TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ
(PERDANA MENTERI PERTAMA)
TUNKU ABDUL RAHMAN
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul
Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua
Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama
sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada
pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau
juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".
KEHIDUPAN PERIBADI
Baginda dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih
dikenali sebagai Istana Pelamin. Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh
dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan
Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul
Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak
(Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara
biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti
Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur
30 tahun ketika itu. Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa
parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas
bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung.
Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur
sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.
PENDIDIKAN
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu
di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau
belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya
untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah
sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul
Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-
Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar
ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid,
abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School).
Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang
Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin.
Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet. Pada tahun
1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah
untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti
Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan
di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku
tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit
berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William
Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu
terpaksa meminta maaf.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-
undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati
dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam
jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas
pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat
Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai
Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk
menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon
Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya
berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik
sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan
Kedah. Sebagai seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan
pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka"
pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden
pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang
beliau memegang sehingga 1976.
KERJAYA POLITIK
Selepas kepulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk
bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau
kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau
menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang
Dipertua Mahkamah Seksyen. Pada tempoh itu,
semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di
tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain.
Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah
Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di
dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden
parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang
jawatan itu selama 20 tahun.
KEGIATAN ISLAM
Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960,
Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam(PERKIM), sebuah
pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada
penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga
setahun sebelum kematiannya. Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah
kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang
pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku
sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di
Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan
Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau
kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi
yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah
Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga
1988.
MENINGGAL DUNIA
Pada tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau
Pinang.Apabila sakit beliau dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur .Beliau
meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87. Jenazah
dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku dan esoknya disemadikan di Makam
Diraja Langgar, Alor Star.
TUN ABDUL RAZAK BIN HUSSEIN
(PERDANA MENTERI KEDUA)
KEHIDUPAN PERIBADI
Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, Allahyarham Tun Abdul
Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan
Hajah Teh Fatimah binti Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah
lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang. Abang ipar Tun Abdul
Razak, Tun Hussein Onn ialah penggantinya sebagai Perdana Menteri ketiga.
Anak sulungnya, Dato' Seri Mohd Najib bin Abdul Razak, menjadi perdana
menteri keenam menggantikan Tun Abdullah bin Mohammad Badawi pada
tahun 2009. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak,
Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.
PENDIDIKAN
Sejak di sekolah rendah lagi, Tun Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran
dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian
dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tun Abdul
Razak betugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada
tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles,
Singapura pada tahun 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa
ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia ke-2.
Selepas peperangan, Tun Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947
untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut di England, beliau
betemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan
yang ke-3 untuk memperoleh ijizah undang-undangnya. Pada tahun 1950,
Tun Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London.
KERJAYA POLITIK
Selepas kepulangannya, Tun Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam
Malaya dan bergiat dalam bidang politik. Di sebabkan keupayaan politiknya,
beliau dilantik menjadi ketua pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu. Dua tahun kemudian,pada Febuari 1955, beliau menjadi Pemangku
Ketua Menteri Pahang sewaktu berumur 33 tahun.
Selepas memenangani pilihan raya umun yang pertama di Malaya pada Julai
1955, Tun Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Tun Abdul Razak
juga menyertai misi Febuari 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ke
London untuk menuntut kemerdekaan Malaya daripada pihak British.
Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, puaknya di dalam UMNO menggulingkan
Tunku Abdul Rahman serta mengisytiharkan Keadaan Darurat dan beliau
memerintah melalui dekri sehingga 1970. Pada 22 September 1970, Tun
Abdul Razak menggantikan tempat Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana
Menteri Malaysia yang kedua.
Tun Abdul Razak terkenal dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB)
pada tahun 1971. DEB menetapkan dua sasaran yang asas iaitu
mengurangkan jurang kemiskinan dan menghapuskan pengenal pastian
fungsi ekonomi mengikut kaum.
Tun Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973
sebagai gantian untuk Parti Perikatan. Beliau menambahkan ahli-ahli parti
untuk mengasaskan apa yang dikatakannya "Ketahanan Nasional" melalui
kestabilan politik.
Disebabkan oleh penyakit leukimia, Abdul Razak meninggal pada tahun 1976
sewaktu mendapat rawatan perubatan di London, dan disemadikan di Makam
Pahlawan, berdekatan dengan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Beliau dan
"generasi baru" ahli-ahli politik Melayu memperlihatkan keperluan untuk
menggendalikan ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah
membangkitkan antagonisme perkauman. Selepas kematiannya, beliau
dianugerahkan dengan gelaran ‘Bapa Pembangunan’.
TUN HUSSEIN BIN DATO’ ONN
( PERDANA MENTERI KETIGA )
Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990)
merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari
tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat
ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai
reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba
membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab
usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia,
Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".
