar, pelbagai)
Per- (perasap, perbara, pertapa)
Pe- (pesara, pesakit, petani)
Ke- (ketua, kelipat, kelepek)
Juru- (jurutera, juruwang, juruterbang)
Maha- (mahasiswa, mahaguru, maharaja)
Tata- (tatanegara, tatabahasa, tatacara)
Pra- (prasekolah, prakata, prasangka)
Sub- (subkelas, subsistem, substandard)
Supra- (suprakelas, supranasional, suprasegmental)
Eka- (ekabahasa, ekawarna, ekasamping)
Dwi- (dwibahasa, dwifungsi, dwilambang)

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 121

(ii) Awalan kata kerja

Me- (melawan, menyikat, merasa)
Mem- (membawa, membilang, memfitnah)
Men- (mendaki, mendakwa, mentadbir)
Meng- (menggali, menggiling, mengikut)
Menge- (mengecat, mengekod, mengetut)
Memper- (memperisteri, memperhamba, memperluas)
Ber- (berjalan, berganti, berserta)
Be- (beraja, berasa, berupa)
Bel- (belajar, belunjur, belantan)
Ter- (terjebak, terbentuk, terjerlus)
Di- (diatur, ditimbang, disusun)
Diper- (diperisteri, dipercepat, diperoleh)

(iii) Awalan kata adjektif

Ter- (terbesar, terputih, terjernih)
Te- (teruncing, terendah, teringan)
Se- (secantik, secerah, setebal)

SEMAK KENDIRI 7.1

Berdasarkan petikan di bawah, sila kenal pasti bentuk kata terbitan
yang digunakan.

KIDZANIA Kuala Lumpur (KidZania), taman tema berunsur
pendidikan yang akan dibuka kepada pengunjung pada suku
keempat tahun ini, disasarkan mampu menerima kehadiran
sehingga 500,000 pengunjung setahun susulan kedudukannya di
lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai. KidZania yang
dibina di pusat membeli-belah The Curve, di Petaling Jaya itu juga
adalah satu-satunya taman tema berunsur pendidikan di Malaysia
setakat ini.

(Sumber: Berita Harian 1 Mac 2011)

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

122 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

(b) Imbuhan Akhiran
Imbuhan akhiran ialah imbuhan yang hadir pada akhir kata dasar.
Imbuhan akhiran dalam bahasa Melayu hanya dapat wujud dalam kata
nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja seperti yang berikut:
(i) Akhiran kata nama
(ii) Akhiran kata kerja

Contohnya:

(i) Akhiran kata nama

-an (pakaian, jahitan, mainan)
-wan (sasterawan, angkasawan, usahawan)
-man (budiman, seniman)
-wati (seniwati)
-isme (nasionalisme, sosialisme, komunisme)
-in (hadirin, muslimin)
-at (hadirat, muslimat)
-ah (ustazah, sultanah)

(ii) Akhiran kata kerja

-kan (buatkan, gunakan, besarkan, tinggikan)
-i (turuti, duduki, berkati, dekati)

(c) Imbuhan Apitan
Imbuhan apitan ialah imbuhan yang hadir serentak di hadapan dan di
belakang kata dasar. Imbuhan apitan wujud dalam kata nama terbitan, kata
kerja terbitan dan kata adjektif terbitan. Imbuhan apitan juga dikenali
sebagai imbuhan terbahagi atau imbuhan lingkungan. Jenis imbuhan
apitan seperti yang disenaraikan berikut:

(i) Apitan kata nama

(ii) Apitan kata kerja

(iii) Apitan kata adjektif

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 123

Contohnya:
(i) Apitan kata nama

Pe-...-an (pelaksanaan, perasaan, penyiaran)
Pem-...-an (pembuatan, pembinaan, pemfitnahan)
Pen-...-an (pentakrifan, pendapatan, pencarian)
Peng-...-an (penggunaan, pengguguran, pengkhayalan)
Penge-...-an (pengehadan, pengesahan, pengesyoran)
Pe-...-an (persisiran, peperangan, perkarangan)
Per-...-an (persalinan, perkuburan, permainan)
Ke-...-an (kelainan, kelebihan, kedukaan)

