KOLEKSI CERITA RAKYAT Oleh: Cikgu Nurmaisarah binti Mazlan
JOM BACA BUKU CERITA DIGITAL ! 01 Cerita Mitos Naga Pulau Tioman 02 Cerita Asal Usul Batu Bor dan Batu Karai 03 Cerita Binatang Kambing Memperdayakan Buaya 04 Cerita Jenaka Mat Jenin
Pada zaman dahulu, ada dua ekor naga sekelamin tinggal di Kuala Tahan di hulu Sungai Pahang. Pada suatu hari, kedua- dua ekor naga ini berhasrat hendak pindah tinggal di laut yang lebih luas. Mereka tahu kawasan Pulau Daik perairannya sangat baik dan jarang didatangi orang. Tidak banyak perahu-perahu besar belayar di situ. Pada suatu tengah malam, kedua-dua ekor naga laki bini ini pun mulalah menghilir Sungai Pahang. Pada ketika itu, terjadilah banjir dengan tiba-tiba. Penduduk yang tinggal di tebing Sungai Pahang tidak sempat berpindah. Mereka sangat hairan melihat banjir yang tiba-tiba sahaja datangnya itu.
Orang kampung mulalah percaya tentulah ada binatang besar yang sedang menghilir sungai tersebut. Kalau tidak ular yang besar tentulah naga. Namun, tidak ada sesiapa yang berani untuk pergi melihatnya. Bagaimanapun, banjir itu terlalu cepat pula surutnya. Tidak sampai dua hari, air sungai telah surut seperti biasa. Mereka tersangat hairan dengan keadaan itu. Tidak pernah mereka alami banjir yang besar surut dalam masa dua hari selama ini.
Naga laki bini itu menghilir menuju kuala Sungai Pahang. Kemudian, mereka keluar ke Laut China Selatan yang biru dan luas bergelombang itu. Kedua-duanya berenang menuju ke Pulau Daik. Segala ikan kecil besar di dalam lautan tersangat hairan melihat dua ekor naga sedang berenang menuju ke tengah-tengah lautan itu. Gelombang laut menjadi semakin besar dan beralun kencang ketika kedua-dua ekor naga itu sedang dalam perjalanannya. Badan kedua-duanya yang bersisik itu kelihatan timbul di permukaan laut sedangkan kaki mereka berdayung menguak air. Bulan samar yang terbit di awan menjadikan kedua-dua ekor naga tersebut dapat sesekali dilihat berbalam-balam.
Sebelum kedua-duanya bergerak dari Kuala Tahan itu, ada satu pantang yang terpaksa mereka patuhi. Kedua-duanya mesti tiba ke Pulau Daik sebelum ayam berkokok. Jika mereka sampai lewat daripada itu, mereka akan ditimpa bencana. Setelah menghilir Sungai Pahang, keluar ke kuala dan mengharung laut yang biru dan luas, akhirnya mereka sampai di tengah-tengah laut di hadapan Kuala Rompin. Apabila sampai di kawasan tersebut, Naga Betina teringat akan sehelai kain cindainya tertinggal di Kuala Tahan. Kain tersebut tersangat saktinya dan boleh digunakan untuk seribu kehendak.
Naga Betina pun berkatalah kepada lakinya itu tentang kain cindai yang tertinggal itu. "Bolehkah saya berpatah balik ke Kuala Tahan untuk mengambil kain tersebut?" tanya Naga Betina itu kepada lakinya. "Janganlah kamu berpatah balik. Bukankah hari sudah hampir siang sekarang ini. Jika ayam berkokok nanti dan kita masih belum sampai ke Pulau Daik, tentulah kita akan ditimpa bencana, " kata Naga Jantan.
Bagaimanapun Naga Betina tidak menghiraukan nasihat Naga Jantan lakinya itu. Menurutnya, dia akan sampai semula sebelum ayam berkokok. Dalam pada itu, Naga Jantan meneruskan perjalanannya ke Pulau Daik yang jauh di tengah-tengah lautan itu. Setelah Naga Jantan meneruskan perjalanannya itu, Naga Betina mula berpatah balik dan berenang semula ke Kuala Pahang dan mudik ke Kuala Tahan. Dia mahu mengambil kain cindai yang tertinggal itu.
