Perutusan Teja buat Hang Tuah
Oleh Zulfazlan Jumrah
2010/03/08
"KE pangkuan kekanda kesumaku Laksamana Hang Tuah, satria bumi Melaka yang bertuah.
Maafkan adinda, sekiranya kehadiran perutusan ini sedikit mengganggu jeda senggang kekanda.
Barangkali juga perutusan ini mengganggu tugas kanda yang sibuk dengan tanggungjawab
menjaga kemakmuran negeri Melaka.
Kekanda,
Perutusan ini adalah perutusan rahsia adinda. Perutusan yang tercoret padanya tinta kasih dan
rindu kepada kekanda yang sentiasa bertakhta di hati adinda pada setiap jeda waktu yang ada.
Perutusan ini telah adinda coretkan ketika Paduka Baginda Sultan menghadiri satu sidang
musyawarah bersama-sama pedagang Benggali Putih di teratak Datuk Seri Bendahara Di Raja.
Maka, jeda waktu yang begitu berharga buat adinda seperti ini telah adinda manfaatkan untuk
mencoretkan perutusan buat kekanda sementelah dayang-dayang adinda ripuh menyiapkan air
bilasan untuk adinda bersiram yang diperbuat daripada 99 kuntum mawar sulung yang mekar di
taman larangan istana dan 99 kelopak tulip yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda dari
Majapahit kepada Baginda Sultan.Duhai Kekanda,
Bilakah serasanya kekanda mahu kembali bersua dengan adinda? Memadu kasih setelah teracun
rasa rindu nan jerih. Wahai kesuma jiwaku, usahlah kekanda gusar untuk bersua dengan adinda.
Barangkali muslihat yang sama ketika kita bertemu secara sembunyi di rumah inang pengasuh
adinda ketika di Pahang dahulu boleh kita amalkan buat kesekian kalinya. Barangkali
kebijaksanaan Dang Ratna, inang pengasuh adinda di sini melebihi kepintaran Dayangku Sita
yang membenarkan adinda menyusup keluar dari istana Bendahara Pahang dahulu, akan tetapi,
sebagai srikandi Melaka yang kini memegang sebahagian tampuk kuasa di istana yang agam ini,
adinda yakin segala-galanya akan menjadi lebih mudah lalu dapatlah adinda melepaskan dendam
rindu adinda terhadap kekanda.
Kekanda Hang Tuah,
Apakah perkhabarannya dengan Hang Jebat sekarang? Hampir sepurnama adinda tidak bersua
dengannya, ketika keramaian perkahwinannya dengan Dang Baru menjadi sua terakhir antara
kami. Kanda, sudahkah kalian berdua berdamai setelah Jebat bermati-matian menyanggah hasrat
kekanda untuk melarikan adinda dari Pahang dahulu? Berpeganglah kepada resmi air. Dicincang
lumat tak akan putus, rawan tersemat, segeralah dihapus. Ibarat menarik rambut dalam tepung,
rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, umpama menghunus keris tika berguru, pencak
serius atma biarlah kudus. Usah kerana adinda yang seorang ini, kekanda berdua berhunus keris
dan mencipta rangkai sengketa bersaudara. Jika ini berlaku, kelak buruk akibatnya terhadap
kemakmuran bumi Melaka.
Kesuma jiwaku,
Usai bersantap bersama paduka Baginda Sultan selepas terbit fajar siddiq tadi, dinda telah
menerima selayang perutusan berlagu pilu daripada adinda Tun Zainal. Adinda bongsu dinda
yang seorang itu menyampaikan perkhabaran bahawa ayahanda adinda, Bendahara Seri Amar
Diraja sudah hampir sepurnama gering. Santap dan minumnya tidak lagi sering. Puas diorak
pawang-pawang seluruh negeri dan tabib alim dari negeri Arab sana, namun kegeringan
ayahanda tetap tidak mahu kebah. Kanda, Tun Zainal merafak sembah kepada adinda agar
pulang untuk mencemar duli untuk menjenguk ayahanda, akan tetapi adinda bimbang sekiranya
hasrat adinda ini dipanjangkan kepada Baginda Sultan, adinda akan dimurkai oleh baginda.
