1
KOLEKSI KARANGAN BAHASA MELAYU
KERTAS 1 BAHAGIAN B
PERCUBAAN & SPM 2014-2019
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
2
Contoh 1: (surat kiriman tidak rasmi)
Adik anda bakal menduduki peperiksaan SPM. Adik anda ingin mengetahui ciri-ciri untuk
memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Balas surat adik anda itu.
18, Blok E,
Kolej Tun Dr. Ismail,
Universiti Putra Malaysia,
43300 Seri Kembangan.
20 September 2014.
Menemui adinda Viki di Pekan, Pahang semoga dalam keadaan sihat dan sejahtera. Ketika
menulis surat ini, kekanda dalam keadaan sihat, diharapkan adinda Viki dan seluruh ahli keluarga
lebih-lebih lagi.
Dua hari lalu kekanda menerima surat daripada adinda. Sebenarnya kekanda mahu segera
membalas surat tersebut tetapi disebabkan kesibukan menyiapkan tiga tugasan yang diminta
oleh pensyarah, kekanda menangguhkan dulu, hinggalah hari ini barulah ada sedikit kelapangan.
Sebenarnya kekanda sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi
peperiksaan semester akhir di Universiti Putra Malaysia ini. Doakanlah semoga kekanda
memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Komputer Forensik. Kejayaan ini,
sesungguhnya menjadi bukti bahawa sesiapa juga boleh berjaya dalam pelajaran, asal sahaja
bekerja keras mengulang kaji pelajaran dari awal lagi.
Adinda Viki,
Bagi kekanda, usaha yang pertama ialah dari diri sendiri, iaitu menyediakan diri dan minda
untuk belajar. Hal ini bermakna, seseorang pelajar jika ingin berjaya, perlu bersedia untuk belajar.
Sebab, bukan mudah menjadi seorang pelajar; terpaksa bangun pagi, bergegas naik bas,
terpaksa menyudahkan tugasan yang guru suruh, mengambil bahagian dalam kokurikulum, dan
menelaah pelajaran. Dengan hati yang rela, walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan
tugasan yang berat, segala masalah perlu dihadapi dengan tenang seperti kata pepatah kalau
tak dipecahkan ruyung masanan dapat sagunya. Ketika belajar, ada ketikanya menerima
kejayaan dan pada detik yang lain pula menghadapi kegagalan. Kejayaan dijadikan dorongan
dan kegagalan pula dijadikan sempadan. Ingatlah kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Berdasarkan
pengalaman lampau, ramai teman kekanda ke sekolah kerana terpaksa disebabkan disuruh oleh
kedua-dua orang tua. Akhirnya, yang ditemui hanyalah kegagalan setelah masa dan wang ringgit
dicurahkan.
Guru ibarat ibu bapa kita yang perlu dihormati dan disanjungi. Tanyalah kepada semua guru,
tentu tidak ada yang mengharapkan kegagalan anak muridnya, sebaliknya mereka gigih
berusaha memastikan anak muridnya berjaya dalam pelajaran dan hidup. Apa yang berlaku
sekarang, ramai pelajar menganggap guru musuh yang patut dibenci gara-gara menghukum
mereka yang melanggar peraturan sekolah. Guru tidak akan sesuka hari menegur, meleteri, dan
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
3
merotan, jika peraturan yang ditetapkan dipatuhi. Disebabkan bersikap menentang, keberkatan
dalam mencari ilmu tidak akan diperoleh. Ingatlah, sayangilah guru dan berusahalah merebut
sebanyak mungkin ilmu di mindanya.
Adinda Viki yang dikasihi,
Sewaktu guru mengajar perlulah memberi tumpuan 100 peratus. Memang ada yang
mengajak berbual ataupun mengusik, pedulikan mereka. Sesetengah daripada
pelajar menganggap, jika tidak memahami apa yang diajar oleh guru, boleh ditanya di pusat
tuisyen. Sebenarnya jika tekun dan memahami sungguh-sungguh apa yang diajar guru, tidak
perlu lagi membuang masa mengikuti kelas tuisyen. Namun, bagi mereka yang lemah, adalah
digalakkan memanfaatkan masa mengikuti kelas tambahan. Mungkin suasana di kelas, pelajar
ramai, panas dan tidak mempunyai peluang untuk bertanya menyebabkan pemahaman sesuatu
tajuk sukar berkekalan di kotak fikiran. Sebab itu kekanda ingatkan, jika adinda Anum rasa perlu
mengikuti tuisyen, tidak menjadi masalah, namun ketika guru mengajar di kelas, adinda perlu
memberikan sepenuh perhatian.