KEHIDUPAN AWAL
Beliau dilahirkan di Johor Bahru . Anak kepada Dato' Onn Jaafar yang
menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada
tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein. Hussein Onn menerima
pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura. Hussein Onn
menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun
kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurstdi Dehradun, India.
Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera
India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan.
Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di
"Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi. Beliau pulang ke
Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia)
pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau
kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat
kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera
semasa penjajahan British.
Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan
semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union.
Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya
menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO
ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan
kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada
usia 28 tahun
Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul
Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO. Pada tahun 1950,
beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping
menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja
Negeri Johor. Penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila
cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu
tidak dapat diterima oleh orang Melayu.
Apabila bapanya menarik diri dari UMNO, beliau kemudianyannya menyertai
bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan
Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. IMP tidak
menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila
menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang
di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.
Beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu,
beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri
Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Beliau kembali
menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang
ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun
1964.
Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini
Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri
daripada arena politik. UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan
bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset
kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.
KEBANGKITAN UNTUK BERKUASA
Beliau kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas
dipujuk oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu.
Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969
dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau
mewarisi Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973
sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, beliau dilantik
untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun
Abdul Razak.
PERANAN DAN SUMBANGAN
Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970
apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah
pentadbiran beliau, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Beliau maju
setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972. Di dalam
mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi
Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian daripada Tun Dr. Ismail.
Beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973
sekaligus merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pemergian
Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan
rakyat di seluruh negara ini. Beliau telah disahkan sebagai pemangku
Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Beliau mengangkat
sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara.
Pada tahun 1978, beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden
UMNO. Beliau telah meneruskan agenda pembangunan yang telah
digariskan oleh Tun Abdul Razak khususnya dalam menggerakkan Dasar
Ekonomi Baru. Selain itu, beliau juga arif tentang hal ehwal keselamatan
Beliau juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan
perjuangan terhadap ancaman dadah. Angkatan bersenjata Malaysia telah
diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu, rantau di Asia
Tenggara telah menjadi gempar ekoran jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan
ke tangan komunis dan terbinalah cita-cita "Teori Domino" komunis. Usaha
membenteras pengganas komunis di hutan dan bandar telah diperhebatkan
malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi
gerakan-gerakan pengitipan yang dikatakan berjaya. Ketika ekonomi negara
terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal
keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial.
Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal
1981. Beliau juga telah berjaya melancarkan Rancangan Malaysia
Keempat pada bulan April 1981. Beliau juga telah mengikuti jejak langkah
bapanya yang sentiasa mencuba untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat
Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain
terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau
melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan
satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti
bumiputera dalam ekonomi negara.
Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan
ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar ialah menegakkan tiang
keamanan yang kukuh. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan
jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan.
Jawatan beliau telah diambil alih oleh timbalannya, Dato' Seri Dr. Mahathir bin
Mohamad (kini bergelar "Tun") pada 18 Julai 1981.
Beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau masih aktif
dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS
semasa hayatnya. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein
Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang
tertinggi di Malaysia. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa,
29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San
Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan
pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMED
( PERDANA MENTERI KEEMPAT DAN KETUJUH )
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang
Perak, Alor Setar, Kedah tanggal 10 Julai 1925. Merupakan anak bongsu
daripada 9 adik-beradik dari pasangan Mohamed Iskandar dan Wan
Tempawan Wan Hanapi. Tarikh lahir beliau yang didaftarkan pada 20
Disember 1925 (ke semua adik-beradik beliau didaftarkan lahir pada bulan
Disember) oleh bapanya adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran
persekolahan
Usaha beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa
adalah ketika membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia
1997 dimana beliau telah menolak cadangan dan juga dana bantuan
dari IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis. Langkah-langkah
radikal yang diambil dikiritik hebat ketika itu oleh banyak pihak termasuk IMF
sendiri.
Usaha tersebut turut dikecam walaupun lama selepas kemelut
berakhir dimana beliau menyatakan kecaman dan pujian adalah norma ahli
politik dan terserah kepada penilaian mana-mana pihak. Beliau merupakan
seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isu-isu antarabangsa
sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Beliau menyokong "Sistem
Ekonomi Pasaran" terkawal sebagai alternatif kepada "Sistem Ekonomi
Persendirian" dan secara amnya menolak "Pasaran Bebas". Gaya
pemerintahan Dr. Mahathir juga sering kali dikritik dengan dilabelkan
sebagai autokratik oleh pelbagai pihak termasuk badan dan media
antarabangsa.
