NUR BATRISYA ALIA CERITA 5 RAKYAT
Si Luncai dengan Labu-labunya
Suatu ketika dahulu, tinggal seorang lelaki miskin dan hodoh bernama Si Luncai di hujung kampung dalam negerinya. Dia sangat menyanjung raja di negeri itu dan memasang impian untuk menatap sendiri wajah rajanya. Alkisahnya suatu hari, dia berjaya masuk ke istana untuk menghadap raja. Malangnya, ketika menghadap raja, Si Luncai tersasul mengatakan kepada raja bahawa wajahnya mempunyai rupa seakan-akan arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Tidak mungkin seorang raja mempunyai wajah yang sama dengan rakyat biasa, apatah lagi dengan muka seorang yang miskin dan hodoh seperti Si Luncai. Dia rasa amat terhina. Tanpa berfikir panjang, raja terus menjatuhkan hukuman mati kepada Si Luncai tanpa sebarang usul periksa. Raja mengarahkan supaya Si Luncai ditenggelamkan di tengah laut. Si Luncai dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dibawa ke dalam sebuah perahu.
Pesuruh-pesuruh raja membawa dua buah sampan untuk ke tengah laut. Mereka bersungguh-sungguh mendayung sampan untuk mencampak Si Luncai di tengah-tengah laut sementara Si Luncai berada di dalam guni di belakang perahu. Si Luncai runsing mencari cara untuk menyelamatkan nyawanya. Dari dalam guni itu, dia dapat melihat ada beberapa biji labu air. Lalu, Si Luncai mendapat buah fikiran untuk melepaskan diri. Setelah lama para pesuruh raja berkayuh, maka Si Luncai berkata: “Kasihan benar aku melihat kalian semua teruk mendayung. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan sebuah lagu untuk menghilangkan penatmu?”. “Kau diamlah! Sebentar lagi kau akan dicampakkan ke dalam laut ini.” , jawab salah seorang pesuruh raja. Tanpa mengendahkan jawapan pesuruh raja itu, maka Si Luncai pun mula lah menyanyi.
♫♫ “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!” ♫♫ Mendengar Si Luncai menyanyi berulang-ulang, pesuruh raja semakin tertarik dengan melodi lagu yang dinyanyikan lalu mereka mula menyanyi bersama. ♫♫ “Si Luncai terjun dengan labu-labunya.” ♫♫ ♫♫ “Biarkan! Biarkan!” ♫♫ Bersahut-sahutan antara dua buah perahu itu menyanyi lagu ciptaan Si Luncai sambil mereka mendayung sampan. Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang sehingga semuanya leka. Perlahan-lahan Si Luncai keluar dari guninya dan dia isikan beberapa biji labu air ke dalam guni itu semula. Tanpa melengahkan masa, dia terus mengambil dua biji labu air yang lain lalu terjun dari perahu itu ke dalam laut untuk melarikan diri. Perbuatan Si Luncai terjun dengan labu air itu dilihat oleh pendayung-pendayung di sampan belakang lalu mereka berteriak kepada kumpulan sampan di depan: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
Namun, jeritan mereka disambut oleh pendayung sampan di hadapan. “Biarkan! Biarkan!” Mereka beranggapan teriakan itu adalah sebahagian dari lirik lagu yang mereka sedang nyanyi bersama. Kumpulan sampan di belakang juga menganggap untuk membiarkan Si Luncai melepaskan diri setelah mendapat jawapan dari mereka. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan labu air yang dua biji itu sebagai pelampung. Apabila sampai ke tengah laut, kumpulan pendayung di hadapan baru menyedari bahawa Si Luncai telah berjaya melepaskan diri. Maka kembali ke darat dan mencari Si Luncai.
Nujum Pak Belalang
Di sebuah desa di negeri Terang Bulan, ada seorang duda bernama Pak Belalang. Pak Belalang bukan sahaja miskin, malah seorang yang pemalas. Pak Belalang ada seorang anak bernama Belalang. Belalanglah yang diharapkan untuk mencari nafkah. Walaupun masih kecil, namun Belalang rajin bekerja. Sepanjang hari Pak Belalang menghabiskan masanya dengan tidur sahaja. Soal makan dan minumnya, terserah kepada Belalang. Belalang mencari nafkah dengan bekerja membantu orang kampung. Pada suatu hari, Belalang terserempak dengan dua orang pencuri. Mereka sedang melarikan kerbau kepunyaan orang kampung. Belalang mengekori pencuri itu ke tempat persembunyian mereka. Kemudian, dia pulang dan memberitahu bapanya. Tetapi Pak Belalang menyuruh Belalang untuk tidak ikut campur. Belalang menjawab "Saya tahu di mana kerbau itu disembunyikan. Bagaimana kalau bapak menyamar jadi ahli nujum. Boleh saya beritahu orang kampung, bapak pandai menilik. Sebaik saja kerbau itu ditemui, tentu kita akan dapat upah yang lumayan!" "Ya tak ya juga, " kata Pak Belalang.
