The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by norizan sohok, 2022-02-08 01:08:35

Cinta Lelaki Teragung

Cinta Lelaki Teragung

Bila rasa Izzara diam dari biasa, aku angkat
muka pandang dia.

Laa... menangis?

"Kenapa ni?"

"Abang, jangan layan Zara macam ni.” Air
mata dah merembes bagai nak rak.

"Ustaz Kazim Elias kata, suami ni kena la
selalu cakap benda baik-baik dekat isteri. Tolong
isteri di rumah. Kalau isteri mengandung, si suami
kena tolong picit-picit kaki dia. Kesian dia...
bengkak-bengkak dah ni ha." beritahu aku lembut
sambil urut-urut kaki selepas habis memotong kuku.
Kaki Izzara semakin membengkak.

Bila tengok muka dia mencebik sedih dan
berkerut-kerut seperti menahan sakit terus urutan
aku menjadi semakin perlahan.

"Kenapa? Abang urut kuat sangat ke? Kaki
makin sakit?"

Izzara geleng kepala laju. Tangan dia terjulur
ke depan nak capai tangan aku, dan seperti tadi....
dek kerana perut dia yang sudah 8 bulan itu, dia tak
dapat nak kedepankan badan dia.

Sudahnya makin teresak-esak Izzara
menangis. Aku tahan tawa yang hampir meletus.
Semenjak makin sarat ni, dia makin sensitif.

Kadang-kadang bila akaun dia salah kira satu
nombor saja, dia boleh menangis bagai nak rak.
Teresak-esak. Akhir sekali aku yang kira buku akaun
syarikat, dan tunjuk pada dia, baru dia nak senyum.

Oleh sebab itu, aku mengensot merapati dia.

Izzara pegang tangan aku. Itu jer lah yang
kami selalu buat, memang kami tidak pernah lebih-
lebih setakat peluk dan pegang tangan saja.

"Zara cantik lagi tak?"

Aku kulum senyum. Perempuan dan soalan
tiba-tiba, memang tak boleh dipisahkan.

Teringat pula pada mak yang sedang
melakukan umrah, Alhamdulillah... dah seminggu
mak berangkat ke Mekah. Rezeki kami makin
melimpah ruah kini.

Aku dah ada kilang sendiri di sebelah rumah
aku. Tanah arwah ayah yang terbiar dulu kini
membuahkan hasil. Walaupun kilang tu tak la besar
mana, tapi... berjaya juga aku hantar mak ke Mekah
dengan menggunakan duit perniagaan aku.

Aku pun dah ada pekerja sendiri. Izzara
punya strategi guna media sosial dan teknologi
sekarang memang berkesan.

"Abang... Zara cantik tak?" Izzara merengek
sedikit siap digoyang-goyangkan lengan aku.

Aku pandang dia, parut kesan toreh di muka
kian memudar menyerlah kecantikan dia.

"Cantik... makin cantik sejak makin sarat ni."
aku cuba ambil hati dia, tapi memang hakikat pun.
Sejak kandungan dia makin membesar ni, memang
iman aku senipis kulit bawang betul.

Izzara aku tengok semakin seksi. Mungkin
kerana dia sendiri semakin selesa dengan aku,
menjadikan dia menyerlahkan sikap manja dan
selamba saja tayang badan depan aku.

Suka memang aku suka. Siapa yang tak suka?
Tapi.... dia tak ingat ke Abang Din ni kena puasa
selama setahun? Haish... memang meleleh jer air
liur aku tengok.

Izzara bawa tangan aku ke atas perut dia.
Tanpa dia suruh, aku usap lembut perut yang
membulat itu. Terasa akan tendangan-tendangan
dari dalam.

"Tok...tok...tok!" aku ketuk perlahan perut
Izzara. Izzara tergelak bahagia. Berseri wajah dia
setiap kali kami bertiga berinteraksi.

"Anak abah buat apa tu? Main ke? Kenapa tak
ajak abah?"

Gelak Izzara makin kuat.

"Kita tak pilih lagi nama baby." Izzara
bersuara perlahan dan aku terus tepuk dahi. Macam
mana boleh lupa benda penting ni!

Terus aku pandang Izzara yang sedang
tersenyum.

"Abang perasan tak, nama abang, Izzuddin.
Nama Zara, Izzara. Macam matching kan?"

Aku tersengih.

"Izzandra."

Aku kerut kening bila Izzara sebut satu nama.

"Hah?"

Izzara senyum manis pada aku membuatkan
aku rasa nak cium-cium jer pipi gebu dia tu.

"Izzandra. Sedap tak nama tu?"

Ternaik kening aku sebelah.

"Untuk anak kita?"

Dia angguk laju. Teruja.

Izzandra. Sedap! Terus melebar senyuman
aku kerana perasaan aku semakin teruja.

"Tak sangka, kejap jer masa berlalu. Bulan
depan dah nak bersalin. Lepastu abang dah boleh
dukung dia. Gomol dia. Tak sabarnya!"

Betapa terujanya nak sambut kelahiran anak
kami ni. Semua kelengkapan bayi dah tersedia.

"Abang... Zara nak tanya boleh?"

Aku angguk membenarkan dia bertanya.

Izzara gigit hujung bibir, aku tengok dia
macam serba salah.

Aku pandang dia hairan.

"Kenapa ni? Zara nak tanya apa?" lunak aku
menyoal dia. Tangan aku mengusap-usap lembut
telapak tangan dia.

Mata kami saling berpandangan seketika.

"Er... apa abang rasa bila kahwin dengan
Zara?" dia menyoal perlahan.

Aku yang tidak pernah menyangka akan
ditujukan soalan sedemikian terdiam seketika.

"Abang rasa suka," jawab aku ringkas, padat
dan tepat.

Ternganga mulut Izzara dengan mata
membulat besar pandang aku.

"Itu jer?" soal dia, mimik muka macam tak
puas hati.

Aku angguk.

Izzara tarik muka masam. Mesti dia tengah
tak puas hati pada aku. Aku tahu apa yang Izzara
nak dengar. Abang Din bukan hero novel. Abang
tak reti bermadah pujangga romantik ni.

Abang versi Action speak louder than words.
Ahaks!

"Zara sendiri rasa macam mana?" Aku pula
yang tanya dia. Muka aku terjengah-jengah mencari
wajah Izzara yang dipalingkan dari memandang
aku.

Izzara jongket bahu. Merajuk la tu.

"Zara nak jawapan macam mana?"

Dia toleh pandang aku tapi tak bercakap apa-
apa. Hanya diam merenung anak mata aku.

"Abang kan dah cakap. Abang tak romantik.
Abang tak reti nak bermain kata manis dengan
Izzara. Pickupline-pickupline ni semua... abang tak
pandai. Sebab abang dulu tak pernah bercinta."

