The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

: PERBINCANGAN TENTANG QADHA, FIDYAH DAN KAFFARAH

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by chungpkb2011, 2023-04-17 21:40:03

PUASA RAMADHAN

: PERBINCANGAN TENTANG QADHA, FIDYAH DAN KAFFARAH

1 PUASA RAMADHAN PERBINCANGAN TENTANG QADHA, FIDYAH DAN KAFFARAH NOR ARYADA BINTI MAHMAD ENGKU RAZINAWATY BINTI ENGKU CHIK Politeknik Kota Bharu


2 PUASA RAMADHAN : PERBINCANGAN TENTANG QADHA, FIDYAH DAN KAFFARAH NOR ARYADA BINTI MAHMAD ENGKU RAZINAWATY BINTI ENGKU CHIK POLITEKNIK KOTA BHARU


3 DITERBITKAN DAN DIEDARKAN OLEH : Jabatan Pengajian Am Ppoliteknik Kota Bharu KM 24, Kok Lanas, 16450 Ketereh, Kelantan. Puasa Ramadhan : Perbincangan Tentang Qadha, Fidyah dan Kaffarah Cetakan Pertama 2023 © 2023 Nor Aryada Mahmad & Engku Razinawaty Engku Chik Hak cipta terpelihara. Tidak ada bahagian dalam penerbitan ini yang dapat diterbitkan semula, disimpan dalam bentuk apa pun atau dengan cara apa pun, elektronik, fotokopi, rakaman atau sebaliknya tanpa izin bertulis terlebih dahulu dari pemegang hak cipta. Puasa Ramadhan : Perbincangan Tentang Qadha, Fidyah dan Kaffarah / Nor Aryada Mahmad & Engku Razinawaty Engku Chik.


4 BIODATA PENULIS NOR ARYADA BINTI MAHMAD memulakan perkhidmatan sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling, Selangor pada tahun 1999 sebelum meneruskan perkhidmatan sebagai Pensyarah di Unit Pendidikan Islam dan Moral di Politeknik Kota Bharu pada 1 Jun 2000. Bertugas sebagai pensyarah bermula pada tahun 2000 hingga sekarang. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (dengan Kepujian) pengkhususan dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan Islam. Manakala subjek Sejarah sebagai minor di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia pada tahun 1996 sebelum menyambung pendidikan professional (Diploma Pendidikan) juga di universiti yang sama. ENGKU RAZINAWATY BINTI ENGKU CHIK, lulusan Sarjana Muda Usuluddin Dengan Kepujian, Universiti Malaya pada tahun 1996 sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pendidikan juga di Universiti Malaya. Telah memulakan perkhidmatan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah pada 1997 sebelum berpindah ke Politeknik Kota Bharu pada tahun 2003 sehingga kini.


5 SENARAI KANDUNGAN ABSTRAK - 6 PENDAHULUAN - 7 1 PUASA RAMADHAN - 12 1.1 Kaedah Menentukan Permulaan Phase - 12 1.2 Perkiraan Puasa Ramadhan - 13 1.3 Niat Berpuasa Ramadhan - 15 2 QADHA PUASA RAMADHAN - 17 2.1 Tempoh Qadha - 17 2.2 Sebab Qadha - 18 2.3 Niat Qadha - 24 3 FIDYAH PUASA RAMADHAN - 26 3.1 Sukatan - 26 3.2 Siapakah Pembayar dan Penerima - 29 4 KAFFARAH PUASA RAMADHAN - 33 4.1 Bentuk Kaffarah - 35 5 QADHA DAN FIDYAH - 38 KESIMPULAN - 39 BIBLIOGRAFI - 40


6 ABSTRAK Umum sedia maklum tentang kefardhuan puasa ke atas orang Islam yang cukup syarat wajib sementelahan ia merupakan salah satu rukun Islam. Bahkan ramai yang tidak cukup syarat turut melakukan ibadat berkenaan secara sukarela apabila sampai masanya iaitu bulan Ramadhan. Rata-rata ibadat ini menjadi bualan ramai kerana di penghujung bulan Ramadhan ada satu perayaan yang ditunggu-tunggu oleh ramai pihak bagi menyambut kemenangan orang-orang Islam menewaskan nafsu sepanjang bulan tersebut. Namun kefahaman tentang proses penggantian puasa yang disebabkan pelbagai halangan yang diharuskan oleh syarak agak kurang diselami dengan sebenar-benarnya sehingga wujud kesilapan ketika proses penggantian sama ada dengan qadha, fidyah atau kedua-duanya dan kaffarah. Penulisan ini memfokuskan penjelasan lanjut berkenaan qadha, fidyah, kaffarah dengan cara yang paling mudah difahami agar dapat dipraktis dengan sempurna menurut syarak. Hanya pemahaman yang betul mampu untuk menghindarkan kesilapan dalam proses penggantian puasa yang telah ditinggalkan dalam bulan Ramadhan. Kata Kunci : puasa, qadha, fidyah, kaffarah