Antara projek-projek berprofil tinggi (juga digelar 'projek mega') yang
dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau
Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia(MSC), Pusat
Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang. Selepas bersara
pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri
Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Beliau turut dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" kerana berjaya
membangunkan Malaysia menjadi sebuah Negara industri baru yang disegani
di kalangan negara-negara membangun. Tempoh 22 tahun sebagai Perdana
Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang
memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden
Suharto dari Indonesia.
PENDIDIKAN
Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak,
Alor Setar, Kedah. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government
English School (GES) (kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid).
Setelah tamat Perang Dunia Ke-2, beliau menyambung pelajarannya di
sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia.
Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti
Malaya, Singapura. Beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan
dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Beliau ditugaskan sebagai
doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.
KEJAYA POLITIK
Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau
mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union.
Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang
pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri
Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya
menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan
dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Pada Pilihan Raya Ketiga
dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar
selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia.
Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan
Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa. Peristiwa
13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi
UMNO pada 12 Julai. Beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku.
Pada 26 September 1969, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam
UMNO.
Tun Dr Mahathir mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma).
Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang
Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya
ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun
kemudiannya. Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7
Mac 1972. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974,
yang mana beliau menang tanpa bertanding.
Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul
Razak. Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut
dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai
timbalannya. Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk
Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir
sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981, Dr Mahathir menjadi Perdana
Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri
Pertahanan.
Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan
timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya. Kemudian
pada 10 Mei 2018, Tun Dr. Mahathir sekali lagi dilantik sebagai Perdana
Menteri Malaysia ke tujuh pada usia 93 tahun. Walaubagaimanapun,
pentadbiran beliau hanya sempat bertahan selama 22 bulan sahaja apabila
beliau meletakkan jawatan pada 1 Mac 2020. Beliau juga pernah dilantik
sebagai Perdana Menteri Interim dari 24 Februari 2020 sehingga 1 Mac 2020.
TUN ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
( PERDANA MENTERI KELIMA )
LATAR BELAKANG
Nama penuh beliau ialah Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi. Beliau
dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau
Pinang. Selepas tempoh pantang ibunya berakhir, Abdullah dibawa tinggal
bersama bapa dan datuknya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Pada waktu
itu, datuk beliau, Sheikh Abdullah Fahim adalah mudir di Sekolah Idrisiyah,
manakala bapanya, Datuk Ahmad Badawi turut mengajar di sekolah
berkenaan. Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Datuk Seri Abdullah dan
keluarga pulang ke Kepala Batas di mana beliau menghabiskan zaman
kanak-kanak dan remajanya.
Datuk Seri Abdullah dibesarkan dalam suasana kampung walaupun berada
dalam keluarga ulama terkenal. Hal ini kerana negara masih dijajah, rakyat
hidup serba kekurangan dalam keadaan penuh kemiskinan. Kepala Batas
ibarat jelapang padi kepada Pulau Pinang kerana rumah beliau dikelilingi
dengan sawah padi dan kerana itu beliau dibesarkan dalam suasana
kampung.
Menurut sepupunya, Datuk Subki Raof, seperti kanak-kanak lain di Kepala
Batas, pada sebelah paginya datuk Seri Abdullah ke sekolah kebangsaan,
manakala sebelah petangnya ke sekolah agama yang dikelolakan oleh
bapanya. Datuk Seri Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam
pembacaan Al-Quran. Minat seperti ini telah diteruskan oleh beliau
sehinggalah beliau dewasa. Beliau juga mempunyai minat dalam menangkap
ikan laga di bendang bersama rakan-rakannya yang lain iaitu Allahyarham
Abdul Fatah Abdullah dan Cikgu Bakar. Selain daripada itu, beliau juga
mempunyai minat dalam bermain kotak rokok, layang-layang dan berbasikal
di atas bendang.
Datuk Seri Abdullah mempunyai kemahiran dalam pertanian. Beliau bersama
Allahyarham Abdul Fatah amat berminat untuk menjual buah manggis pada
masa lapang. Beliau juga diajar untuk menyemai, menanam dan menuai padi
serta membajak sawah. Beliau juga pernah mandi air telaga. Pada musim
kemarau, beliau bersama rakannya Subki mengangkut air dari sungai
menggunakan upih pinang untuk kegunaan di rumah.
