Bas Masa Depan
Kringgg! Loceng berbunyi menandakan waktu pulang. Umar, Maya dan Naim pulang bersamasama dengan menaiki bas. Begitulah juga pada hari yang seterusnya. Mereka bertiga tinggal di sebuah kampung yang aman dan damai. Mereka sentiasa bersama pergi ke mana-mana sahaja kerana mereka sudah berkawan sejak berumur 5 tahun lagi.
Pada keesokan harinya, Umar dan Naim sedang makan di kantin sekolah. “Hai Umar dan Naim! Awak semua bawa bekal apa hari ini?” tanya Maya. “Umar dan Naim tak bawa bekal hari ini. Kami beli roti sahaja tadi di kantin.” jawab Naim. “Oh. Maya bawa bekal nasi goreng hari ini. Marilah kongsi dengan Maya. Kebetulan bekal nasi ni banyak sebab ibu pesan supaya Maya berkongsi dengan awak semua.” “Wah! Terima kasih Maya.” ucap Umar dan Naim secara serentak. “Sama-sama” jawab Maya.
Tepat pada pukul 1 tengah hari, tamatlah waktu persekolahan. Sambil menunggu bas, mereka sedang bersembang mengenai kerja sekolah yang perlu disiapkan semasa waktu cuti sekolah. “Ish, malasnya nak siapkan kerja sekolah yang banyak ni. Sepatutnya waktu cuti sekolah, tak boleh ada kerja sekolah.” rungut Umar. “Tak baiklah cakap macam itu, Umar.” jelas Naim. “Betul. Kerja sekolah itu kan tanggungjawab kita sebagai murid.” sampuk Maya. “Alah kamu semua ni. Bertenanglah. Saya cuma bergurau sahaja.” jelas Umar. “Lain kali jangan merungut lagi ye, Umar.” pesan Naim. “Baiklah.” jawab Umar tanda faham.
Semasa di dalam bas, Umar, Naim dan Maya berasa sangat pelik. Suasana bas yang sebelum ini riuh-rendah dipenuhi murid-murid lain berubah menjadi sangat sunyi. Tiada sesiapa pun melainkan mereka bertiga. “Kamu berdua tidak rasa pelik ke?” tanya Maya dengan perasaan takut. “Apa yang pelik? Umar tiada rasa apa-apa pun” jawab Umar. “Naim pun rasa pelik sebab bas hari ini terasa sunyi. Tiada orang lain kecuali kita. Macam tak seperti hari biasa.” jelas Naim dengan panjang lebar. “Itulah yang Maya ingin jelaskan. Betul ke Umar tiada rasa apa-apa.” tanya Maya lagi. “Oh, kalau tentang bas kosong Umar pun rasa macam tu, tapi mungkin… Tidak sempat Umar ingin menghabiskan ayatnya, tiba-tiba...
Tiba-tiba bas bergegar dengan sangat kuat. Umar, Maya dan Naim terkejut dengan keadaan bas seperti itu. “Umar! Naim! Bas ini mengapa?” Tanya Maya dengan ketakutan. “Tak tahu!” jerit Umar dan Naim serentak. Mereka sangat berdebar kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku dalam kehidupannya.
Kemudian, bas tersebut mulai terapung di awang-awangan. Dengan sekelip mata, mereka tersedar bahawa mereka sudah berada di dunia masa depan.
“Wah! kita di mana ni?” tanya Umar dengan perasaan teruja. Mereka sangat kagum dengan keindahan pemandangan di hadapan mereka. Rupa-rupanya mereka sedang berada di dunia masa depan. Dalam dunia itu, pelbagai perkara yang menakjubkan terjadi seperti kenderaan yang boleh terbang di udara, teknologi yang sangat canggih dan sebagainya. Dunia ini kelihatan lebih menakjubkan kepada mereka yang tinggal di kampung. Oleh itu, perkara ini menjadi sesuatu yang baru kepada mereka.
“Semasa mereka di sana, mereka telah mencuba pelbagai perkara yang baru. Naim bermain permainan digital yang canggih manakala Maya pula teruja memilih baju-baju yang dapat mengubahnya kelihatan begitu cantik setelah baju itu dipakai. Umar pula sedang khusyuk melihat kereta-kereta yang berterbangan di langit. Mereka berasa sangat teruja sehingga terlupa akan dunia mereka yang sebenar. “Seronoknya berada di sini!” ujar Naim. “Yelah. Saya rasa macam nak tinggal di sini sampai bila-bila.” balas Umar.