7 PENDAHULUAN Puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai "menahan diri". Dari segi istilah syarak, puasa bermaksud "menahan diri daripada makan, minum dan perkaraperkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadik sehingga terbenam matahari berserta niat". Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari dalam bulan Ramadhan. Selain itu, umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Hal ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri pelakunya. Puasa mengajar kita supaya bertaqwa. Menurut Saidina Ali RA, taqwa ialah takut kepada Allah, melakukan ibadah, percaya pada al-Quran, bersyukur dengan apa yang diberikanNYA serta menyiapkan diri untuk hari penghakiman Allah kelak. Orang bertaqwa ialah yang melakukan amar makruf dan nahi munkar, dan pada masa yang sama mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manakala orang yang beriman dan beramal soleh adalah sebaik-baik makhluk (al-Bayyinah 98 :7 ). Dari aspek niat, tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam apa-apa bahasa yang difahami. Begitupun, lebih baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad SAW dan bahasa Al-Quran. Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa, malah ada niat atau cita-cita dalam hati untuk bangun sahur itu juga dikira sudah berniat untuk berpuasa kerana seseorang itu tidak bangun sahur atau bercita-cita bangun sahur melainkan bertujuan untuk berpuasa esok harinya, melainkan jika dia memang berniat tidak mahu berpuasa jika tidak terjaga semasa waktu sahur Waktu berniat bermula dari terbenam matahari, iaitu masuk waktu sembahyang fardu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar sadik (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka. Betapa ruginya orang yang meninggalkan puasa kerana pahalanya amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja bukan sahaja telah melakukan satu


8 dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Hal ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud : “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah) Abu Umamah ra berkata; "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah, tunjukkan daku suatu amalan yang membolehkan daku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: " Hendaklah kamu berpuasa kerana sesungguhnya tiada satu cara pun yang mampu menandinginya." (Riwayatkan Ibn Hibban) Seterusnya mari kita membuat sedikit ulangkaji mengenai puasa secara ringkas supaya ibadat yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT. Jenis puasa pada asasnya terbahagi kepada tiga : • Puasa bulan Ramadhan • Puasa kifarah • Puasa qadha • Puasa nazar Wajib


9 •Puasa enam hari dalam bulan Syawal •Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) •Puasa pada hari tasu'a (9 Muharram) dan hari Asyura' (10 Muharram) •Puasa pada hari Isnin dan Khamis •Puasa pada hari putih (13, 14, 15 hari bulan pada setiap bulan Islam Hijrah) Sunat •Puasa pada hari Syak (30 Syaaban) •Puasa pada hari Raya Aidilfitri(1 Syawal) •Puasa pada hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) •Puasa pada hari Tashriq (11, 12, 13 Zulhijjah) •Puasa perempuan haid dan nifas •Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah) - khusus untuk yang menunaikan haji pada tahun itu sahaja •Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya sedangkan suaminya berada di rumah •Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudarat ke atas dirinya kerana berpuasa Haram


10 Berikut pula adalah syarat wajib dan syarat sah puasa.


11 Selanjutnya pula adalah hal-hal berhubung dengan perkara rukun, perkara sunat dan perkara yang membatalkan puasa. Terdapat golongan tertentu yang diharuskan berbuka puasa tetapi perlu qadha, fidyah, kaffarah atau qadha dan fidyah. Setiap satunya akan dijelaskan secara lebih lanjut dalam huraian selepas ini. Perkara-perkara berkaitan puasa di atas telah dipelajari, diamalkan dalam kehidupan sebahagian besar masyarakat Islam. Justeru diharapkan sedikit ulangkaji ini mampu membolehkan kita menyemak semula status ibadat puasa yang telah dibuat sebelum ini. Rukun Sunat Batal •Niat •Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari •Makan sahur serta melambatkannya •Segera berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air •Menjamu orang-orang berbuka puasa •Solat Tarawih pada malam harinya •Memperbanyak ibadah dan berbuat kebaikan •Berungguh-sungguh dan tekun berjaga malam pada 10 malam terakhir Ramadan untuk mendapatkan malam alQadar atau Lailatulqadar • Makan danminum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikitMakan danminum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit •Muntah dengan sengaja •Bersetubuh di siang hari •Mengeluarkan air mani dengan sengaja •Keluar darah haid atau nifas •Hilang akal (seperti gila) •Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari. •Merokok di siang hari (termasuk menghisap ganja atau dadah) •Murtad (keluar dari Islam) • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau penyegar mulut dan sebagainya.