Selepas mengambil peperiksaan Special Malay Class (SMC), di Sekolah
Melayu Permatang Bertam dan lulus bersama empat pelajar lain, Datuk Seri
Abdullah telah melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi bukit Mertajam hingga
tingkatan lima. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian di Methodist Boys
School, Pulau Pinang. Di sekolah, guru-gurunya selalu mengingatinya
bahawa dia seorang pelajar yang dedikasi, rajin dan popular. Beliau pernah
menjadi ketua pengakap sekolahnya Bukit Mertajam. Ketika berada di
tingkatan lima, beliau menjadi editor majalah sekolah. Guru-gurunya turut
mengakui beliau mempunyai kemahiran dalam mengarang dengan baik
dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Jelas sekali bahawa sejak kecil lagi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah
dipersiapkan dengan latar belakang pendidikan yang seimbang antara
keperluan dunia dengan akhirat. Walaupun datuk dan bapanya ulama, tetapi
mereka tidak membataskan pendedahan Abdullah kepada ilmu agama
semata-mata. Sebaliknya beliau dihantar ke sekolah kebangsaan dan sekolah
Inggeris, tetapi pada waktu yang sama, didikan agama tidak diabaikan. Malah
sewaktu bersekolah menengah pada sebelah pagi, beliau juga dihantar ke
sekolah agama pada waktu petang. Apa yang istimewanya ialah Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi diasuh dan dididik sendiri oleh datuknya, Sheikh
Abdullah Fahim dan bapanya dalam ilmu-ilmu agama. Hasilnya, beliau
mempunyai keperibadian yang mulia dan terserlah.
Selepas menerima pendidikan menengah, beliau kemudiannya meneruskan
pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera
dalam bidang pengajian Islam pada tahun 1964.
Beliau pada masa kini adalah seorang kakitangan awam dan juga seorang
pemimpin tertinggi negara dan pemimipin UMNO iaitu parti yang terbesar dan
menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi terbanyak dan
pemimipin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar. Dato' Seri
Abdullah berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan
mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Kamaluddin dan Nori.
Dato' Seri Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak
aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas
pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut
hingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981.
Dato' Seri Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984
hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun
1996. Pada perhimpunan Agung UMNO 2000, Dato' Sei Abdullah dilantik
sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000-2003. Beliau dilantik sebagai
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.
Dato' Seri Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam
beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di
Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan
(1986-87).
Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik menjadi Menteri Luar sehingga Februari
1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam
Negeri pada Februari 1999. Pada 31 Oktober 2003 beliau telah dilantik
sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seterusnya, pada 3 April 2009, beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri
kepada Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.
SUMBANGAN
Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan
kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi
pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan
rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas
beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji
oleh orang ramai.
Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang
mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok
dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan
sektor pertanian Malaysia. Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai
Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap
oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan
berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.Abdullah
juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas
menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam
pasukan polis.
Selain itu, beliau juga dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia
sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), namun, kerajaan
Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk
dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar;
walaubagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan
secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama
panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi
untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi
untuk ASEAN.
DATO’ SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
( PERDANA MENTERI KEENAM )
Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak (lahir 23 Julai 1953)
adalah Perdana Menteri Malaysia keenam sejak 3 April 2009 sehingga 10 Mei
2020 . Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan
dan merupakan Ahli Parlimen Pekan, Pahang. Beliau adalah anak lelaki
sulung kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul
Razak Dato' Hussein.
LATAR BELAKANG
Dato' Seri Najib dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan anak
sulung kepada Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohammad
Noah. Selain itu, beliau berdarah bangsawan Makassar iaitu susur galur
daripada keturunan Sultan Hassanudin, Sultan Makasar terakhir di Gowa,
Sulawesi Selatan.
Pada tahun 1976, Najib berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku
Eskandar dan mendapat tiga anak: Mohd Nizar Najib (lahir 1978), Mohd
Nazifuddin Najib dan Puteri Norlisa Najib. Pada tahun 1987 beliau bercerai
dengan Ku Yie dan berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan
mendapat dua anak lagi: Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib.
Beliau juga sepupu kepada Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein.
PENDIDIKAN
Dato’ Seri Najib mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St.
John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di
Worchestershire, England. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan
Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham,
England pada tahun 1974.
KERJAYA POLITIK
Beliau mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut
bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976. Beliau
menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong,
dengan kematian bapanya. Beliau menjadi ahli parlimen termuda yang
pernah dipilih dengan usia 23 tahun ketika itu.
Beliau menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai
Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika usia 25
tahun. Kemudian, pada tahun 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri
Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri
Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.
Antara jawatan yang pernah disandang dalam kabinet ialah:
1978-1980 - Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos
1980-1981 - Timbalan Menteri Pendidikan
1981-1982 - Timbalan Menteri Kewangan
1982-1986 - Menteri Besar Pahang
1986-1987 - Kementerian Belia dan Sukan|Menteri Kebudayaan,
Belia & Sukan
1990-1995 - Menteri Pertahanan
1999-2008 - Menteri Pertahanan
1995-1999 - Menteri Pendidikan
Dato’ Seri Najib juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan
Penternakan (Majuternak) pada tahun 1977-1979. Kepimpinan beliau teruji
dan terus diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan negara. Dalam UMNO,
beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan ahli EXCO
Pemuda UMNO pada 1976. Kemudian beliau dipilih sebagai ahli Majlis
Tertinggi UMNO mulai tahun 1981.