"Kenapa tak pernah. Tak ada ke yang abang
suka?"

Aku senyum nipis pada isteri aku. Tapi bila
teringat si Melati yang pernah aku tersuka dulu terus
senyuman aku mati!

"Ada juga gadis yang abang suka dulu, tapi...
abang rasa rendah diri. Belajar tak pandai, muka
pun tak ada la handsome sangat, tak macam
Samad... dia pandai bergaya," perlahan jer suara
aku waktu tu. Biasalah, mood syahdu merendah
diri.

Muka Izzara terus kejang. Terkejut dengan
pujian aku pada Samad.

"Eii... abang 100 kali ganda lagi handsome
dari dia okey! Jangan la bandingkan abang dengan
Samad. Beza benar tahu tak!" bidas Izzara
bersungguh.

Aku tergelak besar, kembang kempis rasa
hidung aku bila dipuji Izzara.

"Muka abang ada iras model Philippines.
Macam muka Hideo Muraoka pun ada. Macam
Daniel Matsunaga pun ada. Tapi Samad? Urgh!
OMG!” membebel panjang Izzara meluahkan rasa
meluatnya dengan Samad yang dikatakan kacak itu.
Terangkat-angkat tangan dia berhujah tentang
kekacakan aku.

Aku dah tersengih sambil peluk bantal golek.

“Abang handsome ya?” aku dah menggedik
minta kepastian.

Izzara terdiam memandang aku dengan
muka macam menyesal telah memuji aku
melambung-lambung.

“Perasan terus!” Tak lama kemudian dia
turut tergelak.

Aku angkat tubuh dari katil dan bergerak
membuka almari pakaian. Sebuah gitar kapok sejak

zaman suka melepak dahulu kuambil lalu dibawa
mendekati Izzara yang hanya memandang dengan
pandangan hairan.

Aku bawa gitar aku ke dada dan renung
Izzara redup.

"Zara, abang betul-betul serius bila abang
kata abang tak reti bermanis mulut mengungkap
cinta. Tapi abang tahu, seorang isteri mesti nak
jugakan dengar kata-kata manis macam tu.... abang
akan cuba nanti."

Izzara kemam bibir rapat bila dengar aku
cakap lembut-lembut macam tu. Mata dia dah
bergenang.

"Abang... just be yourself. Zara tak paksa pun.
Zara tanya jer." Dia berkata perlahan penuh sebak.

Aku tersenyum, tangan dia aku capai dan
ramas lembut.

"Abang rasa bersyukur dijodohkan dengan
Zara. Seperti seorang gelandangan yang diberi
durian runtuh."

"Abanggg..." seru dia perlahan. Air mata dia
jatuh setitik ke pipi, terharu bila aku cakap macam
tu.

Aku seka air mata dia.

"Jangan menangis lagi. Walaupun Zara cantik
bila menangis, tapi... entah kenapa abang tak suka
tengok air mata sedih Zara."

"Eii!!" Izzara pukul bertalu-talu lengan aku.

Eh! Aku salah cakap ke? Rasanya aku puji dia
cantik tadi.

"Aduh...kenapa pukul abang?" aku
menyeringai sakit. Berkerut muka aku sambil gosok
lengan yang sudah merah.

Air mata Izzara yang makin lebat turun diseka
Izzara kasar. Mata dia menjeling aku tajam.

"Macam ni abang kata tak romantik? Macam
ni abang kata abang tak reti kata yang manis-
manis!? Eii! Tak suka!" marah Izzara dengan gaya
manja.

Mula-mula aku terlopong kemudian aku
tersengih bila dapat tangkap maksud dia. Bila
tengok dia angkat tangan nak pukul aku lagi, cepat-
cepat aku tangkap pergelangan tangan dia dan aku
pegang kemas.

"Entah kenapa, dengan Zara... abang yang
tak reti jadi reti," aku sengih nakal.

Izzara mendengus kasar.

Masih dengan senyuman yang tidak lekang di
bibir, aku lepaskan pergelangan tangan dia, lalu tali

gitar aku petik sambil tidak lepas merenung ke
dalam anak mata Izzara.

Mungkin hanya Tuhan yang tahu segalanya
Apa yang ku inginkan di saat-saat ini
Kau takkan percaya kau selalu di hati

Haruskah ku menangis tuk mengatakan yang
sesungguhnya...

Kaulah segalanya untukku
Kaulah curahan hati ini

Tak mungkin ku melupakanmu
Tiada lagi yang ku harap, hanya kau seorang

Bibir Izzara bergetar menahan tangis.
"Janganlah menangis lagi. Abang tahu, suara
abang sedap sampai Zara menangis terharu, tapi....
nanti anak kita kuat nangis macam mana? Dah
berhenti menangis."
Izzara mencebik.
"Perasan!"
Terangkat kening aku. "Salah ek?"
"Ye! Salah! Zara nangis sebab tak sanggup
dengar suara sumbang abang!" balasnya dengan
muka merah padam.

Muka Izzara makin merah jadinya. Anak
mata dia yang bertaut dengan aku dilarikan pada
gitar aku.

"Tak apa... abang faham. Malu la tu nak
mengaku.” aku kulum senyum.

Izzara yang ego. Izzara yang beku. Izzara
yang degil. Dan Izzara isteri aku yang solehah.

"Zara tak layak dapat semua ni. Zara tak
sempurna untuk abang." gumam dia memecah sunyi
antara kami.

Aku geleng kepala perlahan. Gitar kapok
diletak tepi katil. Aku merapatkan jarak antara
kami.

"Setiap manusia tak sempurna. Abang pun.
Zara pun. Kita saling sempurnakan hidup kita."
pujuk aku lembut sambil cari muka dia yang
menunduk itu.

Izzara tersenyum nipis seraya mendongakkan
kepala.

"Ustaz Kazim Elias cakap, kita perlu enjoy
hidup yang sedia ada untuk kita. Kenapa kita nak
persoalkan takdir, sampai kita terlepas untuk
mengecap bahagia? Jadi.. sebagai anak murid
berjaya, abang akan enjoy hidup abang dengan

Zara. Zara takdir abang. Kita bina keluarga bahagia.
Nak tak?" aku naik kening berkali-kali pada Izzara.

Dia gelak kecil lalu mengangguk setuju.

"Macam tu la isteri abang!" terus aku peluk
Izzara dari sisi kuat-kuat.

"Poyo!" tempelak Izzara sambil tampar
perlahan dada aku.

'Mak... doakan Din, Zara, Izzandra dan mak
akan terus bahagia.'