Mereka leka berada di dunia tersebut dan langsung tidak terfikir cara untuk kembali ke dunia sebenar sehinggalah seorang lelaki menghampiri mereka. Lelaki tersebut kelihatan seusia dengan bapa mereka. Tanpa teguran apa-apa, lelaki itu terus memberitahu bahawa sudah tiba masanya untuk mereka pulang ke dunia sebenar. “Macam mana cara untuk kami pulang?” tanya Maya. “Kalian perlu menaiki bas yang sama sepertimana kalian ke sini sebentar tad.i” balas lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu terus lenyap dari pandangan mereka.
Tidak lama kemudian, bas pun sudah tiba. Mereka terus menaiki bas tersebut untuk pulang ke dunia sebenar. Keadaan bas yang bergegar dan terbang di langit itu tidak lagi menakutkan mereka. Mereka pulang dengan hati yang gembira.
Sampai sahaja di hentian bas, mereka pun tersedar bahawa mereka sudah berada di dunia sebenar. Sebelum tiba di rumah, mereka sudah pun merancang untuk ke dunia itu lagi. Mereka sangat teruja dengan dunia tersebut sehingga mereka tidak tahu nasib malang yang akan mereka hadapi di rumah nanti.
“Kenapa kamu balik lewat? Kamu ke mana?” tanya Ibu dengan intonasi yang agak marah. “Umar pergi buat kerja sekolah dengan Naim dan Maya tadi.” tipu Umar. “Lain kali nak pergi ke mana-mana lagi, beritahu ibu. Risau ibu dibuatnya.” pesan Ibu. “Baik, ibu.” jawab Umar. Begitulah juga keadaan yang dihadapi oleh Naim dan Maya ketika sampai sahaja di rumah.
Walaupun sudah berjanji dengan ibu bapa mereka, Umar, Maya dan Naim tetap ingin ke dunia masa depan itu lagi. Tanpa pengetahuan ibu bapa mereka, mereka telah pun bersedia menunggu bas tersebut di tempat yang sama. Tidak lama kemudian, bas pun telah tiba lalu mereka bergerak menuju ke destinasi.
Di dunia tersebut, mereka bermain dengan sangat gembira sehingga mereka tidak hairan akan kebimbangan ibu bapa yang menunggu kepulangan mereka. Setelah selesai bermain, Umar, Maya dan Naim pun membuat keputusan untuk pulang ke dunia sebenar. Mereka berasa takut jika dimarahi oleh ibu bapa walaupun hakikatnya mereka sudah pun tiba di dunia ini. Malangnya, bas tersebut tidak tiba di tempat biasa. Mereka mula berasa pelik.
Tidak lama kemudian, lelaki yang menegur mereka semalam pun tiba di hadapan mereka. “Encik, kami sudah lama tunggu bas. Kenapa bas lambat hari ini?” tanya Umar dengan riak muka yang takut. “Wahai kamu bertiga, sebenarnya kalian telah terperangkap di dalam dunia ini. Kalian tidak boleh pulang ke dunia sebenar kalian.” jawab lelaki itu. Mereka terkejut setelah mendengar apa yang diperkatakan oleh lelaki itu.
“Alamak. Kami ingin pulang. Nanti ibu bapa kami marah.” jelas Naim. “Itulah masalah kalian sekarang. Kalian terperangkap dalam dunia ini kerana kalian telah melanggar janji kalian dengan ibu bapa supaya tidak ke sini lagi.” marah lelaki itu. “Maaf! Kami tidak akan ulangi kesilapan yang sama lagi. Tolonglah hantar kami pulang, encik.” rayu Maya. Setelah melihat penyesalan mereka, lelaki itu pun menghantar mereka pulang ke dunia sebenar.
Setibanya mereka di rumah masing-masing, mereka terus merayu dan menangis kerana bimbang akan peristiwa yang berlaku di dunia masa depan sebentar tadi. Mereka meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan iaitu menipu dan tidak taat akan ibu bapa mereka. Mereka sangat menyesal dan berjanji untuk tidak akan ulangi perbuatan itu lagi. -Tamat-