e-BULETIN CAKNA BAHASA SK SERI LALANG (TS25), 86000 KLUANG, JOHOR. BIL.2 “CAKNA BAHASA KITA” DISEMBER 2023 DITERBITKAN OLEH: PANITIA BAHASA MELAYU SK SERI LALANG (TS25), 86000 KLUANG, JOHOR. MENARIK DI DALAM: ❑ Golongan Kata Nama dalam Bahasa Melayu ❑ Kisah Peribahasa ❑ Aktiviti Bahasa Melayu SKSL (TS25) ❑ Permata SKSL ❑ Kapsul Bahasa ❑ Minda Aktif “Yang pergi diraikan, yang baharu dinantikan” Selamat bersara, Cikgu Azmah binti Tukiran
Oleh: Cikgu Husna
GOLONGAN KATA NAMA BAHASA MELAYU: KATA NAMA AM Secara umumnya, kata nama dalam bahasa Melayu terbahagi kepada tiga, seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah. a. Kata nama am Dalam bahasa Melayu, kata nama terbahagi kepada kata nama am hidup manusia, kata nama am hidup bukan manusia dan kata nama am tak hidup. Dalam konteks ini, hidup bermaksud makhluk yang memerlukan udara, air, makanan dan cahaya untuk kelangsungan hidupnya. i. Kata nama am hidup manusia Contoh kata nama am hidup manusia ialah murid, guru, kerani, polis, tentera, doktor dan sebagainya. ii. Kata nama am hidup bukan manusia Kata nama am ini merujuk binatang dan tumbuh-tumbuhan (floran dan fauna). Contoh kata nama am hidup bukan manusia ialah burung, kambing, harimau, ikan, udang, pokok bunga, pokok kelapa, rumput, alga dan sebagainya. iii. Kata nama am tak hidup Kata nama am tak hidup digunakan untuk menyebut atau menamakan sesuatu yang tidak bernyawa. Contoh kata nama tak hidup dalam bahasa Melayu ialah kerusi, meja, cawan, tiang, telefon, pagar, komputer, kasut, baju, sekolah dan sebagainya. KATA NAMA Kata Nama Am Kata Nama Khas Kata Ganti Nama Oleh: Cikgu Nizar
KISAH PERIBAHASA Daniel tinggal di sebuah kawasan perumahan yang terletak di bandar raya Johor Bahru. Daniel berhijrah dari sebuah pekan kecil setelah ayahnya diarahkan untuk bertugas di bandar raya tersebut. Setelah beberapa bulan hidup di bandar raya itu, Daniel seolaholah mengalami kejutan budaya. Cara hidup dan kemudahan di kota besar itu ternyata berbeza dengan pekan kecil yang pernah dihuninya. Habis waktu persekolahan, Daniel tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, dia bersama-sama dengan beberapa orang teman baharunya akan berpelesiran di gedung beli-belah untuk menghabiskan masa senggang. Puan Danish, ibunya yang menyedari perubahan tingkah laku Daniel telah menasihatinya agar pulang ke rumah selepas waktu persekolahan. Daniel tidak menghiraukan nasihat ibunya. Daripada berpelesiran, Daniel mula terjebak dengan rakan-rakan yang menghisap rokok dan menyalahgunakan bahan larangan seperti dadah dan gam. Dia mula tercicir dalam pelajarannya. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pada suatu petang, Daniel dan rakan-rakannya telah diberkas oleh pihak berkuasa kerana penyalahgunaan bahan terlarang. Akhirnya, Daniel telah dihantar ke sekolah pemulihan akhlak untuk memulihkannya. “Sepandai-pandai Tupai Melompat...” Maksud peribahasa: Sepandai-pandai seseorang melakukan sesuatu pekerjaan (perkara negatif), pasti akan tersilap juga. Kaya Kosa Kata: berhijrah – berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain berpelesiran – bersuka-suka, bersenang-senang, berjalan-jalan senggang – masa lapang Oleh: Ibnu Mat Saniman
JEJAK BINTANG Aleesyia Sofea binti Mohd Hairol Murid yang mesra dengan nama panggilan Sofea ini merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Sofea atau nama penuhnya Aleesyia Sofea binti Mohd Hairol ialah murid Tahun 6 Gigih di Sekolah Kebangsaan Seri Lalang (TS25), Kluang. Murid yang dilahirkan pada tanggal 14 April 2011 ini merupakan Ketua Pengawas SK Seri Lalang bagi sesi persekolahan 2023/2024. Selain cemerlang dalam bidang kurikulum, Sofea juga aktif dalam kegiatan koakademik dan kokurikulum. Sofea merupakan Pengerusi Pandu Puteri Tunas, Setiausaha Kelab Bola Tampar dan ahli jawatankuasa Kelab Doktor Muda. Anak kepada Encik Mohd Hairol bin Sapari, Yang Dipertua PIBG SK Seri Lalang ini telah mewakili sekolah dalam Kejohanan Bola Tampar Peringkat Daerah Kluang 2023. Selain itu, Sofea juga pernah mewakili sekolah dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Daerah Kluang 2023, Karnival Pandu Puteri Peringkat Negeri Johor, dan pertandingan mewarnakan lukisan peringkat daerah Kluang. Murid yang gemar melukis ini menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor gigi. Dalam Kejohanan Olahraga SK Seri Lalang Tahun 2023, Aleesyia Sofea telah dinobatkan sebagai Olahragawati Sekolah setelah mengungguli acara lompat tinggi P12 dan lumba lari 100M.
KAPSUL BAHASA ISTILAH TERKINI Bahasa Melayu Bahasa Inggeris muat naik upload muat turun download pesohor Instagram instafamous tunai semasa hantar cash on delivery (COD) penipu scammer Contoh ayat: 1. muat naik Dia sedang muat naik data terkini daripada komputernya ke laman sesawang sekolah. 2. muat turun Anda boleh baca atau muat turun bahan bacaan ini dalam bentuk elektronik. 3. pesohor Instagram Amy Bakeri merupakan pesohor Instagram yang mempunyai lebih daripada dua juta pengikut. 4. tunai semasa hantar Mak Munah membeli barangan secara dalam talian yang menggunakan perkhidmatan tunai semasa hantar. 5. penipu Seorang wanita warga emas telah mengalami kerugian lebih daripada RM10,000 angkara penipu dalam talian. Oleh: Cikgu Saidi Isa
Oleh: Cikgu Husna
Oleh: Cikgu Husna
AKTIVITI SEKOLAH PROGRAM KESELAMATAN JALAN RAYA UTHM – SK SERI LALANG (TS25) Pada 22 November 2023, telah berlangsungnya Program Keselamatan Jalan Raya, KidSafe – Road Safety for Children anjuran Faculty of Civil Engineering and Built Environment, UTHM dengan kerjasama SK Seri Lalang (TS25) di Dewan Seri Gemilang, SK Seri Lalang (TS25), Kluang. Program di bawah seliaan Profesor Madya Dr. Munzilah binti Md Rohani ini telah melibatkan 30 siswa dan beberapa orang pensyarah Faculty of Civil Engineering and Built Environment serta murid-murid tahap dua sekolah ini. Program yang bermula pada pukul 08:30 pagi ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Rosli bin Sahdan, Guru Besar SK Seri Lalang, Kluang. Antara aktiviti yang dilangsungkan dalam program ini ialah ceramah keselamatan jalan raya, aktiviti berkumpulan dan kuiz keselamatan jalan raya. Guru besar sekolah ini berharap program ini akan dapat meningkatkan tahap keselamatan murid semasa berada di jalan raya. Program yang berakhir pada pukul 10:30 pagi ini mendapat reaksi yang sangat positif daripada murid-murid dan guru sekolah ini.
“SEJAMBAK BUDI SETAMAN KENANGAN” Sidang redaksi e-Buletin Cakna Bahasa dan seluruh warga SK Seri Lalang (TS25), Kluang mengucapkan “Selamat Bersara” kepada Cikgu Azmah binti Tukiran dan Cik Mastura binti Abu Bakar (PT Kewangan) Di pulau budak mengail gelama, Anak angsa bermain di jeti; Walau kita tidak lagi kersama, Budi dan jasa tersemat di hati.
SIDANG REDAKSI e-BULETIN CAKNA BAHASA Penasihat Penerbitan ROSLI BIN SAHDAN Guru Besar Penolong Penasihat Penerbitan HAJAH NORASHIKIN BINTI ISMAIL GPK Pentadbiran ZULNIKA BIN RAMLI GPK Hal Ehwal Murid ABDUL RAHMAN BIN MAT GPK Kokurikulum Editor Kanan MD NIZAR BIN PARMAN Editor Bersekutu SAIDI BIN ISA NURUL HUSNA BINTI ANIS BORHAN BIN AHMAD TAMILVANI A/P ARUMUGAM Grafik UNIT TMK PANITIA BAHASA MELAYU Reka Letak Kulit Hadapan EIZZUE ZIKRIL IMAN BIN ABDUL BASIR Wartawan Grup Munsyi Muda SK Seri Lalang Sidang Redaksi e-Buletin Cakna Bahasa mempelawa murid-murid yang mempunyai bakat dalam bidang penulisan untuk menghantar karya seperti sajak, pantun atau cerita pendek ke e-Buletin ini. Karya boleh dihantar kepada guru Bahasa Melayu kelas masing atau e-melkan kepada [email protected]. Karya boleh dihantar dengan menggunakan tulisan tangan atau bercetak. Murid yang karyanya tersiar akan menerima majalah Mingguan Didikku. DITERBITKAN OLEH: PANITIA BAHASA MELAYU SK SERI LALANG (TS25), 86000 KLUANG, JOHOR. ©Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan menerbitkan mana-mana bahan daripada e-buletin ini dengan apa-apa juga cara sekali pun.