Bab 17

TIDUR aku yang lena terganggu bila
aku rasa sesak nafas. Terasa seperti
berkepul-kepul asap entah dari mana
memenuhi ruang bilik tidur kami, sehinggakan
pandangan mata aku terasa pedih.
"Zara...Zara!" Aku kejut Izzara yang lena di
sebelah aku.
"Abang...huk! Huk!" Izzara terbatuk-batuk.
Bergegas aku bangun dari katil dan membuka
pintu bilik. Berkerut kening aku bila tengok tak ada
apa-apa yang berlaku.
Bila aku pandang tingkap, aku ternampak
cahaya api dari luar rumah, terkocoh-kocoh aku
mengintai dari celah tingkap.
"Ya Allah!" Kilang aku terbakar!

"Zara! Kilang terbakar!" aku terpekik cemas.
Aku segera mendapatkan Izzara yang
termengah-mengah berjalan keluar dari bilik. Aku
cepat-cepat tarik tangan Izzara untuk dibawa keluar
dari rumah.
Memandangkan rumah aku ini bersebelahan
dengan bangunan kilang aku, sangat mudah api
boleh merebak ke rumah aku. Jadi mengelakkan
apa-apa terjadi, bergegas aku selamatkan dokumen
penting dan bawa Izzara keluar dari situ.
"Din! Keluar! Api makin marak!”
Orang kampung semakin ramai yang
mengerumuni halaman rumah aku. Beramai-ramai
menyimbah air dari paip air yang berdekatan.
"Zara pergi duduk bawah pokok sana, abang
nak tolong orang kampung matikan api." aku
meninggalkan Izzara pada makcik-makcik yang
berdiri di tepi rumah kami sambil memerhatikan
orang lelaki mematikan api yang semakin marak.
Muka Izzara berkerut kerisauan. "Hati-hati
abang."

"ABANG..."
"Ya." Aku senyum pada Izzara.

Izzara duduk sebelah aku di beranda rumah
itu sambil tengok tapak kilang yang tinggal rangka
dan abu sahaja.

Habis semuanya. Penat lelah aku, Izzara dan
mak telah hancur dan musnah ditelan api.

Sehingga kini aku tak khabarkan apa-apa
yang telah terjadi pada mak. Aku tak nak mak susah
hati ketika melakukan ibadah. Lagipun hanya
tinggal beberapa hari saja lagi mak akan pulang.

"Abang jangan sedih. Kita mula balik ya? Kita
mula dari awal." Izzara pujuk aku lembut bila dia
tengok muka aku yang muram sejak kejadian
semalam.

Aku hanya tersenyum nipis. Entah... aku
lelah, dan aku rasa tak bersemangat lagi.

Entah macam mana kebakaran boleh
berlaku, padahal memang setiap petang sebelum
kami tutup kilang, aku akan pastikan semua
berkeadaan baik.

Pihak polis dan bomba masih lagi melakukan
siasat. Dan aku seharusnya reda. Benda dah nak
jadi, ini dugaan untuk aku.

"Jangan putus asa. Tak semua kita hilang,
orang ramai masih buat tempahan kuih kita, hanya

tempat untuk buat kuih sahaja yang musnah.
Perniagaan kita masih ada."

Aku tepuk-tepuk perlahan kekura tangan
Izzara yang menggenggam kemas tangan kanan
aku.

"Bagi abang rehat kejap Zara. Abang lelah
dengan semua ni."

Izzara jatuhkan kepala atas bahu aku, lengan
aku dia peluk erat.

"Zara ada, abang. Janganlah macam ni. Mana
pergi Din beramboi Zara..." rengek dia.

Aku tersenyum melihat kemanjaan dia.
Tangan aku paut bahu dia dari sisi dan aku usap
lembut.

"Dia ada, cuma penat kejap," jawab aku
perlahan.

Keadaan kembali sunyi. Aku dan Izzara
masing-masing berada di dalam dunia sendiri.

Bunyi hon kereta mematikan lamunan kami.
Izzara angkat kepala dari bahu aku dan kami sama-
sama tengok Samad yang datang ke rumah aku.

"Assalamualaikum, Din.”

Aku senyum nipis lalu berdiri untuk
menjemput dia naik ke beranda rumah.

Izzara menyapa Samad lalu masuk ke dapur
untuk buatkan air.

"Aku dapat tahu kilang kau terbakar, tu aku
datang," ujar dia usai melabuh punggung di kerusi
kayu.

Aku senyum kelat pada dia. Tak lama
kemudian, Izzara datang dengan dua cawan air.

"Jemput minum," pelawa Izzara pada Samad.

Aku tengok Samad tayang wajah serius, tapi
aku makin pelik bila Samad renung Izzara tak lepas
sampai-sampai aku dapat rasa Izzara tak selesa
berada di situ.

"Ehem!" Aku berdehem kuat.

Samad terus ambil air dan hirup perlahan.

"Polis kata apa tentang kilang kau tu?" Soal
dia dengan mata melirik-lirik tengok Izzara yang
duduk tidak jauh dari kami.

Dengan dahi berkerut-kerut aku menjawab
pertanyaan Samad.

"Masih dalam siasatan."

Samad mengangguk perlahan dengan wajah
yang berubah gelisah.

Makin menebal perasaan curiga aku pada
Samad.

Tapi bila aku fikir-fikir balik, cepat-cepat aku
beristighfar. Aku dah buruk sangka pada kawan baik
aku sendiri.

Tiba-tiba perut aku memulas pula. Aku
pandang Samad yang masih mencicip air kopi
panas, kemudian aku pandang Izzara yang tunak
merenung diri aku.

"Nak ke tandas kejap yer." Aku meminta diri
dengan muka berkerut tahan kentut. Kang aku
terlepas dekat situ, mahu muntah pula Izzara.

Terus aku berlalu tinggalkan Izzara dan
Samad seketika. Aku rasa Izzara selamat saja,
lagipun aku tak akan lama-lama. Risau kalau Samad
buat benda bukan-bukan dekat Izzara. Apatah lagi,
tengok cara Samad pandang Izzara....macam
berkenan jer!

Setelah melabur saham dalan tandas, aku
bergegas keluar mendapatkan isteri aku dan Samad.

Dari jauh aku tengok keduanya seperti
sedang berbual serius. Muka Izzara dan Samad,
keduanya berkerut-kerut seperti sedang selesaikan
masalah negara.

Perlahan-lahan langkah kaki aku berhenti di
tengah rumah.

"Aku takkan pergi." Izzara bersuara serius.

Samad suruh Izzara pergi mana?

Kepala Samad tergeleng kecil seperti tidak
percaya dengan keputusan Izzara.

"Kau akan menyesal." Samad pandang Izzara
tajam.