Jadual waktu perlu ada bagi setiap pelajar yang inginkan kejayaan cemerlang dalam
pelajaran. Ada masa untuk belajar, ada masa untuk beriadah, dan berhibur. Balik dari sekolah,
setelah bersolat zuhur, bolehlah membaca akhbar sambil mendengar lagu. Selepas itu,
kemaskinikan nota pelajaran. Kerja sekolah yang guru suruh perlu disiapkan. Jam 6.00 hingga
7.00 petang bolehlah beriadah sesama rakan sebaya. Sebenarnya aktiviti bersukan, sama ada
menerusi permainan ataupun berlari boleh merehatkan minda, sekaligus mengurangkan tekanan.
Seelok-eloknya makan malam sebelum waktu maghrib, sebab sejam selepas makan daya
ingatan kurang mampu berfungsi. Selepas maghrib, eloklah mengulang kaji pelajaran. Jika pun
mahu menonton televisyen hanyalah siaran berita sahaja. Dalam jadual, lebihkan belajar
daripada berhibur.
Adinda Viki yang diingati,
Cara belajar perlulah sistematik. Sebelum sesuatu tajuk diajar oleh guru, adinda perlulah
menyediakan diri dengan membaca secara sepintas lalu. Selepas guru mengajar, perlulah
membaca dan membuat latihan agar tidak lupa. Jika mahu sesuatu topik kekal lama di dalam
ingatan, buatlah latihan sebanyak mungkin. Buku-buku latihan dan buku panduan boleh didapati
di kedai buku di bandar Pekan. Kadang-kadang belajar bersendirian mudah mengantuk. Pada
hari cuti, khususnya Sabtu dan Ahad bolehlah bawa teman-teman ke rumah; dua atau tiga orang
untuk belajar. Namun, sebelum belajar perlulah menetapkan tajuk tertentu agar masing-masing
bersedia. Sebaik-baiknya, pilihlah rakan yang mempunyai daya saing untuk memperoleh
kejayaan; agar sama-sama mempunyai satu matlamat iaitu memperoleh sebanyak mungkin A
dalam SPM.
Semangat tidak mahu mengaku kalah perlu ada dalam diri. Rata-rata pelajar cepat berputus
asa apabila menghadapi kegagalan. Apabila mempunyai jati diri yang kental dan bersemangat
waja, yang difikirkan adalah kejayaan demi kejayaan. Dalam waktu yang sama, sebagai orang
Islam perlu ingat, qadak dan qadar ketentuan Allah. Kita tidak tahu hikmah yang tersembunyi.
Sebagai hamba-Nya, setelah berusaha perlulah memanjatkan doa. Dalam waktu yang sama,
restu ayah dan ibu perlu kita pohon. Sebelum ke sekolah, jangan lupa mencium tangan ayah dan
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
4
ibu. Inilah yang kekanda lakukan selama ini dan kekanda yakin Viki juga begitu. Sekiranya
mempunyai semangat waja, gigih berusaha, berdoa kepada Allah, dan memohon restu daripada
kedua-dua orang tua, insya-Allah kejayaan yang cemerlang akan menjadi kenyataan.
Sebenarnya jika kekanda mahu tuliskan kesemuanya, barangkali boleh menghasilkan
sebuah buku. Namun memadailah enam ciri tersebut. Sebenarnya kekanda yakin, ciri-ciri
tersebut sudah adinda amalkan, sebab itulah pada peperiksaan akhir tahun lalu adinda
memperoleh kejayaan cemerlang dan sebelum itu, menerusi peperiksaan PMR adinda
memperoleh 8A. Kekanda yakin adinda calon cemerlang di Pekan dan tahun depan akan
melangkah ke universiti. Sebelum berpisah salam untuk adinda Viki, Thana dan Vishalini. Tidak
lupa kepada kedua-dua orang tua kita yang jasanya begitu banyak dan tidak mungkin mampu
kita membalasnya. Sehingga bertemu lagi, salam sayang daripada kekanda untuk semua.
Sekian, terima kasih.
Kekandamu di UPM.
Sarane
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
5
Contoh 2: Dimensi keluarga
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup
sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit
jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan
berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan
cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi
kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk
mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing
manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara
umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-
anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan
keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-
anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan
dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat.
Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-
anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan
penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan
tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan
pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan
apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar
untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan
anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-
anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa
dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup
sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama
toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap
serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan
tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal,
berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini
boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja.
Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri dari
aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa
perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup
sihat dapat dipupuk.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
6
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk
membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali
ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan
sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan
dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan
mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati
anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan
doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja,
ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada
masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan
memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan
diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan
asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga
perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka
juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti
mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak
dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera.
Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa
padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar
dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu
bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka.
Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada
sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-
royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli
keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa
penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di
dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap
dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang
positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada
pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan
keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
7
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup
yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli
keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-
masing akan memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang
itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat
,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para
ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan
daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan
yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih
dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu
maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak.
Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif
menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka
dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga
ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa
sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian
kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa
perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan
yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat
melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu
untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan
sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama
anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan
bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat
mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh
ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu
direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan
mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-
kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada
masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari
persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak
bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka
dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
8
adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi
dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu
memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa
dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak
yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya
penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat
dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas
itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah
hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
9
Contoh 3: Dimensi Individu
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai
informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar
kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada
media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar
merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus
secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar
menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah
saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya
akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat
sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar
pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku
disusun atur dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini
keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada
seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang
kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu
mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar
semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.
Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai
budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam
kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun
sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan
sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan
program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi
pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan
agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya
akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar
untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
10
segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang
baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah
juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara
tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para
pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya
mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia
dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung
menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama, bak kata peribahasa budi bahasa
budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan
merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga
akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam
oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama
sekiranya mereka lewat atau sengahaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh
yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah
agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya
komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk
buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku
yang dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber
yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman
dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang
bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama
ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah
berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata
peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
11
Contoh 4: Dimensi keluarga
Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak
menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju tahun 2020,
Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta
produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-
agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar
dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik.
Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan
dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang
kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa
perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa
mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa
bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling dikagumi kerana
ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir
permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi
berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti
ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang
rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta
buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic,
Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak
mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak
mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian
kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil
untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh
menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa
Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat
menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban
untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi
warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan
negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan
produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan
Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar
Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk
meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat
cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
12
mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna
yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama
Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa
anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan
Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya
barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh,
kraf tangan dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa
perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada
pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda
yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah
merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis
pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai
pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan
kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya
mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan
Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli
barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya,
menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu
anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding
dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang.
Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli
Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui
secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan
tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak
harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia
Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu
bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia
kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan
kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang
amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan
barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja
mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat
dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan
import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau bagaimanapun, usaha
daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
13
tema Hari Kebangsaan 2020 Malaysia Prihatin menyemarakkan semangat seisi negara agar
seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan
membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang
tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
14
Contoh 5 : Dimensi Keluarga
Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan
masyarakat di negara kita.
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.
Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-
olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja.
Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong
radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej
yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang
bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini
daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan
peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.
Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar
mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu
mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini
penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di
hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka
ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng
sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar
mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.
Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun
sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan
hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa
apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu
bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu
bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi
bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa
disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat
seperti seks bebas.
Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan
langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan
minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di
dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang
melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk
sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu
terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor.
Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang
implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah
lebih baik daripada mengubati”.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
15
Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu
bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan
didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan
dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah
terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan
agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu
dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati
dengan diri mereka bak kata pepatah, “Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu
jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan
terlibat dalam kancah maksiat.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai
dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti
seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi
dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka
juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik
dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik merekabagai menatang minyak yang penuh.
Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai
mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang
membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui
aktiviti-aktiviti anak mereka di luar.Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak
dengan aktiviti pembuangan bayi.
Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam
usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah
menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi
dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya.
Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa
akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana
mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian
dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
16
Contoh 6: Dimensi Antarabangsa
Teknologi perubatan yang semakin canggih telah meningkatkan tahap kesihatan
masyarakat di seluruh dunia.
Ulas pernyataan tersebut.
Pendahuluan: Kesihatan ialah harta. Kesihatan menjadi asbab seseorang itu boleh mencapai
matlamat hidupnya. Malahan dalam sepotong Hadis Nabi SAW yang sangat penting, terdapat
satu segmen yang menyatakan, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”.
Demikianlah pentingnya kesihatan. Fakta dan data turut menunjukkan bahawa negara-negara
yang dihimpit kemiskinan terutama dalam jazirah Afrika mengalami krisis kesihatan yang amat
menyedihkan. Hal yang demikian memang tidak dapat dielakkan memandangkan kegagalan
mereka dalam revolusi teknologi perubatan. Oleh hal yang demikian, penemuan teknologi dan
inovasi dalam kaedahkaedah baharu perubatan amatlah penting. Bidang-bidang penemuan
seperti MRI, pengesanan laser, pancaran sinar-x (x-ray) telah berjaya menyelamatkan pesakit
kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan pelbagai lagi komplikasi penyakit
berbahaya. Sehubungan dengan itu, penemuan teknologi moden dalam dunia perubatan
memberikan harapan baharu kepada penghidap penyakit untuk pulih seperti sedia kala.