Sewaktu dia membelokkan dirinya itu, ombak bertambah besar. Malang bagi Naga Betina. Ketika dia sedang membelokkan dirinya itu, sebelum sempat dia berenang ke Kuala Pahang, kedengaran ayam-ayam berkokok bersahut-sahutan di daratan. Dinihari akan berlalu dan tidak lama lagi siang akan menjelang. Matahari akan terbit dari sebelah timur. Naga Betina telah melanggar pantangnya. Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukannya lagi. Naga Jantan telah jauh menuju ke Pulau Daik dan telah sampai ke kawasan itu dengan selamatnya.
Dengan serta-merta, badan Naga Betina beransur-ansur bertukar menjadi batu. Mula-mula kepalanya kemudian beransur-ansur hingga ke bahagian ekornya menjadi keras. Akhirnya, keseluruhan badannya menjadi batu. Batu tersebut menjadi sebuah pulau yang besar dan ditumbuhi oleh pokok-pokok. Pulau itu ialah Pulau Tioman yang terdapat sekarang, terletak tidak jauh dari Kuala Rompin di negeri Pahang itu. Pulau tersebut boleh kelihatan berbalam-balam dari Kuala Rompin jika cuaca baik. -TAMAT-
B A T U B O R D A N B A T U K A R A I C e r i t a A s a l U s u l : B A T U B O R D A N B A T U K A R A I C e r i t a A s a l U s u l :
Pada zaman dahulu, di sebuah kampung di tebing Sungai Pahang terdapat ramai penduduknya yang rajin bekerja. Penduduk di kampung ini sangat teguh muafakatnya. Mereka hidup aman damai dan tolong-menolong antara satu sama lain. Setiap hari penduduk di kampung itu akan bekerja di ladang atau huma masing-masing. Ada yang bertanam padi. Ada yang bertanam jagung. Ada yang bertanam ubi keladi dan sebagainya. Hasil tanaman mereka sangat banyak pada setiap musim.
Ramai pula penduduk kampung itu yang menangkap ikan di Sungai Pahang itu. Ada yang menahan lukah. Ada yang memasang belat jika air surut. Ada yang memasang gelogoh untuk menangkap udang. Kadang-kadang mereka menuba beramai- ramai menggunakan akar tuba yang mereka dapati dalam hutan.
Di kawasan itu juga banyak terdapat rotan, minyak keruing, damar serta hasil hutan yang lain. Kadang-kadang penduduk kampung itu masuk ke dalam hutan berburu rusa dan kijang. Kalau tidak, mereka akan mengambil manisan lebah yang bersarang di pokok-pokok tualang yang tinggi itu. Pada suatu hari, seorang penduduk kampung itu baru mendapat seorang anak kecil. Isterinya baru melahirkan anak itu. Penduduk tersebut tersangat gembira lalu mahu mengadakan kenduri kesyukuran.
Apabila sampai pada hari kenduri itu, penduduk kampung pun berkumpullah di rumah penduduk yang mendapat anak kecil itu. Mereka membuat sebuah sabak yang besar beramai-ramai dan memasak bubur untuk dijamu kepada penduduk kampung tersebut. Sewaktu mereka memasak bubur itu, tiba-tiba hebohlah orang dari sebelah hulu mengatakan Sang Kelembai sedang berjalan menuju ke arah kampung mereka itu. Sang Kelembai ialah keluarga gergasi yang tinggal di hulu Sungai Pahang. Sang Kelembai tidak ganas tetapi semua makhluk takut kepadanya. Mereka takut kerana apa-apa sahaja yang ditegur oleh gergasi itu semuanya akan bertukar menjadi batu dalam sekelip mata itu juga.
Apabila mendengarkan keluarga gergasi itu sedang menuju ke kampung mereka, masing-masing pun mula melarikan diri. "Kalau ditegurnya kita semua, tentulah kita akan menjadi batu, " kata salah seorang penduduk yang sedang menolong memasak bubur di kawah yang besar itu.
Sewaktu mereka hendak berbuat begitu, Sang Kelembai sekeluarga itu telah tiba. Badannya sangat tinggi. Air sungai yang dalam itu hanya setakat lutut mereka. Penduduk kampung itu tercengang dan kecut melihat gergasi yang besar itu sudah berada di hadapan mereka. Sang Kelembai sangat hairan melihat manusia yang ramai itu. Mereka ketawa berdekah-dekah melihat manusia yang dalam ketakutan itu. Tetapi Sang Kelembai tidak mengapa-apakan mereka.
Bunyi suara gergasi tiga beranak itu ketawa terlalu kuat. Penduduk itu tidak berlengah lagi. Masing-masing bertempiaranlah menyelamatkan diri masing-masing. Tidak ada seorang pun yang tinggal di situ. Mereka yang sedang membuat bubur itu meninggalkan sabak dan sudip mereka. Manamana yang sedang meniup api juga turut lari dari situ, yang mempunyai anak mendukung atau mengheret anak mereka.
Susup-sasaplah penduduk kampung itu melarikan diri. Mereka masuk ke dalam hutan, meredah duri dan onak, mengharung paya dan anak sungai. Masing-masing tidak mahu ditegur oleh gergasi tiga beranak itu. Jika mereka ditegur oleh gergasi tersebut, tentulah mereka semua akan menjadi batu.
Apabila mereka berhenti ketawa, gergasi tiga beranak itu melihat tidak ada manusia lagi di kawasan itu. Mereka sangat hairan melihat keadaan itu. Ke mana pula perginya manusia yang ramai sebentar tadi itu, fikir gergasi tiga beranak itu. Mereka ternampak sebuah kawah yang besar terjerang di atas sabak. Di dalamnya terdapat bubur yang hampir masak. Sang Kelembai tiga beranak itu tidak mengetahui apakah yang sedang dimasak oleh penduduk kampung itu. Sebaliknya dia hairan melihat kawah dan isi kawah tersebut.
Sang Kelembai mengambil kawah tersebut lalu dibalingkannya ke dalam sungai. Bubur yang terdapat di dalam kawah itu tumpah lalu hanyut ke hilir dibawa oleh air. Kawah yang dilemparkan oleh Sang Kelembai itu tertungkup di dalam sungai tersebut.
Dikatakan orang, kawah tersebut bertukar menjadi batu. Kawah yang menjadi batu itu masih ada di Sungai Pahang terletak tidak jauh dari Kampung Bohor di daerah Bera pada masa ini. Sabak tempat memasak bubur itu kini menjadi sebuah kubang yang besar. Kubang itu masih ada di kawasan itu tidak jauh dari tebing Sungai Pahang. Bubur yang tumpah daripada kawah tersebut hanyut ke hilir dibawa air lalu terlekat di sebuah pulau yang bernama Pulau Kening. Bubur itu juga menjadi batu.
Batu bubur itu kelihatan benar-benar seperti bubur yang berketul kecil. Sebuah kampung yang ada di situ sekarang ini dinamakan Kampung Batu Bubur mengikut asal bubur yang hanyut dan lekat di pulau tersebut. Kampung itu sekarang ini disebut dengan nama Kampung Batu Bor sahaja. Kawah yang menjadi batu itu pula dinamakan Batu Karai hingga sekarang. Karai ialah nama seorang penduduk yang telah membuka semula kampung di kawasan itu. Kampung itu juga dinamakan Kampung Karai. Demikianlah ceritanya dan setiap penduduk di kawasan itu benar-benar percaya bahawa cerita tersebut pernah terjadi. Ini berdasarkan tanda-tanda yang masih dapat dilihat. -TAMAT-
Kambing Memperdayakan Buaya Cerita Binatang
Pada suatu masa, sekumpulan kambing hidup dengan bebas dan selesa di satu kawasan yang subur. Rumput serta pucuk-pucuk kayu di kawasan itu sentiasa menghijau. Senanglah kumpulan kambing itu mencari makan. Dari semasa ke semasa, mereka membiak dengan banyaknya.
Kawasan tersebut terletak berhampiran sebuah sungai. Dalam sungai tersebut, terdapat banyak buaya. Ada yang kecil, ada yang besar. Ada yang panjang, ada yang pendek. Buaya-buaya yang ada di dalam sungai itu terlalu mengidam hendak menangkap kambing-kambing yang gemuk di kawasan itu.
Walaupun pada setiap hari kambing-kambing yang ada di kawasan itu selalu minum di sungai tersebut tetapi buaya-buaya yang ada di situ tidak dapat menangkap mereka. Kambing-kambing itu sentiasa mengingatkan antara satu sama lain supaya berwaspada dengan buaya di dalam sungai tersebut. Pada suatu masa yang lain, terjadilah musim kemarau. Rumputrumput serta kayu-kayu di kawasan kambing itu tidak sesubur masa yang lalu. Kumpulan kambing tersebut sangat susah hati kerana mereka sukar mencari makan. Pada setiap hari, mereka terpaksa mengunyah rumput-rumput yang telah kering.
Bagaimanapun, kumpulan kambing tersebut melihat rumput-rumput di seberang sungai subur menghijau. Pucuk-pucuk kayu di belukar yang rendah di seberang sana juga bertaruk muda. Alangkah baiknya jika mereka dapat pindah ke seberang sungai itu, fikir kambingkambing itu.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat hendak menyeberang sungai tersebut. Buaya-buaya yang ada di dalam sungai itu sentiasa menunggu peluang untuk menangkap dan membaham kambing- kambing di kawasan itu. Akhirnya, kumpulan kambing itu berkumpullah beramai-ramai. Mereka bermuafakat mencari jalan hendak berenang ke seberang sungai. "Jika kita terlalu lama tinggal dalam keadaan kemarau ini, tentulah kita akan kebuluran tidak makan, " kata salah seekor kambing yang ada itu.
"Jadi, bagaimanakah caranya kita hendak menyeberang sungai itu?" tanya beberapa ekor yang lain. Mendengarkan pertanyaan sedemikian, tidak ada seekor pun yang menjawab. Masing-masing takut ditangkap oleh buaya yang sentiasa lapar dalam sungai tersebut. Akhirnya seekor kambing yang tua memberikan fikirannya tentang cara hendak berenang menyeberang sungai itu. Kambing itu telah putih semua janggutnya. Tanduknya pun panjang dan bengkok.
Semua kambing yang ada bersetuju dengan cadangan kambing tua itu. Apabila sampai masa yang ditetapkan, kambing-kambing itu pun berkumpul di tebing sungai tersebut. Masing-masing bersedia hendak berenang dan menyeberang. Buaya-buaya yang ada di dalam sungai itu tersangat gembira melihat kawanan kambing yang ada di tebing sungai itu. Pada fikiran mereka, kali ini kenyanglah mereka dapat membaham kambing-kambing yang gemuk itu.
Kambing tua yang cerdik itu membahagikan kawanan kambing itu kepada dua kumpulan. Satu kumpulan disuruhnya pergi ke hilir sungai. Manakala kumpulan yang satu lagi disuruhnya pergi ke hulu sungai. Seketika kemudian, kambing-kambing yang berada di hulu sungai itu mengocak-ngocakkan kaki mereka ke dalam air. Mendengarkan bunyi kocakan kaki kambing-kambing itu, buaya-buaya yang ada di dalam sungai menyangka kambing-kambing di hulu sungai itu sedang berenang untuk menyeberang. Buaya-buaya itu berdahulu-dahuluanlah berenang ke hulu sungai untuk menangkap kambing-kambing tersebut.
Apabila semua buaya itu telah berada di hulu sungai, maka kambing yang sedang berada di hilir sungai pun berenanglah dengan selamat ke seberang sana. Apabila mereka telah selamat sampai dan naik ke tebing, maka kambing-kambing itu pun mengocak-ngocakkan kaki mereka ke dalam sungai. Mendengarkan kocakan kaki kambing itu, buaya-buaya yang berada di hulu sungai itu berenanglah ke hilir sungai pula. Mereka hendak menangkap kambing-kambing yang pada sangka mereka sedang berenang itu.