"Kau pentingkan diri. Kalau kau sayangkan
Din dan Mak Rosnah. Kau takkan ambil keputusan
macam ni," sambung Samad lagi lebih tegas dan
dingin suara dia.

Apa yang mereka bualkan?

"Abang."

Aku tersentak bila Izzara pandang aku yang
tercegat berdiri di dalam rumah. Bila tengok Samad
dan Izzara saling berbalas pandang, aku cepat-cepat
menghampiri mereka umpama tiada apa yang
mencurigakan.

"Lamanya membuang!" Tempelak Samad,
aku hanya tayang sengih.

Kepala otak aku rancak memikirkan apa yang
sedang mereka bincangkan tadi.

"Korang bincang apa? Macam serius jer"

"Tak ada apa!" Izzara menjawab laju. Mata
aku mengecil pandang Izzara yang mengangguk
yakin dan Samad yang terkulat-kulat serba tak kena.

"Ooo... okey.." jawab aku separuh hati,
separuh lagi tak okey langsung! Aku curiga!

Tak berapa lama aku duduk, sebuah kereta
polis menjalar masuk di halaman rumah.

"Assalamualaikum, Din!" sapa Inspektor
Khalif sejurus keluar dari kereta bersama Sarjan
Zamri. Memandangkan keduanya orang kampung
aku juga, jadi kami sudah seperti kawan ketika
berjumpa.

"Waalaikumusalam. Jemput masuk bang."

Inspektor Khalif menggeleng kepala. "Sekejap
jer ni. Nak borak kejap."

Berkerut muka aku tengok dia yang berwajah
serius.

"Iyalah.”

Izzara minta diri masuk ke dalam kerana
keletihan. Dengan tubuh yang sarat, Izzara mudah
letih.

"Kilang kau terbakar bukan sebab lintar pintas
macam yang kami agak."

Mata aku membulat besar. Biar betul. Aku
tengok Inspektor Khalif dan Sarjan Zamri silih
berganti.

"Biar betul?"

Keduanya mengangguk menyakinkan aku.
Samad hanya diam mendengar.

"Ada kesan minyak tanah. Mesti dia simbah
pada keliling kilang kau."

Aku meraup muka. Ya Allah...siapa yang nak
perdajal aku?

"Kau ada musuh ke?"

Aku geleng kepala lemah.

"Kau pasti ke?" Tiba-tiba Samad bersuara
membuatkan kami serentak pandang dia.

Dia naikkan kening sebelah tanda menunggu
jawapan aku. Tapi entah kenapa, aku rasa Samad
bukan saja-saja tanya. Nada dia sinis dan dia seperti
menduga aku.

"Kau tahu ke?" tebak Khalif dengan kening
dinaikkan lebih tinggi dari Samad.

Dah kenapa dua orang ni?

Sudahnya aku pandang Khalif dan Samad silih
berganti. Macam ada sesuatu yang aku tak tahu.

Bab 18

KERETA dipandu laju melebihi had
kerana Izzara dah nak bersalin!
Dengan keadaan yang dah tengah
malam, kawasan kampung sunyi sepi, tak ada
langsung orang yang berada di luar lagi.
Malah, di kiri kanan jalan raya itu hanya ada
pokok getah dan kelapa sawit. Disebabkan rumah
aku mengambil masa hampir 15 minit untuk sampai
ke hospital, aku perlu pecut kereta aku.
Baru sahaja kami letak kepala di bantal, tiba-
tiba aku tengok Izzara tergamam dengan tilam yang
basah.
Aku ingat dia terkencing sampai aku
tergelakkan dia. Tapi riak tenang Izzara saat
mengatakan itu adalah air ketuban telah

membuatkan aku pula yang tergamam dan terus
aku kelam kabut.

"Hah! Air ketuban dah pecah? Ya Allah! Apa
perlu abang buat ni?" aku dah mundar mandir
sekeliling bilik, cemas punya fasal sampai aku tak
tahu apa perlu aku buat.

Aku bukan main gelabah ketika itu, tapi
Izzara siap boleh ketawa kecil!

Waktu macam inilah mak pula tak ada! Mak
akan balik besok memandangkan anak kami
sebenarnya dijangka lahir minggu depan.

Sayang, kenapa anak abah keluar awal pula
ni? Abah tak sedia lagi ni sayang. Abah tak habis beli
lagi barang awak.

"Tenang abang, lambat lagi ni... Zara tak rasa
sakit."

Terhenti langkah aku ketika itu, aku pandang
Izzara yang sedang bersusah payah untuk bangun
berdiri, cepat-cepat aku dapatkan dia.

"Abang, Zara nak mandi kejap. Abang tolong
siapkan barang Zara dan baby yer," pesan Izzara
sebelum melangkah perlahan-lahan ke dalam bilik
mandi.

Aku dah tercengang di situ. Mandi? Dia siap
nak pergi mandi? Biar betul!

"Eh! Zara ni jangan nak main-main ek. Air
ketuban dah pecah tahu tak! kita kena pergi hospital
sekarang ni!" Aku sauk tangan umpama nak
cempung Izzara dan bawa ke kereta.

Tapi baru jer aku nak angkat dia, Izzara
tampar lembut tangan aku.

"Abang, tenang."

Dia paut kedua belah bahu aku agar
mengadap dia dan dia beri senyuman manis pada
aku.

"Zara tak rasa sakit lagi. Mak pesan, kalau dah
ada tanda nak bersalin kenalah pergi mandi siap-
siap, kemas barang dan baru pergi hospital. Abang
janganlah risau."

Aku tarik nafas dalam-dalam bila dia cakap
kacam tu, sudahnya dengan berat hati aku tengok
dia melangkah masuk ke dalam bilik mandi.

"Zara, jangan kunci pintu!" jerit aku dari luar
sambil sumbat baju aku dan Izzara dalam beg. Eh!
baju aku pun kena bawa ke? Bawa sajalah. Mana
tahu aku kena tidur hospital.

Nasib baik baju baby awal-awal lagi Izzara
dah siap kemas dan letak dalam beg. Beg pula dia
letak berdekatan pintu bilik, senang nak capai kalau
ada kecemasan.

"Ssttt...." Izzara mendesis kesakitan sambil
usap perut dia. Aku kejap-kejap toleh tengok dia
sebelum tumpu pada pemanduan.

"Zara, okay? Sakit sangat ke?" Aku pandang
dia dengan riak kerisauan, sebelah tangan aku yang
tidak memegang stereng mengusap perut Izzara
yang membulat besar.

"Anak abah tahan kejap yer, jangan buat ibu
sakit. Kita dah nak sampai hospital ni."

Terasa perut itu mengeras dari yang selalu
aku rasa.

"Aduh...sssttt..."

