The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by fauzan09-326, 2021-08-21 11:48:08

F4-MUHAMMAD FAUZAN BIN OTHMAN

F4-MUHAMMAD FAUZAN BIN OTHMAN

09

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
59990 Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(Ambilan Jun 2020)

PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU
EDUP3043

Disediakan oleh:

Nama: Muhammad Fauzan bin Othman
No. Kad Pengenalan: 010215-04-0333
2020192340070
Angka Giliran:
Kumpulan/Unit: PISMP F4 Semester 3
Nama Pensyarah: Dr. Shariza binti Said

Tajuk Tugasan: Penulisan Akademik

Tarikh Penyerahan: 21 Ogos 2021

Tarikh Menerima Maklum

Balas Daripada Tarikh:

Pensyarah

DAFTAR KANDUNGAN

Perkara Halaman

Penghargaan ii

1.0 Pengenalan 1

2.0 Analisis Tingkah Laku Bermasalah dalam Kalangan Murid LG 1

3.0 Penggunaan Model Pengurusan Kelompok Kounin dalam 2
Menangani Masalah Hilang Minat bagi Murid LG Bahasa Melayu
4
4.0 Penggunaan Intervensi Bercerita dalam Menangani Masalah Hilang 5
Minat bagi Murid LG Bahasa Melayu

5.0 Kesimpulan

Rujukan 6
Lampiran 7

ii

PENGHARGAAN

Syukur Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan
izin kurniaNya dapat saya menyempurnakan penulisan akademik bagi kursus Pengurusan Bilik
Darjah dan Tingkah Laku (EDUP3043) ini dengan jayanya.

Dengan kesempatan yang ada ini saya amat berbesar hati untuk mengucapkan jutaan
terima kasih kepada Dr. Shariza binti Said, selaku pensyarah bagi kursus tugasan ini kerana telah
meletakkan sepenuh kepercayaan beliau kepada saya untuk menyiapkan tugasan yang
diberikan.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-
putus dalam usaha membantu menyempurnakan tugasan ini terutamanya sekali lagi kepada
pensyarah saya Dr. Shariza binti Said atas budi bicara beliau dalam memberi tunjuk ajar
sepanjang masa tugasan ini dijalankan. Selain itu, saya turut berterima kasih kepada ibu bapa
dan rakan-rakan seperjuangan saya kerana telah banyak menghulurkan bantuan dan kerjasama
bagi merealisasikan usaha menyempurnakan tugasan ini dengan jayanya.

Ucapan ini juga ditujukan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan
tugasan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Segala bantuan yang telah mereka
hulurkan amatlah saya hargai kerana tanpa bantuan dan sokongan mereka semua tugasan ini
mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

1

1.0 PENGENALAN
Bidang pendidikan merupakan antara sektor yang paling terkesan sejak bermulanya penularan
wabak Covid-19. Hal ini kerana berlakunya perubahan yang ketara dalam pedagogi atau kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang digunakan ketika musim pandemik ini. Perubahan ini telah
menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku murid sepanjang pembelajaran tidak bersemuka
ini berlangsung. Pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergeraka (PKP) juga memberi
pengalaman baharu bagi pendidik menambah kemahiran secara kreatif dan inovatif untuk
melaksanakan pengajaran dan pengajaran di rumah, iaitu PdPR. Dalam masa yang sama, guru
perlulah menggunakan model pengurusan disiplin dan intervensi yang sesuai untuk menangani
tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid ketika musim pandemik ini. Oleh itu, teknologi
merupakan medium yang berperanan sebagai pemangkin kreativiti dalam membantu guru dan
murid mewujudkan PdPR yang bermakna dan berkesan. Jadi, matlamat tugasan ini dihasilkan
bertujuan untuk memperlihatkan sebuah model pengurusan disiplin, iaitu Model Pengurusan
Kelompok Kounin dan terapi bercerita dalam menangani masalah hilang minat bagi murid Lost
Generation (LG) terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.

2.0 ANALISIS TINGKAH LAKU BERMASALAH DALAM KALANGAN MURID LG
Menurut Maszlee Malik dalam Raiham Mohd Sanusi (2020), murid LG merupakan murid yang
tidak bersekolah dan tidak mendapat pendidikan secara langsung bersama guru selama hampir
setahun. Murid LG berhadapan dengan cabaran perubahan dalam kaedah pembelajaran yang
digunakan menyebabkan mereka kehilangan rutin belajar. Tambahan pula, dengan segelintir
guru yang kurang mahir dalam melaksanakan kelas secara dalam talian telah menjadi
penyumbang utama berlakunya fenomena keciciran dalam pendidikan dan masalah tingkah laku
murid LG sepanjang pandemik ini. Melalui pernyataan akhbar dalam Malaysia Kini (2021),
terdapat beberapa tingkah laku bermasalah LG yang telah dinyatakan, iaitu seperti murid tidak
menghadiri sekolah, keletihan secara mental, murid hilang minat dan murid berasa tertekan.

