LESTARI SEJARAH SEKOLAH MARI KENALI TOKOH DI SEBALIK NAMA SEKOLAH KITA
SEJARAH SEKOLAH Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin pada asalnya didaftarkan atas nama Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Utama dan telah memulakan operasinya pada 1 Januari 2011. Atas cadangan Ketua Menteri Melaka, iaitu Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd. Ali bin Mohd. Rustam, nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin sempena menghargai jasa Tuan Yang Terutama Negeri Melaka yang ke-5, iaitu Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin. Tun Syed Ahmad Al-Haj merupakan seorang tokoh yang berwibawa dan mempunyai keperibadian yang tinggi dan mulia. Beliau sentiasa beriltizam untuk melihat Melaka semakin maju dan berkembang. Jasa dan pengorbanan beliau amat besar.
LATAR BELAKANG Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin merupakan Yang Di-Pertua Negeri Melaka ke-5. Beliau dilahirkan pada tanggal 4 Mei 1925 di Kulim, Kedah. Bapanya, Syed Mahmud Shahabudin bin Syed Ahmad berasal dari Palembang manakala ibunya iaitu Tengku Arfah binti Tengku Mohd. Said berasal dari Kulim, Kedah. Tun Syed Ahmad al-Haj merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan. Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Shariffah Haniffah binti Syed Alwi dan Toh Puan Datuk Seri Datin Seri Utama Marfuza Sheikh Mohd Osman. Pada tanggal 7 Julai 1991, Toh Puan Shariffah Haniffah telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur.
PENDIDIKAN Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kulim dari tahun 1932 hingga 1935. Ibu dan bapanya tidak lupa membekalkan Tun dan adikberadiknya yang lain dengan pendidikan agama dengan menghantar mereka ke kelas agama. Tun Syed Ahmad al-Haj mengaji al-Quran pada sebelah petang. Di situ, beliau mendalami ilmu agama sehingga fasih menghafaz al-Quran. Setelah tamat persekolahan darjah empat, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Beliau dimasukkan ke Special Malay Class One. Apabila meletusnya Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Tun Syed Ahmad terpaksa berhenti belajar. Beliau menamatkan pelajarannya di Darjah 7.
SEMASA PENDUDUKAN JEPUN Semasa Perang Dunia Kedua, Jepun berjaya mengambil alih Tanah Melayu daripada pihak British. Setelah berhenti belajar, Tun Syed Ahmad Al-Haj mengganggur selama beberapa tahun. Demi menyara keluarga, beliau melakukan kerja-kerja seperti menarik beca, menjual pisang goreng, menjual beras, menjual surat khabar dan menjadi buruh ladang. Beliau juga mempunyai kemahiran menaip dan pernah bekerja sebagai petisien writer kepada seorang Cina di Kulim. Beliau pernah dikerah memasuki sekolah Jepun semasa Perang Dunia Kedua hingga mahir berbahasa Jepun walaupun belajar selama dua bulan sahaja. Beliau turut menyertai Kumpulan Pemuda Jepun untuk mempelajari latihan tinju dan kawad. Selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Tanah Melayu, hasil dorongan keluarga, Tun Syed Ahmad Al-Haj meneruskan pelajarannya di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga lulus Senior Cambridge pada tahun 1947.
KERJAYA DAN PENGLIBATAN POLITIK Selepas lulus Senior Cambridge, Tun Syed Ahmad al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin memulakan kerjayanya sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Perbendaharaan Alor Setar bermula tahun 1948 hingga 1955. Pada tahun 1951, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha UMNO Kedah dan seterusnya menjawat jawatan Setiausaha UMNO Kedah selama 14 tahun. Semasa pilihanraya umum pertama, beliau telah menang dan menduduki kerusi Dewan Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dari tahun 1955 hingga 1959. Dalam tempoh itu, Tun dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah. Beliau turut dipilih sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dari tahun 1959. 14 Disember 1967, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-4 dan menerajui negeri Kedah selama 11 tahun. Tun Syed Ahmad Al-Haj telah memenangi kerusi Parlimen Padang Terap selama dua penggal iaitu pada pilihanraya umum 1978 dan 1982. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri pada tahun 1978 hingga September 1980 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari tahun 1981 hingga 1988.
HOBI Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin sangat suka membaca. Tun juga suka memelihara burung dan mendengar muzik tradisional Masa lapang beliau juga dipenuhi dengan kegiatan sukan terutamanya golf. Sukan golf merupakan sukan kegemarannya. Beliau pernah terlibat dalam sukan “Kejohanan Senior Golf Malaysia”. Siapa sangka, beliau sebenarnya merupakan salah seorang pemain golf antarabangsa. Beliau pernah membimbing pasukan Malaysia dalam sukan golf sehingga beroleh kejayaan yang membanggakan. Dengan minat yang mendalam serta mempunyai pengalaman dalam sukan ini, beliau pernah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Golf Asia dan Naib Presiden Pertubuhan Golf Antarabangsa. Selain itu, satu lagi kegemaran unik Tun Syed Ahmad ialah koleksi topi secara peribadi. Beliau memiliki beratus-ratus koleksi topi dengan pelbagai bentuk, saiz dan jenis dari seluruh negara.
