The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

KOD ETIKA DAN TETAKELAKUAN SSPDRM (V2020 BUKIT AMAN)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by faizfaizun, 2021-04-14 01:12:55

KOD ETIKA DAN TETAKELAKUAN SSPDRM V2020

KOD ETIKA DAN TETAKELAKUAN SSPDRM (V2020 BUKIT AMAN)

KOD ETIKA DAN
TATAKELAKUAN

SUKARELAWAN SIMPANAN
POLIS DIRAJA MALAYSIA

15 DISEMBER 2020
Disediakan Oleh:
Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan
Jabatan Pencegahan Jenayah dan
Keselamatan Komuniti
BUKIT AMAN

PERUTUSAN

KETUA POLIS NEGARA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Pasukan.

Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) adalah salah satu
sumber sokongan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Warga SSPDRM turut
menyumbangkan tenaga untuk menjaga ketenteraman, keamanan dan
keselamatan negara. Untuk mengekalkan perkhidmatan yang baik dan teratur
serta mempamerkan SSPDRM sebagai sumber sokongan PDRM yang mantap
dan profesional, maka penerapan nilai etika dan tatakelakuan adalah amat
penting. Nilai-nilai ini wajib dijadikan sebagai asas dan panduan kepada semua
warga SSPDRM agar dapat menyumbangkan perkhidmatan kepolisan yang
berkualiti dan berintegriti kepada masyarakat.

2. Sehubungan itu, Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman telah
menyediakan Kod Etika dan Tatakelakuan SSPDRM sebagai rujukan dan
panduan kepada warga SSPDRM. Kod ini mengandungi maklumat berkaitan
nilai etika dan tatakelakuan yang wajib diikuti dan dipatuhi oleh semua warga
SSPDRM. Semoga dengan pelaksanaan Kod Etika dan Tatakelakuan ini, ia
akan meningkatkan kualiti dan profesionalisme warga SSPDRM serta menjadi
sumber sokongan PDRM yang dihormati dan disegani.

3. Dengan ini saya mengumumkan Kod Etika dan Tatakelakuan SSPDRM
ini berkuatkuasa mulai daripada tarikh Perutusan ini.

Wassalam,

SENARAI KANDUNGAN

Bil Perkara M/S
1. PENGENALAN 1
1
2. TUJUAN 1
2
3. TAKRIFAN 9
9
4. ETIKA DAN TATAKELAKUAN
10
5. AMALAN PENCEGAHAN PENYAKIT BERJANGKIT 11
11
6. PENGURUSAN ADUAN
12
7. ETIKA DAN TATAKELAKUAN TERHADAP RAKAN
SEKERJA DAN PROFESION LAIN 13
14
8. PEMATUHAN

9. PENUTUP

LAMPIRAN-LAMPIRAN

BORANG AKU JANJI KOD ETIKA DAN
TATAKELAKUAN SUKARELAWAN SIMPANAN POLIS
DIRAJA MALAYSIA

BORANG AKTA RAHSIA RASMI 1972

BORANG IKRAR DADAH

1. PENGENALAN

1.1 Kod Etika dan Tatakelakuan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia
(SSPDRM) yang disediakan oleh Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan
(KSS), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK)
Bukit Aman adalah satu himpunan nilai dan moral serta panduan selaras
dengan peraturan perkhidmatan awam1 untuk dipatuhi oleh SSPDRM.

1.2 Kod ini merangkumi Etika Kerja dan Etika Profesional yang akan dihuraikan
dalam set nilai dan etika untuk digunapakai oleh warga SSPDRM.

2. TUJUAN

2.1 Menjadi panduan dan kawalan kepada warga SSPDRM dalam melaksanakan
tugas dan tanggungjawab;

2.2 Meningkatkan sikap profesionalisme warga SSPDRM, kualiti perkhidmatan
dan akauntabiliti serta keberkesanan pengurusan SSPDRM;

2.3 Meningkatkan penghayatan dan pemahaman yang standard untuk dipatuhi
oleh warga SSPDRM; dan

2.4 Membudayakan dan memantapkan integriti kerja warga SSPDRM bagi
meningkatkan kualiti perkhidmatan.

3. TAKRIFAN

Etika
Tanggungjawab dan akibat tingkah laku mana-mana orang atau profesion terhadap
masyarakat.

Tatakelakuan
Tingkahlaku yang boleh dan tidak boleh dilakukan selaras dengan peraturan serta
amalan baik dalam organisasi.