Pada ketika itulah kambing-kambing yang ada di hulu sungai itu berenang menyeberang sungai dengan selamat. Akhirnya kesemua kambing itu selamat berada di seberang sungai itu. Mereka terlalu gembira kerana dapat makan rumput yang hijau serta pucuk-pucuk kayu muda di kawasan itu. -TAMAT-
Mat Jenin Cerita Jenaka
Pada zaman dahulu, dalam sebuah kampung, ada seorang anak muda bernama Mat Jenin. Mat Jenin tinggal seorang diri di rumahnya di kampung itu. Anak muda ini sangat rajin. Pada setiap hari, dia mengambil upah memanjat kelapa. Pohonpohon kelapa tumbuh dengan subur dan berbuah dengan lebat di kampung itu. Pada setiap hari, ada sahajalah orang kampung yang mengupah Mat Jenin memanjat kelapanya. Mat Jenin akan memetik dan menggugurkan buah kelapa yang sudah tua. Dia kemudiannya akan mendapat dua biji kelapa sebagai upah memanjat itu. Sebiji upah untuk dia memanjat dan sebiji lagi upah dia turun.
Walaupun pada setiap batang kelapa yang dipanjatnya itu dia mendapat upah dua biji, namun pada setiap hari dia mendapat berpuluh-puluh biji kelapa. Ini disebabkan pada setiap hari, dia memanjat berpuluh-puluh pokok kelapa itu untuk menggugurkan buah yang telah tua. Mat Jenin sangat senang dengan hidupnya yang sedemikian. Buah-buah kelapa yang didapati dijualnya. Duit yang didapatinya itulah digunakan bagi menyara kehidupannya seharian. Demikianlah pada setiap hari dia melakukan kerja tersebut. Jika tidak tuan kebun kelapa di sebelah sini memanggilnya untuk memanjat kelapa, tentulah tuan kelapa di sebelah sana yangmemanggil. Kalau tidak tuan kebun yang di baruh, tentulah pula tuan kebun di tebing yang memanggilnya
Terkenallah Mat Jenin sebagai anak muda yang mahir memanjat dan menggugurkan buah kelapa itu. Setiap orang kenal akan Mat Jenin dan mereka sering mengupah Mat Jenin memanjat kelapa di kebun mereka. Pada suatu hari, seorang tuan kebun mengupah Mat Jenin memanjat kelapa di kebunnya. Mat Jenin melihat pokok-pokok kelapa yang subur dengan daunnya yang menghijau itu. Pastilah terdapat banyak pohon kelapa yang sudah tua buahnya dan perlu dipanjat serta digugurkan.
Mat Jenin memilih sepohon kelapa yang tinggi tetapi tersangat lebat buahnya. Walaupun dia hanya mendapat upah dua biji iaitu sebiji upah memanjat dan sebiji upah turun tetapi dia tetap gembira dengan kerjanya itu. Mat Jenin pun mulalah memanjat pohon kelapa yang dipilihnya itu. Apabila sampai ke pertengahan pokok kelapa tersebut, maka terfikirlah dalam kepala Mat Jenin tentang upah yang akan didapatinya itu. Fikirnya, setiap kali dia memanjat pokok kelapa, dia mendapat dua biji kelapa sebagai upah.
Mat Jenin merancang dalam fikirannya. Dua biji buah kelapa itu akan dijualnya. Wang hasil jualan itu nanti akan dibelinya dua ekor anak ayam. Dia akan memelihara anak ayam itu. Semakin lama semakin besar dan akhirnya ayam tersebut bertelur dan menetas. Semakin lama ayam-ayamnya semakin banyak. Berjalanlah ayam-ayam itu ke sana ke mari di dalam kampung tersebut sambil berkokok dan berketak. Orang kampung tentu bertanya, "Ayam siapakah ini?" Maka jawab orang yang lain, "Itulah ayam Mat Jenin, anak muda yang mahir memanjat kelapa di kampung kita ini."
Mat Jenin sungguh gembira memikirkan hal tersebut. Setelah ayamnya itu membiak dengan banyak, dia bercadang untuk menjual ayam-ayamnya itu. Dia akan membeli itik pula. Mat Jenin memelihara itiknya itu. Semakin lama itiknya itu semakin membiak. Pada setiap petang, itik-itik itu berjalan ke hulu ke hilir di dalam kampung tersebut dengan bunyinya yang riuh-rendah.