Berdasarkan masalah tingkah laku murid di atas, masalah tingkah laku yang paling ketara
dihadapi dalam kalangan murid LG ialah masalah murid hilang minat terhadap pelajaran. Hal ini
dikatakan demikian kerana didorong oleh faktor segelintir guru yang masih mengaplikasikan
pendekatan tradisional seperti melaksanakan aktiviti menyalin nota, membuat latihan dalam buku
teks, membaca nota dan menonton video, sedangkan strategi perlu diubah mengikut kesesuaian
PdPR kini (Abdul Rahman, 2021).

2

3.0 PENGGUNAAN MODEL PENGURUSAN KELOMPOK KOUNIN DALAM MENANGANI
MASALAH HILANG MINAT BAGI MURID LG BAHASA MELAYU

Model pengurusan disiplin merupakan panduan kepada guru tentang pengurusan disiplin dalam
bilik darjah. Berdasarkan masalah tingkah laku hilang minat yang dihadapi oleh murid LG, model
pengurusan disiplin yang paling sesuai untuk menangani masalah ini dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu ialah Model Pengurusan Kelompok Kounin. Model Pengurusan Kelompok Kounin
dipelopori oleh Jacob Sebastian Kounin (Dinaz L, 2016). Menurut Kounin, teknik yang digunakan
oleh guru merupakan domain yang penting dalam pengurusan tingkah laku murid dalam bilik
darjah dan pengurusan bilik darjah yang baik bergantung kepada pengurusan pengajaran yang
berkesan. Oleh hal yang demikian, Kounin menyatakan bahawa tingkah laku guru yang proaktif
berupaya mengurus bilik darjah dengan lebih berkesan berbanding guru yang tidak proaktif (Syed
Mustapa et al., 2021). Oleh itu terdapat beberapa idea utama yang dikemukakan oleh Kounin
yang berupaya menangani masalah tingkah laku hilang minat bagi murid LG terhadap pelajaran
Bahasa Melayu.

Antara idea utama Kounin yang dapat menangani masalah tingkah laku hilang minat bagu
murid LG adalah Effective Transitions. Hal ini dikatakan demikian kerana, peralihan aktiviti yang
berkesan berupaya mengekalkan penglibatan murid dan kawalan kelas dengan baik (Syed
Mustapa et al., 2021). Sebagai contoh, guru menayangkan video penjodoh bilangan yang lengkap
dengan animasi dan penceritaan yang bagus sebagai satu set induksi melalui Google Meet (GM).
Setelah selesai tayangan video, guru membuat soal jawab dengan murid yang dipanggil secara
rawak akan penjodoh bilangan tersebut. Setelah selesai bersoal jawab, guru membuat penilaian
atas talian dengan menggunakan aplikasi Quizizz atau Wordwall untuk menguji kefahaman murid
dan melaksanakan perbincangan lanjut setelah menjawab kuiz. Peralihan demi peralihan aktiviti
yang berlaku bukan sahaja dapat mencapai objektif pembelajaran harian malah guru dapat
mengekalkan fokus dan minat murid-murid.

Idea utama Kounin yang seterusnya yang dapat menangani masalah hilang minat bagi
murid LG ialah Ripple Effect. Hal ini kerana, apabila guru membetulkan salah laku murid, maka
murid yang lain akan turut terkesan dengan teguran tersebut (Gattellaro, 2014). Misalnya, setelah
selesai menjawab kuiz format penulisan pantun pada aplikasi Wordwall, guru memaparkan
kedudukan murid-murid dalam kuiz melalui GM. Guru menasihati pelajar yang menjawab banyak
jawapan yang salah dengan berhemah supaya pelajar lebih fokus di dalam kelas dan bertanya
kepada guru akan perkara yang kurang difahami. Situasi ini telah menyebabkan murid yang lain
menjadi peka dengan teguran tersebut dan akan berusaha untuk lebih fokus di dalam kelas. Hal

3

ini berupaya menangani masalah hilang minat murid kerana mereka memberikan tumpuan yang
sepenuhnya terhadap kelas demi mencapai kedudukan yang baik dalam kuiz tersebut.

Idea utama Kounin yang terakhir dapat menangani masalah hilang minat bagi murid LG
ialah Group Alerting. Hal ini kerana, Group Alerting berupaya memastikan seluruh kelas berfokus
pada tugasan atau aktiviti pembelajaran (Syed Mustapa et al., 2021). Sebagai contoh, guru
berkata, “Tanda soal merupakan ciri yang penting untuk membina satu ayat tanya yang lengkap,
namun pelajar sering lupa untuk letak tanda soal di hujung ayat menyebabkan mereka mudah
hilang markah dalam peperiksaan”. Apabila guru memberi peringatan begitu kepada murid, hal
ini dapat menarik perhatian murid seluruh kelas dan dapat meningkatkan tahap kefokusan
mereka. Situasi ini secara tidak langsung telah menangani masalah hilang minat murid LG
terhadap PdP kerana murid menjadi lebih fokus untuk mencatat maklumat penting sepanjang
kelas berlangsung.

