The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by farhana anuar, 2021-10-19 11:10:38

PERTOLONGAN CEMAS

PERTOLONGAN CEMAS

PERTOLONGAN CEMAS

Pengertian Pertolongan Cemas
Pertolongan atau bantuan segera yang bersifat sementara diberikan kepada mangsa yang mengalami kemalangan
atau kecederaan dengan segala kemudahan yang terdapat di tempat kejadian sebelum ketibaan bantuan perubatan
atau sebelum mangsa mendapat rawatan perubatan yang sempurna.

Tujuan-tujuan Pertolongan Cemas
a) Membantu menyelamatkan nyawa mangsa.
b) Mengelakkan mangsa dari kecederaan yang lebih teruk.
c) Membantu mengurangkan kesakitan atau kesengsaraan mangsa.

Sifat-sifat Pemberi Pertolongan Cemas Yang Baik
a) Mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri di dalam mengendalikan kes-kes kecemasan.
b) Pantas ikhtiar menggunakan segala kemudahan yang terdapat di tempat kejadian atau sekelilingnya.
c) Tajam perhatian di dalam mengenali tanda-tanda dan gejala sesuatu kes.
d) Mempunyai sifat bertimbang rasa kepada mangsa.
e) Tidak mempunyai sikap memilih bangsa atau keturunan semasa memberi keutamaan rawatan mangsa.
f) Bersifat lemah lembut semasa memberi bantuan agar dapat mengurangkan kesakitan si mangsa.

Tugas-tugas Ahli Pertolongan Cemas
a) Menyelamatkan mangsa secara permulihan pernafasan CPR jika pernafasan mangsa terhenti, menahan

pendarahan dan mengelakkan mangsa dari terjadi renjatan.
b) Membalut luka dengan kain yang bersih supaya dapat mengelakkan dari jangkitan kuman.
c) Memberi sokongan di bahagian yang cedera terutamanya patah dengan tuap atau anduh supaya bahagian yang
cedera berkeadaan tetap dan tidak bergerak.
d) Elak mangsa dari mengalami renjatan.
e) Beri semangat kepada mangsa agar sentiasa berada dalam keadaan tenang.
f) Atur bantuan agar mangsa mendapat rawatan perubatan.

Pengendalian Mangsa Kemalangan
a) Memberi bantuan dengan tenang dan pantas. Jangan panik semasa menghadapi keadaan.
b) Beri semangat kepada mangsa agar berada dalam keadaan tenang.
c) Uruskan bantuan supaya mangsa mendapat bantuan perubatan dengan segera.
d) Lapor kejadian kepada pihak polis jika perlu.

Peraturan-peraturan Semasa Memberi Bantuan
a) Membuat penilaian keadaan,

- Menentukan keselamatan diri dan mangsa dalam keadaan selamat.
- Kemudahan-kemudahan yang terdapat seperti telefon bagi kemudahan mendapatkan bantuan.
- Dapat menilai keterukan/keparahan mangsa
b) Membuat diagnosa – mendapatkan sejarah kejadian, tanda-tanda gejala, keadaan sekeliling yang boleh dijadikan
bukti serta menjalankan pemeriksaan ke atas kecederaan mangsa.
c) Memberi rawatan sementara – menjalankan rawatan mengikut prinsip dan memberi keutamaan kepada mangsa
yang teruk.
d) Membuat dan memberi laporan – mengikut sejarah, kecederaan, pernafasan, nadi, kesedaran dan rawatan yang
telah dilakukan ke atas mangsa.

PEMBEBATAN

Tujuan pembebatan
a) Menahan pendarahan
b) Membantu mengelakkan luka atau kecederaan dari terdedah kepada kekotoran yang boleh menyebabkan
jangkitan.
c) Mencegah jangkitan di tempat luka.

Melakukan pembebatan perlu menggunakan kain pembebatan yang bersih suci hama. Kebiasaannya jenis kain yang
digunakan untuk pembebatan adalah dari jenis kain kasa dan kain lint kerana kain ini lembut dan mudah menyerap.

Pembebat Semasa Kecemasan
a) Sapu tangan yang bersih.
b) Kain biasa yang bersih dan mudah menyerap.

Semasa melakukan pembebatan, seboleh-bolehnya elakkan dari memegang atau menempoh kain yang digunakan
untuk melapik tempat luka. Ini bertujuan meminimakan jangkitan kuman di tempat cedera tersebut.

Pembalut (Bandages)
Terdapat berbagai-bagai jenis kain pembalut digunakan semasa menjalankan rawatan mangsa kemalangan. Antara
jenis-jenis pembalut yang digunakan ialah:-
a) Pembalut tiga segi (triangular bandage).
b) Pembalut lebar (broad bandage).
c) Pembalut panjang (narrow bandage).
d) Pembalut gulung (rollar bandage).
Kegunaan Kain Pembalut
a) Penetapan tuap (sling) supaya tidak bergerak.
b) Menetapkan pembebatan yang dilakukan.
c) Mengampu bahagian yang cedera.
d) Membantu menghentikan pendarahan.
e) Mengurangkan bengkak.

Kain Anduh Tiga segi
Kain anduh tiga segi merupakan kain yang sangat penting di dalam pertolongan cemas kerana ia boleh digunakan
untuk pelbagai kegunaan. Kain anduh yang baik berukuran 1 meter x 1.4 meter.
Antara kegunaan kain anduh ialah:-
a) Mengampu bahagian yang cedera atau patah.
b) Menghenti atau menahan pendarahan.
c) Menetapkan bahagian yang cedera.
d) Dapat digunakan sebagai pengipas.
e) Menutup tempat yang luka atau cedera.
f) Sebagai pengelap atau karung tuaman sejuk.

Anduh (sling)
Jenis-jenis Anduh
a) Anduh besar (large arm sling)
- mengampu bahagian anggota atas yang luka atau cedera.
- mengurangkan pergerakan serta sakit anggota atas.
b) Anduh tiga segi/Anduh St. John’s (triangular sling)
- menahan pendarahan anggota atas.
- Mengampu kecederaan bahagian bahu dan tulang skapula.
- Mengampu anggota atas yang cedera.
c) Anduh kecil (small arm sling)
- mengampu kecederaan di bahagian bahu.
- Mengampu tulang klavikal yang cedera.
- Mengampu anggota atas yang cedera.
d) Anduh leher dan lengan (collar and cuff sling)
- mengampu pergerakan anggota atas yang mengalami patah tulang klavikal.

TERHENTI PERNAFASAN (ASPHYXIA)
Suatu keadaan bila mana berlakunya kekurangan bekalan oksigen di dalam darah yang menyebabkan tisu dan sel-
sel tidak mendapat bekalan oksigen untuk bernafas dan menjalankan tugas.

Kekurangan bekalan oksigen berpunca dari kekurangan bekalan oksigen di udara, gangguan pada pusat pernafasan
di medulla oblonggata, sekatan saluran pernafasan, gangguan sistem saraf, jantung dan paru-paru tidak berfungsi
dengan sempurna dan sebagainya.