Berpeluh-peluh muka Izzara menahan sakit.
Aku dah semakin risau. 10 minit lagi baru sampai
hospital. Sempat ke tak ya?

"Abang... jangan risau, sekejap-sekejap jer ni
rasa sakit."

Izzara capai tangan aku yang berada di perut
dan digenggam erat. Terasa sejuk jemari mulus itu.
Entah kenapa aku rasa sebak pula. Betapa besarnya
pengorbanan seorang isteri untuk melahirkan zuriat
si suami.

Tiba-tiba aku rindu mak, rasa nak peluk mak
aku ketat-ketat.

"Menangis? Cengeng la abah ni."

Aku seka air mata yang jatuh setitik di pipi,
tersenyum pada Izzara yang masih sempat nak
menyakat aku walaupun dia sedang menahan sakit.

Aku usap lembut pipi Izzara.

"Abang risaukan Zara dan Izzandra," bisik aku
perlahan.

Izzara senyum dengan muka berkerut-kerut.

"Aduh! Ya Allah... sakitnya," Izzara
mengerang kesakitan.

"Sayang!" aku makin panik. Kelajuan kereta
makin laju aku bawa, sekejap-sekejap aku toleh
pandang Izzara di sebelah.

Izzara gelak kecil sambil mengawal cara
penafasan yang betul.

"Kenapa gelak?" tempelak aku panik campur
geram dengan Izzara.

Dia pandang aku dengan senyuman.
Genggaman tangan kami kembali bertaut.

"Abang tak pernah panggil Zara, sayang."

"Ye ke?" Aku blur sekejap.

Izzara mengangguk laju. "Dah lama Zara
nantikan. Akhirnya Zara dapat dengar. Kalau Zara
pergi ketika melahirkan, Zara akan pergi dengan
senyuman."

Aku bulatkan mata pada Izzara.

"Apa ni cakap macam tu pula. Kalau nak
abang panggil Sayang... abang akan panggil. Jangan
nak cakap benda bukan-bukan."

Izzara bawa tangan aku ke bibir dia, lalu
dikucup lembut jemari aku.

Ya Allah... kenapa aku tak sedap hati ya?
kenapa kelakuan Izzara buat aku fikir yang tidak-
tidak.

"Abang, Zara sayang abang. Sepanjang kita
bersama ni, Zara bersyukur dijodohkan dengan
abang. Bersyukur dapat kenal Izzuddin yang
sanggup terima Zara yang tak sempurna ni."

"Sayang... apa ni. Tak nak laaa," potong aku
laju agar Izzara berhenti cakap benda macam ni.
Aku memang suka, tapi bukan dalam keadaan
macam ni!

"Entah sejak bila, Zara jatuh cinta pada
abang."

Aku pandang Izzara, lencun sudah air mata
dia sambil merenung sayu wajah aku.

"Abang pun cintakan Zara. Dah jangan
banyak fikir. Zikir, sayang. Semoga Izzandra lahir
dengan selamat."

Izzara senyum manis pada aku.

"Ouchh!"

"Makin sakit?"

Izzara angguk.

Aku kalih pandang Izzara, "Sabar kejap... dah
nak sampai."

Bila aku pandang ke depan semula....

"Abang, kereta!"

Ada kereta melintang ditengah jalan yang
sunyi sepi itu, dek kerana aku memandu dengan
laju, aku tak sempat menekan break membuatkan
aku pantas memulas stereng ke tepi agar dapat
mengelak kereta itu.

"Ya Allah!"

Kereta aku menjunam ke sisi jalan. Lalu jatuh
ke dalam gaung. Persekitaran aku terus gelap. Mata
aku terpejam rapat menahan sakit.

Suasana gelap gelita. Sunyi sepi, tapi tak lama
bila aku terdengar bunyi tangisan yang memecah
sunyi itu.

Tangisan bukan tangisan meraung, tapi
tangisan mendayu.

"A...bang,"

Suara itu sayup-sayup kedengaran dipelupuk
telinga aku. Isteri aku! Mana isteri aku? Dia dah
melahirkan ke?

Tapi kenapa dunia aku masih gelap. Masih
kelam. Aku dah mati ke?

"Isk...isk...A...bang"

Izzara... mana sayang? Abang tak jumpa. Ya
Allah... mana isteri aku. Bantulah aku....

Dengan sepenuh kudrat yang ada, mata yang
terasa gelap itu semakin berbalam-balam. Aku
semakin nampak cahaya lampu berwarna jingga.

Elok sahaja penglihatan aku jelas....

"Zara."

Muka Izzara berlumuran darah, badan dan
kepalanya terhenyak pada dashboard sebelum
keluarnya beg udara.

Izzara menangis sayu dengan penuh darah di
wajahnya, badannya mengiring di dashboard
mengadap aku yang turut mengiring mengadapnya.

Kepala terasa pening. Bila aku raba, darah
mengalir di dahi. Mungkin kerana aku terhantuk
pada stereng sebelum keluarnya beg udara.

"Zara..." aku cuba gerakkan badan, tetapi tak
boleh!

"Sa...kit," bisik Izzara perlahan.

Air mata aku mengalir perlahan melihat dia
yang parah.

"Zara... sayang abang," ucapnya perlahan
sebelum mata dia perlahan-lahan tertutup.

Air mata aku makin deras. "Za...ra. Zara."

"Jangannn..." Aku teresak di situ.

Di depan mata aku sendiri, isteri aku
hembuskan nafas dia yang terakhir. Anak aku?

Bebola mata aku lari ke bahagian kaki Izzara.
Darah!

Anak abah.... jangan tinggalkan abah! Tuhan,
tolong ambil aku sekali. Aku nak bersama anak dan
isteri aku di sana.

Pandangan aku semakin berbalam-balam,
denyutan di kepala aku semakin mencengkam.
Perlahan-lahan, mata aku seakan memberat.
Semakin lama semakin terpejam mata aku.

"Bos, kerja beres. Dia dah mati. Okey roger."

Bab 19

Nun di hujung sana, Izzara, mak dan
Izzandra sedang duduk di
hamparan tikar seperti sedang
berkelah. Mereka melambai-lambai ke arah aku.
Aku tersenyum. Namun, ketika aku
melangkah menghampiri mereka, aku tidak sedar
ada lubang seperti gaung di hadapan aku. Dan,
belum sempat apa-apa aku telah jatuh ke dalam
gaung yang dalam itu.
"Argh!!! Zara! Mak! Zandra!"
"Din!"
Argh! Aku bukan jatuh ke tanah, tapi aku
terhenyak pada satu benda yang lembut.
Kemudian, sayup-sayup aku dengar bacaan yasin

dibaca seseorang. Aku dah mati ke? Tapi kenapa
aku boleh dengar... Adakah memang orang yang
dah mati akan mendengar?

