The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hasnihusin, 2021-08-10 23:09:50

CERPEN KHADIJAH HASHIM

Cerpen Khadijah Hashim

CERPEN-CERPEN
KHADIJAH HASHIM

BUDI YANG TAK TERBELI

Niat untuk membawa ibunya ke Bandar berehat-rehat menyedut angin kota memang sudah
lama terselit di sudut hati Murni. Setiap kali dia mengunjungi ibunyadi kampong cadangan itu;lah yang
selalu diketengahkan. Tapi anehnya ibu tua itu menolak pelawaan yang baik daripada anak
kesayangannya itu. Daripada dia tinggal di rumah papan hingga dia berpindah ke rumah batu
berhalaman luas ibunya belum juga jejak ke rumahnya.

Petang itu Murni menziarahi ibunya lagi. Niat untuk membawa ibunya ke kota tidak lepas
daripada ingatan. Kali ini dia akan cuba seberapa boleh memujuk ibunya yang terlalu liat itu untuk
meninggalkan rumah dan sawah ladangnya itu.

“Apa sajalah yang nak ku cari di Bandar itu,” kata ibu.

“Melihat-lihat keindahan kota,” jawab Murni sambil memegang bahu ibu sambil dan mengurut-
ngurut dengan manja.

“Aku senang hati di kampong ni Murni. Rasanya tak ada apa-apa yang terkilan di hati aku ni
kalau aku mati pun. Tak usahlah kau susah-susah tentang mak kau ni Murni,” tambahnya lagi.

“Mak…! Mak dah tua. Dah patut berehat-rehat sekarang. Takkan seumur hidup nak
bergelumang dengan lumpur di bendang tu saja. Sesekali eloklah senang-senangkan hati menyedut
udara kota,” pujuk Murni tidak jemu-jemu. Ibunya tersenyum lebar. Dia tidak bersuara seketika.

“Marilah, mak…bukannya lama sangat. Dua tiga hari nanti Murni hantar balik ke kampung”.
Pujuk Murni. Padanya biarlah ibu tua yang banyak bekerja dari muda sampai ke tua itu bersenang-
senang hati, goyang-goyangkaki di rumahnya. Dia mampu membelanya. Tapi ibunya tidak pernah mahu
mengerti akan hasrat hatinya yang suci itu. Ibu lebih senang di rumah pusaka. Hendak dipaksa tidak
sampai hati pula rasanya. Tapi kali ini ibu pasti mengalah, fikir Murni sambil tersenyum sendiri.

“Ikut Murni , ya mak,” pujuknya seperti anak-anak kecil saja lakunya.

Ibu diam juga. Di kepalanya teringat akan soal sawah dan ayam itiknya yang mesti ditinggalkan.

“Pergilah kak,” sampuk Timah tiba-tiba terjengul di mula pintu. Jemah, ibu Murni terkejut
sedikit. Murni dan Timah tawa kecil.

“Kau dari mana Timah?” Tanya Jemah.

“Dari rumah. Kata Murni kaka menyuruh saya menunggukan rumah. Kakak nak ikut Murni ke
Bandar,” jawab Timah tidak teragak-agak.

Jemah mengelang-ngeleng dengan senyum nipisnya. Murni tergelak keras. Kali ini ibu terkena. Dan pasti
tidak boleh berdalih lagi.

1

“Ha…mak tak boleh berdalih lagi. Mak Timah dah sanggup menunggu rumah ni, ayam itik mak,”
sambar Murni dengan ketawa riangnya.

Ibu tidak terkata. Dia mengalah kali ini, dan terpaksa mengikut anaknya ke kota petang itu.

Setibanya Jemah di rumah batu berbilik tiga itu dia disambut mersra oleh menantunya, Jamal.
Kembang jari Pegawai Perancang Ekonomi itu mempersilakan ibu mentuanya masuk ke rumah. Maklum
sajalah kali pertama ibu mentuanya menjejakkan kaki ke rumahn ya. Jemah kelihatan tenang sahaja.

Malam itu Jemah tidak di bawa ke mana-mana. Murni dan Jamal ada majlis tari- menari di
rumah teman karibnya. Tinggallah ibu tua itu sendirian. Dan di saat itulah ingatannya segera terbang
balik ke kampong. Apa halnya ayam dan itik aku? Di halau si Timah ke reban ke tidak? Pokok-pokok
sayur aku dijirus Timah ke tidak? Dia nbertanya-tanya sendiri. Risau hatinya tidak terkira. Kalau dekat
mahu dia pulang malam itu juga. Dia termenung panjang dan mengeluh berkali-kali.

Peti televisyen yang dibuka oleh Murni untuk ibunya itu tidak dihiraukan dek Jemah. Hatinya di
kampong saja kini…

Esoknya pula urni dan suaminya terpaksa pergi kerja. Janjinya petang nanti akan dibawa melihat
kota.

“Murni pergi kerja, ya mak! Mak rehat-rehatlah saja di rumah ini. Kalau hendak apa-apa mintak
dengan Mak Aton,” pesan Murni sebelum melangkah keluar.

Si ibu mengangguk-anggukan kepala sahaja. Wajahnya muram dan lesu seperti orang tak cukup
makan.

“Tengah hari Murni balik makan. Mak rehat-rehat sajalah di rumah,” pesannya lagi.

Hantarkan aku balik ke kamoung sajalah, Murni. Risau aku,” tambahnya dengan suara yang
merendah antara dengar dengan tidak.

Murni terkejut.

“hai…baru sampai semalam dah nak balik?” cetus Murni sedikit kesal.

Hon kereta di tekan bertalu-talu oleh si menentu. Murni tergesa-gesa meninggalkan ibu
termangu-mangu di bilik tamu.

Anak dan menantu sudha hilang di mata. Tinggallah Jemah kesepian. Hatinya semakin risau.
Penat rasanya duduk-duduk tanpa kerja itu. Aton orang gaji Murni sibuk emmbasuh di bilik air. Jemah
bangun dan keluar berjalan keliling rumah.

Rumah-rumah jiran di sebelah-meyebelah sunyi belaka macam rumah tidak berorang. Tidak ada
kelibat manusia yang boleh ditegur sapa. Agaknya semua orang pergi kerja seperti anak dan
menantunya juga. Rumah batu yang sederhana besarya itu dikelilinginya dua tiga kali. Entah apa yang
dicari dia sendiri tidak tahu, yang disedarinya dia benar-benar risau.

2

Risau kerana melahu tidak bekerja. Kalau di kampong di saat itu dia sudah mengayun tajak dan
cangkul membersihkan rumput-rumput di tepi sawah, atau membuat batas ubi dan keledeknya. Ini di
Bandar, apa yang boleh dibuatnya? Risau dan risau dia.

Tiba-tiba dia terpandang sebuah tajak di tepi pagar rumah itu. Tangan yang gatal hendak bekerja
lekas mencapainya menajaklah dia di sekeliling rumah itu. Habis togel rumput-rumput yang bertompok
seperti panau bunga di dada itu. Terhibur juga dia kini.

Setelah penat membersihkan rumput-rumput itu Jemah naik ke rumah dan berbaring-baring di
biliknya menantikan Murni dan menantunya balik makan tengah hari. Tentu Murni besar hati dapat
makan bersama. Satu peluang yang jarang-jarang dijumpainya sejak Murni berumahtangga.

Jemah berangan-angan sendiri. Rasanya lama benar hendak menunggu tengah hari. Agaknya
kerana berubah tempat, berubah suasana, fikir Jemah. Kemudian melayang-layanglah ingatannya balik
ke kampong. Sedang dia bermenung-menung itulah dia terdengar bunyi kereta berhenti di muka pintu.
Kemudian terdengar satu suara orang marah-marah. Siapa agaknya? Jemah terburu-buru bangun
berjalan ke muka pintu.

“Apa dah jadi ni??? Ya Allah…! Siapa pula yang rajin sangat menajak rumput-rumput itu…? Peril
Jamal dengan suara keras.

“parah-parahlah kita, Murni,” sambunganya lagi sambil mengeruk-ngeruk kepala yang tak gatal.

“Mengapa?? Siapa yang parah?? Berlanggar ke???” Tanya ibu yang terkejut dengan pekikan
Jamal yang lantang itu.

“Tak ada apa-apa. Rumput tu ha,” kata Murni teragak-agak. Hatinya berdebar-debar.

“Mengapa?” soal ibu kehairanan, dan sedikit cemas apabila melihat muka menantu yang masam
emncuka itu.

“Siapa yang menajaknya?” Tanya Murni perlahan.

“Aku yang menajaknya,” jawab Jemah berani.

“Mak!” keluh Murni sepatah.

Jamal mengeleng-ngelelng, kemudian menjeling tajam ke muka Murni. Murni tunduk mengalah.

“Mengapa?” Tanya Jemah lagi masih belum mengerti.

Murni terdiam tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Kalau ikut rasa marah tentu hati ibu
akan terusik. Orang tua, fikirnya. Murni tersenyum nipis akhirnya. Kemudian bersuara dengan lembut.

“Rumput-rumput itu memang kami tanam. Kami beli, dan upah tanama.,” jelas Murni sambil
merenung muka ibu seperti tidak ada apa-apa yang dikesalkannya pada saat itu.

3

“Aku tak ada kerja, jadi aku tolong menajaknya. Kau pun tak sempat agaknya,” jelas ibu.

“Sudahlah mak, mak tak tahu,” pujuk Murni.

Murni mendapatkan suaminyan yang sudah di dalam bilik. “Orang rajin…! Tapi sayang rajin tak
bertempat,” sindirnya.

Murni merenung suaminya dengan amat kesal. Sakit telinganya mendengar sindiran yang
sejuring itu. Tapi dia tidka menyerang balas. Suami yang panas baran tak harus di layan bertengkar.
Nanti buruk padahnya.

Waktu makan tengah hari itu masing-masing menyuap. Tidak ada Tanya itu ini daripada Jemah.
Begitu juga Murni dan Jamal.

Kesan-kesan marah masih masih nyata di muka jamal. Puas juga dia cuba memaniskan muka.
Tapi tidak Berjaya. Jemah masih berfikir. Rumput dibeli, dan ditanam? Soalan bertalu-talu dikepala.
Aneh, sungguh aneh. Di kampung tidak begitu. Rumput tidak dibagi hidup di tanah aku. Ubi keladi yang
mesti hidup, dia berfikir sendiri. Murni cuba juga bergurau kecil dan berjenaka sedikit untuk memulihkan
suasana kaku itu. Tapi tidak Berjaya. Sudahnya dia menyumpah dalam hati.

Setelah makan tengah hari itu mereka berdua ke pejabat lagi. Di muak pintuMurni berpesan
pada ibunya.

“Mak jangan buat apa-apa. Rehat-rehat saja. Nanti petang Murni bawak mak makan angin,”
pesannya sungguh-sungguh.

Di luar bunyi keretanya sudah mengaum-ngaum macam bunyi singa lapar. Jamal sengaja
menekan minyak keretanya kuat-kuat. Tanda marahnya belum berakhir. Murni tergsa-gesa
mendapatkan suaminya dengan rasa yang radang tetapi masih terpendam di sudut hati.

Jemah memerhatikan saja lagak menantunya. Dia tahu menantunya masih radang dengan
peristiwayang tidak disengajakannya. Tapi dia tidak dapat buat apa-apa perkara sudah berlaku.

Sirih sudah berkapur-kapur dimakan. Puas berbaring dia bangun berjalan keliling rumah. Risau
hatinya tidak terkira. Sawah ladangnya saje yang terbayang-bayang di runag matanya kini. Ketuk ayam
itiknya saja yang terdengar-dengar di telinganya. Lemah rasa badannya duduk diam tidak bekerja.
Memang seumur hidupnya dia jarang bersenang-senang begitu. Hidupnya dari muda sampai ke tua
sentiasa bergelumang dengan lumpur-lumpur sawah. Begitu pun hatinya senang.

Jemah keluar melihat-lihat rumput yang sudah ditajaknya itu. Niat hati rumput-rumput mahu
dibuat ungun dan tanah sudah bersih itu mahu ditanam keladi bayam. Murni suka makan sayur keladi
bayam masak asam. Tapi apabila teringat muka Jamal yang masam kelat tengah hari tadi kecut
perutnya. Rumah orang! Fikirnya.

Orang gaji Murni sudah pulang. Tinggallah Jemah termangu-mangu di rumah serba sepi itu. Apa
yang harus aku buat? Dia merayau-rayau di celah-celah pokok orkid di depan rumah. Dan ternampak

4

pula sebatang anak mempelam. Murni suka dengan buah asam mempelam dijeruk. Dia teringat akan
murni anak kesayangannya itu. Terburu-buru dia ke dapur mencari parang pendek untuk menebang
anak pokok ketapang di depan rumah Murni itu. Diayunnya parang pendek itu dua tiga kali tumbang
batang ketapang sebesar betis budak itu menyembah bumi. Tempatnya ditanam dengan anak asam
mempelam. Tiga empat tahun berbuahlah tu, dia berkira-kira sendiri.

