The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PISMPBM80622 Nur Addinna Binti Hamidon, 2024-04-17 00:55:11

SAHABAT SELAMANYA

Buku Cerita Nur Addinna

Keywords: BAhasa Melayu Kesusasteraan Kanak-Kanak

Hakim dan Lukman merupakan sahabat baik. Hakim dan Lukman bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Indah. Hakim tinggal bersama dengan ibunya, Puan Intan. Lukman pula tinggal bersama ayah dan ibunya iaitu Encik Latif dan Puan Aminah. Hakim membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan berbeza dengan keluarga Lukman. Kesusahan hidup bukan penghalang untuk Hakim berjaya. Hakim sentiasa memperoleh keputusan yang cemerlang sehingga dia menjadi murid contoh kepada rakan-rakan yang lain.


Pada setiap petang, Hakim dan Lukman menghabiskan masa di padang. Hakim akan berjalan kaki untuk ke padang. Ketika Hakim sedang bermain bersama dengan rakan yang lain, dia ternampak Lukman sedang mengayuh basikal. Lukman memberhentikan basikalnya di tepi pokok. Lukman memberitahu bahawa basikal tersebut merupakan pemberian daripada ayahnya. Basikal tersebut berwarna merah. Hakim tertarik dan ingin mencuba mengayuh basikal. Hakim meminta izin untuk mencuba mengayuh basikal tersebut. Hakim berasa sangat gembira.


Setelah pulang ke rumah, Hakim mencari ibunya. Dia ingin meminta ibunya membelikan basikal. ”Ibu, Hakim nak beli basikal. Hakim nak beli basikal macam Lukman. Nanti Hakim boleh pergi sekolah naik basikal.” ujar Hakim. Ibu Hakim memandang wajah anaknya itu. Puan Intan memikirkan duit yang hanya cukup untuk membeli keperluan dan makanan untuk dirinya dan Hakim. ”Ibu tiada duit. Bila ibu ada duit, ibu belikan basikal untuk Hakim ye.” pujuk Puan Intan. Hakim berasa kecewa. Dia menuju ke biliknya.


Keesokkan harinya, Hakim melihat Lukman menuntun basikal masuk ke kawasan sekolah. Lukman meletakkan basikalnya di kawasan yang disediakan oleh pihak sekolah. Mereka berjalan bersama ke kelas 3 Amanah. ”Lukman, kau dah siap latihan Matematik yang Cikgu Fatin beri semalam?” soal Hakim. Cikgu Fatin ada pesan yang latihan tersebut perlu dihantar pada hari ini. Hakim selaku ketua kelas bertanggungjawab mengumpul buku latihan Matematik kelas 3 Amanah.


”Alamak! Aku lupa nak siapkan. Ada soalan yang aku tak faham. Kau boleh tolong ajar aku?” ”Mestilah boleh. Ibu aku pesan, kita mestilah berkongsi ilmu pengetahuan. Kita mesti tolong kawan yang tidak faham.” ujar Hakim. Hakim sentiasa mengingati nasihat ibunya supaya membantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan apabila mereka tidak memahami sesuatu. “Terima kasih Hakim” balas Lukman dengan senyuman.


Pada keesokkan harinya, Hakim dan Amar sedang bermain bola sepak di padang. Mereka sangat suka bermain bola sepak. Lukman berehat di tepi pokok. Dia mengeluarkan kereta mainan yang dibawanya di dalam beg. ”Hakim !” ”Amar !” Lukman memanggil Hakim dan Amar. “Aku ada bawa kereta mainan. Cuba korang tengok ni.” Lukman menunjukkan kepada kereta mainannya.


Mereka teruja melihat kereta mainan tersebut lebih-lebih lagi Hakim. Dia ingin meminjam kereta mainan Lukman. ”Aku nak pinjam kereta mainan kau, boleh?” Hakim bertanya kepada Lukman. ” Boleh, kau kena jaga kereta mainan aku. Jangan rosak atau hilang.” pesan Lukman. Dia sangat menyayangi kereta mainan tersebut. ”Baik Lukman.” Hakim berjanji akan menjaga mainan Lukman dengan baik.


Hakim sangat rajin membantu ibunya di rumah. Hakim membantu ibunya menyapu sampah, mengelap tingkap dan membuang sampah. Setelah selesai mengemas rumah, Hakim meminta izin untuk pergi ke padang. Hakim mengambil kereta mainan Lukman yang dipinjamnya di atas meja. Dia sudah berjanji untuk memulangkan kereta mainan tersebut pada hari ini.


