The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by farid_hafidz, 2021-12-06 23:44:43

Konsep Kejiranan & Masyarakat Majmuk

Konsep Kejiranan & Masyarakat Majmuk

Keywords: Konsep Kejiranan & Masyarakat Majmuk

3.1.3 MENJELASKAN KONSEP KEJIRANAN DALAM ISLAM

KONSEP KEJIRANAN

Jiran adalah mereka yang tinggal bersama kita dalam satu penempatan. Jiran adalah
lambang kepada kehidupan bermasyarakat manusia yang saling melengkapi antara
satu sama lain. Kitab al-Quran dan al-Sunnah (hadis) menganjurkan kita menunaikan
hak- hak jiran dan berbuat baik sesama jiran.

Jiran mencakupi semua orang Muslim dan bukan Islam, orang taat beribadah dan
orang fasik, teman atau musuh, orang asing dan pribumi, orang baik dan orang jahat,
saudara dan bukan saudara, yang paling berdekatan rumahnya dan yang berjauhan.
Samada yang tinggal di atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang yang mencapai
40 buah rumah (Ibnu Hajar Al- Asqalani, 2010, Imam Al-Ghazali, 2009).

Hadis Rasulullah S.A.W dari Abu Daud yang bermaksud:

“Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”
(Riwayat Abu Daud)

Kejiranan bererti suasana atau perhubungan yang positif dalam sesebuah kawasan,
saling melindungi dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
Jiran adalah mereka yang duduk dalam penempatan yang sama dengan penempatan
kita. Islam amat memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk
mencapai keharmonian dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Islam turut
memasukkan aspek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya
manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan
dalam kehidupan.

KATEGORI JIRAN

Firman Allah Taala :

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mensekutukannya dengan
sesuatupun dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, sanak saudara,
anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran dekat dan jiran jauh.

(Surah an-Nisa : 36)

Allah s.w.t menggabungkan antara perintah beribadah kepada-Nya dan perintah
berbuat baik pada makhluk-Nya. Oleh sebab itu diperintahkan untuk berbuat baik
kepada jiran, baik muslim ataupun kafir, saudara dekat ataupun jauh, bersebelahan
ataupun berjauhan. Namun demikian, jiran yang masih ada hubungan saudara,
haknya lebih jelas daripada jiran yang bukan saudara, hak jiran yang muslim lebih
agung daripada jiran yang kafir dan yang bersebelahan haknya didahulukan daripada
jiran yang jauh. (Fauzan., 2011).

Dapat disimpulkan bahawa jiran mempunyai tiga tingkatan:
i. Jiran yang memiliki tiga hak, iaitu jiran yang muslim yang dekat. Mereka ini
memiliki hak berjiran, hak islam dan hak saudara.
ii. Jiran yang memiliki dua hak, iaitu jiran yang muslim, iaitu jiran yang memiliki
hak berjiran dan hak islam.

iii. Jiran yang memiliki satu hak, iaitu jiran yang kafir. Mereka memiliki hak berjiran
sahaja.

Allah s.w.t berfirman:

Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman
dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang

tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka
telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata

(Al-Ahzab: 58)

ANJURAN BERBUAT BAIK KEPADA JIRAN.

Banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menyeru kepada berbuat baik sesama
manusia terutama jiran. Berikut disenaraikan ayat al-Quran dan Hadis berkaitan
anjuran berbuat baik kepada jiran.
Firman Allah s.w.t :

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia
dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,
dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga
yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang
terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

An- Nisa’(4):36

Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya:

“Tidak akan masuk syurga orang yang tetangganya tidak merasa aman dari

kejahatannya”. (Hadith Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya:
“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka dia tidak boleh
menyakiti/menyusahkan tetangganya dan siapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan
siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia
berkata baik atau diam sahaja”.
(Hadith Riwayat Muslim)

Dapatlah disimpulkan bahawa, Islam sangat menganjurkan berbuat baik sesama
jiran. Al-Quran dan al-Sunnah mengajar manusia untuk saling melengkapi antara satu
sama lain. Ini adalah ciri utama ajaran Islam yang syumul (menyeluruh) dan
kaffah(lengkap) mencakupi setiap aspek kehidupan.

Dengan itu, setiap individu perlu memelihara hak-hak jiran demi memenuhi tuntutan
agama, selain menjaga hubungan silaturahim dan ketenteraman sejagat.