1 Part X of The Police (Volunteer Reserve) Regulations 1956 - Regulation 24 Reserve police officers deemed
to be public servants.

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 1

Nilai
Kepercayaan yang mendorong pemikiran, keperibadian dan amalan kerja mana-
mana orang dalam organisasi mengikut pilihan berasaskan norma-norma utama
masyarakat.

Warga SSPDRM
Pegawai dan anggota SSPDRM yang berkhidmat di bawah Bahagian KSS, JPJKK
sama ada di peringkat Bukit Aman, kontinjen, daerah atau balai.

Pegawai Pemerintah
Seseorang pegawai polis yang diberi kuasa oleh Ketua Polis Negara (KPN)
mengawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai mana-mana negeri, kawasan,
tempat, formasi atau daerah polis di bawah Seksyen 6 Akta Polis 1967 (Akta 344)
dan ditetapkan sebagai demikian oleh KPN.

4. ETIKA DAN TATAKELAKUAN

4.1 Memberikan Taat Setia
Warga SSPDRM hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya
kepada Yang Di-Pertuan Agong, Negara, Kerajaan dan PDRM.

4.2 Pematuhan Undang-Undang dan Peraturan

Warga SSPDRM hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan
dan mana-mana arahan yang berkuatkuasa sepanjang tempoh berkhidmat di
PDRM.

4.3 Menjaga Imej dan Nama Baik
Warga SSPDRM hendaklah sentiasa menjaga imej dan nama baik PDRM.
Warga SSPDRM dilarang melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bermoral
atau sebarang aktiviti lain yang boleh mencemarkan imej JPJKK khasnya dan
PDRM amnya.

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 2

4.4 Tatacara Berpakaian

Warga SSPDRM hendaklah

i. Memakai ‘uniform’ (pakaian seragam) PDRM yang lengkap semasa
menjalankan tugas melainkan diarah sebaliknya dari semasa ke
semasa; dan

ii. Membentuk budaya berketerampilan diri yang kemas, profesional
dan cemerlang bagi meningkatkan keyakinan dan persepsi
masyarakat yang positif terhadap imej SSPDRM khasnya dan PDRM
amnya.

Warga SSPDRM dilarang:
i. Mempamerkan diri dengan ‘uniform’ (pakaian seragam) PDRM

(bukan masa tugas) dan menonjolkan diri di mana-mana tempat
untuk tujuan menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan dirinya
sendiri, ahli keluarga, saudara atau sekutunya;

ii. Berpakaian secara melanggar peraturan / menjolok mata / kurang
sesuai semasa menjalankan tugas;

iii. Memakai sebarang aksesori perhiasan diri semasa memakai
‘uniform’ (pakaian seragam) PDRM, kecuali yang diluluskan untuk
kekemasan keterampilan diri dan

iv. Membuat cacahan gambar (tattoo) dalam sebarang bentuk pada
mana-mana bahagian badan, kecuali keperluan cacahan ini dibuat
atas sebab-sebab adat atau keagamaan. Walaubagaimanapun
kelulusan hendaklah diperolehi dari pegawai pemerintah.

4.5 Kehadiran Bertugas

Warga SSPDRM hendaklah:

i. Menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan
amanah;

ii. Menghadirkan diri di tempat tugas mengikut waktu bertugas yang telah
ditetapkan;

iii. Menghadirkan diri untuk taklimat penugasan sekurang-kurangnya 10
minit lebih awal dari masa taklimat penugasan yang ditetapkan;

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 3

iv. Mencatat kehadiran di Daftar Kedatangan Pasukan SSPDRM (Pol. 49)
dan Buku Perharian Balai (SD – Pol 40) untuk tujuan rekod dan
pemantauan serta sebagai rujukan untuk tuntutan elaun penugasan;

v. Mendapatkan kelulusan terlebih dahulu dari pegawai yang
bertanggungjawab jika dikehendaki meninggalkan tempat bertugas
lebih awal dari masa yang ditetapkan;

vi. Mengemukakan permohonan cuti lebih awal selaras dengan arahan
yang berkuatkuasa; dan

vii. Memaklumkan kepada penyelia sebarang pertukaran jadual
penugasan dan pastikan terdapat pengganti untuk melaksanakan
tugas yang ditinggalkan.