Dia berlari kerana dia sudah lewat untuk berjumpa Lukman dan rakan-rakannya di padang. Tiba-tiba, Hakim terjatuh di atas tanah. Dia tersadung pada batu. Dia mengalami luka di lengan dan lutut. Dia terkejut mendapati bahawa kereta mainan Lukman telah rosak dan calar. Tayar kereta mainan tersebut telah tercabut.


Hakim berasa sangat takut kerana kereta mainan Lukman telah rosak. Dia tidak berani untuk berjumpa dengan Lukman. Hakim berjalan dengan langkah yang perlahan untuk pulang ke rumah. ”Kenapa dengan kaki tu?” Puan Intan hairan mengapa Hakim berjalan seperti itu. Puan Intan menuju ke arah anaknya. Dia melihat lengan dan lutut Hakim cedera. ”Hakim jatuh tersadung batu tadi” Hakim segera menjawab. Puan Intan terus mengambil ubat antiseptik untuk menyapu pada luka Hakim.


Keesokan harinya, Lukman bertanya kepada Hakim mengapa dia tidak datang ke padang petang semalam. Hakim tidak berani untuk memberitahu bahawa kereta mainan Lukman telah rosak tetapi Hakim perlu berkata jujur. ”Maafkan aku, Lukman. Aku tak sengaja rosakkan kereta mainan kau.” kata Hakim sambil menunjukkan kereta mainan kepunyaan Lukman. Lukman terkejut melihat kereta mainannya. ”Aku tak nak bagi kau pinjam barang aku lagi. Aku tak nak kawan kau!” marah Lukman. Lukman berasa sangat kecewa kerana Hakim tidak menjaga kereta mainannya dengan baik.


Hakim tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk berbaik semula dengan Lukman. Setelah pulang ke rumah, Hakim mengadu kepada ibunya. ”Ibu, Hakim sedih. Lukman tak nak kawan sebab Hakim rosakkan kereta mainan dia. Hakim tak sengaja.” Ada mutiara jernih mengalir di pipi. ”Hakim kena minta maaf dekat Lukman. Lukman bagi pinjam sebab dia percayakan Hakim boleh jaga kereta mainan dia. Hakim kena bertanggungjawab. Sepatutnya Hakim kena jaga barang orang yang kita pinjam itu baik-baik.” pujuk Puan Intan sambil mengusap kepala Hakim.


Lukman langsung tidak menegur Hakim di kelas. Lukman cuba mengelak untuk bercakap dengan Hakim. Lukman sangat kecewa kerana Hakim tidak menjaga barang yang dipinjamnya dengan baik.. Amar cuba untuk memujuk Lukman supaya Lukman memaafkan Hakim. Lukman tidak patut memutuskan persahabatannya dengan Hakim begitu sahaja.


Selepas pulang ke sekolah, Hakim makan tengah hari bersama ibunya. Hakim segera menghabiskan makanannya. Dia ingin menyiapkan latihan Bahasa Melayu yang telah diberikan oleh cikgu. ”Hakim!” Hakim pantas terduduk apabila mendengar suara ibunya disebalik pintu. Ibunya meminta Hakim untuk pergi ke ruang tamu. Ibunya membelikan kereta mainan yang baru untuk menggantikan kereta mainan Lukman. Ibu meminta Hakim berjumpa Lukman untuk meminta maaf dan memberikan kereta mainan yang baru itu. Hakim berasa bersalah kerana ibunya terpaksa membeli kereta mainan baru atas kesalahan dirinya sendiri.


Hakim datang ke rumah Lukman untuk menggantikan kereta mainan. Ayah Lukman memberitahu bahawa Lukman tidak mahu berjumpa dengan Hakim. Hakim menceritakan kisah sebenar yang berlaku. Hakim memberitahu bahawa dia tidak sengaja merosakkan kereta mainan tersebut. Ketika dia hendak pergi ke padang, dia terlanggar batu dan terjatuh. Hentakan yang kuat pada kereta mainan menyebabkan tayar itu tercabut.


Ayah Lukman menasihati supaya Lukman memaafkan Hakim. Lukman sedar akan kesilapannya. Lukman meminta maaf kepada Hakim kerana telah memarahi Hakim. Hakim dan Lukman kembali berbaik semula dan mereka bermain bersama-sama. Mereka menjadi sahabat baik selamanya.


Click to View FlipBook Version