12 1 PUASA RAMADHAN Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelummu agar kamu bertakwa. (183) (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada bari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 183-184) Puasa Ramadhan merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat fardu lima waktu. Puasa bulan Ramadan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun kedua Hijriah. Berdasarkan asbab nuzul riwayat al-Hakim, Muaz ibn Jabal RA menjelaskan bahawa apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda SAW berpuasa selama 3 hari pada setiap bulan dan baginda SAW juga berpuasa Asyura' (10 Muharam). Maka Allah SWT menurunkan ayat 183 ini untuk mewajibkan puasa Ramadan selama sebulan. 1.1 Kaedah Menentukan Permulaan Puasa Puasa Ramadhan ditentukan tarikhnya oleh beberapa petanda :


13 1.2 Perkiraan Puasa Ramadhan Para muslim akan mula berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadhan. Sebagai contohnya (dihuraikan dalam media Berita Utusan) pada tahun 2022, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di Malaysia adalah pada Ahad (3 April 2022) bagi tahun 1443H/2022M. Manakala 1 Syawal telah disambut pada hari Isnin 2 Mei 2022 apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan "Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022.” Perihal tersebut telah digambarkan sebagaimana rajah di bawah. 1 Bulan Sya’ban telah cukup 30 hari 2 Anak bulan Ramadhan telah kelihatan 3 Dimaklumkan oleh pemerintah melalui petanda yang disepakati, contohnya bunyi dentuman meriam atau lampu terpasang di menara. Kita di Malaysia akan dimaklumkan melalui siaran rasmi televisyen oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.


14 Kedudukan anak bulan Syawal tahun 2022 https://www.utusan.com.my/berita/2022/04/ramadan-di-malaysia-dijangkagenap-30-hari/ Pada tarikh cerapan, hilal Syawal dijangka mengalami al-ijtima atau lahir pukul 4.31 pagi dengan diambil kiraan di lokasi Pulau Perak, Kedah iaitu titik paling barat di Malaysia. Matahari pula akan terbenam pada pukul 7.31 malam manakala bulan muncul pukul 7.58 malam, sekali gus bulan muncul di ufuk iaitu kaki langit sebelah barat selama tempoh 27 minit. Anak bulan bakal berada di atas ufuk dengan hitungan ketinggian lima darjah 19 minit, sementara kiraan jarak sudut lengkung dari pusat bulan ke matahari pula ialah lima darjah 25 minit. Cerapan anak bulan dikendalikan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, merangkumi pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Contohnya, cerapan anak bulan Syawal menggunakan alat 'Steadolite' dilakukan bagi menentukan tarikh bagi Hari Raya Idulfitri sempena Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal 1443H di Menara Kuala Lumpur.


15 1.3 Niat Berpuasa Ramadhan Niat mengerjakan kefarduan ini adalah rukun dalam menyempurnakan puasa Ramadhan. Pernyataan yang minimum dalam niat ialah sekurang-kurangnya : نويت صوم رمضان Maksudnya : Sahaja aku niat puasa Ramadhan Ia diniatkan tanpa menyebutkan fardu, menurut pendapat yang muktamad sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Majmu’ disahihkan oleh An-Nawawiy sebagai mengikuti kebanyakan ulama kerana puasa Ramadhan orang baligh itu mesti fardu. Ada dua pandangan mazhab yang sering diikuti oleh para muslim iaitu pandangan imam Syafie dan Maliki. Niat Harian Sebulan


16 Walaubagaimanapun, jumhur ulama bersepakat pada waktu berniat adalah bermula pada waktu Maghrib sehingga masuk waktu Subuh. •Wajib berniat puasa pada setiap malam Ramadhan kerana ia adalah ibadah yang bersendiri yang tak terikat antara satu sama lain. َو ْي ت : Niat ْن َغ َصْو َم د نَ أ َدا ء َ أ ْر ض َ ة َّ لِل تَعَالَى َ ف َر َم َضا َن َه ذ ه ال َّسنَ Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala Mazhab Syafie •Harus niat puasa sebulan pada malam Ramadhan yang pertama dan tidak wajib niat setiap malam. Memadai sekali niat di awal Ramadhan. َو ْي ت : Niat َر َم ه َش ْه َضا َن ر َصْو َم نَ ِّ تَ الَى ك ل َّ لِل عَ Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala Mazhab Maliki •Niat puasa adalah setiap hari di waktu fajar dengan alasan, niat sesuatu ibadah adalah seiring dengan ( قصد الشيء مقترنا بفعله ) .tersebut ibadah perlakuan Mazhab Hanbali •Tiada maklumat tentang hal ini. Mazhab Hanafi


17 2 QADHA PUASA RAMADHAN Qadha pada bahasa bererti membayar. Manakala pada istilah syarak, qadha (dalam terma puasa) bermaksud mengerjakan semula atau menggantikan ibadat puasa yang tidak sah, tertinggal, atau sengaja di tinggalkan pada hari yang lain. 2.1 Tempoh Qadha Tempohnya adalah sepanjang tahun sepanjang hayat kita kecuali pada harihari yang diharamkan puasa. Kita dikenakan qadha sahaja sebanyak hari yang ditinggalkan sekiranya tidak melangkau ke Ramadhan tahun hadapan. Contohnya tidak puasa selama 3 hari, maka wajib qadha selama 3 hari juga sebelum menjelang Ramadan tahun hadapan. Sekiranya tidak berkesempatan sehingga melepasi Ramadhan (iaitu puasa Ramadhan seterusnya telah menjelang), maka wajib qadha beserta fidyah. Puasa yang ditinggalkan masih bilangan yang sama walaupun sudah berlalu beberapa Ramadhan. Sebaliknya fidyah akan bertambah secupak demi secupak berdasarkan berapa kali Ramadhan telah dilepasi. Sukatan ini akan terhenti setelah qadha puasa tersebut dilangsaikan. Qadha puasa ini akan ditanggung oleh kita sehinggalah selesai disempurnakannya. Sekiranya kita ragu-ragu berkaitan berapa bilangan hari yang telah ditinggalkan, maka laksanakanlah qadha sebanyak yang diyakini. Perkiraannya mengikut uruf kebiasaan uzurnya. Contohnya perempuan haid, kebiasaannya tujuh hingga lapan hari. Gantilah sekadar kemampuan diri dan mohonlah keampunan dari Allah. Allah maha pengampun lagi maha mengasihani hambaNya. Firman Allah SWT:


18 2.2 Sebab Qadha Rajah di bawah menjelaskan tentang golongan yang diwajibkan qadha puasa setelah meninggalkannya dalam bulan Ramadhan selepas bulan tersebut tamat. 1. Sakit Sakit ini merujuk kepada keuzuran seseorang yang menyebabkan dirinya lemah untuk meneruskan puasa Ramadhan.Kadar sakit yang membolehkan berbuka adalah sakit yang boleh memudaratkan dirinya atau yang melambatkan penyembuhannya atau boleh menyebabkan sakit itu bertambah teruk. Menurut Syeikh Nawawi Bantan dalam kitab Nihayah Zain, jika dia yakin berpuasa hari itu akan membawa kemudharatan kepadanya atau akan menjadi penyebab kepada kecacatan anggota badannya maka wajib dia berbuka dan haram Sakit (ada harapan sembuh) Perempuan menyusu yang khuatirkan dirinya Bekerja berat Gila/Pengsan Musafir Nifas Haid


19 meneruskan puasa itu. Walau bagaimanapun jika penyakit itu dirasakan ringan dan tidak memberi kesan buruk kepada dirinya, maka wajib dia meneruskan puasa. 2. Perempuan menyusu yang khuatirkan dirinya Penyusuan bayi mengikut syariat Islam diharuskan sehingga berumur 2 tahun Qamariyyah. Firman Allah Ta’ala berkaitan penyusuan bayi :


20 Keharusan berbuka bagi ibu ini adalah kerana ibu khuatir tentang kesihatan dirinya, contohnya ibu berpenyakit kencing manis kronik atau darah tinggi yang boleh memudaratnya. Ditambah dengan menyusu, kesannya ibu menjadi lemah dan boleh menggugat kesihatannya. Tanda yang dapat dikesan pada ibu menyusu yang lemah adalah air kencing yang pekat, pening dan sakit perut. 3. Bekerja berat Kerja berat ataupun digelar juga buruh kasar adalah kerja yang dilakukan menggunakan tangan dan memerlukan tenaga anggota yang banyak. Ia biasanya pekerjaan yang dipelopori oleh pekerja bukan mahir. Mereka dipergunakan dalam sektor pengeluaran barangan, pembinaan dan pertanian. Mereka boleh berbuka sekiranya mereka terpaksa menyiapkan kerja itu pada hari tersebut. Bahkan kalau mereka meneruskan puasa, ia akan memudaratkan mereka. Pandangan Jumhur Ulama menetapkan mereka perlu bersahur dan berniat puasa, kemudian di tengah-tengah pekerjaan mereka berlaku kelaparan dan keuzuran, haruslah mereka berbuka dan diqadha pada hari yang lain. Justeru, Syeikh Abd al-Rahman Ba’alawi menjelaskan tentang mereka yang bekerja berat sehingga tidak tertanggung diberikan rukhsah untuk berbuka puasa dengan beberapa syarat :


21 4. Musafir Musafir adalah situasi di mana kita berpergian ke suatu tempat kerana sesuatu hajat. Rukhsoh tidak berpuasa ini satu kelonggaran yang diberikan kerana keadaan musafir yang susah dan berat memerlukan kemudahan. Ia disandarkan 2 marhalah 92 km


22 dengan nas yang sama dengan rukhsoh Jamak dan Qasar solat. Mengikut penjelasan kitab Kifayah Al-Akhyar, musafir ini tidak bertujuan maksiat bahkan dengan niat yang baik seumpama perjalanan untuk mengerjakan haji, membayar hutang, hubungan silaturrahim, berniaga, riadah dan rekreasi. Manakala jarak perjalanan adalah 16 farsah seperti mana dijelaskan oleh Syaikh Abu Syuja’. Manakala jarak perkiraan yang mudah adalah sekitar 92 km atau 2 marhalah. 5. Nifas Wanita bersalin bermaksud keluarnya bayi dari perut ibu. Ketika ini dikatakan bersalin yang menyebabkan puasa terbatal dan wajib qada. Bersalin juga dinamakan dalam bahasa Arab sebagai wiladah. Ia juga merangkumi bersalin bayi mati, bersalin pembedahan atau keguguran. Manakala nifas adalah darah yang keluar dari faraj wanita setelah keluarnya bayi dari perut ibu, sejurus selepas rahim kosong. Ia terhasil disebabkan tercerai uri dari dinding rahim selepas melahirkan anak. Istilah perubatan menamakannya sebagai puerperium. Darah ini mengandungi sel-sel darah merah, tisu dinding rahim yang terhakis, sel-sel epithelial dan juga kuman bakteria. Ia bermula daripada tahap akhir ibu bersalin sehingga organ ibu kembali pulih ke keadaan prakehamilan. Biasanya darah ini berterusan sehingga 6 minggu iaitu 42 hari. Pendarahan minimanya satu titis, kebiasaannya 40 hari manakala paling maksima 60 hari. Semua yang diharamkan ke atas perempuan haid adalah sama haramnya ke atas wanita nifas. Tempoh inilah ibu akan meninggalkan puasa dan wajib qadha setelah darah nifas kering dan disudahi dengan mandi wajib.


