The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nuranisaliah98, 2020-10-24 14:14:19

Nuranis Aliah_Penghasilan Cerpen

Nuranis Aliah_Penghasilan Cerpen

Keywords: Selamat Tinggal Kampung Alisa

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2018 SEMESTER 5)

PENULISAN KREATIF SASTERA KANAK-KANAK
(BMMB3103)

NAMA : NURANIS ALIAH BINTI SAMIN

ANGKA GILIRAN : 2018192340081

KAD PENGENALAN : 980702015140

KUMPULAN : PISMP D4

TUGASAN : PENGHASILAN KARYA (CERPEN)

NAMA PENSYARAH : CIK SITI SALAMAH BINTI MOHD YUSOF

TARIKH HANTAR : 12 OKTOBER 2020

Selamat Tinggal
Kampung Alisa

Nuranis Aliah

Kata Pengantar

Alhamdulillah segala puji dan syukur saya
panjatkan kehadrat Ilahi kerana buku cerita
pendek ini telah selesai disusun. Buku ini
dihasilkan khas untuk kanak-kanak bagi
memupuk minat membaca sejak di bangku
sekolah lagi. Tema yang diangkat dalam
penceritaan ini ialah alam sekitar dan teknologi
hijau. Buku ini berkisahkan tentang sebuah
kampung terakhir yang ditelan kota. Ia ada
menerangkan tentang kepentingan alam
sekitar dengan kehidupan manusia. Pembaca
turut akan diberi gambaran terhadap kesan
pembangunan yang tidak terancang sehingga
menghancurkan khazanah bumi yang indah.

Nuranis Aliah, Oktober 2020.

Biodata Penulis

Nama: Nuranis Aliah binti Samin
Tarikh lahir: 2 Julai 1998
Tinggal: Yong Peng, Johor
Taraf pendidikan: Ijazah Sarjana Muda
Keguruan
Bidang: Bahasa Melayu
Hobi: Menonton filem/drama

Kampung Alisa

Kampung Alisa sudah berusia 100 tahun. Di
kampungnya terdapat 12 buah rumah, sebuah surau,
sebuah tanah perkuburan dan 62 orang penduduk
tetap. Disebabkan oleh kampungnya yang kecil, hidup
masyarakat di situ terjalin rapat. Kawasan
kampungnya sentiasa bersih dan suasananya aman
damai. Rumah Alisa merupakan rumah pertama di
kampung itu yang didirikan oleh moyangnya, masih
tegak kukuh di lereng bukit di tengah hutan. Kampung
Alisa ialah desa yang baik. Tanahnya merah dan
masam, serta berdebu dan kering. Sebatang anak
sungai mengalir tidak jauh dari situ, dan di
seberangnya pula terdapat sebuah bukit. Di kakinya
terbina sebatang denai. Udaranya sejuk nyaman di
bawah lindungan pokok. Bertebing curam dan tenang,
pokok-pokok di situ menahan air untuk keperluan
rumah dan kebun pada musim kemarau.

Di sanalah katak, udang, kerang-kerangan dan ikan
berkerumun. Ke arah hilir tebingnya, tumbuh pokok
nipah yang menyumbangkan daunnya sebagai atap
rumah dan kraf tangan orang terdahulu. Moyang Alisa
sangat bangga kerana dapat membina sebuah rumah
diperbuat daripada kayu Belian di kampung yang
sangat indah. Dia pernah berpesan kepada anak
cucunya, “Ingatlah pokok yang telah menyumbang
atap rumah kita. Selama beratus-ratus tahun pokok itu
tumbuh di sini dan selama beratus-ratus tahun jugalah
pokok itu melindungi tapak rumah ini. Jangan lupa
mengenang anugerah Tuhan dan selalulah tunjukkan
rasa rendah diri sebagai hamba-Nya.”

Pada waktu Alisa dilahirkan, kampung Alisa ialah
sebuah desa yang berhampiran dengan sebuah kota
besar. Sewaktu banyak kampung lain diruntuhkan
untuk memberikan laluan kepada perkembangan kota,
kampung Alisa masih tidak disentuh oleh
pembangunan itu. Penduduk kampung Alisa menjadi
pemerhati bencana yang memusnahkan kampung lain
di sekelilingnya dan mereka berasa lega kerana
kampung mereka terselamat. Walaupun rumah Alisa
terletak jauh daripada kawasan pekan, dia tidak
pernah berasa bosan kerana dia ada ramai teman
sepermainan seperti Salmi, Aisyah dan Farah. Dia juga
memiliki sebuah rumah mainan yang dibuat oleh
ayahnya daripada dua buah kotak buah-buahan. Dia
ada patung, tiga ekor kucing, dua ekor angsa dan
ayam peliharaan.

