The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Kesantunan Berbahasa Dalam Masyarakat

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 792-3-maisarah, 2022-06-08 11:26:57

TUGASAN 2 KESANTUNAN BERBAHASA

Kesantunan Berbahasa Dalam Masyarakat

Kesantunan
Berbahasa Dalam

Masyarakat

NUR MAISARAH BINTI MAHAMOOD (F2F)
2021252310137

BMMB1144 - KESANTUNAN BERBAHASA

JENIS
KESANTUNAN

Lisan Penulisan

Kesantunan Lisan

Seorang wanita mengamuk kerana ingin mempertahankan
anaknya yang dituduh mencuri di sebuah kedai runcit 24
jam. Namun tindakannya yang melebih terhadap juruwang
kedai tersebut menunjukkan sikap yang buruk. Pada masa
yang sama, anaknya turut mengeluarkan kata-kata kesat
yang tidak sopan seperti 'babi' dan telah menunjukkan
tingkah laku yang teruk dengan menendang bahagian
hadapan kaunter tersebut. Ibu kepada kanak-kanak tersebut
menegur juruwang dengan suara yang kuat dan telah
menggunakan bahasa yang kasar. Tindakan yang dilakukan
oleh ibu dan anak ini amat kurang ajar. Kesimpulannya,
kesantunan langsung tidak ditunjukkan apabila perasaan
amarah menguasai diri seseorang. Kesantunan seharusnya
dititikberatkan kerana ia menggambarkan kehidupan sosial
sesebuah masyarakat.

Pemuda yang bernama Carl Shamsuddin di dalam video
tersebut telah memalukan seorang pak cik gelandangan
dengan menanyakan soalan yang menyentuh kisah silamnya
di hadapan khalayak ramai. Sebaik menanyakan soalan
tersebut, dia terus menyimpulkan bahawa kehidupan pak cik
tersebut susah di usia tuanya adalah kerana telah bermalas-
malasan dan tidak bekerja keras ketika di usia muda, Walhal,
pemuda itu tidak mengetahui kisah yang sebenarnya. Dia turut
menyeru pendengar yang lain agar tidak mencontohi pak cik
tersebut jikalau hendak hidup senang di kemudian hari. Cara
pemuda itu berbicara dengan orang yang jauh lebih tua
daripadanya amatlah tidak sopan. Jelas di situ, dia tidak
menghormati pak cik tersebut dengan menggunakan bahasa
yang tidak sopan dan menanyakan soalan yang mengguris
hati dan perasaan.

Seorang ahli politik, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
telah merendahkan suara anak muda ketika bersidang di
parlimen. Syed Saddiq yang merupakan wakil Muar telah
dipanggil sebagai 'budak' apabila ingin berbicara dan
turut dikatakan bahawa pandangannya hanya akan
membazir masa. Selain itu, apabila Hannah Yeop ingin
menyuarakan dan menegur dengan sopan tindakan ahli
politik yang lebih berusia itu, dia turut ditegur dengan
cara yang tidak santun. Ahli politik yang lebih tua tesebut
menanyakan soalan iaitu 'berapakah umur kamu?'.
Soalan tersebut mempunyai maksud tersirat yang ingin
disampaikan seperti orang yang lebih muda tidak boleh
menegur orang yang lebih tua. Beberapa orang ahli
politik yang lebih tua yang berada di situ turut mengejek
dan mempermainkan kehadiran orang muda dan tidak
memberi peluang sama sekali kepada mereka untuk
bersuara. Jelas di sini, bahasa yang dituturkan oleh orang
tua mengguris hati dan tidak menghormati orang muda
dengan menyatakan perkara yang tidak benar.
Seharusnya, yang muda dikasihi yang tua dihormati.
Namun di video ini, yang muda malah tidak dihargai.

Will Smith, iaitu selebriti Amerika telah menampar
pelawak yang bernama Chris Rock pada malam
Anugerah Oscar baru-baru ini. Tindakan Will
Smith itu terjadi berpunca daripada lisan pelawak
tersebut yang telah menjadikan penyakit yang
dihidapi oleh isteri kepada Will Smith sebagai
satu bahan ejekan atau bahan lawak. Hal
tersebut tidak boleh diterima oleh Will Smith dan

dia tidak dapat menahan perasaan marahnya
lalu memberi satu tamparan di muka pelawak
tersebut. Dilihat daripada video ini, cara pelawak
tersebut menyampaikan lawak adalah tidak
santun kerana telah menyentuh hal sensitif
seperti kelemahan, kekurangan atau penyakit
seseorang. Namun, kelakuan Will Smith juga
dianggap tidak wajar kerana telah memalukan
pelawak tersebut di hadapan khalayak ramai dan
langsung di kaca televisyen.

Dapat dilihat dari video ini, beberapa orang pegawai
polis ingin menyaman seorang wanita di atas
kesalahan tertentu. Namun, wanita tersebut tidak
berpuas hati dengan hukuman yang diperolehinya.
Wanita itu bercakap dengan nada yang tinggi dan
menjerit-jerit kepada anggota polis yang sedang
bertugas itu. Tingkah laku yang ditunjukkan oleh
wanita tersebut tidak sopan kerana dia telah
memarahi dan mengganggu anggota polis yang
sedang menjalankan tugas. Tambahan pula, cara
pemakaian wanita tersebut juga tidak menunjukkan
kesantunan kerana pakaiannya terlalu ketat dan
mencolok mata sehingga menampakkan bentuk
tubuh badan. Jadi, dari video ini, nilai kesantunan
yang ada pada wanita itu langsung tidak ditunjukkan.

Kesantunan
Penulisan

Perbualan di aplikasi mesej WhatApps ini menunjukkan cara
seorang pelajar universiti meminta beberapa maklumat
daripada pensyarahnya dengan cara yang tidak santun. Tanpa
memberi salam dan memperkenalkan diri terlebih dahulu,
pelajar ini terus meminta maklumat yang diingininya.
Tambahan lagi, pelajar tersebut juga tidak memberi tahu
tujuan sebenar dia meminta maklumat tersebut. Cara pelajar
ini menghantar mesej kepada pensyarahnya boleh dikatakan
seperti menghantar mesej kepada kawan yang rapat. Tiada
nilai kesantunan yang dapat dilihat dalam perbualan tersebut.
Sebaliknya, pensyarah kepada pelajar tersebut pula yang
mengajar dan memberitahu cara meminta sesuatu dengan
sopan dan betul. Kesantunan adalah salah satu aspek yang
sangat penting dan perlu ditanam dalam diri setiap orang
terutamanya seorang manusia yang bergelar penuntut ilmu.

Mesej yang diterima oleh seorang pengguna
Instagram ini menunjukkan penggunaan bahasa
yang digunakan dari segi tulisan adalah sangat
tidak sopan. Tanpa memberi salam, penghantar
mesej tersebut terus menghemburkan kata-kata
kesat yang mengguris hati. Perkataan 'sundal'
yang dituju kepada wanita itu adalah sangat tidak
wajar. Penghantar mesej itu menghantar beberapa
ayat yang tidak sopan dan mengugut pemilik
akaun Instagram tersebut. Perkara yang terjadi ini
sama sekali tidak menunjukkan sikap yang baik.

Satu tweet yang telah dibuat oleh seorang
pengguna aplikasi Twitter amatlah tidak
santun. Dalam satu penulisan mesej, semua
perkataan yang tidak elok dan mempunyai
makna yang teruk ditulis olehnya. Setelah
menulis semua perkataan tersebut, dia turut
menyatakan bahawa dia berasa lega setelah
melemparkan segala kata-kata kesat itu. Dia
juga tidak menerima apabila seorang
pengguna aplikasi Twitter yang bernama
Natasya cuba untuk menegurnya. Di situ,
dapat dilihat bahawa bahasa yang ditulisnya
tidak mencerminkan kesantunan bagi dirinya
dan tidak boleh dijadikan sebagai teladan
dalam kehidupan bermasyarakat. Tiada satu
pun aspek kesantunan dari segi tulisan yang
boleh didapati daripada tweet tersebut.

Dua orang pengguna aplikasi Twitter saling
berbalas tweet menggunakan perkataan yang
tidak elok. Perkataan 'bodoh' jelas terpapar di situ
yang menunjukkan bahasa kurang santun telah
digunakan. Pada masa kini. perkataan begitu
disebut dan dianggap sebagai benda biasa dalam
kehidupan masyarakat kini terutamanya golongan
remaja. Bagi mereka, perkataan-perkataan
mencarut seperti 'sial', 'lancau' dan 'bodoh' adalah
perkataan biasa dan sering kali digunakan dalam
kehidupan seharian walaupun ketika bercakap
dengan kawan rapat. Kesantunan seharusnya
dipupuk sejak kecil lagi agar sebati dalam diri
apabila seseorang itu meningkat remaja. Namun
akibat dari pelbagai faktor seperti pengaruh media
sosial dan rakan sebaya, mereka menjadi semakin
teruk dan tidak lagi boleh dikawal.

Cara Menangani Isu
Kesantunan
Berbahasa

PERANAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

Sikap anak-anak adalah cerminan didikan daripada ibu bapa. Ibu bapa
merupakan individu terawal yang bertanggungjawab dalam membentuk anak-
anak menjadi insan yang berkualiti, berbudi bahasa dan menghormati semua
orang tidak kira tua, muda, miskin mahupun kaya. Ibu bapa perlu mengajar dan
menjadi suri teladan dalam hal ini. Apabila kanak-kanak melihat ibu bapanya
mengamalkan kesantunan dalam kehidupan seharian, mereka akan cuba untuk
meniru perbuatan tersebut. Jadi ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada
anak-anak. Setiap kali berbual, penggunaan bahasa yang baik, halus dan sopan
perlu digunakan agar anak-anak terbiasa dari semasa ke semasa. Contohnya, ibu
bapa menggunakan nama panggilan yang betul dan menggunakan bahasa yang
sesuai apabila bercakap dengan orang tua. Selain itu, ibu bapa perlu menjadi
sedikit tegas apabila anak-anak tidak mengamalkan kesantunan berbahasa dan
perlu menekankan penggunaannya setiap hari. Ibu bapa juga perlu mengawal
aktiviti anak terutamanya apabila mereka menggunakan laman sosial.

PERANAN INSTITUSI SEKOLAH

Pihak sekolah boleh memantau perilaku dan penggunaan bahasa murid-
murid tidak kira ketika berada di dalam mahupun di luar sekolah. Guru
memainkan peranan yang penting dalam mengajar konsep kesantunan yang
betul. Pihak sekolah juga boleh menyedarkan betapa pentingnya penggunaan
bahasa dalam kalangan murid-murid dengan menganjurkan aktiviti yang
menarik seperti kempen 'Indahnya Bahasa' dan pertandingan yang berkait
rapat dengan pengunaan bahasa. Dengan ini, murid-murid pasti lebih
berminat untuk menyertai aktiviti yang telah disediakan sekaligus dapat
menerapkan nilai kesantunan berbahasa dalam diri setiap orang. Kesantunan
berbahasa yang digunakan dari segi pertuturan dan penulisan perlu sentiasa
diawasi dan dititikberatkan. Budi bahasa yang mulia dan nilai-nilai murni
adalah aspek yang penting dan perlu wujud dalam diri setiap insan.

PERANAN INSTITUSI KERAJAAN

Pihak kerajaan boleh menguatkuasakan undang-undang bagi individu
yang menyalahi dan melanggar etika kesantunan. Kerajaan mempunyai
kuasa yang amat besar dan mampu mengubah sesuatu dengan lebih
cepat dan berkesan. Contohnya, apabila ada seseorang yang
memuatnaik penggunaan bahasa-bahasa kesat di media sosial,
individu tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib atau denda tidak
melebihi RM10 000. Sebuah kempen atau ceramah anjuran daripada
pihak kerajaan wajar diadakan agar dapat memberi kesedaran kepada
rakyat di negara ini yang berbilang kaum. Cara ini dapat membuka
mata mereka dengan memberi bayangan betapa pentingnya
kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat agar
sentiasa hidup dalam suasana aman dan harmoni.

PERANAN MEDIA MASSA

Pada zaman yang semakin canggih ini, media massa seperti
televisyen, radio dan internet adalah satu sarana yang penting bagi
mendapatkan sesuatu maklumat dengan pantas dan mudah. Pelbagai
maklumat dalam bentuk video atau iklan boleh disiarkan melalui
media massa. Media massa boleh berkolaborasi dengan mana-mana
pihak untuk menghasilkan beberapa program menarik yang mampu
menunujukkan aspek kesantunan sama ada dari sudut pertuturan,
penulisan, tingkah laku dan sebagainya. Program ataupun video yang
dihasilkan itu perlulah menarik agar dapat memberi impak yang
besar dalam kehidupan masyarakat. Tamabahan lagi, masyarakat kini
mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat oleh mereka.

PERANAN PIHAK BERWAJIB

Pihak berwajib perlu mengawal had umur dalam filem-filem tertentu
yang ditayangkan. Hal ini demikian kerana, terdapat bebrapa buah filem
yang mengandungi adegan-adegan yang kurang sopan, tidak
bermanfaat dan mampu mempengaruhi minda dan otak golongan
remaja. Penggunaan bahasa seperti 'lu', 'gua' dan 'bro' yang
kebiasaannya terdapat dalam flem aksi adalah tidak bagus bagi
golongan muda. Selain itu, pihak berwajib juga perlu menapis cerita dan
filem yang melampaui batas seperti filem yang mengandungi unsur
lucah, keganasan, ajaran sesat dan penggunaaan kata-kata kesat. Filem
sebegini sepatutnya tidak dibenarkan untuk di tayang di mana-mana
pawagam, media sosial mahupun kaca televisyen kerana akan dijadikan
sebagai bahan perbualan oleh kelompok remaja.

Rujukan

Amaar Hisyam. (n.d.). Bentuk dan Jenis Kesantunan (GSB 1012). Www.academia.edu.
https://www.academia.edu/40217247/Bentuk_dan_Jenis_Kesantunan_GSB_1012_
E Folio Kesantunan Bahasa pdf Flipbook PDF. (407 C.E., July 30). Dokument.pub.
https://dokument.pub/e-folio-kesantunan-bahasa-pdf-flipbook-pdf.html
Khidhir Uzair. (n.d.). Kesantunan Masyarakat. Www.academia.edu.
https://www.academia.edu/34520305/kesantunan_masyarakat

Sekian,
Terima Kasih.


Click to View FlipBook Version