Adab berjiran menurut Islam antaranya ialah:

1. Tidak Menyakiti Jiran
Sebagai jiran, seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak
disenangi oleh jiran tetangganya. Perbuatan tersebut seperti mencuri, membuat
bising, memfitnah, membuang sampah berdekatan dengan rumah jiran sehingga
menimbulkan bau busuk. Sabda Rasulullah SAW;

“Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dengan itu, sangatlah rugi bagi golongan yang beriman kepada Allah tetapi bersikap
buruk terhadap jirannya. Jadi, berlemah-lembutlah terhadap jiran, jangan meninggikan
suara, menegur jiran-jiran dengan ucapan salam dan senyuman, sentiasa bersangka
baik, menerima teguran jiran atas kesilapan sendiri dan lain-lain hal yang menjaga
ketenteraman kejiranan.

2. Menjaga dan Mengambil-berat Terhadap Jiran

Lebih bertanggungjawab jika seseorang itu menjaga kepentingan jiran-jirannya dengan
ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran dan perhatian. Bermula dari amalan ni akan
melahirkan masyarakat yang berkasih-sayang.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa mengambil-berat sesama
saudara seislamnya.

“Barang siapa yang menolong saudaranya yang lain maka Allah akan menuliskan
baginya tujuh kebaikan bagi setiap langkah yang dilakukannya.”

(Hadis Riwayat Thabrani)

Jika terdapat jiran yang sakit atau ditimpa ujian, ziarahlah mereka dan hulurkanlah
bantuan mengikut kemampuan. Selain itu, selalu bertanya khabar akan kesihatan
jiran-jiran.

Oleh itu, sedikit sebanyak, seseorang itu perlu mengetahui akan pekerjaan dan cara
kehidupan jiran-jirannya. Ini bukanlah untuk ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi sebagai
seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan benar-benar mengenali jirannya.

3. Berbuat Baik Dan Memelihara Keamanan Dengan Jiran

Melakukan kebaikan terhadap jiran termasuklah dengan memberi buah tangan atau

bertukar pemberian, sehinggalah kepada ucapan takziah atau tahniah atas apa-apa
berita berkaitan.

Lakukanlah perkara dan usaha selagi tidak melanggar akidah dalam berbuat baik
kepada jiran tetangga. Jika setiap jiran berusaha untuk menjaga hati jiran masing-
masing, pasti kawasan kejiranan tersebut sentiasa aman dan tenang menjalani
kehidupan seharian.

Sesungguhnya sesiapa yang mengembirakan jirannya akan digembirakan pula oleh
Allah SWT.

“Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah
akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat.”

(Hadis Riwayat Ibnu Mubarak)

Oleh itu, Muslim yang menyedari serta memahami hukum-hukum agama, pasti orang
yang paling baik dalam menjaga hubungannya dengan jiran-jirannya. Bahkan akan
sentiasa menghormati dan menimbulkan ihsan apabila berinterasi.

4. Memuliakan Jiran

Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar memulia dan menghormati jiran
seperti melayan kaum keluarga sendiri. Sabda Baginda;

“Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah

aku merasakan jiran itu kerabatku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Perbuatan memuliakan jiran ini termasuklah mengurus dan mengiringi jiran yang

meninggal dunia sehingga ke tanah perkuburan.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian
sesama manusia, selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat.

Dengan itu, menghormati jiran adalah penting demi kebaikan dan persaudaraan.

Ini termasuklah jiran yang bukan beragama Islam; sebagai cabang dakwah bahawa
Islam adalah agama yang menganjurkan kemesraan dan tidak gemarkan perpecahan.

Sesungguhnya umat Islam yang menyedari dan memahami hukum-hukum agama
adalah yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya.

3.1.4 MENJELASKAN KONSEP MASYARAKAT MAJMUK MENURUT PANDANGAN
ISLAM.

ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK

DEFINISI MASYARAKAT

Masyarakat sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan
aturan dan cara tertentu. Masyarakat juga merujuk kepada golongan manusia yang
tinggal di kota dan terdiri daripada beberapa bangsa, kumpulan etnik atau suku dan
sebagainya. Bermasyarakat pula merupakan kesatuan dan kesepaduan sesebuah
masyarakat yang menggabungkan diri untuk hidup bersama dalam sebuah unit sosial.
Jika diamati fitrah makhluk oleh Allah SWT, diciptakan manusia dengan pelbagai
keistimewaan, rupa, warna kulit dan juga bahasa.

