The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Wie Wie, 2023-03-12 13:25:30

PENGAMALAN CIRI-CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW DALAM KALANGAN GURU

PIMK2213D PENGAJIAN SIRAH NABAWIYAH

PENGAMALAN CIRI-CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW DALAM KALANGAN GURU PIMK2213D PENGAJIAN SIRAH NABAWIYAH NORAINI BINTI MAZLAN (D22122855) NUR ASHIKIN BINTI MASRAN (D22122853) NOR ASMAWIYAH BINTI ALIAS (D22122856)


PENGENALAN Sekolah adalah tempat dimana untuk kita menuntut ilmu secara formal. Bukan sahaja tempat untuk menuntut ilmu tetapi juga untuk keseimbangan dari segi JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Peranan sekolah sebagai wadah pendidikan ini seharusnya mempunyai hala yang jelas ke arah memperkembangkan potensi murid semaksima yang mungkin. (Hussein Mahmood, 1997)


Sekolah juga ditubuhkan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, keterampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Bagi mencapai matlamat yang di inginkan, guru harus memainkan peranan yang penting dalam merancang dan melaksanakan setiap aktiviti di sekolah dengan gaya kepimpinan dan kebijaksanaan masing-masing. Justeru dalam kajian yang akan dijalankan ini, akan dibahaskan tentang pengamalan kepimpinan Rasulullah SAW dalam kalangan guru. PENGENALAN


OBJEKTIF KAJIAN Mengenalpasti kepimpinan Rasulullah SAW yang menjadi amalan setiap guru atau warga pendidik di sekolah. Meneliti ciri-ciri pengamalan kepimpinan Rasulullah SAW yang boleh dicontohi dalam kalangan guru-guru.


KEPENTINGAN KAJIAN Memastikan agar warga pendidik dapat memahami, mengikuti dan mencontohi segala ciri dan nilai yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam kalangan guru. Memastikan agar setiap warga pendidik menjadi seorang pendidik yang bukan sahaja tertumpu dalam kalangan warga sekolah dan kelompok guru, tetapi juga mengaktifkan diri di luar sekolah dan bersama seluruh masyarakat. 1 2


SKOP KAJIAN Kajian ini akan membahaskan tentang ciri kepimpinan Rasulullah SAW yang boleh diamalkan dalam kalangan warga pendidik.


Kepimpinan adalah satu proses yang mempengaruhi tingkah laku orang lain untuk menggalakkan mereka bekerja ke arah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan. DEFINISI KEPIMPINAN


Nabi Muhammad SAW bersifat introvert, kurang bercakap tetapi lebih banyak mendengar. Ini berbeza dengan sifat pemimpin yang extrovert yang mana biasanya lebih banyak bercakap berbanding mendengar. Baginda SAW juga tidak bermegah dalam berpakaian akan tetapi cukup baginya sekadar berpakaian yang sederhana. Hari ini kita gemar meniru cara orang lain dalam pelbagai aspek. Untuk mencontohi Rasulullah SAW, kita perlu sentiasa pasakkan dalam pemikiran kita untuk tidak perlu meniru sesiapa, akan tetapi berusahalah untuk menjadi diri sendiri. CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : MENJADI DIRI SENDIRI 1


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : MENGUTAMAKAN VISI DALAM KEHIDUPAN Rasulullah SAW sentiasa membicarakan hal visi dan masa hadapan. Visi utama Baginda adalah hari akhirat dan banyak legasi ditinggalkannya sebelum wafat. Rasulullah SAW meletakkan visi yang mempunyai hala tuju, tujuan dan motivasi yang sangat jelas. Jika kita tiada matlamat tersebut, nescaya kita akan tergolong dalam kalangan yang alpa. Kita perlu sedar bahawa Allah SWT menciptakan manusia untuk beribadah kepadaNya. Malangnya, kebanyakan kita pada hari ini terlalu sibuk mengejar hal dunia. Inilah masa untuk kita berubah menjadi hamba Allah SWT dan bukan diperhambakan oleh dunia. 2


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : BERCAKAP BENAR DAN TIDAK HIPOKRIT Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sifat bercakap benar (siddiq) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi. Asbab pengamalan tersebut, kaum Quraisy di Makkah mempercayai Baginda SAW dan berusaha memperbaiki diri dengan berpandukan al-Quran dan alSunnah. Tidak hipokrit iaitu hanya pandai bercakap tetapi tidak mengambil tindakan juga bukan sikap yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. 3