Pada tahun 1982, Dato’ Seri Najib memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda
UMNO tanpa bertanding setelah Datuk Mokhtar Hashim mengosongkan
jawatan itu. Pada 1987, beliau diumumkan sebagai Pemangku Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO oleh Anwar Ibrahim setelah Anwar didesak
bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi ketua pada 25 Mei 1988
setelah UMNO ditubuhkan semula. Pada tahun 1993 pula, beliau bertanding
jawatan Naib Presiden UMNO, ekoran langkah Anwar untuk bertanding
jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau terus mempertahankan jawatan
Naib Presiden dalam pemilihan parti pada tahun 1993, 1996 dan 2000.
Pada 7 Januari 2004, Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri
Malaysia. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Datuk Seri Najib
bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional . Beliau telah bertanding di
kawasan parlimen Pekan, negeri Pahang. Datuk Seri Najib telah menang
dengan mendapat undi sebanyak 36262 menewaskan calon lawan Khairul
Anuar bin Ahmad Zainudin dari PKR yang beroleh 9,798 undi.
SUMBANGAN
Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak sedang
menggerakkan proses menjalankan Transformasi Kerajaan dalam usaha
untuk meningkatkan perkhidmatan awam, meningkatkan kecekapan
pengurusan dan menjadikan kerajaan lebih transparen. Langkah-langkah
yang dilaksanakan juga termasuk menggunakan Key Performance Indicator
@ KPI untuk mengukur kebolehupayaan pegawai dan agensi dan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menjelaskan target kepada
kawasan atau bidang spesifik untuk kepentingan rakyat.
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan
kadar ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan. Langkah ini termasuk
penggunaan KPI untuk memastikan menteri yang terlibat bertanggungjawab
atas segala perbuatan mereka, dengan menggunakan media seperti twitter
dan facebook untuk berkomunikasi dengan penduduk tentang apa yang
sedang berlaku di dalam kerajaan, membuka tender kerajaan supaya rakyat
boleh terlibat dan mengkritik, dan memberikan pandangan tentang
perbelanjaan kerajaan.
Selain itu antara sumbangan Dato’ Seri Mohd Najib adalah seperti berikut :
A) Hal ehwal domestik :
i) Dasar Pendidikan Tahfiz Negara
ii) Program 1AZAM
iii) Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang
iv) Program Motosikal Tiga Roda, Mobilepreneur, dan MyAGROSIS
v) Program Transformasi Kerajaan
vi) Pusat JobsMalaysia
vii) Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015
B) Gagasan 1Malaysia :
i) Bantuan Rakyat 1Malaysia
ii) Baucar Buku 1Malaysia
iii) Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia
iv) Kedai Rakyat 1Malaysia
v) Perumahan Rakyat 1Malaysia
vi) Skim Latihan 1Malaysia
C) Dasar ekonomi :
i) Model Ekonomi Baru
ii) Pembentukan semula subsidi kerajaan
iii) Liberalisasi ekonomi
iv) Pakej rangsangan
D) Dasar asing dan lawatan negara :
i) Palestin vii) Indonesia
ii) Amerika Syarikat viii) New Zealand
iii) India xi) Filipina dan Orang Moro
iv) Singapura
v) Korea Selatan Mindanao
vi) China
TAN SRI MUHYIDDIN BIN YASSIN
( PERDANA MENTERI KELAPAN )
Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin telah secara
rasmi mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agong pada 1 Mac
2020. Nama beliau diumum sebagai Perdana Menteri atas perkenan YDPA
setelah memperoleh majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat.
KEHIDUPAN AWAL
Beliau berasal dari Muar, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah
Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail serta Sekolah Tinggi
Muar di Muar. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti
Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan
Pengajian Melayu (1971).
KELUARGA
Tan Sri Dato’ Muhyiddin telah mendirikan rumah tangga pada 1972. Hasil
daripada perkongsian hidup beliau bersama Puan Sri Hajjah Norainee Abd.
Rahman, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Fakhri Yassin, Nabilah,
Najwa (Najwa Mahiaddin) dan Farhan Yassin. Ayah beliau yang bernama
Muhammad Yassin bin Muhammad adalah seorang ulamak terkenal di
Bandar Maharani (Muar), Johor. Hasil perkongsian hidup ayahanda beliau
dengan 4 orang isterinya dikurniakan 46 orang anak. Isteri pertama ayah
beliau ialah Allahyarhamah Hajjah Maznah binti Daud, isteri kedua
Allahyarhamah Hajjah Khadijah binti Kassim (ibu kandung Muhyiddin),
Allahyarhamah Hajjah Sapiah binti Abdullah dan Allahyarhamah Hajjah Kintan
binti Ibrahim.