Justeru apakah kepentingan masyarakat kepada manusia? Bagi menjawab persoalan
tersebut terdapat beberapa konsep masyarakat yang digariskan untuk memenuhi fitrah
semula jadi penciptaan Allah SWT terhadap manusia, iaitu :-

i. Masyarakat penting kepada manusia bagi meneruskan kehidupan.
ii. Manusia perlu memahami budaya masyarakat sendiri dan masyarakat lain.

iii. Memupuk kerjasama sesama masyarakat melalui kelebihan dan kekurangan
masing- masing.

Maka jelaslah kepentingan masyarakat terhadap kehidupan manusia yang selari
dengan fitrah penciptaan Allah SWT terhadap makhluknya. Bagi memahami lebih jelas
tentang konsep masyarakat, terdapat beberapa ciri-ciri utama bagi masyarakat, iaitu:
berkelompok, berbudaya, berinteraksi, mempunyai kepimpinan serta mempunyai aturan
sosial.

MASYARAKAT MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Masyarakat Islam umumnya tertegak atas aqidah dan pemikiran tertentu yang
melahirkan sistem kehidupan yang keseluruhannya berprinsipkan agama Islam yang
sempurna, iaitu berpandukan al-Quran, al-Hadis dan para ulamak. Sistem yang
menyeluruh ini meliputi politik Islam, ekonomi, akhlak, pendidikan, kebudayaan,
hiburan, dan sebagainya. Namun begitu, kesemua sistem hidup ini perlulah
bermatlamatkan ke arah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Syed Qutb (1984) dalam penulisannya menggariskan bahawa penyerahan diri
sepenuhnya kepada Allah adalah pengabdian yang tidak kepada sesama hamba Allah,
malah berusaha memandu manusia supaya patuh kepada Allah SWT dalam urusan
peraturan hidup dan pemerintahan serta nilai-nilai dan kebudayaan. Umumnya inilah
tujuan pengutusan Nabi Muhammad SAW, iaitu untuk mengubah system dan cara
hidup masyarakat jahiliyyah di Makkah, firman Allah SWT :

“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk
menjadi rahmat bagi sekalian alam” (al-Anbiya, 21: 107).

Demikianlah, sebab dan munasabab pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagaimana
pengutusan Rasul sebagai baginda, iaitu bertujuan membawa manusia patuh kepada
kekuasaan dan pemerintahan Allah. Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, manusia juga
tidak terkecuali daripada peraturan ini, iaitu dengan cara tunduk dan patuh kepada
peraturan Allah SWT dan bukan kepada peraturan manusia. Ini kerana kewujudan,

keperluan, hidup, mati, sihat dan juga sakit manusia kesemuanya berdasarkan
kehendak Allah. Justeru itu, masyarakat manusia perlu kembali kepada ajaran agama
islam dalam segenap hal yang bersangkutan dengan urusan kehidupan mereka dan
hendaklah menjadikan syariat Allah SWT sebagai panduan utama.

Penyerahan dan kepatuhan ini berasaskan dua ucapan penyaksian, la illaha illaallah
yang bermaksud tiada Tuhan selain Allah. Pengakuan terhadap Allah SWT ini adalah
pengakuan bahawa Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Kuasa dan berkuasa mutlak
atas pemerintahan-Nya. Masyarakat manusia perlulah merujuk kepada sumber yang
menyampaikan agama islam, iaitu Rasulullah SAW. Maka, kepatuhan kepada Allah
SWT ini adalah melalui pengutusan Baginda yang bertujuan untuk memperbaiki cara
hidup masyarakat jahiliyyah dan masyarakat manusia menerusi saluran ibadat
seterusnya membawa kepada aspek lain seperti akhlak, sistem politik, ekonomi,
pendidikan dan lain-lain.

Bagi mengukuhkan sistem hidup berprinsipkan Islam ini, masyarakat manusia
umumnya memerlukan kepada organisasi yang mantap dalam menerajui kehidupan
sebagaimana yang digariskan oleh Allah SWT. Organisasi ini perlulah terpisah dan
berbeza dengan unsur-unsur amalan yang dilaksanakan oleh masyarakat jahiliyyah.
Justeru itu, pelantikan pemimpin yang berpegang teguh kepada Islam amat penting
bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat Islam keseluruhannya. Kesemua
pemimpin perlulah meneladani sifat kepemimpinan Nabi Muhammad SAW dan para
sahabat bagi memperkasakan institusi masyarakat yang berteraskan kepada Islam
sebagai cara hidup dalam segenap aspek. Ringkasnya, Islam bukanlah teori kehidupan
semata-mata, akan tetapi setiap individu masyarakat perlulah mengaplikasikannya
seharian bagi menghasilkan sistem hidup yang aman selari dengan kehendak Allah
SWT.