Warga SSPDRM dilarang:

i. Menonjol atau mempamerkan apa-apa senjatapi yang digunakan
sebelum masuk tugas, semasa atau selepas bertugas untuk meraih
perhatian orang ramai terhadap dirinya;

ii. Meminum minuman keras atau apa-apa minuman yang memabukkan
sebelum masuk tugas ataupun semasa bertugas;

iii. Mencatat kehadiran bagi pihak orang lain;

iv. Hadir lewat ke tempat tugas tanpa kebenaran pegawai yang
bertanggungjawab;

v. Membawa pelawat bersama semasa bertugas tanpa kebenaran
terlebih dahulu dari pegawai yang bertanggungjawab;

vi. Meninggalkan pejabat atau tempat bertugas atas urusan peribadi
tanpa kebenaran;

vii. Mengambil gambar atau ‘selfie’ (swafoto) semasa bertugas yang
bertujuan untuk mendedahkan penugasan serta mempamerkan
kehadiran penugasan dalam media sosial tanpa kebenaran.

viii. Menggunakan telefon bimbit kerana ketagihan permainan secara
dalam talian atau apa-apa urusan secara dalam talian sehingga
menjejaskan penugasan yang berkesan;

ix. Memuat naik apa-apa gambar atau rakaman video berkaitan
penugasan SSPDRM melalui apa-apa aplikasi talian internet tanpa
kelulusan pegawai pemerintah; dan

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 4

x. Menyimpan untuk kegunaan sendiri apa-apa Buku Saman (Pol. 257)
atau Notis Saman (Pol. 170A) yang telah digunakan semasa
menjalankan tugas.

4.6 Keselamatan Pejabat Atau Tempat Tugas

Warga SSPDRM hendaklah:

i. Memakai pas keselamatan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengawai
Keselamatan Kerajaan Malaysia bila hadir di pejabat;

ii. Menyimpan kunci pejabat di tempat simpanan kunci yang ditetapkan;

iii. Memastikan pejabat dikunci selepas waktu bertugas; dan

iv. Memastikan kekemasan dan kebersihan pejabat sentiasa diperlihara.

Warga SSPDRM dilarang:

i. Menyimpan barangan yang menyalahi undang-undang sama ada
untuk dirinya sendiri, ahli keluarga, saudara atau sekutunya di pejabat
atau tempat tugas;

ii. Berkumpul untuk berjudi di pejabat atau tempat tugas sebelum,
semasa atau selepas bertugas; dan

iii. Meminum minuman keras atau apa-apa minuman yang memabukkan
di pejabat atau tempat tugas.

iv. Menghisap rokok di dalam pejabat.

v. Membawa pelawat secara sesuka hati ke pejabat atau tempat tugas
pada bila-bila masa tanpa kebenaran terlebih dahulu.

4.7 Keselamatan Dokumen
Warga SSPDRM hendaklah:
i. Menjaga keselamatan dan kerahsiaan dokumen dan tertakluk
kepada peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

ii. Menyediakan fail-fail untuk menyimpan dokumen-dokumen yang
berkaitan dengan urusan Pejabat Pentadbiran dan Pengurusan
SSPDRM di peringkat Bukit Aman, kontinjen, daerah atau balai;

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 5

iii. Menyusun dan menyimpan fail-fail ini dalam kabinet / almari yang
berkunci;

iv. Menggunakan fail-fail ini untuk urusan di pejabat ini sahaja; dan

v. Mempunyai pengetahuan bahawa Pengarah JPJKK, Timbalan
Pengarah JPJKK, Ketua Penolong Pengarah KSS, Ketua JPJKK
kontinjen, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan
Komuniti Daerah dan pegawai polis yang bertanggungjawab
terhadap urusan SSPDRM mempunyai akses kepada fail-fail ini.

Warga SSPDRM dilarang:

i. Mengakses kepada fail-fail atau dokumen ‘RAHSIA’, ‘SULIT’ dan
‘TERHAD’ yang dikendalikan oleh JPJKK Bukit Aman, kontinjen,
daerah dan balai yang berkaitan;

ii. Membawa keluar apa-apa dokumen dan data dari pejabat tanpa
kebenaran pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap urusan
SSPDRM; dan

iii. Menyalahgunakan kandungan dokumen yang berkaitan dengan
urusan pejabat untuk tujuan yang tidak dibenarkan.

4.8 Aset dan Harta Kerajaan
Warga SSPDRM hendaklah menggunakan aset dan harta kerajaan secara
cermat bagi mengelakkan kehilangan, kerosakan dan kerugian kepada
kerajaan.