Bukankah sejak kekanda melarikan adinda dahulu Pahang dan Melaka sudah hampir-hampir saja
mencipta perang sengketa, namun oleh kerana kebesaran daulat duli Tuanku serta betapa
gagahnya armada pendekar-pendekar di Melaka, maka hasrat ayahanda untuk menyerang
Melaka terpaksa dibatalkan, sementelah baginda Sultan Terengganu pula mula memusuhi
Pahang kerana dikatakan memungkiri janji kerana membiarkan adinda terlepas ke tangan
baginda Sultan Melaka. Seperti yang pernah kekanda nyatakan kepada adinda dahulu, “
Terengganu, Terengganunya, Pahang, Pahangnya. Dengan kebesaran daulat yang dimiliki oleh
Baginda Sultan Melaka, maka usahlah kita rakyat marhaen ini berhajat menggaris murka di hati
baginda.”
Kanda,
Hati adinda tidak keruan lantaran berbelah bahagi sama ada menjalankan tanggungjawab adinda
sebagai seorang anak yang tidak pernah menggarit garis luka, atau menumpahkan taat setia
kepada suami tercinta yang hakikatnya tidak pernah sekali pun adinda serahkan cinta ini
kepadanya. Cinta kepada ayahanda dan bonda adalah jambatan ke syurga, tetapi andai kepada
suami ditumpahkan taat setia, maka kasturi syurgalah juga aroma amalan kita. Apakah yang
perlu adinda lakukan kanda? Kolek cinta teroleng-oleng di muara jiwa, sedang di lubuk hati
hanya arus kasih kekanda yang masih deras bergelora. Adakah ini yang dikatakan cinta?
Berkorban apa sahaja, harta atau pun nyawa itulah kasih mesra lambang cinta yang sejati dan
mulia.
Satria Hatiku,
Ketahuilah, erti perutusan ini sangat mendalam. Perutusan ini adalah nukilan rasa hati adinda
yang tidak keruan ketika ini. Terperangkap dan terjerlus di dalam beting perasaan yang terselut
antara kekeliruan cinta setia kepada suami dan cinta sejati terhadap arjuna yang bertakhta di hati.
Kanda, pada hakikatnya, bukanlah adinda mahu benar menjadi permaisuri. Bertakhta di
singgahsana emas, sedangkan bahtera perasaan dinda sendiri semakin lemas. Percayalah kanda,
hanya kanda raja di hati, dan selama-lamanya bersultan di sanubari. Akan tetapi, inilah takdir
yang tidak dikarang. Berkasih dan bersayang, berkorban apa saja meski kelak nyawa sendiri
pipih melayang. Adinda tidak bisa menyesali apa yang sudah terjadi kini. Kerana adinda sendiri
yang memilih jalan berliku ini. Kasih di hati buat sang marhaen arjuna, tetapi setia dicurahkan
buat baginda yang mendaulati segala-galanya.
Kekandaku Hang Tuah, Satria Bumi Melaka,
Saat ini, adinda terkenangkan pelayaran sandera kita dahulu. Pelayaran yang cukup manis dan
meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat adinda. Kolek, pinisi, layar dan lancang
Melayu Terengganu membawa kita meredahi lautan duga sambil menggenggam erti seraut cinta.
Ya, adinda membuat keputusan untuk merelakan kekanda melarikan adinda kerana adinda yakin
pada tulus cinta kita, meski ketika itu adinda sudah pun ditunangkan dengan raja muda Paduka
Sultan Terengganu. Ketahuilah kekanda, pada mulanya adinda menyangka bahawa hasrat
kekanda mahu melarikan adinda dari negeri Pahang adalah kerana cinta dan hasrat kekanda
untuk memperisterikan adinda. Kedaulatan bumi Melaka dan seisinya menarik minat adinda
untuk mengikut kekanda walau adinda sendiri tidak pasti apakah bentuk kepayahan yang bakal
adinda tempuhi sepanjang pelayaran kita nanti. Namun, apabila kekanda menyatakan bahawa
tujuan kekanda melarikan adinda adalah untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, adinda
mula terfikir kewajaran adinda menuruti kekanda.