Hasil daripada penghayatan tersebut, pembinaan organisasi bagi ummat Islam tidak
hanya tertumpu kepada ciri atau aspek luaran seperti perkauman, negeri, warna kulit,
bahasa, daerah dan sempadan semata, akan tetapi akan melahirkan masyarakat Islam
yang terbuka untuk semua bangsa, semua golongan, warna kulit, bahasa dan lain-lain

perbezaan antara satu wilayah dengan wilayah lain. Kesemua perbezaan ini tidak
menjadi penghalang ke arah membina masyarakat Islam yang unggul seterusnya
membawa kepada pembinaan tamadun Islam yang gah sebagaimana wujudnya
tamadun Islam semasa zaman Rasulullah dan para sahabat.

Jelasnya masyarakat Islam ialah mereka yang berkumpul berdasarkan hubungan
persamaan, hubungan kasih sayang, persaudaraan dengan melihat jauh ke hadapan,
iaitu untuk mencapai satu matlamat sahaja. Masyarakat Islam memberi apa sahaja
yang dapat diberikan tanpa menghilangkan ciri-ciri kebangsaan masing-masing. Mereka
ini memberi sumbangan tenaga dan pengalaman peribadi untuk membina masyarakat
yang satu berdasarkan persamaan hak, disatupadukan dengan tali Allah yang
menonjolkan kemanusiaan mereka (Syed Qutb, 1984). Masyarakat Islam tertegak atas
landasan aqidah yang satu iaitu berbalik kepada Pencipta Sekalian Alam, Allah SWT.
Masyarakat Islam umumnya sentiasa bergerak bersama dalam segenap aspek
kehidupan sama ada politik, ekonomi, perundangan, pendidikan dan lain-lain. Kesemua
aspek kehidupan ini dilalui atas dasar persaudaraan sesama Islam.

MASYARAKAT MENURUT PERSPEKTIF BARAT

Masyarakat menurut perspektif barat berbeza berbanding masyarakat yang digariskan
dalam Islam. Masyarakat Barat tidak terbina atas dasar persaudaraan atau tali
kemanusiaan, tidak juga dibina berdasarkan sesuatu nilai yang tinggi berbentuk aqidah.
Ini kerana masyarakat barat dibahagikan mengikut beberapa perkumpulan berdasarkan
perbezaan darjat dan kelas, iaitu kelas bangsawan dan kelas hamba abdi. Sebagai
contoh masyarakat manusia yang masyhur dalam sejarah ialah masyarakat Empayar
Romawi yang mengumpulkan pelbagai jenis manusia daripada pelbagai bangsa dan
warna kulit serta bahasa pertuturan. Seluruh kawasan takluk empayar tersebut,
pembahagian kelas juga wujud berdasarkan kesucian dan keagungan darah Romawi di
satu pihak sementara satu pihak lain ialah kehinaan darah bukan Romawi.

Pembahagian sebeginilah yang tidak dapat menandingi keunggulan dan kejayaan yang
dicapai oleh tamadun Islam.

Selepas Empayar Romawi runtuh, antara masyarakat yang terbina sebagaimana model
empayar tersebut adalah Empayar Inggeris. Pembinaan empayar ini tidak ubah seperti
Empayar Romawi yang bertujuan memeras dan menindas, tertegak atas ketuanan
bangsa Inggeris, memeras serta menindas masyarakat bawah taklukannya. Begitu juga
empayar Eropah lain seperti Sepanyol, Perancis dan Portugis. Kesemua empayar ini
melaksanakan sistem cara hidup yang sama taraf dan nilainya berdasarkan
pemerasan, penindasan dan kezaliman.

Sebagaimana Empayar Romawi, masyarakat Komunisme turut mendirikan
perkumpulan dan masyarakat manusia bermodel seumpamanya, akan tetapi
melangkau kepada unsur-unsur kebangsaan dan warna kulit, tanahair dan bangsa yang
sedikit berbeza tanpa berteraskan kemanusiaan berlandaskan pertentangan kelas.
Walaubagaimanapun masyarakat ciptaan Komunisme ini merupakan masyarakat yang
setanding dengan masyarakat ciptaan Romawi berdasarkan ciri-ciri yang satu, iaitu
berdasarkan taraf kaum bangsawan dan hamba. (Syed Qutb 1984).

