TEKS UCAPAN PERASMI
MAJLIS APRESIASI ADNI
JABATAN PENDIDIKAN MELAKA
TAHUN 1444H/2022M.
26 NOVEMBER 2022 / 11.00 PAGI
AUDITORIUM
MASJID AL - AZIM
MELAKA
TEKS UCAPAN
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan
kesyukuran kepada hadrat Allah S.W.T. kerana dengan
limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada pagi
yang mulia ini dalam Majlis Apresiasi ADNI Peringkat
Negeri Melaka Tahun 1444H/2022M kelolaan Sektor
Pendidikan Islam dengan Kerjasama Pertubuhan
Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah (PEKDIS)
Cawangan Melaka.
Terima kasih dan tahniah kepada guru-guru dan
pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang
berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga
mampu melahirkan modal insan yang berkualiti pada
hari ini. Semoga majlis ini dapat dijadikan asas
permulaan kepada anjakan paradigma untuk menjana
modal insan yang terbilang dari segi keseimbangan
jasmani, emosi, rohaninya, intelek dan sosialnya.
Tuan-tuan dan puan-puan ,
Pendidikan merupakan perkara utama yang berupaya
mempengaruhi pembangunan diri individu dan
menyediakan pelbagai peluang dalam mencorakkan
kehidupan masa depan. Pendidikan juga mendasari
proses pembangunan modal insan yang berinovatif dan
berkemahiran tinggi yang merupakan faktor kritikal bagi
menyokong pertumbuhan sosial, budaya, dan ekonomi
sesebuah negara.
Sehubungan dengan itu, semua pihak haruslah
memberikan tumpuan kepada usaha menyediakan
peluang yang luas untuk generasi muda khasnya anak-
anak murid kita untuk menguasai pelbagai keupayaan,
bakat, dan minat masing-masing.
Dalam usaha melaksanakan transformasi sebesar
ini, kita sebagai pendidik memainkan peranan utama
dalam memimpin, menerajui, dan menjalin kerjasama
dengan semua sektor yang menyediakan perkhidmatan
pendidikan dan dengan pihak berkepentingan untuk
melonjakkan pencapaian dan pontensi murid.
Saya menghargai dan menyanjung tinggi semua warga
kerja Majlis hari ini yang berkhidmat dengan penuh
dedikasi dan gigih serta berusaha secara berterusan
untuk meningkatkan pencapaian pendidikan dan
menjaga kebajikan murid kita sehingga mampu
melahirkan modal insan yang mengharumkan nama
negeri Melaka ke peringkat Kebangsaan. Syabas dan
tahniah saya ucapkan.
Anak-anak didik yang dirahmati Allah ,
Majlis pada hari ini adalah untuk memberikan
pengiktirafan kepada murid-murid yang berjasa dan
menyumbang kecemerlangan dalam aktiviti
pembangunan adab dan nilai di negeri Melaka.
Implementasikan segala ilmu yang dipelajari untuk
memperkembangkan potensi diri anak-anak sekalian,
bak kata mutiara apa gunanya kemenyan sebesar
tungku kalau tidak dibakar.Teruskan melakar kejayaan
hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Jangan takut dan pernah ragu dengan potensi yang
ada dalam diri anda. Cubalah lihat kupu-kupu,
seandainya saja kupu-kupu memiliki keraguan, maka
kupu-kupu akan hidup dan mati sebagai seekor ulat
bulu yang hanya mampu merangkak, itu kata-kata
motivasi daripada Larispique Philidor ahli ilmuan barat.
Oleh itu,anak-anak mestilah yakin akan potensi diri
masing-masing untuk membentuk sebuah generasi
yang mampu berdaya saing dengan generasi negara-
negara maju, bak kata pepatah duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan islam pernah
menukilkan bahawa ‘kepuasan sejati lahir daripada
keabadian bersama’. Justeru, Saya percaya ibu bapa,
guru-guru, pegawai-pegawai jabatan pendidikan
berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam
mengasah modal insan yang telah mengharumkan
nama negeri Melaka dalam pelbagai pertandingan.
Jaringan kolaboratif antara sarana ibu bapa, guru-guru,
dan pegawai jabatan pendidikan ini mampu membentuk
modal insan yang berpotensi dalam mengukir bakat
yang terpedam dalam diri anak-anak sekali gus
membentuk murid-murid yang seimbang dari segi
jasmani, rohani, intelek, emosi dan sosial. Tahniah saya
ucapkan.
Kita semua sedia maklum bahawa para murid
merupakan tiang negara dan bakal memimpin negara
pada masa akan datang kerana pemuda harapan
bangsa pemudi tiang negara. Oleh itu, kejayaan anak-
anak murid kita pada hari ini dapat direalisasikan
disebabkan oleh jaringan kolaboratif yang hebat
daripada para guru, ibu bapa dan pegawai-pegawai
jabatan pendidikan.
Akhir kalam, saya mengambil kesempatan sekali lagi
mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak
yang terlibat secara langsung atau tidak langsung
kerana berjaya menganjurkanMajlis Apresiasi ADNI
Peringkat Negeri Melaka Tahun 1444H/2022M.
Akhir kata saya sudahi ucapan saya dengan dua
rangkap pantun:
Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
jemari disusun maaf dipinta.
Keterlibatan semua tidak tersukat,
Permuafakatan ukhwah sebagai makrifat,
Seia sekata kita berpakat,
Membangunkan generasi muda menjadi matlamat.
Dengan lafaz bismilahirahmanirahim, saya dengan
ini merasmikan majlis apresiasi adni peringkat negeri
melaka tahun 1444h/2022m.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualikum
warahmatullahi Wabarakatuh
SEKIAN, TERIMA KASIH.