Seluruh kawasan kampung itu menjadi laman
permainannya, dari lorong sehinggalah anak sungai.
Ruang di bawah rumah pula menjadi tempat
perlindungannya jika hari hujan atau ketika hari terlalu
terik. Beberapa tahun yang lalu, sewaktu keluarganya
memiliki beberapa batang pokok getah, di ruang
bawah tanah inilah tempat datuk Alisa memesin
getahnya. Sekarang tempat ini telah kosong dan
menjadi tempat permainan Alisa bersama kawan-
kawan kampungnya.

Di belakang rumah Alisa, terdapat sebuah kebun.
Datuknya atau dipanggil Atok akan pergi ke kebun
pada setiap hari untuk mengutip daun dan buah dari
pokok, mencangkul tanah dan mencurah air dari timba.
Alisa yang berumur 10 tahun kini sudah mula faham
bahawa kebun inilah yang membekalkan sayur-
sayuran untuk dimasak, untuk dibuat ulam dan
dijadikan ubat apabila ada anggota keluarga yang
jatuh sakit. Namun, mereka haruslah melakukan
pelbagai tugas untuk mendapatkan hasil sebegini.
Kebun ini juga menjadi sebahagian daripada tempat
Alisa bekerja dan bermain permainan hariannya. Di
kebun inilah dia belajar bahawa manusia tidak dapat
hidup tanpa tumbuh-tumbuhan.

Suatu hari ketika matahari pagi separuh meninggi, ibu
sedang berehat manakala Atok pula di dapur
menumbuk ubat. Atok menyusun bahan-bahannya
seperti kelapa, daun kunyit, asam dan daun kemangi di
atas pelapik daun pisang. Bahan-bahan tersebut
dicampurkan dan ditumbuk di dalam lesung batu. Atuk
ingin membuat ubat untuk ibu bagi melegakan
kesakitannya dan membantu proses bersalin agar
menjadi lebih lancar. Alisa duduk di sebelah Atok dan
melihat semuanya. Tiba-tiba Atok berhenti dan terus
bangun. “Ada yang masih belum cukup,” katanya.
“Atok nak ke kebun. Kalau mahu ikut, marilah.”

Mereka pun turun ke halaman. Namun, tidak pula
berjalan ke arah kebun. Atok terus menyeberang
kampung dan ke kawasan pokok pisang di belakang
rumah Pak Haji Hamid. Belakang rumahnya ada lorong
kecil untuk ke hutan. Mereka masuk ke dalam belukar.
Tidak lama kemudian, mereka pun tiba di banir pokok
besar yang pertama. Atok berhenti, meletakkan
tangannya di atas banir itu dan menyalami hutan.
“Assalamualaikum,” katanya. “Kami datang berkunjung
sebagai sahabat, jadi biarlah kami lalu dan janganlah
memudaratkan kami.” Dia berpaling kepada Alisa. “Kita
tunjuk kepada hutan bahawa kita berniat baik.” Seperti
suatu jawapan, tiba-tiba kedengaran desiran daun
antara ranting di atas mereka. Inilah kali pertama Alisa
masuk ke tengah hutan. Betapa berbeza dunianya, dan
udaranya pun lebih nyaman serta lembap. Alisa berasa
takjub dengan ciptaan Tuhan ini.

“Bolehkah hutan buat kita sakit?” dia bertanya kepada
Atok. “Kalau dia tidak suka kepada kita, akarnya boleh
menyadung kita, melukakan kulit kita, menggugurkan
benda-benda di atas kepala kita.” Atok menjawab. Alisa
terus menggenggam erat tangan Atok. Tiba-tiba hutan
terasa seperti mengancam. “Tapi, jangan risau.
Langkahlah perlahan-lahan, jangan rosakkan apa-apa
pun dan kamu akan selamat!” Kata Atok. Alisa berasa
sedikit lega. Hutan yang kelihatan gagah itu tidak
mungkin dirosakkan. Dia mendengar bunyi yang tidak
pernah didengarinya sebelum ini, bunyi-bunyi daun
rendang, bunyi ranting patah, bunyi kosong yang
menyimpan gema. Begitu juga bunyi kicauan burung
dan riang-riang. Alisa berasa sangat terpesona.

“Hah, jumpa pun Kacip Fatimah!” Atok menyebut nama
tumbuhan yang dicarinya sambil mencabut daun
tersebut. “Nanti kita tumbuk ketiga-tiganya di dalam
lesung batu, dan perut ibu kamu akan lega,” terang
Atok kepada Alisa. “Mari kita balik”, kata Atok. Setelah
itu, mereka berdua keluar dari hutan untuk pulang ke
rumah. Dalam perjalanan pulang, Atok bercerita
tentang kebaikan hutan yang menyumbang kepada
kehidupan manusia. Alisa rasa bersyukur sangat
kerana kampungnya masih memiliki khazanah hutan
ini.