“Nampaknya ada saja perubahan di rumah ini setiap kali kita balik. Tengah hari tadi rumput di
halaman di tajaktogel. Balik petang pokok ketapang tumbang,” kata Jamal sambil membuka pintu
kereta.

Murni merasa tidak senang sahaja. Dan lekas-lekas bertanya kepada ibunya.. “Siapa yang
menebang pokok ketapang di depan rumah tu mak?”

“Aku tadi. Tempatnya dah ku tanam asam mempelam. Pokok ketapang tak mendatangkan hasil,
buat apa ditanam,” terangnya.

Mendengar itu Jamal menepuk-nepuk dahi. Mukanya keruh menahan radang. Satu jelingan yang
tajam dilemparkan ke muka Murni. Murni faham akan erti jelingan tajam itu.

“Halaman yang dah togel tu mak tanam apa pula?” Tanya Jamal seperti mengejek.

“Niat hati nak tanam keladi bayam. Murni suka makan sayur keladi masak asam,” jawab si jemah
yang masih belum dapat menangkap marah si menantu. Murni mengeluh panjang.

“Nampaknya lama mak di sini penuhlah keliling rumah kita ni dengan sayur-mayur, keladi
keledek. Tak payah ke pasar lagi.,” sindirnya lagi lalu masuk ke bilik dengan wajah yang masam kelat.

“Mak…! Salah menebang pokok ketapang tu,” terang Murni perlahan.

“salah? Apa bendanya yang salah?” soal Jemah tidak mengerti.

“pokok ketapang yang mak tebang tu hak kerajaan. Saja ditanam untuk mencantikkan kota ni.”
Tambah murni lagi.

“Aku tak tahu,” sambut jemah pantas.

“Yalah, mak tak tahu,” ucap Murni menyedapkan hati ibunya.

“Kenapalh tunjukkan sangat muka empat belas abang tu pada mak. Dia tak tahu bang..” ujar
Murni menentang muka suaminya apabila di biliknya.

“Ya… mak tak tahu. Tapi belanja tanam rumput tu semua bagaimana? Ganti pokok ketapang tu
bagaimana? Ambil mudah saja…siapa nak ganti? Tanya Jamal menduga.

Murni mencebik.

5

“Fasal semua tu bukan main berkira lagi. Saya…saya anaknya ni yang akan mengganti. “ sahut
Murni dengan suara yang keras. Terusik hatinya dengan sikap suaminya yang penting dan berkira-kira
sangat itu. Apa itukah sikap seorang perancang ekonomi yang tidak boleh dielakkan. Berkira dalam
segala hal?

Ibu dibawanya juga bersiar-siar melihat keindahan kota. Tapi nyatalah orang tua itu tidak
terhibur dengan hidup yang serba tidak kena itu.

“Bulan ni bagi mak sepuluh ringgit saja. Bagi banyak-banyak pun dia bukan tahu belanja. Padinya
ada, sayurnya ada di kebun. Telurnya tak habis di makan.,” kata Jamal bila melihat Murni menulis surat
untuk ibunya di kampong.

“ Hemm…kalau fasal duit nombor satu. Pandailah Murni berkira. Tak cukup lagikah gaji abang
tu?” sindirnya.

“Bukan tak cukup, tapi saja nak mengajar kau yang tak tahu gunakan wang. Kirim mak di
kampong sampai empat puluh ringgit tu kan terlalu banyak. Cukuplah sepuluh dua puluh ringgit
sebulan,” pujuknya.

Murni mencebikkan bibir. Jemu dia men dengar cakap-cakap begitu. Tanggungjawabnya pada
ibu belum dilallaikan lagi. Kiriman itu selalu tetap meskipun ibu tidak meminta, apa lagi menagih
daripadanya.

Suatu hari Murni dan Jamal terkejut apabila menerima surat daripada ibu. Surat itu menyuruh
Murni balik ke kampung segera.

Apa mustahaknya ibu menyuruh dia pulang itu. Sakitkah? Ada kenduri-kendarakah?

“Apa mustahaknya ni??? Tanya Murni berkali-kali.

“Ah, nak minta bantuan wang ringgit awaklah tu! Entah apa-apalah yang menimpanya., sahut
Jamal bena tak bena.

“Abang tu selalu fikir yang bururk-buruk saja,” sanggahnya.

“Kalau surat dari kampong sampai selalunya begitulah,” sambungnya dengan nada mengejek.
Radangnya hati Murni diperli-perli begitu.

“ada apa mak menyuruh Murni balik ni?” Tanya Murni kehairanan kerana dilihat ibunya shat-
sihat saja, tidak sakit. Wajahnya riang saja menyambut anak dan menantunya.

“Tak ada apa-apa. Cuma aku perlukan kau. Cap jari kau tu,” jelas Jemah sambil senyum.

Murni dan Jamal berpandangan. Mereka tertanya-tanya sendiri.

“Nak buat apa dengan cap jari Murni, mak?” soalnya sambil merenung muka ibu yang sudah
uzur itu.

6

“Aku nak menyalin nama tanah untuk kau,” tambah ibu.

“Tanah mana?”

“Tanah aku baru beli.”

“Tanah siapa yang mak beli?” Tanya Murni semakin berselera.

“Long Kasah kau nak berpindah ke Ulu Beting, buka tanah baru. Tanah tanah tapak rumahnya tu
di jual pada aku. Jadi sebelum dia pindah eloklah ditukar nama,” jelas ibu kedudukan yang sebenar.

Murni terkaku seketika. Hatinya terharu dengan berita yang didengarnya itu. Begitu sekali
ingatan ibu kepadanya.

“Mak! Mengapalah mak susah-susah kerana Murni. Mana mak dapat duit sampai boleh beli
tanah ni?” Tanya Murni terharu.

Jamal juga sama terkejut, tetapi dia tidak bersuara apa-apa.

“Wang yang kau kirim bulan-bulan tu aku kumpul. Campur sikit duit jula telur. Duit jual padi
yang tak habis dimakan…”

“O…mak,” ucap Murni sambil memeluk ibunya. Dan tanpa disedari airmata sudah mengalir ke
pipi. Dia sangat terharu mendengar kata-kata itu.

“Duit yang Murni kirim tu untuk makan minum mak. Bukan untuk membeli tanah,” katanya
tersedu-sedan.

“Ah, makan minum aku apalah sangat! Padi aku ada. Ikan aku ada di kolam. Sayur-sayur ada di
lading. Tak habis makan, Murni,” jawab ibu dengan suara yang merendah menusuk tangkai jantung
Murni.

Jamal tertegun seketika mendengar mendengarkan ppatah-patah yang keluar daripada mulut
ibu yang begitu ikhlas.

“Mak kau ni orang miskin. Tak ada sawah ladang yang luas untuk jadi harta pusaka kau. Itulah
saja yang dapat mak beri untuk hari tuamu, Murni, Jamal,” ucap mak, nada suaranya semakin perlahan.

Murni terus menangis. Hiba hatinya mendengar ibu berkata begitu. Jamal amat terusik. Dia
menundukkan kepala. Teringat akan dirinya sendiri. Dia seorang perancang ekonomi, tapi tidak terfikir
mahu merancang masa tuanya. Gajinya dan gaji Murni dicampur hampir seribu. Rumahnya besar tapi
masih disewa.

Keretanya juga besar tapi belum habis dibayar. Perabot rumahnya mahal-mahal tapi hutang.
Terkaku dia sebentar. Tidak terangkat mukanya dari merenung lantai rumah pusaka itu. Malu rasanya
hendak menentang muka ibu mentuanya. Bila ibu sudah ke sawah baru dia berani bersuara.

7

“Pandai juga ibu merancangkan masa depan kita ya, Murni?” ucap Jamal, tersenyum simpul.
“Ah…apalah sangat dengan mak tu! Orang kampung tak sekolah. Tak tahu gunakan wang.
Takkan sama dengan kepintaran seorang ahli ekonomi seperti abang,” sindir Murni dengan suara yang
lepas lantang.
Rasa nak tanggal telinga Jamal mendengar sindiran yang berbisa itu, matanya terkebil-kebil tidak
terkata…Hidungnya dipentung tepat-tepat. Begitupun hatinya senang kini!

Wanita, Mei 1971.

8

DI TEPI PAGAR

Lewat-lewat pukul sepuluh, tapi biasanya pukul Sembilan setengah selesailah Rusni mengemas rumah
dan mencuci kain.

Rusni dapat membayangkan segala pergerakannya di rumah batu yang berhalaman luas itu dari
pagi hingga ke malam. Dan esoknya, dia pasti, dia yakin akan membuka lembaran yang serupa dengan
hari-hari sebelumnya.

Bangun pagi pukul lima setengah. Siapkan sarapan tuan rumah. Selalunya roti bersapu mentega
dan nasi lemak kegemaran Abang Kamal. Tetapi sejak dua bulan ini kerja ringan sedikit. Tuan rumah
yang dipanggil Abang Kamal saja yang pergi ke Amerika melanjutkan pelajaran. Isterinya, Kakak
Hasyimah tidak cerewet orangnya. Roti setiap pagi pun dia tidak merungut. Kerja rasa separuh selesai
bila Azman yang berumur Sembilan tahun dan adiknya Julia sudah ke sekolah. Langkah rasa bebas bila
Kakak Hasyimah sudah ke pejabat.

Hari itu Rusni bercadang untuk menyiapkan kerja lebih awal lagi. Selesai mandi, sebelum masak
makanan tengah hari, dia mahu membaca majalah filem yang dipinjam dari Asmah kawan baiknya
sambil mendengar lagu-lagu permintaan di radio.Kadang-kadang dia rasa bertuah dapat tinggal di rumah
besar. Lebih-lebih lagi bila teringatkan diri tidak lulus SRP pun dapat menikmati hidup mewah. Panas
menyapu longkang di luar, masuk ke rumah buka kipas angin laju-laju. Ha …… lega dan sejuk rasa badan.
Terasa dahaga, buka peti ais minum root beer sepuas-puasnya.

Kakak Hasyimah tidak marah mendengar radio sambil memasak. Kakak Hasyimah juga tidak
pernah berleter kalau melihat televisyen hingga larut malam, tidak seperti ibu di kampung yang suka
becok bila dia mendengar radio di dapur.Tapi, Cuma satu dia terkilan. Bekerja di rumah orang tidak
bebas berjalan, kata Asmah yang dapat bekerja di kilang sabun. Teringin juga hendak bekerja di kilang.
Tapi kata Asmah, dulu tak payah lulus SRP dapat, sekarang susah. Rusni menarik nafas berat, kemudian
dia bernyanyi-nyanyi kecil di bilik air menghiburkan hati.

Tepat pukul sembilan dia turun menyidai kain basuhannya di ampaian di tepi pagar rumah.
Waktu menyidai kain itulah dia terkejut dan berasa serba salah bila melihat seorang pemuda kacak
merenung tajam ke arahnya dari beranda rumah Datuk Malik.

Rusni cepat tunduk ke baldi. Kain yang disedai herot di sana sini, tapi tidak dibetulkan. Dijeling
ke atas. Dilihat pemuda itu masih merenungnya sambil tersenyum-senyum. Siapakah dia? Tidak pernah
ku lihat sebelum ini. Anak Datuk Malikkah? Mungkin juga. Kakak Hasyimah baru tiga bulan pindah ke sini
dan belum ramai yang kukenali.

Sebentar kemudian dilihatnya pemuda itu sudah tidak ada di situ. Baguslah. Kalau ia pun hendak
melihat perempuan, janganlah sampai hendak menelan orang! Runggutnya. Lapang rasa hatinya. Dia

9

tunduk ke baldi. Tapi, alangkah terkejutnya dia bila dilihat pemuda itu sudah tercegat di tepi pagar
bertentangan dengannya.

“Hai! Lama tak jumpa?” tegurnya. Orangnya tinggi lampai. Kulitnya cerah, pakaiannya kemas.
Berseluar biru tua berjalur-jalur kecil. Berkemeja lengan panjang warna biru muda. Dia tersenyum lagi
dan menyambung.

“Siapa nama cik adik ini? ‘Dah tak ingatkan saya?” Rusni terkaku seketika. Betulkah apa yang aku
dengar ini? Benarkah apa yang aku lihat ini?

“Hai! Mengapa malu? Tak sudikah berkenalan dengan abang?” Aduh! Ngilu rasa di hati.
Akhirnya Rusni tersenyum malu.

Rusni segera mencapai baldi mahu pergi.

“Heh … nantilah dulu. Siapa nama cik adik? Cantik orangnya. Manis Senyummu, dik!” Dia
memuji. Suaranya lembut. Wajahnya berseri-seri.

“Saya ….. saya, Rusni,” jawab Rusni terketar suaranya menahan malu dan terkejut.

Pemuda itu tertawa saja kemudian menyambung, “Ha, macam itulah. Saya Zahar. Panggil saya
Abang Zahar.”