Punca-punca terhenti pernafasan
a) Lemas dalam asap, gas beracun atau asap
b) Terkena kejutan elektrik atau panahan petir.
c) Termakan atau terminum bahan-bahan beracun.
d) Tersekat bendasing pada saluran pernafasan.
e) Tercekik atau terjerut pada bahagian leher.
f) Tertimbus atau ditimpa benda berat di dada atau tertimbus bantal bagi bayi.
g) Penyakit-penyakit pada saluran pernafasan atau jantung. Contohnya penyakit jantung, lelah, radang paru-paru,
pertumbuhan pada saluran pernafasan.
h) Alahan atau allergi yang menyebabkan saluran pernafasan bengkak atau gangguan pada pusat pernafasan.
i) Berlakunya pertukaran tekanan secara mengejut dari tekanan rendah ke tekanan tinggi dan sebaliknya.
j) Kecederaan di bahagian dada seperti patah tulang dada atau tulang rusuk.

Tanda-tanda dan gejala terhenti pernafasan
a) Sukar bernafas.
b) Pernafasan cepat dan pendek-pendek.
c) Muka menjadi pucat.
d) Mangsa berkeadaan gelisah.
e) Bibir dan kuku menjadi pucat dan kebiruan
f) Mangsa berkeadaan lemah dan tidak berkeupayaan.
g) Saluran vena di bahagian leher mengembang.
h) Berpeluh dan badan menjadi sejuk.
i) Pergerakan nadi menjadi cepat dan lemah pada permulaannya dan diikuti pergerakan yang perlahan sebelum
terhenti.
j) Mangsa mengalami renjatan dan terhenti pernafasan.

Rawatan Am Terhenti Pernafasan
a) Bawa mangsa ke tempat selamat dan baringkan mangsa dalam keadaan melentang.
b) Dongakan kepala mangsa supaya saluran pernafasan berada di dalam keadaan baik.
c) Cuba periksa punca penyebab terhentinya pernafasan supaya mudah memberi bantuan yang sebaik mungkin.
d) Periksa pernafasan mangsa secara dengar, lihat dan rasa. Sekiranya pernafasan terhenti, beri bantuan pernafasan
melalui kaedah mulut ke mulut, mulut ke hidung, Holger Neilson atau Selvesters.
e) Periksa pergerakan nadi mangsa, sekiranya tiada, lakukan permulihan tekanan jantung dari luar (chest
compression). Lakukan kaedah ini berselang seli antara pernafasan dan tekanan jantung sehingga jantung dan
pernafasan berfungsi kembali atau bantuan sampai.
f) Periksa pergerakan nadi dan pernafasan dari masa ke semasa.
g) Rawat kecederaan sekiranya terdapat kecederaan.
h) Dapatkan bantuan perubatan segera.
Rawatan-rawatan Khas Terhenti Pernafasan.
Lemas Dalam Air (Drowning)
a) Bantuan pernafasan mulut ke mulut atau mulut ke hidung, ia boleh dilakukan sekiranya mangsa terhenti
pernafasan semasa lemas.
b) Bawa ke daratan dan baringkan mangsa. Dongak kepala mangsa dan periksa pernafasan mangsa.Beri bantuan
pernafasan sekiranya pernafasan terhenti.
c) Periksa pergerakan nadi mangsa, dan lakukan tekanan dada dari luar sekiranya nadi terhenti.
d) Lakukan tekanan jantung dan bantuan pernafasan berselang seli sehingga mangsa bernafas dan jantung
berdenyut kembali.
e) Longgarkan pakaian mangsa.
f) Selimutkan mangsa.

g) Jangan diberi sebarang makanan atau minuman semasa mangsa dalam keadaan tidak sedar.
i) Dapatkan bantuan perubatan segera.

Tergantung (hanging)
a) Ampu anggota mangsa ke atas bagi mengurangkan jerutan tali.
b) Potong tali dan tanggalkan jerutan.
c) Baringkan mangsa dan dongakan kepala mangsa.
d) Periksa pernafasan dan pergerakan nadi. Lakukan CPR.
e) Rawat kecederaan sekiranya ada.
f) Dapatkan rawatan perubatan.
Lemas dalam asap/gas beracun (suffocation by gas/smoke)
a) Pastikan gas atau asap beracun keluar terlebih dahulu. Buka pintu atau tingkap.
b) Tutup mulut dan hidung dengan tuala basah/ lembab dan masuk secara merangkak.
c) Keluarkan mangsa secara menarik perlahan-lahan.
d) Longgarkan pakaian mangsa.
e) Periksa pernafasan dan pergerakan nadi mangsa. Sekiranya terhenti, lakukan CPR.
e) Dapatkan rawatan perubatan segera.

PATAH
Merupakan kecederaan yang melibatkan mana-mana bahagian tulang, sama ada ianya retak, putus, pecah, remok,
serpihan atau sebagainya.

Punca-punca patah
Boleh terjadi secara langsung atau tidak langsung
a) Secara Langsung
Patah tepat pada tempat atau puncanya. Contohnya kena tembakan, pukulan, tendangan atau kemalangan.
b) Secara Tidak Langsung
Patah terletak jauh dari tempat yang mengalami kecederaan. Contohnya, berlaku kecutan otot atau pergerakan otot
yang secara tiba-tiba, menyebabkan tulang patah.

Jenis-jenis patah
a) Patah tebu/tertutup (simple fracture)
Patah yang tidak disertai dengan luka di bahagian patah.
b) Patah riok (Compound fracture)
Terdapat luka di tempat patah di mana hujung tulang yang patah tertonjol keluar di bahagian luar kulit.
c) Patah melarat (Complicated fracture)
Patah yang menyebabkan organ lain turut mendapat kecederaan.
d) Patah Remok (Comminuted fracture)
Patah yang berkeping-keping atau beberapa bahagian.
e) Patah Terenyok (Impacted fracture)
Tulang patah kepada dua bahagian dan salah satunya terbenam ke dalam tulang yang patah itu.
f) Patah Rebung (Green Stick fracture)
Patah secara menyungkap dan tidak terus putus. Biasanya terjadi kepada tulang kanak-kanak dan bayi.
g) Pecah Remok (Depressed fracture)
Tulang yang pecah terbenam ke bawah dan menghimpit organ lain. Contohnya, tengkorak kepala yang terbenam
menghimpit otak.

Tanda-tanda dan gejala patah
a) Sakit pada bahagian patah atau kawasan berhampiran.
b) Bengkak dan lebam bahagian yang tercedera.
c) Sukar atau tidak dapat bergerak atau mengangkat bahagian tercedera.
d) Terdapat kecatatan bahagian patah seperti bengkok ataupun anggota menjadi lebih pendek.
e) Dapat merasa geselan tulang bila dipegang bahagian patah.
f) Tanda-tanda dan gejala lain kecederaan.

Rawatan Am Patah
a) Letak pesakit dalam keadaan selesa. Rawatan patah hendaklah dilakukan di tempat kejadian kecuali keadaan
merbahaya di situ.
b) Tenangkan mangsa sekiranya mangsa dalam keadaan sedar.
c) Sekiranya mangsa pengsan, periksa pernafasan dan nadinya. Lakukan CPR sekiranya nadi dan pernafasan
terhenti.Apabila mangsa pulih, rawatan pendarahan hendaklah dilakukan. Hentikan pendarahan secara kaedah
langsung atau tidak langsung mengikut kesesuaian.
e) Ampu bahagian yang patah dengan menggunakan tuap atau anduh mengikut keadaan dan tempat yang patah.
g) Dapatkan bantuan perubatan segera.