Oleh itu, terdapat pelbagai kelebihan menggunakan Model Pengurusan Kelompok Kounin
kerana guru berupaya mengintegrasi pengajaran dan disiplin murid-murid di mana guru
menggunakan kaedah dan strategi yang pelbagai untuk menarik minat murid sepanjang proses
PdP berlangsung. Selain itu, peralihan demi peralihan aktiviti yang cekap juga dapat
mengelakkan murid-murid mudah berasa bosan dan hilang minat ketika belajar (James Ang Jit
Eng, 2014). Tambahan pula, model ini tidak berunsurkan hukuman yang hanya berkesan dalam
masa yang singkat sahaja.

Namun demikian, terdapat kekangan apabila model ini digunakan untuk menangani
masalah hilang minat dalam kalangan murid LG dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Hal ini
kerana pendekatan model ini tidak meliputi sistem pengurusan bilik darjah yang sepenuhnya.
Walaupun guru telah memberikan pengawasan yang ketat, murid masih akan melakukan
masalah tingkah laku hilang minat dalam pelajaran kerana murid-murid masih lagi dipengaruhi
elemen lain seperti latar belakang, masalah luar sekolah dan personaliti murid itu sendiri yang
menyebabkan masalah tingkah laku hilang minat murid LG masih berlaku walaupun guru
mengaplikasikan model ini (Syed Mustapa et al., 2021).

4

4.0 PENGGUNAAN INTERVENSI BERCERITA DALAM MENANGANI MASALAH HILANG
MINAT BAGI MURID LG BAHASA MELAYU

Berdasarkan masalah tingkah laku hilang minat yang dihadapi oleh murid LG, intervensi yang
paling sesuai untuk menangani masalah ini dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah
intervensi terapi bercerita. Terapi bercerita merupakan terapi secara lisan untuk menyampaikan
sesuatu kisah atau peristiwa dengan menggunakan suara yang bernada, animasi atau alatan dan
juga muzik. Cerita yang disampaikan melalui teknik ini perlulah dilengkapi dengan elemen seperti
tema, plot, watak dan nilai teladan. Hal ini kerana, bukan sahaja murid berupaya menghayati
penceritaan tersebut, malah nilai teladan yang terkandung dalam cerita tersebut dapat
merangsang secara intrinsik dan berkesan untuk merawat masalah tingkah laku hilang minat
terhadap pelajaran.

Sebagai contoh, guru memulakan kelas dengan melakukan terapi bercerita kisah haiwan
yang mengandungi pelbagai peribahasa sebagai set induksi melalui GM. Ketika menyampaikan
cerita tersebut, guru memainkan muzik latar untuk meningkatkan penghayatan murid terhadap
cerita tersebut. Hal ini telah menyebabkan murid-murid semakin seronok dan teruja untuk
meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada hari tersebut. Secara tidak
langsung situasi ini menyebabkan murid-murid dapat menumpukan perhatian sepenuhnya
terhadap aktiviti PdP dan sekaligus dapat menangani masalah hilang minat bagi murid LG
terhadap pembelajaran.

Melalui terapi ini, guru bukan sahaja dapat menarik minat murid malah nilai teladan juga
dapat disemai dalam diri murid melalui pengajaran cerita yang disampaikan oleh guru. Buktinya,
Qudsyi (2011) menyatakan bahawa terapi bercerita mampu untuk meningkatkan moral dan
memberikan nasihat kepada murid. Sebagai contoh, guru menyatakan pengajaran yang
terkandung dalam cerita tersebut ialah sentiasa menunjukkan sikap minat dalam belajar supaya
murid mudah memahami apa yang diajar. Kesannya, murid akan lebih fokus dalam pelajaran dan
sentiasa memotivasikan diri untuk tidak hilang minat ketika belajar.

Dengan permulaan momentum kelas yang baik, guru boleh meneruskan suasana yang
ceria itu untuk meneruskan soal jawab bersama murid untuk mencapai objektif pembelajaran.
Kesannya, secara tidak langsung pembelajaran aktif, iaitu secara dua hala telah berlaku. Murid
bukan sahaja fokus dan bersedia malah murid lebih berkeyakinan untuk mengekspresikan
perasaan dan idea mereka untuk menjawab persoalan cikgu (Chin et al., 2019).