Jelasnya masyarakat menurut perspektif Barat adalah kelompok manusia yang
dikategorikan mengikut kelas-kelas tertentu seperti golongan atasan dan bahawan,
bahkan turut mendiskriminasi antara satu sama lain berdasarkan ciri-ciri perkauman
seperti warna kulit, bahasa dan wilayah.

1. Konsep dan falsafah

Masyarakat majmuk terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, bahasa,
kebudayaan dan agama. Negara Islam yang pertama disusun oleh Nabi Muhammad
s.a.w. di Madinah terdiri daripada masyarakat majmuk. Tegasnya, komponen utama
masyarakat majmuk dalam negara Islam terdiri daripada orang Islam dan orang bukan
Islam.

Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai bukanlah
sesuatu yang asing bagi Islam. Malah, Allah s.w.t. telah menciptakan kepelbagaian
manusia yang wujud di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada
lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-
bangsa dan berbeza puak (etnik) supaya kamu saling
mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu
ialah yang paling bertakwa.

(Surah Al-Hujurat: 13)

Maksud ayat di atas jelas menggambarkan pengiktirafan al-Qur’an terhadap kewujudan
masyarakat majmuk. Ini boleh menambahkan kepelbagaian dan rencam hidup manusia
supaya lebih menarik dan indah. Dengan kepelbagaian yang ada, manusia boleh kenal-
mengenal dan menambahkan pengetahuan masing-masing.

Bagaimanapun Islam memberi amaran bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi
asas kepada perbezaan layanan keadilan dan taraf kedudukan. Menurut Islam, semua
manusia walau apa jua bangsa atau warna kulit adalah sama. Satu perkara yang
membezakan kedudukan mereka di sisi Allah ialah tahap ketakwaaan.

2. Peranan, hak dan tanggungjawab

Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengendalikan masyarakat
majmuk. Hak dan tanggungjawab masyarakat majmuk telah digariskan dalam Piagam
Madinah iaitu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia yang telah disusun oleh
Nabi Muhammad s.a.w. berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Antara hak dan
tanggungjawab yang tertera dalam Piagam Madinah adalah seperti berikut:

a. Semua masyarakat adalah satu ummah yang bertanggungjawab menjaga
kedaulatan negara.

b. Warganegara Islam dan warganegara bukan Islam bertanggungjawab
mempertahankan keselamatan negara daripada serangan musuh atau
penceroboh.

c. Setiap warganegara bebas bergerak dan menetap di Madinah.

d. Setiap warganegara bebas bergiat, memiliki harta dan menuntut ilmu.

e. Masyarakat wajib saling menolong atas kebaikan bersama.

f. Masyarakat tidak boleh membantu musuh atau sekutu untuk melakukan
kemungkaran.

g. Setiap warganegara yang dizalimi mesti dibantu dan berhak mendapat
pembelaan.

h. Kebebasan mengamalkan ajaran agama tanpa paksaan.

i. Semua masyarakat mesti mengamalkan nilai yang baik.

Hak dan tanggungjawab yang dinyatakan di atas adalah beberapa prinsip penting yang
digariskan dalam Perlembagaan Madinah yang tediri daripada 47 Fasal (telah
dijelaskan dalam Unit 2). Masyarakat majmuk yang dibentuk di Madinah telah berjaya
menjamin keadilan dan hak semua warganegara. Islam telah diterima hampir sepertiga
dunia; dari Madinah, Eropah, Afrika, Asia dan negara-negara lain kerana sifat
kepelbagaian yang ada dalam masyarakatnya.

Namun begitu, masyarakat beragama Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan
hukum Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:

1. Kewajipan terhadap Allah s.w.t. apabila seseorang itu mengumumkan Islam
sebagai agamanya (tanggungjawab akidah atau agama).

2. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam
sebagai dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik).

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mempunyai kepelbagaian adat
resam dan budaya. Pada masa yang sama, masyarakat negara ini turut mengamalkan
beberapa anutan agama yang berbeza di antara satu sama lain. Kepelbagaian ini
menuntut suatu toleransi yang tinggi di antara semua kaum bagi membolehkan mereka
hidup aman damai serta saling bekerjasama. Kefahaman terhadap setiap agama, etnik
dan budaya akan menjadi pemangkin ke arah pembinaan sebuah negara yang harmoni
dan makmur. Justeru, konsep-konsep asas dalam hubungan antara kaum dan agama
perlu dihayati dengan sebaiknya dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti
Malaysia .