Isi 1: Penyakit-penyakit kronik yang bersifat tradisional seperti kolera, malaria dan tibi hampir
pupus dengan terhasilnya pelbagai teknologi perubatan. - hasil kejayaan penemuan vaksin dan
antibodi – penyakit bawaan vektor dan anasir air berjaya dikawal melalui teknologi penapisan dan
perawatan air - penyakit seperti kudis buta, puru dan radang kulit berjaya dikawal dengan adanya
antiseptik dan antibodi
Isi 2: Teknologi penemuan ubat-ubatan moden (alopati) dapat mengawal penyakit daripada
merebak dan bertambah kronik - ubat-ubat moden dihasilkan secara kajian saintifik - kesan
sembuh yang pantas dan berkesan
Isi 3: Inovasi rawatan moden seperti studio dan teater pembedahan - kemudahan asas merawat
penyakit amat moden dan canggih - memberikan kemudahan pengesanan penyakit dengan lebih
pantas dan pada peringkat awal - dapat menyelamatkan nyawa dan memberikan harapan untuk
terus menikmati kehidupan yang selesa
Isi 4: Pengesanan penyakit lebih awal – kaedah mencegah daripada mengubati - semua
teknologi pengubatan dicipta untuk mengenal pasti penyakit lebih awal - sistem diagnosis
Isi 5: Perkongsian maklumat dalam kalangan pengamal perubatan tentang kaedah merawat
penyakit dan ubat-ubatan yang sesuai melalui kaedah silang teknologi maklumat dan sidang
video.
Penutup/Kesimpulan: Kalangan bijaksana sering mengungkapkan bahawa harta yang paling
bernilai dalam kehidupan insan ialah keluarga yang bahagia, jiran yang baik dan kesihatan yang
terjaga. Oleh sebab itu, tuntutan untuk menjaga kesihatan adalah menjadi tanggungjawab kepada
setiap individu, keluarga, masyarakat, pemerintah dan pengamal perubatan itu sendiri. Tanpa
kualiti kesihatan yang baik kemaslahatan ummah untuk mencapai kajayaan dunia dan akhirat
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
17
akan terbelenggu. Oleh hal yang demikian, semakin canggih manusia dengan penemuan
pelbagai teknologi, justeru semakin canggih juga kualiti kesihatan hendaklah ditemukan.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
18
Contoh 7: Dimensi Individu
Penjagaan kebersihan amat penting dalam usaha melahirkan generasi yang cinta akan
kebersihan. Sebagai remaja, bincangkan cara-cara anda membentuk penampilan yang
baik.
Bagi memulakan arena perbincangan tentang isu ini, saya tergerak hati untuk memetik
pepatah dalam bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”.
Mendalami kandungan tersirat pepatah tersebut, jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun
utama untuk menentukan tahap tinggi atau rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliknya.
Kebersihan juga merupakan sifat Tuhan yang terpuji yang disebut dengan kata ‘nadzifah’.
Kebersihan selanjutnya menjadi lambang ketamadunan dan taraf berfikir sesuatu bangsa sama
ada maju atau masih primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan dan kekemasan diri sering
diukur sebagai piawai penampilan sahsiah seseorang. Seyogia, sebagai remaja pada
pascamilenium ini, saya sedar bahawa kebersihan, kekemasan dan sahsiah yang baik
merupakan ciri-ciri penampilan diri yang baik dan wajar diamalkan dengan pelbagai prakarsa.
Kebersihan yang nyata ialah yang tampak pada zahirnya. Walau bagaimanapun,
kebersihan yang hakiki ialah kebersihan batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan
kebersihan sama ada zahir mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati
nurani pada diri seseorang. Dalam hal ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya menyatakan, “Mahu
melihat kecantikan diri bercerminlah, sebaliknya mahu melihat kecantikan batin bercerminlah
pada wajah”. Oleh sebab itu, sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu menghiasi jiwa dan rohani.
Apabila saya mengamalkan sifat-sifat seperti takwa, bersyukur, amanah dan berhemah, justeru
terpancarlah keindahan tersebut pada peroman. Demikianlah hakikat keindahan peribadi, bak
kata peribahasa, wajah cerminan hati.