"Din..." seru suara itu sebak.

Perlahan-lahan mata aku nampak cahaya,
berkerut muka aku dek kerana silau. Mata aku
terpejam semula.

"Din, ni mak."

Mak? Entah kenapa, air mata aku mengalir
bisu dari kelopak mata yang tertutup. Aku rasa dah
lama tak jumpa mak.

"Din."

"Uwekkk..." Bunyi tangisan bayi menyentak
aku.

"Shh... nak susu ke sayang? Sabar ya kejap,
abah dah sedar ni." mak seperti sedang memujuk
seseorang.

Abah?

Anak aku ke tu? Izzandra.

"Mak...."

Terasa perit tekak aku ketika itu.

"Din, bangun nak," gesa mak lembut.

Badan aku terasa sakit, tekak aku sakit, semua
sakit... tapi bunyi rengekan si kecil berdekatan

dengan aku itu membuatkan aku cuba sedaya upaya
untuk bangun.

Perlahan-lahan mata yang terpejam aku buka
kembali. Semakin lama semakin jelas penglihatan
aku.

Terlihat di depan mata aku, susuk tubuh mak
sedang mengendong seorang bayi.

"Alhamdulillah.... Din, kau dah sedar. Syukur
Ya Allah.” mak menangis tersedu sedan. Menangis
kegembiraan barangkali.

"Zandra..." bisik aku dengan tangan terhulur
pada si kecil yang dikendong mak.

Bibir mak bergetar menahan sebak. Dia
merapati aku lalu mak genggam erat tangan aku.

"Zara?" soalku pada mak.

Tangisan mak makin tak terkawal. Makin
lencun air mata itu.

"Zara?" soal aku lagi seakan berbisik. Tolong
la... jangan cakap Zara dah pergi. Tolong...

Kepala mak tergeleng perlahan. Aku
tergamam dengan air mata mengalir bisu di tepi
mata.

Sesungguhnya, aku reda. Aku ingat setiap
detik yang pernah berlaku itu. Aku ingat setiap kata
yang dia lafazkan sebelum dia pergi. Aku ingat.

'Zara... abang baru sedar, dan abang baru
tahu Zara dah tiada... tapi baru beberapa saat abang
bangun tanpa Zara di sisi.... abang dah mula rindu.'

"Entah sejak bila, Zara sudah jatuh cinta pada
Muhammad Izzuddin."

"Zara... sayangkan abang"

Tangisan aku pecah di dalam wad itu. Aku
menangis tak berlagu, aku meraung memikirkan
Izzara dah tiada lagi di sisi aku.

Izzara penguat semangat aku, tulang
belakang aku telah tiada. Macam mana hidup aku
di masa akan datang? Macam mana...

Tangisan aku yang kuat itu, membuatkan
tidur Izzandra yang hampir terlena itu terganggu.
Dia mula merengek-rengek dan mengeliat dalam
kendongan mak.

"Shhh... nenek ada ni," pujuk mak lembut.

Mak pandang aku. Mak usap lembut bahu
aku yang bergegar-gegar menahan esak tangis.

"Sabar Din. Dah tiga bulan Izzara pergi. Din
kena kuat. Din kena kuat untuk teruskan hidup."

Tiga bulan? Dengan pandangan yang kabur
dek kerana genangan air mata, aku merenung mak.

"Tiga bulan, mak?"

Mak angguk perlahan. "Din koma tiga bulan."

Terpempan aku ketika itu. Tiga bulan? Ya
Allah lamanya.

"Mak balik sehari selepas kau kemalangan.
Mak yang uruskan jenazah Zara dan daftarkan
nama anak kau."

Aku kemam bibir yang bergetar bila mak
sebut uruskan jenazah Izzara. Zara...

Mata aku jatuh pada tubuh si kecil yang
dikendong mak. Perlahan-lahan tangan aku hulur
pada mak untuk tengok Izzandra.

"Hati-hati, kau lemah lagi," pesan mak ketika
Izzandra bertukar tangan.

Saat pertama kali tubuh itu dalam kendongan
aku, perasaannya tidak mampu terungkap dengan
kata-kata.

Perasaan sebak dan gembira saling bersatu.

Aku usap lembut pipi gebu itu, lembut. Anak
abah... Mata kami saling bertatapan. Si kecil
menguap dan mengeliat dalam dakapan aku.

"Mak... muka dia macam Zara," bisik aku. Air
mata setitik jatuh ke pipi Izzandra. Aku kesat lembut
air itu.

Kulit Izzandra putih bersih, mata dia bundar
dan dagu dia sedikit terbelah... hidung dia
mancung. Seperti Izzara. Semua seperti Izzara.

"Anak abah..." Aku usap-usap pipi itu
kemudian dahi dan pipi gebu itu aku kucup lama.
Bau syurga...

"Mak..." aku dongak pandang mak dengan
mata berkaca.

"Anak Din... cucu mak."

Mak tersenyum pilu kemudian mengangguk
kecil.

"Ya... anak Din, cucu mak,” bisik mak sebak.

Bila Izzandra kembali menangis, mak
hulurkan botol susu pada aku, dengan penuh kekok
aku cuba suakan puting susu di mulut dia...tapi dia
menolak-nolak puting itu. Dia kemam bibir comel
dia.

Kepala Izzandra melekat pada dada aku, dia
seperti tercari-cari sumber susu di dada aku.

Aku tersenyum sebak.

"Mak... dia nak susu badan ke?"

Mak seperti terdiam melihat situasi itu.

Aku kembali melihat Izzandra yang
menggesel-geselkan mukanya di dada aku.

Aku suap lembut kepala Izzandra.

"Anak abah... kesian dia tak dapat minum
susu ibu. Ibu di syurga, sayang. Ibu tak dapat beri
susu pada Zandra," bisik aku lembut.

MAK dan Izzandra pulang ke rumah bersama
Atiqah anak Cik Limah. Kesian mak, nampak sedikit
kurus dan penat. Mesti mak kelam kabut
menguruskan Izzandra sendirian sepanjang aku
koma.

Aku pelik bila berada di hospital swasta.
Malah, ditempatkan di wad persendirian tanpa
perlu berkongsi dengan pesakit lain.

Mak kata, Izzara ada beli insurans untuk aku
dan dia, jadi insurans tu la yang bayar nanti duit
sepanjang aku duduk di wad ini.

Izzara... sempat lagi dia buat semua tu.
Walaupun dia dah pergi, dia masih lagi beri
kebaikan pada aku.

Dia pergi, tapi dia tinggalkan Izzandra pada
aku.

