PENGHARGAAN Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat saya menyiapkan kerja kursus dengan jayanya. Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa kerana memberi peluang kepada saya menghasilkan kerja kursus ini. Sekalung penghargaan diberikan kepada Puan Siti Suliana binti Che Samsudin guru penyelaras Kelab Kesenian dan Kebudayaan Sekolah Kebangsaan Kulim di atas kerjasama yang diberikan kepada saya bagi menyempurnakan kerja kursus ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Puan Adelina Hannani yang merupakan pensyarah mata pelajaran MPU3081 yang telah memberi tunjuk ajar serta penerangan yang sempurna kepada saya dari awal lagi sejak tugasan ini diedarkan sehinggalah dalam proses menyiapkan tugasan ini. Selain itu juga, saya mengucapkan terimakasih kepada puan kerana memberi kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugasan ini sehingga jayanya. Tidak lupa juga kepada kedua ibu bapa saya yang banyak memberi sokongan serta dorongan dan juga wang ringgit dalam menghasilkan kerja kursus ini. Tanpa sokongan dan dorongan mereka mungkin tidak dapat saya menghasilkan tugasan ini dengan sempurna seperti rakan-rakan yang lain. Malah, jutaan terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama bertungkus-lumus menghasilkan tugasan ini dan juga bertukar-tukar idea dalam membantu saya menyiapkan kerja kursus ini. Akhir sekali, harapan saya agar segala tugasan yang saya hasilkan dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya di samping dapat menjadi bakal guru yang bertanggungjawab bagi melahirkan modal insan yang cemerlang. Selain itu juga, harapan saya agar dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri terutamanya, serta kepada pembaca agar kita sama-sama menjadi pendidik yang berpengetahuan luas dalam menyampaikan maklumat bukan sahaja dalam proses pembelajaran malah kepada masyarakat setempat khususnya.
Muka surat PENGHARGAAN ISI KANDUNGAN I II 1.0 PENGENALAN 3 2.0 SEJARAH PENUBUHAN DAN CIRI PERSATUAN 3 3.0 KAEDAH DAN PROSES PENUBUHAN 4 4.0 AKTIVITI YANG DIJALANKAN 4 5.0 DANA DAN PENGURUSAN KEWANGAN 5 6.0 STRATEGI PENJANAAN SUMBER KEWANGAN 5 7.0 ANALISIS SWOT 7.1 KEKUATAN 6 7.2 KELEMAHAN 6 7.3 PELUANG 7 7.4 ANCAMAN 7 7.5 CADANGAN 7 8.0 KESIMPULAN 7 RUJUKAN LAMPIRAN 8 9
1.0 PENGENALAN Seni dan budaya sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Kesenian dan kebudayaan memainkan peranan penting di dalam membentuk sahsiah dan jati diri murid sehingga berupaya menjana kemajuan sosioekonomi dan politik di negara kita. Sistem pendidikan di negara kita memandang tinggi terhadap kepentingan seni dan budaya. Hal ini dapat dilihat melalui program dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang sedang giat dijalankan pada semua peringkat iaitu, peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Sebuah kelab dan persatuan telah dipilih bagi melaksanakan sebuah kajian untuk memenuhi tugasan kerja kursus. Saya telah memilih sebuah kelab kesenian dan kebudayaan yang ditubuhkan di Sekolah Kebangsaan Kulim (SKK). Kelab ini ditubuhkan bagi mendedahkan murid-murid dengan kebudayaan di negara Malaysia dan juga sebagai platform untuk mencungkil bakat anak-anak murid di Sekolah Kebangsaan Kulim dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Kelab ini juga dapat membantu murid-murid untuk melibatkan diri mereka dalam aktiviti-aktiviti yang sihat dan bermanfaat pada masa lapang sekali gus menerima dan memahami kebudyaan setiap kaum dengan hati terbuka. Menurut Fatimah Daud (1984) persefahaman budaya ialah kesediaan setiap kaum menerima, mengakui, memahami dan mengiktiraf unsur kebudayaan kaum lain. 2.0 SEJARAH PENUBUHAN DAN CIRI PERSATUAN