Sekalian orang kampung tentu bertanya pula, "Itik siapakah yang berjalan berpuak-puak ke hulu ke hilir itu?" Maka jawab orang lain, "Itulah itik Mat Jenin, anak muda yang mahir memanjat kelapa di kampung kita ini."
Setelah itiknya semakin banyak, Mat Jenin berangan- angan menjual itiknya, lalu membeli kambing pula. Mula-mula sepasang, seekor jantan dan seekor betina. Mat Jenin memelihara kambingnya itu hingga beranak-pinak. Semakin hari kambing itu semakin banyak. Pada setiap petang, kambing-kambing tersebut berjalan ke hulu ke hilir di dalam kampung tersebut. Mengembik di sana, mengembik di sini.
Sekalian orang kampung akan bertanya lagi, "Kambing siapakah yang banyak ini?" Maka jawab oleh orang lain, "Itulah kambing Mat Jenin, anak muda yang mahir memanjat kelapa di kampung kita ini." "Masakan kambingnya sebanyak ini, " kata yang lain pula. "Berpuak-puak ke sana, berpuak-puak ke sini?" Maka jawab orang lain, "Mat Jenin sudah menjadi orang kaya sekarang ini. Dialah seorang yang kaya di kampung kita ini."
Setelah kambingnya membiak dengan banyak, Mat Jenin menjual kambingnya dan membeli kerbau pula. Kerbau yang dipelihara oleh Mat Jenin membiak sama seperti kambingnya dahulu itu. Semakin hari semakin membiak kerbau tersebut. Pada setiap petang, kerbau-kerbaunya berjalan ke sana ke mari di dalam kampung tersebut.
Sekalian orang kampung sekali lagi bertanya, "Kerbau siapakah yang semakin membiak ini, menguak ke hulu, menguak ke hilir?" Maka dijawab oleh orang kampung yang lain, "Itulah kerbau Mat Jenin, orang kaya di kampung kita ini." Mat Jenin begitu gembira kerbaunya semakin membiak. Oleh sebab kerbaunya terlalu banyak, dia menjadi seorang yang kaya raya. Oleh itu, pada suatu masa yang lain, dia meminang puteri raja yang cantik. Mat Jenin pun berkahwinlah dengan puteri raja negeri itu.
Mat Jenin lalu menjual beberapa ekor kerbaunya. Duit jualan kerbaunya itu dibelinya seekor kuda. Kuda tersebut pantas berlari serta baik bangun tubuhnya. Mat Jenin pun membawa isterinya, puteri raja itu naik kuda. Hasratnya ingin berkuda ke hulu berkuda ke hilir menunjukkan kepada sekalian rakyat akan isterinya yang cantik itu. Mat Jenin terasa dia menunggang di atas belakang kuda. Namun, sebenarnya dia tidak menunggang di atas belakang kuda tetapi menunggang pelepah kelapa yang menjulai ke bawah itu. Entah macam mana, tangan Mat Jenin tersalah pegang, dia pun melayang jatuh ke tanah.
Tuan kebun terperanjat melihat Mat Jenin terbaring parah di atas tanah. Dia segera memanggil orang ramai. Mereka kemudiannya mengangkat Mat Jenin naik ke rumah. Mat Jenin dirawat segera secara kampung. Beberapa hari selepas itu, Mat Jenin pulih seperti sediakala. Ramailah orang bertanya mengapa Mat Jenin jatuh dari pokok kelapa itu padahal selama ini entah berapa pokok kelapa dipanjat oleh Mat Jenin, tetapi dia tidak pernah jatuh.
Mat Jenin tersenyum tersipu-sipu, malu untuk bercerita. Akhirnya, apabila didesak, Mat Jenin bercerita juga tentang dia berangan-angan ketika memanjat pokok kelapa tersebut. Orang kampung semuanya tercengang mendengar cerita Mat Jenin. Masing-masing kagum dengan cara berfikir Mat Jenin itu. "Hal ini memang boleh jadi, " kata salah seorang penduduk kampung. "Kalau kita berusaha, semuanya boleh jadi.”