PERKEMBANGAN TEORI SASTERA DI MALAYSIA
Kemunculan teori-teori kesusasteraan yang dihasilkan oleh sarjana Melayu pada penghujung
tahun 1980 an dan awal tahun-tahun 1990-an telah memberi wajah baharu kepada sejarah
perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia. Tokoh-tokoh sarjana kesusasteraan Melayu
seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Muhammad Hj Salleh, Shafie Abu Bakar, Mohd
Affandi Hassan, Hashim Awang, Mana Sikana dan Sohaimi Abdul Aziz memainkan peranan
penting dan bermakna kerana sumbangan besar mereka.
Shahnon dan Kassim Ahmad merupakan dua orang tokoh pemula yang mencetus idealisme
teoretikal kesusasteraan Islam. Shahnon menegaskan bahawa kesusasteraan Islam itu ialah
kesusasteraan kerana Allah dan berhikmah kepada manusia sejagat (Shahnon Ahmad 1981:3).
Kassim Ahmad pula beranggapan apa sahaja hasil kesusasteraan yang memiliki unsur-unsur
Islam sejagat adalah kesusasteraan Islam. Kontradiksi ini telah menjebak kedua-dua tokoh ini
ke dalam polemik yang berpanjangan.
Polemik ini ada kemiripannya dengan pertentangan pendapat yang menjebak golongan
Formalis Rusia dengan Strukturalisme, meskipun kedua-dua golongan ini berlandaskan satu isu
yang sama iaitu kesasteraan sastera, Formalis Rusia lebih mementingkan aspek linguistikal
yang didokong oleh ciri-ciri kegayaan dan keanehan bahasa sebagai dasar kesasteraan
sastera. Teori Strukturalisme melihat kesasteraan sastera itu tidak hanya bergantung kepada
aspek linguistik semata-mata, sebaliknya mementingkan keseluruhan bahagian dalam struktur
karya sebagai menunjangi makna kesasteraan.
Polemik yang tercetus di antara Shahnon dan Kassim mendapat reaksi dari beberapa tokoh lain
yang turut memberi pendapat masing-masing tentang sifat dan ciri-ciri kesusasteraan Islam.
Shafie Abu Bakar yang sependapat dengan Shahnon Ahmad, kemudiannya tampil dengan
gagasan teoritikalnya yang berpaut kepada persoalan pengindahan dan penyempurnaan.
Kemunculan kedua tokoh ini memberi cabaran kepada penghasilan kerangka kesusasteraan
Islam sebagai alternatif kepada toeri-teori kesusasteraan Barat yang telah sekian lama
mendominasi kesusasteraan Melayu (Ungku Maimunah,1998:26).
Walau bagaimanapun, polemik ini tidak pula menjadi pencetus segera kepada kelahiran
teori-teori kesusasteraan Melayu. Hampir sepuluh tahun berikut iaitu penghujung tahun 1989,
baharulah munculnya Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Hj Salleh, yang mempunyai
gagasan teoretikal terhadap kesusasteraan Melayu. Namun, kemunculannya bukanlah satu
kelangsungan daripada polemik Shahnon dan Kassim Ahmad, kerana Puitika Sastera Melayu
merupakan satu hasil penyelidikan yang didorong oleh keinginan untuk mempunyai teori
kesusasteraan sendiri (setelah melalui pencarian selama 30 tahun) dan penyelidikan ini dibiayai
pada awalnya oleh Yayasan Volkswagen dari Jerman pada tahun 1986, kemudian Universiti
Kebangsaan Malaysia menyumbangkan dana menyokong penyelidikan ini (Muhammad Hj
Salleh, 2000:vii).
Dari sudut sejarah perkembangan teori kesusasteraan Melayu, Shahnon dan Kassim Ahmad
bolehlah dianggap sebagai pencetusnya, manakala Muhammad Hj Salleh sebagai tokoh
pemula yang memberi nama teori berserta gagasan-gagasannya. Hal ini samalah seperti
kemunculan teori Kritikan Baharu (New Criticism) dan teori New Historicism di Amerika Syarikat.
Tahun 1990-an merupakan tempoh waktu kelahiran beberapa lagi teori kesusasteraan Melayu
selepas Puitika Sastera Melayu, seperti Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang,
Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (teori ini kemudiannya dikenali dengan nama
Persuratan Baharu) oleh Mohd Affandi Hassan, Teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, Teori
Teksdealisme oleh Mana Sikana dan Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul Aziz. Memasuki
abad ke-21, muncul pula beberapa teori dan praktis kritikan yang dikemukakan oleh sarjana
sastera Melayu. Antaranya ialah Pendekatan Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan, teori
Fitrah Gerak oleh Sahlan Mohd Saman, teori Sastera Warisan oleh A.Wahab Ali dan teori
Pemikiran Saintifik SPB4K oleh Mohd Yusof Hassan dan yang terkini teori Anjakan Makna oleh
Rahman Shaari.
Sehingga kini, usia sejarah perkembangan teori kesusasteraan Melayu sudah menjangkau 15
tahun. Berbanding dengan perkembangan teori kesusasteraan di Barat, usia 15 tahun ini
adalah terlalu mentah. Teori-teori moden yang berkembang di Barat menguasai kesusasteraan
dunia hampir dua abad iaitu bermula tahun 1800 hingga 1960-an. Akhir tahun 1960an
bermulalah era baharu yang dikenali sebagai era pascamodenisme yang ditandai dengan
kemunculan teori Dekonstruksi oleh Derrida yang menentang teori Struktural (Mana
Sikana,1998:133).
Berbanding dengan teori-teori kesusasteraan di Barat, teori-teori kesusasteraan Melayu di
Malaysia (kelahiran sarjana Melayu di Malaysia) bolehlah dikatakan melalui fasa pertama yang
boleh dinamakan sebagai `fasa permulaan`. Pada peringkat ini, para penteori kelihatan
berusaha gigih memperjelaskan prinsip-prinsip dan dasar teori masing-masing dan cuba pula
menguji kemampuannya dalam bidang kritikan. Shafie Abu Bakar, Sohaimi Abdul Aziz dan
Mana Sikana gigih melakukan usaha ini bagi membuktikan kebolehpercayaan dan legitimasi
prinsip-prinsip teori mereka.
Dalam masa yang sama, teori-teori ini (Takmilah, Teksdealisme dan Rasa- Fenomenologi) mula
memasuki dunia kritikan Melayu dan menjadi sebahagian daripada teori kritikan yang mampu
diuji. Teori Takmilah pertama kali diuji terhadap antologi puisi Kau dan Aku karya A.Aziz
Deraman. Berasaskan antologinya, Shafie Abu Bakar mendakwa berjaya menemui hubungkait
persoalan yang padankan dengan lunas-lunas teoretikal. Rasa-Fenomenologi pula diuji dengan
novel Salina karya A.Samad Said dan Teksdealisme pula diuji menerusi Shahnon, Muhammad
Hj Salleh, Anwar Ridhwan dan Kemala bagi menemukan unsur keunggulan kepengarangan
pengarang dan teksnya.
Teori-teori lain seperti Puitika Sastera Melayu dan Pengkaedahan Melayu, berdiri atas posisi
teori kesusasteraan semata-mata. Teori-teori ini lebih bersifat umum yang memperjelaskan
bentuk dan sifat kesusasteraan dan karya-karya kesusasteraan Melayu. Samalah halnya
dengan tanggapan Shahnon dan Kassim Ahmad terhadap kesusasteraan Islam. Manakala teori
Persuratan Baharu mula didekati dan mendapat perhatian akhir-akhir ini oleh penyelidik dalam
aplikasi kritikan.