"Dia tinggalkan Izzandra agar kamu tak
terlalu rindu pada dia, Din," ujar mak bila aku cakap
muka Izzandra seiras isteri aku.

Aku tersenyum nipis.

"Tunggu abang tau, sayang. Abang nak
bersama sayang di sana."

Bunyi Ketukkan pintu membuatkan aku
cepat-cepat kesat air mata yang mengalir.

"Assalamualaikum." masuk dua orang lelaki
dengan seorang wanita ke dalam.

Dahi aku berkerut-kerut sambil menyaut
salam. Siapa? Aku rasa aku tak kenal wajah-wajah
itu semua.

Seorang lelaki separuh baya, tetapi masih
segak dengan seluar jeans dan tshirt, dikenakan
sekali dengan jaket kulit.

Seorang lagi lelaki, kacak dan bergaya. Masih
muda, mungkin sebaya aku.

Manakala, wanita itu juga anggun dan cantik.
Juga masih muda. Wanita itu mendukung seorang
anak perempuan seakan berumur 3 tahun.

"Siapa?"

Mereka tersenyum pada aku. Wanita muda
itu menyerahkan anak kecil di dalam dukungannya
pada si lelaki muda, kemudian dia merapati aku.

"Din sihat?" lembut dia bertanya.

Dahi aku berkerut memandang dia. Ligat
cuba mengingat kembali siapakah mereka bertiga
itu.

Wanita itu tergelak kecil.

"Nama saya Bunga, ni suami dan anak saya,
Wafiy dan Dahlia. Yang ini pula pak cik saya, Mark,"
beritahu wanita bernama Bunga itu.

Aku membalas senyuman mereka. "Saya
Izzuddin."

"Saya sahabat baik Izzara. Kami datang nak
melawat awak."

Kepala aku mengangguk-angguk kecil. Aku
tak pernah kenal kawan-kawan Izzara.

Malah, tragedi dulu yang menemukan kami
juga tidak pernah dia mahu membuka mulut.

"Jemput duduk, Encik." Aku tunjuk sofa yang
terletak tidak jauh dari katil aku. Malah, sofa itu
menghadap aku.

Hanya Wafiy yang bergerak ke sana, itupun
dia hanya meletakkan Dahlia yang sedang tidur.
Lalu dia datang semula berdiri di hujung kaki aku.

"Dari mana?" soal aku lagi memecah sunyi.

"Kami dari Kuala Lumpur. Sebenarnya kami
ada melawat dulu, tapi waktu tu awak masih koma.
Saya dapat tahu dari mak awak, yang awak dah

sedar. Jadi kami datang melawat. Dan ada perkara
kami nak beritahu awak."

Ternaik sebelah kening aku ketika itu.
Berdebar jantung aku.

"Perkara apa?"

Bunga pandang lelaki separuh abad bernama
Mark itu. Lelaki itu nampak dingin, tapi bila dia
senyum pada aku, nampak kacak sungguh. Hilang
segala kedinginan di wajah itu.

Perlahan-lahan Mark berdiri di sisi katil aku.
Dia tarik kerusi dan duduk di sebelah aku.

"Pakcik kawan papa Bunga. Bunga dan Izzara
dah kenal sejak zaman belajar. Kebetulan, daddy
Izzara dan papa Bunga dah berkawan lama, mereka
buka bisnes bersama-sama. Tapi, disebabkan papa
Bunga cenderung ke dalam bidang perubatan,
bidang pembinaan dan import export diteraju oleh
daddy Izzara."

Aku hanya diam mendengar Pak Cik Mark
bercerita. Sesuatu yang menarik kerana Izzara
seorang yang perahsia. Aku hanya tahu dia seorang
anak yatim piatu.

"Mummy Izzara meninggal ketika Izzara
berumur 17 tahun. Selepas itu daddy Izzara kahwin

lagi satu. Tapi malangnya, Tasnim tak sukakan
Izzara."

"Tak lama selepas itu, Megat Khalid pula
meninggal. Mak tiri Izzara bertanggungjawab
menjaga Izzara dengan berbekalkan harta yang
banyak sebagai upah menjaga Izzara."

"Syarikat, saham dan rumah segalanya
menjadi hak milik Izzara membuatkan mak tiri dia
tak puas hati. Mereka komplot nak bunuh Izzara."

"Dan... pakcik ditugaskan papa Bunga untuk
menjaga Izzara dan syarikat peninggalan Megat
sehingga Izzara setuju mengambil alih. Pakcik
memang penyiasat sejak dulu lagi. Cuma, waktu
hari kejadian Izzara diculik, pekerja pak cik tak
dapat kesan dia di mana. Puas kami cari. Tapi tak
jumpa."

Aku terlopong dengan mulut ternganga
mendengar cerita Pak Cik Mark. Hidup Izzara
memang derita.

"Mujur ada seorang penyiasat pak cik berjaya
cari Izzara, tapi waktu tu kami tak boleh bawa dia
ke Kuala Lumpur semula, kerana dia berkeras tak
nak. Dia kata dia takkan tinggalkan kamu."

Eh... sejak bila Izzara bertemu orang-orang
ini? Setahu aku Izzara hanya duduk di rumah saja.
Tidak keluar ke mana-mana tanpa aku.

"Samad... dia penyiasat pak cik."

"Samad?" terjerit aku sebab terkejut. Biar
betul! Kenapa Samad tak cakap apa-apa dekat aku!

Bab 20

"MAD.. kau tinggalkan aku
kejap." pintaku pada Samad
yang setia berdiri di belakang
kerusi roda aku.
"Aku tunggu dekat bawah pokok tepi masjid
sana. Nanti dah siap panggil aku." pesan dia
sebelum berlalu.
Beberapa saat kemudian, aku usap-usap batu
nisan yang tertulis nama May Izzara Binti Megat
Khalid
Aku keluarkan buku yasin lalu aku
sedekahkan Al fatihah dan Yasin untuk Izzara.
Semoga isteri aku berada di tempat orang yang
solehah.

"Zara... maafkan abang. Baru sekarang abang
dapat datang. Abang koma, sayang. Abang baru
sedar beberapa hari lepas..."

Aku berhenti seketika bila perasaan sebak
mula mencengkam perasaan aku. Bibir dikemam
kuat dengan mata yang mula memberat menakung
air.

"Tak pernah abang sangka yang kita akan
terpisah secepat ini. Perit sayang... sakit sangat dada
abang bila ingat yang abang sudah kehilangan isteri
abang."

Aku tertunduk dengan bahu bergegar-gegar
menahan esak tangis. Jangan menangis Din. Kau
kuat. Kau dah reda. Kau kuat, Din.

Tapi aku masih gagal menahan perasaan
sedih itu. Sudahnya teresak-esak aku menangis
sambil peluk buku yasin ke dada.