23 6. Haid Merupakan darah kotor yang keluar dari pangkal rahim yang sihat. Ini adalah penandaan umur baligh dalam Islam. Semuda usia 9 tahun qamariyyah penuh.Ia darah fitrah yang keluar bukan kerana kecederaan di rahim atau bersalin. Tempoh paling minima sehari semalam, sementara kebiasaannya 7 hari dan paling maksima adalah 15 hari, sebagaimana masa yang terpendek untuk suci antara dua haid. Mengikut buku Fikah Perubatan, darah haid mengandungi 40ml komposisi darah dan 35ml cairan serous. Ia terdiri dari komponen darah daripada salur arteri, selsel endometrium yang mati dan sel-sel leukosit (darah putih). Ditambah lagi dengan penjelasan Imam As-Syafi’e, ciri-ciri warnanya adalah hitam, merah, kuning, kuning kemerahan dan berakhir dengan kuning keputihan. Perempuan yang tiba-tiba didatangi haid di siang Ramadhan, puasanya terbatal dan wajib diqadha sebelum menjelang Ramadhan akan datang. Mereka dibolehkan makan sepanjang tempoh haid tersebut. Walau bagaimanapun mereka sunat berimsak untuk hari permulaan haid itu sahaja. Bahkan diharamkan berimsak di hari seterusnya sehingga habis tempoh haidnya. Minima • 1 titis Biasa • 6 minggu @ 42 hari Maksima • 60 hari


24 Imam Bukhari (227) dan Muslim (110) dalam kitab Ath Thaharah, mengulas tentang wanita haid mendapati dirinya telah suci sebelum fajar namun ia belum sempat mandi kecuali setelah terbit fajar apakah ia boleh berpuasa pada hari itu. Al Hafidh ibnu Hajar menukilkan tentang sisi perbezaan antara puasa dan solat bagi wanita haid. Ia berkata : “wanita haid seandainya dia suci sebelum fajar dan dia berniat puasa maka sah puasanya tersebut menurut pendapat jumhur. Puasa tersebut tidak tergantung pada mandi berbeza dengan solat (harus mandi terlebih dahulu apabila seseorang ingin melaksanakan solat)”. Suami atau isteri yang berjunub pada malam hari, sunat mandi menyucikan hadas besar sebelum fajar. Ini bagi mengelak air memasuki rongga telinga dan dubur. Tetapi sekiranya mandi junub selepas terbit fajar, puasanya tetap dikira sah. Isteri Rasulullah iaitu Aisyah RA dan Ummu Salamah pernah menceritakan : “Nabi SAW pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Sementara orang yang terkena buasir, terkeluar darah dan terkeluar otot lingkarnya, hal ini tidak membatalkan puasanya. Bahkan harus dia menggunakan jari memasukkan semula otot lingkar itu. Ini kerana atas dasar keterpaksaan kesihatannya. Ia tidak membatalkan puasa. Perkara ini disebut dalam kitab Fathulmu’in. 2.3 Niat Qadha Niat puasa qadha hendaklah ditukarkan lafaz ء اَد َ أ) tunai) dengan lafaz ء اَضَق) ganti). Oleh yang demikian, lafaz niat bagi puasa ganti ialah seperti berikut : َويْ ت نَ ْر ض َر َمضَا َن َلِل تَعَالَى َ ْن قَضَا ء فَ صَ ْوم غَ د عَ “Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qadha (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.” Niat puasa qadha ini hendaklah diniatkan setiap malam hari qadhanya. Ia tidak boleh diniatkan sekali untuk beberapa hari qadha sekalipun qadha itu berturut-turut harinya.


25 NOTA : 1. Bagi kes individu yang meninggal dunia sebelum sempat qadha puasa, ada dua keadaan : 2. Sekiranya ada pihak lain atau bukan waris si mati ingin mengqadhakan puasa bagi pihak si mati, mereka perlu mendapatkan keizinan daripada waris si mati terlebih dahulu KECUALI si mati telah berwasiat supaya individu tertentu dari kalangan bukan waris yang melakukan qadha puasa bagi pihak dirinya.