Menurut Puan Suliana, kelab seni dan kebudayaan ini telah ditubuhkan di Sekolah Kebangsaan Kulim pada tahun 2015, di bawah unit ko-kurikulum namun tidak begitu aktif dalam penyertaan peringkat daerah. Hal ini disebabkan oleh kekurangan tenaga pengajar serta penyertaan dalam kalangan murid juga berkurang dek kerana belum diberi pendedahan berkaitan seni dan budaya. Walau bagaimanapun, beliau sangat berbesar hati apabila kelab seni dan kebudayaan Sekolah Kebangsaan Kulim telah mula bergiat aktif pada tahun 2022 dengan menyertai pelbagai aktiviti dan program di peringkat sekolah dan juga daerah. Penyertaan ahli kelab juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan daripada 10 orang murid pada awal ditubuhkan meningkat kepada 30 orang pada awal tahun 2023. Yuran keahlian bagi ahli kelab adalah sebanyak RM10. Perjumpaan kelab adalah sebanyak 12 kali dalam setahun dan mengambil masa hanya 30 minit bagi setiap sesi perjumpaan. Objektif penubuhan Kelab Seni dan Budaya Sekolah Kebangsaan Kulim adalah untuk memupuk semangat cinta akan kesenian dan kebudayaan sebagai satu khazanah dan warisan bangsa serta mencungkil dan mengembangkan bakat murid dalam kesenian dan kebudayaan dalam pelbagai bidang ke arah yang lebih tinggi.
3.0 KAEDAH DAN PROSES PENUBUHAN Berdasarkan kepada maklumat yang telah saya perolehi daripada Puan Suliana, proses dan kaedah penubuhan kelab seni dan kebudayaan ini adalah melalui pelantikan setiausaha kokurikulum terlebih dahulu. Kemudian, setiausaha kokurikulum tersebut akan menyediakan satu kertas kerja untuk dikemukakan sebagai permohonan untuk menubuhkan kelab tersebut di sekolah. Setelah mendapat kelulusan dari pihak atasan, Unit Kokurikulum perlu melantik guru penasihat kepada kelab dan mengadakan sesi hebahan untuk memberikan pendedahan awal tentang penubuhan kelab seni dan kebudayaan di sekolah tersebut. Hebahan ini adalah bertujuan untuk menarik minat murid untuk menganggotai kelab tersebut. Kemudian, Unit Kokurikulum mengadakan mesyuarat agung untuk berbincang mengenai takwim tahunan sekali gus melantik ahli jawatankuasa baru bagi kelab tersebut. Antara isu yang didiskusikan ialah tentang aktiviti yang dirancang, peraturan-peraturan, pendaftaran ahli, yuran kelab dan pelantikan ahli jawatankuasa baru. 4.0 AKTIVITI YANG DIJALANKAN Antara aktiviti Seni dan Kebudayaan Sekolah Kebangsaan Kulim yang telah dilaksanakan adalah aktiviti seni anyaman dengan kerjasama pihak sekolah yang melibatkan staf dan guru. Sebelum aktiviti seni anyaman bermula, satu taklimat ringkas telah diadakan di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Kulim. Aktiviti ini telah diadakan di dewan terbuka dan hanya melibatkan ahli seni dan kebudayaan sekolah tersebut. Pengisian aktiviti seni anyaman ini adalah murid dikehendaki untuk membuat seni anyaman tikar menggunakan kertas berwarna yang telah disediakan oleh guru penasihat. Ahli kelab dilihat sangat berpuas hati dengan sokongan dan kerjasama yang baik yang ditonjolkan oleh murid dan guru yang terlibat. Antara aktiviti lain yang turut dijalankan adalah seperti berikut : • Bengkel asas tarian • Pertandingan melukis antara kelas • Pertandingan menyanyi lagu rakyat, irama tradisional dan patriotik • Permainan tradisional seperti congkak, teng-teng dan batu seremban • Lawatan ke Muzium Negara • Jualan lukisan murid