Allahyarham Hj. Muhammad Yassin dikatakan asalnya dari Siak mengikut
apa yang diceritakan oleh isteri beliau, Allahyarhamah Hajjah Kintan.
Allahyarham Muhammad Yassin pula mempunyai adik beradik iaitu bernama
Muhammad Nor bin Muhammad dan Sulaiman bin Muhammad. Oleh itu bapa
saudara Muhyiddin di sebelah bapa adalah Md. Nor bin Muhammad dan
Sulaiman bin Muhammad. Keluarga Allahyarham Muhammad Yassin yang
ramai bilangan ini tinggal se kampung di batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar, Johor
di rumah-rumah ibu yang berasingan. Kampung ini masih terdapat sehingga
ke hari ini.
Pada masa hayat, Allahyarham Muhammad Yassin telah banyak mengajar di
daerah Muar seperti di Mesjid Jamek Sultan Ibrahim Muar, Mesjid Parit Jamil,
Mesjid Seri Menanti, Mesjid Bukit Gambir, Masjid Bukit Kangkar dan Masjid
Sungei Mati Muar. Malah yang paling jauh tempat beliau mengajar ialah di
Chohong Melaka iaitu di antara sempadan Melaka dan Muar.
Suara Allahyarham dengan lantang dan bergema semasa menyampaikan
pengajaran ilmu Tasauf dan Ilmu Tauhid. Allahyarham Muhammad Yassin
telah dibawa menaiki kereta untuk mengajar oleh anak beliau sendiri iaitu
Allahyarham Haron bin Mohd. Yassin iaitu antara anak tua dari isteri yang
pertama.
Antara anak-anaknya yang mengikuti jejaknya ialah seperti Allahyarham
Ahmad bin Mohd. Yassin yang mengajar di Sekolah Agama Bandar Maharani
dan Sekolah Agama Dumpar manakala Abdul Ghaffar Mohd. Yassin yang
pada suatu masa hayatnya pernah mengajar di Masjid Jamik Sultan Ibrahim
Muar dan Masjid Jamik Parit Kadzi Muar.
Allahyarham juga telah mengasaskan Sekolah Menengah Md. Yassin
(Persendirian) di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar. Anak-anak Allahyarham
seperti Allahyarham Ismail Mohd. Yassin pernah menjadi Guru Besar
manakala Allahyarham Kamaruddin Mohd. Yassin, Fatimah Mohd. Yassin
dan Baharuddin Mohd. Yassin pernah mengajar di sekolah tersebut dalam
tahun 70an dahulu.
Bukan setakat itu sahaja, Allahyarham telah mengasaskan sekolah Arab
Saadiah di Batu 1 1/2 Jalan Bakri yang mengambil pelajar-pelajar lelaki dan
perempuan untuk mengikuti pelajaran dalam bahasa Arab. Sekolah Arab
Saadiah pada masa ini diuruskan oleh Hj. Abdul Rahman bin Mohd.
Yassin,anak dari isteri pertama dan guru-gurunya terdiri daripada cucu
Allahyarham Muhammad Yassin. Di surau inilah setiap tahun Tan Sri
Muhyiddin bertemu dengan keluarga samada di Majlis tahlil allahyarham Hj.
Muhammad Yassin dan majlis berbuka puasa Ramadhan bersama keluarga.
Antara murid tua Allahyarham yang terkenal ialah Allahyarham Tuan Guru Hj.
Azman bin Azhari yang telah mengasaskan Haujakan Johor dan pengikut
bertaburan di serata negeri Johor.
Anak Allahyarham, Baharuddin bin Mohd. Yassin yang kini bertugas sebagai
Pegawai Kastam Tinggi di KDRM Johor Bahru pernah semasa usia kecil
mengikut sama beliau pergi mengajar di masjid Jamik Sri Menanti, Masjid
Parit Jamil, Masjid Parit Samsu, Masjid Sungai Balang, Masjid Sungei Mati
dan Masjid Bukit Kangkar Muar.
Adik beradik Tan Sri Muhyiddin dari pihak seibu yang masih hidup ialah Aziz
Mohd. Yassin (abang),Rohana Mohd Yassin (kakak) Sahid Mohd. Yassin
(adik lelaki) dan Fatimah Mohd. Yassin (adik perempuan). Kakak Muhyiddin
yang bernama Norani Mohd. Yassin dan abang beliau Ismail Mohd. Yassin
telah pun kembali ke rahmatulah.
Tan Sri Muhyiddin seperti biasa pada tiap-tiap tahun selalu mengadakan hari
perjumpaan keluarga pada hari kedua atau hari raya ketiga di kediamannya di
Tanjung Emas Muar. Di sini keluarga yang ramai dari pihak adik beradik seibu
sebapa, sebapa, cucu, cicit dan piut bertemu untuk berkenal-kenalan dan
menjalinkan silatur rahim. Sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin mengadakan rumah terbuka di Bangunan Umno Pagoh.