Rusni mengangguk saja, tidak berkata. Dan sememangnya dia tidak tahu apa yang harus
diucapkan di saat itu.

“Bolehkah abang ke rumah Rusni?”

Belum sempat Rusni menjawab, Datuk Malaik sudah memanggilnya.

“Zahar …. Kita nak pergi sekarang.”

“Zahar …. Lekas sikit. Nanti kita terlambat,” kata pulak Datin Maimunah.

Zahar berlalu sambl meninggalkan pesan. “Tengah hari nanti kita jumpa, ya? Katanya berulang
kali.

Sepagi itu Rusni berdebar-debar saja mengingatkan peristiwa yang tidak disangka-sangka.
Majalah filem dipegang lepas saja. Tidak ada mood langsung untuk membaca. Dia tersandar kemas di
kerusi empuk di bilik tamu sambil bertanya sendiri. Tengahari nanti dia nak jumpa aku? Apakah yang
akan diucapkan nanti? Dia teringatkan sesuatu. Berlari-lari dia ke dapur mengambil penyapu. Disapunya
permaidani bersih-bersih. Dilapnya cermin meja hingga licin bersinar. Dia tersenyum melihat
senyumannya sendiri di cermin itu! Kemudian melepaskan penyapu di tangan, berlari-lari lagi ke dapur.
Ditambah air bersih ke jambangan bunga mawar di atas meja kecil di sudut bilik. Lapang rasa hati
melihat bilik tamu yang sudah teratur cantic. Tapi, sesaat kemudian teringat pesanan Kakak Hasyimah:

10

“Jangan benarkan orang yang tak kenal masuk ke rumah waktu kakak tak ada!” Rusni mengeluh
hampa, kemudian mencebik benci. Tak boleh ke rumah, tepi pagar pun jadilah! Detik hatinya.

Tengah hari dia nak datang? Dilihatnya jam sudah pukul sebelas. Baru dia teringat, dia belum
memasak. Pukul dua belas setengah Azman dan Julia balik. Tergesa-gesa dia ke dapur. Masak nasi,
goring ikan, buat sup telur campur sayur sawi sudah. Tengah hari Kakak Hasyimah tidak balik makan.
Petang nanti boleh masak gulai asam pedas ikan bawal untuknya.

Selesai memasak dia segera ke biliknya menukar pakaian. Pagi itu dia memakai baju berwarna
merah muda bercorak bunga tanjung bertabur. Itulah baju yang paling cantic pada pandangan Rusni.
Kata Asmah, warna yang yang lembut sesuai dengan kulit yang itam manis. Rusni tersenyum lebar
menghadap cermin besar yang pecah di tepi, tapi masih jelas dilihat. Pipi yang berjerawat kerak nasik
nasi sudah dapat dilindung dengan bedak merah yang tebal. Bibir yang pucat sudah kelihatan segar dan
berseri-seri bila kena lipstik. Rusni menarik nafas lega. Dia berpusing sekali lagi di hadapan cermin
sompek melihat perawakannya sendiri. Dilihatnya rambutnya kering sedikit. Rambut yang lurus harus
diminyaki sedikit, kemudian disikat berkali-kali biar lembut jatuh ke bahu, fikirnya.

Sedang bersikat itulah dia terdengar jerit anak-anak di hadapan rumah. Rusni menjengah keluar.
Sekumpulan anak-anak mengejar Zahar sambil bersorak-sorak.

“Abang …. Nak duit! Nak duit!”

Zahar menyeluk saku seluarnya, kemudian menabur wang syiling ketengah jalan. Berebut-
rebutlah mereka mengutip dengan gelak ketawa gembira. Rusni sama tertawa melihat Zahar yang
pemurah itu.

“Bang! Panjat pokok itu, bang! Kata seorang dari mereka. Zahar tidak menjawab lagi terus
memanjat pokok kelapa hingga tiga depa tingginya. Anak-anak di bawah bersorak-sorak riang.

“Abang beruk! Abang monyet!” ejek mereka sambil ketawa dan bertepuk serentak. Kali ini Rusni
tidak tertawa, tapi dia hairan. Kenapa Zahar panjat pokok? Bodohnya dia mendengar kata anak-anak
nakal itu.

“Abang gila….! Abang gila!”

“Dia gila?” Rusni terkaku dan segera menutup pintu. Dia gila? Lama Rusni tercegat di balik pintu
memikirkannya. Patutlah! Detik hatinya kemudian.

Rusni tergesa-gesa masuk ke bilik menukar baju. Bedak dipipi dicuci bersih. Lipstik di bibir disapu
segera. Dia tidak tahu mengapa dia melakukan semua itu dengan terburu-buru seperti takutkan sesuatu.
Dilihat mukanya di cermin. Pucat lesi seperti amat terkejut. Dia sedar tidak ada gunanya melayan orang
gila.

Tapi esoknya, Rusni tidak dapat menahan senyum bila Zahar menyanyi lagu ‘Jatuh cinta lagi’
dengan suara nyaring lepas lantang ke tepi pagar.

11

“Lagu ini abang nyanyikan khas untuk Rusni. Cantik Rusni hari ini,” katanya. Rusni terus menyidai
kain basuhannya. Orang-orang yang lalu-lalang di tengah jalan tertoleh-toleh melihat telatah Zahar.

“Abang saying Rus, abang cinta Rus!” katanya.

Berderaau darah Rusni mendengarnya. Menggeletar tangannya menyidai kain di ampaian Zahar
memerhatikan saja dengan senyuman yang ramah, wajah yang berseri-seri seperti mengharap.

“Rus! Kita kahwin, mahu?” katanya tiba-tiba. Mendengar itu Rusni cepat-cepat mencapai baldi
terus masuk ke rumah. Kau gila! Detik hatinya sambil menarik nafas lega setelah berada di rumah.

Dari rumah masih terdengar Zahar merayu-rayu menyanyi di tepi pagar. Melihat telatah pemuda
tampan itu Rusni tergelak kecil geli hati. Tapi jauh di sudut hati timbul pula rasa belas.

“Rus …. Marilah sayang! Kita kahwin, ya? Marilah” Dia masih ditepi pagar memanggil-manggil
tanpa menghiraukan panas terik matahari pagi itu.

Senyap menyanyi terdengar pula dia menangis tersedu-sedu di tepi pagar. Rusni di rumah
mematikan diri. Kalau dah gila biarlah gila seorang, jangan buat aku sama gila! Rungutnya.

“Rusni! Rusni! Mari sekejap, nak!” Rusni memasang telinga. Terdengar suara Datin Maimunah
memanggil namanya. Rusni menjengah keluar. Ya, Datin Maimunah di tepi pagar.

“Mari kejap, nak!” katanya. Suaranya lembut keibuan. Dan itulah kali pertama Datin Maimunah
menegur dan memanggilnya.

“Berbuallah di tepi pagar ini saja, ya nak!” pujuknya sambil memegang bahu Zahar. Kemudian
memandang Rusni dengan mata yang teduh seperti memohon simpati.

“Rusni! Berbuallah sekejap dengan Zahar, ya nak,” pintanya. Rusni tidak pandai mengelak lagi.
Direlakan hati mendengar Zahar berbual.

Hampir setengah jam Rusni ditepi pagar melayan Zahar yang terlalu banyak bertanya dan terlalu
banyak menceritakan halnya.

Akhirnya perbualan di tepi pagar itu menjadi satu yang mesti pula di tiap pagi. Zahar dengan
segala senang hati menyanyi dan memuji Rusni tanpa jemu-jemu. Rusni tergelak bila mendengar jenaka
yang spontan. Dan, terhibur dengan lagu romantik, “Jatuh cinta”nya.

Kadang-kadang Rusni terfikir dan bertanya sendiri, kenapa Zahar gila? Alangkah bahagianya
hidup ini kalau dia tidak gila! Dan segera Rusni membayangkan saat-saat gembira bersama Zahar. Dia
mengeluh perlahan, menahan perasaan. Kenapa dia yang gila? Kenapa dia sakit jiwa? Setahunya, orang
sakit jiwa kerana hidup susah. Tapi ayah , ibu, adik-adik di kampung hidup susah, tak pula gila! Zahar
bukan orang susah. Katanya, keluarganya orang berada, orang bijak pandai. Ayahnya bekas pegawai
tinggi kerajaan. Adik beradiknya bijak-bijak belaka. Semuanya berada di luar negeri. Dia pun baru pulang
dari London. Kata Mak Jemah, orang gaji Datuk Malik, Zahar pulang kerana hendak berubat sakit jiwanya

12

itu. Menurut Mak Jemah juga, Zahar sakit jiwa kerana tidak lulus kursus undang-undang. Dua tahun dia
mengambil peperiksaan, masih tak lulus juga. Pelik, fikir Rusni. Tidak lulus periksa boleh sakit jiwa! Aku
tak lulus SRP, tak pernah susah hati. Bengal kepalanya memikirkan kenapa Zahar sakit jiwa. Lama-
lamaaku pula yang gila, fikirnya. Kakak Hasyimah sudah selalu mengingatkannya supaya jangan suka
melayan Zahar.

“Melayan orang sakit jiwa, nanti awak yang sakit jiwa!” kata Kakak Hasyimah. Suaranya
mendatar saja. Marah tidak, nasihat pun bukan. Perli aku kah? Fikir Rusni apabila melihat Kakak
Hasyimah tersenyum bermakna.

Asmah pun sudah kerap menegurnya. “Tak malukah kau berkawan dengan orang gila?”

“Dia bukan gila. Dia Cuma sakit jiwa,” tingkah Rusni.

“Serupalah ‘tu,” sahut Asmah pantas.

“Tak ada lelaki lainkah?” tanya Azmah seperti mengejek.

“Apa salahnya aku berkawan dengan dia? Dia sakit, Kasihan dia tak berkawan.”

“Aku takut, kau ikut gila sama!” Asmah tergelak. Rusni menarik muka masa. Tersentuh hati
kecilnya. Dia jauh hati mendengar lucuan itu.

“Apa salahnya aku berkawan dengan dia. Dia baik hati. Dia manusia biasa, Mah!” jawabnya
dengan terharu.

“Tapi, dia anak Datuk Malik.” Asmah angkat kening, lalu tersenyum lagi.

”Ya, dia anak Datuk Malik. Tapi dia tak memilih kawan.”

“Dia tak memilih kawan kerana dia gila!” Asmah tergelak keras. Panas telinga Rusni
mendengarnya.

“Ah …. Kau iri hati?” balasnya geram.

“Iri hati? Kurr … semangat!” sambutnya dengan gelak ketawa yang memanjang. Rusni mengurut
dada menahan sabar.

“Usah buang masa melayan orang gila, Rus!” nasihat Asmah dengan mengejeknya juga. Betul
juga kata Asmah itu, fikir Rusni. Dia sedar kini. Dia banyak buang masa melayan Zahar. Cermin tingkap
berdebu tidak dilap, longkang di dapur sudah berlumut hijau tidak berberus. Cemas juga rasa hati, takut
Kakak Hasyimah berleter lalu diberhentikan dia bekerja. “Mana aku nak pergi?” soalnya sendiri.

Hari itu dia bertekad tidak mahu melayan rayuan Zahar. Pergi jahanamlah dengan lagu ‘Jatuh
Cinta’ kau ‘tu! Aku hendak buat kerja. Tapi bila mendengar Zahar menangis mendodoi ditepi pagar
memanggil merayu, Rusni tidak sampai hati memekakkan telinga. Jauh disudut hatinya timbul rasa belas

13

yang sukar dimengerti. Berus hitam ditangan dilepaskan ke lantai. Dia pergi memujuk Zahar serela hati.
Datin Maimunah tidak menyuruhnya. Mak Jemah juga tidak meminta dia pergi ke tepi pagar itu.

”Kenapa menangis?” tanya Rusni lembut memujuk. “Semua orang tak suka abang. Mak tak
sayang abang. Abang bodoh …. Abang bodoh!” rintihnya sambil menghentakkan kaki seperti anak-anak
kecil lakunya. Tangannya berpaut kuat pada pagar besi yang memisahkan mereka.

“Semua orang sayangkan abang. Abang Zahar pandai. Kalau Abang Zahar belajar, tentu lebih
pandai,” Rusni terus memujuk anak tunggal lelaki Datuk Malik ini.

“Kalau belajar boleh pandai, ya?” Soalnya seperti baru tersedar dari satu mimpi panjang, Rusni
tersenyum.

“ya, kalau abang belajar, tentu lulus periksa,” Rusni melihat ke beranda rumah Datuk Malik.
Datin Maimunah memerhatikan mereka dari jauh. Zahar terdiam sebentar. Kepalanya diangguk-
anggukkan. Kemudian berlari pantas masuk ke rumah. Rusni tersenyum melihat telatah Zahar. Tidak
lama kemudian terdengar Zahar membaca buku terlalak-lalak. Entah apa bunyi butirnya, Rusni tidak
tahu. Menurut kata orangnya! Detik hatinya. Kemudian mengeluh hampa. Alangkah baiknya kalau dia
tidak gila! Kenapa sakitnya tidak sembuh? Kata Mak Jemah, Datuk Malik sudah berjumpa pakar sakit
jiwa yang paling masyhur di kota ini. Sudah berjumpa bomoh yang handal-handal juga. Tapi, mengapa
tak baik juga?