26 3 FIDYAH PUASA RAMADHAN Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qadha) bulan Ramadhan dengan mengeluarkan secupak makanan asasi sesebuah negara yang diberikan kepada fakir miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Hukum membayar fidyah adalah wajib dan menjadi hutang kepada Allah sekiranya tidak dilangsaikan. 3.1 Sukatan Fidyah dibayar kerana seseorang tidak dapat mengqadha puasanya setelah menjangkau Ramadan yang baru atau muslim tersebut tidak sempat langsaikan disebabkan kematian atau mereka tidak mampu laksanakan kerana faktor umur juga disebabkan keuzuran yang berpanjangan. Wajib ke atas mereka atau wali mengeluarkan fidyah sebanyak 1 mud (cupak) makanan asasi per hari yang ditinggalkan puasa. Hal ini tetap difardukan sekalipun mereka orang kaya atau orang miskin. Ini kerana syarat fidyah tidak menentukan pengeluar seorang yang kaya sebagaimana zakat. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memperkenalkan pilihan bayaran fidyah puasa Ramadan mengikut jenis gred beras yang dimakan pada tiga kadar yang berlainan iaitu RM2, RM4 dan RM6 sehari. Ini mengikut keselesaan pemberi fidyah dan lebih baik mengikut perkiraan harga beras yang rutin dimakannya. Ia juga merujuk kepada harga beras Malaysia (BERNAS). Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali hanya mengharuskan fidyah atas beras atau makanan asasi tempat tersebut. مد صا


27 Harga beras mengikut Majlis Agama Islam Selangor Nilai Beras Jenis Beras Yang Dimakan RM 2 beras Super Special Tempatan lima peratus RM 4 beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni atau beras wangi RM 6 beras basmathi/beras Jepun atau beras merah.


28 Umat Islam yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari http://www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php. Ini kerana ada pandangan yang membolehkan kita memberi wang tunai iaitu menurut pendapat mazhab Hanafi. Alasannya adalah atas dasar mungkin orang miskin itu lebih memerlukan wang tunai untuk keperluan lain berbanding beras seperti keperluan membeli pakaian atau lauk pauk.. Keterangan ini diterima pakai oleh Jawatankuasa Fatwa Malaysia. • Siti meninggalkan puasa sebanyak sembilan hari pada 2022 (belum melangkau tahun) dan memakan Beras Super Special Tempatan lima peratus. • Maka kadar fidyahnya adalah RM18 (9 hari x 1 tahun x RM2 = RM18) Contoh 1 •Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Fatimah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau. •Maka kadar fidyahnya adalah RM42 (7 hari x 3 tahun x RM2 = RM42) •NOTA : •Kiraan akan bermula dari tahun 1439H hingga 1441H = 3 tahun. Tahun pertama yang bermula dari 1438H hingga 1439H tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadan yang berikutnya. Contoh 2


29 3.2 Siapakah Pembayar dan Penerima Dalam surat al-Baqarah ayat 184, tertulis syarat orang yang boleh membayar fidyah, sekaligus siapa orang yang berhak menerima fidyah. “…. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) : memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” ن ك ل يو م مسكيًنا عنه مكا ُطعم فلي ُ شهر من مات وعليه صيام “Sesiapa yangmati sedangkan diamasihmempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hariyang ditinggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)


30 Pembayar • Sakit yang tiada harapan sembuh • Orang tua yang sudah tidak mampu • Perempuan mengandung yang khuatir mudarat pada kandungannya • Perempuan menyusu yang khuatir mudarat pada bayinya • Orang yang sengaja melewatkan qadha puasa sehingga melangkaui Ramadhan berikutnya • Bekerja berat sepanjang tahun • Mati sebelum sempat qadha puasa Penerima • Fakir • Miskin • Amil • Muallaf • Hamba yang ingin merdeka • Orang yang berhutang • Fi sabilillah •Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialisis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. •Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah •30 hari x RM4.00 = RM120.00 Contoh 1


31 •Sepanjang kehamilannya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari kerana bimbangkan keadaan bayi yang dikandungnya. •Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah •7 hari X RM4.00 = RM28.00 •NOTA : •Puan Rina wajib qadha puasa DAN bayar fidyah. •Qadha kerana tidak puasa •Bayar fidyah kerana bimbangkan kandungannnya. •Jika sekiranya Puan Rina GAGAL menggantikan puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya maka beliau akan dikenakan fidyah kerana lewat menggantikan puasa. Contoh 2 •En Jamal telah tidak berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana panas. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun. •Bilangan hari tidak berpuasa X Bilangan tahun tertangguh X Kadar fidyah •3 hari X 9 X RM4.00 = RM108 •NOTA : •Tahun pertama tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadan yang berikutnya. Contoh 3


32 Seseorang boleh memberikan keseluruhan fidyahnya hanya kepada seorang sahaja.Sekiranya jumlah tersebut amat banyak, maka wajarlah dibahagikan kepada beberapa orang penerima. Ini kerana dapat memberi manfaat kepada golongan yang susah kehidupannya. Ketika menghulurkan fidyah itu memadai dengan niat tanpa menyebut kepada mereka. Tetapi adalah lebih baik jelaskan sekiranya diserahkan kepada ahli jawatankuasa masjid atau majlis agama negeri.