Di Malaysia, umat Islam perlu patuh kepada dua bidang perundangan iaitu bidang
perundangan am (sivil) yang sama bagi semua rakyat Malaysia dan bidang
perundangan diri (syariah) iaitu undang-undang kekeluargaan dan hukum-hakam
syarak yang khusus kepada orang Islam sahaja. Dalam bidang perundangan diri
(syariah), orang bukan Islam di Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus yang
mengikat mereka. Mereka hanya mengikut adat resam dan norma-norma tradisi yang
diwarisi oleh nenek moyang mereka.

KONSEP DAN FALSAFAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT

Masyarakat dalam konteks Islam ialah gabungan manusia yang diwujudkan atas ikatan
syariah rabbani yang bermatlamatkan kehidupan yang sejahtera serta aman damai.
Masyarakat Islam juga merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang
saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, masyarakat Islam ialah kelompok
manusia yang beragama Islam, mengamalkan ajaran Islam dan saling berkaitan antara
satu sama lain.

Masyarakat Islam yang pertama ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w.
dan para sahabat di Madinah. Umat Islam yang berada di bawah kepemimpinan Nabi
Muhammad s.a.w. telah melaksanakan tugas yang berlandaskan nilai-nilai Islam

dengan cekal, gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang
ideal dan menjadi contoh bagi masyarakat Islam selepasnya.

Tegasnya, walaupun masyarakat Islam terdiri daripada pelbagai kelompok manusia

seumpama lelaki, perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, namun perbezaan

ini tidak menyekat masyarakat Islam daripada mengenali atau berinteraksi antara satu

sama lain. Uniknya, masyarakat Islam dari segi definisinya bukanlah kerana perbezaan

warna, kulit, bangsa, bahasa dan negara, tetapi sejauhmana masyarakat itu tunduk dan

patuh kepada Allah s.w.t. Ketakwaanlah yang menjadi ukuran penting dalam

menentukan konsep masyarakat Islam.

LATAR BELAKANG MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

Masyarakat Malaysia yang ada ditentukan oleh proses sejarah khususnya
kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu. Melalui dasar “pintu terbuka”, Tanah
Melayu menjadi tumpuan golongan imigran dari China, India dan Indonesia. Aliran
penduduk ini merupakan asas utama terdapatnya komposisi ras dan etnik di negara-
negara yang pernah dijajah. Masyarakat majmuk di Malaysia merujuk kepada keadaan
di mana masyarakat yang terdiri daripada golongan Eropah, Melayu, Cina dan India
terpisah dari segi kaum atau bangsa, institusi, bentuk budaya, perbezaan politik dan
kuasa ekonomi.

Menurut Tregonning, bermula tahun 1870-an masyarakat Tanah Melayu berbentuk
multi-rasial tetapi pembentukan masyarakat majmuk (plural society) berlaku pada
tahun 1910-an. Dengan kata lain ia merujuk kepada masyarakat yang mengandungi
karakteristik heterogenus. Inggeris melaksanakan polisi pecah dan perintah (divide
and rule) terhadap masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Di antaranya,
spesialisasi (pengkhususan) pekerjaan, segregasi (pengasingan) tempat tinggal,
pemisahan proses sosialisasi dan mobiliti, dan isolasi (pemencilan) budaya. Agama
dan etnisiti merupakan faktor yang penting dalam masyarakat dan politik Malaysia
kontemporari.

Menurut Vasil, dua bentuk keadaan di Malaysia yang menentukan politik dan
hubungan etnik, iaitu masyarakat bi-racial (dua bangsa) dari kalangan penduduk

asal (indigenous) dan golongan imigran. Salah satu dari dua bangsa tersebut
(penduduk asli dan pendatang lain) adalah kelompok yang utama. Bangsa
Malaysia mono-etnik yang wujud pada awal sejarah negara Malaysia mengalami
transformasi multi-dimensi sehingga bentuk dan sifat asalnya bertukar menjadi sebuah
bangsa Malaysia multi-etnik. Istilah bangsa diturunkan statusnya kepada etnik untuk
memberi laluan mewujudkan bangsa baru iaitu bangsa Malaysia multi-etnik.
Kehadiran imigran Cina dan India yang mengekalkan kehidupan sosial dan identiti
budaya mereka dalam suasana persekitaran baru menimbulkan kompleksiti struktur
masyarakat Malaysia. Selain itu, merumitkan lagi keadaan apabila setiap kaum
imigran terbahagi kepada sub-etnik yang lebih kecil. Justeru bertambah jurang
perbezaan etnik-bahasa-agama-ekonomi (ethnic-linguistic-religious-economic) yang
homogen kalangan mereka.