Belum selesai Rusni mencuci longkang di dapur sudah terdengar Zahar membaca buku di tepi
pagar sekuat hati. Rusni menggeleng kepala melihat penyakit anak muda yang baik rupa ini. Kasihan!
Rusni mendongak langit yang berdada biru. Angin mati. Cuaca panas, matahari terik memanah.
Mukanya merah padam membaca di tengah panas. Peluhnya menyimbah di dahi dan basah baju di
belakang.

“Kenapa membaca buku di sini?” tegur Rusni lembut.

“Abang mesti lulus periksa,” jawabnya tanpa angkat muka.

“Ya, abang akan lulus. Tapi janganlah membaca di sini. Balik rumah, mandi makan, kemudian
sembahyang. Tuhan suka orang yang sembahyang. Nanti abang lulus periksa,” pujuk Rusni.

Dia berhenti membaca, kemudian termenung seketika seperti berfikir. Matanya bulat merenung
Rusni. Berdebar juga hati Rusni direnung tajam begitu. Tanpa berkata apa-apa di aberlari masuk rumah.

Rusni mencapai berus hitam semula menyiapkan kerja. Dan menjelang suhur hari itu entah
berapa kali Zahar azan.

Rusni di rumah tergelak mendengar. Zahar …. Zahar! Keluhnya. Dia belas, tetapi kadang-kadang
terhibur dengan telatah gilanya itu.

Beberapa hari kemudian, Rusni tidak Nampak Zahar menyanyi di tepi pagar. Dia di rumah
agaknya, fikir Rusni. Tapi tidak terdengar dia azan menjelang zuhur dan magrib.Ke manakah dia? Rumah

14

batu dua tingkat Nampak sunyi saja. Tidak Nampak kelibat dan bayang Datin Maimunah atau Datuk
Malik di taman orkidnya. Ke mana dia? Rasa risau dan rindu pula tidak melihat Zahar. Akhirnya, daripada
Mak Jemah juga Rusni dapat tahu, Zahar sudah ke Kuala Lumpur berjumpa pakar ilmu jiwa. Baguslah!
Mudah-mudahan Abang Zahar lekas sembuh, doanya selalu. Dan sejak hari itu \, Rusni pantang melihat
muka Mak Jemah, ringan saja tangannya menggamit ke tepi pagar, bertanya khabar.

“Apa berita Abang Zahar, Mak Jemah?”

“Kata Datin ‘dah beransur kurang. Tidaklah melalak menyanyi.”

“Sungguhkah ini?” Rusni seperti tidak percaya.

“Sungguh. Tiap hari Kakak Datin menelefon dari Kuala Lumpur.”

Lega rasa hati mendengar berita Zahar akan sembuh. Bila agaknya dia keluar dari hospital? Kalau
dia dah balik tentu dia pulang ke rumah. Datuk Malik tentu buat kenduri besar. Zahar pasti tidak lupa
menjemputku, fikir Rusni berangan-angan. Baju apa aku nak pakai? Dia membuka almari bajunya. Tidak
ada baju lain yang lebih elok dari baju kurung merah corak bunga tanjung bertabur. Baju inilah yang
akan kupakai di pesta yang meriah itu nanti, detik hatinya. Kasihkah dia padaku lagi? Mahukah dia
menyanyikan lagu ‘Jatuh Cinta’ khas untukku kali ini? Rusni tersenyum sendiri mengingatkan Zahar.

Satu pagi waktu Rusni menyidai kain di tepi pagar, Mak Jemah datang menghampirinya dengan
wajah yang riang.

“Berita baik tentang Zahar….”

“Apa dia ‘tu, Mak Jemah?” sambung Rusni tidak sabar.

“Zahar ‘dah baik. ‘Dah balik pun ke London.”

“Balik ke London?”

“Ya, Datuk dengan Datin baru je balik dari Kuala Lumpur malam tadi. Katanya Zahar ‘dah
berlepas ke London.”

Rusni terkaku seketika. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mahu ketawa atau menangiskah
dia? Gelap rasa pandangan, sebak sebu membuku di dada. Sugguhkah dia sudah baik? Benarkah dia
sudah pulang ke London? Rusni terpinga-pinga kebingungan.

“Sampainya hati dia pergi tak berjumpaku lagi!” rintihnya menahan pilu di hati. Air mata sudah
jatuh ke pipi!

Jelita, April 1978.

15

HUTANG SIAPA

Pak Sabtu terus menajak dengan tekun di kebun kelapanya yang seluas 3 ekar itu. Rumput-
rumput yang hidup di pangkal pokok anak koko yang di tanam di celah-celah pokok kelapa itu mesti
disiang bersih-bersih.

Menurut janji Anuar, Pegawai Tanam Semula, dia akan datang memeriksa kerja-kerjanya itu dua
hari lagi.

Seminggu dulu pegawai itu telah datang memeriksa kebunnya. Tapi tidak lulus. Kurang bersih katanya.
Lagipun pangkal pokok kelapa tidak dibersihkan sama. Tak apalah! Detik hati Pak Sabtu. Lusa dia akan
terperanjat bila melihat kebun aku yang bersih ini, kata hati kecilnya. Dan semakin lincah, mata tajaknya
meragut rumput di pangkal pokok.

Jauh di penjuru tanahnya kelihatan Rahmah, isterinya sedang menghayun tajak juga. Kira-kira sepuluh
depa dari situ kelihatan Kamariah, anak gadisnya yang cuma tamat sekolah Melayu darjah enam itu
terbongkok-bongkok menyiang pangkal pokok kelapa dengan sebilah parang pendek ditangan. Rumput-
rumput liar yang menutup dan melilit pangkal kelapa itu diragut dengan ganas dan wajahnya tenang
saja.

Di tengah kebun pula kelihatan Tumin, anak muda Pak Sabtu yang khusus dipanggil pulang untuk bagi
membantu dia membersihkan kebun untuk diperiksa oleh Encik Anuar itu. Tumin tekun mengumpulkan
pelepah-pelepah kelapa untuk dibakar.

Pak Sabtu melepaskan tajaknya yang berulu kayu cengal itu sebentar. Dia berdiri tegak meluruskan
pinggang yang mula terasa pedih dan sengal kerana lama membongkok. Kemudian dia mengebas
nyamuk yang mengurung mukanya dengan kain pembelit kepala. Dan dengan kain lusuh itu juga dia
mengesat peluh di muka dan lehernya. Terlihat langit yang biru tidak berawan. Panas terik hari itu.

“Pangkal pokok koko yang itu belum bersih lagi, Mah!” Pak Sabtu menegur. Dia tidak puas hati dengan
kerja-kerja isterinya.

“Nak bersih macam mana lagi?” jawab Rahmah dengan suara yang keras sedikit. Dia mengesat peluh di
dahi dengan hujung baju kurungnya.

“Mesti tajak luas sedepa keliling pokok,” terang Pak Sabtu dengan tegas. Tangannya terdepang memberi
arahan.

“Yang ini pun tak bersih!” tegur Pak Sabtu lagi.

16

“Dah bersihlah tu…dah boleh dibaring!” sahut Rahmah meninggi sedikit suaranya. Radang juga hatinya
apabila kerja-kerjanya dicacat begitu. Dia menarik nafas panjang kepenatan. Rasa mahu tanggal
bahunya menghayun tajak sejak seminggu itu.

“Kau tahu tak, kalau tak bersih, tak lulus tanah kita ni? Tak lulus tak dapat wang bantuan!” pak Sabtu
mengingatkan isterinya.

“Saya tahu…saya tahu,” sahut Rahmah pantas.

“Yang itu mesti ditajak semula,”

Yang itu…yang itu, ha…,” telunjuk Pak Sabtu lincah memberi arahan. Rahmah acuh tak acuh saja
mendengarnya.

Pak Sabtu mula menajak lagi. Hilang rasa pedih di bahu. Sembuh rasa bisa di pinggang bila melihat
kebunnya sudah bersih ditajak. Hendak diracun tidak berduit. Periksa kali ini tentu lulus, bisik hati
kecilnya penuh yakin.

Tapi alangkah terkejutnya Pak Sabtu petang itu bila Encik Anuar yang berbibir nipis itu mengucapkan
kalimat-kalimat yang di luar dugaannya.

“Tanah Pak Sabtu ni tak boleh pas lagi!”

“Tak boleh pas? Kenapa tak boleh pas encik? tanya Pak Sabtu bertalu-talu. Matanya merenung pegawai
bermisai tebal itu tepat-tepat. Anuar tersenyum sedikit. Dia geli hati melihat Pak Sabtu yang tiba-tiba
menjadi tidak tentu arah.

“Begini Pak Sabtu,” kata Anuar dengan suara yang lembut seperti memujuk.

“Pokok kelapa yang rapat-rapat tu mesti ditebang. Biar senang anak-anak pokok koko tu nanti naik,”
jelas Anuar.

“Tebang? Kelapa sudah berbuah tu nak ditebang?” sahut Pak Sabtu pantas.

“Menurut aturan menanam koko di kebun kelapa begitulah.,” tambah Anuar sambil memandang
sekeliling.

“Tapi encik, pokok kelapa saya sedang berbuah. Saya hidup anak-beranak mengharapkan hasil kelapa
inilah saja. Tolonglah saya. Saya sayang nak menebangnya.,” kata Pak Sabtu dengan suara yang lembut,
merayu-rayu. Wajahnya, wajah minta simpati.

Doanya dalam hati biarlah pegawai yang baik rupa ini baik juga hatinya meluluskan tanahnya tanpa
menebang pokok-pokok kelapa sumber rezekinya anak-beranak itu.

“Tak boleh begitu Pak Sabtu. Saya kerja ikut aturan,” jelas Anuar.

“Tak ada cacatnya kalau tak ditebang encik,” kata Pak Sabtu memberanikan diri memberi pandangan.

17

“Pak Sabtu mahu wang bantuankah atau tidak?” Tanya Anuar yang mula bosan melayan orang tua yang
pandai membantah perintahnya.”

“Saya memang berharap sangat dengan wang bantuan tu,” sahut Pak Sabtu tanpa berselindung lagi.
Anuar tersenyum.

“Ha…kalau mahu wang bantuan, tebang pokok kelapa yang rapat-rapat , yang condong tu dulu. Kalau
tak, tak pas tanah Pak Sabtu ni,” kata Anuar lagi seperti memberi kata dua saja pada pada telinga Pak
Sabtu.

“Rugilah saya encik!” rayu Pak Sabtu tanpa malu dan segan lagi. Suaranya perlahan antara dengar tidak
seperti minta dikasihani.

“Biarlah rugi dulu, nanti untung kemudian. Hasil koko lebih besar dari kelapa, lagipun harga kelapa
murah sekarang,” sela Anuar.

Berkerut dahi Pak Sabtu. Dia cuba berfikir keras. Bagimana caranya hendak melepaskan diri dari bala
yang menimpa ini.

Dia teringatkan nasib kebun getah di hulu. Nak rebutkan kelapa sawit, getah ditebang. Pokok getah
rebah, harga getah pun naik! ‘Bagaimana nanti kalau selesai menebang kelapa, harga kelapa pula naik
melambung?’ fikir Pak Sabtu.

“Hasil kelapa pun saya mahu juga encik,” Pak Sabtu terus merayu.

“Jadi, Pak Sabtu tak mahulah menebang pokok kelapa yang lintang- pukang tu?” sergah pegawai muda
ini. Pak Sabtu tidak menjawab. Dia tunduk melihat bumi.

“Saya Cuma menjalankan tugas. Terserahlah pada Pak Sabtu membuat keputusan. Seminggu lagi saya
akan datang memeriksa,” kata Anuar lalu berjalan keluar dari kebun yang bersih dari rumput-rampai
menuju ke motosikalnya yang tersandar di tangga depan rumah Pak Sabtu. Pak Sabtu berjalan
mengekori dari belakang dengan langkah yang lambat dan lemah.

Anuar sudah pulang merempuh jalan tanah merah yang berdebu sejauh empat batu menuju ke pekan.
Pak Sabtu naik tangga rumah dapurnya. Satu…satu seperti tidak bertenaga. Dia terduduk di muka pintu
itu.

“Lulus tanah kita bang?” Tanya Rahmah.

“Tak pas!” jerit Pak Sabtu. Mukanya tegang seperti menyimpan dendam.

“Apa pula gilanya si Anuar tu. Kelapa sedang berbuah nak disuruh tebang!” pekiknya. Matanya merah
mencerlang. Rahmah menjadi cemas melihat suaminya yang tiba-tibasahaja naik angin.