33 4 KAFFARAH PUASA RAMADHAN Kaffarah puasa ialah denda yang dikenakan kepada lelaki yang melakukan jimak dengan perempuan pada siang hari dengan sengaja pada bulan Ramadhan dalam keadaan berpuasa. Diwajibkan kaffarah ke atas lelaki dewasa yang sengaja membatalkan puasa Ramadan dengan melakukan persetubuhan yang diharamkan kerana berpuasa. Persetubuhan ini mungkin dilakukan sama ada dengan ikatan perkahwinan yang sah (jimak) atau tidak sah (zina). Termasuk dalam hukum ini ialah golongan yang bersetubuh dengan lelaki (gay), perempuan, binatang, mayat ataupun secara liwat, sekalipun tidak keluar air mani. Lelaki tersebut akan dikenakan empat hukuman, iaitu : 1 • Batal puasanya 2 • Berdosa 3 • Wajib qadha puasa 4 • Wajib kaffarah


34 Manakala golongan berikut tidak diwajibkan kaffarah : NOTA : 1. Tidak dikenakan kaffarah bagi orang yang musafir atau sakit jika berlaku jimak dalam keadaan tersebut. 2. Tetapi jika melakukan jimak dahulu, kemudian baru bermusafir atau datang sakit, maka tidak gugur kaffarah. 1. Wanita yang dijimak termasuk diliwat. 2. Orang yang lupa, jahil dan orang yang dipaksa. 3. Orang yang menyangka jimaknya berlaku pada waktu malam kemudian ternyata sebaliknya. 4. Orang yang berpuasa nazar, kaffarah dan qada. 5. Orang yang berpuasa dengan berijtihad dan tidak dapat dipastikan kesahihan ijtihadnya. 6. Orang yang syak pada puasanya seperti hari yang ke-30 Syaaban. 7. Orang yang menyangka terbenam matahari kemudian ternyata sebaliknya. 8. Orang yang membatalkan puasa dengan selain jimak. 9. Kanak-kanak yang belum baligh. 10. Orang yang diharuskan berbuka puasa seperti bermusafir atau sakit.


35 4.1 Bentuk Kaffarah Bentuk kaffarah ialah memerdekakan seseorang hamba. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu juga, wajib memberi 60 cupak makanan asasi kepada 60 orang miskin tetapi adamajlis agama negeri yang membuat kiraan mengikut kadar zakat fitrah. Contohnya, kadar makanan seorang dikira dengan secupak beras iaitu bersamaan 675 gram atau 1/4 daripada kadar zakat fitrah yang dibayar. Kadar zakat fitrah di negeri Selangor bagi tahun 2021 adalah RM 7.00. Maka kadar 1/4 zakat fitrah adalah RM 1.75. 60 x RM1.75 = RM105 Kaffarah ini bukan satu pilihan tetapi WAJIB mengikut turutan. Jika tidak mampu melaksanakan yang pertama barulah dibolehkan untuk berpindah kepada turutan seterusnya. Pertama : Merdekakan Hamba Seorang hamba yang hendak dibebaskan itu mesti memenuhi empat syarat : Islam Tidak cacat (yang mengganggu kemampuan untuk bekerja) Tertentu (niat kaffarah jimak sahaja) Hamba yang layak untuk dimerdekakan Syarat


36 Kedua : Berpuasa Dua Bulan Berturut-Turut Dua bulan yang dimaksudkan ialah bulan hijrah, walaupun hanya 29 hari dan hanya dikenakan kepada pihak LELAKI sahaja. Luput perbuatan berturut-turut jika meninggalkan puasa walaupun sehari sekalipun ia hari yang terakhir. Ini bermakna jika dia meninggalkan puasa walaupun sehari, seluruh puasa kaffarahnya batal dan harus dimulakan semula. Ketiga : Memberi Makan 60 Orang Miskin Maksudnya ialah memberi pemilikan satu mud (cupak) daripada makanan jenis bijian (makanan ruji) kepada 60 orang miskin atau fakir yang layak menerima zakat dengan kadar satu cupak bagi setiap orang. Sukatan satu cupak adalah bersamaan lebih kurang 700 gram. NOTA : 1. Berbilang kaffarah dengan berbilangnya hari yang dibatalkan puasa dengan jimak. 2. Jika seseorang itu tidak mampu melaksanakan kesemuanya, maka kaffarah itu menjadi tanggungannya sehingga dia mampu melaksanakan salah satu daripada kaffarah tersebut berdasarkan turutan yang telah disebutkan. 3. Lafaz niat puasa kaffarah : Sahaja aku puasa kaffarah esok hari kerana Allah Taala 4. Oleh kerana puasa kaffarah termasuk dalam puasa yang wajib, maka niatnya hendaklah dilakukan pada waktu malam sebelum itu. 5. Jika dia melakukan dua kali persetubuhan selama dua hari, dia akan dikenakan dua kali kaffarah. Jika dia melakukan tiga kali persetubuhan pada siang hari Ramadan, dia dikenakan tiga kali kaffarah. Begitulah seterusnya.