Patah-patah Tertentu
Pecah Tengkorak Kepala
Kemungkinan pecah tulang kranium atau tulang pangkal tengkorak.
Tanda-tanda dan gejala
a) Mengalami pengsan sebentar atau berterusan.
b) Keluar darah dari hidung, tekak atau telinga.
c) Muntah.
d) Mangsa berkeadaan gelisah.
e) Anak mata membesar dan tidak seimbang antara satu dengan lain.
h) Nafas berbunyi kuat.

Rawatan
a) Baringkan mangsa dalam keadaan mengiring.
b) Betulkan saluran pernafasan dengan mendongakkan kepala mangsa. Keluarkan bendasing sekiranya terdapat di
dalam mulut mangsa.
c) Periksa pernafasan gerak nadi, lakukan CPR jika sekiranya pernafasan dan nadi tidak berfungsi.
d) Rawat kecederaan sekiranya terdapat kecederaan.
d) Dapatkan bantuan perubatan segera.

Patah Tulang Rahang
Tanda-tanda dan gejala
a) Sakit pada bahagian dagu atau rahang.
b) Tidak boleh menggerakkan atau membuka mulut.
c) Bengkak dan lebam di bahagian belakang.
d) Air liur meleleh keluar dari mulut pesakit.
e) Gigi mangsa berselisih.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa dan tentukan saluran pernafasan berada di dalam keadaan baik.
b) Ampu bahagian dagu dengan kain yang lembut dan ikat dengan balutan dagu.
c) Hentikan pendarahan dan rawat kecederaan.
d) Dapatkan bantuan perubatan.

Patah Tulang Belakang
Tanda-tanda dan gejala
a) Sakit di bahagian yang mengalami kecederaan.
b) Tidak berupaya menggerakkan anggota badan.
c) Merasa kebas atau hilang rasa anggota bawah.
d) Terdapat kecacatan atau lebam pada bahagian tulang yang patah.

Rawatan
a) Jangan mengangkat atau mengubah pesakit dari tempat kejadian.
b) Tenangkan mangsa.
c) Kenakan tuap pada bahagian badan pesakit bagi mengurangkan pergerakan pesakit.
d) Rawat kecederaan sekiranya terdapat kecederaan.
e) Angkat dengan menggunakan usungan yang rata dan tegang.
f) Dapatkan rawatan perubatan.

Patah Tulang Rusuk
Tanda-tanda dan gejala
a) Sakit yang kuat semasa bergerak atau menarik nafas.
b) Bengkak dan lebam di tempat cedera.
c) Susah bernafas.

Rawatan
a) Baringkan mangsa dalam keadaan selesa.
b) Tentukan mangsa daapat bernafas. Periksa pernafasan mangsa dan beri bantuan pernafasan jika perlu.
c) Ampu anggota atas mangsa dengan menggunakan anduh.
d) Jika terdapat kecederaan di bahagian dada, alas dengan kain yang lembut dan bersih.
e) Dapatkan rawatan perubatan.

Patah Tulang Selangka (Klavikal)
Tanda-tanda dan gejala.
a) Sakit pada bahagian bahu.
b) Hilang upaya mengangkat atau mengerakkan anggota atas.
c) Bengkak, lebam dan terdapat kecacatan di bahagian bahu.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa.
b) Ampu anggota atasa yang terlibat dengan menggunakan anduh.
c) Rawat kecederaan yang terdapat.
d) Dapatkan rawatan perubatan.

Patah Anggota Atas
Rawatan
a) Tenangkan mangsa.
b) Ampu anggota atas supaya tidak banyak bergerak dengan menggunakan anduh.
c) Jika anggota atas tidak boleh dibengkok, gunakan tuap untuk mengampu bahagian yang tercedera.
d) Hentikan pendarahan dan rawat kecederaan.
e) Dapatkan rawatan perubatan.

Patah Tulang Punggung
Tanda-tanda dan gejala
a) Sakit di bahagian punggung.
b) Susah bergerak atau berdiri.
c) Bengkak dan lebam di bahagian cedera.
d) Kemungkinan kencing beserta dengan darah.

Rawatan
a) Baringkan mangsa dalam keadaan selesa.
b) Tenangkan mangsa.
c) Rawat kecederaan sekiranya terdapat kecederaan.
d) Tuap bahagian anggota bawah hingga ke ketiak dengan menggunakan tuap.
e) Dapatkan rawatan perubatan.

Patah Tulang Paha
Rawatan
a) Baringkan mangsa dalam keadaan selesa.
b) Tenagkan mangsa.
c) Hentikan pendarahan dan rawat tempat tercedera.
d) Tuapkan anggota bawah dengan menggunakan tuap panjang.
e) Dapatkan rawatan perubatan.

Patah Tulang Tibia dan Fibula
Rawatan
a) Letak mangsa dalam keadaan selesa.
b) Tenangkan mangsa.
c) Rawat kecederaan.
d) Tuapkan anggota yang cedera supaya tidak bergerak. Jangan cuba membetulkan tulang yang patah.
e) Dapatkan rawatan perubatan.

Pecah Tulang Patela
Rawatan
a) Baringkan dan luruskan kaki mangsa.
b) Tinggikan bahagian kaki dan tuapkan bahagian yang patah.
c) Dapatkan rawatan perubatan.

Terkehel (Dislocation)
Terkehel bermaksud berlaku perubahan kedudukan tulang dari
acuan persendiannya. Terkehel terjadi pada persendian tulang
tanpa melibatkan kecederaan tulang.

Tanda-tanda dan gejala terkehel
a) Sakit yang sangat kuat pada bahagian persendian.
b) Bengkak dan lebam bahagian sendi.
c) Tidak dapat mengerakkan anggota yang tercedera.
d) Terdapat perubahan bentuk pada sendi yang tercedera.
e) Terdapat tanda-tanda am renjatan.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa dan letak mangsa dalam keadaan selesa.
b) Ampu bahagian yang cedera dengan menggunakan tuap atau anduh bagi mengurangkan pergerakan.
c) Jangan cuba memasuk kembali sendi yang cedera atau mengurut-urut bahagian tersebut.
d) Beri demahan sejuk bagi mengurangkan sakit dan bengkak.
e) Dapatkan rawatan perubatan secepat mungkin.

Tergeliat (Sprain)
Cedera, terkoyak atau terpusing otot-otot dan ligament pada bahagian persendian akibat dari pergerakan yang
melampaui batas.
Tanda-tanda dan Gejala tergeliat
a) Sakit bahagian yang tercedera.
b) Bengkak dan lebam pada bahagian persendian.
c) Sakit apabila menggerakkan bahagian cedera tetapi masih dapat mengerakkan anggota tersebut.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa dan jangan mengerakkan anggota terlibat.
b) Ampu bahagian cedera dengan tuap atau anduh.
c) Jangan mengurut bahagian cedera.
d) Beri demahan sejuk pada tempat cedera supaya dapat mengurangkan sakit atau bengkak.
f) Dapatkan rawatan perubatan.