“Kalau diikutkan hati yang panas ni, aku takuk kepala budak yang cerewet tu,” Pak Sabtu menakuk
kepala bendul dengan parang panjangnya. Bergegar hati Rahmah melihat suaminya yang marah
memberang.

18

“Apa dia nak suruh kita makan pasir? Makan lumpur?” jeritnya kuat-kuat. Dia melepaskan geram di
depan isterinya.

Melihat wajah ayah yang bengis itu anak-anaknya melarikan diri. Juman, Atan dan Milah sembunyi di
bawah rumah. Cuma Tumin saja yang berani merapati ayahnya yang sedang berang itu.

“Tebanglah, bang. Ikut perintahnya. Nanti tak pas tanah kita!” kata Rahmah setelah lama mendiamkan
diri.

“Betul kata mak tu, ikutlah arahannya,” sampuk Tumin.

“Apa bodohnya aku menebang kelapa sedang berbuah?” Mata Pak Sabtu galak merenung muka Tumin.
Tumin tudnuk melihat lantai.Ngeri melihat mata ayang yang bengis itu.

“Aku ni susah, Tumin. Hasil kelapa itulah yang aku harapkan member makan adik-adik kau yang lapan
orang tu.”

“Kalau ada kebun getah, kita tak sesuah begini, bang,” celah rahmah pula dengan nada suara yang kesal.

“Itulah ayah, ada kebun getah sedang berhasil ayah tebang,” kata Tumin lagi.

“Getah murah, kelapa sawit mahal!” sambar si isteri seperti menyindir.

Wah! Apa lagi semakin meradanglah hati Pak Sabtu.

“Jangan nak salahkan aku. Masa tu harga getah dua puluh tujuh sen. Dua puluh lima sen ada.!” Tengking
Pak Sabtu mmebela diri.

“Tapi sekarang harga getah dah naik,” jawab Tumin pantas.

“Jadi lLebai Malanglah ayah kau ni…!” sampuk Rahmah yang sedang mengupas pisang kapas muda.

Semakin meluaplah darah Pak Sabtu.

“Kalau aku tahu getah boleh naik harga lagi. Tak…tak aku teabg pokok getah aku tu! Tak!...jeritnya
berkali-kali.

“Betul ayah tak tau. Tapi ayah bertindak terburu-buru.”

“Entah mabuk apa ayah kau. Gila-gila menebang pokok getah dulu,” kata Rahmah seperti mengejek.

“Kaum bumiputera mesti berani bertindak merebut peluang,” Pak Sabtu mengulangi ucapan seorang
menteri yangd apat ditangkapnya di satu majlis dialog di pekan tidak lama dulu.

Tumin serta-merta tersengih. Geli hati. “Oh…gitu!!!” sambutnya kemudian.

“Tapi… ayah salah rebut. Salah rancang!” tekan Tumin dengan suara berani.

“Salah rancang?” melenting Pak Sabtu apabila dicemuh begitu.
19

“Ya…Ayah bertindak terburu-buru.””Kau pandai cakap saja. Klau kau bijak merancang kenapa tak
beritahuaku awal-awal apa yang mahal, apa yang murah?” Pak Sabtumemandang tajam ke muka Tumin
dengan mata yang tidak berkelip-kelip.

“Saya bukan Pegawai Perancang Ekonomi Negara,” Tuminj tergelak.

“Ha…sedar pun! Kalau kau tu perancang ekonomi negara senanglah ayah kau ni merancang. Apa yang
mahal lima tahun akan datang, sepuluh tahun akan datang. Kelapakah? Getahkah? Kokokah? Biar aku
tanam awal-awal lagi. Taklah aku ni terkejar-kejar tak tentu arah,” kata Pak Sabtu dengan suara
mencabar anak mudanya habis-habisan.

Tumin terkaku sejenak. Sindiran itu sungguh menghiris hatinya. Terkenang dirinya yang tidak punya
kelulusan apa-apa. Cuma pandai angkat batu, bancuh simen buat rumah. Kerja ikut kontrak di Bandar.

Rahmah tidak menjawab kini. Pak Sabtu merasa dirinya menang dan tidak bersalah. Lega dan lapang
rasa dadanya. Dia bangun untuk ke perigi.

Rahmah menjeling-jeling dari ekor matanya melihat muka anak mudanya. Wajah Tumin masam saja. Dia
tidak berani menegur apa-apa.

“ Nak masak lauk apa tu, mak?” Tanya Tumin apabila melihat Kamariah adiknya memarut kelapa.

“Nak masak sayur lemak pisang kapas campur dengan cendawan busut. Cendawan yang tumbuh di
batang getah yang ditebang ayah kau tu!” jawab si ibu tenang.

“Ha, itulah hasil orang menebang pokok getah!” sindir Tumin. Dia tersenyum sinis. Ibunya sama
tersenyum.

“Makan lauk kayu!” ejeknya pula.

“Ya…sehari dua ni makanlah lumut kayu tu dulu. Kau yang banyak duit kenapa tak membeli daging
lembu?” sampuk Pak Sabtu yang tiba-tiba muncul di muka pintu dapur mengambil kain basahan yang
tertinggal di situ.

Tumin tersentak. Berderau darahnya naik ke muka. Kena lagi aku petang ni!

Esok pagi-pagi lagi Tumin sudah angkat kaki meninggalkan kampong pulang ke Bandar tempat dia
bekerja. Apa yang hendak ditunggu lagi? Kebun ayah sudah bersih. Lulus tak lulus itu bukan soal aku,
fikirnya.

Pak Sabtu berleter panjang apabila tahu Tumin sudah pulang ke Bandar senyap-senyap. Seminggu itu dia
ke kebun juga tapi tidak bekerja apa-apa.

Dia asyik termenung di pangkal pokok kelapa membilang pokok kelapa yang diperintahkan tebang itu.
Bukannya sedikit fikir Pak sabtu. Tiga puluh batang itu banyak hasilnya. Bila dilihatnya lama-lama terfikir
juga di kepalanya. Betul kata Encik Anuar, pokok kelapanya rapat sangat. Tanam tidak teratur. Main
pakai cacak saja dulu waktu menanam.

20

Dia tahu sudah bercupak peluhnya jatuh ke bumi waktu menebang hutan dulu. Kemudian di tanam
kelapa. Tiba-tiba bila sudah berhasil disuruh tebang pula!

Tiga empat hari itu Pak Sabtu jadi manusia yang pendiam dan mudah marah pula. Dia terus berfikir dan
menimbang-nimbanh.

“Tebangkah tidak? Tebangkah tidak?”

Rahmah jadi bingung melihat kelakuan suaminya. Pagi esoknya Encik Anuar akan datang memeriksa.
Susah juga hatinya memikirkan tanahnya yang belum lulus itu.tanah orang lain dengar saja dah lulus.
Tanah Kak Hajah Hasnah jirannya itu tidak pula bersih macam kebunnya. Sekali periksa saja dah lulus.

Petang itu Rahmah tergerak hendak berjumpa Kak hajah yang sngat dihormatinya itu untuk mendapat
nasihat dan fatwa. Pagi esoknya Encik Anuar akan datang memeriksa kebunnya. Betul sebagaimana yang
dijanjikan. Pagi-pagi lagi pegawai itu sudah tiba. Pak Sabtu sudah ke belakang awal-awal lagi. Mendengar
bunyi Honda saja, rahmah sudah menerpa ke muka pintu. Kemudian mempelawa anak muda itu naik ke
rumah.

“ Berhenti-henti penat dulu, encik…jemput…jemputlah naik ke rumah dulu,” pelawa orang tua separuh
umur ini dengan mesra. Anuar menolak, tapi ibu ini terus mempelawa juga.

“Naiklah dulu ke pondok saya ni, encik. Berbual-bual dulu,” kata rahmah sambil tersenyum ramah.

Tidak sampai hati pula hendak menghampakan hajat orang tua ini fikir Anuar. Dia pun naik ke rumah.
Melihat itu, Kamariah pun segera membancuh kopi. Ibu di luar rancak berbual melayan tetamu. Selesai
minum kopi barulah Anuar ke belakang dengan diekori oleh Rahmah dan anak-anak yang belum
bersekolah lagi itu.

“Bersih tanah Pak Sabtu ni,” kata anuar. Kembang hati Pak Sabtu mendengar pujian. Tapi bimbang dan
cemas , menggaru dada.

“Luluskah tanah aku ni? Luluskah tidak?” soalnya sendiri.

Anuar memandang sekeliling. “Tapi…mengapa kelapa yang saya suruh tebang dulu tak ditebang? Tanya
Anuar hairan. Pak Sabtu tidak menjawab.

“Macam mana tanah ini saya nak bagi lulus.” Meninggi sedikit suara Pegawai Tanam Semula itu.

“Tak lulus pun taka pa. tak dapat wang bantuan pun saya makan juga,” sahut Pak Sabtu dengan
sombong.

Anuar merenung muka orang tua yang sudah merah padam menahan marah. Sudah banyak dia bertemu
orang-orang kampong. Orang tua yang di depannya inilah yang degil tidak mengikut arahannya. Sudah
berjumpa aku dengan kepala komeng Detik hatinya.

“Tolonglah saya, encik!” kata Rahmah mendayu-dayu sambil memandangbanak-anaknya yang separuh
berbogel itu. Ada yang berselur tapi tak berbaju., yang berbaju tidak berseluar pula.

21

Anuar terkaku sejenak. Kemudian melihat muka Rahmah yang muram dan sedih nampaknya. Dia jatuh
belas melihat ibu itu dan anak-anaknya.

“Baiklah. Tanah mak cik lulus,” putusnya tanpa memandang muka Pak Sabtu, kemudian berjalan keluar
dari kebun itu. Pak sabtu terkejut mendengar keputusan yang tidak diduganya itu.

“ Kuasa apa yang membuat anak muda itu bertukar fikiran?” Dia tersenyum simpul. ‘agaknya dia gerun
melihat mata parang panjang aku tadi,’ bisiknya sendiri dengan rasa bangga dan megah.

“Budak mentah baru berhingus, Maj! Kena gertak aku dia dah gementar,” kata Pak Sabtu diekori dengan
gelak yang keras. Wajahnya berseri-seri. Dai melucutkan baju basahannya. Kemudian mengenakan
sehelai kemeja yang cerah.

“Awak nak ke mana bang?” Tanya Rahmah

“Nak ke pasar. Lama kita tak makan ikan basah,” sahut suaminya yang sedang bersiap-siap itu.

“Bagus benarlah tu,” jawab Rahmah yang ikut riang hari ini.

“Kalau nasib baik berjumpa ikan sembilang baru naik bagus juga. Lama tak menyuyut kepala sembilang,”
tambah Pak Sabtu sambil berjalan ke biliknya. Kemudian meraba sesuatu di bawah tikar. Tidak berjumpa
benda yang dicari. Dia menyingkap tikar pandan tempat tidur itu. Tidak berjumpa juga.

“Mah! Oh Mah! Mana pergi duit aku di bawah tikar ni?” jerit Pak Sabtu sedikit cemas.

Rahmah datang.

“Kau simpankah duit aku yang lima belas ringgit di bawah tikar ni?” Tanya Pak Sabtu dengan satu nafas.

“Oh! Duit tu?” sahut Rahmah kemudian tersenyum.

“Ha, mana dia?” tanpa Pak Sabtu pantas.

“dah saya sedekah kepada Encik Anuar tadi!” terang si isteri dengan tenang.

“Sedekahkan kepada Encik Anuar?” Pak sabtu terkejut dan tidak mengerti. Berkerut dahinya
memandang isterinya.

“Ya…bang!”

“Mengapa bersedekah kepada dia?” Pak Sabtu naik radang semula.

“kata Kak Hajah Senah, belajarlah bersedekah sedikit, nescaya Tuhan akan balas dengan rezeki yang
banyak!” Rahmah membuat siaran ulangan ceramah kakak Hajah Hasnah yang didengarnya petang
semalam.

“Ooo…begitu! Bersedekah lima belas ringgit, nanti dapat tiga ratus ringgit? Kerja bodoh!” tengking Pak
sabtu.

22

“Salahkah saya bersedekah? Niat hati saya bersih. Kata Kak Hajah Senah…”
“Sudah…sudah! Aku tak mahu dengar. Kata Kak Hajah…kata kak Hajah!” ejeknya sambil menengking-
nengking.
Rahmah terdiam. Dia sungguh tidak mengerti dengan sikap suaminya yang marah-marah kerana
bersedekah itu.
“Hei! Apa punya bodoh kau ni, mah! Bersedekah yang tak kena tempatnya,” Pak Sabtu melucutkan baju
barunya.
Rahmah diam tercegat di muka pintu. Dia bertanya sendiri.
“salahkah bersedekah?” dia cuba mengikut nasihat dan tunjuk ajar Kakak Hajah Hasnah yang sangat
dihormatinya.
“Sudah, masak sayur pisang campur cendawan. Aku tak jadi ke pasar,” sahut Pak Sabtu yang sudah
bersalin baju basahan semula.
“Ada hati bersedekah konon! Inilah yang dikatakan orang bersedekah sampai papa, keramat tak
menjadi,” sindir Pak Sabtu. Rahmah sudah tidak tahan lagi mendengar tengking dan sindir suaminya . dia
mahu melarikan diri ke dapur. Tapi segera disergah olah Pak sabtu.
“Bila nak bayar duit aku tu?” Rahmah tidak menjawab.
“Ingat tu. Kau berhutang dengan aku lima belas ringgit,” sambungnya lagi. Isterinya terkejut dan tidak
mengerti. Hatinya berkata-kata, ‘ Aku berhutang lima belas ringgit?’

