Pesta Kaamatan
Perayaan khas untuk menghormati “Bambarayon” iaitu semangat padi.
Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu.
Perayaan Tadau Kaamatan adalah amalan secara tradisi kaum Kadazan Dusun sejak
zaman berzaman yang biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan
merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambarayon” iaitu semangat
padi.
Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu
Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan
Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Allahyaraham Fuad Stephens,
bekas Ketua Menteri Sabah yang pertama ialah individu yang bertanggungjawab untuk
mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum.
Asal Usul Tadau Kaamatan
Menurut cerita lisan, Kinorohingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai
seorang anak perempuan yang bernama Huminodun.
Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazan Dusun daripada kebuluran kerana tidak
mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan
anak kesayangan mereka Huminodun.
Huminodun dikorbankan dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya.
Kononnya, mayat Huminodun telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang
menjadi makanan utama kepada masyarakat Kadazan Dusun sekarang.
Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun
itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai
semangat yang diberi nama “Bambarayon”.
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta
Kaamatan (Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan hari ini.
Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik
dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi iaitu padi-padi yang telah
selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam Ketawai (Tangkob) iaitu bekas
tempat menyimpan padi.
Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan
dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazan Dusun kepada Penciptanya
(Kinorohingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya, Huminodun untuk
menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.
Permulaan Sambutan Pesta Kaamatan
Pada 30 Jun 1960, buat pertama kalinya Pesta Menuai diadakan secara rasmi. Majlis
sambutan diadakan di Sekolah St Michael Penampang. Antara acara yang diadakan
semasa sambutan perayaan Pesta Menuai itu termasuklah sembahyang kesyukuran di
Gereja St Michael, Penampang pada sebelah paginya, diikuti perarakan berjalan kaki,
mengelilingi kampung dengan diiringi sekumpulan belia dan beliawanis berpakaian
tradisi kebudayaan Kadazan.
Selepas itu, barulah acara sambutan dimulakan. Antara acara yang dijalankan semasa
sambutan itu termasuklah pertandingan memukul gong yang disertai 12 buah kampung.
Beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan sebagai tanda sambutan perayaan.
Pertandingan nyanyian turut diadakan, sementara jamuan makan tengah hari disediakan
untuk tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan dan isterinya, pegawai-pegawai
kerajaan dari Api-Api atau Jesselton serta orang kenamaan kerajaan koloni dan
masyarakat dari kaum Cina.
Di sebelah petangnya, diadakan persembahan tarian kebudayaan,pertandingan ratu
cantik, pertandingan pakaian beragam bagi orang tua dan pertandingan bina badan
untuk belia Kadazan. Perlawanan bola sepak dan tayangan wayang gambar percuma juga
turut diadakan di padang sekolah. Cabutan tiket loteri untuk membantu pembinaan
sekolah mission di Penampang juga diadakan.
Sambutan yang sama juga diadakan di tempat lain di Sabah sebagai tanda kegembiraan
mereka kerana diberikan cuti umum untuk menyambut perayaan tradisional mereka.
Orang Dusun dari Menggatal, Inanam, Telipok, Tamparuli,Ranau serta Kadazan di Papar
turut menyertai perayaan itu. Sambutan perayaan Pesta Menuai ini juga turut diadakan
di tempat lain seperti di Papar, Menggatal, Sandakan, Labuan dan Menggatal.
Di Menggatal, perayaan diadakan pada 1 Julai 1960 di Pekan Menggatal. Di Sandakan,
sambutan perayaan diadakan di Rumah Persatuan Kadazan Sandakan dengan
mengorbankan seekor kerbau dan menyediakan sebanyak 30 buah tajau berisi tapai
sebagai hidangan. Perayaan yang sama turut diadakan di Labuan dan Keningau.
Di Keningau perayaan diadakan selama dua hari. Perayaan pesta Menuai atau dalam
dialek Kadazan disebut sebagai Kinasaakazan Do Bambaazon yang julung-julung kali
diadakan secara rasmi dan secara besar-besaran itu disambut oleh masyarakat Kadazan
dan Dusun serta Sino-Kadazan dengan penuh gilang gemilang.
Perayaan di Penampang berlangsung dengan jayanya atas usaha gigih ahli jawatankuasa
penganjur yang terdiri daripada Mansuet Yapp selaku Pengerusi , Liduin Mobijon sebagai
Setiausaha dan Leopold Chuan sebagai bendahari. Ahli lain terdiri daripada Francis
Wong, Alex Ng dan Ah Fook, Marcus Otigil, Manson, Sikopit Siganol dan belia kadazan lain
di Penampang. Majlis itu bukan sahaja dihadiri orang Kadazan, tetapi oleh kaum Cina dan
Melayu.Hal ini menunjukkan sejak dahulu lagi pesta menuai telah memainkan peranan
sebagai pemangkin perpaduan intraetnik dan interetnik di Sabah. Bagaimanapun, tarikh
sambutan Pesta Menuai kemudian diubah kepada 30 dan 31 Mei setiap tahun mulai tahun
1985 ketika Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri Sabah.