JASA DAN SUMBANGAN Tun Syed Ahmad Al-Haj telah menubuhkan Angkatan Kesetiaan Pemuda Melayu pada tahun 1951/52. Pertubuhan ini akhirnya bergabung dengan Kesatuan Pemuda-pemuda Melayu Negeri Kedah di bawah pimpinan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia untuk memperjuangkan kemerdekaan. Beliau telah menerajui negeri Kedah selama 11 tahun sebagai Menteri Besar ke-4 bermula tahun 1967 hingga 1978. Ketokohan beliau yang cemerlang mentadbir negeri Kedah, telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat Kedah. Pelbagai kemajuan telah dikecapi oleh negeri Kedah. Pada tahun yang sama, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi pertama PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) bahagian negeri Kedah. Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin juga menabur bakti dalam bidang kemasyarakatan. Pernah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Persatuan Jaksa Pendamai Kedah, Pengerusi St. John Ambulans Kedah dan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah.
TUAN YANG TERUTAMA NEGERI MELAKA KE-5 Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin mengangkat sumpah jawatan pada 4 Disember 1984 sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang kelima. Pengalaman yang luas dan jasa yang besar dalam hal pentadbiran telah menyebabkan beliau dipilih bagi menggantikan Tuan Yang Terutama Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan pada 30 November 1984. Y.A.B Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin merupakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka yang paling lama mentadbir negeri Melaka iaitu selama 20 tahun. Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin menamatkan perkhidmatannya pada 3 Jun 2004. Beliau digantikan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil bin Yaakub.
KETUA MENTERI SEMASA PENTADBIRAN TYT KE-5 Sepanjang 20 tahun di bawah pentadbiran Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin, seramai empat orang Ketua Menteri telah berkhidmat di bawah pentadbiran beliau. Tan Sri Rahim bin Datuk Tamby Chik (26 April 1982 hingga 13 Oktober 1994) Datuk Seri Haji Mohd. Zin bin Haji Abdul Ghani (14 Oktober 1994 hingga 14 Mei 1997) Datuk Seri Abu Zahar bin Haji Isnin (14 Oktober 1994 hingga 14 Mei 1997) Datuk Seri Haji Mohd. Ali bin Mohd. Rustam (3 Disember 1999 hingga 3 Jun 2004).
DARJAH KEBESARAN Bagi menghargai jasa dan sumbangan Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin kepada negara, Tun telah dikurniakan pelbagai darjah kebesaran. Penganugerahan ini diterima daripada Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri. Antara anugerah yang diterima ialah: ❑ Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) ❑ Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) ❑ Panglima Setia Mahkota (P.S.M) ❑ Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) ❑ Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) ❑ Seri Paduka Mahkota Kedah (S.P.M.K) ❑ Seri Setia Darjah Kedah (S.S.D.K) ❑ Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) ❑ Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K) ❑ Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) ❑ Johan Mangku Negara (J.M.N) ❑ Persekutuan dan Jaksa Pendamai (J.P) Kedah
GELARAN YANG DITERIMA Penganugerahan darjah kebesaran yang diterima oleh Tun Syed Ahmad daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah membawa gelaran beriku: ❑ 1975 – Datuk ❑ 1976 – Dato’ ❑ 1979 – Tan Sri ❑ 1985 – Datuk Seri Utama ❑ 1987 – Tun ❑ 1996 – Datuk Seri Panglima
BALASUNGKAWA Tanggal 7 Julai 2008, jam 7.45 pagi, Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Taman Tun Doktor Ismail, Kuala Lumpur. Beliau meninggal pada usia 83 tahun akibat sakit tua. Jenazah beliau telah disemadikan di Makam Pahlawan Negeri, Masjid Al-Azim, Melaka. Beliau merupakan pemimpin negeri pertama yang disemadikan di makam tersebut. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan kepada negeri dan rakyat Melaka. Jasa dan pengorbanan beliau amat besar. Seluruh rakyat negeri Melaka menyayangi dan menghargai segala jasa beliau. Al-Fatihah Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
TUN SYED AHMAD SHAHABUDIN DALAM KENANGAN Tun Syed Ahmad Al-Haj merupakan seorang yang amat bertanggungjawab terhadap rakyat negeri Melaka. Beliau sering mengadakan lawatan kerja serta lawatan peribadi bagi melihat sendiri kehidupan rakyat yang memerlukan bantuan. Pepatah Melayu ada menyatakan, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Jasa dan pengorbanan Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin kepada negeri Melaka akan tetap dikenang. Sebagai mengenang ketokohan dan sumbangan beliau kepada negeri Melaka, nama “Tun Syed Ahmad Shahabudin” telah diabadikan di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh dan Masjid Tun Syed Ahmad al-Haj di Jalan Istana, Bukit Beruang.
GALERI Tun bersama Tunku Abdul Rahman Tun sebagai Menteri Besar Kedah ke-4 (1967 – 1978) Bersama isterinya Toh Puan Datin Seri Utama Marfaza binti Shaikh Mohamed Osman. Tun bergambar bersama Tun Dr. Mahathir semasa menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1946. Tun dan isteri menghiasi Majalah Famili Tun bersama rakan-rakan. Duduk : Tun Dr. Mahathir & Osman Bakar Berdiri dari kiri : Azizi Husin, Tun Syed Ahmad Al-Haj & Mashahor Mohamad (abang Tun Dr. Mahathir) Bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
~SEKIAN~