Utusan Zaman, 13 Ogos 1973.

23

ORKIDNYA SUDAH MENJADI

JAMAL tersenyum senang turun dari sebuah beca di halaman rumahnya. Dua belah tangannya
menatang pasu-pasu orkid yang sedang berbunga segar.
“ macam mana? Cantik tak? tanya Jamal kepada isterinya yang menyambut kepulangannya dengan
senyum riang yang tidak putus-putus.
“Hemm…! Puaslah hati saya dah dapat dua pasu ni…”
Kata Asiah menyambut pasu daripada tangan suaminya.

“ Di mana nak diletakkan orkid kita ni, Yah?” tanya Jamal memandang keliling.
Asiah tidak mejawab. Dia leka membelai-belai bunga orkid yang berwarna putih melepak
sebesar piring cawan itu.
“Di mana nak letak orkid baru ni?” ulang Jamal masih tereenyum. Nampak dua batang gigi kapaknya
dengan jelas.
“ Letak di pondok belakanglah…,” jawab Asiah kemudian.
“Tayang-tayang sangat nanti dicuri orang pula,” balas Asiah bimbang.
“ Sehari dua ni biarlah di pondok depan,” putus Jamal.
Asiah tidak membantah. Hatinya gembira benar kerana bunga yang diidam-idamkannya sejak
beberapa bulan yang lalu kini sudah jadi miliknya.
“ Heh…! Orkid baru,.
“ pekik Aliza, anak perempuannya yang berumur lapan tahun itu keriangan.
“ Berapa ringgit ayah beli?” Tanya si anak sambil tangan halus itu mencuit bunga segar itu.
“Tiga puluh ringgit sepasu,” terang Jamal sambil duduk di kerusi di beranda itu.
“ Mahal tu,” sampuk Adli, anak lelakinya pula yang sama mengerumuni pasu-pasu orkid itu.
“Sepasu tiga puluh ringgit. Dua pasu dah enam puluh ringgit, ya ayah?” sambung Adli yang
berumur dua belas tahun itu. Jamal diam tidak menjawab.
“Orkid jenis baik. Jenis mahal tentulah mahal.” Sambung Asiah menjelaskan kedudukan yang
sebenar.
Aliza dan Adli diam sehaja mendengar penerangan yang secebis itu.

24

“ Buku sains yang Adli pesan ayah beli tak?” Tanya Adli sambil merenung muka ayahnya tepat-
tepat.

“Allah! “ jerit Jamal. Dia mengeruk-ngeruk kepala tak gatal. “Ayah lupa…betul-betul lupa,” sambungnya.

“Ayah selalu lupa aja,” Adli menyambut kesal.

“Buku kira-kira Aliza pun ayah lupa jugalah?” Tanya si Aliza pula.

“Dah sibuk-sibuk tadi ayah lupalah.” Perlahan saja suara si ayah, seperti benar-benar kesal.

“Dah lama Liza pesan. Asyik lupa aja,” anak kecil ini berleter pula.

Si ayah dan ibu tersengih sahaja. Barangkali itu silapnya.

“Sudah. Pergi masuk. Adli bawa adik-adik tu mandi,” kerah Asiah yang tidak gemar melihat bersoal-
jawab begitu.

Anak-anak yang masih ingin berbual itu terpaksa berlalu.

Hari sudah hamper senja. Asiah dan Jamal masih sibuk menyiapkan pondok kecil yang baru untuk orkid-
orkid yabg sudah bertambah itu. Hampir seratus lima puluh pasu menurut kiraan Asiah. Dan wang
membelinya hamper dua ribu sudah.

Suasana rumah mula gelap. Bang masjid dari masjid kampunga bergema menusuk ke telinga
mereka. Tapi mereka terus juga menyiapkan pondok kecil itu.

Sudahnya pondok itu tidak siap juga. Apabila hari sudah senja benar mahu tidak mahu terpaksa
naik ke rumah. Tapi hati dan kepalanya masih juga tersangkut di pondok orkid. Malah sama ikut berbuai-
buai seperti pasu-pasu yang tergantungdi situ bila ditiup angin malam.

Minat dan sayangnya kepada orkid-orkid itu cukup besar. Entah mengapa jamal sendiri tidak
mengerti. Hatinya terhibur apapbila berada di pondok orkid kesayangannya. Padanya penghibur utama
dalam hidupnya ialah kembang-kembang orkid yang segar.

Asiah isterinya juga begitu. Hlang segala penat lelah bekerja di rumah bila dia berada di pondok
orkidnya. Barangkali kerana dia dan isterinya sama-sama berminat kea rah tanaman itulah maka
tanaman orkidnya semakin menjadi ini, fikir Jamal selalu.

“Di kedai Chong tu tadi ada satu jenis lagi, Yah. Wah…yang itu lebih cantik. Merah menyala
warna bunganya,” kata Jamal sambil makan pada malam itu.

“Berapa sepasu?” Tanya Asiah tidak tangguh-tangguh lagi.

“Yang itu mahal sikit.”

25

“Berapa? Dapat dua tiga puluh ringgit?” Tanya Asiah berselera. Berhenti sebentar suapnya.
Terbayang di matanya bunga merah yang diceritakan oleh suaminya itu.

“Yang itu kira daun. Sehelai lima ringgit.”
“Belum berbunga?”
“Belum.”
“Ah tak sabar Yah menanti pokok yang belum berbunga. Kalau kita ada duit lebih bulan depan
kita beli yang dah bebrunga. Puas hati sikit.” Asiah mula berkira-kira.
“Mahal,” sahut suaminya sepatah lalu menyuap nasi ke mulut.
Anak-anak mereka diam sahajasoal itu sudah terlalu lumrah di telinga mereka. Di mana saja
ayah dan ibunya berada soal orkid itu saja yang menjadi topic perbualan.
Selesai makan Adli dan Aliza berbaring di tengah rumah kekenyangan.
“Melingkar pula dia. Baca buku!” sergah Jamal dengan wajah yang garang seperti mengancam.
Anak itu segera bangun mecapai beg sekolahnya.
“Ayah ! tolong ajarkan Aliza buat kira-kira ni,” kata Aliza sambil membawa bukunya ke muka
Jamal.
“Di sekolah apa yang kau belajar?” tengkingnya tiba-tiba.
“Macam-macam,” jawab si anak tidak mengerti riak si ayah.
“Habis mengapa tak dapat?”
“Aliza tak ada buku kira-kira,” terang Aliza. Selamba.
“Mana perginya buku kira-kira kau tu?” Semakin keras bunyinya.
Adli pura-pura tidak endah sahaja, tapi hati di dalam kecut juga rasanya.
“Kan ayah belum beli lagi. Ayah kata lupa…lupa,” jelas si anak dengan berani. Direnungnya mata
ayah.
Jamal mengalihkan pandangannya ke lantai. Dia mengeruk-ngeruk kepalanya yang tidak gatal
lagi.
“Ha…belajar dengan Abang Adli kau. Kau darjah dua, Adli dah darjah enam. Tentu dia tahu kira-
kira kau tu. Ayah…ayah ada kerja ni.” Jamal mengelak dan berlalu dari situ.
Anaknya memerhati sahaja terkulat-kulat.

26

Seketika Jamal terpekik dari luar.

“Adli…! Ambilkan lampu picit ayah!”

“Siang-siang lagi ni dah ada kumbang bang?” Tanya Asiah dari tingkap rumah.

“Kumbang celaka tu mana tahu takut.” Sumpah Jamal marah.

Lampu picit di tangan Jamal menyuluh setiap daun dan bunga orkidnya sedang Asiah memancit
ubat kumbang dengan cermatnya.

“Mak…mak…nak ikut…! Jerit Norlin anak kecil yang berumur lima tahun itu.

“Tak usah. Mak ada kerja ni. Jangan turun,” sahut Asiah.

Anak itu tidak peduli, dia menjerit-jerit juga. Sudahnya dia menangis dengan kuat.

Asiah datang mendapatkan Norin di tangga.

‘Tak tahu mak ada kerja ya?” marah si ibu dengan mata yang sengaja dibesarkan.

Anak it uterus juga melalak.

“Tengok tv yer?” pujuk Asiah lalu masuk ke ruang tamu dan membuka televisyennya.

Tangis anak segera berhenti apabila melihat gambar di cermin televisyen. Gambar koboi. Adli menjeling
Aliza sambil tersenyum penuh makna. Aliza ikut tersengih sama, faham.

Adli dengan Aliza jangan tengok TV. Baca buku tu,” pesan Asiah . Suaranya keras garang sahaja.

Apabila ibu itu berlalu buku ditangan segera ditutup dan dilempar ke tepi. Mereka tiga beradik terhibur
dengan gambar koboi kegemaran mereka. Asiah dan Jamal juga terhibur di pondok orkid mereka.

Apabila Jamal dan Asiah masuk ke rumah dilihat anak-anak mereka sudah terlingkar di hadapan
televisyen. Tidur. Jamal menggeleng-geleng kepala kesal melihat buku-buku bersepah di sana sini.

Norlin, anak kecilnya di angkat masuk ke bilik. Adli dan Aliza, dibiarkan saja di situ.

Malam itu Jamal tidak lenyak tidur takut orkid yang baru diberlinya itu dicuri orrang. Dan entah berapa
kali dia bangun menyuluh kumbang. Pagi-pagi lagi dia sudah bangun dan terus ke pondok orkidnya
tanpa cuci muka lagi.

Dia menjirus pasu-pasu bunga yang beraneka jenis itu dengan hati yang senang dada yang lapang.
Kemudian meneruskan kerjanya yang terbengkalai petang semalam.

Kegemaran menanam orkid itu memang sudah lama bagi Jamal dan isterinya. Tapi ‘gilaorkidnya’ timbul
sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Wang lebihnya digunakan untuk membeli orkid sahaja sejak
akhir-akhir ini.

27

Sungguhpun begitu mereka tidak berasa rugi. Malah ada terselit di sudut hati masing-masing kalau orkid
itu sudah benar-benar menjadi mereka akan menjualnya pula. Itu satu dari sumber untuk mendapatkan
wang, fikir Jamal selalu.

“Ayah, Adli nak pergi sekolah!’ kata Adli sambil mengenakan sepatunya. Aliza merenung muka abangnya
penuh makna.

Adli mengangguk-angguk tanda mengerti.

“Dah minum?” Tanya Jamal masih tidak menoleh dari mengerat beroti-beroti kecil di halaman itu.

“Belum,” jawab Aliza.”Dah dapat duit?” Tanya Jamal lagi.

“Sudah. Mak dah bagi,” sahut Adli sambil menghampiri ayahnya.

“Buku semalam tu macam mana?” Tanya Aliza perlahan penuh bimbang.

Aliza mengekori aabngnya mendapatkan ayahnya. Sampai di hadapan ayahnya Adli mengeluarkan
sekeping buku kecil yang bertulis di hadapannya “Buku Penyata Kemajuan”.

“Ayah sainkan buku Adli ni,” kata si anak teragak-agak. Bimbang dan ragu bergelut di lubuk hati.

Jamal mengambilnya dan membuka buku kecil itu. Matanya terbelalak merenung muka ecil anaknya
yang tercegat ketakutan di sisinya. Kemudian dia meneliti tulisan-tulisan yang tercatat di situ, berkerut-
kerut dahinya.

“mengapa tak lulus ni Adli?” Tanya Jamal kesal. Wajahnya segera berubah bengis dan garang. Semakin
kecut hati kedua-dua orang anak kecil ini.

“Banyak merah. Tak lulus Bahasa Melayu? Apa nak jadi ni? Bodoh. Banyak main saja.?” Tengking Jamal
dengan lantang.

“Ayah tak mahu sain,” kata Jamal lalu melemparkan buku kecil itu ke tanah.

Aliza terketar-ketar menghulurkan Buku Penyata Kemajuannya pula.

“Ini pun satu. Banyak Merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,” sergah si ayah.

“Buku kira-kira Aliza ayah bekum beli,” sahut Aliza tertahan-tahan.

“Diam! Kecik-kecik dah pandai menjawab,” sembur Jamal dengan keras.

Serentak itu sebuah kereta sekolah berhenti dan membunyikan honnya bertalu-talu. Mata ayah
tertumpu kepada si pemandunya. Amin, kenalannya. Amin tersenyum senang.

“Wah…buat pondok orkid lagi. Menjadi benar orkid awak, Cik Jamal. Sapa Amin sambil memuji-muji.
Terhibur sedikit hati Jamal mendengar pujian yang secebis itu.