Warga SSPDRM dilarang:
i. Menggunakan aset dan harta kerajaan untuk kepentingan peribadi;

dan

ii. Menggunakan aset dan harta kerajaan secara berlebihan sehingga
menyebabkan pembaziran dan mendatangkan kerosakan.

4.9 Kegiatan Politik

Warga SSPDRM dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti politik
khususnya:

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 6

i. Membuat apa-apa pernyataan awam sama ada secara lisan atau
bertulis atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti-parti
politik;

ii. Menerbitkan atau mengedar buku, makalah atau risalah tentang apa-
apa perkara yang berkaitan dengan mana-mana parti politik;

iii. Merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada pilihan raya
umum, pilihan raya kecil, atau apa-apa pilihan raya untuk apa-apa
jawatan dalam mana-mana parti politik;

iv. Menjadi ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi atau atas apa-
apa sifat untuk atau bagi calon dalam pilihan raya Dewan Rakyat atau
bagi mana-mana Dewan Undangan Negeri; dan

v. Masuk bertanding untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti
politik; atau

vi. Memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

4.10 Pernyataan Awam

Warga SSPDRM dilarang membuat, menghebah atau menerbitkan apa-apa
pernyataan awam berhubung dengan apa-apa dasar, program dan keputusan
kerajaan atau PDRM melalui media cetak, media sosial atau melalui apa-apa
cara sekalipun.

Warga SSPDRM hendaklah mendapatkan kelulusan pegawai pemerintah
terlebih dahulu sekiranya pegawai atau anggota SSPDRM ini menerima
sebarang jemputan temuduga berhubung kait dengan SSPDRM oleh mana-
mana agen atau media.

4.11 Gangguan Seksual

Warga SSPDRM dilarang melakukan apa-apa gangguan seksual terhadap
rakan sekerja atau mana-mana orang sama ada secara lisan, bukan lisan,
visual, psikologi atau fizikal dan sehingga seseorang yang waras berasa
tersinggung, terhina atau terugut dengan perlakuan itu.

4.12 Penyalahgunaan Dadah

Warga SSPDRM dilarang

i. Menggunakan atau mengambil apa-apa dadah berbahaya, kecuali
yang dipreskripsikan untuk kegunaan perubatan oleh pengamal

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 7

perubatan yang berdaftar atau menyalahgunakan atau menagih apa-
apa jenis dadah berbahaya; dan

ii. Membeli, memiliki, menjual dan mengedar apa-apa dadah berbahaya.

Warga SSPDRM hendaklah melaporkan kepada Pegawai / Penyelia
sekiranya mengetahui mana-mana warga SSPDRM telah menyalahgunakan
dadah berbahaya.

4.13 Keterhutangan Kewangan Yang Serius

Warga SSPDRM dilarang menyebabkan dirinya berada dalam keterhutangan
yang serius.

Warga SSPDRM hendaklah mengamalkan hidup mengikut kemampuan diri.

4.14 Perlakuan Rasuah

Warga SSDPRM dilarang:

i. Meminta, menerima, menawarkan atau memberikan apa-apa suapan
sebagai upah atau dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan
perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi; dan

ii. Menyalahgunakan kuasa berdasarkan kedudukan, pangkat atau
jawatan SSPDRM untuk menerima apa-apa suapan atau kepentingan
sama ada bagi dirinya sendiri, ahli keluarga, saudara atau sekutunya.

Warga SSDPRM hendaklah melaporkan kepada Pegawai / Penyelia
sekiranya mengetahui mana-mana warga SSPDRM melibatkan diri dalam
salah laku ini.

4.15 Kegiatan Jenayah

Warga SSPDRM dilarang:

i. Melakukan apa-apa kegiatan jenayah yang menyalahi mana-mana
undang-undang yang sedang berkuatkuasa;

ii. Menyembunyikan apa-apa prosiding jenayah terhadap dirinya sama
ada dalam Malaysia ataupun luar negara;

iii. Mempamer dan menyalahguna logo polis, peralatan polis atau
‘uniform’ (pakaian seragam) PDRM untuk apa-apa tujuan yang

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 8

menyalahi undang-undang demi kepentingan diri sendirinya, ahli
keluarga, saudara atau sekutunya dan memudaratkan imej PDRM;

iv. Mengemukakan apa-apa dokumen berlogo polis atau mana-mana
dokumen yang mengandungi butiran palsu dengan tujuan untuk
memperdayakan mana-mana orang demi sesuatu kepentingan sama
ada bagi dirinya sendiri, ahli keluarga, saudara atau sekutunya; dan

v. Menunjuk dan menyalahguna kad kuasa SSPDRM untuk melakukan
ugutan, pemerasan atau apa-apa kegiatan yang menyalahi undang-
undang.