Selain pendatang dari negara China dan India, Tanah Melayu juga menjadi tumpuan
imigran etnik Indonesia. Populasi Indonesia didominasi oleh etnik Jawa dan
Banjar diikuti Sumatera (etnik Minangkabau, Mandailing, Kerinchi dan lain-lain),
Boyan dan Bugis. Imigrasi pelbagai etnik dari kepulauan Indonesia kemudiannya
menjadi sebahagian populasi homogen bangsa Melayu kerana persamaan
keagamaan selain untuk mengimbangi komposisi heterogen kaum imigran dari China
serta India dan juga kekuatan politik dan ekonomi bagi orang Melayu. Pengalaman dan
takdir sejarah telah membentuk masyarakat majmuk Malaysia pada hari ini. Ia
mengundang pelbagai masalah yang sukar dikikis dalam hubungan antara kaum di
Malaysia. Dasar penjajah yang menjalankan polisi “pecah dan perintah” telah berjaya
mewujudkan polarisasi antara kaum, spesialisasi pekerjaan dan segregasi tempat
tinggal malah isolasi (keterasingan) budaya antara satu sama lain.

ASAS-ASAS PEMBINAAN MASYARAKAT ISLAM

Al-Qur’an dan al-Sunnah telah meletakkan asas-asas yang kukuh dalam pembentukan
kehidupan masyarakat Islam. Berikut adalah asas-asas yang membentuk masyarakat

Islam:

1. Akidah Islam

Asas utama pembentukan masyarakat Islam adalah untuk memelihara, menjaga dan
menegakkan akidah Islam. Akidah tauhid amat penting untuk membebaskan manusia
daripada belenggu khurafat yang boleh membawa kemunduran iaitu kepercayaan
karut-marut yang tidak berasaskan akal rasional. Akidah tauhid juga akan
membebaskan manusia daripada belenggu modenisme yang menafikan kewujudan
Tuhan sehingga membawa kehancuran akhlak manusia dan sistem nilai.

2. Tolong-menolong atas kebaikan bukan kerosakan

Masyarakat Islam mesti bekerjasama untuk kebaikan dan tidak bekerjasama untuk
melakukan dosa dan perbuatan keji.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan

dan takwa dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa

dan perlanggaran. (Surah al-Maidah: 2)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

Jangan kamu berbuat kejahatan di permukaan bumi sesudah

ia menjadi baik. (Surah al-A’raf: 56)

3. Bersatu padu sesama manusia adalah ibadat yang mulia

Masyarakat Islam menekankan aspek bersatu padu sebagai satu bentuk ibadat yang
dituntut dalam Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada

kecuali jika mereka berpegang pada tali (ad-Din) Allah dan

tali (perjanjian) dengan manusia. (Surah al-Imran: 112)

Ketiga-ketiga asas di atas adalah dasar utama pembentukan kehidupan masyarakat
Islam.

PERANAN, HAK DAN TANGGUNGJAWAB DALAM MASYARAKAT ISLAM

Di samping memahami konsep dan asas-asas pembentukan masyarakat Islam, anda
juga harus sedar akan peranan, hak dan tanggungjawab setiap individu dalam
masyarakat Islam. Antara peranan, hak dan tanggungjawab yang digariskan dalam
Islam adalah seperti yang tertera di bawah:

1. Hak individu

Setiap individu berperanan dan bertanggungjawab menjaga diri sendiri dari segi
jasmani dan rohani. Kesihatan rohani dan jasmani amat penting dalam pembinaan
individu yang sihat dan sejahtera. Perkara-perkara yang merosakkan diri seperti minum
arak dan makan benda yang haram harus dielakkan sesuai dengan firman Allah s.w.t.
yang bermaksud:

Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam

kebinasan. (Surah al-Baqarah: 195)

2. Hak keluarga

Setiap ahli keluarga perlu bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan
menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat tinggal yang
selesa. Malah, hak keluarga juga termasuk peranan ibu bapa memberi pendidikan
Islam yang sempurna kepada anak-anak agar ahli keluarganya tunduk kepada Allah
sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman jagalah diri kamu serta ahli keluarga

kamu daripada api neraka. (Surah al-Tahrim: 6)

3. Hak untuk hidup

Nyawa adalah sesuatu yang mulia dalam Islam dan setiap individu dalam masyarakat
harus menghormati dan menghargai nyawa manusia. Malah syariah Islam memberi
keutamaan dalam memelihara nyawa manusia sepertimana tercatat dalam firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:

Sesiapa yang membunuh manusia tanpa alasan yang
membolehkan dia membunuh orang itu atau kerana
melakukan kerosakan di muka bumi maka seolah-olah dia
telah membunuh manusia kesemuanya dan sesiapa yang
menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-
olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia
keseluruhannya.

