ARAHAN
1. Baca cerpen ‘Misteri Bas Hitam di Kampung Pandan’ secara mentalis.
2. Kemudian, balik kepada laman utama dan tekan pada butang ‘Latihan
Membaca’
3. Klik pada audio yang disertakan dan pilih jenis ayat perintah yang betul.
CERPEN “MISTERI BAS HITAM DI KAMPUNG PANDAN”
Oleh: Praymeepreet Kaur
“Bu, ayah belum balik?”, soal Irham yang berumur 11 tahun sambil memandang
ibunya. Irham perasan, ada kedutan di dahi ibunya. Puan Khadijah mengusap rambut
Irham. Itu sahaja anak yang dimilikinya selepas dua kali mengalami keguguran.
“Ayah telefon tadi, katanya ada hal yang perlu diselesaikan. Mungkin kejap lagi, ayah
balik. Kenapa Irham?”
“Sebenarnya, Irham ingin balik kampung”, jawabnya secara perlahan.
“Mengapa Irham ingin balik ke kampung? Janganlah balik Irham, kesian ibu
keseorangan nanti”, Puan Khadijah berkata.
“Irham harus buat kajian khusus tentang sejarah kampung. Harap ibu memberi izin
untuk Irham balik ke kampung. Lagipun, Irham bukan keseorangan. Kawan baik
Irham iaitu Hao Li dan Raj pun akan pergi bersama”, kata Irham kepada ibunya.
“Baiklah, ibu izinkan dengan syarat Irham jaga diri baik-baik”, jawab Ibu sambil
memeluk anaknya.
“Baik, terima kasih ibu”, ucap Irham sebelum mengucup dahi ibunya.
Pada keesokan harinya, Irham, Hao Li dan Raj bertolak dari rumah masing-masing ke
stesen bas berdekatan. Tibanya di stesen bas, mereka bersama-sama menaiki bas
yang dijadualkan. Dua jam kemudian, mereka telah sampai di kampung Irham yang
tercinta iaitu Kampung Pandan lalu disambut oleh atuknya.
“Jemputlah masuk, Hao Li, Raj. Anggap sahaja seperti rumah sendiri,” kata atuk
Irham kepada mereka.
Pada malam itu, ketiga-tiga sahabat telah tidur awal manakala atuk masih menghirup
kopi panas yang dibancuhnya sebentar tadi. Sejak pemergian arwah isteri tersayang,
atuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersendirian.
Pagi itu indah. Sang suria sedang memancarkan cahayanya tetapi alam masih sunyi
tanpa iramanya. Mak Debah baru selesai menyusun kerusi di warungnya. Tiba-tiba,
Mak Debah terdengar bunyi yang memanggilnya. “Debah…ooo Debah!” laung Pak
Samad yang merupakan penduduk Kampung Pandan. Cemas bunyinya. Pak Samad
kelihatan kalut sambil menongkat basikalnya. “Ha, apa halnya Pak Samad? Usah
gelabah sangat Pak Samad. Macam dikejar hantu je. Baru balik dari surau ke?” tanya
Mak Debah.
“Aku kena kejar ‘benda’ itu!”, jawab Pak Samad separa berbisik. “Benda itu?” soal
Mak Debah dengan wajah terkejut.
“Baru kejap! Aku baru nak pergi surau. Tiba-tiba aku nampak sebuah bas. Lampu
bernyala, tapi tiada orang dalam bas itu. Tambahan pula, bas itu berwarna hitam.
Tiada nombor pendaftaran pula tu. Sama seperti bas yang terjunam dalam gaung
dulu tu”. Mak Debah mengangguk. Entah kenapa, tiba-tiba dia berasa seram sejuk.
“Baiklah, aku nak balik ni! Rasa-rasanya benda itu tiada lagi”, ujar Pak Samad sambil
bangun dari tempat duduknya.
Keesokan paginya, gempar berita tentang kehilangan salah seekor lembu Pak
Samad. Berita tentang kehilangan lembu Pak Samad itu pantas menjadi buah mulut
orang kampung, ditambah pula riuhnya apabila penduduk mendapat tahu tentang
benda misteri yang dilihat oleh Pak Samad daripada mulut Mak Debah. Mereka
semakin takut. Beberapa hari selepas kehilangan lembu Pak Samad, penduduk
kampung sekali lagi digembarkan dengan kehilangan beberapa ekor haiwan
peliharaannya. Ayam, itik, kambing adalah antara haiwan yang menjadi sasaran.