Sumber: Nik Safiah Karim et al. (2009

(ii) Apitan kata kerja

Me-...-kan (memainkan, melukakan, menakutkan)
Men-...-kan (mendermakan, mentakrifkan, menzarahkan)
Mem-...-kan (membaharukan, membaikkan, memvetokan)
Meng-...-kan (menggunakan, menggandakan, menghairankan)

Sumber: Nik Safiah Karim et al. (2009

Menge-...-kan (mengepinkan, mengecamkan)
Ber-...-kan (beralaskan, berlaukkan, berbajukan)
Ber-...-an (berlanjutan, bermaafan, berjauhan)
Di-...-an (dibiarkan, digunakan, dibaringkan)
Me-...-i (melalui, memasuki, menyedari)
Men-...-i (mencurigai , mendendami, menziarahi)
Mem-...-i (membaharui, membohongi, mempercayai)
Meng-....-i (menganggotai, menggauli, mengairi)
Di-...-i (didekati, dimulai, diadili)
Diper-...-kan (diperdengarkan, diperlihatkan, diperbahaskan)
Diper-....-i (diperingati)
Memper-...-kan (memperdengarkan, memperlihatkan)
Memper-...-i (memperingati)
Ke-...-an (kehujanan, kehausan, kepanasan)

Sumber: Nik Safiah Karim et al. (2009

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

124 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

(iii) Apitan kata adjektif

Ke... an (keinggerisan, kearaban, kecinaan)
Sumber: Nik Safiah Karim et al. (2009

(d) Imbuhan Sisipan
Imbuhan sisipan ialah imbuhan yang hadir secara menyisip dalam sesuatu
kata dasar. Bentuk sisipan tidak produktif lagi dalam pembentukan kata
terbitan dengan maksud kata terbitan baharu tidak lagi dibentuk dengan
sisipan. Bentuk-bentuk kata sisipan sudah membeku dalam kata terbitan
tertentu dan tidak dapat hadir dalam perkataan-perkataan yang lain
kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta.

Sisipan bahasa Melayu dapat wujud dalam:
(i) Kata nama
(ii) Kata adjektif

Contohnya:

(i) Sisipan kata nama

-el- (kelengkeng, telunjuk, kelabut)
-er- (keruping, seruling, serabut)

(ii) Sisipan kata adjektif

-el- (kelebak, selerak, gelembung)
-er- (serabut, gerigi)
-em- (gemilang, semerbak, gemerlap)
-in- (sinambung)

AKTIVITI 7.4

Berdasarkan jadual di bawah, sila tentukan jenis imbuhan yang
digunakan.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 125

Perkataan Jenis Imbuhan
Menceritakan
Rintangan
Diakui
Menggembleng
Membantu
Kerajaan

Memahami Hukum PTKS

Hukum PTKS Contoh
Pukul = Memukul
P→M Tulis = Menulis
T→N Kumpul = Mengumpul
K → NG Suci = Menyuci
S → NY

Nota: Tidak semua kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, s boleh
bertukar menjadi m, n, ng, ny apabila menerima imbuhan meN- atau peN-.
Misalnya, kata pinjaman seperti sistem atau struktur tidak akan menjadi
menyistem (yang betul mensistemkan) atau menyutrukturkan (yang betul
menstrukturkan). Selain itu, kata menyintai adalah bentuk yang salah, yang
sepatutnya ialah mencintai kerana huruf c tidak akan bertukar menjadi ny.

7.2.3 Kata Majmuk

Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih
dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata makjuk dieja terpisah
dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang
penyisipan unsur lain, misalnya pasar untuk raya.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

126 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

Kata majmuk boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
(a) Rangkaian Kata Bebas

Contohnya:

Pasar raya
Nasi ayam
Terima kasih
Bandar raya
Tengah malam
Hijau muda
Bahan bakar

Kata atau nama gelaran juga termasuk di bawah kata majmuk rangkaian
kata bebas, contohnya:

Ketua Menteri
Profesor Madya
Guru Kanan
Timbalan Ketua Pengarah
Setiausaha Kementerian

(b) Istilah Khusus
Contohnya:

Papan kekunci
Reka bentuk pengajaran
Lut sinar
Hak milik kekal
Pita suara

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 127

(c) Simpulan Bahasa
Contohnya:

Telinga kuali
Hati batu
Buaya darat
Lepas tangan
Harga mati

(d) Bentuk yang Telah Mantap
Kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu
perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut mengandungi dua
kata dasar, akan dieja sebagai satu perkataan sahaja. Terdapat 33 kata
majmuk yang dieja rapat, contohnya:

Matahari Haribulan
Setiausaha Dinihari
Sukarela Perikemanusiaan
Suruhanjaya Sukacita
Tandatangan Dukacita
Tanggungjawab Kepada
Antarabangsa Daripada
Olahraga Apabila
Warganegara Manakala
Pesuruhjaya Padahal
Beritahu Darihal
Bumiputra Barangkali
Jawatankuasa Kadangkala
Kakitangan Apakala
Kerjasama Walhal
Peribadi Bagaimana
Peribahasa

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

128 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

Penggandaan kata majmuk

Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja.
Contohnya:

Kapal-kapal angkasa
Pembantu-pembantu Am
Pegawai-pegawai Khas
Garis-garis pusat
Alat-alat lukis
Perpustakaan-perpustakaan Negeri

Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap,
penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya:

Jawatankuasa-jawatankuasa
Setiausaha-setiausaha
Pesuruhjaya-pesuruhjaya
Warganegara-warganegara
Tandatangan-tandatangan

Pengimbuhan kata majmuk

(a) Jika kata majmuk menerima imbuhan awalan atau akhiran sahaja, perlu
dieja terpisah. Contohnya:

Anak tiri Dianak tiri
Ubah suai Diubah suai
Campur aduk Bercampur aduk
Litar selari Berlitar Selari
Ambil alih Mengambil alih
Temu bual Ditemu bual
Daya tahan Berdaya tahan
Daya saing Berdaya saing

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 129

(b) Jika kata majmuk menerima imbuhan apitan, perlu dieja rapat. Contohnya:

Campur aduk Mencampuradukkan
Daya serap Berdayaserapan
Garis pusat Menggarispusatkan
Satu padu Menyatupadukan
Urus niaga Diurusniagakan

AKTIVITI 7.5

Berdasarkan petikan di bawah, sila kenal pasti bentuk kata majmuk
yang digunakan.

Pengguna tidak akan berhadapan dengan imej paparan yang muncul pada
skrin terhasil hanya pada bahagian tengah dan memanjang serta kemunculan
jalur hitam di bahagian atas dan bawah semasa menonton drama melalui
cakera keras ataupun cakera video digital (DVD). Ini bermakna, pengguna
berpeluang untuk menikmati pandangan paparan secara penuh pada seluruh
skrin monitor.

(Sumber: Utusan Malaysia 6 Oktober 2008)

7.2.4 Bentuk Kata Majmuk

Dalam bahasa Melayu, proses penggandaan ialah proses menggandakan kata
dasar. Tujuan utama proses penggandaan ialah untuk menghasilkan maksud
jamak. Misalnya buku (sebuah buku) digandakan menjadi buku-buku akan
menghasilkan maksud banyak buah buku. Bagaimanapun, terdapat kata ganda
yang tidak membawa makna jamak seperti rama-rama, labah-labah, anai-anai
dan sebagainya yang hanya merujuk pada seekor rama-rama atau seekor labah-
labah sahaja.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

130 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

Terdapat empat bentuk penggandaan seperti di dalam Rajah 7.4 berikut.

Rajah 7.4: Empat bentuk penggandaan
(a) Penggandaan penuh

Pembentukan kata ganda penuh terhasil melalui proses menggandakan
keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan
ataupun tidak.
Penggandaan penuh yang terjadi pada kata dasar yang tidak ada imbuhan
menggandakan seluruh kata dasar. Contohnya:
Bas-bas
Kecil-kecil
Kerusi-kerusi
Baik-baik
Jalan-jalan
Kata nama yang mengandungi imbuhan juga boleh digandakan
sepenuhnya, iaitu termasuk imbuhan sekali. Contohnya:
Pentadbir-pentadbir
Persatuan-persatuan
Pemeriksa-pemeriksa
Kehendak-kehendak
Kejohanan-kejohanan

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 131

(b) Penggandaan separa
Pembentukan kata ganda separa terhasil melalui proses menggandakan
sebahagian kata dasar sahaja. Penggandaan separa boleh berlaku di
hadapan atau di belakang kata dasar. Penghasilan kata ganda separa
lazimnya melibatkan dua proses utama iaitu pengguguran suku kata dan
proses pelemahan vokal, misalnya a→e, i→e, dan o→e.