28

“Sainkanlah buku Aliza, ayah” rayu Aliza pula.

Hon kereta berbunyi lagi. Kali ini semakin kuat. Hati kedua-dua anak ini semakin berdebar-debar. Takut
ditinggal dek kereta sekolah mereka pula.

“Mana pennya?” tengking Jamal sambil merenung kedua-dua mata anaknya seperti singa lapar.

Jamal menggores sesuatu di tempat tandatangan penjaga di buku kecil itu dengan hati yang kesal dan
kecewa.

Anak itu tergesa-gesa menuju ke kereta sekolahnya yang telah lama menantinya. Dan entah bagaimana
Adli tersepak pula sebuah pasu orkid di situ. Dia menoleh tapi tiada masa untuk membetulkannya.

“Anak puaka!” kutuk Jamal dalam hati. Semakin hangatlah hatinya apabila pasunya dipecahkan Adli itu.
Entah berapa bakul sumpahnya sudah. Tapi anak itu sudah lesap di dalam kereta sekolah. Tentlah
lapang sudah dada anak-anak setelah meninggalkan ayahnya yang banyak marahnya pagi itu.

Sedang dia mengemas pasu yang pecah itu lalu pula Kawan kawan sepejabatnya. Kawan itu menyapanya
juga.

“Wah…menjadi benar bunga-bunga awak ni, Cik Jamal. Tak lama lagi jadi tauke orkidlah nampaknya,”
giat Kamal yang berjalan-jalan mengambil udara pagi itu.

Jamal tersengih mendengar pujian itu. Dalam hatinya dia berangan-angan mungkin tak lama lagi dia
akan senang dengan menjual orkid-orkidnya itu.

Kamal sudah meninggalkannya. Fikirannya melayang ke muka Buku Penyata Kemajuan anak-anaknya.
Merah di sana sini. Kedua-duanya tidak lulus ujian penggal pertama itu. Hatinya sakit bebrisa
mengingatkannya.

“Bang…marilah ke belakang ini…pokok orkid yang kita beli dengan Cik Malek dah keluar kuntum!” jerit
Asiah dari pondok belakang rumah.

Lamunannya terganggu.

“ Marilah kejap!” seru asiah dengan nada suara yang menggambarkan keriangan hati.

Jamal bangun menuju ke pondok belakang rumah.

“Abang tengok ni. Tak sedar dah keluar kuntum.”

Jamal diam sahaja, tidak menyampuk apa-apa. Wajahnya layu macam bunga kembang petang.

“Mengapa tercengang aja ni?” Asiah kehairanan sedikit melihat suaminya yang tidak riang menerima
berita baik itu.

“Tak ada apa-apa,” jawabnya lemah. Wajahnya keruh dan muram sahaja. Kesan-kesan marah dan
hampajelas terbayang.

29

“Belum lama kita membelanya dah mula berbunga,” kata Asiah sambil megurut-urut kuntum bunga
yang baru menjulur itu bagai mengurut kepala anak kecilnya sahaja. Wajahnya berseri-seri keriangan.
Jamal diam sahaja melihat telatah isterinya. Keriangan isterinya pagi itu tidak dapat dirasakan sama.
“Kalau dah menjadi betul-betul, tahun depan kita mulalah jual sikit-sikit, ye bang?” sambung Asiah lagi.
Cakap-cakap begitu sudah sering benar didengarnya. Selalunya dia sangat senang hati mendengar
angan-angan isterinya itu.
Tapi pagi ini cakap-cakap begitu sudah tidak enak di telinganya. Tiba-tiba sahaja dia ternampak-nampak
akan tulisan yang merah-merah di buku kecil anaknya tadi. Dia kecewa dan kesal sekali.
“Orkid-orkid kita dah mula nak menjadi nampaknya,” ulang Asiah lagi. Masih tersenyum. Masih riang
gembira.
“Tapi…,” kata Jamal tiba-tiba. Kemudian dia terhenti di situ. Sebak rasa dadanya.
“tapi…anak-anak kita tak ada yang menjadi, Asiah.” Sambungnya tertahan-tahan menahan perasaan
hampa dan kecewanya. Kemudian berlalu dari situ.
Asiah tersentak mendengarnya. Dia tertanya-tanya sendiri. Masih belum mengerti.

Berita Minggu, 28 Jun, 1970.

30

SEKAPUR SIRIH SEGELUK AIR

Basikal tua ayahnya disandarkan ke dinding rumahnya dan buru-buru melompat melangkah
tangga dapur lalu terduduk di situ juga. Penat benar rasanya mengayuh basikal sejauh tiga batu jalan
kampung tidak bertanah merah itu.

“Mana ayamnya?” tanya ibu sedikit meninggi.

“Tak dapat, “ jawab Farid, anak mudanya sambil mengesat peluh meleleh di dahi. Dia mengeluh
panjang kepenatan.

“Kan banyak ayam pak long kau tu,” kata ibu kehairanan.

“Katanya baru lepas jual ayam,” balasnya agak keras. Mukanya masam. Radang pun ada apabila
mengingatkan pak longnya yang tidak mahu menjualkan ayam dara yang diidamkannya itu.

“Takkanlah semua,” balas ibu sambil merenung muka anak yang tegang saja itu mahu
penjelasan lanjut.

“Tak semua. Ada banyak ayam jantan, tapi nak buat baka katanya. Ayam betina dara nak buat
ibu…..! Ah…. Kedekutnya melampau-lampau,” luah Farid, marah.

Ibunya menarik nafas panjang. Sejak balik bercuti dulu Farid selalu menyebut-nyebut hendak
makan ayam panggang masakannya, tetapi hingga hendak habis cuti universiti ayam panggang itu belum
juga dapat dirasa.

“Nama saja tinggal di kampung, tapi taka da yang membela ayam!” rungutnya tidak tentu fasal.

“Kampung’ ni baru lepas kena serang sakit ayam, Farid! Semua orang baru nak menghidup ayam
semula,” jawab ibunya. “Tak usah nak naik angin tak tentu fasal. Esok biar aku ke rumah tuk kau di hulu.
Di sana tak kena penyakit ayam.”

“Tak usah bimbang. Hari ni mak masakkan kau daging rebung yang paling sedap. Kata orang
kalau kena gayanya kalah daging ayam panggang,” tambah ibu seperti berjenaka.

“Daging rebung nak disamakan dengan daging ayam? Kan tak logik tu,” dengus Farid lalu masuk
ke dalam. Kemudian keluar semula mendapatkan ibunya di dapur itu.

“Apahalnya Cikgu Ali di depan tu?” tanyanya dengan suara radangnya juga.

“Cuba bercakap tu perlahan sedikit,” tegah si ibu.

“Apa halnya?” ulangnya. Nada itu juga. Meninggi. “Minta air menawar anaknya demam,” balas
ibu merendah.

Serta merta bibir Farid terjuih. Menyampah dia mendengarnya. Cikgu yang tolol! Detik hatinya.
Dulu kau yang selalu mengejek-ngejek aku : “Anak Pak Seman jual air sejuk!”, “Jangan percayakan

31

pawang karut”. Ha, sekarang apa dah jadi? Dia tersenyum sendiri mengingatkan kisah-kisah lama bekas
gurunya itu.

“Cikgu percayakan pawang?” soalnya sambil gelak-gelak kecil.

Mak Limah mengetapkan bibir memberi amaran. Farid selamba saja.

“Patut cikgu jadi contoh teladan pada orang-orang kampung yang kolot itu,” tambahnya lagi
masih gelak-gelak kecil.

“Aku anak tuk pawang tak percaya jampi dan mentera. Cikgu…. cikgu.” Dia terus mengejek.

“Jaga mulut tu sikit. Nanti dengar cikgu tu!” tegah Mak Limah dengan jeling yang memanjang.

Farid senyum-senyum saja.

Sejurus kemudian dia bangun pergi mendapatkan ayahnya yang sedang menghadap segeluk air.
Cikgu Ali tersandar tenang di penjuru bilik depan itu menantikan ayahnya menjampi.

Setelah bersalaman dengan cikgu itu dia duduk di situ. Kemudian tidak membuang masa lagi lalu
bertanya ramah, “Minta tangkal untuk siapa, cikgu?”

“Anak saya. Demam,” jawapnya pendek. Terbayang di ruang matanya anak kecil yang terlantar
sakit di rumah. Wajahnya segera muram dan keruh.

“Dah dibawa ke hospital?” tanya Farid lagi ingin tahu.

“Sudah juga,” jawabnya lemah sahaja.

“Baguslah ‘tu,” sambut Farid.

Perbualan yang baru bermula serta merta berhenti. Pak Seman sudah selesai menjampi. Entah
apa yang dibaca Farid tidak pernah ambil pusing. Tentunya sebaris dua pantun yang didendangkannya di
mulut geluk itu, fikir Farid.

“Sapu muka dan badannya dengan air ‘ni. Kalau dia nak minum bagikan,” pesan Pak Seman.

Cikgu Ali terangguk-angguk mendengarkan pesanan itu. Dengan hormat dia menyambut air itu
mudah-mudahan demam anaknya sembuh dengan air jampi itu. Mereka berslaman. Kemudian diikuti
dengan bunyi dering duit syiling masuk ke kocek baju teluk belanga Pak Seman.

Farid menjeling benci. Pak Seman senyum-senyum senang hati nampaknya.

Cikgu Ali baru saja meninggalkan halaman rumah. Adik-adiknya sedang bermain di tanah
menerpa naik ke rumah seperti sudah faham benar dengan tabiat orang meminta air tangkal daripada
ayahnya itu.

32

“Timah nak dua puluh sen, ayah. Nak beli buku dengan pensel,” kata si Timah yang baru sekolah
darjah dua.

“Nuar nak dua puluh sen, ayah. Nak beli kertas sampul buku,” kata si Anuar pula yang baru naik
tingkatan satu.

“Saya juga nak dua puluh sen, ayah. Nak bayar hutang duit surat khabar semalam,” sampuk si
Zainal yang tiba-tiba saja muncul di ruang depan itu.

“Abang tak mahu dua puluh sen?” ujar Zainal yang sedang bersekolah di tingkatan tiga itu
mengusik abangnya.

“Abang tak hairan dengan dua puluh sen,” sambar Farid dengan wajah sombongnya.

“Sekarang memang dia tak hairan. Dulu dia pun serupa dengan kau juga berebut-rebut dengan
abang long kau,” kata Pak Seman dengan ketawa kecilnya.

Adik-adiknya ketawa serentak. Riuh rendah ruang depan rumah itu seketika. Farid mahu tunjuk
marahnya tetapi tidak jadi. Dia tergelak sama geli hati mengingatkan peristiwa itu.

Adik-adiknya sudah lesap ke kedai. Farid mencuri-curi melihat muka ayahnya yang sedang
menggulung rokok daun itu. Inilah masanya, detik hati kecil Farid. Esok lusa dia sudah pulang ke ibu
kota. Sudah lama dia ingin berbual-bual panjang dengan ayahnya tentang tugas ayahnya sebagai
pawang di kampungnya itu.

“Ayah…..!” katanya tiba-tiba.

Ayahnya mengangkat muka merenung muka anak mudanya yang sedang duduk di hadapannya
itu.

“Saya nak cakap sikit dengan ayah,” sambungnya dengan nada suara yang tetap dan cermat.

“Apa dia ‘tu?” tanya Pak Seman. Tangannya terus juga menggulung rokok daun nipahnya.

“Saya ‘ni penuntut jurusan perubatan. Kononnya nanti akan jadi seorang doctor….” Dia terhenti
di situ.

“Yelah ‘tu,” sambut si ayah masih tertanya-tanya sendiri.

“Ayah fikirlah sendiri. Apa nanti kata orang. Saya nak jadi doktor, ayah jadi pawang. ‘Kankah itu
suatu pertentangan di antara dunia ayah dan dunia saya? Tambahnya. Kemudian menarik nafas panjang
seperti mencari kekuatan.

“Jadi kau malulah berayahkan seorang pawang? Sambar Pak Seman senyum-senyum kambing.

Farid terdiam seketika. Kalau ikutkan rasa hati memang dia mahu berterus terang mengatakan
“Ya, saya malu.” Tapi kalimat itu belum terlancar lagi. Masih boleh bertahan dikerongkongnya.

33

“Bukan fazal malu, ayah. Tapi sebenarnya begini. Zaman sekarang ialah zaman sains dan
teknologi, bukan zaman jampi dan mentera. Sudah ada hospital. Sudah banyak ubat yang sesuai untuk
semua penyakit. Bukan main hentam air sejuk saja. Demam, air sejuk, sakit kepala, air sejuk, sakit perut,
air sejuk. ‘Kan tak logic ‘tu,” kata Farid bersyarah panjang campur mengejek ayahnya.

Pak Seman senyum-senyum kambing juga.

