CIRI- CIRI BENDERA MALAYSIA
• mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar
• bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah,
• tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan
- Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau
Pinang, Perak,Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan
Persekutuan.
• Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
• Merah : Semangat waja
• Putih : Tanda kesucian
• Kuning : warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
• Biru : tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan
Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada
Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin.
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang
jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang
sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa
dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera
Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan
kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali
pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk
menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis
bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga berkenaan ialah bunga raya,
bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga
tanjung.
Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, satu kajian
telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai. Kajian
ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di
Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur
memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.
Walau bagaimanapun akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk memilih bunga
raya berdasarkan kriteria bunga raya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan
bentuk yang menarik, nama panggilan yang sama di seluruh negara, mudah didapati di
seluruh negara, dan yang paling penting ia bukan menjadi Bunga Kebangsaan mana-mana
negara lain di dunia ketika itu.
Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan.
Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana
lima kelopak yang ada padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan
bunga ini juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.
Malaysia ialah sebuah negara yang dihuni
oleh pelbagai kaum. Oleh sebab itu, rakyat
Malaysia mempunyai kepelbagaian
budaya dan cara hidup yang berbeza.
Malaysia merupakan sebuah Negara yang
unik kerana masyarakatnya terdiri
daripada berbilang kaum dan agama.
Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat
peribumi yang dapat hidup dalam keadaan
yang aman dan damai malah saling
menghormati.
Oleh sebab itu, pelbagai perayaan yang
boleh diadakan di Negara ini kerana
kaumnya yang berbilang bangsa itu.
Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu
dan bekerjasama berdasarkan atas
prinsip-prinsip Rukun Negara.
Tema “Malaysia Prihatin” membawa pengertian bahawa seluruh rakyat
Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, tanpa mengira
ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat, sama ada pihak
kerajaan, pihak pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan
mahupun orang perseorangan.
Tahun ini, tema “Malaysia Prihatin” telah dipilih sebagai tema Hari
Kebangsaan. Logo tahun ini pula adalah berbentuk hati dengan warna Jalur
Gemilang yang melambangkan keprihatinan Kerajaan terhadap rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dalam menghadapi pelbagai dugaan ketika
ini. Semangat “Malaysia Prihatin” perlu disemarakkan dalam segenap
kehidupan rakyat Malaysia.
VIYSHNUU NYANASEKARAN
4 CEMERLANG
SK 2 JALAN BUKIT, KAJANG
PROJEK TKRS