(Surah al-Maidah: 32)

4. Menjaga maruah dan peribadi

Islam melarang setiap ahli masyarakat terlibat dalam perbuatan menjatuhkan maruah
peribadi seseorang insan. Maruah dan peribadi adalah suatu nilai yang sangat mulia
dalam Islam. Orang yang bermaruah dan berperibadi tinggi tidak akan melakukan
perbuatan mencari kesalahan atau keburukan orang lain sehingga mencemarkan
maruah dan peribadi orang itu. Malah, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:

Dan janganlah sesetengah daripada kamu menyatakan
keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu
memanggil antara satu dengan yang lain dengan panggilan
yang buruk.

(Surah al-Hujurat: 11)

5. Kebebasan berfikir dan menyatakan pendapat

Setiap individu bebas berfikir dan menyuarakan pendapat untuk menyatakan
pandangan peribadi mereka. Namun begitu, kebebasan ini tidak boleh melanggar
ketetapan syariah seumpama menyebarkan fitnah dan khabar buruk tentang seseorang
yang tidak disukainya.

6. Kebebasan bergerak

Setiap manusia adalah bebas bergerak dalam negara yang sah sebagai tempat
tinggalnya. Oleh itu, tiada siapa yang berhak untuk memaksanya meninggalkan sesuatu
tempat itu tanpa sebab-sebab yang munasabah. Allah s.w.t. berfirman yang
bermaksud:

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan

maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya serta
makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

(Surah al-Mulk: 15)

7. Hak sama rata
Setiap manusia berhak untuk mendapatkan layanan yang sama rata tanpa mengira
bangsa dan keturunan. Malah, semua orang adalah sama di sisi Allah s.w.t. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:

Bagi mereka masing-masing (daripada jin dan manusia
yang berbuat baik dan jahat) disediakan pelbagai peringkat
pembalasan yang sesuai dengan apa yang telah mereka
kerjakan.

(Surah al-Ahqaf: 19)

8. Hak keadilan dan kehakiman
Tiada perbezaan kelas dalam perundangan Islam kerana setiap orang berhak
mendapatkan pengadilan dan kehakiman untuk dirinya daripada penindasan dan
penganiayaan. Pemerintah bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat
mendapat hak pengadilan yang saksama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Hendaklah kamu menjalankan hukuman antara mereka
dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah
engkau menurut hawa nafsu mereka.

(Surah al-Maidah: 49)

9. Menegakkan makruf dan mencegah mungkar

Usaha menegakkan kebaikan dan mencegah keburukan adalah tanggungjawab setiap
individu yang perlu dilakukan secara bersama-sama. Allah s.w.t. berfirman yang
bermaksud:

Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru
kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara
yang baik dan melarang daripada segala perbuatan yang
salah (buruk dan keji) dan mereka itulah orang yang
berjaya.

(Surah al-Imran: 104)

10. Hak berpolitik dan bernegara

Negara Islam harus memberi hak berpolitik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira
agama dan keturunannya. Hak mendapat perlindungan politik dan negara adalah
berdasarkan hakikat bahawa Islam adalah agama yang mementingkan keadilan dan
keamanan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Dan jika seorang daripada kaum Musyrik meminta
perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam) maka
berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat
mendengar keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu)
kemudiaan hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia
beroleh aman.

(Surah al-Taubah: 6)

11. Hak pendidikan

Setiap manusia mempunyai hak untuk menuntut ilmu. Islam mewajibkan setiap Muslim,
baik lelaki atau perempuan menuntut ilmu pengetahuan. Pemerintah juga wajib
menyediakan kemudahan asas untuk masyarakatnya menuntut ilmu. Sabda Nabi
Muhammad s.a.w.:

Menuntut ilmu itu adalah kewajiban bagi setiap Muslim dan
Muslimat.

(HR. Ibn Majah, al Baihaqi, Ibn Abd al-Barr)


Click to View FlipBook Version