Penampilan juga harus terpancar daripada amalan disiplin dan tingkah laku yang patuh
akan peraturan, sentiasa istiqamah dan jujur terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Dalam hal
ini, saya amat sedar bahawa tanpa disiplin dan peraturan individu itu akan gagal menguruskan
dirinya sama ada dalam aspek pengurusan masa, kekemasan dan kebersihan. Hasil kerja
individu berkenaan juga sentiasa tidak terurus, dan gagal mencapai KPI yang dikehendaki oleh
pelanggannya. Dengan hal yang demikian, saya harus bertegas terhadap peraturan seperti
mengaturkan jadual dan tidak melakukan sesuatu kerja secara sambalewa. Minda yang mula
dihimpit dengan sikap kurang berdisiplin akan mempengaruhi tindakan dan akhirnya
berkesudahan dengan kekecewaan, kemurungan dan mudarat kepada kesihatan mental
mahupun fizikal. Oleh itu, saya harus cakna terhadap sebarang tindakan kerana individu yang
gagal merancang bererti dia merancang untuk gagal.
Perihal kekemasan juga menjadi suatu lagi elemen penting dalam memastikan
penampilan yang segak dan berkeyakinan. Hal yang demikian itu amatlah mustahak kerana
dalam dunia moden ini individu tidak dapat lari daripada berkomunikasi dengan pelbagai klien.
Asas-asas kekemasan seperti cara berpakaian, kebolehan menyesuaikan diri dan fasih tutur kata
dengan bahasa yang sopan memberi kelebihan individu itu mudah diterima oleh pelbagai
peringkat khalayak. Penilaian yang positif menjadi kriteria utama diri kita mudah diterima terutama
dalam situasi seperti menghadiri temu duga, mengendalikan sesuatu majlis rasmi mahupun
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
19
berurusan dengan pihak atasan. Sesungguhnya, semua penerimaan itu terangkum dalam
serangkap pantun seperti di bawah;
Cantik tenunan dengan sujinya,
Benang bertekat tenunan asli;
Santun berbudi kerana bahasanya,
Sopan berbudi lantunan hati.
Sahsiah dan harga diri merupakan pakaian luar dan dalam yang membolehkan seseorang
itu mendapat pengiktirafan dan mudah diterima pada semua tempat dan masa. Sahsiah terbina
daripada kesyumulan akhlak dan akal budi. Sahsiah yang baik merupakan aset paling berharga
yang menentukan darjat dan martabat individu. Walaupun rupa paras dan gaya menjadi ukuran
awal seseorang, sebaliknya sahsiah menjadi piawai akhir sama ada individu tersebut baik atau
sebaliknya. Oleh sebab itu, sebagai anak muda saya wajar mengasosiasikan ilmu pengetahuan,
pengalaman bergaul dan mematuhi tunjuk ajar daripada para guru dan ibu bapa untuk menjadi
insan kamil yang terpilih. Sifat-sifat mazmumah seperti meninggi diri, keras kepala dan tidak
beramanah hendaklah dijauhi. Sewajarnya, menjadi resam anak muda, saya harus patuhi
tatakelaku seperti merendah diri dan menghormati orang yang lebih tua kerana sudah lumrah
ular menyusur akar tidak akan bisanya. Al hasil dengan amalan berbudi bahasa saya dapat
memaparkan aura yang ideal sama ada zahir mahupun batin.
Kesimpulannya, penampilan dan sahsiah menjadi harta peribadi yang membolehkan
individu dapat menyesuaikan dirinya dalam semua situasi. Sama ada di sudut agama, peradaban
mahupun budaya, perihal kebersihan, kekemasan dan sahsiah yang terpuji akan membangunkan
sebuah budaya bangsa yang unggul dan disegani. Dalam sepotong ayat Al Quran turut
menyatakan, “Sesungguhnya, Allah itu cantik dan amat menyukai akan sesuatu yang cantik juga”.
Berpandukan petunjuk tersebut, selaku anak muda harapan bangsa, saya harus memperlangkap
diri dalam pakej yang segak, kemas, dan bersahsiah mulia demi menampilkan ciri-ciri anak muda
aset negara.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
20
Contoh 8: Dimensi Negara
Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah
negara. Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di
sesebuah negara.
Pelaburan asing merupakan strategi lautan biru dalam memperkasakan sektor ekonomi
kepada sesebuah negara. Dalam konteks pasaran, pelaburan asing bermaksud sesebuah
kerajaan atau konglomerat cuba menjualkan teknologi, kepakaran dan produk menjangkau ke
pasaran global. Dalam era globalisasi kini, pelaburan asing menjadi sebahagian daripada inisiatif
ekonomi berimpak besar untuk melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara. Sama seperti
negara-negara di dunia yang lain, Malaysia turut tidak ketinggalan sebagai pemain ekonomi
industri yang sedang berkembang dengan membuka dasar pelaburan luar di samping turut
menggalakkan pelaburpelabur tempatan untuk mengembangkan sayap perniagaan di lapangan
antarabangsa. Hal demikian telah menunjukkan bahawa pelaburan asing sebagai suatu
kemestian jikalau sesebuah negara mahu bersaing di pentas ekonomi antarabangsa. Pelaburan
asing yang bersifat rentas negara yang sedang berkembang pesat pada hari ini adalah
dipengaruhi oleh beberapa faktor sama ada faktor dalaman mahupun luaran.
Keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara menjadi bonus untuk negara
tersebut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kini dalam suatu nada untuk
mewujudkan kesamarataan sejagat, kestabilan politik dan keamanan di sesebuah negara
menjadi agenda penting. Hal tersebut akan mendorong syarikat-syarikat besar di peringkat
antarabangsa untuk memperkembangkan polisi pelaburan mereka di rantau lain. Dengan hal
yang demikian, setiap negara mula menggerakkan inisiatif agar iklim politik dan keamanan
domestik sentiasa terkawal. Dengan keyakinan tersebutlah, syarikat-syarikat ternama
antarabangsa seperti Apple, Panasonic, IBM, Intel, SAMSUNG dan sebagainya sudah wujud
dalam lingkungan geopolitik antarabangsa. Asas yang utama daripada minat pelabur tersebut
adalah atas faktor keselamatan dan iklim pelaburan yang menjaminkan keuntungan.
Polisi yang telus dan mesra pelabur yang diamalkan oleh sesebuah kerajaan turut
menyokong pelaburan asing. Kebanyakan negara Dunia Ketiga khususnya mula membuka mata
kepada pelaburan asing sebagai suatu strategi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada
rakyat mereka. Hal yang demikian telah membuka laluan kepada berkembangnya pasaran luar
oleh negaranegara industri seperti Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara EU. Di Asia
Tenggara sendiri, polisi yang dilaksanakan oleh negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan
Thailand telah membuka peluang pekerjaan yang banyak di samping berjaya memacukan
ekonomi domestik. Pada hari ini, industri seperti automobil yang dikuasai oleh Jepun telah mula
membuka pelaburan mereka terutama di Indonesia dan Thailand. Syarikat-syarikat automotif
ternama Jepun seperti Toyota, Honda, Isuzu dan Nissan pada hari ini telah mula memindahkan
teknologi mereka terutama ke Indonesia dan Thailand atas dasar ketelusan negara terbabit dalam
polisi pelaburan asing mereka ibarat sambil menyelam minum air.
Pasaran tempatan di sesebuah negara turut menjadi insentif utama kemasukan pelaburan
asing. Matlamat utama pelaburan adalah untuk memperluas pasaran produk. Oleh itu, peluang
terbaik kepada pelabur adalah dengan terus menanam modal di negara terbabit. Selain
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
21
memperoleh bekalan buruh tempatan yang murah, malahan antara 20 hingga 30 peratus produk
dapat dipasarkan untuk kegunaan domestik. Sementara itu, bagi kebanyakan Negara Dunia
Ketiga, pertumbuhan kadar kelahiran tidak pernah disekat. Sebagai contoh, negara-negara yang
padat dengan penduduk seperti Indonesia 280 juta, Thailand 80 juta, Pakistan 196 juta sudah
tentu mempunyai potensi pasaran yang terlalu besar. Rangsangaan tersebut telah memberi
insentif besar kepada kemajuan pasaran domestik bak kata peribahasa banyak air ikan tidak
mati.
Pada hari ini dasar buruh di peringkat global menjadi semakin komplek dengan fenomena
pergerakan migrasi dan pendatang. Gelombang perpindahan dari negara miskin ke negara-
negara maju dan Negara Dunia Ketiga menyebabkan peningkatan buruh asing di kebanyakan
negara semakin sukar dikawal. Fenomena yang sama jelas terjadi kepada Malaysia apabila
limpahan buruh asing telah mencecah 7.3 juta orang. Limpahan tersebut telah memaksa kerajaan
lebih berlembut atas dasar kemanusiaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada pekerja
asing untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan syarikat multinasional. Lama-kelamaan dasar
tersebut sudah menjadi suatu polisi pula apabila lebih banyak pelabur asing yang berminat untuk
melabur. Hal demikian samalah seperti kata peribahasa, di mana-mana ada air bertakung di
situlah ikan bernaung.
Selain itu, kemasukan pelabur asing turut disokong oleh dasar pelaburan kebangsaan
yang diamalkan oleh kebanyakan negara. Apabila dirujuk kepada Malaysia, kerajaan melalui MITI
sentiasa menghantar misi kempen galakan pelaburan luar ke negara-negara maju. Langkah
tersebut yang merupakan strategi serampang dua mata yang memberikan fokus kepada
penyediaan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi menarik pelabur luar bagai pucuk
dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal. Kemasukan pelabur asing juga
turut menerima pelbagai insentif daripada pihak kerajaan seperti zon perindustrian bebas,
kemudahan prasarana, jaminan pinjaman bank dan keselamatan operasi yang terjamin. Di
samping itu, negara turut menerima tempias positif apabila berlaku pemindahan teknologi kepada
anak-anak tempatan yang menjadi sebahagian daripada dasar melahirkan lebih ramai tenaga
profesional tempatan.