Salah Urat (Strain)
Ketegangan urat yang terjadi akibat pergerakan yang berlebihan anggota yang terlibat.

Tanda dan gejala
a) Sakit dan tegang otot-otot.
b) Susah mengerakkan anggota tetapi tetap dapat bergerak.

Rawatan
a) Rehatkan bahagian yang terlibat.
b) Beri demahan sejuk atau sapu minyak panas untuk mengurangkan sakit.

c) Ampu dan rehatkan bahagian yang terlibat.
d) Beri minum air yang banyak.

Kekejangan otot (Cramp)
Kekejangan otot terjadi apabila otot-otot mengucup secara tiba-tiba akibat dari pergerakan yang berlebihan,
kehilangan garam dalam badan melampau, suhu yang terlampau sejuk. Kecutan otot yang berlaku ini menyebabkan
otot menjadi pendek dan sakit yang kuat.

Tanda-tanda dan gajala
a) Sakit yang kuat terjadi secara tiba-tiba di tempat yang mengalami kekejangan.
b) Terjadi gumpalan otot pada bahagian yang terlibat. Otot menjadi keras dan tegang.
c) Tidak dapat meluruskan anggota yang terlibat.

Rawatan
a) Baringkan mangsa dan tenangkannya.
b) Luruskan kembali bahagian yang mengalami kekejangan.
c) Beri demahan, dan beri minum minuman dengan banyak.
d) Rehatkan bahagian yang tercedera.
g) Dapatkan rawatan perubatan jika perlu.

LUKA DAN PENDARAHAN
Luka:
Kecederaan yang berlaku pada tisu-tisu, sama ada ianya mengeluarkan darah atau tidak yang boleh menyebabkan
berlakunya jangkitan kuman.

Pendarahan:
Kecederaan yang berlaku kepada saluran-saluran darah arteri,vena atau kapilari yang menyebabkan keluarnya
darah.

Jenis-jenis luka.

a) Luka terhiris (incised wound)
-luka yang disebabkan oleh benda-benda atau senjata bermata tajam. Keadaan lukanya adalah berkeadaan bersih
atau satu garisan. Contohnya luka disebabkan oleh hirisan pisau, pedang, semilu buluh, pisau cukur dan sebagainya.

b) Luka terkoyak (lacerated wound)
–luka yang berkeadaan terkoyak yang kebiasaannya disebabkan oleh senjata atau alat-alat yang tidak
tajam.Contohnya kemalangan jalan raya, cakaran atau gigitan binatang atau sebagainya.

c) Luka lebam (contusion)
–luka yang mencederakan tisu-tisu dalam yang mana darah yang keluar berkumpul dalam tisu. Luka jenis ini
biasanya disebabkan oleh benda-benda berat yang tidak bermata tajam. Contohnya kena ketukan penukul, kena
tumbukan, terhimpit kepada benda-benda yang berat.

d) Luka tembus (punctured wound)
–luka atau kecederaan yang disebabkan oleh objek atau senjata yang hujungnya tajam. Luka ini berkeadaan kecil
sahaja lukanya tetapi biasanya dalam dan mengeluarkan darah yang banyak. Contohnya tusukan pisau, jarum, paku,
duri dan sebagainya.

e) Luka tembakan (gun shot wound)
–luka yang disebabkan oleh senjata api. Luka di bahagian kena tembakan adalah lebih kecil berbanding luka di mana
peluru itu keluar. Contohnya kena tembakan senapang atau pistol

JENIS-JENIS PENDARAHAN
a) Pendarahan dari saluran arteri
- Darah yang keluar adalah secara memancut kerana ianya mengikut rentak denyutan jantung. Darah yang keluar
pula keadaannya merah cerah.Ini disebabkan ianya mengandungi oksigen yang tinggi.
b) Pendarahan dari saluran vena
- Darah keluar secara meleleh dan berterusan. Di samping itu, warna darahnya pula berwarna merah gelap. Ini
disebabkan darah mengandungi kandungan gas karbon dioksida yang tinggi.
c) Pendarahan dari salur kapilari- darah keluar secara menitis dan darah cepat berhenti. Warna darah adalah merah
cerah kerana mengandungi kandungan oksigen.

TANDA DAN GEJALA LUKA DAN PENDARAHAN
• Mangsa mengadu sakit pada tempat yang cedera.
• Pucat.
• Pening kepala.
• Meloya dan kemungkinan muntah.
• Gelisah dan berpeluh dengan banyak.
• Gerak nadi cepat dan tidak kuat isipadunya.
• Sesak nafas dan pernafasan cepat dan pendek-pendek.
• Kulit badan berpeluh dan sejuk.
• Hilang kekuatan atau keupayaan.
• Berlaku renjatan dan pengsan.

RAWATAN AM LUKA DAN PENDARAHAN
 Bawa mangsa atau pesakit ke tempat yang selamat dan edaran udara yang sempurna.
 Tenangkan mangsa sekiranya ia masih sedar.
 Pastikan tahap kesedaran mangsa, sama ada ia sedar atau sebaliknya. Pastikan saluran pernafasan mangsa
berada dalam keadaan yang baik. Beri bantuan CPR jika diperlukan.
 Longgarkan pakaian si mangsa terutama di bahagian leher dan pinggang.
 Hentikan pendarahan sekiranya terdapat luka yang mengeluarkan darah yang banyak.
 Cara menghentikan pendarahan boleh dilakukan dengan 2 cara iaitu:
a) Hentikan pendarahan secara langsung
• mengenakan tekanan pada tempat yang mengeluarkan darah selama 10 minit.
b) Secara tidak langsung
• -menekan urat-urat darah.
• -menggunakan penjerut – catitan masa direkodkan. Longgarkan jerutan bagi setiap 20 minit selama seminit.
• Setelah darah berhenti- cuci tempat luka dan buat balutan yang sesuai.
• Jangan beri sebarang makanan atau minuman sewaktu pesakit tidak sedarkan diri atau baru sedar dari renjatan.
• Dapatkan rawatan perubatan secepat mungkin.

TERBAKAR DAN MELECUR

Terbakar
– Kecederaan yang berpunca dari bahan-bahan panas kering. Contohnya api, kilat, besi panas, cahaya matahari, asid
, alkali dan sebagainya.

Melecur
– Kecederaan yang disebabkan oleh benda panas yang yang lembab atau basah. Contohnya wap, stim, air panas,
minyak panas, tar panas dan lain-lain.

Tanda-tanda dan gejala.
a) Sakit yang kuat.
b) Kulit menjadi bengkak, kemerahan, dan panas.
c) Terjadi gelembung air pada kulit.
d) Kulit mengelupas dan berwarna kehitaman terutama sekiranya terbakar oleh asid atau alkali.
e) Tisu yang terdedah berwarna merah dan berair.
f) Terjadi tanda-tanda gejala am renjatan.