KERJAYA
Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri
Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974).
Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau
untuk berkecimpung dalam dunia korporat. Antara tahun 1974 hingga tahun
1978, Tan Sri Dato’ telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates
Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana
Berhad serta Pengarah Syarikat Equity Mal Sdn Bhd.
POLITIK
Beliau pernah mengetuai UMNO Bahagian Pagoh iaitu jawatan yang beliau
pegang sejak April 1985 lagi. Sebelum itu beliau telah dipilih menjadi Ketua
Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada tahun 1976. Dari situ karier politiknya
terus berkembang apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO
Malaysia (1982). Pada tahun 1985, buat pertama kalinya, Y.B. Tan Sri Dato’
Muhyiddin dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Jawatan ini digunakan
sepenuhnya untuk menabur bakti dan kemudiannya menjadi tokoh yang
dipilih menduduki kerusi Naib Presiden bermula September 1993 sehingga
2008. Beliau kemudiannya diundi menjadi Timbalan Presiden UMNO dengan
mengalahkan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Setelah dipecat daripada UMNO, beliau telah menubuhkan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) bersama Tun Dr Mahathir, Syed Saddiq dan
Mukhriz Mahathir. Penubuhan PPBM kemudianya bergabung bersama
Pakatan Harapan iaitu bersama komponen PKR, AMANAH, dan DAP.
Pada PRU14, PH telah memenangi pilihanraya dan telah membentuk
kerajaan baharu. Tun Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri ke-7.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Kementerian Dalan Negeri. Ketika
mula memegang jawatan tersebut, beliau mengalami masalah kesihatan
serius sehingga mengalami pembedahan pankreas. Selepas pulih
pembedahan di Singapura, beliau kembali bertugas namun tidak dalam
keadaan terhad. Semasa era pentadbiran PH, banyak isu yang timbul.
Antaranya isu LTTE, isu kematian Adib, isu Zakir Naik, video seks Azmin Ali
dan banyak lagi yang mana ia merupakan dalam bidang kuasa Muhyiddin
Yassin selaku KDN namun tidak pernah selesai.
Setelah 22 bulan PH memerintah, krisis politik mulai berlaku. Pada 23 Febuari,
desas desus perpecahan dalam PH mulai rancak kedengaran. Akhirnya, Tan
Sri Muhyiddin selaku Presiden PPBM mengumumkan partinya keluar
daripada Pakatan Harapan bersama kumpulan penyokong Azmin Ali dari
PKR. Senario tersebut menyebabkan PH hilang majoriti dewan rakyat
sekaligus mengubah lanskap politik negara. Akhirnya pada 29 Feb, YDPA
telah mengumumkan Tan Sri Muhyiddin sebagai PM ke 8.
DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
(PERDANA MENTERI KESEMBILAN)
Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob (lahir 18 Januari 1960) ialah seorang ahli
politik Malaysia yang menjadi ahli Parlimen Bera dari UMNO, Barisan
Nasional dan kini menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan bermula
pada 10 Mac 2020. Pada 7 Julai 2021, Muhyiddin Yassin telah melantik
beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang baharu. Beliau juga
seorang bekas Menteri Kabinet dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah. Pada peringkat parti, beliau ialah Naib Presiden UMNO.
KELUARGA
Beliau berkahwin dengan Datin Sri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan
dikurniakan empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. Anak beliau,
Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia
Musim 5 iaitu sebuah rancangan realiti berbentuk hiburan yang kini menjadi
seorang penyanyi. Anak sulungnya, Datin Nina Sabrina berkahwin dengan
pereka fesyen, Dato' Jovian Mandagie.
PENDIDIKAN
Ismail Sabri memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bangau
pada tahun 1967. Kemudian, beliau meneruskan pendidikannya di Sekolah
Menengah Air Putih Kuantan pada 1973 dan Sekolah Menengah Teknik
Kuantan, Pahang pada 1976. Beliau kemudiannya belajar tingkatan enam di
Jaya Akademik seterusnya menyambung pelajaran di Fakulti Undang-
undang Universiti Malaya pada tahun 1980.
KERJAYA AWAL
Beliau telah memulakan kerjayanya mulai pada tahun 1985 sebagai
seorang peguam. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh
pada 1987 dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada 1996. Pada tahun
1995, beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik. Selain itu beliau juga
pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara
(DARA) pada tahun 1995 juga Lembaga Penggalakan
Pelancongan Malaysia pada tahun yang sama.
