1 PENGENALAN FASAKH Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui pengadil (hakim). Fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya. Syarat-syarat Fasakh Menurut pendapat Mazhab Syafie syarat sah fasakh ada dua perkara iaitu:- 1. Tidak sah fasakh nikah jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. 2. Keterangan atau bukti yang diberikan mestilah disaksikan oleh dua orang lelaki atau pengakuan, bahawa kecacatan seperti mati pucuk atau dengan cara berganti-ganti sumpah. Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri : a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun. b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan. c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih. d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun. e) Telah mati pucuk. f) Telah gila selama tempoh 2 tahun. g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit. h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita. i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat. j) Memaksa isteri hidup secara lucah. k) Melupuskan harta isteri. l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama. m) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak. n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin. o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
2 LAPORAN KES Kes Ainun Binti Abd.Majid lawan Mohamad Adam Bin Bakar (Dalam Mahkamah Rendah Syariah Kajang) Kes Saman No. 10005-014-229-2004 (rujuk Lampiran 1) Fakta kes kajian: Plaintif (Ainun binti Abd.Majid) dan defendan (Mohamad bin Bakar) telah bernikah pada 14/1/1989 di England berwali bapa kandung Plaintif dan berdaftar secara sah dengan Pendaftar Perkahwinan tempatan iaitu Daerah Hulu Langat pada 10/12/2003. Semasa perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Pada 18/3/2004, Plaintif telah memfailkan permohonan tuntutan cerai fasakh di mahkamah ini dengan beberapa alasan iaitu: 1. Suami tidak memberi nafkah zahir untuk diri dan anaknya lebih dari 3 bulan berturut-turut. 2. Suami telah menganiaya dirinya dengan meminjam duit beribu-ribu ringgit dan masih tidak melangsaikan hutangnya dan mengabaikan urusan berkaitan rumah seperti pembaikian paip dan bumbung bocor yang terpaksa diuruskan sendiri. 3. Suami sering pulang lambat kerana bermain golf sehingga lewat malam dan berpoya-poya dengan kedi perempuan. 4. Suami suka berpoya-poya dengan perempuan dan berkahwin tanpa pengetahuannya malah pernah meninggalkannya untuk bersama kekasihnya 4 tahun yang lalu. 5. Suami sudah lama tidak mengerjakan solat kecuali solat Jumaat dan tidak mengambil berat hal agama berkaitan diri dan keluarganya. 6. Telah mengalami tekanan jiwa dan penderaan mental yang teruk akibat perkara-perkara tersebut semenjak 7 tahun kebelakangan dan sudah tidak sanggup meneruskan kehidupan yang tidak tenteram dan menanggung dosa berterusan. Kedua-dua plaintif dan defendan telah melantik peguam masing-masing dan perbicaraan telah dijalankan beberapa kali antara tahun 2004 sehingga 2005, di mana plaintif telah membawa 3 orang saksi iaitu Dr. Azmi Bin Jamion, doktor panel plaintif, Imah, iaitu seorang Pembantu Rumah dan Noor Hayati Abdul Jalil, iaitu sepupu plaintif pada dua sesi perbicaraan terakhir. Manakala, defendan tidak mengemukakan sebarang saksi untuk memberi keterangan. Hasil dapatan perbicaraan tersebut, pihak Mahkamah telah mensabitkan aduan plaintif bahawa defendan telah cuai memberi nafkah zahir kepada plaintif selama tiga bulan sejak Disember 2003 dan defendan lazim menyakiti plaintif dalam tempoh tersebut.
3 Oleh yang demikian, Mahkamah telah memfasakhkan perkahwinan di antara plaintif dan defendan mulai 3 Oktober 2006 jam 3.42 petang. FAKTOR/PUNCA KES Faktor utama yang telah dikenalpasti adalah berpunca daripada pihak defendan iaitu suami kepada plaintif yang telah mengabaikan tanggungjawabnya dalam menyara keluarga terutamanya dalam pemberian nafkah zahir seperti makan-minum, pakaian dan hal-hal berkaitan rumahtangga seperti keadaan rumah dan sebagainya. Di samping itu, defendan juga telah berkelakuan sangat tidak wajar walaupun telah bergelar suami yang sepatutnya sentiasa tinggal serumah dan menjaga keluarga di saat senang mahupun susah. Sebaliknya beliau telah berpoya-poya pula dengan perempuan lain dan mengabaikan keperluan serta perasaan isteri dan anaknya yang keseorangan di rumah. Kemuncak dari kelaziman yang tidak wajar ini dari seorang suami, plaintif telah tidak dapat menanggung beban fikiran yang merungsingkan dan tidak aman sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Inilah yang telah membawa kepada cerai fasakh kepada perkahwinan keduaduanya. KESAN DAN AKIBAT Perceraian secara fasakh akan menyebabkan pembubaran perkahwinan di antara plaintif dan defendan. Sekiranya pihak defendan ingin merujuk semula plaintif iaitu bekas isterinya di masa hadapan, dia perlu melakukan akad perkahwinan yang baharu semula. Akibat daripada perceraian secara fasakh ini akan memberikan kelegaan kepada psikologi plaintif yang telah menderita selama bertahun-tahun disebabkan perbuatan defendan yang telah mengabaikan emosinya. Ini juga dikongsi bersama dengan anaknya. Walaubagaimanapun, perceraian secara fasakh ini pula akan menjejaskan punca sara hidup seperti tempat tinggal atau sebahagian harta yang pernah dikongsi bersama defendan semasa tempoh perkahwinan mereka dahulu. Bagi defendan pula, ia tidak akan mengurangi bilangan talak ke atas plaintif sekiranya mereka bersatu semula dalam perkahwinan yang baharu pada masa depan. Berkenaan dengan hak-hak selepas penceraian, jika plaintif bercerai secara baik maka hak yang boleh dituntut ialah nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian, hadhanah, dan nafkah anak. Dan sekiranya penceraian secara fasakh, semua hak-hak yang disebutkan boleh tuntut kecuali nafkah iddah.