Warga SSDPRM hendaklah melaporkan kepada Pegawai / Penyelia
sekiranya mengetahui mana-mana warga SSPDRM terlibat dalam apa-apa
kegiatan jenayah.

5. AMALAN PENCEGAHAN PENYAKIT BERJANGKIT

Warga SSPDRM hendaklah mengamalkan arahan berkaitan pengawalan penyakit
berjangkit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis
Keselamatan Negara (MKN) yang berkuatkuasa mengikut peruntukan di bawah Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

6. PENGURUSAN ADUAN

Warga SSPDRM dilarang:

i. Membuat apa-apa TOHMAHAN tanpa sebarang asas demi kepentingan diri
sendirinya, ahli keluarga, saudara atau sekutunya;

ii. Membuat apa-apa TOHMAHAN tanpa sebarang asas terhadap rakan sekerja
atau mana-mana individu dengan niat untuk mencemar nama baik seseorang
atau menghuru-harakan pengurusan dan pentadbiran mana-mana pejabat
bagi mencemarkan imej SSPDRM secara amnya dan PDRM secara khasnya;
dan

iii. Mengedarkan apa-apa ADUAN atau TOHMAHAN tanpa sebarang asas
kepada:-

a. Kementerian-kementerian / agensi-agensi kerajaan yang lain;

b. Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau

c. Mana-mana individu yang berpengaruh.

Warga SSPDRM hendaklah:

i. Memberhentikan segala aktiviti TOHMAHAN tanpa asas;

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 9

ii. Menyalurkan segala aduan untuk tujuan penambahbaikan kualiti
perkhidmatan SSPDRM;

iii. Menyalurkan sebarang cadangan dan nasihat yang membina untuk
pembangunan SSPDRM;

iv. Menyalurkan semua aduan termasuk salah laku pegawai dan anggota
SSPDRM mengikut saluran yang disediakan oleh JPJKK bersama butiran
pengadu / pencadang yang lengkap dan betul seperti berikut:-

a. Nama penuh penghantar;

b. No Kad Pengenalan dan No Badan;

c. Alamat surat-menyurat;

d. Tempat bertugas / jawatan (Balai / Daerah / Kontinjen); dan

e. Nombor Telefon (Rumah / Mobile / Pejabat);

(Pengadu yang tidak menyertakan maklumat peribadi yang lengkap tidak akan
dilayan.)

v. Mengemukakan aduan yang jelas bersama dengan bukti-bukti yang berkaitan
jika ada; dan

vi. Menghantar aduan, cadangan atau nasihat kepada pegawai-pegawai polis
yang berkenaan melalui saluran yang ditentukan seperti berikut:-

i. Ketua Polis Negeri melalui Ketua JPJKK kontinjen berkenaan;

ii. Ketua Polis Daerah melalui Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah
dan Keselamatan Komunti daerah berkenaan;

iii. Komandan SSPDRM kontinjen melalui Ketua SSPDRM daerah
berkenaan; dan

iv. Melalui alamat emel: [email protected] untuk saluran
peringkat Bukit Aman.

vii. Pengadu / pencadang hendaklah bersiap-sedia untuk menampilkan diri
sekiranya diarah untuk memberi keterangan lanjut berkaitan aduan atau
cadangan yang dikemukakan.

7. ETIKA DAN TATAKELAKUAN TERHADAP RAKAN SEKERJA DAN PROFESION
LAIN

Warga SSPDRM hendaklah:

i. Menghormati maruah, nilai dan harga diri rakan sekerja dan profesion lain;

ii. Menghormati pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan pandangan rakan
sekerja dan profesion lain;

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 10

iii. Berfikiran positif dan terbuka dalam menerima dan menilai pendapat daripada
rakan sekerja dan profesion lain;

iv. Bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira profesion dan tidak
mengamalkan ‘work in silo’; dan

v. Menyokong dan membantu rakan sekerja dan profesion lain.