Masa berlalu, banyak perubahan yang berlaku di
kampung Alisa. Anak air semakin keruh, dan setiap
tahun banjir terasa semakin buruk dari tahun-tahun
sebelum ini. Akan tetapi, tidak banyak yang boleh
dilakukan oleh orang kampung untuk menyelesaikan
masalah itu. Sebabnya ialah, bukit-bukit di hulu sungai
telah diratakan oleh jentolak untuk membina kilang
dan taman perumahan. Deretan kedai kecil di hujung
kampung sudah diruntuhkan, dan dua buah bangunan
tinggi telah menggantikannya. Tahun demi tahun,
sekeliling kampung Alisa sudah jelas berubah. Dia
sendiri melihatnya setiap kali pergi ke sekolah, ke
pasar atau melawat kawan-kawannya. Di mana-mana
sahaja bangunan lama sedang dirobohkan, dan yang
baharu serta lebih besar menggantikannya.

Perubahan tersebut semakin menghampiri kampung
Alisa. Semakin dekat jentolak dengan kampung Alisa,
semakin risau Alisa dan semua penduduk kampung itu.
Walaupun Atok berkata bahawa kampung mereka
pasti selamat, namun Alisa masih risau. Dia risau
tentang kampungnya. Hutan kecil di lorong belakang
rumah Pak Haji Hamid itu hanyalah secebis belantara.
Akan tetapi, hutan itulah satu-satunya kelompok pokok
hutan yang masih tinggal. Tiada lagi pokok lain,
sekarang semuanya kota.

Sudah beberapa bulan Alisa tidak dapat tidur lena.
Pembinaan besar di kampungnya ke arah kota
semakin mendesak, dan bangunan tinggi semakin
mendekat. Kampung Alisa diserang tanpa amaran.
Alisa hanya mampu melihat pokok terakhir di hutan itu
ditumbangkan. Kampung Alisa telah dijual kepada
syarikat pembangunan yang besar. “Notis Keluar”
telah ditampal pada dinding surau. Nyawa kampung
Alisa akan berakhir dalam masa beberapa bulan lagi.
Bagi penduduk kampung itu, hari-hari berikutnya
sangat menakutkan. Pemberitahuan di dinding surau
itu, seakan hukuman mati buat kampung mereka.

Pada hari pemindahan, keluarga Alisa mula bekerja
selepas subuh. Kerja yang paling berat ialah
membungkus pinggan mangkuk, dan semua tanda
kenangan di dalam almari yang berpintu kaca, kerana
ibu ingin memastikan bahawa setiap daripadanya
dibalut berasingan. Inilah hari terakhir dunia yang
menjadi tempat mereka membesar, harus dimulakan
kembali dalam sebuah dunia tanpa kenangan, tanpa
suatu pun harta yang dimiliki mereka.

Rumah baharu keluarga Alisa di tingkat 15. Rumah
mereka kelihatan seperti sebuah kotak konkrit kelabu.
Sama seperti penjara, fikir Alisa. Setelah meletakkan
barang-barang dari rumah lama, Alisa terus ke tepi
tingkap. Di luar, terlihat kampung Alisa sedang digali
lubang untuk membina sebuah bangunan besar. Di
seberang kampung Alisa ialah anak air dan bukit
gondol yang dahulunya juga sebuah hutan. Di
seberang bukit itu pula ialah kota dan bangunan tinggi
yang dinamakan Alisa sebagai “hutan baharu” mereka.
Alisa dapat melihat rumah Pak Haji Hamid yang
separuhnya sudah dirobohkan. Alisa tertanya-tanya
bila agaknya rumah mereka sendiri akan dirobohkan.

Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan. Di
rumah baharu Alisa, kehidupan lebih sederhana. Tiada
lagi kebun, atau pokok buah-buahan, atau pokok
herba yang tumbuh liar. Matahari pun tidak begitu
muncul. Bunyi-bunyian juga berbeza. Alisa tidak dapat
lagi mendengar angin memukul daun pisang, atau
hujan di atas bumbung, atau keriuk bidai tingkap. Tiada
lagi ayam jantan berkokok pada pagi hari. Hanya ada
lagu, rasanya tanpa henti, iaitu merpati di sangkar
jiran. Masih ada azan, sudah pasti terasa lebih sayup
dan jauh. Di kampung dahulu, Alisa tidak pernah
mendengar pintu ditutup, tetapi sekarang, semuanya
dihempas setiap hari. Begitu juga pagar besi yang
menjadi sebahagian daripada setiap pangsapuri.
Namun, kehidupan harus terus bergerak. Seperti orang
lain juga, Alisa perlu menyesuaikan diri dengan
persekitaran baharunya. -TAMAT-

Uji Minda

Sila jawab soalan-soalan di bawah.

1.Apakah ciri-ciri kampung Alisa?
2.Apakah kegunaan pokok nipah pada zaman

dahulu?
3.Mengapakah Alisa tidak berasa bosan

duduk di kampung?
4.Mengapakah Atok bekerja keras di kebun?
5.Apakah kegunaan Kacip Fatimah?
6.Apakah adab ketika hendak masuk ke

hutan?
7.Apakah kesan pembangunan tidak

terancang terhadap alam sekitar?

Bibliografi


Click to View FlipBook Version