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : UTAMAKAN PENCAPAIAN DAN BERSIFAT RENDAH HATI Rasulullah SAW tidak pernah berhenti untuk berdakwah dan sentiasa mengutamakan target yang ingin dicapai oleh Baginda iaitu menyebarkan risalah islam. Ketika bapa saudara Rasulullah SAW meminta Baginda untuk berhenti berdakwah atas desakan pemimpin Quraisy, Baginda SAW bersabda : “Wallahi (demi Allah), seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku ini nescaya aku tidak akan menghentikan dakwahku hingga Allah memenangkannya atau aku binasa.” (Riwayat At-Tarmidzi dan At-Tabrani) Untuk mencapai matlamat, jangan mudah mengalah dan bersifat rendah hati. Ketua yang berasa diri hebat dan sombong akan terarah untuk berhenti belajar, tiada inovatif dan tidak melihat perkembangan semasa untuk berubah ke arah yang lebih baik. 4


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : MENJADI ORANG TERAKHIR Rasulullah SAW sangat perihatin dengan ummahnya. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Tarmidzi, Rasulullah SAW sifatnya akan mendahulukan tetamu kemudian diikuti sahabatnya, Abu Hurairah RA untuk minum susu. Sebagai ketua yang prihatin, amalan mendahulukan pekerja untuk ganjaran dan kebajikan sebelum diri sendiri serta sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan pekerja wajar diamalkan. Sifat yang diamalkan ini sekaligus akan menambahkan kepercayaan orang bawahan terhadap ketua tersebut. Kisah yang wajar dijadikan contoh, Saidina Ali RA berlindung di belakang Rasulullah SAW ketika Perang Badar, sedangkan Baginda SAW adalah orang yang paling hampir dengan musuh. 5


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : SEGERA DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN Rasulullah SAW seorang yang sangat bijak dan tidak berlengah dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan sebahagian maklumat yang diperolehi. Sebagai contoh, ketika Perang Badar Rasulullah SAW pantas membuat keputusan selepas berjaya mendapatkan maklumat dari pengintip Islam yang ditugaskan ke tempat musuh. Berbeza pula situasinya pada masa kini yang mana majikan lebih mementingkan laporan dan analisis yang lengkap sehingga lambat untuk mereka bertindak (tindakan tidak seiring dengan analisis laporan yang diperolehi). 6


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : BERSEGERA DALAM MELAKSANAKAN PELBAGAI PERKARA Bekerja keras dan cepat, berkongsi data serta maklumat boleh mewujudkan kesegeraan dalam bertindak. Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah SWT, Baginda akan segera kongsikan apa yang diperolehi itu dengan keluarga dan pengikutnya. Baginda SAW turut bersikap telus dalam menyampaikan mesej tersebut dengan terang dan jelas. 7


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ORANG YANG LEBIH TUA Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat dan menjaga hubungan dengan orang yang lebih tua usianya daripada Baginda. Hubungan yang dijaga itu menjadi contoh tauladan bagi masyakarat umum bahawa pentingnya sikap tersebut diterapkan dalam diri tanpa mengira peringkat umur, pangkat dan juga darjat. Sebagai contoh, dalam peristiwa Israk Mikraj Saidina Abu Bakar AS membenarkan berita dari langit yang disampaikan Baginda tanpa ada terdetik sedikit pun rasa keraguan sehingga beliau digelar As-Siddiq. 8


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : SENTIASA MEMBERI LATIHAN Rasulullah SAW sentiasa menerapkan ajaran dan didikan yang sempurna kepada para sahabat. Sebagai ketua, ambil peluang bersama staf dengan berkongsi maklumat dan membimbing mereka tidak mengira masa antara sikap positif yang boleh diamalkan dan diterapkan. Pemimpin yang baik bukan dinilai pada bilangan pencapaian, tetapi dinilai melalui berapa ramai ketua yang dilahirkan. 9


CIRI-CIRI RASULULLAH SAW DALAM KEPIMPINAN ISLAM : PEMANGKIN SEMANGAT DAN KEKUATAN Rasulullah SAW mendapat sokongan dan kekuatan daripada isterinya, Khadijah binti Khuwailid RA ketika menerima wahyu pertama. Selain itu, Baginda turut ditenangkan oleh isterinya Aishah RA ketika berhadapan dengan tekanan dalam berdakwah. Tiga perkara yang boleh mengembalikan kekuatan antaranya : sentuhan seperti pelukan dan bersalaman dengan orang tersayang, perlukan mentor atau guru yang boleh membimbing kita serta mendapat redha Allah SWT seperti solat Tahajjud, solat Dhuha dan juga berdoa pada waktu pagi dan petang. 10


KEPIMPINAN DALAM ISLAM


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Penyayang Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah dan ilmu Islam, Baginda tidak pernah menggunakan kekerasan untuk memaksa orang lain menerima dakwah tersebut. Malah, ramai orang ketika itu memeluk agama Islam dek kerana peribadi Baginda yang begitu penyayang dan berlemah-lembut. Baginda juga memanggil kanak-kanak dengan nama-nama yang baik yang mana mereka suka mendengarnya selain memberikan nama gelaran yang manis dan selalu bergurau dengan tujuan berkasih sayang. 1


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Penyayang Dalam buku susunan Junaid Al-Baghdadi ada menyatakan bahawa kita perlu mencontohi peribadi Rasullah SAW kerana Bagindalah insan yang paling mahir dalam aspek mendidik sebagaimana yang disebutkan oleh Anas bin Malik RA dalam hadis riwayat Muslim : Bermaksud : “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling berkasih-sayang dalam memenuhi segala keperluan keluarganya daripada Rasulullah SAW. ” (Husna Rusman, tt)


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Penyayang Sifat penyayang wajib ada dan dipupuk dalam setiap insan yang bergelar pendidik. Orang yang jiwanya keras dan kasar tidak sesuai untuk menjadi pendidik kerana dibimbangi membawa kemudaratan dari aspek emosi murid itu sendiri di kemudian hari. Sebagai seorang guru, kita tidak boleh menggunakan perkataan kesat dan kasar kepada anak murid kerana perkara ini sebenarnya akan membantutkan perkembangan emosi dan kognitif mereka. Selain itu, jangan lunturkan keinginan dan semangat mereka untuk menimba ilmu dengan mengherdik dan menghina kerana hal tersebut akan memudarkan semangat mereka untuk belajar. Sebaliknya, gunakanlah dan sebarkanlah kasih sayang seperti yang telah diajarkan Rasulullah SAW dalam mendidik.


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Kesabaran yang Tinggi Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam, Baginda diuji dengan ujian yang sangat hebat. Baginda pernah diperlakukan oleh kaum Quraisy dengan dibaling batu, najis dan dijerut leher Baginda. Namun Baginda tidak pernah berputus asa malah semakin gigih, sabar dan bersemangat dalam menegakkan kalimah tauhid. 2


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Kesabaran yang Tinggi Dalam meneroka dunia pendidikan, banyak cabaran yang perlu ditempuh. sebagai pendidik yang berwibawa, kita perlu mempersiapkan diri dengan menanamkan sifat kesabaran yang tinggi. Walaupun diduga dengan kedegilan anak murid atau dikhianati dan menjadi mangsa hasad dengki rakan guru yang lain, tetaplah bersabar. Kita hanya perlu yakin bahawa tidak ada kuasa yang boleh menghilangkan kemudaratan selain Allah SWT, tidak ada yang dapat mengabulkan doa selainNya, tidak ada yang dapat memberikan kefahaman selainNya dan tidak ada yang sanggup mengubati derita selain Allah SWT. Justeru, Rasulullah SAW tidak pernah mengadukan akan rasa sedih dan gundahnya selain kepada Allah SWT. Jadi, bersabarlah dan mintalah pertolongan dari Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Ketegasan dalam Kelembutan Rasulullah SAW terapkan dalam diri cucunya iaitu Saidina Hasan mengenai sifat benar. Baginda amat mengambil berat dan bertegas dalam aspek berkenaan iaitu menanamkan sifat bercakap benar dan jangan berdusta terutama dalam diri anak-anak. Walaupun Nabi bertegas dalam hal ini, namun cara penyampaiannya cukup lembut dan berhikmah sehinggakan Saidina Hasan sentiasa ingat akan pesanan tersebut. 3


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Ketegasan dalam Kelembutan Begitu juga dalam konteks kita sebagai pendidik untuk memastikan akidah dan akhlak anak murid kita terjaga. Bagi menjaga sensitiviti umum yang mana anak-anak masa kini tidak boleh dicubit dan dipukul, kaedah sebegini sangat perlu untuk digunakan. Setegas mana pun kita, jangan gunakan kekerasan sebaliknya didiklah secara berhikmah. Kadang-kadang kata-kata kita yang lembut dan berhikmah itulah yang melekat di jiwa anak-anak daripada kata-kata amaran yang menakutkan. Pendidikan nilai dalam Islam berkait rapat dengan konsep akhlak iaitu nilai baik dan buruk, bersifat mutlak serta ditentukan oleh Allah SWT. Oleh itu, pembangunan dan penanaman nilai memerlukan ketegasan dalam kelembutan, kesabaran dengan kefahaman serta kebijaksanaan yang tinggi.


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Toleransi 4 Nabi Muhammad SAW mempunyai sikap toleransi seperti sedia memaafkan orang Quraisy yang telah berbuat kejahatan kepada Baginda, sentiasa memperkenalkan etika perang dan sentiasa mengamalkan prinsip syura (bermesyuarat). Sebagai seorang warga pendidik pula, tanamkan dalam diri sifat pemaaf walau terpaksa berdepan dengan berbagai ragam dan karenah manusia. Selain itu juga, seorang guru juga perlu sentiasa berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi dan tidak boleh membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman sesuka hati.


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Berakidah 5 Nilai kepimpinan Nabi Muhammad SAW berteraskan akidah dan tauhid. Baginda menyeru manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan mematuhi syariatNya. Selagi manusia melakukan suruhanNya, maka mereka akan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebagai seorang pendidik, tugas mendidik bukan sahaja tentang duniawi tetapi perlu diselitkan juga dengan pembelajaran berasaskan akidah seperti solat, membaca AlQuran dan sentiasa mengingatkan pelajar tentang ketaqwaan kepada Allah SWT. Bertitik tolak dari sinilah, akhlak mulia murid dapat dipupuk dan disemai.


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Perancang yang Tepat 6 Rasulullah SAW merupakan pemimpin yang mempunyai kepakaran dalam merancang dengan tepat. Baginda membuat analisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap rancangan yang telah dan akan dilaksanakan. Pada suatu peristiwa, kaum kafir Quraisy telah mengugut untuk mendera sahabat yang memeluk Islam dan antara yang terlibat ialah Saidina Zubir bin Awam, Uthman bin Affan dan Saidina Abu Bakar. Rasulullah SAW telah mengambil keputusan dengan mengarahkan umat Islam berhijrah ke Habsyah bagi mengelakkan ramai sahabat didera dan diazab. Arahan Baginda ke Habsyah ternyata sebuah perancangan yang tepat dan sekaligus menyelamatkan nyawa umat Islam.


CIRI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW YANG BOLEH DIPRAKTIKKAN DALAM KALANGAN GURU Perancangan yang Tepat Sebagai warga pendidik yang berilmu, kita perlu mempunyai perancangan yang tepat sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Guru perlu menganalisis kekuatan dan kelemahan metode pengajaran yang ingin digunakan agar tidak tersalah konsep dan tercapai objektif PdP. Akal dan kemampuan murid-murid adalah berbeza. Justeru itu menjadi sebuah cabaran kepada pendidik untuk memastikan proses PdP berjalan dengan lancar dan semua murid berjaya mencapai objektif yang diketengahkan.


KESIMPULAN Tuntasnya, tidak dapat dinafikan bahawa Rasulullah SAW merupakan pendidik terulung yang perlu kita contohi sebagai pendidik masa kini. Jika dikaji, Rasulullah SAW sebenarnya telah lama mempamerkan cara yang terbaik dalam mendidik anak-anak bangsa. Buktinya, elemen-elemen yang terdapat dalam Pendidikan Alaf ke-21 kini seperti elemen kolaborasi, kreatif dan kritis sebenarnya sudah diterapkan oleh Rasulullah SAW dalam pengajaran zaman Baginda lagi. Konsep yang sama, cuma caranya agak sedikit berbeza disebabkan perubahan zaman yang berlaku. Kita sebagai guru perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai role model yang pertama dengan melihat corak kerja Baginda dan bagaimana sifat Baginda mendidik anak-anak. Semoga kita semua dapat menjadi pendidik seperti Rasulullah SAW yang disegani serta dihormati.


Click to View FlipBook Version