Oleh sebab banyak kejadian yang telah berlaku, semua penduduk kampung
bersepakat untuk berkumpul di rumah Tok Mat yang merupakan ketua kampung.
“Minta bersabar semua, hal ini boleh diselesaikan dengan cara yang baik,” laung Tok
Mat yang muncul dengan berkain pelikat dan berbaju-T.
“Mana boleh sabar begini Tok! Anak saya dah berapa hari tak nak mengaji di surau.
Semuanya kerana bas berhantu itu”, laung satu suara dalam kalangan penduduk.
“Macam ini lah Tok! Baik kita suruh Haris halau benda itu”, ujar Pak Idris.
“Pak Idris, mana boleh kita selesaikan semua ini dengan kebolehan Haris? Haris itu
cuma pandai mengubat orang, bukannya menghalau penunggu atau hantu. Jangan
percaya terhadap semua itu,” Tok Mat bersuara. “Kalau bukan penunggu, kenapa bas
hitam itu muncul sekian lama menghilang? Haiwan-haiwan pun mula menghilang!”
sanggah Pak Idris. “Mana ada penunggu? Sepanjang aku hidup, tidak pernah pun
dengar hantu curi ayam, curi itik, curi kambing?” jawab Tok Mat.
“Argh, Tok ingin percaya atau tidak, terpulanglah! Yang penting esok kami ingin
jumpa Haris!” ujar Pak Idris dengan sokongan penduduk lain lalu meninggalkan Tok
Mat berseorangan.
Sudah tiga hari, Irham berada di Kampung Pandan. Banyak maklumat yang
diperolehnya daripada Tok Mat dan penduduk. Atuk juga membantu Irham dan
kawan-kawannya mendapatkan maklumat. Pada sebelah petang pula, Irham dan
kawan-kawannya singgah di warung Mak Debah. Ada beberapa orang kampung
sedang minum dan melepak di situ. “Irham, kamu rasa kan , betul ke apa yang kita
dengar tadi?” Hao Li bertanya. Ketika itu, mereka sedang berjalan beriringan untuk
pulang selepas selesai minum di warung Mak Debah. “Ya Irham! Saya pun tidak
sangka masih ada orang yang mempercayai benda sebegitu. Kan dunia sudah
moden..” tokok Raj.
“Entahlah Raj, Hao Li. Tetapi saya tetap merasakan bahawa semua itu kerja manusia.
Mana ada hantu ingin curi kambing, ayam dan itik. Setiap malam pula tu. Yang saya
tahu, hantu makan pulut kuning dan ayam bakar, bukan ayam mentah dan lembu
mentah”, ujar Irham.
“Kamu ni Irham, kami tanya elok-elok, kamu main-main pula. Nanti kalau kamu yang
terserempak, baru tahu,” Hao Li cuba menakutkan Irham. Irham hanya tersengih. “Eh,
tengok sana! Bukit itu bentuk macam bongkahlah. Apa nama bukit itu IIrham?” soal
Hao Li sambil menunjukkan sebuah bukit yang berada di sebelah kiri mereka. “Itulah
Bukit Bongkah! Masa kita datang, kamu tidak nampak ke bukit itu?” Irham bertanya.
“Oh, saya tertidur masa tu,” kata Raj sambil tersengih macam kerang busuk.
“Saya pun tertidur. Eh, jomlah kita pergi ke sana, Irham,” cadang Hao Li.
Ketiga-tiga sahabat itu melangkah menuju ke Bukit Bongkah. Selepas beberapa minit
berada di sana, mereka pun pulang. Suasana mula beransur gelap. Tiada langsung
bunyi cengkerik pada ketika itu. Sunyi sepi. Sesekali Hao Li menyanyikan lagu
Mandarin kegemarannya. Irham hanya mendengar manakala Raj berjalan di
belakang mereka. Raj mula berasa takut. Cerita yang didengarnya di warung Mak
Debah tadi mula bermain di kepalanya. Sesekali dia berlari anak mengejar kedua
sahabatnya yang berjalan lebih laju daripadanya.
Mereka tiba di persimpangan jalan. Tiba-tiba, sebuah bas berwarna hitam meluru laju
di sebelah kiri jalan.
Zaaaaaasssssss!!!!
Raj terkejut. Dia terduduk dan menjerit dengan kuat.