5.0 DANA DAN PENGURUSAN KEWANGAN Pengurusan kewangan adalah satu perkara asas dan paling penting dalam sesebuah kelab atau persatuan. Menurut Ahmad Reza (2011), setiap kelas dan persatuan perlulah mempunyai pengurusan kewangan bagi memastikan perjalanan sesebuah kelab berada dalam keadaan yang baik. Tanpa pengurusan kewangan yang baik dan sempurna maka perjalanan kelab berkenaan akan pincang dan terpaksa dibubarkan. Hal ini kerana, setiap aktiviti kelab yang dianjurkan memerlukan sumber kewangan daripada kelab tersebut. Mahashim Bajuri (1994) menyatakan bahawa fungsi utama pengurusan kewangan iaitu merangkumi merancang penggunaan dan keperluan kewangan, memperolehi sumber kewangan dan mendapatkan wang dengan syarat-syarat yang telah ditetukan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Kelab Seni dan Kebudayaan, sumber kewangan utama kelab ini diperolehi daripada yuran keahlian murid-murid sebanyak RM10. Bukan itu sahaja, kelab seni dan kebudayaan juga menerima peruntukan dana melalui Kumpulan Wang Suwa (KWS) yang terdiri daripada sumbangan para ibu bapa dan juga orang awam. Wang suwa yang diterima boleh digunakan oleh pihak sekolah untuk perbelanjaan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti murid, perbelanjaan membawa murid mendapatkan rawatan kecemasan dan perbelanjaan yang memberi manfaat secara lansung kepada mereka. 6.0 STRATEGI PENJANAAN SUMBER KEWANGAN Kelab seni dan kebudayaan Sekolah Kebangsaan Kulim menyatakan bahawa pihak mereka tidak mengharapkan dana daripada yuran keahlian dan Wang Suwa semata-mata, namun mereka turut mencari inisiatif lain sebagai punca kewangan kelab tersebut. Antara usaha yang dilakukan ialah dengan menyertai pelbagai pertandingan di luar sekolah seperti pertandingan tarian peringkat daerah. Hadiah kemenangan yang berbentuk wang ringgit boleh digunapakai untuk menampung perbelanjaan pakaian, pengangkutan, kos makanan ketika menyertai pertandingan. Bukan itu sahaja, Kelab ini juga menjana kewangan mereka melalui jualan lukisan yang dihasilkan oleh murid-murid dengan harga yang berpatutan. Jual beli ini dilakukan secara dalam talian yang diuruskan oleh guru penasihat manakala jualan secara lansung pula dijalankan ketika menyertai program-program seni di luar sekolah.
7.0 ANALISIS SWOT 7.1 KEKUATAN Galakan dan sokongan daripada pihak pentadbir sekolah pada setiap aktiviti yang dianjurkan menjadi kekuatan kepada kelab ini untuk terus melakar kecemerlangan dalam setiap aktiviti atau pertandingan yang disertai. Hal ini menunjukkan bahawa pihak sekolah amat peka terhadap kecemerlangan murid mereka dalam setiap bidang yang diceburi. Selain itu,kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah seperti makmal komputer dan internet juga menjadi satu kekuatan dalam membantu kelab ini melaksanakan aktiviti. Sebagai contoh, dengan adanya kemudahan internet, guru pembimbing dapat mengakses pelbagai jenis video asas tarian melalui aplikasi “YouTube” sebagai bahan rujukan. Bukan itu sahaja, kelab seni dan kebudayaan sekolah ini juga mendapat peruntukkan dana melalui wang suwa daripada pihak sekolah yang menjadi sumber pendapatan utama mereka untuk meneruskan aktiviti dan program kelab sehingga melibatkan pihak luar. 7.2 KELEMAHAN Kelemahan yang dapat dikenal pasti oleh kelab ini ialah masalah kekangan masa yang singkat dalam pelaksanaan sesebuah aktiviti. Hal ini kerana, setiap aktiviti yang dilaksanakan hanya memperuntukkan masa selama 30 minit sahaja ketika sesi persekolahan. Justeru itu, guru penasihat terpaksa menjalankan sesi latihan diluar waktu sekolah iaitu pada hujung minggu. Ini menyebabkan murid-murid kekurangan waktu rehat kerana perlu hadir untuk menjalani latihan di sekolah. Sikap pelajar yang sengaja tidak menghadirkan diri untuk menyertai aktiviti kokurikulum menyumbang kepada kelemahan kelab seni dan kebudayaan Sekolah Kebangsaan Kulim. Perkara ini dipandang serius oleh pihak penyumbang dana yang beranggapan bahawa mereka tidak bersungguh-sungguh dalam menyertai aktiviti kelab.