"Zara... abang pergi pekan kejap."

"Zara nak ikut!"

"Dah malam ni, Zara tu mengandung. Duduk
rumah jer dengan mak."

"Alaa...nak ikut nanti abang rindu macam
mana?"

"Zara manja macam ni buat abang tak nak
pergi mana-mana tahu tak.”

Izzara senyum manis. Tak jadi kerja aku
dibuatnya.

Itu dulu, ketika Izzara masih ada... dan kini...

"Abang rindu..." bisikku lirih.

"Walaupun tak sampai setahun kita bersama,
tapi dah banyak benda susah senang kita lalui
bersama.... abang rindu sayang. Ya Allah...."

Tuhan, kuatkan aku. Kenangan bersama
Izzara sentiasa bermain difikiran aku. Seakan-akan
Izzara ada di sisi aku. Kadang-kadang aku terpanggil
dia, aku lupa bahawa dia dah pergi.

"Din."

Samad terus datang mendekat dan tepuk
lembut bahu aku.

"Tak elok Din buat macam ni. Ini kubur. Dia
dah pergi. Kau doakanlah kesejahteraan dia dekat
sana nanti." Samad usap bahu aku.

Bahu Samad menjadi tempat aku melepaskan
tangis. Habis basah bahu dia dek air mata aku. Dari
jauh aku nampak Izzara perlahan-lahan
meninggalkan aku dengan lambaian dan senyuman
manis.

"Abang, jangan menangis lagi." Pesan dia
sebelum bayangannya hilang dari situ.

"Zara...." Tangisan aku kembali pecah.

Samad usap belakang badan aku.
"Ingat tuhan Din. Doakan dia."

"SAMAD ada pujuk Izzara untuk balik ke Kuala
Lumpur, tapi.. sebab dia dah kahwin dengan kamu,
dia menolak. Dia tak nak tinggalkan kamu. Tapi...
tanpa Izzara sedar, nyawa kamu sekeluarga pula
dalam bahaya."

"Dalam bahaya?"
Pak Cik Mark mengangguk serius.
"Tasnim dan Zul. Ibu bapa tiri Izzara sudah
tahu yang Izzara masih hidup. Orang-orang mereka
pergi semula ke tempat dia buang mayat Izzara, tapi
Izzara dah tak ada. Malah, tak ada berita pun yang
orang kampung terjumpa mayat di situ. Jadinya
mereka mula mencari sekitar sini. Dan mereka
terjumpa Izzara bersama kamu."
Aku telan liur.
"Malam kemalangan kamu, semua itu dah
dirancang. Mujur Samad memang intip kamu, dia
ekori kereta kamu dan dia saksi kejadian tu. Dia
yang telefon ambulans setelah tengok kamu dan
Izzara parah dalam kereta."

Samad...Izzara... Aku tarik nafas dalam-
dalam. Izzara dah tak ada.

Kau dan aku tak bisa bersama,
Bagai syair lagu tak berirama,
Selamat tinggal kenangan denganmu,
Senyum ku melepaskan kau pergi.

"Din."
"Aku tahu kau kuat." ujarnya memberi
semangat.
Aku tersenyum dengan angguk kecil. Sudah
pasti aku akan kuat. Demi Izzandra.
"Comel anak kau." Samad senyum bila tengok
Izzandra terkebil-kebil tengok dia.
Tergelak kecil aku bila tengok Izzandra
melopong tengok Samad. Pipi si kecil aku cuit-cuit.
Geram!
Sekarang Samad sukarela jadi pemandu aku.
Dia pun dah macam pembantu mak, habis semua
benda dalam rumah ni mak minta tolong dia. Aku
tengok dia macam reda jer buat semua tu. Ada masa
dia main dengan Izzandra.
"Izzara tu... pembawa tuah kan pada kau."
Samad bersuara perlahan dengan mata tidak

berkalih tengok Izzandra yang sedang bermain
dengan jemari sendiri.

Aku mengangguk setuju.

"Walaupun dia datang dengan tiba-tiba, dan
pergi pun dengan tiba-tiba dalam hidup aku. Aku
tak pernah rasa sesal kenal dia. Aku rasa aku bertuah
kenal dia. Macam-macam yang dia ajar aku. Banyak
benda dia tinggalkan untuk aku. Salah satunya
Izzandra."

Samad pandang aku.

"Walaupun dia bukan anak kandung kau?"
soalnya perlahan.

Aku usap pipi Izzandra dengan senyuman
tersungging di bibir.

"Aku dah anggap dia anak kandung aku
sendiri. Aku yang jaga dia sejak dia dalam rahim
Izzara lagi. Ini anak aku." suara aku berubah sebak
bila teringat detik-detik ketika kehamilan Izzara.

Aku yang sentiasa usap perut itu. Aku yang
sentiasa bercakap-cakap dengan Izzandra yang
masih di dalam kandungan. Ini anak aku.

"Kau memang lelaki teragung."

Aku tersenyum bila terdengar Samad
mengumam perlahan.

Malas nak bersedih lagi. Cukuplah aku
menangis dan meratap pemergian Izzara. Semua itu
dah berlaku. Aku perlu bergerak ke hadapan. Aku
kena cepat sihat dan meneruskan hidup aku.

"Kau tak kerja ke? Bos kau tak marah kau
duduk di sini?"

Berkerut kening aku bila baru teringat yang si
Samad ni sudah berminggu berkampung di rumah
aku. Dia menjaga kebajikan aku, mak dan Izzandra.

Samad gelak kecil. "Tenang la, gaji aku jalan
kot. Ni aku tengah kerja la ni." ujarnya selamba.

Hah? Aku tak faham.

Tiba-tiba Samad tepuk dahi dia sendiri. Dia
seperti menyesal kerana bercakap begitu pada aku.

"Bos aku si Mark tu dia upah aku suruh jaga
kau dan keluarga ni. Gaji masyukk wei... "

Biar betul?

"Dah kenapa nak jaga aku?"

"Laa...kan kau tak boleh gerak lagi. Lagipun
kau dengan mak kau sibuk uruskan Izzandra. Jadi,
Mark suruh aku tolong korang sampai kau boleh
gerak sendiri." Samad tergaru-garu belakang telinga.

"Betul ke? Kau tak tipu kan?" Mata aku
mengecil pada Samad. Aku tahu dia menipu! Dia

kalau tipu mesti tergaru macam tu. Aku dah masak
sangat dengan perangai dia.

Mata Samad membulat besar siap diangkat
tangan gaya orang bersumpah.

"Serius! Aku tak tipu."

Aku anggukkan saja kepala tanda percaya.


Click to View FlipBook Version