Terbakar dan melecur terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori terbakar luaran dan terbakar dalaman. Terbakar
atau melecur luaran menyebabkan kulit luar yang terlibat. Manakala terbakar peringkat kedua (dalaman) melibatkan
tisu-tisu dalam. Contohnya terkena asid dan alkali.
Terbakar dan melecur yang melibatkan 10% boleh menyebabkan terjadinya renjatan kepada mangsa.
Pengiraan PeratusanTerbakar dan Melecur
Pengiraan peratusan terbakar dan melecur dinamakan kaedah sembilan (rule of nine). Pengiraannya adalah seperti
berkut:-
a) Bahagian kepala dan leher - 9%
b) Sebelah anggota atas - 9%
c) Bahagian depan badan -18%
d) Bahagian belakang badan -18%
e) Sebelah anggota bawah -18%
f) Bahagian kemaluan - 1%

Rawatan Am Terbakar dan Melecur
a) Pindahkan mangsa ke tempat yang selamt dan berudara.
b) Alirkan air atau rendam anggota yang tercedera beberapa ketika bagi tujuan menyejuk atau mengurangkan
kepekatan asid atau alkali yang terkena.
c) Tenangkan mangsa.
d) Longgarkan pakaian dan tanggalkan benda yang dipakai oleh mangsa. Contohnya cincin, subang, gelang dan
sebagainya. Ini disebabkan tempat cedera akan bengkak dan sukar untuk menanggalkan peralatan tersebut.
e) Sekiranya pesakit dalam keadaan renjatan, pulihkan renjatan mangsa terlebih dahulu.
f) Jangan tanggal benda asing yang melekat pada tempat cedera. Contohnya pakaian yang melekat.
g) Cuci tempat cedera dengan cermat.Balut atau tutup bagi mengelakkan jangkitan.
h) Jangan sapu krim atau minyak di tempat cedera.
i) Jangan pecahkan gelembung kerana mudahkan jangkitan.
j) Jika pesakit dalam keadaan stabil –beri minum air yang banyak bagi menggantikan kehilangan cecair yang hilang.
k) Dapatkan rawatan perubatan segera.

Terbakar oleh Asid atau Alkali
a) Tanggalkan pakaian yang terkena bahan tersebut dengan segera.
b) Alirkan atau rendam anggota yang cedera dengan air yang banyak.
c) Jika terkena asid, boleh gunakan larutan sodium bikarbonat untuk meneutralkan asid.
d) Sekiranya terkena bahan alkali, gunakan bahan asid untuk meneutralkan asid. Jangan gunakan bahan asid atau
alkali sekiranya terkena mata. Kecederaan mata boleh menggunakan air biasa yang mengalir sahaja.
e) Setelah dicuci, balut atau tutup tempat yangt cedera dengan kain yang bersih.
f) Dapatkan rawatan perubatan.

Rawatan Terbakar Pakaian
a) Selimutkan mangsa dengan kain basah, cadar basah atau guni basah supaya api dapat dipadamkan.
b) Arah mangsa berguling di atas rumput untuk memadamkan api di pakaian.
c) Curahkan air ke arah mangsa boleh memadamkan api.
d) Elak dari berlaku renjatan. Sekiranya renjatan berlaku, rawatan renjatan perlu dilakukan.
e) Cuci tempat terbakar dengan cermat.
f) Tutup tempat cedera dan dapatkan rawatan perubatan.

Rawatan Terbakar atau Melecur Tekak.
a) Beri mangsa minuman sejuk atau ais sebanyak mungkin.
b) Beri demahan sejuk pada bahagian leher.
c) Dapatkan rawatan perubatan.

RENJATAN
Renjatan adalah suatu keadaan bila mana berlaku kekurangan bekalan darah beroksigen ke bahagian otak dan
seluruh badan yang menyebabkan fungsi-fungsi badan menjadi lemah dan aktiviti-aktivitinya tidak dapat berjalan
dengan sempurna. Keadaan ini berpunca dari kecederaaan, kehilangan darah, kehilangan cecair, gangguan
perasaan, kesakitan, alahan kepada ubatan atau bahan kimia, gangguan sistem saraf dan lain-lain

Sebab-sebab renjatan
a) Pendarahan yang banyak dan berterusan. Pendarahan ini adalah pendarahan luaran dan dalaman.
b) Kehilangan plasma. Contohnya kecederaan terbakar atau melecur.
c) Kehilangan air dalam badan yang teruk. Contohnya perpeluhan yang melampau, muntah-muntah berterusan atau
cirit-birit yang kuat seperti kes taun dan cirit-birit.
d) Kecederaan yang teruk seperti patah tulang, luka besar yang menyebabkan darah keluar dengan banyak.
e) Penyakit-penyakit tertentu seperti penyakit jantung, kencing manis, angin ahmar dan sebagainya.
f) Gangguan saraf. Contohnya terkena kejutan elektrik, kilat, terminum atau tersedut bahan beracun, alahan kepada
ubatan dan lain-lain.

Jenis-jenis renjatan.
Terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
a) Renjatan terbina- akibat dari kecederaaan atau kehilangan cecair dan darah dalam badan.
b) Renjatan saraf- berpunca dari gangguan pada sistem saraf yang menyebabkan aktiviti dalam badan terganggu.
Renjatan ini tidak melibatkan kehilangan cecair dalam badan.
c) Renjatan gabungan- melibatkan gangguan pada sistem saraf dan kehilangan cecair dalam badan.

Tanda-tanda dan gejala renjatan.
a) Mangsa berada di dalam gelisah.
b) Kulit badan menjadi pucat.
c) Merasa pening, mual dan muntah-muntah.
d) Perpeluhan dengan banyak.
e) Pergerakan nadi berdenyut dengan pantas tetapi dalam keadaan lemah.
f) Mangsa lemah dan tidak bertenaga.
g) Badan menjadi sejuk dan basah.
h) Pandangan menjadi kabur.
i) Mengadu dahaga
j) Mangsa tidak sedar diri.

Rawatan am renjatan
a) Bawa maangsa ke tempat yang selamat dan berudara.
b) Baringkan mangsa dengan meninggikan bahagian kaki dan merendahkan bahagian kepala.
c) Tenangkan mangsa.
d) Dongakkan kepala mangsa supaya saluran pernafasan terbuka. Periksa pernafasan dan gerak nadi.Beri bantuan
CPR jika perlu.
e) Longgarkan pakaian mangsa.
f) Selimutkan mangsa jika mangsa dalam kesejukan.
g) Rawat sebarang kecederaan jika berlaku kecederaan.
h) Jangan beri sebarangan makanan atau minuman sekiranya mangsa dalam keadaan ranjatan. Apabila pulih
basahkan bibirnya bagi menghilangkan dahaga.
i) Dapatkan rawatan perubatan.

PITAM
Pitam berlaku akibat kekurangan pengaliran darah ke bahagian otak yang menyebabkan terganggu fungsi tubuh
badan sementara waktu. Ini menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri buat sementara.

Punca-punca pitam
a) Mendapat perkhabaran buruk, sedih atau menakutkan.
b) Keletihan akibat dari berdiri terlalu lama atau terdedah kepada kepanasan.
c) Kesakitan kuat akibat kecederaan.
d) Kelaparan atau terlalu dahaga.
e) Keadaan lemah selepas baru sembuh dari penyakit

Tanda-tanda dan gejala
a) Mangsa mengadu pening
b) Badan sejuk dan mangsa berkeadaan lemah
c) Muka dan tangan jadi pucat
d) Berpeluh dengan banyak
e) Meloya dan kadang-kadang disertai muntah
f) Mangsa seperti mengantuk dan menguap-nguap
g) Hilang kesedaran.