7.3 PELUANG Pelbagai peluang yang boleh digunakan oleh kelab ini dalam usaha untuk meningkatkan lagi penjanaan kewangan kelab. Antaranya mereka boleh bekerjasama dan mendapatkan sokongan daripada Pihak PIBG Sekolah Kebangsaan Kulim yang sentiasa bersedia membantu apabila diperlukan terutamanya dari segi kewangan. 7.4 ANCAMAN Antara ancaman yang dihadapi oleh kelab ini ialah jadual pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terlalu padat sehingga menyebabkan aktiviti yang dilakukan untuk menjana kewangan terhad untuk dilakukan pada waktu sekolah. 7.5 CADANGAN Cadangan penambahbaikan untuk kelab ini adalah dengan mempelbagaikan lagi aktiviti dan program-program yang membantu kelab seni dan kebudayaan untuk menjana sumber kewangan. Hal ini kerana, sumber kewangan yang sedia ada tidak mencukupi untuk mereka lebih bergiat aktif dengan mengadakan program atau kempen dengan kerjasama pihak luar di peringkat antarabangsa. Pelaksanaan program pada peringkat antarabangsa menelan kos perbelanjaan yang cukup besar, justeru itu guru penasihat dan ahli kelab perlu bekerja keras dalam menjamin kestabilan kewangan kelab 8.0 PENUTUP Pengurusan kewangan merujuk kepada peruntukan yang terdapat dalam Akta pendidikan (Akaun dan Audit) yang dikeluarkan di bawah Akta Pendidikan 1996.Pengurusan kewangan di sekolah tertakluk kepada Surat Pekeliling KewanganBilangan 8 Tahun 2012. Bagi sesebuah kelab atau persatuan, pengurusan kewangan adalah tunjang utama dan sangat penting dalam memastikan kelancaran kelab tersebut. Aktiviti dan program yang telah dirancang tidak dapat dijalankan sekiranya kelab tersebut tidak mempunyai pengurusan kewangan yang baik. Hal ini akan menyebabkan kelab tersebut tidak dapat bergerak dengan aktif dan kurang penyertaan daripada murid-murid. Oleh itu, guru penasihat dan ahli kelab mestilah bekerjasaman berganding bahu dalam mencari cara untuk mempelbagaikan cara untuk menjana kewangan mereka.
RUJUKAN A. Hamid Hussian.(2012). Amalan pengurusan kewangan sekolah PGB sekolah-sekolah kebangsaan. Kertas Projek Sarjana Pendidikan yang tidak diterbitkan.Universiti Teknogi Malaysia Aziz Deraman, 1994. Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia.Kuala Lumpur: CahayaPanta Fatimah Daud. 1984. Some patterns of ethnic relations in Malaysia.Asia Profile 13(2):117-29 Suriyati Baharin &Suhaida Abdul Kadir.(2013). Kompentensi guru dalam pengurusan kewangan sekolah. seminar pasca siswazah dalam pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia, 106110
LAMPIRAN Murid menyertai pertandingan tarian pada peringkat daerah Bengkel asas tarian yang disertai oleh ahli kelab seni dan kebudayaan
Guru penasihat sedang mengajar murid asas tarian