Keesokan harinya, orang kampung heboh dengan kehilangan kerbau mereka. Mereka mengadu kepada penghulu. Kebetulan ketika itu Belalang ada di situ. "Bapak saya pandai menilik. Tentu dia boleh tolong carikan kerbau itu, " kata Belalang. "Betulkah?" tanya penghulu. "Kalau begitu mari kita jumpa dia." Mereka beramai-ramai menuju ke rumah Pak Belalang. Pak Belalang berpura-pura menyamar sebagai ahli nujum dan berkata bahwa kerbau itu ada di hulu kampung dimana ada sebatang pokok merbau. Orang kampung beramai-ramai pergi ke tempat itu dan memang benar kerbau itu ada disana. Mereke memberinya pelbagai hadiah sebagai rasa terima kasih. Nama Pak Belalang menjadi mashyur dan banyak orang mencarinya. Hidupnya pun berubah menjadi senang dan dia tidak perlu bekerja lagi. Pada suatu hari, sebuah kapal berlabuh di pelabuhan negeri Terang Bulan. Nakhodanya lantas menghadap sultan "Tuanku, " kata nakhoda itu. "Patik dari negeri Antan Kesuma. Kami ingin beradu kepandaian dengan nujum di sini. Kalau tuanku menang, kapal kami menjadi milik tuanku. Tapi kalau tuanku kalah, negeri tuanku menjadi jajahan takluk kami!"
Sultan negeri Terang Bulan segera memanggil para pembesarnya dan bermesyuarat untuk mencari kata sepakat. Seorang pembesar memberikan saran untuk meminta Pak Belalang untuk mewakili negri Terang Bulan. Sultan pun setuju dan menitahkan Pak Belalang menghadap. Tidak lama kemudian, Pak Belalang masuk menghadap. Dia terketar-ketar ketakutan. Dia khuatir kalau rahsianya terbongkar. Selama ini dia cuma berpura-pura menjadi nujum. "Hai Pak Belalang!" titah sultan."Benarkah kamu seorang nujum yang handal?" "Benar, tuanku!" jawab Pak Belalang dengan ketakutan. "Bagus!" titah sultan. Baginda berasa sukacita kerana nujum dari negeri Terang Bulan beradu kepandaian dengan nujum dari negeri Antan Kesuma. Sultan Terang Bulan turut datang. Baginda berharap Pak Belalang dapat menewaskan nujum dari negeri Antan Kesuma."Soalan pertama!" kata nujum dari negeri Antan Kesuma."Apa binatang, ketika pagi berkaki empat, ketika tengah hari berkaki dua dan ketika petang berkaki tiga?" "Manusia!" jawab Pak Belalang dengan selamba. "Sebab ketika kecil dia merangkak, ketika dewasa, berjalan dan ketika tua, bertongkat!" Rakyat negeri Terang Bulan bersorak riang. Jawapan Pak Belalang memang tepat.
"Yang kedua!" kata nujum negeri Antan Kesuma. "Bagaimana hendak menentukan yang mana hujung dan yang mana pangkal kayu ini?" Dia menunjukkan sebatang kayu yang lurus dan sama besar. Pak Belalang mengambil sebesen air. Dia pun memasukkan kayu itu ke dalam air. "Ini hujung dan ini pangkalnya, " kata Pak Belalang. "Pangkal kayu ini tenggelam dahulu kerana ia lebih berat!"Jawapan Pak Belalang memang tepat.Sebenarnya, Pak Belalang sudah tahu akan semua jawapan soalan itu, sebab anaknya, Belalang, telah mendengar perbualan nujum negeri Antan Kesuma tempoh hari. Akhirnya, nujum negeri Antan Kesuma mengaku kalah. Kapal mereka terpaksa diserahkan kepada sultan negeri Terang Bulan. Mereka terpaksa pulang ke negeri Antan Kesuma dengan hanya sehelai sepinggang. Sultan negeri Terang Bulan sangat berbesar hati dengan Pak Belalang. Baginda melantik Pak Belalang menjadi Nujum Diraja. Pak Belalang kemudian dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Laila Sari. Akhirnya, Pak Belalang dan anaknya, Belalang hidup aman damai di istana sultan.
Malang Pak Kaduk
Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu. Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ.
Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu. Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa ayam kita itu. Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya. Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah awak malu besar? Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekaslekas aku hendak pergi. Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi. Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat.
Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu. Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita?
Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati. Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya. Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubunubun patik. Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu. Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu.
Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat. Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial. Maka titah baginda, baiklah. Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial.
Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah Tuanku. Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh tajinya sendiri. Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu.
Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampangcamping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja. Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama. Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu. Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkejar lari dengan bersungguh-sungguh hati, langsung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai.