The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by MOHAMMAD SAFUAN, 2021-06-19 02:33:02

BSS 3073 KUMPULAN

BSS 3073 KUMPULAN

SEMESTER 2 SESI 2020/2021
BSS 3073

KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PEMBINAAN MODAL INSAN
TUGASAN KUMPULAN

TAJUK:
KONSEP ROLE MODEL DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

DISEDIAKAN OLEH:

NAMA NO. MATRIK KOS
1. NUR ALIES HAIQAL D20181082363 AT01- ISMP KESUSASTERAAN
D20181082364
BINTI MOHD RAMLI D20181082365 MELAYU
AT01- ISMP KESUSASTERAAN
2. MOHAMMAD SAFUAN D20181082366
MELAYU
3. YAPKINDDY BIN YAPIT AT01- ISMP KESUSASTERAAN

4. NUR AIN ZAINATON MELAYU
BINTI ZAIDIN AT01- ISMP KESUSASTERAAN

MELAYU

NAMA PENSYARAH : DR. ROHAYATI BINTI JUNAIDI

KUMPULAN :B

TARIKH SERAH : 6 MEI 2021

1.0 PENDAHULUAN

Menurut Wawan (2011) Tingkah laku adalah tindakan yang dapat diperhatikan dan
mempunyai frekuensi, jangka masa dan tujuan tertentu, sama ada secara sedar atau tidak,
tingkah laku adalah kumpulan pelbagai faktor yang berinteraksi. Penguasaan tingkah laku
terhadap persekitaran akan menjadi kuat apabila individu mempunyai pengetahuan dalam
bidang persekitaran dan menunjukkannya kepada orang lain, sehingga memudahkan orang
bertindak sesuai dengan tujuan yang ingin mereka tetapkan (Robert-son, 2016). Kesedaran
alam sekitar sebenarnya adalah ajaran semua agama. Dalam ajaran Islam, Allah berfirman
dalam QS Al A'raf (56) yang bermaksud tidak menyebabkan kerosakan pada bumi setelah
keadaannya baik. Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dan makhluk lain di alam semesta
tidak dapat berdiri sendiri dan saling memerlukan dan saling melengkapi. Manusia sebagai
satu-satunya makhluk yang cerdas dan sebagai pemimpin di bumi mempunyai kewajipan
untuk menjaga dan menjaga keseimbangan alam.

Pemupukan tingkah laku penjagaan dan tanggungjawab persekitaran dapat digunakan
dalam aktiviti pembelajaran. Reka bentuk dalam aktiviti pembelajaran boleh dalam bentuk
role model. Di mana panutan adalah seseorang yang tingkah lakunya kita contohi, tiru, ikuti,
Cohen (2008). Model peranan boleh menjadi siapa sahaja sebagai contoh, ibu bapa, saudara-
mara atau rakan-rakan, tetapi beberapa role model yang mempunyai pengaruh yang kuat dan
boleh mengubah kehidupan pendidik (Bashir 2014). Model peranan dapat berfungsi dalam
kapasiti pendukung sebagai mentor semasa dan selepas pembentukan tingkah laku. Sistem
sokongan ini sangat penting semasa fasa pembentukan, kerana memberikan maklumat,
nasihat, dan panduan.

Pembentukan nilai – nilai murni melalui teks sastera berdasarkan peranannya sebagai
agen masyarakat. Nilai murni dapat diterapkan berdasarkan pembelajaran teks Kesusasteraan
Melayu. Pembelajaran pelbagai jenis genre seperti puisi iaitu pantun, syair, teromba,
gurindam, cerpen, novel dan drama kesemuanya menjuruskan ke arah membentuk masyarakat
yang bersopan santun dan berbudi pekerti. Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa
nilai-nilai sastera dalam kehidupan manusia berjaya membentuk sahsiah, mengasuh
kefahaman minda, menghalusi nilai estetika dan menjadi pengantar penting dalam proses
seseorang menguasai dan memperoleh nilai- nilai hidup yang akan diaplikasikan dalam
kehidupannya. Manakala Othman Puteh (1998) pula berpendapat karya sastera tidak sahaja
mempunyai muatan keseronokan untuk tuntutan emosi tetapi juga berguna bagi melahirkan
kebaikan moral dan intelektual. Karya sastera yang beracuan falsafah pendidikan sastera dan

pemikiran manusia diharapkan dapat membina tamadun bangsa seterusnya melahirkan
generasi unggul. Selain itu, karya sastera juga boleh memainkan peranan penting dalam
pembentukan emosi remaja supaya mereka sedar akan perasaan sesama sendiri juga mampu
memikirkan perasaan orang lain. Apabila sikap ini wujud, remaja akan membentuk dirinya
untuk menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok dan bersikap toleransi. Bahan
sastera juga dapat membentuk nilai estetik dalam diri remaja supaya dapat mendidik remaja
berperibadi seimbang dan sentiasa berfikiran positif, kreatif dan kritis. Hal ini akan memupuk
perkembangan daya cipta dan imaginasi remaja dalam proses pembelajaran secara berterusan.

2.0 SKOP KAJIAN

Skop kajian menjerumus kepada tajuk kajian iaitu Konsep Role Model Dalam Kesusasteraan
Melayu. Skop kajian yang tertumpu kepada dua karya iaitu Sulalatus Salatin dan Ceritakan
Kisah Sang Kancil kerana pengkaji berpendapat bahawa karya-karya ini mempunyai watak
unggul yang boleh dijadikan ‘role model’ kepada khalayak pembaca. Kajian internet dan
karya yang sudah dimiliki menjadi rujukan untuk mencari maklumat tambahan iaitu buku-
buku, surat khabar, jurnal dan sebagainya. Selain itu, watak yang menunjukkan keunggulan di
dalam karya juga difokuskan. Skop kajian juga tertumpu kepada sejauh mana watak-watak
yang dipilih mampu menjadi role model kepada khalayak pembaca.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenalpasti aspek role model yang terdapat dalam Kesusasteraan Melayu.

2. Menganalisis watak role model yang terdapat dalam Kesusasteraan Melayu.

4.0 DAPATAN KAJIAN
4.1 WATAK SANG KANCIL

Penulisan sastera kreatif kanak-kanak tidak Iari daripada cerita-cerita tentang haiwan,
jenaka, dan sebagainya. Cerita-cerita haiwan seperti Kancil dengan Buaya, Monyet yang
Tamak, Ular dengan Singa, Raja Rimba, Kerbau dengan Buaya, Si Biring, Monyet yang
Bodoh dan sebagainya menjadi cerita kegemaran kanak-kanak di samping berfungsi
sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran guru-guru di dalam bilik darjah. Cerita-cerita
ini juga menjadi bualan masyarakat daripada satu generasi kepada generasi yang
seterusnya. Cerita-cerita haiwan ini telah wujud sejak zaman tradisional lagi dan
diperturunkan secara lisan. Cerita-cerita ini menjadi terkenal kerana mengandungi pelbagai
nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada kanak-kanak.

Cerita-cerita haiwan merupakan cerita yang dapat menarik perhatian, sentiasa segar,
dan tidak jemu didengar walaupun diceritakan berulang-ulang kali. Terdapat ibu bapa yang
menjadikan cerita haiwan ini sebagai salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak secara
tidak langsung sebelum menidurkan mereka. Apabila anak-anak leka mendengar cerita
haiwan dan tertidur, mereka sering kali menjadi watak-watak tertentu dalam mimpi
seterusnya memberikan kesan yang mendalam dalam diri mereka. Hal ini berlaku
sekiranya mereka sering melihat cerita-cerita tersebut menerusi televisyen atau membaca
buku-buku cerita. Persoalan yang timbul dalam kepala anak-anak sebelum tidur dan
selepas mereka bangun daripada tidur akan membangkitkan perasaan ingin tahu yang
mendalam. Hal ini menyebabkan anak-anak bertanya kepada ibu bapa masing-masing atau
guru yang mengajar di sekolah. Keadaan ini dapat melatih mereka untuk berfikir dan
membuat perkaitan cerita dengan perkara yang berlaku pada setiap hari.

Cerita-cerita haiwan juga berkait rapat dengan cerita jenaka yang sentiasa disebut-
sebut oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa di sekolah.
Bukan itu sahaja, ibu bapa turut memainkan peranan dengan menjadikan cerita-cerita
tersebut sebagai daya tarikan kepada anak-anak supaya anak-anak tidak ketinggalan
daripada menguasai folklore masyarakat menerusi cerita-cerita tersebut. Cerita jenaka
merupakan sejenis cerita rakyat yang disampaikan secara lisan. Cerita ini dikategorikan
dalam sastera rakyat yang mengandungi unsur-unsur humor. Cerita-cerita yang
mengandungi aspek lelucon ini bertujuan memberikan hiburan secara langsung dan
mendidik anak-anak untuk menilai kebaikan yang terkandung dalam cerita secara tidak
langsung. Cerita jenaka banyak memperlihatkan aksi lucu dan mengandungi unsur-unsur

humor yang mendidik. Unsur-unsur lucu yang dibawa menerusi watak-watak manusia atau
binatang bertujuan memberikan perasaan gembira kepada kanak-kanak. Pelbagai aksi
boleh menimbulkan kelucuan sekali gus mendidik kanak-kanak dalam pelbagai aspek
kehidupan.

Cerita Sang Kancil telah lama dikenali oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana Sang
kancil merupakan satu-satunya yang mempunyai akal yang panjang. Sang Kancil
menggunakan kepintarannya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya atau
haiwan-haiwan yang lain. Dalam cerita Sang Kancil ini terdapat unsur positif, iaitu nilai
murni yang dapat dilihat melalui percakapan dan tindak tanduk watak Sang Kancil dalam
menyelesaikan masalah. Pada hakikatnya, dapat dilihat melalui cerita Sang Kancil
diselitkan dengan unsur nilai murni yang boleh dijadikan sebagai role model kepada
khalayak pembaca.

Kebijaksanaan Dan Keberanian

Salah satu nilai yang menjadikan Sang Kancil sebagai role model kepada pembaca
ialah nilai kebijaksanaan dan nilai keberanian. Hal ini dapat dilihat melalui cerita ‘Sang
Kancil dengan Buaya’. Ketika Sang Kancil menghadapi masalah menyeberangi sungai
untuk mendapatkan buah-buahan di seberang sungai. Bagi menyelesaikan masalah yang
dihadapi olehnya, Sang Kancil terfikirkan satu cara yang baik dengan menggunakan akal
yang panjang. Sang Kancil menggunakan nama Raja Sulaiman untuk mendapatkan
pertolongan daripada sekelompok Buaya yang terdapat di dalam sungai itu. Raja Sulaiman
merupakan pemerintah sekalian haiwan-haiwan di dalam hutan. Oleh sebab buaya
mendengar terdapat titah daripada Raja Sulaiman, semua buaya beratur untuk sedia
dihitung oleh Sang Kancil. Di sini dapat dilihat kebijaksanaan dan keberanian Sang Kancil.
Nilai keberanian dapat dilihat pada Sang Kancil kerana Sang Kancil tidak ragu-ragu dalam
mengambil tindakan dan berani menghadapi risiko yang tinggi jika Sang Buaya
mengetahui tidak terdapat titah daripada Raja Sulaiman. Keberanian ialah sikap tidak ragu-
ragu mengambil sesuatu tindakan walaupun dalan keadaan berbahaya dan berisiko tinggi
(H.Aboebakar Atjeh, 1988:19). Keberanian memerlukan kebijaksanaan dan keupayaan
memanipulasikan keadaan.

Nilai kebijaksanaan lain yang mengangkat Sang Kancil menjadi role model kepada
pembaca juga terkandung di dalam kisah ‘Sang Kerbau, Sang Buaya dan Sang Kancil’.
Sang Kerbau bernasib malang apabila digigit oleh Sang Buaya selepas menolong Sang
Buaya daripada mati ditimpa oleh batang kayu. Namun, Sang Kerbau bernasib baik apabila

Sang Kancil muncul untuk minum air di kawasan tersebut. Sang Kancil telah menjadi
hakim dalam pergaduhan antara Sang Kerbau dengan Sang Buaya berkenaan dengan
“berbuat baik dibalas baik”. Bagi menolong Sang Kerbau daripada terus digigit kakinya
oleh Sang Buaya, Sang Kancil telah meminta Sang Kerbau dan Sang Buaya melakonkan
kejadian asalnya. Setelah sampai ke kejadian di mana Sang Buaya ditimpa batang kayu,
Sang Kancil telah mengarahkan agar Sang Kerbau tidak mengangkat batang kayu itu.
Keadaan ini telah menyelamatkan Sang Kerbau dimakan oleh Sang Buaya yang tidak
mengenang jasa. Jelaslah di sini bahawa kepintaran Sang Kancil dalam menghakimi
kejadian tersebut telah membantu menyelamatkan Sang Kerbau. Sikap tolong-menolong
ini wajar di contohi oleh setiap masyarakat. Dalam cerita Sang Kerbau, Sang Buaya dan
Sang Kancil dapat dilihat nilai murni seperti nilai tolong-menolong dan nilai keadilan telah
digarapkan dalam cerita ini. Nilai tolong-menolong antara satu sama lain menjadikan
masyarakat kuat dan teguh serta dapat menyelasaikan masalah dengan mudah.

Baik Hati Terhadap Sang Monyet

Selain itu, nilai baik hati juga terkandung di dalam kisah ‘Sang Monyet yang Degil’
Cerita ini mengisahkan kebaikan hati Sang Kancil dan Sang Kura-kura. Nilai baik hati
menggariskan sifat belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, saling memahami, dan
sedia memaafkan. Menurut Imam Habib Abdullah Haddad (1987:407), sifat belas kasihan
merupakan salah satu kesempurnaan budi pekerti seseorang kerana orang yang tidak
menaruh perasaan belas kasihan terhadap orang lain terutama yang susah, lemah dan
miskin, adalah termasuk dalam golongan orang yang keras hati dan lemah imannya. Sifat
ini terangkum dalam kehidupan yang menuntut setiap individu atau kelompok masyarakat
mengamalkannya untuk meringankan beban atau kesulitan yang ditanggungnya, di
samping dapat menggembirakan orang lain. Dalam cerita ini, Sang Monyet telah meminta
ihsan dengan meminta makanan daripada Sang Kancil dan Sang Kura-kura. Sang Kancil
dan Sang Kura-kura membenarkan Sang Monyet untuk mengambil sayur-sayuran dan
buah-buahan di kebun tersebut. Disebabkan sifat tamak Sang Monyet telah
menyebabkannya termakan cili yang pedas walaupun telah ditegah oleh Sang Kancil dan
Sang Kura-kura. Oleh itu, jika diperhatikan Sang Kancil dan Sang Kura-kura menunjukkan
sifat baik hati kerana membenarkan Sang Monyet untuk mengambil buah-buahan dan
sayur-sayuran di kebunnya. Sang Kancil dan Sang Kura-kura juga telah menegah Sang
Monyet daripada memakan cili kerana bimbang akan kesan yang bakal dihadapi oleh Sang
Monyet.

Terdapat nilai kesederhanaan, nilai ini terdapat dalam cerita Sang Monyet yang degil,
yang memberi pengajaran agar menahan diri daripada bersifat tamak, dan bersederhana
dalam segala perbuatan. Hal ini demikian kerana sifat tamak akan memakan diri. Sikap
pasrah terhadap sifat tamak (rakus) tidak akan ada akhirnya apabila seseorang melepaskan
tali kendali nafsu syahwatnya. Oleh hal yang demikian, jelaslah menunjukkan bahawa
kesederhanaan penting dalam kehidupan kerana kesederhanaan mampu mengatasi sifat
tamak yang akan mendatangkan keburukan kepada diri pada masa hadapan.

Cerita Sang Kancil sarat dengan nilai murni yang telah digarapkan serta bermotivasi
untuk melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia. Antara nilai murni yang terdapat
dalam cerita Sang Kancil ialah nilai kebijaksanaan, keberanian, tolong-menolong,
keadilan, kesederhanaan dan baik hati, manakala pengajaran yang terdapat dalam cerita ini
ialah jangan berlaku zalim dan jangan bersikap sombong dan jangan bersifat tamak.

Cerita Sang Kancil sesuai untuk dibaca oleh kanak-kanak di samping membantu
menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak sejak dari kecil lagi. Hal ini dapat
membentuk dan menjadikan kanak-kanak yang mempunyai nilai akhlak dalam diri mereka
agar tidak melakukkan perkara yang akan merosakkan diri mereka pada masa hadapan.
Situasi ini sesuai dengan peribahasa Melayu “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Cerita Sang Kancil juga banyak memberikan pengajaran kepada masyarakat agar
mengamalkan nilai murni. Oleh itu, nilai murni dalam setiap buku cerita kanak-kanak
perlulah diterapkan untuk dijadikan sebagai tauladan.

4.2 WATAK TUN PERAK

Latar Belakang Tun Perak

Tun Perak merupakan Bendahara Melaka yang ke-5. Beliau merupakan bendahara
yang sangat terkenal dan termasyhur pada zaman kegemilangan negeri Melaka. Beliau
telah menerima gelaran “Bendahara Paduka Raja” yang telah dianugerahkan oleh Sultan
Melaka pada ketika itu. Tun Perak bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit,
dan Raja Kenayan dari Pasai telah dianggap sebagai tiga pentadbir yang teragung di alam
Melayu pada abad ke-15.

Tidak dapat dinafikan lagi, Tun Perak merupakan anak kepada Bendahara Seri Wak
Raja. Bendahara Seri Wak Raja pernah dilantik untuk menjadi Penghulu Kelang pada
tahun 1445 ketika berlangsungnya permusuhan antara kerajaan Siam dan Melaka. Oleh
kerana perkara ini, Tun Perak telah diperintahkan untuk datang ke Melaka bagi mengatasai
masalah ini. Oleh kerana kebijaksanaan Tun Perak, kerajaan Siam tidak dapat menakluk
Negeri Melaka.

Setelah berjaya mengagalkan serangan Siam, beliau telah dilantik menjadi
“Bentara”oleh Sultan Muzaffar Syah pada tahun 1446. Negeri Melaka pada ketika itu telah
mencapai zaman kegemilangannya di bawah pentadbiran Sultan Muzaffar Syah dan turut
dibantu oleh Tun Perak dengan beberapa ahlinya yang lain.

Peranan Bendahara

Pembesar memainkan peranan yang sangat penting pada ketika itu. Hal ini dikatakan
demikian kerana, tugas pembesar sama dengan tugas Perdana Menteri pada ketika ini.
Pembesar pada zaman dahulu bertanggungjawab dalam menjaga dan mengekalkan
keamanan dalam kawasan pentadbirannya. Hal ini dapat dilihat dimana pada zaman
dahulu, pemerintah telah memperkenalkan pembesar berempat. Tugas pembesar berempat
ini adalah untuk menjaga kawasan yang telah diberikan oleh Sultan. Selain itu, mereka
juga bertanggungjawab dalam menasihati anak buahnya supaya sentiasa taat setia kepada
Sultan.

Pembesar juga berperanan dalam memastikan jentera pentadbiran negeri berjalan
dengan berkesan. Keaadan ini dapat dibuktikan melalui Negeri Kelantan di mana Sulta n
Muhammad I telah melantik 7 orang pembesar untuk membantu baginda dalam

pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar-pembesar ini akan membentuk satu
Jemaah Menteri. Setiap Pembesar bertanggungjawab dalam sesuatu perkara. Secara tidak
langsung, jentera pentadbiran negeri dapat berjalan dengan berkesan dan lancar. Hal ini
dikatakan demikian kerana, semua tugasan tersebut tidak terletak/terkumpul dalam dalam
tangan seseorang raja atau sultan.

Yang ketiga ialah menjadi penasihat sultan dalam segala hal. Para pembesar akan
membentuk Majlis Penasihat Sultan bagi membantu sultan dalam pentadbiran dan
pemerintahan. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sultan akan mengemukan pendapat
baginda dan pembesar akan mendengarnya. Sekiranya terdapat kecacatan dalam
pandangan tersebut, maka pembesar akan menasihati sultan supaya membatalkan hasrat
baginda. Tetapi jika pandangan tersebut dalam keadaan baik, maka ianya akan
dilaksanakan.

Peranan pembesar yang keempat ialah menjaga keadilan dalam sesebuah negeri. Hal
ini dapat dilihat dimana pembesar akan bertanggungjawab dalam menjatuhkan hukuman
kepada orang yang telah melakukan kesalahan tetpai tidak kepada hukuman mati.
Hukuman mati hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat keizinan daripada sultan. Di
sini, kita dapat melihat dengan jelas dimana pembesar bertanggungjawab dalam menjaga
keadilan dalam sesebuah negara.

Yang terakhir ialah menjadi perantaraan antar raja dengan rakyat. Pembesar
mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata khasnya di kawasan
pentedbirannya. Beliaulah yang akan menjadi perantara di antara raja dan rakyat dimana
semua titah perintah sultan akan disampaikan oleh pembesar kepada rakyat jelata. Di
sebaliknya, pembesar akan menyampaikan ketidakpuasaan rakyat jelata kepada sultan
supaya sultan dapat mempertimbangkan perkara ini dan membuat penambahbaikan.

Perwatakan Tun Perak yang dapat dijadikan sebagai “Role Model”.

Kebijaksaan Dalam Kepimpinan

Tun Perak merupakan seorang insan yang sangat beribawa. Beliau juga merupakan
seorang tokoh yang menjadi sanjungan oleh masyarakat tidak kira pada zaman dahulu
hinggalah pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, beliau mempunyai
perwatakan yang dapat kita jadikan contoh dan dapat diterapkan dalam kehidupan
seharian. Perwatakan yang pertama yang dapat kita jadikan role model ialah,

kebijaksanaan yang ada pada Tun Perak. Ini dapat dilihat dimana Tun Perak berjaya
mengusir Siam dengan menggunakan tipu muslihat. Beliau bersama-sama dengan
parajurit-parajurit Melaka berkerjasama dalam menambat punting api pada kayu-kayu
disepanjang sungai. Perbuatan Tun Perak dapat membuat Siam tidak jadi untuk menyerang
Melaka. Hal ini dikatakan demikian kerana, Siam beranggapan bahawa Melaka
mempunyai ramai perajurit yang telah bersiap sedia dalam menghadapi serangan daripada
mereka. Disebabkan Siam tidak ingin kalah, maka mereka telah membatalkan hasrat untuk
menyerang Melaka.

Contoh yang kedua dapat dilihat di mana, Tun Perak menyuruh tentera Melaka untuk
membawa ahli keluarga mereka untuk turut serta dalam perang. Tujuan Tun Perak berbuat
demikian kerana ingin menaikkan semangat juang para tenteras. Tidak dapat dinafikan,
para tentera akan berjuang bersungguh-sungguh untuk melindungi keselamatan ahli
keluarga mereka. Disebabkan kebijaksanaan Tun Perak, mereka telah memenangi perang
ini. Tindakan Tun Perak mendapat pujian daripada sultan Melaka. Oleh itu, jelaslah
bahawa Tun Perak dapat kita jadikan sebagai role model kerana kebijaksaan yang ada pada
beliau.

Tegas Dan Setia Dalam Menjalankan Tugas

Selain itu, kita juga boleh mencontohi ketegasan dan kesetiaan yang ada pada Tun
Perak. Ini dapat dilihat dimana Tun Perak sangat setia kepada sultan sehinggakan setiap
titah/perintah sultan akan beliau laksanakan dengan bersungguh-sungguh demi mencapai
kejayaan seterusnya menaikkan martabat Sutan Melaka. Contoh peristiwa ialah, Tun Perak
mengetuai angkatan Melaka dalam menolong Sultan Zainal Abadin yang berrebut takhta
Pasai. Pada peristiwa ini, kita dapat melihat di mana Tun Perak menjalankan titah/perintah
sultan dengan bersungguh-sungguh. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa Tun Perak
merupakan seorang yang sangat setia. Tun Perak bukan sahaja seorang yang sangat setia.
Namun, beliau juga merupakan seorang yang sangat tegas dalam membuat keputusan. Ini
dapat dilihat dimana, beliau tidak teragak-agak bertindak tegas dalam membuat keputusan
untuk tidak menolong Sultan Abidin Syah buat kali keduannya. Alasannya ialah, Sultan
Abadin Syah enggan menghantar surat sembah ke Melaka. Walhal sewaktu hendak
merebut takhta, Sultan Abidin Syah berjanji akan menghantar surat sembah ke Melaka.
Namun, Sultan Abidin Syah tidak berbuat demikian. Oleh kerana itu, Tun Perak bertegas
untuk tidak menolong Sultan Abidin Syah buat kali keduanya. Melalui peristiwa ini, kita

dapat melihat dimana Tun Perak merupakan seorang yang sangat tegas dalam membuat
keputusan terutamanya kepada orang-orang yang tidak menepati perjanjian.

Berpandangan Jauh Terhadap Sesuatu Perkara

Akhir sekali ialah, Tun Perak merupakan seorang penasihat yang sangat baik. Hal ini
dikatakan demikian kerana, beliau dianggap sebagai seorang yang memiliki pandangan
yang sangat jauh. Ini dapat dibuktikan melalui peristiwa di mana, Sultan Mahmud Syah
yang berang kepada Sultan Pahang. Sultan Melaka hendak menyerang Pahang kerana
baginda murka dengan tindakan Raja Pahang yang seakan-akan menghina/mencabar Raja
Melaka. Tun Perak menasihati Sultan Mahmud Syah agar tidak meneruskan hasrat untuk
menyerang Pahang kerana Raja Pahang dan Raja Melaka mempunyai hubungan
kekeluargaan yang dekat. Oleh kerana Tun Perak merupakan seorang yang mempunyai
pandangan jauh, maka sultan Melaka membatalkan hasratnya untuk menyerang Pahang.

Kesimpulannya, kita dapat melihat di mana watak Tun Perak memainkan perwatakan
yang dapat kita jadikan sebagai contoh seterusnya dapat diterapkan ke dalam kehidupan
seharian. Ini tidak dapat dinafikan lagi, kerana penjelasan yang telah diberikan diatas
sangat jelas. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Tun Perak merupakan salah
seorang tokoh yang dapat kita jadikan sebagai Role Model.

4.3 WATAK HANG TUAH

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa
pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) pada 1400-
1511. Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyung, Melaka, kira-kira
dalam tahun 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang
Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika
dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah
merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Hang Tuah merupakan seorang Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya
kepada Sultan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Laksaman ialah gelaran yang
tertinggi dalam angkatan tentera laut, raja laut. Laksamana di Kesultanan Melaka
bertanggungjawab untuk keselamatan laut Kesultanan, dan yang paling penting, laluan
perdagangan China-India dalam Selat Melaka. Bahawa laluan perdagangan adalah
merupakan nadi bagi Empayar. Antara peranan dan tugas Laksamana ialah berperanan
sebagai ketua angkatan laut dengan menjaga ketenteraman di laut khususnya bagi para
pedagang yang ingin berdagang di Melaka dari serangan musuh mahupun lanun. Selain itu,
mengawal keselamatan sultan jika Sultan keluar dari istana atau dikenali sebagai pengawal
peribadi. Laksamana juga bertanggungjawab menjadi ketua duta.

Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan
Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu,
mereka berlima kembali ke kota Melaka. Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan
Dato’ Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok.
Dato’ Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke
rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.

Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah
Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di
tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming
Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat
dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada
kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming
Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah.
Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.

Tidak dinafikan bahawa Laksamana Hang Tuah merupakan seorang tokoh yang
mempunyai perwatakan yang baik dan dapat dijadikan sebagai role model kepada kita.
Antara perwatakan Laksamana Hang Tuah yang dapat dijadikan sebagai role model ialah
kebijaksanaan laksamana dalam melakukan tindakan, kesetiaan laksamana kepada raja dan
negara dan keberanian laksamana dalam menetang musuh.

Kebijaksanaan Laksamana Dalam Melakukan Tindakan

Kebijaksanaan bermaksud ketajaman akal budi, kecerdasan fikiran, ketelitian tindakan
dan kemahiran dalam ilmu tertentu. Kebijaksanaan merangkumi nilai, kata-kata dan
tingkah laku yang menunjukkan kebenaran dan kebaikan yang tinggi dalam pemikiran,
pegangan, sikap, renungan danperbuatan dalam kalangan insan (Muhammad Uthman El-
Muhammady 2010: 1). Menurut Sternberg, kebijaksanaan adalah penilaian dari
pemahaman individu dengan masalah yang dimiliki serta melibatkan solusi sebagai
alternatif pemecahan masalahnya yang memaksimalkan berbagai macam keseimbangan
antara dirinya sendiri (interpersonal), orang lain (intrapersonal), dan berbagai aspek
kehidupannya (ekstrapersonal) (Sternberg & Jordan, 2005:196). Kebijaksanaan Hang Tuah
dalam melakukan tindakan membuat helah ini dapat dilihat dalam peristiwa pada contoh
petikan di bahawa;

“Maka Shahbandar berkata: “Akan hamba ini disuruh oleh Oya Begelang
mengajar perintah mengadap Phra Chau, kerana perintah Phra Chau lain, Melayu
lain. Pertama, masuk ke dalam itu dengan seorang dirinya tiada boleh masuk dengan
budak-budak. Apabila sampai ke hadapan raja merangkak sambil menyembah. Maka
kata Laksamana, “Yang Shahbandar mengingatkan hamba itu benarlah sudah.
Adapun akan hamba segala Melayu ini umpama perahu; adapun perahu itu apabila
tiada berkemudi, nescaya tiadalah betul haluannya. Dan seperkara pula, tiada dapat
hamba merangkak kerana ada penyakit pada tubuh hamba ini. Jika ada kasih
Shahbandar persembahkan ke bawah duli Oya Begelang minta persembahkan ke
bawah duli Phra Chau…. Oya Begelang pun masuk mengadap Phra Chau
persembahkan seperti kata Laksamana itu. Maka titah Phra Chau, “Biarlah ia
berkeris dan berjalan seperti adat raja Melaka ia mengadap” … Setelah berhadapan
dengan Phra Chau, maka Oya Begelang pun merangkak sambil menyembah. Maka
Laksamana dan Maharaja Setia pun berjalanlah sambil duduk menyembah.”

(Sulalatus Salatin: 389-390).

Oleh itu, kebijaksanaan Hang Tuah dapat dijadikan sebagai role model dalam
kehidupan kita agar kita menjadi seorang yang bijak dalam melakukan sesuatu tindakan
dan tidak membuat keputusan yang sia-sia.

Kesetiaan Laksamana Kepada Raja Dan Negara

Kesetiaan seorang hamba kepada rajanya adalah hal yang sangat mutlak dan tidak
ada kesetiaan yang berbelah bahagi. Menderhaka adalah merupakan satu dosa yang amat
besar. Sebagai seorang rakyat, kita mestilah taat dan setia kepada raja kerana kita dapat
hidup di negara yang aman. Seseorang yang taat setia kepada raja dan negara akan sentiasa
berfikir secara rasional sebelum melakukan sebarang tindakan supaya tindakan mereka
tidak merosakkan keamanan negara. Hang Tuah sangat terkenal dengan kesetiaannya
kepada raja dan negara. Hang Tuah juga sanggup berkorban demi raja dan bangsanya
sendiri. Setiannya Hang Tuah kepada raja, Hang Tuah bersetuju untuk menjadi utusan Raja
Melaka ke Siam. Hang Tuah telah menjalankan tugasnya kepada Raja Melaka dengan baik.
Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa pada contoh petikan di bawah;

“Sembahnya (Hang Tuah kepada Raja Siam), “Daulat tuanku, patik hamba
ke bawah duli Phra Chau, mana titah patik junjung. Tetapi si-Tuah tiada
menghilangkan nama tuannya.”

(Sulalatus Salatin: 391).

Oleh itu, kesetiaan Hang Tuah kepada raja dan negara dapat dijadikan sebagai role
model dan contoh kepada diri kita supaya menjadi seorang rakyat yang taat dan setia
kepada raja dan negara.

Keberanian Laksmana Dalam Menentang Musuh

Berani merupakan satu kekuatan tersembunyi yang wujud dalam diri setiap manusia.
Berani merupakan satu kekuatan tersembunyi yang wujud dalam diri setiap manusia untuk
menghadapi cabaran dan masalah kehidupan. Kekuatan tersebut mungkin ditonjolkan
melalui pemikiran dan tindakan seseorang. Berani juga diibaratkan sebagai pedang sakti
manusia untuk menangkis segala rintangan dan halangan yang akan menyekat seseorang
untuk terus mara ke arah mencapai cita-cita atau hajatnya. Hang Tuah juga sangat berani
orangnya, lebih-lebih lagi berani dalam menentang musuh dan tidak takut berdepan dengan

musuhnya. Keberanian Hang Tuah dapat dilihat dalam peristiwa pada contoh petikan di
bawah;

“Maka pendekar Jepun itu pun turun ke tanah menghunus pedangnya… Maka
ia pun berseru katanya, “Hai Melayu turunlah engkau. Jika tidak turun supaya aku
naiki balairong kutendas kepalamu.” Maka Laksamana pun amarah, lalu mengambil
pedang dan perisai keluar. Maka laksamana pun menyembah lalu berhadapan dengan
pendekar itu. Maka kata Laksamana, “Hai si-kafir yang keras hatimu, apa engkau
hendak perbuat, perbuatlah olehmu.” Setelah pendekar (Jepun) itu melihat
Laksamana sudah turun, maka segera diparangnya. Maka Laksamana pun melompat
hendak menangkis parangnya itu, kerana memarang dengan dua belah tangannya….
Maka Laksamana pun segera terjun pula berhadapan dengan Jepun itu, lalu
diparangnya Jepun itu bahunya putus lalu gugur ke tanah. Maka Jepun itu mengusir
pula dengan bersungguh-sungguh hatinya, maka diparang oleh Laksamana kepalanya
belah dua. Maka pendekar itu pun matilah. Maka Laksamana pun melompat ke
balairong itu serta menyembah Phra Chau. Maka titah Phra Chau, “Syabaslah
Laksamana membunuh si penderhaka itu.”

(Sulalatus Salatin: 391).

Oleh itu, keberanian Hang Tuah dapat dijadikan sebagai contoh dan role model
kepada kita dalam kehidupan seharian kita agar kita dapat melindungi diri kita daripada
perkara buruk mahupun berani membantu orang lain yang dianiaya.

4.4 WATAK SULTAN ALAUDIN RIAYAT SYAH

Sejarah Melayu menekankan bahawa negeri hanya wujud selagi wujudnya seorang
raja yang memerintah sebagai ketuanya. Oleh itu, kerajaan yang dibentuk berteraskan raja
sebagai pemerintah dan pengurusan pentadbiran negerinya secara sepenuhnya atau mutlak.
Tanpa seorang raja yang diterima oleh rakyatnya sebagai berdaulat, maka tidaklah
terbentuk sebuah kerajaan dan negeri dianggap sebagai entity pemerintahan yang boleh
menguruskan masyarakat yang terdiri daripada rakyat jelata yang bernaung di bawahnya..
Raja menjadi katalis kepada kewujudan kerajaan dan negeri tersebut. Inilah yang
dinamakan sistem pemerintahan Raja Mutlak. Kerajaan Melayu Melaka adalah contoh
kerajaan Melayu yang telah memulakan tradisi dan tamadun sistem kerajaan Melayu beraja
yang diteruskan sehingga hari ini di Malaysia (Ramlah Adam & Noormaizatul Akmar
Ishak).

Sehubungan dengan itu, dapat dikaitkan dengan kisah Sultan Alaudin Riayat Syah
dimana ia merupakan seorang sultan, raja atau pemimpin yang boleh dijadikan suri teladan
kepada semua pembaca dan pendengar. Sultan Aalaudin Riayat Syah atau juga dikenali
sebagai Raja Hussain merupakan anak kepada Sultan Mansor Syah. Baginda merupakan
sultan Melaka yang ketujuh selepas kemangkatan ayahanda baginda. Selain itu, dalam teks
Sulalatus Salatin Sultan Alaudin Riayat Syah mrupakan sultan yang sangat dihormati dan
disegani oleh rakyat jelata dan para pembesar. Hal ini dikatakan demikian kerana, sultan
Alaudin Riayat Syah mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik dan terpuji. Antaranya ialah
berani dalam memerintah, bertanggungjawab atas kerajaan pimpinanya, bijaksana dalam
menyusun strategi dan tegas dalam menjalankan tugas sebagai ketua Negara.

Jika pada zaman kini, penulis menulis watak- watak berdasarkan daya imaginasi dan
daya pemikiran yang meraka inginkan namun, kisah sultan Alaudin Riayat Syah
merupakan kisah sejarah telah ditulis oleh pembesar terdahulu untuk dijaikan pedoman
pada masyarakat hari ini. Menurut Othman Kelantan dalam kajian Nurul Hilwany Che
Shaffine, Mohd. Zariat Abdul Rani, Norazlina Haji Mohd. Kiram & Muhd. Zulkifli
Ismail (2019) watak merupakan gambaran tentang pelaku yang memegang peranan dalam
novel, sama ada watak itu manusia atau binantang. Kalau watak itu manusia, sifat tentang
manusia itu dijelaskan secara terperinci.

Gambaran tentang watak menjelaskan kesesuaian perananya dalam seluruh novel.
Dalam makna lain gambaran watak ialah tentang sifat fizikal, mental yang diwujudkan

oleh pengaruh persekitaran, keturunan, pendidikan, pergaulan, pemikiran dan sikap hidup.
Jelaslah bahawa watak dan perwatakan Sultan Alaudin Riayat Syah dalam Sulalatus
Salatin membawa pengaruh yang baik kepada para pendengar dan pembaca. Contoh
perwatakan Sultan Alaudin Riayat Shah yang terdapat dalam Sulalatus Salatin seperti di
bawah :

Sultan Alaudin Riayat Syah Pemimpin Yang Bijaksana

“ Maka titah Sultan Alaudin kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat balai di
simpang empat di tengah negeri, disuruh bubuh seorang penghulu diam di sana.”

“Maka di dalam negeri Melaka itu, jikalau harta orang gugur di jalan atau di pekan,
maka dicarinyalah ke balai itu ; dan apakala didapati oleh orang, maka adalah tergantung
di balai itu ; demikianlah periadil Sultan Alaudin Riayat Syah.”

(halaman:175)

Menurut contoh ayat di atas, menunjukkan bahawa Sultan Alaudin Riayat Syah
merupakan sultan yang bijaksana dalam memerintah. Hal ini dikatakan demikian kerana,
Sultan Alaudin Riayat Syah mempunyai strategi dan berpandangan jauh tentang keadaan
yang akan berlaku kepada kerajaan baginda sekiranya tiada tindakan yang betul dilakukan.
Sultan meminta pembesar membina satu pondok di tengah-tengah negeri untuk dijadikan
balai keselamatan. Penghulu bertanggungjawab berkawal dibalai tersebut bagi tujuan
menjaga keselamatan kawasan supaya kejadian mencuri atau merompak dapat dibanteras.
Selain itu, balai yang dibina turut berfungdi sebagai tempat letak barang yang hilang atau
keciciran. Tidak kira milik siapa yang kehilangan, bagi siapa yang menjumpai barang
bukan milik mereka harus diletakkan di balai bagi tujuan pemulangan kepada pemilik
sepatutnya. Jelaslah bahawa Sultan Alaudin Riayat Syah seorang yang sangat prihatin
terhadap nasib rakyatnya.

Sultan Alaudin Riayat Syah Pemimpin Yang Berani

“Maka Sultan Alaudin dengan Hang Isap pun pergi mengikut pencuri lima oranng
itu,maka segala pencuri itu pun lari ke atas bukit Melaka, Sultan Alaudin pun bertempik,
lalu diparang baginda seorang, kena pinggangnya, putus seperti mentimun, datang ke
bawah bodi maka dibunuh seorang lagi”

“Setelah hari siang Sultan Alaudin keluarlah semayam dihadap orang. Maka Bendahara
dan segala orang Besar-besar, para menteri, sida-sida, bentara, hulubalang sekalian
hadir menghadap baginda. Maka titah Sultan pada Seri Maharaja, kerana ia temenggung,
“Adakah kawal semalam?” Maka sembah Seri Maharaja “ Ada tuanku”.

(halaman: 174)

Terdapat dua sebab mengapa Sultan Alaudin Riayat Syah dikatakan sebagai
pemimpin yang berani. Pertama, baginda berani mempertaruhkan nyawa baginda demi
mempertahankan keharmonian dan keselamatan rakyat jelata dan kedua baginda berani
menegur para pembesar yang bersalah dan tidak bertanggungjawab atas amanah yang telah
baginda berikan. Jelas bahawa Sultan Alaudin Riayat Syah sangat berani apabila sanggup
mempertaruhkan diri baginda kepada 5 orang perompak yang telah merompak harta orang
awam pada waktu malam. Walaupun ditemani oleh Hang Isap namun baginda telah
membunuh sebanyak 3 daripada 5 orang pencuri tersebut. Selain itu, baginda juga tidak
segan silu untuk menyamar sebagai seorang pencuri yang berpakaian biasa walaupun pada
hakitkannya baginda merupakan ketua Negara yang berpangkat tinggi dan berketurunan
Istana. Seterusnya, Sultan Alaudin tidak mengamalkan sikap berat sebelah dan pilih kasih
semasa memerintah. Buktinya, baginda telah menegur Seri Maharaja di depan orang ramai
supaya menjadi pengajaran kepada beliau dan orang lain .

Sultan Alaudin Riayat Syah Pemimpin Yang Jujur

“ Maka disuruh oleh baginda tafahus orang yang empunya peti itu. Ada seorang
saudagar, Ki Tarambulum yang empunya peti itu ; ialah kehilangan pada malam itu.

“Maka disuruh oleh Sultan Alaudin kembalikan peti itu pada Ki Trambulum ; maka

beberapa puji dan doanya akan Sultan Alaudin”

(halaman : 175)

Sifat jujur turut tersenarai untuk Sultan Alaudin Riayat Syah. Hal ini demikian
kerana, peristiwa di atas telah membuktikan kemurnian sifat baginda. Setelah kejadian
rompakan yang ditumpaskan oleh bagindan dan beberapa orang pengikutnya, harta
rampasan telah dijumpai dan dikembalikan kepada pemiliknya. Sultan Alaudin tidak
bersifat tamak dan suka mengambil kesempatan ke atas orang lain. Hal ini dapat
dibuktikan apabila baginda meminta Hang Ishak mengembalikan semula harta Ki

Tarambulum yang telah hilang. Sekiranya baginda mermpunyai sifat yang buruk sudah
tentu harta tersebut akan diambil dan menjadi miliknya dan istana. Jelaslah bahawa, sikap
yang baik dalam diri individu merupakan sesuatu yang penting kerana setiap tindakan
merupakan cerminan kepada peribadi seseorang.

5.0 RUMUSAN

“Role Model” yang menjadi sebut-sebutan di dalam perbentangan ini antaranya ialah
Sultan Alaudin Riayat Syah, Hang Tuah, Tun Perak, dan Sang Kancil. Walaupun Sang Kancil
merupakan satu-satunya watak yang bermotifkan haiwan namun, Sang Kancil mempunyai
watak dan perwatakan yang boleh dijadikan contoh atau suri teladan. Hal ini dikatakan
demikian kerana, Sang Kancil merupakan haiwan yang mempunyai sifat dan peribadi diri
yang baik yang banyak member impak kepada haiwan lain seterusnya dapat member
pengajaran kepada manusia secara tidak langsung bedasarkan kisah-kisah yang telah
diceritakan. Berdasarkan watak-watak tersebut, dapat dilihat bahawa watak juga turut
memainkan peranan penting dalam menggerakkan jalan cerita dan menjadi saluran kepada
pengarang untuk menyampaikan nilai pengajaran, gagasan, falsafah dan pemikiran. Selain itu,
setiap watak dan perwatakan yang ditonjolkan dalam karya sastera oleh pengarang merupakan
sangat penting dalam membentuk modal insan. Jelaslah bahawa, walau bagaimana cara
penyampaian sesuatu cerita atau mesej itu disampaikan, kita harus meneliti dan mendalami
watak yang telah diwujudkan oleh penulis dengan baik supaya mesej tersebut dinilai dari segi
penghayatan bukan secara membuta tuli. Sifat-sifat “Role Model” yang dipamerkan antaranya
ialah sifat kesultanan yang adil dan saksama , pembesar yang bertanggungjawab, Hang Tuah
yang berani, Sang Kancil yang bijaksana dan sebagainya yang rata-ratanya membawa kesan
positif kepada para pembaca. Jelaslah bahawa sifat dan peribadi seseorang kadang kala
menjadi inspirasi dan dapat mecuit hati insan lain untuk menjadi modal insan yang lebih baik
dan berkualiti daripada segenap aspek.

BIBLIOGRAFI
Ani Binti Haji Omar. (2015). Pendidikan Sastera Remaja di Malaysia dalam Membina

Generasi Unggul Berasaskan Falsafah Pendidikan Negara. Jurnal Pendeta, 5, 1-
23. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PENDETA/article/view/1174.
Atikah Mohd Noor, Sharil Nizam Sha’ri, & Rohaidah Kamaruddin. (2018).
Nilai Murni Dalam Cerita Sang Kancil. JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN
SHAH, 5(1), 92-102.
A.Wahab.Ali. (2003). Perkembangan Cerpen Melayu: Dari Cerita Moyang Ke Dewan
Sastera. Dari Cerita Moyang Ke Dewan Sastera. Sari 27 (2009) 109-123. Diperoleh
Daripada: http://journalartikel.ukm.my/1156/1/sari27%29-2009%5807%5d.pdf.
Cikgu Razak. (2010). Peranan Pembesar. Dari: http://cikgurazak.blogspot.com.
Embun Siang. (2013). Siapakah Hang Tuah Bin Hang Mahmud. Diperolehi
daripada: http:sodacolapepsi.blogspot.com/2013/05/siapakah-hang-
tuah-bin-hang-mahmud.html.
Faisal Tehrani. (2020). Kerajaan Pintu Belakang. Dari: http://m.malaysia.kini.com.
Harpreet Kaur. (2016). CERITAKAN KISAH SANG KANCIL (ed. 1). EDUKID
PUBLICATION.
Mohamad Yussoff Ali. (2011). Pengertian Sifat Berani. Diperolehi daripada:
http//myyusoff.blogspot.com/2011/03/pengertian-sifat-berani.html.
Norazimah Zakaria. (2016). Konsep Taat Setia Sebagai Pentunjuk Masa Depan Melalui
Karya Agung Sebagai Model Jati Diri Bahasa Melayu. Journal of Global Business
and Social Entrepreneuship. 2(2), 173-182.
Norzakwan Azzim dan et.al. (2018). Sejarah Melayu Sulatus Salatin 10.
Dari: http://warisansastera.blogspot.com.

Nurul Hilwany Che Shaffine, Mohd.Zariat Abdul Rani, Noraliza Haji Mohd Kiram
& Mohd.Zulkifi Ismail. (2019). Kisah Percintaan dan Penggembangan Watak
Dan Perwatakan Dalm Novel Popular Adam dan Hawa Karya Aisya Sofea.
International Journal of the Malay World and Civilisation 7(3), 2019: 51-62.
Diperolehi daripada: http://journalarticle.ukm.my/13517/1/jatma-2019-0703-06.pdf.

Ramlah Adam & Noormaizatul Akhmar Isyak. Persepdi Rakyat Terhadap Institusi Raja:
Satu Kajian Kes di Perlis dan Kedah. Diperolehi daripada: http://dispace.unimap.
edu.my/bitstream/handle/123456789/35706/Siraj_11_8_91-112.pdf.

Roselena Mansor & Mohd Izham Mohd Hamzah. (2015). Kepimpinan Berkualiti: Perspektif
Mengenai Kompetensi Yang Diperlukan Untuk Memimpin Dengan Berkesan. Journal
Pengurusan. 45 (143-145). Diperolehi daripada: file://C:/User/User/Downloads/12187-
35493-1-PB-pdf.

Rina Rifayanti, Adella Saputri, Ade Karunia Arake, & Widya Astuti. (2019).
Peran Role Model Dalam Membentuk Perilaku Pro-Lingkungan.
Psikostudia Jurnal Psikologi 7(2):12, 7(2), 12-23.

Warisan Budaya Alamiah. (2012). Sejarah Hang Tuah. Diperolehi daripada:
https://sejarahhangtuah.wordpress.com/2012/08/18/biodata-dan-tarikh-
lahir-hang-tuah-menurut-buku-sejarah-antarabangsa/.


Click to View FlipBook Version