Rawatan am pitam
a) Bawa mangsa ke tempat yang teduh dan berudara.
b) Baringkan mangsa dan tinggikan bahagian kaki atau dudukkan dan tundukkan kepala mangsa ke bawah
c) Longgarkan pakaian mangsa.
d) Tenangkan mangsa.
e) Dongakkan kepala mangsa dan betulkan saluran pernafasan jika sekiranyan mangsa telah pengsan.
f) Apabila mangsa telah pulih , berikan minuman.
g) Rawat kecederaan jika mangsa mengalami kecederaan.
h) Dapatkan rawatan perubatan jika perlu.

Racun
Racun merupakan bahan-bahan yang berbentuk cecair, pepejal, debu atau gas yang bila mana ianya diambil atau
masuk ke dalam tubuh badan melebihi dari sukatan yang sepatutnya, maka ianya akan menjejaskan kesihatan
badan.

Cara- cara racun masuk ke tubuh
a) Sistem pemakanan – Secara memakan atau meminum bahan-bahan yang berbentuk pepejal atau cecair.
Contohnya terminum racun, ubat-ubatan, makanan tercemar dan sebagainya.
b) Sistem pernafasan – Melaui sedutan gas atau bahan debu yang terampai di udara. Contohnya gas karbon
dioksida, Karbon monoksida, kotoran, debu-debu racun serangga dan lain-lain.
c) Melalui suntikan urat darah atau otot – Biasanya ia berbentuk cecair. Contohnya menyuntik ubat melalui otot atau
urat darah, menyuntik dadah, sengatan binatang bisa dan patukan atau gigitan ular berbisa.
d) Serapan kulit – Sesetengah bahan cecair seperti racun rumpai atau serangga yang terkena kulit akan menyerap ke
dalam sistem badan. Contohnya racun malation dan paraquat.

Tanda-tanda dan Gejala
a) Pening kepala dan tidak sedap badan.
b) Loya dan muntah-muntah.
c) Sakit perut sekiranya racun dimakan atau diminum.
d) Mengalami sesak nafas.
e) Mangsa di dalam keadaan gelisah.
f) Muka dan badan menjadi pucat dan sejuk.
g) Nadi berdenyut pantas dan dalam keadaan lemah.
h) Mengalami cirit-birit sekiranya racun masuk melalui saluran pemakanan.
i) Berpeluh dengan banyak.
j) Terdapat kesan terbakar atau melecur di mulut dan bibir sekiranya termakan atau terminum racun. Mulut mangsa

juga berbau bahan beracun yang dimakan.
k) Terdapat tanda suntikan atau bekas gigitan sekiranya bahan yang diambil secara suntikan atau kerana gigitan.
l) Berlaku renjatan.

Rawatan Am Keracunan
a) Tenangkan mangsa.
b) Longgarkan pakaian mangsa.
c) Sekiranya mangsa dalam keadaan pengsan, periksa gerak nadi dan penafasan. Beri bantuan CPR jika perlu.
d) Cari punca-punca keracunan melalui tanda-tanda di badan atau bekas-bekas yang terdapat di sekeliling mangsa.
e) Letakan mangsa di dalam baringan separuh meniarap sekiranya mangsa dalam keadaan pengsan.
f) Dapatkan rawatan perubatan.

Keracunan Melalui Sistem Pemakanan.
Tanda-tanda dan Gejala
a) Sakit perut.
b) Loya dan muntah-muntah.
c) Gelisah dan pucat.
d) Berlaku cirit-birit.
e) Mangsa mengadu dahaga.
f) Terdapat tanda melecur atau terbakar di bibir dan mulut mangsa bagi racun jenis yang membakar.
g) Terdapat bau racun apabila mangsa bernafas atau bercakap.
h) Berlaku renjatan.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa.
b) Longgarkan pakaian yang ketat.
c) Cuba keluarkan bahan yang beracun dengan memberi air yang dicampur garam sebanyak mungkin, atau
mengeletek bahagian leher atau kerongkong mangsa. Ini boleh di lakukan bagi racun yang bukan jenis membakar.
d) Sekiranya bahan membakar – jangan cuba muntahkan mangsa dengan cara di atas kerana ini membahayakan
mangsa. Jika mangsa sedar cuba nuteralkan dengan bahan-bahan air yang dicampur limau bagi racun alkali dan air
tepung jika sekiranya bahan asid.
e) Sekiranya mangsa pengsan, baring mangsa dalam baringan separuh meniarap.
f) Betulkan saluran pernafasan. Periksa gerak nadi dan pernafasan. Lakukan CPR jika penafasan terhenti.
g) Dapatkan rawatan perubatan berserta dengan bahan yang boleh menjadi bukti jenis keracunannya. Contohnya
bekas ubat, muntah atau bekas-bekas kosong pengisi bahan beracun tersebut.

Keracunan Melalui saluran pernafasan.
Tanda-tanda dan Gejala
a) Mangsa mengadu pening.
b) Lemah dan tidak bertenaga.
c) Loya dan muntah-muntah.
d) Mangsa mengadu sukar atau sesak nafas.
e) Muka mangsa dalam keadaan pucat dan mangsa dalam keadaan gelisah.
f) Pergerakan nadi pantas dan lemah.
g) Berlakunya renjatan.

Rawatan Keracunan Melalui Sistem pernafasan.
a) Bawa mangsa ke tempat yang berudara.
b) Tenagkan mangsa dan longgarkan pakaian yang ketat.
c) Sekiranya mangsa pengsan, baring mangsa dalam baringan separuh meniarap. Periksa gerak nadi dan
pernafasan. Beri bantua CPR segera sekiranya pernafasan atau gerak nadi mangsa terhenti.
d) Dapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Keracunan Melalui Serapan kulit
Tanda-tanda dan Gejala.
a) Pening dan badan menjadi lemah.
b) Loya dan muntah.
c) Terdapat tanda kegatalan atau bintik-bintik merah di tempat yang terkena racun.
d) Badan menjadi sejuk.
e) Sesak nafas dan nadi berdenyut cepat.
f) Berlaku renjatan.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa
b) Cuci tempat terkena racun dengan air yang banyak.
c) Letakkan mangsa dalam keadaan yang selesa.
d) Dapatkan bantuan perubatan.

Keracunan Melalui Suntikan atau Gigitan
Tanda- tanda dan Gejala
a) Mangsa mengadu pening dan lemah.
b) Loya dan muntah-muntah.
c) Gelisah dan badan menjadi sejuk.
d) Mangsa mengalami kesukaran bernafas.
e) Gerak nadi menjadi cepat dan lemah.
f) Mangsa berkedaan pucat dan keletihan.
g) Terdapat tanda-tanda suntikan atau gigitan di badan.
h) Terdapat tanda bengkak pada tempat sengatan atau gigitan.
i) Terjadi renjatan.