8. PEMATUHAN
8.1 Tatakelakuan dan larangan dalam Kod Etika ini hendaklah dibaca bersama
dengan Akta Polis 1967 (Akta 344), The Police (Volunteer Reserve)
Regulations, 1956 dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) H 601
SSPDRM, PTKPN lain yang berkaitan, undang-undang dan peraturan-
peraturan yang sedang berkuatkuasa serta arahan-arahan pentadbiran yang
dikeluarkan oleh pihak PDRM dari semasa ke semasa;
8.2 Kegagalan atau keengganan warga SSPDRM mematuhi Kod ini boleh
disifatkan sebagai ingkar perintah dan dikenakan tindakan tatatertib; dan
8.3 PDRM mempunyai hak untuk mengkaji semula serta membuat
penambahbaikan mana-mana bahagian Kod Etika dan Tatakelakuan
SSPDRM dari semasa ke semasa.

9. PENUTUP
Kod Etika dan Tatakelakuan SSPDRM hendaklah menjadi rujukan dan panduan
kepada warga SSPDRM sepanjang tempoh perkhidmatan di bawah Bahagian KSS,
JPJKK Bukit Aman. Pembentukan dan penerapan nilai, etika dan tatakelakuan terbaik
membolehkan SSPDRM menjadi peneraju di dalam perkhidmatan kepolisan yang
berkualiti dan berintegriti kepada masyarakat.

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 11

LAMPIRAN ‘A’

Kod Etika & Tatakelakuan SSPDRM

AKU JANJI KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN
SUKARELAWAN SIMPANAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

1. Saya dengan ini mengesahkan bahawa saya telah membaca dan memahami
dengan sepenuhnya Kod Etika dan Tatakelakuan Sukarelawan Simpanan
Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

2. Saya dengan ini berjanji akan mematuhi sepenuhnya Kod Etika dan
Tatakelakuan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan
sekiranya saya enggan atau gagal mematuhi Kod ini saya boleh dikenakan
tindakan tatatertib.

Saya ………………………………………………………………………………………………….
No. Badan: ………………………………….… Pangkat: …………………….…………………
Jawatan ……………………………………………………………. yang berkhidmat dengan
……………………………………………………………………… telah membaca dan
memahami serta berjanji akan mematuhi Kod Etika dan Tatakelakuan Sukarelawan
Simpanan Polis Diraja Malaysia yang disediakan oleh Bahagian Koordinasi Sumber
Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

……………………………………………
(Tandatangan)

Tarikh :
Di hadapan saya,

………………………………………………
(Tandatangan Ketua Jabatan)
Cop Ketua Jabatan
Tarikh

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 12

(PR) 39/1/8 LAMPIRAN 'B'

Kod Etika & Tatakelakuan SSPDRM

PERAKUAN UNTUK DITANDATANGANI
OLEH PENJAWAT AWAM BERKENAAN

DENGAN AKTA RAHSIA RASMI 1972

Tarikh : Tandatangan
Tarikh : Nama Dalam Huruf Besar :

Jawatan :
Disaksikan Oleh :
Tandatangan
Nama Dalam Huruf Besar :

Cop Jabatan :

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 13

LAMPIRAN 'C'

Kod Etika & Tatakelakuan SSPDRM

BORANG IKRAR DADAH

(SEMASA MENGISI BORANG LAPORAN PRESTASI TAHUNAN)

Bahawa saya

Pangkat / Nama / No. Personel

Pada hari ini ____________________ * mengaku
Hari / Bulan / Tahun

A. Sentiasa mengekalkan etika disiplin kerja yang cemerlang dan mempamirkan
keperibadian yang murni.

B. Mengesahkan bahawa saya TIDAK TERLIBAT DI DALAM KEGIATAN MENYALAHGUNAKAN DADAH

C. Tidak akan mengguna dadah pada bila-bila masa pun.

D. Rela diperiksa oleh DOKTOR pada bila-bila masa dengan apa cara jua untuk
mempastikan saya tidak mengguna dadah.

Jika sekiranya saya mengingkari IKRAR ini saya rela tindakan perkhidmatan yang sewajarnya diambil
terhadap saya.

______________________ ______________________
( Tandatangan Saksi ) ( Tandatangan )

( Pangkat / Nama / No. Personel ) ( Pangkat / Nama / No. Personel )

( Tarikh ) ( Tarikh )

# DADAH – Bermaksud apa-apa jenis dadah yang tersenarai di bawah Jadual Pertama
AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 (Akta 234) dan apa-apa racun yang tersenarai di bawah Jadual
Pertama dan Ketiga AKTA RACUN 1952 (Akta 366).

KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN SSPDRM 14


Click to View FlipBook Version