Contohnya:

Bola bobola bebola
Daun dadaun dedaun
Laki lalaki lelaki
Jari jajari jejari
Siku sisiku sesiku

(c) Penggandaan berentak
Pembentukan kata ganda berentak terhasil memalui proses menggandakan
kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam
penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi
tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan
bunyi-bunyi demikian, maka penggandaan berentak boleh dibahagikan
kepada tiga jenis, iaitu:

Ć Penggandaan berentak pengulangan vokal

Ć Penggandaan berentak pengulangan konsonan

Ć Penggandaan berentak bebas

(i) Penggandaan berentak pengulangan vokal ialah penggandaan yang
mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu, iaitu
terdapat ciri-ciri keharmonian vokal. Contohnya:

Hiruk-pikuk
Gotong-royong
Cerai-berai
Tungkus-lumus
Hingar-bingar

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

132 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

(ii) Penggandaan berentak pengulangan konsonan pula ialah
penggandaan yang mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi
konsonan tertentu. Contohnya:

Mandi-manda
Bolak-balik
Batu-batan
Gunung-ganang
Bukit-bukau

(iii) Penggandaan berentak bebas ialah penggandaan yang tidak
mengandungi ciri-ciri persamaan pada bunyi vokal atau konsonan.
Contohnya:

Anak-pinak
Saudara-mara
Lintang-pukang
Titik-bengik

(d) Penggandaan Berimbuhan
Pembentukan kata ganda berimbuhan terhasil melalui proses
menggandakan sesuatu kata dasar yang menerima apa-apa bentuk
imbuhan. Biasanya, penggandaan ini berlaku pada golongan kata kerja dan
kata adjektif. Proses penggandaan boleh berlaku pada bahagiaan hadapan
atau belakang kata dasar. Penggandaan berimbuhan tidak boleh disamakan
dengan kata ganda separa kerana kedua-dua penggandaan tersebut terhasil
melalui proses morfologi yang berbeza.

Contohnya:

Mencari-cari
Berturut-turut
Sepandai-pandai
Kejar-mengejar
Bantu-membantu

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA W 133

AKTIVITI 7.6

Berdasarkan jadual di bawah, sila tentukan jenis kata ganda bagi
setiap perkataan tersebut.

PERKATAAN Jenis Gandaan
Komputer-komputer
Rerambut
Labi-labi
Mudah-mudahan
Biri-biri
Saudara-mara
Sahabat-handai

Ć Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa tidak
menerima sebarang imbuhan.

Ć Pengakroniman berlaku melalui pencantuman bunyi-bunyi pertama dalam
sejumlah perkataan, atau pencantuman bahagian-bahagian.

Ć Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat.
Ć Imbuhan awalan ialah imbuhan yang hadir pada awal kata dasar.
Ć Imbuhan akhiran ialah imbuhan yang hadir pada akhir kata dasar.
Ć Imbuhan apitan ialah imbuhan yang hadir serentak di hadapan dan di belakang

kata dasar.
Ć Imbuhan sisipan ialah imbuhan yang hadir secara menyisip dalam sesuatu kata

dasar.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

134 X TOPIK 7 TATABAHASA: PEMBENTUKAN KATA

Ć Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih
dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu.

Ć Proses penggandaan ialah proses menggandakan kata dasar.

Hukum PTKS Kata tunggal
Kata Pemajmukan
Kata akronim Pembentukan kata
Kata dasar Pengakroniman
Kata ganda Penggandaan
Kata majmuk Pengimbuhan
Kata terbitan Perkataan

Abdullah Hassan. (2005). Linguistik am. Bentong: PTS Profesional.

Abdullah Hassan. (2007). Morfologi. Bentong: PTS Profesional.

Asmah Hj Omar. (1993). Nahu Melayu mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Farid M. Onn et al. (2000). Morfologi dan sintaksis. Bangi: Pusat Pangajian Jarak
Jauh UKM.

Mohd RaÊin Shaari, Alias Mohd Yatim & Abdullah Yusof. (2009). Pembelajaran
Tatabahasa Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim et al. (2009). Tatabahasa Dewan edisi baharu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


Click to View FlipBook Version