Rawatan
a) Tenangkan mangsa dan letakkan mangsa dalam keadaan selesa.
b) Dapatkan butir-butir keracunan dari mangsa.
c) Berikan rawatan CPR jika mangsa dalam keadaan terhenti pernafasan atau pergerakan nadinya.
d) Dapatkan rawatan perubatan dengan segera

SENGATAN ATAU GIGITAN BINATANG BISA
1) Sengatan Kala Jengking, Lipan, Tebuan, dan Lebah
Tanda-tanda dan gejala
a) Sakit di tempat sengatan atau gigitan.
b) Bengkak, lebam dan keluar darah.
c) Tempat gigitan menjadi panas.
d) Mangsa gelisah.
e) Mangsa mengalami sesak nafas.
f) Berlaku renjatan.

Rawatan
a) Bawa mangsa ke tempat yang selamat.
b) Tenangkan mangsa.
c) Sekiranya mangsa renjat – periksa gerak nadi dan pernafasan. Berikan rawatan CPR jika perlu.
d) Beri demahan sejuk di tempat cedera untuk mengurangkan sakit dan bengkak.
e) Cuci tempat sengatan.
f) Dapatkan rawatan perubatan.

2) Digigit Lintah atau Pacat
Gigitan lintah atau pacat boleh menyebabkan darah keluar dengan banyak dan berterusan kerana lintah
memuntahkan sejenis enzim yang menyebabkan pembekuan darah lambat.

Rawatan
a) Tanggalkan lintah atau pacat dengan menggunakan garam, abu atau secara membakar badan binatang tersebut.
Jangan mencabut lintah yang melekat kerana ianya boleh menyebabkan taringnya tertanggal di tempat luka.
b) Cuci tempat cedera dengan menggunakan larutan ammonia bagi mengurangkan kegatalan.
c) Balut luka dengan kemas.
d) Dapatkan rawatan perubatan.

3) Patukan Ular Berbisa
Ular berbisa boleh menyebabkan keracunan kepada sistem saraf atau pun sistem darah yang menyebabkan
berlakunya pendarahan di seluruh badan. Contohnya ular senduk atau “king cobra”.Ular laut menyebabkan
berlakunya gangguan pada sistem saraf dan sistem pernafasan. Manakala ular jenis ular kapak menyebabkan sistem
pendarahan terganggu di mana darah tidak mudah membeku dan keluar melalui semua sistem badan.
Tanda- tanda.
a) Sakit di tempat patukan.
b) Bengkak dan lebam terutamanya patukan ular jenis kapak.
c) Darah keluar di tempat patukan.
d) Terdapat tanda patukan di tempat patukan.
e) Sesak nafas.
f) Gelisah, keletihan dan berasa anggota sejuk.
g) Gerak nadi berdenyut pantas dan lemah.
h) Berlaku renjatan.

Rawatan
a) Tenangkaan mangsa.
b) Longgarkan pakaian magsa.
c) Rendahkan anggota yang cedera dan jangan bergerak terlalu banyak.
d) Awasi mangsa dari renjatan.
e) Cuci tempat cedera dan buat pembebatan.
f) Dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

PEMULIHAN PERNAFASAN DAN PERGERAKAN JANTUNG

1.PEMULIHAN PERNAFASAN
Terdapat beberapa kaedah pemulihan pernafasan yang boleh dipratikkan semasa mangsa mengalami terhenti
pernafasan. Kaedah-kaedah ini ialah:-
a) Pemulihan mulut ke mulut
b) Pemulihan mulut ke hidung
c) Pemulihan mulut ke lubang pernafasan di tengkok
d) Kaedah Holger Neilson
e) Kaedah Selvester’s
f) Kaedah Schafers

a) Pemulihan mulut ke mulut
Cara pratiknya
• rapatkan mulut pemulih ke mulut si mangsa.
• tutup hidung mangsa secara picitan hidung.
• lakukan hembusan selama kira-kira 1 hingga 1.5 saat sambil mata memerhatikan bahagian dada mangsa
• hembusan yang betul akan memperlihatkan pergerakan dada naik dan tiada kebocoran dari celah bibir mangsa
• lepaskan picitan hidung mangsa agar udara dapat keluar melalui hidung.
• lakukan sekali hembusan setiap 5 saat bagi mangsa orang dewasa. Manakala, 1 hembusan setiap 3 saat bagi
kanak-kanak dan bayi.
• permulihan perlu dijalankan berterusan sehingga mangsa dapat bernafas sendiri atau apabila tiba bantuan
perubatan.

b) Pemulihan mulut ke hidung
Kaedah ini boleh dilakukan sekiranya timbul masalah pada bahagian mulut mangsa di mana kaedah pemulihan
secara mulut ke mulut tidak dapat dilakukan.
Cara pratiknya
• Rapatkan mulut pemulih ke bahagian hidung si mangsa.
• Tutup bahagian mulut mangsa supaya udara yang dihembus tidak keluar melalui mulut.
• Pemulih menghembus udara dari mulut ke hidung mangsa. Semasa hembusan, perhatikan naik dan turun bahagian
dada bagi menetukan udara masuk atau tidak ke paru-paru.
• Buka mulut mangsa dan biarkan udara keluar.
• Masa yang diambil bagi setiap hembusan adalah seperti kaedah mulut ke mulut.

c) Pemulihan pernafasan melalui lubang pernafasan di leher.
Kaedah ini dilakukan bagi mangsa yang menjalani pembedahan tebukan saluran pernafasan kerana mengalami
masalah tidak dapat bernafas melalui hidung.
Cara pratiknya.
• Rapatkan mulut pemulih ke lubang tiub getah mangsa di bahagian leher mangsa.
• Beri hembusan sambil mata memerhati bahagian dada mangsa bagi jarak menetukan dada mengembang atau
tidak.
• Jarak setiap hembusan adalah sama seperti kaedah yang diterangkan dahulu.

d) Kaedah Holger Neilson.
Kaedah ini sesuai dilakukan bagi mangsa yang mengalami terhenti pernafasan. Kaedah ini tidak sesuai dilakukan
bagi mangsa-mangsa yang mengandung atau gemuk dan berperut buncit.
Cara pratiknya.
• Mangsa dibaringkan dalam baringan meniarap dengan lengan dan tangan mangsa mengampu bahagian kepala dan
mukanya.
• Palingkan muka mangsa ke kiri/kanan dan donggakkan kepala mangsa ke hadapan supaya saluran pernafasan
mangsa terbuka.
• Pemulih duduk separuh melutut di bahagian kepala mangsa.
• Kedua-dua tangan pemulih diletakkan di bahagian kiri dan kanan tulang scapula.
• Kenakan tekanan dengan menggunakan berat badan selama kira-kira 2 saat di bahagian tulang scapula mangsa.
• Angkat bahagian kedua-dua siku mangsa ke atas supaya rongga dada mangsa mengembang. Lakukan selama kira-
kira 2 saat.
• Letakkan kembali tangan pemulih ke bahagian tulang scapula mangsa.
• Kaedah ini di lakukan berulang kali sehingga mangsa bernafas kembali atau sehingga tiba bantuan perubatan.