4 CADANGAN PENYELESAIAN Masalah membabitkan suami yang ego, dendam dan marah adalah yang paling banyak berlaku di dalam kes-kes isteri digantung tidak bertali menurut peguam syariah, W Asmaliza Abdullah dari W Asmaliza & Co. Istilah ini diberikan dengan memberi maksud isteri ditinggalkan atau dibiarkan suami tanpa nafkah, perhatian, perhubungan dan khabar berita. Ramai isteri yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan keadaan seperti melibatkan kes di atas. Mereka lebih selesa mendiamkan diri dan memendam rasa. Lebih malang lagi bagi mereka yang tidak kukuh kedudukan kewangannya. Oleh kerana kos untuk membuka fail tuntutan fasakh memerlukan bayaran yang tinggi, memerlukan proses yang panjang dan pertemuan beberapa kali, maka ramai wanita yang memilih untuk terus melalui keperitan hidup. Ada beberapa cara untuk menyelesaikan masalah mereka. Antaranya dengan membuat aduan terlebih dahulu dengan pejabat agama berhampiran. Aduan dilakukan untuk mendapatkan kaunseling bagi pasangan terbabit. Kaunseling yang diadakan oleh pegawai yang bertauliah ini akan cuba mencari penyelesaian dan memberi khidmat nasihat kepada pasangan tersebut. Sekiranya tiada kata sepakat untuk kedua-duanya, pasangan boleh membuat permohonan cerai di mahkamah syariah. Sebaik-baiknya penyelesaian secara baik dilakukan di luar mahkamah supaya dapat menjaga aib dari diketahui oleh orang luar. Namun jika tidak boleh dilakukan juga, kedua-dua pihak haruslah bersetuju membawa kes perceraian ke mahkamah dengan pihak suami setuju melafazkan cerai di hadapan isteri. Wanita boleh juga boleh memohon fasakh dengan perintah mahkamah. Ia berlaku sekiranya kaunseling gagal, perceraian secara baik juga gagal, maka permohonan cerai secara fasakh akan menjadi jalan terakhir. Oleh kerana proses tuntutan fasakh memakan masa yang lama, mahkamah perlu mempertimbangkan tuntutan isteri serta bukti yang kukuh dan saksi sebelum dapat membenarkan pembubaran perkahwinan tersebut. Terdapat satu kaedah perceraian yang jarang diketahui masyarakat disebabkan kurang pengetahuan mengenainya iaitu perceraian secara hakam. Perceraian secara hakam dimulakan dengan tuntutan perceraian oleh isteri mengikut Seksyen 47, Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri iaitu merujuk kepada Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor disebabkan wujudnya satu prosedur khusus iaitu Kaedah-kaedah Hakam 2014. Selepas tuntutan ini difailkan, suami dan isteri akan hadir ke mahkamah bagi mendapatkan pendirian mereka sama ada ingin bercerai atau sebaliknya. Jika suami enggan menceraikan isterinya, mahkamah akan meletakkan pasangan ini bawah Jawatankuasa Pendamai. Sekali
5 lagi mahkamah akan menasihati suami untuk menyatakan pendiriannya sama ada menceraikan isterinya secara baik atau sebaliknya. Bagi kes suami tidak hadir di mahkamah atau enggan melafazkan talak, mahkamah akan merujuk kes itu kepada hakam untuk tindakan menurut Seksyen 48. Pada peringkat ini, hakam mengambil alih tugas seterusnya melalui dua peringkat iaitu hakam tidak mempunyai kuasa menceraikan pasangan, sekadar memberi kata putus berkenaan keadaan rumah tangga pasangan. Peringkat kedua, hakam dilantik oleh mahkamah syariah dengan kuasa untuk menceraikan manakala suami langsung tidak mempunyai kuasa menghalang perceraian itu dan ia sah di sisi hukum syarak serta undang-undang. Menerusi prosiding hakam ia dapat memendekkan proses perceraian yang biasanya memakan masa yang lama. Wanita yang digantung tidak bertali juga akan mendapat pembelaan sewajarnya. Sekurang-kurangnya ia memberikan sinar baru kepada wanita yang membuat tuntutan perceraian terutama mereka yang digantung tidak bertali. Jika sebelum ini talak adalah dalam tangan suami dan mereka masih boleh mempertahan kuasa di mahkamah walaupun isteri menuntut perceraian secara fasakh atau taklik namun dengan perceraian melalui hakam, suami tidak mempunyai apa-apa hak dan biasanya perceraian dapat dilakukan dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Hakam juga berkuasa untuk melafazkan talak di mahkamah, walaupun suami tidak membenarkannya dan enggan melafazkannya.
6 SUMBER RUJUKAN http://kelantan.jksm.gov.my/jksn/index.php/mengenai-kami/ketua-pendaftar/21- joomla/components/206-fasakh https://isterisihat.com.my/fasakh/ http://www.esyariah.gov.my/Misc/htdocs/faqbm/FaqDisplayByQuestionBM.jsp?FaqGroupId=180 &FaqId=7#topfocus http://www.esyariah.gov.my/images/esyariah/Document/PenghakimanMkhRendahSyariah/2/10 005-014-229-2004.PDF https://www.hmetro.com.my/hati/2017/11/288208/pembelaan-sewajarnya https://peguamsyariefas.com.my/tag/fasakh/
7 LAMPIRAN 1 LAPORAN KES AINUN BINTI ABD.MAJID LAWAN MOHAMAD ADAM BIN BAKAR (DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KAJANG)