Kanda,
Demi cinta adinda terhadap kekanda, adinda turuti segala-galanya. Ketika itu, meski luluh jiwa
dan perasaan adinda lantaran terasa dikhianati oleh kepercayaan yang diberikan atas nama cinta,
adinda turuti jua kehendak kekanda. Kanda, ketika kanda memberikan sirih jampi kepada adinda
dengan niat agar adinda dapat melupakan kanda keesokan hari, ketahuilah bahawa adinda tidak
sedikit pun menjamah sirih jampi itu. Adinda tahu, jika adinda memakan sirih jampi itu, seluruh
ingatan, rasa cinta dan gelora rindu adinda terhadap kekanda akan lenyap sama sekali. Adinda
tidak mahu kehilangan kanda, arjuna yang pertama dan selama-lamanya bertakhta di lubuk
sukma adinda.
Kekanda,
Beberapa waktu kebelakangan ini juga, adinda mencurigai tingkah Tun Lading, pengawal turus
kanan yang menjaga gerbang utama laut Melaka. Beliau kelihatan sangat akrab dengan pedagang
Benggali Putih yang mahu berdagang di Melaka. Bukanlah adinda mencurigai kesetiaan Tun
Lading, tetapi adat Melayu santun berbahasa, musuh di selimut haruslah waspada. Adinda gusar
melihat keakraban Tun Lading bersama pedagang Benggali Putih yang dikenali sebagai De
Squera itu kerana khuatir kalau-kalau semua ini adalah pakatan muslihat mereka untuk
mengkucar-kacirkan kemakmuran negeri Melaka. Seperti pesan orang-orang tua: “pukul
gendang bermain rebab, jangan sampai mulut menguap, ungkal anak nakal tersilap, baik musuh
merangka musabab.” Adinda bimbang kalau-kalau semua ini adalah helah muslihat sang dedalu
luar yang mahu menguji kemakmuran dan kedaulatan negeri Melaka.
Aduhai Kesuma Jiwaku,
Saat ini adinda terkenangkan saat pertemuan pertama kita dahulu. Siapa sangka, suatu hari nanti
adinda akan bertemu dengan Laksamana Hang Tuah yang sebelum itu hanya adinda penuhi hati
ini dengan hanya memuja kebentaraannya. Serasanya agak lucu, apabila teringatkan keletah
Dayangku Sita yang telah terlupa untuk bertanyakan nama kekanda, sedangkan pada sebelah
petang sebelumnya, Dayangku Sita telah bersetuju untuk mengambil kekanda sebagai anak
angkatnya setelah kekanda hanya bermodalkan nasib anak dagang Melaka yang terbuang.
Sehinggalah pada sebelah malam keesokan harinya, kita bersua empat mata di pesta Joget
Pahang, dan saat itulah hati adinda telah tertawan dengan kesantunan dan kerendahan diri
kekanda. Ingat lagikah kanda, pada keesokan malamnya kita berkisah tentang erti cinta dan
rindu? Berkisah bahawa setiap cinta itu memerlukan pengorbanan yang jitu? Bahawa setiap
rindu itu harus diuji getarnya. Bahawa bahtera kasih itu perlu diuji layar percayanya, dan yang
lebih manis semestinya minhaj bahawa cinta itu belum tentu perlu bersatu jasadnya. Ingatkah
lagi kekanda?
Satria Hatiku,
Fahamilah bahawa perutusan ini adalah perutusan rindu yang tiada lagi bisa bersatu. Fahamilah
bahawa takdir cinta kadangkala tidak tertulis untuk kita. Andai lara rasa yang bakal menyusul,
biarlah. Andai seksa rindu yang berkunjung, biarlah. Biarlah andai setia ini goyah setelah diuji
resah dan gelisah yang parah. Serahkan segalanya kepada sejarah. Agar di situ tertulis riwayat
dan hikayat berdarah yang menjadi saksi pengorbanan cinta Tun Teja buat Hang Tuah.
INFO
ZULFAZLAN Jumrah, ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) adalah peserta Minggu
Penulis Remaja 2006 (MPR 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau terbabit
dalam genre cerpen, puisi dan novel. Karya
penuntut Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama (PBMP), Universiti
Putra Malaysia, ini, pernah mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan
Malaysia, Skor, Tunas Cipta dan Jendela Selatan. Novel sulungnya, Takdir Belum Tertulis
diterbitkan Penerbit Ilmu Bakti Sdn Bhd.