e) Kaedah Selvesters
Cara pratiknya.
• Letakkan mangsa dalam baringan melentang.
• Pemulih melutut di bahagian kepala mangsa dengan bahagian lutut pemulih mengepit bahagian kepala mangsa.
• Dongakkan kepala mangsa.
• Pegang kedua belah pergelangan tangan mangsa dan letakkan di bahagian dada mangsa.
• Kenakan tekanan di bahagian dada menggunakan berat badan pemulih. Jangan gunakan kaedah kekuatan tenaga
menekan dada mangsa kerana ini boleh mencederakan dada mangsa.
• Tekanan dilakukan selama kira-kira 2 saat.
• Angkat dan depangkan kedua-dua belah tangan mangsa supaya memberi ruang dada dan mengembang kira-kira 2
saat.
• Kembalikan tangan ke bahagian dada dan lakukan kaedah ini berulangkali sehingga mangsa pulih atau bantuan
tiba.

f) Kaedah Schafers
Cara pratiknya.
• Letakkan mangsa dalam baringan meniarap dengan bahagian tangan mangsa mengampu bahagian kepalanya.
• Pemulih duduk melutut selari dengan bahagian pinggang / punggung mangsa dengan muka mengarah ke arah
kepala mangsa.
• Letakkan kedua belah tangan di bahagian pinggang mangsa. Kenakan tekanan dengan menggunakan berat badan
ke atas mangsa sekama kira-kira 2 saat.

• Balikkan badan pemulih ke tempat melutut bagi melemahkan tekanan.
• Kaedah ini dilakukan berulang-ulang kali sehingga mangsa pulih atau sehingga tibanya bantuan perubatan.

2) PEMULIHAN PERNAFASAN DAN PERGERAKAN JANTUNG
Resusitasi Kardio Pulmonari (CPR)
Resusitasi Kardio Pulmonari adalah kaedah pemulihan gabungan permulihan pernafasan dengan permulihan
pergerakan jantung yang terhenti. Di dalam kaedah ini permulihan pernafasan yang dilakukan adalah secara mulut ke
mulut, mulut ke hidung atau mulut ke lubang pernafasan di tengkuk. Manakala permulihan pergerakan jantung adalah
secara mengenakan tekanan (kompresi) di bahagian tertentu dada.

Kombinasi kedua-dua bantuan tersebut membolehkan darah menerima bekalan oksigen dan seterusnya
mengedarkannya ke otak dan lain-lain organ penting.
Terdapat beberapa sebab jantung terhenti. Antaranya ialah:
i. Penyakit jantung termasuk gelepar ventrikular (ventricular fibrilltion).
ii. Kejutan elektrik.
iii. Alahan
iv. Pengambilan dadah yang berlebihan.
v. Penyakit angin ahmar (stroke).
vi. Lemas (asap, gas beracun atau tersumbat saluran pernafasan).
vii. Kecederaan.

Resusitasi Kardio Pulmonary perlu dilakukan dengan segera dan tepat apabila terjadinya kejadian pernafasan dan
pergerakan jantung terhenti kepada mangsa. Ini disebabkan faktor-faktor berikut:

a. Bantuan diberi antara 0 hingga 5 minit selepas kejadian, peluang memulihkan mangsa adalah pada kadar 12%.
b. Bantuan selepas 5 hingga 10 minit kejadian, peluang mangsa pulih adalah pada kadar 2% sahaja.
c. Selepas 10 minit kejadian, tiada sebarang peluang memulihkan mangsa.

Di dalam istilah perubatan, terdapat 2 jenis kematian selepas kejadian pernafasan terhenti. Kematian tersebut ialah:
a. Kematian klinikal – bermaksud kematian sementara di mana sel-sel otak dan sel-sel organ belum mengalami
kematian walaupun pernafasan dan jantung terhenti. Kematian klinikal boleh dipulihkan sekiranya bantuan segera dan
awal diberikan kepada mangsa selepas kejadian terjadi.
b. Kematian biological – kematian kekal di mana sel-sel otak dan semua sel-sel organ badan telah mati. Kematian ini
tidak boleh dipulihkan kembali.
Sel-sel otak akan mula mengalami kematian selepas 4 minit pernafasan dan jantung terhenti. Ia akan mati kekal
selepas 10 minit tidak menerima bekalan darah beroksigen.
Terdapat peringkat-peringkat tertentu yang perlu diikuti dalam resusitasi Kardio Pulmonary. Antaranya ialah:
a. Saluran pernafasan (airway)
b. Pernafasan (breathing)
c. Edaran darah (circulation)
a) Saluran pernafasan.
• Pastikan mangsa betul-betul dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan teknik menggoncangkan kedua-dua bahu
mangsa sambil memanggil beliau.
• Setelah pasti mangsa pengsan, donggakkan kepala mangsa dan bahagian dagu mangsa (head tilt and chin lift).
Bagi menetukan saluran pernafasan mangsa terbuka. Ini penting kerana semasa mangsa pengsan, otot-otot lidah dan
epiglotis menjadi lemah dan menyempitkan saluran pernafasan mangsa.

b) Pernafasan
• Pastikan mangsa bernafas atau tidak dengan teknik lihat, dengar dan rasa secara mendekatkan telinga dan pipi
penolong ke bahagian hidung mangsa sambil mata memerhatikan pergerakan dada mangsa.
• Beri bantuan pernafasan secara kaedah teknik mulut ke mulut, mulut ke hidung atau mulu ke lubang di tengkuk
mengikut keadaan mangsa.
c) Edaran darah
• Periksa pergerakan nadi dengan cara merasa nadi di leher (nadi karotik) atau lengan (nadi brachial) bagi bayi.
• Lakukan tekanan di bahagian luar dada (chest comression) setelah dipastikan pergerakan nadi terhenti.

KOTAK PERTOLONGAN CEMAS ( FIRST AID KID )
Keperluan-keperluan sesebuah kotak pertolongan cemas adalah seperti berikut :
1. Kotak yang bertutup untuk mengisi peralatan.
2. Kain anduh tiga segi
3. Kain kasa sucihama
4. Kapas
5. Kain pembalut gulung
6. Kain pembalut gulung elastik ( crepe bandage )
7. Plaster
8. Ubat gosok atau minyak gosok
9. Ubat luka ( lotion flavine, gentian violet atau burnol )
10. Ubat cuci luka ( cetavlon atau dettol )
11. Garam cium ( smelling salt )
12. Penyepit ( forcep )
13. Buku catitan
14. Pin
15. Pen/pensel

Kotak pertolongan cemas hendaklah selalu diperiksa supaya ianya bersih, alatannya mencukupi dan kotak itu di tutup
dengan baik bagi mengelakkan dimasuki oleh serangga atau binatang. Selain itu, kotak pertolongan cemas perlu
bertanda dengan tanda bulan sabit merah atau palang merah. Ia perlu diletak di tempat yang selamat dan mudah
dilihat dan agak tinggi supaya tidak mudah diambil oleh kanak-kanak. Ubat berbentuk cecair perlu ditutup rapat
supaya tidak mudah tumpah atau bocor dan ditanda dengan perkataan racun bagi bahan-bahan beracun.


Click to View FlipBook Version