5

Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa terapi bercerita mampu untuk mengatasi masalah
hilang minat dalam pembelajaran murid LG terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Namun
demikian, terdapat juga kekangan dalam menggunakan terapi ini. Hal ini kerana, terapi ini juga
berupaya mengelirukan para pelajar seandainya guru tidak merancang tema dan plot penceritaan
dengan baik. Hal ini akan menyebabkan murid tidak mendapat sebarang input dan menyebabkan
pembelajaran menjadi kurang berkesan. Di samping itu, pemilihan cerita yang kurang sesuai juga
boleh menyumbang kepada masalah hilang minat murid terhadap PdP.

5.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, masalah tingkah laku yang berlaku pada murid LG akan tetap berlaku selagi
pembelajaran dalam talian digunakan. Oleh itu, guru perlulah bijak memilih pendekatan model
disiplin yang sesuai serta intervensi yang pelbagai bagi menangani masalah tingkah laku murid
LG dengan merancang aktiviti PdPR yang kreatif dan kritis supaya kelas yang dijalankan lebih
menyeronokkan dan berkesan. Semasa musim pandemik ini, penggunaan teknlogi menjadi satu
keutamaan dalam menyampaikan pembelajaran secara dalam talian. Namun, guru sahaja perlu
bijak dan kreatif menggunakan media pengajaran sebagai bahan PdPR. Ringkasnya, model
pengurusan disiplin bilik darjah memainkan peranan yang sangat besar terhadap bidang
pendidikan khususnya untuk para tenaga pengajar. Dalam masa yang sama, guru-guru perlu
menguasai dan mengetahui peranan model-model tersebut mengikut kesesuaian masalah
tingkah laku yang terdapat dalam diri murid-murid. Selain itu, intervensi dalam menangani tingkah
laku bermasalah murid-murid juga perlu dikuasai dan diaplikasikan dengan bijak agar proses PdP
berjalan dengan baik dan efektif.

(1610 patah perkataan)

6

RUJUKAN

Chin Mei Keong, Lim Guat Goh, Tay Pio & Chew Chin Chong. (2019). Hubungan kursus
pengurusan bilik darjah dan tingkah laku dengan keberkesanan pengurusan tingkah laku
bermasalah semasa praktikum dalam kalangan siswa guru di IPG Kampus Ilmu Khas
Kuala Lumpur. Jurnal Penyelidikan Tempawan, 36, 17-29.

Dinaz L. (2016, March 7). Jacob Kounin. Youtube. https://www.youtube.com/watch?v=RoenSic-
lVo&t=31s

Hazhira Qudsyi. (2011). “Optimalisasi metode bercerita (story telling) dalam pendidikan tauhid
pada anak”. The 3rd Congress of API 2011, International Conference.

James Ang Jit Eng. (2014). Pengurusan bilik darjah: Strategi-strategi mewujudkan komuniti
pembelajaran yang sesuai. PTS Akademia Sdn. Bhd.

Jonathan P. Gattellaro. (2014). Classroom management. [Education and Human Development
Master’s Thesis]. The College at Brockport: State University of New York.
https://digitalcommons.brockport.edu/cgi/viewcontent.cgi?article=1410&context=ehd_the
ses

Mohd Nazri Abdul Rahman. (2021). Perbaiki pelaksanaan PdPR 2.0 atasi isu keciciran pelajar.
Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/06/829593/perbaiki-
pelaksanaan-pdpr-20-atasi-isu-keciciran-pelajar

Muhammad Basir Roslan. (2021, Ogos 4). Tangani isu murid lesu PdPR, elak wujud 'lost
generation'. Malaysia Kini. https://www.malaysiakini.com/news/585782

Raiham Mohd Sanusi. (2020). Menangani isu pendidikan ‘Generasi yang Tersisih’. Sinar Harian.
https://www.sinarharian.com.my/article/115545/BERITA/Wawancara/[VIDEO]Menangani
-isu-pendidikan-generasi-yang-tersisih

Syed Ismail Syed Mustapa, Chin Mei Keong, Ahmad Subki Miskon & Noor Fitriyati Abdul Samad.
(2021). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Pustaka Nadwan Sdn. Bhd.

7

LAMPIRAN
Pakar yang menjadi rujukan saya dalam menghasilkan kerja kursus ini merupakan Guru Bahasa Melayu
di SBP Integrasi Selandar, Melaka, iaitu sekolah menengah saya dahulu. Nama beliau ialah Cik Mariya
binti Husin. Beliau telah berjaya menyelesaikan pendidikannya sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda
dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana Pendidikan
Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rajah 1
Soalan berkenaan isu tingkah laku semasa PdPR

Rajah 2
Soalan berkenaan penjelasan isu yang dicadangkan

8

Rajah 3
Soalan berkenaan kesan LG kepada murid

Rajah 4
Soalan berkenaan model disiplin dan intervensi


Click to View FlipBook Version