UCAPAN DASAR MUKTAMAR SANAWI ABIM PULAU PINANG KALI KE-50 Separuh Abad ABIM: Gerakan Ilmu dan Bakti Dengan lafaz yang mulia dan penuh kesyukuran kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT atas keizinan-NYA dapat kita bertemu dalam Muktamar Sanawi ABIM Pulau Pinang kali ke-50 pada hari ini. Harapan kita, mudahmudahan pertemuan ini bukan semata-mata pertemuan jasad semata-mata tetapi adalah sebuah medan muhasabah dalam menyemarakkan lagi ruh berkerja dalam visi yang satu serta mengukuhkan lagi tali ukhuwah islamiah yang telah terjalin. ILMU DAN TARBIAH Warga muktamirin sekalian, ABIM sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti harus mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu dan semangat. Ilmu itu kita jadikan sebagai tarbiah untuk kita terus memacu dakwah. Hakikatnya, kita perlu sedar bahawa ilmu semata-mata tidak dapat membentuk manusia agar benar-benar bertanggungjawab kepada Islam. Hari ini ramai orang mempunyai ilmu Islam tetapi Islam tidak dapat dilihat dalam praktik hidup mereka. Mereka sebenarnya masih belum beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar Iman. Apabila seseorang itu tidak patuh kepada Allah SWT dalam semua bidang hidup, maka bermakna imannya masih lemah. Oleh yang demikian ilmu Islam perlu ditarbiah dengan Tarbiyyah Imaniyyah hingga lahir kesedaran dan
kefahaman yang mendalam. Dr Abdul Halim El-Muhammadiy dalam buku ‘Risalah Tarbiyyah’ (1994), beliau menyatakan bahawa: “Apa yang dimaksudkan dengan tarbiyyah harakiyyah adalah tarbiyyah yang lebih bercorak pengisian kesedaran pemikiran Islam secara umum yang berasaskan AlQuran, As-Sunnah, Sirah pemikiran-pemikiran gerakan dan pemikiran-pemikiran semasa. Perkara yang dibincangkan mencakupi semua kepentingan masyarakat Islam. Selain dari ini, bidang-bidang keilmuan semasa yang berkaitan dengan keberkesanan dan pengukuhan organisasi perlu diberikan. Proses ini perlu diberikan dalam program-program tamrin, usrah dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk mendidik setiap anggotanya supaya dapat meresapkan sahsiah Islamiyyah di dalam diri masing-masing sehingga sahsiah tersebut terserlah di dalam fikiran, perasaan, sikap dan tindakan hidup mereka sehari-hari yang mencerminkan kehidupan seorang Muslim yang sebenarnya” BAKTI KEPADA MASYARAKAT Warga muktamirin sekalian, Rasulullah SAW ketika ditanya siapakah orang yang paling disukai Allah SWT? Dan apakah amalan yang paling disukai Allah SWT? Nabi Muhammad S.A.W menjawab, “Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang muslim, atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku suka daripada dapat beriktikaf di masjid ini selama sebulan.” (Hadis riwayat at-Thabrani) Oleh itu ABIM sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti harus memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting terhadap masyarakat. ABIM terus dengan prinsip tegas mempertahankan cita-cita dan aspirasi masyarakat sekali gus merupakan nilai murni yang menandai makna perjuangnya. Kita sedar bahawa generasi belia hari ini tidak lagi ghairah dan berminat melibatkan diri dalam sesebuah organisasi. Ia merupakan suatu cabaran baru buat penggerak dakwah seperti ABIM menarik minat generasi muda dan belia terlibat sama dalam proses melakukan perubahan atau agen
perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Kita sedar bahawa usaha memupuk perkembangan generasi muda yang sedar (conscious), peka (sensitif), dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kepentingan masyarakat dalam soal kebebasan, keadilan sosial, hak asasi manusia dan kenegaraan adalah usaha yang perlu digerakkan secara bersama. ABIM perlu tampil dengan pendekatan baharu yang lebih segar dan terbuka sifatnya, tanpa rigid sesuai dengan keadaan persekitaran dan peredaran zaman. PERJUANGAN HAK PALESTIN Sidang muktamirin sekalian, Saat kita sedang berhimpun pada hari untuk bermuktamar, saudara-saudara kita di Palestin sedang ditindas dan dibunuh di tanah air dan rumah mereka sendiri oleh rejim Israel dengan kejam. Oleh itu ABIM menuntut agar pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak oleh rejim Israel harus segera ditamatkan. ABIM juga menggesa masyarakat di seluruh dunia agar konsisten mendukung perjuangan rakyat Palestin yang mendambakan kebebasan dan kemerdekaan tanah air mereka. Kita harus memainkan peranan advokasi di peringkat tempatan dan antarabangsa, sudah pasti rakyat Malaysia sedar kekejaman Israel cuma ia perlu ditingkatkan lagi agar generasi akan datang konsisten dalam isu memahami penindasan rejim zionis. AGENDA GERAKAN MASA DEPAN Muktamirin dan muktamirat sekalian, PEMBERDAYAAN USRAH - Usrah merupakan nadi kepada sesebuah gerakan. Hal ini menjadikan usrah sebagai medan untuk mentarbiyyah ahli bagi mempersiapkan ahli yang sentiasa kompeten. Oleh itu, perlunya perancangan dan sinergi baru untuk memastikan usrah mencapai tahap konsistensi yang memuaskan. KADERISASI – Perlunya memanfaatkan peluang-peluang jaringan yang telah ada seperti PEMBIMBING(PKPIM), Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Islamic Outreach ABIM untuk meningkatkan lagi kaderisasi. Fokus juga kepada kampus-
kampus di Pulau Pinang seperti di Universiti Sains Malaysia dan IPG Kampus Pulau Pinang. EKONOMI – ABIM haruslah menjana ekonomi dengan pelbagai cara lagi untuk memastikan kelangsungan gerak kerja. Infaq harus diperkukuhkan lagi sesama ahli gerakan dan perlunya perancangan supaya aset-aset yang dimiliki oleh kita diguna sepenuhnya untuk menjana ekonomi. KHATIMAH Kesempatan dan peluang ini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pimpinan ABIM Negeri dan Pusat, WADAH, dan PEMBIMBING yang telah banyak membantu dan memberikan kerjasama sepanjang sesi yang lepas. Jutaan kemaafan dipinta atas segala kekurangan dan kekhilafan. Pesan dan motivasi Al-quran agar kita terus berusaha gigih dan tidak putus asa berjuang dirakamkan dalam surah al-Taubah ayat 105: Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. Semoga Allah berkati kita semua. Sejahterakan Pulau Pinang Dengan Dakwah. Selamat bermuktamar. Allahu Akbar!