37 6. Tetapi jika dia melakukan beberapa kali persetubuhan dalam sehari, kaffarahnya hanya sekali sahaja. Yang dikira ialah bilangan hari, bukan kekerapan melakukannya dalam sehari. 7. Kaffarah kerana bersetubuh pada siang Ramadhan hanya diwajibkan ke atas suami sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Justeru, bagi isteri yang berjimak, hanya diwajibkan untuk qadha’ (menggantikan puasa) dan tidak dikenakan kaffarah.


38 5 QADHA DAN FIDYAH Kewajipan untuk qadha dan membayar fidyah sekaligus ini dikenakan ke atas mereka yang tidak sempat menyempurnakan qada puasa Ramadhan yang telah melangkau ke Ramadhan yang baru. Begitu juga ibu hamil yang khuatir akan keselamatan bayi yang dikandungnya setelah mendapat nasihat daripada doktor. Manakala ibu menyusu yang yakin puasanya boleh memudaratkan bayinya juga termasuk dalam golongan ini. NOTA : Perempuan hamil @ menyusu : Diri sendiri • Qadha sahaja • Qadha & Fidyah Diri sendiri + Anak Anak • Qadha & Fidyah


39 KESIMPULAN Puasa menduduki tempat ke tiga selepas syahadah dan solat dalam penyucian jiwa membenteng ujian maksiat. Puasa merupakan pembiasan kesabaran, kerana Rasulullah SAW mendidik orang muslim agar menyatakan mereka puasa apabila disakiti oleh musuh. Ini bermakna besarnya impak puasa dalam mendamaikan jiwa dan mengharmonikan hubungan manusia bahkan dengan Allah SWT. Umat Islam hanya difardukan puasa wajib dalam bulan Ramadhan sahaja. Walaupun begitu Allah SWT masih membuka ruang dan rukhsoh untuk berbuka sekiranya mengalami beberapa keuzuran syari’e. Tanda syukur kepada keringanan ini, wajarlah kita menggunakan dengan penuh ikhlas dan berlapang dada dalam mengqadha puasa tersebut. Fahamilah bahawa hutang perlu dibayar sesama manusia, inikan pula hutang terhadap Allah SWT. Kita perlu sedar bukanlah Allah mendambakan fidyah beras kita, bukan juga mendambakan denda kafarah hambaNya, tetapi ini hanyalah sekadar bukti ketaatan hamba terhadap Allah, tanda bersyukur kepada Pencipta sekalian alam. Sesungguhnya Allah SWT Maha Rahim Maha Razzak. Allahussomad yakni Allah tempat pergantungan manusia. Bukan Allah yang bergantung kepada manusia. Allah SWT tidak memerlukan sesiapa pun untuk mentadbir alam semester ini. Bahkan kita hambaNya yang lemah sentiasa berdoa untuk mendapat pertolongan dan rahmatNya. Kita tidak mampu berdikari tanpa pimpinan Allah SWT.


40 BIBLIOGRAFI Dr. Harmy Mohd Yusoff (2013). Fikah Perubatan. PTS Millennia Sdn.Bhd. Malaysia. Imam Taqiyuddin Abu Bakar Bin Muhammad Al-Husaini (2014). Kitab Kifayah AlAkhyar Fiqh Al-Imam Al-Syafi’e. Perniagaan Jahabersa, Malaysia. Syeikh Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fatani (1993). Matla’ Al-Badrain. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Malaysia Syaikh Zainuddin Bin Abdul Aziz Al-Malbariy (2009). Kitab Fathul Mu’in. Perniagaan Jahabersa, Malaysia. Sarip bin Abdul (2015). Panduan Amalan Di Bulan Ramadhan. Jakim, Malaysi. https://www.hmetro.com.my/authors/dr-mohd-hasrul-bin-shuhari https://www.utusan.com.my/berita/2022/04/ramadan-di-malaysia-dijangkagenap-30-hari/ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/951437/aidilfitridisambut-esok https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/698237/kadar-fidyah-diselangor-ikut-jenis-beras-dimakan https://maktabahalbakri.com/926-berbuka-puasa-kerana-kerja-berat/ https://maktabahalbakri.com/913-kaffarah-jimak-suami-sahaja-atau-keduaduanya-sekali/ https://www.darulnuman.com/index.php?option=com_content&view=article&id=8 4&Itemid=146 https://www.zakat.com.my/info-zakat/fidyah/ https://akumuslim.asia/puasa-ramadhan-pengenalan-panduan-lengkap/ https://akuislam.com/fekah/kaffarah-puasa-ramadan/ https://ecentral.my/cara-bayar-fidyah/ https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/kaffarah https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/kira-fidyah


41 https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/3447-irsyad-alfatwa-khas-ramadhan-siri-ke-145-adakah-dikenakan-kaffarah-berjimak-selepassengaja-membatalkan-puasa-dengan-makan http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12576 https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Fidyah-dan-Kaffarah-DenganNilai-Wang


42 POLITEKNIK KOTA BHARU KM 24, KOK LANAS 16450 KETEREH KELANTAN


Click to View FlipBook Version