Tuntasnya, dalam era yang dikawal oleh polisi global kini, sesuatu polisi hendaklah
dirancang untuk mewujudkan situasi menang menang kepada semua pihak yang
berkepentingan. Dasar perlindungan dan dasar monopoli sudah tidak relevan lagi. Hal yang sama
sudah tentu berlaku dalam dasar pelaburan antara negara kerana ekonomi adalah menjadi
tangan ghaib yang menentukan kedudukan politik dan sosial di sesebuah negara.
Sesungguhnya, polisi pelaburan asing yang diamalkan oleh Malaysia pada masa ini adalah
sangat tepat.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
22
Contoh 9: Dimensi Negara
Dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan dalam
kalangan masyarakat merupakan anak kunci utama untuk menjanakan kemajuan ekonomi
dan sosial.
Huraikan kepentingan perpaduan terhadap perkembangan ekonomi dan sosial.
Apabila disebut tentang Malaysia, tergambarlah di dalam minda seseorang tentang
sebuah negara di Asia Tenggara yang memiliki komposisi penduduk dengan masyarakat
majmuk. Pemajmukan itu begitu unik kerana terdapat pelbagai etnik yang besar dan yang kecil
dapat hidup bersama dan harmoni. Walau bagaimanapun, atas beberapa perubahan yang
berlaku secara domestik dan global, adakalanya perpaduan dan keharmonian dalam kalangan
masyarakat Malaysia kadang-kadang tergugat. Situasi itu jelas terlihat daripada beberapa insiden
yang melibatkan kaumkaum di Malaysia. Yang terbaru ialah isu krisis kuil di Seafield, kini mula
carik dan merebak menjadi barah pergeseran kaum. Sedikit atau banyak insiden-insiden itu boleh
merenggangkan hubungan antara kaum jikalau tidak dibendung dengan sebaik mungkin. Atas
hakikat kita telah merasai pelbagai nikmat daripada perpaduan yang telah terjalin sejak sekian
lama, maka semua pihak amatlah wajar bermuhasabah dan merenung semula akan hikmah yang
akan kita peroleh daripada perpaduan.
Signifikan daripada nikmat perpaduan adalah dapat menjaminkan keamanan negara dan
memupuk kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Kerjasama merupakan
ramuan penting yang membolehkan sesuatu matlamat yang hendak dituju menjadi kenyataan.
Kini matlamat perdana negara adalah untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Kini
semua asas untuk menjadi negara maju seperti potensi ekonomi, prasarana pendidikan,
kemudahan infrastruktur awam sudah jelas di hadapan mata. Tinggal lagi semua aset tersebut
akan lebur begitu sahaja sekiranya tiada persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam
kalangan rakyat. Kita akhirnya akan menggigit jari menelan kekecewaan ibarat yang diikejar tak
dapat yang dikendong berciciran.
Perpaduan dalam kalangan rakyat juga menjadi strategi ampuh untuk memupuk dan
memperkaya multibudaya pelbagai kaum. Sesungguhnya, keunikan Malaysia daripada
pancawarna kehidupan masyarakat majmuk merupakan anugerah yang tiada nilainya. Bukan
mudah untuk membentuk masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan, budaya dan
agama untuk berada di bawah satu panji-panji negara. Sepatutnya potensi tersebut digilapkan
secara bersama dan dijadikan produk istimewa untuk menjualkan nama Malaysia di persada
antarabangsa. Kepelbagaian budaya itu telah menatijahkan pelbagai ragam produk sama ada
cara beribadat, adat resam, makanan dan pakaian. Sesungguhnya, suatu faedah yang amat
nyata sekiranya potensi ini dapat digemblengkan oleh seluruh rakyat Malaysia, kita akan menjadi
negara pilihan untuk dikunjungi pelancong. Kedudukan Malaysia pada anak tangga kesepuluh
dalam kalangan negara yang wajib dilawati mampu kita anjak untuk menjadi lebih cemerlang dan
terbilang lagi.
Perpaduan menjadi imlak yang membolehkan individu atau masyarakat membangunkan
potensi budaya, kemahiran dan seni. Peluang untuk membangunkan kreativiti sama ada budaya
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
23
atau nilai seni hendaklah bermula dengan kebebasan individu membangunkan potensi dirinya.