“Tolong saya kawan-kawan. Entah bagaimana saya boleh terjatuh,” kata Raj kepada
Irham dan Hao Li. Kedua-dua sahabat itu berlari mendapatkan Raj. Mata mereka
memandang ke arah jalan. Tiada apa-apa. Yang ada hanya deruman bas yang kian
menghilang. Irham dan Hao Li mengangkat dan memapah Raj untuk pulang ke
rumah.
“Kan aku dah cakap, gaung itu ada penunggu,” Pak Idris bersuara keras. “Tetapi
budak ini terkena di simpang itu, bukannya di gaung sepertimana yang didakwa oleh
Pak Samad itu,” Tok Mat membangkang.
“Tok Mat, benda ini kalau dia ingin tunjuk diri, di mana-mana pun boleh,” kata Pak
Idris.
“Suka hati kaulah, Idris!”
“Raj, kamu jangan risau! Esok, Pak Idris akan pastikan penunggu itu lenyap dari
kampung ini!” janji Pak Idris.
Malam hampir menjelang. Penduduk Kampung Pandan berkumpul di hadapan gaung
yang dikatakan mempunyai penunggu. Muncul juga Haris, lelaki yang dianggap
penghalau hantu di kampung itu. Pak Idris yang berpakaian serba hitam itu
melangkah dengan wajah yang tegang. Haris ingin melakukan ritual menghalau
penghuni di gaung itu. Amalan syirik itu telah mendapat bantahan keras oleh
penduduk kampung yang masih berpegang teguh pada ajaran Islam. Namun, masih
terdapat juga penduduk kampung yang masih taksub dengan melakukan perkara ini.
Hasilnya, ritual malam tersebut tetap juga diteruskan.
“Irham, atuk mahu ke rumah Tok Mat sekejap. Raj, jaga diri ye. Usah risau, atuk akan
selesaikan semuanya,” ujar atuk sebelum melangkah keluar dengan lampu suluh.
“Raj..” Irham mahu bersuara.
Raj menyuruh Irham diam.
“Irham, Hao Li, saya akan ceritakan apa yang berlaku pada malam itu. Terpulanglah
sama ada mahu percaya atau tidak.” Lalu Raj pun menjelaskan tentang peristiwa
malam itu. Irham dan Hao Li terkejut. Mereka seakan-akan tidak percaya. Malam
semakin kelam. Raj terbaring di tempat tidurnya manakala Irham dan Hao Li
bercadang untuk menyiasat perkara tersebut.
“Irham, dari mana kita ingin mulakan?” tanya Hao Li. “Beginilah, kita ke rumah Pak
Kadir. Saya rasa rumah dia sahaja yang masih belum kehilangan haiwan ternakan”.
Mereka terus melangkah ke rumah Pak Kadir. Kedua-dua sahabat itu bersembunyi di
bawah pokok cempedak.
“Ambil kayu itu sebagai pelindung, Hao Li,” kata Irham kepadanya.
“Baik, Irham,” balas Hao Li.
Bekkkk….
Kedengaran bunyi kambing mengembek. Dua ekor kambing telah ditangkap oleh
lembaga hitam dan dimasukkan dalam bas berwarna hitam. Kedua-dua sahabat itu
memerhatikan tindakan lembaga-lembaga itu.
“Arghhhhh!” jerit Hao Li dari belakang. “Eh, kamu okay tak, Hao Li?” tanya Irham.
“Tolong saya Irham. Kaki saya sakit. Saya tidak dapat bergerak!” rayu Hao Li.
Tiba-tiba, seutas tali dilemparkan ke dalam lubang. Hao Li cepat-cepat menarik tali tiu.
Satu susuk lembaga yang tidak dikenali menarik Hao Li keluar. Irham tergamam. Dia
tidak mengenali lembaga itu. Namun apa dia boleh buat, Hao Li dalam bahaya, dan
dia juga terperangkap. Irham berfikir sama ada dia mahu melarikan diri atau
menyelamatkan Hao Li. Jika dia lari, apa pandangan Hao Li? Mereka sudah lama
bersahabat.
Lalu, Irham mencapai ranting kayu sebesar lengan bayi dan mahu memukul lembaga
berkenaan, namun lembaga itu sempat mengelak dan menolak Irham. Hao Li berjaya
ditarik keluar dari lubang itu. Lelaki itu mengangkat tubuh Hao Li. Dia juga menarik
Irham lalu membawa kedua-dua sahabat itu ke sebuah rumah.