KERJAYA POLITIK
Pada tahun 1987, beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian
Temerloh. Kemudian, pada tahun 1988, beliau dilantik sebagai Ketua
Penerangan UMNO Bahagian Temerloh. Pada tahun 1993, beliau dipiih pula
sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian
(2001) dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 2004.
Dalam pilihan raya umum 2008, Ismail Sabri Bin Yaakob bertanding
menggunakan tiket Barisan Nasional. Beliau telah bertanding di
kawasan parlimen Bera, negeri Pahang. Ismail Sabri Bin Yaakob telah
menang dengan mendapat undi sebanyak 18051. Calon lawan ialah Mazlan
Aliman dari PAS mendapat 14,230 undi - Kalah. Peratus pengundi yang
keluar ialah 76%. Undi rosak sebanyak 783.
Ismail Sabri berada dalam Kabinet sejak tahun 2008 sebagai Menteri Belia
dan Sukan. Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani pada 2013 dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2015.
Pada 20 Disember 2018, beliau dilantik untuk menjalankan tugas sebagai
Timbalan Presiden UMNO yang baru selepas penyandangnya, Ahmad Zahid
Hamidi dilantik sebagai Presiden de facto UMNO mulai 18 Disember
2018.[6] Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-
13 pada 7 Julai 2021. Beliau juga mengekalkan portfolio Menteri Pertahanan
sejak dilantik pada 9 Mac 2020.
SUMBANGAN
A) Jihad Memerangi Orang Tengah
Ismail Sabri mengisytiharkan 2014 sebagai tahun 'Jihad Memerangi Orang
Tengah’ iaitu setahun selepas beliau dilantik menjawat jawatan Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani. Jihad Memerangi Orang Tengah
dilaksanakan oleh beliau terhadap penguasaan orang tengah yang selama ini
mengaut keuntungan daripada hasil titik peluh nelayan, petani dan penternak.
Sebanyak 200 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PHP) telah diwujudkan
oleh Ismail Sabri di seluruh negara bagi membantu usaha Jihad Memerangi
Orang Tengah. Melalui PHP, seramai 40,000 petani, penternak dan nelayan
terlibat dalam urusan pembekalan hasil pertanian di setiap pusat
pengumpulan yang diwujudkan dan dapat menghasilkan 62,400 tan metrik
hasil pertanian dengan nilai jualan sehingga RM250 juta.
B) MARA Digital
Inisiatif MARA Digital diilhamkan Ismail Sabri sewaktu menerajui Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). MARA Digital digerakkan oleh
Ismail Sabri secara besar-besaran sebagai usaha memastikan usahawan
Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan bidang teknologi maklumat
dan telekomunikasi (ICT) yang mempunyai pasaran meluas di seluruh negara.
MARA Digital Mall yang pertama telah dibuka di Menara MARA, Jalan Tuanku
Abdul Rahman pada 8 Disember 2015.
C) Membandarkan Luar Bandar
"Membandarkan Luar Bandar" ialah suatu agenda transformasi yang
dilancarkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)
berpaksikan kepada keperluan dan kehendak rakyat di samping memastikan
proses pembangunan luar bandar berada di landasan yang betul.
Pelaksanaan yang dirangka untuk tempoh lima tahun itu memberi
penumpuan kepada enam fokus utama iaitu prasarana, pembangunan belia,
ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian. Penyediaan
infrastruktur asas luar bandar juga akan diperhebat terutamanya di kawasan
yang masih kurang liputan terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan
pedalaman di semenanjung Malaysia termasuk kawasan Orang Asli untuk
menggalakan generasi muda supaya terus tinggal dan membina masa
hadapan di luar bandar.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Tunku_Abdul_Rahman
https://www.scribd.com/doc/123481168/Biodata-Tokoh-tunku-Abdul-
Rahman
https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Razak_Hussein
https://umno.org.my/en/presiden/tun-abdul-razak/
https://ms.wikipedia.org/wiki/Hussein_Onn
https://www.jiwarosak.com/2010/09/biodata-perdana-menteri-
malaysia-yab.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Mahathir_bin_Mohamad
https://www.klinikmotivasi.com/blog/biodata-tokoh-tun-dr-mahathir-
mohamad/
https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdullah_bin_Ahmad_Badawi
https://tokohmalaysiaa.blogspot.com/2016/05/biodata-tun-abdullah-bin-
haji-ahmad.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Mohd_Najib_bin_Abdul_Razak
https://azlanrumadi.blogspot.com/2015/07/ringkasan-profile-dan-latar-
belakang.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Muhyiddin_Yassin
https://denaihati.com/biodata-perdana-menteri-ke-8-tan-sri-muhyiddin-
yassin
https://ms.wikipedia.org/wiki/Ismail_Sabri_Yaakob
https://portalsemakan.com/biodata-ismail-sabri-yaakob/