Sebaliknya, berupayakah individu memajukan potensi diri sekiranya setiap kaum sentiasa
menaruh perasaan syak dan sangsi? Tentu sekali kita tidak dapat membangunkan sebarang
unsur positif tanpa perpaduan yang tulen. Perasaan takut yang disemai melalui bibit-bibit
kebencian dan perrmusuhan boleh mematikan kreativiti. Ketakutan sentiasa menjadi asbab
individu tidak berminat untuk memperkembangkan potensi sama ada inovasi, reka cipta dan seni
budaya. Tanpa rakyat yang kreatif dan inovatif, seyogia tiadalah penemuan baharu yang terhasil.
Hal demikian menyebabkan kita terus berada dalam belenggu katak di bawah tempurung dan
gagal menikmati kemajuan ibarat sepuluh jong masuk kuala anjing tetap bercawat ekor.
Ekonomi ialah anak kunci utama yang membolehkan sesebuah negara bersaing sama
ada di peringkat serantau mahupun global. Oleh itu, signifikan daripada perpaduan adalah untuk
menjanakan ekonomi negara. Amalan bertolak ansur, setia kawan dan bermuamalah secara
positif boleh menjadi wasilah kepada persyarikatan untuk membangunkan iktisad sesebuah
negara. Jika dirujuk kepada negara-negara yang maju di dunia seperti Finland, Norway dan
Switzerland jelas sekali negara-negara tersebut berada dalam wilayah geografi yang cukup
tenang dan wujud perkongsian yang cukup sihat dalam kalangan warganya.Konsep
persyarikatan dan polisi menangmenang dalam perniagaan memerlukan sikap yang saling
percaya dan mencintai keamanan yang total. Oleh hal yang demikian, resepinya yang utama
ialah perpaduan yang teguh dan jitu amatlah penting ibarat aur dengan tebing dan serumpun bak
serai sejunjung bak sirih.
Azimat perpaduan yang seterusnya pula adalah untuk kesolideran ummah dan ketahanan
nasional. Sudah lumrah dalam kehidupan, bersatu teguh bercerai roboh dan janganlah terjadi
lesung sama antan bertelingkah ayam yang kenyang. Oleh itu, ketahanan nasional akan terpacu
daripada kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Anjakan globalisasi yang memberi
ruang seluasluasnya kepada warga dunia untuk meneroka peluang di peringkat global, maka
cabaran keselamatan terhadap Malaysia adalah cukup besar. Peluang untuk mengakses semua
maklumat tentang negara hanya berada di hujung jari sahaja. Andainya tiada perpaduan dalam
kalangan kita, justeru peluang pihak luar untuk mengambil kesempatan memporak-perandakan
negara amatlah terbuka. Kita patut belajar daripada sejarah Raja Mandaliar, Nina Sura Diwana
dan Si Kitul yang bertelagah akhirnya membawa kejatuhan kepada empayar Melaka. Inilah
perihal yang menunjukkan, jong pecah yu yang kenyang.
Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang bernaung di bawah panji-panji negara yang
tercinta ini, kita tunjukkan semangat cinta akan negara. Sayangilah harga keamanan dan
kemakmuran yang sedang dikecapi. Kita bersatu dan berpadu dalam nada yang sama, malah
kita junjung kedaulatan ini agar gah di persada global, bahawa sebagai rakyat Malaysia, seyogia
air dicencang tidak akan putus.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
24
Contoh 10: Dimensi Negara
KEPENTINGAN INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS)
Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan
yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah
dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang
berpaksikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Hal ini juga merupakan
rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati
kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah
memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama
dilapah. IKS telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan
batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan
negara.
Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat
terutamanya penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di
kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’. Sebagai contoh
kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain lagi.
Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung
serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini
di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya
tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk
mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk
IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek
haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi
cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada
hari ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan
pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada
masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan
meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai
contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak,
membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut
memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha
untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan
memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka
peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ.
Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat
setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di sesuatu
kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang
memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk
meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
25
dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara
mengurangkan masalah pengangguran.
Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu
meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan
bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah
ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat
keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil
pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian
dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung
yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum
ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga
barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan
meningkat. Secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi
dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan
pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan
IKS terhadap bahan mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian
seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan
subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang
dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat
membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah
melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya
daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS?
Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita
sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli kraftangan untuk dibawa pulang.
Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum
yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu
bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil
kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-
juta ringgit untuk membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah
kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut
bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa
kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita.
Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang
bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Konklusinya, terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada
masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang
ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya
merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan
imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara
menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah terserlah.
Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019
26
perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh
kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS. Diharapkan barangan
keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran di peringkat tempatan dan juga persada
antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan,
Pencapaian diutamakan.
DISUSUN OLEH: SITI ZUHAIDAH/ 2020 KOLEKSI KARANGAN BAHAGIAN B K1 2014-2019