“Baiklah, sekarang kaki kamu dah baik. Kamu berehatlah dulu, esok, kamu berdua
boleh pulang. Harap kaki kamu akan pulih sepenuhnya esok,” ujar lelaki itu kepada
Hao Li dan Irham.
“Siapa dia tu? Kamu rasa dia orang jahat ke, Irham?” tanya Hao Li.
“Entahlah, itu yang saya tengah fikir sekarang. Kenapa dia menolong kita? Ish,
peninglah. Jom tidur dulu,” kata Irham.
Pada sebelah pagi, Irham dan Hao Li kembali ke rumah dan menceritakan segalanya
kepada Raj yang baru sahaja kembali pulih. Mereka tetap bercadang untuk
bekerjasama menyelesaikan misteri bas hitam dan lembaga berkenaan.
Penduduk kampung Pandan sudah lena diulit mimpi. Ketiga-tiga sahabat kembali ke
rumah Pak Kadir.
Bekkkkk…
Kedengaran bunyi kambing itu sekali lagi.
“Hoi pencuri!!!!” sergah satu suara.
Kedua-dua lembaga itu terperanjat. Mereka pantas berlari menuju ke arah bas.
Tiba-tiba muncul seorang lelaki. Dia tercegat di hadapan kedua-dua lembaga itu.
Satu lembaga itu berpusing dan terus melarikan diri. Satu lagi lembaga itu meluru ke
arah lelaki yang menghalang mereka tadi. Penumbuknya diacukan tepat ke muka
lelaki itu. Lelaki tersebut menunduk dan menendang betis lembaga itu. Lembaga itu
jatuh tersembam ke tanah. Manakala, ketiga-tiga sahabat itu mengejar lembaga yang
terlepas tadi. Wajahnya acap kali memandang ke belakang kerana takut ditangkap
lalu terjatuh.
“Kau mahu lari ya? Kali ini jangan haraplah!” kata Irham. Hiyarkk!! Hiyarkk!!! Hiyarkk!!
“Handallah kau Irham!” kata Raj kepada Irham. “Biasalah! Kan jaguh silat ni!” sokong
Hao Li. Muncul seorang lelaki di sebalik bas hitam dengan memegang lembaga yang
terikat. “Abang, bagaimana abang boleh berada di sini?” Irham terkejut. “Nantilah!
Panjang ceritanya. Jom kita bawa dia ke balai polis dahulu!” arah lelaki itu.
Setelah selesai mereka berhadapan dengan kes tersebut, mereka balik ke rumah Tok
Mat dan rupa-rupanya, lelaki itu ialah abang Ismail, anak saudara arwah isteri Tok
Mat yang bertugas sebagai anggota polis di bandar. “Abang dah lama memerhatikan
mereka. Sebenarnya, mereka itu penagih dadah. Mereka mencuri untuk membeli
dadah dan bertemu dengan Pak Idris kerana dia selalu ke bandar. Kerana terdesak,
mereka menawarkan kepada Pak Idris untuk melakukan jenayah itu, Tambahan pula,
Pak Idris sudah lama mengidamkan jawatan ketua Kampung Pandan. Jadi, dengan
aktiviti ini, dia mahu merosakkan kepercayaan orang kampung terhadap Tok Mat,”
jelas Abang Ismail.
“Jadi, abang sudah tahu tentang perkara ini?” tanya Irham. “Ya, itu hanya helah. Pak
Idris sengaja berpakat dengan Haris. “Yang penting sekarang, kita harap mereka
berubah dan kembali ke pangkal jalan,” kata Abang Ismail. Semua pun menggangguk
dengan wajah yang tenang.
Seminggu telah berlalu. Irham, Hao Li dan Raj telah kembali ke sekolah. Kerja kursus
mereka pun sudah dihantar. Semasa waktu rehat, mereka masih teringat terhadap
kejadian di kampung. Bagi mereka, itulah kenangan dalam hidup mereka. Walaupun
mereka berlainan kaum, berlainan budaya, berlainan pandangan, tetapi tiada
apa-apa menghalang mereka daripada bekerjasama dan bersatu padu dalam
kehidupan harian mereka. Mereka saling menolong antara satu sama lain dan
sentiasa bersatu dalam apa jua keadaan. Kini, mereka tidak sabar lagi untuk
menunggu cuti yang akan datang. Entah apa yang akan menanti mereka.