“Salahkah kata saya ‘tu, ayah? Tanyanya meninggi. Dan radang sedikit hatinya melihat senyum
ayah seperti memerlinya itu.

“Betul…. Betul pendapat kau ‘tu. Aku tak menafikannya,” jawab si ayah dengan sungguh-
sungguh, tetapi masih senyum-senyum juga.

Sakit mata Farid melihat senyuman yang sejuring itu. Aku serius dia senyum-senyum! Orang tua
kolot, gerutunya dalam hati.

“Kalau betul, mengapa ayah teruskan juga kerja ayah ‘tu?” tanyanya semakin bertenaga.

“Aku tak mahu jadi pawang. Tapi orang-orang yang datang minta tolong. Jadi, aku tolonglah apa
yang aku terdaya. ‘Kan hidup di kampung mesti tolong menolong,” terang Pak Seman tetapi bunyinya
seperti berlucu pada telinga Farid. Semakin hangat hati anak muda ini dimain-mainkan begitu.

“Itu bukan menolong namanya. Tahukan ayah, cara dan sikap ayah ‘tu menyempitkan lagi
kepala orang-orang kampung untuk menerima perubahan pada zaman serba maju ‘ni. Kerajaan ‘dah
adakan klinik-klinik, ayah terus juga menjampi. Bagaimana ‘ni?”

“Aku tak suruh mereka datang jumpa aku, Farid.” Suaranya merendah agak terusik.

“Memang ayah tak menyuruh. Tapi bila mereka datang ayah jampikan juga air sejuk yang
dibawa.” Dia semakin berani menghina ayahnya.

“Aku hanya mahu menolong apa yang aku terdaya,” tegasnya dengan suara yang keras.

“Menolong ‘tu boleh, tapi caranya tak betul.”

“Jadi, apa yang betul? Sambar Pak Seman. Dia berhenti daripada menggulung rokoknya. Muka
anak yang sudah merah padam itu ditenungnya tepat-tepat.

Farid jadi serba salah dengan renungan yang tajam itu.

“Yang betulnya ayah mesti berhenti daripada jadi pawang. Lagipun salah di sisi agama, ayah.”
Katanya berani.

Mendengar itu, Pak Seman tidak tahan hati lagi.

“Apa salahnya? Aku menipu orang? Aku menduakan Tuhan?”

Farid terdiam. Mati fikirannya mendengar soal yang mendadak itu.

34

“Menapak baru setapak, mendaki baru sekaki, ‘dah nak tunjuk lagak,” sambung Pak Seman.

Sindiran itu jelas didengar. Sakit telinga Farid mendengarnya. Berderau darahnya naik muka.
Radang malu bercampur aduk.

“kalau tak tahu jangan menuduh sembarangan? Aku tak megah dengan kerja jampi air sejuk ‘tu.
Aku megah kalau kau lulus jadi doktor nanti, Aku kerja ‘ni pun sementara kau lulus jadi doktor,”
tambahnya dengan suara yang mula merendah seperti menyimpan suatu rahsia yang besar di lubuk hati.

Farid masih terkaku.Cakap-cakap ayahnya seperti mencabarnya. Ngeri dia. Perjuangannya masih
jauh. Dia baru saja selesai tahun pertama belajar perubatan di universiti itu. Ah, ini mencabar!

“Apa saja yang ditengkar orang dua beranak ‘ni? sapa Mak Limah tiba-tiba terjengul dari ruang
dalam. Sapaan itu tidak dijawab.

Pak Seman mula menggulung rokoknya. Farid muram saja menahan marahnya.

“Nasi ‘dah tersaji, marilah kita makan,” kerah Mak Limah.

Pertengkaran pendapat di antara Farid dan ayahnya terhenti di situ. Pak Seman masih gagah
untuk ditundukkan oleh siswa muda ini.

Perasaan tidak puas hati itu masih bernyala marak di dada Farid. Mahu dia meneruskan
pertengkarannya pada sesiapa saja untuk menegakkan pendapatnya. Entah mengapa hari itu hatinya
hangat saja.

Mengidam hendak makan ayam panggang tidak dapat kemudian bertengkar dengan ayahnya
dia kalah. Adik-adiknya yang seronok-seronok bermain-main pun dimarah-marahnya. Lagak gagahnya
itu semakin menjadi-jadi apabila ayahnya sudah ke kebun menebas pada petang itu.

Timah…..! Nuar….! Cukuplah bermain. Baca buku,” pekiknya dengan wajah yang masam
mencuka. Adik-adiknya jadi kecut melihat muka si abang yang marah-marah itu.

“Main saja yang lebih. Nanti tak pas, jadi pawang macam ayah…..” Dia mula menyindir-nyindir.

Ayahnya tidak ada beranilah dia berkata begitu. Ibunya menjeling-jeling tajam ke mukanya.
Farid terus juga tunjuk lagak.

“Malu saya! Anak tuk pawang nak jadi doktor. Kalau kawan-kawan saya tahu mampus saya
ditertawakan mereka.” Wajah yang masam kelat masih ditunjukkannya di muka ibunya.

“Allah….. apa nak dimalukan! Tuk pawang masih berguna lagi, bang,” sampuk Zainal yang
banyak cakap itu. Dia saja yang berani bersuara.

“Apa gunanya?” Melenting saja suara itu keluar.

“Buka panggung universiti abang pun tuk pawang ‘kan? Dia ketawa kecil seperti amat geli hati.

35

“Ah … itu lain,” bantahnya.

“Apa lainnya. Tuk pawang juga, macam ayah kita juga. Tapi dia pawang besar. Ayah pawang
kecil, tak terkenal. Kalau terkenal abang bangga juga ….,” sambung Zainal memerli abangnya. Diikuti
dengan ketawa nakalnya.

“Kerja bodoh,” cebik Farid benci.

“Abang jadi pandai pun daripada hasil kerja bodoh ayah,” sela Zainal dengan berani. Masih
ketawa-ketawa kecil, Sakit hati Farid melihat lagak adiknya. Dia semakin radang. Matanya merah
memancar menentang muka Zainal seperti mahu ditampar mulut celupar itu.

“Heh …. Kau suka ayah kau jadi pawang ya? Kau tak malu?” tanya Farid seperti mengugut.

“Apa nak dimalukan. Bukan ayah menipu orang.”

“Jual air sejuk ‘tu tak tipu namanya? Semakin keras suara Farid.

“Kan mereka bersedekah pada ayah. Wang halal …,” kata Zainal seperti membela ayahnya.

“Kau yang bersekolah pun serupa dengan ayah,” tuduhnya dengan suara mengejek.

Si adik gelak-gelak juga. Geli hati melihat abang yang bakal jadi doktor itu marah-marah.

“Apa abang susah-susah sangat fasal kerja ayah ‘tu. Nanti apabila abang ‘dah jadi doktor, ‘dah
lepas kontrak dengan kerajaan, kita dirikan klinik sendiri, sebelah klinik abang, dan sebelah lagi klinik
ayah. Orang yang tak sembuh dengan ubat abang boleh berubat dengan ayah. Yang tak sembuh dengan
jampi ayah boleh berubat dengan abang. ‘Kan adil ‘tu ….,” balas Zainal merancang.

“Jangan nak merepek,” bentak Farid yang sudah muak dengan gurau senda adik yang nakal itu.

“Dan saya jadi tukang wangnya.” Dia ketawa memanjang.

“Jangan nak loyar buruk. Baca buku ‘tu.” Farid sudah bangun dari tempat duduk lalu turun
tangga mencapai basikal tua ayah, dan pergi ke mana, mereka tidak tahu.

Esoknya kelihatan Farid mengemas buku-buku dan pakaiannya. Adik-adik tidak menegur apa-
apa. Baguslah abang balik! Kata mereka dalam hati. Memang itu yang didoanya selalu.

Dalam masa dia berkemas itu terfikir juga dia akan wang tambang untuk balik itu. Ada wang
sedikit sudah dibelikan hadiah untuk buah hatinya di ibu kota. Untuk menjaga hati kekasih terkopak pun
tidak apa rasanya. Bagaimana kalau ibu tidak berwang? Hendak meminta ayah malu benar rasanya.

“Mengapa lekas benar nak balik? ‘Kan cuti ada seminggu lagi?” kata ibu sedikit kesal. Bukan
kerana apa-apa, Cuma kesal anak ini belum menjamah ayam panggang yang selalu disebut-sebutnya itu.
Takut kempunan pula.

“Kata teringin nak makan ayam panggang,” kata ibu.

36

“Tak ada rezeki, apa nak buat,” sahut Farid seperti merajuk.

Ibu terusik dengan jawapan itu.

“Tunggulah dulu. Aku ‘dah bersiap-siap nak ke rumah tuk kau,” pujuk Mak Limah mencapai
selendangnya mahu turun tangga. Tetapi langkahnya mati tiba-tiba. Dia terpandangkan Pak Dali, ketua
kampung yang sudah di halaman rumahnya. Di tangannya menjijit sebuah bakul bertutup. Apa yang
dibawa? Tanya Mak Limah dalam hati.

“Ada Cik Seman di rumah? tanya ketua kampung itu.

“Ada … ada. Jemput …. Jemputlah naik Pak Dali…..,” Mak Limah mempersilakan ketua kampung
dengan hormat.

Mendengar itu Pak Seman segera keluar dari biliknya. Tangan Pak Dali disambut dengan kepala
yang tertunduk-tunduk.

“Ini …. pulut sikit,” kata Pak Dali setelah duduk.

“Apa pula susah-susah ‘ni,” sahut Pak Seman senyum-senyum kambing.

“Tumin dapat jadi askar,” sambung Pak Dali bangga.

“Baguslah ‘tu …,” sampuk Mak Limah tumpang gembira.

“Agaknya berkat air pengeras awak ,tulah,” Pak Dali ketawa riang.

Pak Seman senyum-senyum juga.

Pak Dali tidak berbual panjang nampaknya. Agaknya memang tujuannya hendak menghantar
pulut kuning itu saja. Setelah berbual sebentar dia pun pulang.

Apa lagi, pulut kuning yang sepinggan besar dengan ayam panggang tergolek di atasnya
diusunglah ke dapur dengan diekori oleh anak-anaknya.

“Apa lagi? Bantailah,” kata Zainal dengan ketawa nakalnya. Yang lain-lain sama tersenyum. Farid
menjeling benci – suatu pandangan yang menyakitkan matanya sejak balik bercuti itu.

“Hasil menjual air sejuk,” sindirnya. Adik-adiknya tidak ambil pusing kisah sindir-menyindir itu.
Mata mereka sudah tertumpu ke pulut kuning itu saja.

“Tunggu ayah kau, Timah, Nuar, Nal,” tegah si ibu.

“Aku tak mahu. Makanlah kau semua. Ha, Farid apa lagi? Makanlah. ‘Dah rezeki kau nampaknya
hari ‘ni,” kata Pak Seman ikhlas.

Adik-adik sudah mula menyuap tanpa mengira orang lain lagi. Apa hal aku? Kalau lambat alamat
tak merasalah, Farid merenung muka ibunya. Kemudian melihat pula adik-adik yang sangat berselera

37

memamah daging ayam panggang Pak Dali itu. Farid tidak sabra lagi. Hilang malu hilang segan. Anak
tekak sudah menguit-guit. Air liur sudah keluar. Dan tidak disedarinya tangannya sudah mencekut
daging itu bersama-sama tangan adik-adiknya yang lahap.

Pak Seman tersenyum saja melihat selera anak-anak. Badan tengah naik! Fikirnya. Farid tidak
berani menentang muka ayahnya. Malu rasanya bukan kepalang. Tentulah ayah mentertawakan aku,
bisiknya sedikit gelisah, tetapi masih menyuap juga.

Selesai makan Farid tidak berlengah-lengah lagi terus mencapai beg besarnya. Tidak ada apa-apa
lagi yang harus ditunggu. Semakin lama di kampung semakin sakit hatinya dirasa.

“Saya nak balik ayah, emak,” katanya tenang.
“Nak balik,” sahut Pak Seman mendatar saja. Tangannya menggulung daun rokok nipahnya.
Farid memandang muka Mak Limah. Ibunya sudah mengerti,
“Duit tambang Farid ‘tu bagi sikit,” kata Mak Limah tiba-tiba.
Pak Seman menyedut rokok daunnya dalam-dalam seperti tidak mendengar. Farid jadi gelisah
melihat sikap ayahnya itu.
“Budak ‘tu nak balik, bang. Duit tambangnya tak ada,” ulang Mak Limah meninggi sedikit.
Pak Seman tersedar. Dan lambat-lambat dia menyeluk kocek baju teluk belanganya.
“Nah! Ambillah dua puluh ringgit’ni,” Dia menghulur wang kertas berwarna merah itu kepada
Farid. Farid menyambut dengan hormat. Dan digenggam wang itu erat-erat. Lapang rasa dadanya.
“Jangan engkau tak tahu, itulah hasil aku menjual air sejuk!” sambung Pak Seman.

Berita Minggu, 11 April 1971

38


Click to View FlipBook Version