TEKS UCAPAN PERASMIAN
TUAN YDP PIBG
Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda
(Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah,
Ketua Kelas/Penolong Ketua Kelas) Sk Kepong Baru 2022
18 Mei 2022 | Rabu
8.10 pagi
Dewan SK Kepong Baru
Terima kasih tuan pengacara majlis.
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Yang Berusaha, En Ahmad Badri bin Mohamad, Guru Besar SK Kepong Baru,
Yang Dihormati, Pn Roslah binti Abbas, Penolong Kanan Pentadbiran,
En Zamri bin Hashim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
En Rosmadi bin Ibrahim, Penolong Kanan Kokurikulum,
Barisan Guru-guru dan murid-murid SK Kepong Baru
yang dikasihi sekalian.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan seribu kesyukuran
kepada Tuhan kerana dengan limpah inayah-Nya, maka kita
semua dapat berkumpul meraikan majlis nan berbahagia pada
petang ini. Tidak lupa juga saya mengucapkan sekalung bunga
terima kasih kepada pihak sekolah ini yang sudi mengundang
saya bagi merasmikan majlis pada petang ini.
Murid-murid yang dikasihi sekalian, di sini saya ingin
mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada semua pemimpin murid yang dipilih dan dilantik
pada hari ini. Saya yakin murid-murid yang dilantik pada hari ini
telah melalui satu proses pemilihan yang rapi agar mereka yang
terpilih memiliki ciri-ciri kepimpinan untuk membimbing rakan-
rakan mereka di sekolah serta dapat membantu guru-guru
melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka disamping
memberi pendidikan yang berkualiti. Hanya dengan pendidikan
yang berkualiti sahaja dapat melahirkan warganegara yang efisen
dan menjadi modal insan negara yang produktif.
Sesungguhnya pengawas-pengawas yang dilantik
harus berasa bertuah dengan perlantikan ini. Saya memohon
kepada mereka agar berasa syukur kepada Allah dan sentiasa
mengingatiNya semasa memikul tugas dan tanggungjawab itu
nanti. Sehubungan itu, pada hari yang bersejarah ini mereka
patut diraikan.
Pemimpin murid berperanan sebagai pemimpin muda yang dipilih
untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab, membantu guru dan
pentadbir sekolah agar dapat mewujudkan satu persekitaran sekolah yang
kemas dan teratur. Persekitaran yang dimaksudkan adalah untuk
menentukan suasana yang damai, situasi yang terkawal dan menumpukan
kepada fungsi utama sebuah sekolah iaitu untuk melahirkan murid-murid
yang berpotensi menjadi pemimpin negara masa hadapan dan tunggak
pembangunan negara dalam apa jua bidang yang mereka minati. Saya juga
berharap pemimpin yang dilantik pada hari ini dapat menjalankan tugas
dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, jujur, ikhlas dan
bertanggungjawab.
Dikesempatan ini, saya ingin berpesan kepada murid-
murid agar mematuhi dan menghayati peraturan sekolah supaya
guru-guru dan pentadbir sekolah dapat menumpukan kepada
usaha dalam membangunkan infrastruktur dan fasiliti sekolah
serta pembangunan akademik bagi menentukan kecemerlangan
dan kegemilangan sekolah dapat dipertingkatkan. Jauhi sikap-
sikap negatif seperti perbuatan merosakkan kemudahan sekolah,
perbuatan membuli dan bergaduh serta tidak menghormati
guru-guru dan kawan-kawan sekolah.
Saya juga ingin menasihatkan semua murid agar
mengutamakan pelajaran di sekolah. Hanya dengan memiliki
pengetahuan dan kelulusan yang tinggi sahaja dapat menjamin
kehidupan kita pada masa hadapan. Ianya sungguh penting dalam
kehidupan. Ilmu pengetahuan dapat mengubah taraf hidup
sesebuah keluarga, pengetahuan dapat memenuhi apa yang kita
cita-citakan, pengetahuan dapat membezakan yang baik dengan
buruk. Untuk memperolehi pengetahuan, murid-murid harus
belajar bersungguh-sungguh, berdisiplin ketika belajar kerana
disiplin asas kejayaan, sentiasa berusaha tanpa mengenal putus asa.
Pada kesempatan ini, saya berdoa agar sekolah ini
sentiasa mendapat kerahmatan dan diberi perlindungan agar
sentiasa berupaya melahirkan insan-insan yang menjadi
kebanggaan negara dan dijauhi dari segala bencana atau musibah.
Saya berharap guru-guru dan pentadbir sekolah akan melipat
gandakan usaha mereka dalam membentuk dan memberi
pelajaran kepada semua murid sekolah ini. Saya juga berdoa agar
murid-murid sekolah ini sentiasa beroleh kejayaan di dalam apa
jua yang mereka bakal hadapi.
Akhirkata, marilah kita bersama-sama berdoa agar
sekolah ini sentiasa cemerlang, gemilang dan terbilang dalam
aktiviti akademik dan kokurikulum serta menjadi sekolah contoh
di daerah ini.
Dengan ini, saya merasmikan Majlis Watikah Pelantikan
Pemimpin Muda Sekolah Kebangsaan Kepong Baru bagi tahun
2022. Sekian, terima kasih.
“Penat Hanya Seketika,
Kecemerlangan Berpanjangan”
—SEKEBA 2022